B75 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 741 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...



(3) Pemerintahan Fasa ke-4 yang ditadbir oleh Diktator atau Pembesar-pembesar  (Presiden, Menteri Besar, Orang Besar) yang keras kepala dan sombong.  Mereka menggunakan berbagai sistem yang berlawanan dengan Islam seperti demokrasi, sistem kapitalis, sosialis, komunis dan lain-lain.


Pemerintah-pemerintah ini tidak jauh bezanya dengan Fasa ke-3. Pemerintahan dipenuhi dengan berbagai penipuan, rasuah, kefasikan dan kezaliman.  Orang Islam yang menyatakan kebenaran akan ditangkap atau ditahan daripada menyebarkan kebenaran.  Mereka gunakan berbagai akta dan enakmen untuk menghalang tersebarnya kebenaran.  Inilah zaman yang Ummat berada sekarang.


(4) Suatu hal yang sangat penting untuk diperhatikan adalah berkenaan Ulama Pewaris Nabi yang Siddiq.


Selepas Sayydina Hasan Radhiallahu anhu serahkan jawatan Khalifah kepada Muawiyyah untuk elakkan pertumpahan darah, Ulama Pewaris Nabi yang Siddiq TIDAK lagi mengambil bahagian dalam politik.    Mereka menjauhi semua pemerintah yang rakus, tamak haloba, fasiq dan zalim yang bergelumang di dalam politik kotor dunia.


Sejak saat itu hingga zaman ini, Ulama Pewaris Nabi yang benar yang dikenali sebagai Mursyid yang Siddiq, Ahli Ma'rifat, Ahli Sufi, Ulama Billah ..... menjauhkan diri dari politik kotor manusia-manusia buas, rakus dan zalim.


Ulama Pewaris Nabi yang benar menolak segala jawatan yang ditawarkan oleh penguasa fasiq.  Akibatnya mereka ditangkap dan dipenjarakan.  Antaranya Imam Abu Hanifah, Imam Syafi'e dan Imam Hambali ditangkap dan disiksa.  Namun mereka tak pernah berubah hati mengikut telunjuk Pemimpin-pemimpin zalim dan fasiq. 


Adapun "Ulama" yang bersubahat dengan Pemerintah Zalim hanya Ulama dunia, Ulama As-Su, Ulama jahat yang mementingkan pangkat dan memenuhi hawa nafsu dunia.  Ulama as-su (ulama jahat) ini  menjadi penasihat pemerintah untuk mengeluarkan Fatwa sesat yang menyenangkan pemerintah.  Ulama jahat inilah yang mempertahankan Pemerintah fasiq dan zalim.  


(5) Ulama Pewaris Nabi yang benar meneruskan Sistem Warisan Rasulullah ﷺ bagi pembentukkan peribadi-peribadi beriman dan bertaqwa.  Mereka meneruskan Sistem Pendidikan yang diwarisi dari Rasulullah ﷺ dengan jalan bai'at dan musyafahah yang dijamin kesuciannya oleh Allah dan Rasul-Nya. Mereka sentiasa di dalam Pimpinan Allah dan Rasul-Nya.  Pimpinan mereka akan kekal di dalam Wilayah tersebut hingga datangnya Imam Mahdi Alayhis-salam mendirikan Daulah Islamiyyah yang benar berdasarkan Manhaj Ala-an-Nubuwwah (Manhaj Kenabian) sepertimana yang dilaksanakan oleh Khulafa Ar-Rasyidin.


SIRI 742 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...



Prinsip ke-34: Ulama benar, Ulama palsu


Ahlus Sunnah berpegang kepada Ulama Billah, Ulama Pewaris Nabi yang sebenar dan menolak Ulama palsu — Ulama as-su' (ulama jahat), Ulama sesat (72 golongan sesat), Ulama dunia, Ulama demokrasi, Ulama sekular. 


Menurut pegangan Ahlus Sunnah yang benar, istilah "Ulama" membawa pengertian khusus dan melambangkan kedudukan yang tinggi dan mulia di Sisi Allah.  Ulama adalah Pilihan Allah bukan penentuan manusia, bukan pilihan parti politik, bukan pilihan Pemerintah.  Setiap Ulama yang benar adalah Auliya Allah yang menanggung amanah tertentu atas muka bumi.


Firman Allah:


يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتٍ۬‌ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٌ۬


"Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.”

[Al-Mujadilah (58) : Ayat 11]


Definisi Ulama:


Dari segi bahasa:

Ulama (عُلَمَاء‎) merupakan Jamak (plural) bagi perkataan alim (عَالِمٌ), yang berasal dari kata ( عَلَمَ، يَعْلَمُ، عِلْمً ) ertinya mengetahui, kenal, menemukan, terjaga, sedar.


Dari segi istilah:

Ulama adalah hamba-hamba istimewa yang Allah Ta'ala pilih khusus, Melebihkan mereka dari manusia lain, Mengangkat Darjat mereka,  Memuliakan mereka, Menyucikan batin mereka, Melimpahkan mereka Ilmu dan Hikmah sehingga mereka mencapai Ma'rifat yang tinggi, Meneguhkan kedudukan mereka dengan berbagai kelengkapan ketaqwaan sehingga benar-benar layak menjadi Pewaris Rasulullah ﷺ menyebarkan Cahaya Ilahiyyah ke seluruh muka bumi dengan pimpinan Allah dan Rasul-Nya.

 

Definisi khusus merujuk kepada Ulama yang benar

Selain dari istilah "Ulama",  para _Masyaikh Ahlus Sunnah_ turut menyebut beberapa istilah lain yang merujuk kepada istilah "Ulama".... kesemuanya bersumber dari Kitabullah dah Hadith Rasulullah ﷺ, di antaranya:


Warisatul-Anbiya

Mursyid  

Ahli Sufi 

Ahli Ma'rifat 

Ulama Billah

Rijalullah 

Ulama Mu'tabar 

Murobbi 

Khalifah Allah 

Khalifah Rasulullah ﷺ

Sahabat Rasulullah ﷺ

Auliya Allah 


Penegasan:

Istilah-istilah yang disebutkan inilah sebenar Ulama yang disebut oleh Allah dan Rasul-Nya iaitu Mursyid Pewaris Nabi yang sebenar yang memegang Amanah Allah di atas muka bumi.  Mereka hidup silih berganti setiap zaman sampai Qiamat. Sejak bangkitnya Ulama palsu di dalam Pemerintahan yang penuh dengan kezaliman dan kefasikan, maka para Ulama Billah, Mursyid Pewaris Nabi yang benar-benar mewarisi Ilmu Nabi ﷺ  menerbitkan istilah-istilah lain bagi membezakan Ulama Billah dengan Ulama as-su.



Definisi Ulama As-Su (السوء)

Ulama As-su' ( علماء السوء) adalah "Ulama jahat", "Ulama keji", "Ulama kufur" yang mempunyai pengetahuan (zahir Syari'at), mengetahui halal-haram dan selok-belok hukum Syara'  tetapi mereka menggunakan ilmu mereka untuk kepentingan dunia, memutarbelitkan ayat Qur'an,   mendustakan Ayat-ayat Allah dan Hadith Rasulullah ﷺ dan  mengeluarkan fatwa menurut nafsu, iblis dan kehendak penguasa-penguasa fasiq.


SIRI 743 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...



Firman Allah:


يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتٍ۬‌ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٌ۬


"Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan."

[Al-Mujadilah (58) : Ayat 11]


Firman Allah:


إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰٓؤُاْۗ 


Sesungguhnya yang sebenar  takut (taqwa) kepada Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu atau Ulama . 

[Al-Faathir (35) : Ayat 28]


Firman Allah:


الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا


“(Malaikat)yang memikul ‘Arsy dan yang disekitarnya bertasbih dengan memuji Rabb mereka dan mereka beriman kepada-Nya, dan mereka memohonkan ampun bagi orang-orang yang beriman.” 

[Ghafir (40) : Ayat 7]


Rasulullah ﷺ bersabda:


إن الله وملائكته وأهل السماوات والأرض حتى النملة في جحرها ، وحتى الحوت ، ليصلون على معلم الناس الخير. رواه الترمذي


“Sesungguhnya Allah dan malaikat, penghuni langit serta bumi sehinggakan semut yang berada di dalam lubangnya dan ikan-ikan (di lautan) solawat (berdoa) ke atas Orang ‘alim (Alim Billah) yang mengajar kebaikan kepada manusia.” 

[Imam Tirmizi]


Rasulullah ﷺ bersabda:


وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِى السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِى الأَرْضِ وَالْحِيتَانُ فِى جَوْفِ الْمَاءِ


“Dan sesungguhnya seorang ‘alim (Sohibul Ilm, atau Alim Billah, Ahli Ma'rifat) itu, akan memohonkan ampun baginya penduduk langit dan bumi, dan juga ikan dalam air.” 

[Imam Ahmad, Imam Abu Dawud]


Menurut tafsiran Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani, Imam Ghazali, Imam Fakhruddin Ar-Razi, Imam Sayuthi _Radhiallahu anhu_, yang dikehendaki dengan kalimat "orang berilmu", "orang ‘alim",  "orang mu'min" di dalam ayat Qur'an dan Hadith di atas adalah ditujukan kepada para Auliya Allah yang telah mencapai Ma'rifat dan Mengenal Allah dengan pengenalan yang sempurna.  Ikan di lautan, dan semut di sarang mengenali mereka, tetapi "manusia buta" tidak mengenali mereka.


SIRI 744 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...



Penjelasan

========


(1) Tajuk ini (Bab Ulama) hampir sama perbahasannya dengan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, tetapi dijelaskan juga di dalam bentuk yang berlainan kerana istilah Ulama sudah terkenal di kalangan Islam orang awam.  Maka pengertian benar berkenaan "Ulama " perlu didedahkan demi menyelamatkan Ummat yang hidup di dalam kekeliruan.


(2) Istilah Ulama' (kemudiannya dikenali juga sebagai Mursyid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat, Auliya Allah) adalah suatu istilah Agung yang bersumber dari Al-Qur'an dan Hadith Rasulullah ﷺ sehingga barang siapa menafikannya,mengingkarinya, menentangnya, mencacinya, mengejek-ejeknya, mengolok-oloknya, meremehkannya, merendah-rendahkannya atau barang sebagainya, maka adalah dia menentang Allah dan Rasul-Nya tanpa khilaf lagi meskipun orang itu mempunyai kedudukan di dunia sebagai Raja, Sultan, Perdana Menteri, Presiden, Mufti atau Qadhi atau Profesor atau pangkat-pangkat lainnya.


(3) Setiap Ulama (kemudiannya dikenali juga sebagai Mursyid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat, Auliya Allah) adalah Pilihan Allah yang Dia (Allah) menzahirkan mereka sebagai Pewaris Nabi, menduduki maqam Nubuwwah, menanggung Amanah besar sebagai khalifah Allah dan wakil Rasulullah ﷺ, bagi memakmurkan bumi dengan Cahaya Ilahiyyah. 


(4) Ulama (kemudiannya dikenali juga sebagai Mursyid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat, Auliya Allah) menduduki posisi Agung di Sisi Allah disebabkan oleh rahsia Ilahiyyah di dalam batin mereka.  Mereka bukan manusia biasa tetapi insan-insan luar biasa yang menjadi Rijalullah (lelaki Allah, Pahlawan Allah)


(5) Istilah-istilah "Mursyid", "Ahli Sufi", "Ahli Ma'rifat" merupakan ijtihad Masyaikh Ahlus Sunnah yang semuanya bersumber dari Al-Qur'an dan Sunnah.  Tujuan para masyaikh kita menjelaskan istilah-istilah tersebut  dijelaskan sesuai dengan kedudukan "Ulama" yang istimewa di Sisi Allah. Yang kedua bertujuan memuliakan mereka sebagaimana dituntut oleh Allah dan Rasul-Nya.  

Yang ketiga guna membezakan Ulama yang benar dengan Ulama palsu, Ulama as-su', Ulama politik, Ulama sesat. 


(6) Ketika nama "Ulama" dicemari oleh "Ulama-Ulama as-su' (ulama jahat, fasiq, kufur)", "Ulama Sesat" — khawarij (wahhabiyyah), syi'ah (rafidhi), mu'tazilah, jabariyyah, mujassimah, musyabbihah dan lain-laim berjumlah 72 golongan sesat, maka pada saat itu sekalian Ulama Ahlus Sunnah yang benar tetap berpegang teguh dengan warisan suci Rasulullah ﷺ,  menolak sistem jahiliah yang dihidupkan semula oleh ahli politik korup dan "Ulama-ulama jahat, fasiq dan keji".  Hal ini berlaku setelah kewafatan Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah.  Orang-orang jahil memakai pakaian "Ulama" dan menduduki kerusi ahli fatwa. Mereka tunduk kepada penguasa-penguasa fasiq mengeluarkan fatwa sesuai dengan selera nafsu mereka.   Mereka inilah "Ulama as-su', Ulama Syaitan, Ulama nafsu."


 (7) Istilah-istilah lain yang diterbitkan oleh Ulama Ahlus Sunnah berkenaan istilah "Ulama" bagi membezakan Ulama yang benar dengan Ulama palsu, Ulama jahat, Ulama dunia adalah Rahmat Allah yang besar bagi ummat.  Dengan wujudnya istilah Mursyid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat dan lain-lain, Ummat Islam akan waspada agar tidak tertipu kepada dakyah Ulama-ulama fasiq, kufur dan sesat. 


SIRI 745 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...



Larangan keras mengikuti Ulama Palsu, Ulama as-su', Ulama dunia


Firman Allah:


 وَإِنَّ مِنۡهُمۡ لَفَرِيقً۬ا يَلۡوُ ۥنَ أَلۡسِنَتَهُم بِٱلۡكِتَـٰبِ لِتَحۡسَبُوهُ مِنَ ٱلۡڪِتَـٰبِ وَمَا هُوَ مِنَ ٱلۡكِتَـٰبِ وَيَقُولُونَ هُوَ مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ وَمَا هُوَ مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ وَيَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ


Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (ketua-ketua agamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu dan mereka pula berkata: (Bahawa) ia adalah (datangnya) dari Sisi Allah, padahal ia bukanlah dari Sisi Allah, dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta). 

[Aali-Imran (3) : Ayat 78]


Firman Allah:


ٱشْتَرَوْاْ بِآيَاتِ ٱللَّهِ ثَمَناً قَلِيلاً فَصَدُّواْ عَن سَبِيلِهِ إِنَّهُمْ سَآءَ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ


Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit (dari faedah-faedah dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) dari agama Allah; sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan.

[At-Taubah (9) : Ayat 9]


Rasulullah ﷺ bersabda:


الْعُلَمَاءُ أَمَنَاءُ الرُّسُلِ مَا لَمْ يُخَالِطُوْا السُّلْطَانَ وَ يُدَاخِلُوْا الدُّنْيَا فَاِذَا خَالَطُوْا السُّلْطَانَ وَ دَاخَلُوْا الدُّنْيَا فَقَدْ خَانُوْا الرُّسُلَ فَاحْذَرُوْهُمْ وَفِيْ رِوَايَةٍ لِلْحَاكِمِ فَاعْتَزِلُوْهُمْ


“Ulama adalah kepercayaan para Rasul selama mereka tidak bergaul dengan penguasa dan tidak asyik dengan dunia.  Jika mereka bergaul dengan penguasa dan asyik dengan dunia maka mereka telah mengkhianati para Rasul.  Oleh sebab itu jauhilah mereka.” 

[Imam Al-Haakim]


Rasulullah ﷺ bersabda:

”Aku bersama Nabi suatu hari dan aku mendengar Baginda bersabda : "Ada hal yang aku takutkan pada ummatku melebihi dajjal.”  Kemudian aku merasa takut, sehingga aku berkata : Ya Rasulullah apakah itu? Baginda bersabda : Ulama yang sesat lagi menyesatkan.” 

[Imam Ahmad]


Rasulullah ﷺ bersabda:

“Akan datang suatu zaman di mana agama Islam hanya tinggal namanya sahaja dan Al-Quran pula hanya tinggal huruf dan tulisannya.  Masjid-masjidnya cantik dan megah, tetapi sunyi daripada Hidayah. Ulama mereka adalah manusia yang paling jahat di antara yang ada di bawah langit. Daripada para ulama ini muncul bermacam-macam fitnah dan (fitnah itu) kembali ke dalam lingkungan mereka.” 

[Imam Al-Baihaqi]


SIRI 746 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...



Prinsip ke-35: Dilarang memberontak terhadap pemimpin Negara


Menurut pendirian Ahlus Sunnah, Ummat Islam dilarang memberontak atau mengangkat senjata melawan Pemimpin negara.  Larangan ini bukan sahaja terhadap Pemerintah yang adil tetapi juga terhadap Pemerintah yang zalim sekalipun.


Penjelasan:

(1) Secara umum wajib mentaati pemimpin sama ada suka atau benci.

Wajib mentaati pemimpin walaupun dia berbuat kezaliman.


(2) Dilarang ta'at ketika dia  memerintahkan kemaksiatan atau kekufuran. 


(3) Pemimpin zalim wajib digantikan dengan cara-cara yang diharuskan oleh Syara'.


Rasulullah ﷺ bersabda:


 لاَ طَاعَةَ فِى مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِى الْمَعْرُوفِ "


Tidak ada ketaatan dalam melakukan maksiat kepada Allah.  Ketaatan hanyalah dalam perkara yang ma'ruf." 

[Imam Bukhari]


Rasulullah ﷺ bersabda:


عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ ، فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ


Seorang muslim wajib mendengar dan taat dalam perkara yang dia sukai atau benci selama tidak diperintahkan untuk bermaksiat.  Apabila diperintahkan untuk bermaksiat, maka tidak ada kewajiban mendengar dan taat."

[Imam Bukhari]


Rasulullah ﷺ bersabda:


 يَكُوْنُ بَعْدِيْ أَئِمَّةٌ لاَ يَهْتَدُوْنَ بِهُدَايَ وَلاَ يَسْتَنُّوْنَ بِسُنَّتِي وَسَيَقُوْمُ فِيْهِمْ رِجَالٌ قُلُوْبُهُمْ قُلُوْبُ الشَّيَاطِيْنِ فِي جُثْمَانِ إِنْسٍ. (قَالَ حُذَيْفَةُ): كَيْفَ أَصْنَعُ يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ؟ قَالَ: تَسْمَعُ وَتُطِيْعُ لِلْأَمِيْرِ وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ وَأُخِذَ مَالُكَ "


Akan datang setelahku para pemimpin yang tidak mengikuti petunjukku, tidak menjalani sunnahku, dan akan berada pada mereka orang-orang yang hati mereka adalah hati-hati Syaitan yang berada dalam jasad manusia." (Hudzaifah berkata), "Wahai Rasulullah, apa yang aku perbuat jika aku menemui mereka?" Beliau menjawab, "Engkau dengar dan engkau taati walaupun punggungmu dicambuk dan hartamu diambil." 

[Imam Muslim]


Berkata Imam ja'afar Ath-Thohawi Radhiallahu anhu:

Kita (Ahlus Sunnah) tidak boleh memberontak para pemimpin dan penguasa kita, meskipun mereka berbuat zalim.  Kita tidak mendoakan keburukan bagi mereka dan tidak berlepas diri dengan tidak taat kepada mereka.  Kita berkeyakinan bahawa mentaati mereka sepanjang dalam ketaatan kepada Allah adalah wajib, selama mereka tidak menyuruh berbuat maksiat.  Kita tetap mendoakan kebaikan untuk mereka berupa kebaikan jiwa dan kesihatan.

[Aqidah Ath-Thohawiyyah]



SIRI 747 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...



Prinsip ke-36: Wajib melakukan Amr bil-Ma'ruf  Nahyi Anil Mungkar


Ahlus Sunnah berpegang bahawa setiap orang beriman dan Pemerintah Negara, Negeri, Wilayah, Daerah, Jabatan.... wajib melakukan Amr Bil-Ma'ruf (menyuruh berbuat baik) dan Nahyi Anil-mungkar (cegah kemungkaran) menurut kemampuan masing-masing.  Jika tidak dilakukan perintah ini, maka dibimbangi Bala Allah akan terkena kepada penduduk negeri tersebut.


Firman Allah:


لُعِنَ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ مِنۢ بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُ ۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَ‌ ذَٲلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّڪَانُواْ يَعۡتَدُونَ (٧٨)ڪَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنڪَرٍ۬ فَعَلُوهُ‌ لَبِئۡسَ مَا ڪَانُواْ يَفۡعَلُونَ (٧٩)

 

“ Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan ‘Isa putera Maryam.  Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batasan.  Mereka satu sama lain tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat itu. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka lakukan itu.”

[Al-Ma’idah (5) : Ayat 78-79]



Firman Allah:


وَٱتَّقُواْ فِتۡنَةً۬ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمۡ خَآصَّةً۬‌ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ


“Dan peliharalah diri kamu dari fitnah yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu secara khusus, (akan tetapi menimpa secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Amat Keras siksaan-Nya.” 

[ Al-Anfaal (8) : Ayat 25]


Firman Allah:


فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُڪِّرُواْ بِهِۦۤ أَنجَيۡنَا ٱلَّذِينَ يَنۡہَوۡنَ عَنِ ٱلسُّوٓءِ وَأَخَذۡنَا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ بِعَذَابِۭ بَـِٔيسِۭ بِمَا كَانُواْ يَفۡسُقُونَ


"Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasiq (derhaka)."

[Al-A'raf  (7) : Ayat 165]


Rasulullah    ﷺ   bersabda:

 “Perumpamaan orang yang sungguh-sungguh mendirikan hukum terhadap ketentuan-ketentuan Allah dan orang yang melanggarnya adalah seperti sekelompok orang yang menumpangi sebuah kapal. Sebahagian mereka berada di bahagian atas, dan sebahagian yang lain berada di bahagian bawah.  Jika orang-orang yang di bawah ingin mengambil air, mereka harus melewati orang-orang yang di atas mereka. Lalu mereka berkata: ‘Seandainya kita lubangi saja (kapal ini) pada bagian kita, kita tentu tidak akan menyusahkan orang-orang yang di atas kita.”  Jika hal tersebut dibiarkan oleh orang-orang yang di atas, padahal mereka tidak menghendakinya, niscaya binasalah mereka semua, dan jika mereka mencegahnya, maka selamatlah semuanya.”

[Imam Bukhari]


Rasulullah    ﷺ bersabda:

"Demi Allah yang jiwaku ada ditangan-Nya, kamu wajib menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran, atau kalau tidak pasti Allah akan menurunkan siksa kepadamu, kemudian kamu berdoa, maka tidak diterima doa dari kamu”.

[Imam Tirmizi]


Rasulullah    ﷺ   bersabda:

 “Sesungguhnya jika manusia melihat seseorang melakukan kezaliman, kemudian mereka tidak mencegah orang itu, maka Allah akan meratakan adzab kepada mereka semua.” 

[Imam Dawud, Imam At-Tirmizi]


SIRI 748 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...



Penjelasan ringkas


(1) Setiap orang Islam wajib melakukan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran menurut keupayaannya.


(2) Pemimpin negara serta pemimpin-pemimpin peringkat bawahnya wajib mendirikan kerja-kerja menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran.


(3) Orang yang mempunyai kuasa wajib mencegah kemungkaran dengan kuasa yang ada padanya, tidak boleh sekadar lisan dan tidak cukup sekadar benci dalam hati. 


(4) Orang yang mempunyai ilmu, wajib bercakap, menasihati, memberi amaran sesuai dengan orang di-da'wahkan.  Maka orang yang mempunyai ilmu ini tidak cukup sekadar benci di dalam hati kerana Allah Ta'ala telah Kurniakan Ilmu padanya.


(5) Orang yang tiada kuasa apa-apa dan tidak mempunyai hujjah yang cukup untuk mencegah suatu kemungkaran, maka wajib bagi dia sekurang-kurang mencela perbuatan tersebut di dalam hatinya.  Sekurang-kurang bermaksud... jangan sesekali diam diri langsung tidak tergerak hati membenci perbuatan yang mungkar.  Apa lagi kalau dia subahat atau redha dengan kemungkaran, maka dia akan mendapat dosa subahat — dosa sama dengan pelaku kemungkaran walaupun dia sendiri tidak melakukannya.  Dan ini juga tanda Imannya sedang menuju kebinasaan.   Wal Iyazubillah.


Garis panduannya adalah ucapan Nabi ﷺ (hadis di atas). Maka ke atas seseorang untuk mengubah kemungkaran dengan setiap bentuk yang dia mampu.  Tidak cukup sekadar memberi peringatan bagi sesiapa yang mampu mengubah dengan tangannya. Tidak boleh juga berpada dengan membenci dari hati bagi sesiapa yang mampu menghalang dengan lisan.


(6) Apabila kemungkaran berlaku secara terang-terangan dan tidak ada ummat sedia untuk mencegah kemungkaran tersebut, maka akan turun bala Kemurkaan Allah.  Apabila bala Kemurkaan Allah ini turun, tiada siapa mampu menahannya,  semuanya akan terkena musibah bala Kemurkaan Allah itu termasuk mereka yang bergelar ustaz, kiyai, menteri Agama, pegawai Agama yang berdiam diri tidak cegah Kemugkaran.  


(7) Mereka yang terselamat hanyalah mereka yang tetap istiqomah melakukan Amar Ma'ruf Nahi Mungkar dengan berbagai cara yang bijaksana.   


(8) Kemungkaran dan Kejahatan akan tetap ada di atas muka bumi sampai Qiamat.  Nafsu dan Iblis akan sentiasa bekerjasama untuk musnahkan manusia dan menariknya kepada kebinasaan.  Tetapi selagi ada Ummat yang sedar insaf terus-menerus melakukan Da'wah maka akan terselamatlah seluruh Ummat.


(9) Paling lemah pada mencegah kemungkaran adalah membencinya kerana Allah.  Maka bagi mereka yang tidak ada sedikit pun rasa kebencian kepada kemungkaran, kefasikan, kezaliman, kekufuran..  maka ini tandanya tiada lagi cahaya Iman!


SIRI 749 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...



Prinsip ke-37: Jangan subahat dengan kemungkaran, kefasikan, kekafiran


Menurut Ahlus Sunnah adalah haram dan berdosa besar menyokong, bersetuju, subahat atau lain-lain sepertinya terhadap sebarang jenis kemungkaran, kefasikan dan kekufuran.  Orang yang melakukannya mendapat sama dosanya dengan si pelaku yang melakukan berbagai kemungkaran, kefasikan dan kekafiran.


Perbahasan hal ini amat luas meliputi seluruh kehidupan, mulai dari keluarga, masyarakat sampailah kepada kepimpinan negara.  Kita akan menyebut beberapa perkara asas sahaja sebagai panduan.  Untuk melihat dan mengetahui penjelasan lengkap, sila rujuk Risalah kami bertajuk : "Hukum Subahat kepada Kemungkaran"


Sebahgian dalil yang menjadi sandaran:


Firman Allah:


وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلْبرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلإِثْمِ وَٱلْعُدْوَانِ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ


"dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

[Al-Maaidah (5) : Ayat 2]


 Firman Allah:


وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَڪُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ


"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah.  Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan."

[Hud (11) : Ayat 113]


Rasulullah  ﷺ bersabda:


مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَ اْليَوْمِ اْلآخِرِ فَلاَ يَقْعُدَنَّ عَلَى مَائِدَةٍ يُدَارُ عَلَيْهَا اْلخَمْرُ


Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka jangan sekali-kali duduk pada suatu hidangan yang padanya  dihidangkan arak.

[Imam Ahmad, Imam At-Tirmizi]


Rasulullah  ﷺ bersabda:

“Tiada sayugia bagi manusia yang menyaksikan suatu tempat, yang padanya ada kebenaran, melainkan mengatakan kebenaran itu.  Kerana sesungguhnya yang demikian tiada akan mendahulukan ajalnya dan tidak akan menghalangi rezeki yang teruntuk baginya.

[Imam Al-Baihaqi, Imam At-Tirmizi]


SIRI 750 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...



Ulama Ahlus Sunnah berfatwa larangan subahat dengan kemungkaran, larang hadir Majlis mungkar dan larangan redha dengan apa jua kemungkaran.  Semua perbuatan tersebut adalah dosa besar.  Walaupun seseorang cuma hadir dan tidak membuat kemungkaran, tetapi menghadiri Majlis mungkar menunjukkan seakan-seakan redha dan subahat dengan kemungkaran. 


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, iaitu janganlah kalian minta pertolongan kepada orang-orang yang zalim, kerana seakan-akan kamu rela kepada amal perbuatan mereka".

[Tafsir Ibn Abbas]


Berkata Imam Abu Ja'afar Ath-Thabari Radhiallahu anhu:

"Janganlah kamu cenderung pada perkataan orang-orang yang kufur kepada Allah, sehingga kamu menerima mereka dan senang (hati) kepada perbuatan mereka, yang mana akibat perbuatanmu itu menyebabkan kamu tidak dapat mengelak dari jilatan api neraka."  

[Tafsir Tabari]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

"Ertinya Jangan condong kepada orang berbuat zalim dan kekufuran.  Semua makna ini berdekatan.  Ibnu Zaid berkata :  Firman Allah  "الرُّكُونُ " bermaksud menjadi penjilat. "

[Tafsir Jaami' Li-Ahkam]


Fatwa Imam Nawawi Radhiallahu Anh:

"Menurut pendapatku: Yang lebih tepat ialah Haram (ia duduk terus) Wallahu a’lam.  Jika tiada kemampuannya untuk keluar dari majlis itu, contohnya kerana telah larut malam (perjalanan pulang merbahaya yang memudaratkan nyawanya) dan ia takut untuk keluar maka ia duduk sedang ia terpaksa dan membencinya serta tidak mendengarkannya (kemungkaran tersebut)"

[Raudhah At-Talibin]


Fatwa Imam Ibn Hajar Radhiallahu anh:

Jelas hadith ini mengharamkan duduk semeja di mana minuman keras diedarkan. Tidak dibezakan siapa peminumnya, muslim atau kafir, tidak juga dibezakan apakah acaranya.

[Fathul Bari : Bab Nikah]


Fatwa  Imam Ghazali Radhiallahu anh:

“Perbuatan mungkar wajib dihilangkan (dalam jamuan, majlis dan sebagainya).  Barang siapa lemah menghilangkannya, 

nescaya wajiblah dia keluar dari Majlis Perjamuan itu.  Dan dia tak boleh duduk.  Maka TIDAK ada keringanan baginya untuk duduk menyaksikan kemungkaran itu.”


Fatwa  Imam Ghazali Radhiallahu anh:

Hadith ini menunjukkan bahawa tidak boleh masuk ke rumah orang zalim, orang fasiq, dan tidak boleh menghadiri tempat-tempat yang dipersaksikan perbuatan mungkar padanya.  Dan ia tidak sanggup merubahnya.  Kerana Nabi ﷺ bersabda :  “La’nat (azab) akan turun kepada orang yang menghadirinya.”     Dan tidak boleh menyaksikan perbuatan mungkar tanpa ada keperluan, dengan alasan lemah dari mencegahnya.”

[Ihya Ulumuddin , Kitab Amr Ma’ruf Nahyi Anil Mungkar]


Bersambung siri 751 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

__________________________________

       MAJLIS TAZKIRAH JILANI

          🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 140 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَة...