■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
KEWAJIPAN AMALKAN TASAWWUF-TORIQAT
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
SIRI 81 :
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
12.4 Punca Kesesatan Golongan Keruhanian (dan juga orang awam)
Apabila diteliti dengan cermat dan halus, kita akan dapati beberapa ciri utama golongan tersesat ini. Di dalam perkataan lain... kita akan dapati beberapa sebab utama yang menjadi punca golongan ini jatuh kepada kesesatan.
Persamaan yang wujud kepada kesemua golongan tersebut sehingga terjatuh kepada kesesatan adalah :
(1) Mereka TIDAK mempunyai Mursyid yang siddiq (benar) untuk memimpin mereka kepada Ketuhanan. Atau mereka mempunyai sorang pemimpin tetapi dia BUKAN Mursyid yang siddiq (benar)..... di dalam perkataan lain, pemimpin itu Mursyid PALSU.
Sepertimana yang telah kami huraikan terdahulu, inilah sebab UTAMA kesesatan manusia pada jalan Ketuhanan. Bahkan secara umumnya inilah punca kesesatan orang² awam sekalipun.
Apabila kamu tidak mempunyai seorang Mursyid yang siddiq (benar) iaitu Warisatul Anbiya yang sebenar yang menepati syarat²nya sebagai pemimpin kamu, maka syaitanlah yang akan menjadi Pemimpin kamu lalu menjerumuskan kamu kepada kesesatan.
Di dalam perkataan yang lebih jelas, golongan tersesat bukan saja wujud di kalangan murid / salikin... bahkan lebih banyak lagi golongan orang awam tersesat kerana TIDAK mempunyai Mursyid yang siddiq sebagai pemimpinnya.
Buktinya adalah 72 golongan yang tersesat seperti yang tersebut pada Hadith Nabi adalah termasuk golongan orang awam. Dengan demikian orang² awam yang tidak menyertai mana² jamaah Ma'rifat (yang dipimpin oleh Mursyid yang siddiq) jangan sesekali merasa aman dari tipu daya nafsu dan iblis.
✨🕌✨Berkata Imam Ghazali رضي الله عنه
"Jalan agama sangatlah samar, (tak dapat bezakan haq dan batil) dan jalan-jalan syaitan sangat banyak dan jelas (terbuka luas untuk dimasuki oleh siapa sahaja) Oleh kerana itu, jika seseorang yang tidak mempunyai Shaikh Mursyid yang membimbingnya, maka pasti syaitan akan mengiringinya (memimpinnya) menuju jalannya. (kepada kesesatan). Barangsiapa berjalan di jalan yang berbahaya tanpa petunjuk, maka dia telah menjerumuskan dan membinasakan dirinya.
[Ihya Ulumuddin]
Kata² hikmah tersebut tercurah di dalam banyak penulisan Imam Ghazali. Beliau menegaskan perkara tersebut sebagai suatu amaran dan peringatan kerana beliau sendiri telah menempuh perjalanan panjang di bawah didikan Mursyid sehingga beliau menemui mutiara Agama yang berharga.
Bahkan sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah (yang dikatakan Masyaikh Ahlus Sunnah adalah Ulama bertaraf Auliya Allah yang mewarisi Rasulullah ﷺ ) telah berikan AMARAN yang sama kepada seluruh ummat.
Mereka berulang kali berikan amaran akan kewajipan mencari Mursyid yang siddiq dan berpegang teguh kepada beliau dan BAHAYA besar orang yang meninggalkannya.
Orang yang tidak mempunyai seorang Mursyid yang siddiq sebagai pemimpin, maka dia sentiasa terdedah kepada berbagai helah dan tipu daya syaitan yang amat halus.
Syaitan akan menyamar sebagi orang alim, ahli ibadah hatta boleh menyamar sebagai Wali Allah.
Syaitan mengabui mata orang awam dan murid pada jalan Keruhanian dengan berbagai keajaiban dan peristiwa2 cengangkan aqal. Syaitan akan membawa berbagai cahaya yang kelihatan seperti cahaya yang benar sedangkan itu adalah fatamorgana iblis.
Orang awam atau murid yang tidak mengetahui ianya dari iblis akan terus percaya diri sendiri sudah tinggi dan mempunyai kemuliaan. Maka dari sini bermulalah episod penyelewengan dan kesesatan...!
Wal Iyazubillah..
SIRI 82 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
12.4 Punca Kesesatan Golongan Keruhanian (dan juga orang awam)
sambungan....
(2) Tidak ikhlas di dalam tujuannya.
Ini adalah punca kedua penyelewengan dan kesesatan.
Matlamat kelompok2 ini BUKAN mencari Allah, BUKAN mencari keredhaan Allah, tetapi sebaliknya mempunyai niat2 yang menyimpang. Maka batallah perjalanannya.
Orang yang beramal, berzikir dan wirid lain bertujuan lain dari Allah... umpamanya untuk menjadi kuat, untuk mendapat ilmu kebal, untuk memperoleh berbagai keajaiban.. maka BATAL perjalanannya.
Maksudnya adalah : Seluruh amal ibadahnya sia² dan diri orang itu sudah masuk genggaman iblis!
✨🕌✨Firman Allah :
قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِين
Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan buruk, keji, ma'siat, mungkar) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas".
[Al-'Hijr (15) : ayat 39-40]
✨🕌✨Firman Allah :
إِنَّ عِبَادِي لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَانٌ إِلا مَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْغَاوِين
"Sesungguhnya kamu (Iblis) tidak kuasa atas hamba-hamba-Ku, kecuali mereka yang mengikutimu, yaitu orang yang sesat"
[Al-Hijr (15) : ayat 42]
✨🕌✨Firman Allah :
قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَاُغۡوِيَنَّهُمۡ اَجۡمَعِيۡنَۙ
اِلَّا عِبَادَكَ مِنۡهُمُ الۡمُخۡلَصِيۡنَ
"Iblis menjawab, demi kekuasaan Engkau, aku akan sesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas di antara mereka."
[As-Sod (38) : Ayat 82, 83]
Inilah sebahagian dalil yang amat jelas menunjukkan sesiapa sahaja yang beramal dengan suatu amal BUKAN kerana Allah, dan sebaliknya kerana mengharapkan suatu dari dunia seperti ingin menjadi kuat, ingin memperoleh ilmu kebal, ingin menjadi terkenal, ingin menjadi perawat, ingin memperoleh karomah² yang buat manusia kagum.. maka semua itu akan dia mendapatnya tetapi dari tangan2 syaitan. Dan dia sama sekali TIDAK akan mencapai keredhaan Allah, bahkan sebaliknya dia jatuh kepada Kemurkaan Allah.
Apa yang terjadi adalah :
Ketika seseorang berubah niat kepada selain Allah iaitu TIDAK IKHLAS kepada Allah sebaliknya bertujuan mencapai sesuatu dari habuan dunia, maka ketika itu syaitan akan menariknya kepada Gerbang Iblis.
Orang yang beramal tadi menyangka dia memperoleh berbagai kelebihan seperti ilmu sakti, ilmu kebal, ilmu perawat dll itu dari Allah sedangkan yang sebenarnya semua itu adalah dari bantuan syaitan.
Orang itu menyangka dia berjumpa wali Allah, dan memperoleh berbagai karomah sedangkan yang dia berjumpa itu adalah Iblis yang menyamar dengan berbagai pakaian yang kelihatan hebat.
Orang itu menyangka dia mendapat berbagai lapisan² cahaya yang gemilang sedangkan ia adalah mainan wayang dan fatamorgana Iblis.
SIRI 83 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
12.4 Punca Kesesatan Golongan Keruhanian (dan juga orang awam)
sambungan....
(3) Melanggar Hukum Syari'at (kemungkaran / keengkaran)
Hukum-hakam syari'at adalah Perintah Allah dan Rasul-Nya yang merupakan pakaian orang beriman. Keseluruhan hukum-hakam tersebut telah dijelaskan oleh Ulama melalui berbagai disiplin ilmu — khususnya Ilmu Fiqh, Usuluddun dan Tasawwuf sedang semua ini diambil dari Al-Qur'an dan Hadith. Ulama Mu'tabar Ahlus Sunnah (Ulama bertaraf Auliya Allah) telah mengkaji sedalam2nya Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya lalu mereka ijtihad menerbitkan sekalian hukum yang diperlukan oleh Ummat.
Dengan demikian wajiblah atas tiap2 orang beriman memakainya dengan cantik dan sempurna. Betapa tinggi pun maqam kamu, kamu WAJIB berpegang teguh dengan hukum-hakam syari'at.
Bahkan kebenaran mutlaq adalah:
Makin tinggi seseorang mencapai Maqam2 Ma'rifat (Tauhid peringkat tinggi), makin teguh dia berpegang kepada Hukum Syari'at. Makin tinggi Ma'rifatnya, makin halus pula syari'atnya... bermaksud makin indah amal ibadahnya. Sekalian sunnat akan dikerjakan dan sekalian makruh pun akan ditinggalkan. Semua itu berlaku bukan secara keterpaksaan (seperti orang awam atau murid salikin) tetapi ianya menjadi kelaziman yang mengalir bersama ruh dan turun naik nafasnya.
Sesiapa meninggalkan hukum-hakam syari'at / melanggar hukum syari'at sewenang2nya, maka samalah seperti dia telanjang di hadapan orang lain. Hakikatnya dia telah menanggalkan pakaian Iman / Tauhid.
Mana2 murid / salikin (atau orang awam) yang melanggar hukum syari'at sewenang2nya — melakukan dosa besar dan tidak bertaubat atau mengekalkan dosa kecil dan tidak bertaubat, maka hatinya akan menjadi kelam sedikit demi sedikit, menjadi gelap, keras dan mati. Wal Iyazubillah. Ketika itu (ketika bergelumang didalam kekufuran) dia tak akan dapat bezakan haq dan batil. Bahkan seringkali keburukan itu dilihat dan di sangkanya sebagai kebaikan. Semua ini berkait rapat dengan peranan nafsu dan bisikan syaitan. Wal Iyazubillah.
✨🕌✨Firman Allah :
كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
“Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan (kemungkaran dan kekufuran) itu menutupi hati mereka.”
[Al Mutoffifin ( 83) : ayat 14 ]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda:
عن أبي هريرة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال إن العبد إذا أخطأ خطيئة نكتت في قلبه نكتة سوداء فإذا هو نزع واستغفر وتاب سقل قلبه وإن عاد زيد فيها حتى تعلو قلبه وهو الران الذي ذكر الله كلا بل ران على قلوبهم ما كانوا يكسبون
Dari Abu Hurairah Radhiallahu anhu., dari Rasulullah ﷺ, beliau bersabda : Sesungguhnya seorang hamba, ketika berbuat dosa, terjadi titik hitam di hatinya. Ketika dia meninggalkan dosanya, memohon ampun, dan bertaubat, hatinya kembali bersih. Dan jika dia kembali (berbuat dosa), titik hitam terus bertambah di hatinya sampai menggunung, dan itulah yang menyelubungi hati (sehingga kelam dan terdinding mendapat cahaya) seperti yang Allah firmankan, “Sama sekali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.”
[Imam Tirmizi]
Demikian lagi mereka yang sengaja meninggalkan kewajipan² seperti solat, puasa dll atas alasan konon sudah capai Ma'rifat dan tak perlu lagi solat ... maka ini tidak syak lagi menjadikannya zindiq — hati- nya gelap terus sedangkan dia tidak menyedarinya. Wal Iyazubillah
SIRI 84 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
12.4 Punca Kesesatan Golongan Keruhanian (dan juga orang awam)
sambungan....
(4) Melanggar Adab Ma'rifat
Ketahuilah wahai hamba2 Allah, perjalanan Ma'rifat adalah Manhaj Rasulullah ﷺ yang paling tinggi disiplinnya dan paling kuat berpegang teguh kepada adab2. Jalan Ma'rifat mempunyai Prinsip2 tersendiri yang wajib diikuti oleh seluruh salikin yang inginkan kemenangan di negeri akhirat.
Jalan Ma'rifat mempunyai Prinsip2nya yang tersendiri sebagaimana yang telah dihimpun dan di jelaskan oleh sekalian Masyaikh (jamak bagi Shaikh) — iaitu Ulama bertaraf Auliya Allah yang terdahulu. Mereka telah menjelaskan perkara2 pokok yang merupakan ADAB yang sangat besar pada Jalan Ma'rifat. Sekalian ADAB ini wajib difahami dan diikuti sungguh2 agar tidak tergelincir di pertengahan jalan — mudah2an termasuk janji Allah masuk syurga tanpa hisab.
Sekalian Mursyid yang siddiq (benar) sangat arif akan hal ini kerana merekalah pemimpin2 Ummat pada Jalan ketuhanan dan Pemimpin bagi Ahlus Sunnah wal Jamaah. Cogan kata muridin / salikan yang menempuh jalan Ma'rifat adalah dengar dan patuh, ertinya patuhi sekalian Prinsip2 Ma'rifat — ADAB pada jalan Ma'rifat :
✨🕌✨Firman Allah :
وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا
"dan mereka berkata : Kami dengar dan kami patuh"
[Al-Baqarah (2) : ayat 285]
Dan telah masyhur dari kata2 Ahli Ma'rifat :
"Sesiapa yang tidak beradab, tiada ilmu baginya walau dia alim sekalipun."
Mengapa ADAB sangat penting di dalam Agama, khususnya pada Jalan Ma'rifat?
Adab adalah diibaratkan seperti pagar kepada dusun buah²an yang melindungi sekalian hasil penanam- nya berupa buah²an ranum dan enak daripada dimusnahkan oleh anasir perosak atau dicuri oleh manusia2 jahat. Jika pagarnya tidak kuat dan tidak sempurna, maka bila² masa ianya boleh runtuh. Apabila pagarnya runtuh, maka ketika itu sekalian hasil dusunnya terdedah kepada ancaman musnah oleh haiwan perosak atau manusia jahat. Segala hasil yang diusahakannya akan rosak binasa.
Demikianlah ibaratnya orang yang mempunyai amal yang banyak dan telah mencapai kedudukan yang agak tinggi boleh jatuh dan rosak binasa disebabkan ketiadaan adab atau melanggar adab. Walaupun dia seorang yang sangat pintar, bijak dan tinggi ilmunya dan disertai ibadah yang banyak seperti solat tahajjud dan berpuasa banyak tetapi tidak beradab, maka segala ilmu dan amal ibdahnya akan binasa apabila dia sewenang2nya melanggar adab2 besar.
Satu contoh yang sangat jelas di dalam sejarah Ummat ini adalah kisah Wasil bin Atho yang tiada adab kepada Guru Mursyidnya Imam Hasan Al-Basri. Wasil bin Atho keluar dari Majlis Imam Hasan Al Basri kerana meyangka diri dia lebih hebat daripada Mursyidnya. Setelah keluar dari Majlis Mursyid nya, dia (wasil bin Atho) mengumpulkan teman2nya dan mengasaskan fahaman baru yang kemudian di kenali sebagai Fahaman Mu'tazilah. Sekalian Ulama Ahlus Sunnah yang Mu'tabar telah mengeluarkan fatwa bahawa fahaman Mu'tazilah telah sesat dan termasuk didalam 72 golongan sesat yang diberi amaran oleh Rasulullah ﷺ .
Inilah akibat pelanggaran adab oleh murid kepada Guru Mursyidnya.
SIRI 85 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
12.4 Punca Kesesatan Golongan Keruhanian (dan juga orang awam)
sambungan....
Demikianlah empat sebab utama yang menyebabkan penggemar2 keruhanian khususnya (dan orang awam secara umumnya) menyeleweng dari jalan kebenaran dan jatuh kepada kesesatan, Na'uzubillahi min zalik.
Walaupun terdapat di sana banyak lagi sebab2 lain seperti :
Mencampur adukkan agama / Jalan Ma'rifat dengan ajaran2 lain yang asing dari agama, mengejar Karamah2 Hissiyah (perkara2 ajaib yang mencarik adat kebiasaan manusia), bersekutu dengan jinn syaitan bagi memperoleh berbagai kelebihan dll nya — semua ini apabila diteliti akan kembali kepada empat punca utama tadi.
Penyelewengan oleh penggemar2 Jalan keruhanian amat berat sekali kerana bukan diri mereka sahaja akan tersesat tetapi mereka akan mengheret pengikut2nya sekali masuk kepada kebatilan dan kesesatan. Mereka ini amat sukar dikenali kerana mereka juga menggunakan nama "mursyid" , menggunakan istilah "ahli sufi", "ma'rifat" dll yang digunakan oleh Mursyid yang siddiq (benar).
Oleh kerana inilah Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu berkata Sufi PALSU lebih bahaya dari Guru2 yang telah jelas akan kesesatannya. Guru sesat mudah dikenali kerana telah nyata kesesatannya sedangkan Sufi PALSU amat sukar dikenali kerana dia di dalam penyamaran. (Hal ini samalah seperti golongan Wahhabiyah, Syi'ah (rafidhi, sekular liberal yang menyamar sebagai Ahlus Sunnah)
Berkata Imam Jilani Radhiallahu anhu:
"Orang sufi palsu ini sangat bahaya kepada Ummat islam. Dia lebih bahaya daripada seorang Sufi sesat, yang perjalanannya benar tetapi kepercayaannya salah dan sesat, Sebab orang sufi sesat itu semua orang Islam sudah mengenalinya dan mudah dikenali.
Namun sang sufi palsu akan membawa keliru kepada orang awam yang tidak mengerti atau orang mudah terpengaruh dengan hal2 yang tidak asli atau tiruan. Lalu bukan saja dia yang sesat, malah dia sesatkan orang lain yang tidak berdosa!
[petikan Sirrul Asrar Fi Ma Yahtaju Ilayhil Abrar]
Adalah diharapkan sekalian penjelasan ini menjadi i'tibar, pengajaran dan waspada. BUKAN tujuan di sini untuk menakut2kan pengikut Jalan Ma'rifat, tetapi ianya perlu diketahui oleh orang2 beriman yang berjalan kepada Allah.
Jangan terpengaruh dengan dakyah2 musuh Ahlus Sunnah yang sering momokkan "dongeng" bahawa siapa sahaja mengikut Jalan Ma'rifat / Toriqat akan menjadi gila, mabuk dan sesat. Sedangkan hakikat kebenaran adalah :
Orang2 awam yang hanya berpegang kepada syari'at dan abaikan Toriqat Rasulullah ﷺ adalah lebih banyak terjatuh kepada kesesatan. Yang jelas buktinya adalah : 72 golongan yang tersesat ( seperti Khawarij, Syi'ah rafidhi, Mujassimah, Mu'tazilah, Jabariyah, Murji'ah dll berjumlah semua 72 golongan) adalah terdiri dari orang awam yang hanya berpegang kepada Syari'at semata2 dan abaikan Toriqat Rasulullah ﷺ .
Jika demikian mana yang lebih bahaya?
Orang yang mengikut Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ ( iaitu Jalan Ma'rifat sebenar / Jalan Rasulullah sebenar ) atau yang meninggalkannya?
SIRI 86 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
13.0 MATLAMAT TORIQAT (JALAN MA'RIFAT)
13.1 Matlamat Terbesar
Pada beberapa siri yang lalu kami telah menyentuh secara tak langsung matlamat Ilmu Toriqat-Tasawwuf. Jika kamu mempunyai mata hati yang tajam, tentu kamu akan dapat memahaminya.
Walau bagaimanapun kami akan menerangkan nya di sini secara lebih khusus sehingga mereka yang masih kesamaran akan memperoleh pengetahuan yang terang bagai matahari.
Sesungguhnya Matlamat Toriqat tidak lain melainkan menyempurnakan tujuan penciptaan insan, dan juga menyempurnakan Tujuan Sekalian Rasul dan Nabi yang utuskan oleh Allah ke muka bumi iaitu:
Mengenal Allah dengan sebenarnya dan Ubudiyyah kepada-Nya dengan setulus ikhlas.
Allah Ta'ala menciptakan Insan supaya dia (insan) mengenal Allah ( Ma'rifat) dan memperhambakan diri setulus ikhlas kepada-Nya. (Ubudiyyah) sebagaimana diisyaratkan di dalam Kalam-Nya Yang Maha Tinggi:
✨🕌✨Firman Allah :
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan tidaklah Aku ciptakan Jin dan Manusia kecuali untuk beribadah kepadaku”
[Adz-Dzaariyaat (51) : ayat 56]
Ibnu Abbas mentafsirkan makna " يَعْبُدُونِ " (Ya'budun= ubudiyah) pada ayat di atas sebagai " يعرفون " (ya'rifun) iaitu Ma'rifah - Mengenal Allah.
Maknanya yang dikehendaki oleh Allah dengan penciptaan manusia adalah supaya manusa mencapai Ma'rifat — mengenal Allah dengan sebenar kenal dan kemudian ubudiyyah kepada-Nya dengan tulus ikhlas. Sekalian Ulama Arif Billah sepakat dengan pengertian ini.
Jalan untuk mengenal Allah ini adalah melalui Penyucian diri / hati. Iaitu sucikan hati daripada kekotoran ma'nawiyyah (kekejian yang tersembunyi di dalam hati / jiwa) sebagaimana isyarat Al Qur'an.
✨🕌✨Firman Allah :
هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬
“Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf, seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Ilmu rahsia dan pengetahuan mendalam). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
[Al-Jumu’ah (62) : ayat 2]
Ibn Abbas mentafsirkan:
Rasulullah ﷺ diutus untuk mendidik para Sahabat sehingga suci bersih hati mereka dari Syirik, iaitu mencapai Tauhid.
[Tafsir Ibn Abbas]
Ahli Ma'rifat memberikan tafsiran lanjut :
Allah Ta'ala mengutus Rasulullah ﷺ untuk menyucikan batin para Sahabat daripada semua jenis syirik — Syirik Jali dan Syrik Khafi sehingga mereka menjadi insan2 suci dan mengenal Allah dengan sebenar kenal, memperoleh Ilmu Hikmah dan Taqwa yang tinggi. (Maqam Tauhid tertinggi).
Dengan demikian ketahuilah, apabila dihimpunkan kesemua matlamat2 kecil, matlamat keseluruhan Toriqat (Jalan Ma'rifat) adalah:
"Ma'rifat — iaitu Mengenal Allah dengan sebenar kenal dan dari Ma'rifat itu terbit Ubudiyyah — iaitu melakukan perhambaan dirinya tulus ikhlas kepada-Nya.
Untuk mencapainya, setiap Muslim wajib melalui proses penyucian diri, penyucian jiwanya, penyucian hatinya sebagaimana perintah Allah pada ayat Qur'an yang dibentangkan tadi [Al-Jumu’ah (62) : ayat 2] dan sebagaimana yang dilaksanakan Perintah tersebut oleh Junjungan Besar Rasulullah ﷺ .
Di sini timbul beberapa persoalan:
(1) Asal Hati insan suci, mengapakah ia menjadi kotor?
(2) Asal insan (Ruh) melihat Allah di Alam Nur, mengapakah ia terhijab?
(3) Apakah Manhaj Al-Qur'an berkenaan Penyucian Hati insan?
(4) Apakah Jalan Rasulullah ﷺ berhubung dengan Penyucian Hati insan yang diPerintah ?
(5) Bagaimanakah dan Siapakah yang mewarisi Sistem ini daripada Rasulullah ﷺ?
SIRI 87 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
13.0 MATLAMAT TORIQAT (JALAN MA'RIFAT)
sambungan...
13.2 Perincian Matlamat
Berikut adalah Perincian Pencapaian Matlamat Toriqat sebagaimana menepati Perintah Allah dan Rasul- Nya:
Pertama :
Penyucian diri dari Syirik Khafi (syirik tersembunyi) sehingga terhasil memperoleh Tauhid yang suci murni dari sekalian syirik, sekurang2 mencapai pada Maqam Tauhid Af'al
Kedua :
Penyucian diri dari Mazmumah (sifat2 keji)
Ketiga :
Penyucian diri dari sekalian ma'siat (dosa2 besar dan kecil secara umum)
Keempat :
Penyucian diri dari Ghaflah (kelalaian) - yang paling utama jauhi kelalaian dalam solat.
Kelima:
Penyucian diri dari Aghyar (segala suatu selain Allah)
Keenam:
Mencapai Sifat2 mahmudah (sifat terpuji)
Ketujuh:
Mencapai hati yang kekal zikrullah, hasilnya khusyu' di dalam solat dan ibadah² lain, bahkan sampai kepada khusyu' menghadap Allah setiap saat.
Kelapan:
Mencapai kebebasan dari bisikan dan gangguan jinn syaitan
Kesembilan:
Mencapai Ikhlas yang sebenar menurut Ilmu Tasawwuf
Kesepuluh:
Mencapai Maqam Taqwa / Maqam Ihsan / Maqam Tasawwuf / Ma'rifat yang sempurna
Ketahuilah sekalian Matlamat kecil yang dihuraikan di atas, kesemuanya merupakan tuntutan Allah dan Rasul-Nya berdasarkan keterangan2 yang jelas di dalam Kitabullah dan Hadith Rasul. Pencapaian matlamat2 ini kembali tujuan asal penciptaan insan iaitu Ma'rifat Ilahiyyah dan Ubudiyyah setulus hati.
Dengan demikian, setiap Muslim WAJIB menyucikan dirinya dari semua penyakit2 yang bersarang di dalam hatinya sehingga hatinya suci bersih. Dan kemudian berusaha lagi sungguh2 menggilap hatinya sehingga bersinar bercahaya dengan cahaya Rabbaniyyah. Sehingga akhirnya sampailah dia kepada Tuntutan Mutlaq — Matlamat Penciptaan Insan — Mengenal Allah dengan sebenar kenal dan Ubudiyyah kepada-Nya dengan tulus ikhlas.
Inilah Matlamat Toriqat.
Satu2nya Sistem Pendidikan yang membolehkan orang beriman mencapai sekalian Penyucian diri yang tersebut itu sehingga mencapai kecemerlangan Ikhlas / Iman / Tauhid / Taqwaa adalah melalui Toriqat Rasulullah ﷺ yang sahih, yang juga dikenali sebagai Jalan Ma'rifat, yang dipimpin oleh Mursyid yang siddiq.
Sistem Pendidikan Toriqat ini ( atau lebih khususnya disebut Jalan Ma'rifat) yang sistematik, teliti, rapi dan cemerlang diambil dari Sistem Pendidikan Rasulullah ﷺ terhadap para Sahabat. Sistem Pendidikan ini diwarisi turun-temurun dari satu Generasi Mursyid (Warisatul Anbiya yang sebenar) kepada Generasi Mursyid yang berikutnya dengan kaedah penuh rahsia, beradab dan khusus sampai ke hari ini dan akan berterusan sampai Qiamat. Sistem Pendidikan Rasulullah ﷺ ini kemudiannya di- kenali sebagai Madrasah Ma'rifat / Madrasah Ahli Sufi.
Ketahuilah...
Mengambil contoh dan itba' kepada Rasulullah ﷺ, Sekalian Sahabat Nabi, Tabiin, Tabiit-Tabiin, Sekalian Mujtahid Ahlus Sunnah, Sekalian Mujaddid Ummah telah melalui Sistem Pendidikan Toriqat / Jalan Ma'rifat ini. TIDAK ada seorang pun Mujaddid atau Mujtahid Ahlus Sunnah yang lahir melainkan kesemua mereka telah menerima pancaran cahaya Nubuwwah melalui Madrasah Ma'rifat yang khusus ini. Ini termasuk lah sekalian Mujtahid Mazhab Fiqh — Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi'e dan Imam Hanbali adalah mereka itu semuanya telah menempuh Perjalanan Ma'rifat sehingga akhirnya mereka menjadi Ahli Sufi sekaligus Mujtahid Fiqh.
SIRI 88 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
13.0 MATLAMAT TORIQAT (JALAN MA'RIFAT)
sambungan....
13.3 Penjelasan Tambahan : Asal Insan Suci, Kemudian Menjadi Kotor:
Ini adalah tambahan penjelasan berkenaan Ruh insan di Alam Nur dan bagaimana ianya menjadi kotor dan kewajipan menyucikannya semula bagi mengenal Allah dan Ubudiyyah.
Ketika di Alam Nur, (alam Tinggi Ketuhanan), Ruh insan suci bersih tanpa sebarang noda. Ia sentiasa menyaksikan Wajah Allah. Ertinya di alam Nur, sekalian ruh manusia sudah kenal Allah dan menjadi saksi bahawa Allah adalah Rabb (Tuhan) mereka.
Ketika Allah Ta'ala menjadikan sekalian Ruh manusia dan dihimpunkan di Alam Nur (alam Tinggi Ketuhanan), lalu Dia (Allah) bertanya kepada sekalian Ruh-Ruh : "Bukankah Aku Tuhan kamu", maka sekalian Ruh-Ruh itu menjawab serentak : " Bahkan, kami menjadi saksi atas demikian itu"
✨🕌✨Firman Allah :
وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡۖ قَالُواْ بَلَىٰۛ شَهِدۡنَآۛ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Bahkan (Benarlah Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Qiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.
[Al-A'raf (7) : ayat 172]
Firman Allah ini mengandungi beberapa penegasan penting, bahkan antara yang TERPENTING di dalam memahami Matlamat Toriqat (Jalan Ma'rifat ).
(1) Di dalam ayat ini terkandung Pengisytiharan bahawa sekalian Ruh manusia telah bersyahadat akan Keesaan Allah, telah Ma'rifat kepada Allah, telah kenal Allah dengan sebenar kenal.
(2) Ruh-Ruh di alam Nur melihat Zat Allah tanpa sebarang hijab (pendinding / tirai / halangan ) apa pun.
(3) Ruh-Ruh di Alam Nur semuanya di dalam keadaan suci bersih.
(4) Ruh-Ruh terhijab (terdinding) dari melihat Wajah Allah apabila ianya masuk alam dunia disebabkan darah daging yang membalutinya. Kemudian bertambah hijabnya akibat dari dosa2 syirik , mazmumah dan dosa2 yang lain.
(5) Apabila insan itu membesar menjadi kanak2, meningkat menjadi remaja, kemudian meningkat dewasa, bermacam2 hijab lain timbul akibat dari pandangan, pergaulan, makanan, serta dosa2. Hatinya mula menjadi berpenyakit, keras, gelap dan akhirnya mati ; masing² berbeza2 bergantung kepada sejauh mana berlaku kelalaian, keengkaran atau kekufuran.
13.4 Anasir yang Menjadikan Insan kotor dan terhijab
Secara ringkas, Punca hati insan menjadi kotor sehigga terhijab (terdinding) dari Allah Ta'ala adalah sekurang2nya 5 perkara:
🍁(1) Syirik khafi ( شِرْكٌ خَفِيٌ)
Iaitu syirik tersembunyi.
* takabbur — menyombong diri / besarkan diri
* riya' — menunjuk-nunjuk amal
* 'ujub — hairan dengan amal sendiri
* sum'ah — sebarkan amal tersembunyi untuk mendapat pujian
* tawakkal ila makhluq - bergantung hati kepada makhluq
🍁(2) Mazmumah ( مذْمُومَه)
Iaitu sifat tercela @ sifat kekejian seperti khianat, dusta, hasad, tamak, bakhil, dendam, pemarah, jahat sangka, adu domba, fitnah, tajassus, cinta dunia, cinta pangkat, zalim dan banyak lagi
🍁(3) Ma'siat ( مَعْصِيَة )
Ini adalah keengkaran2 lain secara umum yang mengakibatkan dosa besar dan dosa kecil.
🍁(4) Ghaflah ( غَفْلَة)
Iaitu kelalaian hati dari mengingat Allah.
🍁(5) Aghyar ( الاغيار )
Iaitu sekalian sesuatu selain Allah.
Kelima2 perkara yang tersebut di atas adalah punca utama mengapa hati insan menjadi kotor, berpenyakit, kelam, gelap, keras dan buta.
Jika hati itu dibiarkan dalam keadaan itu, maka akhirnya hati itu akan MATI. Wal Iyazubillah.
Huraian terperinci akan datang in shaa Allah,
SIRI 89 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
14.0 PENYAKIT HATI BAHAYA NYA TIDAK DISEDARI
Allah Azza Wa Jalla Yang Maha Perkasa turunkan peringatan sejagat kepada sekalian manusia, khusus nya orang2 beriman....
✨🕌✨Firman Allah :
قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا
“Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan merugilah orang yang mengotorinya”
[Asy-Syams (91) : ayat 9-10]
Ayat yang cukup pendek, tetapi membawa makna yang sangat mendalam. Bahkan boleh dikatakan inilah intisari Agama, intisari TAUHID, intisari IBADAH, intisari kehidupan dan kesudahan INSAN.
Isyarat Pertama adalah UNTUNG atau RUGI:
Apakah yang dimaksudkan dengan "beruntung" dan apakah maksud "merugi"?
Apakah hakikat UNTUNG dan apakah hakikat "RUGI"?
Siapakah yang untung dan siapakah yang rugi?
Bagaimanakah cara mencapai keberuntungan?
Bagaimanakah pula seseorang itu merugi?
Isyarat kedua adalah HATI menjadi kotor:
Apakah makna HATI kotor,?
Bagaimanakah HATI menjadi kotor?
Apakah anasir2 yang menjadikan HATI itu kotor?
Apakah akibat HATI yang kotor?
Isyarat Ketiga adalah Perintah Sucikan HATI:
Apakah makna sucikan HATI?
Bagaimanakah sucikan HATI ?
Apakah alat sucikan HATI?
Apakah tanda2 HATI telah suci?
Analogi Penyakit Jasmani dan Penyakit Ruhani:
Menggulung sekalian persoalan AGUNG ini, mari kita perhatikan suatu analogi yang berhubung dengan kehidupan di dunia bagi mendekatkan faham.
Apabila seseorang dihidapi penyakit jasmani ( tubuh badannya) yang berat, maka dia akan dibawa segera ke hospital untuk di rawat. Penyakitnya perlu dirawat segera kerana kelambatan akan membawa "maut" atau cederanya akan lebih parah. Doktor yang merawatnya mestilah orang yang pakar di dalam rawatan disebabkan seriusnya penyakit yang menimpa pesakit. Ubat-ubatannya perlu yang terbaik. Pesakit itu diberi rawatan dan penjagaan rapi sehingga dia benar2 sembuh.
Cuba perhatikan beberapa kunci di dalam analogi ini:
1. Penyakit yang serius
2. Rawatan segera kerana penyakitnya mengancam nyawa
3. Ubat dan penawar yang terbaik
4. Penjagaan yang rapi dan terkawal
5. Doktor pakar
Demikanlah keadaan cemas dan bergegasnya seseorang atau satu keluarga, bahkan satu masyarakat apabila ditimpa penyakit jasmani yang mengancam nyawanya. Begitu banyak usaha dan pengorbanan perlu dilakukan untuk menyelamatkan satu jiwa. Begitu banyak belanja dikeluarkan.
Bagaimanakah pula dengan "Penyakit Hati" yang menimpa manusia? Setiap manusia tidak terlepas dari penyakit HATI. Akibat dari penyakit HATI manusia, terjadi berbagai kerosakan kepada dirinya dan atas muka bumi. Penyakit HATI ini menyebabkan seseorang itu menjadi zalim dan rakus akan dunia. Penyakit HATI membawa kepada berbagai kerosakan pada IMAN dan kemusnahan Ibadah. Penyakit HATI membawa kepada kefasikan, kemunafikan atau kekafiran.
Penyakit jasad akan membawa "maut" dengan terpisahnya nyawa, tetapi "penyakit HATI" akan membawa "MAUT" kepada IMAN (TAUHID). Namun kebanyakan manusia TIDAK menyedarinya. Sebahagian orang menyedarinya tetapi TIDAK peduli kerana bukan jasadnya yang sakit. Sebahagian orang lain menyedarinya dan ingin merawat HATINYA yang sakit, namun tak berjumpa "doktor pakar" yang mampu merawatnya.
SIRI 90 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
14.1 FAKTA PENYAKIT HATI DAN BAHAYA NYA
✨🕌✨Firman Allah :
يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ۬ وَلَا بَنُونَ (٨٨) إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٍ۬ سَلِيمٍ۬ (٨٩)
"Pada hari itu tiada berguna harta benda dan anak-pinak, kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari berbagai penyakit hati berupa syirik khafi, mazmumah dan penyakit munafiq).
[Asy-Syu'ara (26) : ayat 88-89]
Fakta 1:
Setiap manusia tidak terlepas dari penyakit HATI.
Fakta 2 :
Penyakit HATI manusia lebih merbahaya dari penyakit TUBUH Jasmani, tetapi kebanyakan manusia TIDAK menyedarinya.
Fakta 3:
Penyakit pada tubuh hanya membawa "MAUT" dengan bercerai nyawa. Tetapi penyakit HATI boleh membawa "MAUT" kepada "IMAN" (TAUHID), kebinasaan selama2nya, rugi dunia akhirat. Wal Iyazubillah.
Fakta 4:
Terdapat sekurang2 Lima macam penyakit HATI yang paling bahaya kepada Keimanan / Tauhid :
1. Syirik khafi (syirik tersembunyi)
2. Mazmumah (sifat2 keji)
3. Ma'siat (dosa2 umum)
4. Ghaflah (kelalaian)
5. Aghyar (sekalian suatu selain Allah)
Fakta 5:
Semua dosa HATI tersebut di atas adalah DOSA BESAR, tetapi sebahagian besar Ummat tidak menyedarinya.
Fakta 6:
Dosa2 HATI boleh membawa kepada BATAL IMAN dan hangus segala amal kebaikannya. Wal Iyazubillah.
Fakta 7:
Orang yang beruntung dan selamat dunia akhirat adalah orang yang berusaha sungguh2 menyucikan HATI nya.
Fakta 8:
Jalan untuk menyucikan HATI telah ditunjukkan oleh Junjungan Besar Rasulullah ﷺ. Baginda adalah doktor keruhanian dan pakar hal ehwal hati manusia, Obat dan Penawar mujarab bagi mengubati sekalian penyakit HATI manusia tersimpan di dalam dada Rasulullah ﷺ. Kepakaran Rasulullah ﷺ ini kemudian diwarisi oleh Khulafa Ar-Rasyidin dengan cara yang amat seni, rahsia dan terpelihara keasliannya. Setelah kewafatan para Sahabat Khulafa Ar-Rasyidin, kepakaran Rasulullah ﷺ diwarisi oleh Tabiin, Tabiit-Tabiin, Imam dan Shaikh yang kemudiannya dikenali sebagai Mursyid yang siddiq (Pewaris Nabi yang Muhaqqiq).
Fakta 9:
Semua orang Islam perlu mencari Mursyid yang siddiq (Pewaris Nabi yang muhaqqiq) dan berusaha sungguh2 menyucikan HATI mereka. Allah Ta'ala Kurniakan Mursyid yang siddiq kelengkapan yang memadai bagi memproses HATI manusia menjadi suci dan bercahaya sebagaimana tuntutan Allah Ta'ala.
Fakta 10:
Himpunan Sistem penyucian HATI inilah dinamakan Toriqat Rasulullah ﷺ. Toriqat Rasulullah ﷺ adalah SISTEM Tarbiyyah terunggul untuk mendidik, mengasuh dan menyucikan HATI manusia, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Ta'ala kepada Baginda melalui Wahyu pertama Kalimat Iqra'. (akan datang penjelasan)
Toriqat Rasulullah ﷺ yang sahih Mu'tabar adalah jalan sebenar bagi ummat ini, namun kebanyakan TIDAK memahaminya, ada pula yang lain mengejek dan engkarinya. Bahkan tidak kurang menjadi penentangnya, Wal Iyazubillah.
Jika ini pertama kalian mendengar penjelasan seperti ini, sabarlah membaca dan cuba memahaminya perlahan-lahan. Segala penjelasan disokong dengan Fatwa Ulama Mu'tabar Ahlus Sunnah yang telah masyhur nama mereka sepanjang zaman — antara nya:
Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani,
Al-Imam Al-Qutb Abu Hasan Asy-Syazili,
Al-Imam Al-Qutb Alwi Al-Haddad
Al-Imam Junaid Al-Baghdadi,
Al-Imam Al Ghazali,
Al Imam Fakhruddin Ar-Razi,
Al-Imam Sayuthi,
Al-Imam Nawawi,
Al-Imam Ibn Abideen,
Al-Imam Al-Alusi,
Al-Imam Qastolani,
Al-Imam Asy-Sya'rani,
Al-Imam Qusyairi,
Al-Imam Ibn Atho illah,
Al-Imam Ibn Hajar Al-Haythami,
Al-Imam Romli.
moga Allah Ta'ala Redhai kesemua mereka.
Mohon petunjuk Allah agar Dia Kurniakan faham akan Agama Suci ini.
bersambung siri 91 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment