H5 : SIRI 161 - SIRI 200 : AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ

SIRI 161


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat


Pengenalan:

Sebagai peringatan semula:  

Matlamat Jalan Ma'rifat dan Mursyid adalah memimpin manusia Mengenal Allah, iaitu bertauhid kepada Allah dengan Tauhid yang hakiki dan Ubudiyyah kepada-Nya dengan tulus hati, yang juga disebut Ma’rifat, sehingga menjadi hamba Allah yang benar-benar Bertaqwa, di-Redhai dan di-Kasihi Allah.


Yang dimaksudkan dengan "Jalan Ma'rifat" adalah "Jalan Rasulullah",  "Manhaj Pendidikan Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah ﷺ " yang diwarisi turun-temurun oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah daripada Junjungan Nabi ﷺ, tanpa putus atau cacat cela, yang benar-benar terpelihara keaslian dan kesuciannya. 


Proses pencapaiannya adalah melalui “penyucian hati” daripada sekalian kekotoran ma'nawiyyah            (Syirik khafi, Mazmumah, Ghaflah, Aghyar). Pembinaan jiwa-jiwa murni yang bercahaya dengan cahaya Ketuhanan, sehingga akhirnya mencapai Ma'rifat (tauhid yang hakiki, keimanan sejati) dan Ubudiyyah (perhambaan) setulus hati. 


Sistem Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dengan kaedah Jalan Ma'rifat jauh beza dengan sekalian sistem Pendidikan ciptaan aqal manusia – perbezaannya bagaikan langit dan bumi.  Ini kerana Sistem Pendidikan Jalan Ma'rifat bersumber dari _Nur Nubuwwah_ (Cahaya Kenabian — Warisan Rasululullah ﷺ kepada para Sahabat Ridhwanullah) dan dipindahkan kepada Pewaris-pewaris Nabi seterus dan seterusnya dengan kaedah yang terpelihara keaslian dan kesuciannya sebagaimana kami huraikan sebelumnya.


Setelah kamu memahami hal demikian, maka fahamilah bahawa seluruh Manhaj Pendidikan Mursyid pada Jalan Ma'rifat sentiasa berdiri teguh di atas Syari’at dan Toriqat Rasulullah ﷺ serta di dalam Limpahan Cahaya Rabbaniyyah dan pimpinan Ruhaniyyah Rasulullah ﷺ.  Ertinya mereka tidaklah melakukan sesuatu melainkan setiap langkah mereka di dalam pimpinan Allah dan Rasul-Nya. 


Silibus Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq meliputi kaedah dan latihan-latihan khusus yang diwarisi dari Nabi ﷺ (Zahir dan Batin) bagi menyempurnakan matlamat tersebut.  Sebahagian daripada kaedah-kaedah tersebut disuratkan (ditulis di dalam kitab-kitab) tetapi sebahagian besar daripadanya tidak ditulis tetapi di dalam dada mereka (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq).  


Jika engkau bertanya mengapakah demikian? 

Maka jawapannya adalah : Sebahagian besar daripadanya tiada Bahasa untuk disuratkan kerana ia bersifat Haqiqat.  Ia semata-mata limpahan keruhanian dari dada Pewaris Nabi ke dalam dada Salikin. 


Sementara sebahagian lagi boleh disuratkan tetapi dilarang untuk menulisnya kerana rahsia Ketuhanan adalah haram disebarkan pada umum dan akhir sekali untuk mengelakkan daripada manusia awam menyalahgunakan ilmu tersebut untuk tujuan-tujuan jahat. 


Tiga Bentuk Latihan Khusus:


Kaedah dan latihan khusus pada Jalan Ma'rifat tertumpu kepada 3 bentuk yang juga merupakan 3 tingkatan Latihan:


Pertama  :  Zikrullah (berserta Solawat dan Taubat)

Kedua  :  Muraqabah

Ketiga  :  Musyahadah


Silibus bagi ketiga-tiga bentuk Latihan ini tersusun lengkap bermula dari peringkat Mubtadi (tingkatan permulaan), Mutawassit (pertengahan) dan Muntahi (tingkatan kesudahan).  Keseluruhan sistem ini hanya wujud pada Jalan Ma'rifat di tangan Mursyid Warisatul Anbiya yang Siddiq,  sebahagiannya disuratkan (ditulis di dalam kitab-kitab atau risalah-risalah) dan sebahagian lagi hanya wujud di dalam dada Pewaris Nabi (tidak disuratkan atau ditulis), sebagai suatu rahsia Ketuhanan yang menjadi Amanah terbesar atas Pewaris Nabi.  


Rahsia-rahsia Ketuhanan ini hanya akan dilimpahkan kepada manusia-manusia Terpilih khusus oleh Allah, yang benar-benar layak menerimanya. 


SIRI 162


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat

sambungan...



Silibus Pertama :  Zikrullah — 10 Tingkatan


(1) Zikir Lisan, lidah atau lafaz

Zikir ini adalah menyebut Ismuz - Zat (Nama-Nama Allah Yang Maha Agung) dengan keluarkan suara serta ingatan di dalam hati sanubari.  Iaitu menyebut dengan lidah akan Kalimah "Allah Allah"  atau  La-Ilaha-Illallah atau menyebut        "Ya Hayyu Ya Qayyum", atau Ya Qahhar, Ya Latiff, atau Nama-nama Allah yang lain berulang-ulang.


(2) Zikir Qalbi 

Semata-mata menyebut atau  mengingat Allah di dalam

hati sanubari tanpa lafaz lisan. Atau dikatakan : Mengingat 

Allah terus-menerus di dalam hati sanubari.  Iaitu mengulang-ulang Kalimah Allah Allah di dalam hati sanubari tanpa suara. 


(3) Zikir Lataif

(4) Zikir Nafi  Ithbat

(5) Zikir Wuquf Qalbi

(6) Zikir Nafas

(7) Zikir Ruhani

(8) Zikir Nurani

(9) Zikir Ruh

(10) Zikir Sirr


Setiap zikir di atas adalah Zikir Darjat (Zikir yang meningkatkan keimanan), yang mempunyai Syarat, Peraturan dan Kaifiyyat mengamalkannya.  Cara-cara amalkannya akan diajar oleh Mursyid yang memimpinnya sesuai dengan peningkatan keruhanian seseorang murid.



 Silibus Kedua :  Muraqabah — 7 Tingkatan

Maksud Muraqabah :  Merenung kepada Allah Ta'ala menurut kaifiyyat dan syarat-syaratnya.  

Atau dikatakan :  Menunggu petunjuk Allah pada lataif tertentu menurut syarat dan kaifiyyatnya. 


Dalil Muraqabah:


Firman Allah Ta'ala:


وَٱذۡكُرِ ٱسۡمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلۡ إِلَيۡهِ تَبۡتِيلاً۬

"Sebut olehmu akan nama Tuhanmu dan renung olehmu kepada Tuhanmu dengan sebenar-benar renungan (muraqabah)"

[Al-Muzzaammil (73) : Ayat 8]


Tujuh Tingkatan Muraqabah:

(1) Muraqabah Ahadiyyah

(2) Muraqabah Ma'iyyah

(3) Muraqabah Aqrabiyyah

(4) Muraqabah Ma'budiyyah

(5) Muraqabah Mahabbah

(6) Muraqabah Zat Sarfi — 8 cabang

(7) Muraqabah Zat Mutlaq — 8 cabang



Silibus Ketiga :  Musyahadah — 6 Tingkatan


Maksud Musyahadah :  Memandang Zat Allah yang Laisa Kamithlihi Syai'un, mengikut syarat dan kaifiyyat tertentu. 


Dalil Musyahadah:


Rasulullah ﷺ bersabda:


أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

"Ihsan ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya.  Jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia (Allah) melihat engkau"

[Imam Muslim, Imam Abu Dawud, Imam Tirmizi, Imam Ahmad]


Enam Tingkatan Musyahadah:


(1) Musyahadah Mutlaq

(2) Musyahadah Mujalisah

(3) Musyahadah Mutoli'ah

(4) Musyahadah Mukafahah

(5) Musyahadah Muqobilah

(6) Musyahadah Mukasyafah



SIRI 163


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat

sambungan...



Cara Perlaksanaan Latihan


Kesemua macam latihan dilaksanakan dalam 3 bentuk:

(1) Zikir Sendirian

(2) Tawajjuh — Zikir berjemaah

(3) Suluk — Khilwah asingkan diri beberapa waktu tumpukan pada Ibadah



Peringatan (Amaran):


1. Setiap Zikir, Muraqabah dan Musyahadah tersebut mempunyai adab, syarat, peraturan dan kaifiyyat tersendiri.  Semua ini adalah Ijtihad Ahli Ma'rifat berdasarkan Al Qur'an, Hadith dan Ijma Qias Ulama Mu'tabar. Rahsia-rahsia Zikir, Muraqabah dan Musyahadah tersimpan rapi di dalam diri Pewaris Nabi (Ahli Sufi atau Mursyid yang Siddiq).  Tidak diajar melainkan kepada mereka yang benar-benar sedia mematuhi adab-adab dan syarat-syaratnya.


2. Murid yang telah sampai ke Maqam tertentu untuk amalkannya (sebagaimana diajar oleh Mursyidnya), maka dilarang keras sebarkan kaifiyyat tersebut kepada yang bukan ahlinya dan dilarang mengajarkannya kepada murid lain melainkan disuruh oleh Mursyidnya.  


3. Orang awam yang belum Bai'at dengan Mursyid yang Siddiq atau murid yang belum sampai ke Maqam tersebut dilarang keras amalkan mana-mana zikir atau Muraqabah atau Musyahadah. 


4. Murid yang sudah putus Bai'atnya, akibat beberapa pelanggaran, maka dia juga dilarang amalkannya.


SIRI 164


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat

sambungan...



Zikir Allah Allah


Berikut adalah fakta, dalil dan kaedah-kaedah Zikrullah di dalam Jalan Ma'rifat menurut pendirian Ahlus Sunnah wal Jamaah. 


Sebahagian orang jahil, termasuk di dalamnya beberapa orang Profesor dan mufti jahil menafikan Zikir Allah Allah.  Mereka mengatakan Zikir Allah Allah itu tak wujud dan menuduhnya sebagai Bid'ah sesat.  Maka menjadi kewajipan pada kami huraikan sedikit darihal Zikrullah, khususnya "Zikir Allah Allah" yang menjadi teras Jalan Ma'rifat.  Moga Ummat akhir zaman tidak menjadi sesat akibat terpengaruh dengan dakyah-dakyah yahudi dan Wahhabi.


Satu masa dahulu golongan ini sangat galak menuduh sambutan Maulid Nabi, Majlis Tahlil, Zikir kuat, Tasawwuf, Toriqat Rasulullah, Ziarah Kubur, Ziarah Maqam Rasulullah, dan lain-lain sebagai bid'ah sesat.  Kini mereka datang dengan dakyah baru, mempertikaikan zikir Allah Allah.  Anehnya kali ini mereka tidak lagi melempar istilah "bid'ah sesat" seperti tradisi dakyah mereka.  Barangkali ini strategi baru, kerana strategi lama mengudang kecaman Ummat Islam.  Orang-orang yang sewenang-wenang melemparkan tuduhan sesat, khurafat, bid'ah sesat kepada amal ibadah Ahlus Sunnah tidak asing lagi.  Mereka adalah Kaum muda, Najdiyyah, Wahhabiyyah, Khawarij moden, 


Apa yang jelas serangan mereka terhadap Ahlus Sunnah kali ini benar-benar memperlihatkan kebodohan mereka, bahkan ini kebodohan melampau.  Mereka "menggali kubur" sendiri apabila mereka mempertikaikan " Zikir Allah Allah" kerana "Zikir Allah Allah" itu pada hakikatnya adalah "Zikrullah", iaitu Zikir mengingat Allah di dalam hati terus-menerus.  Dan ini merupakan Perintah Allah dan Sunnah Agung Rasulullah ﷺ yang tiada sebarang pertikaiannya.  Ini bermakna tanpa disedari mereka telah menentang Allah dan Rasul-Nya. 


Masih keliru?  

Perhatikan sekali lagi.  Sama ada kamu menyebut perkataan  "Zikir Allah", atau kamu sebut "Zikir Allah Allah", atau "Zikir Allah Allah Allah" atau kamu panjangkan lagi seberapa banyak pun kamu mahu, pengertiannya tetap sama saja kembali kepada maksud yang satu.... ZIKRULLAH...!    


Apabila disebut "Zikrullah", maksudnya adalah " Zikir akan Allah" atau  "Mengingat Allah di dalam hati berulang-ulang"  atau "kamu ingat Allah terus-menerus tanpa putus".  Inilah konsep Zikrullah yang dipegang oleh Ahlus Sunnah, yang menjadi pegangan dan amalan berkurun lamanya sampai ke saat ini, terus-menerus diamalkan oleh Ummat Islam seluruh dunia. 


Menurut Ahli Ma'rifat, Kalimat "Allah" adalah Lafzul-Jalalah, Kalimat Paling Agung, Kalimat Paling Sempurna, Kalimat  Paling Tinggi, Paling Suci, yang membukakan pintu-pintu Tauhid, pintu Hadratul-Quddus dan Mukasyafah.  


SIRI 165


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat

sambungan...


Zikir Allah Allah

sambungan....



Fakta-Fakta Penting Zikir Allah  


Berikut adalah Fakta-fakta penting berhubung dengan Zikrullah, iaitu Zikir Allah Allah atau maksudnya :  Ingat Allah terus-menerus di dalam hati.


Fakta 1: Perintah Allah yang Mutlaq

Allah Ta'ala Perintahkan orang beriman supaya Zikir kepada Allah dengan Zikir yang sebanyak-banyaknya, ertinya Ingat Allah dalam hati tanpa putus.  (Akan datang penjelasan)


Fakta 2: Ingat Allah terus-menerus di dalam hati

Menurut pendirian Ahlus Sunnah, yang dikehendaki dengan "Zikrullah" atau "Zikir Allah Allah" adalah :  "Mengingat Allah terus-menerus di dalam hati".


Fakta 3:  Tanda Mu'min

Telah Ijma' Ulama bahawa di antara tanda-tanda orang beriman adalah melakukan Zikrullah yang banyak, sedangkan orang yang malas berzikir atau sedikit zikirnya adalah tanda-tanda kemunafikan.  Wal Iyazubillah.  


Fakta 4:  Tradisi Ahlus Sunnah turun-temurun

Berdasarkan kenyataan sejarah, sekalian Ahli Silsilah Rasulullah ﷺ  amalkan Zikir Allah Allah, selain daripada Zikir _La Ilaha Illallah_ serta zikir lain. 


Fakta 5:  Zikir Allah Allah — Ibadah Teragung

Zikir Allah Allah, Ingat Allah di dalam Hati terus- menerus merupakan Ibadah teragung kerana selain dari menjadi Ibadah yang tersendiri, ia meresap ke dalam setiap Ibadah dan menjadikannya "hidup".  Ibadah yang tiada Zikir (Ingat Allah Allah) di dalamnya adalah Ibadah yang kosong hampa, tiada nilai di Sisi Allah.


Fakta 6:  Orang yang Zikir Allah orang yang hidup

Orang yang berzikir Allah adalah orang yang hidup (hatinya hidup menghadap Allah) sedangkan orang yang lalai dari Zikrullah adalah bagaikan orang yang mati (mati hatinya).


Fakta 7 :  Zikir Allah sucikan hati

Zikir Allah Allah yang teguh di dalam hati menyucikan hati dari daripada sekalian kekotoran dan kekejian, terutama Syirik khafi dan sifat mazmumah yang menjadi punca kebinasaan orang islam.  Zikrullah adalah pencuci bagi hati yang telah berkarat dengan dosa-dosa. 


Fakta 8 :  Zikirullah membuahkan khusyu’ di dalam Solat

Zikir Allah terus-menerus menurut disiplin Toriqat atau Jalan Ma'rifat akan menghidupkan hati dan menjadikan seseorang khusyu’ di dalam Solat.


Fakta 9 :  Zikrullah Sampai kepada Allah 

Telah sepakat Ulama Ahlus Sunnah, seseorang tidak akan sampai kepada Allah (sampai kepada Tauhid hakiki) melainkan melazimkan Zikrullah yang banyak menurut disiplin Jalan Ma'rifat.


Fakta 10:  Silsilah pengambilan sampai Rasulullah ﷺ

Fakta ini adalah di antara hujjah-hujjah terkuat menjadi bukti Zikir Allah.  Sekalian Mursyid, Pewaris Nabi yang hidup masa ini mempunyai Silsilah pengambilan "talqin Zikir Allah Allah" diterima daripada Gurunya, dan daripada Gurunya kepada Gurunya sampai kepada Sayyidina Abu Bakar atau Sayyidina Ali Ridhwanullah dan akhirnya sampai kepada Junjungan Besar Rasulullah ﷺ yang Baginda menerima dari Sahibul Wahi Jibril Alahis Salam dan Jibril menerima Perintah Allah Jalla Jalaluh. 

Ertinya khabarnya mutawathir, yang tidak boleh diingkari kerana wujudnya banyak sekali Mursyid-Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq seluruh dunia, yang terpercaya, dan tak mungkin mereka berpakat untuk menipu. 


Sekalian fakta-fakta ini akan dijelaskan pada lembaran akan datang.  In shaa Allah.  Baca dengan teliti dan cuba memahaminya.


SIRI 166


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat


Zikir Allah Allah

sambungan....



Definisi Zikir Allah

===============


Dari segi bahasa:

Zikrullah terdiri dari dua rangkaikata :  "Zikir " dan "Allah", maka keseluruhan pengertiannya adalah :  Ingat Allah.


Dari segi Istilah:

Zikrullah adalah mengulang-ulang Kalimah "Allah" atau  Kalimah "La Ilaha Illallah" atau Asma' Allah (Nama-Nama Allah yang Maha Agung dan Indah-Indah) yang lain dengan lisan berserta ingatan kepada Allah di dalam HATI.   Atau  Semata-mata Mengingat Allah di dalam HATI terus-menerus.  


Perhatian:

Orang yang melafazkan Kalimat Zikir dengan lidah tetapi hatinya lalai, tidak mengingat Allah, maka tidaklah dinamakan Zikrullah. 


Zikir Hasanah:

ZIkir Hasanah adalah Zikrullah yang dilaksanakan tanpa sebarang kaifiyyat (cara), syarat dan adab tertentu.  Ini adalah cara orang awam berzikir, iaitu tanpa peraturan khusus.  Orang yang megerjakan Zikir umum ini akan memperoleh pahala tetapi TIDAK meningkat Iman atau Tauhid atau Taqwanya.


Zikir Darjat:

Zikir Darjat adalah Zikir yang mempunyai kaifiyyat (cara), syarat, peraturan dan adab-adab tertentu sebagaimana diterima dan diwarisi dari Junjungan Besar Rasulullah ﷺ oleh sekalian Imam-Imam Ahlus Sunnah secara  _mutawatir_.  Zikir seperti ini (yang dilaksanakan dengan kafiyyat dan syarat-syaratnya) akan membawa kepada kesucian hatinya, meningkatkan TAUHID atau IMAN atau TAQWA seseorang.  Dia akan di-Kurniakan oleh Allah kefahaman yang mendalam tentang Agama, dia akan menjadi lebih khusyu’ di dalam solatnya serta  memperoleh ketenangan di dalam seluruh kehidupannya.  Inilah Zikir yang dituntut ke atas setiap orang beriman. 


Fokus penting di sini yang kita ingin bincangkan adalah :

Dari definisi Zikrullah kita faham :  Yang dikehendaki dengan "Zikir Allah Allah" adalah "Zikrullah", iaitu "mengingat Allah di dalam hati terus-menerus tanpa putus".  Atau dikatakan : Mengulang-ulang Kalimat "Allah" di dalam hati terus-menerus.  Dan ini Perintah Allah yang wajib sebagaimana akan datang penjelasannya. 


Maka sebagaimana kami terangkan pada awal risalah, hal ini bukan suatu yang pelik atau baru kerana Zikrullah atau Zikir Allah Allah adalah Tradisi Ahlus Sunnah turun-temurun, mulai daripada Rasulullah ﷺ, kemudian dilanjutkan oleh para Sahabat, kemudian Tabiin, kemudian Tabiit Tabiin, kemudian Imam-Imam Ahlus Sunnah sampai ke saat ini masih terus diamalkan oleh sekalian pendokong Ahlus Sunnah.  


Bahkan, Zikrullah bukan suatu yang bersifat sampingan tetapi sebagai kewajipan setiap orang beriman sehingga dikatakan orang yang berzikir dengan zikir yang banyak adalah sebenar orang beriman sedangkan orang yang malas berzikir adalah menunjukkan wujudnya sifat munafiq di dalam hatinya atau dikatakan : Hatinya hampir mati akibat karat kekufuran dan kekejian.  Wal Iyazubillah. 


Jika kamu memahami hakikat  ini, maka semua kekeliruan yang cuba dibangkitkan oleh Golongan jahil dapat dihapuskan.


SIRI 167


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat


Zikir Allah Allah

sambungan....



4.0 Dalil Al-Qur'an Perintah Zikir Allah


Dalil  1:  Firman Allah Ta'ala:


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ ذِكۡرً۬ا كَثِيرً۬ا 

"Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.

[Al-Ahzab (33) : Ayat 41]


Berkata Ibn Abbas Radiallahu‘anhu:

"Allah Ta'ala tidak mewajibkan atas hamba-Nya hal-hal yang fardhu, kecuali yang telah diketahui olehnya.  Dan orang yang meninggalkan fardhu-fardhu tersebut kerana alasan tertentu boleh dimaafkan,   kecuali Zikrullah.  Zikir kepada  Allah tidak memiliki batas, dan tidak ada alasan bagi seseorang untuk meninggalkannya kecuali dia kehilangan aqal.  Manusia di-Perintahkan untuk berzikir kepada Allah dalam segala kesempatan."

[Tafsir Ibnu Abbas]


Berkata Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Radhiallahu anhu:

"Ya anakku, adapun hukum Zikir Allah itu adalah wajib, seperti Firman Allah di dalam Surah Al-Ahzab, ayat 41."

[Risalah Ma'rifat ; bab Zikrullah]


Berkata Imam Ibnu Jarir At-Tabari Radhiallahu anhu:

"Maksud ayat ini adalah, wahai orang-orang beriman, sebutlah Allah dengan hati, lidah, dan tubuh kalian dengan sebutan yang banyak.  Janganlah tubuh kalian berhenti dari berzikir kepada-Nya menurut kesanggupan kalian."

[Tafsir Tabari]


Kata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

"Orang yang banyak berzikir kepada Allah itu adalah panggilan untuk seseorang yang berzikir secara tulus ikhlas dari hatinya, sedangkan orang yang sedikit berzikir (kepada Allah) adalah orang yang memiliki tanda-tanda orang munafiq.  Kerana dia hanya berzikir dengan lisan dan bertujuan untuk dilihat oleh orang lain sahaja."

[Tafsir Qurtubi]


Penjelasan:

(1) Perintah Allah di atas menyuruh orang-orang beriman Zikir Allah dengah Zikir yang banyak.  Zikir yang banyak bermaksud tiada had atau batas dan diperintah terus -menerus di dalam semua keadaan.


(2) Ayat ini perintahkan Zikrullah, ertinya Zikir ingat Allah, sama ada dengan lisan (berserta ingatan di dalam hati akan Allah) atau semata-mata Ingat Allah di dalam hati. 


(3) Perintah Allah ini menyebut Zikir kepada Allah dengan zikir yang banyak, ertinya apa saja lafaz Zikir yang membawa ingat kepada Allah.  Sama ada kamu zikir dengan _smuz-Zat, iaitu "zikir Allah"  atau "La-ilaha-Illallah"  atau kamu berzikir dengan ismus-Sifat, iaitu Sifat Allah dengan menyebut Asma Allah yang Maha Sempurna, seperti :  Ya Latiff, Ya Qahhar, Ya hayyu Ya Qayyum dan lain-lain semuanya menuju kepada hakikat Zikrullah, iaitu ingat Allah terus-menerus.


(4) Daripada Tafsiran Ibnu Abbas yang tersebut tadi, kita memahami adalah wajib atas setiap orang beriman melakukan Zikrullah dengan sebanyak-banyaknya dan di dalam semua keadaan. Bagaimana cara menyempurnakan kewajipan ini?


Pertama : Diperintah berzikir sebanyak-banyaknya.


Kedua :  Diperintah Zikir di dalam semua keadaan.  (ertinya ketika berjalan, duduk, berbaring, ketika makan minum, ketika bekerja cari rezeki... bahkan semua keadaan)


Apakah mungkin seseorang mampu berzikir dengan zikir yang banyak dan pada masa yang sama dilakukan di dalam semua keadaan?  Kedua-dua ini tak mungkin dilakukan oleh seseorang melainkan dengan Zikir khafi, iaitu Zikir Allah Allah di dalam hati atau maksudnya : Ingat "Allah" terus-menerus di dalam hati."  Ini bermakna Zikrullah yang diwajibkan atas setiap orang beriman adalah Zikir Allah Allah di dalam hati.


(5) Menurut keterangan Ulama di atas juga, kita dapat faham ayat Allah ini berikan isyarat bahawa di antara tanda orang beriman dengan keimanan yang benar adalah dia melakukan Zikrullah dengan zikir yang banyak sementara orang berzikir sedikit atau malas berzikir adalah tergolong ke dalam orang yang mempunyai sifat munafiq.


SIRI 168


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat


Zikir Allah Allah

sambungan....


Dalil 2: Firman Allah:


وَٱذۡكُر رَّبَّكَ فِى نَفۡسِكَ تَضَرُّعً۬ا وَخِيفَةً۬ وَدُونَ ٱلۡجَهۡرِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأَصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ 


"Dan ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut ) dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai."

[Al-A'raf (7) :  Ayat 205]


Kalam Allah ini hampir serupa seperti Wahyu pertama yang memerintah : Sebut atau ingat Tuhanmu...!

Apakah nama bagi  Rabb  (Tuhan )  yang disuruh ingat atau Zikir pada-Nya?

Apakah nama Paling Agung bagi Tuhan yang menciptakan ?

Nama Paling Agung atau disebut  Ismul A'zhom  iaitu "Allah" ...!

Maksud keterangan di sini:

 " Zikirlah Allah di dalam hati terus-menerus.”


Berkata Imam Fakhruddin Ar-Razi Radhiallahu anhu

 (Mujaddid kurun ke 6 Hijrriyyah) :

"Berdasarkan ayat 205 al-A’raf ini, Rasulullah ﷺ (dan Ummat Baginda) diwajibkan berzikir dalam hati  (senyap —tanpa  suara) dengan ingatan Allah,  Allah, Allah terus- menerus sepanjang waktu siang dan malam.  Kalimat  ini  " بِٱلۡغُدُوِّ  "     mewakili seluruh waktu siang dan  kalimat "  وَٱلۡأَصَالِ  "    mewakili seluruh malam"

[Tafsir Al-Kabir / Tafsir Ar-Razi]


Berkata Imam Ibn Jarir At-Tabari Radhiallahu anhu:

"Kata Mujahid, ertinya adalah : Perintahkanlah kepada mereka (orang beriman) agar berzikir kepada Allah di dalam dada (hati) dengan sikap merendahkan diri dan perasaan takut.  Kata Hasan bin Yahya : Allah berfiman, 'Jika hamba-Ku mengingat-Ku di dalam dirinya, maka Aku mengingatnya di dalam diri-Ku.  Jika hamba-Ku mengingat Aku sendirian, maka Aku mengingatnya dalam kesendirian-Ku.  Jika dia mengingat-Ku dalam kelompok, maka Aku mengingatnya dalam kelompok yang lebih baik dan lebih mulia dari mereka."

[Tafsir At-Tabari]


Berkata Ibnu Kathir Radhiallahu anhu:

"Allah Memerintahkan agar Dia di-Zikirkan (ingat Allah) lebih banyak pada waktu pagi-pagi dan petang-petang"

[Tafsir Ibnu Kathir]


Tafsir Jalalain:

"Dan zikirlah kepada Allah di dalam diri kamu (hati kamu), iaitu secara senyap dan di dalam keadaan takut rendah diri."

[Tafsir Jalalain]


Berkata Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Radhiallahu anhu:

"Ya anakku, difahamkan pada ayat ini oleh menyuruh oleh Allah (Zikrullah) dan akhirnya menegah daripada lalai. (lalai dari Zikir Allah) adalah zikir khafi (dalam hati) itu wajib sepenuh masa."

[Risalah Ma'rifat : bab Zikrullah]


SIRI 169


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat


Zikir Allah Allah

sambungan....



Dalil 3:  Firman Allah:


وَٱذۡكُرِ ٱسۡمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلۡ إِلَيۡهِ تَبۡتِيلاً۬   


"Zikirlah akan nama Tuhanmu dan renunglah kepada-Nya dengan sungguh-sungguh renungan (muraqabah)"

[Al-Muzammil (73) : Ayat 8] 


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

"Perintah Allah ini juga bermaksud Ingat kepada Allah (Zikrullah) dan ingat kepada Keesaan-Nya.  Dan ikhlaslah di dalam solat, doa dan setiap ibadah yang kamu kerjakan."

[Tafsir Ibnu Abbas]


Berkata Imam At-Tabari Radhiallahu anhu:

"Allah Perintahkan Rasululullah ﷺ (dan sekalian orang beriman) : Sebutlah nama Tuhanmu, berdoalah dan ibadah kepada-Nya dengan penuh ketekunan."

[Tafsir Tabari]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

"Sebutlah nama Tuhanmu dan berdoalah dengan menggunakan Nama-Nama-Nya yang Agung (Asmaul-Husna) dan gunakan seluruh waktumu untuk beribadah kepada Allah dan jangan sekutukan Allah dengan yang lain."

[Tafsir Qurtubi]


Berkata Imam Muhaddith  Shaikh Thana-Ullah Uthmani Radhiallahu anhu:

"Ketahuilah ayat ini memerintahkan berulang-ulang menyebut nama Tuhan Yang Maha Agung iaitu zikir Allah, Allah"

[Tafsir Mazhari]


Berkata Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu:

"Dan sebut oleh kamu akan nama Tuhanmu (Perintah zikir Allah) dan renungi olehmu kepada-Nya dengan sebenar-benar renungan, ya'ni muraqabah, bukan fikir aqal."

[Risalah Ma'rifat : bab Zikrullah]




SIRI 170


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat


Zikir Allah Allah

sambungan....



Dalil  4: Firman Allah:


        وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَڪۡبَرُ‌  


"...dan Zikir Allah itu sebesar-besar ibadah ..... "

[Al-Ankabut (29) : Ayat 45]    


Menurut Tafsiran Ibnu Abbas dan Ulama Ahlus Sunnah lainnya, Ayat tersebut membawa beberapa pengertian :


(1) Zikrullah (Ingat Allah, sebut Nama Allah, tafakkurkan Nama Allah) adalah sebesar-besar Ibadah.  Orang yang tekun mengerjakan ibadah Zikrullah siang malam tanpa berhenti dgn penuh ikhlas dan menurut adab, hukum dan kaifiyyatnya, maka dia akan memperoleh  darjat kedudukan paling tinggi di Sisi Allah. 


(2) Setiap ibadah yang dikerjakan dengan Zikrullah (ingat Allah) di dalamnya,  maka ibadah tersebut adalah ibadah yang terlebih baik, sempurna yang memperoleh Redha Allah.  Ibadah yang tiada Zikir di dalamnya adalah "kosong" dan "kerugian". 


(3) Ingatan Allah terhadap hamba-hamba-Nya yang Zikrullah (mengingat Allah) adalah lebih utama.  Ertinya Limpahan Rahmat dan Inayah (pertolongan Allah) terhadap hamba-hamba-Nya yang Zikrullah adalah jauh lebih hebat dari ingatan hamba kepada Tuhannya.  Hamba cuma buat sedikit tetapi Allah Taala melimpahkan Rahmat yang banyak.


Tafsiran-tafsiran tersebut menepati Hadith-Hadith berikut:



Firman Allah di dalam Hadith Qudsi:


Sayyidina Abu Hurairah  رضي الله عه berkata; Rasulullah ﷺ bersabda :  Allah Ta’ala berfirman;

“Sesungguhnya Aku adalah sebagaimana yang disangkakan oleh hamba-Ku terhadap-Ku, adalah Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku, jika dia mengingati Aku di dalam dirinya maka Aku mengingatinya di dalam Diri Ku dan jika dia mengingati Aku dalam jemaah maka Aku ingati dia dalam jemaah yang lebih baik ( jemaah para malaikat ). Apabila hamba-Ku mendekati-Ku sejengkal maka Aku dekati dia sehasta.  Apabila dia mendekati Aku sehasta maka Aku dekati dia sedepa, dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan maka Aku dekati dia dengan berlari.”

[ Imam Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi]


dan Hadith ini...


Rasulullah ﷺ bersabda:

Abu Darda Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ  bertanya kepada para  Sahabatnya: “Mahukah daku khabarkan kepada kamu mengenai sebaik-baik amalanmu yang amat suci di Sisi Allah yang meninggikan darjatmu ke peringkat yang tertinggi sekali, yang lebih mulia daripada menafkahkan emas dan perak di Jalan Allah, yang lebih utama daripada menghadapi musuh di tengah- tengah medan jihad, maka kamu tanggalkan lehernya atau mereka menanggalkan lehermu?  Para Sahabat berkata, “Bahkan, apakah itu Ya Rasulullah?”  Nabi ﷺ bersabda : “Zikrullah.”

[Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi]


Peringatan:

Tetapi Zikrullah bagaimana yang Rasulullah ﷺ maksudkan itu ?  Sudah tentu Zikrullah itu adalah Zikir darjat iaitu Zikir  yang mempunyai kaifiyyat, (cara) peraturan, syarat dan adab-adab tertentu yang diwarisi dari Junjungan besar Rasulullah ﷺ.   


Semua ini, iaitu Kaifiyyat,  peraturan,  syarat dan adab-adab ini ada di tangan Sekalian Pewaris Rasulullah ﷺ — Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Ianya diwarisi dengan cara yang amat seni dan selamat dan terpelihara kesucian serta keasliannya. 


SIRI 171


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat


Zikir Allah Allah

sambungan....



Dalil  5: Firman Allah:


وَٱصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِٱلْغَدَوٰةِ وَٱلْعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُۥ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُۥ عَن ذِكْرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًۭا 


"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan petang hari dengan mengharap Keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.”

[Al-Kahfi (18 ) : Ayat 28]


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

“Allah Ta’ala Memerintahkan Rasulullah ﷺ sentiasa berserta orang-orang yang menyeru kepada Allah (Zikir kepada Allah), pagi dan petang, yang dimaksud di sini adalah Sayyidina Salman Al-Farisi berserta Sahabat lain (Ahlus Suffah yang miskin dan dhaif) yang mengharap Keredhaan Allah dan jangan berpaling dari mereka kerana mengharap perhiasan dunia yang ditawarkan oleh kaum kafir Quraisy, maksud di sini Uyaynah Ibn Hisn al-Fazari,”

[Tafsir Ibn Abbas]


Berkata Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu:

“Ayat ini memerintahkan agar orang beriman berserta dengan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq, yang mereka itu sentiasa berzikir kepada Allah pagi dan petang (iaitu setiap masa berzikir dan Ubudiyyah kepada Allah semata-mata kerana mencari Keredhaan-Nya).”

[Risalah Ma’rifat]


SIRI 172


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat


Zikir Allah Allah

sambungan....



Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

“Firman Allah ini sama dengan Firman Allah di dalam Surah Al-An’am ayat 52:   

  وَلَا تَطْرُدِ الَّذِيْنَ يَدْعُوْنَ رَبَّهُمْ بِالْغَدٰوةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيْدُوْنَ وَجْهَهٗ ۗ

Dan janganlah engkau mengusir orang-orang yang menyeru kepada Tuhannya (berzikir dan beribadah) pagi dan petang (terus-menerus), sedang mereka menghendaki Keredhaan Allah semata-mata.” 


Salman Al Farisi Radhiallahu anhu berkata, "Datang seorang mu'allaf kepada Rasulullah ﷺ iaitu: Uyainah bin Hasn dan Al-Aqra' bin Habis, lalu berkata;  ‘Wahai Rasulullah, sungguh jika Engkau duduk di tengah-tengah ini dan engkau sandarkan kami kepada mereka para roh sengsara.  (Yang mereka maksud adalah Sayyidina Salman Al-Farisi, Abu Zar dan orang-orang miskin dari kalangan kaum Muslimin), kerana pada mereka jubah dari bulu dan tidak ada yang lain (hal keadaan mereka yang sangat dhaif dan miskin).  Maka kami duduk dekat denganmu, kami berbincang dengan engkau dan kami mengambil apa-apa daripada engkau. Maka turun Firman Allah ini : [Al-Kahfi : Ayat 27,28,29] 

Maka bangunlah Nabi ﷺ untuk mencari mereka (iaitu mereka yang Allah Ta’ala Perintah supaya berserta dengan orang-orang menyeru kepada Allah pagi-pagi dan petang-petang), hingga mendapati mereka di bahagian hujung Masjid hal keadaan mereka sedang berzikir kepada Allah, lalu Baginda bersabda, “Segala Puji bagi Allah yang belum mematikanku hingga Memerintahkan kepadaku agar bersabar dengan orang-orang dari Ummatku, bersama-Mu di dalam kehidupan dan Bersama-Mu di dalam kematian.”


Menurut Imam Al-Hasan :  وَلَا تَعْدُ عَيْنٰكَ عَنْهُمْۚ  Jangan kedua matamu melampaui mereka (jangan abaikan mereka dan jangan meremehkan mereka) semata-mata kerana mencari keindahan dunia.  


Pendapat lain mengatakan:  Jangan mencela mereka (jangan menghina mereka disebabkan kemiskinan mereka atau kerana mereka hanya memakai pakaian lusuh).


Dari Adh-Dhahhaq, dari lbnu Abbas, Perintah Allah  “ وَلَا تُطِعْ مَنْ اَغْفَلْنَا قَلْبَهٗ عَنْ ذِكْرِنَا “ adalah larangan mengikuti permintaan Umayyah bin Khalaf Al-Jumahi. Orang ini meminta kepada Nabi ﷺ agar Baginda jauhkan Sahabat Baginda yang miskin (ahlus-suffah) yang sentiasa Bersama Baginda agar tokoh-tokoh Quraisy dapat mendekat kepada Baginda.  Golongan kafir Quraisy ini adalah فُرُطًا , iaitu melampau batas, lalai, fasiq dan zalim. 

[Tamat Nukilan Tafsir Qurtubi]


SIRI 173


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat


Zikir Allah Allah

sambungan....




Asbabun-Nuzul:

Sebab turun Firman Allah ini disebutkan oleh Imam Qurtubi di bahagian lain Tafsirnya iaitu Surah Al-An’am ayat 52.  Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu. (Beliau mengutip kata-kata Ibn Abbas dan lainnya) :

Orang-orang musyrik berkata kepada Nabi  ﷺ, "Kami tidak sudi duduk dengan orang orang seperti mereka, iaitu  Sayyidina Salman Al-Farisi, Shuhaib, Bilal dan Khabab Ridhwanullah Alaihi Ajmain duduk berserta dengan Baginda, maka mereka berkata :  “Usirlah mereka dari sisimu.”


Orang-orang musyrik itu menuntut Rasulullah ﷺ agar mencatat hal itu untuk mereka, sehingga Baginda pun berniat untuk melakukan hal itu.  Baginda kemudian memanggil Ali untuk mencatit.  Lalu orang-orang miskin tadi (sahabat ahlus suffah) berdiri dan duduk di suatu sudut.  Allah kemudian menurunkan ayat ini.  Oleh kerana itu Sa’d memberi isyarat dengan perkataannya : "Maka muncullah di hati Rasulullah ﷺ apa yang Allah Kehendaki untuk muncul." 


Pada waktu itu, Nabi ﷺ condong untuk melakukan hal itu karena mengharapkan keislaman orang-orang musyrik itu, juga keislaman kaum mereka.  Baginda berpendapat bahawa tindakan tersebut tidak sedikit pun akan menyisihkan para sahabat Baginda, dan juga tidak akan merendahkan darjat mereka, sehingga Baginda pun condong kepada hal itu.  Allah kemudian menurunkan ayat ini.  Dalam ayat ini, Allah melarang Baginda melakukan apa yang menjadi niat Baginda, iaitu hendak menyisihkan mereka, bukan mengusir mereka. 


Muslim meriwayatkan dari Sa'd bin Abi Waqas dia berkata, "Kami ber-enam pernah bersama Rasulullah ﷺ, maka datang orang-orang musyrik kemudian berkata kepada Baginda : “Usirlah mereka dari sisimu, agar mereka tidak berani terhadap kami."  Sa'd bin Abi Waqas berkata:  "Saat itu aku bersama dengan Ibnu Mas'ud, seorang lelaki Hudzail, Bilal, dan dua orang (lainnya)  yang aku tidak dapat menyebutkan nama mereka.  Maka muncullah di dalam hati Baginda apa yang Allah Kehendaki untuk muncul, sehingga Baginda berbicara kepada jiwa Baginda.  Allah Azza Wa Jalla kemudian menurunkan ayat ini.”

[Tamat Nukilan Tafsir Qurtubi]


SIRI 174


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat


Zikir Allah Allah

sambungan....



Penjelasan Tambahan:


Ini adalah penjelasan tambahan kepada Dalil Firman Allah...


َٱصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِٱلْغَدَوٰةِ وَٱلْعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُۥ  وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا  وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُۥ عَن ذِكْرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًۭا 


Perintah ini sangat unik kerana Allah Ta’ala menurunkan Perintah kepada Rasulullah ﷺ berupa Peringatan dan Amaran keras kepada Baginda sedangkan hakikatnya Perintah dan Amaran Allah ini tertuju kepada seluruh Ummat sampai Qiamat.  Beberapa pengajaran penting yang perlu diperhatikan dengan serius oleh sekalian Ummat Islam adalah berhubung dengan Peringatan dan Amaran Allah melalui ayat ini adalah:


Pertama :  Perintah Allah supaya berserta dengan Ahli Zikir

Allah Ta’ala Memerintahkan agar Rasulullah  ﷺ (dan Ummat Baginda) berserta dengan “Ahli Zikir”(iaitu mereka yang sentiasa berzikir mengingat Allah dan ubudiyyah dengan hati yang suci bersih).  Tiada harapan mereka selain dari Wajah Allah semata-mata (Keredhaan Allah semata-mata). 


Uniknya Perintah Allah ini kerana Rasulullah ﷺ di-Perintah duduk berserta dengan Ahli Zikir dan sabar bersama dengan mereka sedangkan Rasulullah ﷺ sendiri adalah Sahibuz-Zikr (Pemilik sekalian Zikir), Sahibul-Asrar (Pemilik sekalian rahsia Ketuhanan dan kehambaan), Sahibul-Ma’rifah (Pemegang kunci Tauhid).  Bagindalah yang mengajar, mendidik dan membimbing para Sahabat sehingga mereka menjadi Ahli Tauhid dan Ahli Ma’rifat yang unggul. 


Maka tak mungkin Baginda menghina para Sahabat Baginda yang telah mendapat Kemuliaan di Sisi Allah.  Jika demikian apa rahsianya Allah Memerintahkan agar Baginda duduk berserta dengan “Ahli Zikir” dan jangan abaikan mereka, jangan usir mereka dan jangan hina mereka? 


Rahsia sebenar Perintah Allah ini adalah :  Ayat ini, meskipun zahirnya ditujukan kepada Rasulullah ﷺ sehingga Baginda segera menyempurnakan Perintah tersebut, namun secara umum ianya merupakan peringatan kepada seluruh Ummat, agar mereka sentiasa berserta dengan “Ahli zikir”, dan jangan sesekali abaikan mereka apa lagi menghina mereka. 


Persoalan penting di sini: 

Siapakah yang dimaksudkan oleh Allah Ta’ala dengan “orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi-pagi dan petang hari dengan mengharap keredhaan-Nya”?  Iaitu mereka adalah “Ahli Zikir”.


Siapakah yang dimaksudkan dengan “Ahli Zikir” ini?

Adakah yang dimaksudkan dengan “Ahli Zikir” ini orang awam?

Adakah kerana dia seorang pendeta Agama?

Atau (pada zaman ini) kerana dia yang mempunyai gelaran “Ulama, Kiyai, PhD, Profesor dan sebagainya?”


SIRI 175


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat


Zikir Allah Allah

sambungan....



Jawabnya:  

Mereka yang dimaksudkan sudah tentu Rasulullah ﷺ sendiri dan para Sahabat yang Baginda didik sehingga menjadi Ahli Ma’rifat, Ahli Taqwa, Ahli Mukasyafah yang bertauhid kepada Allah Ta’ala tanpa syirik apa pun dalam hati mereka.  Dan kemudian diikuti oleh Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, yang benar-benar mengikuti jejak langkah Rasulullah ﷺ dan Sahabat Ridhwanullah Alayhi Ajma’in.  Inilah “Ahli Zikir” yang dimaksudkan di dalam Perintah Allah ini, yang mereka itu memperoleh Pujian dan Kemuliaan di Sisi Allah.


Menurut Asbabun-Nuzul (sebab turunnya Perintah Allah ini), “Ahli Zikir” yang dimaksudkan adalah : Sayyidina Salman Al-Farisi dan Sahabat lain dari kalangan Ahlus-Suffah.  Mereka habiskan masa mereka dengan Zikrullah dan Ubudiyyah kepada Allah Ta’ala pagi dan petang (sepanjang masa atau sentiasa).  Walau bagaimanapun maksud umumnya adalah sekalian Sahabat Baginda yang mulia dan Pewaris Rasulullah ﷺ yang mengikut jejak langkah mereka di dalam Keimanan dan Ketaqwaan.  Merekalah “Ahli Zikir”  dan “Ahli Ubudiyyah”.


Ummat Islam di-Perintah duduk berserta “Ahli Zikir”, iaitu sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq serta Majlis-Majlis mereka.  Dan jangan sesekali hina mereka kerana mereka adalah hamba-hamba Pilihan Allah yang sentiasa berzikir kepada Allah dengan penuh ikhlas semata-mata mengharap Wajah Allah.


Ke-2 : Allah Melarang Rasulullah ﷺ berpaling dari Ahli Zikir


Meskipun ia merupakan teguran kepada Rasulullah ﷺ namun ianya merupakan Peringatan dan Amaran kepada Ummat Islam seluruhnya.  Iaitu I’tibar kepada Ummat Islam agar jangan sekali-kali memandang rendah atau menghina “Ahli Zikir”.  Dan jangan berpaling dari mereka semata-mata kerana mengharap perhiasan dunia.


Maksud “Ahli Zikir” pada zaman kemudian daripada kewafatan Rasulullah ﷺ, sebagaimana kami jelaskan sebelum ini adalah sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, yang sentiasa menyeru kepada Allah pagi-pagi dan petang-petang dan sentiasa di dalam keadaan Ubudiyyah zahir batin.  Tiada yang mampu melakukan semua ini melainkan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang di-Kurniakan oleh Allah keistimewaan di Sisi-Nya. 


Ke-3 : Jangan muliakan seseorang kerana kekayaan, pangkat atau kedudukannya.


Perintah Allah ini juga dengan jelas melarang keras orang beriman memuliakan seseorang kerana kekayaannya atau pangkatnya atau kedudukannya di dalam masyarakat.  Apa lagi mereka yang jelas kekafirannya menentang Allah dan Rasul-Nya.   


Pemimpin-pemimpin Quraisy yang kaya-raya dan mempunyai kedudukan menemui Nabi ﷺ dan minta Baginda mengusir Ahlus Suffah, supaya mereka (kafir Quraisy) dapat mendekat kepada Nabi ﷺ dan dengan itu boleh menarik lebih ramai orang Quraisy masuk Islam.  Tawaran yang kelihatan menarik.  Logik aqal mengatakan memang patut menerima tawaran orang kafir itu kerana boleh membawa kemajuan kepada Ummat.  Tetapi Allah Ta’ala melarang keras mengikuti permintaan orang kafir Quraisy demikian. 


Sebaliknya Allah Ta’ala Memuliakan “Ahli Zikir”, iaitu di dalam ayat ini yang dimaksudkan adalah para Sahabat Baginda yang dhaif dan miskin yang tinggal di suatu sudut Masjid Nabi untuk berzikir dan ubudiyyah terus-menerus kepada Allah Ta’ala.  Meskipun mereka hanya orang-orang yang miskin, dhaif dan tidak terkenal di dunia, namun Allah Ta’ala Muliakan mereka.  Mereka adalah hamba-hamba Allah yang sangat tinggi dan istimewa di Sisi Allah.  


SIRI 176


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat


Zikir Allah Allah

sambungan....



Ke-4 : Allah Ta’ala Melarang duduk berserta orang yang lalai dari Zikrullah


Sekali lagi peringatan ini adalah kepada Ummat Islam.  Mereka dilarang duduk berserta dengan manusia yang lalai hatinya dari Zikrullah dan mereka yang disibukkan dengan mengejar pangkat, kedudukan dan dunia yang hina kerana mereka akan menarik kamu kepada kefasikan, kezaliman dan kesesatan.


Ke-5 : Keunggulan, Kemenangan Ummat Islam adalah Iman – Tauhid – Ma’rifat


Keunggulan dan Keagungan Islam BUKAN datang dari harta kekayaan, ekonomi, politik dan kebendaan dunia yang hina, tetapi sebaliknya ia datang dari Keimanan dan Ketaqwaan.  Hanya mereka yang benar-benar bertaqwa akan mencapai kemenangan dunia Akhirat.  Adapun mereka yang hanya memakai “label Islam” sedangkan jiwa mereka dipenuhi dengan kecintaan kepada dunia, pangkat, kedudukan tidak sesekali mencapai kemenangan.  Sebaliknya mereka akan menemui kehinaan.  Wal Iyazubillah.


Buktinya jelas menerusi ayat ini:

Ketika orang kafir Quraisy yang kaya-raya dan berpangkat menawarkan diri untuk membangunkan Islam dengan cara mendampingi Rasulullah ﷺ dan singkirkan Sahabat-sahabat Baginda yang miskin dan sangat dhaif dari sudut kebendaan…. Ketika itu juga Allah Ta’ala menurunkan Perintah-Nya supaya tetap Bersama “Ahli Zikir” iaitu para Sahabat Baginda – menunjukkan keunggulan dan kejayaan yang hakiki adalah Keimanan dan Ketaqwaan dan BUKAN harta, pangkat dan kedudukan.


Ke-6 : Majlis Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah Majlis yang di-Redhai Allah.

Setiap Majlis Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah Majlis yang di-Redhai Allah.  Setiap Majlis mereka diliputi Rahmat Allah kerana mereka mengikuti jejak Langkah Rasulullah ﷺ dan para Sahabat Baginda yang terpilih.


Dalilnya di dalam ayat ini: 

Allah Ta’ala Memuliakan para Sahabat yang berhimpun untuk berzikir kepada Allah, sehingga Baginda di-Perintah duduk dan sabar berserta mereka.  Maka bersabda Baginda :  “Segala Puji bagi Allah yang belum mematikanku hingga Memerintahkan kepadaku agar bersabar dengan orang-orang dari Ummatku, bersama-Mu di dalam kehidupan dan Bersama-Mu di dalam kematian.”


Ke-7: Dilarang menghina Ahli Zikir

Sebagaimana huraian di atas, Ahli Zikir memiliki kedudukan yang tinggi di Sisi Allah. Mereka adalah Wali Allah (Kekasih Allah) yang sentiasa hidupkan Cahaya Zikrullah yang meliputi langit dan bumi.  Dengan berkat doa mereka Allah Ta'ala menurunkan Rezeki.  Dengan berkat doa mereka sesebuah negeri menjadi makmur dan terhindar dari bencana.  Hidup mereka miskin tiada apa-apa harta, hidup mati mereka hanya kerana Allah.  Maka dilarang keras menghina mereka dengan apa cara jua.  Sebaliknya kamu wajib muliakan mereka.



Ke-8 : Setiap Muslim wajib berpegang kepada Mursyid yang Siddiq

Sekali lagi kami tegaskan, Perintah Allah ini menjadi bukti kewajipan setiap Muslim berpegang kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, berserta dengan mereka dan sabar agar mereka mencapai kejayaan.


Semasa hayat Rasulullah ﷺ, Baginda adalah Pemimpin kepada Ummat Islam.  Setelah kewafatan Rasulullah ﷺ, para Sahabat menggantikan Baginda di dalam urusan mendidik dan memimpin Ummat kepada Allah dengan selamat.  Setelah kewafatan Sahabat, Amanah ini berpindah kepada sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. 


Pengajaran terpenting di sini adalah :   Setiap orang Islam wajib berserta dengan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, demi keselamatan Agama mereka. Ini kerana hanya Mursyid yang Siddiq mengenal Allah dengan sebenarnya dan di dalam Pimpinan Allah dan Rasul-Nya.  Hanya mereka diberi kemampuan untuk kekal berzikir ingat Allah dan mendirikan ubudiyyah sepanjang masa.



SIRI 177


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat


Zikir Allah Allah

sambungan....



Dalil Al-Qur'an 6: Firman Allah:


      وَٱذۡكُرِ ٱسۡمَ رَبِّكَ بُكۡرَةً۬ وَأَصِيلاً۬


"Dan zikir akan nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang."

[Al-Insan (76) : Ayat 25]



Dalil Al-Qur'an 7: Firman Allah:


وَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا لَّعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ


"Dan  ingatlah akan Allah banyak-banyak (terus-menerus tanpa henti siang malam), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)."

[Al-Jumu'ah (62) : Ayat 10]



Dalil Al-Qur'an 8: Firman Allah:


قَدۡ أَفۡلَحَ مَن تَزَكَّىٰ (١٤) وَذَكَرَ ٱسۡمَ رَبِّهِۦ فَصَلَّىٰ


"Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya,  Dan zikir menyebut nama Tuhannya serta mengerjakan solat.”

[Al-A'la ( 87 : Ayat 14-15]



Dalil Al-Qur'an 9: Firman Allah:


ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمً۬ا وَقُعُودً۬ا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَڪَّرُونَ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَـٰذَا بَـٰطِلاً۬ سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ


(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka"

[Aali Imran (3) : Ayat 191]



Dalil Al-Qur'an 10: Firman Allah:


فَوَيْلٌ لِّلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُمْ مِّن ذِكْرِ ٱللَّهِ أُوْلَـٰئِكَ فِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ


"Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada Zikrullah.  Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata"

[Az-Zumar (39) : Ayat 22]



Dalil Al-Qur'an 11: Firman Allah:


يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلاَ أَوْلاَدُكُمْ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُوْلَـٰئِكَ هُمُ ٱلْخَاسِرُونَ 


"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah.  Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi."

[Al-Munafiqun (63) : Ayat 9]



Penjelasan umum —  Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu 'Anhu:


Kesemua Ayat Qur'an di atas menunjukkan Perintah suruhan berzikir Allah Allah di dalam hati sebanyak-banyaknya dan berulang-ulang tanpa henti.  Mereka yang lalai dari Zikrullah diancam dengan Neraka Wail.


Sama ada ayat-ayat ini menggunakan perkataan "Allah" secara jelas atau pun menggunakan ungkapan _ismu Rabbika_  (nama Tuhanmu)  atau pun menggunakan dhomir " Hua" semuanya tertuju kepada "Allah".


Sesungguhnya, Tiada sebutan lain yang lebih Agung, lebih Mulia dan yang memiliki sekalian kesempurnaan melainkan  Kalimat "Allah".  Dengan demikian mengulang-ulang Kalimat Agung " Allah " di dalam hati terus-menerus itulah yang dituntut atas setiap orang beriman.


SIRI 178


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat


Zikir Allah Allah

sambungan....



Dalil Hadith 1: Rasulullah   ﷺ  bersabda:


مَثَلُ الَّذِيْ يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِيْ لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ مَثَلُ الْحَيِّ وَالْمَيِّتِ


“Perbandingan orang yang berzikir kepada Allah dengan orang yang tidak berzikir kepada Allah adalah seperti orang yang hidup dan mati.”

[Imam Bukhari dan Imam Muslim] 


Dalil Hadith 2:  Rasulullah   ﷺ  bersabda:


Dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata, “Rasulullah ﷺ  selalu berzikir Allah (ingat Allah) pada setiap waktunya.” 

[Imam Bukhari dan Imam Muslim] 


Dalil Hadith 3: Rasulullah ﷺ  bersabda:


" Zikir yang tidak terdengar oleh malaikat pencatat amal ( Zikir khafi Allah Allah — senyap di dalam hati) mengungguli atas Zikir yang dapat didengar oleh mereka ( Zikir Jihar ) sebanyak tujuh puluh kali ganda. " 

[Imam  Baihaqi ]


Dalil Hadith 4: Rasulullah ﷺ  bersabda:


"(Seseorang bertanya kepada Rasulullah  ﷺ) Jihad manakah yang terlebih besar di dalam memperoleh pembalasan baik (Keredhaan Allah) wahai Rasulullah ?  Baginda menjawab, "Mereka yang paling banyak berzikir mengingat Allah".  Dia bertanya lagi, "Siapakah di kalangan orang berpuasa yang terlebih hebat?  Baginda menjawab, "Mereka yang paling banyak berzikir mengingat Allah."   kemudian dia bertanya berkenaan solat, zakat, haji dan sedekah yang mana bagi setiap pertanyaan tersebut Baginda menjawab,  "Mereka yang paling banyak berzikir mengingat Allah".

[Imam Ahmad]


Dalil Hadith 5:  Rasulullah   ﷺ  bersabda:


لا تقوم الساعة حتى لا يقال في الأرض الله الله


"Tidak akan tiba Qiamat hingga tidak ada yang mengucapkan di atas bumi (kalimat) Allah, Allah" 

[Imam Muslim]


Dalil Hadith 6: Rasulullah   ﷺ  bersabda:


"Di bumi terdapat orang yang menyebut "Allah Allah", kemudian apabila tiada lagi orang yg menyebut "Allah Allah" maka di saat itulah berlakunya Qiamat.”

[Imam Muslim]


Dalil Hadith 7:  Rasulullah ﷺ  bersabda:

"Islam tidak akan hilang sehingga tiada siapa lagi yang menyebut Allah Allah."

[Imam Ibn Abi Dunya]


Dalil Hadith 8:  Rasulullah   ﷺ  bersabda:

"Qiamat tidak akan dirasakan oleh orang yang mengucapkan (kalimat) Allah, Allah".

[Imam Muslim]



Berkata Imam Nawawi Radhiallahu Anhu:

"Perlu diketahui bahawa pada riwayat-riwayat tersebut (Hadith Zikir Allah Allah) terdapat kesepakatan pengulangan lafaz Allah (Zikir Allah Allah) pada dua riwayat tersebut.  Demikianlah dicatat di dalam seluruh kitab-kitab sahih.

[Syarah Muslim]


Catitan :  Tuduhan bahaya


Beberapa orang cerdik pandai Universiti  menuduh Ulama Mu'tabar sebagai "bodoh" kerana mentafsirkan Hadith Nabi di atas dengan makna Zikir Allah Allah.   Barangkali budak-budak Profesor ini tak sedar menghina Ulama Pewaris Nabi batalkan Iman...?  Budak-budak mentah ini menyangka diri mereka sudah menjadi Mujtahid kerana sudah hafal satu dua Hadith Nabi, lalu sewenang-wenang "mengikut nafsu.... berfatwa" "ini halal, ini haram, ini bid'ah sesat, ini khurafat, ini Nabi tak buat"  dan sebagainya.  Perbuatan mereka tidak ubah seperti perbuatan biadab Wahhabiyyah. Mereka tak sedar merekalah penyeru kepada Neraka Jahannam...!_


SIRI 179


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat


Zikir Allah Allah

sambungan....



Fatwa Ulama Mu'tabar — Zikir Allah Allah (Zikrullah)


Berikut adalah fatwa Ulama Ahlus Sunnah berhubung dengan Zikir Allah Allah. Mereka adalah _Mujtahid_ dan _Mujaddid_ yang terpercaya sepanjang zaman.  Mereka adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, yang tiada keraguan apa pun terhadap mereka. Mematuhi fatwa Pewaris Nabi adalah keselamatan dan menentang mereka membawa manusia kepada kesesatan, kefasikan dan kekafiran.  Wal Iyazubillah. 


Fatwa 1:  Toriqat Siddiqiyyah — Sayyidina Abu Bakr Radhiallahu anhu


Daripada riwayat yang sampai kepada Ulama Ahlus Sunnah melalui Silsilah Rasulullah ﷺ, Toriqat yang dinisbahkan kepada Sayyidina Abu Bakr Radhiallahu anhu adalah Toriqat Siddiqiyyah, mengambil sempena gelaran beliau " As-siddiq".  Zikir yang diterima dari beliau turun-temurun oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah adalah "Zikir Allah Allah di dalam hati" (Zikir khafi). 


Pada zaman kemudian, Toriqat yang diamalkan oleh Sayyidina Abu Bakar (dan sekalian sahabat lain) itu dinamakan Toriqat Naqsyabandiah.  Nama "Naqsyabandiah" diambil sempena nama "Shaikh Bahauddin Shah Naqsyabandi", Silsilah Rasulullah ﷺ yang ke-16. 


Sebagaimana ditegaskan oleh sekalian Ulama Mu'tabar,  Silsilah Rasulullah ﷺ ini tidak boleh diingkari kerana khabarnya mutawathir, iaitu sejumlah besar Ulama Pewaris Nabi meriwayatkan hal yang sama sehingga tak mungkin mereka berpakat untuk berdusta.  Barang siapa menafikan Toriqat yang sahih dari Rasulullah ﷺ adalah dia mendustakan Nabi ﷺ, maka batal Imannya.  Wal Iyazubillah. 


 Fatwa 2: Imam Besar Ahlu Sunnah, Imam at-Toriqat wal Haqiqat,  Imam Ja'afar As-Siddiq Radhiallahu Anhu


Beliau adalah cucunda Rasulullah ﷺ yang ke-5 dari jalur Sayyidina Husain Radhiallahu Anhu.  Imam Ja'afar Siddiq menduduki posisi Agung sebagai Penyambung Risalah Rasulullah ﷺ, menduduki Maqam Auliya tingkatan tertinggi bergelar Ghawth.  


Imam Ja'afar Siddiq digelar Imam Toriqat Wal Haqiqat  kerana  semua Toriqat Ahlus Sunnah yang sahih yang diterima dari Rasulullah ﷺ melalui tangan beliau.  Salah satu dari Toriqat yang beliau wariskan adalah Zikir asasnya "Zikir Allah Allah" di dalam hati, yang sekarang ini dinamakan Toriqat Naqsyabandiah. 


(Penegasan penting :  Imam Ja'afar Siddiq adalah Imam Ahlus Sunnah, dan bukan Syi'ah.  Beliau tiada kaitan dengan dakwaan-dakwaan batil Syi'ah (rafidhi).  Imam Ja'afar Siddiq telah mewariskan sejumlah besar Toriqat dari Nabi ﷺ dan TIDAK ada kaitan apa-apa pun dengan golongan Syi'ah rafidhi sesat).



Fatwa 3: Imam Junaid Al-Baghdadi Radhiallhu anhu


Beliau adalah Imam Ahlus Sunnah, Qadhi, Imam Fiqh,  dan Auliya Allah yang ternama,  mengajarkan murid-murid beliau dengan Zikir Allah Allah. 

[Rasail Al-Junaid - Risalah-Risalah kecil Imam Junaid]



Fatwa 4: Imam Fakhruddin Ar-Razi Radhiallhu anhu


Beliau adalah  Mujaddid Agung Ahlus Sunnah kurun ke-6 Hijriyyah. Imam Fakhruddin Ar Razi menyebut:


"Ketahuilah sekalian manusia, sesungguhnya aku menyebut sepanjang hidupku "Allah".  Apabila mati, aku menyebut "Allah".  Apabila disoal di dalam kubur aku menyebut "Allah".  Apabila datang di Hari Qiamat aku menyebut "Allah" .  Sewaktu aku mengambil suratan amalan aku menyebut "Allah".  Sewaktu perhitungan amalan aku menyebut "Allah".  Ketika melintasi titian aku menyebut "Allah".  Apabila masuk ke Syurga aku menyebut "Allah" hingga apabila melihat Allah aku juga menyebut "Allah".

[Tafsir Mafatih Al-Ghaib]


SIRI 180


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat


Zikir Allah Allah

sambungan....




Fatwa 5: Imam Ghazali Radhiallahu Anhu


"Seseorang yang ingin berzikir hendaklah duduk pada suatu tempat yang sunyi, menutup segala pancaindera zahir,  mencelikkan mata hati, pendengaran hati, dan dengan itu menjadikan hatinya sebagai wadah untuk menerima alam malakut.  Dalam pada itu hendaklah sentiasa menyebut Allah Allah Allah berterusan dengan hati bukan dengan lidah"

[Kimiya As-Sa'adah]



Fatwa 6: Imam Asy-Sya'rani Radhiallahu Anhu


"Kami telah menerima bai'at daripada Guru kami supaya berzikir menyebut lafaz "Allah Allah" sebanyak 24,000 kali sehari semalam"

[Uhud As-Sughra]



Fatwa 7: Imam Ibn Hajar Al-Haythami Radhiallahu Anhu


Beliau adalah Mufassir, Muhaddith, Imam besar Mazhab Syafi'e.  Mujaddid kurun ke-10 Hijriyyah, kata beliau :

"Amalan tersebut (zikir La-Ilaha Illallah ) perlu berterusan sehingga kesan Zikir menjiwai dirinya dan pada ketika itu lebih utama bagi salik Zikir "Allah Allah".

[Miftah Al Falah]



Fatwa 8: Imam ummah Mufassir, Muhaddith  Shaikh Thana-Ullah Uthmani


Ketika mentafsirkan Firman Allah :    "   وَٱذۡكُرِ ٱسۡمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلۡ إِلَيۡهِ تَبۡتِيلاً۬   "

"Zikirlah akan nama Tuhanmu dan renunglah kepada-Nya dengan sungguh-sungguh renungan (muraqabah)"  [Al-Muzammil (73) : ayat 8].... beliau berkata :

"Ketahuilah ayat ini memerintahkan berulang-ulang menyebut nama Tuhan Yang Maha Agung iaitu zikir Allah, Allah."

[Tafsir Mazhari]



Fatwa 9 :  Imam Nawawi Radhiallahu Anhu


"Perlu diketahui bahawa pada riwayat-riwayat tersebut (Hadith Zikir Allah Allah) terdapat kesepakatan pengulangan lafaz Allah pada dua riwayat tersebut.  Demikianlah dicatat di dalam seluruh kitab-kitab sahih.”

[Syarah Imam Nawawi]



Fatwa 10: Imam Ahmad ibn Muhammad Ibn Atha’illah As-Sakandari Radhiallahu Anhu


Beliau adalah Pengarang kitab Hikam dan Guru Besar Syaziliyah berkata:

"Hendaklah kamu berzikir ismuz-Zat Allah Allah Allah atau hu,  hu,  hu di dalam hati tanpa menyebut di lidah."

[Miftah Al Falah]


Fatwa 11: Berkata Muhaddith Ummah, Shaikh Zakariyya Kandahlawi Radhiallahu Anhu:


"Kaedah Zikir ismuz-Zat (Zikir  Allah Allah) adalah mengingat Allah dengan matlamat tiada lain di dalamnya melainkan Allah sebagai maqsudnya,  yang ditujui dan dicintai.  Dengan bentuk ini, ianya merupakan subjek yang tersembunyi di dalamnya predikat, yang mana menepati secara sempurna akan syarat-syarat nahwu (tatabahasa Arab).  Bahkan ianya menepati secara sempurna Kalimat Al-Qur'an :   قُلِ ٱللَّهُ‌ ثُمَّ ذَرۡهُمۡ فِى خَوۡضِہِمۡ يَلۡعَبُونَ  

"Katalah "Allah" dan tinggalkan mereka di tempat main-main mereka itu", [Al-An'am (6) : ayat 91] — di dalam Kalimat iki ini  terdapat subjek yang mengandungi prediket yang tersembunyi di dalamnya.

[Himpunan Surat-surat Muhaddith Maulana Zakariyya Kandahlawi]


SIRI 181


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat


Zikir Allah Allah

sambungan....



Dalil Terbesar :  Warisan Silsilah Rasulullah  ﷺ  di tangan Mursyid-Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq


Sesungguh ini adalah Hujjah teragung untuk menunjukkan kebenaran sekalian Toriqat yang sahih yang datang dari Rasulullah ﷺ dan amalan Zikir Allah Allah atau Zikir mengingat Allah berterusan di dalam hati, seperti huraian terdahulu.       


Sekalian Mursyid yang Siddiq (benar) yang wujud pada zaman ini yang mewarisi Ilmu dan keruhanian Rasulullah ﷺ menjadi hujjah yang tiada tolok bandingnya kerana mereka adalah " Hadith Sahih " yang hidup.  


Diri mereka sendiri (Mursyid yang Siddiq yang hidup pada zaman ini) adalah menjadi bukti kukuh akan Warisan Rasulullah ﷺ yang dipindahkan dari satu generasi Masyaikh kepada generasi Masyaikh berikutnya dengan penuh rahsia, tertib dan adab disiplin tinggi sehingga terpelihara kesucian dan keasliannya. 


Semua Mursyid yang Siddiq (benar) yang wujud pada zaman ini mempunyai Silsilah Warisan Ilmu Rasulullah ﷺ iaitu mereka mewarisinya daripada Guru mereka yang juga Mursyid yang Siddiq (benar) dan mereka juga mengambil warisan tersebut dari Guru mereka yang Mursyid — begitu bersambung ke atas sehingga menerima warisan dari Sayyidina Abu Bakr atau Sayyidina Ali atau Sayyidina Umar atau Sayyidina Uthman, ridhwanullah   — yang mereka mewarisinya dari Junjungan Besar Sayyidina Wa Maulana Muhammad ﷺ.


Khabar dari mereka adalah menempati khabar mutawatir iaitu khabar yang sahih lagi marfu' (khabar yang kuat) yang tidak mungkin ada kecelaan atau kecacatan. Demikian banyaknya Masyaikh Ahlus Sunnah seluruh dunia, dari berbagai penjuru dunia mewariskan Zikir Allah Allah ini, maka tidak mungkin mereka berpakat untuk berdusta. 


Setiap Toriqat yang sahih yang wujud pada Zaman ini dan setiap Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang memimpinnya amalkan "Zikir Allah Allah" disamping zikir-zikir lain seperti  "La-Ilaha Illallah", "Ya Qaahar" , "Ya Latif" , "Ya Hayyu Ya Qayyum" dan lain-lain.  Berikut beberapa contoh:


(1) Toriqat Qodiriyyah — dibangunkan oleh Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu.


(2) Toriqat Ri'faiyyah — dibangunkan oleh Imam Ar-Rifa'ie Radhiallahu anhu.


(3) Toriqat Syaziliyyah — dibangunkan oleh Imam Abu Hasan Asy-Syazili Radhiallahu anhu.


(4) Toriqat Syattariyyah — dibangunkan oleh Imam Abdullah Syattari Radhiallahu anhu.


(5) Toriqat Samaniyyah — dibangunkan oleh Imam Abdul Karim Samman Radhiallahu anhu.


(6) Toriqat Ghazaliyyah — dibangunkan oleh Imam Ghazali Radhiallahu Anhu.


Meskipun pada peringkat awal Salikin yang mengikut Toriqat-Toriqat ini dilatih dengan membanyakkan Zikir Jihar, Zikir La-Ilaha Illallah, namun apabila Zikir lisan La-Ilaha Illallah sudah mantap di dalam diri Salikin, mereka akan dilatih oleh Mursyid mereka masing-masing dengan Zikir Allah Allah.  Di sini kita faham bahawa semua Toriqat yang sahih amalkan Zikir Allah Allah pada penghujung perjalanannya. Dan jelaslah juga bahawa sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah amalkan Zikir Allah Allah. 


SIRI 182


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 8:  Proses Penyucian Hati


Pengenalan


Bagaimanakah proses penyucian hati berlaku?

Apakah langkah-langkah yang mesti dilalui?

Apakah rupa penyucian tersebut?

Apakah tanda-tanda menunjukkan perubahan dalam diri?

Apakah tanda-tanda seseorang itu telah mencapai kejayaan — mencapai Redha Allah?

Semua ini memerlukan huraian yang panjang.  In Shaa Allah sebahagian daripadanya akan dijelaskan di dalam tajuk-tajuk lain.  Sementara sebahagian jawapan akan didapati sendiri oleh Salikin dalam perjalanannya.



Langkah-langkah Penyucian


Proses penyucian hati bermaksud peringkat-peringkat penyucian yang dilalui oleh Salikin mulai daripada penyucian daripada dosa-dosa syirik (syirik khafi), mazmumah (kekejian hati), Ghaflah (kelalaian) dan aghyar (segala suatu selain Allah).  Ia melibatkan usaha yang sungguh-sungguh bagi hapuskan berbagai bentuk kekotoran ma'nawiyyah dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq. 


Pertama : Hapuskan Syirik khafi

Syirik Khafi adalah syirik tersembunyi di dalam hati ; iaitu Takabbur, Sum'ah, Riya', Ujub, Tawakkal bi Gharillah.


Kedua: Hapuskan Sifat-sifat Mazmumah (sifat kekejian)

Mujahadah hapuskan sifat-sifat keji yang bersarang di dalam hati — hasad, khianat, bakhil, adu domba, mengumpat, tajassus, dusta, fitnah dan lain-lain.


Ketiga: Hapuskan Ghaflah (kelalaian)

Mujahadah hapuskan ghaflah, yang menjadi sebab-sebab manusia lupa Syukur kepada Allah, lupa segala Ni'mat-ni’mat Kurnia Allah yang tidak terkira banyaknya, tidak khusyu’ di dalam solat, lupa kepada Amaran Allah, lupa kepada suruhan dan larangan Allah sehingga menjadi manusia zalim.  Tidak ikhlas di dalam ibadah kerana ibadah hanyalah dianggap oleh mereka sekadar "rutin yang diulang-ulang”.


Keempat : Hapuskan Aghyar (sesuatu selain Allah)

Aghyar adalah perkara-perkara yang asalnya "harus" tetapi boleh menjerumuskan seseorang kepada kebinasaan kerana tidak berhati-hati mengendalikan atau menggunakannya.


Inilah Kejayaan dan Kemenangan!


SIRI 183


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 8:  Proses Penyucian Hati

sambungan....



Setiap murid pada jalan Ma’rifat dilatih menempuh mujahadah melawan segala nafsu-nafsu jahat dan bisikan syaitan yang sentiasa menariknya kepada kefasikan, penyelewengan, kesesatan dan kekafiran.  Setelah seseorang salikin menempuh perjalanan yang jauh dan mencabar ini, dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq, sehingga berjaya di dalam mujahadahnya, maka inilah Langkah permulaan bagi memperoleh Keimanan sejati atau Tauhid yang hakiki.  Inilah keberuntungan dan kemenangan terbesar. 


Firman Allah:


قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا   وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا

“Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan merugilah orang yang mengotorinya”

[Asy-Syams (91) : Ayat 9-10] 


Ayat Allah ini dengan tegas menyebut bahawa orang yang beruntung adalah mereka yang menyucikan jiwanya dan sebaliknya orang yang membiarkan hatinya di dalam kekotoran, maka menemui kerugian.


Firman Allah:


هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬


“Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan Ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Ilmu rahsia dan pengetahuan mendalam).  Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”

[Al-Jumu’ah (62) : Ayat 2]


Inilah matlamat sekalian Anbiya dan Mursalin yang diutuskan ke muka bumi, iaitu mendidik jiwa manusia supaya tunduk kepada Allah dengan cara menyucikan batin mereka.  Maka inilah juga yang diwarisi oleh sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. 


Jika kamu perhatikan dari dalam hati yang murni, maka kamu akan mendapat jawapan kepada tujuan Rasul dan Nabi diutuskan oleh Allah ke muka bumi, yang ini selalu disebut-sebut sebagai menyeru kepada Mentauhidkan Allah. Sesungguhnya proses untuk Mentauhidkan Allah bermula dari penyucian hati, iaitu suci hati daripada syirik khafi (dalam hati), mazmumah, ghaflah dan aghyar.  Ertinya seseorang Islam tidak akan menjadi orang yang benar-benar beriman dan Mentauhidkan Allah sebelum dia menyucikan hatinya daripada segala kekotoran hatinya.  Cahaya Tauhid tidak akan masuk ke dalam hati yang di dalamnya bersarang Syirik yang tersembunyi, mazmumah dan kekotoran ma’nawiyyah yang lain.


Tanpa melalui proses penyucian hati yang telah dilaksanakan oleh Junjungan Besar Rasulullah  ﷺ, yang kemudian diwarisi turun- temurun oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah (Mursyid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat, Warisatul Anbiya yang sebenar) manusia Muslim tidak akan mencapai Keimanan Sejati atau Tauhid yang hakiki atau Ma'rifat yang suci murni ; iaitu tanpa sungguh-sungguh berusaha menyucikan hati dan sungguh-sungguh mujahadah melawan sekalian nafsu-nafsu kejahatan sehingga tumpas semuanya dan terus-menerus berzikir sehingga hatinya bersinar dengan cahaya Rabbaniyyah dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, maka tidak mungkin seseorang muslim memperoleh Keimanan sejati atau Tauhid yang suci murni.  Mereka tetap akan berada di dalam tingkatan keimanan orang awam yang bergelumang dengan kekeruhan hati, kekejian dan sifat nifaq.  Wal Iyazubillah.


SIRI 184


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat

Fasal 9: Punca Kekeliruan, Penyimpangan dan Kesesatan orang awam


Punca Kekeliruan, Penyimpangan dan Kesesatan 

Setelah kami persembahkan hal ehwal berkenaan Toriqat, Tasawwuf, Ma'rifat dan sekalian hal ehwal yang berkait dengannya berserta bukti-bukti kukuh, selayaknya orang yang beriman faham akan kedudukan dan ketinggiannya Di Sisi Allah.  Sepatutnya semua orang Islam berlumba-lumba mencarinya, amalkannya dan mengambil manfaat yang amat besar yang tersimpan di dalamnya. 


Tetapi hal ini tidak berlaku.  Sebaliknya berlaku penentangan, caci maki, penghinaan.  Ajaib.! Orang yang melakukan penentangan ini adalah orang Islam sendiri.  Kita tidak akan hairan jika penentangan tersebut datang dari orang kafir dan munafiq, kerana mereka sememangnya musuh Islam.  Tetapi apabila penentangan itu datang dari orang Islam sendiri, orang yang bernama dengan nama Islam, memakai pakaian Islam, orang yang mengerjakan Solat, puasa dan lain-lain — ini amat menghairankan.  Bahkan lebih buruk lagi orang-orang bergelar " alim ulama "  mengeluarkan " fatwa" sesat terhadap Toriqat, Tasawwuf, Ma'rifat dan lain-lain berkait dengannya.


Persoalan: 

■ Apakah Punca utama penentangan orang Islam sendiri terhadap Toriqat, Tasawwuf, Ma'rifat dan sekalian hal ehwal berkait dengannya sedangkan ianya datang dari Allah Ta'ala, bahkan ianya merupakan sumber utama hidup sebagai orang beriman ?


■ Apakah punca utama terbitnya "fatwa-fatwa" menentang Zikir Allah Allah?  Sedangkan Zikir Allah Allah thabit dengan Al-Qur'an, Sunnah dan fatwa Ulama Mu'tabar? 


■ Mengapakah orang alim, Profesor, PhD, Drs, Masters menjadi penentang-penentang Toriqat, Tasawwuf dan Jalan Ma'rifat sedangkan mereka membaca Kalam Allah?


■ Mengapakah keluar fatwa-fatwa " sesat “ daripada penguatkuasa Islam sendiri sedangkan mereka mengetahui selok-belok Agama?


Puncanya amat banyak, namun semua macam kekeliruan, kepincangan, kesesatan dan kekafiran adalah berpunca dari 4 macam aafat:

 

1. Nafsu — Nafsu jahat yang menyeru kesesatan.

2. Syaitan — Syaitan yang sentiasa membisikkan kesesatan.

3. Makhluk — Manusia menarik kepada kefasikan dan kesesatan.

4. Dunia — Dunia yang menarik kepada kefasikan dan kesesatan.


SIRI 185


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat

Fasal 9: Punca Kekeliruan, Penyimpangan dan Kesesatan orang awam

sambongan....


Sebab Pertama kesesatan: Tidak berpegang kepada Ahlus Sunnah yang benar (tulen)


Pegangan Ahlus Sunnah berhubung dengan Toriqat, Tasawwuf, Ma'rifat, persoalan Zikir Allah Allah dan lain-lain telah pun kami bentangkan.  Berdasarkan Kitabullah, Sunnah Rasul dan fatwa Ulama Mu'tabar, Toriqat, Tasawwuf, Ma'rifat menduduki tempat utama dalam Agama.  Bahkan Toriqat, Tasawwuf, Ma'rifat (dan sekalian hal ehwal berkait dengannya) adalah ruh Agama.  Orang yang abaikan Toriqat, Tasawwuf, Ma'rifat (dan sekalian hal ehwal berkaitan dengan hati), telah kehilangan ruh Agama dalam dirinya. 


■ Imannya adalah Iman yang rapuh, tidak kukuh, sentiasa terdedah kepada kerosakan dan kebinasaan.

■ Hatinya bercampur aduk antara Iman dan Syirik khafi (syirik tersembunyi).

■ Hatinya sentiasa bergelumang dengan mazmumah (kekejian).

■ Hatinya sentiasa ghaflah (kelalaian).

■ Ketika berdiri untuk solat, hatinya tidak menghadap Allah tetapi menghadap makhluq.

■ Ketika melakukan ibadah, niatnya selalu bercampur-campur antara ikhlas dan nifaq.


Rasulullah ﷺ  bersabda:


عَنْ أَبِي سَعِيدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُلُوبُ أَرْبَعَةٌ قَلْبٌ أَجْرَدُ فِيهِ مِثْلُ السِّرَاجِ يُزْهِرُ وَقَلْبٌ أَغْلَفُ مَرْبُوطٌ عَلَى غِلَافِهِ وَقَلْبٌ مَنْكُوسٌ وَقَلْبٌ مُصْفَحٌ فَأَمَّا الْقَلْبُ الْأَجْرَدُ فَقَلْبُ الْمُؤْمِنِ سِرَاجُهُ فِيهِ نُورُهُ وَأَمَّا الْقَلْبُ الْأَغْلَفُ فَقَلْبُ الْكَافِرِ وَأَمَّا الْقَلْبُ الْمَنْكُوسُ فَقَلْبُ الْمُنَافِقِ عَرَفَ ثُمَّ أَنْكَرَ وَأَمَّا الْقَلْبُ الْمُصْفَحُ فَقَلْبٌ فِيهِ إِيمَانٌ وَنِفَاقٌ فَمَثَلُ الْإِيمَانِ فِيهِ كَمَثَلِ الْبَقْلَةِ يَمُدُّهَا الْمَاءُ الطَّيِّبُ وَمَثَلُ النِّفَاقِ فِيهِ كَمَثَلِ الْقُرْحَةِ يَمُدُّهَا الْقَيْحُ وَالدَّمُ فَأَيُّ الْمَدَّتَيْنِ غَلَبَتْ عَلَى الْأُخْرَى غَلَبَتْ عَلَيْهِ


"Hati itu ada empat macam: Pertama, qalbun ajrad (hati yang murni tak bernoda) di dalamnya seperti ada pelita yang bersinar.  Kedua, qalbun aghlaf (hati yang tertutup) yang terikat tutupnya.  Ketiga, qalbun mankuus (hati yang terbalik).  Keempat, qalbun musfah (hati yang terlapis). Adapun qalbun ajrad adalah hati seorang Mukmin, pelita dalam hatinya adalah cahaya, qalbun aghlaf adalah hati orang kafir, qalbun mankuus adalah hati orang munafik, yang mengetahui kemudian mengingkari.  Qalbun musfah adalah hati yang di dalamnya bercampur iman dan nifaq, iman yang ada di dalamnya seperti tanaman yang disirami air yang segar dan nifaq yang ada di dalamnya seperti bisul yang disirami darah dan nanah, mana dari dua unsur di atas yang lebih kuat, maka itulah yang akan menguasai hatinya.”

[Imam Ahmad]


Ahlus Sunnah yang benar berpegang kepada Syari'at dan Toriqat, berpegang kepada penyucian hati daripada Syirik, mazmumah dan lain-lainnya. Maka mereka yang menentang Toriqat, Tasawwuf, Ma'rifat tak mungkin mereka itu Ahlus Sunnah.


SIRI 186


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat

Fasal 9: Punca Kekeliruan, Penyimpangan dan Kesesatan orang awam

sambongan....


Sebab kedua kesesatan:  Mentafsirkan Al-Qur'an dan Hadith dengan aqal, nafsu dan bisikan Iblis


Golongan yang ingkar kepada Toriqat, Tasawwuf, Ma'rifat (dan sekalian hal ehwal berkait dengannya) terdiri dari golongan yang mentafsirkan Al-Qur'an dengan aqal fikiran dan nasfu, bisikan Iblis, maka jadilah mereka sesat menyesatkan. 


Mereka BUKAN Mujtahid.  Tetapi oleh kerana mereka mempunyai gelaran "mufti" atau gelaran  Profesor atau Drs atau Masters atau lain-lain......mereka sewenang-wenang mengeluarkan "fatwa"........ "ini halal", "ini haram", "ini bid'ah sesat",  "ini khurafat".  Beginilah perangai mereka sejak dahulu lagi, sedangkan Allah dan Rasul-Nya mengancam golongan seperti ini dengan Neraka Jahannam.


Allah Ta’ala berfirman:


وَلاَ تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلاَلٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوا عَلَى اللهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللهِ الْكَذِبَ لاَ يُفْلِحُونَ


Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta “ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah.  Sesungguhnya orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung. 

[An-Nahl (16) : Ayat  116]



Rasulullah ﷺ bersabda:

"Barang siapa berkata-kata tentang Al-Qur'an (tafsir dan ta'wilkan Al-Qur'an) tanpa ilmu, maka hendaklah ia menempati tempat duduknya dari Neraka"

[Imam Tirmidzi]


Rasulullah ﷺ  bersabda:

 “Barang siapa menguraikan Al-Qur’an dengan akal fikirannya sendiri dan merasa benar, maka sesungguhnya dia telah berbuat kesalahan”. 

[Imam Ahmad]


Rasulullah ﷺ  bersabda:

"Takutlah kalian berbicara tentang sesuatu yang berasal dariku melainkan pada apa yang telah kalian ketahui.  Siapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyimpan tempat duduknya di dalam Neraka, Dan barang siapa yang menafsirkan al-Qur'an dengan akal fikirannya, maka hendaklah ia menyiapkan tempat duduknya di dalam Neraka" 

[Imam Ahmad, Tirmizi, Nasai]


Rasulullah ﷺ  bersabda:

 “Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah dia menyediakan tempatnya di dalam Neraka”. 

[Imam Bukhari, Muslim]


Rasulullah ﷺ  bersabda: 

 "Di dalam Agama itu tidak ada pemahaman berdasarkan akal fikiran, sesungguhnya Agama itu dari Tuhan, perintah-Nya dan larangan-Nya.”

[Imam Thabarani]


Rasulullah ﷺ  bersabda:

"Takutlah kalian berbicara tentang sesuatu yang berasal dariku melainkan pada apa yang telah kalian ketahui.  Siapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyimpan tempat duduknya di dalam Neraka, dan barang siapa yang menafsirkan Al-Qur'an dengan akal fikirannya, maka hendaklah ia menyiapkan tempat duduknya di dalam Neraka" 

[Imam Ahmad, Tirmizi, Nasai]


SIRI 187


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat

Fasal 9: Punca Kekeliruan, Penyimpangan dan Kesesatan orang awam



Sebab ketiga kesesatan: Tidak mempelajari dan amalkan Toriqat (Tasawwuf)


Sesungguhnya Agama Tauhid yang datang dari Allah Ta'ala terdiri dari dua bahagian : Zahir dan Batin, Jasmani dan Ruhani, Fiqh dan Tasawwuf, Syari'at dan Toriqat Rasul ﷺ.  Kedua-dua bahagian ini merupakan kewajipan atas setiap Muslim.  


Berkata Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:


"Ada dua macam ilmu yang diturunkan kepada kita.   Pertama ilmu Zahir, disebut Syari'at.     

Kedua  Ilmu Batin, disebut Ma'rifat / Toriqat.


Syari'at untuk jasad kita dan Ma'rifat (yang terbit dari Toriqat) adalah untuk batin. Kedua -duanya WAJIB dipadu dan dari perpaduannya membuahkan haqiqat.  Seperti halnya pohon dan daunnya yang menghasilkan buah.  Sebagaimana Firman-Nya di dalam Surah Ar Rahman : ayat 19 dan 29."


Dengan Ilmu Zahir sahaja, manusia tidak akan mencapai Haqiqat dan tidak akan sampai kepada Matlamat Ubudiyyah.  Ubudiyyah yang benar dan sempurna hanya akan wujud oleh perpaduan antara Ilmu zahir (Syari'at Rasulullah ﷺ) dan Ilmu batin (Toriqat Rasulullah ﷺ).  Dengan ini dapat menyempurnakan  tuntutan Ma'rifat dan Ubudiyyah sebagaimana Firman Allah  "وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ".  (Tidak Aku ciptakan jinn dan manusia melainkan Ubudiyyah kepada-KU)

[Tamat Nukilan dari Kitab Sirrul Asrar]



Syari'at membicarakan Ilmu dan amal berhubung dengan amalan zahir seperti solat, puasa, zakat, haji, nikah kahwin, muamalah dan lain-lain.  Toriqat membicarakan ilmu dan amal ibadah berkaitan dengan hal ehwal hati, ilmu Zikrullah, penyakit hati yang membawa kepada syirik khafi dan mazmumah dan cara-cara menyucikannya.  Maka amalkan kedua-dua bahagian ilmu ini sekaligus adalah fardhu ain atas setiap mukallaf. 


Apabila seseorang hanya amalkan Syari'at (fiqh) sahaja dan meninggalkan Toriqat (Tasawwuf), maka akan berlaku kepincangan di dalam ibadahnya.  Mereka takkan mampu memahami kewajipan sucikan hati dari syirik (syirk khafi)  dan mazmumah (kekejian hati), kewajipan Zikrullah, hakikat Zikrullah, khusyu di dalam Ibadah, hakikat ikhlas, hakikat Iman dan Ubudiyyah.  


Imam Malik Radhiallahu Anhu berkata:


مَنْ تفقَّهَ ولم يتصوف فقد تفسق، ومَنْ تصوَّف ولم يتفقه فقد تزندق، ومن جمعَ بينهما فقد تحقَّق


“Sesiapa yang mempelajari Ilmu fiqh tanpa mengamalkan Tasawwuf, maka dia telah menjadi fasiq.  Dan sesiapa yang mengamalkan Tasawwuf tanpa mempelajari Ilmu fiqh, maka dia telah menjadi zindiq. Dan sesiapa yang menggabungkan antara kedua-duanya, maka dia telah mencapai kebenaran.”


[Kata-kata Imam Malik di dalam kitab:

Ihya Ulumuddin - Imam Ghazali

Qawaid Tasawwuf - Imam Zarruq

Risalah Ma'rifat - Tajul Arifin Shaikh Yahya Al Kholidi

Tanwirul Qulub - Imam Amin Kurdi

Sirus Salikin - Shaikh Abdus Somad Al Falimbani]


Inilah punca kebanyakan orang Islam menemui kesesatan.  Mereka mengambil sebahagian Agama (yang zahir sahaja) dan menolak sebahagian lagi (yang batin, hati, ruh).  Mereka tak sedar penolakan dan penentangan mereka pada hakikatnya menentang Allah dan Rasul-Nya.


SIRI 188


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat

Fasal 9: Punca Kekeliruan, Penyimpangan dan Kesesatan orang awam



Sebab keempat Kesesatan: Tidak Berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq


Yang keempat ini adalah sebenar-benar punca yang membawa kepada kepincangan dan kebinasaan orang Islam.  Iaitu mereka tidak mempunyai seorang Pemimpin Rabbaniyyah yang menunjukki mereka jalan kebenaran dan menjauhkan mereka dari jalan-jalan kebatilan dan kesesatan.  Akibatnya sebahagian orang Islam terjatuh kepada fahaman-fahaman batil dan sesat.  Wal Iyazubillah.


Yang dikatakan Pemimpin Rabbaniyyah adalah insan-insan sejati Pilihan Allah, yang telah disucikan ruh mereka, dan dikuatkan dengan beberapa keistimewaan khusus dari Allah sehingga mereka layak memimpin mereka kepada Ketuhanan dengan selamat. 


Firman Allah:

 

ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ 

بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ


“Kemudian Kami jadikan Al-Kitab (Al-Quran) itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah.  Yang demikian itu ialah limpah Kurnia yang besar (dari Allah semata-mata)."

[Faathir (35) : Ayat 32]

 

Menurut  tafsiran Ulama Ahlus Sunnah  yang dimaksudkan dengan “Kitab” adalah Al-Qur’an, dan maksud ayat Allah  “yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami” adalah di tujukan kepada Mursyid Pewaris Nabi yang benar-benar kenal Allah dan mencapai martabat Tauhid yang hakiki pada Maqam Tauhid Maqam Mukasyafah Zat. 


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

“Orang-orang yang berilmu dan hikmah (Mursyid, Ahli Ma'rifat) adalah hamba Allah yang sejati yang di-Pilih-Nya untuk menerima “Risalah-Risalah dari pengajaran-Nya”. Allah melimpahkan mereka ilmu dan hikmah dan dengan ilmu hikmah itulah mereka menjadi manusia yang lebih tinggi darjatnya dari manusia lain.  Mereka berhubung dengan Nabi melalui perasaan yang halus dan dengan aqal yang bijaksana.  (Kehalusan Ma’rifat Ilahiyyah atau disebut juga  kasyaf  Ilahiyyah).  Allah memuji mereka yang memiliki ilmu Hikmah dengan Firman-Nya:


ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ


 [Tamat nukilan kitab Sirrul Asrar]


SIRI 189


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat

Fasal 9: Punca Kekeliruan, Penyimpangan dan Kesesatan orang awam



Sebab Ke-4 Kesesatan:Tidak Berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq

sambungan....



Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Takabbur, kemunafikan dan ego, adalah panah syaitan yang tertuju pada hati kamu.  Kamu perlu siapkan satu strategi mempertahankan diri dari serangan-serangan ini.  Formula strategi tersebut telah diterangkan dan telah dibuktikan oleh Mashaa'ikh (guru-guru Mursyid).  Kamu perlu mendengar baik-baik  arahan mereka dan mematuhinya.  Mereka akan pimpin kamu pada jalan Allah kerana mereka telah pun melalui jalan tersebut.  Mintalah pada mereka nasihat-nasihat berkenaan nafsu-nafsu (yang rendah dan jahat), dan kelemahan-kelemahan lainnya,  kerana mereka juga pernah mengalami kesulitannya dan menghadapi kesan akibat darinya.  Mereka sangat sedar dan mengetahui bahaya dan ancaman dari nafsu-nafsu kejahatan.  Mereka telah menempuh jalan yang panjang memerangi (nafsu-nafsu tersebut) dengan demikian mereka boleh menghalang, mengawal dan mengalahkan semua kejahatan itu.

[Fathur-Rabbaniy Wa Faid ar -Rahmaniy]



Imam Fakhruddin Ar-Razi Radhiallahu Anhu:

“Seorang murid tidak memiliki jalan untuk sampai ke maqam-maqam hidayah (Iman, Taqwa, Tauhid  yang murni) dan mukashafah, kecuali dia mengikuti Mursyidnya yang menunjukkannya ke jalan yang lurus serta menghindarkannya dari titik-titik kesalahan dan jalan yang sesat.” 

[Tafsir Mafatih Al-Ghaib]



Berkata Imam Ghazali Radhiallahu 'Anhu:

“Murid memerlukan seorang Mursyid atau guru keruhanian yang dapat diikutinya, agar dia menunjukkannya ke jalan yang lurus.  (jalan benar yang di-Redhai Allah).  Jalan Agama sangatlah samar, (tak dapat bezakan haq dan batil, benar atau salah) dan jalan-jalan syaitan sangat banyak dan jelas (terbuka luas untuk dimasuki oleh siapa sahaja).  Oleh kerana itu, jika seseorang yang tidak mempunyai Shaikh ( Mursyid )yang membimbingnya,maka pasti syaitan akan menggiringnya (memimpin dan memujuknya) menuju jalannya. 

[Ihya Ulumuddid Bab Ilmu]


Bukti penyelewengan dan kesesatan manusia Muslim akibat tidak berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq amat banyak.  Di antaranya yang menjadi Pengajaran yang paling berkesan kepada seluruh Ummat adalah :  72 golongan yang telah jatuh kepada kesesatan adalah mereka yang tidak mempunyai Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq sebagai Pemimpin mereka kepada Ketuhanan. 


Ulama fiqh yang paling hebat sekalipun wajib merendahkan diri kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq bagi memperoleh keselamatan Agamanya kerana mereka tak kenal bisikan-bisikan Iblis yang sangat halus yang penuh tipu daya.  Mereka tak dapat bezakan seruan haq dengan seruan batil dari iblis dan kuncu-kuncunya.  Mereka tak dapat bezakan cahaya Ketuhanan dengan pancaran kegelapan Iblis kerana kedua-duanya kelihatan hampir serupa.  Mereka tidak mempunyai hubungan keruhanian dengan Allah Ta'ala kerana hati mereka terhijab dengan hijab kesyirikan (syirik khafi) dan mazmumah (kekejian) yang amat tebal.  Mereka tidak mendapat pimpinan Junjungan Rasulullah ﷺ kerana mereka tak kenal ruhaniyah Rasulullah ﷺ.  


Akibat dari semua ini, mereka sentiasa terdedah kepada bisikan nafsu kejahatan dan bisikan halus Iblis, maka sekalian fatwa mereka terdedah kepada kebatilan dan kesesatan.  Contoh kepada persoalan ini adalah Kisah Imam Ghazali yang telah berlalu penjelasannya.  Setiap orang alim ulama yang merasakan diri mereka sudah hebat tersangat patut ambil pengajaran yang amat berharga daripada kisah beliau.


SIRI 190


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4: Tingkatan Iman

Fasal 1: Pengenalan


Pengenalan — Iman

Pernahkah kalian terfikir apakah unsur terpenting yang membezakan orang yang mempunyai Iman dengan orang yang tidak memilikinya? Pernahkah kalian terfikir apakah perkara pokok yang membezakan orang beriman dengan orang kafir?


Adakah kalian sedar Iman adalah perkara terpenting dalam hidup manusia?

Adakah kalian sedar orang yang memiliki Iman yang sebenar telah memiliki segalanya dan

orang yang tiada Iman telah hilang segalanya?

Adakah kalian sedar wujudnya berbagai tingkatan kekufuran iaitu : orang yang terang-terang tidak beriman (kafir),  ada yang Imannya pura-pura (munafiq) ada yang Imannya ghurur (tertipu) dengan ajaran-ajaran sesat (72 golongan).


Pernahkah kalian renungi makna Iman menurut Ahlus Sunnah?

Adakah kalian sedar wujudnya orang yang beriman dengan Iman yang benar dan orang yang palsu Imannya?

Adakah kalian mengetahui tanda-tanda orang beriman?


Adakah kalian sedar wujud tingkatan-tingkatan Iman?

Adakah kalian sedar wujud tingkatan Iman orang awam dan Tingkatan Iman orang Salikin yang menuju Allah dan Iman Arifin?

Adakah kalian tahu perbezaan-perbezaannya?


Pernahkah kalian terfikir apakah haqiqat Iman?

Adakah kalian mengetahui Iman yang benar dan haqiqat Iman hanya diperoleh oleh Salikin yang mujahadah pada Jalan Allah — Jalan Ma'rifat?


Iman, Tauhid, Ma'rifat

Ungkapan Iman, Tauhid, Ma'rifat dan juga beberapa ungkapan yang berkaitan seperti Aqidah, Yaqeen, Mengenal Allah dan lain-lain boleh jadi mengelirukan bagi kebanyakan orang awam.  Bahkan Salikin yang baru mula mujahadah juga akan mendapati kepayahan di dalam mencernakannya dengan tertib. 

Di sini kita cuba berikan panduan awal secara ringkas.


Ungkapan Iman, Tauhid, Ma'rifat mempunyai hantaran maksud yang sama, iaitu merujuk kepada "Suatu kepercayaan teguh di dalam hati akan kewujudan Allah, Tuhan Yang Maha Esa yang tiada sekutu baginya, Tuhan yang Menciptakan sekalian makhluq dan Maha Mentadbir menurut Kehendak-Nya, Tuhan Yang Maha Kuasa dan Maha Perkasa atas setiap sesuatu,  Dia Menggerakkan sekalian planet, bumi, matahari, bulan dan bintang-bintang.  Dia menjadikan Lautan dan biarkan bahtera belayar di atasnya. Dia menciptakan manusia, jinn dan pohonan dan biarkan mereka menikmatinya sampai waktu yang ditentukan.   Dialah Tuhan yang Maha Agung,  Istiwa di atas 'Arasy tanpa kaifiyyat dan bentuk, yang tiada umpama sesuatu sepertinya,  Dia Yang Maha Menaungi sekalian Ciptaan-Nya."


Perbezaan antara ketiga-tiga istilah ini adalah : 

Kaedah pendekatan dan cara huraian dari sudut ilmiah yang berbeza-beza bersesuaian dengan bentuk-bentuk kefahaman aqal manusia dan bentuk-bentuk tahqiq di dalam hati seseorang yang beriman.


Haqiqat Iman, Tauhid, Ma'rifat

Sesungguhnya Haqiqat Iman adalah "Cahaya Ketuhanan" di dalam hati.  Iman bukan sekadar ungkapan atau pengakuan semata-mata.  Iman bukan teori-teori tentang Ketuhanan.  Iman tidak terhasil dari hafalan, diskusi, seminar, perdebatan... sebaliknya Iman adalah Rahsia Ketuhanan yang bersemi di dalam dada seorang hamba Allah yang dibukakan mata hati bagi mengenal-Nya dengan pandangan yang nyata benar.


Kepercayaan yang teguh dalam hati itu pula bukan suatu andaian, bukan sangkaan, bukan keraguan tetapi suatu keyakinan teguh dari penglihatan mata hati.!  Orang yang benar-benar beriman menghayati dengan hati dan ruh akan kewujudan Allah dan sekalian yang ghaib.  Mereka melihat Allah dari dalam hati. 


SIRI 191


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4: Tingkatan Iman

Fasal 1: Pengenalan

sambungan....



Iman, Tauhid, Ma'rifat — Cahaya Ketuhanan dalam hati

Sebagaimana kami sebutkan, Iman adalah Cahaya Ketuhanan dalam hati orang beriman.  Cahaya Ketuhanan ini adalah umpama "Pelita" atau "Lampu" yang bersinar di dalam hati orang beriman.  


Firman Allah:


سُوۡرَةُ النُّور

۞ ٱللَّهُ نُورُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشۡكَوٰةٍ۬ فِيہَا مِصۡبَاحٌ‌ ٱلۡمِصۡبَاحُ فِى زُجَاجَةٍ‌ ٱلزُّجَاجَةُ كَأَنَّہَا كَوۡكَبٌ۬ دُرِّىٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ۬ مُّبَـٰرَڪَةٍ۬ زَيۡتُونَةٍ۬ لَّا شَرۡقِيَّةٍ۬ وَلَا غَرۡبِيَّةٍ۬ يَكَادُ زَيۡتُہَا يُضِىٓءُ وَلَوۡ لَمۡ تَمۡسَسۡهُ نَارٌ۬‌ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ۬‌ يَہۡدِى ٱللَّهُ لِنُورِهِۦ مَن يَشَآءُ‌ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَـٰلَ لِلنَّاسِ‌ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمٌ۬ 


"Allah (memberi) cahaya (kepada) langit dan bumi.  Perumpamaan Cahaya Allah adalah seperti lubang yang tak tembus yang di dalamnya ada pelita besar.  Pelita itu di dalam kaca dan kaca itu seakan-akan (bintang yang bercahaya) seperti mutiara yang menyalakan minyak dari pohon yang banyak berkahnya, iaitu pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah baratnya yang minyaknya sahaja menerangi walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis) Allah membimbing kepada cahayanya, siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."

[An-Nuur (24) : Ayat 35]


Berkata  Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

"Kalam Allah (   مَثَلُ نُورِهِ ) adalah Cahaya Allah di dalam hati orang beriman"

 [Tafsir Ibn Abbas]


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhialllahu anhu:

"Maksud _Misykat_ adalah hati seorang Mu'min.  Maksud _Al-Misbahu_ adalah bermaksud Rahsia tinggi yang terbit dari hati yang amat suci iaitu Ruh Sultoni.  Maksud Az-zujajatu adalah mata-hati yang bersifat dengan gemerlapan kerana kekuatan cahaya yang luar biasa."

[Sirrul Asrar]


Awas : Perlu difahami dengan benar!

"Cahaya Ketuhanan"  tidak sama seperti "cahaya" yang terlihat di dunia, tetapi "Cahaya-Nya" adalah  _Laisa-Kamithlihi Syai'un_ yang tiada umpama sepertinya.  Tiada kata-kata yang mampu huraikannya.  Tiada tulisan mampu menggambarkannya.  Ia semata-mata sebuah penglihatan mata hati dan mata rahsia yang disaksikan secara maknawiyyah oleh Salikin yang menuju Allah.


Cahaya Ketuhanan dikatakan sebagai "Petunjuk Allah" dan "Cahaya yang menerangi" ke dalam hati orang beriman. Lebih tinggi lagi ianya bermaksud Sirriyah —  Rahsia Ketuhanan yang bersemi di dalam ruh orang beriman.  Semua ini adalah gambaran kedudukan seseorang yang beriman — berbeza-beza dan bertingkat-tingkat keimanannya dan kedudukannya di Sisi Allah.


Firman Allah di atas merupakan ayat  Mutasyabihat, yang hanya difahami dengan tepat oleh Ahli Ma'rifat.  Orang awam atau cerdik pandai Agama yang awam tak mampu memahaminya, maka dilarang keras mentafsirnya dengan pemikiran sendiri.  Di sini kita tidak akan bincang mendalam, melainkan hanya sekadar mengambil manfaat berhubung dengan Cahaya Ilahi yang terpancar di dalam hati orang beriman. 


Apabila Allah Ta'ala Menghendaki untuk Kurniakan Iman kepada seseorang dari hamba-hamba-Nya maka Dia (Allah) masukkan Cahaya-Nya ke dalam hatinya.  Walau bagaimanapun, Anugerah Allah yang paling berharga ini TIDAK didapati secara percuma. Setiap manusia Muslim perlu sungguh-sungguh mencarinya.


SIRI 192


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4: Tingkatan Iman

Fasal 2: Definisi Iman, Tauhid, Ma'rifat



Definisi Iman:

===========


Dari segi bahasa: 

Iman berasal dari kata  ( آمَنَ ) = "aamana" yang bererti percaya, yakin, aman, tenang, damai, terpercaya.   


Dari segi istilah: 

Iman adalah kepercayaan yang teguh terhadap Allah dan segala yang ghaib yang Allah Ciptakan. 


■ Iman adalah : Percaya kepada Rukun Iman yang enam :  Percaya kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-Nya, Rasul-Nya, Hari Qiamat dan Qadha dan Qadar.


■ Iman adalah :  At-tasdiq minal qalb, wat- taqrir bil-lisan, wal-amalu bil-arkan, iaitu benarkan di dalam hati akan Kalimah La-Ilaha Illallah, lafazkan Kalimah tersebut dengan lisan dan dirikan amal ibadah mengikut tuntutan kalimah tersebut.


■ Iman adalah :  Keyakinan yang tertanam kukuh di dalam hati akan kewujudan Allah dan segala yang Ghaib yang Allah Ciptakan.



Definisi Tauhid

=============


Dari segi bahasa:

Tauhid berasal dari kata ( أَحَد  ) = "ahada" yang ertinya Esa, tunggal, Satu, Penyatuan, Ke-Esaan, Tiada Tandingan.


Dari istilah:

Maka maksud "Tauhid" pada sudut Syara' adalah :  Esakan Allah Ta'ala,  _Jazamkan_ (tetapkan) di dalam hati bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa, yang tiada sekutu bagi-Nya, Yang Maha Mentadbir dengan sendirinya. Esakan Allah Ta'ala pada Af'al-Nya (Perbuatan-Nya). Asma'-Nya (Segala Nama-Nama-Nya yang Agung dan Indah) Sifat-Nya dan Zat-Nya. 



Definisi Ma'rifat

==============


Dari segi bahasa:

"Ma'rifat" berasal dari kata ( عَرَفَ  ) = 'arafa yang membawa maksud tahu, mengetahui, kenal dengan cara mendalam.  


Dar segi istilah:

Maka Ma'rifat pada sisi Syara' adalah pengetahuan yang sangat mendalam akan Ketuhanan, yang terpancar dari dalam hati serta pegangan yang kukuh yang tidak dapat digoncang lagi.


SIRI 193


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4: Tingkatan Iman

Fasal 2: Definisi Iman, Tauhid, Ma'rifat

sambungan....


Penjelasan:

  

(1) Dari suatu sudut Ilmiah, ketiga-tiga istilah — Iman, Tauhid, Ma'rifat mendokong maksud yang sama iaitu keyakinan yang teguh akan kewujudan Allah dan sekalian yang ghaib yang Allah Ciptakan.


(2) Ulama Ahlus Sunnah membahagikan orang beriman kepada beberapa tingkatan sesuai dengan Cahaya Ketuhanan yang wujud di dalam hatinya.


Pertama :

Iman, Tauhid, Ma'rifat berdasarkan Hujjah Aqal dan dalil-dalil.  Ini adalah Iman orang awam.


Kedua :

Iman, Tauhid, Ma'rifat berdasarkan penghayatan hati dan ruh.  Ini adalah Iman orang Salikin.


Ketiga :

Iman, Tauhid berdasarkan penghayatan hati, ruh dan sirr (rahsia Ketuhanan yang sangat dalam).  Ini adalah Iman Arifin.


(3) Ungkapan "Iman" dan "Tauhid" lazimnya digunakan secara umum untuk sekalian orang beriman ; sama ada  Iman orang awam, Iman Salikin atau Iman Arifin. Sementara ungkapan "Ma'rifat" digunakan secara khusus untuk Ahli Ma'rifat yang telah mengenal Allah dengan pengenalan yang tahqiq tanpa keraguan apa pun.


(4) Keimanan di peringkat awam adalah Keimanan yang yang bercampur-campur di antara Iman dan kesyirikan (syirik khafi — syirik tersembunyi) dan mazmumah (kekejian hati), ghaflah (kelalaian) dan aghyar (segala sesuatu selain Allah).


(5) Keimanan di peringkat  Salikin adalah dipanggil "Iman Sejati", "Tauhid haqiqi", "Ma'rifat suci murni".  Keimanan di peringkat ini merupakan penghayatan hati dan ruh, ertinya dia melihat Ketuhanan dari dalam hati, bukan fikir aqal semata-mata dan bukan hujjah-hujjah semata-mata.


(6) Inilah Haqiqat Keimanan — Iman, Tauhid, Ma'rifat dari penghayatan hati dan ruh, yang dituntut oleh Allah ke atas setiap orang beriman.  Adapun mengenal Allah melalui hujjah-hujjah adalah permulaan mengenal Allah — permulaan Iman, Tauhid, Ma'rifat. 


(7) Pengetahuan dari hal Ketuhanan (Haqiqat Keimanan) peringkat Salikin ini bukan fikir aqal, bukan hujjah atau dalil-dalil aqal, tetapi benar-benar suatu pandangan batin hati yang terpancar dari Cahaya Ilahiyyah (Ketuhanan).


(8) Ilmu ini (Haqiqat Keimanan) diperoleh oleh hamba-hamba Allah yang telah  mujahadah, melawan nafsu pada waktu yang sangat panjang dengan amalkan kedua-dua bahagian Agama — Syari'at dan Tariqat Rasulullah ﷺ dengan pimpinan Guru yang benar-benar Arif. 


(9) Orang yang tidak mendapat Ilmu ini (Haqiqat Keimanan) adalah orang awam, iaitu Keimanannya sentiasa terumbang-ambing antara keimanan dan kesyirikan (syirik khafi — syirik tersembunyi) dan mazmumah (kekejian hati), ghaflah (kelalaian) dan aghyar (segala sesuatu selain Allah).


(10) Haqiqat Ketuhanan — Ma'rifat yang diperoleh oleh _salikin_ terdiri dari 5 tingkatan:


(1) Maqam Tauhid Af'al

(2) Maqam Tauhid Asma'

(3) Maqam Tauhid Sifat

(4) Maqam Tauhid Zat

(5) Maqam Kesempurnaan Ma'rifat (Tajalli) 


SIRI 194


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4: Tingkatan Iman


Fasal 3: Iman Orang Awam




Definisi Iman Orang Awam:


Iman orang awam adalah : Orang yang meyakini Wujud Allah (serta sekalian yang Ghaib) berdasarkan pemikiran aqalnya atau khabar dari orang dipercayai atau berdasarkan dalil Syara'.


Penjelasan ringkas:

(1) Mereka dikatakan Iman orang awam kerana keimanan mereka belum masuk ke hati mereka.  Iman mereka hanya berada pada aqal mereka.


(2) Kepercayaan orang awam yang berdasarkan kepada pemikiran aqal atau khabar yang diterima daripada seseorang yang dipercayai atau dalil-dalil Syara', berdiri atas 3 bentuk keyakinan:


Pertama: 

Keyakinan bersifat waham (sangkaan lemah, khayalan, bayang-bayang).

Keyakinan ini 30% keyakinan dan 70% dalam keraguan.


Kedua:

Keyakinan bersifat syak (sangkaan pertengahan).

Keyakinan ini 50% keyakinan dan 50% dalam keraguan.

 

Ketiga:

Keyakinan bersifat zonn (sangkaan yang kuat).

Keyakinan ini 70% keyakinan dan 30% dalam keraguan.


(3) Keyakinan orang awam belum mencapai 100% keyakinan kerana dia cuma beriman dengan sangkaan-sangkaan atau bayangan atau khayalan.  Dalam istilah yang lebih tegas, hatinya belum yakin penuh kerana hati dan ruhnya belum melihat Allah.


(4)  Iman orang awam adalah Keimanan yang lemah, rapuh, mudah goyang, tiada ketetapan, penuh dengan kekhuatiran.  Inilah hal kebanyakan orang Islam.


(5) Termasuk di dalam Iman orang awam adalah cerdik pandai Agama, kiyai, ustaz-ustazah, Ulama (fekah), PhD, Profesor dan lain-lain yang hanya amalkan Syari'at (fiqh) sahaja dan abaikan Toriqat (tasawwuf).


(6) Dalil yang mengesahkan hal ini adalah Kalam Allah Yang Maha Agung :


Firman Allah :


 ۞ قَالَتِ الْأَعْرَابُ آمَنَّا  قُلْ لَمْ تُؤْمِنُوا وَلَٰكِنْ قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الْإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ  وَإِنْ تُطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَا يَلِتْكُمْ مِنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئًا  إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ 


Orang-orang "A`raab" (yang dimaksud adalah orang Badwi ) berkata: Kami telah beriman. Katakanlah (Wahai Muhammad):  kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian, tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu)  berkatalah sahaja: Kami telah Islam dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

[Al-Hujurat (49) : Ayat 14]


Berkata Imam Gazali Radhiallahu anhu:

Iman orang awam adalah Iman orang yang taqlid pada seseorang yang ia percayai.  Ibarat seorang yang meyakini Zaid ada di dalam sebuah rumah tapi dia tidak melihat sendiri di rumah.  Ia percaya hanya mendengar khabar dari seorang yang dia percayai sehingga dia tidak perlu melihat apakah Zaid ada di rumah atau tidak.


Berkata Imam Junaid Radhiallahu anhu:

"Tauhid bagi orang awam adalah pengakuan atas ke-Esaan Allah serta tidak mengakui adanya tuhan selain Dia. Tauhid bagi orang-orang alim dan berilmu adalah pengakuan atas ke-Esaan Allah, tidak mengakui adanya tuhan selain Dia serta menjalankan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya."

[Rasaail-Al-Junaid]


SIRI 195


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4: Tingkatan Iman


Fasal 3: Iman Orang Awam

sambungan...




Fakta-fakta  Iman Orang Awam


Fakta 1: Perbezaan Utama.

Sebagaimana kami jelaskan secara ringkas sebelum ini, perbezaan ketara Iman orang awam dengan Maqam Tauhid haqiqi (sebenar suci) adalah: 

Iman orang awam terletak pada aqalnya, ertinya mereka beriman dengan kekuatan aqal, Iman belum masuk ke hati mereka dengan sebenarnya.  


Sedangkan Salikin beriman dengan penghayatan hati dan ruh mereka dan orang Arif beriman dengan Sirr (rahsia hati yang sangat dalam).


Fakta 2: Punca Iman belum ke hati.

Punca Iman belum masuk ke hati orang awam adalah kerana hati mereka masih diliputi kekotoran maknawiyyah. 


Fakta 3: Kekotoran Maknawiyyah.

Kekotoran _maknawiyyah_ hati orang awam terdiri dari 5 perkara:

(1) Syirik Khafi, iaitu Syirik tersembuyi

(2) Mazmumah (sifat keji)

(3) Ghaflah (kelalaian hati)

(4) Aghyar (Segala sesuatu selain Allah)

(5) Isyan (dosa-dosa zahir)


Fakta 4: Syirik Khafi Dosa terbesar.

Daripada semua dosa-dosa, dosa yang terlebih besar adalah Syirik Khafi, iaitu syirik tersembunyi.  Syirik tersembunyi ini menjadi punca utama kerosakan Iman dan kebinasaan amal.  Inilah sebabnya Masyaikh Ahlus Sunnah memberikan perhatian khusus untuk penyucian hati, iaitu sucikan hati daripada Syirik khafi.  Selagi hati kamu tidak suci daripada Syirik khafi, hati kamu akan berada dalam zulmat (kegelapan) dan amal ibadah kamu akan rosak atau batal.  Bagaimana?  In shaa Allah akan dijelaskan pada bahagian-bahagian akan datang. 


Fakta 5: Fokus Utama Pendidikan Rasulullah ﷺ.

Apabila kamu perhalusi Manhaj Al-Qur'an dan Sunnah, inilah yang menjadi fokus utama pendidikan Rasulullah ﷺ , iaitu perkara pertama dan utama Pendidikan Rasulullah ﷺ adalah hapuskan Syirik khafi daripada hati para sahabat. 


Firman Allah :


هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬


“Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan Ayat-Ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Ilmu rahsia dan pengetahuan mendalam).  Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”

[Al-Jumu’ah (62) :  Ayat 2]


Selama 13 tahun di Makkah, Rasulullah ﷺ mendidik para Sahabat dengan Ilmu khusus, sehingga para Sahabat menjadi hamba-hamba Allah yang bertaqwa dan di-Redhai Allah.  Apakah Ilmu khusus itu?  In Shaa Allah akan datang penjelasan.


SIRI 196


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman


Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta  Iman Orang Awam

sambungan....


Fakta 6:  Tidak khusyu' dalam Solat

Orang di peringkat awam iaitu Iman orang awam amat susah untuk khusyu' dalam Solat, kerana hatinya menerawang kepada hal-hal keduniaan yang sentiasa menghambatnya.  Hati mereka kekosongan dari mengingat Allah, atau amat sedikit mengingat Allah atau tiada langsung mengingat Allah kerana Hati mereka tidak terlatih dengan zikrullah. 


Orang awam belum mencapai tasawwuf (kesucian hati) yang membolehkan hati mereka khusyu'.  Akibatnya sewaktu solat, hati mereka merewang ke muka bumi, hati mereka di pasaraya, hati mereka di sekolah, hati mereka masyghul uruskan kerja pejabat, bergaduh sana sini dan segala macam gambaran hidup yang telah dilalui dalam kehidupan.  Bahkan sejarah hidup puluhan tahun yang lampau pun menjadi mainan dan wayang pemikirannya.


Walaupun mulut membaca Takbir membesarkan Allah, walaupun mulut membaca Tasbih, walaupun mulut membaca Tahmid, namun hati mereka tiada bersertanya.  Walaupun mereka ruku' dan sujud namun hati mereka tidak turut ruku' dan sujud.  Hati mereka leka menghadap dunia.  Hati mereka lalai dan sibuk dengan segala hiruk-pikuk dunia.  Ringkasnya ketika solat, mereka tidak menghadap Allah sebaliknya manghadap makhluq dan dunia. 


Inilah hal keadaan kebanyakan orang awam mengerjakan Solat...!  


Sebagaimana kami jelaskan sebelum ini, apabila disebut orang awam, ianya tidak terhad kepada orang jahil atau orang yang sedikit ilmu sahaja bahkan juga termasuk di dalam istilah orang awam adalah mereka yang banyak ilmu Agama (ilmu fiqh semata-mata), ustaz, kiyai, muallim yang hanya memiliki ilmu fiqh semata-mata sedangkan jiwa mereka kosong dari mengingat Allah, jiwa mereka tiada hakikat tasawwuf (kesucian hati).... sampailah kepada Profesor dan PhD dan Drs dan lain-lain peringkat sarjana atau bergelar Ulama alim fiqh sekalipun tetap juga tiada khusyu' di dalam solatnya....! 


Mengapa ustaz, muallim, kiyai, Profesor juga tidak dapat khusyu' dalam Solat?


Jawapannya : 

Ini terjadi kerana mereka hanya berpegang kepada ilmu dan amal zahir (fiqh) semata-mata, sementara ilmu dan amal yang berkaitan dengan batin hati — iaitu Toriqat Rasulullah ﷺ yang sahih diabaikan.  Maka tiadalah mereka memperoleh tasawwuf di dalam diri (kesucian hati) yang membolehkan mereka khusyu' di dalam solatnya.  Sedangkan khusyu' setengah daripada Syarat sah batin solat.  Barangsiapa tidak langsung Khusyu' dalam Solat, maka sia-sia solatnya. 


Firman Allah:


قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (١) ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ (٢) 


"Sesungguhnya mencapai kemenangan (kejayaan, selamat) orang Mu'min, iaitu mereka yang khusyu' di dalam Solatnya."

[Al-Mu'minun (23) : Ayat 1-2]


Rasulullah ﷺ bersabda:

“Barang siapa menunaikan solat tepat pada waktunya dan melengkapkan ruku'nya, sujudnya dan khusyu', maka solat itu pun naik ke atas dalam keadaan putih dan cemerlang.  Solat itu berkata:  “Semoga Allah Ta'ala menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (menyempurnakan syarat, rukun, khusyu' dan ikhlas).  Tetapi barang siapa yang kerjakan solat tidak dalam waktunya yang ditentukan dan tidak pula menyempurnakan wudhu'nya serta tidak pula melengkapkan ruku'nya, sujudnya dan tanpa khusyu' sama sekali, maka solat itu pun naiklah ke atas dalam keadaan hitam kelam sambil berkata:  “Semoga Allah Ta'ala mensia-siakan dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku.  Selanjutnya setelah solat itu berada di suatu tempat seperti dikehendaki Allah Ta'ala, ia pun lalu dilipatkan sebagaimana dilipatnya baju yang koyak rabak kemudian dipukulkanlah kepada mukanya”. 

[Imam Thabrani dan Imam Baihaqi]


SIRI 197


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman


Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta  Iman Orang Awam

sambungan....


Fakta 7:  Amat sukar mendapat Ikhlas dalam Solat

Orang awam amat sukar mendapat Ikhlas dalam Solat serta ibadah lain. Niat mereka bercampur-campur ketika melakukan Ibadah.  Setengah mereka beribadah untuk kesihatan badan mereka.  Setengah beribadah kerana ingin murah rezeki.  Setengah beribadah kerana harapkan pujian makhluq.  Setengah beribadah kerana riya.


Firman Allah:


 وَمَآ أُمِرُواْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدّينَ  


Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya. 

[Al-Bayyinah (98) : Ayat 5]  


Rasulullah ﷺ bersabda:

"Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk mengharap redha Allah. 

[Imam Abu Daud, Imam An-Nasa'i]


Kemudian ada lagi orang-orang yang keluar dari sifat tercela dan semata-mata beribadah kerana Allah tetapi mereka terhalang oleh syirik khafi (syirik tersembunyi). 


Tiga Tingkatan Ikhlas orang awam


(1) Melakukan amal ibadah dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah, tetapi pada masa yang sama mempunyai cita-cita di dalam hatinya kepada kesenangan syurga berupa bidadari, mahligai indah-indah dan segala macam makanan enak dan hiburan syurga.  


(2) Melakukan solat (dan juga ibadah lain) dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah dan tidak mempunyai cita-cita di dalam hatinya (tiada menuntut hatinya) kepada syurga dan segala kesenangannya.  Tetapi hamba ini melihat kemampuan dirinya melakukan amal ibadah (disebut keakuan diri). 


(3) Melakukan amal ibadah dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah, tidak mempunyai cita-cita kepada kesenangan syurga, tidak melihat kemampuan dirinya melakukan amal ibadah, tetapi dia merasakan dirinya sudah ikhlas. 


Inilah 3 tingkatan ikhlas orang awam, (iaitu mereka yang tidak melalui jalan Ma'rifat Ketuhanan). 


Tingkatan yang ke-3 lebih baik daripada tingkatan ke-2 dan tingkatan pertama.  Tingkatan ke-2 lebih baik dari tingkatan awal. 


Pada sisi Fiqh, ketiga-tiga bentuk "ikhlas awam" ini adalah sah, yakni sah amal ibadahnya dan terlepas daripada _taklif syara_' (kewajipan sebagai mukallaf).  Namun apabila direnungi pada sisi tasawwuf, ketiga-tiga bentuk ikhlas ini masih belum bebas sepenuhnya daripada "mempersekutukan" Allah.  Ini kerana menuntut selain wajah Allah di dalam ibadah adalah suatu bentuk "kesyirikan yang halus" kepada Ketuhanan — syirik khafi.


Sebagaimana kami sebut beberapa kali sebelum ini, kepayahan dalam memperoleh ikhlas bukan sahaja terkena pada orang jahil atau orang yang sedikit ilmu sahaja, tetapi juga kepada Profesor dan PhD dan Drs dan lain-lain peringkat sarjana atau bergelar Ulama alim fiqh sekalipun!


Berikut adalah pengakuan Imam Ghazali sendiri di dalam Kitab Beliau Munqiz Min-Ala-Dhalal, ketika beliau masih di peringkat Ulama fekah:


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu Anhu

“Aku lihat diriku tenggelam dalam samudera godaan dan rintangan.  Segala pekerjaanku dan yang terbaik ialah mengajar dan mendidik kutinjau sedalam-dalamnya.  Jelas, aku sedang memperhatikan beberapa ilmu yang tidak penting untuk perjalanan ke akhirat.  Apa niat dan tujuanku dengan mengajar dan mendidik, nyatalah tidak sebenarnya ikhlas yang murni kerana Allah Ta'ala, melainkan dicampuri oleh pengaruh ingin kepada kedudukan dan kemasyhuran.  Maka terasalah kepadaku bahawa aku sedang berdiri di pinggir jurang yang curam, di atas tebing yang hampir gugur.  Aku akan jatuh ke neraka jika tidak segera merubah sikap".

[Munqiz Min-Adh-Dholal]


SIRI 198


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman


Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

sambungan....


Fakta 8:  Tidak Menyedari Bahaya Syirik Khafi


Kebanyakan orang awam tidak menyedari bahaya _Syirik khafi_ sedangkan Syirik Khafi merosak Iman dan batalkan amal ibadah.  Berikut adalah penjelasan berkenaan Syirik Khafi dan bahayanya!


Menurut pendirian Ahlus Sunnah, Syirik Khafi adalah syirik tersembunyi.  Ianya dikatakan syirik yang tersembunyi kerana syirik ini terpendam di dalam hati.  Tidak diketahui oleh manusia lain kecuali dirinya dengan Allah Ta'ala.  Namun ada kalanya syirik tersembunyi ini akan terzahir dari perkataan dan perbuatan seseorang yang memiliki sifat-sifat ini.  

 

Adakalanya syirik terpendam ini terzahir di dalam keadaan kehidupan biasa atau mungkin juga ketika terjadi suatu peristiwa yang menggugah perasaannya.  Atau suatu cabaran yang menggugat kedudukannya pada pandangan manusia.  Contoh yang paling besar di dalam kejadian manusia adalah kisah Iblis dengan Nabi Adam.  (Sebagaimana telah dijelaskan sebelum ini).

 

Menurut Ulama Ahlus Sunnah, Syirik Khafi tidak menggugurkan Iman seseorang, tetapi jika dia mengekali Syirik Khafi  ini tanpa taubat SEGERA dan tidak berusaha bersungguh-sungguh menjauhkannya, maka ia boleh membawa kepada kerosakan Iman dan boleh hapuskan amal ibadah seseorang bagaikan api memakan sekam (terhapus secara senyap tanpa disedari). 

 

Dari suatu sudut pandang, Syirik Khafi ini tidak kurang bahayanya dengan Syirik Khafi (Syirik besar) kerana lazimnya syirik ini tidak kelihatan lantaran terpendam di dalam hati.  Bahkan dari suatu sudut, Syirik Khafi lebih merbahaya bagi orang beriman kerana orang beriman tidak akan sembah berhala berupa patung, kayu atau benda-benda lain.  Tetapi mereka menyembah "berhala hati" yang bermaksud "menyembah" diri sendiri atau "menyembah" makhluq lain berupa nafsu, Iblis, kekayaan dunia, pangkat, kekayaan dan lain-lain.  Oleh kerana ini Nabi ﷺ bersabda:

 

Rasulullah ﷺ bersabda:

“Aku sangat takut syirik pada Ummatku.  Walaupun mereka tidak menyembah berhala, matahari, bulan dan batu.  Akan tetapi memperlihatkan kepada orang dengan amal mereka”. 

[Imam Ibnu Majah, Al-Hakim]


Keterangan dari halSyirik Khafi, sebab-sebabnya, jenis-jenisnya, jalan-jalan penyakit ini terbentuk dalam hati dan cara-cara merawatnya sehingga hati kembali kepada kesucian diri yang asal dijelaskan di dalam kitab-kitab Tasawwuf dan Ma'rifat. 


Inilah sebabnya mempelajari hal ehwal penyakit hati yang paling berat ini daripada ahlinya, iaitu Mursyid yang Siddiq dan seterusnya mujahadah melawan nafsu kejahatan, melawan bisikan-bisikan Syaitan, berzikir sungguh-sungguh membersihkan hati dengan Pimpinan beliau menjadi Fardhu Ain (wajib atas setiap diri yang mukallaf).


Tiga Golongan menghadapi Syirik Khafi:


Pertama:  Orang Awam yang jahil

Kebanyakan orang awam yang tiada pengetahuan tidak mengenali _Syirik khafi_, tidak mengetahui wujudnyaSyirik Khafi, tidak mengetahui betapa besarnya bahaya Syirik Khafi, dengan demikian mereka tidak peduli mengenainya.  Akibatnya terumbang-ambinglah mereka antara keimanan dan kesyirikan (tanpa disedari).


Kedua:  Alim Fiqh dan Usuluddin

Sebahagian besar orang alim Fiqh atau Usuluddin mengetahui akan wujudnya Syirik Khafi, mereka tahu bahaya dan kebinasaannya.  Namun mereka tidak dapat membuangnya kerana mereka tidak mengetahui jalan-jalan untuk hapuskannya dari hati mereka.


Ketiga:  Golongan Sesat

Golongan ini menafikan terus wujudnya Syirik Khafi.  Pada pendapat mereka segala gerak dan lintasan hati dimaafkan, maka menurut pendapat mereka, persoalan bab keruhanian dan Ilmu Toriqat dan Tasawwuf semua tak wujud.  Akibatnya tinggallah mereka di dalam kesesatan dan kebinasaan.


SIRI 199


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman


Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

sambungan....


Fakta 8:  Tidak menyedari bahaya Syirik khafi

sambungan....


Bahaya Syirik Khafi Pertama: Seperti Sembah makhluq


Firman Allah:


اتَّخَذُواْ أَحْبَـرَهُمْ وَرُهْبَـنَهُمْ أَرْبَاباً مِّن دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَآ أُمِرُواْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ إِلَـهاً وَحِداً لاَّ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ سُبْحَـنَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ 

 

“Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia.  Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan”. 

[At-Taubah (9) : Ayat 31]


Tafsiran:

Rasulullah ﷺ memberikan tafsiran berkenaan perbuatan "menyembah":

Adi bin Hatim (ketika itu belum Islam) menghadap Rasulullah ﷺ dengan salib di lehernya, dia berkata:  "Mereka tidak pernah menyembah (para pendeta)”.  Rasulullah ﷺ bersabda:  “Ya (mereka menyembah para pendeta).  Jika (para pendeta) mengharamkan kepada mereka sesuatu yang halal dan menghalalkan sesuatu yang haram, mereka mengikuti (para pendeta itu) maka itulah cara mereka menyembah pendeta mereka."

[Imam Ahmad dan At-Tirmidzi]


Bahaya Syirik Khafi ke-2:  Tersembunyi —Terpendam dalam hati


Syirik Khafi sangat susah dikenali kerana terpendam di dalam hati.  Ia umpama seekor semut berjalan di atas batu hitam di malam yang kelam.


Firman Allah:


فَلَا تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادً۬ا وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ…….


“Maka janganlah kamu membuat sekutu untuk Allah padahal kamu mengetahui (bahawa Allah adalah Maha Esa)”. 

[Al-Baqarah (2) : Ayat 22]


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu Anhu:

“Membuat sekutu untuk Allah adalah perbuatan syirik, suatu perbuatan dosa yang lebih sulit untuk dikenali daripada semut kecil yang merayap di atas batu hitam, pada malam hari yang gelap gulita”. 

[Tafsir Ibnu Abbas]


SIRI 200


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman


Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

sambungan....


Bahaya Syirik Khafi ke-3:  Syirik Khafi hapuskan segala amal


Firman Allah:


وَلَقَدۡ أُوحِىَ إِلَيۡكَ وَإِلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكَ لَٮِٕنۡ أَشۡرَكۡتَ لَيَحۡبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِينَ 


“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi-nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi”. 

[Surah az-Zumar (39) : Ayat 65]


Bahaya Syirik Khafi ke-4:  Penyembahan kepada Nafsu


Firman Allah:


  أَرَءَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلاً


“Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya:  Tuhan yang dipuja lagi ditaati?  Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?”

[Al-Furqan (25) : Ayat 43]


Bahaya Syirik Khafi ke-5:  Rasulullah ﷺ terlebih bimbang pada Ummat akan Syirik Khafi


Rasulullah ﷺ bersabda:

“Aku sangat takut syirik pada Ummatku.  Walaupun mereka tidak menyembah berhala, matahari, bulan dan batu.  Akan tetapi memperlihatkan kepada orang dengan amal mereka”. 

[Imam Ibnu Majah, Al-Hakim]


Bahaya Syirik Khafi ke-6:  Syirik khafi lebih bahaya dari Fitnah Dajjal


Rasulullah ﷺ bersabda:


فَقَالَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِمَا هُوَ أَخْوَفُ عَلَيْكُمْ عِنْدِي مِنْ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ قَالَ قُلْنَا بَلَى فَقَالَ الشِّرْكُ الْخَفِيُّ أَنْ يَقُومَ الرَّجُلُ يُصَلِّي فَيُزَيِّنُ صَلَاتَهُ لِمَا يَرَى مِنْ نَظَرِ رَجُلٍ


(Ketika para Sahabat saling mengingatkan berkenaan Fitnah Dajjal), Rasulullah ﷺ bersabda, "Mahukah aku khabarkan kepada kalian mengenai sesuatu yang lebih aku khuwatirkan terhadap diri kalian daripada Al Masih Ad-Dajjal?" (berkata Abu Sa'id — perawi).  Kami menjawab, "bahkan kami mahu". 

Baginda bersabda:  "Syirik yang tersembunyi, iaitu seseorang mengerjakan Solat dan membaguskan Solatnya itu kerana ada seseorang memperhatikannya". 

[Ibnu Majah]


Bersambung siri 201 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_______________________________ 

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 200 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَة...