A3: KEWAJIPAN AMALKAN TASAWWUF-TORIQAT (10)


■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

KEWAJIPAN AMALKAN TASAWWUF-TORIQAT 

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 21 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.8 Dalil Tasawwuf di dalam  Kitabullah dan Hadith Rasul

sambungan ...


✨🕌✨Dalil 3: Firman Allah :

قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا   وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا

“Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan merugilah orang yang mengotorinya”

[Asy-Syams (91) : ayat 9-10]


Ayat yang cukup pendek, tetapi membawa makna yang sangat mendalam...!

Bahkan boleh dikatakan inilah intisari Agama, intisari TAUHID, intisari kehidupan dan kesudahan INSAN.


Apakah makna hati kotor,?

Apakah makna hati suci?

Bagaimanakah hati menjadi kotor?

Bagaimanakah cara sucikan hati yang telah kotor?   

Apakah alatnya?

Apakah hadnya?

Bagaimanakah tanda² hati telah suci?


Semua ini dihimpunkan di dalam Ilmu Tasawwuf. 

Ulama Ma'rifat yang sangat arif telah menghimpun sekalian hal ehwal hati,  selok-belok kebaikan hati dan kesucian hati di dalam Kitab² Tasawwuf. 

Jika seseorang Muslim tidak  menuntut Ilmu Tasawwuf,  bagaimanakah dia  dapat mengetahui semua ini?  Macam manakah  dia dapat sucikan hati dia sebagaimana Perintah Allah tersebut?  

Sudah pasti hidup dan matinya  di dalam kerugian.  Na'uzubillah.


✨🕌✨Dalil 4: Firman Allah :

يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ۬ وَلَا بَنُونَ (٨٨) إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٍ۬ سَلِيمٍ۬ (٨٩)

"Pada hari itu tiada berguna harta benda dan anak-pinak ( tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun)  kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafiq).

[Asy-Syu'ara (26) : ayat 88-89]

Sekali pandang ayat ini sangat mudah difahami oleh semua orang Islam.  Sedangkan ayat ini cukup berkesan bagi orang² yang memiliki mata hati...!

Tidak kurang juga yang terkeliru pada istilah "syirik" dan "munafiq"  sedangkan huraian yang halus berkenaan dua sifat ini amat luas sehingga siapa² yang TIDAK memahami maksud sebenar "syirik" dan "munafiq"   akan mengira dia terlepas dari kedua² sifat tersebut.


(1) Syirik terbahagi kepada dua :

●Pertama : Syirik Jali / Syirik Akbar -  syirik yang menjadikan seseorang itu murtad.   ini dibicarakan di dalam Kitab² Usuluddin

●Kedua :  Syirik khafi / syirik khafi -   syirik tersembunyi yang rosakkan Iman dan batalkan amal tetapi masih beriman.    ini dibicarakan di dalam KItab² Tasawwuf


(2) Munafiq ada dua bahagi :

●Munafiq I'tiqadi /  hakiki (nifaq besar)  -  Pura² Islam sedangkan hatinya kafir - ini persoalan di dalam Kitab Usuluddin

●Munafiq Amali (nifaq kecil) -  berdosa besar  tetapi tidak mengeluarkan dari Islam -  ini di dalam Kitab Tasawwuf


Kebanyakan orang beriman walau sekecil mana Imannya tahu berkenaan Syirik Jali / Syirik Akbar iaitu sembah berhala / sembah patung, sembah matahari...  maka tak  mungkin mereka melakukan Syirik akbar itu.   Namun kebanyakan orang Islam tidak terlepas dari Syirik Khafi dan munafiq kecil.


● Apakah itu syirik khafi dan munafiq kecil?

● Apakah sifat²nya yang menjerumuskan seseorang kepada syirik khafi dan nifaq kecil?

● Bagaimanakah hindari semua sifat² tersebut?

● Bagaimanakah hapuskan langsung semua sifat² tersebut dari hati?

   

Semua ini dijelaskan di dalam Ilmu Tasawwuf dan Toriqat.


Tanpa menuntut ilmu Tasawwuf, maka seseorang akan terjerumus kepada kefasikan, kesyirikan dan kemunafikan  tanpa dia sedar.


SIRI 22 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.8 Dalil Tasawwuf di dalam  Kitabullah dan Hadith Rasul

sambungan ...


✨🕌✨Dalil 5 : Firman Allah :

  أَرَءَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلاً

“Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?  

[Al-Furqan,  (25) : ayat 43 ]


Setengah orang menyangka ayat ini ditujukan kepada orang kafir lalu mereka menyangka mereka selamat.  Sedangkan maksud sebenarnya BUKAN hanya orang kafir bahkan termasuk orang Islam.  Dan hantarannya adalah kepada HATI,    Bererti ianya berkaitan dengan Ilmu Tasawwuf!


Realitinya ramai sekali orang Islam "jatuh tersungkur"  kerana mengikuti hawa nafsu kejahatannya ;  ada yang jatuh menjadi derhaka, ada yang menjadi sesat,  ada yang jatuh menjadi  fasiq dan tidak kurang juga kafir tanpa disedari...!  Na'uzubillah.


Apakah maksud  "orang yang  jadikan hawa nafsu itu tuhan yang dipuja"?

Mengapakah "hawa nafsu"  itu dikaitkan dengan "tuhan"  yang dipuja?

Bagaimanakah "hawa nafsu" dikaitkan dengan "tuhan" sedangkan ianya terlindung di dalam qalb (batin hati)  dan lataif-lataif  (yang halus pada ruh),?


Apakah itu nafsu?

Apakah hakikat nafsu?

Apakah berapa macam nafsu di dalam diri manusia?

Di manakah tempat duduk nafsu² tersebut  dan bagaimanakah mengetahuinya?


Manakah satu nafsu baik dan manakah satu nafsu jahat?

Bagaimanakah cara mengenal nafsu baik dan nafsu jahat?

Berapakah jenis nafsu jahat?

Apakah ukuran dan batasnya?

Siapakah yang menentukan had dan ukurannya?

Bagaimanakah cara memerangi nafsu² jahat ?

Siapakah yang mahir mengenal nafsu² jahat dan nafsu² baik?

Siapakah doktor ruhani yang arif mengenal jalan² untuk  mengalahkan nafsu kejahatan? 

Siapakah doktor ruhani yang mampu pimpin manusia mengenal nafsu² jahatnya dan memimpinnya untuk mengalahkan nafsu² jahat itu?


Semua persoalan² rumit dan halus ini adalah berkait rapat dengan HATI dan terangkum di dalam Ilmu Tasawwuf dan Toriqat.  Ulama Ahli Ma'rifat telah menjelaskan maksud² bagi semua persoalan tersebut.  Mereka telah menyediakan cara dan jalan² untuk memerangi dan menghapuskan nafsu² kejahatan dan kekejian.


Ilmu ini tidak terdapat kitab Fiqh atau kitab Usuluddin atau kitab Tajwid atau lain²nya.   Semua ilmu berkaitan hal ini hanya terdapat di dalam Ilmu Tasawwuf / Toriqat.


Jika seseorang Islam tidak mempelajari Ilmu Tasawwuf daripada ahlinya,  tidak belajar cara² memerangi nafsu² kejahatannya daripada ahlinya,  dan dia sendiri tidak terjun ke medan berjuang melawan nafsu- nya,  sudah pasti dia akan tertewas di dalam perjalanan hidupnya sebagai orang beriman. Ia akan menjadi "penyembah" kepada hawa nafsunya sendiri tanpa dia sedar.  Ia akan menjadikan "hawa nafsu" sebagai "tuhan" yang dia puja.  Na'uzubillah.


Bukankah ini suatu hal yang tidak boleh dipandang ringan oleh orang² yang ada cahaya IMAN dalam HATINYA?


SIRI 23 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.8 Dalil Tasawwuf di dalam  Kitabullah dan Hadith Rasul

sambungan ...


✨🕌✨Dalil 6: Firman Allah :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٌ۬‌ۖ وَلَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًا‌ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُڪُمۡ أَن يَأۡڪُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتً۬ا فَكَرِهۡتُمُوهُ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ۬ رَّحِيمٌ۬

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain.

Adakah seseorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu, patuhi lah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani."

[Al-Hujurat (49) : ayat 12]


Ayat ini sangat menggerunkan hati orang beriman...!

Perintah Allah ini mengandungi 3 larangan Allah, yang membawa erti haram dan berdosa besar sesiapa melakukannya. Semuanya berkaitan dengan HATI dan berpunca dari HATI yang kotor dan keji.            3 larangan Allah yang dimaksudkan adalah seperti yang berikut:-

(1) su-uz zonn  -  jahat sangka

(2) tajassus  -  mengintai² kesalahan orang

(3) ghibah - mengumpat


Dosa berangkai² ini bermula dari sangka² (jahat sangkat),   kemudian tajassus,  akhirnya membawa kepada ghibah  semua ini terhitung dosa2 besar.   Demikian besar dosa2 tersebut sehingga diibaratkan oleh Allah Ta'ala sebagai memakan "daging saudaranya sendiri...! 


Apakah definisi jahat sangka?

Apakah punca seseorang jahat sangka?

Apakah batas dikatakan jahat sangka?

Manakah yang dikatakan jahat sangka dan manakah yang bukan?

Apakah beza su-uz-zonn  dengan hazar?


Apakah definisi tajassus?

Apakah punca seseorang tajassus?

Apakah sebab² seseorang suka  tajassus?

Bilakah dikatakan seseorang tajassus  dan apakah bezanya dengan hazar?


Apakah definisi ghibah?

Bilakah terjadi ghibah?

Mengapakah manusia suka melakukan ghibah - mengumpat ?


Kesemua perbuatan mungkar yang terbit dari HATI yang kotor dan keji ini dihimpun dan dijelaskan di dalam Ilmu Tasawwuf.  Bukan di dalam kitab² lainnya.   Kitab fiqh atau usuluddin tidak membincangkannya.  


Jika seseorang TIDAK menuntut ilmu Tasawwuf serta mempelajari cara² membuangnya,  bagaimanakah mungkin dia melepaskan diri dari kemungkaran² besar yang terbit dari hati ini?


SIRI 24 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.8 Dalil Tasawwuf di dalam  Kitabullah dan Hadith Rasul

sambungan ...


✨🕌✨Dalil 7 : Firman Allah :

(سُوۡرَةُ الزُّمَر)

أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدۡرَهُ ۥ لِلۡإِسۡلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ۬ مِّن رَّبِّهِۦ‌ۚ فَوَيۡلٌ۬ لِّلۡقَـٰسِيَةِ قُلُوبُہُم مِّن ذِكۡرِ ٱللَّهِ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ فِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ (٢٢)

"Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada Zikrullah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata."

[Az-Zumar (39) : ayat 22]


Menurut Ahli Ma'rifat,  Kalimat ALLAH ini menunjukkan perbezaan di antara orang Islam yang mendapat   "cahaya Ketuhanan"  di dalam dadanya (hati nya) berbanding dengan orang Islam yang tidak menerima cahaya tersebut.


Perbezaan tersebut adalah kerana Zikrullah.


Orang yang mengerjakan zikrullah  sungguh²,  diKurniakan  "cahaya Ketuhanan" di dalam hati dia, sehingga tetap hati di dalam IMAN,   sementara orang keras hatinya dari zikrullah tidak mendapat cahaya tersebut sehingga mata hati dia tertutup.  Hujjah kepada keterangan ini di dalam Hadith Rasulullah ﷺ :


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda:

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الذِّي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالذِّي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ مَثَلُ الْحَيِّ وَالْمَيِّتِ

“Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir, adalah seumpama orang yang hidup dan mati.” 

[Imam Bukhari]


Baginda menyebutkan perbezaan orang yang mengerjakan "zikrullah"  dengan orang yang tidak melakukan "zikrullah".   Orang yang tetap HATInya  berzikir dikatakan "hidup" sementara orang yang lalai HATInya  dari "zikrullah"   itu diibaratkan "mati".    


Maksud Baginda di dalam hadith tersebut  BUKAN mati hissi (jasad) tetapi mati maknawi iaitu mati HATI...!  Na'uzubillah.


● Apakah maksud Allah Ta'ala berikan amaran orang yang keras hatinya dari zikrullah itu membawa kepada mati HATInya?

● Mengapakah HATI menjadi mati apabila tidak berzikirullah?

● Apakah kaitan di antara HATI dengan Zikrullah?

● Apakah kelebihan² Zikrullah sehingga dikaitkan hidup atau matinya HATI?

● Bagaimanakah cara Zikrullah itu menerbitkan cahaya HATI sehingga bersinar dengan cahaya TAUHID?

● Bagaimanakah cara Zikrullah yang istiqamah menarik hidayah dan tetap HATI pada IMAN?

●Apakah maksud sebenar "zikrullah "  menurut Ahlus Sunnah?

●Adakahkah zikir itu dikerjakan sesuka hati?

Tiada peraturan?  

Tiada cara ? 

Tiada  syarat?


●Setiap ibadah di dalam Agama ada syarat²nya, ada peraturannya, ada cara² untuk mengerjakannya…


Maka mana mungkin suatu ibadah yang begitu tinggi nilainya tiada cara dan peraturan?


Mana mungkin zikrullah yang menjadikan HATI itu hidup tiada cara dan peraturan?


Mana mungkin Zikrullah yang menjadikan HATI itu tetap di dalam IMAN itu tiada cara²nya?


Mana mungkin zikrullah yang menjadi "ROH" bagi setiap ibadah,  dibiarkan tanpa cara² tertentu?


Tidak mungkin..!


Sebenarnya cara² mengerjakan zikrullah, peraturan dan syarat²nya  sememangnya ada di dalam Disiplin Ilmu² Agama menurut Ahlus Sunnah Wal Jamaah, iaitu di dalam Ilmu Tasawwuf - Toriqat.  


Tetapi ramai tidak mengetahuinya kerana tidak mempelajari Ilmu Tasawwuf dan tidak melatih diri menurut Disiplin Toriqat Rasulullah ﷺ (dengan pimpinan Mursyid yang siddiq - akan datang penjelasan lanjut).


Sekali lagi, perhatikan baik² dari hati yang sejahtera,   tanpa Tasawwuf / Toriqat, seseorang Muslim takkan dapat melakukan zikrullah yang diwajibkan ke atasnya.


Tidak mungkin dia menerangi HATI dan memperoleh ketetapan IMAN, tanpa mempelajari jalan² dan kaedah² daripada orang yang Arif (Mursyid)  kerana cara², syarat dan peraturan hanya diterangkan di dalam Kitab² Tasawwuf dan jalannya di dalam disiplin Toriqat yang diwarisi dari Rasulullah ﷺ .


SIRI 25 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.8 Dalil Tasawwuf di dalam  Kitabullah dan Hadith Rasul

sambungan ...


✨🕌✨Dalil 8 : Firman Allah :

الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ 

"Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk (fitnah dan kekejian yang direka²)  dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia (kesakitan tubuh, jiwa tersiksa dll)  dan di akhirat (menerima siksaan Neraka Jahannam) ; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

[An-Nur (24) : ayat 19]


✨🕌✨Dalil 9 : Firman Allah :

إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ

"Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah kepada orang-orang yang mukmin laki-laki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar."

[Al-Buruj (85) : ayat 10]


✨🕌✨Dalil 10 : Rasulullah   ﷺ  bersabda:

"Tahukah kamu apa itu memfitnah?" Para Sahabat berkata: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Baginda bersabda: "Menfitnah adalah mengatakan sesuatu tentang saudara (Muslim) ketika dia tiada yang dia tidak suka." Baginda Ditanya: "Wahai Rasulullah, jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang muslim, maka apa yang harus aku katakan?" Baginda menjawab: "Jika apa yang dikatakan itu benar, maka itu adalah mengumpat." 

[Imam  Muslim]


✨🕌✨Dalil 11 : Rasulullah   ﷺ  bersabda:

“Mencela seorang muslim adalah kefasikan, dan membunuhnya kekufuran.” 

[Imam Bukhari, Imam  Muslim]


✨🕌✨Dalil 12 : Rasulullah   ﷺ  bersabda:

“Tidaklah seseorang menuduh orang lain dengan kefasikan atau kekufuran, melainkan akan kembali kepadanya tuduhan tersebut jika yang dituduhnya tidak demikian.” 

[Imam Bukhari]


Dalil² dari 8-12 adalah berhubung dengan perbuatan fitnah, kejahatan, kezaliman seseorang terhadap Muslim lainnya.  Semua ini terhitung DOSA-DOSA BESAR.


(1) Mereka-reka cerita dusta darihal seseorang dan menyebarkannya di tengah² manusia

(2) Membuka  'aib (kekurangan / kecacatan)  seseorang Muslim sehingga dia menjadi malu. 

(3) Melakukan kejahatan sehingga Muslim lain terganggu

(4) Melakukan kezaliman terhadap harta, tubuh, kehormatan Muslim lain

(5) Mencederakan atau membunuh tanpa haq


Meskipun buat fitnah dan zalim  itu perbuatan fizikal, tetapi punca seseorang Muslim tergamak melakukan fitnah terhadap Muslim lain adalah disebabkan HATInya yang kotor, keji, jahat dan zalim. Dengan demikian segala perbincangan darihal ini di terangkum di dalam Ilmu Tasawwuf.


Ulama Ahli Ma'rifat telah menjelaskan secara terperinci :

● Maksud fitnah 

● Punca seseorang gemar buat fitnah,  

● Maksud zalim

● Sebab² seseorang menjadi zalim, fasiq, jahat 

● Balasan terhadap orang zalim, fasiq, jahat

● Jalan taubat kepada tukang buat fitnah atau kezaliman


Inilah setengah dari bukti llmu Tasawwuf dan WAJIBNYA menuntut ilmu Tasawwuf supaya tidak terjatuh kepada kefasikan dan kezaliman yang menyebabkan dia muflis di akhirat nanti.


SIRI 26 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.8 Dalil Tasawwuf di dalam  Kitabullah dan Hadith Rasul

sambungan ...


✨🕌✨Dalil 13 :Firman Allah : 

ٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَا لَعِبٌ۬ وَلَهۡوٌ۬ وَزِينَةٌ۬ وَتَفَاخُرُۢ بَيۡنَكُمۡ وَتَكَاثُرٌ۬ فِى ٱلۡأَمۡوَٲلِ وَٱلۡأَوۡلَـٰدِ‌ۖ كَمَثَلِ غَيۡثٍ أَعۡجَبَ ٱلۡكُفَّارَ نَبَاتُهُ ۥ ثُمَّ يَہِيجُ فَتَرَٮٰهُ مُصۡفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَـٰمً۬ا‌ۖ وَفِى ٱلۡأَخِرَةِ عَذَابٌ۬ شَدِيدٌ۬ وَمَغۡفِرَةٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضۡوَٲنٌ۬‌ۚ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلۡغُرُورِ (٢٠)

"Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” 

[Al-Hadiid (57):  Ayat 20 ]


✨🕌✨Dalil 14 : Rasulullah ﷺ bersabda :

 " Demi Allah, bukan kemiskinan yang aku khuatirkan akan menimpa diri kalian. Akan tetapi, aku khuatir jika dunia ini dibentangkan untuk kalian sebagaimana ia dibentangkan untuk orang-orang sebelum kalian sehingga kalian berlomba sebagaimana mereka berlomba, dan akhirnya kalian binasa sebagaimana mereka binasa.” 

[Imam Bukhari, Imam Muslim]


✨🕌✨Dalil 15 : Rasulullah ﷺ bersabda :

 "Dunia itu adalah dilaknat, dilaknat apa yang ada di dalamnya, kecuali zikrullah  dan sesuatu yang dikasihi Allah, atau orang yang mengajar (al- Alim Billah) ataupun orang yang belajar". 

[Imam Tirmidzi ]


Dalil 13-15 adalah Perintah Allah dan Rasul-Nya berhubung dengan dunia dan kebinasaannya.  Ulama Ahli Ma'rifat meletakkan "dunia"  sebagai salah satu dari 4 afaat  (anasir yang membawa kebinasaan atau halangan yang membinasakan)  bagi manusia mencapai keredhaan Allah.   Tiga lagi afaat  lain adalah Nafsu, Makhluq dan Syaitan.    Manusia akan sentiasa diheret, di arik, ditumpaskan oleh keempat2 afaat  ini kepada lembah kehinaan dan kedurjanaan.


●Apakah definisi dunia?

●Adakah semua "dunia" itu dikeji secara mutlaq?

●Dunia yang bagaimanakah dilaknat dan dikeji? 

●Dunia bahagian manakah yang mana dipuji?

●Adakah salah menjadi kaya-raya?

●Kaya bagaimanakah yang dipuji?

●Kaya bagaimanakah yang membawa kebinasaan pada diri?


Sesungguhnya dunia itu dijadikan sebagai dugaan bagi orang beriman. Sebahagian Ulama Ma'rifat ibaratkan dunia seperti "ular yang sangat lembut tetapi amat berbiasa apabila terkena patukannya"   


Berapa ramai manusia dan masyarakat dan negara bangsa binasa dan dibinasakan oleh Allah Ta'ala kerana dunia dan kekayaannya.   


Berapa ramai manusia² Muslim yang tewas apabila dibentangkan kekayaan di hadapannya.   


Berapa ramai Pemerintah² Islam sendiri menjadi rakus, tamak, fasiq dan zalim disebabkan harta kekayaan yang melimpah ruah?


Orang beriman mesti belajar cara² yang tepat bagaimana menangani dunia agar jangan sampai dunia masuk ke dalam HATI.   Mereka mesti belajar erti "dunia"  dan cara² hadapi "dunia".   Mereka mesti belajar cara² membersihkan HATI dari "cinta dunia"  agar tidak terjatuh ke dalam Laknat Allah.  


Semua pembelajaran dan didikan ini hanya ditunjukkan di dalam Tasawwuf dan Toriqat yang dipimpin oleh Shaikh Mursyid yang siddiq (benar) yang mewarisi Nabi ﷺ . (akan datang penjelasan lanjut In shaa Allah), ini lagi dalil dan bukti  Ilmu Tasawwuf-Toriqat dan kewajipan menuntut Ilmu Tasawwuf. 


SIRI 27 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.8 Dalil Tasawwuf di dalam  Kitabullah dan Hadith Rasul

sambungan ...


✨🕌✨Dalil 16 : Firman Allah :

الَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٲطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (١٦) ثُمَّ لَأَتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَـٰنِہِمۡ وَعَن شَمَآٮِٕلِهِمۡ‌ۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِينَ (١٧)

"Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur. "

[Al-A'raf (7) : ayat 16-17]


Matlamat Iblis  adalah menyesatkan manusia dari jalan Allah sehingga menjadi kafir.  Dia akan datang dari segala arah dan dengan segala senjata ghaib untuk memerangi keturunan Adam.  Disebabkan dendam kesumat kepada Nabi Adam dan sifat takabburnya, Iblis akan melakukan apa saja tipu daya untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah.  dia ingin menarik sebanyak kawan yang menjadi teman- nya di dalam Neraka.


Langkah² Iblis syaitan menyesatkan manusia; 

(1) Memasuki jantung hati dan bisikkan kekufuran ke dalam hati.  Sehingga akhirnya orang itu menjadi KAFIR

(2) Jika tak berjaya langkah kedua adalah : Bisikkan ke dalam hati supaya  riya', takkabur, 'ujub dan lain² syirik khafi  agar IMAN ROSAK dan IBADAH TERHAPUS.

(3) Jika tak berjaya juga langkah ketiga adalah :  Bisikkan ke dalam hati supaya malas dan bosan di dalam mengerjakan amal ibadah sehingga IBADAH  LUMPUH

(4) Jika kesemua di atas tidak berjaya langkah terakhir adalah : Memasuki urat² darah, pernafasan, otak, perut dan faraj lalu mengganggu seluruh perjalanan sistem biologi sehingga mendatangkan berbagai penyakit² yang pelik dan kronik. 


Cuba perhatikan baik², yang keempat itu adalah lazim berlaku ke atas orang² yang kuat ibadah solat, puasa, sedekah dll kerana lazimnya syaitan gagal menyesatkan orang² yang kuat Ibadahnya.  Tetapi dia takkan putus asa menyesatkannya dengan cara² lain. Cara terakhir Iblis/syaitan ini cuba menyesatkan orang beriman adalah dengan cara membawa berbagai penyakit² sehingga orang itu menjadi lemah beribadah, kehidupan terganggu dan habis masa memikirkan merawat penyakitnya. 


Iblis menggunakan segala bala tenteranya dari kalangan anak cucunya, dari kalangan jinn dan manusia untuk menggoda dan menyesatkan manusia.  Jika dia gagal menyesatkan seseorang dengan bisikan², dia akan datang dalam rupa kawan, teman, sahabat, Ibu bapa untuk menghalang dia dari jalan Allah.  Iblis TIDAK akan berhenti dan TIDAK akan putus asa sehingga dia berjaya tumpaskan "manusia" terutama orang beriman. 


Cara² untuk menghadapi jinn syaitan, strategi melawan bisikannya,  perisai dari gangguannya dan kaedah² hapuskannya ada pada Shaikh Mursyid yang siddiq (benar),  Pewaris Nabi yang sebenar.


Mursyid yang siddiq adalah hamba² Allah yang lama terlatih memerangi Iblis dan kuncu²nya pada waktu yang panjang.  Mereka telah mendapat latihan dan keberkatan dari  pimpinan Guru mereka yang juga Mursyid yang bersilsilah sampai Rasulullah  ﷺ.  


Dengan demikian mereka (Mursyid yang siddiq)  mahir mengenali tipu daya syaitan dan cara2 memerangi jinn syaitan.    Allah Ta'ala Kurniakan mereka Ilmu khusus dari sisi-Nya untuk mematahkan segala tipu daya syaitan dan hancurkan sekalian bala tenteranya.


Inilah sebab terpenting mengapa Sekalian Masyaikh  (jamak bagi Shaikh -  Imam2 Ahlus Sunnah)  terdahulu berfatwa bahawa WAJIB bagi setiap Muslim mencari Mursyid yang siddiq (benar) dan berpegang kepada mereka.   Dengan sentiasa mendampingi mereka dan menerima nasihat² mereka,  sekalian tipu daya jinn syaitan yang datang dalam berbagai wajah yang licik dapat ditumpaskan.

(penjelasan lanjut akan datang in shaa Allah)

Tanpa pimpinan Guru yang arif ini, manusia Muslim akan sentiasa tewas kepada bisikan2 Iblis atau lebih buruk lagi dia akan terkena serangan Jinn syaitan secara sembunyi masuk ke dalam jantung dan aliran darah untuk mendatangkan berbagai gangguan terhadap tubuh sehingga menggugat IMAN dan  ibadah.


Adakah masih ada di sini mendakwa Ilmu Tasawwuf, Toriqat dan pemimpinnya Mursyid yang siddiq tidak penting bagi Agamanya?


Adakah di sini masih lagi mendakwa Ilmu Tasawwuf, Toriqat itu bukan daripada Allah dan Rasul?


SIRI 28 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.8 Dalil Tasawwuf di dalam  Kitabullah dan Hadith Rasul

sambungan ...


✨🕌✨Dalil 17 : Firman Allah :


 وَمَآ أُمِرُواْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدّينَ  

Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, 

[Al-Bayyinah: 5]  


✨🕌✨Dalil 18: Rasulullah   ﷺ  bersabda:

"Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk mengharap redha Allah. 

[Imam Abu Daud, Imam An-Nasa'i]


Dalil 17 dan 18 adalah berhubung dengan ikhlas dan sudah pasti ianya berkaitan dengan HATI. 


Ikhlas adalah syarat sah ibadah.  Tanpa ikhlas, sekalian ibadah akan musnah, sia² dan rugi.  Walaupun seseorang pernah ibadah ribuan tahun, walaupun dia puasa sepanjang usia, walaupun dia sedekah seluruh hartanya, walaupun dia jihad fi sabilillah dan mati di dalamnya ...  namun semua ini TANPA ikhlas  Lillahi Ta'ala, maka semua itu tiada makna apa²,  akan sia²lah segala amalnya, rugilah dia dunia akhirat.


●Apakah itu ikhlas?

●Apakah hakikat ikhlas?

●Berapakah Tingkatan Ikhlas?

●Apakah kaitan ikhlas dengan Tauhid yang murni?


Fakta² berkenaan "ikhlas"  secara ringkas, menurut Ahlus Sunnah :


(1) Ikhlas adalah pintu qabul (diterima) atau mardud (ditolak) amalnya oleh Allah Ta'ala 


(2) Ikhlas sebenar adalah ikhlas semata² kerana Allah Ta'ala tanpa disertai suatu apa pun bersertanya sama ada dunia atau juga akhirat bersifat kebendaan.


(3) Orang yang beribadat kerana ingin pahala dan segala keNikmatan syurga berupa istana, makanan enak², minuman enak²,  kecantikan bidadari dsb. - ikhlasnya adalah peringkat kanak² atau ikhlasnya orang buruh


(4) Orang yang beribadat semata² kerana Allah tanpa suatu apa bersertanya adalah ibadah yang sebenar ikhlas  yang diredhai Allah. 


(5) Selok-belok perbahasan berkenaan dengan "ikhlas"  dijelaskan di dalam Kitab Tasawwuf.   Kitab² Fiqh atau Usuluddin tidak membahaskan hal ini.


(6) Para  Masyaikh Ahlus Sunnah telah menyelami sekalian maksud² " ikhlas " sampai ke dasar lautan Ilmu dan melakukan ijtihad menjelaskannya secara terperinci.


(7) Untuk memperoleh hakikat ikhlas sebagaimana yang diredhai Allah, seseorang perlu mujahadah sungguh² menyucikan batinnya melalui Toriqat Mu'tabar Ahlus Sunnah dengan pimpinan Guru yang Arif (Mursyid yang siddiq). 


Kedudukan Fiqh dan Tasawwuf pada ibadah (ringkas) :


Kitab² fiqh membahaskan hal²  berkaitan syarat² zahir yang terlihat seperti rukun, syarat sah yang zahir.  

Misalnya apabila seseorang mendirikan solat dengan mencukupkan syarat sah dan rukun²nya dengan sempurna,  maka sahlah solatnya.  Namun Tasawwuf kata belum, tunggu dulu dan  periksa apa di dalam hatinya.  Adakah dia ikhlas?  Adakah dia khuysu?  Adakah dia mematuhi sekalian  hal adab hati?  Jika benar hatinya ikhlas, khusyu dan mematuhi sekalian adab² hati terhadap Allah, barulah sempurna solat nya serta diredhai Allah.  


Tingkatan ikhlas :  

Ulama Arif membahagikan ikhlas kepada beberapa tingkatan:

Ikhlas orang awam  

Ikhlas orang abrar  

Ikhlas orang Arif  

Sebahagian lainnya memberikan perincian lebih halus dengan pembahagian berikut: 

Ikhlas orang awam - 3 tingkatan  

Ikhlas salikin - 3 tingkatan  

Ikhlas Arifin - 1 tingkatan

Semua ini dijelaskan di dalam kitab² Tasawwuf.  Untuk memperoleh sebenar² ikhlas yang bersih suci, seseorang perlu menuntut Ilmu Tasawwuf sungguh².  Setelah itu dia perlu mujahadah sungguh² menyucikan HATInya dari karat² dan kekotoran ma'nawiyyah  dengan pimpinan seorang Mursyid yang siddiq (benar) yang benar² arif mengenal hal ehwal Ketuhanan dan kehambaan. 


Maka di sini sekali lagi pertanyaan,  siapakah di sini cuba menolak Tasawwuf dan Toriqat yang sahih dari Rasulullah ﷺ ?

Adakah sesiapa di sini mengaku ada cara² lain yang benar untuk memperoleh "ikhlas" selain dari yang ditunjukkan oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnnah?   

Adakah golongan seperti wahhabiyyah yang terang² ENGKAR kepada Ilmu Tasawwuf dan Toriqat Nabi itu mempunyai cara² untuk mencapai "ikhlas" yang benar yang diredhai Allah?    Jawabnya : Tiada.  TIDAK pernah ada dan TIDAK akan ada jalan² lain selain itu.  Ini kerana jalan yang ditunjukki oleh Masyaikh Ahlus Sunnah adalah berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul yang agung. Selain dari itu adalah jalan2 kesesatan.  Na'uzubillah.


SIRI 29:


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.8 Dalil Tasawwuf di dalam  Kitabullah dan Hadith Rasul

sambungan ...


✨🕌✨Dalil 19: Firman Allah :

سُوۡرَةُ النُّور

۞ ٱللَّهُ نُورُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ۚ مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشۡكَوٰةٍ۬ فِيہَا مِصۡبَاحٌ‌ۖ ٱلۡمِصۡبَاحُ فِى زُجَاجَةٍ‌ۖ ٱلزُّجَاجَةُ كَأَنَّہَا كَوۡكَبٌ۬ دُرِّىٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ۬ مُّبَـٰرَڪَةٍ۬ زَيۡتُونَةٍ۬ لَّا شَرۡقِيَّةٍ۬ وَلَا غَرۡبِيَّةٍ۬ يَكَادُ زَيۡتُہَا يُضِىٓءُ وَلَوۡ لَمۡ تَمۡسَسۡهُ نَارٌ۬‌ۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ۬‌ۗ يَہۡدِى ٱللَّهُ لِنُورِهِۦ مَن يَشَآءُ‌ۚ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَـٰلَ لِلنَّاسِ‌ۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمٌ۬ (٣٥)

"Allah (memberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti lubang yang tak tembus yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca dan kaca itu seakan-akan (bintang yang bercahaya) seperti mutiara yang menyalakan minyak dari pohon yang banyak berkahnya, iaitu pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah baratnya yang minyaknya sahaja menerangi walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis) Allah membimbing kepada cahayanya, siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."

[An-Nuur (24) : ayat 35]


✨🕌✨Dalil 20 : Rasulullah ﷺ  bersabda :

"Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging apabila baik ia, nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan apabila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalb. (hati).

[Imam Bukhari]


✨🕌✨Dalil 21: Rasulullah ﷺ  bersabda :

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُلُوبُ أَرْبَعَةٌ قَلْبٌ أَجْرَدُ فِيهِ مِثْلُ السِّرَاجِ يُزْهِرُ وَقَلْبٌ أَغْلَفُ مَرْبُوطٌ عَلَى غِلَافِهِ وَقَلْبٌ مَنْكُوسٌ وَقَلْبٌ مُصْفَحٌ فَأَمَّا الْقَلْبُ الْأَجْرَدُ فَقَلْبُ الْمُؤْمِنِ سِرَاجُهُ فِيهِ نُورُهُ وَأَمَّا الْقَلْبُ الْأَغْلَفُ فَقَلْبُ الْكَافِرِ وَأَمَّا الْقَلْبُ الْمَنْكُوسُ فَقَلْبُ الْمُنَافِقِ عَرَفَ ثُمَّ أَنْكَرَ وَأَمَّا الْقَلْبُ الْمُصْفَحُ فَقَلْبٌ فِيهِ إِيمَانٌ وَنِفَاقٌ فَمَثَلُ الْإِيمَانِ فِيهِ كَمَثَلِ الْبَقْلَةِ يَمُدُّهَا الْمَاءُ الطَّيِّبُ وَمَثَلُ النِّفَاقِ فِيهِ كَمَثَلِ الْقُرْحَةِ يَمُدُّهَا الْقَيْحُ وَالدَّمُ فَأَيُّ الْمَدَّتَيْنِ غَلَبَتْ عَلَى الْأُخْرَى غَلَبَتْ عَلَيْهِ

"Hati itu ada empat macam: Pertama, qalbun ajrad (hati yang murni tak bernoda) di dalamnya seperti ada pelita yang bersinar. Kedua, qalbun aghlaf (hati yang tertutup) yang terikat tutupnya. Ketiga, qalbun mankuus (hati yang terbalik). Keempat, qalbun musfah (hati yang terlapis). Adapun qalbun ajrad adalah hati seorang Mukmin, pelita dalam hatinya adalah cahaya, qalbun aghlaf adalah hati orang kafir, qalbun mankuus adalah hati orang munafik, yang mengetahui kemudian mengingkari. Qalbun musfah adalah hati yang di dalamnya bercampur iman dan nifaq, iman yang ada di dalamnya seperti tanaman yang disirami air yang segar dan nifaq yang ada di dalamnya seperti bisul yang disirami darah dan nanah, mana dari dua unsur di atas yang lebih kuat, maka itulah yang akan menguasai hatinya.”

[Imam Ahmad]


Dalil Al-Qur'an dan Hadith dari 19-21  mengandungi DASAR² dan PRINSIP terpenting Tasawwuf.  Dalil² berkenaan HATI, macam2 HATI manusia, dan kaitannya dengan cahaya Rabbaniyyah  (Ketuhanan). yang menerbitkan TAUHID - MA'RIFAT.


Keseluruhan Ilmu Tasawwuf dan Toriqat berkisar kepada HATI dan sekalian hal ehwal yang berkaitan dengannya.


Jenis2 HATI dan penjelasan ringkas:


(1) Qalbun Ajrad - Hati yang suci murni

Qalbun ajrad (hati yang murni tak bernoda) di dalamnya seperti ada pelita yang bersinar.

HATI jenis ini adalah hati yang dimiliki oleh Rasul, Nabi, Auliya Allah, Warisatul Anbiya yang siddiq, dan Mukmin sejati,  Pelita yang bersinar itu adalah bermaksud cahaya Iman, cahaya Tauhid, cahaya Ma'rifat yang gilang-gemilang di dalam HATINYA serta meliputi diri mereka dan memancar kepada mereka² yang hampir dengan mereka,  dan juga meliputi mereka yang jauh² berbeza² dan  bertingkat²  mengikut martabat dan maqam mereka masing²... semuanya dari Limpah Rahmat Allah.   


(2) Qalbun Aghlaf  - hati yang tertutup 

Qalbun aghlaf (hati yang tertutup) yang terikat tutupnya. 

HATI jenis ini telah keras dan MATI, tak dapat masuk hidayah ke dalamnya dan kekufuran tak dapat keluar darinya. Orang seperti ini tiada jalan keluar lagi,   HATI jenis ini dimiliki oleh tiga jenis manusia iaitu :

(1) Orang kafir asli  yang dikunci MATI hatinya disebabkan keengkaran yang melampau. 

(2) Orang Islam yang fasiq yang terus menerus melakukan keengkaran, kezaliman dan kekufuran  tanpa taubat sehingga HATINYA menjadi gelap gelita, keras dan akhirnya MATI. 

(3) Orang Islam yang  tersesat ke dalam kelompok2 bid'ah sesat (berjumlah 72 golongan sesat)  seperti Syi'ah (rafidhi),  Wahhabiyyah (Khawarij), Sekular / Liberal dll  dan tidak segera taubat, sebaliknya terus-menerus di dalam kesesatan sehingga HATINYA keras dan MATI.  Na'uzubillah

Firman Allah : 

خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ وَعَلَى أَبْصَـرِهِمْ غِشَـوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عظِيمٌ

(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mengunci mati  atas hati mereka serta pendengaran mereka dan pada penglihatan mereka ada penutupnya dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar. 

[Al-Baqarah (2) : ayat 7]


(3) Qallbun Mankuus-  Hati yang terbalik

Ini adalah HATI orang munafiq, iaitu mereka yang  mempunyai pengetahuan tentang Islam tetapi di sebaliknya adalah kekafiran,   tujuan sebenar mereka adalah kekafiran. Mereka olok-olokkan orang beriman.  Mereka mempermain-mainkan Allah.   Nasib orang munafiq sama seperti orang yang kafir. 


(4) Qalbun Musfah  -  hati yang terlapis

HATI bangsa ini adalah yang dimiliki oleh kebanyakan orang Islam awam yang sentiasa bercampur aduk antara Iman dan Syirik (atau nifaq seperti disebut oleh Rasulullah).   Walau bagaimanapun syirik dan nifaq ini adalah syirik khafi  dan nifaq amali  yang   TIDAK batalkan Iman.  Tetapi Imannya akan rosak jika dibiarkan tanpa berusaha sungguh² baikinya.


Asal hati insan suci, mengapakah berubah?

Asal hati insan adalah suci, mengapakah ia berubah?

Mengapakah hati menjadi berpenyakit,  kotor, keruh, kelam dan gelap?

Bagaimanakah cara untuk sembuhkan hati ini?


Mengapakah hati menjadi keras mati?

Bolehkah hidupkan hati yang mati?

Apakah kesudahan orang yang memiliki hati yang mati?


Jawapan dan solusi  dijelaskan secara terperinci di dalam Ilmu Tasawwuf-Toriqat.   


Demikian lagi  bukti cemerlang Ilmu Tasawwuf-Toriqat dan WAJIBNYA sekalian orang beriman menuntut Ilmu Tasawwuf-Toriqat dengan bimbingan Warisatul Anbiya yang sebenarnya,  Mursyid yang siddiq (benar).


SIRI 30 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.8 Dalil Tasawwuf di dalam  Kitabullah dan Hadith Rasul

sambungan ...


✨🕌✨Dalil 22: Firman Allah :

وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡ‌ۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬ 

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu Berfirman: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."

[Ibrahim (14) : ayat 7]


✨🕌✨Dalil 23: Firman Allah :

وَءَاتَٮٰكُم مِّن ڪُلِّ مَا سَأَلۡتُمُوهُ‌ۚ وَإِن تَعُدُّواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ لَا تُحۡصُوهَآ‌ۗ إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَظَلُومٌ۬ ڪَفَّارٌ۬

"Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung Nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat zalim lagi  sangat tidak menghargai nikmat Tuhan"

[Ibrahim (14) : ayat 34]


✨🕌✨Dalil 24: Firman Allah :

فَٱذۡكُرُونِىٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡڪُرُواْ لِى وَلَا تَكۡفُرُونِ 

"Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (zikir padaKu sebanyak²nya) , supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah (Gunakan segala kurnia Allah pada Jalan Allah)  kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)"

[Al Baqarah (2) : ayat 152]


✨🕌✨Dalil 25: Sabda Rasulullah ﷺ:

Yang paling bijak (baik dan banyak) bersyukur kepada Allah adalah orang yang paling bijak (baik dan banyak ) bersyukur kepada manusia.” 

[Iman Ath-Thabrani]


✨🕌✨Dalil 26: Sabda Rasulullah ﷺ:

من لم يشكر الناس لم يشكر الله "

“Barang siapa yang tidak bersyukur (terima kasih) kepada manusia, bererti ia tidak bersyukur kepada Allah”. 

[Imam Ahmad, Imam Baihaqi]


✨🕌✨Dalil 27: Sabda Rasulullah ﷺ:

لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ

“Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi siapa yang tidak bersyukur (berterima kasih)  pada manusia.” 

[Imam Abu Dawud, Imam Tirmizi]


Dali 22 ~ 27 berkenaan perintah Allah supaya manusia bersyukur kepada Allah, ini perintah WAJIB.

Ertinya sesiapa engkar atau tidak menepati kesyukuran yang dikehendaki oleh Allah, maka dia berdosa besar dan menempah Kemurkaan Allah.  Tanpa bersyukur yang benar menurut tuntutan Allah, sekalian Ni'mat dan Rahmat yang Allah kurniakan kepada dia akan menjadi azab kesengsaraan dunia akhirat.  Na'uzubillah.


● Apakah makna syukur dan apakah hakikat syukur?

● Bagaimanakah cara bersyukur yang benar?

● Apakah akibat tidak bersyukur?

● Apakah makna syukur kepada Allah ? 

● Apakah makna syukur kepada manusia ? 

● Apakah cara terbaik dan benar  untuk menggunakan segala Kurnia ALlah - syukur harta, masa, tenaga

● Bagaimanakah cara benar bersyukur kepada manusia² yang  yang menajdi asbab  (sebab) sampainya  Ni'mat dan Rahmat Allah kepada seseorang. 

● Mengapakah disebut :  Sesiapa tidak syukur kepada manusia, maka dia tidak syukur pada hakikatnya.


Syukur adalah setengah dari Sifat² Mahmudah (sifat terpuji)  yang dituntut atas setiap orang beriman.  Ulama Ahli Ma'rifat menghimpunkan semua sifat² Mahmudah  ini di dalam Ilmu Tasawwuf, menjelaskan makna²nya dan menunjukkan secara terperinci cara² mencapai sifat² tersebut.  


(1) Syukr   — Puji Allah dan terima kasih kepada manusia


(2) Sobr     — sabar


(3) Khauf   —  takut


(4) Raja'     —  harap


(5) Tawakkal — serah diri kepada Allah / bergantung hati kepada Allah


(6) Husnuz-zon — sangka baik


(7) Qona'ah   — berpada dengan yang ada


(8)  Ahsan —  berbuat baik sesama Muslim / insan / makhluq


(9)  Tawadhu —  merendah diri


(10)  Zikrul Maut — Ingat Mati


(11) Wara'  — memelihara diri dari syubhat dan benda² harus (yang tiada manfaat pada akhirat)


(12) Zuhud — Meninggalkan gemar akan perhiasan dunia


(13) Redha — damai hati dengan segala Taqdir Ilahi


(14) Mahabbah —  Kasih kepada Allah, Rasul, Pewaris Rasul, Malaikat, Kitab²


Yang tersebut itu hanyalah sebahagian sifat² terpuji yang dituntut. Selain dari itu banyak lagi sifat Mahmudah yang lain yang perlu diketahui oleh orang² beriman:


● Taubat, Ikhlas, Jujur, Berani, Teguh Pendirian, Jauhi jalan² sesat, Ingat Mati —  dibincang berasingan 


● Jauhi syirik khafi - takabbur, 'ujub, riya', sum'ah, tawakkal ila makhluq — semua ini dibincangkan secara berasingan di bawah tajuk² berasingan.


●Da'wah menyeru kebaikan dan cegah kemungkaran,  kasih kepada orang beriman dan keras dengan orang kafir (harbi),  jihad melawan kekufuran dan kesesatan dll..   ini juga dibincang berasingan 


● Berbuat baik kepada ibu bapa,  hormati orang tua, kasihi kanak², menolong orang terlantar, muliakan tetamu, hilangkan kesusahan orang beriman  — dibincang berasingan


Kunci terpenting di dalam kesemua bicara ini adalah berkait dengan HATI, berpunca dari HATI dan balik kepada HATI,  maka terhimpunlah semua persoalan ini di dalam Ilmu Tasawwuf. Tidak di dalam bidang² ilmu  lain. Tanpa mempelajari Imu Tasawwuf seseorang Muslim TIDAK akan mengetahui cara² memperoleh sifat² kemuliaan yang dituntut.  Maka dia akan kekal berdosa besar.  Na'uzubillah


Perhatikan sekali lagi :

Semua ini dalil bagi Ilmu Tasawwuf.

Semua ini dalil bagi Kewajipan amalkan Ilmu Tasawwuf.


bersambung siri  31  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

        🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳  


         


         

  

           

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 390) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...