Friday, May 01, 2026

SIRI 420


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 5: Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Fasal 7: Mursyid palsu

sambungan.....



Sifat-Sifat Umum Mursyid Palsu (atau Sufi Palsu)

Sesungguhnya para Masyaikh (Ulama bertaraf Auliya Allah) seperti Imam Besar Ahlus Sunnah Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu, Imam Asy-Syazili, Imam Ghazali Ridhwanullahi Alaihi Ajma'in dan lain telah memberikan amaran keras supaya berhati-hati terhadap golongan Sufi PALSU.  Tanda-tanda Sufi PALSU atau Mursyid PALSU amat banyak.  Namun sebahagian besar daripadanya adalah berkaitan dengan perkara-perkara berikut:


Tanda Mursyid Palsu Pertama: Tidak pernah berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.


Ini adalah tanda umum dan paling awal.

Mursyid palsu tidak pernah berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, yang mempunyai Silsilah sampai Rasulullah ﷺ.  Orang ini lazimnya akan mengaku belajar secara ghaib dengan orang tertentu atau mengaku berguru kepada Wali Songo secara batin atau mengaku belajar dari Wali di gunung-gunung. 


Pengakuan ini batil dan tertolak!


Sekalian Masyaikh telah menetapkan bahawa wajib mempelajari Agama sama ada yang bersifat Zahir (Syari’at – fiqh) maupun Toriqat (Toriqat - Tasawwuf) dengan menghadap Guru (yang hidup) Pewaris Nabi yang Siddiq yang mempunyai Silsilah perguruan yang sahih, yang sampai kepada Rasulullah ﷺ.  (Rujuk syarat Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq)


Bahkan semua Ulama Pewaris Nabi termasuk mereka yang Mujaddid dan Mujtahid berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Hidup yang mempunyai Silsilah Pengambilan Ilmu Warisan Nabi ﷺ dengan kaedah khusus yang terpelihara kesuciannya iaitu melalui Bai’at (janji setia) dan Talaqqi Musyafahah (menghadap dan menerima ilmu dari lisan Guru). 


Adapun pengakuan seseorang yang mempelajari Ilmu daripada Auliya yang telah wafat adalah suatu peringkat yang tinggi setelah dia mencapai Ma’rifat yang tahqiq, lazimnya sudah melepasi Maqam Mukasyafah dan Gurunya sendiri mengesahkan hal tersebut. 


Tanda Mursyid Palsu ke-2: Tidak mempunyai Silsilah pengambilan ilmu.


Perkara kedua ini mempunyai hubung kait dengan perkara pertama.  Orang ini tidak mempunyai Mursyid yang Siddiq sebagai Pemimpinnya kepada Ketuhanan.  Jika ada pun dia mempunyai seorang Guru, namun Gurunya tidak ada Silsilah pengambilan Ilmu sampai Rasulullah ﷺ.  Ilmu yang dimilikinya rekaan sendiri dengan mencampur adukkan berbagai ajaran falsafah batil atau ilmu batiniah.  Atau campur adukkan ajaran-ajaran asing yang jelas bertentangan dengan Ahlus Sunnah seperti reiki, kundalini, ilmu cakra dan lain-lain yang nyata tersesat. 


Tanda Mursyid Palsu ke-3: Tidak ada Manhaj (sistem) Tarbiyyah yang lengkap.


Guru PALSU tidak mempunyai Sistem lengkap Tarbiyyah keruhanian yang meliputi, Zikrullah, Tawajjuh dan Suluk.  Mereka hanya meniru sana sini menggunakan amalan biasa orang awam.


Tanda Mursyid Palsu ke-4: Ilmu Ma’rifat dicanangkan bukan dari pengalaman keruhanian sendiri.


Orang ini sering bercakap soal Haqiqat dan Ma'rifat yang tinggi-tinggi sedangkan semua itu bukan dari pengalaman keruhanian sebaliknya mereka kutip dari kitab-kitab Tasawwuf yang tinggi-tinggi lalu mengaku sudah miliki Ilmu Ma'rifat.  Atau ungkapan berbelit-belit keluar dari hembusan atau bisikan iblis.


Bersambung siri 421 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 419


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 5:  Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Fasal 7: Mursyid palsu



Setelah kami paparkan Dalil-dalil kewujudan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (Sebenar) dan kewajipan setiap Muslim mencari dan mengikuti mereka, berserta dengan syarat-syarat dan tanda-tanda Mursyid yang Benar yang dapat disaksikan sendiri oleh hamba-hamba Allah yang jujur hatinya, maka di samping semua maklumat tersebut setiap Muslim wajib juga waspada terhadap “Mursyid Palsu” atau “Sufi Palsu” yang berlagak seperti Mursyid tetapi hakikatnya mereka hanya pura-pura untuk menipu daya Ummat yang lemah.  Tujuan mereka tidak lain melainkan memenuhi keinginan peribadi dan mengaut keuntungan dunia yang hina. 


Asli dan Palsu

Keaslian dan kebenaran akan sentiasa menghadapi kepalsuan dan kebatilan!


Bagi setiap kebaikan dan kecemerlangan yang Allah Ta’ala Ciptakan bagi manusia, pasti ada musuh dan kejahatan yang tersembunyi di sebaliknya yang cuba menghalang dan menyelewengkannya kepada kebatilan dan kesesatan.  Zahirnya terlihat seperti kemuliaan dan kebenaran sedang pada hakikatnya ia adalah kepalsuan yang membawa kepada kesesatan dan kekafiran.


Musuh tersembunyi yang sangat licik di dalam menerbitkan kepalsuan di dalam Agama adalah iblis La’natullah.  Iblis sentiasa membayangi manusia terutama orang Islam dan menerbitkan “kepalsuan-kepalsuan” sehingga manusia awam menyangka ianya kebenaran.  Iblis akan datang dari segala arah dan dengan berbagai penyamaran dan tipu daya yang mempersonakan sehingga manusia terpedaya dan jatuh kepada kesesatan dan kekufuran tanpa disedarinya.


Sejarah Ummat Islam buktikan kenyataan ini.  Banyak sekali orang Islam termasuk “orang alim” (iaitu alim yang hanya mahir di dalam Syari’at semata-mata) jatuh tersungkur kepada perangkap iblis ini.  Mereka tak kenal iblis dan tipu daya dia sangat halus, akibatnya mereka terpedaya dan mengikut iblis ke gerbangnya.


Firman Allah:


الَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٲطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ  ثُمَّ لَأَتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَـٰنِہِمۡ وَعَن شَمَآٮِٕلِهِمۡ‌ۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِينَ 


“Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) Jalan-Mu yang lurus; kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”

[Al-A’raf (7) : Ayat 16-17]


Firman Allah:


قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِين


“Iblis berkata: Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan buruk, keji, ma’siat, kemungkaran) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas.” 

[Al-‘Hijr (15) : Ayat 39-40]


Bersambung siri 420 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

 SIRI 418


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 5:  Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Fasal 6: Tanda-Tanda Mursyid yang Siddiq

sambungan.....




Dalil bagi sekalian keterangan yang kami sebutkan di atas adalah seperti berikut:


Rasulullah ﷺ bersabda:

“Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang apabila dilihatnya, dapat mengingatkan kamu kepada Allah, percakapannya menambahkan ilmu kamu, perbuatannya (amalannya) mendekatkan kamu kepada akhirat.” 

[Imam Al-Haakim]


Rasulullah ﷺ bersabda:


إِنَّ مِنْ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلْخَيْرِ مَغَالِيقَ لِلشَّرِّ وَإِنَّ مِنْ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلشَّرِّ مَغَالِيقَ لِلْخَيْرِ فَطُوبَى لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الْخَيْرِ عَلَى يَدَيْهِ وَوَيْلٌ لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الشَّرِّ عَلَى يَدَيْهِ


“Sesungguhnya ada sebahagian manusia menjadi kunci kebaikan dan penutup kejelekan, dan ada pula sebahagian manusia yang menjadi kunci kejelekan dan penutup kebaikan.  Maka beruntunglah bagi siapa saja yang Allah jadikan kunci-kunci kebaikan berada di tangannya, dan celakalah bagi siapa saja yang Allah jadikan kunci-kunci kejelekan berada di tangannya.” 

[Imam Ibnu Majah]


Rasulullah ﷺ bersabda:

“Sebaik-baik kamu adalah apabila dia dilihat, membawa mengingat Allah.”

[Imam Ibnu Majah]


Rasulullah ﷺ bersabda:

“Perbandingan teman duduk yang soleh dan buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi.  Adapun penjual minyak wangi, boleh jadi ia akan memberikan kamu minyak wangi, atau kamu akan membeli darinya atau kamu akan mendapat bau harum darinya.  Adapun tukang pandai besi, boleh jadi ia akan membuat pakaianmu terbakar, atau kamu akan mendapat bau yang tidak sedap darinya.” 

[Imam Bukhari dan Imam Muslim ]


Hadith Rasulullah ﷺ ini mengandungi isyarah dan ibarah yang sangat bernilai kepada hal keadaan seseorang yang Di-Beri Kekuatan oleh Allah untuk menyebarkan dan melimpahkan kebaikan, iaitu melimpahkan Cahaya Ketuhanan, Cahaya Keimanan, Cahaya Tauhid kepada Ummat.  Dan pada sudut yang berlawanan, satu golongan lain yang membawa kepada kerosakan, kegelapan dan kebinasaan Iman.  Na'uzubillah.   


Melalui Hadith Rasulullah ﷺ ringkas ini, Rasulullah ﷺ perintah kepada Ummat Baginda ﷺ agar mencari "tukang jual minyak wangi yang sebarkan wangian dan keindahan" dan jauhi "tukang penyebar kekotoran dan kebusukan". 


Apakah isyarat Rasulullah ﷺ pada "Tukang menjual wangian"?

Apakah  pula isyarat "Tukang besi"?


Minyak wangi adalah isyarat kepada kebaikan-kebaikan, keindahan, kesucian dalam Agama.  Kebaikan PALING UTAMA dalam Agama adalah kebaikan pada mengenal Allah, keindahan Tauhid yang suci murni dan perlindungan dari gangguan bisikan atau was-was syaitan, nafsu rendah, makhluq dan dunia.  Semua ini cuma ada pada Mursyid yang Siddiq.   


Ini kerana Mursyid yang Siddiq adalah hamba Allah yang telah mengenal Allah dengan sebenar kenal.  Allah Ta'ala telah menyucikan ruhnya dan sirrnya (rahsia yang sangat dalam).  Mursyid yang Siddiq adalah hamba-hamba Allah yang telah Di-Angkat oleh Allah Ta'ala kepada Maqam Hadratul Quddus —  Maqam menghadap Tuhan Yang Maha Suci, mereka menyaksikan Wajah Allah pada setiap ketika.  Mereka Di-Anugerahkan oleh Allah Cahaya Ketuhanan yang tinggi untuk Di-Limpahkan kepada manusia.  Mereka Di-Kurniakan oleh Allah berbagai kelengkapan senjata dan perisai untuk memerangi syaitan dan hapuskan bisikan was-was nafsu yang menentang Allah.


Siapa yang berada hampir dengannya (Mursyid yang Siddiq) akan memperoleh manfaat dunia akhirat.  Apa lagi berserta dengannya.  Apa lagi jika dia mampu karam di dalam Rabitah — ini terlebih besar manfaatnya untuk dunia akhirat.  Dia akan memperoleh kebaikan TAUHID yang tinggi, dia akan MENDAPAT perlindungan dari gangguan syaitan dan was-was bisikan nafsu rendah.  Dia akan mendapat bau wangian Keredhaan Allah.


Bersambung siri 419 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 417


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 5:  Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Fasal 6: Tanda-Tanda Mursyid yang Siddiq

sambungan.....



Tambahan Rahmat Allah Kepada yang Sudah Bai’at


Semua tanda-tanda Mursyid yang disebutkan di atas juga merupakan kesan-kesan yang akan dirasai oleh seseorang setelah Berbai’at.  Bahkan lebih daripada itu.  Sebagai tambahan, mereka yang sudah Bai’at akan Di-Kurniakan oleh Allah beberapa keistimewaan lain bagi kekuatan Iman dan Ubudiyyah seperti yang berikut:

 

(1) Memperoleh Limpahan Ruhaniyyah Gurunya, Masyaikh dan Rasulullah ﷺ yang membuka kepada pintu hidayah dan Tauhid.  Dengan demikian tetap hati pada Iman dan amal serta tetap hati pada Ahlus Sunnah Wal Jamaah.


(2) Menolak segala was-was nafsu dan bisikan iblis yang sentiasa menimbulkan keraguan di dalam hati.


(3) Menolak gangguan jinn syaitan seperti histeria, rasukan, sihir dan lain-lain.


(4) Membantu mengikis sedikit demi sedikit sifat Mazmumah (kekejian) dan terbina sedikit demi sedikit sifat Mahmudah (terpuji).


(5) Membantu hapuskan Syirik-syirik Khafi yang merosak Iman dan cemarkan Ibadah.


(6) Memperoleh kebahagiaan hati, kelapangan hidup.  Walaupun rezekinya sedikit namun mencukupi.


(7) Khusyu’ di dalam Solat.


(8) Memimpin kepada pintu-pintu Ma'rifat, iaitu Tauhid yang suci murni.  Dan inilah pokok faedah atau kepala keberuntungan bagi murid.


Memang benar, tidaklah semua kebaikan yang tersebut di atas itu datang sekaligus tetapi berperingkat-peringkat, terutama kebaikan lebih istimewa seperti khusyu’ dalam solat, hilangnya 'Ujub, Riya' dan lain-lain akan datang beransur-ansur.  Tetapi sebahagian besar tanda-tanda kebenaran seorang Mursyid dapat dirasai, ketika awal-awal ingin Bai'at lagi.  Bahkan sebahagian orang yang Bai'at, seketika Bai'at itu juga mereka telah mendapat zauq (pemerasaan hati) dan jazbah (kedatangan Nur Allah).


Bersambung siri 418 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 416


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 5:  Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Fasal 6: Tanda-Tanda Mursyid yang Siddiq



Tanda-Tanda Mursyid yang Siddiq

Selain dari syarat-syarat seorang Mursyid yang Benar sebanyak 10 perkara, seperti yang telah kami huraikan, seseorang Mursyid yang Benar dapat dikenali dengan melihat dan merasai tanda-tandanya dari dalam hati.  Maksudnya orang yang benar-benar ikhlas mencari Mursyid pembimbingnya akan dapat merasai tanda-tanda Mursyid ini dari dalam hatinya ketika dia bersama Guru tersebut atau ketika hadir di dalam mana-mana Majlisnya.



Tanda Pertama: Banyak mengingatkan Allah

Apabila bersamanya, banyak ingatkan Allah.  Bahkan hanya dengan melihat wajahnya terus ingat Allah.  Ini bukti paling kuat benarnya dia Mursyid yang Siddiq (Benar) kerana seorang Mursyid yang Benar membawa Cahaya Muhammad dan menyinarinya kepada murid-muridnya dan orang-orang sekelilingnya.  Tetapi hanya hamba-hamba Allah yang suci hati mampu merasainya.


Tanda ke-2: Tambah Ibadah

Apabila bersamanya, bertambah amal ibadah dan kebaikan tanpa dipaksa-paksa.


Tanda ke-3: Kemungkaran tertolak

Apabila bersamanya, kemungkaran dan kekejian tertolak dengan sendiri.


Tanda ke-4: Bertambah faham akan Agama

Apabila bersamanya, bertambah ilmu dan kefahaman Agama yang benar menurut _Ahlus Sunnah_. 


Tanda ke-5: Tambah rasa takut kepada Allah

Setiap Kalimah yang diucapkannya akan membuat hati takut kepada Allah. 


Tanda ke-6: Merasai kehinaan diri

Duduk di dalam Majlis-majlis beliau akan mendatangkan keinsafan mendalam dan terasa kekurangan dan kehinaan diri. 


Tanda ke-7: Syirik Khafi terhapus

Syirik Khafi — _Takabbur, 'Ujub, Riya', Sum'ah_ lebur dengan sendirinya ketika hadir bersamanya.


Tanda ke-8: Khusyu' Ibadahnya

Setiap ibadah bersamanya menjadi lebih khusyu'. 


Tanda ke-9: Majlisnya Di-Limpahi Rahmat Allah

Setiap Majlisnya Di-Penuhi Rahmat sehingga terasa sejuk hati berserta Allah.


Tanda ke-10: Kecintaan kepada Allah bertambah

Apabila selalu bersamanya, hati semakin mencintai Allah.

Ini antara penelitian yang boleh dijadikan panduan untuk mengukur, menilai, mengenalpasti orang yang kita ingin jadikan sebagai Guru pendidik atau pemimpin atau pembimbing itu baik untuk dunia akhirat kita atau sebaliknya. 


Bersambung siri 417 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 415


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 5:  Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Fasal 5: Syarat Mursyid yang Siddiq

sambungan.....


Syarat ke-10: Terkenal di Tempat Jauh


Seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Benar akan dikenali oleh mereka yang jauh dari tempatnya.  Allah Ta'ala akan memberikan Ilham dan Petunjuk kepada manusia untuk mencari hamba-hamba Allah ini walaupun dari jauh.  Ulama-ulama meletakkan syarat ini sebagai membezakan dengan Guru palsu atau penipu.  Ini kerana lazimnya Guru yang penipu akan sedaya upaya mengawal muridnya supaya tidak terbocor rahsia kejahatannya.  Salah satu cara adalah dengan mengongkong mereka dengan dakwaan-dakwaan palsu.


Demikianlah kami himpunkan 10 syarat yang wajib ada pada seorang Shaikh Mursyid atau Ahli Sufi atau Ahli Ma'rifat atau Warisatul Anbiya' yang Siddiq (Benar).  Syarat-syarat ini diambil daripada Wali-wali Allah yang terkenal; di antaranya Al-Ghawth Al-A'zhom Qutb Rabbani Shaikh Muhyiddin Abdul Qodir Jilani, Shaikh Abu Hasan Asy Syazili, Shaikh Junaid Al-Baghdadi, Shaikh Ahmad Kamasykhanawi, Shaikh Hujweri, Shaikh Yahya Al-Kholidi Ridhwanullah Alaihi Ajmain dan lain-lain.  Mudah-mudahan ianya menjadi panduan berguna bagi pencari-pencari kebenaran atau jalan menuju Allah yang haq.


Para Wali Allah, Ulama Pewaris Nabi yang Siddiq telah meletakkan garis panduan yang cukup lengkap dan penuh sistematik.  Semua syarat, peraturan dan adab yang disusun itu adalah berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul ﷺ.  Mereka BUKAN menetapkannya mengikut nafsu.  Mereka adalah hamba-hamba Allah yang takut kepada Allah, mereka Musyahadah Wajah Allah (menyaksikan Wajah Allah) pada setiap saat sehingga setiap suatu yang mereka memperbuat adalah di dalam Keredhaan Allah.


Maka sayugianya, jangan ada yang cuba pertikaikan peraturan yang telah ditetapkan.  Ada kalanya setengah perkara yang mereka susun tidak sesuai dengan pendapat aqal atau nafsu kita, tetapi mereka lebih 'Arif berkenaan apa yang diperlukan oleh Ummat.


Bersambung siri 416 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 414


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 5:  Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Fasal 5: Syarat Mursyid yang Siddiq

sambungan.....



Syarat ke-9: Wajah dan Perkataannya Berpengaruh Kepada Sesiapa Melihatnya


Wajah seorang Mursyid yang benar memancarkan Cahaya Keimanan sehingga orang yang melihatnya terus Ingat Allah.  Perkataannya dan gerak-gerinya juga memberi kesan yang mendalam ke dalam hati orang yang melihatnya.  Sesungguhnya ciri ini satu daripada tanda terbesar bagi menunjukkan kebenaran seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Benar.


Barang siapa mencari dengan penuh keimanan dan keikhlasan, pasti menemui ciri ini pada seseorang Mursyid Pewaris Nabi yang Benar.  Orang yang memandang beliau akan membawanya kepada Ingat akan Allah Ta'ala.  Bahkan hanya dengan mengingat-ingat wajahnya membawa kepada seribu Rahmat Allah di dalam kehidupan dan menolakkan pelbagai gangguan dan bahaya!


Rasulullah ﷺ bersabda:

“Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang apabila dilihatnya, dapat mengingatkan kamu kepada Allah, percakapannya menambahkan ilmu kamu, perbuatannya (amalannya) mendekatkan kamu kepada akhirat.”

[Imam Al-Haakim]


Rasulullah ﷺ bersabda:

“Sesungguhnya ada sebahagian manusia menjadi kunci kebaikan dan penutup kejelekan, dan ada pula sebahagian manusia yang menjadi kunci kejelekan dan penutup kebaikan.  Maka beruntunglah bagi siapa saja yang Allah jadikan kunci-kunci kebaikan berada di tangannya, dan celakalah bagi siapa saja yang Allah jadikan kunci-kunci kejelekan berada di tangannya.”

[Imam Ibnu Majah]

 

Rasulullah ﷺ bersabda:

“Sebaik-baik kamu adalah apabila dia dilihat, membawa mengingat Allah.”

[Imam Ibnu Majah]


Para Ulama Ahli Sunnah yang 'Arif mentafsirkan bahawa yang dikehendaki dengan Hadith-Hadith Rasulullah ﷺ tersebut adalah Mursyid yang mewarisi Rasulullah ﷺ dengan kebenaran.  Kamu melihat tanda-tanda ini dan merasai kesannya dalam hati kamu, lalu datang keyakinan yang teguh bahawa inilah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang kamu mencari selama ini.  


Bersambung siri 415 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 413


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 5:  Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Fasal 5: Syarat Mursyid yang Siddiq

sambungan.....



Syarat ke-8: Lemah Lembut dan Penyayang kepada Orang Beriman


Mursyid yang Siddiq memiliki sifat kasih sayang dan lemah lembut kepada manusia di dalam pergaulan serta mencontohi segala akhlaq Nabi ﷺ.  Beliau mencontohi Rasul ﷺ di dalam mendidik Ummat kepada ketuhanan.  Beliau sangat penyabar dan lemah lembut di dalam pergaulan sesama manusia tanpa mengira pangkat atau darjat manusia.  Walau bagaimanapun beliau sangat tegas di dalam mendirikan hukum agama.  Beliau tidak akan tolak ansur ketika Agama Allah Di-Permainkan atau hukum Allah Di-Persendakan. 


Beliau mungkin memarahi seseorang yang melanggar hukum Agama.  Ataupun seseorang yang sangat keras hati, atau menyombong diri.....  semua ini bertujuan mendidik, bukan kemarahan kerana nafsu.  Namun beliau bukanlah orang yang selalu di dalam keadaan demikian. 


Inilah yang disebut oleh Imam Jailani Radhiallahu Anhu dengan kata beliau: “Dia (Mursyid) mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu-tetamu yang datang kepadanya dengan penuh kasih sayang.”

[Qala’id Al-Jawahir]


Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Unggul, yang benar-benar mencontohi keperibadian dan Akhlaq Rasulullah ﷺ.  Beliau terkenal dengan sifat lemah lembut kepada tetamu dan orang-orang beriman.  Beliau sangat pemurah kepada yang memerlukan.  Beliau sering makan bersama faqir miskin dan muliakan hamba-hamba Allah yang dipandang hina.  Namun ketika hukum Allah Di-Permainkan, beliau TIDAK akan tolak ansur.  Beliau akan segera "memotong" tangan-tangan yang cuba merobek hukum-hakam Syari'at.   


