B51 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 501 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 60:

Mencela, Mencaci Masa  ( سُبُّوا الدَّهْرَ )

.....sambungan......



Contoh-contoh

===========


Sebahagian dari pengertian "mencaci maki masa" adalah:


(1) Kutukan manusia terhadap peristiwa-peristiwa kejadian alam yang tidak disukai seperti kemarau, hujan lebat, banjir, kesakitan, kemiskinan dan kemusnahan harta benda.


(2) Termasuk di dalam larangan adalah: mencaci maki hari, bulan atau tahun sebagai tahun tertentu sebagai "hari-hari sial" atau "tahun-tahun celaka", atau lain-lain sepertinya. 


(3) Menyalahkan Taqdir sebagai tidak adil kerana pada hakikatnya Taqdir yang terjadi adalah ketentuan Allah. 


Semua ini merupakan dosa besar yang boleh menjerumuskan seseorang kepada kefasikan atau kekafiran, jika dia tidak bertaubat segera.


Contoh 1:

Menganggap hari tertentu sebagai hari sial atau anggap bulan tertentu sebagai bulan sial.


Contoh 2:

Mencaci maki masa kerana jamuan makan atau perhimpunan atau suatu keramaian yang terhalang kerana hujan lebat. 


Contoh 3:

Peniaga-peniaga mengutuk hujan yang turun dengan lebat kerana perniagaan mereka terjejas, barang-barang tak laris dan kurang keuntungan.


Contoh 4:

Seseorang wanita yang kematian anak atau suami atau saudara mara, mencaci-maki masa atau menyalahkan Taqdir sebagai tidak adil.


Contoh 5:

Seseorang yang miskin menyalahkan keadaan kehidupannya yang miskin sebagai sial.


Contoh 6:

Pelajar yang gagal di dalam pelajaran mengutuk masa dan menyalahkan Taqdir.


Contoh 7:

Orang yang sakit berpanjangan dan tak sembuh-sembuh mencaci-maki masa sebagai celaka atau kadangkala menyalahkan Allah terus sebagai tidak adil kepadanya.


SIRI 502 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 60:

Mencela, Mencaci Masa  ( سُبُّوا الدَّهْرَ )

.....sambungan......



Punca mereka mencela masa

=====================


Mengapakah manusia, khususnya orang Islam caci maki masa? Apakah unsur-unsur yang mempengaruhi seseorang Islam sehingga bertindak luar kawalan. Sebab-sebab terjadi hal ini mungkin banyak tetapi tertumpu kepada beberapa sebab utama seperti berikut:


Pertama: Kejahilan

Seperti penyakit-penyakit batin yang lain, punca pertama adalah kejahilan.  Mereka tidak mengetahui bahawa mencaci maki "masa", "zaman" dan "waktu"  adalah dosa besar.  Mereka juga tak menyedari bahawa dosa mencaci masa ini mempunyai hubung-kait dengan Taqdir ketentuan Allah, ertinya perbuatan mencaci "masa" adalah suatu penentangan terhadap Allah, maka orang ini terjerat kepada kefasikan dan kekufuran.  Wal Iyazubillah


Kedua: Tekanan perasaan dan kejiwaan

Perbuatan mencaci-maki "masa" atau "zaman" bangkit dari tekanan perasaan, rasa tak puas hati, rasa tak adil dan sebagainya kepada "masa" atau "zaman".  Iaitu ketika terjadinya suatu musibah kepada dirinya, keluarganya atau harta bendanya, pemikiran orang ini menjadi kacau bilau dan hilang kewarasan.  Ketika kemarahan memuncak, tersemburlah kata-kata makian, cacian dan laknat kepada "masa" atau "zaman". 


Ketiga: Bisikan Syaitan

Sepertimana kita telah bincangkan hal-hal seperti ini, ketika hati seseorang sedang meluap-luap dengan rasa tak puas hati, Syaitan segera menyelit ke dalam hatinya lalu meniupkan api kemarahan.


Keempat: Kesedihan melampau

Kesedihan melampau juga boleh menjadi punca seseorang jatuh kepada perlakuan mencaci-maki masa dan taqdir Ilahi.


Kelima: Abaikan Toriqat (Tasawwuf)

Boleh jadi ini punca utama orang Islam terjerat kepada perlakuan mencaci-maki "masa", menyalahkan Taqdir dan jahat sangka kepada Allah.


Golongan ini tidak jahil, sebaliknya mereka adalah golongan terpelajar, ertinya mereka tahu bahawa "masa" itu merupakan ciptaan Allah yang menurut Ketentuan Allah tetapi mereka tetap menyalahkan "masa", menyalahkan Taqdir dan jahat sangka kepada Allah.  Mereka lebih berat akibatnya kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan berkenaan "masa", "Penciptaan masa" dan Taqdir Ilahi tetapi mereka tetap menyalahkan "masa",  menyalahkan Taqdir bahkan sehingga mereka jahat sangka kepada Allah.


Jika kamu bertanya mengapa golongan terpelajar yang tahu hukum syara' juga tewas kepada mainan hati, hawa nafsu jahat dan bisikan syaitan, maka jawapannya; Iman mereka hanya terhenti pada batas aqal semata-mata dan tidak meresap ke dalam hati.  Inilah tingkatan Iman orang awam, yang sentiasa berbolak-balik keimanan mereka dengan kesyirikan (syirik khafi).  Meskipun boleh jadi mereka adalah lulusan pondok atau lulusan Universiti sehingga mencapai PhD, Masters, Drs, Profesor, namun Tauhid mereka berlegar pada aqal semata-mata, tidak masuk ke dalam hati. Akibatnya ketika datang berbagai dugaan, mereka tak mampu menghadapinya dengan kekuatan Iman.  Mereka tewas kepada bisikan nafsu dan syaitan.


Hal ini kami telah bicarakan secara meluas di bawah tajuk kecil syirik khafi (syirik tersembunyi) - 'ujub. riya', sum'ah, takabbur dan tawakkal selain Allah.  Sila rujuk semula. 


SIRI 503 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 60:

Mencela, Mencaci Masa  ( سُبُّوا الدَّهْرَ )

.....sambungan......



Akibat mencaci maki masa

====================


Akibat 1: Rosak atau musnah Iman

Orang yang mencaci-maki "masa", pada hakikatnya dia telah mempertikaikan Taqdir, mencaci-maki, menghina dan menyakiti Allah.  Orang yang mencaci maki, menghina dan menyakiti Allah jatuh kepada dosa besar, kefasikan atau kekafiran.  Wal Iyazubillah.



Akibat 2: Menerima azab kerana kufur Ni'mat Allah

Orang yang mencaci-maki "masa" tidak mensyukuri Ni'mat Allah, atau di dalam perkataan lain dia telah kufur Nikmat.  Orang yang kufur Ni'mat Allah diancam dengan 'Azab yang sangat pedih.


Firman Allah Ta'ala:


لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ 


“Dan jika kamu sekalian bersyukur atas nikmat yang Aku berikan, maka niscaya akan Aku tambah nikmat-Ku untukmu.  Dan jika kamu sekalian kufur atas nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku itu sangat pedih”.

[Ibrahim (14) : Ayat 7]



Akibat 3: Terkena La'nat Allah

Orang yang mencaci-maki "masa", mempersoalkan Taqdir Ketentuan Allah telah menyakiti Allah.  Orang yang menyakiti Allah menerima La'nat Allah.  Wal Iyazubilah.


Firman Allah:


إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِينًا


“Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya,  Allah akan melaknatinya di dunia dan di Akhirat, dan Menyediakan baginya siksa yang menghinakan.”

[Al-Ahzab (33) : Ayat 57]


SIRI 504 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 60:

Mencela, Mencaci Masa  ( سُبُّوا الدَّهْرَ )

.....sambungan......




Rawatan dan Penjagaan

=================


Rawatan dan Penjagaan 1:

Menyedari dan menginsafi bahawa mencaci maki " masa "  merupakan dosa besar, kefasikan, kesyirikan dan kekufuran

Sebagaimana kami katakan, hal ini jarang didedahkan kepada Ummat sehingga kebanyakan orang Islam menyangka tidak mengapa mereka mencaci dan mempertikaian masa, zaman, waktu, cuaca, musim, iklim,  panas terik,musim dingin dan lainnya berhubung dengan masa atau waktu. Akibatnya mereka seringkali mencaci-maki "masa" sebagai "tak guna", "celaka", "menyusahkan hidup" dsb. Wal Iyazubillah

Orang yang berbuat demikian menyangka mereka cuma mengutuk dan mencerca masa dan bukan mencaci Allah sedangkan berdasarkan Petunjuk Al-Qur'an, Hadith dan fatwa Masyaikh Ahlus Sunnah, terbukti bahawa perlakuan demikian merupakan kekufuran, kefasikan sehingga boleh membawa kepada kesyirikan — syirik akbar dan kekafiran, Wal Iyazubillah. 



Rawatan dan Penjagaan 2:

Setiap sesuatu terjadi Menurut Taqdir Ilahi

Allah Yang Maha Menciptakan "masa" dan Mentaqdirkan segala sesuatu yang terjadi di dalamnya. Tiada suatu zarrah pun bergerak atau diam di alam ini melainkan ianya Taqdir Ketentuan Ilahi yang tertulis di  _Lauhil-Mahfuz_ (Papan Suratan Taqdir) sejak _Azali_ lagi. Ia semata-mata Haq dan Kuasa Ilahi.  Tiada kuasa makhluq mana pun mampu mengubahnya. 


Firman Allah:


سُوۡرَةُ الفُرقان

ٱلَّذِى لَهُ ۥ مُلۡكُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَمۡ يَتَّخِذۡ وَلَدً۬ا وَلَمۡ يَكُن لَّهُ ۥ شَرِيكٌ۬ فِى ٱلۡمُلۡكِ وَخَلَقَ ڪُلَّ شَىۡءٍ۬ فَقَدَّرَهُ ۥ تَقۡدِيرً۬ا


Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam Pemerintahan-Nya dan Dialah yang Menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluq itu dengan ketentuan Taqdir yang Sempurna."

[Al-Furqan (25) : Ayat 2]


Firman Allah:


 إِنَّ ٱللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْراً


"Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."

[At-Talaq (65) : Ayat 3 ]



Rawatan dan Penjagaan 3:

Allah Ta'ala menetapkan segala sesuatu dan merapikannya serapi-rapinya


Firman Allah:


وَتَرَى ٱلۡجِبَالَ تَحۡسَبُہَا جَامِدَةً۬ وَهِىَ تَمُرُّ مَرَّ ٱلسَّحَابِ‌ صُنۡعَ ٱللَّهِ ٱلَّذِىٓ أَتۡقَنَ كُلَّ شَىۡءٍ‌ إِنَّهُ ۥ خَبِيرُۢ بِمَا تَفۡعَلُونَ 


"Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap-tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; sesungguhnya Dia Amat Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan"

[An-Naml (27) : Ayat 88]


SIRI 505 : 


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 60:

Mencela, Mencaci Masa  ( سُبُّوا الدَّهْرَ )

.....sambungan......



Rawatan dan Penjagaan 4:

Redha dengan Taqdir adalah tanda Mu'min sejati

Manusia mula mencaci maki masa ketika mereka ditimpa suatu musibah atau sesuatu kejadian yang mereka tidak sukai. Orang mukmin sejati tidak sesekali mencaci maki "masa" atau "kejadian" sebaliknya mereka akan redha dengan Ketentuan Allah. Hamba-hamba Allah yang benar-benar beriman sabar dan serahkan segala sesuatu kepada Allah kerana mereka yakin di sebalik ujian dan cobaan, Allah Ta'ala sediakan Keampunan dan Rahmat-Nya.


Firman Allah:


وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ


“Sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan khabar gembira bagi orang-orang yang bersabar” 

[Al Baqarah (2) : Ayat 155]


Rasulullah ﷺ bersabda:

"Tidak ada penderitaan, kesengsaraan, sakit, kesedihan & bahkan juga kekalutan yang menimpa seorang mukmin, melainkan dengan semua itu dihapuskan sebahagian dosanya. 

[Imam Muslim]


Rasulullah ﷺ bersabda:

"Tidaklah seorang muslim tertusuk duri atau yang Iebih kecil dari itu, melainkan akan ditulis baginya satu derajat dan akan dihapus satu kesalahannya"]

[Imam Muslim]


Rasulullah ﷺ bersabda:

Tidak ada satu pun musibah (cobaan) yg menimpa seorang muslim berupa duri atau yg semisalnya, melainkan dengannya Allah akan mengangkat derajatnya atau menghapus kesalahannya. 

[Imam Muslim]


Rasulullah ﷺ bersabda:

“Sentiasalah ujian itu menerpa mukmin atau mukminah pada jasadnya, harta dan anaknya sampai ia bertemu dengan Allah dalam keadaan tidak mempunyai dosa.”

[Imam Ahmad dan Imam Tirmidzi]



Rawatan dan Penjagaan 5:

Taubat segera dengan Taubat Nasuha

Mereka yang pernah mencaci masa,  mencaci hari-hari tertentu, mencaci musim tertentu atau mempertikaikan suatu kejadian Taqdir Ilahi berupa kematian, hujan lebat, banjir, kemarau dsb. ... mereka semua wajib Taubat segera. Tiada kompromi dalam hal ini. Mereka yang tidak tahu ianya dosa besar yang boleh membawa kepada kekufuran wajib Taubat tambahan kerana "dosa kejahilan". Moga Allah Ta'ala Ampuni dosa-dosa yang tak disedari.

Sebaliknya, mereka yang keras hati, tidak mengaku salah dan enggan Taubat segera atas perbuatan mereka, maka dikhuatiri hati mereka menjadi gelap, keras, tertutup dan mati. Wal Iyazubillah


Firman Allah:


خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ وَعَلَى أَبْصَـرِهِمْ غِشَـوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عظِيمٌ 


(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka dan pada penglihatan mereka ada penutupnya dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar. 

[Al-Baqarah (2): Ayat 7]


Rasulullah ﷺ bersabda:

 “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam”

[Imam Ibn Majah]


SIRI 506 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-61:

Penjilat - mudahanah (المداهنة)

======================


Definisi Mudahanah (المداهنة):

=====================


Dari segi bahasa:

Ungkapan mudahanah  (المداهنة) berasal dari kata : ( دهن، يدهن، تَدهينٌ ) bermaksud:

menutupi, meminyaki, mengecat, melumurkan, membasahi, menipu daya, menutupi kejahatan dengan hiasan luaran, cerdik, pintar, licik, cerdas, ketajaman fikiran.


Dari segi istilah:

Ungkapan mudahanah (المداهنة) adalah: 

Bergaul degan orang fasiq atau kafir dengan lemah lembut kerana mengharapkan habuan dunia.

Atau bergaul dengan orang fasiq dengan lemah lembut tanpa mengingkari kemungkaran mereka demi mencapai kepentingan duniawi.

Atau menggadaikan Prinsip Agama, melonggarkan pendirian Agama demi mencapai keredhaan manusia.



Penjelasan

========


(1) Secara umum, ungkapan mudahanah adalah ditujukan kepada perlakuan seseorang bergaul dengan golongan fasiq, zalim atau kafir dengan cara lemah lembut, tolak ansur di dalam perkara Aqidah atau menggadaikan (mengorbankan) prinsip-prinsip Agama (Ahlus Sunnah yang benar) demi mencapai habuan dunia. Perbuatan ini haram dan berdosa besar.  Bahkan boleh jatuhkan seseorang kepada kekafiran jika dia meredhai perlakuan tersebut.


(2) Golongan yang banyak terlibat di dalam perlakuan ini adalah:


Pertama: 

Pemerintah, penguasa, pemimpin negara, parti politik, ahli politik, pegawai-pegawai yang berkuasa, pegawai-pegawai lain yang mempunyai kepentingan di dalam pemerintahan, politik, ekonomi dan sosial. 


Kedua:

Ulama fekah (orang alim yang bergelar ulama tetapi hanya amalkan fiqh semata-mata dan abaikan tasawwuf), ustaz-ustazah selebriti dan pendakwah-pendakwah.


Ketiga:

Orang awam lain yang terlibat di dalam urusan pemerintahan atau selalu berhubung dengan golongan fasiq atau kafir kerana kepentingan tertentu.


(3) Di dalam istilah umum golongan ini dikenali sebagai "golongan penjilat" atau "pembodek".  Mereka mengorbankan Aqidah dan prinsip Agama (Prinsip Ahlus Sunnah) demi mencapai habuan dunia.  Mereka mengorbankan Perintah Allah, abaikan hukum Allah, melanggar Prinsip-prinsip Agama demi mengambil hati orang fasiq dan kafir dan kerana harapkan simpati mereka atau menagih habuan dunia berupa kebendaan, pangkat, kedudukan dan kekayaan. 


(4) Pada sangkaan golongan ini (penjilat), perbuatan mereka yang lemah lembut dan mengorbankan prinsip itu tidak mengapa dan bagus untuk menarik golongan fasiq atau kafir kepada kebenaran, sedangkan perlakuan mereka merupakan tipu daya dari nafsu dan bisikan syaitan.


(5) Jika engkau bertanya, adakah golongan ini jahil?  Jawapannya:  Sebahagian dari mereka tahu ia haram dan berdosa besar, terutama golongan ulama fekah, ustaz-ustazah selebriti, pendakwah yang berkecimpung di dalam urusan mengajak manusia kepada Agama (Ahlus Sunnah yang benar) tahu ianya haram, namun mereka tewas kepada dorongan hawa nafsu, bisikan syaitan, kecintaan kepada dunia dan pengaruh teman-teman seangkatan dengan mereka. (Empat macam afaat yang binasakan hamba Allah — nafsu, syaitan, makhluq dan dunia).


SIRI 507 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-61:

Penjilat - mudahanah (المداهنة)

....sambungan.....



(6) Larangan ini (berlemah lembut sehingga gadaikan Prinsip Agama demi mencapai keuntungan duniawi) adalah berdasarkan Perintah Allah Melarang bersekutu dengan golongan kafir, bersikap lunak (lemah lembut) dengan mereka, dan mematuhi kehendak mereka, seperti akan datang penjelasannya:


I[...... فَلَا تُطِعِ الْمُكَذِّبِين  وَدُّوا لَوْ تُدْهِنُ فَيُدْهِنُونَ...]I

"Oleh itu (berpegang teguhlah pada Agama Allah) janganlah engkau menuruti kemahuan orang-orang yang mendustakan (Agama Allah).  Mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pura-pura berlembut).”

[Al-Qalam (68) : Ayat 8-9]


Ayat ini melarang keras Rasulullah ﷺ (dan Ummat Baginda) mengikuti kemahuan orang kafir yang meminta Baginda ﷺ supaya bersikap lunak (lemah lembut) dan bersetuju dengan sembahan-sembahan mereka dan mereka pun bersedia bersikap lunak (lemah lembut) dengan Baginda ﷺ.


(7) Allah Ta'ala mengingatkan kepada Ummat Islam akan muslihat golongan kafir untuk menipu daya Ummat Islam dengan tawaran mereka, ertinya apabila Ummat Islam lemah lembut dan mengikuti tawaran orang kafir (mengorbankan prinsip mereka terhadap orang kafir), maka mereka bakal jatuh kepada kekafiran tanpa disedari. 


(8) Perlakuan mudahanah mempunyai hubungan rapat dengan sifat munafiq, pendusta Agama dan perbuatan "menjual Ayat-Ayat Allah dengan harga yang murah.”


Berkata Imam A-Haythami Radhiallahu Anhu:

"Penjilat (mudahanah) termasuk dosa besar"

[Az-Zawaajir]


SIRI 508 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-61:

Penjilat - mudahanah (المداهنة)

....sambungan.....



Dalil-dalil Larangan:

===============


Dalil 1 : Firman Allah


فَلَا تُطِعِ الْمُكَذِّبِين  وَدُّوا لَوْ تُدْهِنُ فَيُدْهِنُونَ 


"Oleh itu (berpegang teguhlah pada ajaran Islam yang sedang engkau amalkan dan) janganlah engkau menuruti kemahuan orang-orang yang mendustakan (Agama Allah).  Mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pura-pura berlembut).”

[Al-Qalam (68) : Ayat 8-9]


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu Anhu:

"Jangan mengikuti permintaan kaum kafir yang telah kafir kepada Allah, Kitab-Nya dan Rasul-Nya yang meminta engkau bertolak ansur dengan pegangan mereka (ikuti kekafiran mereka) dan mereka pun bertolak ansur dengan engkau.  Juga disebut bahawa ini bermaksud ;  Engkau setuju dengan mereka (Agama mereka) agar mereka juga setuju dengan engkau, dan engkau lunak dengan mereka (lemah lembut dengan mereka) agar mereka juga lemah lembut dengan engkau.”

[Tafsir Ibnu Abbas]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

 Allah melarang Rasul-Nya  condong kepada orang -orang musyrik.  Pada saat itu mereka menyeru agar Rasulullah ﷺ  menahan diri dari mereka, supaya mereka pun menahan diri dari Baginda. 

 

Ibnu Abbas, Athiah. Adh-Dhahhaq dan As-Suddi mengatakan:

(Makna Firman Allah ini) adalah menginginkan supaya kamu kufur supaya mereka bersenang lenang di dalam kekufuran mereka.  Dari Ibnu Abbas juga diriwayatkan: (makna firman Allah itu adalah) mereka menginginkan supaya kamu memberikan keringanan kepada mereka, lalu mereka pun memberikan keringanan kepadamu."


AI Farra` dan AI Kalbi mengatakan:

"jika engkau bersikap lunak (kepada mereka), lalu mereka pun akan bersikap lunak kepadamu. 


Mujahid berkata:

“Makna (firman Allah itu adalah), mereka menginginkan agar kamu condong kepada mereka dan meninggalkan kebenaran, lalu mereka pun akan condong kepadamu."

 

Ar-Rubai' bin Anas berkata:

"Mereka menginginkan agar engkau menyatakan dusta, lalu mereka pun akan menyatakan dusta."

 

Qatadah berkata:

"Mereka menginginkan agar engkau menyimpang dari Perintah Allah lalu mereka akan membawa mu."


Al-Hasan berkata:

"Mereka menginginkan agar engkau bekerjasama dengan mereka di dalam urusan agamamu, lalu mereka pun akan bekerjasama denganmu dalam urusan agama mereka."

[Tafsir Qurtubi]


SIRI 509 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-61:

Penjilat - mudahanah (المداهنة)

....sambungan.....



Dalil 2: Firman Allah:


قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ (1) لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (2) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (3) وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ (4) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (5) لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ (6)


Katakanlah, "Hai orang-orang yang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.  Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah.  Dan aku tidak pernah men]adi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah.  Untuk kamu agama kamu, dan untuk aku agamaku.”

[Al-Kaafirun (109) : Ayat 1-6]



Asbab-an-Nuzul (sebab turun ayat)

=========================


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

"Kaum kafir Quraisy ketika itu berkata kepada Rasulullah ﷺ, "kami akan memberikan harta apa sahaja yang kamu minta, sehingga menjadi orang paling kaya di kota Makkah, dan kami juga akan berikan wanita  yang kamu ingin nikahi, dan kami juga akan berjalan di belakang kamu (kiasan merendahkan diri) asalkan kamu berhenti mengutuk Tuhan-tuhan kami.  Apabila kamu tidak juga mahu melakukannya, maka kami akan menawarkan satu hal yang dapat mendatangkan perdamaian antara kita semua, iaitu kamu menyembah tuhan-tuhan kami, Latta dan uzza selama setahun, dan kemudian kami pula menyembah Tuhan kamu selama setahun. Kemudian turun ayat ini."

[Tafsir Ibnu Abbas]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

Ibnu Ishak dan Ulama lainnya meriwayatkan dari Ibnu Abbas, sebab turun ayat ini adalah: Ketika beberapa pemuka Quraisy, di antaranya Al-Walid bin Mughirah, Al-'As bin Wail, Al-Aswad bin Abdul Muttalib dan Umayyah bin Khalaf bertemu Rasulullah ﷺ, dan berkata : "Wahai Muhammad, kami setuju dengan ajakanmu untuk menyembah Tuhan yang engkau sembah, namun dengan syarat kamu juga harus menyembah Tuhan yang kami sembah.  Dengan demikian kami dan kamu dapat berbahagi dalam segala hal, maksudnya apabila ajaran yang kamu bawa lebih baik daripada yang kami percayai maka kami akan berusaha mengikutimu dan kami pasti akan mendapat apa yang kami usahakan.  Dan apabila yang kami percayai ini lebih baik dari ajaran yang kamu bawa, maka kamu sudah berusaha untuk ikut bersama kami, maka kamu pasti akan menerima dari hasil usaha kamu."  Lalu turun Firman Allah ini.


SIRI 510 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-61:

Penjilat - mudahanah (المداهنة)

....sambungan.....



Berkata Imam At-Tabari Radhiallahu anhu:

"Ketika orang-orang musyrik menawarkan kepada Rasulullah ﷺ agar mereka menyembah Allah selama setahun, dan Baginda ﷺ harus menyembah tuhan-tuhan mereka selama setahun juga.  Allah menurunkan ayat kepada Baginda ﷺ guna memberitahu jawapan untuk mereka mengenai hal ini, "Katakanlah hai Muhammad, kepada orang-orang musyrik itu, yang memintamu untuk menyembah tuhan-tuhan mereka selama setahun dan sebagai ganti mereka akan menyembah Tuhanmu selama setahun.  

 [Tafsir Tabari]



Ringkasan Asbabun-Nuzul:

______________________


Perintah Allah di dalam surah ini hampir sama dengan Perintah Allah di dalam surah [Al-Qalam (68): ayat 8,9 ] yang melarang Rasulullah ﷺ dan Ummat Baginda tolak ansur dan lemah lembut di dalam Aqidah dan Prinsip Agama dengan kaum kafir.


Secara umum sebab turun ayat ini adalah ketika kaum kafir Quraisy melihat kemaraan Da'wah Rasulullah ﷺ yang tak dapat dibendung lagi dan sambutan penduduk Makkah terhadap Ajaran Islam yang kian marak, mereka (kaum kafir Quraisy) sangat bimbang.  Maka mereka bertemu Rasulullah ﷺ dan berikan beberapa tawaran menarik (menurut sangkaan mereka)  kepada Baginda, dengan tujuan Baginda ﷺ hentikan Da'wah Baginda ﷺ dan berhenti mencaci berhala sembahan mereka:


(1) Pemimpin-pemimpin Quraisy menawarkan harta benda dunia, emas-perak dan wang yang banyak.


(2) Mereka menawarkan untuk mengahwinkan anak perempuan mereka yang cantik kepada Rasulullah ﷺ.


(3) Mengajak Rasulullah ﷺ tolak ansur, lemah lembut, berlapang dada untuk menyembah Tuhan-tuhan mereka (berhala, patung-patung sembahan kafir) satu tahun dan mereka akan datang menyembah Allah bersama Rasulullah ﷺ pada tahun berikutnya.


Allah Ta'ala kemudian turunkan ayat ini sebagai suatu penegasan dan pendirian teguh bahawa tidak ada tolak ansur kepada golongan kafir di dalam hal Aqidah dan prinsip-prinsip pokok Agama.  Seruan mereka (pemimpin-pemimpin kafir) kepada perdamaian dan tolak ansur di dalam perkara "sembahan kepada Tuhan-tuhan yang mereka sembah" merupakan kesyirikan — mempersekutukan Allah Azza wa Jalla, ketika itu tiada kompromi. 


Penegasan tersebut benar-benar merupakan tamparan paling hebat terhadap pemimpin-pemimpin Quraisy yang mahukan Rasulullah  ﷺ berlembut dan tolak ansur dengan mereka.  Ini kerana Perintah Allah ini menjadi pemutus antara pegangan dan Aqidah Ummat Islam dengan Aqidah batil sesat dan kafir yang dianut oleh kaum kafir Quraisy, ertinya tiada kompromi sampai bila-bila... sampai Qiamat!


Bersambung siri 511  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...