KHILWAH / SULUK MENURUT AHLUS SUNNAH

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

KHILWAH / SULUK MENURUT AHLUS SUNNAH

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 81 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



14.0 Kemusykilan dan jawapan

...Sambungan...



Kemusykilan 9:

Mengapakah sepanjang suluk / khilwah dipantangkan makan daging, ikan, udang dan seumpamanya? Ada cendikiawan menuduh latihan ini sebagai ajaran Hindu.  Apakah hujjah Ahli Ma'rifat di dalam hal ini?


JAWAPAN

Ungkapan yang tepat bagi persoalan ini adalah :

1. Dipantangkan makan makanan tersebut dan BUKAN DIHARAMKAN

2. Hanya dipantangkan semasa bersuluk sahaja.


Ini suatu analogy bagi memudahkan faham akan persoalan ini. 


Doktor dan pesakit kronik

Kita sudah biasa mendengar orang yang menderita kerana suatu penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, gastrik dsb dilarang oleh doktor mengambil makanan tertentu.


Lazimnya pesakit kronik akan patuh kepada arahan doktor kerana mereka sedar andainya mereka tak mendengar nasihat doktor, penyakit mereka akan bertambah berat dan boleh membawa maut.


Apakah maksud doktor melarang pesakit kronik memakan makanan tertentu? Adakah kerana makanan itu haram?  Adakah larangan doktor itu bermakna pakar kesihatan mengharamkan gula, makanan berlemak, makanan protin tinggi dll? 


Semua orang menjawab tidak. Mereka cuma dipantangkan makanan tersebut kerana pada adatnya penyakit akan bertambah parah sekiranya pesakit enggan mematuhi nasihat doktor.


Sekarang mari kita lihat dan bandingkan dengan hal HATI manusia. 


Doktor Keruhanian dan pesakit keruhanian

Kita sudah memahami, semua manusia mempunyai penyakit HATI.  Sebahagian mereka terkena penyakit HATI yang berat. Dan sebahagiannya mengalami penyakit HATI yang tersangat kronik. 


Jika HATI yang berpenyakit ini tidak dirawat segera oleh pakar keruhanian, maka penyakit tersebut akan bertambah berat dan boleh membawa kepada "maut" pada HATI. (rosak Iman / Tauhid).  


Dengan demikian setiap manusia memerlukan "Doktor Keruhanian" bagi merawat sekalian penyakit HATI mereka. Mereka perlu mengikut setiap arahan Doktor keruhanian ini untuk memperoleh kesembuhan HATI sebagaimana juga pesakit yang menderita kesakitan fizikal mematuhi semua arahan Doktor.


Pakar keruhanian dan doktor yang benar2 arif adalah Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq. Mereka mewarisi ubat dan rawatan yang sesuai bagi semua penyakit HATI manusia. Allah Ta'ala Anugerahkan mereka ribuan penawar bagi mengubati berbagai penyakit HATI manusia yang "kronik".  


Doktor keruhanian ini (Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq) melarang makanan jenis bernyawa (daging, ikan, udang, ayam dll sepertinya) bagi orang yang bersuluk kerana menurut mereka, makanan jenis ini, apabila diambil secara berterusan, akan menyuburkan penyakit hati dan nafsu kejahatan dan ini akan menghalang penyembuhan penyakit2 hatinya. Oleh kerana ini ahli suluk dipantangkan makanan jenis ini sepanjang persulukan.


Sekali lagi,  maksud pesakit "pantang" makan adalah bermaksud larangan sementara kerana suatu penyakit...  BUKAN DIHARAMKAN. 


Ajaibnya apabila doktor hospital melarang kamu makan makanan tertentu kerana ditakuti penyakit kamu melarat,  kamu segera ikut.  Tetapi apabila Doktor keruhanian melarang kamu hal yang sama bagi keselamatan HATI,  IMAN dan AKHIRAT.... kamu segera menuduhnya sebagai ajaran Hindu. Bukankah jelas perbuatan ini sendiri menunjukkan  "penyakit berat" yang menyelubungi HATI "ulama jahil" dan cerdik pandai agama akibat bisikan nafsu dan Syaitan? 


SIRI 82 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



14.0 Kemusykilan dan jawapan

...Sambungan...



Kemusykilan 10:

Adakah disyaratkan orang masuk Suluk mesti mahir di dalam segala hukum-hakam fiqh dan usuluddin?


JAWAPAN

Tidak!  Tidak disyaratkan demikian. 

Siapa sahaja di kalangan orang Islam sama ada lelaki atau perempuan, sama ada orang yang alim atau bukan alim boleh masuk Suluk. Ini kerana tujuan Suluk bukan berdebat berkenaan keilmuan tetapi untuk membersihkan hati daripada sekalian penyakit2 hati yang membawa dosa2 berat.  Memadailah seseorang itu mengetahui asas fardhu 'Ain, iaitu tahu akan i'tiqad Ahlus Sunnah dan tahu cara mengerjakan solat, puasa, Zakat, Haji dll yang fardhu 'ain ke atas setiap diri.   


Ungkapan yang lebih tepat di dalam persoalan ini adalah :  Setiap cendikiawan, cerdik pandai Agama, alim fiqh dan alim usuluddin lebih perlu bersuluk bagi menundukkan nafsu ego, takabbur, 'ujub, riya', ananiyyah dan segala macam kekejian di dalam hati. 



Kemusykilan 11:

Berapakah sekurang2 bilangan hari dikatakan sebagai Suluk?


JAWAPAN

Sekurang2 bilangan hari yang mesti dimasuki oleh Salikin untuk memperoleh faedah2 dan kesan Persulukan adalah 10 hari.  Jika kurang dari demikian (misalya dua atau tiga hari), maka dikatakan sebagai  masbuq suluk  atau menumpang Suluk.   Walau bagaimanapun dia tetap akan memperoleh beberapa kebaikan hasil daripada mujahadahnya.   



Kemusykilan 12:

Bagaimanakah peraturan yang betul bagi golongan wanita yang turut bersuluk?  Adakah memadai dipisahkan dengan tirai / tabir kain?


JAWAPAN

Ketika berlangsung Majlis Tawajjuh (Zikir berjamaah), kaum wanita WAJIB dipisahkan dengan dinding (sama ada dinding papan atau dinding batu)  dengan satu pintu sahaja di tengahnya. Maka TIDAK memadai memisahkan dengan tabir kain sahaja. 


Peraturan dan adab ini adalah setengah dari peraturan besar yang WAJIB dipelihara dan ditegaskan oleh Pemimpin Suluk. 



Kemusykilan 13:

Ada beberapa kelompok kecil didapati campur adukkan Suluk dengan ilmu  sakti dan silat Ma'rifat katanya.   Apakah hukumnya?  Adakah ini menepati Persulukan yang benar menurut Ahlus Sunnah?


JAWAPAN

Hal ini telah pun kami tegaskan berulangkali....

Sistem Persulukan (yang menjadi sebahagian dari Manhaj / Jalan Ma'rifat)  yang diwarisi daripada Rasulullah ﷺ oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah adalah benar2 suci bersih dari sebarang bentuk pencampuran dengan apa juga ilmu asing ;  sama ada mereka memanggilnya silat Ma'rifat atau ilmu sakti atau ilmu tenaga batin seperti reiki, cakra, kundalini, budi suci atau lain2 sepertinya — sama sahaja semuanya, tiada kaitan dengan Jalan Ma'rifat yang benar, bahkan bertentangan dengannya. 


Kumpulan2 seperti itu BUKAN dari Warisan Rasulullah ﷺ, Gurunya BUKAN Mursyid, Pewaris Nabi yang benar, tetapi dia adalah Guru PALSU yang menyamar sebagai Mursyid.  Pegangan dan amalan mereka campur aduk dengan berbagai amalan syirik, sihir dan dipengaruhi unsur2 jinn syaitan.  Maka jelaslah kebatilannya.  


Golongan ini yang disebut oleh Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu sebagai SUFI PALSU.  Golongan ini lazimnya akan mempengaruhi pengikut2 mereka dengan mempertontonkan berbagai keajaiban2 yang disangka oleh orang awam sebagai  karomah sedangkan ianya sihir dan istidraj. 


Orang2 yang yang tersalah masuk ke dalam kelompok2 sesat ini wajib keluar segera dan bertaubat.


SIRI 83 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



14.0 Kemusykilan dan jawapan

...Sambungan...



Kemusykilan 14:

Seorang yang mengaku "Mursyid" mengatakan bahawa Adab2 di dalam Toriqat tak boleh dilaksanakan zaman sekarang kerana kebanyakan manusia takkan mampu mengikutinya. Akibatnya mereka tidak lagi amalkan adab2 yang terkandung di dalam Sistem Persulukan dan keseluruhan jalan Ma'rifat.


JAWAPAN:

ADAB, HUKUM, PERATURAN DAN SYARAT2 di dalam Persulukan (dan pada keseluruhan Jalan Ma'rifat) telah ditetapkan oleh Sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah terdahulu.   Sekalian Mursyid yang datang kemudian (zaman ini sampai Qiamat) WAJIB memelihara, menjunjung tinggi dan sungguh2 mempertahankannya. Mana2 Guru yang mengabaikannya atau meremehkannya apa lagi menafikannya adalah dia jelas BUKAN Mursyid yang benar, bahkan dia adalah pendusta yang memimpin kepada kesesatan.


Mengapakah demikian?


Jawapannya : Sekalian ADAB, HUKUM, PERATURAN DAN SYARAT2 Sistem Jalan Ma'rifat adalah bersumberkan Al-Qur'an dan Sunnah, BUKAN hasil pemikiran Ulama. Ulama Mujtahid hanyalah melakukan ijtihad menghimpunkan sekaliannya menjadi suatu susunan  / disiplin ilmu yang sangat tersusun. Maka mereka yang menentangnya TIDAK mungkin menjadi Pewaris Nabi yang siddiq.



Kemusykilan 15:

Kami ingin masuk Suluk tetapi tiada peluang kerana tak dapat cuti (bekerja dengan orang), adakah suatu cara lain yang kami boleh lakukan untuk mendapat limpahan Suluk?


JAWAPAN:

Mereka yang tak dapat masuk Suluk kerana tidak mendapat cuti, masih boleh mendapat limpahan kebaikan daripada Persulukan dengan beberapa cara, di antaranya :


(1) Hadir ke Madrasah Persulukan dan buat kerja2 khidmat seperti bersihkan kawasan Madrasah, bersihkan tikar solat dsb.


(2) Hadir pada hari Sabtu, Ahad atau hari cuti lain untuk duduk beri'tikaf dan solat berjemaah dan Tawajjuh.


(3) Berikan sumbangan kewangan / kewangan untuk membantu Persulukan.


Mudah2an dengan berbagai sumbangan bakti ini, mereka yang tak berpeluang masuk Suluk, dapat juga limpahan keberkatannya.  In shaa Allah. Alhamdulillah.


SIRI 84 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



14.0 Kemusykilan dan jawapan

...Sambungan...



Kemusykilan 16:

Sesebuah Persulukan dikatakan membawa seribu Rahmat kepada masyarakat setempat, bahkan seluruh daerah dan Negeri akan memperoleh berbagai kebaikan dan Limpahan keberkatannya.  Orang2 yang memuliakan Persulukan juga akan mendapat keampunan Allah Ta'ala meskipun mereka hanya sekadar datang menumpang tempat2 Persulukan.?


JAWAPAN:

Memang benar, setiap Persulukan  yang dipimpin oleh Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq membawa seribu Rahmat kepada seluruh alam, terutama masyarakat Islam yang tinggal di sekitarnya. Namun kebanyakan orang Islam tidak mengetahui / tidak menyedarinya.


Untuk menceritakan bagaimana hal ini berlaku secara terperinci, tidak mungkin kerana sebahagian besarnya merupakan rahsia Ketuhanan yang sangat tinggi. Hanya apa yang kami dapat sebutkan sebagai gambaran umum adalah :  


Keseluruhan Persulukan diliputi oleh Malaikat yang silih berganti melebarkan sayap mereka ke atas Majlis2 Zikrullah yang tiada putus diadakan sepanjang Persulukan. Mereka membawa limpahan Rahmat Allah dan mendoakan kebaikan kepada sekalian Ahli Suluk.  Apabila Rahmat Allah Ta'ala turun kepada ahli suluk, ia turut melimpah kepada masyarakat sekeliling di mana Suluk itu didirikan, bahkan seluruh negeri juga akan memperolehnya.  Dalil bagi hal ini adalah Hadith Nabi ﷺ. 


✨🕌✨ Sabda Rasulullah ﷺ :


"Sesungguhnya Allah Yang Maha Tinggi Lagi Maha Suci memiliki Malaikat yang terus berkeliling mencari Majlis-Majlis Zikir.  Apabila mereka telah menemukan Majlis Zikir, mereka terus duduk di situ dengan menyelimutkan sayap sesama mereka sehingga memenuhi ruang antara mereka dan langit dunia.  Apabila Majlis Zikir itu selesai, mereka bubar, lalu naik ke langit."   Rasulullah melanjutkan, "Lalu mereka ditanya oleh Allah Azza Wa Jalla yang sebenarnya Dia Lebih Tahu tentang mereka, "Dari mana kalian datang?"  Mereka menjawab, "kami datang dari sisi hamba2-Mu di bumi yang bertasbih kepada-Mu, bertakbir dan bertahlil kepada-Mu, bertahmid dan memohon pada-Mu".  Allah bertanya, "Apa yang mereka minta?" Para Malaikat menjawab, "Mereka memohon Syurga-Mu".  Allah bertanya, "Apakah mereka pernah melihat Syurga-Ku?" Para Malaikat menjawab, "tidak, Ya Rabb".  Allah berfirman, "Lalu bagaimana seandainya mereka melihat Syurga-Ku?"  Para Malaikat juga berkata, "Mereka juga berlindung kepada-Mu"  Allah bertanya, "Dari apa mereka berlindung kepada-Ku?"  Para Malaikat menjawab, "Dari Neraka-Mu ya Rabb".  Allah bertanya, "Apakah mereka pernah melihat Neraka-Ku?  Para Malaikat menjawab, "Tidak".   Allah berfirman, "Lalu bagaimana seandainya mereka melihat Neraka-Ku?" Para Malaikat berkata, "Mereka juga beristighfar kepada-Mu". Rasulullah ﷺ selanjutnya bersabda, maka Allah berfirman : "Aku telah mengampuni mereka, Memberikan mereka apa yang mereka minta dan melindungi mereka dari api Neraka." Para Malaikat berkata, "Akan tetapi di dalam Majlis mereka ada seorang hamba Allah yang berdosa yang hanya kebetulan lewat lalu duduk bersama mereka." Allah menjawab, "dia juga Aku ampuni, kerana mereka adalah orang2 yang menyebabkan teman duduk mereka menjadi tidak tercela"

[Imam Muslim]


Kata Imam Nawawi berkata:

"Dalam hadith ini terdapat keutamaan Zikir,  Keutamaan Majlis Zikir dan berkumpul duduk2 bersama ahli Zikir, meskipun tidak ikut Zikir dengan seperti mereka, juga keutamaan berteman dengan orang soleh dan keberkatan mereka"

[Syarah Sahih Muslim]


Dengan keberkatan Majlis2 Zikrullah yang terus-menerus dilakukan oleh Ahli Suluk,  ramai sekali manusia lain mendapat limpahan kebaikannya, termasuk manusia2 yang berdosa mendapat keampunan Allah, meskipun mereka bukan ahli zikir dan hanya sekadar singgah sebentar menghormati Majlis tersebut.


SIRI 85 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



14.0 Kemusykilan dan jawapan

...Sambungan...


Kemusykilan 17:

Apakah rahsia sebenar yang tersembunyi di sebalik Khilwah/ Suluk?


JAWAPAN:

Selain daripada beberapa kelebihan Suluk / khilwah  yang kami sebutkan di dalam Risalah ini, rahsia paling besar Khilwah /  Suluk  adalah berhubung rapat dengan penzahiran Wakil Allah di atas muka bumi yang akan berterusan sampai Qiamat. Wakil Allah ini adalah manusia bersifat Rabbaniyyah yang mampu berhubung dengan Ketuhanan dan sentiasa di dalam bimbingan Rasulullah ﷺ.  


Para Rasul dan Nabi menempuh khilwah sebelum diangkat oleh Allah menjadi Wakil-Nya di atas muka bumi bagi menunjukki jalan kepada Ketuhanan.  Setelah kewafatan Junjungan Besar Rasulullah ﷺ maka Allah Ta'ala memilih hamba2-Nya dari kalangan Ummat Muhammad untuk menjadi Wakil-Nya di atas muka bumi bagi menunjukki jalan Ketuhanan kepada manusia. 


Allah Ta'ala memberi ilham kepada mereka untuk melakukan Khilwah atau Suluk. Mereka juga menempuh jalan yang sama sebagaimana yang telah ditempuh oleh para Rasul dan Nabi. Mereka menempuh perjuangan yang lama menentang bisikan nafsu syaitan. Mereka menahan diri daripada kelazatan dunia dan semata2 menghadap wajah mereka kepada Allah. Semua ini dilakukan dengan pimpinan Guru yang Arif yang mempunyai authority  sebagai Pewaris Nabi yang siddiq. 


✨🕌✨  Firman Allah :


سُوۡرَةُ فَاطِر

 

ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ


“Kemudian Kami jadikan Al-Kitab (Al-Quran) itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).

[Faathir (35) : Ayat 32]

 

Menurut  tafsiran Ulama Ahlus Sunnah  yang dimaksudkan dengan “Kitab”   adalah Al-Qur’an, dan maksud ayat Allah  “yang Kami pilih dari kalangan hamba2 Kami” adalah ditujukan kepada   Mursyid / Warisatul Anibya / Ahli Ma’rifat, Ulama Arif Billah  yang benar2 kenal Allah dan mencapai martabat Tauhid yang hakiki pada Maqam Tauhid Maqam Mukasyafah Zat.


✨🕌✨ Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu


“Orang2 yang berilmu dan hikmah  (Mursyid, Pewaris Nabi yang benar) adalah hamba Allah yang sejati yang dipilih-Nya untuk menerima “Risalah-Risalah dari pengajaran-Nya”.   Allah melimpahkan mereka ilmu dan hikmah dan dengan ilmu hikmah itulah mereka menjadi manusia yang lebih tinggi darjatnya dari manusia lain. Mereka berhubung dengan Nabi melalui perasaan yang halus dan dengan aqal yang bijaksana. (Kehalusan Ma’rifat Ilahiyyah atau disebut juga  kasyaf  Ilahiyyah).


Allah memuji mereka yang memiliki ilmu Hikmah dengan Firman-Nya :


ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ


 [Tamat nukilan kitab : Sirrul-Asrar Fi-ma-Yahtaju Iyahil-Abrar]


Inilah bukti kesinambungan khilwah dan pimpinan Wakil Allah atas muka bumi.  Tegasnya, khilwah atau Suluk adalah sebuah Rencana Ilahi Yang sangat rapi bagi melahirkan insan2 pilihan-Nya, insan2 sempurna yang menjadi Wakil Allah bagi mentadbir dunia dan menunjukki manusia Jalan kembali kepada Allah. Rencana Allah ini berterusan sampai Qiamat. 


SIRI 86 - Siri Akhir :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



15.0 Rumusan:


(1) Suluk / khilwah merupakan Rencana Ilahi yang rapi bagi melahirkan Kekasih2-Nya dan Wakil-Nya di atas muka bumi sampai Qiamat. Para Pewaris Nabi akan terus dibangkitkan oleh Allah selama umur dunia masih ada. Mereka adalah pemegang Panji2 Agama sepanjang zaman sampai Qiamat.


✨🕌✨   Imam Besar Ahlus Sunnah, Sulton Auliya,  Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani رضي الله عه berkata :


"Ilmu tersebut  (iaitu Ilmu Rahsia yang tersangat rahsia) dimasukkan kepada Nabi ﷺ  pada malam Baginda  Mi'raj kepada Tuhannya. Rahsia itu tersembunyi di dalam diri Baginda di balik tiga ribu tabir hijab. Baginda tidak membuka rahasia tersebut melainkan kepada sebahagian pengikut Baginda yang sangat cinta dengan Baginda. Melalui penyebaran dan keberkatan Rahasia inilah Islam akan terus memerintah sehingga ke hari Qiamat."

[Sirrul Asrar Fi-ma-Yahtaju Ilayhil Abrar]


(2) Suluk / Khilwah juga merupakan kemuncak Ubudiyyah kerana di dalamnya terhimpun semua macam ibadah ; mulai Zikrullah, Solawat, istighfar, Solat2 Sunnat, munajat, doa, muraqabah dan musyahadah.


(3) Setiap Pusat Persulukan yang dipimpin oleh Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq, membawa seribu Rahmat kepada masyarakat setempat khususnya dan melimpah kepada daerah2 dan negeri2 sekelilingnya. 


(4) Orang Islam digalakkan masuk Suluk, demi mencapai Tauhid yang hakiki dan Ubudiyyah yang tulus ikhlas dengan lebih cepat dan sempurna. 


(5) Mereka yang tiada peluang masuk Suluk, masih boleh memperoleh percikan dan limpahannya dengan cara berkhidmat kepada Persulukan dengan berbagai cara.


(6) Orang2 "Islam" yang mempersenda, mengejek, mengolok2  amalan Suluk / Khilwah, maka tanggal Iman dan Islamnya. Mereka adalah musuh Allah yang menerima La'nat-Nya.


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:

"Di luar mereka (orang yang mengejek2 dan menentang) adalah orang2 jahil menolak semua itu dari dasarnya dan merasa hairan mendengar kisahnya. Mendengar sambil mengejek dan menganggapnya sebagai omong kosong.  Mereka ini  menerima La'nat Allah sebagaimana Firman-Nya.


✨🕌✨Firman Allah:


أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فَأَصَمَّهُمۡ وَأَعۡمَىٰٓ أَبۡصَـٰرَهُمۡ


(Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatannya.

[Muhammad (47) : Ayat 23]


[Tamat nukilan kitab : Munqiz Min-Adh-Dholal]


(7) Semoga Risalah ringkas ini memberi manfaat kepada Ummat Islam seluruh dunia. Kami memohon ketetapan hati pada Jalan Ma'rifat, Manhaj Al-Qur'an yang benar, Jalan Rasulullah yang benar,  Jalan Ahlus Sunnah yang benar ... sampai akhir nafas kami. 


✨🕌✨ Firman Allah :


إِنَّ ٱلَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ ٱللَّهَ يَدُ ٱللَّهِ فَوۡقَ أَيۡدِيہِمۡ‌ۚ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَىٰ نَفۡسِهِۦ‌ۖ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِمَا عَـٰهَدَ عَلَيۡهُ ٱللَّهَ فَسَيُؤۡتِيهِ أَجۡرًا عَظِيمً۬ا


Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.

[Al-Fath (48) : Ayat 10]



— SELESAI —

_______________________

Tausiah:        

           Shaikh Sayyid Abu Tohir

     Mursyid, Silsilah Naqsyabandiah

                   Al-Kholidiyah

          MAJLIS TAZKIRAH JILANI

                  🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 390) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...