A11: KEWAJIPAN AMALKAN TASAWWUF-TORIQAT (9)


■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

KEWAJIPAN AMALKAN TASAWWUF-TORIQAT

( Siri 101)

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


( 1 ) Dosa Besar Pertama : Takabbur

sambungan....


Tanda2 wujud Takabbur:


Sebagaimana telah dibicarakan sebelum ini, Takabbur itu timbul di dalam hati serta menetap di dalam hati.  Walau bagaimanapun kebanyakan manusia yang memilki sifat Takabbur tidak dapat menahan diri dari menzahirkan sifat Takabbur itu di dalam perkataan dan tingkah laku.  Maka tanda2 Takabbur itu terlihat di dalam ucapannya atau tingkah lakunya.


Asas kepada tanda2 ini dapat difahami dari Hadith Rasulullah ﷺ, iaitu dua perkara :

Pertama   : Meninggikan diri serta menghina orang lain.

Kedua     :  Menolak kebenaran


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat  takabbur sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.“

[Imam Muslim]


Rasulullah   ﷺ telah memberikan indikasi Tanda Takabbur pada diri seseorang iaitu :  'Menolak kebenaran" dan "menghina orang lain".  Daripada dua tanda Takabbur ini, bercabang2 pula banyak lagi tanda2 lain menunjukkan kepada wujud sifat Takabbur di dalam diri seseorang,  sebagaimana dijelaskan oleh sekalian Ahli Ma'rifat. Semua orang Islam WAJIB mengetahuinya serta menjauhkannya.


Berikut adalah sebahagian besar dari tanda2 yang terlihat pada orang yang Takabbur. Kita mulai dengan menyebut secara khusus dua Tanda sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah  ﷺ, kemudian diikuti dengan cabang2 yang terbit daripada dua Tanda tersebut.  Perhatikan baik2, ambil pengajaran.


Tanda Pertama:

Gemar bercakap besar membangga-bangga diri dengan kebolehannya, serta memandang remeh  kemampuan orang lain.


Contoh :

■ dia berkata: "Ini semua hasil kecerdasan dan kepandaianku, kamu semua tak tau apa2"

■ dia berkata:  "Aku yang buat semua ini, kalaulah aku tak ada,  tak siapa mampu buat"

■ dia berkata:  " Kalau bukan kerana kebijaksanaan aku, sudah lama Negara ini muflis."

■ dia berkata: "Kalau bukan kerana kecekapan aku, kamu semua sudah lama mati."

■ dia berkata : "Semua kejayaan ini adalah hasil usahaku yang gigih, tak ada siapa pun mampu buat semacam ini"


Ini adalah penyakit paling besar bagi orang Islam yang suka Takabbur. Mereka akan cuba meyakinkan orang awam bahawa diri mereka yang terbaik, diri mereka paling hebat, diri mereka yang unggul sempurna sedangkan lawannya atau orang lain tak dapat menandingi kehebatannya.  Mereka akan cuba menonjolkan diri mereka sebagai yang terbaik sementara orang lain akan dikatakan sebagai "buruk", "tidak cekap",  "lemah", "pemalas"  dsb.   agar orang lain kelihatan hina pada pandangan orang awam.


Siri 102 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


( 1 ) Dosa Besar Pertama : Takabbur

sambungan....


Tanda Kedua : Menolak kebenaran / Tidak menerima kebenaran.


Hal ini memerlukan perbincangan luas serta penelitian amat halus. 


Apakah maksud "menolak kebenaran"?

Apakah kaitannya dengan Hadith  Rasulullah ﷺ yang menyebut "menolak kebenaran" sebagai tanda Takabbur?

Apakah maksud "kebenaran"?

Bagaimanakah menentukan "kebenaran dan petunjuk benar"  dengan "kebatilan dan kesesatan"?

Siapakah yang berhak menentukannya?

Apakah dasar dan Prinsip penentuan tersebut?


Di dalam hal ini, apabila bertembung dua kelompok atau lebih yang mempunyai pegangan yang berlawanan,  sudah tentu masing2 akan mempertahankan pendapat masing2 sebagai benar sementara lawannya adalah salah dan batil.  Jika demikian bagaimanakah jalan penyelesaiannya?


Jawapannya:

Kebenaran itu hanya wujud di dalam Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang benar (tulen).   Dasar Pegangan Ahlus Sunnah yang benar adalah berpegang teguh dengan Al-Qur'an, Hadith serta Fatwa Ulama Mu'tabar.  


Ulama Mu'tabar adalah Ulama bertaraf Auliya Allah yang mempunyai susur galur pengambilan Ilmu amal turun-temurun dari Junjungan Besar Rasulullah ﷺ.  Merekalah Mursyid (Penunjuk Jalan benar) kepada Ummat ini sepanjang zaman.  Merekalah Khalifah Rasulullah ﷺ yang bermula dari Khulafa' Ar-Rasyidin, sambung-menyambung tiada putus sampai Qiamat.  Merekalah Ahli Ma'rifat yang mewarisi Nubuwwah dan Risalah Baginda ﷺ.  Mereka sentiasa Musyahadah (menyaksikan wajah Allah) serta di dalam Pimpinan Ruhaniyah Rasulullah  ﷺ.  Mereka tidak akan sama sekali berdusta.  


Dengan demikian, selain dari Ahlus Sunnah yang benar (tulen), hanyalah kebatilan dan kesesatan. Tidak wujud kebenaran selain dari yang telah nyatakan oleh sekalian Ulama Mu'tabar yang telah memperoleh Rahmat Allah.


Jika wujud satu golongan mengaku mereka Ahlus Sunnah, sedangkan pegangan mereka adalah mengikut Syi'ah (rafdhi) atau mengikut fahaman Wahhabiyyah (Khawarij) atau mengikut fahaman Sekular ( Liberal) atau fahaman sesat yang lain, maka tidak syak lagi mereka adalah golongan sesat yang pura2 mengaku Ahlus Sunnah.  Mereka adalah Ahlus Sunnah PALSU. TIDAK wujud "kebenaran" pada Ahlus Sunnah PALSU...!


Jika di sana terdapat satu golongan mengaku Ahlus Sunnah, periksalah siapa pemimpin mereka, adakah pemimpin mereka Ulama Mu'tabar yang benar2 mewairisi Rasulullah ﷺ, atau mereka hanya penyamar dan pendusta.   Pengakuan bahawa mereka juga mengikut Al-Qur'an dan Sunnah BUKAN penentuan mutlaq. Ini kerana golongan munafiq juga mengaku mereka mengikut Al-Qur'an dan Sunnah, sedangkan mereka hanya pura2.  Maka mana mungkin meletakkan pergantungan atas pengakuan tersebut.?


Neraca sebenar penentuan kebenaran atau kebatilan adalah dengan memerhatikan siapa Pemimpin mereka - adakah Pemimpin mereka Ulama Warisatul Anbiya yang sebenar atau Pemimpin mereka adalah dari golongan Syi'ah (rafidhi) atau Wahhabiyyah (khawarij) atau lain2nya.


Dengan demikian yang dimaksudkan dengan "menolak kebenaran" adalah menolak Ahlus Sunnah yang benar (tulen) yang dipimpin oleh Ulama Mu'tabar / Ulama Warisatul Anbiya yang sebenar.   Siapa saja menolak "kebenaran" Ahlus Sunnah yang benar (tulen), maka mereka itulah golongan Takabbur dan tersesat jauh dari petunjuk Allah,  Wal Iyazubillah


Siri 103 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


( 1 ) Dosa Besar Pertama : Takabbur

sambungan....


Tanda Ke-3 :

Tidak suka menerima nasihat, teguran baik daripada orang lain.  


Tanda Ke-4:

Apabila orang menegur kesalahannya (yang nyata dia salah pada pandangan Ahlus Sunnah), dia menyombong dan segera bangkit menyalahkan orang yang menegurnya sebagai tidak pandai bagi nasihat.  Bahkan dia menuduh penda'wah pula sebagai sombong.  Ini salah satu cara melepaskan diri daripada dia dianggap "penentang" yang menyombongkan diri.


Tanda ke-5:

Susah minta maaf walaupun sedar dia sudah buat kesalahan yang nyata.  


Tanda ke-6:

Merasakan diri mulia dan orang lain tak layak menasihati dia. 


Tanda ke-7:

Selalu menyebut2 serta bermegah-megah dengan suatu perkara dunia atau  kelebihan ibadahnya.  


Tanda ke-8:

 Segera bangkit ammarah jika pendapat (akal) dia ditolak.  


Tanda ke-9:

Gemar  memaksakan kehendak dan pendapat sendiri.  Jika tak diterima dia terus merajuk atau bermusuh.   


Tanda ke-10:

Hanya  bergaul dan berteman dengan orang2 setarafnya.  Jika dia dari keturunan mulia, dia hanya bergaul dengan teman2 keturunannya.  Jika orang berpangkat, dia  hanya bergaul dengan teman2 sama pangkatnya serta menganggap orang lain hina. 


Tanda ke-11:

Gemar mendoakan kejahatan / keburukan pada orang Mukmin lain.  (anggap diri mulia dan hinakan orang lain)


Tanda ke-12:

Gemar kepada pujian dan sanjungan manusia (merasakan diri mulia).  Marah jika tidak menerima pujian. 


Tanda ke-13:

Sangat sukacita orang lain memulai memberi salam kepada dia, kerana merasakan dirinya lebih berilmu dan lebih mulia.


Tanda ke-14:

Sangat suka orang lain bangun berdiri memuliakannya dan marah  bila orang tak berbuat demikian.


Tanda ke-15:

Sukacita orang lain menjadi khadim, berkhidmat kepadanya seperti menyediakan tempat duduk istimewa, sediakan makan minum dan marah jika tidak dibuat demikian,  kerana mengganggap dirinya sangat mulia dan lebih dari orang lain.

(Adapun murid berkhidmat kepada Mursyidnya adalah suatu hal berlainan kerana murid dituntut khidmat kepada Gurunya sebagai suatu adab terpenting bagi memperoleh kejayaan pada Jalan Ma'rifat) 


Tanda ke-16:

Sukacita dan megah orang ziarah kepada dia dan tidak suka ziarah kepada orang demi menjaga satatus kemuliaannya.


Tanda ke-17:

Gembira mendengar orang lain memujinya sebagai Ahli Ibadah, wara' dan zuhud.


Tanda ke-18:

Suka marah - marah serta  membentak - bentak berlebih2an apabila mengajar atau sampaikan suatu pada orang yang tidak tahu.


Demikianlah tanda2 wujudnya Takabbur di dalam diri seseorang,  Boleh jadi terdapat lebih dari apa yang telah disebut. Tujuan kami huraikan hal ini adalah agar setiap orang yang membacanya mengambil i'tibar dan cuba sedaya upaya menjauhinya.  BUKAN tujuan di sini menyalahkan orang lain.  


Penjagaan:

Perlu diingat juga TIDAK semua yang dilihat sebagai Takabbur itu sebenarnya Takabbur. Kemungkinan  "gaya" atau "perkataan"  yang kelihatan seperti Takabbur itu BUKAN Takabbur, seseorang itu memang sifatnya yang asli, bukan Takabbur.  Maka di dalam hal ini dia TIDAK dikatakan Takabbur. Perbincangan lanjut berkenaan ini. In shaa Allah.


Siri 104 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


( 1 ) Dosa Besar Pertama : Takabbur

sambungan....


Larangan Menuduh Orang Lain Takabbur


Hendaklah difahami sungguh2,  tujuan dibentangkan ilmu berkenaan Takabbur (dan juga sekalian sifat2 kecelaan HATI yang menjerumuskan seseorang kepada dosa besar, seperti akan datang huraiannya)  adalah untuk MUHASABAH DIRI, melihat ke dalam diri sendiri, cermin diri,  dan kemudian berusaha sungguh2 menyucikan HATI dari sifat2 tersebut dengan mengikut panduan Ulama Mu'tabar. Ia BUKAN bertujuan menyelidiki hal ehwal orang lain, BUKAN menilai orang lain dan BUKAN menjatuhkan hukum atas orang lain berdasarkan pandangan mata kasar / perlakuan fizikal.  


Meskipun tidak dinafikan, pada suatu sisi pandangan yang kritis, perlunya seseorang atau sekumpulan orang beriman bertanggungjawab menegur mereka2 yang terang2 bersifat Takabbur agar disempurnakan tanggungjawab Amr bil ma'ruf Nahyi Anil Mungkar  (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran), namun ianya BUKAN boleh dilakukan sewenang2nya oleh semua orang. Ini kerana wujud kesamaran dan kepayahan di dalam menentukan sama ada seseorang itu benar2 bersifat Takabbur atau perlakuannya (perkataan atau tingkahlaku) hanya sifat semulajadi yang wujud pada dirinya, bukan sebab Takabbur.


Sebagaimana telah termaklum sifat Takabbur tumbuh dan menetap di dalam hati pada permulaan, kemudian terkeluar  ke dalam perkataan, sikap dan tingkah laku.  Memang benar sebahagian dari sifat Takabbur akan terlihat pada zahir perkataan, sikap dan perbuatannya, namun untuk menuduh seeorang itu bersifat Takabbur memerlukan penelitian yang amat halus.  Jika tersalah langkah tuduhan itu akan kembali kepada orang yang menuduhnya.  Ertinya seseorang yang menuduh orang lain sebagai Takabbur tanpa haq (menuduh sewenang2nya tanpa hujjah yang nyata), maka ditakuti orang yang menduh itu sebenarnya Takabbur.


Contoh 1 :  Seseorang lelaki berjalan dengan membusung dada nya, kelihatan seolah2 berjalan dengan sombong... TIDAK semestinya dia sombong, kerana kemungkinan itu sifat kejadiannya yang asli.


Contoh 2 :  Seseorang lelaki yang memakai jubah meleret, TIDAK semestinya melakukan Takabbur.  Kemungkinan dia tiada jubah lain atau kemungkinan dia gemar memakai jubah meleret sedangkan dia tiada sifat kesombongan di dalam hatinya.


Contoh 3:  Seseorang yang sentiasa memakai pakaian mewah dan mahal tidak semestinya Takabbur. Boleh jadi dia memakai pakaian mewah lalu mensyukurinya.


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :


“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat  takabbur sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.“

[Imam Muslim]


Di dalam hadith ini kita dapat mengambil faedah, memakai pakaian yang bagus yang kelihatan mewah TIDAK semestinya menunjukkan dia takabbur. Jika dia memakainya dengan menunjuk² kesombongan- nya, maka itu adalah Takabbur. Sebaliknya jika dia memakai nya BUKAN menunjuk² kemewahananya atau menunjuk² sifat kesombongannya, maka TIDAK boleh d hukum sebagai Takabbur. Apa lagi dia memakai pakaian bagus dan mahal tetapi dia mensyukuri Ni'mat Allah yang Mengurniakannnya pakaian yang bagus, maka itu adalah terpuji.


Demikian lagi apabila Pemimpin, pendidik dan pembimbing bersikap tegas kepada orang yang dipimpinnya, adakalanya ucapannya kelihatan seperti sombong, sedangkan hakikatnya bukan demikian.  Kemungkinan Pendidik bertujuan memberikan pengajaran kepada golongan tertentu yang degil dengan teguran keras, maka itu BUKAN kesombongan.

Demikianlah contoh² lain yang serupa dengan perbandingan ini. Sebahagian dari perbuatan, perkataan, sikap, tingkah laku manusia TIDAK semestinya melambangkan sifat Takabbur, seballiknya wujud kemungkinan2 lain di sana sehingga dilarang menghukum terus seseorang semata2 kerana penampilan zahiriyahnya.


Jika ada yang bertanya bilakah seseorang dihukum Takabbur kerana penampilan zahiriyahnya, maka jawapannya memerlukan penelitian :


Yang pertama : 

Secara umumnya TIDAK perlu menilai orang lain, sebaliknya masing² muhasabah diri, betulkan niat hati serta sentiasa waspada tipu daya nafsu dan syaitan. (akan datang penjelasan bab ini) 


Yang kedua:

Harus membuat pertimbangan atas perlakuan seseorang dengan tujuan da'wah iaitu meluruskannya  dengan bijaksana. 


Apabila seseorang melafazakan ungkapan2 yang jelas menunjukkan Sifat Takabbur, misalnya seseorang yang berketurunan bangsawan bermegah² dengan keturunannya... 


atau contoh lain...


Seorang Profesor berkata, semua orang lain bodoh, hanya dia seorang saja bijak dan paling mengetahui hal ehwal suatu urusan... 


Atau contoh  lain....


Seorang pemimpin Negara berkata, negara menjadi maju disebabkan kehebatan dia mentadbir. 


Contoh² di atas adalah jelas perbuatan Takabbur yang dilarang dan memerlukan pencegahan. Golongan2 sombong ini wajib dinasihati oleh mereka yang bertanggungjawab.


Rumusan ringkas di dalam bahagian ini adalah:


1. Jangan cepat menuduh seseorang sebagai Takabbur semata² kerana penampilan luar yang kelihatan seolah² Takabbur. 


2. Jika dia seorang Guru atau Pemimpin atau penda'wah, maka harus dia meneliti sungguh² akan tanda² Takabbur pada diri seseorang di bawahnya sebelum dia menasihati dan meluruskannya. 


3. Jika seseorang menuduh orang lain Takabbur semata² atas sangkaannya, sedangkan orang yang di- tuduh tidak demikian, maka tuduhan itu akan kembali kepada si penuduh.


Maka awasi hati kalian masing², JANGAN terjebak dengan perbuatan Takabbur dan JANGAN juga cepat menuduh orang lain Takabbur tanpa usul periksa atau semata² sangkaan. 


Siri 105 :

 

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


( 1 ) Dosa Besar Pertama : Takabbur

sambungan....


Takabbur Yang diHaruskan:


Takabbur / sambong pada umumnya adalah dilarang keras dan diancam dengan balasan Neraka serta Kemurkaan Allah Ta'ala sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini.  Hal ini telah sepakat sekalian Ulama Mu'tabar.


Walau bagaimanapun terdapat satu ruangan kecil di mana diharuskan sombong bertujuan mendirikan Haq Agama, Haq Allah Ta'ala serta meluruskan manusia kembali kepada Tauhid.  Sombong yang diharuskan ini BUKAN kesombongan yang hakiki yang tertanam di dalam hati / terbit dari hati, tetapi ia bersifat luaran yang semata2 bertujuan mendidik.    Dengan demikian keharusan "sombong" ini TIDAK diambil mudah atau sewenang2nya dilakukan oleh mereka yang berkenaan, melainkan hendaklah dengan penuh hati2 serta mematuhi syarat2nya yang ketat. Ini adalah kerana wujudnya bahaya kegelinciran kepada Takabbur yang hakiki. 


Dalil kepada keharusan ini adalah berdasarkan Kalam Allah Yang Maha Tinggi...

✨🕌✨ Firman Allah Ta'ala :

سَأَصۡرِفُ عَنۡ ءَايَـٰتِىَ ٱلَّذِينَ يَتَكَبَّرُونَ فِى ٱلۡأَرۡضِ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّ

"Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar..."

[Al-A'raf (7) : Ayat 146]


Sebahagian Ulama Mu'tabar seperti Imam Fakhruddin Ar-Razi (Mujaddid Kurun ke-6 Hijriyyah)  mentafsirkan  maksud  Kalam  Allah  "  بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّ  "   (tanpa haqq) dengan maksud wujudnya pengecualian Takabbur yang diharamkan. Ertinya sebahagian kecil Takabbur diharuskan namun tujuannya BUKAN kesombongan pada hakikatnya, hanya semata2 "memperlihatkan kesombongan"  TANPA disertai kesombongan dalam hati, bertujuan mendirikan Syari'at.


Takabbur yang diharuskan (dengan syarat dan penjagaan keras) :


Pertama : Takabbur di medan Perang melawan orang kafir harbi.


✨🕌✨ Rasulullah   ﷺ  bersabda :

إِنَّهَا مِشْيَةٌ يُبْغِضُهَا اللَّهُ إِلا فِي هَذَا الْمَوْضِعِ

“Cara berjalan seperti itu ( Nabi  ﷺ menunjukkan kepada Sahabat bernama Abu Dujanah yang berjalan dengan rupa kesombongan ketika di medan Perang Fi Sabilillah) dibenci Allah kecuali dalam keadaan  seperti semacam ini (Jihad Fi Sabilillah)”

[Imam Ath-Thabarani]


Nabi ﷺ memberi isyarat bahawa berjalannya seseorang dengan gaya kesombongan seperti meluaskan kedua tangan dan dada membusung adalah haram dan diMurkai Allah, kecuali ketika di dalam Peperangan melawan musuh2 Allah di Medan Jihad Fi Sabilillah. 


✨🕌✨ Rasulullah   ﷺ  bersabda :

فَأَمَّا الْخُيَلاَءُ الَّتِى يُحِبُّ اللَّهُ فَاخْتِيَالُ الرَّجُلِ نَفْسَهُ عِنْدَ الْقِتَالِ

“Adapun kesombongan yang dicintai Allah adalah kesombongan seorang lelaki pada saat perang (Fisabilllah)” 

[Imam Abu Dawud]


Kedua: Takabbur kepada orang yang gemar melakukan Takabbur :


Takabbur kepada manusia yang gemar memperlihatkan sifat2 kesombongannya secara nyata sama ada dengan perkataan atau tingkah laku, adalah suatu hal yang wajar serta bertepatan dengan hukum syara' sebagaimana dipegang oleh Ahlus Sunnah Wal Jamaah.   


Demikian lagi harus takabbur kepada orang2 bodoh sombong yang menentang tanpa pengetahuan. Atau cerdik pandai Agama yang berlagak seperti Mujtahid menaburkan " fatwa "  mengikut hembusan nafsu dan bisikan Syaitan.   Mereka ini adalah cerdik pandai Agama yang bergelar Profesor, PhD, Drs, Masters dalam Hadith atau Ilmu Fiqh, yang mereka merasakan diri mereka sudah hebat di dalam Agama, lalu sewenang2 mengeluarkan " fatwa " mengikut nafsu.  Mereka menuduh sesat kepada Sambutan Maulid Nabi, Tawassul, ziarah kubur, Majlis Tahlil,  Ilmu Tasawwuf, Toriqat Rasulullah ﷺ, Sungguh golongan ini adalah "sesat" dan "menyesatkan".  Maka wajarlah hadapi golongan ini dengan sifat kesombongan kerana mereka telah menzahirkan sifat kesombongan.

Imam Syafi'e, Imam Munawi, Imam Mulla Ali Qari, Imam Yahya ibnu Mu'az adalah di antara Ulama2 yang menyebut bahawa Takabbur kepada orang yang takabbur adalah harus, bahkan ianya  kebaikan yang terpuji.  


Jika dihalusi dengan bijaksana, cara hadapi golongan yang Takabbur ini dengan Takabbur, adalah pada hakikatnya Amr Bil Ma'ruf Nahyi Anil Mugkar, mencegah kemungkaran!  Maka jadilah pekerjaan ini terpuji kerana mencegah kemungkaran adalah kewajipan atas setiap orang beriman.


Ketiga : Takabbur kepada orang yang zalim


Takabbur kepada orang yang zalim adalah pada hakikatnya suatu bentuk da'wah, suatu bentuk ajakan kepada kebaikan serta tinggalkan tabi'at buruk yang diMurkai Allah Ta'ala.  


Takabbur / sombong kepada Raja yang zalim adalah harus, bertujuan menyedarkan Raja itu dari kezalimannya.  Maksud Takabbur kepada Pemerintah zalim adalah menghinakan perbuatan2 dia yang melampau batas, memberi ingatan kepada Pemerintah tersebut dengan ancaman2 keras agar dia tidak berterusan di dalam kejahatan dia.  


Syarat2 yang wajib diperhatikan oleh orang2 yang melakukan Takabbur yang diharuskan :


(1) Orang berkenaan BUKAN orang yang suka Takabbur, sebaliknya benci sifat Takabbur dan dia melakukannya demi mendirikan Syi'ar Agama / Perintah Allah Ta'ala.


(2) Takabbur itu TIDAK lahir dari hatinya, Takabbur itu BUKAN yang teresap di dalam hati, tetapi hanya semata2 "memperlihatkan kesombongan" pada perlakuan zahir bagi meluruskan seseorang yang tersalah jalan.


(3) Tidak berlebih-lebihan dari kadar yang memadai bagi menyedarkan orang dia menunjuk Takabbur atasnya.


(4) Sekiranya dia BUKAN orang yang mampu menahan perasaan ammarah sehingga berubah niat asal yang bertujuan mendirikan Syi'ar Agama kepada Takabbur yang diharamkan, maka wajib dia jauhkan diri dari melakukannya. Biarkan tugas itu dilakukan oleh orang yang teguh Iman dan Taqwanya.


Siri 106 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


( 1 ) Dosa Besar Pertama : Takabbur

sambungan....


Merawat Hati dari Penyakit Takabbur :


Sesungguhnya penyakit Takabbur adalah penyakit paling besar, paling berat, paling kronik, paling dalam "lukanya" di dalam batin manusia.  Jika diberikan ibarat dengan penyakit fizikal, maka ia bolehlah diibaratkan seperti seseorang yang jatuh dari gaung sehingga patah segala tulangnya, putus urat2nya dan remuk seluruh tubuhnya, namun dia masih bernyawa,.... nyawa2 ikan...!


Demikian suatu ibarat yang dapat dijadikan perbandingan dengan orang yang terkena penyakit Takabbur. Hatinya tenat.  Cahaya Imannya hampir terpadam.  Tauhidnya bercampur2 dengan nifaq dan kekufuran.  Segala amalnya terpadam dimakan oleh api takabbur.  Bagi merawat orang telah terkena penyakit kronik yang "mematikan" ini, diperlukan "doktor keruhanian" yang pakar di dalam hal ehwal hati.  "Doktor keruhanian"  ini mestilah orang yang sangat mahir mengetahui hal ehwal hati dan ruh manusia.  Dia mestilah seorang yang mengetahui rahsia2 bisikan syaitan dan nafsu.  "Doktor keruhanian" ini mesti memiliki penawar dan kaedah rawatan yang tersangat ekslusif yang tidak dimiliki oleh doktor biasa. Sudah pasti dia adalah pakar keruhanian yang terlatih, yang telah melalui perjuangan yang lama sehingga mengenali setiap urat dan nafas dalam batin manusia. Dia bukan manusia biasa.  


Sesungguhnya "doktor keruhanian" dan pakar hal ehwal hati manusia adalah Mursyid yang Siddiq (pewaris Nabi yang muhaqqiq).  Mereka adalah pewaris Nabi yang sebenar  yang mewarisi Nabi zahir dan batin.  Bukan zahir semata2 atau batin semata2, tetapi mereka mewarisi keseluruhan Agama daripada Junjungan Besar Rasulullah ﷺ.  Merekalah pemimpin yang menunjukki manusia jalan lurus kepada Allah Ta'ala.  Di dalam dada mereka sekalian khazanah Nubuwwah dan Risalah.  Allah Ta'ala Kurniakan mereka kelengkapan bagi membimbing manusia kepada Allah Ta'ala dengan selamat.


Dengan berpegang teguh kepada Mursyid yang siddiq, setiap Muslim akan memperoleh kebebasan dari sifat Takabbur (dan juga syirik khafi dan kekejian hati yang lain seperti akan datang huraiannya In Shaa Allah).  Mereka akan melaui rawatan rapi di dalam Madrasah Ahli Sufi / Ahli Ma'rifat.   Sekalian penyakit hati akan dicabut dari akar umbinya sehingga hati menjadi aman sentosa, kemudian disirami dengan cahaya Rabbaniyyah sehingga mencapai Tauhid yang suci murni. Maka jadilah dia hamba yang diRedhai Allah Ta'ala.


Jika ada yang bertanya "adakah semudah itu"?

Jawapannya :  Tidak mudah, bahkan memerlukan kesungguhan menempuh perjalanan yang panjang. Khabar itu hanya ringkasan.  In shaa Allah akan dijelaskan lebih lagi pada masa akan datang.


Orang yang sakit tenat (penyakit tubuh badan kronik atau kecederaan berat) dirawat di hospital berbulan2 lamanya, atau bertahun2 lamanya untuk sembuh... melalui  rawatan rapi (ICU) oleh pakar2 yang sangat profesional.  Apa lagi pesakit keruhanian yang berat, perlu melalui  rawatan yang lama dan  intensif sebelum sembuh.


Inilah kaedah merawat sekalian penyakit² hati manusia yang sebenar yang diambil dan diwarisi daripada Junjungan Besar Rasulullah ﷺ. 


Kaedah ini diwarisi dari satu generasi Mursyid kepada Generasi Mursyid seterusnya melalui kaedah perpindahan yang berdisiplin, amat teliti serta penuh rahsia iaitu melalui "limpahan" Nur Muhammad" serta "Nur Ilahiyyah". 


Oleh yang demikian TIDAK semua orang yang bergelar alim atau Ulama mengetahuinya. Meskipun boleh jadi dia seorang Alim Fiqh, Alim Usuluddin, Mahir di dalam syarahkan Sifat 20, mahir dan Hafiz Al-Qur'an, mahir di dalam Hadith, mahir di dalam berbagai ilmu nahwu, sarf, mantiq, bayan, badi' dll.

Bahkan yang benar adalah sekalian orang yang sudah mahir di dalam ilmu syari'at (mahir di dalam fiqh, Usuluddin, Ilmu Al Qur'an, Ilmu Hadith dan ilmu alat lainnya) sekalipun WAJIB tanpa kecuali masuk ke dalam bimbingan Mursyid yang siddiq bagi menyucikan batin mereka yang dipenuhi berbagai penyakit hati...!


Inilah sebabnya telah sepakat Ulama Mu'tabar bahawa mencari dan berpegang kepada Mursyid yang siddiq adalah WAJIB (Fardhu Ain) kerana TIDAK ada manusia awam yang terlepas dari penyakit hati.


✨🕌✨ Berkata Sultan Auliya, Ghawthul A'zham Shaikh Abdul Qadir Jilan رضي الله عنه :

Takabbur, kemunafikan dan ego, adalah panah syaitan yang tertuju pada hati kamu.  Kamu perlu siapkan satu strategi mempertahankan diri dari serangan2 ini. Formula strategi tersebut telah  diterangkan dan telah dibuktikan oleh Mashaa'ikh (Mursyid yang siddiq). Kamu wajib mendengar baik2  arahan mereka dan mematuhinya.

[Fathur-Rabbaniy Wa Faid ar -Rahmaniy]


✨🕌✨ Imam Al-Ghazali  رضي الله عنه berkata,

“Bergabung dengan kalangan Sufi (Mursyid yang Siddiq) adalah fardhu ‘ain. Sebab tidak seorang pun terbebas dari ‘aib atau kesalahan kecuali para Nabi.” 

[Khulasah At-Tasannif fi-Tasawwuf]


Bagi mereka yang masih di dalam pencarian kepada Mursyid yang siddiq, ikutilah langkah2 pencegahan berikut.  Kaedah ini adalah kaedah orang awam iaitu berusaha mencegah penyakit2 hati dengan jalan "menggagahi",  iaitu dengan cara cuba "buat2 tawadhu"  atau "buat2 melepaskan diri penyakit2 hati"  dengan melatih diri secara fizikal.  Berikut secara ringkas....

 

1.  Menanamkan di dalam jiwa bahwa tidak ada suatu pun yang dimilikinya termasuk dirinya sendiri, tetapi ianya hanya pinjaman dari Allah untuk mengujinya sejauh mana dia menggunakan Ni’mat Allah tersebut untuk mensyukurinya serta mematuhi Hukum2-Nya.   Sama ada dia orang berilmu atau harwatan, atau jutawan atau rupawan, atau bangsawan atau apa saja kelebihan semuanya milik Allah. Sekalian kejayaan yang kamu capai pada hakikatnya itu adalah Ni'mat dan Kurnia Allah Ta'ala. Kamu BUKAN mencapainya kerana suatu kepandaian kamu.  (hal ini amat mudah ditulis tetapi amat berat  dihayati,  lebih2 lagi mereka yang sememangnya mempunyai kedudukan di mata masyarakat)


2.  Lazimkan bergaul dengan orang2 miskin dan orang2 yang dipandang hina oleh orang lain.


3.  Lazimkan terlebih dahulu memberi salam kepada orang lain walaupun terhadap orang yang lebih muda atau kurang ilmunya daripada kamu.


4.  Lazimkan merasai kehinaan diri apabila bersama manusia lain atau di belakang mereka.  Pandang orang lain dengan pandangan kemuliaan dan pandang diri kekurangan dan dosa yang banyak.


5. Lazimkan diri makan besama orang miskin2 atau ajak mereka ke rumah dan makan bersama2 mereka.  Adalah diriwayatkan Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu makan bersama2 orang miskin dan faqir pada setiap hari di rumah beliau.  Sudah tentu ini adalah contoh akhlaq Nabi ﷺ yang muliakan orang miskin dan faqir.


6. Jika kamu tinggal di istana atau "rumah kayangan", lazimkan turun dari rumah kamu dan berjalan di muka bumi perhatikan kesusahan orang lain.


7. Jangan malu hulur tangan terlebih dahulu kepada orang lain untuk bersalaman meskipun dia orang lebih muda dari kamu atau kurang ilmunya atau kurang darjatnya.


8. Sesekali pakai pakaian lusuh atau pakaian lama. 


9. Taubat berterusan khusus untuk persoalan penyakit hati ini.  Ini wajib dilakukan disebabkan Takabbur dan penyakit lain terus-menerus mendatang dan menguasai hati. 


10.  Banyakkan zikir La-Ilaha Illa-Allah siang malam, pagi petang... moga hati yang dikotori oleh segala penyakit diampunkan oleh Allah Ta'ala.

Amat sukar sekali untuk merawat dan membuang sifat Takabbur serta penyakit2 hati yang lain dengan cara awam ini, kerana ia adalah umpama menebas "lalang" di permukaan tanah sedangkan akarnya masih kukuh di bawah tanah. Sekali tebas "kelihatan hilang " tetapi akarnya tetap subur.  Tidak lama selepas ditebas, "lalang" akan tumbuh menguasai semula ladangnya.   Walaupun berusaha membuang- nya berkali2, namun ia tetap datang menguasai semula hati.


Namun langkah ini yang terlebih baik bagi mereka yang belum menemui Mursyid yang Siddiq sebagai pendidik, pengasuh dan pembimbingnya kepada Allah Taala. 


Siri 107 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


( 2 ) Dosa Besar Kedua : Riya'

======================


✨🕌✨ Firman Allah :

 الَّذِينَ هُمْ يُرَآءُونَ

(Maka celakalah) mereka yang mengerjakan kebajikan untuk dilihat orang”  

[Al-Ma’un (107) : Ayat 6]


✨🕌✨ Sabda Rasulullah ﷺ :

“Aku sangat takut syirik pada Ummatku. Walaupun mereka tidak menyembah berhala, matahari, bulan dan batu. Akan tetapi memperlihatkan kepada orang (berbuat Riya’) dengan amal mereka”

[Imam Ibnu Majah, Imam Al-Hakim]


Difinisi Riya' :


Kata Imam Ghazali Radhiallahu Anhu,

" Maka sesungguhnya Riya'  itu pokoknya : Mencari tempat (kedudukan) pada hati manusia, dengan memperlihatkan kepada mereka hal-hal kebajikan."

[Ihya Ulumuddin — bab Rubu' yang membinasakan]


Dengan ta'rif ini dapat difahami,  Riya' adalah perbuatan memperlihatkan amal kebaikan kepada orang lain; sama ada ianya ibadah khusus seperti solat, puasa dll  atau sesuatu berkaitan ibadah umum seperti sedekah, da'wah, membantu orang lain dll. Riya' juga boleh berlaku pada perkara2 berkait dengan gaya berpakaian, cara percakapan, cara berjalan, gaya tubuh badan dsb.  


Sifat Riya' ini tersangat halus serta tersangat rumit dikenali  kerana pada sangkaannya ia tiada apa2 sedangkan pada sisi Allah, ianya termasuk perbuatan yang membinasakan manusia.  Akibatnya ramai sekali orang alim (alim di dalam ilmu fiqh semata2)  yang banyak ilmunya dan abid (ahli ibadah) yang banyak ibadahnya seringkali tertipu dengan segala amal mereka. 


Mengapa orang alim fiqh atau 'alim usuluddin atau 'alim didalam Al-Qur'an atau lain2 bidang syari'at yang lain  tidak terlepas dari dugaan ini?


Jawabnya :

Riya' mempunyai banyak sisi.  


(1) Riya' boleh terkena  ketika seseorang sedang beramal banyak atau boleh juga terkena ketika amal dia kurang.  


(2) Riya' boleh terjadi ketika seseorang buat kebajikan yang banyak atau dia hindarkan diri dari berbuat kebajikan,  


(3) Riya' boleh terjadi ketika berpakaian hebat atau juga ketika dia memakai pakaian lusuh seperti orang Zahid.    


(4) Riya' boleh  berlaku ketika dia sedang bertutur dengan ucapan hebat atau boleh juga terjadi ketika dia bicara lemah lembut dan sopan. 


(5) Riya boleh terjadi kepada Qori yang membaca Al-Qur'an dengan suara merdu atau boleh juga terjadi kepada mereka yang membaca secara biasa.  


(6) Riya' boleh terjadi kepada pensyarah, muallim, juru da'wah yang bersyarah dengan ucapan2 hebat atau boleh juga terjadi kepada mereka yang tidak demikian.  


(7) Riya' boleh terjadi kepada ahli ilmu Kalam yang bahaskan sifat 20 dengan amat hebat dan boleh juga terjadi kepada ahli ilmu Kalam yang tidak hebat bicaranya.


(8) Riya' boleh terjadi kepada mereka yang ramai pengikutnya atau juga kepada mereka  yang sedikit pengikut nya.


(9) Riya' boleh terjadi kepada mereka yang memperbaguskan tubuh dan penampilan dan boleh juga terkena kepada mereka yang kelihatan lekeh, muka cengkung dan rambut kusut.


(10) Riya boleh terjadi meskipun pada awalnya dia berniat ikhlas, namun di pertengahan ibadah atau kebajikan yang dilakukannya terjadi Riya'


Sungguh menakjubkan dan menakutkan betul?

Benar!  Inilah tipu daya nafsu dan syaitan yang amat sukar dikesan sehingga kebanyakan orang yang bersifat Riya' tadi tidak menyedarinya...!

Sesungguhnya Riya'  termasuk di dalam kelompok Syirik Khafi yang merosak Iman dan batalkan amal kebaikan, sama seperti sifat "Takabbur"   yang telah dibincangkan sebelum ini, tetapi kedudukannya  satu tangga di bawah Sifat Takabbur— ertinya masih merbahaya kepada Iman dan amal seseorang. Bahkan orang yang ada Riya' di dalam hatinya, seringkali juga tercondong dan terjatuh kepada Takabbur tanpa disedarinya.   Susah untuk faham?   Teruskan membaca dan fahami sungguh2 hal hati ini yang amat rumit sehingga ramai sekali manusia jatuh tanpa disedari.


Demikianlah hal HATI manusia  yang kita sambung bicara di sini, HATI  yang mempunyai sisi pandangan yang banyak serta sentiasa berbolak balik akibat dari hembusan nafsu atau bisikan Syaitan yang sentiasa mewas-waskannya.   Tidak ada yang selamat melainkan mereka yang memperoleh Limpahan Rahmat Allah Ta'ala dan TIDAK akan memperoleh Rahmat Allah melainkan mereka yang benar2 mengikut Petunjuk Allah, Rasul dan Ulama Muqarrabeen (Ulama Mu'tabar / Ahli Ma'rifat / Mursyid yang siddiq).


Siri 108 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


( 2 ) Dosa Besar Kedua : Riya'

sambungan.....


Fakta Penyakit Riya'


Berikut adalah beberapa fakta penting  berhubung dengan penyakit Riya'  yang WAJIB diketahui oleh semua, terutama mereka yang selalu menghadap manusia ramai, jemaah ramai atau perkumpulan.


(1) Riya' adalah penyakit HATI yang kedua terbesar yang menghinggapi semua manusia tanpa mengira darjat, ketinggian ilmu atau ketinggian amal.


(2) Riya' merupakan Syirik Khafi yang amat merbahaya yang hapuskan segala amal kebaikan (tidak sah amal) dan merosak Tauhidnya.   


(3) Riya' tergolong ke dalam Syirik Khafi kerana Syirik ini tersembunyi di dalam HATI,  iaitu mempersekutukan Allah Ta'ala di dalam HATI.


(4) Mereka yang banyak ilmu dan ibadah atau yang hidup zahirnya zuhud dan wara'  memandang enteng atau memandang ringan Riya' kerana pada sangkaan mereka, mereka sudah ikhlas, sedangkan itulah permulaan tipu daya yang amat halus. 


(5) Penyakit Riya' menarik  kepada mencari kemasyhuran dan kemegahan di mata manusia, sedangkan kesemua ini menjauhkan seseorang dari Allah Ta'ala.


(6) Sebahagian dari Riya' akan menarik seseorang yang gemar melakukan Riya' kepada penyakit Takabbur tanpa disedari.


(7)   Malaikat pencatit akan mencatit apa jua kebaikan, amal ibadah, kebajikan yang dibuat oleh manusia, tanpa mengira sama ada ianya bercampur Riya' atau tidak, kerana mereka (Malaikat Pencatit amal manusia) TIDAK mengetahui hal ehwal hati manusia.   Hanya Allah Ta'ala sahaja mengetahuinya.  Hanya Allah Ta'ala mengetahui segala bisikan hati, pandangan khianat dan setiap hembusan nafas. 


(8)  Apabila amal dibentangkan di Mahsyar esok barulah akan terbuka segala rahsia hati manusia — sama ada amalnya ikhlas kerana Allah atau bercampur Riya'.  Atau semua amalnya semata2 dilakukan atas dasar Riya'.   Jika seseorang melakukan sekalian amalnya semata2 dengan Riya', maka merugilah dia kerana telah BATAL semua amalnya,  bahkan dia tertimpa dengan dosa besar kerana mempersekutukan Allah di dalam amalnya sehingga akhirnya dicampak ke Neraka, Wal Iyazubillah.  


(9) Amal ibadah atau kebaikan yang dilakukan di dalam keadaan Riya'  akan terlihat sebagai sah pada sudut Fiqh, tetapi yang sebenarnya sudah BATAL pada sudut pandang Tasawwuf —  Ertinya pada zahirnya kelihatan sah sedangkan hakikatnya telah BATAL.  Sah pada pandangan manusia dan Malaikat, tetapi  BATAL di sisi Allah Ta'ala.    Orang awam yang beramal menyangka ibadahnya sah apabila telah cukup syarat dan rukunnya menurut hukum Fiqh.  Sedangkan ibadahnya telah musnah, batal (bahkan mendapat Dosa Besar) kerana TIDAK menepati syarat batin (hati).  Masya Allah, perhatikanlah dengan mata hati, betapa ruginya orang yang beramal tanpa pengetahuan yang cukup menurut pendirian Ahlus Sunnah yang benar (tulen).


(10)  Dengan merujuk sekalian persoalan di atas: Maka di sinilah BUKTI kukuh mengapa para Ulama Mu'tabar telah berfatwa (berdasarkan Al-Qur'an dan Hadith) bahawa WAJIB mempelajari Ilmu Tasawwuf dan amalkan Toriqat dengan pimpinan Mursyid yang siddiq.   Tidak memadai bagi seseorang sekadar amalkan Fiqh semata2....!  Walaupun seseorang itu telah mahir di dalam segala ilmu syari'at (alim di dalam memahami Fiqh, usuluddin, Sifat 20, Ulumul-Qur'an, ilmu Hadith,  ilmu nahwu, Sarf, Balaghah, Bayan, Mantiq, Badi' dll) dia tetap WAJIB mempelajari Ilmu Tasawwuf dan amalkan Toriqat (yang sahih pada sisi Ahlus Sunnah) dengan pimpinan Mursyid yang siddiq — demi menyelamatkan Aqidahnya serta sekalian amal ibadahnya.  



Bersambung siri  109  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________________  

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

       🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...