KHILWAH / SULUK MENURUT AHLUS SUNNAH

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

KHILWAH / SULUK MENURUT AHLUS SUNNAH

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 61 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


12.7 Peringatan, Penegasan dan Amaran —  Maqam Tauhid Zat

sambungan....


Peringatan 9:  Jangan mendakwa diri kamu Wali Allah


Secara umumnya, seseorang Salik dilarang keras mendakwa2 dirinya Wali Allah atau sewenang2 mengangkat dirinya kepada Maqam Wali Allah atas sangkaannya, lalu "menjaja" di sana sini akan Kewaliannya. Meskipun dia sudah sampai ke Maqam Tauhid Zat sekali pun, dia tetap dilarang mendakwa2 demikian. Sebab2 larangan ini adalah :


Pertama: 

Perbuatan membesarkan diri sebagai Wali Allah kembali kepada maksud riya' dan takabbur. Ertinya kembali kepada kesyirikan (syirik khafi) seperti orang awam.  Mereka tertipu dengan diri sendiri. Sesungguhnya ini tipu daya Iblis yang paling halus kepada Salikin yang mencari kebenaran. 


Kedua :

Maqam Kewalian adalah setengah daripada rahsia Ketuhanan yang wajib dipelihara lebih dari emas, perak dan permata yang paling berharga sekalipun. Ertinya dilarang keras sebarkannya kepada umum. Mendedahkan rahsia Ketuhanan adalah kekufuran sebagaimana yang telah kami bentangkan sebelum ini. 


Ketiga :

Maqam Kewalian bukan barang mainan untuk kamu bersuka ria sehingga kamu jadikannya bahan bualan "kedai kopi". Sebaliknya setiap Maqam Kewalian membawa "AMANAH ALLAH". Seseorang hamba yang diangkat ke Maqam Auliya Allah menanggung amanah yang berat sebagai Warisatul Anbiya (Pewaris Nabi). 


Ringkasnya, kita katakan :

Orang2 yang suka mencanang sana sini bahawa dirinya sudah mencapai Kewalian atau mengaku dirinya dilantik menjadi Wali Agung sedunia atau lain2 seperti itu, maka orang ini tak sedar akan hakikat Kewalian dan tidak sedar bahawa ianya membawa maksud Amanah Allah yang sangat berat. Boleh jadi dia cuma pencari kemasyhuran atau mempunyai kepentingan nafsu dan dunia.  


Sesungguhnya Salikin yang ikhlas dan benar, ketika mengetahui bahawa dia telah diangkat oleh Allah kepada darjat Kewalian tertentu (melalui khabar dari Gurunya yang Arif Billah), akan menjadi gerun, takut dan amat malu kepada Allah Ta'ala. Mereka akan merendah diri dan kekalkan sifat kehambaan — ubudiyyah zahir dan batin. Mereka tetap memelihara sekalian adab, peraturan dan undang2 Syari'at. Mereka TIDAK ghairah menyebarkan kepada umum bahawa mereka  sudah menjadi Wali. Sebaliknya mereka akan sangat berhati2 agar tidak terkena istidraj.  Mereka sedar bahawa Maqam Kewalian bukan barang mainan sebaliknya mengandungi Amanah besar dari Allah Ta'ala. 


Pengecualian:

Di sana terdapat pengecualian kepada persoalan ini. Iaitu terdapat keadaan di mana seseorang Auliya Allah yang telah mencapai Maqam Kewalian yang luar biasa mendapat petunjuk Allah supaya beliau mengisytiharkan kewaliannya. Walau bagaimanapun, hal ini amat jarang terjadi. Di dalam Sejarah Ummat, di antara Ulama yang mengisytiharkan kewalian mereka (setelah menerima Petunjuk Allah) adalah :  Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani, Imam Ibnu Araby, Imam Ghazali dan beberapa Auliya Allah lagi yang luar biasa maqam Kewalian mereka. 


Di antara bukti kebenaran pengisytiharan mereka adalah : 

Sekalian Ulama Ahlus Sunnah ketika itu mengakui kebenaran pengisytiharan tersebut dan mengakui ketinggian Kewaliannya.  


Satu contoh yang sangat masyhur di dalam sejarah Ummat adalah : Pengisytiharan Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu, kata beliau :


[I]  قدمی ھذه علی رقبة کل ولی الله  [I] 


 "Tapak kakiku berada di atas tengkuk sekalian Auliya Allah"  


Ketika Imam Jilani isytiharkan demikian di Kota Baghdad, maka seketika itu juga sekalian Mursyid2 satu dunia dapat mendengar suara beliau lalu mereka menundukkan kepala mereka tanda mereka akur kepada Ketinggian beliau sebagai Mahkota Auliya.

[Rujuk catitan Shaikh Yahya Tadhifi di dalam Kitab Qala'id Al-Jawahir]


SIRI 62 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


12.7 Peringatan, Penegasan dan Amaran —  Maqam Tauhid Zat

sambungan....


Beberapa catitan penting berkenaan Auliya Allah / Maqam Kewalian


Berikut kami sampaikan beberapa catitan ringkas berhubung dengan Auliya Allah / Maqam Kewalian sebagai tambahan di dalam perbincangan ini. 


Poin 1:

Dari sudut bahasa : Auliya (أَوْلِيَاءَ) adalah dekat, wakil, penolong, pemimpin yang menolong mengurus suatu bagi pihak lain.


Dari sudut Istilah : Auliya (أَوْلِيَاءَ) adalah Kekasih Allah dan Wakil-Nya atas muka bumi yang Allah Ta'ala pilih Khusus bagi mentadbir dunia menurut Kehendak dan Perintah-Nya. Mereka adalah Mu'min sejati, benar2 Taqwa kepada Allah, tetap Ubudiyyah kepada Allah zahir dan batin, serta istiqamah melaksanakan Perintah Allah tanpa ketakutan pada siapa pun melainkan kepada Allah semata2.


Poin 2:

Berdasarkan keterangan Al-Qur'an, Hadith dan Ijma' Ulama, insan2 pilihan Allah yang khusus dipanggil " Auliya Allah " benar2  wujud atas muka bumi. Meyakini kewujudan mereka serta kemuliaan yang Allah Ta'ala Kurniakan kepada mereka adalah setengah dari cabang2 Keimanan. Ertinya wajib beriman akan keberadaan mereka dan engkarinya adalah kekufuran. Wal Iyazubillah. 


Poin 3:

Pada pengertian umum, semua hamba2 Allah yang diKasihi-Nya adalah Auliya Allah. Maka Rasul dan Nabi adalah termasuk ke dalam pengertian Auliya Allah.   Walau bagaimanapun apabila disebut  "Auliya' Allah" secara khusus, maka ianya merujuk kepada Mu'min yang benar2 bertaqwa kerana kedua2 insan pilihan Allah ini (Rasul dan Nabi) sudah pun mempunyai panggilan khusus masing2. 


Poin 4:

Auliya Allah adalah mereka yang telah mencapai Maqam Tauhid yang tinggi / Ma'rifat yang tinggi — iaitu mereka yang suci bersih hatinya daripada Syirik khafi (syirik di dalam hati), mazmumah (kekejian hati), aghyar (sekalian suatu selain Allah). Mereka sentiasa berzikir dan abdikan diri kepada Allah Ta'ala zahir dan batin. Mereka berpegang teguh pada Allah dan Rasul-Nya dan menjunjung tinggi Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ sebagaimana yang kami telah bentangkan pada bicara "Tingkatan Maqam Tauhid".  


Poin 5: 

Sekalian Auliya Allah berada di dalam "Qubah Allah", iaitu di dalam perlindungan dan pemeliharaan Allah Ta'ala. Mereka sentiasa berserta Allah dan tiada dukacita apa pun hal keduniaaan. 


Poin 6:

Kebanyakan Auliya Allah tidak mengetahui bahawa diri mereka Auliya Allah. Hanya Auliya Allah yang berada pada tingkat2 yang sangat tinggi mengetahui bahawa diri mereka Auliya Allah dan juga kenali Wali Allah yang lain seluruh dunia.  Walau bagaimanapun mereka tidak sesekali mendedahkan kewalian mereka kepada umum. 


Poin 7:

Sekalian hamba Allah yang dipilih oleh Allah menjadi Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq, adalah Auliya Allah. Namun mereka tidak dimasyhurkan sebagai Auliya Allah ketika mereka masih hidup. Gelaran Auliya Allah hanya dimasyhurkan ke atas mereka setelah kewafatan mereka. Ini adalah penjagaan agar gelaran "Mursyid" tidak disalah gunakan oleh Guru2 palsu. 


Poin 8:

Auliya Allah mempunyai Darjat2 tertentu sesuai dengan Darjat Keimanan / Tauhid yang mereka capai di dalam perjalanan mereka pada Jalan Ma'rifat. Mereka menanggung Amanah Kerasulan dan Kenabian atas muka bumi sesuai dengan Tingkatan masing2. 


Poin 9:

Umumnya Auliya Allah tidak dikenali kerana mereka tersembunyi di sebalik pakaian mereka yang zahir. Mereka hadir di kalangan manusia seperti manusia biasa2 sahaja. Walau bagaimanapun orang yang benar2 beriman mampu mengenali mereka berdasarkan tanda2 yang wujud pada diri mereka.


Poin 10:

Sebahagian Auliya Allah diberi Kuasa mentadbir Dunia Ma'rifat, merekalah Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq.  Sebahagian yang lain hanya melakukan Zikrullah dan ubudiyyah terus-menerus tanpa henti. Mereka memenuhi bumi dengan Kalimah Allah dan Cahaya Tauhid. 


SIRI 63 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



12.8 Fakta- Fakta Terpenting

Maqam Tauhid Zat

==============

Berikut adalah beberapa fakta penting berhubung dengan "Maqam Tauhid Zat" yang merupakan ringkasan dari keseluruhan perjalanannya. 


Fakta2 ini amat berfaedah bagi hamba2 Allah yang baru sampai ke Maqam ini agar mereka tetap waspada dengan Kurniaan Allah Yang Amat besar ini dan tidak "terbawa-bawa" oleh perasaan sendiri.


Demikian lagi fakta2 ini juga amat berfaedah bagi orang awam dan salikin mengenali sifat2 sebenar hamba2 Allah yang sampai ke Maqam ini agar mereka tidak terpedaya dengan golongan PALSU seperti "golongan batiniah" atau "golongan hakikat palsu" atau golongan2 lain yang hanya berpura2 demi mencari kemasyhuran atau harta dan pangkat duniawi. 


Fakta 1 : Maqam Tertinggi Tauhid / Ma'rifat

Maqam Tauhid Zat adalah Maqam Tertinggi pada perjalanan menuju Allah, kembali kepada Allah sebagai hamba-Nya yang sejati, kembali kepada kesucian ruh sebagaimana keadaannya ketika dia di Alam Nur.   Di Alam Nur, setiap ruh insan adalah suci bersih, tiada noda dan tiada hijab. Mereka melihat Allah Ta'ala tanpa sebarang hijab. 


Ketika seseorang hamba Allah sampai ke Maqam Tauhid Zat, ruhnya bebas daripada keterikatan dengan jasad yang membalutinya, maka memandanglah ruh mereka kepada Zat Allah sebagaimana mereka pernah melihat Zat Allah ketika di alam Nur. 


✨🕌✨Firman Allah :


وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡ‌ۖ قَالُواْ بَلَىٰ‌ۛ شَهِدۡنَآ‌ۛ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ


Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Bahkan (Benarlah Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Qiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.

[Al-A'raf (7) : ayat 172]

 

Ketahuilah...!

Inilah kemuncak Tauhid. Iaitu ketika hati dan ruh seseorang hamba Allah (yang telah mujahadah dengan ikhlas dan sunggguh2 pada Jalan-Nya) mencapai kesucian yang sempurna,  maka pada ketika itu ruhnya menghadap Allah sebagaimana ia melihat-Nya ketika di Alam Nur. Hal inilah yang diisyaratkan oleh Junjungan Junjungan Besar di dalam Hadith Jibril.


✨🕌✨ Rasulullah ﷺ bersabda :


أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ


"(yang dikatakan Ihsan) ialah engkau beribadah kepada Allah seolah2 engkau melihat-Nya.  Jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia (Allah) melihat engkau"

[Imam Muslim, Imam Abu Dawud, Imam Tirmizi, Imam Ahmad]


Sesungguhnya, inilah kemuncak Tauhid, kemuncak mengenal Allah, kemuncak Ubudiyyah kepada Allah Ta'ala.  Iaitu ketika hati dan ruhnya benar2 suci bersih daripada semua jenis kesyirikan, kekejian, dosa2 dan segala suatu selain Allah, maka ketika itulah sekalian hijab (dinding penghalang) terangkat dan dia melihat akan Zat Allah Yang Maha Agung - Zat Tuhan Yang Laisa Kamithilihi Syai'un (tiada umpama sesuatu sepertinya) melalaui pancaran cahaya  ruh (roh) dan sirr nya (rahsia Ketuhanan yang sangat dalam).    


Tiada yang mampu menyelami maksud "Ihsan" dan mencapai "Maqam Ihsan", (Maqam kesempurnaan Tauhid) ini melainkan mereka yang telah bersungguh2 mujahadah pada Jalan Allah dan mematuhi syarat2nya sebagaimana yang telah ditegaskan oleh sekalian  Masyaikh Ahlus Sunnah.


SIRI 64 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


12.8 Fakta- Fakta Terpenting Maqam Tauhid Zat

sambungan...



Fakta ke-2 : Gelaran / nama lain

Maqam Tauhid Zat yang sempurna dikenali dengan berbagai istilah lain, antaranya:


Maqam Ihsan (sempurna melihat Zat Yang Maha Quddus)

Maqam Taqwa (sebenar2 Taqwa / sempurna Taqwa) 

Maqam Ma'rifat (yang sempurna Ma'rifat)

Maqam Wasil (sampai Hadratul Quddus)

Maqam Kasyaf (yang sempurna terbuka kepada Ketuhanan)

Maqam Rijal (Lelaki Allah / Pahlawan Allah)

Maqam Baqa' (sempurna tetap berserta Allah)

Maqam Khawasul Khawas (terlebih khusus)

Maqam Auliya (Wakil dan Kekasih Allah)

Maqam Sahabat / Khalifah Rasul (Wakil Rasulullah)



Cacitan ringkas:


1. Maqam Ihsan

Hamba Allah yang sampai Maqam Tauhid Zat yang tahqiq dipanggil Muhsinin,   Iaitu sempurna penyaksian mereka kepada Allah Ta'ala. Mereka melihat Allah di dalam setiap ibadah. Bahkan mereka tidak terpaling daripada memandang Wajah Allah pada setiap saat dan ketika. 

Orang awam musykil, Bagaimanakah mungkin hal ini terjadi? Adakah mungkin seseorang menghadap makhluq dan pada waktu yang sama dia juga melihat Allah?

Jawapan :

Yang demikian merupakan Karomah yang Allah Kurniakan kepada Kekasih-Nya. Mereka melihat dengan penglihatan Allah, atau dikatakan mereka memandang dengan Cahaya Rabbaniyyah (Cahaya Ketuhanan) Kunci memahami hal ini pada Hadith Qudsi :


"..... فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِيْ يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِيْ يُبْصِرُ بِهِ....."


".....Maka Aku akan mencintainya dan apabila  Aku telah mencintainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat..."

[Imam Bukhari]


2. Maqam Taqwa

Hamba Allah ini dipanggil  Muttaqin, iaitu Taqwa yang sempurna, mencapai Taqwa seperti yang diKehendaki Allah. 

Permulaan Taqwa adalah pada Maqam Tauhid Af'al dan kesempurnaannya ketika Salikin sampai ke Maqam Tauhid Zat yang tahqiq. Oleh kerana ini hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat dikatakan mencapai Maqam Taqwa yang sebenar2 Taqwa. 


3. Maqam Ma'rifat

Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat dikenali sebagai Arif Billah, iaitu Maqam Ma'rifat yang sempurna, penuh Ma'rifatnya kepada Allah. 

Maksudnya : Ma'rifat yang dicapai oleh Salikin pada peringkat Af'al, Asma' dan Sifat belum cukup sempurna. Mereka masih di peringkat latihan dan sedang di dalam proses membina keyakinan mereka kepada Allah.  Walau bagaimanapun Salikin yang mencapai Maqam Tauhid Af'al saja pun sudah mencapai kedudukan yang tinggi di Sisi Allah, cahaya hati mereka memenuhi langit dan bumi. Hal ini (hal Salikin yang mencapai Maqam Af'al) amat jauh beza dengan orang awam yang sentiasa bergelumang di dalam kesyirikan dan kekejian hati. 


4. Maqam Wasil 

Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat yang tahqiq  ini dipanggil Wasilin, iaitu orang yang sampai kepada Hadratul Quddus, "bertemu" Allah dan berkasih2 dengannya. 


Penjagaan : Maksud wasil (sampainya hamba kepada Hadrat Tuhan) di sini adalah bermaksud terangkat hijab2 hati hamba sehingga dia "melihat Allah" dan maksud "bertemu" adalah pertemuan ruh dengan Zat Allah yang  Laisa Kamithlihi Syai'un  tanpa kaifiyyat atau caranya. ...  BUKAN bermaksud seperti sampainya makhluq menghadap makhluq, misalnya kamu katakan : "Si fulan sampai ke istana Raja dan bertemu Raja di singgahsananya". ... TIDAK!


5. Maqam Kasyaf

Hamba Allah ini dipanggil Ahli Kasyaf, dalam pengertian yang sempurna. Iaitu "terbuka" kepada melihat Allah Ta'ala dan juga terbuka kepada sekalian yang ghaib menurut Kehendak Allah. (BUKAN KEHENDAK DIRINYA), sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini.


SIRI 65 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


12.8 Fakta- Fakta Terpenting Maqam Tauhid Zat

sambungan...


6. Maqam Rijal

Hamba Allah ini juga dikenali sebagai Rijalullah. Rijalullah lazimnya ditafsirkan dengan makna "lelaki Allah", iaitu bersemangat waja, sentiasa mendahulukan kehendak Allah mengatasi kehendak makhluq, sentiasa berada di hadapan di dalam ketaatan dan ubudiyyah kepada Allah. Mereka menjunjung tinggi panji2 Agama dan mempertahankan Allah dan Rasul-Nya. Mereka inilah sebenar Pahlawan Allah di atas muka bumi.


7. Maqam Baqa' 

Hamba Allah ini dikatakan sampai ke Maqam Baqa' yang bermaksud diKurniakan ketetapan oleh Allah Ta'ala, kekal berserta Allah, tiada berubah2 lagi. Inilah pengertian lain bagi maqam Istiqamah.  


Pegangan ini membenteras pendapat kaum batiniah atau ilmu haqiqat palsu yang mendakwa diri mereka sudah kekal seperti Allah dan bebas daripada hukum Syara'.  Mereka ini adalah kaum zindiq  yang jelas sudah terkeluar dari Agama. Wal Iyazubillah. 


8. Maqam Khawasul Khawas 

Hamba Allah ini dikatakan mencapai Maqam Khawasul Khawas, iaitu hamba2 pilihan Allah yang sangat khusus daripada yang khusus, menjadi Kekasih-Nya.  Huraian lanjut sama seperti huraian berkenaan Maqam Auliya Allah peringkat tinggi.


9. Maqam Auliya

Hamba Allah ini termasuk Auliya Allah, iaitu Wakil Allah atas muka bumi bagi memakmurkannya dengan Kalimah Allah.  


10. Maqam Sahabat / Khalifah Rasul 

Hamba Allah ini diberi gelaran "Sahabat Rasulullah" dan "Khalifah Rasulullah" disebabkan ketinggian Maqam Kurniaan Allah kepada mereka. Sesungguhnya mereka benar2 menjadi Sahabat dan Wakil Rasulullah setelah ketiadaan Baginda kerana merekalah pewaris dan penyambung Warisan Suci Rasulullah ﷺ. Allah Ta'ala meninggikan darjat mereka mengatasi manusia lain dan menjadikan mereka Pahlawan Islam. 


Apabila disebut "Khalifah" dan "Sahabat" Rasul, ianya tertuju kepada orang2 yang benar2 beriman dengan Nabi dan berjuang bersama Nabi ketika hayat Baginda. Namun pada pengertian umum, semua hamba2 Allah yang mencapai Maqam yang tinggi di Sisi Allah, memperoleh pancaran Nur Muhammad di dalam hati mereka, istiqamah mengikuti jejak Baginda zahir dan batin dan memperjuangkan Risalah Baginda adalah termasuk ke dalam pengertian "Khalifah" dan "Sahabat" Baginda.  


✨🕌✨ Sabda Rasulullah ﷺ

“Dahulu kaum Bani Isra’il dipimpin oleh para Nabi. Setiap seorang nabi meninggal dunia, maka diganti seorang nabi lainnya. Maka sesungguhnya tidak ada nabi yang menggantikan setelah aku meninggal dunia, Namun yang menggantikanku adalah khalifah-khalifah. Maka mereka banyak mempunyai pengikut-pengikut ”, Sahabat bertanya, “Wahai Rasul apa yang engkau perintahkan pada kami?” Rasul menjawab, “Laksanakan baiat seperti baiat pertama kali di hadapan mereka dan tunaikan hak-hak mereka, Kalian mintalah kepada Allah yang menjadi bagian kalian, karena Allah Ta’ala menanyakan tentang apa yang mereka pimpin.”

[Imam Bukhari, Imam Muslim]


SIRI 66 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



12.8 Fakta- Fakta Terpenting Maqam Tauhid Zat

sambungan...


Fakta ke-3: Maqam Tauhid Zat bertingkat2

Maqam Tauhid Zat bukan satu tingkatan, tetapi terdiri dari beberapa tingkatan bermula dari Musyahadah Mutlaq  sehingga setinggi2nya Maqam Tajalli.


Para Sahabat Rasulullah ﷺ terdiri dari berbagai Tingkatan — mempunyai Maqam Tauhid / Ma'rifat masing2, sebahagian mereka lebih tinggi yang lain. Sahabat Nabi yang paling tinggi adalah Khulafa Ar-Rasyidin (sahabat empat), kemudian Sahabat 10 yang terpilih, kemudian Sahabat Ahli Badar dan lain2 menduduki maqam masing2. Hanya Allah Ta'ala mengetahui kesemuanya. Rasulullah ﷺ juga mengetahui sebahagian rahsia2 ini daripada Wahyu Allah kepada Baginda.


Fakta ke-4: Terhapus kesyirikan, mazmumah dan kelalaian

Bagi hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat, semua macam Kesyirikan (syirik yang bersarang di dalam hati) terhapus, tiada lagi tersisa sebarang bentuk kesyirikan di dalam hati,

Dan terhapus segala macam mazmumah,  sifat keji.  Bahkan tiada ghaflah (kelalaian) dan aghyar (selain suatu melainkan Allah)... semuanya terhapus.  Di dalam hati mereka tiada lain melainkan Allah. 


Fakta ke-5: Istiqamah pada Syari'at dan Haqiqat

Sesungguhnya Maqam Tauhid Zat adalah sebenar2 Maqam Istiqamah, iaitu tetap berpegang teguh dengan Syari'at Rasulullah ﷺ dan Adab2 Toriqat Rasulullah ﷺ, tanpa abaikan mana2 satu daripadanya. 


Fakta ke-6: Ikhlas yang sempurna

Pencapaian Maqam Tauhid Zat yang sempurna membawa kepada kesempurnaan di dalam Ikhlas. Sebagaimana yang telah dihuraikan,  keikhlasan seseorang  bergandingan dengan Tauhidnya. Ertinya mereka yang telah sampai Maqam Tauhid Zat itulah sebenar2 ikhlas di dalam Ubudiyyah kepada Allah Ta'ala.  Mereka menafikan segala keupayaan diri dan hanya menyerahkan diri kepada Kekuasaan dan Kemurahan Allah Ta'ala.  Bahkan mereka tidak melihat wujud diri mereka melainkan hanya Wujud Allah.   Apabila mereka melakukan kebajikan, sedekah dan khidmat kepada Ummat... tiada yang mereka pandang melainkan  perencanaan Ilahi yang Maha Rapi dan Maha Sempurna. Sesungguhnya semua ini tak mampu dihayati melainkan mereka yang benar2 sampai ke Maqam ini. 


Fakta ke-7: Sempurna Khusyu' didalam Ibadah

Khusyu di dalam Solat adalah tanda Mu'min sejati. Alhamdulillah, Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat, memperoleh keluasan untuk menyempurnakan kewajipan ini dengan ketenangan tanpa perlu memaksa2 dirinya. 


Fakta 8: Pentadbir Dunia Ma'rifat

Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat adalah Ahli Marifat yang diberikan berbagai Amanah yang berat2, di antaranya mentadbir Dunia Ma'rifat. 


Fakta 9: Sentiasa di dalam pimpinan Allah dan Rasul-Nya.

Hamba Allah ini sentiasa di dalam pimpinan Allah dan Rasul-Nya. Ertinya setiap perbuatan dan perkataan mereka tiada keluar dari ketaatan dan ubudiyyah kepada Allah Ta'ala. Mereka sentiasa memperoleh "ilmu ladunni" dan "ilham2 suci" daripada Allah Ta'ala.   Jika pada suatu ketika mereka tersilap, maka teguran Allah Ta'ala akan sampai kepada mereka seketika itu juga.  Ini sebabnya mereka dipanggil mahfuz, dipelihara oleh Allah. 


SIRI 67 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



12.8 Fakta- Fakta Terpenting Maqam Tauhid Zat

sambungan...



Fakta 10 : Selamat dari Tipu daya Iblis dan Syaitan

Hamba2 Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat yang tahqiq ini tidak akan jatuh kepada tipu daya Iblis dan kuncu2nya kerana mereka telah mujahadah lama memerangi nafsu jahat dan bisikan2 Iblis.  Dengan pimpinan dan tunjuk ajar Guru mereka yang Arif (Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq), mereka mengenali Iblis dan syaitan dan mengenali cara2 mereka masuk menipu daya manusia. Maka selamatlah mereka dengan Rahmat Allah, daripada tipu daya Iblis yang amat licik dan halus.  


Berbeza dengan orang awam yang cuma menuntut ilmu zahir syari'at semata2 dan abaikan Toriqat / Tasawwuf, seringkali tersungkur di kaki Iblis dan kuncu2nya lantaran tidak mengenali helah licik dan tipu dayanya . Meskipun dia seorang yang sangat alim di dalam memahami segala kitab fiqh dan mahir berdebat Sifat 20, dia tetap terdedah kepada bahaya bisikan nafsu kejahatan dan godaan Syaitan. Bahkan orang alim yang hanya mahir ilmu zahir dan tidak menuntut Tasawwuf dan tidak mendidik hatinya dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq lebih banyak terdedah kepada bisikan2 halus Iblis dan Syaitan. 


Bukti bagi hal ini adalah : Penyelewengan daripada jalan kebenaran adalah dipelopori oleh orang2 alim dan cerdik pandai Agama. Golongan cerdik pandai Agama inilah yang mempelopori firqah2 sesat ;  bermula dari Khawarij (wahhabiyyah sekarang), Syi'ah (rafidhi), Mu'tazilah, Jabariyyah, Mujassimah, Musyabbihah dll semuanya berjumlah 72 firqah sesat.  Mereka BUKAN orang bodoh yang tak tahu hukum-hakam fiqh, sebaliknya cerdik dan pintar. Namun kepintaran yang tidak mendapat Limpahan Cahaya Ketuhanan akan membawa kepada kesombongan, takabbur, riya, ujub dan kekejian hati yang akhirnya memadamkan cahaya hati. Apabila hati telah gelap, maka masuklah Syaitan memimpin mereka kepada kesesatan sedang mereka tidak menyedarinya. Wal Iyazubillah. 


Pada zaman ini, penyambung warisan firqah2 sesat ini wujud di dalam pakaian kemegahan Univerisiti bergelar PhD, Profesor, Masters. Sebahagiannya duduk di kerusi jabatan Agama sebagai mufti dan pegawai Agama. Mereka melakukan berbagai dakyah, menuduh sana sini bid'ah sesat. Mereka sewenang2 mengeluarkan fatwa sesat dan menyesatkan. Orang2 awam yang jahil menjadi pendokong buta.  Mereka disesatkan oleh Iblis dan kuncu2nya. Iblis memperdaya golongan ini dengan sangkaan bahawa mereka melakukan kebaikan, sedangkan ianya terbalik. Iblis pakar di dalam hal menimbulkan sangkaan2 seperti ini terhadap golongan cerdik pandai Agama, iaitu memperlihatkan kesesatan, kebatilan dan kefasikan sebagai perkara yang baik dan soleh.  


✨🕌✨ Firman Allah :


قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِين


Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan buruk / keji / ma'siat / mungkar) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas". 

[Al-'Hijr (15) : ayat 39-40]


Betapa halus tipud aya Iblis sehingga orang cerdik pandai Agama pun tertipu dengan helah liciknya. Amatlah malang mereka yang terus menjadi pendokong2 firqah2 sesat. Wal Iyazubillah.


SIRI 68 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



12.8 Fakta- Fakta Terpenting Maqam Tauhid Zat

sambungan...



Fakta 11 : Mujtahid dan Mujaddid — Ahli Ma'rifat yang tinggi

Suatu fakta yang amat penting berhubung dengan Mujtahid dan Mujaddid, namun jarang didedahkan kepada umum adalah kedudukan mereka yang tinggi di Sisi Allah. Mereka menduduki Maqam Tauhid tertinggi, menghadap Allah pada setiap ketika serta di dalam pimpinan tangan Rasulullah ﷺ.  Mereka adalah Ahlut-Taqwa yang diKasihi Allah. (Rujuk penjelasan2 sebelum ini berkenaan mereka yang mencapai Maqam Tauhid Zat).  


Ketahuilah Sekalian Mujtahid dan Mujaddid yang benar hanya wujud di dalam Ahlus Sunnah Wal Jama'ah. Mereka adalah hamba2 Allah yang takut kepada Allah dengan sebenarnya. Mereka mentafsirkan Ayat Qur'an dan Hadith Nabi berdasarkan Petunjuk Allah. Sebelum mengeluarkan suatu fatwa, mereka mengumpulkan segala keterangan Al-Qur'an dan Hadith lalu munajat kepada Allah. Setelah mereka memperoleh jawapan dan yakin bahawa yang demikian itu di dalam Keredhaan Allah, barulah mereka mengeluarkan fatwa.


Perhatikanlah hal keadaan sekalian Mujtahid dan Mujaddid, di antaranya yang sangat terkenal di dunia islam:


Imam Hasan Al-Basri

Imam Sufyan Ath-Thawri

Imam At-Toriqah Wal haqiqah, Imam Ja'afar Siddiq 

(Guru kepada Imam Abu Hanifah dan Imam Malik)

Imam Junaid Baghdadi

Imam Abu Hanifah 

Imam Malik

Imam Syafi'e

Imam Hambali

Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani

Imam Ghazali

Imam Fakhruddin Ar-Razi

Imam Sayuthi

Imam Al-Haythami

Ridhwanullahi Alaihi Ajma'in, Allah Yang Maha Pengasih Meredhai kesemua mereka. 


Kesemua mereka adalah Ulama Ahlus Sunnah yang Mu'tabar, setengah mereka Mujtahid dan setengah yang lain adalah Mujaddid. Mereka adalah Kekasih Allah yang telah mencapai Maqam Tauhid / Ma'rifat yang amat tinggi. Cahaya mereka menyelubungi seluruh pelusuk alam dan tetap bersinar sampai ke saat ini dan akan terus bersinar sampai Qiamat. 


Amat jauh perbezaannya dengan "Ulama" dari kalangan firqah2 sesat. Mereka mengeluarkan fatwa sesuka hati dan mengikut nafsu atau bisikan Iblis ataupun mereka mengeluarkan fatwa sesuai dengan kehendak Pemerintah / Pemimpin. Sesungguhnya mereka tak layak menjadi Mujtahid apa lagi  Mujaddid, amat jauh sekali.  Ini kerana setiap  Mujtahid  dan Mujaddid mempunyai syarat2 yang sangat berat.  Selain dari menguasai sekalian Ilmu2 zahir, syarat terpenting adalah dia mesti orang yang bertaqwa dan mampu berhubung dengan Ketuhanan dan memperoleh pimpinan Rasulullah ﷺ.  


Tanpa petunjuk Allah dan pimpinan Rasul-Nya, maka dia akan mentafsirkan Al-Qur'an dan Hadith serta mengeluarkan fatwa menurut nafsu dan pendapatnya. Maka binasalah dia dan pengikut2nya. Wal Iyazubillah. 


✨🕌✨  Allah Ta’ala berfirman:


وَلاَ تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلاَلٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوا عَلَى اللهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللهِ الْكَذِبَ لاَ يُفْلِحُونَ


Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta “ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung. 

[An-Nahl (16):  Ayat  116]


✨🕌✨ Rasulullah ﷺ bersabda :


"Barang siapa berkata-kata tentang al-Qur'an (tafsir dan ta'wilkan Al-Qur'an) tanpa ilmu, maka hendaklah ia menempati tempat duduknya dari neraka"

[Imam Tirmidzi]


SIRI 69 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


12.8 Fakta- Fakta Terpenting Maqam Tauhid Zat

sambungan...


Fakta ke 12 : Maqam Pewaris Nabi yang Tertinggi


Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat menjadi Mursyid, Pewaris Nabi yang paling tinggi dan sempurna, iaitu sempurna Ma'rifat dan 'Ubudiyyah — sempurna pengabdiannya kepada Allah Ta'ala dan juga sempurna pimpinannya — diKurniakan kemampuan untuk mendidik manusia daripada Tingkatan Tauhid paling rendah sehingga ke setinggi2 Tauhid. 

 

Berikut adalah beberapa catitan penting berkenaan Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq. Sebahagian darinya bersifat pengetahuan umum dan sebahagian lagi merupakan kewajipan bagi Ummat Islam  :


Pertama: Mursyid, Pewaris Nabi adalah Pilihan Allah

Allah Ta'ala yang Maha Berkuasa memilih mereka sebagai Pewaris Nabi. 


✨🕌✨  Firman Allah :

 

ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ


“Kemudian Kami jadikan Al-Kitab (Al-Quran) itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).

[Faathir (35) : Ayat 32]

 

Tafsiran:

Menurut  tafsiran Ulama Ahlus Sunnah  yang di maksudkan dengan “Kitab”   adalah Al-Qur’an, dan maksud ayat Allah  “yang Kami pilih dari kalangan hamba2 Kami” adalah ditujukan kepada   Mursyid / Warisatul Anbiya / Ahli Sufi /  Ahli Ma’rifat, Ulama Arif Billah  yang benar2 kenal Allah dan mencapai martabat Tauhid yang hakiki pada Maqam Tauhid  Zat yang  tahqiq. 


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:


“Orang2 yang berilmu dan hikmah adalah hamba Allah yang sejati yang dipilih-Nya untuk menerima “Risalah-Risalah dari pengajaran-Nya”.   Allah melimpahkan mereka ilmu dan hikmah dan dengan ilmu hikmah itulah mereka menjadi manusia yang lebih tinggi darjatnya dari manusia lain. Mereka berhubung dengan Nabi melalui perasaan yang halus dan dengan aqal yang bijaksana. (baca : Kehalusan Ma’rifat Ilahiyyah atau disebut juga  kasyaf  Ilahiyyah). Allah memuji mereka yang memiliki ilmu Hikmah dengan Firman-Nya :


ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ


 [Tamat nukilan kitab Sirrul-Asrar Fi-ma-Yahtaju Iyahil-Abrar]


Ini suatu penegasan penting:

Setiap Mursyid, Pewaris Nabi adalah pilihan Allah Ta'ala, dan BUKAN pilihan manusia, BUKAN pilihan parti2 politik, BUKAN pilihan Jabatan Agama, BUKAN kehendak mufti, BUKAN kehendak Pemerintah atau lain2nya. Gurunya cuma menzahirkan / isytiharkan petunjuk Allah kepada beliau. Beliau sendiri tiada kuasa apa2 menentukan seseorang yang sudah sampai ke Maqam Khalifah Rasulullah ﷺ dan layak menjadi Pewaris Baginda.


Ke-2 : Definisi Mursyid


Dari segi bahasa :  

Mursyid berasal dari kata rashada yang bermaksud  — memandu, membimbing, mengatur, mengarahkan, menunjukkan, menghantarkan


Dari segi istilah :

Mursyid adalah Pewaris Rasulullah, Pemimpin Ummat yang mewarisi Nabi zahir dan batin yang menunjukki jalan lurus, jalan kebenaran, Jalan Ahlus Sunnah yang benar. 


SIRI 70 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


12.8 Fakta- Fakta Terpenting Maqam Tauhid Zat

sambungan...


Ke-3: Khulafa Ar-Rasyidin adalah Generasi Pertama Mursyid


Sesungguhnya  Khulafa Ar-Rasyidin —  Sayyidina Abu Bakr, Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman, Sayyidina Ali, Ridhwanullah adalah Generasi Pertama Mursyid. 


Kunci memahami hal ini adalah pada ungkapan "Ar-Rasyidin".

Istilah "Ar-Rasyidin"  bermaksud  "Guru2  yang rasyid"  atau Pemimpin2 yang "rasyid"....  yang menunjukki Jalan Lurus dan Jalan Kebenaran, Jalan Ahlus Sunnah yang benar.


Yang dimaksudkan dengan " jalan lurus "  adalah " Jalan Allah " sepertimana yang ditunjukki oleh Rasulullah ﷺ dan pimpinan Baginda ke atas sekalian Sahabat Baginda ﷺ


Generasi Kedua Mursyid yang siddiq (benar) adalah Ulama Tabi'in yang menerima Ijazah kebesaran Mursyid dari Khulafa Ar-Rasyidin yang menerima  isyarat lantikan oleh Allah Ta'ala.  


Generasi Ketiga Mursyid yang siddiq (benar) adalah Tabi'it-Tabi'in yang menerima Ijazah kebesaran Mursyid dari Tabi'in yang menerima  isyarat lantikan oleh Allah Ta'ala.  


Generasi Keempat  Mursyid yang siddiq (benar)  adalah Imam2 /  Shaikh2 kemudian  yang menerima Ijazah kebesaran Mursyid dari Tabi'it Tabi-in yang menerima  isyarat lantikan oleh Allah Ta'ala.  


Generasi Kelima Mursyid yang siddiq dan seterusnya ke bawah dan ke bawah menerima  Ijazah kebesaran Mursyid dari Shaikh yang sebelumnya yang menerima  isyarat lantikan oleh Allah Ta'ala.


Beginilah berlakunya perlantikan Mursyid2 yang siddiq (benar) sepanjang zaman sehingga ke hari ini dan seterus- nya hingga hari Qiamat tiada putus.  Iaitu perlantikan itu semata2 Kurnia Allah kepada seseorang hamba Allah yang telah mujahadah pada waktu yang sangat panjang dengan pimpinan Mursyidnya sehingga dia menewaskan sekalian nafsu2 kejahatan di dalam dirinya, menewaskan nafsu keduniaan, menewaskan tipu daya Iblis dan syaitan sehingga akhirnya sampai ke Hadratul Quddus — Hadrat Tuhan Yang Maha Suci,  sehingga Allah Ta'ala redha serta berkenan mengangkatnya menjadi Warisatul Anbiya / Pewaris Nabi yang siddiq.


Ke-4 : Warisan Terpelihara Keaslian dan kesuciannya


Generasi Mursyid menerima dan memindahkan  Ilmu dan rahsia2 dengan jalan yang sangat murni — yang tetap terpelihara kesuciannya daripada noda dan gangguan nafsu. Dan terpelihara daripada dimasuki Iblis dan kuncu2nya.   Dan terpelihara daripada dipintas oleh mana2 Penguasa Dunia, baik kafir, fasiq atau munafiq.


Kaedah Kesinambungan yang bersifat Rabbani yang membawa petanda khusus Pemeliharaan Allah ke atas Warisan Suci Rasulullah ﷺ.    Keistimewaan Kesinambungan Generasi Mursyid yang memegang AMANAH Rasulullah ﷺ. sebagai Pewaris Nabi adalah terletak pada kaedah penerimaan / perpindahan Ilmu dalam bentuk yang sangat rapi dan terpelihara keasliannya, iaitu :


(1) Penerimaan Ilmu zahir syari'at dengan wasilah Bai'at  (janji setia) dan Talaqqi Musyafahah (berhadapan dan menerima langsung dari lisan Gurunya — yang sambung-menyambung sampai Rasulullah ﷺ  ) 


(2) Penerimaan Ilmu Haqiqat dan Ma'rifat melalui limpahan / tuangan daripada HATI (Mursyid)  ke dalam HATI (murid).  


(3) Penerimaan ilmu  langsung dari Allah — Limpahan Anugerah Nur Allah terus  ke dalam dada Mursyid —  dipanggil  Ilham, firasat, ladunni, khitob,  kasyaf. 


Melalui kaedah berdisiplin, beradab, rapi dan sistematik ini, Ilmu Ahlus Sunnah akan terpelihara sampai Qiamat. Inilah Jalan Lurus, Jalan Kebenaran mutlaq. Barangsiapa bai'at dan berpegang teguh padanya, maka selamatlah dia di dalam Bahtera Rasulullah ﷺ 


Bersambung siri 71  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ 

______________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...