H7 : SIRI 241 - SIRI 280 : AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ

 SIRI 241


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-9:  Perincian Syirik khafi ke-4:  Ujub

sambungan....



Penjelasan 8:  'Ujub dengan kekayaan:


Orang yang memiliki kekayaan, harta benda, gedung-gedung perniagaan merasakan dirinya bagus, rasa diri hebat, rasa diri pintar kerana mampu mengumpulkan kekayaan yang banyak.  Rasa diri bagus, rasa diri hebat, rasa diri pintar, walaupun tiada siapa mendengarnya, maka ini adalah syirik khafi.


Golongan hartawan, jutawan seringkali berkata-kata dalam hati:  "Aku banyak harta kerana aku pandai usaha".  Mereka lupa kepada Allah yang Kurniakan mereka segala kekayaan.  Walaupun pada zahirnya kamu yang berusaha tungkus lumus, tetapi pada haqiqatnya yang melorongkan semua itu adalah Allah Ta'ala Yang Maha Pemurah.


Walaupun kamu yang memerah otak, kamu yang mengerah tenaga, kamu yang habiskan kekuatan sehingga tercapai segala kekayaan kamu itu, haqiqatnya yang Kurniakan otak, tenaga, kekuatan, kebijaksanaan, kepintaran adalah Allah Ta'ala Yang Maha Perkasa.  Sebab itu wajib kamu syukuri segala kekayaan yang kamu peroleh, bukan bermegah-megah, bukan rasa kehebatan diri dan bukan rasa kepandaian diri!


Selain dari dosa syirik, orang yang merasa diri hebat mampu mengumpulkan kekayaan yang banyak, akan menjadi bakhil.  Seringkali dia bertanya begini:  "Mengapa aku perlu habiskan harta yang aku penat-penat mencari kepada orang lain?"  Maka perbuatannya mengheret kepada dosa besar lain, dosa bakhil!


Sepatutnya dia membahagikan harta kekayaan yang banyak yang Allah Kurniakan kepada manusia lain, terutama yang benar-benar memerlukan, bukan menyimpan untuk diri sendiri semuanya.  Jika dia berbuat demikian dia akan memperoleh Rahmat Allah dan bertambah-tambah rezekinya.



Penjelasan 9:  'Ujub dengan banyaknya anak atau pengikut: 


Merasa hebat dengan banyaknya anak atau banyaknya pengikut adalah satu lagi sifat 'ujub yang mengheret kepada Syirik.  Mereka berbangga-bangga, megah, rasa diri hebat kerana mampu mengumpulkan banyak pengikut. 


Dipandang pada suatu sudut yang sempit, barangkali seseorang pemimpin yang mempunyai pengikut yang ramai adalah baik dan beruntung.  Tetapi awas, pengikut yang ramai juga boleh menjadi sebab seseorang pemimpin mendapat saham dosa yang banyak tak terhitung dan terheret ke Neraka.  Iaitu ketika dia biarkan mereka di dalam kefasikan dan kesesatan, pemimpin tersebut akan mendapat saham dosa pengikutnya.  Maka mempunyai pengikut yang ramai bukan sesuatu kebanggaan tetapi kebinasaan.  Ertinya bermegah dengan pengikut yang ramai bukan sahaja mendapat dosa syirik, tetapi dia mendapat dosa-dosa pengikutnya.

 

Jika engkau bertanya apa cara selamat, maka jawapannya:

Syukur kepada Allah dengan pengikut yang ramai, jangan sesekali 'ujub rasa diri hebat dengan pengikut yang ramai sebaliknya takut kepada Allah.  Di samping itu kamu sentiasa waspada, pastikan pengikut-pengikut kamu tetap di atas Jalan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah.


SIRI 242


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-9:  Perincian Syirik khafi ke-4:  Ujub

sambungan....



Penjelasan 10:  'Ujub dengan pangkat, Kekuasaan:


'Ujub dengan pangkat dan kekuasaan adalah penyakit besar kepada orang-orang yang diberi kekuasaan oleh Allah.  Mereka merasakan segala kekuasaan mereka adalah daripada usaha ikhtiar mereka.  Mereka rasa berpuas hati dan gembira dengan kekuasaan mereka setelah hempas pulas berjuang mendapatnya!


Mengapa mereka merasakan demikian?

Realiti zaman ini!  Sesungguhnya manusia merebut-rebut kekuasaan, pangkat dan kedudukan pada zaman ini dengan berbagai cara, sama ada cara yang halal dan bersih atau dengan cara kotor, menipu daya, zalim dan penindasan!  Setelah mereka berhempas pulas dan berjaya sampai ke puncak kejayaan sama ada menjadi pegawai besar, menteri, apa lagi menjadi Perdana Menteri... mereka merasakan diri mereka hebat dengan usaha mereka dan merasa hebat menjadi pegawai atau Perdana Menteri.  Benarkah demikian?


Merasa diri hebat membawa kepada 'ujub — kesyirikan!

Merasa diri hebat dan merasa diri memiliki kekuasaan menjadikan mereka zalim!

Merasa diri hebat dan merasa diri memiliki kekuasaan mengubah sifat 'ujub kepada sifat takabbur!

Maka sifat 'ujub tidak terhenti pada 'ujub semata-mata tetapi lama kelamaan akan menjadikan seseorang yang diberi kuasa itu menjadi takabbur dan zalim!


Sejarah menyimpan segala kejahatan dan kezaliman pemimpin-pemimpin Islam.  Mungkin mereka hanya bersifat 'ujub pada awalnya.  Tetapi kemudian berubah sifatnya daripada 'ujub menjadi takabbur, besar kepala, keras kepala, zalim!  Kuasa, kedudukan, pangkat dan darjat menjadikan manusia fasiq dan zalim.  Kisah kezaliman Yazid bin Muawiyyah, Hajjaj Yusuf Ath-Thaqafi dan Pemimpin-pemimpin Mu'tazliah cukup dijadikan pengajaran.


Adakah mereka ini kafir?

Apa yang menjadikan mereka 'ujub dan lupa Kekuasaan Allah?

Mengapa mereka besar kepala dengan kuasa mereka?

Maka jawabnya:

Mereka sememangnya orang Islam.  Mereka mengaku beriman.  Namun Iman dan Islam mereka hanya pada pengakuan sahaja.  Hati mereka dipenuhi dengan nafsu buas dan iblis.  Mereka lupakan Allah dan megah dengan Kekuasaan mereka!  Tradisi 'ujub Pemimpin-pemimpin zalim dahulu tidak terhenti, tetapi tetap berterusan sampai ke saat ini. 


SIRI 243


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-9:  Perincian Syirik khafi ke-4:  Ujub

sambungan....



Punca 'Ujub — Sebab-sebab yang mendorong kepada 'Ujub


Perkara-perkara yang mendorong kepada 'Ujub di dalam diri seseorang adalah sama seperti Sifat Takabbur.  Ini kerana kedua-duanya saling kait-mengait.  Bermula dari 'Ujub yang hanya wujud di dalam hati, lama kelamaan sifat ini akan berkembang di dalam hati lalu melimpah mendorong pula kepada Sifat Takabbur.   


Inilah sebabnya mengapa sebahagian Ulama menta'rifkan 'Ujub sama seperti Takabbur.  Mereka menta'rifkan 'Ujub sebagai:  Memandang diri lebih baik dari orang lain serta menghina atau memandang hina kepada orang lain.  Umpamanya kata Imam Sufyan Ath-Thawri Radhiallahu Anhu:

“Sifat ujub adalah kekagumanmu pada dirimu sendiri, sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjatnya dari saudaramu". 


Mengapa mereka memberikan 'Ujub itu definisi hampir sama dengan Takabbur?


Jawapan:

Yang sebenarnya Sifat 'Ujub di dalam hati berkembang sedikit demi sedikit lalu mengerasi pada perkataan serta perbuatannya, sehingga sifat Ta'jub yang hanya terpendam di dalam hati pada awalnya, kemudiannya terzahir pula pada anggota tubuhnya.  Maka jadilah sifat-sifatnya menyerupai Takabbur.


SIRI 244


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Perincian Syirik khafi ke-5:  Tawakkal kepada makhluq



Definisi Tawakkal:


Dari segi bahasa:

Tawakkal ( تَوَكَّلْ ) berasal dari kata:  "وَكَلَ" (wakala) bermaksud:

wakil, pengganti diri, mewakilkan, menyerahkan, memberi hak, menguasakan suatu urusan kepada seseorang yang dipercayai.    


Dari segi Istilah:

Tawakkal ( تَوَكَّلْ ) menurut istilah adalah:

Menyerahkan diri dan segala urusan hidup dunia akhirat sepenuhnya kepada Allah Ta'ala, serta tenang hati berserta Allah.



Penjelasan:


(1) Tawakkal adalah meyakini sepenuh hati bahawa Allah Ta'ala Maha Berkuasa atas segala sesuatu.  Hanya Dia penentu segalanya bagi makhluq-Nya.  Dia Yang Maha Berkuasa memberi Manfaat dan Hanya Dia Maha Berkuasa menolak mudarat.


(2) Tawakkal adalah menyerahkan segala sesuatu kepada Allah, setelah berusaha mengikut kadar keupayaannya. 


(3) Tawakkal adalah sentiasa bergantung hati kepada Allah dalam setiap urusan hidup.


(4) Meyakini bahawa makhluq tiada kuasa apa pun pada haqiqatnya.  Makhluq sekaliannya dhaif dan lemah, walau siapa pun dia, walau sebesar mana pun pangkatnya, walau betapa gagah pun dia, walau tinggi mana pun kedudukannya... semua itu tiada daya upaya sedikit pun memberikan manfaat atau menolak mudarat. 


(5) Meyakini sungguh-sungguh bahawa kemampuan seseorang melakukan sesuatu kebaikan, mendirikan ketaatan, ubudiyah adalah Anugerah Allah Ta'ala semata-mata, BUKAN kerana kebaikan dirinya.  BUKAN kerana usaha ikhtiarnya.  BUKAN kerana kekuatan yang ada padanya.


(6) Meyakini sungguh-sungguh bahawa setiap kejayaan yang dicapainya atau dicapai oleh manusia lain seluruhnya adalah milik Allah.  Allah Ta'ala Yang Maha Berkuasa memberikan kejayaan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia juga Maha Berkuasa menahan kejayaan daripada sesiapa yang diKehendaki-Nya.


(7) Melihat dari dalam hati bahawa tidak ada yang bergerak mahupun diam melainkan dengan izin Allah.  Bahkan segala sesuatu digerakkan oleh Allah Ta'ala pada haqiqatnya.  Zahirnya makhluq memperbuat sesuatu sedangkan pada haqiqatnya semua itu Af'al (Perbuatan) Allah.


SIRI 245


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Perincian Syirik khafi ke-5:  Tawakkal kepada makhluq



Penjelasan

sambungan.....



(8) Setiap orang WAJIB berusaha sekuat mungkin menurut kemampuannya dan kemudian menyerahkan urusan tersebut kepada Allah Ta'ala. 


(9) Tawakkal mempunyai hubungan rapat dengan Af'al (Perbuatan Allah).

Kelakuan yang benar-benar menepati Syari'at dan haqiqat adalah:

Perkataan dan Perbuatan berdiri pada Syari'at sedangkan hati berpegang kepada haqiqat.


(10) Orang awam sentiasa menghadapi kesukaran untuk menetapkan hati tawakkal kepada Allah.  Mereka seringkali terbabas kepada kesyirikan kerana meyakini diri mereka mempunyai keupayaan melakukan sesuatu atau meyakini sesuatu kejayaan datang dari usaha mereka atau menyangka mereka mempunyai kemampuan menolak mudarat. 


(11) Dari definisi tawakkal serta hakikat tuntutan Kalimah Syahadah — Kalimah Tauhid _La-Ilaha Illallah_, kita dapat memahami, orang beriman wajib Tawakkal kepada Allah Ta'ala, dan hanya Allah Ta'ala SAHAJA...!  Maka berlawanan dengan semua ini adalah tawakkal kepada makhluq yang dilarang, iaitu:


(i) Bergantung hati kepada makhluq di dalam sebarang urusan hidup...  iaitu meyakini makhluq juga mampu memberikan manfaat atau menolak mudarat.


(ii) Bergantung hati kepada keupayaan dan kemampuan diri untuk melakukan sesuatu tanpa menghubungkannya kepada Allah.


(iii) Mengaku dan mendakwa suatu kejayaan / kemenangan sebagai hasil usahanya sendiri.


(iv) Melihat kemampuan diri melakukan suatu ibadah seperti solat, puasa, da'wah dan lain-lain. 


(12) Di dalam semua keadaan tersebut di atas, dia tidak melihat Kekuatan yang Allah Ta'ala Kurniakan pada dia untuk melakukan semua macam ketaatan, dia tidak melihat Rahmat Allah Ta'ala untuk mencapai kejayaan, dia TIDAK melihat keberhasilan usahanya dari Kurnia Allah.  Sebaliknya dia semata-mata melihat keupayaan dan kekuatan dirinya atau kekuatan makhluq.


(13) Apabila seseorang Tawakkal kepada selain Allah, meletakkan pergantungan hidup kepada makhluq, menyandarkan segala kejayaannya kepada usaha ikhtiarnya sendiri, menyandarkan segala ibadah serta keberhasilan kepada usaha ikhtiarnya sendiri, maka ketika itu berlakulah penyimpangan dari Tawakkal kepada Allah.  Ini adalah Syirik khafi, syirik yang amat halus yang sangat tersembunyi.


"Tawakkal kepada selain Allah (makhluq)" ini termasuk ke dalam rangkaian Syirik khafi kerana berlaku penyekutuan kepada Allah di dalam hati.


SIRI 246


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Perincian Syirik khafi ke-5:  Tawakkal kepada makhluq



Dalil-dalil Larangan:


Berikut adalah dalil-dalil berkenaan hubungan Iman dan Tawakkal dan dalil wajib tawakkal pada Allah semata-mata.

■  Wajibnya Tawakkal menyerah diri sepenuhnya kepada Allah Ta'ala semata-mata dan dilarang bergantung hati kepada makhluq. 

■  Larangan menyandarkan suatu amal kebaikan atau ibadah kepada kemampuan diri sendiri.

■  Larangan menyandarkan suatu kejayaan atau keberhasilan kepada kekuatan diri sendiri atau kekuatan manusia lainnya.

■ Larangan bergantung kepada makhluq untuk memberi manfaat atau menolak mudarat.



Dalil 1:  Firman Allah:


وَعَلَى ٱللَّهِ فَتَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ 


"Dan tawakkallah kamu kepada Allah, jika kamu orang yang benar-benar beriman."

[Al-Maaidah (5) : Ayat 23]


Penjelasan: 

Dalam ayat ini, Allah Ta'ala menghubungkan Iman atau Tauhid yang benar dengan tawakkal yang sesungguhnya kepada Allah Ta'ala.  Maka ini menjadi setengah dari tanda-tanda benarnya Iman atau Tauhid seseorang.  Berlawanan dengan ini adalah orang yang tawakkal kepada selain Allah, menyerahkan urusan hidup matinya kepada makhluq dan bergantung harap pada makhluq, maka ini syirik khafi.  Wal Iyazubillah. 



Dalil ke-2:  Firman Allah:


وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُ


"Sesiapa tawakkal, berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya segala keperluannya."

[Ath-Thalaaq (65) : Ayat 3]



Dalil ke-3:  Firman Allah Ta'ala:


وَيَوۡمَ حُنَيۡنٍ‌ إِذۡ أَعۡجَبَتۡڪُمۡ كَثۡرَتُڪُمۡ فَلَمۡ تُغۡنِ عَنڪُمۡ شَيۡـًٔا وَضَاقَتۡ عَلَيۡڪُمُ ٱلۡأَرۡضُ بِمَا رَحُبَتۡ ثُمَّ وَلَّيۡتُم مُّدۡبِرِينَ 


"dan di hari Perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa takjub (bangga) dengan sebab bilangan kamu yang ramai; tetapi bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikit pun dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri". 

[At-Taubah (9) : Ayat 25]


Penjelasan:

Ayat ini mengandungi dua sisi: 

Pertama larangan 'Ujub dan kedua Larangan tawakkal kepada makhluq.   

Tentera Islam mengira dengan ramainya bilangan tentera mereka dapat kalahkan musuh, iaitu mereka tersilap di dalam menggantungkan harapan kepada makhluq, sedangkan perasaan hati seperti itu menyalahi Tauhid, iaitu iaitu Syirik khafi.  Di dalam Perang Hunain ini, akibat tawakkal kepada makhluq, hilanglah Pertolongan dan Rahmat Allah yang mengakibatkan kekalahan (pada peringkat awalnya).  Ini pengajaran "segera" kepada tentera Islam.



Dalil ke-4:  Firman Allah Ta'ala:


وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا   


“dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya)”.

[Al-Insan (76) : Ayat 30]


SIRI 247


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Perincian Syirik khafi ke-5:  Tawakkal kepada makhluq


Dalil-dalil Larangan

sambungan....



Dalil ke-5:  Firman Allah Ta'ala:


 وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ


“dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam”.

[At-Takwir (81) : Ayat 29]


Penjelasan:

Kedua ayat di atas menyatakan hubungan Taqdir dan Kuasa Mutlaq Allah Ta'ala bagi menentukan sesuatu.  Apa saja yang dirancang dan dilaksanakan oleh makhluq adalah menurut perancangan-Nya yang Azali.  Tiada makhluq mampu mengubahnya.



Dalil ke-6:  Firman Allah Ta'ala:


  وَمَا رَمَيْتَ إِذْ رَمَيْتَ وَلَـكِنَّ اللَّهَ رَمَى “


“... dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar……”

[Al-Anfal (8) : Ayat 17]


Penjelasan:

Ayat ini adalah penegasan yang lebih kukuh berkenaan Tauhid Af'al Allah Ta'ala; iaitu pada haqiqatnya segala sesuatu yang bergerak atau diam di alam jagatraya ini adalah sekaliannya Af'al Allah (Perbuatan Allah).  Zahirnya kelihatan makhluq mengerjakannya sedang hakikatnya semua itu adalah Af'al Allah.



Dalil ke-7:  Firman Allah Ta'ala:


قَالَ هَـٰذَا مِن فَضۡلِ رَبِّى


"berkatalah dia:  Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku". 

[An-Namli (27) : Ayat 40]


Penjelasan:

Ayat ini mengajar manusia supaya menyandarkan segala ibadahnya, kebaikannya, kejayaannya kepada Allah Ta'ala semata-mata kerana semua itu semata-mata dari Anugerah dan Rahmat Allah.



Dalil ke-8:  Rasulullah ﷺ bersabda:


“dan ketahuilah bahawa jikalau makhluq sekaliannya berhimpun untuk memberi kamu suatu manfaat tidaklah perkara itu bermanfaat bagi kamu melainkan Allah telah menetapkannya untukmu dan jikalau mereka berhimpun untuk memudaratkan kamu maka tidaklah akan memudaratkan kamu melainkan Allah jua yang telah menetapkannya bagimu, telah diangkat Qalam dan telah selesai ditulis suhuf".

[Imam Tirmizi, Imam Ahmad]


Penjelasan:

Hadith ini satu lagi dalil berkenaan Tauhid Af'al, Taqdir Ilahi, Qudrat, Iradat dan Ilmu Allah Ta'ala, bahawa sesungguhnya tiada apa pun mampu menolongnya ketika kesusahan, dan tiada apa pun mampu memberikannya suatu kebaikan.  Melainkan ianya dari Allah Ta'ala.


SIRI 248


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Perincian Syirik khafi ke-5:  Tawakkal kepada makhluq



Fakta-Fakta penting berhubung Tawakkal:


(1) Tawakkal kepada Allah adalah manifestasi dari Kalimah Syahadah pengakuan Kalimah La-Ilaha Illallah.  Dalam erti kata lain Tawakkal kepada Allah adalah cetusan dari Iman yang sebenar — Tauhid yang hakiki.


(2) Bicara berkenaan Tawakkal berkait rapat dengan Taqdir, Qadha Qadar, Kuasa Mutlaq Allah Ta'ala, Af'al Allah (Perbuatan Allah) dan af'al makhluq.


(3) Setiap orang beriman diperintah Tawakkal kepada Allah semata-mata dan jauhi sama sekali Tawakkal kepada makhluq.  Tawakkal kepada Allah adalah tanda-tanda Keimanan dan Tawakkal kepada makhluq adalah menyalahi Tauhid, menjadi Syirik khafi.


(4) Menyandarkan apa jua amal ibadah kepada usaha ikhtiar, kemampuan diri atau kekuatan diri adalah termasuk Syirik khafi.  


(5) Bergantung hati kepada makhluq untuk memberi manfaat atau menolak mudarat adalah Syirik khafi.


(6) Menggantungkan apa jua kejayaan atau kemenangan kepada usaha ikhtiar, kemampuan diri atau kekuatan makhluq lainnya adalah Syirik khafi.


(7) Tawakkal kepada makhluk adalah Syirik khafi yang paling halus dan hampir-hampir tak dapat dikenali oleh orang awam.  Lazimnya orang awam tidak peduli akan hal ini kerana tidak mempunyai pengetahuan berkenaannya, akibatnya mereka selalulah bergelumang di dalam syirik khafi tanpa mereka tak sedar.


(8) Orang alim (yang tidak mendidik hatinya dan tidak berusaha menyucikannya dengan pimpinan Mursyid yang Siddiq) juga tidak mampu melepaskan diri dari Syirik khafi yang paling halus ini.  Meskipun mereka mempunyai pengetahuan berkenaan dengannya, mereka seringkali terjatuh kerana wujud sifat "keakuan" di dalam dirinya.


(9) Seseorang yang memandang keupayaan diri, melihat kemampuan diri melakukan suatu kebaikan serta menyandarkan amal ibadah kepada kekuatan diri ini adalah Syirik khafi kerana mempersekutukan Allah pada Af'al-Nya dan Sifat-Nya Yang Maha Berkuasa memperbuat segala sesuatu. 


(10) Memandang keupayaan diri, atau melihat kemampuan diri untuk melakukan suatu kebaikan atau menyandarkan amal ibadah kepada kekuatan diri ini berbeza dengan 'Ujub.  Orang ini BUKAN 'Ujub tetapi lebih halus dari 'Ujub.  Orang yang 'Ujub mempunyai sifat "bangga, megah, takjub, hairan dengan suatu kelebihan dirinya", sedangkan orang yang menyandarkan amal kepada diri sendiri tidak mempunyai sifat-sifat demikian, tetapi dia hanya melihat keupayaan serta kemampuan diri melakukan ketaatan... sedang ini juga termasuk ke dalam Syirik khafi.


(11) Fahamilah dengan sungguh-sungguh apa yang kami katakan!  Menyandarkan amal kebaikan kepada keupayaan diri atau bergantung harap kepada keupayaan makhluq merupakan Syirik khafi yang penghabisan yang teramat halus.  Apabila seseorang lepas bebas dari Syirik khafi penghabisan ini, maka barulah dikatakan dia telah memiliki jiwa murni serta Tauhid hakiki. 


Sesungguhnya hal ini amat rumit sekali dikesan oleh mereka yang tidak menuntut Jalan menyucikan hatinya.


SIRI 249


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Perincian Syirik khafi ke-5:  Tawakkal kepada makhluq



Jenis Tawakkal kepada makhluq berserta contoh-contohnya:


Secara ringkas, ada 3 bentuk Tawakkal Kepada Makhluq yang sering terjadi kepada manusia :

■ Menyandarkan amal ibadah kepada kemampuan diri atau usaha ikhtiar sendiri. 

■ Menyandarkan suatu kejayaan / kemenangan kepada kekuatan makhluq.

■ Bergantung harap kepada makhluq untuk memberikan manfaat atau menolak mudarat.



Contoh 1:

========

Kejayaan membendung wabak Covid-19 di Malaysia.


Contoh ini contoh terbaik menurut keadaan semasa untuk diambil i'tibar oleh seluruh Ummat Islam terutama orang Islam di tanah air dan sekitarnya.     


Ramai mendakwa kejayaan membendung wabak Covid-19 di Malaysia adalah kerana kebijaksanaan Pemimpin, kepakaran pegawai kesihatan, kecekapan pihak pertahanan serta kehebatan pakar strategi.  Pihak media hebahkan kesungguhan pihak-pihak yang terlibat bagi membawa kejayaan tersebut.   Ringkasnya...  ramai orang beranggapan semua kejayaan tersebut datang dari usaha, kesungguhan dan kecekapan pakar-pakar di Malaysia...!


Apakah kata kalian?

Adakah sangkaan ini benar di Sisi Ahlus Sunnah Wal Jamaah?

Adakah pegangan ini menepati Aqidah yang haq?

Apakah akan terjadi jika sangkaan tersebut menjadi pegangan dan i'tiqad dalam hati?

Apakah akan terjadi kepada Tauhid seseorang apabila dia mempunyai keyakinan tersebut?


Sesungguhnya pegangan ini adalah penyelewengan dari Tauhid yang haq.  Apabila kamu beranggapan kejayaan mengawal Covid-19 ini adalah hasil kecekapan pakar-pakar kesihatan, kehebatan perubatan, kemahiran pakar strategi, kebijaksanaan pemimpin tanpa menghubungkan semua kebaikan itu kepada Kekuasaan, Kemurahan serta Rahmat Allah Ta'ala, maka inilah dikatakan Syirik khafi yang merosak Iman serta batalkan amal kebaikan.


Ia menjadi Syirik khafi kerana kamu telah mempersekutukan Allah pada Af'al (Perbuatan-Nya) serta Sifat-Nya Yang Maha Agung.


■ Covid-19 adalah ciptaan Allah Ta'ala pada hakikatnya.  Walaupun manusia membuat berbagai andaian, hipotesis, teori berkenaan Covid-19 ini, hakikatnya ia kembali kepada Allah Ta'ala Yang Menciptakan segala sesuatu dari "tiada" kepada "ada".


■ Covid-19 merupakan musibah kepada manusia sejagat — namun berbeza-beza kesannya kepada manusia bergantung kepada IMAN / TAUHID / MA'RIFAT seseorang.  Bagi Auliya Allah, ianya Ni'mat Anugerah Allah.  Bagi orang Mu'min sejati ia merupakan Dugaan.  Bagi orang kafir, munafiq dan fasiq.... semua ini merupakan bala Kemurkaan Allah.


■ Covid-19, makhluq Allah yang tersangat kecil tetapi telah mengunci mulut pemimpin-pemimpin sombong dan angkuh, mendiamkan kuasa tentera yang gagah, mengalahkan pakar strategi, membuat kaku segala teknologi dan kecanggihan perubatan moden.


■ Negara-negara yang PALING DAHSYAT menerima tamparan Covid-19 adalah negara-negara yang terkenal sebagai negara maju di dalam Sains dan Teknologi.  Mereka memiliki kepakaran di dalam Strategi serangan kimia.  Mereka memiliki pakar-pakar Sains paling hebat di dunia.  Mereka memiliki doktor dan perawat-perawat paling cekap di dunia. Kelengkapan makmal kajian, perubatan dan gedung-gedung ubat mereka mengatasi negara-negara lain.  Di tengah-tengah segala kelengkapan ini, manusia di negara-negara moden dan canggih ini rebah seorang demi demi seorang sehingga mencapai angka yang tidak terkawal.


SIRI 250


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam_

Fakta ke-10:  Perincian Syirik khafi ke-5:  Tawakkal kepada makhluq


Jenis Tawakkal kepada makhluq berserta contoh-contohnya:

sambungan....



Sekarang mari kita lihat apa yang ada di negara kita.  Jika kita mengaku kita mempunyai kepakaran di dalam perubatan, negara-negara di luar sana mempunyai kepakaran yang jauh lagi hebat.  Jika kita merasakan kita mempunyai alat kelengkapan moden, negara-negara Barat mempunyai peralatan moden yang lebih lengkap.  Jika kita merasakan Strategi kita lagi baik, negara-negara di luar sana mempunyai pakar-pakar strategi lebih cekap.  Namun, apa yang jelas di tengah-tengah kehebatan manusia dan sains, ternyata mereka semua tewas kepada makhluq Allah yang amat seni ini.


■ Covid-19 hanyalah makhluq yang menurut perintah Allah Ta'ala.  Ia tidak memiliki apa-apa kuasa tersendiri.  Apa jua musibah yang terjadi akibat Covid-19 adalah pada hakikatnya ketentuan Allah Ta'ala.  Dia Maha Berkehendak dan Maha Berkuasa di atas segala sesuatu.  Dia (Allah Ta'ala) menimpakan kecelakaan kepada siapa yang Dia Kehendaki dan Dia memberikan keselamatan bagi siapa yang Dia Kehendaki.  TIDAK ada kuasa mana pun mampu memaksa Kehendak Allah Ta'ala. 


Jika orang beriman terselamat dari musibah Covid-19, maka itu adalah semata-mata Rahmat dan Kasih Sayang Allah kepada mereka, BUKAN kerana usaha ikhtiar mereka, BUKAN kerana kecekapan mereka dan BUKAN kerana kepakaran mereka. 


Jika orang Islam yang fasiq terselamat dari Covid-19 ini, maka itu adalah semata-mata penangguhan Allah Ta'ala kepada mereka untuk bertaubat.


Jika orang kafir harbi dan munafiq terselamat, maka itu adalah semata-mata Sifat Allah Ta'ala yang Maha Rahman atas makhluq-Nya, BUKAN kerana kebaikan mereka.


SIRI 251


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Perincian Syirik khafi ke-5:  Tawakkal kepada makhluq


Jenis Tawakkal kepada makhluq berserta contoh-contohnya:

sambungan....



Kesimpulan dari keterangan ringkas di atas:


Menyandarkan suatu kejayaan atau kebaikan kepada diri sendiri atau kekuatan makhluq lain adalah menyalahi Tauhid yang haq.    


Ia menjadi Syirik khafi kerana kamu telah mempersekutukan Allah pada Af'al (Perbuatan-Nya) serta Sifat-Nya Yang Maha Agung. 


Sesungguhnya kejayaan menangani Covid-19 BUKAN kerana kehebatan pakar-pakar, BUKAN kerana kemajuan sains dan teknologi, BUKAN kerana kekuatan tentera dan strategi, BUKAN kerana kebijaksanaan pemimpin... tetapi semua itu adalah Kemurahan Allah Ta'ala Yang Maha Penyayang kepada Negara ini.


Manusia diperintah berusaha sungguh-sungguh mencari jalan-jalan keselamatan, namun DILARANG bergantung kepada usaha ikhtiar tersebut.  Manusia diperintah berdoa dan beramal soleh, namun mereka DILARANG bergantung hati kepada doa dan amal soleh untuk memberikan kejayaan.


Jika ada yang bertanya,

Adakah ini bermakna kita tak perlu berusaha ikhtiar untuk mencapai keselamatan dan kejayaan?  Maka jawapannya:


Setiap Muslim HARUS berusaha ikhtiar dengan segala kemampuan diri menurut Syari'at serta adab-adabnya, bahkan adakalanya WAJIB berusaha ikhtiar.  Namun, selepas usaha ikhtiar serahkan segalanya kepada Allah Ta'ala. 


Jika berjaya mencapai sesuatu hal, maka Syukurlah sebanyak-banyaknya.  Yakinlah bahwa semua kejayaan itu adalah Rahmat Allah Ta'ala Yang Maha Penyayang.  JANGAN sesekali berpegang ianya hasil kekuatan dan kepandaian kamu.


JIka gagal atau belum mencapai kejayaan, maka sabarlah serta berusaha baiki diri sungguh-sungguh.  Segala kegagalan yang terjadi kembalikan kepada kelemahan dan kekurangan diri. 


SIRI 252


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Perincian Syirik khafi ke-5:  Tawakkal kepada makhluq


Contoh-contoh Tawakkal kepada makhluq

sambungan.......



Contoh ke-2 Tawakkal kepada makhluq:

Seorang mahasiswa yang berjaya mendapat pangkat tinggi di dalam pelajarannya, berkata di dalam hati bahawa kejayaan itu adalah hasil usahanya sendiri atau disebabkan pertolongan manusia lain.  Orang ini melupakan Allah Ta'ala Yang Maha Berkuasa memberikan kejayaannya.  Perbuatan ini adalah Tawakkal kepada makhluq yang merupakan dosa Syirik. (syirik khafi)


Contoh ke-3 Tawakkal kepada makhluq:

Seorang Pengetua Sekolah yang berjaya membawa sekolahnya menjadi terkenal, merasakan di dalam dirinya, semua kejayaan tersebut dicapai dengan hasil usahanya atau dicapai dengan bantuan manusia lain.  Perbuatan ini adalah Tawakkal kepada makhluq yang merupakan dosa Syirik. (syirik khafi)


Contoh ke-4 Tawakkal kepada makhluq:

Seorang doktor yang berjaya di dalam suatu urusannya mengubati pesakit berkata di dalam hatinya bahawa pesakit tersebut sembuh disebabkan kehebatan usaha ikhtiarnya serta kepakarannya.  Perbuatan ini adalah Tawakkal kepada makhluq yang merupakan dosa Syirik. (syirik khafi)


Contoh ke-5 Tawakkal kepada makhluq:

Seorang usahawan yang menjadi kaya-raya mengaku di dalam hatinya bahawa kekayaan tersebut adalah dari usahanya yang gigih, kerana kepakarannya di dalam dunia perniagaan dsb.  Perbuatan ini adalah Tawakkal kepada makhluq yang merupakan dosa Syirik. (syirik khafi)


Contoh ke-6 Tawakkal kepada makhluq:

Si abid (ahli ibadah) merasakan di dalam dirinya dia mempunyai kemampuan untuk melakukan ibadat, tanpa menghubungkannya kepada Rahmat Allah Ta'ala kepadanya.  Perbuatan ini adalah Tawakkal kepada makhluq yang merupakan dosa Syirik. (syirik khafi)


SIRI 253


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Perincian Syirik khafi ke-5:  Tawakkal kepada makhluq


Contoh-contoh Tawakkal kepada makhluq

sambungan.......



Contoh ke-7 Tawakkal kepada makhluq:

Orang yang gemar bersedekah merasakan di dalam dirinya bahawa dia yang melakukan sedekah tersebut tanpa menyandarkannya kepada fudhlah kemurahan yang Allah Kurniakan kepadanya.  Perbuatan ini adalah Tawakkal kepada makhluq yang merupakan dosa Syirik. (syirik khafi)


Contoh ke-8 Tawakkal kepada makhluq:

Seseorang yang berda'wah dan berjihad harta yang banyak merasakan di dalam dirinya bahawa dia mempunyai keupayaan untuk melakukan sekalian kebajikan tersebut.


Demikian sebahagian contoh-contoh yang lazim terjadi di kalangan Ummat Islam.


Semua contoh yang tersebut di atas dan contoh-contoh lain sepertinya adalah syirik khafi kerana menyandarkan suatu amal kebaikan kepada diri sendiri atau meletakkan pergantungan pada amal atau meletakkan diri pada kedudukan mampu melakukan sesuatu dengan daya usaha sendiri atau makhluk lain sedangkan sekalian makhluk tidak mempunyai daya upaya sedikit pun!!! Sedangkan sekalian kejayaan / kemenangan adalah Rahmat Allah Ta'ala Yang Maha Penyayang.


Tidak ada yang boleh memberikan kejayaan melainkan Dia!

Tidak ada yang mampu melepaskan diri dari segala bencana selain Dia!


Firman Allah:


 مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ


"Sekaliannya menurut barang yang dikehendaki Allah.  Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah".

[Al-Kahfi (18) : Ayat 39]



Firman Allah:


وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا   


“dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya)”.

[Al-Insan (76) : Ayat 30]


Rasulullah ﷺ bersabda:

“dan ketahuilah bahawa jikalau makhluq sekaliannya berhimpun untuk memberi kamu suatu manfaat tidaklah perkara itu bermanfaat bagi kamu melainkan Allah telah menetapkannya untukmu dan jikalau mereka berhimpun untuk memudaratkan kamu maka tidaklah akan memudaratkan kamu melainkan Allah jua yang telah menetapkannya bagimu, telah diangkat Qalam dan telah selesai ditulis suhuf (tempat tulisan takdir)”.

[Imam Tirmizi, Imam Ahmad]


Perhatikan sungguh-sungguh!

Seperti kami katakan pada awal huraian bab ini, bergantung hati kepada makhluq, menyandarkan amal kebaikan kepada diri sendiri, menyandarkan kamampuan untuk mencapai kejayaan atau menolak suatu kecelakaan tanpa menghubungkannya kepada Kemurahan Allah adalah Syirik Khafi, dan ini berbeza dengan 'Ujub. 


Semua contoh yang kami paparkan di atas BUKAN 'Ujub tetapi lebih halus dari Ujub yang mana hampir-hampir tak dapat dikesan oleh orang awam termasuk ahli Usuluddin, ahli Ilmu Kalam yang hanya bergelumang dengan ilmu perdebatan tanpa mendidik hati, tanpa mensucikan hati menurut Disiplin Ma'rifat.


SIRI 254


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Perincian Syirik khafi ke-5:  Tawakkal kepada makhluq



Kemusykilan dan Jawapan:

Berikut adalah kemusykilan-kemusykilan serta jawapannya berhubung dengan persoalan "Tawakkal kepada makhluq" yang sering menjadi kekeliruan di kalangan Ummat.



Kemusykilan 1:

Mengapa perbahasan berkenaan "Tawakkal kepada makhluq" diletakkan di bawah Ilmu Tasawwuf / Toriqat dan BUKAN di bawah Usuluddin / Ilmu Kalam / Perbahasan Sifat 20?


JAWAPAN:

"Tawakkal kepada Allah" dan lawannya "Tawakkal kepada makhluq" dibincangkan di dalam Ilmu Tasawwuf kerana ianya berkaitan dengan HATI, berhubung dengan Syirik Khafi serta Tauhid yang hakiki.  Menurut Ijtihad Ulama Ahlus Sunnah yang Mu'tabar, sekalian Ilmu, amal dan hal ehwal yang berkaitan dengan HATI dihimpunkan di dalam Ilmu Tasawwuf.  


Sedangkan Ilmu Perbahasan Sifat 20 / Ilmu Kalam menumpukan aspek aqal, mengkayakan hujjah aqal, membincangkan hal-hal berhubung dengan Syirik Jali dan Tauhid pada aqal.  Di dalam perbahasan ilmu ini, hal HATI tidak diberi penekanan khusus.  Mereka TIDAK memberikan perhatian khusus kepada Syirik khafi yang membawa kepada kerosakan Iman dan kebinasaan amal kebaikan.


Inilah sebabnya telah sepakat sekalian Ulama Mu'tabar, WAJIB mendidik hati / sucikan hati melalui Toriqat dengan pimpinan Mursyid yang Siddiq.  Meskipun dia sudah bergelar Ulama (Ulama Fiqh atau Guru Besar Usuluddin), dia tetap wajib masuk kepada Pimpinan Mursyid yang Siddiq.



Kemusykilan 2:

JIka datang lintasan sekejap sahaja kemudian dia tolak lintasan tersebut segera, adakah jatuh Syirik khafi juga?


JAWAPAN:

Khatir (lintasan) yang jahat datang dari bisikan nafsu atau hembusan Syaitan ke dalam hati manusia.  Jika seseorang didatangi _khatir_ (lintasan) yang jahat sekejap sahaja dan dia segera menolaknya, maka ini dimaafkan / bukan dosa.  Ini kerana setiap orang Islam awam atau Salikin (yang masih di dalam mujahadah) akan terkena khatir ini.  Seseorang hanya dihukum di atas sesuatu hal yang menjadi "tetap" di dalam hati atau menjadi keyakinan.  


Maksudnya apabila lintasan tadi tidak ditolak segera sehingga ia berubah menjadi "niat" atau "qasad" di dalam hati (menetap di dalam hati), maka ketika itulah menjadi dosa hati.  Sekiranya ia dibiarkan terus sehingga menjadi "keyakinan" yang dipegang, maka ini bahaya lebih besar kerana boleh menjerumuskan kepada "kekufuran" atau "Syirik Akbar".  Wal Iyazubillah.


Inilah sebabnya setiap murid pada Jalan Ma'rifat dilatih dengan Zikrullah serta sistem penyucian jiwa.  Ketika datang lintasan, maka Zikrullah yang sentiasa berdiri di dalam hati akan segera menolak lintasan tersebut sehingga terselamatlah mereka dari dosa Syirik. (syirik khafi)


SIRI 255


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Perincian Syirik khafi ke-5:  Tawakkal kepada makhluq


Kemusykilan dan Jawapan:

sambungan.....



Kemusykilan 3:

Sebahagian penuntut yang mendalami Ilmu perbahasan Sifat 20 mendakwa begini:  "Tawakkal kepada makhluq bukan suatu dosa kerana ianya tak dapat dielakkan".  Atau mereka berkata:  "Tawakkal kepada makhluq bukan suatu dosa kerana ianya dimaafkan". 


JAWAPAN:

Kedua-dua ungkapan di atas BUKAN pegangan Ahlus Sunnah yang benar (tulen).  Ianya adalah pendirian Golongan sesat yang terkeluar dari Ahlus Sunnah.  Meskipun barangkali mereka mengaku mereka kiyai, ustaz, muallim dsb.  Namun mereka adalah pendusta dan penyamar di kalangan Ahlus Sunnah.  Mereka telah terang-terangan menentang Al-Qur'an, Hadith dan Ijma' Ulama Mu'tabar.  (Yang kami maksudkan dengan Ulama Mu'tabar adalah Ulama Ahlus Sunnah bertaraf Auliya Allah yang menjadi Pemimpin Ummat sepanjang zaman.  Mereka adalah Pemimpin kepada jalan lurus — satu-satunya jalan yang di-Rahmati Allah.  Mereka BUKAN pendusta Agama)


Adapun yang dimaafkan adalah khatir (lintasan) seperti jawapan kami pada Soalan kedua di atas.  Hujjahnya telah banyak kami sebutkan sebelum ini, maka tidak diulangi lagi.



Kemusykilan 4:

Jika seseorang memohon suatu pertolongan kepada manusia lain, apakah ianya menjadi kesalahan atau dianggap sama seperti Tawakkal kepada makhluq?


JAWAPAN:

Tidak.  

Memohon pertolongan kepada manusia lain dalam urusan kehidupan di atas muka bumi adalah harus dan tidaklah termasuk larangan, selama TIDAK bergantung hati kepada makhluq dan TIDAK menyandarkan kejayaan atau suatu keberhasilan kepada keupayaan makhluq. 


Memang benar, memohon pertolongan secara mutlaq adalah kepada Allah Ta'ala semata-mata.  Misalnya memohon secara umum sihat tubuh badan, mohon murah Rezeki yang halal, mohon Keselamatan diri dan ahli keluarga.....  semua ini semata-mata ditujukan kepada Allah Ta'ala kerana Dia Yang Maha Kaya, Dia Yang Maha Pemberi Rezeki, Dia Yang Maha Pemberi Perlindungan.


Walau bagaimanapun memohon pertolongan kepada manusia untuk suatu keperluan kehidupan adalah harus.  Misalnya seseorang buruh memohon pekerjaan kepada Pemilik Syarikat, atau pesakit memohon rawatan doktor, atau seseorang memohon pertolongan mekanik untuk baiki keretanya yang rosak.


Tolong-menolong sesama manusia adalah setengah dari tanda-tanda kelemahan dan kekurangan manusia.  Sekalian makhluq adalah lemah, tiada daya upaya.  Allah Ta'ala menjadikan manusia saling memerlukan untuk menyempurnakan urusan kehidupan atas muka bumi.  Petani memerlukan benih dan baja untuk menghasilkan tanaman.  Penjual benih dan baja memerlukan beras dan sayuran yang dihasilkan oleh Petani.  Peniaga memerlukan pengangkutan dan logistik untuk eksport barangannya ke tempat lain.  Syarikat pembinaan memerlukan bantuan berbagai pihak yang menghasilkan simen, batu, pasir, kayu, besi untuk mendirikan bangunan.  Peniaga, pedagang, doktor, polis, guru memerlukan makanan laut yang diusahakan oleh nelayan.  Begitulah Taqdir Allah Ta'ala menjadikan manusia saling menolong di dalam urusan kehidupan di atas muka bumi.


SIRI 256


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Perincian Syirik khafi ke-5:  Tawakkal kepada makhluq


Kemusykilan dan Jawapan:

sambungan.....



Bahkan di dalam mencapai kebaikan ukhrawi juga Allah Ta'ala perintahkan kepada manusia supaya saling menolong kepada pekerjaan akhirat, Keimanan dan Ketaqwaan ...


Firman Allah:


 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ  وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ  وَاتَّقُوا اللَّهَ  إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan Taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.  Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya". 

[Al-Maaidah (5) : Ayat 2]


Maka kuncinya di sini (sebagaimana kami sudah jelaskan sebelum ini):

   

1. Jangan bergantung hati kepada makhluq.  (Jangan menyakini makhluq mempunyai kuasa menentukan sesuatu / menghasilkan sesuatu)


2. Jangan sesekali menyandarkan keupayaan melakukan sesuatu kepada kemampuan diri atau makhluq.


3. Jangan sesekali menyandarkan kejayaan atau suatu keberhasilan kepada kemampuan diri atau makhluq lain.


Sebaliknya...


1. Gantungkan segala harapan kepada Allah Ta'ala semata-mata.


2. Sentiasa melihat Anugerah Allah Ta'ala untuk melakukan suatu pekerjaan sama ada yang kecil atau besar, sama ada ianya berkaitan dengan urusan kehidupan atas muka bumi atau suatu berkaitan terus kepada Keimanan dan Ubudiyyah.


3. Sentiasa serahkan segala kejayaan dan keberhasilan suatu pekerjaan kepada Allah Ta'ala semata-mata.



Kemusykilan 5:

Jika seseorang berusaha ikhtiar adakah bermakna dia Tawakkal kepada makhluq?


JAWAPAN:

Tidak!

Usaha ikhtiar BUKAN bermakna Tawakkal kepada makhluq.  Bahkan usaha ikhtiar adalah setengah dari Perintah Allah Ta'ala.  Allah Ta'ala Perintah kepada orang beriman agar "berazam" dan juga "Tawakkal kepada Allah Ta'ala". 


Firman Allah:


فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ‌ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ


"Kemudian apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya".

[Aali -Imran (3) : Ayat 159]


Perintah Allah ini menggabungkan "Azam", "Usaha Ikhtiar" dan "Tawakkal kepada Allah".


SIRI 257


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Perincian Syirik khafi ke-5:  Tawakkal kepada makhluq


Kemusykilan dan Jawapan:

sambungan.....



Maka inilah yang benar, menurut Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang benar (tulen) —  sentiasa memohon pertolongan Allah di dalam setiap pekerjaan serta serahkan sepenuhnya kepada Allah Ta'ala apa saja hasil yang diperoleh kemudian.  Jika Allah Ta'ala Kurniakan kejayaan kepada kamu, bersyukurlah kepada Allah sebanyak-banyaknya.  Jika kamu menemui kegagalan, maka akuilah kegagalan itu atas kekurangan dan kelemahan diri.  Kemudian berusahalah lagi dengan penuh Tawakkal kepada Allah.


Di dalam istilah Ma'rifat, ini yang dikatakan melihat Af'al Allah pada setiap pekerjaan — melihat dari dalam hati akan setiap Perbuatan Allah serta tenang hati berserta-Nya.  Hati berdiri pada Haqiqat sementara perkataan dan perbuatan berdiri pada Syari'at.  Setiap pekerjaan mematuhi hukum-hakam Syari'at sedang hati berpegang kepada ketentuan Allah Ta'ala.  Orang yang sampai kepada Maqam ini dikatakan telah mencapai Maqam Tauhid Af'al —  iaitu  permulaan Tauhid yang hakiki bagi hamba-hamba Allah yang menuju Allah, dengan menyucikan hatinya dengan pimpinan Mursyid yang Siddiq.


Adapun yang dilarang adalah bergantung hati kepada makhluq ketika berusaha ikhtiar atau menyandarkan kejayaan kepada usaha ikhtiar.  Iaitu ketika memperbuat sesuatu kebaikan dia merasakan dia mampu melakukan dengan usaha ikhtiarnya dan lupakan Kekuasaan dan Kurnia Allah Ta'ala.  Ketika dia berjaya dia merasakan kejayaan itu hasil usahanya.  Perlakuan ini yang dilarang kerana ia menjerumuskan kepada Syirik.  (Syirik khafi) — seperti yang telah dibicarakan sebelum ini. 


Berusaha tanpa tawakkal kepada Allah menghantarkan seseorang kepada Syirik yang tidak disedari.


Tawakkal kepada Allah tanpa usaha adalah angan-angan kosong dan kebodohan.  Selama seseorang masih di Maqam usaha kasab, maka dia perlu berusaha ikhtiar menurut hukum Syara'. 


Kecuali seseorang yang di-Anugerahi oleh Allah Ta'ala Maqam _Tajrid_, maka ini persoalan lain yang memerlukan perincian yang sangat halus.  TIDAKLAH mudah seseorang mencapai Maqam Tajrid, melainkan dia telah mujahadah pada waktu yang lama di bawah pimpinan Mursyid yang Siddiq sehingga Salikin ini di-Anugerahi oleh Allah Maqam Mukasyafah yang tahqiq —  Maqam tertinggi pada Maqam Tauhid Zat.  Orang awam TIDAK akan sesekali mencapainya.


SIRI 258


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Rawatan dan Penjagaan



Pada bahagian ini kita akan bicarakan bagaimana orang awam dapat elakkan diri daripada terperangkap dalam jaringan dosa-dosa besar terutama Dosa Syirik Khafi.  Dan bagaimana cara melepaskan daripada Dosa Syirik khafi jika sudah terperangkap ke dalamnya.



(1) Rawatan dan Penjagaan dari Penyakit Takabbur:


Sesungguhnya penyakit Takabbur adalah penyakit paling besar, paling berat, paling kronik, paling dalam "lukanya" di dalam batin manusia.  Jika diberikan ibarat dengan penyakit fizikal, maka ia bolehlah diibaratkan seperti seseorang yang jatuh dari gaung sehingga patah segala tulangnya, putus urat-uratnya dan remuk seluruh tubuhnya, namun dia masih bernyawa —  nyawa-nyawa ikan...!


Demikian suatu ibarat yang dapat dijadikan perbandingan dengan orang yang terkena penyakit Takabbur.  Hatinya tenat.  Cahaya Imannya hampir terpadam.  Tauhidnya bercampur-campur dengan nifaq dan kekufuran.  Segala amalnya terpadam dimakan oleh api takabbur.  


Bagi merawat orang telah terkena penyakit kronik yang "mematikan" ini, diperlukan "doktor keruhanian" yang pakar di dalam hal ehwal hati.  "Doktor keruhanian" ini mestilah orang yang sangat mahir mengetahui hal ehwal hati dan ruh manusia.  Dia mestilah seorang yang mengetahui rahsia-rahsia bisikan syaitan dan nafsu.  "Doktor keruhanian" ini mesti memiliki penawar dan kaedah rawatan yang tersangat eksklusif yang tidak dimiliki oleh doktor biasa.  Sudah pasti dia adalah pakar keruhanian yang terlatih, yang telah melalui perjuangan yang lama sehingga mengenali setiap urat dan nafas dalam batin manusia.  Dia bukan manusia biasa!


Sesungguhnya "doktor keruhanian" dan pakar hal ehwal hati manusia adalah "Mursyid yang Siddiq (pewaris Nabi yang muhaqqiq)".  Mereka adalah pewaris Nabi yang sebenar yang mewarisi Nabi zahir dan batin.  Bukan zahir semata-mata atau batin semata-mata, tetapi mereka mewarisi keseluruhan Agama dari Junjungan Besar Rasulullah ﷺ.  Merekalah pemimpin yang menunjukki manusia jalan lurus kepada Allah Ta'ala.  Di dalam dada mereka terhimpun sekalian khazanah Nubuwwah dan Risalah.  Allah Ta'ala Kurniakan mereka kelengkapan bagi membimbing manusia kepada Allah Ta'ala dengan selamat.


Dengan berpegang teguh kepada Mursyid yang Siddiq, setiap Muslim akan memperoleh kebebasan dari sifat Takabbur (dan juga syirik khafi dan kekejian hati yang lain seperti akan datang huraiannya. In Shaa Allah).  Mereka akan melalui rawatan rapi di dalam Madrasah Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat.  Sekalian penyakit hati akan dicabut dari akar umbinya sehingga hati menjadi aman sentosa, kemudian disirami dengan cahaya Rabbaniyyah sehingga mencapai Tauhid yang suci murni.  Maka jadilah dia hamba yang di Redhai Allah Ta'ala.


Jika ada yang bertanya "adakah semudah itu"?

Jawapannya:  Tidak mudah!  Bahkan memerlukan kesungguhan menempuh perjalanan yang panjang.  Khabar itu hanya ringkasan.  In Shaa Allah akan dijelaskan lebih lagi pada masa akan datang.


Orang yang sakit tenat (penyakit tubuh badan kronik atau kecederaan berat) dirawat di hospital berbulan-bulan lamanya, atau bertahun-tahun lamanya untuk sembuh — melalui rawatan rapi (ICU) oleh pakar-pakar yang sangat profesional.  Apa lagi pesakit keruhanian yang berat, perlu melalui rawatan yang lama dan sangat intensif sebelum sembuh.


SIRI 259


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Rawatan dan Penjagaan



(1) Rawatan dan Penjagaan dari Penyakit Takabbur:

sambungan...



Inilah kaedah merawat sekalian penyakit hati manusia yang sebenar yang diambil dan diwarisi dari Junjungan Besar Rasulullah ﷺ.  Kaedah ini diwarisi dari satu generasi Mursyid kepada Generasi Mursyid seterusnya melalui kaedah perpindahan yang berdisiplin, amat teliti serta penuh rahsia.  Iaitu melalui "limpahan Nur Muhammad" serta "Nur Ilahiyyah".


Oleh yang demikian TIDAK semua orang yang bergelar Alim atau Ulama mengetahuinya, meskipun boleh jadi dia seorang Alim Fiqh, Alim Usuluddin, mahir di dalam syarahkan Sifat 20, mahir dan Hafiz Al-Qur'an, mahir di dalam Hadith, mahir di dalam berbagai ilmu nahwu, sarf, mantiq, bayan, badi' dll.


Bahkan yang benar adalah sekalian orang yang sudah mahir di dalam ilmu Syari'at (mahir di dalam Fiqh, Usuluddin, Ilmu Al-Qur'an, Ilmu Hadith dan ilmu alat lainnya) sekalipun WAJIB tanpa kecuali masuk ke dalam bimbingan Mursyid yang Siddiq bagi menyucikan batin mereka yang dipenuhi berbagai penyakit hati...!


Inilah sebabnya telah sepakat Ulama Mu'tabar bahawa mencari dan berpegang kepada Mursyid yang Siddiq adalah WAJIB (Fardhu Ain) kerana TIDAK ada manusia awam yang terlepas dari penyakit hati.


Berkata Sultan Auliya, Ghawthul A'zham Shaikh Abdul Qadir Jilani رضي الله عنه:

"Takabbur, kemunafikan dan ego, adalah panah syaitan yang tertuju pada hati kamu.  Kamu perlu siapkan satu strategi mempertahankan diri dari serangan-serangan ini.  Formula strategi tersebut telah diterangkan dan telah dibuktikan oleh _Mashaa'ikh_ (Mursyid yang Siddiq).  Kamu wajib mendengar baik-baik arahan mereka dan mematuhinya".

[Fathur-Rabbaniy Wa Faid ar-Rahmaniy]


Berkata Imam Al-Ghazali  رضي الله عنه:

“Bergabung dengan kalangan Sufi (Mursyid yang Siddiq) adalah fardhu ‘ain.  Sebab tidak seorang pun terbebas dari ‘aib atau kesalahan kecuali para Nabi”. 

[Khulasah At-Tasannif fi-Tasawwuf]


Bagi mereka yang masih di dalam pencarian kepada Mursyid yang Siddiq, ikutilah langkah-langkah pencegahan berikut.  Kaedah ini adalah kaedah orang awam iaitu berusaha mencegah penyakit hati dengan jalan "menggagahi", iaitu dengan cara cuba "buat-buat tawadhu" atau "buat-buat melepaskan diri penyakit hati" dengan melatih diri secara fizikal.  Berikut secara ringkas....

 

SIRI 260


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke 10:  Rawatan dan Penjagaan


(1) Rawatan dan Penjagaan dari Penyakit Takabbur:

sambungan...



(1) Menanamkan di dalam jiwa bahawa tidak ada suatu pun yang dimilikinya termasuk dirinya sendiri, tetapi ianya hanya pinjaman dari Allah untuk mengujinya sejauh mana dia menggunakan Ni’mat Allah tersebut untuk mensyukurinya serta mematuhi hukum-hukum-Nya.  Sama ada dia orang berilmu atau hartawan, atau jutawan atau rupawan, atau bangsawan atau apa saja kelebihan semuanya milik Allah.  Sekalian kejayaan yang kamu capai pada hakikatnya itu adalah Ni'mat dan Kurnia Allah Ta'ala.  Kamu BUKAN mencapainya kerana suatu kepandaian kamu.  (Hal ini amat mudah ditulis tetapi amat berat dihayati, lebih-lebih lagi mereka yang sememangnya mempunyai kedudukan di mata masyarakat)


(2) Lazimkan bergaul dengan orang miskin dan orang-orang yang dipandang hina oleh orang lain.


(3) Lazimkan terlebih dahulu memberi salam kepada orang lain walaupun terhadap orang yang lebih muda atau kurang ilmunya dari kamu.


(4) Lazimkan merasai kehinaan diri apabila bersama manusia lain atau di belakang mereka.  Pandang orang lain dengan pandangan kemuliaan dan pandang diri kekurangan dan dosa yang banyak.


(5) Lazimkan diri makan bersama orang miskin-miskin atau ajak mereka ke rumah dan makan bersama-sama mereka.  Adalah diriwayatkan Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu makan bersama orang miskin dan faqir pada setiap hari di rumah beliau.  Sudah tentu ini adalah contoh akhlaq Nabi ﷺ yang muliakan orang miskin dan faqir.


(6) Jika kamu tinggal di istana atau "rumah kayangan", lazimkan turun dari rumah kamu dan berjalan di muka bumi perhatikan kesusahan orang lain.


(7) Jangan malu hulur tangan terlebih dahulu kepada orang lain untuk bersalaman meskipun dia orang lebih muda dari kamu atau kurang ilmunya atau kurang darjatnya.


(8) Sesekali pakai pakaian lusuh atau pakaian lama. 


(9) Taubat berterusan khusus untuk persoalan penyakit hati ini.  Ini wajib dilakukan disebabkan Takabbur dan penyakit lain terus-menerus mendatang dan menguasai hati. 


(10) Banyakkan zikir La-Ilaha Illa-Allah siang malam, pagi petang... moga Allah Ta'ala Mengampunkan hati yang dikotori oleh segala penyakit Takabbur.


Amat sukar sekali untuk merawat dan membuang sifat Takabbur (serta penyakit hati yang lain) dengan cara awam ini, kerana ia adalah umpama menebas "lalang" di permukaan tanah sedangkan akarnya masih kukuh di bawah tanah.  Sekali tebas "kelihatan hilang" tetapi akarnya tetap subur.  Tidak lama selepas ditebas, "lalang" akan tumbuh menguasai semula ladangnya.  Walaupun berusaha membuangnya berkali-kali, namum ia tetap datang menguasai semula hati.


Namun langkah ini yang terlebih baik bagi mereka yang belum menemui Mursyid yang Siddiq sebagai pendidik, pengasuh dan pembimbingnya kepada Allah Taala.


SIRI 261


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Rawatan dan Penjagaan

sambungan...


(2) Rawatan dan Penjagaan dari Penyakit Riya':


Riya' adalah penyakit hati yang amat berat — di bawah sedikit dari sifat Takabbur.  Penyakit Riya' yang berat ini BUKAN sahaja terkena kepada orang awam yang jahil tetapi juga kepada orang alim Syari'at semata-mata.  (Maksudnya adalah orang alim yang menguasai berbagai bidang ilmu fiqh, usuluddin, nahwu, sarf, mantiq, bayan, badi' dan lain-lain yang bersifat zahir tetapi jiwanya kosong dari penghayatan Tasawwuf)


Bahkan orang yang alim di dalam Syari'at (semata-mata) lebih terdedah kepada Riya' disebabkan kelebihan ilmu Syari'at yang mereka miliki.  Sijil, gelaran, pangkat dan kedudukan di mata masyarakat menjadi dorongan kepada Riya'.  Banyak sekali terjadi pada zaman terdahulu, mereka yang bergelar "Ulama" yang hanya menguasai Ilmu Syari'at semata-mata "jatuh" kepada Riya' tanpa mereka sedari.  Namun TIDAK semua hanyut di dalamnya, sebahagian Ulama mendapat petunjuk untuk menyedari bahawa mereka sedang berada di jurang kebinasaan.


Sebagaimana yang telah kami sebut berulangkali sebelum ini, contoh paling besar dalam sejarah Ummat berkenaan hal ini adalah kisah Imam Ghazali yang menguasai berbagai bidang ilmu Syari'at zahir namun gagal menewaskan nafsu-nafsu rendah sehingga terperangkap di dalam kemelut hati yang menarik kepada Riya'.  


Berikut adalah pengakuan Imam Ghazali Radhiallahu Anhu sendiri:  

“Aku lihat diriku tenggelam dalam samudera godaan dan rintangan.  Segala pekerjaanku dan yang terbaik ialah mengajar dan mendidikku kutinjau sedalam-dalamnya....  Jelas, aku sedang memperhatikan beberapa ilmu yang tidak penting untuk perjalanan ke akhirat.  Apa niat dan tujuanku dengan mengajar dan mendidik, nyatalah tidak sebenarnya ikhlas yang murni kerana Allah Ta'ala, melainkan dicampuri oleh pengaruh ingin kepada kedudukan dan kemasyhuran (Riya').  Maka terasalah kepadaku bahawa aku sedang berdiri di pinggir jurang yang curam, di atas tebing yang hampir gugur.  Aku akan jatuh ke neraka jika tidak segera merubah sikap".

[Nukilan:  Kitab Munqiz Min-Adh-Dholal)


Perhatikanlah:

Walaupun Imam Ghazali telah sudah memiliki ilmu yang banyak di dalam Agama (ilmu Syari'at zahir), sudah pun menjadi Hafiz Al-Qur'an ketika umur beliau 6 tahun, mencapai gelaran Hujjatul Islam, namun beliau masih belum memperoleh "ikhlas" yang sesungguhnya.  Pada ketika itu (ketika beliau Alim Fiqh) beliau belum dapat melepaskan diri dari cengkaman dunia dan kemasyhuran.  Beliau masih terumbang-ambing antara ikhlas dan Riya'.


SIRI 262


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Rawatan dan Penjagaan


(2) Rawatan dan Penjagaan dari Penyakit Riya':

sambungan...



Perhatikanlah:

Jika seorang Ulama yang sudah demikian tinggi ilmunya di dalam Syari'at belum mampu melepaskan diri dari cengkaman Riya', maka betapa orang-orang lain yang kurang ilmunya berbanding dengan beliau.  Jika dibuat perbandingan antara cerdik pandai Agama pada zaman ini yang mempunyai gelaran Dr, PhD, Drs, Kiyai, Master dll dengan Imam Ghazali, ilmu mereka semua tidak sampai sebesar tumit Imam Ghazali, maka betapa mereka mampu melepaskan diri dari cengkaman Riya'?


Jika ditanya mengapa terlalu sukar untuk melepaskan diri dari cengkaman Riya', maka jawapannya.....


Riya' ini adalah penyakit yang berakar umbi di dalam hati.  Riya' mencengkam dan menguasai hati sekuat-kuatnya.  Riya' BUKAN penyakit luaran yang mampu dirawat dengan rawatan mudah melalui teori-teori, bacaan-bacaan, ceramah-ceramah.  Tidak mungkin! 


Jalan paling benar dan paling berkesan untuk merawat penyakit ini serta hapuskannya terus dari hati adalah dengan mengambil rawatannya dari Mursyid yang Siddiq.  Mursyid yang Siddiq adalah Warisatul Anbiya yang sebenar yang memiliki ubat serta penawar bagi segala penyakit hati manusia.  Mereka mewarisi Sistem Tarbiyyah Rasulullah ﷺ.  Mereka adalah doktor ruhani yang di-Kurniakan oleh Allah berbagai ilmu yang mendalam berkenaan hati dan Ruh insan.


Dengan melazimkan diri di bawah pimpinan Mursyid yang Siddiq, seseorang Muslim dapat hapuskan terus Penyakit Riya' ini dari hatinya dengan cara mencabut Riya' dari akar umbinya.  Ketika penyakit Riya ini (dan juga penyakit-penyakit hati yang lain) terhapus, maka pada saat itu benar Tauhidnya serta ikhlas segala ubudiyyahnya.  Namun perlu diingat, ini BUKAN perjuangan setahun atau beberapa tahun, tetapi perjuangan lama serta istiqamah melaksanakan Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ dengan pimpinan Mursyid yang Siddiq.  Demikianlah terjadi kepada para Sahabat Ridhwanullah serta sekalian Masyaikh terdahulu yang mewarisi Nubuwwah dan Risalah Junjungan Besar Rasulullah ﷺ. 


Kaedah yang tersebut di atas adalah kaedah pertama serta Sistem Terunggul bagi mendidik hati dan Ruh manusia yang diwarisi turun-temurun dari Sistem Pendidikan Rasulullah ﷺ.  Sistem ini hanya ada pada Mursyid yang Siddiq.  


Bagi orang awam yang belum menemui seorang Mursyid yang Siddiq, maka Kaedah melawan penyakit Riya' ini adalah dengan jalan "menggagahi" atau "cuba-cuba" atau dengan cara "memaksa diri" atau "buat-buat seolah-olah tidak Riya' ".  Kaedah ini TIDAK menghilangkan Penyakit Riya', tetapi hanya bertahan supaya penyakitnya tidak menjadi lebih teruk dan parah.


SIRI 263


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Rawatan dan Penjagaan


(2) Rawatan dan Penjagaan dari Penyakit Riya':

sambungan...



Jalan Orang Awam:


(1) Sentiasa waspada bisikan hati:  

Apabila datang Riya', cepat-cepat potong perasaan tersebut.  Dan ini amat payah kerana ketika datang Riya', seseorang telah tenggelam di dalam penyakit tersebut.  Dosa Riya' akan dihitung berapa lama dia Riya' dan berapa banyak dia Riya'.  Jika dia cepat sedar dan taubat saat itu juga, maka harapan kita adalah:  Moga Allah berikan keampunannya.  Jika Riya' berpanjangan, (pelakunya tidak sedar dan tidak taubat segera), maka akan sia-sialah segala amalnya.  Wal Iyazubillah.


(2) Sentiasa memeriksa niat pada tiga tempat:

Pertama:  ketika awal ibadah atau amal

Kedua:  di pertengahan ibadah atau amal

Ketiga:  bila selesai ibadah atau amal


Maksud dari pernyataan ini adalah:  

TIDAK memadai bagi seseorang niat ikhlas pada awal perbuatan atau Ibadah atau amal, kerana hati akan berubah-ubah sepanjang melakukan ibadah atau amal.  Boleh jadi pada awalnya hatinya Ikhlas kerana Allah Ta'ala, tetapi di pertengahannya hatinya cenderung kepada Riya'.  Atau di permulaan dan pertengahan ibadah atau amalnya niatnya bersih, tetapi pada penghujungnya niat hati tergelincir jatuh kepada Riya'.


(3) Lazimkan baca _Mu'awwizatain_ (surah Al-Falaq dan An-Nas).  Setiap kali berdiri untuk melakukan Solat, atau ibadah lain seperti baca Al-Qur'an..... baca dulu kedua surah ini berulang beberapa kali; 3 kali atau 7 kali atau lebih.


(4) Sentiasa ingat bahawa diri sendiri tiada apa-apa melainkan semuanya milik Allah.  Apabila semuanya milik Allah, maka tiada hak sedikit pun bagi seseorang melakukan Riya', tiada sedikit pun ruang untuk mencari kemasyhuran dan kelebihan di mata manusia.


(5) Lazimkan Taubat sebanyak-banyaknya atas dosa Riya'.


(6) Lazimkan Zikir La-Ilaha-Illallah, dengan sebanyak-banyaknya.  Moga segala bentuk Riya' yang menetap dalam hati dikifaratkan dengan Taubat dan Zikir Kalimat Tauhid ini.



Kesimpulannya:

Bagi merawat hati yang berpenyakit berat ini (sama seperti merawat penyakit Takabbur), ada dua jalan:


Jalan Pertama:

Mengambil rawatan keruhanian dengan Mursyid yang Siddiq, yang merupakan doktor ruhani yang mewarisi segala Sistem Pendidikan Rasulullah ﷺ.  Inilah jalan khusus yang telah ditempuh oleh sekalian Sahabat Nabi, Tabiin, Tabiit Tabi'in, sekalian Pewaris Nabi yang mengikuti mereka sampai Qiamat.


Jalan Kedua:

Dengan jalan menggagahi diri, atau cuba sedaya upaya menjauhkannya.  Dan ini adalah cara orang awam yang tiada Mursyid yang Siddiq sebagai Pemimpinnya.


SIRI 264


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Rawatan dan Penjagaan



(3) Rawatan dan Penjagaan dari Penyakit Sum'ah:

Rawatan dan penjagaan bagi penyakit ini mempunyai banyak persamaan dengan Merawat penyakit Takabbur dan Riya', kerana penyakit Sum'ah berkait dengan kesombongan bentuk lain.  Perbezaan kedua-duanya adalah:  Penyakit Riya adalah mempertontonkan amal kebaikan untuk mendapat pujian manusia sedangkan Sum'ah memperdengarkan amal kebaikan untuk mendapat pujian manusia.


Sebagaimana kami menyebut sebelum ini, dua pendekatan yang dilalui oleh orang Islam untuk merawat penyakit hati:


Pendekatan Pertama: Kaedah Khusus dan paling berkesan:

Rawatan yang diwarisi dari Junjungan Besar Rasulullah ﷺ hingga ke hari ini dan berterusan sampai Qiamat....  oleh sekalian Mursyid yang Siddiq.  Penawar dan Rawatan yang hakiki, mutlaq dan sempurna hanya dimiliki oleh Mursyid yang Siddiq.  


Pendekatan Kedua: Kaedah-Kaedah Awam:

Kaedah ini bagi mereka yang tidak mempunyai seorang Mursyid sebagai Pemimpin kepada Allah.  Golongan awam ini perlu melazimkan kaedah ini sungguh-sungguh dengan Taubat dan Zikir Tahlil sehinga dipertemukan kepada Mursyid yang Siddiq.  


(1) Teguhkan di dalam hati bahawa setiap kebaikan atau amal ibadah yang diperbuatnya adalah pada haqiqatnya milik Allah.  Dia tidak ada daya upaya sedikit pun.


(2) Usaha sungguh-sungguh daripada menyebut kebaikan diri kepada orang lain, walaupun bertujuan gurauan.


(3) Sentiasa merasai kekurangan dan kehinaan diri.  Dengan ini dia tidak akan memperdengarkan kebaikan dirinya.


(4) Jika dia tersalah menyebut kebaikan dirinya tanpa tujuan memuliakan diri, maka dia perlu taubat cepat-cepat supaya penyakit Sum'ah tidak masuk ke hati.


(5) Lazimkan wirid benteng diri dari godaan Iblis.


(6) Zikir La-Ilaha Illallah sebanyak-banyaknya.  Moga segala lintasan atau bisikan kemegahan terhapus sehingga hilang keinginan untuk memperdengarkan kebaikan dirinya.


SIRI 265


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Rawatan dan Penjagaan

sambungan.....


(4) Rawatan dan Penjagaan dari Penyakit 'Ujub:


Setelah mengetahui betapa besarnya penyakit 'Ujub serta akibatnya yang amat dahsyat sekali sehingga membawa kepada dosa besar Syirik khafi yang batalkan segala amal ibadahnya, maka sudah pasti setiap orang beriman wajib hindarkan darinya.  Namun ini amat sukar kerana tidak ada manusia yang mampu melepaskan diri dari penyakit 'Ujub yang amat halus dan merbahaya ini.


Meskipun dia seorang alim yang besar, hafal berbagai kitab, mahir berbagai ilmu alat yang menjadikannya terkenal serata dunia, namun dia tak mampu melepaskan diri dari penyakit ini.  Bahkan orang-orang alim yang menguasai berbagai ilmu Syari'at serta beribadat siang dan malam lebih banyak terdedah kepada penyakit hati yang besar ini. 


Dengan demikian pilihan yang tinggal adalah merawatnya.  Iaitu merawat hati yang telah dikuasai oleh berbagai bentuk 'Ujub.  Sebagaimana kami menyebut berulangkali, jalan terbaik merawat hati yang 'Ujub ini sehingga kembali bersih adalah mengambil Penawarnya dari Mursyid yang Siddiq.  Hanya Mursyid yang Siddiq memiliki ubat, rawatan dan penawar mujarrab bagi mengubati penyakit ini, bahkan semua penyakit yang berada di dalam batin manusia.


Mursyid akan pimpin dan mendidik setiap orang menurut Disiplin Ma'rifat yang diwarisi turun-temurun dari Junjungan Besar Rasulullah ﷺ.  Warisan Agung ini BUKAN dengan fikir aqal, bukan teori-teori, bukan sekadar catatan kitab... sebaliknya ia adalah Anugerah Allah Ta'ala kepada mereka setelah mereka sendiri mujahadah pada waktu yang lama di bawah asuhan Guru Mursyid mereka sehingga mereka berjaya menundukkan segala nafsu kejahatan serta mengalahkan segala bisikan Syaitan. 


Jika seseorang belum bertemu Mursyid yang Siddiq, maka kaedah sementara merawat hati yang berpenyakit ini adalah dengan Kaedah kedua:  Jalan Orang Awam sebagaimana telah disebut beberapa kali sebelum ini.  Jalan Orang Awam ini TIDAK akan mampu hapuskan segala penyakit batin termasuk 'Ujub, tetapi hanya dapat mengurangkan kesan-kesannya.  Dan bertahan supaya penyakitnya tidak menjadi parah sampai binasa.


SIRI 266


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Rawatan dan Penjagaan


(4) Rawatan dan Penjagaan dari Penyakit 'Ujub:

sambungan....



Jalan bagi orang awam:


(1) I'tiqad dan pandang sungguh-sungguh dari dalam hati bahawa setiap kelebihan dan nikmat yang kita miliki berupa harta, wang ringgit, kekayaan, kepandaian, kekuasaan dll adalah haq Allah Ta'ala, BUKAN haq kita.  Pada hakikatnya manusia dan makhluq seluruhnya tidak memiliki apa-apa pun.  Dengan demikian adalah kebodohan yang amat nyata seseorang mengaku sesuatu yang bukan hak dia. 


(2) Tetapkan di dalam hati, setiap nikmat yang ada pada manusia itu hanyalah pinjaman yang diberikan oleh Allah Ta'ala untuk menguji sejauh mana dia bersyukur kepada Allah Ta'ala.  Jika dia kenang bahawa semua itu dari Allah untuk menguji dia lalu dia bersyukur, maka selamatlah dia dunia akhirat.  Sebaliknya jika dia menganggap semua itu milik dia, menganggap semua nikmat itu hasil usaha dia, maka jatuhlah dia kepada kebinasaan.  Masihkah ada perasaan 'Ujub dengan kelebihan diri?


(3) Sentiasa ingat bahawa setiap makhluq adalah lemah, tiada daya upaya sedikit pun.  Segala usaha ikhtiar untuk mencapai suatu kejayaan hanyalah asbab untuk mencapai sesuatu yang lain.  BUKAN manusia menentukan kejayaannya atau keberhasilannya.  Jika demikian halnya, maka mana mungkin manusia jadi 'Ujub dengan dirinya?


(4) Setiap ibadah yang dilakukan oleh manusia, setiap sedekah, setiap usaha da'wah dan lain-lainnya atas Taufiq dan Hidayah Allah Ta'ala.  Manusia takkan mampu melakukan apa jua ibadah, solat, puasa, sedekah, da'wah dan kebaktian lain.  Maka dari manakah datang 'Ujub?  Apa yang dia nak hairankan dengan diri sedangkan semua yang dia perbuat adalah pada hakikatnya Taufiq dan Hidayah Allah Ta'ala?


(5) Lazimkan lakukan tiga amalan ini:   

Pertama:  Istighfar  

Kedua:  Zikir La-Ilaha Illallah 

Ketiga:  Solawat atas Nabi sebanyak-banyaknya.  

Semoga segala sifat 'Ujub (dan juga segala penyakit hati lain) akan terhalang dari menguasai hati.


Semua kaedah ini sangat mudah ditulis dan disuratkan namun tersangat berat untuk dihayati.  Sifat Ujub akan sentiasa terselit di dalam amal ibadah tanpa disedarinya.  Lazimnya setelah lama masa berlalu barulah dia sedar bahawa dia telah 'Ujub.  Inilah sebabnya WAJIB bagi setiap orang beriman mencari Mursyid yang Siddiq (benar), berbai'at serta menerima didikannya sampai jiwanya menjadi benar-benar suci bersih.


SIRI 267


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Rawatan dan Penjagaan



(5) Rawatan dan Penjagaan dari Penyakit Tawakkal kepada makhluq:


Pendekatan Khusus:

Penawar untuk penyembuhan yang sebenar bagi penyakit hati ini sama seperti yang telah kami huraikan berulangkali sebelum ini, iaitu dengan cara menyucikan hati sebersih-bersihnya dengan amalkan Toriqat (berserta Syari'at — ertinya jangan sesekali meninggalkan Syari'at) yang diwarisi oleh Mursyid yang Siddiq dari Junjungan Besar Rasulullah ﷺ.


Sesungguhnya punca terjadinya seseorang Tawakkal kepada makhluq dan lupakan Allah Ta'ala adalah kerana hatinya yang lalai dari Zikrullah.   


Punca manusia menggantungkan nasibnya kepada makhluq dan lupakan pergantungan kepada Allah adalah kerana hatinya diselaputi berbagai "hijab (tutupan)" yang menyebabkan terhalang dari menyaksikan Rahmat Allah Ta'ala.   


Punca manusia menyandarkan segala kebaikan, keberhasilan dan keberuntungan kepada usaha ikhtiar dirinya adalah kerana hatinya telah dicemari oleh penyakit-penyakit hati yang tumbuh bercabang-cabang di dalamnya.


Dengan demikian tiada cara lain untuk keluar dari semua kerosakan dan kebinasaannya melainkan mengambil Penawarnya daripada Mursyid yang Siddiq.  Pesakit akan diberikan berbagai ramuan serta menempuh berbagai mujahadah sehingga hatinya benar-benar bersih.


Apabila hatinya benar-benar bersih, dia tidak lagi bergantung hati kepada makhluq, dia tidak lagi menyandarkan apa jua kejayaan kepada usaha ikhtiarnya kepada makhluq, dia tidak lagi memandang makhluq berkuasa tetapi hanya Allah Ta'ala yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.  


Ketika itu dia akan melihat hanya Allah Ta'ala yang berikan kesembuhan, hanya Dia Yang berikan keselamatan, hanya Dia yang Kurniakan Kejayaan, hanya Dia yang Kurniakan sekalian Ni'mat dan Rahmat.


Ketika itu akan berkumandanglah hatinya dengan Kalimat Tauhid.... 


La Hawla Wala Quwwata Illa Billah


(Tiada daya tiada upaya hanya Allah)


berulang-ulang tanpa henti, sedang hatinya terus-menerus zikir Allah Allah.


Sesungguhnya hal ini bukan dibuat-buat, bukan digagahi, dan bukan memaksa diri, tetapi Kalimat suci itu akan zahir dengan sendirinya tanpa paksaan apa pun.  Semua ini berlaku dalam kedamaian dan ketenangan hati yang tiada terungkap...!


SIRI 268


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Rawatan dan Penjagaan


(5) Rawatan dan Penjagaan dari Penyakit Tawakkal kepada makhluq

sambungan.....



Kaedah orang awam:

Orang-orang awam yang belum mendapat pimpinan Mursyid yang Siddiq perlu mengikuti langkah-langkah berikut untuk mengurangkan kesan-kesan penyakit ini ke dalam hatinya. 


(1) Sentiasa sedar dan insaf, bahawa hanya Allah Ta'ala Berkuasa di atas segala sesuatu termasuk sekalian perbuatan kamu.   


(2) Sebelum melakukan suatu pekerjaan hendaklah mohon pertolongan Allah Ta'ala, sekurang-kurangnya bacalah ayat Tawakkal iaitu:  ( بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ ) meskipun pekerjaan tersebut sudah lazim dilakukan.  Misalnya pergi ke tempat kerja, balik dari tempat kerja, ziarahi seseorang, pergi ke bank, pasar, kedai dll.  Hal ini akan menghindarkan diri dari pergantungan hati kepada makhluq.


(3) Sebelum memulakan sesuatu tugasan khusus seperti pembentangan kertas kerja atau membina sesuatu projek pembangunan, atau menerbitkan sesuatu yang baharu, maka lazimkan istikharah dan mohon Pertolongan Allah Ta'ala.  Akuilah diri kamu hamba yang lemah yang tiada memiliki apa-apa.  JANGAN sesekali memulakan apa juga tugasan, projek pembinaan, penerbitan dll dengan keegoan sendiri.  JANGAN sesekali rasa hebat dengan kemahiran, kecekapan, kepintaran kamu meskipun kamu sememangnya terkenal sebagai pakar.  Sebaliknya rasai kehebatan, Keagungan dan Kurnia Allah Ta'ala pada setiap pekerjaan yang kamu lakukan.


(4) Jika kamu mencapai suatu kejayaan, hendaklah cepat-cepat bersyukur kepada Allah dengan syukur yang sebanyak-banyaknya kerana "kejayaan" yang kamu capai BUKAN disebabkan keupayaan kamu, BUKAN disebabkan kecekapan kamu, BUKAN disebabkan kepakaran kamu, BUKAN disebabkan segala gelaran-gelaran dunia kamu seperti Master, PhD, Drs, Profesor, tetapi ingatlah semua kejayaan tersebut adalah Ni'mat Kurnia Allah Ta'ala.


(5) Jika kamu gagal dalam sesuatu pekerjaan, urusan, tugasan, maka akuilah kegagalan tersebut adalah kelemahan dan kekurangan diri kamu, kemudian berusahalah lagi dengan mohon Pertolongan Allah Ta'ala.  Kitaran seterusnya sama seperti di atas.


(6) Sepanjang melakukan apa jua pekerjaan cuba kekalkan ingatan pada Allah.  Dengan cara ini hati akan tetap bergantung kepada Allah serta terhindar dari tawakkal kepada makhluq, jauh dari keakuan diri yang membawa kepada Syirik dalam hati....  walaupun hal ini amat sukar sekali bagi orang awam.  


(7) Sekiranya datang lintasan dalam hati akan keakuan diri, hendaklah segera kembalikan hati kepada Allah Ta'ala dengan Istighfar, Taubat serta zikirkan Kalimah Tayyibah banyak-banyak.  Taubat dan Zikir Kalimah Tayyibah ini WAJIB di lakukan segera ketika itu juga.  Jika TIDAK bertindak segera, maka ketika itulah Syirik telah bertapak di dalam hati.  Sepanjang masa seseorang berada di dalam keadaan tersebut adalah termasuk dosa yang tidak disedari.  Ertinya bermula dari terdetiknya Syirik dalam hati sehinggalah dia bertaubat adalah dihitung dosa yang berat.  Dosa hati yang berat ini akan memakan sekalian amal bagaikan api membakar kayu api.  Wal Iyazubillah.


SIRI 269


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 4:  Huraian Iman Salikin



Pengenalan:

Sebelum menyelami tajuk ini — Iman Salikin, terlebih dahulu kami sebut dahulu definisi Iman sepintas lalu sebagai peringatan semula.



Definisi Iman:

===========


Dari segi bahasa: 

Iman berasal dari kata ( آمَنَ ) = "aamana" yang bererti percaya, yakin, aman, tenang, damai, terpercaya.   


Dari segi istilah: 

Iman adalah kepercayaan yang teguh terhadap Allah dan segala yang ghaib yang Allah Ciptakan. 


■ Iman adalah:  Percaya kepada Rukun Iman yang enam:  Percaya kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-Nya, Rasul-Nya, Hari Qiamat dan Qadha dan Qadar.


■ Iman adalah:  At-tasdiq minal qalb, wat-taqrir bil-lisan, wal-amalu bil-arkan, iaitu benarkan di dalam hati akan Kalimah La-Ilaha Illallah, lafazkan Kalimah tersebut dengan lisan dan dirikan amal ibadah mengikut tuntutan Kalimah tersebut.


■ Iman adalah:  Keyakinan yang tertanam kukuh di dalam hati akan kewujudan Allah dan segala yang Ghaib yang Allah Ciptakan.



Definisi Tauhid

============


Dari segi bahasa:

Tauhid berasal dari kata ( أَحَد ) = "ahada" yang ertinya Esa, tunggal, Satu, Penyatuan, Ke-Esaan, Tiada Tandingan.


Dari segi istilah:

Maka maksud "Tauhid" pada sudut Syara' adalah:  Esakan Allah Ta'ala, _Jazamkan_ (tetapkan) di dalam hati bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa, yang tiada sekutu bagi-Nya, Yang Maha Mentadbir dengan sendirinya.  Esakan Allah Ta'ala pada Af'al-Nya (Perbuatan-Nya).  Asma'-Nya (Segala Nama-Nama-Nya yang Agung dan Indah).  Sifat-Nya dan Zat-Nya. 



Definisi Ma'rifat

==============


Dari segi bahasa:

"Ma'rifat" berasal dari kata ( عَرَفَ ) = 'arafa yang membawa maksud tahu, mengetahui, kenal dengan cara mendalam.  


Dari segi istilah:

Maka Ma'rifat pada sisi Syara' adalah pengetahuan yang sangat mendalam akan Ketuhanan, yang terpancar dari dalam hati serta pegangan yang kukuh yang tidak dapat digoncang lagi.


SIRI 270


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 4:  Huraian Iman Salikin



Penjelasan:

  

(1) Dari suatu sudut Ilmiah, ketiga-tiga istilah — Iman, Tauhid, Ma'rifat mendokong maksud yang sama iaitu keyakinan yang teguh akan kewujudan Allah dan sekalian yang ghaib yang Allah Ciptakan.


(2) Ulama Ahlus Sunnah membahagikan orang beriman kepada beberapa tingkatan sesuai dengan Cahaya Ketuhanan yang wujud di dalam hatinya.


Pertama:

Iman, Tauhid, Ma'rifat berdasarkan Hujjah Aqal dan dalil-dalil.  Ini adalah Iman orang awam.


Kedua:

Iman, Tauhid, Ma'rifat berdasarkan penghayatan hati dan ruh.  Ini adalah Iman orang Salikin.


Ketiga:

Iman, Tauhid, Ma'rifat berdasarkan penghayatan hati, ruh dan sirr (rahsia Ketuhanan yang sangat dalam).  Ini adalah Iman Arifin.


(3) Ungkapan "Iman" dan "Tauhid" lazimnya digunakan secara umum untuk sekalian orang beriman; sama ada Iman orang awam, Iman Salikin atau Iman Arifin.  Sementara ungkapan "Ma'rifat" digunakan secara khusus untuk Ahli Ma'rifat yang telah mengenal Allah dengan pengenalan yang tahqiq tanpa keraguan apa pun.


(4) Keimanan di peringkat awam adalah Keimanan yang bercampur-campur di antara Iman dan kesyirikan (syirik khafi — syirik tersembunyi) dan mazmumah (kekejian hati), ghaflah (kelalaian) dan aghyar (segala sesuatu selain Allah).


(5) Keimanan di peringkat Salikin adalah dipanggil "Iman Sejati", "Tauhid haqiqi", "Ma'rifat suci murni".  Keimanan di peringkat ini merupakan penghayatan hati dan ruh, ertinya dia melihat Ketuhanan dari dalam hati, bukan fikir aqal semata-mata dan bukan hujjah-hujjah semata-mata.


(6) Inilah Haqiqat Keimanan — Iman, Tauhid, Ma'rifat dari penghayatan hati dan ruh, yang dituntut oleh Allah ke atas setiap orang beriman.  Adapun mengenal Allah melalui hujjah-hujjah adalah permulaan mengenal Allah — permulaan Iman, Tauhid, Ma'rifat. 


(7) Pengetahuan dari hal Ketuhanan (Haqiqat Keimanan) peringkat Salikin ini bukan fikir aqal, bukan hujjah atau dalil-dalil aqal, tetapi benar-benar suatu pandangan batin hati yang terpancar dari Cahaya Ilahiyyah (Ketuhanan).


(8) Ilmu ini (Haqiqat Keimanan) diperoleh oleh hamba-hamba Allah yang telah  mujahadah, melawan nafsu pada waktu yang sangat panjang dengan amalkan kedua-dua bahagian Agama — Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ dengan pimpinan Guru yang benar-benar Arif. 


(9) Orang yang tidak mendapat Ilmu ini (Haqiqat Keimanan) adalah orang awam, iaitu Keimanannya sentiasa terumbang-ambing antara keimanan dan kesyirikan (syirik khafi — syirik tersembunyi) dan mazmumah (kekejian hati), ghaflah (kelalaian) dan aghyar (segala sesuatu selain Allah).


(10) Haqiqat Ketuhanan — Ma'rifat yang diperoleh oleh Salikin terdiri dari 5 tingkatan:


(1) Maqam Tauhid Af'al

(2) Maqam Tauhid Asma'

(3) Maqam Tauhid Sifat

(4) Maqam Tauhid Zat

(5) Maqam Kesempurnaan Ma'rifat (Tajalli) 


Perkara yang ke -10 inilah yang menjadi fokus utama perbincangan kita pada Bahagian ini, iaitu Tingkatan Salikin.


SIRI 271


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 4:  Huraian Iman Salikin


Penjelasan:

Sambungan...



(11) Pengenalan Umum Iman Salikin — Lima Tingkatan Ma'rifat:


Setelah kami jelaskan Sistem Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (Jalan Ma’rifat), yang mereka warisi daripada Junjungan Besar Rasulullah ﷺ, maka di sini kami jelaskan pula berkenaan Tingkatan Pencapaian Salikin yang menempuh Sistem Pendidikan tersebut.


Tingkatan Pencapaian Salikin yang menempuh Jalan Ma'rifat dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq terdiri dari 5 Tingkatan Tauhid:


Tingkatan 1:  Maqam Tauhid Af'al

Tingkatan 2:  Maqam Tauhid Asma'

Tingkatan 3:  Maqam Tauhid Sifat

Tingkatan 4:  Maqam Tauhid Zat

Tingkatan 5:  Maqam Kesempurnaan Tauhid Zat (Tajalli Zat)


Setiap Tingkatan Tauhid ini terdiri dari beberapa darjat yang lain yang bercabang-cabang, masing-masing dengan Amanah tersendiri.  Sesungguhnya setiap Maqam ini adalah semata-mata Anugerah Allah Ta'ala kepada Salikin yang telah mujahadah sungguh-sungguh pada Jalan-Nya dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  


Firman Allah:


وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَا‌ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ


“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh pada jalan Kami nescaya Kami tunjukkan mereka jalannya.  Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat ihsan”.

[Al-Ankaboot (29) : Ayat 69]


Sebagaimana kita bicarakan hal ini di dalam beberapa siri yang telah lalu, sesungguhnya Pencapaian Tauhid inilah sebenar-benar Tauhid, iaitu Tauhid yang terbit dari hati yang suci bersih dari kekotoran ma'nawiyyah yang menutup pandangan mata hati.  Inilah Ma'rifat dan Ubudiyyah yang dituntut oleh Allah Ta'ala sebagaimana Isyarat-Nya:


Firman Allah:


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ


“Dan tidaklah Aku ciptakan jinn dan manusia kecuali untuk berubudiyyah kepada-Ku”. 

[Adz-Dzaariyaat (51) : Ayat 56]


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu Anhu:

"Pengertian "يَعْبُدُونِ" (Ya'budun) pada ayat ini adalah "يعرفون" (Ya'rifun), iaitu Mengenal Allah dan berubudiyyah kepada-Nya, (bukan dengan maksud fahaman ibadah yang sempit)".

[Tafsir Ibnu Abbas]


Berkata Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:

"Manusia tidak akan mampu beribadah secara sempurna kepada Allah tanpa Ma'rifat yang sebenar.  Ma'rifat dapat terwujud setelah hilangnya segala sesuatu yang menghalangi cermin hati dengan terus sungguh-sungguh membersihkannya sehingga manusia dapat melihat indahnya sesuatu yang terpendam dan tertutup di dalam rasa di lubuk hati".

[Sirrul Asrar Fi-Ma-Yahtaju Ilayhil-Abrar]


Setiap Salikin yang mujahadah sungguh-sungguh, menempuh perjalanan yang panjang dengan penuh keikhlasan serta kesabaran, dan mematuhi sekalian adab-adabnya, maka akan terbuka baginya pintu-pintu Tauhid yang hakiki ini.  Maka jadilah dia hamba Allah yang Kenal Allah dengan sebenarnya dan Ubudiyyah setulus hati.  


Mengenal Allah dan Ubudiyyah ini BUKAN fikir aqal, BUKAN berhujjah-hujjah, BUKAN berdebat-debat berkenaan Ketuhanan, sebaliknya ia adalah pancaran Cahaya Rabbaniyyah kepada Salikin yang melaluinya dia melihat kepada Ketuhanan dari dalam hati dan ruhnya.  Inilah Tauhid yang hakiki yang di-Kehendaki oleh Allah.


Firman Allah:


أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدۡرَهُ ۥ لِلۡإِسۡلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ۬ مِّن رَّبِّهِۦ‌ۚ


“Apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya (untuk) berserah diri lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang tertutup mata hatinya?)”.

[Az Zumar (39) : Ayat 22]


SIRI 272


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 4:  Huraian Iman Salikin



Fakta-fakta Penting Ma'rifat — Tauhid Hakiki, Iman Sejati

Ini suatu penjelasan ringkas berkenaan pencapaian Tauhid oleh sekalian Salikin yang mujahadah pada Jalan Allah, iaitu Jalan Ma'rifat yang dipimpin oleh Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.


Fakta 1:  Tauhid yang benar dari Penghayatan hati dan ruh

Sesungguhnya pencapaian Tauhid oleh sekalian Salikin adalah sebenar-benar Tauhid yang terbit dari hati yang suci bersih daripada kesyirikan atau kekejian.  Inilah sebenar Tauhid yang tiada waham, syak atau zonn di dalamnya.  Salikin yang di-Kurniakan oleh Allah "Tauhid yang suci murni" menghayatinya dari dalam hati dan ruhnya, bukan sekadar mengulang-ulangi teori aqal tentang Ketuhanan, dan bukan sekadar orang yang petah berhujjah sedangkan batinnya kosong. 


Fakta 2:  Mujahadah pada Jalan Ma'rifat

Tauhid yang suci murni ini hanya terhasil setelah seseorang Islam mujahadah sungguh-sungguh pada Jalan Ma'rifat dengan mematuhi sekalian syarat dan adab-adabnya dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Belajar menyucikan hati dan menundukkan nafsu-nafsu kerendahan, berusaha merawat penyakit batinnya yang amat berat — ego takabbur, 'ujub, riya', sum'ah dan lain-lain.


Fakta 3:  Pemimpinnya Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Sesungguhnya Pemimpin yang menunjukki Jalan memperoleh Tauhid yang hakiki ini adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Merekalah, dan hanya mereka yang mewarisi Ilmu Rasulullah ﷺ zahir dan batin.  Allah Ta'ala Kurniakan mereka Rahsia-Rahsia Ketuhanan dan rahsia-rahsia kehambaan yang dengannya mereka memimpin manusia mencapai Keimanan sejati (Ma'rifat suci murni).


Fakta 4:  Mengenal Allah melalui pancaran Cahaya Ilahiyyah

Ketika hati Salik telah suci bersih dari segala penyakit-penyakit hati dan mula bersinar dengan cahaya Zikrullah yang meliputi seluruh tubuhnya, maka ketika itu Allah Ta'ala Yang Maha Pemurah Melimpahkan Nur Rabbaniyyah (Cahaya Ketuhanan) ke dalam hatinya.  Maka melihatlah Salikin kepada Ketuhanan melalui pancaran Cahaya Ilahi ini tanpa sebarang kaifiyyat atau cara.


Fakta 5:  Ainul Yaqin, Haqqul Yakin, Kamalul Yaqin

Salikin yang telah mencapai Tauhid yang hakiki atau Iman sejati ini tidak lagi bergantung kepada dalil-dalil untuk beriman kepada Allah sebagaimana orang awam.  Orang Islam awam memerlukan dalil dan hujjah-hujjah aqal untuk percaya Wujud Allah dan Sifat-Sifat-Nya, Asma'-Nya dan Af'al-Nya.  Sedangkan Salikin "melihat Wujud Allah dari dalam hati".  Mereka dibukakan oleh Allah "mata hati” menyaksikan sekalian Af'al, Asma', Sifat dan Zat Allah dengan penuh keyakinan.  Inilah Ainul Yaqin, Haqqul Yakin, Kamalul Yaqin sehingga Tajallul Yakin.


SIRI 273


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 4:  Huraian Iman Salikin


Fakta-fakta Penting Ma'rifat — Tauhid Hakiki, Iman Sejati

sambungan.....



Fakta 6:  Pencapaian Tauhid _Salikin_ bertingkat-tingkat

Pencapaian Tauhid yang hakiki yang dicapai oleh _Salikin_ bukan satu darjat melainkan bertingkat-tingkat bermula dari Maqam Af'al, kemudian Maqam Asma', kemudian Maqam Sifat, kemudian Maqam Zat dan Maqam Tajalli Zat.  Ertinya seseorang Salikin tidak akan sampai kepada Maqam Tauhid tertinggi sekaligus melainkan mata hatinya terbuka beransur-ansur melihat kepada Af’al Allah terlebih dahulu.  Kemudian akan terbuka lebih luas berdasarkan kesungguhan mujahadahnya dan Kemurahan Allah Ta’ala kepada-Nya.


Fakta 7:  Tingkat pertama Tauhid — _Maqam Af'al

Permulaan Pencapaian Tauhid hakiki ini adalah Maqam Tauhid Af'al, iaitu Esakan Allah Ta'ala pada Af'al-Nya (Perbuatan-Nya).  Ertinya apabila seseorang telah sampai ke Maqam Tauhid Af’al_ maka ketika itulah permulaan dia mencapai Tauhid yang sebenar atau disebut juga sebagai Keimanan sejati.  Inilah sebenar-benar Tauhid, yang jauh dari sebarang bentuk Syirik di dalam hati.  Sebelum dia mencapai Maqam ini, hati dia sentiasa berbolak-balik antara keimanan dan kesyirikan (syirik hati).


Fakta 8:  Pilihan Allah (Anugerah Allah)

Pembukaan mata hati dan Maqam-Maqam Tauhid yang hakiki adalah Kehendak Allah Ta'ala semata-mata, BUKAN kehendak atau pilihan Guru yang memimpinnya.  Gurunya hanya menzahirkan (isytiharkan)  pencapaian murid-muridnya berdasarkan Kehendak Allah.


Fakta 9:  Kewajipan setiap Muslim

Setiap Muslim wajib berusaha mencapai Tauhid yang hakiki ini.  Mereka wajib mencari Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (Benar) agar mereka dipimpin kepada Allah bagi mencapai Keimanan sejati.


Fakta 10:  Alim Kitab, Alim Fiqh, Alim Usuluddin — wajib berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Hal ini telah disebut beberapa kali sebelum ini.  Setiap orang Alim Fiqh yang sudah memahami selok-belok Ilmu Fiqh, meskipun sudah sampai ribuan kitab, atau Alim Usuluddin yang sangat hebat mensyarahkan Sifat 20 atau orang Alim yang sangat mahir hafal Hadith dan sangat bagus hafalannya, kesemua mereka wajib berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq untuk menyucikan batin mereka daripada berbagai syirik khafi, mazmumah, ghaflah dan aghyar.  Dan seterusnya memperoleh Tauhid yang hakiki, Iman Sejati, Ma’rifat dan Ubudiyyah yang suci murni. 


Tanpa menempuh jalan Ma’rifat dengan bimbingan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq sehingga mencapai Tauhid hakiki ini, orang Alim Fiqh atau Alim Usuluddin yang paling hebat sekalipun akan tetap berada pada tahap Iman orang awam, iaitu hatinya berbolak-balik di antara keimanan dan kesyirikan (syirik khafi) dan bercampur-aduk dengan nifaq (nifaq kecil).  Mereka akan sentiasa bergelumang dengan ‘ujub, riya’, sum’ah, takabbur dan sifat-sifat mazmumah.  Bahkan mereka di dalam bahaya terjatuh kepada golongan-golongan sesat Aqidah atau sesat di dalam keruhanian. 


Kami kemukakan dua bukti paling kukuh bagi kenyataan ini:


SIRI 274


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 4:  Huraian Iman Salikin


Fakta-fakta Penting Ma'rifat — Tauhid Hakiki, Iman Sejati

sambungan.....



Kami kemukakan dua bukti paling kukuh bagi kenyataan ini:


Pertama:

Pelopor dan pengasas bagi fahaman-fahaman sesat berjumlah 72 golongan adalah terdiri daripada orang-orang Alim Fiqh dan cerdik pandai Agama.  Mereka adalah penghafal Al-Qur’an dan Hadith.  Mereka hebat berpidato dan kalahkan lawan di dalam berhujjah. 


Kedua:

Bukti paling kukuh bagi kenyataan ini adalah jalan hidup Imam Ghazali Radhiallahu Anhu yang telah masyhur kisahnya, sebagaimana yang telah dinukilkan kisah beliau di dalam Risalah ini dan beberapa Risalah kami yang lain.  Pada awal perjalanan hidup beliau, Imam Ghazali merupakan orang yang sangat alim di dalam hukum-hakam Agama dan mampu mengalahkan lawan di dalam perdebatan Agama.  Tetapi beliau tak mampu keluar daripada sifat riya’ dan kecenderungan pada kemasyhuran duniawi. 


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:

“Sesiapa tidak memperolehi ilmu ini (Ma’rifat mengenal Allah – Tauhid Hakiki) tidak akan menjadi bijaksana dan ‘Arif walaupun dia membaca seribu kitab”.

[Sirrul Asrar]


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu lagi:

“Walau bagaimanapun tinggi dan sempurna ilmu Zahir (Syari’at) seseorang itu tidak akan membantunya untuk masuk ke Majlis Ketuhanan, iaitu Hadratul Quddus, berserta Allah”.

[Sirrul Asrar]


Berkata Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu Anhu:

“Pendapat ini (Ahli Usuluddin) hanya 70 peratus yaqin (zonn) kerana yaqin peringkat ini sebagai khabar jua (fikir aqal).  Adapun ‘Ainul Yaqin itu iaitu tiap-tiap Ma’rifat yang didapat dilihat dengan mata hati, keadaan yaqin 100 peratus.”

[Risalah Ma’rifat]


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu Anhu:

“Pendeknya barangsiapa yang belum di-Kurnia Tuhan mengalaminya (Mengenal Allah melalui Sistem Pendidikan Ahli Sufi) belumlah ia mengenal haqiqat Kenabian, lebih dari namanya sahaja”.

[Muqiz Min-adh-dholal]


SIRI 275


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 4:  Huraian Iman Salikin



Dalil-dalil Berkenaan Ma'rifat dan Cahaya Ketuhanan yang Menerbitkan Tauhid

 ======================================================================


Berikut kami cantumkan beberapa dalil berkenaan Ma'rifat, iaitu Tauhid hakiki atau Iman sejati serta Ubudiyyah yang suci murni yang diperoleh oleh Salikin melalui Pancaran Cahaya Ketuhanan ke dalam hati mereka.  Maksud kami di sini:  Inilah maksud dari Iman atau Tauhid yang benar, yang benar-benar bersih, yang terlepas bebas dari segala macam syirik...!


Penjelasan berkenaan hal ini agak sukar untuk difahami.  Mereka yang kesulitan memahaminya wajib bertanya kepada kepada orang yang benar-benar 'Arif.  Yang kami maksudkan dengan orang 'Arif atau 'Arif Billah adalah hamba Allah yang telah sampai ke Maqam Mukasyafa dan disahkan pencapaiannya oleh Gurunya yang juga seseorang yang 'Arif.


Kami tidak memaksudkan orang 'Arif itu seperti sangkaan kebanyakan orang jahil yang menyangka orang 'Arif itu berpakaian compang-camping atau seperti orang gila jalan sana sini atau seperi ahli sihir yang menunjuk-nunjuk berbagai keajaiban atau yang terbaru seseorang memakai cawat dikelilingi orang-orang yang memujanya.  Mereka semua tertipu dengan helah sihir!  Wal Iyazubillah!


Sesungguhnya 'Arif Billah adalah orang yang waras, benar-benar 'Arif, mengenal Allah, yang berpegang teguh dengan Syari'at dan Haqiqat.  Dia mewarisi keilmuan turun-temurun bersilsilah sampai Rasulullah ﷺ.  Dia telah disahkan oleh Gurunya memperoleh Cahaya Rabbaniyyah (Ketuhanan) dan Cahaya Nubuwwah (Kenabian), serta telah sampai ke Maqam Mukasyafah yang tahqiq.


Firman Allah:


ٱللَّهُ نُورُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ۚ مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشۡكَوٰةٍ۬ فِيہَا مِصۡبَاحٌ‌ۖ ٱلۡمِصۡبَاحُ فِى زُجَاجَةٍ‌ۖ ٱلزُّجَاجَةُ كَأَنَّہَا كَوۡكَبٌ۬ دُرِّىٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ۬ مُّبَـٰرَڪَةٍ۬ زَيۡتُونَةٍ۬ لَّا شَرۡقِيَّةٍ۬ وَلَا غَرۡبِيَّةٍ۬ يَكَادُ زَيۡتُہَا يُضِىٓءُ وَلَوۡ لَمۡ تَمۡسَسۡهُ نَارٌ۬‌ۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ۬‌ۗ يَہۡدِى ٱللَّهُ لِنُورِهِۦ مَن يَشَآءُ‌ۚ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَـٰلَ لِلنَّاسِ‌ۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمٌ۬ 


“Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi.  Perumpamaan cahaya-Nya adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar.  Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkahnya, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api.  Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”.

[An-Noor (24) : Ayat 35]


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu Anhu:

"Kalam Allah ( مَثَلُ نُورِهِ ) adalah Cahaya Allah di dalam hati orang beriman".

[Tafsir Ibn Abbas]


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhialllahu Anhu:

"Maksud _Misykat_ adalah hati seorang Mu'min.  Maksud Al-Misbahu adalah bermaksud Rahsia tinggi yang terbit dari hati yang amat suci iaitu Ruh Sultoni.  Maksud Az-zujajatu adalah mata hati yang bersifat dengan gemerlapan kerana kekuatan cahaya yang luar biasa".

[Sirrul Asrar]


SIRI 276


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 4:  Huraian Iman Salikin


Dalil-dalil Berkenaan Ma'rifat Dan Cahaya Ketuhanan Yang Menerbitkan Tauhid

sambungan....



Awas:  Perlu difahami dengan benar!  "Cahaya Ketuhanan" tidak sama seperti "cahaya" yang terlihat di dunia, tetapi "Cahaya-Nya" adalah Laisa-Kamithlihi Syai'un yang tiada umpama sepertinya.  Tiada kata-kata yang mampu huraikannya.  Tiada tulisan yang mampu menjelaskannya.  Tiada gambar mampu menggambarkannya.  Ia semata-mata sebuah penglihatan mata hati dan mata rahsia yang disaksikan secara maknawiyyah oleh Salikin yang menuju Allah.


Cahaya Ketuhanan adalah "Petunjuk Allah" dan "Cahaya yang menerangi" ke dalam hati orang beriman.  Lebih tinggi lagi ianya bermaksud Sirriyah —  Rahsia Ketuhanan yang bersemi di dalam ruh orang beriman.  Semua ini gambaran kedudukan seseorang yang beriman — berbeza-beza dan bertingkat-tingkat keimanannya dan kedudukannya di sisi Allah.


Firman Allah di atas merupakan ayat Mutasyabihat, yang hanya difahami dengan tepat oleh Ahli Ma'rifat.  Orang awam atau cerdik pandai Agama yang awam tak mampu memahaminya, maka dilarang keras mentafsirnya dengan pemikiran sendiri.  Di sini kita tidak akan bincang mendalam, melainkan hanya sekadar mengambil manfaat berhubung dengan Cahaya Ilahi yang terpancar di dalam HATI orang BERIMAN. 


Apabila Allah Ta'ala Menghendaki untuk Mengurniakan IMAN kepada seseorang dari hamba-hamba-Nya maka Dia (Allah) masukkan Cahaya-Nya ke dalam hatinya.  Walau bagaimanapun, Anugerah Allah yang paling berharga ini TIDAK didapati secara percuma.  Setiap manusia Muslim perlu sungguh-sungguh mencarinya.


Firman Allah:


وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَا‌ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ


“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh pada jalan Kami nescaya Kami tunjukkan mereka jalannya.  Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat ihsan”.

[Al-Ankaboot (29) : Ayat 69]


Apa yang kami katakan di sini, sungguh-sungguhlah _mujahadah_ mencari Keimanan sejati.  Ikuti panduan yang telah ditunjukkan oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah yang terpercaya sepanjang zaman.


Sungguh-sungguhlah memohon kepada Allah agar Dia menunjukki jalan kepada-Nya.  Sungguh-sungguh mohon kepada Allah agar Dia menunjukkan "Pewaris Nabi yang Siddiq" yang akan membimbing kita kepada Allah dengan selamat.  Tanpa "insan pilihan Allah" ini maka dikhuatiri seseorang terlena di dalam buaian lembut nafsu kejahatan atau tertipu dengan seruan syaitan.


SIRI 277


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 4:  Huraian Iman Salikin


Dalil-dalil Berkenaan Ma'rifat Dan Cahaya Ketuhanan Yang Menerbitkan Tauhid

sambungan....



Firman Allah:


أَوَمَن كَانَ مَيْتًۭا فَأَحْيَيْنَـٰهُ وَجَعَلْنَا لَهُۥ نُورًۭا يَمْشِى بِهِۦ فِى ٱلنَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُۥ فِى ٱلظُّلُمَـٰتِ لَيْسَ بِخَارِجٍۢ مِّنْهَا 


“Dan apakah orang yang sudah mati (hatinya) kemudian Kami hidupkan dia dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap-gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya”.

[Al-An’am (6) : Ayat 122]


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:

"Dan apakah orang antara kamu yang sudah mati kerana kebodohan dan kekufuran lalu kami hidupkan dengan _Ma'rifat_ dan Iman serta kami beri dia cahaya yang membuatnya tengah-tengah orang banyak seraya memberi petunjuk serta penerangan (sama) seperti orang yang halnya, sifatnya dan keadaannya berada dalam kegelapan yang tumpang tindih, yakni gelapnya kebodohan, kekufuran dan kemaksiatan, sementara dia yakin bahawa dia dalam keadaan tidak dapat keluar dari sana lantaran tak habis-habisnya kegelapan itu lalu Allah Menyelamatkannya dari gelapnya kesesatan dengan Cahaya Hidayah serta Menunjukkinya ke jalan lurus".

[Tafsir Jilani]


Firman Allah:


وَمَن لَّمْ يَجْعَلِ ٱللَّهُ لَهُۥ نُورًۭا فَمَا لَهُۥ مِن نُّورٍ 


“Barangsiapa yang tiada diberi Cahaya oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun”.

[An-Nuur (24) : Ayat 40]


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu Anhu:

"Barangsiapa tidak memperoleh Cahaya (ketuhanan) di dunia, iaitu _Ma'rifat_ — pengetahuan tentang Ketuhanan maka dia tidak akan mendapatnya di Akhirat.  Juga dikatakan:  Barangsiapa tidak mendapat Kurnia Allah Keimanan, dia tidak akan mendapat Kurnia itu di Akhirat".

[Tafsir Ibn Abbas]


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:

"Barangsiapa tidak dijadikan oleh Allah, Sang Maha Pemberi Petunjuk kepada hamba-Nya menuju kemurnian Tauhid, baginya Cahaya berupa jazbah (tarikan) dan taufiq Allah yang menuntun orang-orang tersesat menuju Tauhid, maka tidak ada baginya, iaitu dengan dirinya sendiri dan semata-mata usaha dan upayanya, cahaya sedikit pun yang dapat menuntunnya kepada Dia Yang Maha Suci dan menghantarnya kepada cakerawala Tauhid-Nya".

[Tafsir Jilani]


SIRI 278


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 4:  Huraian Iman Salikin


Dalil-dalil Berkenaan Ma'rifat Dan Cahaya Ketuhanan Yang Menerbitkan Tauhid

sambungan....



Firman Allah:


أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدْرَهُۥ لِلْإِسْلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍۢ مِّن رَّبِّهِۦ


“Apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya (untuk) berserah diri lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang tertutup mata hatinya?)”.

[Az-Zumar (39) : Ayat 22]


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:

"Apakah sama orang yang Allah melapangkan hatinya untuk menerima Tauhid-Nya (yang sebenar — Tauhid hakiki) dan Dia beri taufiq untuk menerima Syari'at Islam dan tanda-tanda keagamaan yang mejelaskan dalil-dalil Keyakinan dan Tauhid, lalu dia, melalui perantaraan kelapangan dan Taufiq yang Allah Anugerahkan kepadanya di atas Cahaya:  maksudnya memperoleh Kasyaf (Pembukaan Ma'rifat) dan keyakinan yang sempurna dari Tuhannya, sehingga dia menjadi fana' di dalamnya, Baqa' dengan Baqa'-Nya, dan melihat dengan Cahaya-Nya.  Barangsiapa yang Allah mengunci mati hatinya dan mengunci mati pendengarannya serta penglihatannya, maka Dia membuat buta dari kemampuan melihat tanda-tanda yang menunjukkan kemestian Wujud-Nya, sebagaimana dia membuatnya tuli sehingga tidak mampu mendengar dalil-dalil Tauhidnya-Nya".

[Tafsir Jilani]


Rasulullah ﷺ bersabda:

“Takutlah akan firasat Mu’min, sesungguhnya dia melihat dengan cahaya Allah".

[Imam Tirmizi]

                      

Rasulullah ﷺ bersabda:

"Hati itu ada empat macam:  Pertama, qalbun ajrad (hati yang murni tak bernoda) di dalamnya seperti ada pelita yang bersinar.  Kedua, qalbun aghlaf (hati yang tertutup) yang terikat tutupnya.  Ketiga, qalbun mankuus (hati yang terbalik).  Keempat, qalbun musfah (hati yang terlapis).  Adapun qalbun ajrad adalah hati seorang Mu’min, pelita dalam hatinya adalah cahaya, qalbun aghlaf adalah hati orang kafir, qalbun mankuus adalah hati orang munafik, yang mengetahui kemudian mengingkari.  Qalbun musfah adalah hati yang di dalamnya bercampur iman dan nifaq, iman yang ada di dalamnya seperti tanaman yang disirami air yang segar dan nifaq yang ada di dalamnya seperti bisul yang disirami darah dan nanah, mana dari dua unsur di atas yang lebih kuat, maka itulah yang akan menguasai hatinya”.

[Imam Ahmad]


SIRI 279


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 




بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 4:  Huraian Iman Salikin



Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al

Sesungguhnya beruntunglah hamba-hamba Allah yang disucikan batinnya sehingga tercurah Nur Rabbaniyyah (Cahaya Ketuhanan) yang Tinggi ke dalam hatinya, sehingga diangkat ke Maqam Tauhid yang hakiki.  Tauhid yang hakiki ini disebut juga sebagai Iman Sejati atau Ma’rifat dan Ubudiyyah setulus hati. 


Inilah Tauhid dan Iman yang sebenar yang terbit dari hati yang benar-benar suci bersih dari segala bentuk kesyirikan atau mazmumah.  Hatinya bersinar bagaikan permata, memantulkan Cahaya Af’al, Asma’, Sifat dan Zat Allah.  Tauhid hakiki ini adalah semata-mata penghayatan hati dan ruh, dan BUKAN fiqir aqal.  Ia semata-mata pandangan mata hati hamba Allah yang terbuka kepada Ketuhanan yang Laisa-Kamithlihi-Syai’un (Tiada umpama sesuatu sepertinya).


Sebagaimana huraian kami terdahulu, Tauhid hakiki ini hanya akan dicapai oleh hamba-hamba Allah yang telah menempuh perjalanan jauh pada Jalan Ma'rifat (Manhaj Ahli Ma'rifat) dengan pimpinan Guru yang benar-benar 'Arif, iaitu Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar).  


Jika seseorang tidak menempuh jalan menuju Allah menurut Jalan _Ma'rifat_ dan tidak berpegang kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar) maka dia tidak akan mencapai Tauhid yang suci bersih ini.  Dia akan kekal sebagai orang awam dengan keimanan orang awam yang bergelumang di dalam kesyirikan — syirik khafi (syirik tersembunyi), mazmumah (kekejian hati), ghaflah (kelalaian), aghyar (selain Allah)!  Inilah hal keadaan kebanyakan orang Islam.  Keimanan mereka sentiasa bercampur aduk dengan segala macam kekufuran, sebahagiannya disedari dan sebahagian lagi berlaku tanpa disedari.  Walaupun mereka sedar akan segala macam kekotoran maknawiyyah berupa Syirik Khafi, mazmumah dan lain-lain, mereka tidak dapat keluar darinya kerana mereka tidak mempunyai jalan yang mampu keluarkan mereka daripada sekalian kekejian yang menghambat mereka!


Tanda Maqam Tauhid Af'al

Setiap orang yang sampai ke Maqam Tauhid Af'al, ada tandanya, yang akan dirasai sendiri.  Hamba-hamba Allah yang telah Di-Kurniakan oleh Maqam Tauhid ini akan merasai sendiri sejumlah bukti di dalam dirinya.  Hatinya dapat melihat dan merasai sendiri Kurnia Allah ini di dalam hatinya yang dipenuhi Cahaya gilang-gemilang.  


Berikut adalah tanda-tanda yang terang nyata menunjukkan seseorang telah sampai ke Maqam Tauhid Af'al.  


SIRI 280


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 




بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 4:  Huraian Iman Salikin


Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al

Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al

sambungan....



Tanda Pertama:  Terbuka mata hati menyaksikan Af'al Allah

Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid pertama ini akan menyaksikan sekalian Af'al (Perbuatan) Allah dengan pandangan ainul-basirah (mata hatinya) yang terbuka kepada Ketuhanan.  Dia akan diperlihatkan setiap yang bergerak atau diam pada haqiqatnya Af'al Allah.  Dia akan diperlihatkan pada setiap saat berlakunya Taqdir Allah ke atas dirinya dan sekalian makhluq.  Inilah permulaan Tauhid yang sebenar, Esakan Allah dengan pandangan mata hati yang jernih.    


Ketika berada pada tingkatan orang awam, dia hanya mengenal Af'al Allah dengan aqalnya, iaitu teori dan hujjah yang diterima aqal, namun sekarang dia saksikan sendiri Af'al Allah melalui pandangan mata hatinya, iaitu penyaksian melalui Cahaya Ketuhanan yang terang-benderang yang terlimpah ke dalam hatinya.  Ianya sebuah penghayatan hati dan ruh tanpa kaifiyyat atau cara untuk dikhabarkan. 


Keyakinan yang terhasil dari pandangan _ainul basirah_ (mata hati) ini yang dinamakan Ainul-Yaqin, iaitu sebenar-benar yakin tanpa keraguan sedikit pun, keyakinan yang disaksikan dengan pandangan mata hati, keyakinan yang terbit dari cahaya hati yang terhubung kepada Cahaya Ketuhanan.  Inilah keyakinan penuh — keyakinan 100% yakin tanpa sebarang keraguan.  Sedangkan di peringkat orang awam, keyakinannya cuma di peringkat Ilmul-Yaqin sahaja, iaitu keyakinan bercampur keraguan — bercampur-campur antara syak, zonn, waham.  


Perbandingan bagi memahami hal ini...

Misalnya seseorang meyakini "manis dan lazatnya buah durian" semata-mata berdasarkan khabar yang didengarinya atau teori atau _hujjah aqal_ yang diketahuinya sedangkan dia sendiri tak pernah melihat dan merasai kelazatannya, maka keyakinan seperti ini adalah kepercayaan yang rapuh, belum teguh, bercampur-campur dengan keraguan.  


Amat jauhlah perbezaannya dengan orang yang benar-benar "melihat sendiri buah durian" dan "merasai sendiri isinya yang lazat", baginya tiada keraguan sedikit pun berkenaan "buah durian" dan "kelazatan rasanya" kerana dia sudah merasai sendiri akan kebenarannya, bukan sekadar pengetahuan aqal atau khayalan atau teori semata-mata. 


Penyaksian kepada Af'al Allah dan Tauhid yang penuh yakin dalam hati dengan pandangan _Ainul-Yaqin_ ini adalah hasil terpenting dan tanda paling utama bagi orang yang sampai ke Maqam Tauhid pertama ini. 


Firman Allah:


أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدْرَهُۥ لِلْإِسْلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍۢ مِّن رَّبِّهِۦ


“Apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya (untuk) berserah diri lalu ia mendapat Cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang tertutup mata hatinya?)”.

[Az-Zumar (39) : Ayat 22]


Bersambung siri 281 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

 ________________________________

 MAJLIS TAZKIRAH JILANI

        🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 283 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ...