■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
KHILWAH / SULUK MENURUT AHLUS SUNNAH
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
SIRI 31 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
12.2 Dalil2 Cahaya Ketuhanan yang menerbitkan Tauhid
Firman Allah :
ٱللَّهُ نُورُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشۡكَوٰةٍ۬ فِيہَا مِصۡبَاحٌۖ ٱلۡمِصۡبَاحُ فِى زُجَاجَةٍۖ ٱلزُّجَاجَةُ كَأَنَّہَا كَوۡكَبٌ۬ دُرِّىٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ۬ مُّبَـٰرَڪَةٍ۬ زَيۡتُونَةٍ۬ لَّا شَرۡقِيَّةٍ۬ وَلَا غَرۡبِيَّةٍ۬ يَكَادُ زَيۡتُہَا يُضِىٓءُ وَلَوۡ لَمۡ تَمۡسَسۡهُ نَارٌ۬ۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ۬ۗ يَہۡدِى ٱللَّهُ لِنُورِهِۦ مَن يَشَآءُۚ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَـٰلَ لِلنَّاسِۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمٌ۬ (٣٥)
“Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya-Nya adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkahnya, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”
[An-Noor (24) : ayat 35]
Firman Allah :
أَوَمَن كَانَ مَيۡتً۬ا فَأَحۡيَيۡنَـٰهُ وَجَعَلۡنَا لَهُ ۥ نُورً۬ا يَمۡشِى بِهِۦ فِى ٱلنَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُ ۥ فِى ٱلظُّلُمَـٰتِ لَيۡسَ بِخَارِجٍ۬ مِّنۡہَاۚ َ
"Dan apakah orang yang sudah mati (hatinya) kemudian Kami hidupkan dia dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya".
[Al-An’am (6) : ayat 122]
Firman Allah :
وَمَن لَّمۡ يَجۡعَلِ ٱللَّهُ لَهُ ۥ نُورً۬ا فَمَا لَهُ ۥ مِن نُّورٍ
“Barangsiapa yang tiada diberi cahaya oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun”
[An Nuur (24) : ayat 40]
Firman Allah :
أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدۡرَهُ ۥ لِلۡإِسۡلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ۬ مِّن رَّبِّهِۦۚ
“Apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya (untuk) berserah diri lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang tertutup mata hatinya?)
[Az Zumar (39) : ayat 22]
Rasulullah ﷺ bersabda
“Takutlah akan firasat mukmin, sesungguhnya dia melihat dengan cahaya Allah “
[Imam Tirmizi]
Rasulullah ﷺ bersabda :
"Hati itu ada empat macam: Pertama, qalbun ajrad (hati yang murni tak bernoda) di dalamnya seperti ada pelita yang bersinar. Kedua, qalbun aghlaf (hati yang tertutup) yang terikat tutupnya. Ketiga, qalbun mankuus (hati yang terbalik). Keempat, qalbun musfah (hati yang terlapis). Adapun qalbun ajrad adalah hati seorang Mukmin, pelita di dalam hatinya adalah cahaya, qalbun aghlaf adalah hati orang kafir, qalbun mankuus adalah hati orang munafik, yang mengetahui kemudian mengingkari. Qalbun musfah adalah hati yang di dalamnya bercampur iman dan nifaq, iman yang ada di dalamnya seperti tanaman yang disirami air yang segar dan nifaq yang ada di dalamnya seperti bisul yang disirami darah dan nanah, mana dari dua unsur di atas yang lebih kuat, maka itulah yang akan menguasai hatinya.”
[Imam Ahmad]
SIRI 32 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
12.4 Tanda2 Salik yang sampai ke Maqam Tauhid Pertama
Sesungguhnya beruntunglah hamba2 Allah yang disucikan batinnya sehingga tercurah Nur Rabbaniyyah (Cahaya Ketuhanan) yang Tinggi ke dalam hatinya, lalu diangkat ke Maqam Tauhid yang hakiki.
Tingkatan pertama Tauhid yang hakiki ini adalah Maqam Tauhid Af'al, iaitu Mengesakan Allah Ta'ala pada sekalian Af'al-Nya. Berikut adalah tanda2 yang terang nyata menunjukkan seseorang telah sampai ke Maqam Tauhid Af'al.
Tanda Pertama : Terbuka mata hati menyaksikan Af'al Allah
Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid pertama ini akan menyaksikan sekalian Af'al (Perbuatan) Allah dengan padangan ainul-basirah (mata hatinya) yang terbuka kepada Ketuhanan. Dia akan diperlihatkan setiap yang bergerak atau diam pada haqiqatnya Af'al Allah. Dia akan diperlihatkan pada setiap saat berlakunya Taqdir Allah ke atas dirinya dan sekalian makhluq. Inilah permulaan Tauhid yang sebenar, Esakan Allah dengan pandangan mata hati yang jernih.
Ketika berada pada tingkatan orang awam, dia hanya mengenal Af'al Allah dengan aqalnya, iaitu teori dan hujjah yang diterima aqal, namun sekarang dia saksikan sendiri Af'al Allah melalui pandangan mata hatinya, iaitu penyaksian melalui Cahaya Ketuhanan yang terang-benderang yang terlimpah ke dalam hatinya. Ianya sebuah penghayatan hati dan ruh tanpa kaifiyyat atau cara untuk dikhabarkan.
Keyakinan yang terhasil dari pandangan ainul basirah ini yang dinamakan Ainul-Yaqin, iaitu sebenar2 yakin tanpa keraguan sedikit pun, keyakinan yang disaksikan dengan pandangan mata hati, keyakinan yang terbit dari cahaya hati yang terhubung kepada Cahaya Ketuhanan. Inilah keyakinan penuh — keyakinan 100% yakin tanpa sebarang keraguan. Sedangkan di peringkat orang awam, keyakinannya cuma di peringkat Ilmul-Yaqin iaitu keyakinan bercampur keraguan — bercampur2 antara syak, zonn atau waham.
Perbandingan bagi memahami hal ini...
Misalnya seseorang meyakini "manis dan lazatnya buah durian" semata2 berdasarkan khabar yang didengarinya atau teori atau hujjah aqal yang diketahuinya sedangkan dia sendiri tak pernah melihat dan merasai kelazatannya, maka keyakinan seperti ini adalah kepercayaan yang rapuh, belum teguh, bercampur2 dengan keraguan. Amat jauhlah perbezaannya dengan orang yang benar2 "melihat sendiri buah durian" dan "merasai sendiri isinya yang lazat", baginya tiada keraguan sedikit pun berkenaan "buah durian" dan "kelazatan rasanya" kerana dia sudah merasai sendiri akan kebenarannya, bukan sekadar pengetahuan aqal atau khayalan atau teori semata2.
Penyaksian kepada Af'al Allah dan Tauhid yang penuh yakin dalam hati dengan pandangan Ainul-Yaqin ini adalah hasil terpenting dan tanda paling utama bagi orang yang sampai ke Maqam Tauhid pertama ini.
Firman Allah :
أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدۡرَهُ ۥ لِلۡإِسۡلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ۬ مِّن رَّبِّهِۦۚ
“Apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya (untuk) berserah diri lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang tertutup mata hatinya?)
[Az Zumar (39) : ayat 22]
SIRI 33 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
12.4 Tanda2 Salik yang sampai ke Maqam Tauhid Pertama
sambungan....
Tanda ke-2 : Musnah Syirik khafi (syirik tersembunyi)
Di antara tanda2 yang menjadi keberuntungan bagi Salikin yang sampai ke Maqam Tauhid ini adalah : Terhapusnya sekalian Syirik Khafi, iaitu ego sombong takabbur, riya', ujub, sum'ah dll. nya yang merosakkan Iman dan batalkan Ibadah.
Orang yang sampai ke Maqam Tauhid Af'al tidak akan ego, megah, sombong, takabbur... sebaliknya semua kesyirikan (syirik khafi) itu musnah dengan sendirinya. Dia akan sentiasa merendah diri kepada sekalian hamba2 Allah. Meskipun dia hartawan atau jutawan atau cendikiawan atau Raja yang memerintah sekalipun... dia tidak akan membesarkan dirinya, sebaliknya sifat tawadhu menguasai dirinya. Dia sentiasa menyedari kehinaan dirinya di hadapan Allah. Dia sedar segala harta, pangkat, kekayaan, kedudukan atau apa saja keistimewaan yang padanya bukan miliknya tetapi milik Allah Yang Maha Agung.
Orang Islam yang berada pada tingkatan awam seringkali tewas dengan nafsu kesombongan, riya', 'ujub, sum'ah dll. terutama ketika mereka sedang melakukan kebaikan atau mencapai suatu kejayaan hidup atau mereka memiliki suatu keistimewaan atau mereka mempunyai pangkat, kedudukan, ketinggian di kalangan masyarakat.
Misalnya apabila mereka mengerjakan solat sunnat yang banyak atau sedekah, atau Qiamullail yang banyak ... maka datanglah perasaan riya', ujub atau sum'ah. Atau seseorang pelajar mencapai kejayaan cemerlang lalu datang perasaan hebat di dalam dirinya. Atau seorang pensyarah, Guru, pakar motivasi dll sebagainya mencapai kecemerlangan di dalam kerjaya masing2.. lalu mereka merasai kemegahan di dalam dirinya.
Setengah orang awam yang mempunyai kesedaran, cuba atasi masalah teresbut dengan berbagai cara. Kadangkala mereka cuba menafikan, namun sifat2 tersebut tetap datang menguasai mereka berulang2. Kadangkala mereka berjaya menolak dengan cara menggagahinya iaitu buat2 merendah diri atau buat2 menghina diri, namun ianya sebentar sahaja, sifat2 tersebut kembali menguasainya.
