■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
SIRI 391 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-52 : Menyakiti Allah
==========================
Definisi menyakiti ( يُؤْذُونَ )
====================
Dari segi istilah:
Ungkapan ( يُؤْذُونَ ) adalah bermaksud menyakiti, melukakan, menyusahkan,
Dari segi istilah:
Dikehendaki dengan ungkapan ( يُؤْذُونَ ) = menyakiti Allah adalah: ingkar, lawan, kufur, mempersekutukan Allah dengan makhluq dan menisbahkan Allah dengan sifat-sifat buruk dan sifat-sifat yang tidak layak bagi-Nya.
Penjelasan:
=========
Pertama:
Kemusykilan berkenaan ungkapan "menyakiti Allah"
Barangkali sebahagian orang tertanya-tanya apakah maksud....
"Menyakiti Allah?"
"Mungkinkah manusia (atau jinn) menyakiti Allah?"
"Kuasa besar yang manakah mampu menyakiti Allah?"
"Jika tidak, apakah maksud sebenar makhluq (manusia atau jinn menyakiti Allah)?
Kedua:
Tiada yang mampu berikan manfaat dan tiada satu pun mampu berikan mudarat melainkan Allah
Pada hakikatnya tiada mana-mana makhluq pun mampu mendatangkan manfaat mahupun menolak mudarat dari dirinya sendiri, apa lagi kepada makhluq lain. Maka mana mungkin makhluq membawa mudarat kepada Allah.
Ketiga:
Maksud sebenar Menyakiti Allah
Apabila ternyata tiada yang mampu memberi manfaat dan tiada yang mampu berikan mudarat melainkan Allah, maka maksud sebenar menyakiti Allah adalah:
(i) Manusia mempersoalkan perintah, suruhan atau larangan Allah kadangkala dengan ucapan lidah dan kadangkala bisikan hati.
(ii) Mempersoalkan suatu ketetapan Allah (Taqdir) terang-terangan dan kadangkala di dalam hati.
(iii) Menyamakan sifat Allah dengan sifat makhluq.
(iv) Thabitkan Allah dengan suatu sifat yang tidak layak bagi-Nya. Dan ini berlaku terang-terangan iaitu syirik jali atau tersembunyi dalam hati, iaitu syirik khafi.
(v) Mempersendakan atau mengejek Allah. Kadangkala terang-terangan dalam keadaan sedar dan kadangkala tanpa disedari.
(vi) Takabbur, bermegah-megah, menyombong diri.
Hal tersebut di atas asalnya merupakan perlakuan buruk golongan kafir dan munafiq. Namun apabila seseorang muslim mempunyai sifat-sifat buruk ini, maka ditakuti dia jatuh kepada golongan tersebut (kafir atau munafiq). Ini kerana menyamakan Allah dengan sifat makhluq, menentang ketentuan-Nya, melawan hukum-hakam-Nya, memperolok-olok nama Allah dan Rasul-Nya adalah sifat orang kafir dan munafiq.
Keempat:
Tanda Mukmin Sejati
Tanda benarnya Keimanan seseorang adalah sentiasa Membesarkan Allah, Memuliakan-Nya, Mengagungkan-Nya dan Sucikan-Nya dari sifat-sifat kerendahan, kekurangan dan kekejian, zahir (ucapan dan perbuatan) dan batin (bisikan hati), dan sentiasa redha dengan ketentuan-Nya
Kelima
Tanda Munafiq:
Orang-orang yang menyakiti Allah dengan berbagai kelakuan buruk terhadap Allah, mempertikaikan ketentuan-Nya, mempersendakan hukum-hakam-Nya dan berjalan atas muka muka bumi dengan penuh kesombongan itu bukan orang beriman sebaliknya dia adalah munafiq.
Keenam:
Laknat dan Kutukan Allah kepada orang yang menyakiti Allah
Mereka yang menyakiti Allah akan menerima Laknat Allah — merasai balasan Kemurkaan Allah ketika di dunia lagi dan bersambung lagi di Akhirat. Di dunia mereka dijauhkan dari Rahmat Allah, tiada keberkatan hidup, hati sengsara dan di Akhirat kemudian menerima Siksaan abadi. Wal Iyazubillah
Ketujuh:
Menyakiti Rasulullah ﷺ adalah sama seperti menyakiti Allah
Barangsiapa menyakiti Rasulullah ﷺ dengan melemparkan kata-kata kehinaan kepada Baginda, atau menyakiti tubuh Baginda atau menghina pakaian Baginda atau apa sahaja berkaitan dengan Baginda, maka semua itu sama seperti menyakiti Allah dan layak menerima Laknat Allah di dunia dan Akhirat.
SIRI 392 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-52 : Menyakiti Allah
....sambungan....
Dalil-dalil:
========
Firman Allah:
إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِينًا
“Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah akan melaknatinya di dunia dan di Akhirat, dan Menyediakan baginya siksa yang menghinakan.
[Al-Ahzab (33) : Ayat 57]
Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:
"Menyakiti Allah adalah mencipta pembohongan terhadap Allah. Ayat ini berkenaan kafir Yahudi dan Nasara (yang sering menipu, menyelewengkan ayat Qur'an, putar belit hukum Allah mengikut nafsu dan mempertikaikan ketentuan Allah)"
[Tafsir Ibn Abbas]
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Sesungguhnya orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya sekira-kira mereka melakukan hal yang keji dan kotor, yang secara aqal dan syari'at hak-hal itu dibenci oleh Nabi ﷺ, lantas mereka menyakiti Nabi dengan hal-hal tersebut, Allah Melaknat mereka, menjauhkan mereka dari Rahmat dan syurga-Nya."
[Tafsir Al-Jilani]
Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:
"Jumhur Ulama mengatakan makna menyakiti Allah adalah kekafiran dan penisbatan anak isteri atau sekutukan Allah (syirik), juga thabitkan Allah dengan sifat-sifat yang tak layak dengan Keagungan-Nya, seperti ucapan Yahudi yang mengatakan bahawa tangan Allah terbelenggu atau seperti ucapan Nasrani yang mengatakan bahawa Al-Masih itu anak Allah, atau seperti ucapan orang musyrik yang mengatakan bahawa Malaikat itu puteri-puteri Allah dan berhala-berhala itu sebagai sekutu Allah."
[Tafsir Qurtubi]
Dalil 2 : Hadith Qudsi:
"Anak cucu Adam telah menyakiti-Ku dengan mencela zaman (waktu), padahal Aku-lah (yang merubah zaman (waktu). Aku-lah yang Mengganti siang malam menjadi siang.
[Imam Muslim]
SIRI 393 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-52 : Menyakiti Allah
....sambungan....
Contoh-Contoh Menyakiti Allah
========================
Sebagai ulangan, pengertian menyakiti Allah:
Melawan Perintah Allah dan undang-undang-Nya
Sekutukan Allah dengan makhluq — zahir maupun batin
Mempersoalkan atau menyalahkan Taqdir
Thabitkan Allah dengan sifat-sifat yang tak layak
Mempersenda, mengejek, mengolok-olok Allah
Berjalan di atas muka bumi dengan penuh kesombongan
Menyakiti Rasulullah dan orang mukmin
Contoh 1: Menghina Undang-undang Allah sebagai kolot
Sebahagian orang moden berpemikiran "liberal" mengatakan undang-undang yang Allah turunkan 1400 tahun dahulu tak sesuai dilaksanakan pada zaman moden. Mereka benar-benar mencercanya sebagai kolot dan ketinggalan zaman dan sebagainya. Golongan ini benar-benar menentang Allah. Mereka telah menghina dan menyakiti Allah dan layak dicampak ke dalam Neraka Jahannam bersama Fir'aun dan Qorun. Wal Iyazubillah
Contoh 2: Menghina jilbab — pakaian wanita beriman
Orang-orang jahil mengatakan jilbab itu adalah tradisi Arab dan tiada kena mengena dengan islam, sedangkan ia merupakan perintah Allah yang mutlaq di dalam Al-Qur'an.
Firman Allah:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّبِىُّ قُل لِّأَزۡوَٲجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ يُدۡنِينَ عَلَيۡہِنَّ مِن جَلَـٰبِيبِهِنَّ ذَٲلِكَ أَدۡنَىٰٓ أَن يُعۡرَفۡنَ فَلَا يُؤۡذَيۡنَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورً۬ا رَّحِيمً۬ا
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta wanita-wanita yang beriman, supaya mengenakan jilbab (melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai wanita yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[Al-Ahzab (33) : Ayat 59]
Yang dikehendaki dengan jalaabib atau jilbab adalah sejenis pakaian luar yang besar dan labuh yang menutupi seluruh tubuh, yang diperintahkan oleh Allah ke atas wanita beriman.
Pakaian luar yang dimaksudkan itu, adalah pakaian lain selain dari yang biasa dipakai di rumah ketika bersama mahramnya. Pakaian luar ini boleh jadi satu lapis seluruhnya dari kepala sampai kaki atau dua lapis atau beberapa lapis, asalkan ianya menutupi seluruh tubuh dari kepala sampai kaki sekira-kira tidak kelihatan bentuk badannya atau warna kulitnya.
Orang-orang jahil menyangka mereka mempersendakan wanita-wanita yang memakai jilbab, sedangkan mereka telah menghina dan menyakiti Allah Azza Wa Jalla.
Contoh 3: Menjisimkan Allah — menyamakan Allah dengan makhluq
Menyamakan Allah Ta'ala dengan makhluq adalah di antara penghinaan terbesar terhadap Allah kerana mereka telah melakukan syirik yang nyata. Golongan Mujassimah mengatakan Allah mempunyai jisim seperti manusia, mempunyai tangan, kaki, kepala seperti manusia. Tidak syak lagi mereka mengundang Laknat dan Kemurkaan Allah. Wal Iyazubillah.
SIRI 394 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-52 : Menyakiti Allah
....sambungan....
Contoh 4: Mengata Allah tidak Adil
Setengah wanita kematian suami, melemparkan kata-kata keji kepada Allah sebagai tidak Adil. Mereka tak boleh menerima Taqdir. Tidak syak lagi mereka adalah pelampau yang tak sedar diri. Mereka akan menerima mala petaka besar jika tidak segera Taubat dengan Taubat Nasuha.
Contoh 5: Berpegang bahawa Allah menetap atas Arasy
Segelintir golongan terpelajar (ustaz moden) mengatakan Allah duduk, menetap, bertahta di Arasy (sehingga terbayang seperti raja-raja dunia duduk bertahta di dunia).
Mereka mentafsirkan ayat Allah ini (ٱلرَّحْمَـٰنُ عَلَى ٱلْعَرْشِ ٱسْتَوَىٰ) dengan makna "Allah Ta'ala menetap, duduk, bertahta dan sebagainya sebagaimana perbuatan makhluq." Ini adalah I'tiqad dan pegangan batil, sesat. I'tiqad dan pegangan seperti ini merupakan Syirik Akbar (syirik besar), sekaligus merupakan suatu bentuk penghinaan dan "menyakiti Allah".
Catitan Ringkas:
Penjelasan ringkas pengertian Allah Istiwa di ‘Arasy.
Berikut kami sampaikan beberapa catatan ringkas cara memahami pengertian Allah Istiwa di 'Arasy.
(1) Dari satu sudut, ayat-ayat Al-Qur'an dibahagikan kepada dua bentuk:
Pertama: Ayat Muhkamat
Ini adalah Ayat-Ayat Allah berkenaan hukum-hakam (halal, haram, sunnat, makruh, harus, sah, batal, syarat, rukun dan lain-lain) yang difahami dengan tafsir yang diberikan oleh Ulama Mujtahid. (bukan tafsir sendiri)
Kedua: Ayat Mutasyabihat
iaitu ayat kesamaran (tashabbuh) yang memerlukan ta'wil. Dilarang memahaminya dengan terjemahan zahir kerana membawa kepada mensyirikkan Allah. Makna ta'wil adalah memalingkan makna zahir ayat Qur'an kepada pengertian yang menepati Keagungan Allah. Dan ini hanya layak dilakukan oleh Ulama Mujtahid.
(2) Ayat Al-Qur'an (ٱلرَّحْمَـٰنُ عَلَى ٱلْعَرْشِ ٱسْتَوَىٰ) = "Bermula Tuhan Yang Rahman Istiwa di atas 'Arasy" adalah termasuk ayat mutashabihat, maka memerlukan ta'wil oleh Ulama Mujtahid.
(3) Menurut Pendirian Ahlus Sunnah Wal Jamaah, pegangan yang benar kepada Ayat Allah.... (ٱلرَّحْمَـٰنُ عَلَى ٱلْعَرْشِ ٱسْتَوَىٰ)
"Bermula Tuhan Yang Rahman Istiwa di atas 'Arasy" adalah seperti berikut:
"Allah Istiwa di atas 'Arasy. Dan Al-kaif (caranya) Tuhan Istiwa di atas 'Arasy tidak diketahui. Maka dilarang bertanya bagaimana Tuhan di ‘Arasy. Bertanya atau membincangkan atau membahaskan cara Tuhan Istiwa di atas ‘Arasy adalah bid'ah kesesatan."
[Fatwa Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu — Al-Ghunya Li Tolibi Toriqil Haqq]
(4) Istilah yang selamat digunakan adalah : Istiwa dan bukan semayam, bukan duduk, bukan menetap, bukan bertahta dan sebagainya kerana istilah-istilah tersebut membawa kepada "penyerupaan" kepada makhluq — menggambarkan perbuatan makhluq — manusia.
(5) Jika ada yang mendakwa ada juga Perbuatan Allah seperti Melihat, Mendengar, Mengetahui dan lain-lain seperti makhluq, bagaimanakah penjelasannya?
Jawapannya : Melihat, Mendengar, Mengetahui dan lain-lain adalah sifat-sifat yang tidak terupa pada aqal, tidak terbayang di dalam pemikiran, sedangkan istilah "duduk, berdiri, baring" terupa pada aqal sehingga membawa kepada penyerupaan, maka dilarang dinisbahkan kepada Allah.
(6) I'tiqad kita Ahlus Sunnah Wal Jama'ah amat jelas bagaikan matahari yang terang- benderang darihal "Keberadaan Allah". Allah Wujud dan Wujud-Nya Laisa Kamithlihi Syai'un (Tiada sesuatu menyerupai seperti-Nya).
Allah Ta'ala yang menciptakan 'Arasy (dan segala makhluq alam semesta) dan Dia Yang Mentadbirnya. Dia sama sekali tidak memerlukan makhluq-Nya. Tetapi sekalian makhluq memerlukan-Nya. Orang yang menganggap Allah Ta'ala memerlukan ‘Arasy sebagai menetap, adalah jelas melakukan syirik dan penghinaan terhadap Allah. Wal Iyazubillah
SIRI 395 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-52 : Menyakiti Allah
....sambungan....
Contoh 6 : Menyeru kepada Allah dengan panggilan buruk atau yang menunjukkan kelemahan
Allah Ta'ala bersifat dengan Sifat-Sifat Kesempurnaan, Keindahan, Kesucian, Keagungan dan Kemegahan. Sedangkan makhluq sekaliannya bersifat dengan sifat kekurangan dan kelemahan.
Orang beriman di-Perintah menyeru (berdoa) dengan menyebut nama-nama-Nya yang Indah, Hebat dan Agung sebagaimana datang dari Al-Qur'an, Hadith dan Ijma' Ulama Ahlus Sunnah. Maka dilarang keras (haram) menyebut nama-nama Allah dengan panggilan-panggilan yang menunjukkan kekurangan, kelemahan, kecacatan, kerendahan dan sebagainya kerana semua ini adalah sifat makhluq.
Misalnya thabitkan Allah dengan sifat-sifat kelemahan dan kekurangan seperti : mengantuk, tidur, lemah, lalai, sakit, dan lain-lain sepertinya adalah haram, berdosa besar, syirik dan kufur.
Berkata Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Ada beberapa sifat yang TIDAK boleh (diharamkan) disifatkan kepada Allah, di antaranya: bodoh, ragu-ragu, prasangka, lalai, lupa, mengantuk, tidur, lengah, lemah, mati, bisu, tuli, buta, syahwat, sedih, dukacita, rugi, sesal, sakit, lazat, mudarat, berharap dan dusta. (Dilarang keras menyebut Allah bersifat dengan sifat-sifat tersebut, kerana semuanya menunjukkan kekurangan, kelemahan, kepincangan, kerendahan yang merupakan sifat makhluq — pent).
Selain itu TIDAK boleh disebut muthiqan (mendapat kekuatan) kerana Dia lah yang mencipta Kekuatan. Tidak boleh disebut mahfuzan (terjaga) kerana Dia Zat Yang Maha Memelihara (makhluq-Nya).
[Al-Qhunyah Li-Talibil Tariqil Haqq ; Bab Mengenal Allah]
Berkata Imam Bajuri Radhiallahu anhu
"Kesimpulannya : Bahawa para Ulama Ahlus Sunnah telah sepakat atas bolehnya mengithlaqqan Asma' dan Sifat atas Allah Ta'ala jika wurud dengannya izin dari Syara' dan (sepakat pula) atas mencegahnya jika wurud larangan daripadanya. Tetapi mereka berselisih sekiranya tidak ada izin dan tidak pula tegahan, dan yang terpilih adalah tegahan yang demikian itu dan dialah mazhab Jumhur"
[Tuhfatul Murid — Mutiara ke 39]
SIRI 396 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-52 : Menyakiti Allah
....sambungan....
Contoh 7 : Berjalan atas muka bumi dengan penuh kesombongan (Takabbur)
Allah Ta'ala Memerintahkan kepada sekalian manusia supaya sentiasa merasai Keagungan Allah dan rendah diri sesama manusia dan jangan sesekali berjalan di atas muka bumi dengan menyombong diri.
Firman Allah:
وَلَا تَمۡشِ فِى ٱلۡأَرۡضِ مَرَحًاۖ
"Dan janganlah kamu berjalan di atas muka bumi dengan penuh kesombongan."
[Al-Israa (17) : Ayat 37]
Meskipun kamu jutawan yang kaya-raya, atau kamu pegawai besar yang duduk di kerusi Mufti, atau kamu cerdik pandai Universiti yang bergelar Profesor, atau kamu Raja, Sultan, Perdana Menteri yang berkuasa di medan politik.... bahkan walau siapa pun kamu, kamu hanya hamba Allah yang tidak memiliki apa-apa. Apabila ruh ditarik dari jasad kamu, kamu hanyalah sebuah bangkai yang hina, melainkan kamu memperoleh Keampunan, Rahmat dan Pertolongan Allah Azza Wa Jalla. Maka janganlah kamu sombong takabbur.
Kemegahan, kehebatan dan kesombongan adalah seledang Kebesaran Allah, ertinya haq Allah semata-mata. Dengan demikian makhluq mana pun tak layak memakainya.
Firman Allah di dalam Hadis Qudsi:
"Takabbur itu selendang- Ku dan Kebesaran itu kain sarung-Ku. Maka barangsiapa bertengkar dengan Aku pada salah satu dari yang dua itu, nescaya Aku campakkan dia dalam Neraka Jahannam. Dan Aku tidak pedulikan.”
[Imam Muslim]
Orang yang besarkan diri (cakap besar), bermegah-megah dengan suatu kelebihan pada dirinya berupa kekuasaan, kekayaan, kebijaksanaan, kepandaian atau memandang manusia lain dengan pandangan hina atau menolak kebenaran (ahlus Sunnah) dan berpegang kepada kebatilan (fahaman 72 golongan terkeluar dari Ahlus Sunnah).... adalah golongan Takabbur dan Syirik yang mencabar Kekuasaan dan Keagungan Allah. Wal Iyazubillah.
Firman Allah:
وَإِذَا قِيلَ لَهُ ٱتَّقِ ٱللَّهَ أَخَذَتۡهُ ٱلۡعِزَّةُ بِٱلۡإِثۡمِ فَحَسۡبُهُ ۥ جَهَنَّمُ وَلَبِئۡسَ ٱلۡمِهَادُ
"Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertaqwalah engkau kepada Allah", timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah dia (menerima balasan azab) Neraka Jahanam dan demi sesungguhnya, (Neraka Jahanam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal"
[Al-Baqarah (2) : Ayat 206]
Orang-orang yang diberi pinjaman kuasa sedikit sebagai Raja, Sultan, Perdana Menteri, Presiden... sombong cakap besar dengan kekuasaan dia dan seringkali melakukan kezaliman dan penindasan terhadap orang yang lemah.
Orang yang diberi sedikit ilmu sehingga mendapat gelaran sebagai Profesor, Drs, PhD menyombong dengan ilmu dan gelaran-gelaran.
Orang yang memiliki kekayaan dan pangkat, bangga-bangga diri dengan kekayaan dan menghina orang miskin.
Mereka mendabik dada mengaku segala kelebihan-kelebihan yang mereka miliki sebagai hasil usaha mereka yang keras. Mereka sering mendakwa mereka menjadi hebat dan tinggi hasil kesungguhan mereka sendiri. Mereka lupa kepada Allah Yang Kurniakan mereka segala keistimewaan dan kelebihan. Mereka tidak bersyukur sebaliknya kufur segala Nikmat Allah. Mereka tidak melihat segala Nikmat yang mereka miliki itu pada hakikatnya semua itu Milik Allah.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Tidak akan masuk Syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat takabbur sebesar biji sawi.”
[Imam Muslim]
SIRI 397 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-53: Menyakiti Rasulullah ﷺ
===============================
Definisi menyakiti ( يُؤْذُونَ )
====================
Dari segi istilah:
Ungkapan ( يُؤْذُونَ ) adalah bermaksud menyakiti, melukakan, menyusahkan
Dari segi istilah:
Di-kehendaki dengan ungkapan ( يُؤْذُونَ ) = Menyakiti Rasulullah ﷺ adalah ingkar perintah Rasulullah ﷺ, dan melakukan sesuatu yang melukai hati Baginda ﷺ.
Penjelasan:
========
(1) Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ adalah Insan teragung Pilihan Allah, ciptaan-Nya yang termulia, yang teristimewa, yang tertinggi mengatasi sekalian makhluq. Baginda ﷺ adalah sumber cahaya bagi sekalian Anbiya. Baginda juga menjadi sumber cahaya bagi setiap Auliya Allah yang Allah Ta'ala bangkitkan.
(2) Tanda benarnya Iman seseorang adalah ketika dia benar-benar menyanjung tinggi Rasulullah ﷺ, mengasihi Bagindaﷺ lebih daripada sekalian makhluq dan sedia mati kerana mempertahankan Baginda ﷺ.
(3) Di antara tanda-tanda pendusta Agama adalah: Mereka memusuhi dan menyakiti Rasulullah ﷺ.
(4) Maksud "menyakiti Rasulullah" adalah : Meragui Rasulullah ﷺ, mempersoalkan tindakan Baginda ﷺ, ingkar kepada perintah Baginda ﷺ dan mencerca, mengejek, mengolok-olok Baginda ﷺ.
(5) Demikian lagi termasuk menyakiti Rasulullah ﷺ
adalah menyakiti ahli keluarga Baginda ﷺ, para Sahabat Bagindaﷺ, isteri-isteri Baginda ﷺ dan Pewaris-Pewaris Rasulullah ﷺ sampai Qiamat.
(6) Semasa hayat Bagindaﷺ, golongan yang menyakiti Rasulullah ﷺ adalah kafir Quraisy, Yahudi, Nasrani dan golongan munafiq. Maka mana-mana manusia yang memusuhi, menentang, mencerca dan menghina Rasulullah ﷺ, maka tidak syak mereka adalah termasuk ke dalam golongan kafir atau munafiq. Meskipun boleh jadi mereka mengucap Kalimah Syahadah dan berpakaian seperti muslim kerana sememangnya sifat munafiq suka berpura-pura.
(7) Kewujudan puak munafiq di kalangan Jemaah Rasulullah ﷺ menunjukkan bahawa tidaklah semua orang yang bertemu Nabi ﷺ dan Bai'at itu menjadi orang yang benar-benar beriman. Sebahagiannya adalah orang Islam awam (iaitu lemah Imannya) dan sebahagian lagi adalah golongan munafiq.
(8) Pada zaman ini, selain dari golongan kafir dan munafiq, terdapat orang Islam sendiri mengejek-ejek, olok-olok dan menghina dan menyakiti Rasulullah ﷺ, misalnya menghina pakaian Rasulullah ﷺ, atau mengolok-olok cara makan minum Baginda atau mempertikaikan Toriqat Rasulullah ﷺ. Mereka binasakan diri sendiri dengan kebodohan mereka sendiri.
Wal Iyazubillah.
SIRI 398 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-53: Menyakiti Rasulullah ﷺ
...sambungan....
Dalil-Dalil penting
==============
Dalil 1: Firman Allah:
إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِينًا
“Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah akan melaknatinya di dunia dan di Akhirat, dan Menyediakan baginya siksa yang menghinakan.
[Al-Ahzab (33) : Ayat 57]
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Sesungguhnya orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya sekira-kira mereka melakukan hal yang keji dan kotor, yang secara aqal dan syari'at hal-hal itu dibenci oleh Nabi ﷺ, lantas mereka menyakiti Nabi dengan hal-hal tersebut, Allah Melaknat mereka, menjauhkan mereka dari Rahmat dan syurga-Nya."
[Tafsir Al-Jilani]
Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:
"Yang termasuk hal-hal yang dapat menyakiti Nabi ﷺ adalah segala sesuatu yang memang dapat menyakiti Baginda ﷺ, baik melalui perkataan, perbuatan atau pun lainnya.
Contoh menyakiti Rasulullah ﷺ melalui perkataan adalah, ucapan orang-orang musyrik yang menyebut Rasulullah ﷺ sebagai tukang sihir atau penyair, dukun dan lain-lain sebagainya.
Contoh menyakiti melalui perbuatan adalah melukakan Baginda ﷺ pada perang Uhud atau melemparkan darah sisa unta yang melahirkan ke belakang Baginda ketika Baginda sedang sujud.
[Tafsir Qurtubi]
Dalil 2 : Firman Allah:
وَمِنْهُمُ ٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱلنَّبِيَّ وَيِقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَّكُمْ يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ آمَنُواْ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ ٱللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
"Dan di antara mereka (yang munafiq itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: Bahawa dia (Nabi Muhammad ﷺ) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya). Katakanlah: Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin dan dia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah ﷺ itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya."
[At-Taubah (9) : Ayat 61]
Dalil 3 : Firman Allah:
لاَّ تَجْعَلُواْ دُعَآءَ ٱلرَّسُولِ بَيْنَكُمْ كَدُعَآءِ بَعْضِكُمْ بَعْضاً
"Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah ﷺ di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu."
[An-Nur (24) : Ayat 63]
SIRI 399 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-53: Menyakiti Rasulullah ﷺ
...sambungan....
Contoh-contoh Menyakiti Nabi
=======================
Contoh-contoh menyakiti Nabi ﷺ amat banyak, kita hanya sebutkan beberapa hal yang sudah terjadi di kalangan manusia, sama ada ia berlaku ketika hayat Baginda mahupun terjadi kemudiannya, sama ada ianya dilakukan oleh orang kafir atau orang Islam sendiri.
Meskipun kita menyebut contoh-contoh kejahatan orang kafir terhadap Rasulullah ﷺ, fokus utama adalah perlakuan buruk dan keji orang-orang yang mengaku Islam terhadap Rasulullah ﷺ, kerana orang kafir (yang mati kafir) tiada hitungan apa pun melainkan masuk Neraka tanpa hisab. Sedangkan orang bernama Islam akan menerima hisab atas dosa-dosa dan kejahatan dia, lebih-lebih lagi kekejian dan jahat adab terhadap Rasulullah ﷺ.
Contoh 1 : Ingkar Perintah Rasulullah ﷺ
Ingkar kepada mana-mana Perintah, ajaran, nasihat atau panduan-panduan Rasulullah ﷺ. Misalnya ingkar kepada hukum-hakam berkenaan solat, puasa, zakat, haji, da'wah, jihad, pemerintahan Negara atau lain-lainnya. Perlakuan ini bukan sahaja menyalahi adab kepada Baginda serta menyakiti Baginda tetapi menjatuhkan seorang Muslim kepada kekafiran. Wal Iyazubillah.
Contoh 2 : Menghina Sunnah Baginda
Merasa jijik atau menghina mana-mana Sunnah Rasulullah ﷺ, misalnya memandang hina cara makan berjemaah di dalam satu talam atau menghina Baginda berkahwin ramai wanita pada satu masa atau lain-lainnya.
Contoh 3 : Mempersoalkan Amalan Baginda
Mempertikaikan suatu Sunnah Baginda yang sudah thabit dari Baginda. Misalnya ada orang Islam moden mempertikaikan zikir jihar (zikir dengan kuatkan suara) dan menuduhnya sebagai bid'ah sesat. Wal Iyazubillah.
Contoh 4 : Menafikan Sunnah Baginda
Orang Islam berpendidikan moden menafikan jubah dan serban Rasulullah ﷺ sebagai Sunnah Baginda. Menurut dakwaan mereka, ianya cuma tradisi Arab.
Contoh 5 : Mengejek atau Mencerca Sunnah Baginda
Setengah orang Islam, mereka mengejek janggut Rasulullah ﷺ dengan berbagai ungkapan-ungkapan keji.
Contoh 6 : Menuduh Rasulullah ﷺ sebagai gila, ahli sihir dan sebagainya
Asalnya ini adalah perlakuan yang amat dahsyat yang dilemparkan oleh pembesar-pembesar kafir Makkah ketika Baginda diutus menjadi Rasul. Namun pada hari ini, yang menghina Baginda bukan sahaja terdiri daripada kaum Yahudi dan Nasrani tetapi yang lebih malang adalah sebahagian orang Islam sendiri terikut-ikut dengan perangai Kafir ini.
SIRI 400 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-53: Menyakiti Rasulullah ﷺ
...sambungan....
Contoh 7 : Mengherdik Rasulullah ﷺ
Mengherdik atau membentak Rasulullah ﷺ merupakan dosa besar yang terlebih besar kerana ianya merupakan kebiadaban dan perbuatan demikian menghantarkan seseorang kepada kekufuran yang nyata.
Orang Islam yang benar-benar takut kepada Allah dan Rasul-Nya TIDAK SAMA SEKALI berani mengeluarkan kata-kata demikian.
Ketika hayat Rasulullah ﷺ lagi telah pun terjadi peristiwa pahit orang Islam sendiri menyakiti Baginda dan mengherdik Baginda dengan kata-kata :
"Ya Muhammad, berlaku adillah"
sehingga para Sahabat rapat bangkit dan memohon izin kepada Rasulullah ﷺ untuk pancung kepalanya, namun Rasulullah ﷺ melarang mereka berbuat demikian untuk mengelakkan fitnah lebih besar.
Kisah ini terjadi ketika peristiwa pembahagian _ghanimah_ Perang Hunain. Ketika itu Baginda sedang membahagi-bahagikan harta perang Hunain, tiba-tiba datang seorang lelaki bernama Zul Khuwaishirah dari Bani Tamim lalu menjerit kepada Baginda,
"Ya Muhammad, berlaku adillah"
atau dia berkata:
"Ya Rasulullah hendaklah engkau berlaku adil."
Hadith Rasulullah ﷺ:
“Dari Abu Sa'id Al Khudriy Radhiallahu'anhu, beliau berkata; "Ketika kami sedang bersama Rasulullah ﷺ yang sedang membahagi-bahagikan pembahagian (harta rampasan), datanglah Dzul Khuwaishirah, seorang laki-laki dari Bani Tamim, lalu berkata; "Wahai Rasulullah, engkau mesti berlaku adil". Maka Baginda berkata: "Celaka kamu! Siapa yang mampu berbuat adil kalau bukan aku yang berbuat adil. Sungguh kamu telah mengalami keburukan dan kerugian jika aku tidak berbuat adil". Kemudian 'Umar berkata; "Wahai Rasulullah, izinkan aku untuk memenggal batang lehernya! Sabda Baginda : "Biarkanlah dia kerana dia memiliki teman-teman yang salah seorang dari kalian memandang remeh solatnya dibanding solat mereka, puasanya dibanding puasa mereka. Mereka membaca Al Qur'an namun tidak sampai ke tenggorokan mereka. Mereka keluar dari agama seperti keluar anak panah dari sasarannya (haiwan buruan).”
[Imam Bukhari]
Bersambung siri 401 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment