B54 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 531 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-63:

Buka 'aib orang lain

......sambungan.....



Rawatan dan Penjagaan

==================


(1) Sepertimana kami huraikan berulang-ulang, setiap orang Islam wajib mempunyai strategi sucikan hati daripada berbagai penyakit yang mencengkamnya.  Masyaikh Ahlus Sunnah telah menjelaskan jalan sucikan hati menurut Petunjuk Allah dan Sunnah Rasul-Nya yang sebenar adalah dengan berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. 


(2) Mereka yang belum berjumpa dengan seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, wajib berusaha sendiri dengan jalan-jalan orang awam, di antaranya lazimkan berserta dengan Ummat yang berpegang kepada Ahlus Sunnah yang benar, lazimkan berjemaah di Masjid, hadiri Majlis pengajian Ilmu, majlis Zikir, tilawah Al-Qur'an dan Solawat. 


(3)  Sedari hakikat bahawa setiap manusia (termasuk diri kamu) mempunyai 'aib  (kekurangan, kelemahan, cacat cela) diri masing-masing yang tersembunyi dari pengetahuan umum kerana Allah Ta'ala menutupinya dengan Kemurahan-Nya. 


(4) Insafilah bahawa diri kamu sendiri banyak dosa dan 'aib.  Jika dihitung mungkin dosa kamu lebih banyak daripada orang lain, maka orang yang bijak akan melihat 'aib dirinya terlebih dahulu dan luruskannya dengan Taubat.  Mereka tidak mempunyai masa untuk sibuk dengan 'aib orang lain.

Dengan demikian adalah suatu kebodohan mencari-cari dan mendedahkan 'aib manusia lain sedangkan diri sendiri penuh dengan berbagai 'aib, kekejian dan penyakit hati yang serius. 


(5) Jika datang hasutan Syaitan, sedar diri yang banyak dosa, tolak segera hasutan tersebut dan ganti dengan Istighfar dan Taubat.


(6) Kurangkan pergaulan sia-sia kerana pergaulan sia-sia menyebabkan banyak berkata-kata yang dusta, mengata orang, mengumpat orang dan membuka 'aib manusia lain.


(7)  Muhasabah diri siang dan malam, periksa setiap amal sama ada benar-benar ikhlas atau telah bercampur dengan berbagai syirik khafi (syirik dalam hati).  Periksa berapa banyak dosa mazmumah (kekejian) yang telah kamu perbuat sepajang hari. 


(8) Tekun amalkan Zikrullah — Zikir _La-Ilaha-Illallah_ sehingga lidah dan hati sebati dengan Kalimah Allah, maka di sana tiada ruang untuk memikirkan 'aib orang lain.


(9) Insafi diri bahawa setiap dosa terhadap manusia lain , termasuk dedahkan 'aib seseorang atau sesebuah kelompok orang Islam merupakan dosa besar yang akan diperhitungkan dengan hitungan yang keras di hadapan Allah.  Ini termasuk ahli Ibadah yang banyak ibadah sekalipun.  Mereka bakal menjadi muflis.  Wal Iyazubillah


Rasulullah   ﷺ  bersabda:

 “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham dan juga tidak memiliki harta.” Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ”Sebenarnya orang yang muflis dari kalangan ummatku ialah seseorang yang datang pada hari Qiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) dia pernah mencaci maki si fulan, menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan, dan pernah memukul si fulan.  Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya , dia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.”

[Imam Muslim]


SIRI 532 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-64:

Buka 'aib diri sendiri

================


Definisi

=======


Dari segi bahasa:

Definisi 'aib telah jelaskan pada siri yang lalu.


Dari segi istilah:

Buka 'aib sendiri adalah menceritakan kepada orang lain akan kekejian yang telah kamu lakukan secara tersembunyi, sedang Allah Ta'ala telah menutupi kekejian tersebut dengan Kemurahan-Nya.



Penjelasan

==========


(1) Setiap manusia mempunyai 'aib diri — kekurangan, kecelaan, kekejian.  Sebahagian besar daripadanya tidak diketahui oleh manusia lain kerana Allah Ta'ala dengan Kemurahan-Nya telah menutupinya.


(2) Mereka yang telah melakukan kekejian yang membawa kepada 'aib dirinya, wajib bertaubat segera dan jangan sesekali mendedahkannya kepada manusia lain. 


(3) Seseorang yang berani menceritakan, mendedahkan, membuka rahsia 'aib dirinya kepada orang menunjukkan dia belum bertaubat, dan sekaligus menunjukkan dia sangat berani dengan Allah Ta'ala, tidak bersyukur dan khianat kepada Allah yang telah menutupi kesalahan dan 'aib dirinya dari pengetahuan manusia lain.


(4) Pada hari ini orang-orang Islam yang lemah Iman mereka, dengan mudah sahaja menceritakan 'aib mereka di khalayak ramai tanpa sedikit pun rasa malu dan takut kepada Allah.  Bahkan setengah daripada mereka megah dengan perlakuan keji mereka!  Wal 'Iyazubillah. 


(5) Menurut usul, setengah dari sebab-sebab dosa kecil akan berubah menjadi dosa besar adalah apabila seseorang melakukannya secara terang-terangan.  Maka perbuatan "menceritakan dosa atau kekejian yang telah dia lakukan secara tersembunyi" meskipun asalnya kecil akan berubah menjadi besar apabila dia dedahkannya kepada umum. 


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:


Enam sebab dosa kecil boleh berubah menjadi dosa besar:


(1) Seseorang melakukan dosa kecil terus-menerus (tanpa taubat)

(2) Meremehkan dosa yang dilakukannya. 

(3) Merasa gembira dan bangga melakukan dosa.

(4) Tidak menghargai dosanya yang ditutup oleh Allah.

(5) Berbuat dosa terang-terangan di hadapan  orang lain.

(6) Dosa diperbuat oleh Ulama atau pemimpin yang dijadikan tauladan.

[Ihya Ulumuddin]


SIRI 533 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 64:

Buka 'aib diri sendiri

..... sambungan.........



Dalil-Dalil

=========


Dalil 1: Rasulullah ﷺ bersabda:


كُلُّ أُمَّتِى مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً ، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا ، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ


"Setiap Ummatku di-Kurniakan Keampunan melainkan golongan  “ الْمُجَاهِرِينَ "   _al-mujahirin_  (zahirkan dosa yang tertutup). Sesungguhnya di antara perbuatan _mujaharah_,  terang-terang melakukan kekejian dan dosa adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam.  Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini." Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.”

[Imam Bukhari, Imam Muslim]



Dalil 2: Rasulullah ﷺ bersabda:

“Berhati-hatilah kalian terhadap dosa kecil, sebab jika ia berkumpul dalam diri seseorang, ia akan membinasakannya.”

[Imam Ahmad]



Dalil 3: Rasulullah ﷺ bersabda:

 “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya.  Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam. ”

[Imam Ibn Majah]



Dalil 4: Rasulullah ﷺ bersabda:

“Dari Ibnu ‘Abbas Radhiallahu anhuma bahawa Rasulullah ﷺ ditanya tentang dosa besar.  Lalu Baginda bersabda :  “Menyekutukan Allah, putus asa dari Rahmat Allah, dan merasa aman dari Makar (muslihat dan hukuman) Allah.” 

[Imam Ath-Thabrani]



Dalil 5: Rasulullah ﷺ bersabda:

“Wahai Aisyah, takutlah engkau terhadap dosa-dosa kecil, kerana ia akan dimintai pertanggungjawaban di hadapan Allah.”

[Imam Ad-Darimi]


SIRI 534 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 64:

Buka 'aib diri sendiri

..... sambungan.........



Contoh-contoh

============


Contoh 1: Dedahkan dosa di dalam perjumpaan, perkumpulan, pertemuan

Hal ini paling umum berlaku. Zaman  sekarang zaman bebas — bebas berkumpul, bebas buka 'aurat, bebas bergaul lelaki perempuan.  Mereka anjurkan berbagai perjumpaan, perkumpulan seronok-seronok atas nama "reunion", "ramah mesra", "berkenal-kenal" dan lain-lain.  Esoknya mereka menceritakan pengalaman "bebas" mereka di laman sosial. Ramai peminat berita sensasi, masing-masing keluarkan pendapat masing-masing sebagai sokongan.


■ Ini perbuatan buka 'aib sendiri.

■ Ini contoh buka 'aib sendiri yang paling umum terjadi di kalangan orang Islam, namun memandang ringan akan dosa-dosanya.



Contoh 2: Ceritakan pengalaman maksiat zaman remaja

Orang-orang muda sama ada lelaki atau perempuan yang sudah berumahtangga ceritakan pengalaman mereka bercinta pada zaman muda sebelum berkahwin. Setengah mereka tanpa segan silu dan tiada sedikit pun rasa takut dan menyesal, menceritakan segala perbuatan maksiat mereka sebelum berkahwin.  Wal Iyazubillah.


■ Mereka buka 'aib sendiri. Mereka sangat berani menceritakan semula pada umum dosa-dosa yang telah mereka lakukan secara senyap. 

■ Mereka meremehkan dosa yang dilakukannya, bangga dengan dosa dan sedikit pun tidak rasa bersalah kepada Allah.

■ Mereka Kufur Nikmat kerana membuka 'aib mereka yang Allah telah menutupinya.



Contoh 3: Ibu bapa biarkan anak melakukan maksiat dengan alasan mereka juga pernah melakukannya

Ketika seseorang ibu ditegur : "Mengapakah kamu biarkan anak perempuan kamu tak tutup aurat dan bergaul bebas?  Dia menjawab: "Tak apa biarkan dia, saya dahulu pun macam tu juga."  Wal Iyazubillah


■ Ibu bapa seperti ini jelas membuka 'aib sendiri. 

■ Ibu bapa seperti ini belum taubat, tidak ada penyesalan sebaliknya sangat berani menceritakan semula pada umum dosa-dosa yang telah diperbuatnya seolah-olah dosa itu hanya mainan.  Wal Iyazubillah



Punca gemar buka 'aib sendiri

======================


Akibat buka 'aib sendiri

===================


Rawatan dan Penjagaan

====================


Huraian dan penjelasan ketiga-tiga tajuk di atas hampir sama dengan tajuk "Dosa Dedah 'Aib Orang Lain."  Maka tidak diulangi lagi di sini.


Moga mereka yang telah terlibat dengan dosa-dosa tersebut, akibat kejahilan atau kerana terhasut dengan nafsu kejahatan dan bisikan Syaitan, moga segera Taubat.


SIRI 535 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar ke-65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

======================



Definisi Dunia:

=============


Dari segi bahasa: 
..............................

Ad-dunya (dunia)  “الدنيا” berasal dari 

kata ( دَنَا- يَدْنُو- دُنُوًّا ) membawa erti : dekat, kurang, rendah, hina. 


Pengertian lain:

1. Al-daniyah (الدانية): 

nikmat, keseronokan, keindahan, kelazatan, kesukaan nafsu


2. Ad-dina’ah (الدناءة): 

najis, kotor, kekejian


3. Ad-danu (دنو): 

sangat dekat, hampir


4. Dunia adalah : makhluq, setiap suatu selain Allah, Alam,  ciptaan Allah



Dari segi istilah:
..............................


Dikehendaki dengan ad-dunya ( الدنيا ) adalah:

setiap suatu yang tiada memberi manfaat pada Akhirat.


Al-Qur'an menggambarkan dunia sebagai:

1. Berlumba-lumba banyakkan harta dan anak-pinak

2. Tempat bermegah-megah 

3. Kesenangan menipu daya

4. Bermain-main, senda gurau, kelalaian

5. Permainan mempesonakan

6. Kebahagiaan sementara



Penjelasan:

==========


(1) Secara Umum "dunia" tidak tercela.  Demikian juga mencari "dunia" tidak dilarang secara mutlaq, tetapi setiap suatu yang disebut sebagai "dunia" dinilai menurut cara menanganinya — cara mencarinya, cara menyimpannya dan cara dibelanjakan. 


(2) Setiap hal berupa "dunia" dan yang berkaitan dengan dunia akan menjadi manfaat (di-Redhai Allah) atau mudarat (di-Murkai Allah) bergantung kepada cara menanganinya — cara menghasilkannya dan cara penggunaannya.


(3) Orang yang mencari dunia, menghasilkan hal-hal berkaitan dengan dunia menurut Kehendak Allah yang di-Redhai-Nya, maka jadilah ia sebagai ibadah dan amal terpuji.  Sebaliknya setiap hal berkaitan dunia yang dicari dengan jalan yang salah dan dibelanjakan pada jalan yang salah, yang bertentangan dengan Kehendak Allah, maka jadilah ia maksiat dan kekufuran.


(4) Dosa besar "Bermegah-megah dengan dunia" dan "Berlumba-lumba mencari dunia" sehingga lalai dari Ingat Allah (lalai dari berzikir Allah Allah dalam hati terus-menerus) merupakan dosa besar.


(5) Bermegah-megah dan berlumba-lumba mencari dan mengumpulkan dunia sehingga lalai dari ingat Allah serta lalai dari mempersiapkan diri untuk menghadap Allah, menuju kepada banyak dosa-dosa besar yang lain:


1. Membawa kepada dosa ujub, riya', takabbur

2. Membawa kepada sifat bakhil

3. Membawa kepada kufur Ni'mat Allah

4. Menyebabkan menjadi zalim, aniaya manusia lain


(6) Tajuk ini mempunyai persamaan dengan tajuk "cinta dunia", tetapi mempunyai sisi kerosakan yang sangat besar, sehingga para Ulama masukkan "dosa bermegah-megah serta berlumba-lumba mengumpul kekayaan dunia" ini ke dalam dosa besar.


Berkata Imam Haythami Radhiallahu anhu:

"Bermegah-megah dengan dunia dan berlumba-lumba mencari dunia (harta, wang ringgit, pangkat, kuasa) termasuk di dalam dosa besar.”

[Az-Zawaajir]


SIRI 536 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar ke-65:

Bermegah-megah 

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



Dalil-Dalil

=========


Dalil 1: Firman Allah:


أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ - حَتَّىٰ زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ - كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ - ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ - كَلَّا لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ الْيَقِينِ - لَتَرَوُنَّ الْجَحِيمَ - ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ الْيَقِينِ - ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ


"Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal kebaikan) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak pinak, kuasa, kedudukan, pangkat), sehingga kamu masuk kubur.  Jangan sekali-kali (bersikap demikian)!  Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!  Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)!  Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!  Demi sesungguhnya!  Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yaqin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari Akhirat).  (Ingatlah) demi sesungguhnya!  Kamu akan melihat Neraka yang marak menjulang.  Selepas itu, demi sesungguhnya!  Kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yaqin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!  Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! “

[At-Takathur (102) : Ayat 78]



Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

"Perlumbaan kamu untuk memperoleh harta benda, kemegahan, kedudukan dan ketinggian keturunan menyebabkan kamu menjadi lalai (dari ingat Allah dan membuat persiapan menghadap Allah). Sehingga kamu masuk kubur (mati), Ini kerana Banu Sahm dan Banu 'Abdu Manaf masing-masing besar diri, bangga diri, megah dengan kelompok masing-masing mengenai kelompok siapa yang lebih besar dari segi bilangan ahlinya.  Terbukti selepas itu Banu Abdu Manaf yang terlebih besar. Banu Sahm membantah; telah berlaku tidak adil kepada kami, pergilah kira mereka yan telah mati dan kiralah yang masih hidup di kalangan kami, dan kiralah berapa ramai di kalangan kamu yang sudah mati dan yang masih hidup. Setelah itu didapati Banu Sahm lebih ramai.  Maka ayat di atas diturunkan berkenaan mereka, yang bertelagah disebabkan status mereka dan kedudukan keturunan mereka sehingga mereka sanggup turun ziarahi kubur dan sanggup mengira mereka yang sudah mati.  Juga dikatakan ayat ini bermaksud: Membanyakkan harta kekayaan dan anak pinak telah melalaikan kamu sehingga kamu mati."

[Tafsir Ibnu Abbas]


Berkata Al-Imam Sulton Awliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Bermegah-megah telah melalaikan kamu" adalah bermaksud:  Membuat kamu sibuk berbangga-bangga dengan banyakkan harta dan anak-pinak, wahai orang yang tenggelam di dalam lautan kelalaian dan kesesatan yang menjauhkanmu dari Tauhid dan ketaatan kepada Tuhanmu.  Sampai kamu mati menjadi penghuni kubur, demikian pula apa yang kamu lakukan dan apa yang kamu dapatkan semasa hidupmu.  Kemudian Allah berfirman untuk mencegah dan menakuti perbuatannya berbangga-bangga dan bermegah-megah, jangan kamu lakukannya.  Allah mengulangi amaran-Nya "jangan kamu begitu" dengan ketegasan yang bersifat hiperbolik serta ancaman keras untuk memberikan ancaman yang dahsyat terhadap janji-Nya. Kemudian Allah merakam kebodohan dan kesesatan mereka "jangan begitu" maksudnya: Jangan kamu bermegah-megah dan bangga-bangga dengan perhiasan fana' ini wahai orang yang bodoh dan sombong.  Kelak kamu akan melihat dengan pandangan yang nyata (ainul yaqin) dan pengihatan sebenar-benarnya (haqqul yaqin) akan akibat perbuatan kamu lalai dari Perintah Allah dan sibuk bermegah-megah dengan dunia dan kesenangan sementara yang pasti binasa.”

[Tafsir Al-Jailani]


SIRI 537 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar ke-65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

(sambungan tafsir surah At-Takathur)


"Bermegah-megah, yakni kebanggaan dalam memperbanyak dan menghitung-hitung harta telah menyibukkan kamu dari ta'at kepada Allah, sampai kamu mati.  Ada yang berkata alhaakum adalah ansaakum (melupakan), at-takathur (bermegah-megah), iaitu dalam soal banyak harta dan anak-anak, seperti yang dikatakan oleh Ibnu Abbas dan Al-Hasan.


Qatadah berpendapat, berbangga diri dengan qabilah-qabilah dan kaum kerabat (seperti asbabun-nuzul ayat) .

Adh-dhahhaq berpendapat, dilalaikan oleh kesibukan (berlumba-lumba) mencari rezeki dan perniagaan. 


Muqatil, Qatadah dan lainnya berkata bahawa ayat ini turun kepada orang Yahudi ketika mereka masing-masing mendakwa "kami lebih banyak daripada keturunan si fulan" sehingga hal tersebut menyibukkan mereka hingga mereka mati di dalam keadaan sesat.


Ibnu Abbas, Muqatil dan Al-Kalbi berkata bahawa ayat ini turun berkenaan Huyain dari kaum Quraisy Bani Abdu Manaf dan Bani Sahm, mereka saling menghitung dan bersaing dalam soal banyaknya pemimpin dan orang mulia dalam Islam, maka berkatalah setiap yang hidup dari mereka bahawa kamilah yang paling banyak pemimpinnya, lebih mulia, lebih banyak orangnya dan lebih banyak pelindungnya, dengan itu Bani Abdu Manaf lah yang lebih banyak dari Bani Sahm, kemudian mereka bersaing dalam banyaknya yang mati (di Jalan Allah), dalam hal itu Bani Sahm yang lebih banyak sehingga turun Firman Allah ini.


Said meriwayatkan dari Qatadah, ia berkata, "Dahulu mereka berkata kami yang lebih banyak dari keturunan si fulan dan kami lebih banyak jasa dari keturunan si fulan, setiap hari mereka saling menjatuhkan satu sama lain hingga akhir hayat mereka.  Demi Allah mereka sentiasa di dalam keadaan demikian sehingga mereka masuk qubur (mati).”


Di dalam Sahih Muslim dari Mutharrif dari ayahnya, ia berkata, "aku menemui Rasulullah ﷺ ketika Baginda sedang membaca surah At-Takathur, lalu Baginda bersabda: 

"Anak Adam mengatakan, hartaku, hartaku! Dan apakah engkau wahai anak Adam dengan hartamu itu melainkan apa yang engkau makan dan ia pun habis, pakaian yang kamu pakai, itu pun akan menjadi usang atau pun apa yang kamu sedekahkan akan berlalu, harta selain itu akan lenyap dan diperkenankan untuk orang lain (yang tinggal)"


Imam Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Shihab, Anas bin Malik khabarkan kepadaku bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

"Jika anak Adam memiliki lembah dari emas, maka ia menginginkan agar ia memiliki dua lembah dari emas, dan sekali-kali mulutnya tidak akan puas kecuali setelah diisi tanah (mati) dan Allah Ta'ala menerima taubat orang yang taubat kepada-Nya"


Thabit berkata dari Anas dari Ubay, "kami beranggapan hal ini dari Al-Qur'an hingga turun  " أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ ". 

Ibnu Arabi berkata,  "Ini adalah nas yang sahih dan elok.  Nas tersebut tersembunyi dari ahli tafsir sehingga mereka tidak mengetahuinya, segala puji hanya bagi Allah atas pengetahuan yang telah di-Kurniakan-Nya."


Ibnu Abbas berkata, "Rasulullah ﷺ membaca ayat ini ..." أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ " lalu Baginda bersabda: 

"Bermegah-megahan dalam harta  adalah mengumpulkannya dengan cara yang bukan haknya, merintangi haknya dan mengikatnya dalam bejana"


SIRI 538 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar ke-65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



Firman Allah ini...  ( حَتَّىٰ زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ ) sampai kamu masuk kubur sebagai amaran, iaitu bermegah-megah (dengan dunia, harta benda, ramainya anak pinak)  jadikan kamu lalai hingga kamu masuk kubur, maka kamu dapat melihat apa yang Allah turunkan kepada kamu dari Azab-Nya. 

    

Para Ulama kita mengatakan, di antara cara melembutkan hati orang yang sangat keras hatinya adalah dengan ziarahi kubur dan ziarahi orang yang sedang berada di sakratul-maut, di ambang kematian.  Maka di sana dia dapat mengambil i'tibar, pengajaran, peringatan yang sangat manfaat, sehingga dia mahu tunduk dan bertaubat.


Di dalam hal menyaksikan orang yang sedang hadapi kematian dan ziarahi kubur orang Islam merupakan penglihatan secara langsung dan penyaksian dengan mata kepala sendiri.  

Rasulullah ﷺ bersabda: 

"Suatu khabar tidaklah sama dengan melihatnya secara langsung"   [Imam Ath-Tabrani]


Kalimat .... (كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ - ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ ) —  Jangan sekali-kali (bersikap demikian)!  Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!  Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)!  Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari Qiamat)!  


Kalimat ( كَلَّا  ) = janganlah begitu", iaitu Al-Farra' berkata , tidaklah perkara ini dari apa yang kamu bangga-banggakan, bermegah-megah (jangan sesekali perbuat demikian), kelak kamu akan mengetahui akibat perbuatan kamu.  Kemudian Allah ulangi ( كَلَّا  ) = janganlah begitu", iaitu ancaman demi ancaman menunjukkan penguat dan kukuhnya (amaran Allah). 


Ibnu Abbas berkata:

Firman Allah  (كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ - ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ ) 

apa yang menimpa kalian dari azab kubur dan di Akhirat azab menimpa kamu Ertinya kalimat  ( كَلَّا  ) yang pertama bererti azab di kubur, Kalimat  ( كَلَّا  ) yang kedua azab di Akhirat, maka pengulangan tersebut untuk menjelaskan dua keadaan."

[-Tamat nukilan Tafsir Qurtubi-]


SIRI 539 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....




Dalil 2: Firman Allah:


إِنَّ قَارُونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ وَآتَيْنَاهُ مِنَ ٱلْكُنُوزِ مَآ إِنَّ مَفَاتِحَهُ لَتَنُوءُ بِٱلْعُصْبَةِ أُوْلِي ٱلْقُوَّةِ إِذْ قَالَ لَهُ قَوْمُهُ لاَ تَفْرَحْ إِنَّ ٱللَّهَ لاَ يُحِبُّ ٱلْفَرِحِينَ 


Sesungguhnya Qarun adalah dia dari kaum Nabi Musa, kemudian dia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Dia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).

[Al-Qasas (28) : Ayat 76]


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

"Qarun merupakan sepupu Nabi Musa Alaihis-salam. Qarun menolak Kenabian Nabi Musa Alaihis salam dan bersikap sombong takabbur terhadap Nabi Musa Alaihis Salam dan Nabi Harun Alaihis-salam.   Allah Kurniakan kesenangan dan perbendaharaan harta yang amat banyak sehingga kunci perbendaharaannya tak mampu dipikul oleh 40 orang lelaki yang perkasa. (Namun Qarun tidak bersyukur) sebaliknya melakukan berbagai kezaliman terhadap kaum Nabi Musa Alaihis-Salam.  Sehingga kaum Nabi Musa berkata: Janganlah engkau bermegah-megah dengan harta kau, jangan kau sombong takabbur dengan harta yang engkau miliki.  Jangan engkau persekutukan Allah. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang banggakan diri dan sombong dengan hartanya."

[Tafsir Ibnu Abbas]



Berkata Sulton Auliya, Al-Imam Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Allah berfirman untuk mengingatkan dan berikan pelajaran kepada orang Mukmin mengenai orang yang sombong terhadap Allah dan Utusan-Nya, serta keluar dari keimanan dan ketulusan hati, disebabkan oleh tenggelam di dalam dunia kebendaan yang diberikan sebagai fitnah dan cobaan oleh Allah kepada mereka.  Sesungguhnya Qarun adalah orang yang sombong kepada Allah dan Utusan-Nya dengan bangga dengan harta benda dan kedudukannya, adalah dia termasuk kaum Musa Alaihis-Salam, awalnya dia termasuk orang yang mempercayai Nabi Musa Alaihis-Salam.  Sebuah pendapat mengatakan dia adalah putra pakcik Nabi Musa dan pendapat lain mengatakan dia adalah putra makciknya.


Sebelumnya Qarun adalah orang kepercayaan Fir'aun. Namun setelah datang Nabi Musa dan Nabi Harun Alaihis-salam, dia beriman kepada keduanya, hingga menguasai Taurat dengan baik, bahkan hafal di luar kepala.  Kemudian ketika Nabi Musa dan Nabi Harun berkuasa dan kekuasaan Fir'aun hancur, Qarun ingkari keduanya, dengan berbangga bermegah dengan limpahan harta bendanya (ertinya lupakan Allah dan segala Nikmat Kurniaan-Nya).


Suatu hari Qarun berkata kepada Nabi Musa Alaihis-Salam, "Kamu memiliki Kerasulan dan saudaramu Harun memilik kesenangan sedangkan aku tak memiliki apa pun.  Sampai bila aku mampu sabar?  Maka dia berlaku zalim terhadap mereka.  Dan semua itu tidak lain kerana Kami Anugerahkan kepadanya berbagai-bagai bentuk kesenangan yang merupakan tipu daya dan fitnah — perbendaharaan harta berupa emas, perak dan lainnya, yang kunci-kunci peti hartanya sungguh berat dipikul oleh penjaganya, padahal mereka memiliki kekuatan untuk memikul beban berat.  Qarun bermegah dengan semua hartanya. 


Kaumnya, kerabat-kerabatnya dan kawan-kawannya berkata kepadanya, "Jangan kamu bermegah dan sombong dengan harta yang kamu miliki, sesungguhnya semua itu akan hilang.  Jangan sampai hati kamu bergantung pada semua itu.  Sesungguhnya Allah Ta'ala, Zat yang memperbaiki keadaan hamba-hamba-Nya, tidak menyukai orang yang berbangga-bangga, apa lagi bermegah dengan harta benda yang membuatnya lalai dari kenikmatan ruhani.

[Tafsir Al-Jailani]


SIRI 540 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

 Qarun diberikan kekayaan yang berlimpah dan dia terpedaya olehnya, bahkan kekayaan tersebut tidak  mampu menjaganya dari azab Allah Ta'ala sama seperti Fir'aun.  Apalagi kalian wahai  orang musyrik, harta kalian tidak sebanyak harta Qarun dan Fir'aun, Fir'aun dan bala tenteranya tidak dapat memberikan manfaat begitu juga dengan harta Qarun.


Maksud Qarun menjadi zalim adalah kerana kekafirannya kepada Allah.  Ini menurut Adh-Dahahhaq.  Ada yang mengatakan, maksud zalim adalah dia menyombong diri disebabkan banyaknya harta dan anak yang dimilikinya.  Ini pendapat Qatadah.  Ibnu Bahr mengatakan, Qarun melampaui batas kerana menganggap apa yang di-Kurniakan Allah kepadanya sebagai miliknya, seperti harta dan perhiasan.


Tatkala Allah Ta'ala Perintah untuk merejam orang yang berzina, maka Qarun menyuruh seorang perempuan untuk mengaku dia telah berzina dengan Musa, dia pun berikan harta kepada perempuan tersebut sebagai imbalannya.


Tatkala perempuan tersebut hamil, dia mengaku bahawa dia telah berzina dengan Musa. Musa menyangkal dan bersumpah atas Nama Allah Ta'ala yang Membelah lautan untuk Bani Israil serta menurunkan kitab Taurat, bahawa dia tidak melakukan hal tersebut, maka perempuan itu mengaku Qarun yang menyuruhnya (melakukan fitnah terhadap Nabi Musa Alaihis salam) dan Qarun berikan dia imbalan.  Maka Allah serahkan urusan Qarun kepada Nabi Musa Alaihis-Salam. 


Nabi Musa Alaihis-Salam mohon agar Qarun dan harta kekayaan ditelan bumi, Allah Perintahkan bumi menelannya, maka bumi pun menelannya sedikit demi sedikit.  Qarun berteriak minta tolong kepada Nabi Musa Alaihis-Salam, (Nabi Musa tidak pedulikan teriakan Qarun, bumi terus menelannya), akhirnya seluruh tubuh Qarun ditelan bumi, namun Nabi Musa Alaihis-salam tidak pedulikannya.  (Bumi bukan sahaja menelan Qarun, tetapi berserta dengannya adalah sekalian harta kekayaannya).


Diriwayatkan juga bahawa Allah Ta'ala  me-Wahyukan  kepada Nabi Musa Alaihis-Salam : "Hambaku (Qarun) telah minta tolong kepadamu, namun kamu tidak menolongnya, dan seandainya dia minta tolong kepada-Ku nescaya dia akan mendapati Aku dekat dan penolongnya.  (sebahagian riwayat mengatakan walaupun dia minta tolong kepada-Ku sekali saja, nescaya Aku Ampuninya),  "


Bersambung siri 541 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...