Suatu ketika Khalifah yang memerintah di Baghdad melantik Menteri yang tidak layak menduduki posisi sebagai Hakim.  Maka segera Shaikh berkhutbah dari mimbar:

“Engkau telah melantik pegawai yang paling zalim sebagai "hakim" atas orang beriman.  “Apakah jawapan engkau nanti apabila engkau dihadapkan kepada "Hakim Maha Agung" yang Memiliki Semesta alam?”  Mendengar Amaran tersebut, Khalifah menangis ketakutan dan terus memecat Hakim yang telah dilantiknya.” 

[Qala'id Al Jawahir]


Bersambung siri 414 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 412


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 5:  Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Fasal 5: Syarat Mursyid yang Siddiq

sambungan.....


Syarat ke-7: Tidak Mencintai Dunia


Kurang dunianya, iaitu tidak mencintai dunia atau mengejar dunia.  Hidup beliau penuh di dalam kesederhanaan.  Beliau bukan seorang yang mengejar pangkat, kemewahan atau kedudukan.  Sebaliknya hidup beliau menjauhkan segala urusan yang menghambatnya kepada keduniaan.  Pandangan dan perjuangan beliau adalah seperti perjuangan Nabi ﷺ, bersifat sederhana dan memadai dengan pemberian Allah dan tiada berhenti menyeru manusia kepada Kalimah Tauhid!  Demikianlah mereka mencontohi kehidupan Rasulullah ﷺ dalam kepimpinan mereka dan seluruh kehidupan dan di dalam pendidikan mereka.


Seseorang yang mengaku Mursyid tetapi mengumpul-ngumpul kekayaan atau hidup mewah di atas harta yang ditagih dari murid-muridnya, tidak boleh dikatakan Mursyid yang haq, sebaliknya dia adalah hamba dunia dan nafsu!


Imam Asy-Sya'rani Radhiallahu Anhu berkata:

“Di antara tanda benarnya seorang Mursyid adalah; tidak menyalahgunakan amanah para muridnya, tidak menggunakan harta benda mereka dalam bentuk dan kesempatan apa pun dan juga tidak menginginkan apa yang ada pada mereka.”

[Lawaqihul Anwaar al-Qudsiyah]


Penjagaan:


(1) Lain halnya, jika seorang Mursyid itu memperoleh kemudahan-kemudahan berupa kebendaaan atau lain-lain dari sumbangan ikhlas muridnya atau dari orang-orang lain, maka ini tidak menjadi kesalahan.  Ertinya kemungkinan Allah Ta’ala melimpahkan kekayaan harta kepada setengah-setengah Mursyid.  Walau bagaimanapun seseorang Mursyid yang Siddiq TIDAK sama sekali terpengaruh dengan kekayaan yang Allah melimpahkan padanya.  Beliau akan tetap dan terus ubudiyyah dan khidmat kepada Ummat, tanpa henti.  Bagi mereka ada atau tiadanya dunia sama sahaja.  Jika Allah Ta’ala Kurniakan kepada mereka harta yang banyak, mereka melihat Allah lalu sedekahkannya kepada faqir miskin.  Jika tiada harta mereka tetap melihat Allah dan Redha dengan Ketentuan-Nya.


(2) Setengah Auliya Allah yang menduduki Maqam yang sangat tinggi, mungkin kelihatan pada zahirnya hidup mewah dengan kediaman yang besar dan pakaian yang hebat-hebat.  Namun semua bentuk kemewahan yang terlihat tidak sedikit pun menyebabkan kelalaian hati mereka, sebaliknya mereka sentiasa di Hadratul Quddus menyaksikan Wajah Zat Yang Maha Agung.  Kediaman besar mereka lazimnya digunakan untuk Majlis-majlis Ilmu atau Majlis Zikir mereka, bukan untuk kepentingan mereka.  Wang ringgit mereka sekaliannya disedekahkan kepada faqir miskin.  Hati mereka tidak sedikit pun terikat dengan harta duniawi.  Oleh yang demikian, murid pada Jalan Ma’rifat hendaklah sentiasa sangka baik kepada Masyaikh kita ketika dihadapkan hal-hal demikian.


Bersambung siri 413 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 420 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ...