B47 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■



SIRI 461 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-56:

Tidak berpegang kepada

Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

....... sambungan.....



Tanda 6 : Takut kepada Allah

Apabila berserta dengannya seseorang akan tambah takut kepada Allah.


Tanda 7 :  Jauhi sifat keji

Apabila bersama dengannya semakin kurang sifat mazmumah (sifat buruk dan keji).


Tanda 8 : Syirik khafi berkurang

Apabila bersamanya semakin hilang syirik-syirik khafi seperti ujub, riya dan takabbur.


Tanda 9 :  Khusyu’ bertambah:

Apabila bersamanya semakin khusyu' di dalam solat dan ibadah lain.


Tanda 10 :  Jiwa sejuk

Apabila bersama dengannya  terasa tenang dan sejuk hati berserta Allah.


Ini antara penelitian yang boleh dijadikan panduan untuk mengukur, menilai, mengenal pasti orang kita ingin jadikan sebagai Guru itu Mursyid yang benar.


Memang benar, tidaklah semua kebaikan yang tersebut di atas itu datang sekaligus tetapi berperingkat, terutama kebaikan  lebih istimewa seperti khusyu’ dalam solat, hilangnya ujub, riya dan lain-lain akan datang beransur ansur.


Tetapi sebahagian besar  tanda-tanda kebenarannya dapat dirasai, ketika awal-awal ingin bai'at lagi.  Bahkan sebahagian orang yang bai'at,  seketika bai'at itu juga mereka telah mendapat  zauq (pemerasaan hati) dan  jazbah (kedatangan Nur Allah). 


Rasulullah ﷺ bersabda :

"Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang apabila dilihatnya, dapat mengingatkan kamu kepada Allah, percakapannya menambahkan ilmu kamu, perbuatannya (amalannya) mendekatkan kamu kepada akhirat” 

[Imam Al-Haakim ]


Rasulullah ﷺ bersabda :

“Sesungguhnya ada sebahagian manusia menjadi kunci kebaikan dan penutup kejelekan, dan ada pula sebahagian manusia yang menjadi kunci kejelekan dan penutup kebaikan.  Maka beruntunglah bagi siapa saja yang Allah jadikan kunci-kunci kebaikan berada di tangannya, dan celakalah bagi siapa saja yang Allah jadikan kunci-kunci kejelakan berada di tangannya.” 

[Imam Ibnu Majah]


Rasulullah ﷺ bersabda :

“Sebaik-baik kamu adalah apabila dia dilihat, membawa Mengingat Allah.

[Imam Ibnu Majah]


SIRI 462 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-56:

Tidak berpegang kepada

Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

....... sambungan.....



Langkah 3 :  Istikharah Mohon Petunjuk Allah


Berikut panduan yang diberikan oleh Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani رضي الله عه seperti di bawah :


Kata Imam:

"Jika seseorang tidak dapat membezakan di antara Guru Kerohanian (Shaikh Mursyid) yang sebenar dan yang palsu, dia perlu mengerjakan solat nafil dua rakaat di waktu malam tahajjud, untuk memohon petunjuk Allah Ta'ala. Dia kemudiannya memohon kepada Allah menunjukki manusia-manusia suci ini yang akan memimpinnya kepada jalan kebenaran.  Dia mesti sungguh-sungguh merayu kepada Allah agar Dia memperlihatkan kepadanya orang yang akan membawa kepada Kasih akan Allah Ta'ala dan yang akan menyinari mata hatinya dengan cahaya Ketuhanan.  Dan yang akan membuka kepada kejadian-kejadian ghaib yang beliau sendiri telah menyaksikannya.  Dengan berbuat demikian, Insya Allah seseorang akan mendapat jawapannya dari Allah Ta'ala. 

[Fathur-Rabbaniyy Wa Faidhur-Rahmani]


Cara melaksanakan Solat Istikharah

Lakukan Solat Sunnat ini dan zikir pada waktu malam tahajjud.


1) Solat Taubat 2 rakaat

2) Solat tahajjud 2 rakaat

3) Solat Hajat 2 rakaat

4) Solat istikharah 2 rakaat

5) Doa pada Allah agar Allah tunjukki Guru Mursyid yang Siddiq (benar) untuk dijadikan pemimpin kepada Allah.


