■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
SIRI 701 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Maksud Iman bertambah atau berkurang.
Meneliti kembali haqiqat Iman yang telah disentuh dahulu, maksud Iman bertambah adalah Cahaya Ketuhanan di dalam hatinya bertambah. Cahaya Ketuhanan ini berkembang sesuai dengan Tingkatan Imannya. Jika dia orang awam, maka Iman bertambah atau berkurang di dalam lingkungan Tingkatan Awam. Jika dia Salikin, maka Imannya bertambah atau berkurang di dalam lingkungan Tingkatan Salikin.
Apabila seseorang yang berada pada "Tingkatan Iman orang awam" meninggalkan Solat atau kewajipan lain, atau melakukan dosa-dosa besar seperti mengumpat, menipu daya, hasad, berbuat fitnah, melakukan kezaliman atau lain-lainnya... maka Keimanannya akan turun sesuai dengan kadar kefasikan atau kekufurannya. Jika dia segera bertaubat, meninggalkan semua kejahatannya dan menggantikannya dengan kebajikan, maka Imannya akan meningkat kembali.
Seseorang Salikin pada Tingkatan Maqam Ma'rifat Af'al boleh meningkat kepada Maqam Ma'rifat Asma' atau Sifat atau Zat apabila dia sungguh-sungguh melakukan Zikrullah, mematuhi adab serta syarat-syarat lain yang telah ditetapkan. Sebaliknya seseorang yang berada di Maqam Tauhid tinggi boleh jatuh kepada Maqam Ma'rifat lebih rendah apabila dia lemahkan Zikrullah atau melanggar adab-adab besar atau tidak memenuhi syarat lain yang telah diamanahkan. Jika dia taubat dan kembali zikir sungguh-sungguh serta memenuhi adab-adabnya, maka meningkatlah semula darjat Imannya."
Tanda-Tanda Iman turun, lemah, kurang.
Jika ditanya bolehkah seseorang mengetahui tanda-tanda Imannya meningkat atau menurun? Bolehkah seseorang pastikan sejauh mana Imannya telah menurun atau sejauh mana Imannya telah meningkat?
Jawapannya:
(1) Jika dia Salikin, iaitu hamba Allah yang berguru kepada Mursyid yang Siddiq, maka dia akan mengetahuinya dengan merujuk kepada Gurunya yang sangat Arif hal ehwal Keimanan. Bahkan kadangkala Gurunya sendiri akan membetulkan dengan hikmah yang tinggi. Seorang Mursyid mempunyai berbagai ubat dan penawar bagi menyembuhkan "penyakit hati" murid-muridnya dengan berbagai cara dan pendekatan yang sangat tinggi hikmahnya.
(2) Jika dia orang Awam, dia akan menemui kepayahan kerana tiada tempat rujukan. Walau bagaimanapun dia boleh mengetahuinya dengan beberapa tanda yang terlihat pada dirinya iaitu:
(1) Rasa jauh dari Allah Ta'ala.
(2) Berat mengerjakan Zikrullah, Solawat dan lain-lain.
(3) Hilang kemanisan di dalam beribadah.
(4) Malas dan lemah untuk beribadah.
(5) Sengaja melewat-lewatkan Solat atau kewajipan lain.
(6) Kurang atau hilang kebahagiaan di dalam hidup yang telah dicapai sebelumnya.
(7) Tidak boleh menerima nasihat orang lain (dari orang yang memang layak berikan nasihat).
(8) Melakukan dosa terang-terangan.
(9) Tidak berasa bersalah melakukan dosa dan kemungkaran.
(10) Tiada perasaan benci kepada kemungkaran.
(11) Menyukai kemungkaran
(12) Kecintaan kepada dunia mula menguasai diri.
(13) Kurang atau tak peduli mengerjakan pekerjaan-pekerjaan sunnat.
(14) Tidak peduli makan minum halal atau haram.
(15) Kecintaan kepada Dunia — kecintaan kepada kekayaan, pangkat, kedudukan dan jawatan.
Perhatian Penting:
Semua perkara di atas sebagai panduan sahaja. Bukan mutlaq. Ini kerana setengah daripada perkara tersebut walaupun zahirnya terlihat seperti "tanda kurang Iman" tetapi pada hakikatnya boleh jadi asbab kepada suatu peningkatan Iman yang lebih tinggi. Hal-hal ini hanya difahami oleh Ahli Ma'rifat. Dengan demikian jalan selamat bagi mengenalpasti hal rumit seperti ini adalah dengan cara merujuk kepada hamba-hamba Allah yang benar-benar Arif.
SIRI 702 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-16:
Jangan sesekali nisbahkan Sifat Kelemahan, Kekurangan atau Kekejian kepada Allah Ta'ala.
Menurut pendirian Ahlus Sunnah, setiap Muslim wajib sentiasa Agungkan Allah Ta'ala dengan menggunakan Kalimat-kalimat Keagungan kerana Dia (Allah) memiliki segala sifat Keagungan, Kemuliaan, Ketinggian, Kehebatan, Kesucian dan jangan sesekali gunakan kata-kata yang menunjuk kepada kekurangan, kelemahan dan kerendahan. Selain itu dilarang keras juga menggunakan ungkapan yang bersifat keji, misalnya sesorang guna ungkapan "Zalim", "Penipu", "Perosak" dan lain-lain sepertinya terhadap Allah Ta'ala.
Setiap Muslim wajib mempelajari hal ini (sifat yang dilarang dikaitkan kepada Allah) agar jangan tersilap guna kata-kata yang menunjukkan kerendahan, kelemahan dan kekurangan.
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Beberapa sifat yang dilarang menisbahkannya kepada Allah, di antaranya: bodoh, ragu, prasangka, lalai, lupa, mengantuk, tidur, lengah, lemah, mati, bisu, tuli, buta, syahwat, sedih, dukacita, rugi, sakit, lazat, mudarat, harap dan dusta. Selain itu Allah juga tidak boleh disifati sebagai zat yang hamil dan melahirkan seperti kaum wanita. Dia juga tidak boleh disebut muthiqan (mendapat kekuatan) kerana Dialah yang mencipta segala Kekuatan. Jangan juga sebut mahfuzan (terpelihara) kerana Dialah Zat yang Maha Memelihara."
[Al-Ghunyah]
Beliau juga berkata:
"Di antara hal yang boleh dithabitkan dengan Allah:
Tertawa, Murka, Marah, Redha, Maujud.
Dia juga boleh disifati dengan "jiwa, "Zat" tanpa menyerupakan dengan anggota tubuh manusia sebagaimana yang kami telah jelaskan. Selain itu Allah juga dipanggil dengan nama-nama (Asma Allah) yang menjadi Sifat-Nya, yang semuanya berjumlah 99.”
[Al-Ghunyah]
Di bahagian lain beliau berkata:
"Namun diperingatkan orang mu'min jangan berdoa dengan guna ungkapan-ungkapan berikut: "Ya Sakhir" (pencaci), "Ya Muhtahzi" (Penghina), "Ya Makir" (Pembuat makar), Ya Khadi" (Penipu), "Ya Mubghidh" (Pemurka), "Ya Ghadhban" (Pemarah), "Ya Muntaqim" (Pembalas dendam) atau "Ya Muhlik" (Pembinasa). Jadi kita tidak boleh berdoa dengan menggunakan sebutan itu meskipun kata-kata tersebut boleh disifatkan kepada-Nya apabila dikaitkan dengan pembalasan bagi orang-orang yang derhaka."
[Al-Ghunyah]
SIRI 703 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-17
Bertemu Rasulullah ﷺ dan Auliya Allah yang telah wafat dalam keadaan sedar
Ahlus Sunnah Wal Jama'ah berkeyakinan pertemuan dalam keadaan sedar dengan Junjungan Besar Rasulullah ﷺ dan sekalian Auliya yang telah wafat adalah harus terjadi. Ia merupakan karomah (kemuliaan) yang Allah Kurniakan kepada kekasih-kekasih-Nya yang masih hidup.
Maksud pertemuan di dalam keadaan sedar adalah pertemuan di dalam jaga, bukan tidur, bukan mimpi, tetapi di dalam keadaan benar-benar sedar, sama seperti orang hidup. Hal ini hanya terjadi kepada orang-orang yang benar-benar bersih hatinya dari syirik (syirik khafi) dan mazmumah.
Golongan khawarij (wahhabiyyah zaman ini) dan beberapa golongan bid'ah sesat lain ingkar akan kebenaran ini. Mereka mendakwa ianya tidak mungkin kerana orang mati jasadnya sudah hancur. Memang benar secara umumnya jasad manusia yang telah mati akan hancur tetapi ianya berbeza bagi sekalian Rasul, Nabi, Auliya Allah. Jasad mereka tidak hancur. Allah Pelihara mereka di dalam kemuliaan. Mereka hidup di Sisi Allah secara istimewa dengan memperoleh rezeki dari Sisi-Nya. Inilah keyakinan orang yang benar-benar beriman. Golongan yang tidak percaya, ingkar, menafikan kebenaran ini adalah golongan sesat dan kufur kerana menafikan keterangan Al-Qur'an, Sunnah dan Ulama terpercaya.
Firman Allah:
وَلاَ تَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ قُتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ أَمْوَاتاً بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ.
فَرِحِينَ بِمَآ آتَاهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِٱلَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُواْ بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ أَلاَّ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ
يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَضْلٍ وَأَنَّ ٱللَّهَ لاَ يُضِيعُ أَجْرَ ٱلْمُؤْمِنِينَ
"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur) pada Jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di Sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki; (Dan juga) mereka bersukacita dengan Kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Mereka bergembira dengan balasan Nikmat dari Allah dan limpah kurnia-Nya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman."
[Aali-Imran : Ayat 169,170,171]
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Barang siapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya, bererti dia akan dapat melihat-ku di dalam keadaan sedar (jaga berserta jasad dan ruh). Sesungguhnya syaitan tidak boleh menjelma dengan rupaku."
[Muttafaq Alaih]
SIRI 704 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Seseorang tidak dapat dikatakan Ahli Sufi (Ulama Pewaris Nabi yang Siddiq) sehingga dia sampai ke maqam di mana dia dianugerahi pandangan kepada Rasulullah ﷺ di dalam mimpinya dan diberi arahan dan tegahan. Jika keadaan ini terjadi maka hatinya akan dinaikkan ke maqam lebih tinggi serta disucikan batinnya. Beliau seterusnya akan memperoleh kehampiran dengan Allah Ta'ala sementara tangannya di dalam pimpinan tangan Rasulullah ﷺ.”
[Fath-Ar-Rabbaniy Wa Faidh Ar-Rahmaniy]
Kata beliau lagi:
"Dalam semua itu mereka mengikut teladan daripada pengikut-pengikut Rasulullah ﷺ yang terkenal sebagai Golongan Tasawwuf (Pewaris Nabi yang Siddiq) yang memakai pakaian bulu yang telah meninggalkan semua urusan keduniaan untuk berdiri di pintu Rasulullah ﷺ dan berada hampir dengan Baginda. Mereka menyampaikan khabar sebagaimana mereka menerimanya secara langsung daripada mulut Rasulullah ﷺ .”
[Sirrul Asrar Fi ma Yahtaju Ilaihil Abrar]
Fatwa Imam Jalaluddin Sayuthi Radhiallahu anhu:
"Ramai yang mempersoalkan ehwal Ahli Ma'rifat melihat Nabi ﷺ di dalam keadaan jaga (sedar). Di zaman kami ada segolongan mereka yang tidak mempunyai pegangan Agama yang kukuh, dengan penuh emosi menafikannya dan sangat hairan dengan kebenaran ini. Mereka mendakwa ianya mustahil. Apa yang benar adalah: Bahawa sesiapa yang benar-benar beriman dengan Nabi (Mukmin) tetapi tidak dapat melihat Baginda kerana mereka tidak hadir (di zaman Nabi), Hadith ini memberikan khabar gembira bahawa mereka akan dapat melihat Baginda sebelum mereka mati." Ada sebahagian orang tidak mempercayainya dan berkata : "Bagaimana mungkin orang hidup melihat orang mati?”
Untuk dakwaan ini, Imam Saytuhi menjawab:
"Orang-orang yang berkata demikian jatuh kepada dua bahaya: Pertama kerana tidak mempercayai kebenaran Hadith Nabi yang sahih dan yang kedua kerana mengingkari Kekuasaan Tuhan Yang Maha Perkasa."
[Al Hawi lil Fatawi]
SIRI 705 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Fatwa Imam Ibnu Hajar Al-Haithami Radhiallahu anhu:
Imam Ibn Hajar Al-Haythami adalah Mujaddid Kurun ke-12 Hijriyyah, Mufti Agung, Auliya Allah. Fatwa beliau yang termasyhur di dalam Mazhab Syafie'.
Beliau (Ibn Hajar Al-Haytamy) ditanya : "Adakah mungkin bertemu Nabi ﷺ di dalam keadaan sedar (jaga)?"
Imam Ibnu Hajar menjawab:
"Ya? Benar. Melihat dan bertemu Nabi ﷺ di dalam keadaan sedar adalah mungkin (harus) hukumnya."
"Telah dikhabarkan kepada kami bahawa ianya adalah Karomah para Auliya Allah oleh Al-Ghazali, Al-Barizi, Al-Taj Al-Subki, dan Al-Yafi`i, dari kalangan Asy-Syafiiyah dan Al-Qurtubi dan Ibn Abi Jamra dari kalangan Malikiyah."
Beliau menegaskan:
"Sesiapa yang menafikannya, adalah dia tersesat. Mereka yang menafikannya adalah mereka menafikan kebenaran Nabi ﷺ dan menafikan Kekuasaan Tuhan serta menafikan juga Karomah Auliya Allah yang telah dibuktikan oleh Sunnah yang sahih ."
[Fatwa Hadithiyyah, Ibnu Hajar Al-Haytahmi]
Fatwa Imam Ash-Sha'rani Radhiallahu anhu:
"Hukum-hukum yang mereka (imam yang empat) keluarkan adalah bersumberkan Al Qur’an, Sunnah Nabi, perkataan sahabat, Imam mujtahid dan kasyaf. Kasyaf itu ialah bertemu langsung dengan ruhaniyah Rasulullah ﷺ dan bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah ini (suatu Hadith) dari engkau atau tidak?”
[Al-Mizan, Shaikh Abdul Wahab Sha'rani]
Fatwa Al-Imam Abu Thana Shihabuddin Sayyid Mahmud Ibn Abdullah Husayni Al-Alusi Al Baghdadi:
"Terdapat bukti-bukti kukuh dari hal bolehnya bertemu Nabi ﷺ . Ini bukanlah perkara baru, bahkan ramai orang soleh dari kalangan Ummah ini telah melihat Baginda Nabi ﷺ di dalam keadaan sedar dan menerima Ilmu dari Baginda.”
[Ruhul Ma'ani, Al-Alusi]
Fatwa Imam Tajuddin Ibn Atha Illah As-Sakandari:
"Jika aku tidak melihat Nabi ﷺ di dalam satu kerdipan mata, maka aku tidak menganggap diriku Muslim pada saat tersebut."
[Lataiful Minan, Imam Ibn Atha Illah]
SIRI 706 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-18:
Karomah Auliya Allah
Ahlus Sunnah Wal Jama'ah percaya karomah Auliya Allah benar-benar wujud, di-Taqdirkan oleh Allah ke atas kekasih-kekasih-Nya menurut Kehendak-Nya.
Perkataan karomah ( كَرَامَة ) dari segi bahasa adalah berasal kemuliaan, kehormatan, martabat.
Pengertian Karomah ( كَرَامَة ) dari segi istilah adalah:
Kejadian luar biasa yang terjadi kepada Auliya Allah (yang benar), semata-mata dari Kurnia Allah dan bukan dari usaha ikthiarnya, serta melemahkan orang lain yang cuba membuat sepertinya. Pengertian ini membawa maksud, karomah yang benar adalah Anugerah Allah kepada hamba-hamba pilihan-Nya. Ia bukan sesuatu dibuat-buat atau diusahakan oleh Auliya Allah.
Di sinilah bezanya _karomah_ dengan sihir. Sihir adalah kejadian luar biasa yang mencengangkan aqal sehingga manusia menjadi kehairanan tetapi ianya dilakukan oleh manusia kufur dengan bantuan jinn syaitan.
Secara umum terdapat beberapa golongan orang Islam menghadapi pengertian karomah dan haqiqat karomah.
(1) Golongan mengingkari dan menafikan kewujudannya.
Mereka adalah golongan sesat Khawarij, Mu'tazilah dan yang terpengaruh dengan fahaman sesat dari kalangan golongan liberal, pemikir moden, ahli falfasah dan cerdik pandai Agama moden.
(2) Golongan orang Islam yang percaya wujud karomah tetapi salah faham pengertian dan haqiqatnya.
Mereka adalah golongan orang Islam yang jahil. Mereka tahu sedikit Ilmu Tasawwuf melalui bacaan-bacaan sendiri atau sekadar mendengar cerita-cerita kehebatan Auliya Allah, lalu menjadi ghairah dengan ilmu ghaib dan dunia keruhanian.
(3) Golongan ahli sihir yang menipu daya.
Mereka hanya pura-pura Islam, menggunakan bantuan jinn syaitan untuk melakukan berbagai "keajaiban" mencengangkan aqal manusia serta menipu daya orang Islam awam untuk mencari keuntungan duniawi.
SIRI 707 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Penjelasan-penjelasan ringkas untuk dijadikan pegangan.
Penjelasan 1:
Rasul dan Nabi diteguhkan kedudukan mereka oleh Allah dengan Mu'jizat sementara Auliya Allah dan Mu'min sejati diteguhkan kedudukan mereka oleh Allah dengan Karomah dan Ma'unah. Sekalian Mu'jizat, Karomah, Ma'unah adalah perkara-perkara luar biasa yang Allah Ta'ala jadikan kepada Kekasih-kekasih-Nya, yang mencengangkan aqal manusia dan melemahkan orang yang cuba memperbuat sepertinya. Ianya bukan sesuatu yang diusahakan.
Penjelasan 2:
Karomah terbahagi dua:
(1) Karomah Haq — dari Allah.
(2) Karomah Batil —dari iblis, jinn, ahli sihir.
Penjelasan 3:
Karomah dari Allah terbahagi dua:
(1) Karomah Ma'nawiyyah
(2) Karomah Hissiyah
Penjelasan 4:
Karomah Ma'nawiyyah;
Yang dikehendaki dengan Karomah Ma'nawiyyah adalah sekalian Kurnia Allah berupa Cahaya Iman, Tauhid, Taqwa, Ihsan, Ma'rifat serta Istiqamah atasnya sampai mati. Dan inilah sebenar-benar Karomah (kemuliaan) di Sisi Allah yang dituntut atas setiap orang beriman mencarinya.
Firman Allah:
إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬
“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di Sisi Allah ialah orang yang paling tinggi taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”
[Al-Hujurat (49) : Ayat 13]
Penjelasan 5:
Karomah Hissiyyah;
Yang dikehendaki dengan Karomah Hissiyyah adalah sekalian Kurnia Allah berupa hal-hal ajaib yang "merobohkan adat kebiasaan manusia", atau "menembusi hukum Alam", yang terjadi ke atas Auliya Allah dan orang-orang soleh. Misalnya: Menukar kertas biasa menjadi wang, atau terbang di udara tanpa alat penerbangan, atau bergerak pantas dari satu tempat ke tempat lain sekelip mata atau lain-lain seumpamanya. Semua macam _karomah_ ini, apabila terjadi kepada Salikin ketika mujahadahnya pada Jalan Allah, maka ini yang dipanggil Karomah Hissiyyah. Ini bermakna Allah Ta'ala sedang mengujinya sama ada dia benar-benar ingin mencari-Nya ataupun dia mempunyai niat-niat lain selain Allah.
Hamba-hamba Allah yang benar-benar ikhlas mujahadah sehingga mencapai berbagai Maqam Tauhid atau Maqam Keimanan yang tinggi, tidak akan terpengaruh dengan segala kejadian-kejadian istimewa ke atasnya, apa lagi bermegah-megah dengannya. Tidak! Salikin yang ikhlas dan beradab akan sentiasa waspada dan amat takut ketika terjadi berbagai Karomah hissiyyah ke atasnya kerana dia tahu Allah Ta'ala sedang mengujinya dan amat takut terkena istidraj, sehingga hilang musnah Tauhidnya.
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu:
"Semua perkara yang dikatakan "keramat" yang mencarik adat atau luar biasa itu adalah hijab (tabir penghalang) yang melalaikan seseorang dari jalan yang benar dan dari matlamatnya yang sebenar. Bagi mereka, apabila berlaku perkara luar biasa itu terjadi, mereka menganggap seperti perempuan yang didatangi haid, yang sibuk berusaha mengatur diri disebabkan kekurangan yang menimpa dirinya"
[Sirrul Asrar]
SIRI 708 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-19
Ahli Ma'rifat di-Kurniakan Kasyaf dan Ladunni
Ahlus Sunnah Wal Jama'ah meyakini setiap Ahli Ma'rifat yang sampai ke Maqam Mukasyafah (Maqam Tauhid tertinggi), di-Kurniakan oleh Allah berbagai Ilmu rahsia Ketuhanan dan rahsia kehambaan. Ia dinamakan dengan berbagai sebutan: Kasyaf, Ladunni, Khitob, Ilham Ketuhanan. Semua macam pembukaan ini bukan ilmu yang dipelajari di bilik-bilik kuliah atau ceramah-ceramah....melainkan ia semata-mata Kurnia Allah ke dalam hati para hamba-Nya yang telah suci hatinya daripada sekalian aghyar sehingga bersinar dengan Cahaya Rabbaniyyah. Mereka lah para Kekasih Allah yang merupakan Pewaris Nabi yang Siddiq.
Firman Allah:
وَعَلَّمۡنَـٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلۡمً۬ا
"....dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami."
[Al-Kahfi (18 ) : Ayat 65]
Firman Allah :
وَاتَّقُواْ اللَّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ
Bertaqwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajar kamu.”
[Al-Baqarah (2) : Ayat 282]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Takutilah firasat orang mu'min kerana mereka melihat dari Cahaya Allah.”
[Imam Tirmizi]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Barang siapa yang beramal dengan ilmu yang dia tahu, Allah akan pusakakan padanya ilmu yang dia tidak tahu.”
[Imam Abu Nuaim]
Ringkasnya semua macam pembukaan hati Ahli Ma'rifat tersebut mendokong makna yang hampir sama, iaitu pembukaan ainul basirah (mata-hati), ainur-ruh (mata-ruh), ainus-siriyyah (mata rahsia paling dalam) kepada Allah serta sekalian alam ghaib menurut Kehendak Allah.
Apa tujuan Allah Ta'ala Mengurniakan kasyaf dan khitob dan ladunni kepada Ahli Ma'rifat (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq)?
Tujuan mereka di-Kurniakan Ilmu tersebut adalah:
Pertama:
Sebagai isyarat membenarkan kedudukan mereka sebagai Pewaris Nabi yang benar.
Kedua:
Dengan Kurnia Allah tersebut, mereka memimpin manusia kepada Jalan ihdnas-sirotal mustaqeem, Jalan Lurus, Jalan Allah, jalan yang benar-benar di-Redhai Allah.
Ketiga:
Dengan Kurnia Allah itu mereka terhindar dari semua bentuk kesesatan dan kekufuran. Ertinya melalui rahsia-rahsia Keagungan ini mereka (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq) akan sentiasa di dalam Petunjuk Allah dan Pimpinan Rasul-Nya, maka selamatlah daripada kesesatan dan selamatlah Golongan Ahlus Sunnah daripada kesesatan.
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Seseorang tidak dapat dikatakan Ahli Sufi (Ulama Pewaris Nabi yang Siddiq) sehingga dia sampai ke maqam di mana dia di-Anugerahi pandangan kepada Rasulullah ﷺ di dalam mimpinya dan diberi arahan dan tegahan. Jika keadaan ini terjadi maka hatinya akan dinaikkan ke maqam lebih tinggi serta disucikan batinnya. Beliau seterusnya akan memperoleh kehampiran dengan Allah Ta'ala sementara tangannya di dalam pimpinan tangan Rasulullah ﷺ.”
[Fath-Ar-Rabbaniy Wa Faidh Ar-Rahmaniy]
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Ilmu tersebut (iaitu Ilmu Rahsia yang tersangat rahsia) dimasukkan kepada Nabi ﷺ pada malam Baginda Mi'raj kepada Tuhannya. Rahsia itu tersembunyi di dalam diri Baginda di balik tiga ribu tabir hijab. Baginda tidak membuka rahsia tersebut melainkan kepada sebahagian pengikut Baginda yang sangat cinta dengan Baginda. Melalui penyebaran dan keberkatan Rahsia inilah Islam akan terus memerintah sehingga ke hari Qiamat."
[Sirrul Asrar Fi-ma-Yahtaju Ilayhil Abarar]
SIRI 709 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Penjelasan Ringkas kasyaf, khitob, Ladunni
Sesungguhnya persoalan kasyaf, khitob, Ladunni mempunyai perbincangan yang sangat luas, maka tidak disebutkan di sini. Berikut kami sampaikan secara ringkas sahaja berkenaan pengertian dan haqiqat _kasyaf dan Ladunni, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah untuk dijadikan i'tibar dan pegangan Ummat.
Poin 1: Merupakan sebahagian Karomah kekasih Allah.
Sesungguhnya Ilmu Mukasyafah (Kasyaf), Khitob, Ladunni, adalah sebahagian dari Karomah (Kemuliaan dari Sisi Allah) kepada hamba-hamba Pilihan-Nya.
Sama seperti perbincangan berkenaan karomah , tajuk Kasyaf dan ladunni mendapat penentangan dari orang-orang jahil, dan termasuk di dalam kejahilan ini adalah dari kalangan yang mengaku Ahlus Sunnah sendiri. Di samping itu berlaku penyelewengan di kalangan orang yang gemar kepada ilmu keruhanian.
(1) Sebahagian orang Islam menolak terus kewujudan Ilmu ini pada diri Ahli Ma'rifat. Mereka menganggap ia sebagai rekaan Ahli Sufi. Wal Iyazubillah.
(2) Setengah mereka yang tak tahu apa-apa berkenaan dunia Ma'rifat dan tidak pernah menempuh perjalanannya secara benar dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, tiba-tiba mengaku sudah kasyaf.
(3) Setengahnya baru berjinak-jinak dengan Ilmu Tasawwuf mengaku kasyaf kerana kemampuan melihat berbagai cahaya hijau kuning ungu ketika berzikir, atau kerana dapat melihat pemandangan hebat ketika berzikir atau kerana melihat manusia berpakaian putih dan berjanggut lalu mereka menyangka mereka sudah kasyaf.
Poin 2: Definisi
Definisi dari segi bahasa:
Kasyaf ( اَلْكَشْفُ ) dari sudut bahasa adalah: Menyingkap, terbuka, membongkar, buka tutupan, selak tabir.
Definisi dari segi istilah:
Kasyaf ( اَلْكَشْفُ ) pada sisi Ilmu Ma'rifat adalah: Terbuka mata-hati kepada menyaksikan Af'al, Asma', Sifat dan Zat Allah serta perkara-perkara ghaib menurut Kehendak Allah Ta'ala. (Perhatikan kunci di sini : Kasyaf yang haq berlaku menurut Kehendak Allah Ta'ala, bukan kehendak manusia, bukan dibuat-buat oleh manusia atau jinn syaitan)
Poin 3: Kasyaf Haq dan kasyaf batil
Kasyaf ( اَلْكَشْفُ ) secara umum terbahagi dua:
(1) Kasyaf Haqq — Ini Kurnia Allah kepada hamba-hamba Pilihan-Nya yang benar-benar ikhlas mujahadah pada jalan-Nya.
(2) Kasyaf Batil — Ini adalah ilusi dan mainan Iblis yang dipamerkan oleh Iblis kepada manusia bagi memperdayakan mereka dengan khayalan dan kepalsuan.
Poin 4: Kasyaf Hakiki dan Kasyaf Suri
Kasyaf Kurnia Allah terbahagi dua:
(1) Kasyaf Hakiki / Kasyaf Ma'nawiyyah
(2) Kasyaf Suri / Kasyaf Hissiyyah
Kedua-dua bentuk Kasyaf ini adalah daripada Allah Ta'ala, di-Kurniakan kepada Salikin yang telah mujahadah sungguh-sungguh pada jalan-Nya dengan penuh keikhlasan.
Poin 5: Kasyaf Hakiki adalah Terbuka kepada Ketuhanan
Kasyaf Hakiki / Ma'nawiyyah adalah terbuka hati menyaksikan Af'al Allah, Asma', Sifat dan Zat-Nya yang Maha Agung sebagaimana yang telah dijelaskan pada bicara Tingkatan Maqam-maqam Tauhid sebelum ini. Inilah sebenar kasyaf yang dikehendaki pada Sisi Agama iaitu terbuka hati Salikin kepada pintu-pintu Tauhid / Iman / Ma'rifat.
SIRI 710 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Poin 6: Kasyaf Suri adalah Terbuka Alam Ghaib
Kasyaf Suri, atau Kasyaf Hissiyah adalah terbuka mata-hati Ahli Ma'rifat yang sudah tetap, kepada melihat segala dunia Ghaib dan dunia keruhanian keseluruhannya menurut Kehendak Allah. Kurnia Allah ini adalah semata-mata kepada hamba-hamba-Nya yang telah tetap Maqam Tauhidnya dan telah istiqamah pada Syari'at dan adab-adab Ma'rifat. Mereka adalah Kekasih-Kekasih Allah yang tidak terpegun dengan segala Kasyaf Hissiyah ini, jauh sekali bermegah-megah dengannya. Mereka serah diri kepada Allah dan tetap menjaga Amanah Allah dan takut dengan Kemurkaan-Nya. Beberapa contoh yang terjadi kepada para Sahabat Ridhwanullah Alayhi ajma'in.
■ Sayyidina Abu Bakar kasyaf dan khabarkan akan kelahiran anak beliau.
■ Sayyidina Umar melihat tentera Islam di Syam yang dipimpin oleh Sahabat bernama Sariah menghadapi bahaya lalu beliau menjerit "Sariah... Gunung" sedang beliau sedang berkhutbah di Medinah.
■ Sayyidina Uthman melihat tanda-tanda zina pada mata sahabat.
■ Sayyidina Ali kasyaf melihat putera beliau Sayyidina Husain terkorban di Karbala.
Poin 7: Kasyaf Suri bukan kemegahan
Salikin (murid pada Jalan Ma'rifat yang masih di dalam perjalanan) yang memperoleh Kasyaf Suri (hissiyyah) bukanlah suatu kemuliaan atau Anugerah Allah kepadanya, melainkan ia adalah sebagai dugaan kepada mereka. Allah Ta'ala menguji mereka dengan berbagai Pembukaan, untuk mengetahui Salikin yang benar-benar mencari Allah. Jika mereka sentiasa waspada dan serahkan semuanya kepada Allah dan menafikan kelebihan apa pun pada dirinya, maka dia akan selamat. Sebaliknya jika mereka asyik dengan pandangan ghaib tersebut lalu bermegah-megah dengannya (walaupun sekadar di dalam hatinya), maka yang demikian itu adalah istidraj dan kebinasaan. Wal Iyazubillah
Poin 8: Kasyaf tidak berlaku kepada orang awam sekalipun dia bergelar Ulama fiqh
Kasyaf yang Ma'nawi maupun Kasyaf Hissi (yang kedua-duanya dari Allah Ta'ala) tidak sama sekali di-Jadikan oleh Allah ke atas orang awam, sekalipun orang itu cerdik pandai Agama bergelar Ulama (fiqh) atau profesor sekali pun. Ini kerana mereka belum masuk ke Hadrat Ketuhanan yang melayakkan mereka mencapai kemuliaan tersebut. Hati mereka terhijab dengan berbagai kesyirikan, penyakit hati dan kekejian (takabbur, riya', ujub, sum'ah dan lainnya), maka tak mungkin mereka memperoleh pembukaan daripada Allah Ta'ala. Jika terdapat orang awam mendakwa bahawa dia sudah kasyaf, maka ini adalah dakwaan dusta. Dia menipu diri sendiri dan menipu orang lain.
Bersambung siri 711 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
______________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment