B53 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 521 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-62

Asabiyyah

..... sambungan.....



Contoh 'Asabiyyah

==============


Contoh 1: 'Asabiyyah di kalangan qabilah sendiri.

Sebuah keluarga menyerang keluarga lain sedang mereka sama-sama daripada satu keturunan (susur galur yang sama).  Sebuah keluarga menyeru dan bersatu untuk menyerang ahli keluarga lain dalam qabilahnya yang dijadikan musuh kerana suatu perselisihan, atau bermusuh kerana merebutkan harta benda, tanah atau harta pusaka. Sebahagian daripada permusuhan berakhir dengan pertengkaran mulut, tetapi sebahagian lagi sehingga bertumbuk dan berperang. 



Contoh 2: 'Asabiyyah di antara qabilah dengan qabilah lain.

Ini adalah contoh yang pernah berlaku di zaman jahiliyah.  Satu qabilah bermusuh dan memerangi qabilah lain atas dasar golongan, puak dan kelompok.  Perasaan tak puas hati dan dendam berlanjutan selama beberapa generasi.  Ketika Rasulullah ﷺ datang menyeru kepada Kalimah Allah yang satu, Baginda hapuskan semua jenis ‘asabiyyah di kalangan qabilah-qabilah yang wujud. 



Contoh 3: 'Asabiyyah di antara kaum majoriti dan minoriti

Suku kaum yang majoriti meniupkan semangat perkauman dan melabelkan golongan minoriti sebagai "pendatang asing", "perompak", "penjahat" dan lain-lain panggilan yang buruk sedangkan mereka semua menganut Agama Islam, berpegang pada Islam dan amalkan Islam.  Apabila kebencian memuncak, kaum yang merasakan diri mereka kuat memerangi puak yang lemah sehingga terjadi pembunuhan dan kerosakan.  Hal ini benar-benar terjadi di beberapa negara orang Islam pada zaman ini. 



Contoh 4: 'Asabiyyah dinasti-dinasti

Setelah kewafatan Sayyidina Ali Radhiallahu anhu, berbagai puak, kaum, negara masing-masing berperang sesama sendiri untuk berkuasa, sedangkan semua mereka mengucap Syahadah dan mengaku Islam.  Meskipun masing-masing menamakan Dinasti mereka sebagai _khilafah Islamiyyah_, namun pada hakikatnya pemerintahan mereka tidak menepati Kehendak Allah. Pemimpin-pemimpin hidup berfoya-foya dengan muzik, arak dan permainan sia-sia.  Sehingga apabila datang tentera kafir yang diketuai oleh Hulagu Khan (cucu Genghiz Khan), tentera Islam kalah dengan sekali pukulan saja. Tentera Hulagu bunuh Ulama dan bakar kitab-kitab mereka. Sebahagian kitab dicampak ke sungai Furat sehingga airnya menjadi hitam daripada dakwat kitab Ulama. 



Contoh 5: Khawarij (Wahhabiyyah, Najdiyyah, Kaum Muda) memerangi Sayyidina Ali Radhiallahu anhu dan Ummat Islam

Ini satu lagi contoh 'asabiyyah, yang tidak disedari oleh kebanyakan orang Islam awam. Golongan Khawarij (Wahhabiyyah zaman ini) menyangka mereka berjuang di jalan Allah, sedangkan mereka berperang berdasarkan nafsu dan bisikan Iblis La'natullah. Mereka berperang atas dasar doktrin batil Khawarij. 


Golongan Khawarij keluar dari Saf Ummat Islam lalu memerangi Sayyidina Ali Radhiallahu 'anhu dan ummat Islam seluruhnya. Ertinya mereka memerangi Khalifah yang sah, Ahlul-Bayyit Nabi dan Sahabat Khulafa Ar-Rasyidin yang dijamin Syurga oleh Junjungan Rasulullah ﷺ. 


Semasa peperangan Nahrawan, kesemua penganut Khawarij mati kehinaan, kecuali 3 orang khawarij yang melarikan diri.  Ahli sejarah menulis 3 orang Khawarij yang melarikan diri ini kemudian hidupkan kembali fahaman kelompok Khawarij.  Pada zaman kemudian mereka (Khawarij) dikenali sebagai Wahhabiyyah, Najidyyah, Kaum Muda dan beberapa nama lain. 


Pada hari ini sebahagian kecil orang-orang yang mengaku Islam dan mengaku Ahlus-Sunnah terpengaruh dengan dakyah-dakyah Wahhabiiyah termasuk kiyai, ustad, ustazah, profesor, mufti (sehingga kini seorang mufti sahaja).  Sangat malang bagi mereka yang menjadi tawanan Wahhabiiyah, Najdiyyah, Kaum Muda...! 


SIRI 522 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-62

'Asabiyyah

..... sambungan.....



Punca 'Asabiyyah

================


(1) Kejahilan. Tidak memahami dasar-dasar pokok Agama yang benar dari Masyaikh Ahlus Sunnah.


(2) Tidak berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang benar.


(3) Terpengaruh dengan falsafah orang kafir atau orang Islam yang fasiq yang berjuang atas 'asabiyyah.


(4) Dendam kesumat yang membara kerana sejarah keluarga atau sebab-sebab permusuhan yang berpanjangan.


(5) Tamak kuasa, kemasyhuran dan harta dunia yang hina. 



Akibat 'Asabiyyah

================


(1) Perjuangan atas dasar 'asabiyyah membawa kebinasaan atau kerosakan kepada aqidahnya.


(2) 'Asabiyyah menumbuhkan sifat Takabbur, besarkan diri, ganas dan buas.


(3) Orang yang tumbuh besar di dalam 'asabiyyah akan menjadi keras hati, dan tiada peri kemanusiaan — menzalimi manusia.


(4) Membawa kerosakan, kebinasaan harta benda.


(5) Merosakkan perpaduan dan kesatuan Ummat Islam, masyarakat seluruhnya porak-poranda.


(6) Melemahkan kekuatan Ummat.


(7) Perjuangannya sia-sia, tidak di-Redhai Allah, sebaliknya di-Murkai Allah. Ini disebabkan oleh:

Pertama: Niat tidak ikhlas kerana Allah (niatnya kerana 'asabiyyah)


Kedua: Rasulullah ﷺ tidak mengakui Ummat Baginda


Ketiga: Kaedahnya berlawanan dengan Syara' — menyalahi peraturan, syarat dan adab Ahlus Sunnah.



Rasulullah ﷺ bersabda:


مَنْ خَرَجَ مِنْ الطَّاعَةِ وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَمَاتَ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً وَمَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَغْضَبُ لِعَصَبَةٍ أَوْ يَدْعُو إِلَى عَصَبَةٍ أَوْ يَنْصُرُ عَصَبَةً فَقُتِلَ فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ وَمَنْ خَرَجَ عَلَى أُمَّتِي يَضْرِبُ بَرَّهَا وَفَاجِرَهَا وَلَا يَتَحَاشَى مِنْ مُؤْمِنِهَا وَلَا يَفِي لِذِي عَهْدٍ عَهْدَهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ   


"Barangsiapa keluar dari ketaatan, dan memisahkan diri (faraq) dari Jama'ah (Saf Ummat Islam) kemudian dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyah.  Dan barangsiapa mati di bawah bendera 'Immiyyah (bendera buta) kefanatikan, dia marah karena ‘asabiyyah, menyeru kepada 'asabiyyah atau menolong atas dasar 'asabiyyah kemudian dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyah.  Dan barangsiapa keluar dari ummatku, kemudian menyerang orang-orang yang soleh maupun yang fajir tanpa memperdulikan orang mukmin, dan tidak pernah memenuhi janji yang telah dibuatnya, maka dia tidak termasuk dari golonganku dan saya tidak termasuk dari golongannya."

[Imam Muslim, Imam Ibnu Majah,Imam Ahmad]


Rasulullah ﷺ bersabda:


لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ


“Bukan termasuk golongan kami orang yang mengajak kepada ‘asabiyyah, bukan termasuk golongan kami orang yang berperang kerana ‘asabiyyah, dan bukan termasuk golongan kami orang yang mati kerana ‘asabiyyah.”

[Imam Abu Dawud]


SIRI 523 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-62

Asabiyyah

..... sambungan.....



Pengecualian:

Tidak termasuk 'Asabiyyah

====================


Sebagaimana penjelasan pada awal bicara tajuk ini, pengertian 'Asabiyyah terkait dan terhubung kepada beberpa perkara negatif yang bertentangan dengan ruh Agama — berlawanan dengan Kalimah Tauhid, iaitu:


1. Menyeru, bersatu, menyokong kepada kezaliman.

2. Bersatu atas dasar perkauman, bangsa, keturunan, daerah yang berlawanan dengan ruh Agama. 

3. Menyimpang dari kebenaran dan bersatu atas kebatilan

4. Menuruti hawa nafsu, bisikan syaitan 

5. Perjuangan yang menyimpang dari pendirian Ahlus Sunnah

6. Bersatu dan berjuang bukan kerana Allah, sebaliknya kerana dorongan hawa nafsu, tamak dunia, tamak harta pangkat, kedudukan, jawatan dan balas dendam

7. Matlamat dan hasilnya membawa kepada permusuhan, pertelingkahan, pergaduhan, peperangan, pembunuhan dan merosakkan harta benda.


Adapun seruan kepada penyatuan, kerjasama, tolong-menolong bagi menjayakan sesebuah matlamat murni yang tidak bertentangan dengan Agama (bukan maksiat, bukan kekufuran dan bukan kemungkaran), menepati syarat-syarat Ahlus Sunnah serta niat ikhlas kerana Allah, sama ada penyatuan tersebut pada peringkat keluarga, adik-beradik, sanak-saudara, jiran tetangga atau pada peringkat kampung, daerah, negeri dan negara...

Semua ini amal soleh yang terpuji dan termasuk ibadah. Ia tidak dikatakan 'Asabiyyah.


Beberapa contoh:


(1) Mendahulukan kehendak ibu bapa mengatasi kehendak orang lain 


(2) Utamakan keluarga, adik-beradik dan sanak-saudara sendiri mengatasi keluarga lain.


(3) Berpakat sesama ahli keluarga untuk menjayakan sesebuah rancangan kebaikan 


(4) Sesebuah masyarakat utamakan bangsanya dalam usaha memajukan mereka dari sudut pelajaran dan pendidikan 


Dalil-dalil yang memerintahkan utamakan Ibu bapa, ahli keluarga sendiri, anak-anak yatim dan jiran tetangga:


(1)  Utamakan Ibu bapa


Firman Allah:


أَنِ ٱشۡڪُرۡ لِى وَلِوَٲلِدَيۡكَ إِلَىَّ ٱلۡمَصِيرُ


"(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)".

[Luqman (31 ) : Ayat 14]


Rasulullah ﷺ bersabda:

Daripada Abdullah ibn Mas'ud Radhiallahu anhu, beliau berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah: "Amalan apakah yang paling Allah sukai?" Baginda menjawab: "Solat pada waktunya".   Kemudian apa, kataku. Baginda menjawab: "Berbuat baik kepada ibu bapa". Aku bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab: " Jihad di jalan Allah".

[Imam Bukhari] 



(2)  Utamakan Ibu bapa ahli keluarga sendiri


Firman Allah:


وَٱعْبُدُواْ ٱللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُواْ بِهِ شَيْئاً وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَاناً وَبِذِي ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَٰمَىٰ وَٱلْمَسَٰكِينِ وَٱلْجَارِ ذِي ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْجَارِ ٱلْجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلجَنْبِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُكُمْ إِنَّ ٱللَّهَ لاَ يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالاً فَخُوراً 


"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takabbur dan membangga-banggakan diri. 

[An-Nisaa (4) : Ayat 36]


Rasulullah ﷺ bersabda:

"Barangsiapa ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka sambunglah tali silaturahim (adik-beradik)."  

[Muttafaqun-alaih]


SIRI 524 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-62 

Asabiyyah

====================

..... sambungan.....



(3) Utamakan ahli keluarga


Rasulullah ﷺ bersabda:

"Sesungguhnya sebaik-baik bentuk bakti (kepada orang tua) ialah seseorang anak itu menyambungkan tali persaudaraan keluarga sahabat karib ayahnya." 

[Imam Muslim]


Rasulullah ﷺ bersabda:

"Mukmin yang paling sempurna Imannya ialah yang paling baik akhlaknya dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya." 

[Imam Abu Dawud, Imam Tirmizi]



(4) Keutamaan jiran tetangga


Firman Allah:


وَٱعْبُدُواْ ٱللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُواْ بِهِ شَيْئاً وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَاناً وَبِذِي ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَٰمَىٰ وَٱلْمَسَٰكِينِ وَٱلْجَارِ ذِي ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْجَارِ ٱلْجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلجَنْبِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُكُمْ إِنَّ ٱللَّهَ لاَ يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالاً فَخُوراً 


"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takabbur dan membangga-banggakan diri. 

[An-Nisaa (4) : Ayat 36]


Rasulullah ﷺ bersabda:

“Jibril sentiasa berwasiat kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi hartaku.”

[Imam Bukhari]


Rasulullah ﷺ bersabda:

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya." 

[Imam Muslim].


Rasulullah ﷺ bersabda:

"Tidak termasuk orang Mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan." 

[Imam At-Thabrani]


SIRI 525 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-62

Asabiyyah

..... sambungan.....



Rawatan dan Penjagaan

==================


(1) Istiqamah bersama Saf Ummat Islam

Sentiasa bersama Saf Ummat Islam yang benar-benar berpegang kepada Ahlus Sunnah wal Jamaah yang benar dan jauhi semua golongan yang menyeru kepada asabiyyah, berpuak-puak atas dasar 'asabiyyah, bersatu atas dasar 'asabiyyah dan berjuang atas dasar 'asabiyyah.


Hanya Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang benar sahaja berdiri atas "jalan lurus", "jalan benar", "aqidah yang benar", "jalan yang di-Redhai Allah".  Selain Ahlus Sunnah, mereka berjuang atas 'asabiyyah perkauman dan 'asabiyyah kelompok masing-masing.


(2) Tuntut Ilmu Ahlus Sunnah dari ahlinya

Pelajari dan fahami pegangan Ahlus Sunnah yang benar daripada ahlinya.  Hamba Allah yang benar-benar memahami dan berdiri di atas jalan kebenaran adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar).  Mulai dari Khulafa Ar-Rasyidin Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman, Sayyidina Ali Ridhwanullah sampai kepada Ulama Tabiin, Tabiit-Tabiin, sambung lagi kepada Masyaikh berikutnya dan berikutnya sampai ke zaman ini tak pernah putus. Warisan suci Rasulullah ﷺ terpelihara, suci dan asli murni sebagaimana diterima dari Junjungan Rasulullah ﷺ di tangan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.


Jika belum bertemu seorang pun daripada Mursyid yang Siddiq, maka pelajari Ilmu Ahlus Sunnah daripada ustaz, muallim, kiyai yang pernah berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Ini lebih selamat daripada mengambil ilmu daripada sumber-sumber yang tidak diyakini.


Mereka yang tidak mengenali Ahlus Sunnah yang benar sehingga tak mampu membezakannya dengan kelompok-kelompok yang terkeluar dari Saf Ahlus Sunnah, maka lambat laun dikhuatiri jatuh kepada golongan sesat yang menyeru kepada 'asabiyyah.   Kisah permusuhan kaum khawarij terhadap Ummat Islam dan kematian mereka yang menghinakan di dalam Perang Nahrawan sepatutnya dijadikan pengajaran oleh seluruh Ummat.


Pada hari ini golongan Wahhabiyyah yang terang-terang memusuhi Ahlus Sunnah pun mendakwa diri mereka Ahlus-Sunnah sehingga Ummat Islam menjadi keliru.


(3) Jangan jadi mangsa ahli politik, ahli falsafah, pakar motivasi yang menipu daya Ummat

Sistem politik demokrasi, kapitalis, sosialis mencengkam dunia pada zaman ini.  Pemimpin Islam, profesor, mufti yang terpedaya dengan Sistem jahiliyah ini putar-belitkan ayat Qur'an agar sesuai dengan Agenda mereka.  Ummat Islam yang jahil menjadi mangsa akibat terpedaya dengan slogan-slogan indah mereka! 


Ahli politik dan ahli falsafah berpendapat 'asabiyyah perlu untuk membentuk Kepimpinan yang kuat.  Mereka mendakwa tanpa 'asabiyyah, satu bangsa akan jadi lemah dan kalah kepada bangsa lain.  Pendapat ini jelas batil kerana berlawanan dengan Al-Qur'an, Sunnah dan Ijma' Ulama Ahlus Sunnah yang menetapkan suatu bangsa menjadi teguh, kuat dan selamat dunia Akhirat apabila mereka berjuang mendirikan TAUHID yang hakiki di dalam diri mereka dan Ummat seluruhnya.  Dan mereka (Ummat Islam) akan menerima kehinaan dan kebinasaan dunia Akhirat apabila mereka berpegang dan berjuang atas dasar jahiliyah dan asabiyyah.


Junjungan mulia, Rasulullah ﷺ datang untuk hapuskan 'asabiyyah dan menyatukan Ummat Islam di atas dasar Tauhid, Meng-Esakan Allah Yang Maha Agung.  Ummat Islam menjadi kuat dan teguh dengan IMAN dan TAQWA di dada mereka.  TAUHID sejati adalah penyelamat dunia Akhirat, sedangkan 'asabiyyah perkauman, kelompok, daerah, membawa kepada perpecahan, 'azab, kebinasaan dunia Akhirat.


SIRI 526 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar 63:

Buka 'aib orang lain

===================


Definisi 'aib

==========

Dari segi bahasa:

'Aib ( عيب ) berasal dari kata ( عاب, يعيب, عَيْبا ) membawa pengertian: 

cacat, kesalahan, kecelaan, kekejian, kekurangan, suatu yang memalukan, mencemarkan, menodai, mengotori, merosak, jatuhkan maruah, suatu yang perlu ditutup.


Dari segi istilah:

'Aib adalah cacat-cela pada diri seseorang yang mencemarkan nama baiknya, jatuh maruahnya akibat daripada penglibatannya di dalam perkara mungkar, kekejian, kejahatan. 



Penjelasan:

=========


(1) Tajuk perbahasan ini adalah berkenaan dengan perbuatan dosa manusia yang dia lakukan sendirian secara senyap-senyap hanya kamu seorang saja yang mengetahuinya.  Di dalam hal demikian wajib atas kamu menutupinya (jangan dedahkan kepada siapa pun) sebagaimana Allah telah menutupinya daripada pengetahuan umum manusia lain. 


(2) 'Aib merupakan suatu kekurangan pada diri seseorang yang menjatuhkan maruahnya akibat daripada terlibat dengan dosa-dosa besar atau dosa kecil atau suatu hal yang tidak disenangi oleh Syara'.


(3) Setiap manusia mempunyai 'aib — kekurangan dan kelemahan masing-masing yang boleh mencemarkan nama baiknya atau menjatuhkan maruahnya sehingga dipandang keji oleh masyarakat umum. 


(4) Orang-orang beriman wajib menutup 'aib orang lain jika dia mengetahui rahsia orang itu. Membuka atau mendedahkan 'aib orang orang lain) termasuk dosa besar.


(5) Sebarkan ‘aib manusia tidak terlepas dari 5 macam dosa besar lain yang berangkai-rangkai kepadanya:


1. Tajassus (mengintai dosa orang lain)

2. Memfitnah (tuduhan tanpa bukti, mereka-reka cerita)

3. Mengumpat

4. Subahat kepada perkara mungkar dan keji

5. Berdusta


(6) Manusia muslim yang mendedahkan sewenang-wenangnya 'aib manusia tanpa sebab yang diharuskan oleh Syara' (seperti peradilan hukum di mahkamah), maka dia termasuk manusia fasiq yang menanggung dosa besar.


(7) Pada hari ini orang Islam berlumba-lumba mendedahkan 'aib orang lain.  Media elektronik termasuk internet menjadi media utama untuk mendedahkan 'aib manusia lain.  Mereka tidak sedikit pun takut kepada Allah yang akan membalas setiap kejahatan seperti itu.  Mereka tidak takut akan balasan Allah yang akan datang dengan segera — di dunia lagi.  Di Akhirat mereka akan menerima balasan yang lebih dahsyat.  Wal Iyazubillah.


SIRI 527 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 63:

Buka 'aib orang lain

......sambungan.....



Dalil-Dalil

=========


Dalil 1: Firman Allah:

[sebarkan 'aib manusia termasuk dosa mengumpat]


وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ


"dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.  Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

[Al-Hujurat (49)  : Ayat 12]


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

"Jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan jangan menyelidiki 'aib saudaramu dan mencari-cari kesalahan yang Allah tutup baginya."

[Tafsir Ibn Abbas]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

“Ambil apa yang nyata  (yang jelas kelihatan pada zahir), jangan kamu mencari-cari keaiban kaum muslimin, iaitu jangan kamu cari keaiban saudaramu untuk melihat setelah Allah  menutupnya."

[Tafsir Al-Qurtubi]



Dalil 2: Firman Allah:

[Dedahkan 'aib termasuk jahat sangka dan dusta]


وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُوْلاَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولاً


"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggunganjawabnya.”

[Al-Isra (17)  : Ayat  36]



Dalil 3: Firman Allah:

[Perbuatan dedahkan 'aib manusia termasuk dosa menolong  kepada kemungkaran]


 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ  وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ  وَاتَّقُوا اللَّهَ  إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan Taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.  Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya."

[Al-Maaidah (5) : Ayat 2]


Rasulullah   ﷺ  bersabda:

Barangsiapa menyeru kepada petunjuk, maka dia mendapatkan pahala sebagaimana pahala-pahala orang yang mengikutinya, hal itu tidak mengurangi pahala mereka sedikit pun.  Dan barangsiapa menyeru kepada kesesatan, maka dia mendapatkan dosa sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikutinya, hal itu tidak mengurangi dosa mereka sedikit pun. 

[Imam Muslim]



Dalil 4: Rasulullah   ﷺ  bersabda:

[Dedah 'aib manusia termasuk dosa fitnah]


"Rasulullah ﷺ  bersabda, “Tahukah engkau apa itu ghibah?” Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Baginda berkata, “Engkau menyebutkan kejelekan saudaramu yang ia tidak suka untuk didengarkan orang lain.” Baginda ditanya, “Bagaimana jika yang disebutkan sesuai kenyataan?” Jawab Nabi ﷺ  “Jika sesuai kenyataan bererti engkau telah ghibah atasnya. Jika tidak sesuai, bererti engkau telah memfitnahnya.” 

[Imam Muslim]



Dalil 5: Rasulullah   ﷺ  bersabda:

[Sesiapa dedahkan 'aib manusia, Allah Ta'ala pula akan dedahkan 'aibnya]


"Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya.  Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya,dan Dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri.”

[Imam Abu Dawud]


SIRI 528 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 63:

Buka 'aib orang lain

......sambungan.....



Contoh-Contoh

==============


Contoh 1: Buka rahsia peribadi seseorang

Setiap manusia mempunyai sejarah kehidupan tersendiri, sebahagiannya ternoda dengan dosa-dosa yang tidak diketahui oleh manusia lain kerana Allah Ta'ala menutupnya.  Barangsiapa mendedahkan 'aib seseorang kepada umum sedang Allah Ta'ala telah menutupinya, maka dia telah melakukan dosa besar yang akan dituntut di Akhirat.  Orang ini berdosa dengan Allah dan berdosa dengan manusia yang terbuka 'aibnya kepada umum.



Contoh 2: Membuka 'aib bertujuan keuntungan duniawi

Contoh ini masih berkait dengan contoh 1 di atas, tetapi pendedahan 'aib manusia dalam bentuk moden yang sangat cepat tersebar sehingga nama baik seseorang tercemar, maruahnya tercalar, kewibawaannya jatuh pada pandangan umum. 


Pada hari ini, membuka 'aib dan rahsia hidup orang lain melalui media sosial menjadi sumber keuntungan "murahan" bagi sesetengah manusia yang tak peduli hukuman Allah Ta'ala ke atas mereka.  Hanya melalui sesebuah video mereka mencipta cerita sensasi untuk meramaikan peminatnya, sekaligus mencari keuntungan duniawi.  Mana mungkin pendapatan mereka berkat sekiranya yang dimasukkan ke dalam perut itu hasil daripada fitnah, pembohongan dan pendedahan 'aib manusia?


Bentuk pendedahan 'aib melalui internet ini menjadi "kegilaan" manusia zaman ini disebabkan caranya yang mudah dan sebarannya yang amat pantas. Tetapi malangnya pembuat dosa ini tak sedar, dosa besarnya juga meningkat dengan amat pantas. Dosanya terkumpul beribu-ribu atau ratusan ribu dalam hanya beberapa saat. 


Contoh 3: Pasangan bercerai dedahkan 'aib pasangan

Pasangan yang bercerai masing-masing dedahkan 'aib pasangan di internet.  Masing-masing melepaskan kemarahan kepada bekas pasangan dengan berbagai cara.



Contoh 4: Pekerja mendedahkan 'aib pekerja lain

Seorang pekerja satu syarikat mendedahkan 'aib seseorang pekerja lain melalui gambar atau video bertujuan memalukannya atau bertujuan merendahkan tarafnya.  Keadaan seperti ini terjadi ketika seseorang pekerja tersebut dinaikkan pangkat atau jawatan sedangkan dirinya masih dalam keadaan yang sama. 



Contoh 5: Dedahkan 'aib kerana politik

Ahli politik berlumba-lumba mencari "kuasa".  Termasuk di dalam usaha mencari "kuasa" ini adalah mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai "pejuang Islam".  Mereka sibuk manabur fitnah sana sini, menipu daya, adu domba, caci maki, buka 'aib pihak lawan dengan harapan kredibiliti lawannya tercemar dan nama parti mereka maju ke hadapan.  Inilah dunia orang Islam zaman ini. Mereka anggap "perlakuan mereka sebagai jihad".  Sangat malang ahli politik zaman ini. 


Apabila diperhalusi semua dosa mendedahkan 'aib manusia ini terkait kepada dosa-dosa besar lain — dosa jahat sangka, dosa pendustaan, dosa memfitnah dan dosa mengumpat.


SIRI 529 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 63:

Buka 'aib orang lain

......sambungan.....




Punca manusia dedahkan

'aib orang lain

========================


(1) Hati dikuasai nafsu kejahatan dan kekejian

Apabila hati seseorang dikuasai nafsu kejahatan, dia akan sentiasa terdorong untuk mengikuti seruan bisikan kejahatan.  Di antara bisikan kejahatan nafsu-nafsu jahat adalah kegemaran untuk membuka 'aib orang lain.  Inilah punca utama.


(2) Seruan syaitan

Ini punca kedua.  Syaitan sentiasa bisikkan agar manusia bermusuhan dan berperang sesama sendiri.  Setengah daripada caranya adalah timbulkan rasa tak puas hati, hasad, khianat terhadap orang yang dimusuhi.


(3) Permusuhan peribadi atau keluarga

Mereka yang mempunyai sejarah permusuhan, mencari-cari peluang mendedahkan 'aib orang yang dimusuhi atau sengaja mencipta maklumat palsu untuk meng'aibkannya.


(4) Hasad — kedengkian

Orang yang mempunyai sifat hasad tak senang apabila orang lain mendapat kesenangan.  Orang ini akan mencari jalan untuk hilangkan kesenangan yang dimilikinya. Salah satu jalan yang paling mudah pada zaman ini adalah membuka 'aibnya melalui gambar-gambar atau video.


(5) Kesombongan — Rasa diri lebih hebat dari orang lain

Orang yang mempunyai sifat kesombongan sentiasa merasa diri lebih tinggi dari orang lain.  Jika orang lain mendapat kedudukan yang lebih tinggi dia akan berusaha mencemarkan namanya.


(6) Rasa diri baik dan sempurna

Orang yang merasa dirinya sudah baik dan sempurna mencari-cari 'aib orang lain dan dedahkan pada umum.  Sedangkan jika dia muhasabah diri dia akan melihat dosa dan kekejian diri yang menggunung tinggi.


(7) Mencari keuntungan duniawi

Menerbitkan gambar atau video yang mengandungi 'aib seseorang lalu menjaja di internet untuk menjatuhkan maruahnya menjadi cara menjana keuntungan duniawi. 


(8) Permusuhan politik

Permusuhan di medan politik menjadi salah satu sebab masing-masing dedahkan 'aib untuk menunjukkan mereka lebih baik dan lebih mulia dari pihak lawan.


SIRI 530 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke- 63:

Buka 'aib orang lain

......sambungan.....



Akibat dedahkan 'aib

=================


(1) Menyebabkan permusuhan, pergaduhan, perpecahan

Perbuatan buka 'aib seseorang akan menimbulkan permusuhan, perselisihan, pergaduhan, perpecahan, sedangkan perpecahan adalah dosa besar dan "azab".


Firman Allah:


وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللّٰهِ جَمِيْعًا وَّلَا تَفَرَّقُوْاۖ 


"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai"

[Aali-Imran (3) : Ayat 103]



(2) Menyebabkan putus silatur-rahim

Ahli keluarga yang sebarkan 'aib ahli keluarga sendiri akan menyebabkan putus silatur-rahim, sedangkan putus silatur-rahim adalah dosa besar.


Rasulullah ﷺ bersabda:


لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ


"Tidak akan masuk Syurga orang yang memutuskan (putuskan silatur-rahim)." 

[Imam Bukhari, Imam Muslim]



(3) Merupakan perbuatan khianat

Perbuatan sebarkan 'aib orang lain merupakan suatu bentuk pengkhianatan, sedangkan perbuatan khianat adalah tanda-tanda wujud sifat munafiq.



(4) Allah Ta'ala akan dedahkan 'aib orang yang gemar dedahkan 'aib orang lain


Rasulullah ﷺ bersabda:

"Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslimin, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya.  Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya dan Dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" 

[Imam Abu Dawud]



(5) Orang yang suka dedahkan 'aib orang akan terkena banyak dosa besar yang lain

 

■ Dosa mengintai kesalahan orang 

■ Dosa dusta

■ Dosa memfitnah orang lain

■ Dosa mengumpat

■ Dosa jahat sangka


Bersambung siri 531  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...