Pegang Teguh Setelah Bai'at :

Setelah ikuti semua panduan di atas lalu ditunjukki oleh Allah Pemimpin itu, kemudian kamu bai'at dengannya, dengan keyakinan yang teguh, maka pegang teguhlah sampai mati.  Jika datang hasutan selepas itu sama ada dari nafsu, bisikan iblis,  daripada makhluq atau dunia, maka tolaklah jauh kerana itu semua seruan- seruan untuk jauhkan kamu dari Jalan Allah.


Sekali pun kamu melihat suatu pada sangkaan kamu bertentangan dengan hukum, maka hendaklah palingkan kepada kebaikan.  Ini kerana tujuan seorang Shaikh Mursyid tidak lain melainkan menolong muridnya sepanjang perjalanan.  Sangkaan yang datang setelah keyakinan adalah mengandungi tipu daya Iblis.  Ini sebabnya kata Imam Ghazali....


Berkata Imam Ghazali :

Di antara adab-adab penuntut ilmu (murid) adalah :

"Jangan sekali-kali su’uz-zan terhadap Shaikhmu mengenai tindakan yang kelihatannya mungkar atau tidak di- Redhai Allah menurut pandanganmu, sebab Shaikh kamu lebih mengerti rahsia-rahsia yang terkandung dalam tindakannya."

[Bidayatul Hidayah]


Kata Imam Ghazali lagi :

"Hendaklah murid itu bersikap kepada gurunya seumpama tanah kering yang disirami hujan Iebat. Maka meresaplah ke seluruh bahagiannya dan meratalah keseluruhannya air hujan itu.   Manakala guru itu menunjukkan jalan belajar kepadanya, hendaklah dita'ati dan tinggalkanlah  pendapat sendiri.  Ini kerana  meskipun guru itu bersalah, tetapi lebih berguna baginya dari kebenarannya sendiri.  Sebab, pengalaman mengajari yang halus-halus, yang ganjil didengar tetapi besar faedahnya (dari pengalaman keruhanian yang telah ditempuh oleh Guru pada waktu yang panjang).


Berapa banyak orang sakit yang dipanasi, dirawat oleh doktor dengan menambah panas pada waktu tertentu supaya kekuatannya bertambah sampai batas yang sanggup menahan pukulan ubat.  Maka hairanlah orang yang tak berpengalaman tentang itu

[Ihya Ulumuddin]


SIRI 463 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 57:

Lalai dari Zikrullah (Lupa kepada Allah)

=============================



Definisi-Definisi Penting

==================


Definisi Zikrullah

________________


Dari segi bahasa :

Zikir berasal dari akar kata ( ذَكَرَ) 

yang bermaksud ingat, mengingat dalam hati, ungkapkan, menyebut,  meneliti, mengenal, merenung. 


Dari segi Istilah :

Pada sisi syara'  yang dikehendaki dengan Zikrullah adalah "Mengingat Allah dalam hati" atau "menyebut-nyebut Nama Allah dengan lisan (lidah) berserta ingatan dalam hati."



Definisi  غَفْلَة  (ghaflah)

___________________


Dari segi bahasa :

Ghaflah (غَفْلَة ) adalah bermaksud:  Lalai, tidak mengingati, lupa, lengah, cuai, abaikan, tidak peduli, biarkan terlantar, hilangnya sesuatu yang penting dari hati, keadaan yang menimpa hati seseorang disebabkan tiada kesedaran


Dari segi istilah :

Yang dimaksud dengan istilah _ghaflah_ pada sisi syara' adalah lalai dari mengingat Allah, lupa Zikrullah, lupa pada Allah, hilangnya Zikrullah dari hati,  hati dikuasai dunia, makhluq, nafsu, syaitan.



Penjelasan :

=========


(1) Menurut pendirian Ahlus Sunnah Wal Jama'ah yang benar (tulen), Zikrullah merupakan suatu Ibadah tersendiri yang wajib didirikan sepanjang hayat, siang dan malam, pagi dan petang, sendirian dan di dalam keramaian tanpa kecuali.


(2) Zikrullah yang wajib ditunaikan oleh setiap orang beriman adalah: Zikir di dalam hati.... iaitu berzikir Allah Allah Allah di dalam hati terus-menerus.  Ada pun zikir dengan lisan (lidah) adalah sangat dituntut sebagai "penguat" kepada zikir di dalam hati. 


(3) Zikrullah (Ingat Allah, sebut Nama Allah, tafakkurkan Nama Allah)  adalah sebesar-besar Ibadah.  Orang yang tekun mengerjakan ibadah zikrullah siang malam tanpa berhenti dengan penuh ikhlas dan menurut adab, hukum dan kaifiyyatnya, maka dia akan memperoleh  darjat kedudukan paling tinggi di Sisi Allah. 


(4) Masyaikh Ahlus Sunnah menetapkan bahawa hanya mereka yang kekal hatinya berzikir, akan dibukakan hatinya kepada Allah, memperoleh Tauhid yang suci murni.  Tanpa mengekalkan hati terus-menerus berzikir, tak mungkin seorang pun sampai kepada Allah (tidak mencapai Tauhid hakiki, Iman sejati).  Hatinya akan sentiasa bergelumang di dalam kesyirikan (syirik khafi). 


(5) Setiap ibadah yang dikerjakan dengan zikrullah (Ingat Allah) di dalamnya,  maka ibadah tersebut adalah ibadah yang benar-benar bersih, ibadah yang terlebih baik, sempurna yang memperoleh Redha Allah.  Ibadah yang tiada zikir di dalamnya adalah "kosong" dan "kerugian". 


(6) Ingatan Allah terhadap hamba-hamba-Nya yang zikrullah (Mengingat Allah) adalah lebih utama.  Ertinya Limpahan Rahmat dan Inayah (pertolongan Allah) terhadap hamba-hamba-Nya yang zikrullah adalah jauh lebih hebat dari ingatan hamba kepada Tuhannya.  Hamba cuma buat sedikit ibadah tetapi Allah Taala melimpahkan Rahmat yang banyak.


(7) Membanyakkan Zikrullah adalah tanda seorang Mukmin sedangkan orang yang malas berzikir atau sedikit berzikir merupakan tanda wujud tanda-tanda nifaq (munafiq) atau dia benar-benar orang munafiq kerana hanya orang munafiq berzikir di dalam keadaan malas. 


(8) Lalai dari Zikrullah (tidak berzikir, lupa kepada Allah, tidak ingat kepada Allah) adalah dosa besar yang membawa kepada berbagai dosa besar lain, bahkan membawa kepada kefasikan, kesesatan, kemunafikan atau kekufuran yang nyata.


(9) Sebahagian orang Islam awam menganggap lupa kepada Allah, tidak berzikir, lalai dari Zikrullah sebagai hal remeh dan tidak berdosa kerana menurut mereka "lalai dari ingat Allah" itu lumrah dan tak boleh dielakkan.  Pegangan ini benar-benar menentang Al-Qur'an, Hadith dan Ijma Ulama Ahlus Sunnah.


SIRI 464 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 57:

Lalai dari Zikrullah (Lupa kepada Allah)

..... sambungan.....



(10) Orang yang berzikir Allah adalah orang yang hidup (hatinya hidup menghadap Allah) sedangkan orang yang lalai dari Zikrullah adalah bagaikan orang yang mati (mati hatinya).


(11) Zikir Allah Allah yang teguh di dalam hati menyucikan hati dari daripada sekalian kekotoran dan kekejian, terutama Syirik khafi dan sifat mazmumah yang menjadi punca kebinasaan orang islam.  Zikrullah adalah pencuci bagi hati yang telah berkarat dengan dosa-dosa. 


(12) Zikir Allah terus menerus menurut disiplin Toriqat (Tasawwuf) iaitu Jalan Ma'rifat yang diwarisi tumurun oleh sekalian masyaikh akan menghidupkan hati, memperoleh Tauhid suci murni,  ikhlas yang sebenar-benar ikhlas,  dan menjadikan seseorang khusyu’ di dalam Solat.


(13)  Telah sepakat Ulama Ahlus Sunnah, seseorang tidak akan sampai kepada Allah (sampai kepada Tauhid hakiki) melainkan melazimkan Zikrullah yang banyak menurut disiplin Toriqat (tasawwuf) yang dipimpin oleh Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.



Berkata Ibn Abbas Radiallahu‘anhu :

"Allah Ta'ala tidak mewajibkan atas hamba-Nya hal-hal yang fardhu, kecuali  yang telah diketahui olehnya.  Dan orang yang meninggalkan  fardhu-fardhu tersebut kerana alasan tertentu boleh dimaafkan, kecuali Zikrullah. Zikir kepada  Allah tidak memiliki batas, dan tidak ada alasan bagi seseorang untuk meninggalkannya kecuali dia kehilangan aqal. Manusia diperintahkan untuk berzikir kepada Allah dalam segala kesempatan."

[Tafsir Ibnu Abbas]


Berkata Al Imam Ghawthul A'zham Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu Anhu

"Jalan untuk  wusul  (sampai kepada Allah)  ialah dengan selalu menjaga diri supaya berada di atas jalan yang benar, berpegang teguh kepada hukum Syari'at siang dan malam dan mudawamah  (berkekalan) Zikir khafi  (zikir dalam hati) maupun Zikir Jihar (dengan lisan dengan kuatkan suara zikir).    Mudawamah (berkekalan) zikrullah itu hukumnya fardhu 'Ain (wajib)  bagi mereka yang mencari Keredhaan Ilahi.

[ Sirrul Asrar fi ma Yahtaju Ilayhil Abrar,  Fasal 7 : Zikir]


Berkata Imam Junaid Al Baghdadi :

Zikrullah adalah rukun utama (pokok dan terpenting) dalam ilmu Tasawuf (Toriqat) ini, bahkan seseorang tidak akan sampai   kepada Allah (Maqam Tauhid yang hakiki Ma'rifat) kecuali dengan kekalkan berzikir.”

[Rasail Al Junaid]


Kata Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Radhiallahu anhu :

"Ya anakku, adapun hukum Zikir Allah itu adalah wajib, seperti Firman Allah di dalam Surah Al-Ahzab, ayat 41."

[Risalah Ma'rifat ; bab Zikrullah]


Kata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu :

"Orang yang banyak berzikir kepada Allah itu adalah panggilan untuk seseorang yang berzikir secara tulus ikhlas dari hatinya, sedangkan orang yang sedikit berzikir (kepada Allah) adalah orang yang memiliki tanda-tanda orang munafiq.  Kerana dia hanya berzikir dengan lisan dan bertujuan untuk dilihat oleh orang lain sahaja."

[Tafsir Qurtubi]


SIRI 465 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 57:

Lalai dari Zikrullah 

(Lupa kepada Allah)

..... sambungan.....



Dalil-dalil wajib berzikir dalam hati

terus-menerus dan bahaya lupa kepada Allah

=================================


Dalil 1:  Firman Allah Ta'ala :


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ ذِكۡرً۬ا كَثِيرً۬ا 


"Wahai orang-orang yang beriman,  ingatlah serta sebutlah Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.

[Al-Ahzab (33) : Ayat 41]


Berkata Ibn Abbas Radiallahu‘anhu :

"Allah Ta'ala tidak mewajibkan atas hamba-Nya hal-hal yang fardhu, kecuali  yang telah diketahui olehnya.  Dan orang yang meninggalkan  fardhu-fardhu tersebut kerana alasan tertentu boleh dimaafkan, kecuali Zikrullah. Zikir kepada Allah tidak memiliki batas, dan tidak ada alasan  bagi seseorang untuk meninggalkannya kecuali dia kehilangan aqal. Manusia diperintahkan untuk berzikir kepada Allah dalam segala kesempatan."

[Tafsir Ibnu Abbas]


Berkata Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu :

"Ya anakku, ada pun hukum Zikir Allah (dalam hati) itu adalah wajib, seperti Firman Allah di dalam Surah Al-Ahzab, ayat 41."

[Risalah Ma'rifat ; bab Zikrullah]


Kata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu :

"Orang yang banyak berzikir kepada Allah itu adalah panggilan untuk seseorang yang berzikir secara tulus ikhlas dari hatinya, sedangkan orang yang sedikit berzikir (kepada Allah) adalah orang yang memiliki tanda-tanda orang munafiq.  Kerana dia hanya berzikir dengan lisan dan bertujuan untuk dilihat oleh orang lain sahaja."

[Tafsir Qurtubi]



Penjelasan :


(1) Perintah Allah di atas menyuruh orang-orang beriman Zikir Allah dengah Zikir yang banyak.  Zikir yang banyak bermaksud tiada had atau batas dan diperintah terus- menerus di dalam semua keadaan.


(2) Ayat ini perintahkan Zikrullah, ertinya Zikir ingat Allah, sama ada dengan lisan (berserta ingatan di dalam hati akan Allah) atau semata- mata Ingat Allah di dalam hati. 


(3) Perintah Allah ini menyebut Zikir kepada Allah dengan zikir yang banyak, ertinya apa saja lafaz Zikir yang membawa ingat kepada Allah.  Sama ada kamu zikir dengan Ismuz-Zat, iaitu "zikir Allah"  atau "La-ilaha-Illallah"  atau kamu berzikir dengan ismus-Sifat, iaitu Sifat Allah dengan menyebut Asma Allah yang Maha Sempurna, seperti :  Ya Latiff, Ya Qahhar, Ya Hayyu Ya Qayyum dan lain-lain semuanya menuju kepada hakikat Zikrullah, iaitu Ingat Allah terus-menerus.


(4) Daripada Tafsiran Ibnu Abbas yang tersebut tadi, kita memahami adalah wajib atas setiap orang beriman melakukan Zikrullah dengan sebanyak-banyaknya dan di dalam semua keadaan (tanpa had atau batas tertentu — sebanyak-banyaknya).  


Tentu ramai tertanya-tanya, bagaimanakah cara menyempurnakan Perintah Allah ini? 

Apakah mungkin seseorang mampu berzikir dengan zikir yang banyak dan pada masa yang sama berzikir kepada Allah di dalam semua keadaan?  


Jawapannya...

Perintah Allah tersebut adalah  Zikir khafi, iaitu Zikir Allah Allah di dalam hati atau maksudnya : Ingat "Allah" terus-menerus di dalam hati.  Ini bermakna Zikrullah yang diwajibkan atas setiap orang beriman adalah Zikir Allah Allah di dalam hati.  Cara melaksanakannya ditunjukkan di dalam Ilmu Toriqat (Tasawwuf) dengan Pimpinan dan tunjuk ajar Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar).


(5) Menurut keterangan Ulama di atas juga, kita dapat faham ayat Allah ini berikan isyarat bahawa diantara tanda-tanda orang beriman dengan keimanan yang benar adalah dia melakukan Zikrullah dengan zikir yang banyak sementara orang berzikir sedikit atau malas berzikir adalah tergolong ke dalam orang yang mempunyai sifat munafiq. 


SIRI 466 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 57:

Lalai dari Zikrullah 

(Lupa kepada Allah)

..... sambungan.....



Dalil 2:  Firman Allah :


وَٱذۡكُر رَّبَّكَ فِى نَفۡسِكَ تَضَرُّعً۬ا وَخِيفَةً۬ وَدُونَ ٱلۡجَهۡرِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأَصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ 


"Dan ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut  dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai."

[Al-A'raf (7) : Ayat 205]


Berkata Imam Fakhruddin Ar-Razi Radhiallahu anhu :

 (Mujaddid kurun ke 6 Hirriyyah) :

"Berdasarkan ayat 205 al-A’raf ini, Rasulullah ﷺ (dan Ummat Baginda) diwajibkan berzikir dalam hati (senyap —tanpa  suara)   dengan ingatan Allah,  Allah,  Allah terus- menerus sepanjang waktu siang dan malam.  Kalimat  ini  " بِٱلۡغُدُوِّ  "  mewakili seluruh waktu siang dan kalimat "  وَٱلۡأَصَالِ  "    mewakili seluruh malam"

[Tafsir Al-Kabir]


Berkata Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Radhiallahu anhu :

"Ya anakku, difahamkan pada ayat ini menyuruh oleh Allah (Zikrullah) dan akhirnya menegah daripada lalai. (lalai dari Zikir Allah) Adalah zikir khafi itu wajib sepenuh masa."

[Risalah Ma'rifat : Bab Zikrullah]


Berkata Imam Ibn Jarir At-Tabari Radhiallahu anhu :

"Kata Mujahid, Ertinya adalah : Perintahkanlah kepada mereka (orang beriman) agar berzikir kepada Allah di dalam dada (hati) dengan sikap merendahkan diri dan perasaan takut.  Kata Hasan bin Yahya : Allah berfiman, 'Jika hamba-Ku mengingat-Ku di dalam dirinya, maka Aku mengingatnya di dalam diri-Ku.  Jika hamba-Ku mengingat Aku sendirian, maka Aku mengingatnya dalam kesendirian-Ku.  Jika dia mengingat-Ku dalam kelompok, maka Aku mengingatnya dalam kelompok yang lebih baik dan lebih mulia dari mereka."

[Tafsir At-Tabari]


Berkata Ibnu Kathir Radhiallahu anhu :

"Allah Memerintahkan agar Dia di Zikirkan (ingat Allah) lebih banyak pada waktu pagi-pagi  dan petang-petang (sepanjang hari)"

[Tafsir Ibnu Kathir]


Dari Tafsir Jalalain :

"Dan zikirlah kepada Allah di dalam diri kamu (hati kamu), iaitu secara senyap dan di dalam keadaan takut rendah diri."

[Tafsir Jalalain]


SIRI 467 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar 57:

Lalai dari Zikrullah 

(Lupa kepada Allah)

..... sambungan.....


Dalil 3:  Firman Allah :


وَٱذۡكُرِ ٱسۡمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلۡ إِلَيۡهِ تَبۡتِيلاً۬   


"Zikirlah akan Nama Tuhanmu dan renunglah kepada-Nya dengan sungguh-sungguh renungan (muraqabah)"

[Al-Muzammil (73) : Ayat 8] 


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu :

"Perintah Allah ini juga bermaksud ingat kepada Allah (Zikrullah) dan ingat kepada Keesaan-Nya.  Dan ikhlaslah di dalam solat, doa dan setiap ibadah yang kamu kerjakan."

[Tafsir Ibnu Abbas]


Berkata Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu :

"Dan sebut oleh kamu akan Nama Tuhanmu (perintah zikir Allah)  dan renungi olehmu kepada-Nya dengan sebenar-benar renungan, ya'ni muraqabah, bukan fikir aqal."

[Risalah Ma'rifat : Bab Zikrullah]



Berkata Imam At-Tabari Radhiallahu anhu :

"Allah perintahkan Rasululullah ﷺ (dan sekalian orang beriman) : Sebutlah nama Tuhanmu, berdoalah dan ibadah kepada-Nya dengan penuh ketekunan."

[Tafsir Tabari]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu :

"Sebutlah nama Tuhanmu dan berdoalah dengan menggunakan Nama-nama-Nya yang Agung (Asmaul-Husna) dan gunakan seluruh waktumu untuk beribadah kepada Allah dan jangan sekutukan Allah dengan yang lain."

[Tafsir Qurtubi]



Berkata Imam Muhaddith  Shaikh Thana-Ullah Uthmani Radhiallahu anhu :

"Ketahuilah ayat ini memerintahkan berulang-ulang menyebut nama Tuhan Yang Maha Agung  iaitu zikir  Allah, Allah (di dalam hati)"

[Tafsir Mazhari]


SIRI 468 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 57:

Lalai dari Zikrullah_ 

(Lupa kepada Allah)

..... sambungan.....


 Dalil 4: Firman Allah :


فَوَيْلٌ لِّلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُمْ مِّن ذِكْرِ ٱللَّهِ أُوْلَـٰئِكَ فِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ


"Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada Zikrullah.  Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata"

[Az-Zumar (39) : Ayat 22]


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu :

"Kecelakaan besar (siksaan yang amat dahsyat) terhadap mereka yang keras hati dari Zikrullah dan mereka yang hatinya tidak menjadi lembut dengan Zikrullah."

[Tafsir Ibn Abbas]


Berkata Al-Imam Sultan Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu :

"Azab yang pedih disediakan untuk mereka yang telah membatu, menyempit dan ternoda hatinya untuk mendengar Zikrullah dan mendengar ayat-ayat Agung-Nya yang membuktikan Keesaan Zat-Nya"

[Tafsir Jilani]


Berkata Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu :

Kesemua Ayat Qur'an di atas menunjukkan Perintah suruhan berzikir Allah Allah di dalam hati sebanyak-banyaknya dan berulang-ulang tanpa henti.  Mereka yang lalai dari Zikrullah diancam dengan Neraka Wail"

[Risalah Ma'rifat]


Kesimpulannya orang yang tidak berzikir atau sedikit zikirnya atau malas berzikir, akan menyebabkan hatinya menjadi keras, gelap dan mati.  Wal Iyazubillah.


SIRI 469 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 57:

Lalai dari Zikrullah_ 

(Lupa kepada Allah)

..... sambungan.....



Dalil 5:  Firman Allah :


يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلاَ أَوْلاَدُكُمْ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُوْلَـٰئِكَ هُمُ ٱلْخَاسِرُونَ 


"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah.  Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi."

[Al-Munafiqun (63) : Ayat 9]


Dalil 6:  Firman Allah :


وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكاً وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى


"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari mengingati-Ku (berpaling dari Zikrullah) maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".

[Toha (20) : Ayat 124]


Dalil 7:  Rasulullah ﷺ bersabda :

“Perbandingan orang yang berzikir kepada Allah dengan orang yang tidak berzikir kepada Allah adalah seperti orang yang hidup dan mati.”

[Imam Bukhari dan Imam Muslim] 


Dalil 8:  Hadith Rasulullah ﷺ :

“Janganlah kalian banyak bicara tanpa berzikir kepada Allah, kerana banyak bicara tanpa berzikir kepada Allah membuat hati menjadi keras, dan orang yang paling jauh dari Allah adalah orang yang berhati keras.”  

[Imam Tirmidzi]


Dalil 9:  Rasulullah ﷺ   bersabda :


مَثَلُ الْبَيْتِ الَّذِى يُذْكَرُ اللَّهُ فِيهِ وَالْبَيْتِ الَّذِى لاَ يُذْكَرُ اللَّهُ فِيهِ مَثَلُ الْحَىِّ وَالْمَيِّتِ


"Sesungguhnya bagi setiap suatu ada pencucinya, dan pencuci bagi hati itu ialah Zikrullah.”

[Imam Baihaqi]


SIRI 470 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 57:

Lalai dari Zikrullah

(Lupa kepada Allah)

..... sambungan.....



Punca Kelalaian

Punca lupa kepada Allah

======================


Punca utama hati manusia menjadi lalai dan lupa kepada Allah amat banyak, namun apabila diusul kepada asal kejadian insan (ruh insan) serta perubahan yang terjadi setelah ruh insan itu diturunkan ke muka bumi dan dimasukkan ke dalam jasad, maka asbabnya adalah hijab (tutupan) yang menutup mata hati.


Penjelasan 1 :  Asal insan adalah suci bersih, kemudian dikotori

Ketika di Alam Nur,  ruh manusia suci bersih tanpa sebarang noda.  Ia sentiasa menyaksikan Wajah Allah.  Ertinya di Alam Nur, sekalian ruh manusia sudah kenal Allah dan menjadi saksi bahawa Allah adalah Rabb (Tuhan) mereka.  


Ketika Allah Ta'ala menjadikan sekalian Ruh manusia dan dihimpunkan di Alam Nur (alam Tinggi Ketuhanan), lalu Dia (Allah) bertanya kepada sekalian Ruh-Ruh :  "Bukankah Aku Tuhan kamu",  maka sekalian Ruh-Ruh itu menjawab serentak :  " Bahkan, kami menjadi saksi atas demikian itu"


Firman Allah :


وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡ‌ قَالُواْ بَلَىٰ‌ شَهِدۡنَآ‌ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ


Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Bahkan (Benarlah Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Qiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.

[Al-A'raf (7) : Ayat 172]

  

(1) Di dalam ayat ini terkandung Pengisytiharan bahawa sekalian Ruh manusia telah bersyahadat akan Keesaan Allah, telah Ma'rifat kepada Allah, telah kenal Allah dengan sebenar kenal.


(2)  Ruh-Ruh di alam Nur melihat Zat Allah  tanpa sebarang hijab (pendinding / tirai / halangan ) apa pun. 


(3) Ruh-Ruh manusia sama ada Islam atau kafir semuanya di dalam keadaan suci bersih di alam Nur.  


(4) Ruh manusia terhijab (terdinding) dari melihat Wajah Allah apabila ianya masuk ke dalam rahim ibunya ( alam dunia) disebabkan darah daging yang membalutinya dan ditambah lapisan-lapisan hijab kemudiannya akibat dari dosa-dosa syirik , mazmumah dan dosa-dosa yang lain. 


(5) Sebaik sahaja ruh ditiup ke dalam janinnya di dalam rahim ibu, maka terhijablah (terdinding) ruh itu dari melihat Allah.  Dia terdinding dengan lapisan hijab (dinding) yang pertama iaitu darah, daging, tulang, urat yang membalutinya.  Setelah lahir ke dunia, meningkat menjadi kanak-kanak,  meningkat dewasa, bermacam-macam hijab (tutupan hati) lain timbul akibat dari pandangan, pergaulan, makanan, serta dosa-dosa. 


(6) Jika seseorang biarkan hatinya ternoda dan terhijab, dan tidak berusaha menyucikannya, maka hatinya terus menjadi lalai dan lupa kepada Allah.


Bersambung siri 471 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 510) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...