■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
SIRI 601 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
...............................................................
Selain dari keterangan Al-Qur’an dan Hadith Rasulullah ﷺ penjelasan yang diberikan oleh Ahli-Ahli Ma’rifat berhubung dengan Arasy adalah sangat menarik untuk dijadikan I’tibar dan panduan.
Sebagaimana telah maklum, Ahli Ma’rifat adalah hamba-hamba Allah yang mu’min yang telah sampai Hadrat Tuhan Yang Maha Suci tanpa sebarang hijab. Mereka diperlihatkan oleh Allah Ta’ala akan Zat-Nya Yang Maha Quddus, yang Laisa Kamithlihi Syai’un — tiada umpama sesuatu seperti-Nya.
Di atas Kemurahan-Nya, mereka juga diperlihatkan oleh Allah Ta’ala akan perbendaharaan-Nya yang tersembunyi… mereka dapat melihat dengan nyata akan keadaan dan hakikat Arasy, Kursi, Qalam, Luh Mahfuz bahkan sekalian alam ghaib, tanpa sebarang keraguan sedikit pun.
(1) Arasy adalah Tempat paling Indah, paling suci dan paling agung dari sekalian tempat yang diciptakan oleh Allah Ta’ala. Ianya dihiasi dengan cahaya Ketuhanan Yang Gilang Gemilang. Sesiapa yang melihatnya pasti terpesona, kerana tiada kata2 yang dapat mengungkapkan kehebatan dan keindahannya.
(2) Luasnya Arasy sejauh mata memandang, seolah-olah tiada penghujung. Apabila dilihat pada semua arah, depan belakang, kanan kiri, yang terlihat adalah lapangan luas yang tidak terjangkau oleh pandangan. Tiada yang mengetahui keluasannya melainkan Allah dan mereka yang diberi pengetahuan berkenaan dengannya.
(3) Arasy adalah Pusat Pemerintahan Allah Ta’ala memerintah makhluk-Nya. Allah Ta’ala menurunkan Perintah, Larangan dan Hukuman ke atas makhluk-Nya menurut Ilm (Ilmu), Iradah (Kehendak) dan Qudrah (Kekuasaan) Nya. Iaitu sekalian Taqdir yang tertulis pada Luh Mahfuz.
(4) Arasy adalah di antara makhluq Allah yang tidak dibinasakan. Ketika berlaku Hari Qiamat, sekalian makhluq akan binasa dan hancur lebur kecuali beberapa makhluq yang dimuliakan oleh Allah Ta’ala dan tidak dibinasakan.
Di antaranya:
Nur Muhammad, Ruh Ruhani, Arasy, Kursi, Luh Mahfuz, Qalam, Syurga dan Neraka.
(5) Arasy adalah tempat kemuliaan bagi hamba-hamba Allah yang mencapai Darjat Keimanan yang tertinggi. Orang Mu’min yang sampai ke martabat kesucian Tauhid yang sempurna, iaitu Maqam Ihsan, Maqam Taqwa, Maqam Shuhud yang sempurna… akan dipakaikan oleh Allah Ta’ala dengan pakaian kemuliaan “Raja-Raja” dan menjemput mereka (ruh mereka) ke Arasy-Nya yang Agung. Mereka adalah tetamu Allah yang amat istimewa. Walaupun jasad mereka di dunia, namun ruh mereka terbang tinggi merentasi sekalian alam untuk bertemu kekasih mereka, Rabbul Jalil.
Siapakah mereka ini?
Merekalah para Rasul-Rasul, Nabi-Nabi dan Ahli Ma’rifat pewaris Nabi yang sebenar…!
Semua Rasul, Nabi dan Ahli Ma’rifat sampai ke Hadrat Tuhan dengan ruh sahaja. Kecuali Junjungan Besar Nabi Muhammad yang diberi kemuliaan yang mengatasi segala kemuliaan makhluq, hadir di atas Arasy yang mulia dengan jasad berserta ruh Baginda… sehingga hal ini menjadi suatu pengkhususan dan Mu’jizat yang istimewa bagi Junjungan kita. Dan karomah (kemuliaan) bagi Auliya Allah.
SIRI 602 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
Penjelasan 9:
...............................
Menurut pendirian Ahlus Sunnah, di antara tujuan Allah Ta'ala mengangkat Rasulullah ﷺ ke Arasy adalah:
(1) Tanda-Tanda Kebesaran dan Keagungan Allah Ta'ala.
Peristiwa luar biasa yang terjadi pada Rasulullah ﷺ ini
menunjukkan Kebesaran Allah Ta'ala dan Kemuliaan yang Allah Ta'ala Kurniakan kepada Baginda. Memperlihatkan kepada Baginda dan orang-orang beriman akan tanda-tanda kebesaran dan Keagungan Allah Ta'ala. ( لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَآ )
(2) Luasnya Kerajaan Allah Ta'ala
Melalui peristiwa Mi’raj Rasulullah ﷺ, Ummat manusia seluruhnya dapat mengetahui akan betapa luas, besar dan hebatnya sekalian ciptaan Allah Ta’ala.
(3) Pengisytiharan Sejagat akan Kelebihan Rasulullah ﷺ mengatasi segala Nabi-Nabi yang lain
Peristiwa Agung ini adalah suatu pengisytiharan Agung bahawa Rasulullah ﷺ adalah Rasul terpilih yang Allah Ta'ala Kurniakan Kemuliaan dan keistimewaan mengatasi sekalian Nabi dan Rasul yang lain.
(4) Peringatan kepada manusia bahawa Hari Pembalasan benar-benar wujud
Memberikan amaran kepada manusia akan balasan kebaikan (Syurga) dan kejahatan (Neraka) yang pasti terjadi, sekaligus menjadi bukti akan kewujudannya.
(5) Keutamaan Ibadah Solat
Rasulullah ﷺ menerima Perintah Solat langsung dari Allah pada peristiwa Isra' Mi'raj, menunjukkan keistimewaan Ibadah Solat.
(6) Bukti-bukti kebenaran Islam
Manusia yang benar-benar menggunakan aqalnya yang sihat, mampu memahami bahawa Peristiwa Isra' Mi'raj adalah di antara Mukjizat Teragung yang menunjukkan kebenaran Islam dan kebatilan agama-agama ciptaan manusia.
(7) Lambang Perjalanan manusia kembali kepada Allah
Keseluruhan Peristiwa Isra' Mi'raj adalah lambang "Proses perjalanan manusia kembali kepada Allah". Mulai dari penyucian batin Baginda (Jantung Baginda disucikan dengan air zam-zam oleh Malaikat), perjalanan pantas melalui Buraq dan kemudian perjalanan pantas melalui tangga Mi'raj sehingga akhirnya sampai ke Arasy adalah lambang kepada tingkat-tingkat perjalanan "kembali kepada Allah" yang akan dilalui oleh setiap orang yang Mu'min.
Walau bagaimanapun proses perjalanan kembali kepada Allah sehingga "bertemu dengan Allah" (mencapai Tauhid hakiki) hanya mampu dicapai oleh orang Islam yang menempuh jalan Ma'rifat dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.
Adapun mereka yang hanya amalkan ibadah yang biasa, tidak berusaha sucikan batinnya, mereka yang tidak mujahadah melawan nafsu, tidak amalkan zikrullah sungguh-sungguh menurut Jalan Ma'rifat pimpinan Mursyid yang Siddiq, mereka akan sentiasa bergelumang dengan dosa-dosa, bergelumang dengan dosa syirik hati (syirik tersembunyi), mazmumah (kekejian hati), maka dengan demikian mereka ini akan kekal sebagai orang awam.
SIRI 603 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
Penjelasan 10:
................................................
Di sini terjadi penyimpangan I'tiqad oleh golongan yang percaya Allah duduk, menetap, bertahta di atas Arasy seperti manusia bertahta di bumi.
Mereka menganggap Allah Ta'ala duduk, menetap di atas Arasy lalu Rasulullah ﷺ datang menghadap Allah laksana "manusia menghadap Raja-Raja dunia". Tidak syak lagi ini adalah pegangan batil dan sesat kerana menyamakan Allah dengan makhluq, maka jadilah syirik Akbar (syirik Besar). Wal Iyazubillah.
Bagaimanakah pendirian dan i'tiqad Ahlus Sunnah wal Jamaah yang benar?
Ahlus Sunnah meyakini tanpa keraguan bahawa Rasulullah ﷺ menghadap Allah pada peristiwa Isra' Mi'raj namun wajib jazamkan dalam hati (tanam kukuh di dalam hati), bahawa Zat Allah yang Baginda lihat adalah Zat Yang Laisa Kamithlihi Syai’un. (tiada umpama sesuatu seperti-Nya), iaitu Zat Allah yang tidak dapat disebutkan rupa-Nya atau tempat-Nya atau arah-Nya dan tidak juga mampu dihuraikan cara pertemuan tersebut.
Pertemuan itu tidak seperti pertemuan makhluq kepada makhluq lain. Maka barang siapa beri'tiqad Allah duduk atas Arasy seperti Raja-Raja bertahta di dunia lalu menyangka Rasulullah ﷺ datang menghadap Allah laksana manusia menghadap "raja dunia", maka ini i'tiqad batil dan sesat.
Ungkapan yang layak menepati Kebesaran Allah bagi menjelaskan pertemuan dan penglihatan Rasulullah ﷺ pada Zat Allah di atas Arasy adalah:
Menurut penjelasan Ahli Ma'rifat yang benar-benar mengenal Allah:
Allah Ta’ala _Tajalli_ (menyatakan diri-Nya) kepada Rasulullah ﷺ di atas Arasy! Keadaan ini hampir serupa dengan “Allah Ta’ala Tajalli di bukit Tursina” kepada Nabi Musa Alaihis Salam — Allah Ta'ala menyatakan diri-Nya di Bukit Tursina.
Jika ditanya lagi:
Bagaimana kaifiyyat “Allah Ta’ala menyatakan diri-Nya?" Maka Jawapannya:
Tiada kaifiyyat atau cara untuk menghuraikannya dan dilarang bertanya “bagaimana” terhadap Allah Ta’ala, kerana Dia Zat Yang Laisa Kamithlihi Syai’un. Maka bertanya "bagaimana" terhadap Allah atau membincangkannya atau membahaskannya adalah bid'ah kesesatan.
Hal ini hampir serupa dengan huraian terhadap pertanyaan : "Bagaimanakah Allah istiwa atas Arasy".
Berkata Al-Imam Shaikh Abdul Qodir Jilani رضي الله عه:
"Al-kaif (caranya) Tuhan istiwa di atas 'Arasy tidak diketahui. Maka dilarang bertanya bagaimana Tuhan di Arasy. Bertanya atau membincangkan atau membahaskan cara Tuhan istiwa di atas Arasy adalah bid'ah kesesatan."
[Al Ghunyah]
SIRI 604 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
Contoh 4: Tafsirkan Taqdir (Qadha dan Qadar) menurut pendapat aqal, nafsu
Pentafsiran yang salah terhadap Taqdir (Qadha Qadar), Af'al Allah (Perbuatan Allah) dan af'al makhluq (perbuatan makhluq) menyebabkan ramai orang Islam jatuh kepada kesesatan.
Hal ini bukan suatu yang baru tetapi sudah berlaku sejak zaman Tabiin lagi. Mereka tidak menuntut Ilmu dari Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, tetapi mentafsirkan Al-Qur'an menurut pendapat sendiri atau mengambil tafsiran dari "ulama sesat", maka jatuhlah mereka ke dalam kelompok-kelompok sesat. Wal Iyazubillah.
Daripada sekian banyak golongan yang jatuh kepada kesesatan akibat mentafsirkan "Qadha dan Qadar" menurut pendapat aqal, terdapat dua golongan yang menonjol pertentangan dengan pendirian Ahlus Sunnah, iaitu:
1. Golongan Mu'tazilah:
Menurut Mu'tazilah manusia mencipta taqdirnya sendiri, sama ada baik atau jahat adalah pilihannya sendiri, tiada kaitan apa pun dengan Taqdir yang Allah Ta'ala tetapkan. Menurut mereka jika manusia melakukan kebaikan, mereka akan masuk syurga dengan sebab kebaikan yang telah mereka lalukan, tiada kaitan apa pun dengan Ketentuan Allah. Ertinya mereka ingkar Af'al Allah (perbuatan Allah) dan ingkar Taqdir Allah keseluruhannya.
2. Golongan Jabariyyah:
Menurut fahaman Jabariyyah, setiap perbuatan manusia adalah dari Allah semata-mata dan menafikan perbuatan bagi manusia secara mutlaq. Menurut mereka (Jabariyyah), manusia hanyalah bagaikan bulu yang berterbangan menurut arah angin yang meniup atau bagaikan mainan yang digerakkan oleh pemiliknya. Pendapat mereka : Syurga atau Neraka adalah paksaan Allah terhadap manusia kerana manusia tiada usaha ikhtiar apa pun. Ertinya mereka menafikan _af'al_ (perbuatan) makhluq secara mutlaq sedangkan Allah Ta'ala telah menetapkan perbuatan makhluq pada Azali.
Menurut Ahlus Sunnah Wal Jamaah:
Kedua-dua golongan ini (Mu'tazilah dan Jabariyyah) adalah golongan bid'ah sesat, sama seperti khawarij (Wahhabiyyah). Syi'ah (rafidh), Mujassimah dan lain-lain berjumlah 72 golongan yang terkeluar dari Saf Ummat Ahlus Sunnah kerana mentafsirkan "Qadha dan Qadar" secara batil.
Walaupun golongan Mu'tazilah dan Jabariyyah telah pupus, namun awas, kerana 'nama' tersebut hanyalah perlambangan. Hakikatnya yang menjadikan mereka sesat adalah pegangan hati iaitu i'tiqad mereka berhubung Ketuhanan khususnya di dalam perbicaraan ini darihal Qadha dan Qadar. Unsur yang menjadikan mereka sesat adalah sifat mereka. Dengan demikian sesiapa saja memiliki sifat dan i'tiqad mereka, maka tidak syak lagi mereka akan menyimpang dari kebenaran dan terjatuh kepada kesesatan! Wal Iyazubillah!
Setiap Muslim wajib menghalusi perkara ini agar selamat dunia akhirat. Perhatikanlah baik-baik....ianya cuma satu garisan halus yang memisahkan di antara Aqidah Ahlus Sunnah dengan aqidah-aqidah batil.
In shaa Allah kami akan sisipkan sedikit penjelasan darihal Taqdir, kemudian hubungannya dengan Af'al Allah (Perbuatan Allah) dan af'al makhluq (perbuatan makhluq) menurut I'tiqad Ahlus Sunnah wal Jama'ah.
Namun oleh kerana tajuk yang dibicarakan tidak khusus Bab Taqdir, kami hanya menyebutkan beberapa poin penting. Untuk mendapat penjelasan yang terperinci, tepat dan sempurna, kamu perlu merujuk kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, yang benar-benar Arif.
SIRI 605 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
Penjelasan Khas:
Bab Taqdir (Qadha Qadar) menurut i'tiqad dan pendirian Ahlus Sunnah Wal Jama'ah
Penjelasan Khas 1:
Taqdir setiap makhluq sudah tertulis di _Luh Mahfuz_ — Papan Suratan Taqdir
Allah Ta'ala telah menetapkan Taqdir bagi setiap makhluq di Luh Mahfuz (papan suratan Taqdir) sebelum penciptaannya. Ringkasnya segala sesuatu yang terjadi pada alam ini, mulai Penciptaan Nur Muhammad sebagai Penciptaan pertama sehingga seluruh alam menerima kebinasaan pada Hari Qiamat semuanya sudah tertulis satu persatu berdasarkan tarikh, waktu dan tempatnya di Luh Mahfuz, tiada terkemudian sesaat dan tiada terdahulu.
Mulai dari penciptaan manusia, tempat kelahirannya, waktu kelahirannya — jam dan saatnya dan segala sesuatu yang akan terjadi padanya berupa kesakitan, kesengsaraan, kebahagiaan, atau kecelakaan... sehingga ia mati semuanya sudah tertulis sebelum kejadian tersebut menjadi nyata.
Demikian pula tanam-tanaman, tempat tumbuhnya, mekarnya atau binasanya. Dan lagi kejadian tanah — tandus atau subur, penciptaan bukit, gunung-ganang, sungai semuanya tertulis di Luh Mahfuz sebelum ia tercipta dan menjadi kenyataan di dunia.
Demkian pula sekalian cakerawala — planet, matahari, bulan, bintang masing-masing sudah ditetapkan waktunya menurut Ilmu, Iradat (Kehendak) dan Qudrat (Kekuasaan) Allah Yang Maha Perkasa, sebelum semua diciptakan.
Firman Allah :
مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي ٱلأَرْضِ وَلاَ فِيۤ أَنفُسِكُمْ إِلاَّ فِي كِتَٰبٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَآ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌ
"Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah.
[Al-Hadid (57) : Ayat 22]
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Tiada suatu kejadian apa pun yang menyenangkan maupun yang menyedihkan menimpa di bumi sehingga ke penjuru-penjurunya, mulai dari suburnya tanah dan kemakmuran, gempa bumi dan wabah penyakit serta berbagai hal lainnya yang menyenangkan dan menyedihkan yang terjadi di arah dan penjuru mana pun ... mulai dari hal yang membuatmu senang berikut kenikmatan dan kesukaan atau penyakit yang menimpa dan kesengsaraan yang memilukan, melainkan ketetapannya secara detail pada jam sekian, saat sekian dan dengan cara demikian, telah tertulis dalam kitab (Lauhil Mahfuz), maksudnya berada di dalam Ilmu-Nya dan tercantum pada lembaran Qadha-Nya dengan istilah yang berbeza-beza sebelum Kami (Allah) menciptakannya dan menampakkan (musibah itu). Dengan kata lain kejadian itu telah Kami tetapkan sebelum kejadiannya berlangsung, yakni jauh pada zaman yang tiada seorang pun mengetahui kadarnya kecuali Kami (Allah). Maka janganlah kamu ingkari Kekuasaan Kami untuk melakukan hal seperti itu. Ketentuan yang telah digariskan di dalam Taqdir terdahulu (Qadha) meskipun sangat sulit bagi kalian, bagi Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Unggul terhadap semua makhluq yang telah ditetapkan Taqdirnya, adalah mudah."
[Tafsir Jilani]
Penjelasan tambahan:
Kita dapat memahami dari penjelasan Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
(1) Allah Ta'ala sudah pun menetapkan pada Azali (zaman sebelum penciptaan makhluq) apa jua kejadian yang berlaku di alam ini, dari sebesar-besarnya penciptaan sampai kepada yang paling kecil dan halus-halus sekali pun, telah tertulis pada suratan Taqdir.
(2) Setiap suatu yang terjadi di alam ini berlaku menurut Ilmu, Iradat dan Qudrat Allah — bukanlah suatu hal yang baru di-Rancang oleh Allah.
(3) Tiada siapa pun mampu mengubah Taqdir Ketentuan Allah Ta'ala.
SIRI 606 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
Penjelasan Khas 2:
Taqdir makhluq tertulis 50 ribu tahun sebelum penciptaannya
Firman Allah Ta'ala:
وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ
“Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam Kitab (Ibu Suratan) yang jelas nyata”. [Yasin: 12]
Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:
"Dan semua perkerjaan mereka (manusia), Kami (Allah) telah menulis di dalam Kitab yang Terpelihara (Luh Mahfuz)”
[Tafsir Ibnu Abbas]
Berkata Imam Ibnu Jarir At-Tabari Radhiallahu anhu:
Ta'wil bagi Firman ini adalah : Segala sesuatu yang telah terjadi dan yang akan terjadi, Kami (Allah) Meliputinya (di dalam Pengetahuan Allah) dan Kami tetapkan di dalam Kitab Induk, iaitu Lauhul- Mahfuzh. Dikatakan bahawa ia disifati dengan mubin ( مُبِينٍ = yang menjelaskan) kerana ia menjelaskan Haqiqat semua hal yang telah ditetapkan (Taqdir) di dalamnya.
[Tafsir Tabari]
Berkata Ibnu Kathir Radhiallahu anhu:
(Kami catitkan satu persatu di dalam kitab yang jelas nyata) bermaksud segala sesuatu tentang makhluk-Nya sudah pun tercatit di Luh Mahfuz. (Al-Imam Al-Mubin) bermaksud sumber segala catitan. Inilah pendapat Mujahid, Qatadah dan Abdur-Rahman bin Zayd bin Aslam.
[Tafsir Ibn Kathir]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“كتب الله مقادير الخلائق قبل أن يخلق السموات والأرض بخمسين ألف سنة وعرشه على الماء”
“Allah Ta'ala telah menulis taqdir makhluq sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan Arasy-Nya berada di atas air”.
[Imam Muslim]
SIRI 607 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
Penjelasan Khas 3:
Setiap manusia ditetapkan Rezeki, Ajal, Pekerjaan, Ahli Syurga atau Neraka ketika di perut ibunya
Allah Ta'ala menetapkan nasib setiap manusia ketika dia dalam kandungan ibunya. Allah Ta'ala menetapkan rezekinya, ajal (umurnya), pekerjaannya dan kesudahannya sama ada bahagia (sebagai Ahli Syurga) atau celaka (sebagai ahli Neraka).
Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ، فَوَالَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَيَدْخُلُهَا
“Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya dalam keadaan air mani selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi seketul darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya malaikat untuk ditiupkan kepadanya roh dan (malaikat) diperintahkan untuk menetapkan empat perkara: Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya sama ada derita atau bahagia. Demi Allah yang tidak ada Tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli syurga, maka masuklah dia ke dalam syurga.”
[Imam Muslim]
Peringatan penting:
1. Hadith ini menunjukkan Kekuasaan Allah Yang Maha Berkuasa menentukan sesuatu ke atas makhluq dan tiada siapa pun layak mempersoalkannya.
3. Allah Ta'ala jua yang menjadikan "kebaikan" dan "kejahatan". Namun Allah Perintahkan kamu memilih perkara-perkara baik, halal, suci serta menjauhi perkara-perkara buruk, jahat dan keji.
4. Ketika membaca Hadith ini (dan beberapa hadith lain yang hampir serupa), maka kamu wajib baca dengan hati-hati supaya tidak jatuh kepada golongan Jabariyyah atau Mu'tazilah.
5. Ketika membaca Hadith ini, hendaklah memelihara dua hal berkaitan dengan Haq Allah Ta'ala:
Pertama: Patuh kepada Syari'at.
Patuh kepada Syari'at bermaksud mematuhi sekalian undang-undang yang Allah Ta'ala Perintahkan dan jauhi sekalian larangan-Nya.
Kedua: Mematuhi adab kepada Allah.
Mematuhi adab kepada Allah bermaksud:
Apabila kamu di dalam kebaikan, keta'atan dan amal Ibadah, maka hendaklah kembalikan segala kebaikan tersebut kepada Allah dan syukur sebanyak-banyaknya kepada-Nya atas Kurnia-Nya kepada kamu. Sebaliknya jika kamu di dalam kejahatan, kekejian dan kemungkaran, maka wajib atas kamu Taubat segera serta akui kesalahan diri sendiri. JANGAN sesekali berkata ianya Kehendak Allah, meskipun haqiqatnya ia Taqdir Allah ke atas kamu. Ini adab halus dengan Allah Ta'ala.
SIRI 608 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
Penjelasan Khas 4:
Tiada siapa tahu Taqdir Allah ke atas dirinya. Ahli Syurga dan Ahli Neraka akan dipermudahkan beramal menurut tujuan ia dicipta
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Rasulullah ﷺ keluar menemui kami dengan dua buah kitab di tangan Baginda. Kemudian Baginda bertanya; “Apakah kamu mengetahui kedua kitab ini? Kami menjawab; “Tidak wahai Rasulullah kecuali engkau khabarkan kepada kami”. Kemudian Baginda bersabda mengenai kitab di tangan kanan Baginda: “Ini adalah Kitab yang berasal dari Rabb semesta Alam, di dalamnya terdapat nama-nama penduduk Syurga dan nama-nama orang tua mereka serta kabilah mereka. Jumlahnya telah ditutup dengan orang terakhir dari mereka dan tidak akan ditambah dan tidak pula dikurangi”. Kemudian Baginda bersabda tentang kitab di tangan kiri Baginda; “Adapun ini adalah Kitab dari Tuhan semesta Alam, di dalamnya terdapat nama-nama penghuni Neraka dan nama-nama orang tua serta kabilah mereka. Jumlahnya telah ditutup dengan terakhir dari mereka sehingga tidak akan bertambah ataupun berkurang untuk selama-lamanya. Kemudian para sahabat berkata: “Jika demikian, di mana amalan wahai Rasulullah ﷺ jika semuanya sudah ditetapkan?”. Baginda menjawab; “Berusahalah dan mendekatlah kerana sesungguhnya penduduk Syurga akan ditutup dengan amalan penduduk ahli Syurga meskipun dia mengamalkan apa saja. Dan sesungguhnya penduduk Neraka akan ditutup dengan amalan penduduk Neraka meskipun dia mengamalkan apa saja. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda “Sesungguhnya Allah Ta'ala telah selesai terhadap para hamba-Nya”. Baginda berkata sambil mengarahkan tangan kanan Baginda “satu kelompok di dalam Syurga” kemudian mengarahkan tangan kiri Baginda seraya berkata “Kelompok yang lain di dalam Neraka”.
[Imam Ahmad]
Hadith Rasulullah ﷺ Sayyidina Umar Radhiallahu anhu bertanya Nabi ﷺ:
"Apakah pandanganmu tentang amalan (manusia) yang dilakukan adakah ia sudah ditetapkan sebelumnya atau baru berlaku? Maka dijawab oleh Baginda : "Sesungguhnya segala sesuatu telah pun ditetapkan pada setiap perkara. Lalu dibalas oleh Umar: "Jika demikian, adakah kita harus menyerah sahaja?" Baginda Bersabda: "Beramallah wahai Ibnu al-Khattab. Segala sesuatu itu sudah dipermudahkan. Sesiapa yang tergolong di kalangan ahli kebaikan (Syurga), maka dia dijadikan beramal dengan amalan ahli Syurga dan sesiapa yang tergolong dalam ahli Siksa, maka dia dijadikan beramal jahat untuk ke Neraka."
[Imam Ahmad]
Peringatan Penting:
1. Meskipun Allah Ta'ala menetapkan seseorang sebagai Ahli Syurga atau Ahli Neraka, namun tiada siapa pun tahu akan nasib dirinya. Dengan demikian setiap orang yang benar-benar beriman wajib berusaha sedaya upaya mencari jalan kebaikan yang di-Redhai Allah serta menjauhi sekalian kejahatan dan kekejian.
2. Barang siapa ditaqdirkan menjadi Ahli Syurga, maka dia akan beriman dan beramal soleh. Sebaliknya siapa yang ditaqdirkan Ahli Neraka, dia akan dibiarkan pada jalan kesesatan dan kemurkaan Allah.
3. Meskipun tiada siapa pun tahu akan kesudahan dirinya, namun mereka diberi tanda-tanda Ahli Syurga atau Ahli Neraka.
Di antara tanda Ahli Syurga adalah mereka yang berpegang kepada Ahlus Sunnah wal Jamaah, berpegang kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar) dan mati di dalam keadaan istiqamah ubudiyyah kepada Allah Ta'ala.
Sebaliknya mereka yang keluar dari Ahlus Sunnah Wal Jamaah (masuk 72 golongan sesat) serta beramal dengan amal kejahatan — kesyirikan (syirik khafi) dan kekejian, maka tempat mereka adalah Neraka, Wal Iyazubillah.
SIRI 609 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
Penjelasan Khas 5:
Af'al Allah dan Af'al makhluq
Setengah daripada pokok-pokok Keimanan berhubung dengan Qadha dan Qadar adalah memahami haqiqat Af'al Allah (Perbuatan Allah) dan af'al makhluq (perbuatan makhluq). Kesalahan di dalam memahaminya akan menjerumuskan seseorang kepada fahaman sesat Mu'tazilah atau Jabariyyah atau kelompok-kelompok bid'ah sesat lain (72 golongan bid'ah sesat). Wal Iyazubillah
Berikut adalah ringkasan berkenaan Af'al Allah dan af'al makhluq.
(1) Allah Ta'ala ciptakan makhluq dan sekalian perbuatannya
Allah Ta'ala menciptakan sekalian makhluq dan berserta perbuatannya.
Ertinya Allah Ta'ala bukan sahaja menciptakan sekalian makhluq tetapi juga sekalian perbuatannya. Maka setiap makhluq sentiasa terikat dengan Ketentuan Allah Ta'ala.
Firman Allah:
وَٱللَّهُ خَلَقَكُمۡ وَمَا تَعۡمَلُونَ
"Dan Allah Ciptakan kamu dan (Dia juga) Menciptakan sekalian yang kamu perbuat."
[As-Soffat (37) : Ayat 96]
Sedangkan pendirian Golongan Mu'tazilah dan Jabariyyah bertentangan dengan pendirian Ahlus Sunnah. Mu'tazilah mengatakan manusia mencipta taqdirnya sendiri dan tidak ada kaitan dengan Allah Ta'ala. Sedangkan Jabariyyah berpendirian Allah menggagahi setiap perbuatan manusia sehingga manusia tiada pilihan dan tiada usaha ikhtiar, melainkan sebagai bulu yang berterbangan sahaja mengikut tiupan angin. Pendirian mereka batil dan sesat. Yang pertama menafikan Sifat Qudrat Allah yang Maha Berkuasa atas setiap makhluq. Yang kedua menafikan aqal dan usaha ikhtiar manusia.
(2) Af'al Allah (perbuatan Allah) adalah hakiki (yang benar). Af'al makhluq (perbuatan makhluq) adalah majazi (bayangan)
Menurut pegangan Ahlus Sunnah yang benar (tulen) :
Af'al Allah adalah Perbuatan Allah yang hakiki, ertinya Perbuatan Allah itulah yang sebenar di sebalik perbuatan makhluq. Sedangkan af'al (perbuatan) makhluq adalah dikatakan majazi (bayangan) — hakikatnya tidak wujud. Zahirnya dikatakan manusia memperbuat sesuatu, tetapi hakikatnya di sebalik setiap kejadian itu adalah Af'al Allah (Perbuatan Allah).
Melihat dari dalam hati bahwa setiap kejadian yang berlaku atas muka bumi termasuk sekalian perlakuan manusia adalah pada hakikatnya perbuatan Allah. Makhluk tiada daya upaya apa pun untuk melakukan sesuatu. Makhluk tiada daya upaya apa pun untuk berikan manfaat atau menahan mudarat.
Zahirnya kelihatan makhluq yang memperbuat, tetapi hakikatnya semua itu adalah Perbuatan Allah. Semua itu adalah takluk (terkait dan terjadi) dari Taqdir Ilahi. Setiap perkara terbit dari Ilmu, Qudrat dan Iradah Allah Ta'ala. Tiada suatu pun terjadi atas muka bumi termasuk edaran matahari, planet2, bintang2, cakrawala sekaliannya melainkan ianya di dalam Genggaman Taqdir Ilahi.
SIRI 610 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
(3) Tiada yang berkuasa memberi manfaat dan menolak mudarat melainkan Allah.
Menurut pendirian Ahlus Sunnah, tidak ada makhluq berkuasa memberikan manfaat atau menolak mudarat daripada kamu melainkan dengan Izin Allah dan Pertolongan-Nya.
Hadith Rasulullah ﷺ
عَبْدِ اللهِ بنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما قَالَ: كُنْتُ خَلْفَ النبي ﷺ يَومَاً فَقَالَ: يَا غُلاَمُ إِنّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ : احْفَظِ اللهَ يَحفَظك، احْفَظِ اللهَ تَجِدهُ تُجَاهَكَ، إِذَاَ سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ، وَإِذَاَ اسْتَعَنتَ فَاسْتَعِن بِاللهِ، وَاعْلَم أَنَّ الأُمّة لو اجْتَمَعَت عَلَى أن يَنفَعُوكَ بِشيءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلا بِشيءٍ قَد كَتَبَهُ اللهُ لَك، وإِن اِجْتَمَعوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشيءٍ لَمْ يَضروك إلا بشيءٍ قَد كَتَبَهُ اللهُ عَلَيْكَ، رُفعَت الأَقْلامُ، وَجَفّتِ الصُّحُفُ. رواه الترمذي، وقال: حديث حسن صحيح
Dari Abdullāh bin ‘Abbas Radhiallahu anhuma, beliau berkata, “Suatu hari aku di belakang Rasulullah (berboncengan kenderaan), lalu Baginda bersabda, "Wahai anak, sungguh aku akan mengajarimu beberapa kalimat, Jagalah Allah! Nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah! Nescaya engkau akan mendapati-Nya di hadapanmu. Apabila kamu meminta sesuatu mintalah kepada Allah! Apabila engkau memohon pertolongan maka mintalah kepada Allah! Ketahuilah, kalau seandainya umat manusia bersatu untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu memberi manfaat kepadamu kecuali sesuai yang telah Allah tentukan untukmu. Kalau seandainya mereka bersatu untuk menimpakan suatu mudarat kepadamu, nescaya tidak akan membahayakanmu kecuali sesuai yang telah Allah tetapkan akan menimpamu. Qalam (Pena) telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya)’.”
[Imam Tirmizi]
Ini pendirian yang benar menurut Ahlus Sunnah Wal Jamaah, iaitu tiada yang memberi manfaat dan tidak ada kuasa mampu menolak mudarat melainkan dengan Allah. Allah Ta'ala yang memberi kamu manfaat dan Dia juga yang menolak sebarang mudarat yang menimpa kamu.
Apa jua yang terlihat pada zahirnya seperti makhluq memberi sesuatu manfaat kepada kamu, maka itu adalah asbab, BUKAN yang penentu yang memberi manfaat.
Misalnya ibu bapa menjadi asbab anak mendapat rezeki. Rezeki kamu ketika kamu kecil datang kepada kamu melalui ibu bapa kamu. Ketika kamu dewasa dan mula bekerja, rezeki kamu datang melalui majikan tempat kamu bekerja. Zahirnya majikan membayar gaji kamu tetapi hakikatnya rezeki kamu datang dari Kemurahan Allah.
Demikian lagi, apa jua yang terlihat pada zahirnya suatu pekerjaan atau usaha ikhtiar menolak suatu mudarat seperti penyakit, adalah pada hakikatnya adalah ketentuan Allah Ta'ala. Makhluq yang kelihatan seperti "penyelamat" adalah asbabnya, BUKAN yang berkuasa menghilangkan penyakit atau menolak suatu mudarat atau menolak bahaya lain yang menimpa kamu.
Bersambung siri 611 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=======================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment