■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
SIRI 561 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 66:
Putus silatur-rahim
I قَاطِعَ رَحِمٍ I
...sambungan....
Dalil 6: Rasulullah ﷺ bersabda:
“لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعٌ” يَعْنِي: قَاطِعَ رَحِمٍ.
“Tidak akan masuk Syurga orang yang "memutuskan" ; iaitu orang yang putuskan silatur-rahim.”
[Imam Bukhari, Imam Muslim]
Berkata Imam Nawawi Radhiallahu anhu:
Hadith ini (Hadith berkenaan ancaman terhadap orang yang putuskan silatur-rahim ) menunjukkan bahawa memutuskan tali persaudaraan (kerabat) merupakan dosa besar dan menjadi sebab yang menghalangi seseorang dari masuk Syurga.
Pengertian "Tidak akan masuk Syurga" di dalam Hadith ini, ada dua kemungkinan:
Pengertian Pertama, tertuju kepada orang yang menganggap halal memutuskan persaudaraan tanpa sebab, padahal dia mengetahui keharamannya, maka orang ini kafir, dia kekal di dalam Neraka, dan tidak akan masuk Syurga selamanya. (kerana dia telah halalkan suatu yang diharamkan oleh Allah — pent.)
Pengertian Kedua, maksudnya: tidak masuk Syurga bersama orang-orang yang masuk dahulu, tetapi dia dihukum dengan diundurkan dari masuk Syurga dengan ukuran yang dikehendaki oleh Allah Azza wa Jalla. (disiksa di dalam Neraka terlebih dahulu kemudian dimasukkan ke dalam Syurga)
[Syarah Sahih Muslim — Imam Nawawi]
Dalil 7: Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ أَحبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ في رِزقِهِ ويُنْسأَ لَهُ في أَثرِهِ فَلْيصِلْ رحِمهُ
“Sesiapa ingin dilapangkan baginya rezekinya dan dipanjangkan untuknya umurnya, hendaknya dia menyambung silatur-rahim.”
[Imam Bukhari, Imam Muslim]
Berkata Imam Nawawi Radhiallahu anhu:
"Menghubungkan silatur-rahim bermaksud berlaku ihsan kepada kaum kerabatnya yang terdekat berdasarkan keadaan penyambung dan yang disambung ; boleh jadi ia berlaku dengan sebab harta, kadang-kadang berlaku dengan cara berkhidmat kepadanya, kadang-kadang dengan melakukan ziarah, memberi dan menjawab salam dan sebagainya.”
[Syarah Sahih Muslim]
Dalil 8: Rasulullah ﷺ bersabda :
وَمَنْ كانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ والْيوم الآخِر، فَلْيصلْ رَحِمَهُ …
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia menyambung silatur-rahim”.
[Imam Bukhari]
Dalil 9: *Rasulullah ﷺ bersabda:
ثلاثةٌ لا يدخلون الجنَّةَ : مُدمنُ الخمرِ ، وقاطعُ الرَّحِمِ ، ومُصدِّقٌ بالسِّحرِ
"Tiga jenis manusia tidak akan masuk ke dalam Syurga iaitu orang yang kekal minum arak dan orang yang memutuskan silatur-rahim dan orang yang percaya kepada sihir.”
[Imam Ibnu Hibban]
Dalil 10: Rasulullah ﷺ bersabda:
لَيْسَ الوَاصِلُ بِالمُكَافِئ، وَلكِنَّ الوَاصِلَ الَّذِي إِذَا قَطَعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا
“Bukanlah orang yang menyambung (silatur-rahim) itu adalah orang yang membalas kebaikan orang lain setimpal sepertimana yang dilakukan kepadanya, akan tetapi penyambung itu adalah orang yang jika ada yang memutuskan hubungan dengannya, dia bertindak menyambungnya.”
[Imam Bukhari]
SIRI 562 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 66:
Putus silatur-rahim
I قَاطِعَ رَحِمٍ I
...sambungan....
Punca putus silatur-rahim
===================
Hal-hal yang membawa kepada putus silatur-rahim di kalangan ahli keluarga, kaum kerabat amat banyak namun hampir semua berpunca dari penyakit hati — dorongan nafsu jahat dan bisikan Syaitan yang sentiasa berusaha pecah-belahkan orang-orang beriman.
Kebanyakan perselisihan mungkin hanya perkara-perkara remeh yang boleh diselesaikan dengan cara rundingan, tolak ansur dan kasih sayang. Tetapi nafsu kejahatan dan syaitan sentiasa masuk campur membawa kepada perbalahan dan pecah belah.
(1) Jahat sangka
(2) Dengki
(3) Adu domba
(4) Memfinah
(5) Merebut harta pusaka
(6) Membesar-besarkan hal pergaduhan anak-anak
(7) Kesombongan
(8) Saling menuduh
(9) Kemegahan — berbangga-bangga dengan anak-anak, harta, pangkat, kedudukan
(10) Tamak haloba
Akibat — bahaya putus silatur-rahim
===========================
Akibat 1: Jauh dari Rahmat Allah, hilang keberkatan hidup
Putus silatur-rahim bermaksud perpecahan sedang perpecahan dilarang kerana ia membawa kepada hilangnya Rahmat Allah dan membawa kebinasaan. Ummat Islam diperintah sentiasa hidup bersatu padu, tolong menolong dan jauhi sama sekali hal-hal yang membawa kepada permusuhan dan perpecahan.
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Rahmat Allah tidak akan turun kepada kaum yang padanya terdapat orang yang memutuskan tali silatur-rahim."
[Imam Muslim]
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Berjemaah itu adalah Rahmat, dan perpecahan itu adalah azab.”
[Imam Ahmad, Imam Baihaqi]
Akibat 2: Tidak masuk Syurga
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Tidak akan masuk Syurga orang yang "memutuskan" ; iaitu orang yang putuskan silatur-rahim.”
[Imam Bukhari, Imam Muslim]
Akibat 3: Azab disegerakan (di dunia)
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Tidak ada dosa yang Allah lebih percepat siksaan kepada pelakunya di dunia serta yang tersimpan untuknya di Akhirat selain perbuatan zalim dan memutuskan tali silatur-rahim."
[Imam Tirmizi]
SIRI 563 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 66:
Putus silatur-rahim
I قَاطِعَ رَحِمٍ I
...sambungan....
Kemusykilan dan Jawapan
====================
Kemusykilan 1:
Saya tak tahu selama ini yang putuskan silatur-rahim itu dosa besar. Saya juga banyak berdosa dengan mereka. Masalahnya saudara yang saya putuskan itu sudah meninggal. Apa patut saya buat?
JAWAPAN:
Sebelum ini kami telah huraikan Bab Taubat Nasuha. Syarat ke-5 Taubat Nasuha adalah : Menebus kesalahan kamu dengan manusia iaitu, memohon maaf kepada mereka yang berkenaan dan jika kamu telah berbuat zalim padanya seperti pernah memukulnya atau cederakannya, maka hendaklah kamu serahkan diri untuk dia menuntut balas atau jika kamu pernah merampas hartanya, maka wajib kamu kembalikannya atau gantikan hak-haknya dengan yang serupa atau jika kamu pernah mencalar maruahnya, maka wajib kamu sungguh-sungguh mohon ampun padanya serta bersihkan namanya daripada fitnah yang pernah kamu lakukan.
Persoalannya:
Apakah yang patut dilakukan ketika orang yang dizalimi telah meninggal dunia dan waris-warisnya tidak dapat ditemui? Ini kerana dosa sesama manusia tidak akan terampun selagi tidak diampuni oleh mereka yang telah terzalim. Ertinya di samping memohon ampun kepada Allah, maka orang yang bersalah wajib memohon ampun kepada mereka yang berkenaan sehingga orang itu mahu ampunkan dan redha.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Kezaliman itu ada tiga macam: Kezaliman yang tidak diampunkan Allah, kezaliman yang dapat keampunan Allah, dan kezaliman yang tidak dibiarkan oleh Allah. Adapun kezaliman yang tidak diampunkan Allah adalah syirik, Firman Allah : “Sesunggahnya syirik itu kezaliman yang amat besar!”, adapun kezaliman yang dapat keampunan Allah adalah kezaliman seseorang hamba terhadap dirinya sendiri di dalam hubungan dia terhadap Allah, Tuhannya dan kezaliman yang tidak dibiarkan Allah adalah kezaliman hamba-hamba-Nya di antara sesama mereka, kerana pasti dituntut kelak oleh mereka yang dizalimi."
[Imam Bazzar, Imam Abu Nu'aim, Imam Thiyalisi]
Di dalam hal ini, Masyaikh kita menegaskan, barangsiapa tidak menemui orang yang dizalimi untuk dia memohon ampun dan gantikan hak-haknya, maka hendaklah dia sempurnakan Taubatnya dengan cara-cara berikut:
(1) Taubat kepada Allah Ta'ala serta memohon sungguh-sungguh kepada Allah moga hamba Allah yang dia telah zalimi akan ampunkannya dan tidak menuntutnya di Akhirat.
(2) Banyak bersedekah atas nama orang yang dia telah zalimi. Misalnya setiap kali dia bersedekah hendaklah berkata dalam hati, contoh seperti ini:
"Ya Allah Ya Tuhanku, inilah sedekah yang ku niatkan pahalanya kepada si fulan yang aku telah zaliminya. Jadikanlah sebagai penebus dosaku dengannya."
(3) Hadiahkan pahala bacaan Surah Yaasin atau pahala Zikir Tahlil kepada orang yang telah dia zalimi sebanyak mungkin kerana di Akhirat tiada wang dinar dan dirham untuk digantikan. Maka dengan membanyakkan sedekah pahala atas nama orang yang telah dizalimi, moga diharapkan dia dapat menebus dosa-dosanya.
Semoga dengan banyakkan sedekah atas namanya, di samping taubat terus-menerus, moga akan tertebus dosa-dosa dengan manusia berkenaan.
SIRI 564 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 66:
Putus silatur-rahim
I قَاطِعَ رَحِمٍ I
...sambungan....
Kemusykilan 2:
Ada ustaz kata, dosa-dosa sebelum ada kesedaran beragama (jahil kerana tak tahu hukum) dimaafkan. Ikut kata ustaz itu taubat saja macam biasa dan buat amal banyak-banyak dan tak perlu ganti apa-apa. Benarkah demikian?
JAWAPAN:
Itu pendapat batil dan berlawanan dengan pegangan Ahlus Sunnah yang benar. Pendapat yang benar adalah setiap kesalahan dan dosa sesama makhluq akan dihitung dan menerima balasan sesuai dengan kezaliman yang dia telah lakukan.
Oleh kerana itu setiap orang beriman diingatkan segera Taubat dengan memenuhi syarat-syarat Taubat Nasuha. Hal ini sudah dihuraikan sebelum ini pada Tajuk “Taubat Nasuha”. Ringkasnya Syarat-syarat Taubat Nasuha :
Syarat 1:
Segera berhenti dari melakukannya.
Syarat 2:
Menyesal sungguh-sungguh di atas perbuatannya.
Syarat 3:
Berjanji tidak mengulangi dosa-dosa tersebut.
Syarat 4:
Gantikan dan sempurnakan sekalian Haq Allah yang telah luput.
Syarat 5:
Gantikan sekalian haq insan yang terzalim oleh perbuatannya.
Syarat 6:
Taubat dilakukan di dalam tempoh yang diwajibkan:
(i) Sebelum nyawa sampai halqum.
(ii) Sebelum matahari terbit dari Barat.
Syarat 7:
Taubat Ikhlas kerana Allah, bukan kerana suatu sebab lain.
Perhatikan semua syarat-syarat tersebut. Syarat no. 5 menegaskan dosa sesama manusia wajib diselesaikan sebelum mati, dengan cara memohon ampun pada yang berkenaan dan segera gantikan hak-haknya. Jika orang yang dizalimi telah meninggal dunia. maka hendaklah berusaha gantikan dengan cara-cara yang telah ditunjukki oleh Masyaikh kita. Moga menjadi penebus dosa-dosanya di Hari Perhitungan!
Dengan penjelasan ini, maka fahamilah orang yang berpegang bahawa orang yang berdosa sesama manusia tidak perlu gantikan hak-hak manusia berkenaan, atas alasan dia jahil dan tidak tahu perbuatan dia adalah dosa besar, maka orang seperti ini bakal menjadi "muflis" berdasarkan Hadith Baginda.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham dan juga tidak memiliki harta.” Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ”Sebenarnya orang yang muflis dari kalangan Ummatku ialah seseorang yang datang pada hari Qiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) dia pernah mencaci maki si fulan, menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan, dan pernah memukul si fulan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya , dia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.”
[Imam Muslim]
SIRI 565 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 66:
Putus silatur-rahim
I قَاطِعَ رَحِمٍ I
...sambungan....
Kemusykilan 3:
Ahli keluarga Azam putus silatur-rahim dengan keluarga Tamam disebabkan suatu kesalahan besar yang dilakukan oleh keluarga Tamam. Ahli keluarga Tamam yang sedar akan dosanya, sedia bertaubat dan ingin pulihkan hubungan dengan Azam, tetapi ahli keluarga Azam enggan maafkan.
Apakah yang patut dilakukan oleh keluarga Tamam? Adakah keluarga Tamam terlepas dari dosa kerana mereka sudah mohon maaf?
JAWAPAN:
Persoalan ini berkait dengan cabang-cabang persoalan dan dosa yang berangkai-rangkai. Ertinya tidak mudah mengatakan dosa keluarga sudah terangkat semata-mata kerana mereka sudah mohon maaf. Tidak mudah juga menyalahkan keluarga Azam disebabkan keengganan mereka untuk maafkan kesalahan keluarga Tamam.
Cuba perhatikan penjelasan berikut:
1. Ulama Ahlus Sunnah sepakat berdasarkan keterangan Hadith Nabi, bahawa dosa sesama hamba Allah tidak terangkat selagi tidak dimaafkan oleh hamba Allah yang dizalimi, baik dosa kezaliman itu dilakukan oleh individu atau kumpulan atau pihak pemerintah sekalipun. Bahkan setiap pemerintah yang melakukan kezaliman terhadap rakyat akan dihitung dengan hitungan yang keras kerana kezaliman pemimpin meliputi rakyat yang diperintahnya. (lihat syarat sah Taubat Nasuha)
2. Lazimnya manusia akan memaafkan kesalahan orang lain kecuali beberapa kezaliman menyentuh maruah, pembunuhan dan merampas hartanya.
Contoh:
Orang yang mencalarkan maruah seseorang dengan menuduhnya berzina, sedangkan orang yang dituduh tak pernah melakukannya, maka dosa fitnah seperti ini hampir-hampir tiada yang sanggup memaafkan. Mengapakah seseorang yang telah melakukan fitnah keji ini amat sukar mendapat kemaafan? Ini kerana ketika kamu menuduh seseorang berzina maka kamu telah "membunuhnya"...!!! Masyakarat awam akan memandangnya hina, kotor dan keji. Mereka akan melemparkan berbagai tuduhan sehingga nama datuk nenek moyang juga dikaitkan.
3. Sememangnya setiap Muslim digalakkan memberi maaf kepada orang yang bersalah. Namun penderitaan yang ditanggung oleh mereka yang terzalim bukan mudah diubati.
4. Usaha terbaik yang sepatutnya dilakukan oleh orang-orang yang telah menzalimi orang lain, terutama melibatkan dosa-dosa yang sangat besar seperti menuduhnya berzina atau merosak maruahnya, wajib terus berusaha memohon ampun, merayu sehingga orang berkenaan mahu memaafkan. Ertinya tidak memadai dia memohon ampun dan berlepas diri dengan anggapan orang itu sudah memaafkan. Ini suatu kelalaian kerugian sampai Akhirat.
SIRI 566 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 66:
Putus silatur-rahim
I قَاطِعَ رَحِمٍ I
...sambungan....
Rawatan dan Penjagaan
==================
(1) Allah Ta'ala memerintahkan agar orang-orang beriman hidup bersatu padu dan jangan sesekali berpecah belah.
Firman Allah:
وَٱعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعاً وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَٱذْكُرُواْ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَآءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَاناً وَكُنْتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُمْ مِّنْهَا كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah Nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan Nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayat-Nya.
[Aali-Imran (3) : Ayat 103]
(2) Allah Ta'ala juga memerintahkan secara umum agar sentiasa tolong-menolong di dalam mengerjakan kebajikan dan jauhi sama sekali tolong-menolong di dalam kemungkaran, kefasikan dan kekafiran.
Firman Allah:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلْبرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلإِثْمِ وَٱلْعُدْوَانِ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
"dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”
[Al-Maaidah (5) : Ayat 2]
(3) Penegasan secara khusus berbuat baik, tolong-menolong dan keutamaan dan memelihara silatur-rahim, sebagaimana dijelaskan di dalam risalah ini adalah terhadap ibu bapa, adik-beradik dan ahli keluarga terdekat.
Firman Allah:
۞ وَٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا۟ بِهِۦ شَيْـًۭٔا ۖ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًۭا وَبِذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱلْجَارِ ذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْجَارِ ٱلْجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلْجَنۢبِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًۭا فَخُورًا
Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.
[An-Nisaa' (4) : Ayat 36]
SIRI 567 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 66:
Putus silatur-rahim
I قَاطِعَ رَحِمٍ I
...sambungan....
(4) Sentiasa perhatikan ahli keluarga terdekat, pelihara kebajikan mereka dan waspada agar tidak berlaku sesuatu sehingga berlaku perkara yang mengeruhkan hubungan.
(5) Cantas segala anasir perosak yang merosakkan hubungan kekeluargaan. Kebanyakan perselisihan keluarga bermula dari "jahat sangka". Jika setiap ahli keluarga sentiasa amalkan sikap "baik sangka" dan tolak ansur, keharmonian dapat dipelihara.
(6) Jika diteliti kebanyakan perselisihan hanyalah perkara-perkara remeh yang boleh diabaikan. Sepatutnya setiap hal yang kecil jangan dibesar-besarkan. Maafkan sahaja.
(7) Sentiasa beringat-ingat dan saling berpesan akan bahaya putuskan silatur-rahim.
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Tidak ada dosa yang Allah lebih percepat siksaan kepada pelakunya di dunia serta yang tersimpan untuknya di Akhirat selain perbuatan zalim dan memutuskan tali silatur-rahim."
[Imam Tirmizi]
(8) Jika terjadi perselisihan sehingga terputus hubungan, hendaklah masing-masing cuba hubungkan semula. Orang yang berusaha bersungguh-sungguh sambungkan semua silatur-rahim yang terputus, maka dia lebih utama.
Rasulullah ﷺ bersabda:
لَيْسَ الْوَاصِلُ بِالْمُكَافِئِ وَلَكِنَّ الْوَاصِلَ الَّذِي إِذَا قُطِعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا
“Bukanlah seorang penyambung silatur-rahim sejati adalah yang menyambung silatur-rahim kalau dibaiki, akan tetapi penyambung silatur-rahim yang sesungguhnya iaitu jika dia diputuskan silatur-rahim, dia tetap menyambungnya.”
[Imam Bukhari]
SIRI 568 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 67:
Enggan beri makan kepada faqir miskin
=============================
Definisi:
======
Definisi Faqir:
.............................
Dari segi bahasa:
Faqir ( فقير ) — berasal dari perkataan ( فَقَرَ - يفْقر ) bermaksud menggali, menyingkap, melubangi, membuat liang, menggerudi
Dari segi istilah:
Faqir ( فقير ) bermaksud tidak memiliki sebarang harta dan sangat memerlukan pertolongan untuk kesinambungan hidupnya.
Definisi miskin
.............................
Dari segi bahasa:
Miskin (مسكين) berasal dari perkataan (سَكَنَ - يَسْكُنُ ) bermaksud : diam, tenang, tetap, tidak bergerak, bertahan, tempat kediaman
Dari segi istilah:
Miskin (مسكين) adalah orang yang kekurangan harta dan sedikit pendapatannya dari sudut ekonomi, tak cukup perbelanjaan untuk meneruskan hidup
Penjelasan
==========
Penjelasan 1:
Allah Ta'ala menciptakan setiap manusia berserta rezeki masing-masing, ertinya setiap manusia berbeza-beza rezekinya. Sebahagian manusia diluaskan rezekinya sehingga memperoleh kekayaan yang banyak, sementara yang lain sederhana rezekinya dan sebahagian lagi kurang hartanya (miskin) dan ada pula tersangat miskin (faqir). Allah Ta'ala Maha Pemberi, membahagikan Rezeki Kurniaan-Nya kepada manusia menurut Kebijaksanaan-Nya.
Penjelasan 2:
Kaya, miskin atau faqir merupakan Ketetapan Allah sekaligus menjadi dugaan Allah ke atas setiap manusia. Ertinya semua manusia akan diuji, sama ada mereka kaya-raya atau yang miskin atau yang faqir.
Penjelasan 3:
Allah Ta'ala Memerintahkan orang yang mempunyai harta, wang, kekayaan membantu orang miskin, faqir dan mereka yang memerlukan dengan hulurkan makanan (dan bantuan lain) kepada mereka.
Penjelasan 4:
Orang kaya atau mereka yang mempunyai harta yang lebih, dilarang keras menghina, mengherdik, mencaci mereka yang kurang pendapatannya atau miskin.
Penjelasan 5:
Orang yang enggan hulurkan makanan kepada faqir, miskin dan orang yang kelaparan dikatakan sebagai "mendustakan Agama, ingkar kepada Hari Hisab, tidak meyakini wujudnya Hari Pembalasan." Ertinya dosa besar dan boleh menjerumus kepada sifat-sifat munafiq.
Penjelasan 6:
Orang yang menghalang bantuan kepada faqir miskin dan menghalang pemberian makanan kepada manusia yang kelaparan adalah termasuk "pendusta Agama" yang tidak beriman kepada Hari Pembalasan.
Penjelasan 7:
Keseluruhan bicara di dalam tajuk ini mempunyai hubungan dengan Bab bakhil, pentingkan diri dan tanda tiada kasih sayang kepada orang beriman.
Berkata Imam Al-Haytami Radhiallahu anhu:
"Laknat dan Murka Allah menunjukkan perbuatan ini dosa besar, iaitu ancaman berat orang yang keras hatinya dan tidak pedulikan penderitaan orang lain."
[Az-Zawaajir]
SIRI 569 :
Dosa besar 67:
Enggan beri makan kepada faqir miskin
.....Sambungan....
Dalil-Dalil
=========
Dalil 1 : Firman Allah
وَلاَ يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلْمِسْكِينِ
"Dan tidak menganjurkan memberi makan kepada orang miskin."
[Al-Ma'un (107) : Ayat 3]
Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:
"(Termasuk orang yang mendustakan Agama dan Hari Pembalasan) adalah mereka yang enggan memberi makan kepada yang memerlukan."
[Tafsir Ibnu Abbas]
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Dan disebabkan oleh sifat bakhil yang melampau, dia juga tidak menganjurkan seseorang memberi makan kepada orang miskin, maksudnya mereka tidak rela jika seseorang memberi makan kepada orang lain disebabkan sifat bakhilnya. Itu semua adalah petanda dari pendustaan mereka terhadap Agama dan terhadap Hari Pembalasan."
[Tafsir Al-Jailani]
Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:
"Enggan memberi makan kepada faqir miskin dan membenci orang lain memberi makan kerana sifat bakhilnya dan pendustaannya terhadap balasan dan ganjaran di Akhirat. Pokoknya mereka yang dicela oleh ayat ini adalah orang yang sememangnya memiliki sifat bakhil ( dan bukan orang tak dapat memberi makan kerana dirinya tak mampu) tetapi mereka yang dimaksudkan adalah mereka yang mempunyai kemampuan tetapi enggan memberi makan kepada faqir msikin. Mereka yang bakhil akan mencari alasan untuk tidak mengeluarkan hartanya."
[Tafsir Al-Qurtubi]
SIRI 570 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 67:
Enggan beri makan kepada faqir miskin
.....Sambungan....
Dalil 2: Firman Allah
فَأَمَّا ٱلإِنسَانُ إِذَا مَا ٱبْتَلاَهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّيۤ أَكْرَمَنِ. وَأَمَّآ إِذَا مَا ٱبْتَلاَهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّيۤ أَهَانَنِ. كَلاَّ بَل لاَّ تُكْرِمُونَ ٱلْيَتِيمَ . وَلاَ تَحَآضُّونَ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلْمِسْكِينِ
(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan Akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (dia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takabbur) serta berkata dengan sombongnya: Tuhanku telah memuliakan daku! (15) Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku! (16) Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang dia berhak menerimanya); (17) Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin; (18)
[Al-Fajr (89) : Ayat 15-18]
Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:
"(Adapun manusia), maksudnya adalah orang kafir, iaitu Ubay bin Khalaf, riwayat lain menyebut Umayyah bin Khalaf, (apabila Tuhan mengujinya) — apabila Allah Mengujinya dengan harta benda, kekayaan dan kehidupan yang makmur, (lalu dimuliakan-Nya) iaitu dibanyakkan hartanya (dan di Beri-Nya kesenangan) — diluaskan kehidupannya, (maka dia berkata: Tuhanku telah memuliakanku) dengan harta dan kehidupan yang makmur. (Adapun apabila Tuhannya mengujinya) — mencubanya dengan kefakiran, (lalu membatasi) menyempitkan (rezekinya) kehidupannya, (maka dia berkata: Tuhanku menghinakanku) dengan kefakiran dan sempitnya kehidupan. (Sekali-kali tidak demikian) ini merupakan bantahan kepada manusia yang kafir tadi. Ertinya Kemuliaan dari-Ku bukan dengan memberikan harta dan kekayaan. Dan kehinaan dirimu bukan kerana kefakiran dan sedikitnya harta, namun Kemuliaan dari-Ku adalah Ma'rifat (Iman, Tauhid, Taqwa) yang teguh) dan Taufiq (bimbingan ke Jalan yang Haq) dan Kehinaan dari-Ku ke atas kamu adalah terhadap keingkaranmu dan kekal di dalam Kekafiran. (Sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim) — tidak mengetahui haq anak yatim. Mereka mengurus anak yatim (dan hartanya) namun mereka tidak mengetahui haqnya (tidak menunaikan haqnya) dan tidak memperlakukannya dengan baik. (Dan kamu saling tidak mengajak) — kamu tidak mahu mengajak dirimu dan orang lain (memberi makan orang miskin) — memberi makan dan sedekah kepada orang miskin."
[Tafsir Ibnu Abbas]
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Ungkapan (كَلاَّ) pada ayat :
كَلاَّ بَل لاَّ تُكْرِمُونَ ٱلْيَتِيمَ . وَلاَ تَحَآضُّونَ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلْمِسْكِينِ
Adalah bermaksud Allah Ta'ala menolak sangkaan orang kafir yang menyangka bahawa kemuliaan dan kehinaan terletak pada kekayaan dan harta benda duniawi tetapi kemuliaan adalah dengan menafkahkan dan memberi makan orang faqir demi mencapai Redha Allah, sedangkan kamu orang kaya tidak memuliakan anak yatim dan tidak pula mencukupi mereka dengan nafkah dan pakaian. Dan kamu tidak mengajak dan menyuruh orang lain memberi makan orang miskin."
[Tafsir Al-Jailani]
Bersambung siri 571 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
========================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment