B3: PENYAKIT HATI MANUSIA BAHAYA YANG TAK DISEDARI

 

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI MANUSIA BAHAYA YANG TAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 21 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.2 Dosa Besar Kedua : Riya'

sambungan.....


Ayat Qur'an dan Hadith berkenaan bahaya Riya'


Mari sama2 perhatikan ancaman kepada mereka yang Riya' di dalam amal ibadah atau kebaikan yang mereka lakukan.


(1) Orang yang Riya'  adalah terkutuk. 


✨🕌✨ Firman Allah :

 فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَـتِهِمْ سَاهُونَ الَّذِينَ هُمْ يُرَآءُونَ

“Maka celakalah bagi orang2 yang bersembahyang, iaitu yang lalai di dalam sembahyangnya. Yang mengerjakan kebajikan untuk dilihat orang” 

[Al-Ma’un (107) : Ayat 6]


Kalimat  "  فَوَيْلٌ  "  ditafsirkan dengan makna "Neraka Wail"   atau umumnya "Celaka" ertinya kerugian yang amat besar.

Kalimat " يُرَآءُونَ   "   ditafsirkan dengan makna " Riya "  iaitu  "Syirik Khafi"  atau dikatakan mempunyai "sifat Munafiq (munafiq kecil)". 


Orang Islam yang beramal kerana selain Allah — seperti menunjuk2 amalnya, atau kerana habuan dunia atau kerana pujian manusia atau kerana kemasyhuran, kemegahan dan pangkat dsb.  maka semua ini adalah Riya' yang diancam dengan Neraka Wail atau bermaksud "kecelakaan yang amat besar".  Wal Iyazubillah


(2)  Riya' adalah mempersekutukan Allah di dalam Ibadah


✨🕌✨ Firman Allah :

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ 

"Sembahlah Allah (lakukanlah Ubudiyyah tulus ikhlas suci murni) dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun."

[An-Nisaa (4) : ayat 36]


Rasulullah ﷺ diutus untuk membersihkan manusia dari dua macam Syirik ; Syirik Jali (Syirik Terang2an / Syirik Akbar) dan Syirik Khafi  (Syirik Tersembunyi / Syirik Asghar). Bukan satu bahagian saja. Tauhid yang hakiki yang sebenar TIDAK akan lahir melainkan seseorang suci bersih dari kedua2 jenis Syirik ini,  TIDAK memadai hanya satu sahaja.   


"JANGAN mempersekutukan Allah"  di dalam apa suatu apa pun ; sama ada zahir maupun batin."   Riya' adalah salah satu cabang 8 Allah Ta'ala :

ـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُبۡطِلُواْ صَدَقَـٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ كَٱلَّذِى يُنفِقُ مَالَهُ ۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۖ فَمَثَلُهُ ۥ كَمَثَلِ صَفۡوَانٍ عَلَيۡهِ تُرَابٌ۬ فَأَصَابَهُ ۥ وَابِلٌ۬ فَتَرَڪَهُ ۥ صَلۡدً۬ا‌ۖ لَّا يَقۡدِرُونَ عَلَىٰ شَىۡءٍ۬ مِّمَّا ڪَسَبُواْ‌ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَـٰفِرِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (Riya') dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan Riya' itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan  (segala amal soleh terhapus dan menjadi sia2)  dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir. 

[Al-Baqarah (2) : ayat 264]


(4) Riya' —  Salah satu bentuk penyembahan kepada "berhala hati"


✨🕌✨ Sabda Rasulullah ﷺ :

“Aku sangat takut syirik pada Ummatku. Walaupun mereka tidak menyembah berhala, matahari, bulan dan batu. Akan tetapi memperlihatkan kepada orang (berbuat Riya’) dengan amal mereka”

[Imam Ibnu Majah, Imam Al-Hakim]


Hadith ini setengah dari dalil berkenaan berlakunya suatu bentuk "penyembahan kepada berhala hati" iaitu nama lain bagi perbuatan "mensyrikkan Allah Ta'ala di dalam hati."   Dan ini dugaan paling berat bagi orang beriman, lebih berat dari dosa minum arak, judi dll. nya.      


Orang beriman, walaupun betapa lemah pun Imannya TIDAK akan menyembah berhala yang zahir (patung, matahari, bintang atau lain2 yang zahir).  Oleh yang demikian Baginda tidak bimbang akan hal tersebut.   Tetapi yang membimbangkan Baginda atas Ummat adalah penyembahan kepada "berhala di dalam hati"   Takabbur, Riya', Sum'ah, 'Ujub dan Tawakkal kepada makhluq adalah termasuk di dalam "penyembahan kepada berhala hati".  Dan ini adalah syirik yang tersembunyi yang kebanyakan orang awam Islam TIDAK terlepas darinya. 


(5) Riya' menjadi sebab Orang alim, Ahli Ibadah, Ahli Qori Al-Qur'an, Mujahid yang mati di medan perang dicampak ke Neraka.


✨🕌✨ Rasulullah   ﷺ  bersabda :

"Sesungguhnya manusia pertama yang diadili pada hari Qiamat adalah orang yang mati syahid di jalan Allah. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatan (yang diberikan di dunia), lalu dia pun mengenalinya. Allah bertanya kepadanya, "Amal apakah yang engkau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?'  dia menjawab, "Aku berperang semata-mata karena Engkau sehingga aku mati syahid."   Allah berfirman:  "engkau dusta! engkau berperang supaya dikatakan seorang yang gagah berani. Memang demikianlah yang telah dikatakan (tentang Dirimu).'"    Kemudian diperintahkan (Malaikat) agar menyeret orang itu atas mukanya (tertelungkup), lalu dilemparkan ke dalam neraka."


Berikutnya orang (yang diadili) adalah seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya serta Qori Al-Qur'an. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatannya, maka ia pun mengakuinya. Kemudian Allah bertanya, "amal apakah yang telah engkau lakukan dengan kenikmatan-kenikmatan itu?"   dia menjawab, "Aku menuntut ilmu dan mengajarkannya serta aku membaca Al-Qur'an hanyalah karena Engkau.'"   Allah berfirman, "engkau dusta! engkau menuntut ilmu agar dikatakan seorang 'alim  dan engkau membaca Al-Qur'an supaya dikatakan seorang qari' dan hafiz. Memang begitulah yang dikatakan (tentang dirimu)."    Kemudian diperintahkan (Malaikat) agar menyeret atas mukanya dan melemparkannya ke dalam neraka."


Berikutnya yang diadili adalah orang yang diberikan kelapangan rezeki dan berbagai macam harta benda. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatannya, maka ia pun mengakuinya. Allah Ta'ala bertanya, "Apa yang telah engkau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?' Dia menjawab, 'aku tidak pernah meninggalkan sedekah dan infak pada jalan yang Engkau cintai, melainkan pasti aku melakukannya semata-mata karena Engkau.' Allah berfirman, "engkau dusta! engkau berbuat yang demikian itu supaya dikatakan seorang dermawan dan memang begitulah yang dikatakan (tentang dirimu)." Kemudian diperintahkan (Malaikat) agar menyeretnya dan melemparkannya ke dalam Neraka," 

[Imam Muslim]


SIRI 22 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.2 Dosa Besar Kedua : Riya’

sambungan.....


Bentuk-Bentuk Riya'


Pertama : Riya' di dalam Ibadah:


Inilah bidang Riya' yang paling umum di mana kebanyakan orang awam yang alim dan ahli ibadah sekalipun terperangkap dan terjatuh ke dalamnya. Sebahagian mereka menyedarinya namun mereka meneruskannya tanpa penyesalan kerana lazatnya.  Sebahagian mereka menyedarinya dan menginsafi kesalahannya namun mereka tak mampu keluar darinya.   Orang alim yang pernah belajar selok belok hukum Riya' serta kebinasaannya, tahu dan sedar bencana Riya', namun selalunya mereka tertutup dengan kesombongan ilmu mereka serta menganggapnya tidak begitu penting.  


Daripada semua golongan tersebut,  orang Islam awam yang paling malang adalah mereka yang menganggap Riya' (serta penyakit hati yang lain) sebagai perkara remeh kerana menurut mereka hal itu akan terjadi pada semua orang dan pada pegangan mereka itu dimaafkan ....  TIDAK syak lagi ini adalah golongan sesat dan menyesatkan.  Wal Iyazubillah.


 (1) Riya' di dalam Membanyakkan Ibadah

Ketika berhadapan dengan manusia dia banyakkan ibadah sedangkan tidak demikian apabila bersendirian. 

Contoh 1:

Seseorang sangat rajin ibadah ketika berhadapan dengan manusia, umpamanya mengerjakan solat sunnat sampai 10 rakaat supaya dipuji orang dia rajin beribadah.  Sedangkan ketika sendirian tidak demikian.  

Contoh 2 : 

Seorang bakal menantu melakukan solat rajin sekali ketika sedang dilihat oleh bakal mertua bertujuan supaya dia dipuji sebagai menantu yang soleh.  

Contoh 3 :

Orang Alim yang bertugas mengajar manusia menunjuk2 ibadahnya yang banyak di hadapan umum supaya dia tetap disanjung dan diakui akan kebenaran ilmunya. 

Contoh 4 :

Bersedekah banyak ketika dilihat orang supaya dipuji sebagai dermawan. 

Contoh 5:

Rajin membaca Qur'an ketika di hadapan manusia supaya manusia memujinya.


 (2) Riya' di dalam Mengelokkan Ibadah

Ketika di hadapan umum, dia melakukan ibadah dengan membaguskannya supaya kelihatan indah pada pandangan manusia yang melihatnya dan dengan demikian menjadi pujian dan sanjungan manusia.

Contoh 1:

Membaguskan pergerakan solat seperti ruku' dan sujud supaya kelihatan indah pada pandangan manusia.

Contoh 2 :

Orang yang menjadi Imam baguskan cara berdiri,  baguskan cara angkat Takbiratul Ihram dll supaya orang memujinya sebagai Imam yang hebat.

Contoh 3:

Membaguskan pekerjaan Haji supaya kelihatan sempurna pada pandangan manusia.


(3) Riya' di dalam Meninggalkan Ibadah.

Selain dari Riya' di dalam membanyakkan Ibadah atau membaguskan Ibadah, terdapat lagi satu Riya' yang lebih halus, iaitu Riya' dengan meninggalkan  Ibadah.   Atau Riya' di dalam mengurangkan Ibadah.  Atau kerana kurang bagus Ibadah.


Tentu ramai musykil, bagaimanakah ini terjadi?  


Ramai sudah mengetahui, beramal banyak atau membaguskan Ibadah kerana mahkluq adalah  Riya', namun bagaimanakah seseorang itu dikatakan Riya sedangkan dia meninggalkan ibadah yang menjadi asbab Riya?   Orang itu meninggalkan Ibadah yang banyak kerana takut menjadi Riya',  maka bagaimanakah penjelasannya?

Jawapannya:

Kunci memahami hal ini terletak pada niat dalam hati iaitu “kerana makhluq"dan  BUKAN kerana Allah...!   


Perhatikan sungguh²..... tipu daya yang amat halus ini...! 


Apa saja pekerjaan yang dilakukan selain Allah (iaitu kerana mahluq), maka jadilah pekerjaan itu Syirik, iaitu Syirik Khafi.     


Sesungguhnya ini tipu daya yang amat halus.  Wal Iyazubillah. 


Ini sebabnya sebahagian Ahli Ma'rifat mengatakan  :

Mengerjakan Ibadah kerana makhluq adalah Syirik 

Meninggalkan Ibadah kerana makhluq adalah Riya'


Yang sebenarnya kedua2nya Syirik — sama ada membaguskan Ibadah kerana makhluq atau meninggalkan ibadah kerana takut pada makhluq kedua2nya termasuk Syirik, iaitu Syirik Khafi.

Sebagaimana telah dibicarakan dahulu, Syirik Khafi membatalkan sekalian amal ibadah dan merosak Iman / Tauhid...! 


SIRI 23 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.2 Dosa Besar Kedua : Riya'

sambungan.....


Kedua : Riya' di dalam Ilmu:


Riya' berlaku kepada penuntut2 ilmu, sama ada mereka terlibat di dalam Ilmu Agama maupun Ilmu mu’amalah urusan keduniaan seperti kedoktoran, kejuruteraan, atau lain2nya.   


Bahkan,  Guru2 yang sudah memiliki ilmu syari'at yang banyak tetapi TIDAK terdidik HATInya kepada kesucian   (yang dimaksudkan dengan ini adalah Guru2 yang mahir di dalam Syari’at zahir seperti  ilmu fiqh, ilmu kalam / usuluddin / Sifat 20, atau ilmu2 syari’at yang lain tetapi  TIDAK menempuh proses pendidikan HATI dengan pimpinan Mursyid yang Siddiq) maka Guru2 seperti ini banyak sekali terdedah kepada Riya’.


(1) Riya' di dalam menuntut Ilmu syari'at (fiqh, usuluddin, ilmu nahwu sarf, balaghah, mantiq, bayan, badi’ dll)

Contoh 1 :

Menuntut Ilmu fiqh yang banyak dengan mentelaah banyak kitab2 supaya dengan ilmu itu dia dapat hujjah dengan manusia.

Contoh 2:

Menuntut ilmu  kepada ramai Guru supaya kelak dikata orang dia alim dan masyhur sebagai Guru yang banyak merantau dan banyak Gurunya.  

Contoh 3:

Banyakkan pengkajian Ilmu Kalam (Usuluddin / sifat 20)  dan memahirkan diri dengan berbagai bentuk perdebatan dengan tujuan mematahkan hujjah orang lain.  Di sini sungguh terdapat tipu daya yang amat halus.  Memang wajar bahkan dituntut mempertahankan Agama (Ahlus Sunnah yang benar) dari serangan Golongan Sesat Khawarij / Wahhabiyyah, Syi’ah (rafidhi), Mu’tazilah, Jabariyaah, Mujassimah dll. namun menuntut llmu dengan tujuan berdebat adalah niat yang menyimpang dari Ikhlas, masuk kepada daerah Riya’. 

Contoh 4:

Mempelajari berbagai bidang ilmu Syari’at bertujuan untuk mendapat berbagai ijazah Universiti agar terkenal sebagai orang yang pakar di dalam Ilmu berkenaan.


(2) Riya' di dalam menuntut Ilmu Tasawwuf / Toriqat

Orang2 yang gemar kepada ilmu keruhanian seringkali tertipu dengan bisikan nafsu dan godaan Syaitan.  

Contoh 1 :  

Mengkaji ilmu Tasawwuf -Toriqat untuk berhujjah / berdebat  dengan orang lain berhubung dengan Tasawwuf.  

Contoh 2:

Mempelajari Ilmu Tasawwuf-Toriqat supaya menjadi terkenal dengan gelaran " Pakar Tasawwuf", “Pakar Rujuk Tasawwuf”,  “Jaguh Tasawwuf”,  “Alim Tasawwuf” dsb.  

Contoh 3:

Mempelajari Ilmu Tasawwuf untuk memperoleh Ijazah Universiti / Pusat Pengajian Tinggi seperti  PhD, Drs, Masters, Profesor atau lain2nya agar terkenal di mata manusia.

Contoh 4:

Menempuh pendidikan Toriqat dengan tujuan menjadi “Khalifah Toriqat”  atau “Guru Toriqat”  atau ingin menjadi “Mursyid”.  Semua ini adalah Riya’,   yang jelas terkeluar dari Ikhlas dan ‘Ubudiyyah. 


 (3) Riya’ di dalam menuntut Ilmu Mu’amalah keduniaan

Islam mewajibkan (fardhu kifayah) mempelajari ilmu sains, Ilmu Hisab, Ilmu Falak, Ilmu Pelayaran, Ilmu perubatan, Ilmu Pertukangan dll. bagi memenuhi keperluan Ummat Islam, namun tujuan menuntut llmu tersebut tetap WAJIB kerana Allah Ta’ala, sebagai memenuhi fardhu kifayah,  BUKAN Riya’, BUKAN kerana ingin menunjuk2 kepandaian atau kecekapan. 

Contoh 1 :

Mempelajari Ilmu kedoktoran agar mendapat sanjungan manusia.

Contoh 2:

Mendalami ilmu Hisab atau Sains atau IT atau lain2nya supaya terkenal sebagai pakar Ilmu Matematik datau pakar Sains atau pakar IT.


Semua contoh2 tersebut di atas merupakan Riya’ yang hilangkan segala amal kebaikan, TIDAK ada yang tinggal melainkan “namanya” yang dikejar. 

Mereka akan mendapat apa yang mereka kejar, dan BUKAN keredhaan Allah Ta’ala.  


💫🕌💫 Sabda Rasulullah ﷺ :

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَلِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

“Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat, dan baginya apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia atau kerana wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya itu sesuai ke mana ia hijrah.” 

[Imam Bukhari, Imam Muslim]


Mereka akan memperoleh apa yang mereka niatkan daripada "gelaran", "pujian" dan " kemasyhuran" di dunia,  sedangkan TIDAK ada satu bahagian pun pada sisi Allah Ta'ala, bahkan sebaliknya mereka akan mendapat Kemurkaan Allah Ta'ala kerana mempersekutukan Allah di dalam segala amalnya.  (Syirik khafi).


✨🕌✨ Rasulullah ﷺ bersabda :

 " Syirik yang dilakukan umatku lebih tersembunyi daripada semut halus yang merayap di atas batu yang besar ".

[Imam Al Hakim] 

 

✨🕌✨ Bersabda Rasulullah ﷺ :

"Sesungguhnya yang paling aku khuatirkan atas kamu sekalian adalah syirik kecil (syirik khafi), riya'. Pada hari Qiamat, ketika memberi balasan manusia atas perbuatannya, Allah berfirman, "Pergilah kalian kepada orang-orang yang kalian tujukan amalanmu kepada mereka di dunia. Lihatlah, apakah engkau dapati balasan di sisi mereka?" 

[Imam Ahmad] 

 

Bukankah ini suatu ancaman berat kepada penuntut2 Ilmu ; sama ada mereka menuntut Ilmu berkaitan Syari'at,  Ilmu Tasawwuf atau Ilmu Muamalah dunia, semuanya TIDAK terlepas dari Riya'.  


Sifat Riya' akan sentiasa mengejar orang Islam sepanjang pekerjaannya, bukan semata² pada awal pekerjaannya. 


Ada kalanya seseorang benar ikhlasnya pada awal pekerjaan, namun terjadi Riya' di pertengahannya. Ada kalanya dia bersih pada awal pekerjaan dan pertengahannya, namun tewas pada penghujung pekerjaanya.   


Sungguh amat berat dugaan dari HATI yang sentiasa berbolak-balik ini.


Bagaimanakah cara melepaskan diri dari cengkaman Riya' di dalam ilmu dan amal? 


Teruskan baca sampai hujung bicara.


SIRI 24 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.2 Dosa Besar Kedua : Riya'

sambungan.....


Ketiga : Riya' di dalam Ucapan / Berkata2 /  Pidato:


Riya' amat mudah terjadi ketika seseorang berkata2, berucap atau bersyarah ;  sama ada berkata2 khusus berkenaan Agama seperti berda'wah mengajak manusia kepada Allah atau berkata2 berkenaan dunia yang berkaitan dengan Agama — seperti urusan muamalah jual beli, pernikahan, pemerintahan dll. 


Hal ini lebih mudah dan lazim terjadi kepada mereka yang mempunyai ilmu syari'at  yang banyak — fiqh,  usul fiqh, nahwu, sarf, mantiq, bayan dll atau memiliki kepakaran di dalam Ilmu Kalam / Usuluddin (perbahasan sifat 20), atau mahir di dalam bahasa Arab atau mempunyai kehebatan di dalam motivasi atau kelebihan di bidang2 lain berkaitan dengan syarahan yang amat diminati atau diperlukan oleh manusia.


Bentuk2 Riya' yang boleh terjadi ketika seseorang bercakap / berceramah / bersyarah / motivasi dsb:

(1) Riya' dengan membaguskan ucapan / memperindah syarahan.

Hal ini paling umum terjadi kepada pensyarah / penceramah / motivator dsb. yang memberikan ceramah / motivasi di hadapan khalayak yang ramai. 

Contoh 1:

Seseorang pakar motivasi berucap dengan menyusun kata2 yang indah agar mendapat pujian sebagai motivator terkenal, BUKAN kerana Allah, maka sia2lah usahanya.    Yang sebenarnya, berikan motivasi / dorongan / bangkitkan semangat / timbulkan kemahuan untuk maju ke hadapan itu sangat baik.  Namun apabila ianya dilakukan BUKAN kerana Allah, sebaliknya mencari kemasyhuran atau kebanggaan, maka jadilah usahanya sia-sia, bahkan menjadi Riya' dan Syirik (Syirik khafi) yang musnahkan segala amalnya.

 Contoh 2:

Seseorang Penceramah umum atau Guru Agama atau Pensyarah Universiti menyusun kata2 indah / mengindahkan syarahannya apabila di hadapan ramai pendengar / peserta, sedangkan ketika berhadapan dengan hadirin yang sedikit, ucapannya sekadar melepaskan batuk di tangga.  Tujuan seseorang berceramah, memberi nasihat, syarahkan hukum-hakam Agama dll adalah semata2 kerana perintah Allah.  Selayaknya dia sampaikan sekalian ilmu dengan baik dan indah tanpa mengira siapa mereka ; adakah mereka golongan biasa, rakyat biasa atau golongan ternama.    Tetapi dia memilih2 tempat atau memilih2 kelompok2 tertentu atau bilangan perserta untuk menyampaikan Agama dengan baik dan sempurna, maka di sana terjadi Riya' yang tidak disedari.

Contoh 3:

Seorang Qori membaguskan bacaan Qur'annya apabila sekitarnya terdapat pendengar.... seperti : 

 Apabila dia dikerumuni penonton, dia memperelokkan sebutannya, membaca dengan merdu dsb.  Tetapi apabila tiada yang mendengar bacaannya, dia cuma baca seperti biasa.   Tidaklah dia perbuat demikian melainkan kerana ingin menunjuk2 manusia kepandaiannya serta harapkan pujian mereka.  Ini jelas Riya' yang hapuskan segala amal bacaannya.  

Contoh 4: 

Seseorang Guru yang mahir di dalam Ilmu Kalam (perbahasan sifat 20), menyusun berbagai cara ucapan dan hujjah yang hebat agar dikenali sebagai Ahli Ilmu Ilmu Kalam / Ilmu Usuluddin yang hebat.  Sebahagian dari penuntut2 yang mahirkan diri dengan hujjah2 (teori)  Ilmu Ketuhanan, juga terjebak kepada hal ini. Kadangkala sesama mereka juga masing2 menunjukkan kehandalan pidato berkenaan Ketuhanan.

Contoh 5 :

Seorang Imam Solat memperbaguskan bacaannya ketika dihadiri orang2 kenamaan,  figur2 terkenal atau ahli jemaah yang hadir ramai.  Sebaliknya Imam tersebut membaca hambar ketika jemaah hanya di hadiri oleh orang2 biasa, atau bilangannya sedikit.  Imam itu menggantungkan keindahan bacaannya kepada hadirin yang hadir untuk solat berjemaah dan BUKAN kerana mencari keredhaan Allah, maka ini jelas Riya'


(2) Riya' di dalam Meniru kata2 Auliya Allah:

Menukil perkataan Auliya Allah di dalam syarahan agar pendengar memujinya sebagai orang yang banyak pengetahuan berkenaan Maqam2 Auliya Allah.   Ini jelas Riya'.

Sememangnya setiap orang beriman dituntut menjadikan para Auliya Allah sebagai ikutan.   Para Auliya Allah adalah cahaya yang menerangi Alam, mewarisi Nubuwwah dan Risalah.  Namun ketika menukil ucapan2 para Auliya Allah perlu sangat beradab serta hati2 jangan sampai hati terjerumus kepada mencari pengaruh di kalangan manusia. 


(3) Riya' di dalam penguasaan berbagai bahasa :

Seseorang yang menguasai berbagai bahasa, seperti bahasa Arab, bahasa Latin dsb. melontarkan kemahiran tersebut ketika berucap atau berceramah agar orang memujinya sebagai orang yang hebat di dalam menguasai berbagai bahasa.  Tidaklah menjadi kesalahan seseorang menguasai berbagai bahasa, namun ketika memakainya perlu waspada —  jaga hati supaya jangan menjadi kebanggaan dan Riya'


(4) Riya' di dalam Membanyakkan perkataan / ucapan panjang:

Sengaja melebih2kan perkataan / ucapan2 yang panjang agar pendengar memujinya sebagai orang yang luas ilmu, pengalaman dan pengetahuannya.  Tidak menjadi kesalahan seseorang berucap lama atau bersyarah panjang jika ianya benar2 mengandungi pengajaran2 yang perlu bagi pendengar.  Namun ketika tujuannya menyimpang dari jalan yang benar (bukan kerana ALLAH), maka jadilah Riya' yang batalkan amalnya.


Demikianlah sebahagian daripada contoh2 berkenaan Riya' ketika seseorang terlibat di dalam ucapan atau syarahan atau motivasi.  Ringkasnya apa sahaja ucapan / kata2 / syarahan / pidato / ceramah dsb yang menyimpang dari niat BUKAN kerana Allah, maka jadilah Riya' yang hapuskan segala amal tersebut.Bahkan menjadi Syirik (syirik khafi ) yang merosak Iman. 


Sesungguhnya da'wah (mengajak manusia kepada kebaikan serta mencegah mereka dari kemungkaran) dengan berbagai saluran seperti ceramah, syarahan Agama, pidato dsb  adalah suatu Ibadah serta Jihad yang amat besar.   Namun apabila wujud sifat menunjuk2, bangga2 diri serta mencari kemasyhuran, maka batal segala ganjarannya, sia2 amalnya kerana telah jatuh kepada Riya' dan  kesyirikan tanpa di- sedari,    Wal Iyazubillah


Jika ada yang bertanya adakah "Membaca Al-Qur'an itu dengan suara indah itu multaq haram / di- larang?

Jawapan:    Hal ini telah pun dijawab pada perenggan di atas.  Sesungguhnya Allah Ta'ala itu indah dan dia suka yang indah2.   Tetapi Allah Ta'ala menuntut yang indah2 itu dalam bentuk yang benar2 suci iaitu ikhlas, jauh dari Riya', Ujub, Sum'ah, Takabbur dll.


Jika ada yang bertanya lagi, bagaimanakah halnya seseorang yang sememangnya ikhlas pada awal bicaranya, namun di pertengahan ucapannya datang berbagai bisikan yang memalingkan hatinya dari ikhlas kepada Riya'?  Orang itu bukan sengaja Riya' tetapi perasaan itu datang tiba2 di dalam hati.    


Jawapannya : baca nanti pada ruangan cara2 hapuskan Riya' pada penghujung huraian berkenaan Riya, akan datang in shaa Allah. 


SIRI 25 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.2 Dosa Besar Kedua : Riya'

sambungan.....


Keempat: Riya' didalam Berpakaian:


Menutup 'aurat dengan sempurna adalah kewajipan atas setiap lelaki dan wanita beriman.  Menutup aurat bermakna menutup tubuh mengikut hukum, BUKAN sesuka hati memakai pakaian mengikut nafsu kemudian mendakwa ianya mengikut hukum.  


Di dalam Risalah ini kita tidak membincangkan bab hukum dan syarat2 pakaian menutup aurat kerana kami telah membincangkan di dalam Risalah2 lain.  Di sini kita akan fokus kepada cara berpakaian yang bersangkut paut dengan hati...!


Apabila seseorang memakai pakaian menutup aurat menurut syarat dan peraturannya yang telah di- tetapkan di dalam Syara', maka jadilah ianya Ibadah dan diberi ganjaran kebaikan.  Walau bagaimana- pun memakai pakaian juga boleh menjadi ma'siat apabila ianya bertujuan Riya'. 


Mengapa terjadi Riya' ketika berpakaian?

Apakah unsur yang menjadikan seseorang Riya' di dalam berpakaian?

Apakah bentuk2 Riya' ketika berpakaian?


(1) Riya' ketika berpakaian indah, baru, mahal, menunjuk2 kekayaanya.


Memakai pakaian mewah dan mahal bertujuan menunjuk-nunjuk kemewahannya adalah jelas terlarang.  Ianya BUKAN sahaja termasuk Riya' bahkan juga menyakiti hati mereka yang miskin.


Menurut hukum asal, TIDAK salah berpakaian mahal dan mewah, bahkan boleh jadi sunnat jika dia memakainya sebagai menzahirkan Ni'mat dan Rahmat Allah serta bersyukur atas Kurnia tersebut.  Tetapi berpakaian mewah untuk menunjuk2 kekayaannya atau bermegah dengannya atau mengharap pujian manusia maka semua ini adalah tercela, kerana ia termasuk Riya'.



(2) Riya' ketika berpakaian lusuh, buruk, murah, menunjuk2 kemiskinan


Jika seseorang sengaja berpakaian lusuh dan buruk dengan tujuan menunjukkan kewarakannya atau supaya dipuji orang sebagai zuhud, maka ini juga termasuk Riya'.  


Ini bermakna BUKAN sahaja berpakaian mewah dan menunjuk2 kemewahan itu menjadi Riya'  tetapi mereka yang berlagak seperti miskin dan sengaja berpakaian buruk dengan  tujuan mendapat pujian manusia sebagai ahli zuhud, maka ini Riya'.


Sebahagian dari salikin  gemar berpakaian lusuh dan buruk untuk melatih diri meninggalkan gemar akan dunia, iaitu jauhkan dari kecintaan kepada dunia, maka ini perlakuan harus dan terpuji dengan syarat ;  dia tiada tujuan lain melainkan kerana Allah.  Sebaliknya jika mempunyai niat2 lain yang menyimpang dari keikhlasan, maka merugilah dia.


Perhatikanlah :

Bukanlah jenis pakaian yang kamu pakai itu menjadi ukuran dan pertimbangan kebaikan atau keburukan, tetapi ukuran sebenarnya adalah hal "hati" yang menjadi penilaian Allah Ta'ala.   Namun pada keseluruhannya sebagaimana kami telah jelaskan hal ini berulang kali ....  setiap perbuatan, perkataan dan perlakuan WAJIB menepati dua hal untuk menjadi ibadah dan mencapai keredhaan Allah Ta'ala:


Pertama :  Perbuatan dan perkataan Wajib Mematuhi hukum syari'at


Kedua :      Hati Wajib Ikhlas


Jika seseorang melakukan suatu hal yang menepati Syari'at tetapi TIDAK Ikhlas, maka BATAL amalnya, bahkan menjadi syirik (syirik khafi).  Sebaliknya jika seseorang mendakwa dia ikhlas melakukan suatu hal tetapi perbuatan tersebut TIDAK menepati Syari'at, maka ini adalah haram — besar atau kecilnya dosa bergantung kepada ketentuan Syara'.



(3) Riya' ketika memakai pakaian kemuliaan.


Memakai Jubah dan serban adalah kegemaran Rasulullah ﷺ ketika mendirikan Solat atau ketika keluar rumah untuk suatu urusan. Para Salaf Soleh, Ulama Mu'tabar — Ulama bertaraf Auliya Allah juga mencontohi pakaian Rasulullah ﷺ ini.          Maka mencontohi Rasulullah ﷺ  memakai jubah dan serban adalah sunnah yang besar.  


Walau bagaimanapun perlulah seseorang memelihara hatinya daripada Riya'.   Jangan sesekali dia memakainya dengan tujuan mendapat pujian manusia atau dia ingin menunjuk2 bahawa dia orang mulia. Ini kesalahan besar yang merosak Iman.


Jika pada awalnya dia memakainya dengan ikhlas semata2 kerana Allah tetapi kemudian datang perasaan Riya', maka WAJIB bagi dia segera memotong perasaan tersebut, istighfar segera mohon ampun kepada Allah Ta'ala serta ikhlaskan semula hati semata2 itba'  (mengikut) Rasulullah ﷺ mencari Keredhaan Allah Ta'ala.


SIRI 26 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.2 Dosa Besar Kedua : Riya'

sambungan.....


Kelima: Riya' Di dalam Penulisan:


Hampir semua hal berkaitan dengan  "Riya' di dalam penulisan "  serupa dengan Riya' yang terjadi  di dalam "ucapan".       Ini  kerana maksud "penulisan "dan  "ucapan'  adalah serupa ; iaitu menyampaikan ilmu, berda'wah, mengajak manusia kepada kebaikan dan  menyeru manusia kepada Agama Tauhid yang hakiki.  Medium dan platformnya berlainan, namun tempat hantaran dan maksudnya sama.    


Keenam : Riya penampilan diri dan gaya berjalan:


Setengah orang menampilkan diri dengan gaya yang hebat bertujuan menambat hati manusia.

Setengah yang lain menampilkan diri dengan rupa lesu, mata luyu, rambut kusut masai seolah2 menunjukkan dia banyak ibadah dan berpuasa.  

Setengah yang lain berjalan tunduk dan gaya lemah lembut ingin menunjukkan dia wara' atau ingin menunjuk2 dia orang alim yang berwibawa.


Semua ini adalah Riya'.  


Bentuk2 Riya yang lain:

Selain yang tersebut di atas, masih terdapat banyak lagi bentuk2 Riya' yang lain.  Namun maksudnya sama ; iaitu setiap perkataan dan perlakuan yang tujuannya Riya' — Bukan kerana Allah, sebaliknya mempunyai tujuan2 yang menyimpang. 


Sesungguhnya Riya' boleh terjadi pada perbuatan atau perkataan apa pun.  Dan boleh terjadi kepada sesiapa pun dari kalangan orang awam atau salikin yang masih di dalam mujahadah.


Riya' boleh terjadi ketika beribadah khusus atau ibadah umum. 

Riya' boleh terjadi kepada orang jahil atau orang alim (alim di dalam fiqh).   

Riya boleh terjadi kepada orang kaya dan juga orang miskin.  


Pendekata setiap orang awam terdedah kepada penyakit hati yang kedua besar ini, iaitu Riya'.   Nafsu dan syaitan sentiasa bekerja untuk memesongkan niat dan perlakuan seseorang kepada Riya' serta kesyirikan yang lain.  


SIRI 27 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.2 Dosa Besar Kedua : Riya'

sambungan.....


Sendi2 Utama Riya'


Menurut Imam Ghazali terdapat 3 sendi utama Riya :


Sendi Pertama :   Maksud Riya' itu sendiri

Sendi Kedua :       Perkara yang diRiya'kan

Sendi ketiga :       Yang diRiya'kan kerananya


Penjelasan:


Sendi Pertama: Maksud dari Riya' itu sendiri:

Ini terdiri dari 4 cabang:


Cabang pertama:

Orang yang ibadahnya  BUKAN tujuan Ibadah kepada Allah, tetapi semata2 Riya'.   Orang ini mengerjakan ibadah di hadapan manusia.  Sebaliknya jika sendirian dia TIDAK akan memperbuatnya.    Atau dia sedekah di hadapan orang kerana bimbang kecelaan manusia, jika dalam keadaan sendirian dia tidak akan sedekah.   Ini tingkat Riya' paling buruk dan terkutuk.


Cabang kedua :

Orang ini bermaksud ibadah kerana Allah tetapi maksudnya sangat lemah, lebih kepada pujian.  dia tidak akan memperbuat ibadah tersebut jika sendirian.  Jika dia memperbuatkan juga ibadah, maka  terselit niat Riya' di dalamnya.


Cabang ketiga :

Bahawa dia mempunyai maksud Ibadah dan Riya' sama kuat. Jika terlepas dari salah satunya dia akan tinggalkan Ibadah. Sebaliknya apabila berkumpul kedua2nya (tujuan Ibadah kerana Allah dan masa yang sama Riya' menunjuk2)  dia akan melakukan Ibadah.


Cabang keempat :

Bahawa dia bertambah rajin dan bertambah kuat ibadahnya apabila dilihat oleh manusia.  Ketika sendirian dia tetap ibadah juga namun tidak sama rajinnya seperti ketika dihadapan manusia.  Misalnya ketika di hadapan manusia dia solat sunnat  20 rakaat. Tetapi di belakang manusia dia hanya solat sunnat 2 rakaat.  


Sendi kedua: Perkara yang di Riya'kan:

Bagi sendi kedua ini terdapat dua cabang:   Riya' dengan pokok Ibadah dan  Riya' dengan sifat2 Ibadah


Cabang Pertama:  Riya' dengan pokok Ibadah.  

Tingkat 1 : Riya' dengan pokok Iman.     Orang ini zahirkan Islam sedangkan hatinya menolak, ertinya dia pura2 beriman sedangkan hakikatnya dia munafiq.


Tingkat 2 :  Riya' dengan pokok2 Ibadah seperti Solat, Zakat, Haji, Da'wah, Jihad dll


Tingkat 3 :  Riya di dalam melakukan Ibadah Sunnat seperti Solat Tahajjud, solat dhuha, sedekah sunnat dll.


Cabang kedua:   Riya' dengan sifat2 Ibadah

Tingkat 1 :  

Membaguskan ibadah supaya tidak dicela orang... .  seperti ruku' dan sujud dengan bagus ketika di hadapan manusia. Atau mengeluarkan sedekah yang bagus2 ketika ada orang memerhatikannya.  Tujuannya supaya manusia tidak mencelanya.


Tingkat 2 : 

Baguskan sifat ibadah sebagai menunjukkan kelengkapannya di dalam ibadah.   Misalnya di dalam solat — lebih lama ruku', lama sujud dsb. ketika di hadapan orang.   Apabila  Sedekah — lebih banyak sedekah apabila dilihat orang akan sedekahnya.    Sedangkan apabila di belakang manusia tidaklah demikian melainkan dibuat sesuka hati tanpa memerhatikan kesempurnaannya.     (Perbezaan antara Tingkat ini dengan Tingkat  1 adalah :   Yang pertama elokkan ibadah supaya jauh dari kecelaan manusia sedangkan yang kedua mencari kebagusan, kelengkapan didalam ibadah).


Tingkat 3 :  

Baguskan ibadah dengan tambahan2 yang sunnat2 dan mencari keutamaan. Misalnya datang awal ke Masjid.  Duduk di saf pertama Masjid.


Sendi ketiga : Yang diRiya' kerananya;

Terdapat tiga tingkatan:


Tingkat 1 : 

Elokkan ibadah serta menunjuk2  kebaikan dan wara' supaya tetap dapat melakukan ma'siat.  Maksudnya dia melakukan segala kebaikan serta keelokan ibadah dan akhlaq supaya terkenal sebagai orang yang baik dan amanah. Maka dia diserahkan jabatan2 penting atau dilantik menjadi pegawai agama.   Apabila mendapat jabatan atau jawatan penting, maka digunakan untuk kepentingan nafsunya serta ma'siat.


Tingkat 2 :

Mengelokkan ibadah untuk tujuan harta duniawi atau kerana wanita.


Tingkat 3: 

Menzahirkan keelokan di dalam ibadah dan akhlaq supaya dipuji sebagai zuhud dan ahli tasawwuf dsb


Catitan :


Penerangan Imam Ghazali ini agak rumit difahami bagi orang awam atau salikin yang mubtadi.  Jika kurang faham atau tak dapat memahami maksudnya dengan tepat, cuba baca berulangkali.  Jika masih keliru boleh tanya terus kepada Tn Guru. 


SIRI 28 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Punca Penyakit Riya':


Apakah punca terjadi Riya?


Mengapakah seseorang suka menunjuk2 amal dia?


Mengapakah seseorang yang beramal banyak ingin menunjukkan dia mampu beramal banyak kepada orang lain?


Mengapakah mereka yang melakukan Riya' tetap dan gemar melakukannya walaupun mereka tahu sekalian amal mereka yang Riya' akan terbatal terhapus semuanya?


Apakah puncanya orang alim fiqh (yang mahir syari'at semata2) juga seringkali  jatuh kepada Riya'?


Apakah puncanya orang alim fiqh (yang mahir di dalam ilmu syari'at semata2) tidak mampu melepaskan diri dari Riya' meskipun dia cuba hindarinya?    ( contohnya Imam Ghazali — iaitu sebelum beliau menempuh Jalan Ma'rifat dengan bimbingan Mursyidnya)


Jawapannya :

Punca terjadinya Riya' adalah kerana  :  Hatinya telah terhijab (terdinding) dari Allah Ta'ala


Apabila hati insan terhijab dari melihat Allah Ta'ala, maka ketika itu apa yang dilihatnya adalah makhluq.  Terbayang dalam ingatannya adalah makhluq.  Terupa di dalam bayangan hatinya adalah makhluq.   Maka jadilah segala Ibadahnya tertumpu kepada makhluq.   Maka jadilah suasana hati ingin memperlihatkan amalnya kepada makhluq serta mencari kemasyhuran. 


Meskipun pada awalnya ibadahnya dia melafazkan "kerana Allah"  namun hatinya tergelincir kepada Riya' kemudiannya — sama ada di pertengahan atau setelah selesai ibadah tersebut.


Jika diusul lagi, apa punca hati terhijab, maka jawapannya : 

Hati terhijab kerana wujud unsur2 kegelapan yang menutupi mata hatinya.  


Asal insan adalah suci.  Ruhnya di alam Nur adalah di dalam keadaan suci dan memandang kepada Allah Ta'ala.   Sekalian ruh insan menyaksikan Zat Allah serta menjadi saksi bahawa Allah adalah Tuhan mereka.


✨🕌✨ Firman Allah :

وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡ‌ۖ قَالُواْ بَلَىٰ‌ۛ شَهِدۡنَآ‌ۛ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Bahkan (Benarlah Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Qiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.

[Al-A'raf (7) : ayat 172]


Namun apabila ruh insan itu di turun ke muka bumi, terhijablah (terdinding) dia dengan beberapa lapisan hijab Nur (cahaya) dan beberapa lapisan zulmat (kegelapan), maka tidaklah dia dapat memandang kepada Allah Ta'ala lagi.   Kedua2 bentuk hijab ini menjadikan insan jauh daripada Allah Ta'ala.   


Ketika dia terhijab dan jauh dari Allah Ta'ala, maka ketika itu dia akan melihat kepada makhluq semata2.  Ertinya segala ibadahnya tak mampu dipersembahkan kepada Allah Ta'ala dengan suci murni. Sebaliknya akan terselit di dalam nya niat lain yang menyimpang dari kebenaran hakiki.


Maka keseluruhannya, punca penyakit ini kembali kepada persoalan "hati", BUKAN persoalan jasmani.  Oleh sebab itu Penyakit Riya' yang amat berat ini TIDAK mungkin dapat dihilangkan dengan latihan fizikal.  Atau sekadar bacaan2. Atau sekadar berulang2  teori2 kebaikan ibadah.  Atau sekadar bersyarah dan ceramah.   


Jika demikian bagaimanakah caranya seseorang mampu hapuskan penyakit Riya'   dari hatinya secara mutlaq?


SIRI 29 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Merawat Hati dari Penyakit Riya':


Riya' adalah penyakit hati yang amat berat — di bawah sedikit dari sifat Takabbur.   Penyakit Riya' yang berat ini BUKAN sahaja terkena kepada orang awam yang jahil tetapi juga kepada orang alim syari'at semata2   (maksudnya adalah orang alim yang menguasai berbagai bidang ilmu fiqh, usuluddin, nahwu, sarf, mantiq, bayan, badi' dll yang bersifat zahir tetapi jiwanya kosong dari penghayatan Tasawwuf) 


Bahkan orang yang alim di dalam Syari'at (semata2)  lebih terdedah kepada Riya'  disebabkan kelebihan ilmu syari'at yang mereka miliki.  Sijil, gelaran, pangkat dan kedudukan di mata masyarakat menjadi dorongan kepada Riya'.     Banyak sekali terjadi pada zaman terdahulu, mereka yang bergelar "Ulama" yang hanya menguasai Ilmu Syari'at semata2 "jatuh" kepada Riya' tanpa mereka sedari.  Namun TIDAK semua hanyut di dalamnya, sebahagian Ulama mendapat petunjuk untuk menyedari bahawa mereka sedang berada di jurang kebinasaan.


Sebagaimana yang telah kami sebut berulangkali sebelum ini, contoh paling besar dalam sejarah Ummat berkenaan hal ini  adalah kisah Imam Ghazali yang menguasai berbagai bidang ilmu Syari'at zahir namun gagal menewaskan nafsu2 rendah sehingga terperangkap di dalam kemelut hati yang menarik kepada Riya'.  


Berikut adalah perkataan beliau sendiri,  


“Aku lihat diriku tenggelam dalam samudera godaan dan rintangan. Segala pekerjaanku dan yang terbaik ialah mengajar dan mendidik kutinjau sedalam-dalamnya....  Jelas, aku sedang memperhatikan beberapa ilmu yang tidak penting untuk perjalanan ke akhirat.  Apa niat dan tujuanku dengan mengajar dan mendidik, nyatalah tidak sebenarnya ikhlas yang murni kerana Allah Taala, melainkan dicampuri oleh pengaruh  ingin kepada kedudukan dan kemasyhuran  (Riya').  Maka terasalah kepadaku bahwa aku sedang berdiri dipinggir  jurang yang curam , di atas tebing yang hampir gugur.  Aku akan jatuh ke neraka jika tidak segera merubah sikap.

[Petikan kitab Munqiz Min-Adh-Dholal)


Perhatikanlah :

Walaupun Imam Ghazali telah sudah memiliki ilmu yang banyak di dalam Agama (ilmu Syari'at zahir), sudah pun menjadi Hafiz Qur'an ketika umur beliau 6 tahun, mencapai gelaran Hujjatul Islam,  namun beliau masih  belum memperoleh "ikhlas" yang sesungguhnya.   Pada ketika itu (ketika beliau Alim fiqh)  beliau belum dapat melepaskan diri dari cengkaman dunia dan kemasyhuran.  Beliau masih terumbang-ambing antara ikhlas dan Riya'.


Perhatikanlah :

Jika seorang Ulama yang sudah demikian tinggi ilmu nya di dalam Syari'at belum mampu melepaskan diri dari cengakaman Riya', maka betapa orang2 lain yang kurang ilmunya berbanding dengan beliau.  Jika dibuat perbandingan antara cerdik pandai Agama pada zaman ini yang mempunyai gelaran Dr, PhD, Drs, Kiyai, Master dll  dengan Imam Ghazali, ilmu mereka semua tidak sampai sebesar tumit Imam Ghazali, maka betapa mereka mampu melepaskan diri dari cengkaman Riya' ?


Jika ditanya mengapa terlalu sukar untuk melepaskan diri dari cengkaman Riya', maka jawapannya.....


Riya' ini adalah penyakit yang berakar umbi di dalam hati. Riya' mencengkam dan menguasai hati sekuat2nya.  Riya' BUKAN penyakit luaran yang mampu dirawat dengan rawatan mudah melalui teori2,  bacaan2, ceramah2.  Tidak mungkin! 


SIRI 30 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Merawat Hati dari Penyakit Riya':

(sambungan)


Jalan paling benar dan paling berkesan untuk merawat penyakit ini serta hapuskannya terus dari hati adalah dengan mengambil rawatannya dari Mursyid yang Siddiq.  Mursyid yang Siddiq adalah Warisatul Anbiya yang sebenar yang memiliki ubat serta penawar bagi segala penyakit hati manusia.  Mereka mewarisi Sistem Tarbiyyah Rasulullah ﷺ      Mereka adalah doktor ruhani yang  di Kurniakan oleh Allah berbagai ilmu yang mendalam berkenaan hati dan ruh insan. 


Dengan melazimkan diri di bawah pimpinan Mursyid yang siddiq,  seseorang Muslim dapat hapuskan terus  Penyakit Riya' ini dari hatinya dengan cara mencabut Riya' dari akar umbinya.  Ketika penyakit Riya ini (dan juga penyakit2 hati yang lain) terhapus, maka pada saat itu benar Tauhidnya serta ikhlas segala ubudiyyahnya.  Namun perlu diingat, ini BUKAN perjuangan setahun atau beberapa tahun , tetapi perjuangan lama serta istiqamah melaksanakan Syari'at dan Toriqat  Rasulullah ﷺ.  dengan pimpinan Mursyid yang siddiq.   Demikianlah terjadi kepada para Sahabat Ridhwanullah serta sekalian Masyaikh terdahulu yang mewarisi Nubuwwah dan Risalah Junjungan Besar Rasulullah ﷺ. 


Kaedah yang tersebut di atas adalah  kaedah pertama serta Sistem Terunggul bagi mendidik hati dan Ruh manusia yang diwarisi turun-temurun dari Sistem Pendidikan Rasulullah ﷺ.  Sistem ini hanya ada pada Mursyid yang siddiq.  


Bagi orang awam yang belum menemui seorang Mursyid yang siddiq, maka Kaedah melawan penyakit Riya' ini adalah dengan jalan "menggagahi" atau "cuba2"  atau dengan cara "memaksa diri" atau "buat2 seolah2 tidak Riya' ".   Kaedah ini TIDAK menghilangkan Penyakit Riya', tetapi hanya bertahan supaya penyakitnya tidak menjadi lebih teruk dan parah.   


Jalan Orang Awam  :


(1) Sentiasa waspada bisikan hati :  

Apabila datang Riya',  cepat2 potong perasaan tersebut.  Dan ini amat payah kerana ketika datang Riya',  seseorang telah tenggelam di dalam penyakit tersebut.   Dosa Riya' akan dihitung berapa lama dia Riya' dan berapa banyak dia Riya'

Jika dia cepat sedar dan taubat saat itu juga,  maka harapan kita adalah : Moga Allah berikan keampunannya.


Jika Riya' berpanjangan, (pelakunya tidak sedar dan tidak taubat segera), maka akan sia2 lah segala amalnya. Wal Iyazubillah


(2) Sentiasa memeriksa niat pada tiga tempat :

Pertama      :     ketika awal ibadah / amal

Kedua        :     di pertengahan ibadah / Amal

Ketiga        :     bila selesai ibadah / Amal


Maksud dari pernyataan ini adalah :  TIDAK memadai bagi seseorang niat ikhlas pada awal perbuatan / Ibadah / amal kerana hati akan berubah2 sepanjang melakukan ibadah / amal.  Boleh jadi pada awalnya hatinya Ikhlas kerana Allah Ta'ala, tetapi di pertengahannya hatinya cenderung kepada Riya'.  Atau di permulaan dan pertengahan ibadah /amalnya niatnya bersih, tetapi pada penghujungnya niat hati tergelincir jatuh kepada Riya.


(3) Lazimkan baca Mu'awwizatain  (surah Al-Falaq dan An-Nas).  

Setiap kali berdiri untuk melakukan Solat,  atau ibadah lain seperti baca Qur'an..... baca dulu kedua surah ini berulang beberapa kali ;  3 kali atau 7 kali atau lebih.


(4) Sentiasa ingat bahawa diri sendiri tiada apa2 melainkan semuanya milik Allah.  Apabila semuanya milik Allah, maka tiada hak sedikit pun bagi seseorang melakukan Riya',  tiada sedikit pun ruang untuk mencari kemasyhuran dan kelebihan di mata manusia.


(5) Lazimkan Taubat sebanyak2nya atas dosa Riya'.


(6) Lazimkan Zikir La-Ilaha-Illallah, dengan sebanyak2nya.   Moga segala bentuk Riya' yang  menetap dalam hati dikifaratkan dengan Taubat dan Zikir Kalimat Tauhid ini.


Kesimpulannya bagi merawat hati yang berpenyakit berat ini ( sama seperti merawat penyakit Takabbur),  ada dua jalan :


Jalan Pertama :

Mengambil rawatan keruhanian dengan Mursyid yang Siddiq, yang merupakan doktor ruhani yang mewarisi segala Sistem Pendidikan Rasulullah ﷺ   Inilah jalan khusus yang telah ditempuh oleh sekalian Sahabat Nabi, Tabiin, Tabiit Tabi'in, sekalian Pewaris Nabi yang mengikuti mereka sampai Qiamat.


Jalan Kedua :  

Dengan jalan menggagahi diri, atau cuba sedaya-upaya menjauhkannya. Dan ini adalah cara orang awam yang tiada Mursyid yang Siddiq sebagai Pemimpinnya.



Bersambung siri  31  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

       🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳  


        

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 390) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...