ARASY

 

PENGERTIAN ARASY DAN TUJUAN ALLAH TA'ALA MENCIPTAKAN ARASY

 

Susunan:

Shaikh Sayyid Abu Tohir

Mursyid Silsilah Naqsyabandiah Al Kholidiyah


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


1.0  Muqaddimah

□□□□□□□□□□□□

 

Apakah yang dikatakan Arasy?

Di manakah Arasy?

Adakah Arasy itu ciptaan Allah atau Sifat-Nya?

Adakah Arasy itu jirim (jisim) atau bayangan?

Apakah tujuan Allah Ta'ala ciptakan Arasy?

Benarkah dakwaan Arasy itu dica ole
ipth Allah untuk menjadikannya tempat duduk-Nya sebagaimana fahaman mujassimah / wahabiyyah?


Bagaimanakah pegangan yang benar berhubung dengan "Allah istiwa di atas Arasy?"

Oleh kerana tidak mendapat pengetahuan yang jelas berhubung dengan Arasy dan sifat2 Allah Yang Maha Agung, maka terjadi berbagai anggapan dan sangkaan mengelirukan di kalangan orang Islam berhubung dengan "istiwa Allah di atas Arasy".

Maka sebagai permulaan mari kita fahami dahulu, apa itu Arasy.


2.0 Pengertian Arasy

□□□□□□□□□□□□□□□


Menurut pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, Arasy adalah makhluk ciptaan Allah.  Dan dikatakan Arasy adalah makhluk ciptaan Allah yang terbesar, yang mempunyai jisim (maksudnya adalah mempunyai jirim berupa benda yang boleh dikesan oleh pancaindera, tetapi dighaibkan oleh Allah) kedudukannya tertinggi dari sekalian makhluk, Rupanya seperti kubah dan mempunyai tiang2 dan dipikul oleh Malaikat2 yang gagah.  Banyak lagi malaikat lain  sentiasa bertawaf mengelilingi Arasy.

Ini bermakna Arasy itu BUKAN "metafora", BUKAN sebuah “bayangan”, BUKAN khayalan, BUKAN awang-awangan, tetapi benar2 wujud di dalam bentuk jisimnya yang tersendiri.

Rupanya yang sebenar dan hakikat yang tersembunyi tidak diketahui oleh orang2 awam, hanya diketahui oleh Arif Billah yang dibukakan oleh Allah Ta’ala kepada Maqam Mukasyafah yang tahqiq.
( RUJUK TAJUK AHLI MA'RIFAT - PETIKAN SIRI 6 dan 7 : TAJUK : PEMBAHAGIAN TINGKATAN ORANG BERIMAN @ TAUHID )

Walau bagaimanapun mereka (Arif Billah) tidak membuka kebanyakan rahsia Arasy, melainkan sedikit sahaja untuk tujuan pendidikan dan keyakinan murid2 mereka.

bersambung Insya Allah..


Siri 2 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


3.0     Sifat-sifat Arasy berserta dalilnya

□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□


Pertama : Arasy itu adalah Makhluk yang diciptakan

Firman Allah :

وَهُوَ رَبُّ ٱلۡعَرۡشِ ٱلۡعَظِيمِ

“dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar.”
[At-Taubah (9) : Ayat 129]

Hadith Rasulullah :

“Wahai Rasulullah di mana dahulu Tuhan kita berada sebelum menciptakan makhluk-Nya?” Baginda menjawab, “Dia berada di ‘amaa ( عَمَاء ) , tidak ada di atas dan bawahnya udara, kemudian dia menciptakan Arsy-Nya di atas air”
[Imam Ahmad, Imam Tirmizi).


Kedua : Kedudukannya tertinggi di atas sekalian makhluk.

Rasulullah صلی اللہ علیہ وسلم bersabda :

“Jka kalian meminta, mintalah al-Firdaus, karena ianya syurga yang paling utama dan yang paling tinggi dan di atasnya adalah Arsy Allah. Darinya terpancar sungai-sungai syurga.”
[Imam Bukhari].


Ketiga : Bentuk Arasy seperti kubah

Rasulullah صلی اللہ علیہ   bersabda :

“Sesungguhnya Allah di atas Arsy-Nya dan Arsy-Nya di atas langit-langit dan bumi, seperti begini dan memberikan isyarat dengan jari-jemarinya seperti kubah.”
[Imam Abu Dawud]

Ulama Arif berikan penjelasan : Arasy berbentuk seperti sebuah kubah yang sangat besar dan melitupi seluruh alam semesta di bawahnya. Ini bermakna bumi, langit, matahari, bulan, bintang dan sekalian cakerawala alam semesta adalah di bawah Arasy dan Arasy menjadi atap bumbungnya.


Keempat : Arasy dijunjung oleh Malaikat yang gagah perkasa

 Firman Allah :


وَالْمَلَكُ عَلَى أَرْجَآئِهَا وَيَحْمِلُ عَرْشَ رَبِّكَ فَوْقَهُمْ يَوْمَئِذٍ ثَمَانِيَةٌ

“Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu delapan orang malaikat menjunjung Arasy Tuhanmu di atas (kepala) mereka.”
[Al-Haaqqah (69) Ayat 17]


Kelima : Arasy mempunyai tiang2

Rasulullah صلی اللہ علیہ وسلم bersabda :

“Sesungguhnya manusia pengsan pada hari Qiamat, lalu aku adalah orang yang pertama sedar, seketika itu aku mendapatkan Musa sedang memegang sebuah tiang dari tiang-tiang Arasy, maka aku tidak tahu apakah dia telah sedar sebelumku ataukah dia dibebaskan (dari pengsan tersebut) karena telah pengsan di Bukit Thursina.”
[Imam Bukhari, Imam Muslim].

Keenam : Malaikat bertawaf mengelilingi Arasy sambil memuji2 Allah Ta’ala


Firman Allah Ta’ala :

الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَىْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

“(Malaikat-Malaikat) yang memikul Arsy dan (malaikat) yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan):”Ya Tuhan kami, Rahmat dan Ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari siksaan neraka yang bernyala-nyala.”
[Al-Mu’min @ Ghafir : (40 ) : Ayat 7]


Ketujuh : Keluasannya - Teramat luas

Rasulullah صلی اللہ علیہ وسلم bersabda :


"Tidaklah langit yang tujuh dibandingkan Kursi, melainkan umpama sebuah cincin di tanah yang tandus. Sedangkan kelebihan Arsy dibandingkan Kursi, seperti kelebihan tanah tandus itu dibandingkan cincin tersebut."
[Imam Ibnu Abi Syaibah, Imam Baihaqi]

 Penjelasan Ahli Ma'rifat:

Rasulullah   berikan gambaran yang jelas berkenaan Arasy apabila Baginda menyebut berkenaan keluasannya berbanding dengan sekalian ciptaan Allah.  Iaitu sekalian makhluk ini apabila dibandingkan dengan Arasy  Allah, semua itu hanya bagaikan sebentuk cincin di padang pasir Sahara yang amat luas. 

Ertinya apa?

Maksudnya sekalian yang maujud (makhluk) ini tiada apa2 dibandingkan dengan keluasan dan ketinggian Arasy Allah, sehingga boleh dikatakan tiada wujud pada pandangan mata kasar. 

Demikianlah hebat dan tingginya Arasy Allah.



Siri 3 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


4.0  Pandangan Ahli Ma’rifat berhubung dengan Arasy

□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□


Selain dari keterangan2 Al-Qur’an dan Hadith2 Rasulullah, penjelasan yang diberikan oleh  Ahli-Ahli Ma’rifat  berhubung dengan Arasy adalah sangat menarik untuk di jadikan I’tibar dan panduan.
Sebagaimana telah maklum, Ahli Ma’rifat adalah hamba2 Allah yang mu’min yang telah sampai Hadrat Tuhan Yang Maha Suci tanpa sebarang hijab. Mereka diperlihatkan oleh Allah Ta’ala akan Zat- Nya Yang Maha Quddus, yang Laisa Kamithlihi Syai’un.

Di atas Kemurahan-Nya, mereka juga diperlihatkan oleh Allah Ta’ala akan perbendaharaan-Nya yang tersembunyi…   mereka dapat melihat dengan nyata akan keadaan dan hakikat Arasy, Kursi, Qalam, Luh Mahfuz bahkan sekalian alam ghaib,  tanpa sebarang keraguan sedikit pun.

Dari keterangan mereka
(Ahli Ma’rifat @ Arif Billah ) kita dapat memahami dengan lebih jelas akan keadaan Arasy.  Di antara yang dapat disebutkan untuk umum adalah :

Pertama :


Arasy adalah Tempat paling Indah, paling suci dan paling agung dari sekalian tempat yang diciptakan oleh Allah Ta’ala.   Ianya dihiasi dengan cahaya Ketuhanan Yang Gilang-Gemilang.  Sesiapa yang melihatnya pasti terpesona, kerana tiada kata2 yang dapat mengungkapkan kehebatan dan keindahannya.

Kedua :


Luasnya Arasy sejauh mata memandang, seolah2 tiada penghujung. Apabila di lihat pada semua arah, depan belakang, kanan kiri, yang terlihat adalah lapangan luas yang tidak terjangkau oleh pandangan. Tiada yang mengetahui keluasannya melainkan Allah dan mereka2 yang diberi pengetahuan berkenaan dengannya.

Ketiga :


Arasy adalah Pusat Pemerintahan Allah Ta’ala memerintah makhluk-Nya. Allah Ta’ala menurunkan Perintah, Larangan dan Hukuman ke atas makhluk-Nya menurut Ilmu, Iradat (Kehendak) dan Kudrah (Kekuasaan) Nya. Iaitu sekalian Taqdir yang tertulis pada Luh Mahfuz.

Keempat :


Arasy adalah di antara makhluk Allah yang tidak dibinasakan. Ketika berlaku Hari Qiamat, sekalian makhluk akan binasa dan hancur lebur kecuali beberapa makhluk yang dimuliakan oleh Allah Ta’ala dan tidak dibinasakan.

Di antaranya :

Nur Muhammad, Ruh Ruhani, Arasy, Kursi, Luh Mahfuz, Qalam, Syurga dan Neraka.

Kelima :


Arasy adalah tempat kemuliaan bagi hamba2 Allah yang mencapai Darjat Keimanan yang tertinggi. Orang Mu’min yang sampai ke martabat kesucian Tauhid yang sempurna, iaitu Maqam Ihsan, Maqam Taqwa, Maqam Shuhud  yang sempurna… akan dipakaikan oleh Allah Ta’ala dengan pakaian kemuliaan “Raja2” dan menjemput mereka (ruh mereka) ke Arasy-Nya yang Agung.  Mereka  adalah tetamu-Nya yang amat istimewa. Walaupun jasad mereka di dunia, namun ruh mereka terbang tinggi merentasi sekalian alam untuk bertemu kekasih mereka, Rabbul Jalil.  (sila rujuk artikel “Pembahagian Tingkatan Iman” yang telah dibincangkan dahulu)

Siapakah mereka ini?

Merekalah para Rasul-Rasul, Nabi-Nabi dan Ahli Ma’rifat pewaris Nabi…!

Semua Rasul, Nabi dan Ahli Ma’rifat sampai ke Hadrat Tuhan dengan ruh sahaja.  Kecuali Junjungan Besar Nabi Muhammad yang diberi kemuliaan yang mengatasi segala kemuliaan makhluk, hadir di atas Arasy yang mulia dengan jasad berserta ruh  Baginda…  sehingga hal ini menjadi suatu pengkhususan dan Mu’jizat yang istimewa bagi Junjungan kita.


Perhatian serius



Di sini timbul kekeliruan yang amat besar bagi orang2 beriman.

Bagaimanakah Rasulullah melihat Allah di atas Arasy?

Bagaimana Rasul2, Nabi2 dan Ahli-ahli Ma’rifat sekaliannya yang sampai ruh mereka ke Arasy melihat Allah?

Pada sangkaan kebanyakan orang awam,  Rasul dan Ahli Ma’rifat melihat dan menghadap Allah di atas Arasy laksana hamba menghadap Raja di dunia.  Mereka memikirkan seolah2 Allah Ta’ala duduk bertahta seperti Raja di Singgahsana lalu Rasul atau Ahli Ma’rifat sungkur sujud di hadapan-Nya.

Golongan Mujassimah dan Wahabiyah yang mengikuti mereka pada zaman ini mengambil konsep ini dan jadikannya pegangan. Bahkan golongan wahabiyah menjadikan peristiwa Mi’raj Rasulullah sebagai hujjah mereka bahawa Allah duduk dan tinggal di atas Arasy.  Mereka berhujjah : “Jika Allah Ta’ala bukan duduk dan tinggal di Arasy, kenapa Allah jemput Rasul untuk menghadap-Nya di Arasy?  

Ini hujjah aqal yang cukup kuat bagi mereka (mujassimah dan wahabiyah yang mengikut mereka)

Apakah kata kalian?

Jika dipandang seimbas, kelihatanlah hujjah Mujassimah dan Wahabiyah yang mengikuti mereka pada zaman ini benar dan tak dapat di sangkal, Sedangkan hakikatnya  ia adalah pegangan batil dan sesat…!

Ikuti perbincangan seterusnya.  Mudah-mudahan mendapat cahaya..!


Siri 4 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


5.0 Memecahkan Sangkaan "Allah Duduk Atas Arasy"

□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□



Golongan mujassimah dan Wahabiyah yang mengikut mereka pada zaman ini berpegang bahawa Allah Ta’ala duduk, tinggal, menetap, bertahta (seperti Raja dunia) di atas Arasy. 

Dan sebahagian orang2 Islam awam terikut2 dengan pegangan tersebut tanpa mereka sedari. 

Sebahagian Laman web / blog orang Islam juga menyebarkan fahaman tersebut tanpa mereka menyedari bahawa ianya pegangan yang batil yang membawa kepada Syirik Akbar (mempersekutukan Allah dengan makhluk).

Untuk memecahkan kebuntuan pemikiran bahawa Allah duduk / bertahta seperti Raja dunia /menetap/ tinggal  dsb.  di atas Arasy, cuba kalian renungi dasar2 hujjah ini…



Pertama:
~~~~~~~


Cuba teliti dalil2 berkenaan Arasy seperti yang kita jelaskan di atas. Dari keterangan tersebut kita fahami bahawa Kursi apabila dibandingkan dengan sekalian makhluk… sekalian makhluk hanyalah umpama sebentuk cincin di padang pasir.

    

Dan Arasy, apabila dibandingkan  Kursi .....  Kursi itu  hanyalah sebentuk cincin di padang pasir Sahara yang amat luas.



Ini bermakna  sekalian kejadian termasuk Kursi apabila dibandingkan dengan Arasy hanyalah ibarat sebutir debu yang tidak kelihatan.  Maka kita dapat bayangkan betapa besarnya Arasy.

Perhatikan dengan halus…  di sini berlaku penyelewengan….!

Oleh kerana demikian luasnya Arasy, maka mulalah aqal  manusia memikirkan /terbayang2 seolah2 Allah Ta’ala duduk di atas Arasy atau di dalam perkataan lain Arasy menanggung Zat Allah....!

Apakah makna pegangan ini?

Maknanya adalah : kamu sudah menjadikan Allah Ta’ala itu kecil dibandingkan dengan Arasy. Dan kamu sudah beri’tiqad bahawa Allah Ta’ala mempunyai jisim kerana tidak ada yang menempati jisim melainkan jisim. Dan kamu telah beri’tiqad bahwa Allah Ta’ala lemah kerana Dia memerlukan tempat duduk pada  makhluk-Nya.  Maha Suci Allah dari sekalian pegangan ini…!


Kedua :
~~~~~


Sekali lagi perhatikan dalil2 berkenaan Arasy.

Memang benar Arasy itu adalah ciptaan Allah yang terbesar sehingga tiada dapat dijangkau akan keluasannya.  Namun, Arasy dan sekalian makhluk pada pandangan Allah Ta’ala hanyalah sebutir debu yang tiada makna apa2..!  

Bahkan menurut pandangan hakikat kejadian, sekalian makhluk walau sebesar mana pun ia, semua itu hanyalah majaz (bayangan) – iaitu hakikatnya tidak wujud.

Jika demikian… jika Arasy dan sekalian ciptaan  itu hanya sebutir debu pada pandangan Allah,  adakah kamu katakan Allah duduk atas debu?  

Atau adakah kamu katakan Allah Ta’ala duduk atas ciptaan-Nya yang pada hakikatnya tidak wujud?

Apakah layak dikatakan Allah duduk atas debu? 

Cuba renungkan sedalam2nya….

Bersambung Insya Allah.



Catitan Penting :
~~~~~~~~~~~


1) Penjelasan di atas BUKAN bermaksud merendahkan keagungan dan kemuliaan Arasy kerana ia tetap hebat dengan kemuliaannya sebagaimana ia dicipta oleh Allah Ta'ala.

Maksud kita yang sebenar adalah Maha Besar Allah yang tiada had, batas dan ukuran... berbanding dengan makhluk ciptaan-Nya yang mempunyai ukuran, batas dan hadnya.  Maka tidak layak dikatakan Allah Yang Maha Besar duduk atas ciptaan -Nya.

Jadi point sebenar di sini adalah :

Pentafsiran yang salah oleh golongan mujassimah dan wahabiyyah yang mengikut mereka pada zaman ini.

Mereka mentafsirkan "istiwa" dengan makna "duduk,. tinggal, menetap dsb. yang membawa kepada penyerupaan dengan makhluk. Ini adalah kesalahan yang amat besar yang membawa kepada kesyirikan.

Wallahu A'lam


Siri 5 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


6.0 Penjelasan Mi’raj Rasulullah ke Arasy – Tujuan dan Hikmah
□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□
□□□


Ahlus Sunnah Wal Jamaah secara  ijma’  (sepakat) meyakini sesungguhnya Rasulullah
telah Mi’raj ke Arasy dengan jasad serta ruh Baginda. Sehingga peristiwa tersebut menjadi Khususiyah (Kekhususan) dan Mu’jizat yang istimewa kepada Rasulullah ﷺ.

Ini bermakna Mi’raj Rasul ke Arasy benar2 terjadi secara nyata, dan BUKAN lewat mimpi dan BUKAN perjalanan ruh semata2.

Baginda telah dijemput khusus oleh Allah Ta’ala ke Arasy yang letaknya jutaan berbillion batu jauhnya dari bumi, sebagai suatu penghormatan yang tidak pernah diberi kepada mana2 Rasul lain.  (peringatan semula: Sebagaimana kita telah menjelaskan sebelum ini para Rasul, Nabi dan Ahli Ma’rifat hanya “Mi’raj”  ke Arasy dengan ruh sahaja, BUKAN berserta  jasad.)

Baik, kita tidak bahaskan bab ini kerana telah sedia maklum. Bahkan seluruh ummat telah akui kebenaran ini sebagai suatu keyakinan yang pasti.

Perkara yang kita ingin bincangkan secara serius di sini adalah anggapan dan keyakinan setengah orang Islam bahawa Allah Ta’ala “duduk”  di atas Arasy dan Rasulullah
dijemput oleh Allah ke Arasy untuk bertemu dengan-Nya di Arasy. Mereka membayangkan seolah2 Allah Ta’ala “duduk” bertahta di atas Arasy umpama seorang Raja, lalu Rasulullah datang menyembah sujud di hadapan-Nya.  (seperti manusia menghadap dan menyembah Raja di dunia).  


Golongan yang mempunyai pendirian ini berhujjah :   “ Jika Allah Ta’ala tidak duduk di atas Arasy, mengapa Rasulullah   dijemput ke Arasy?”   


Mereka berhujjah lagi, “ Jika Allah tidak menetap di atas Arasy tentu Allah Ta’ala sampaikan wahyu seperti biasa di dunia saja, tak perlu dijemput ke Arasy”  

Mereka berhujjah lagi :  “Ulang aliknya Rasulullah  ke Arasy agar dapat mengurangi solat 50 waktu juga menunjukkan Allah di atas Arasy.   Ini sangkaan atau dakwaan mereka.!

Jika dipandang sekali imbas, kelihatan hujjah ini logic pada aqal. Tetapi adakah hujjah ini sesuai dengan Aqidah yang benar dan Tauhid yang suci?  

Adakah pegangan seperti ini menepati pendirian Ahlus Sunnah Wal Jamaah. 

Adakah pegangan ini yang dikehendaki oleh Allah Ta’ala?

Untuk mendapat gambaran darihal Mi’raj Rasulullah 
  perhatikan penjelasan2 berikut :


Pertama : Tujuan Rasulullah  di angkat ke Arasy.
………………………………………………....


Berdasarkan Al- Qur’an, Hadith dan Ulama Ahlus Sunnah, tujuan Rasulullah
  diperjalankan oleh Allah Ta’ala ke Arasy-Nya mempunyai rahsia Syari’at dan Haqiqat yang tersangat dalam. Di antaranya yang terpenting:

(1)  Untuk memperlihatkan kepada Rasulullah
dan Ummat manusia akan kebesaran, kehebatan dan keagungan Allah Ta’ala.

Sepanjang perjalanan Rasulullah  diperlihatkan oleh Allah Ta’ala akan keajaiban  penciptaan2 Allah Ta’ala Yang Maha Agung yang sangat mempesonakan.

(2)  Untuk memperlihatkan balasan2 baik dan buruk yang disediakan oleh Allah Ta’ala kepada manusia.

Rasulullah 
  diperlihatkan gambaran balasan yang disediakan oleh Allah untuk manusia. Rasulullah melihat keadaan2 manusia di dalam syurga dan neraka.

(3)  Untuk memuliakan Rasulullah
di atas sekalian Rasul-Rasul yang lain.

Rasulullah 
  dipertemukan oleh Allah Ta’ala dengan sekalian Anbiya dan menjadi Imam mereka di Masjdil Aqsa. Seterusnya Baginda dipertemukan dengan Rasul2 Ulul Azmi di langit sebagai suatu penghormatan yang sangat istimewa kepada Rasulullah .

Mereka (sekalian Anbiya dan Ulul Azmi) berikan ucapan hormat, memuji2 dan memuliakan Rasulullah
.
 
(4)  Untuk menunjukkan keistimewaan ibadah solat yang akan diwajibkan ke atas Rasulullah
dan Ummat Baginda.

(5)  Untuk menunjukkan keistimewaan Arasy Allah Ta’ala sebagai “maqam” dan “tempat kemuliaan” bagi kekasih2 Allah Ta’ala.. iaitu dari kalangan Rasul, Nabi dan Ahli-Ahli Ma’rifat.

Arasy adalah tempat yang paling tinggi dan paling mulia daripada sekalian tempat yang dijadikan oleh Allah Ta’ala,  sebagaimana telah dijelaskan sebelum ini.   Maka apabila Rasulullah  
diangkat oleh Allah Ta’ala ke atas Arasy, secara langsung menunjukkan  suatu “maqam” atau “darjat” yang khusus bagi kekasih2 Allah.    Maksud di sini adalah : Selain dari Rasulullah , para Rasul, Nabi dan Ahli Ma’rifat juga diangkat ke maqam yang tinggi di sisi Allah Ta’ala. Maqam yang tinggi ini dilambangkan dengan naiknya mereka ke Arasy. Tetapi dengan suatu perbezaan yang ketara…!

Perbezaan Rasulullah
memperoleh Maqam ini dengan sekalian Anbiya dan Auliya Allah adalah :

Rasulullah  dijemput  dengan jasad berserta ruh Baginda sementara selain dari Baginda adalah dengan “ruh” semata2.

(6)  Untuk melimpahkan beberapa banyak Ma’rifat Ilahiyyah (Rahsia2 Ketuhanan) ke dalam dada Rasulullah  sebagai suatu Mu’jizat khusus Rasulullah  yang menjadi “Rahsia Kekuatan Ummat (Ahlus Sunnah Wal Jamaah).  

Melalui rahsia ini  Islam akan tetap terpelihara sehingga akhir zaman. Maksudnya Islam dan Ummatnya (ahlus Sunnah Wal Jamaah) tidak akan terhapus tetapi akan tetap berdiri teguh sehingga Hari Qiamat. Walaupun pada saat2 tertentu Ummat Islam kelihatan lemah tidak terdaya, Islam secara umumnya kelihatan pudar, tetapi itu semua hanya pada permukaannya sedangkan Kekuatan sebenar Islam yang tersembunyi tetap wujud.

Tonggak2 yang menjadi “tiang-tiang” kekuatan Islam ini adalah Pewaris2 Baginda yang terdiri dari Ahli Ma’rifat (disebut juga Ahli Sufi atau Mursyid atau Shaikh atau Murobbi yang siddiq) sepertimana huraian kita pada Tajuk “Pembahagian Tingkatan Iman”)

Rumusan awal dari penjelasan pertama ini adalah :

Rasulullah
  dijemput oleh Allah Ta’ala ke Arasy sebagai menunjukkan keagungan Allah Ta’ala, memperlihatkan kehebatan ciptaan-Nya dan sebagai memuliakan Rasulullah ﷺ di atas segala makhluk lain.  Arasy juga menjadi perlambangan ketinggian Ma’rifat seseorang kepada Allah Ta’ala.

Bersambung Insya Allah


Siri 6 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


6.0 Penjelasan Mi'raj Rasulullah - Tujuan dan Hikmah (sambungan)

□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□


Kedua : Jarak Perjalanan Rasulullah  ke Arasy
………………………………………………........


Sudah pasti jarak perjalanan Rasulullah 
ﷺ yang menempuh berbillion batu jauhnya ke Arasy  menjadi kemusykilan. 

Pada sangkaan sebahgian orang yang keliru, mereka mengatakan Rasulullah  menempuh jarak yang begitu jauh ke Arasy, maka datang sangkaan - sudah tentu perjalanan itu adalah menuju Allah yang duduk di atas Arasy. Menggunakan istilah “menuju Allah yang duduk  di atas Arasy" adalah pegangan batil.

Pegangan yang benar berhubung dengan hal ini adalah :  

Rasulullah  
bergerak pantas merentasi alam semesta -  itu benar.

Perjalanan Rasulullah   
  menempuh jarak yang amat jauh - itu benar.  

Rasulullah 
menempuh sekalian lapisan langit hingga ke Arasy dan kembali ke bumi dalam waktu yang sangat singkat -  itu benar. 

Tetapi semua itu (jarak yang jauh, masa yang singkat, bergerak pantas)  adalah ungkapan-ungkapan nisbah kepada makhluk, dan BUKAN jarak perjalanan yang hampirkan kepada Zat Allah.   Kerana pada hakikatnya Allah Ta’ala TIDAK berjarak dari makhluk dengan ertikata ukuran makhluk    

Jarak, panjang, pendek dan seumpamanya hanyalah perlambangan untuk menunjukkan hubungan makhluk dengan makhluk BUKAN makhluk kepada Tuhan.

Susah faham?

Sekali lagi…. perhatikan dari hati yang jernih….

Perjalanan Rasulullah
yang sedemikian jauhnya dari bumi, .....  walaupun Baginda menempuh jarak yang amat jauh, namun ianya tidak mempunyai apa2 makna kepada kewujudan Zat Allah Ta’ala.  Walaupun jaraknya billion batu dari bumi, namun pada kewujudan Allah Ta’ala Yang Maha Besar, jarak itu tiada makna apa2.  Barangkali perjalanan itu hanya 1 inci, atau sedikit dari itu.  Apakah maksudnya.?

Maksudnya adalah :

Allah Ta’ala Maha Besar yang tiada had dan batas kebesaran-Nya. Allah Ta’ala Maha Meliputi sekalian alam, sehingga tiada wujud “jarak” antara-Nya dengan makhluk.

Walaupun Rasulullah
menempuh jarak yang sangat jauh ke Arasy, namun Zat Allah Ta’ala tetap seperti sediakala. Sama ada Rasulullah ﷺ naik ke atas Arasy atau kembali ke bumi, semua itu TIDAK  menambahkan “jarak” atau mengurangi “jarak” nisbah kepada Zat Allah Ta’ala.  Walaupun Rasulullah bergerak ke kanan atau ke kiri, ianya tidak mengalihkan arah nisbah kepada kewujudan Zat Allah Yang Maha Besar dan Maha Meliputi…! 

“Jarak” yang jauh itu hanyalah menunjukkan ukuran pada sisi makhluk. Allah Ta’ala tetap sediakala sama ada Rasulullah
Melainkan Allah Ta'ala sangat hampir dengan makhluk-Nya.

Rasulullah
tetap hampir dengan Allah Ta’ala sama ada Rasulullah ﷺ berada di Madinah atau berada di atas Arasy. Rasulullah tetap melihat Allah Ta’ala sama ada ketika Baginda di bumi atau di atas Arasy.

Di sini, timbul satu kemusykilan lain,…  Jika demikian apa tujuan Allah Ta’ala menjemput Baginda ke Arasy?

Jawapannya :

Kita sudah menyebut pada awal perbincangan, bahawa Mi’raj Rasulullah 
ke Arasy mengandungi suatu perlambangan abstrak yang sangat halus dan istimewa yang menunjukkan “maqam” dan “kedudukan” hamba Allah yang Mu’min.    Pertama sekali sudah tentu menunjukkan Keagungan Allah Ta’ala dan ciptaan Arasy-Nya yang tersangat hebat.  Kedua sebagai suatu kemuliaan yang sangat istimewa kepada Rasulullah .  Ianya merupakan lambang dan maqam Rasulullah yang amat tinggi  mengatasi makhluk lain.



Ketiga : Perjalanan Rasulullah  mempunyai arah tertentu
………………………………………………….......


Dari kisah Mi’raj, kita faham bahawa Rasulullah 
ﷺ diangkat dari satu langit ke langit sehingga akhirnya sampai ke Arasy.  Ini menunjukkan Rasulullah bergerak pada “arah” tertentu.

Kunci memahami penjelasan ini adalah perkataan “arah”.

Pada pendirian Ahlus Sunnah Wal Jamaah, setiap sesuatu yang memiliki “arah”  adalah makhluk. Arasy adalah makhluk, maka layaklah dikatakan Rasulullah
menuju ke Arasy.

Tetapi bolehkah kita katakan Allah Ta’ala "duduk"  di atas Arasy dan Rasulullah  
menuju Allah di atas Arasy?  Jika ada I’tiqad demikian bermakna kamu sudah menyamakan Allah Ta’ala dengan makhluk. Maha Suci Allah Ta’ala daripada memiliki “arah” …!



Keempat :  Arasy adalah sebuah “tempat”
……………………………………………..


Sebagaimana huraian berkenaan sifat2 Arasy, kita fahami Arasy adalah makhluk Allah yang diciptakan yang mempunyai tempat tertentu, iaitu kedudukannnya di atas sekalian alam.  Apabila disebut “tempat” dan “di atas”   secara khusus menunjukkan kepada kedudukan, maka ini adalah makhluk.

Pada I’tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah, yang memiliki “tempat” adalah makhluk. Maha Suci Allah Ta’ala mempunyai tempat tertentu.



Kelima : Arasy adalah Lambang Kemuliaan Ahli Ma’rifat
………………………………………………….......


Orang yang berjalan pada Jalan Ma’rifat Ilahiyyah, pada hakikatnya adalah mereka itu  “Mi’raj” ke Arasy Allah Ta’ala dengan “ruh” nya.  (kita telah huraikan sebelum ini, hanya Rasulullah 
seorang sahaja kekasih Allah yang diperjalankan oleh Allah ke Arasy dengan jasad dan ruh. Selain dari itu sama ada mereka itu Rasul, Nabi atau Ahli Ma’rifat,,, kesemua mereka hanya sampai ke Arasy dengan ruh semata2)

Salikin (murid pada Toriqat Ahli Sufi atau disebut juga pengembara keruhanian pada Jalan Ma’rifat Ilahiyyah) akan melalui pengembaraan “ruh”  atau “ruhani” nya merentasi sekalian langit dunia menuju ke Arasy.

Maqam atau stesen perhentian terakhir bagi seseorang salikin adalah Arasy. Orang yang sampai ke Arasy (ruhaninya) dan sudah tetap kedudukannya di atas Arasy,  tidak lagi disebut “salikin” tetapi di sebut “Arifin”  (rujuk Penjelasan dan dalil2 berkenaan Arif Billah pada tajuk “Pembahagian Tingkatan Iman” ). 

Mereka diperlihatkan oleh Allah Ta’ala akan Zat-Nya Yang Laisa Kamitlihi Syai’un (Yang tiada umpama sesuatu seperti-Nya)  sebagaimana Allah Ta’ala memperlihatkan diri-Nya kepada Rasulullah
ﷺ ketika Baginda Mi’raj. Pandangan ini adalah benar dan BUKAN khayalan.  Hanya saja pandangan ahli Ma’rifat (iaitu Rasul, Nabi dan Mu’min Sejati yang sampai maqam Quddus ini seluruhnya) adalah melalui pandangan “ruhani”  semata-mata. Ertinya walaupun jasad mereka di dunia, tetapi ruh mereka terbang ke angkasa raya, merentasi sekalian langit dunia, sampai ke Sidratul Muntaha  dan akhirnya sampai ke Arasy lalu diperlihatkan oleh Allah Ta’ala akan Zat-Nya Yang Maha Agung dan Maha Suci.  Maqam ini adalah Maqam Tauhid Zat yang sempurna..!  Atau disebut juga maqam “Tajalli"

Bagaimanakah ini berlaku?

Ini tidak dapat disebutkan di sini secara terperinci.  Memadailah difahami secara ringkas bahawa wujudnya Mu’min Sejati yang suci bersih diangkat oleh Allah Ta’ala ke Arasy dan dipakaikan dengan pakaian kemuliaan menjadi kekasih Allah.  Mereka adalah Ahli Ma’rifat atau disebut juga Arif Billah yang mewarisi Rasulullah 
bagi mendidik dan memimpin Ummat Baginda. Mereka dizahirkan oleh Allah Ta’ala silih berganti pada setiap zaman sehingga ke Hari Qiamat.

Bersambung Insya Allah.


Siri 7 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


6.0 Penjelasan Mi'raj Rasulullah 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Perbincangan dan Rumusan dari keseluruhan penjelasan di atas adalah :
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pertama :
~~~~~~~~
Tujuan utama Rasulullah  diangkat ke Arasy adalah sebagai  suatu kemuliaan yang tiada terhingga kepada Baginda dan memperlihatkan segala tanda2 Kebesaran dan Keagungan Allah Ta'ala. BUKAN kerana Allah Ta’ala duduk di atas Arasy.

Dalam ertikata lain, Allah Ta’ala memperjalankan Rasulullah 
ﷺ ke Arasy adalah bertujuan memperlihatkan kepada seluruh alam semesta bahawa Baginda adalah insan termulia dan Arasy itu menjadi “lambang” kemuliaan tersebut.  

Dijelaskan lagi maksudnya secara umum:  Insan2  yang dipilih oleh Allah sampai ke Arasy-Nya adalah insan2 yang menerima kemuliaan yang tidak terhingga dari Allah Ta’ala. Mereka menjadi kekasih Allah yang sentiasa berdamping dengan-Nya, sentiasa menerima seruan2-Nya dan sentiasa di dalam pimpinan-Nya.

Kedua :
~~~~~~
Melalui peristiwa Mi’raj Rasulullah , Ummat manusia seluruhnya dapat mengetahui akan betapa luas, besar dan hebatnya sekalian ciptaan Allah Ta’ala. 

Ketiga :
~~~~~~
Memang benar Rasulullah  melihat Zat Allah ketika Baginda diangkat oleh Allah Ta’ala ke atas Arasy. Tetapi perlu di jazamkan (tanam kukuh di dalam hati), bahawa Zat Allah yang Baginda lihat adalah Zat  Yang Laisa Kamithlihi Syai’un. (tiada umpama sesuatu seperti-Nya)  yang tidak dapat disebutkan rupa-Nya atau tempat-Nya atau arah-Nya..!

Segala yang terlintas pada fikiran yang menggambarkan rupa, bentuk, arah atau tempat bagi Tuhan, maka itu BUKAN Tuhan Rabbul Jalil.

Keempat :
~~~~~~~~
Ungkapan sebenar bagi menjelaskan pertemuan dan penglihatan Rasulullah  pada Zat Allah di atas Arasy adalah :

Allah Ta’ala tajalli (menyatakan diri-Nya) kepada Rasulullah  di atas Arasy.  BUKANLAH sebagaimana sangkaan sebahagian Orang Islam, bahwa  Allah Ta’ala "duduk" di atas Arasy.   Ini pegangan yang salah.

Keadaan tajalli yang disebutkan di atas hampir serupa dengan “Tajalli Allah Ta’ala di bukit Tursina” kepada Nabi Musa Alaihis Salam.  Maksud Alllah Ta’ala Tajalli di Bukit Tursina,  BUKANLAH  bermakan Allah Ta’ala itu duduk atau berdiri atau bertahta di atas bukit Tursina,  melainkan apa yang dimaksudkan adalah Allah Ta’ala menyatakan Diri-Nya di atas Bukit Tursina.

Bagaimana kaifiyyat atau cara  “Allah Ta’ala menyatakan diri-Nya”,?  

Jawapan nya : 

Tiada kaifiyyat atau cara untuk menghuraikannya dan dilarang bertanya “bagaimana”  terhadap Zat Allah Ta’ala, kerana Dia Zat Yang Laisa Kamithlihi Syai’un.

Kelima :
~~~~~~
Ulang aliknya Rasulullah 
ke Arasy agar dikurangkan waktu solat 50 waktu, BUKAN kerana Allah duduk di atas Arasy tetapi perbuatan Rasulullah  adalah sebagai adab dan sebagai isyarat “maqam” menerima perutusan Ilahi iaitu Rasulullah  kembali ke tempat Baginda mula2 diwahyukan perintah solat.

Keenam  :
~~~~~~~~
Rasulullah  
tetap memandang Allah Ta’ala sama ada ketika Baginda di dunia atau ketika Baginda diangkat ke Arasy. Tetapi bezanya,  pandangan terhadap Zat Allah di atas Arasy adalah suatu pandangan yang istimewa yang tidak dapat digambarkan dengan kata2 atau tulisan atau fikiran.    Di dalam istilah Ma’rifat, ini adalah disebut : Tajalli (pernyataan Tuhan akan diri-Nya kepada hamba pilihan-Nya)

Ketujuh :
~~~~~~~~
Allah Ta’ala tetap sediakala sama ada ketika Rasulullah     tinggal di bumi atau Baginda diangkat ke atas Arasy. Tidaklah berkurang jarak antara Baginda dengan Allah Ta’ala disebabkan naiknya Rasulullah ke atas Arasy.  Dan juga tidak bertambah jauh jaraknya dari Allah Ta’ala disebabkan turunnya Baginda dari Arasy. 

Hakikatnya tidak wujud “jarak” antara makhluk dengan Tuhan Rabbul Jalil kerana Dia (Rabbul Jalil) adalah Maha Besar yang tiada had kebesaran-Nya dan Maha Meliputi bagi sekalian makhluk yang tidak dapat disebutkan atau dibayangkan kaifiyyatnya (caranya).

Kelapan:
~~~~~~~
Sesiapa yang mengi’tiqadkan bahawa Allah Ta’ala itu duduk atau bertahta seperti manusia bertahta di dunia, lalu Rasulullah  
  datang menghadap laksana rakyat menghadap Raja di dunia, maka ini tidak syak lagi adalah Syirik.

Wallahu A’lam. 


- SELESAI -



MAJLIS TAZKIRAH JILANI



 

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...