Tetapi jauhnya perbezaan hal ehwal orang awam ini dengan hamba2 Allah yang sudah sampai ke Maqam Tauhid yang hakiki. Bagi mereka semua macam kesyirikan (syirik khafi) musnah berkat Zikrullah dan mujahadah pada Jalan Ma'rifat dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi ﷺ yang siddiq. Hati mereka yang sentiasa berzikir Allah Allah menolak semua macam kesombongan atau kesyirikan. Maka selamatlah Tauhid mereka daripada kerosakan.
SIRI 34 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
12.4 Tanda2 Salik yang sampai ke Maqam Tauhid Pertama
sambungan....
Tanda ke-3 : Musnah Sifat Mazmumah (kekejian)
Sesungguhnya sifat Mazmumah (sifat kekejian) menguasai hampir seluruh kehidupan orang Islam. Mereka sentiasa bergelumang dengan sifat2 kekejian — jahat sangka, hasad dengki, mengumpat, adu domba, tipu daya, fitnah dll tanpa henti.
Namun Alhamdulillah, berkat didikan pada Jalan Ma'rifat, mereka akan menjadi hamba2 Allah yang suci bersih hatinya. Mereka akan dapat melepaskan diri daripada belenggu kekejian ini. Sekalian sifat2 kekejian akan hancur musnah apabila Cahaya Ketuhanan meliputinya.
Inilah hasil didikan pada Jalan Ma'rifat. Dan inilah setengah dari tanda menunjukkan seseorang yang telah sampai ke Maqam Tauhid Af'al.
Tanda ke-4 : Melihat Rahmat Allah pada setiap ibadah / kebajikan
Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Af'al akan melihat Kurnia Allah dan Rahmat-Nya pada setiap Ibadah dan kebajikan yang dilakukannya. Hilang keupayaan dirinya, hilang keakuan dirinya.
Ketika berdiri untuk solat, dia akan melihat Rahmat Allah. Ketika dia ruku' dan sujud, dia melihat Rahmat Allah. Ketika dia bersedekah dia melihat Rahmat Allah yang membolehkannya sedekah. Ketika dia melakukan kebajikan, dia melihat Anugerah dan Rahmat Allah. Ketika dia mencapai kejayaan dia melihat di dalamnya Rahmat dan KeAgungan Allah.
Inilah sebenar2 Tauhid, iaitu sentiasa melihat Anugerah dan Rahmat Allah pada setiap ibadah dan kebajikan yang dilakukannya dan hilang keupayaan dirinya untuk melakukan sesuatu. Hilang keakuan dirinya walau apa pun kejayaan yang dia capai.
✨🕌✨ Firman Allah :
مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ
Sekaliannya menurut barang yang dikehendaki Allah. Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah.
[Al-Kahfi (18) : Ayat 39]
✨🕌✨ Firman Allah :
وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
“dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya)”.
[Al-Insan (76) : Ayat 30]
✨🕌 ✨ Rasulullah ﷺ bersabda :
“dan ketahuilah bahawa jikalau makhluq sekaliannya berhimpun untuk memberi kamu suatu manfaat tidaklah perkara itu bermanfaat bagi kamu melainkan Allah telah menetapkannya untukmu dan jikalau mereka berhimpun untuk memudaratkan kamu maka tidaklah akan memudaratkan kamu melainkan Allah jua yang telah menetapkannya bagimu, telah diangkat Qalam dan telah selesai ditulis suhuf (tempat tulisan takdir)”.
[Imam Tirmizi, Imam Ahmad]
Sesungguhnya pandangan dan perasaan Tauhid ini merupakan di antara tanda2 pencapaian Salikin yang terpenting. Orang awam yang belum sampai ke Maqam ini akan mendapati diri mereka amat sukar berdiri pada Maqam ini, iaitu hati mereka tidak melihat Rahmat Allah sebaliknya mereka akan melihat kekuatan dan keupayaan diri sendiri untuk melakukannya, maka sentiasalah mereka dikuasai syirik khafi. Wal Iyazubillah.
SIRI 35 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
12.4 Tanda2 Salik yang sampai ke Maqam Tauhid Pertama
sambungan....
Tanda ke-5 : Memperoleh Ikhlas yang sebenar
Di antara Tanda2 hamba Allah telah mencapai Maqam Tauhid yang hakiki, adalah : Memperoleh Ikhlas yang sebenar2 suci murni.
Maksud Ikhlas yang suci murni adalah :
(1) Setiap ibadah yang dikerjakannya hanya semata2 kerana Allah, mencari Keredhaan dan Kasih-Nya.... BUKAN kerana mencari pahala2, BUKAN kerana ganjaran2, BUKAN juga kerana inginkan Mahligai indah, bidadari atau kebendaan lain yang disukai nafsu di Syurga. Sebaliknya matlamat dan harapannya hanya Allah, berserta Allah, daripada Allah, kembali kepada Allah.
(2) Setiap amal kebajikan yang diperbuatnya atau sedekah atau kerja2 kebaikan untuk Ummat, jihad fi Sabilillah, semua itu hanya kerana Allah. Bukan kerana pujian, BUKAN kerana habuan dunia, BUKAN kerana nama, pangkat, kedudukan. BUKAN kerana merebut2 kerusi politik dunia (seperti yang banyak berlaku pada zaman ini).
(3) Niat sekalian suatu "kerana Allah" adalah : Melihat dari dalam hati bahawa setiap Ibadah, ketaatan dan kebajikan yang dilakukannya adalah dari Rahmat Allah dan Kemurahan-Nya, BUKAN kerana usaha ikhtiar atau kemampuannya atau kekuatannya.
Ketika berdiri untuk Solat, dia melihat Rahmat Allah dan Kemurahan-Nya untuk melakukannya. Ketika takbiratul ihram, ketika ruku', ketika sujud semunya dipandang Kurnia Allah kepadanya.... Bukan keupayaan dirinya atau kekuatannya.
Ketika dia mengerjakan puasa, haji, da'wah, jihad, sedekah dan ibadah yang lain2 tidak dipandang akan kekuatannya atau kemampuannya, melainkan hanya dipandangnya Kurnia Allah dan Kemurahan Allah kepadanya.
Jika pada suatu saat dia berjaya melakukan suatu perkara misalnya kejayaan di dalam pelajaran, cemerlang di dalam perniagaan atau mencapai kemajuan di dalam pentadbiran atau lain2 sepertinya, ... semua kejayaan kecemerlangan, kehebatan tersebut dilihatnya Rahmat dan Kurnia Allah kepadanya, BUKAN kerana keupayaannya.
(4) Tidak sama sekali mempersekutukan Allah di dalam ibadahnya dengan kebanggaan, kemegahan, takabbur, riya', 'ujub, sum'ah lain2. Sekalian keakuan diri sudah musnah apabila Cahaya Af'al Allah menyinari hatinya.
(5) Tidak sama sekali merasakan dirinya sudah "ikhlas" sebaliknya dia hanya melihat dirinya berserta Allah di dalam setiap Ibadah dan ketaatannya.
(6) Segala daya upayanya hilang di dalam Qudrat Allah dan Limpahan Kurniaan dan Kemurahan-Nya,
lalu dia berkata :
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّه
(Tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan Allah)
Sesungguhnya Inilah gambaran hamba Allah yang sebenar2 mencapai Maqam Ikhlas dan inilah hakikat Ikhlas yang dituntut atas setiap orang beriman sebagaimana Firman Allah :
✨🕌✨ Firman Allah:
وَمَآ أُمِرُوۤاْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ
"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, "
[Al-Bayyinah (98) : Ayat 5]
Kata Ibnu Abbas :
" Kalam Allah mukhlisin (orang yang sebenar ikhlas sebagaimana perintah Allah pada ayat di atas) adalah Tauhid yang murni".
Tafsiran Ibnu Abbas menunjukkan hubungan antara "Ikhlas" dan "Tauhid", seolah2 beliau berikan isyarat bahawa niat Ikhlas yang suci murni itulah Tauhid yang hakiki.
Mereka yang menempuh Jalan Ma'rifat akan dipermudahkan mencapai Maqam Ikhlas yang sebenar2 suci ini kerana Cahaya Af'al Allah yang melimpah ke dalam hati dan ruhnya. Mereka akan memperoleh "Ikhlas suci" ini tanpa menggagahi dirinya atau memaksa2 fikirannya... sebaliknya semua itu terjadi secara langsung dengan penuh kelembutan.
SIRI 36 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
12.4 Tanda2 Salik yang sampai ke Maqam Tauhid Pertama
sambungan....
Penjelasan Ringkas :
Tujuh Tingkatan Ikhlas
=================
Ini suatu penjelasan ringkas berkenaan maqam2 Ikhlas orang beriman sebagai tambahan kepada huraian sebelumnya.
Sesungguhnya Maqam Ikhlas tidak sama di antara seorang dengan seorang yang lain. Ia bergantung kepada Keimanan / Tauhid / Ma'rifat seseorang, iaitu sama ada hatinya dikuasai oleh Syirik Khafi (syirik tersembunyi) ataupun "Cahaya Ketuhanan" yang melimpah ke dalam hatinya.
Ulama Mu'tabar membahagikan ikhlas kepada beberapa peringkat dan tingkatan seperti :
1. Ikhlas orang awam
2. Ikhlas orang abrar
3. Ikhlas orang Arif
Sebahagian lainnya memberikan perincian lebih halus dengan pembahagian berikut:
1. Ikhlas orang awam - 3 tingkatan
2. Ikhlas salikin - 3 tingkatan
3. Ikhlas Arifin - 1 tingkatan
Tiga tingkatan Ikhlas orang awam :
=========================
Peringkat 1 (awam):
Melakukan amal ibadah dengan qasad (niat) kerana Allah, tetapi pada masa yang sama dia menuntut pahala2 atau ganjaran2 dari Allah Ta'ala. Atau dia mempunyai cita-cita di dalam hatinya kepada kesenangan2 syurga berupa bidadari, mahligai indah2, segala macam makanan enak dan hiburan syurga.
Peringkat ke-2 (awam):
Melakukan amal ibadah dan ketaatan dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah, dan tiada keinginan atau menuntut2 pahala atau ganjaran2 tetapi dia melihat kemampuan dirinya untuk melakukan amal ibadah dan ketaatan.
Peringkat ke-3: (awam)
Melakukan amal ibadah dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah dan tiada cita2 melainkan Allah saja, tetapi dia merasakan dirinya sudah ikhlas, iaitu dia melihat dirinya mempunyai kemampuan melakukan Ikhlas.
Inilah 3 peringkat dan Tingkatan ikhlas orang awam.
Pada sisi Fiqh, ketiga2 bentuk " ikhlas orang awam" ini adalah SAH, yakni sah amal ibadahnya dan terlepas daripada taklif syara' (kewajipan sebagai mukallaf) Namun apabila direnungi pada sisi Tasawwuf / Ma'rifat, ketiga2 bentuk2 ikhlas ini masih belum bebas sepenuhnya daripada 'mempersekutukan' Allah. Ini kerana menuntut selain wajah Allah di dalam ibadah adalah suatu bentuk 'penyekutuan' kepada Ketuhanan. Demikian lagi melihat keupayaan dan kekuatan diri untuk melakukan ketaatan dan ibadah, merupakan satu lagi bentuk syirik khafi yang sangat tersembunyi.
✨🕌✨ Firman Allah :
فَمَنْ كَانَ يَرْجُوا لِقَآءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلاً صَالِحًا وَلاَ يُشْرِكُ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا
"Barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah mengerjakan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.
[Al-Kahfi (18) : ayat110]
Kata Ibn Abbas:
Jangan mempersekutuan suatu apa pun di dalam ibadahnya, maksudnya adalah : Janganlah dia riya' dan jangan sertakan di dalam ibadahnya itu sesuatu benda atau sesiapa pun."
[Tafsir Ibn Abbas]
SIRI 37 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
12.4 Tanda2 Salik yang sampai ke Maqam Tauhid Pertama
sambungan....
Tanda ke-6 : Khusyu di dalam Solat
Di antara tanda2 lain seseorang yang diangkat ke Maqam Tauhid yang benar adalah : Khusyu di dalam Solat
Pada saat seseorang salikin sampai ke Maqam Tauhid yang suci bersih, dia akan memperoleh Khusyu yang sebenar di dalam solatnya. Iaitu Khusyu dengan penghayatan hati dan ruh, menepati tuntutan Allah.
✨🕌✨Firman Allah :
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (١) ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ (٢)
"Sesungguhnya mencapai kemenangan (kejayaan, selamat) orang Mu'min, iaitu mereka yang khusyu' di dalam Solatnya."
[Al-Mu'minun (23) : ayat 1-2]
Khusyu tanda Mu'min ini sudah pasti khusyu' di dalam pengertian sebenar, iaitu "Hadir hati berserta Allah" tanpa paksaan, tanpa digagahi. Bukan buat2 khusyu' sedangkan hati masih lalai dari mengingat Allah.
Khusyu ini hadir sendiri sebaik sahaja salikin ini mengangkat Takbiratul Ihram. Bahkan sebelum angkat Takbir pun dia sudah merasai dirinya menghadap Allah tanpa sebarang kaifiyyat yang dapat huraikan bagaimana caranya. Ianya semata2 sebuah "perasaan" dan "pandangan mata hati" yang terbuka kepada Ketuhanan. Inilah Rahmat dan Kurniaan Allah kepada Salikin yang telah mujahadah menyucikan hatinya sehingga memperoleh Cahaya Ilahiyyah.
Inilah Khusyu' sebenar sebagaimana tuntutan Allah ke atas orang beriman.
Sebelum Salikin memperoleh khusyu yang sebenar ini, iaitu ketika dia masih di peringkat awam, dia pun cuba juga untuk Khusyu dengan berbagai cara, iaitu memaksa diri atau menggagahi untuk berbuat khusyu' mengingat2 Allah, namun tak berjaya. Terkadang dia rasa mula khusyu' namun selang beberapa saat fikirannya sudah pun melayang jauh kepada pekerjaan2 dunia — ke pejabat, kedai kopi, taman permainan, tepi pantai, kenduri kahwin dll.
Mengapakah orang awam tersangat susah untuk khusyu ?
Mengapakah dia sering terhalang dari berbuat khusyu?
Apakah anasir yang menyebabkan halangan tersebut ?
Pejelasan bagi persoalan ini amat panjang kerana sebab2 yang menghalang seseorang dari khusyu juga amat banyak. Namun punca dan sebab2nya dapat himpunkan jadi satu, iaitu : Hatinya terhijab.
Maksud Hati yang terhijab adalah :
Hatinya terhalang dari menyaksikan Ketuhanan. Hatinya masih diselaputi berbagai lapisan2 syirik khafi, mazmumah, dosa2 zahir dan dosa2 batin, maka terhalanglah dia dari menyaksikan Ketuhanan.
Apabila hatinya terhalang dari menyaksikan Ketuhanan, maka terhalanglah dari khusyu, kerana terbitnya Khusyu itu dari hati, bukan aqal fikiran. Dan maksud khusyu adalah : Hadir Hati berserta Allah, Merasai Keagungan-Nya, Merasai Kehebatan-Nya sehingga terasa diri tersangat hina, lemah, faqir, takut dan mengharap Keampunan dan Rahmat-Nya.
Inilah sebabnya Salikin dididik, diasuh, dilatih membersihkan hatinya dengan zikrullah, mujahadah melawan nafsu2 jahat dan bisikan syaitan serta latihan2 khusus yang lain sehingga hatinya benar2 suci bersih. Ketika hatinya suci bersih dari sekalian aghyar, maka cermin hatinya memancarkan Cahaya Ketuhanan yang melimpah ke atasnya.
Ketika cermin hatinya memancarkan Cahaya Ilahiyyah yang terlimpah ke atasnya, maka melihatlah dia kepada Ketuhanan sehingga hatinya menjadi khusyu. Sekalian anggota zahir dan batinnya tunduk Mengagungkan-Nya. Ketika dia angkat Takbiratul Ihram, hati dan ruhnya sudah pun menghadap Rabbul Jalil, Tuhan Yang Maha Agung.
SIRI 38 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
2.4 Tanda2 Salik yang sampai ke Maqam Tauhid Pertama
sambungan....
Tanda ke-7 : Zikrullah di dalam hati pada setiap masa
Sesungguhnya Zikir kepada Allah di dalam hati (zikir mengingat Allah atau Zikir Allah Allah di dalam hati) berterusan tanpa putus adalah wajib atas semua orang Islam yang mukallaf. Dalil dan fatwa Ulama Ahlus Sunnah berkenaan kewajipan ini adalah :
✨🕌✨ Firman Allah Ta'ala :
فَٱذْكُرُواْ ٱللَّهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَىٰ جُنُوبِكُمْ
"maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring."
[An-Nisaa (3) : Ayat 103]
Berkata Ibn Abbas Radhiallahu 'anhu:
Allah Ta'ala memerintahkan orang beriman untuk berzikir kepada-Nya di dalam setiap keadaan. (setiap masa). Allah berfirman : "Berzikirlah kamu kepada Allah diwaktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring.
[Haqaaiq At-Tasaawuf]
✨🕌✨ Firman Allah :
وَٱذۡكُر رَّبَّكَ فِى نَفۡسِكَ تَضَرُّعً۬ا وَخِيفَةً۬ وَدُونَ ٱلۡجَهۡرِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأَصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ
Dan ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut ) dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai."
[Al-A'raf (7) : ayat 205]
Berkata Imam Fakhruddin Ar-Razi (Mujaddid kurun ke-6 Hirriyyah) :
"Berdasarkan ayat 205 al-A’raf ini, Rasulullah ﷺ (dan Ummat Baginda) diwajibkan berzikir dalam hati (senyap —tanpa suara) dengan ingatan Allah, Allah terus-menerus sepanjang waktu siang dan malam. Kalimat ini " بِٱلۡغُدُوِّ " mewakili seluruh waktu siang dan " وَٱلۡأَصَالِ " mewakili seluruh malam"
[Tafsir Al-Kabir / Tafsir Ar-Razi]
✨🕌✨ Firman Allah Ta'ala :
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ ذِكۡرً۬ا كَثِيرً۬ا
"Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.
[Al-Ahzab (33) : 41]
Berkata Al Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu:
"Ya anakku! Adapun hukum Zikrullah (ingat Allah Allah berterusan di dalam hati) itu wajib, kerana Perintah Allah yang mutlaq: يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ ذِكۡرً۬ا كَثِيرً۬ا
[Risalah Ma'rifat]
■ Apakah definisi zikrullah?
■ Zikrullah yang manakah wajib atas setiap Muslim?
■ Bagaimanakah cara kekal hati dengan Zikrullah?
■ Adakah mungkin kekal hati Zikrullah sedangkan manusia mempunyai banyak urusan duniawi?
Semua persoalan di atas telah dijelaskan di dalam Tajuk Risalah kami : " Keagungan dan Kewajipan Zikrullah". Di dalam risalah ini, kami jelaskan secara ringkas sahaja. In Shaa Allah.
SIRI 39 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
12.4 Tanda2 Salik yang sampai ke Maqam Tauhid Pertama
sambungan....
Cabang :
Kekalkan hati zikrullah setiap masa
(ringkasan)
=============================
■ Apakah definisi zikrullah?
■ Zikrullah yang manakah wajib atas setiap Muslim?
■ Adakah mungkin kekal hati Zikrullah sedangkan manusia mempunyai banyak urusan duniawi?
■ Bagaimanakah cara kekal hati dengan Zikrullah?
■ Apakah definisi zikrullah?
Jawapan:
Zikirullah adalah menyebut Kalimah "Allah" atau Kalimah "La Ilaha Illallah" atau Asma' Allah (nama2 Allah yang Maha Agung dan Indah2) yang lain dengan lisan / mulut / lidah berserta ingatan kepada Allah di dalam HATI. Atau Semata2 mengingat Allah di dalam HATI terus-menerus.
■ Zikrullah yang manakah wajib atas setiap Muslim?
Jawapan:
Zikir yang diwajibkan atas setiap orang Islam adalah : Ingat Allah Allah terus-menerus di dalam HATI. Ada pun Zikir yang dilakukan dengan lisan (dengan keluarkan suara) sama ada dengan lafaz "Allah Allah" atau "La-Ilaha Illallah" atau "Ya Hayyu Ya Qayyum" atau "Ya Qahhar" atau lain2 Asma' Allah... semua ini adalah hukumnya sunnat.
■ Apakah cara mencapai Zikrullah di dalam hati yang berterusan tanpa putus?
Jawapan:
In shaa Allah dengan Rahmat Allah dan Kurniaan-Nya, seseorang mampu kekalkan hati berzikir kepada Allah, sebagaimana perintah Allah, dengan cara mengikuti Manhaj Tarbiyyah Rasulullah ﷺ, yang diwarisi oleh Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq. Ertinya semua orang Islam sama ada lelaki atau perempuan, sama ada orang cerdik pandai maupun orang yang tiada pelajaran tinggi akdemik, semua mempunyai peluang yang sama mencapai Darjat Kemuliaan ini.
■ Adakah mungkin kekal hati Zikrullah sedangkan manusia mempunyai banyak urusan duniawi? Apakah justifikasi dan penjelasan wajar yang mampu diterima aqal?
Jawapan :
Orang Islam yang tak pernah mendengar hal ini menjadi hairan dan tak percaya wujud hamba2 Allah yang mampu melakukan Zikrullah berterusan di dalam hati.
Rahsianya dan Kunci memahami hal ini adalah :
Sistem Warisan Suci Rasulullah ﷺ
Sekalian rahsia ini cuma wujud di dalam Sistem Warisan suci Rasulullah ﷺ. Sistem ini diterima dan dipindahkan daripada satu Generasi Pewaris Nabi kepada Pewaris Nabi berikutnya dengan jalan yang penuh rahsia, teliti, beradab dan terpelihara keaslian dan kesuciannya. Sistem ini cuma ada pada Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq. Moga penjelasan ringkas berikut dapat berikan gambaran akan rahsia kemuliaan ini.
Penjelasan Pertama:
Setiap Salikin yang menempuh jalan Ma'rifat, menerima latihan2 khusus daripada Mursyid, Pewaris Nabi yang memimpinnya.
(1) Latihan zikrullah, solawat dan Taubat berterusan dengan kaifiyyat2 khusus.
(2) Mujahadah melawan nafsu kejahatan dan bisikan2 Syaitan.
(3) Mujahadah menahan godaan dunia dan makhluq.
(4) Latihan2 Muraqabah dan Musyahadah (mengikut kelayakan)
(5) Latihan2 lain yang diperlukan oleh Salikin sesuai dengan keruhaniannya.
Semua jenis Latihan ini tidak diajar di sekolah2 dan tiada di dalam bengkel2 kemahiran dan tiada diketahui oleh pakar2 motivasi mana pun, cuma ada pada Mursyid yang siddiq.
Penjelasan Kedua :
Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq mewarisi kemahiran merawat hati manusia daripada Junjungan Besar Rasulullah ﷺ Mereka mempunyai seribu penawar dan seribu jalan bagi menyembuhkan segala penyakit hati manusia. Mereka memiliki perisai bagi menangkis segala macam godaan dan bisikan nafsu, syaitan, makhluq dan dunia yang membinasakan.
Penjelasan ketiga:
Salikin diasuh dan dipimpin satu peringkat demi satu peringkat sehingga hatinya benar2 suci bersih dari sekalian kekotoran ma'nawiyyah — syirik khafi, mazmumah dan dosa2 lain sehingga cermin hatinya bersinar dengan cahaya Zikrullah dan Cahaya Rabbaniyyah. Wujudnya Cahaya Rabbaniyyah ini yang membolehkan hati salikin berzikir kepada Allah berterusan tanpa henti. Ertinya hatinya tiada pernah berhenti berzikir meskipun dia sibuk dengan berbagai urusan dunia.
Khulasahnya...
Salikin yang mencapai Maqam Tauhid yang hakiki akan dipermudahkan melakukan Zikrullah yang Allah Taala wajibkan atas setiap orang beriman, iaitu Zikir Allah Allah di dalam hati terus-menerus tanpa henti. In Shaa Allah
Alhamdulillah.
SIRI 40 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
12.4 Tanda2 Salik yang sampai ke Maqam Tauhid Pertama
sambungan....
Tanda ke-8 : Bertemu Rasulullah ﷺ
Hamba2 Allah yang telah disucikan hatinya dan Cahaya Ketuhanan menyinarinya, akan memperoleh Kurnia Allah melihat Rasulullah ﷺ sama ada di dalam mimpinya atau di dalam keadaan sedar / jaga. Dalil dan syarah bagi keterangan ini.
✨🕌✨ Rasulullah ﷺ bersabda:
"Barangsiapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya, bererti dia akan dapat melihatku di dalam keadaan sedar (jaga). Sesungguhnya syaitan tidak boleh menjelma dengan rupaku ".
[Muttafaq Alaih]
Berkata Imam Sayuthi berkenaan Hadith tersebut:
"Dari hadith ini kita faham bahawa sesiapa yang benar2 beriman dengan Nabi (Mukmin sejati) tetapi tidak dapat melihat Baginda kerana mereka tidak hadir (di zaman Nabi), Hadith ini memberikan khabar gembira bahawa mereka akan dapat melihat Baginda sebelum mereka mati. Hadith2 ini juga dalil yang mengesahkan sesiapa yang pernah melihat Baginda di dalam mimpinya, pasti akan melihat Baginda di dalam keadaan jaga (yaqazah)"
Selanjutnya Imam Sayuthi menambah:
Ada sebagian orang tidak mempercayainya dan berkata : "Bagaimanakah mungkin orang hidup melihat orang mati"?
Untuk dakwaan ini, Imam Saytuhi menjawab:
"Orang2 yang berkata demikian jatuh kepada dua bahaya: Pertama kerana tidak mempercayai kebenaran Hadith Nabi yang sahih dan yang kedua kerana mengengkari Kekuasaan Tuhan Yang Maha Perkasa"
[Tamat nukilan Kitab — Al Hawi-Lil_Fatawi]
Fatwa Imam Ibnu Hajar Al-Haithami Radhiallahu anhu
Imam Ibn Hajar Al-Haytamy ditanya : "Adakah mungkin bertemu Nabi ﷺ. di dalam keadaan sedar (jaga) ?"
Beliau menjawab :
"Ya? Benar. Melihat dan bertemu Nabi ﷺ. di dalam keadaan sedar adalah mungkin (harus) hukumnya. Telah dikhabarkan kepada kami bahawa ianya adalah Karamah para Awlia Allah oleh Al-Ghazali, al-Barizi, al-Taj al-Subki, dan al-Yafi`i, dari kalangan Asy-Syafiiyah dan al-Qurtubi dan Ibn Abi Jamra dari kalangan Malikiyah."
Beliau seterusnya menegaskan:
"Sesiapa yang menafikannya, adalah dia tersesat. Mereka yang menafikannya adalah mereka menafikan kebenaran Nabi ﷺ dan menafikan Kekuasaan Tuhan serta menafikan juga Karamah Awlia Allah yang telah dibuktikan oleh Sunnah yang sahih ."
[Fatawa Hadithiyyah, Ibnu Hajar Al-Haytahmi]
Rumusan ringkas :
■ Hadith Rasulullah ﷺ ini adalah khabar gembira bagi Mu'min yang benar2 mencintai Baginda.
■ Hanya mereka yang mencapai darjat Mu'min sejati diKurniakan oleh Allah keluasan untuk melihat Baginda setelah kewafatan Baginda.
■ Permulaan melihat Baginda adalah di dalam bentuk mimpi. Kemudian Allah Ta'ala akan bukakan lagi hijabnya bagi melihat Baginda di dalam keadaan sedar / jaga.
■ Kurnia Allah kepada Mu'min pilihan ini adalah suatu Karomah (Kemuliaan), ertinya bukan kemampuan dirinya, tetapi semata2 Anugerah Allah kepada hamba2 Allah yang benar2 suci hatinya.
■ Sebahagian murid tidak terbuka hijab melihat Baginda meskipun mereka telah sampai Maqam Tauhid yang benar2 suci. Ini mempunyai hikmah tersendiri bagi memelihara murid itu daripada kebinasaan, iaitu kerosakan akibat 'ujub atau riya'.
■ Guru yang memimpinnya (Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq) akan mengesahkan sama ada murid itu telah benar2 melihat Rasulullah ﷺ atau semata2 angan2nya. Ini kerana setengah dari khayalan atau angan2 atau cita yang kuat boleh dimanupulasi oleh syaitan dan mendatangkannya di dalam bentuk bayangan mimpi. Maka pengesahan Gurunya yang benar2 Arif adalah ukuran kebenaran.
■ Tujuan Allah Ta'ala Kurniakan kemuliaan ini bagi Salikin adalah bagi memantapkan lagi Keimanan dan keyakinannya kepada Allah Taala. Dan juga lebih yakin dengan Jalan Ma'rifat yang diwarisi dari Rasulullah ﷺ . BUKAN untuk kebanggaan atau riya. Dengan demikian salikin DILARANG KERAS hebah2kannya kepada umum.
Bersambung siri 41 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
__________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment