B14: PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 131:


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.17  Dosa Besar ke -17:   Hasad ( حَسَد )

sambungan...


Contoh-contoh hasad / dengki:


Contoh 1:

Hasad / dengki kepada sesama adik beradik. 

Misalnya seorang bapa mengasihi anak tertentu (disebabkan ketaatan dan adab2nya) melebihi anak2 lain. Maka anak2 lain dengki kepada saudara mereka yang mendapat perhatian lebih dari bapa mereka. Bermula dari perasaan tak puas hati dan marah akan menimbulkan kebencian dan berusaha melakukan berbagai cara untuk menzaliminya sehinggalah kepada membunuhnya.


Ini yang terjadi kepada Nabi Yusuf Alaihis Salam yang mendapat perhatian yang lebih daripada Ayahanda Baginda Nabi Yaacob Alaihis Salam berbanding saudara2 yang lain. Maka bangkitlah kemarahan di hati mereka dan merancang untuk menyingkirkan Nabi Yusuf Alaihis-Salam dengan cara membunuh Baginda. 

[Kalimat Allah di dalam  Surah Yusuf (12) : ayat 8-9]


Contoh 2:

Hasad dengki di kalangan pelajar sekolah berlaku ketika seseorang pelajar cemerlang mendapat pujian atau sanjungan daripada Guru-Guru sekolah.  Murid2 yang tidak puas hati melakukan berbagai cara untuk menjatuhkan nama baik pelajar tersebut dengan berbagai cara yang keji sehingga namanya menjadi busuk.  


Contoh 3:

Hasad dengki di kalangan pekerja.  

Apabila seorang pekerja mendapat pangkat lebih tinggi disebabkan  usahanya yang gigih, maka yang lain2 menjadi cemburu, dendam dan dengki.  Mereka seringkali bertanya : "Mengapa dia dapat pangkat tinggi sedangkan aku pekerja lama di sini".  Maka timbullah rasa tidak puas hati. Mereka menaburkan berbagai fitnah terhadapnya sehingga akhirnya nama baik pekerja tersebut menjadi rosak.


Contoh 4:

Hasad dengki di kalangan jiran tetangga.  

Sikap buruk di kalangan setengah manusia adalah tidak senang melihat jiran tetangganya menikmati kehidupan selesa dan baik. Mereka merasakan diri mereka lebih layak menikmati berbagai kelebihan duniawi yang dinikmati oleh jirannya. 


Contoh 5 :

Hasad dengki di kalangan ustaz, muallim, penda'wah.  

Tidak kurang terjadi hasad di kalangan penda'wah, penceramah bahkan setengah Guru2... apabila melihat orang ramai menumpukan kepada Guru tertentu sedangkan dirinya tidak ramai pengikut.  Maka bangkitlah ammarah di hatinya dan ingin agar orang ramai jauhkan daripada Guru tersebut. Mereka melakukan berbagai fitnah dan tuduhan keji sehingga nama Guru tersebut menjadi busuk dan orang ramai lari daripadanya.


Contoh 6:

Hasad di kalangan ahli politik / pemerintah / penguasa.

Parti2 politik sering berebut2 kuasa dan tidak senang melihat parti politik lain berkembang.    Akibatnya mereka saling  "tikam-menikam" dan berusaha sungguh2 untuk menjatuhkan pihak pihak lawan dengan menimbulkan berbagai propaganda jahat, penipuan dan manipulasi keadaan2 tertentu.  Jika mereka berkuasa, mereka akan menggunakan seluruh jentera pentadbiran negara, penguatkuasa dan media untuk menaikkan nama parti mereka dan burukkan nama parti lain.  Inilah malapetaka paling besar bagi ummat Islam.


Perhatikan...!

Cuba perhatikan sungguh2.... Sifat hasad / dengki / iri hati akan sentiasa diiringi oleh perlakuan2 jahat yang  ditimbulkan oleh nafsu dan bisikan syaitan sebagaimana telah dihuraikan terdahulu —  pendustaan, umpatan, adu domba, fitnah dll yang akhirnya menjuruskan kepada penentangan terhadap Taqdir, kefasikan, kezaliman dan kekufuran. Wal Iyazubillah.


SIRI 132 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.17  Dosa Besar ke -17:   Hasad ( حَسَد )

sambungan...


Punca terjadi hasad / dengki:


Apakah punca yang membawa kepada sifat hasad / dengki? 

Punca utama bangkitnya hasad / dengki di dalam diri seseorang adalah kerana jiwanya yang sakit dan kotor atau di suatu peringkat yang paling buruk ianya diselubungi kegelapan. Sebab2 yang bercabang2 dari hati kotor yang  mendorong kepada hasad / dengki adalah beberapa perkara seperti berikut :


Punca hasad 1 :

Merasa diri lebih baik, lebih hebat, lebih tinggi atau lebih mulia. Ini adalah sebahagian daripada sebab2 utama yang mendorong kepada hasad. Apabila sifat2 ini wujud pada diri seseorang, maka akan dipandangnya orang lain tidak layak memiliki sesuatu yang lebih dari apa yang ada pada dirinya.  Inilah sikap iblis yang merasa dirinya bagus dan lebih baik dari Adam. Kesombongan ini menimbulkan hasad terhadap Nabi Adam yang diangkat oleh Allah ke Maqam yang tinggi ( sedangkan Baginda diciptakan kemudian). Maka berkobar-kobarlah sifat dengki di dalam hati Iblis. Iblis bukan sahaja dengki dengan Nabi Adam tetapi juga keturunan Adam, sehingga dia bersumpah di hadapan Allah untuk menyesatkan bani Adam kesemuanya.


💫🕌💫Firman Allah :

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِين

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan buruk/ keji/ma'siat/ mungkar) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas". 

[Al-'Hijr (15) : ayat 39-40]

 

Kisah lain adalah:

Anak2 Nabi Yaacob Alaihis Salam merancang pembunuhan kepada saudara mereka sendiri, Nabi Yusuf Alaihis Salam kerana kedengkian mereka terhadap Baginda.  Mereka merasakan diri mereka lebih baik daripada Nabi Yusuf Alaihis Salam. 


💫🕌💫Firman Allah :

اِذْ قَالُوْا لَيُوْسُفُ وَاَخُوْهُ اَحَبُّ اِلٰٓى اَبِيْنَا مِنَّا وَنَحْنُ عُصْبَةٌ ۗاِنَّ اَبَانَا لَفِيْ ضَلٰلٍ مُّبِيْنٍۙ

"Ketika mereka berkata, “Sesungguhnya Yusuf dan saudaranya (Bunyamin) lebih dicintai ayah daripada kita, padahal kita adalah satu golongan (yang kuat). Sungguh, ayah kita dalam kekeliruan yang nyata."

[Yusuf (12) : ayat 8]


Kisah lain adalah : 

Keengganan Yahudi dan Nasrani untuk beriman kepada Nabi ﷺ kerana kedengkian mereka kepada Baginda ﷺ sedangkan mereka tahu akan kebenaran Baginda. (kedengkian hilangkan kewarasan aqal fikiran yang sihat)


💫🕌💫Firman Allah :

وَدَّ ڪَثِيرٌ۬ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَـٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَـٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدً۬ا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّ‌ۖ

"Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran.

[Al-Baqarah (2) : Ayat 109]


Kisah lain adalah :

Kaum Kafir Quraisy merendah-rendahkan Nabi Muhammad ﷺ dan merasakan diri mereka lebih mulia dan lebih layak menjadi Nabi, lalu mempersoalkan pilihan Allah melantik Baginda Sayyidina Muhammad ﷺ sebagai Nabi.


💫🕌💫Firman Allah :

وَقَالُواْ لَوۡلَا نُزِّلَ هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانُ عَلَىٰ رَجُلٍ۬ مِّنَ ٱلۡقَرۡيَتَيۡنِ عَظِيمٍ 

Mereka (kaum kafir) berkata: (Kalaulah Al-Quran ini menjadi bukti kenabian seseorang, maka) sepatutnya Al-Quran ini diturunkan kepada seorang besar (yang kaya dan berpengaruh) dari salah sebuah dua bandar yang (terkenal) itu.

[Az-Zukhruf (43) : Ayat 31]


SIRI 133 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.17  Dosa Besar ke-17:   Hasad ( حَسَد )

sambungan...


Punca hasad ke-2:

Berpunca dari pergaduhan dan permusuhan.

Seringkali sejarah permusuhan di antara invidu atau antara dua keluarga menjadi asbab kedengkian. (Dan kadangkala terbalik,  kedengkian menerbitkan permusuhan dan pergaduhan).   Orang yang mempunyai sejarah permusuhan dengan seseorang tidak senang musuhnya mendapat nikmat dan kebaikan2 duniawi. Jiwanya sakit melihat musuhnya senang lenang dan hidup riang.  Orang ini seringkali mengambil jalan pintas untuk hapuskan musuhnya dengan berbagai cara yang keji.


Punca hasad ke-3 :

Tamak haloba.

Tamak dan rakus kepada dunia membangkitkan kedengkian.  Orang yang di dalam jiwanya mempunyai sifat tamak haloba dan cinta kepada dunia sentiasa ingin memiliki apa sahaja yang dimiliki orang lain, maka timbullah kedengkian di dalam hatinya


Punca hasad ke-4: 

Tidak syukur dan Kufur Ni'mat.  

Ada di kalangan manusia tidak tahu syukur kepada Ni'mat2 Allah yang tersangat banyak kepadanya.  Setiap hari Allah Ta'ala Kurniakan ni'mat nafas, makan minum dan dapat beribadah kepada Allah.  Mereka tidak syukur kepada Allah, sebaliknya hanya melihat ni'mat pada orang lain.  Akibatnya timbullah kedengkian.


Punca hasad ke-5:

Ingin kemasyhuran dan nama dijulang.  

Keinginan untuk menjadi terkenal dan masyhur di mata masyarakat mengatasi orang lain sering mendorong seseorang menjadi dengki dengan pencapaian orang lain. 


Punca hasad ke-6:

Ingin menjadi ketua / pemimpin / penguasa.  

Hal ini sering terjadi di dalam mana2 perkumpulan atau jemaah2 termasuk jemaah2 yang bergerak atas nama Islam sekalipun.  

■ Di dalam jemaah Islam, berlaku perlumbaan ingin menjadi Amir, Rois, Presiden.

■ Di dalam jemaah Ahli Zikir, ada yang bercita2 ingin mencapai kedudukan tinggi atau menjadi khalifah, Amir, Mursyid sedangkan semua ini batil.  

■ Didalam parti2 politik, mereka saling bergaduh untuk menjadi ketua bahagian, calon wakil rakyat dan Presiden. Mereka mencari berbagai jalan untuk menjatuhkan seseorang dan mengangkat dirinya menjadi pemimpin.

■ Parti2 politik secara umum pula terang2 berdengki2an dan bermusuhan mencapai kemenangan dan kekuasaan. Mereka saling berdengki dan tidak rela melihat parti lain berkuasa.  


Demikianlah sebahagian besar dari punca2 terjadinya hasad / dengki yang bercabang2.... yang terbit dari nafsu2 keji dan bisikan Syaitan.  


Cuba perhatikan baik2 : sifat hasad ini mempunyai kaitan rapat dengan sifat2 keji yang lain khususnya sifat takabbur dan cinta dunia pangkat kedudukan.  Kemudian sifat hasad ini juga menjadi sebahagian dari asbab terbitnya sifat keji lain seperti tajassus, dusta, khianat, fitnah dan pembunuhan. Wal Iyazubillah. 


SIRI 134 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.18  Dosa Besar ke -17:   Hasad ( حَسَد )

sambungan...


Kesan buruk Hasad


Manusia yang gemar hasad / dengki / iri hati akan menghadapi berbagai kesan buruk kepada otaknya, tubuh badannya dan kehidupan seluruhnya. 


(1) Pemikiran dan jiwa menjadi kusut, kacau bilau tiada ketenteraman.


(2) Masa terbuang kerana sentiasa memikirkan cara jatuhkan orang lain.


(3) Kecewa, rendah diri dan putus asa kerana sentiasa melihat orang lain yang mempunyai kelebihan2 mengatasi dirinya sedang dia sendiri lemah dari mencapainya.


(4) Hasad membawa kepada kemusnahan persaudaraan dan perpecahan kesatuan masyarakat.


(5) Hasad menarik seseorang kepada dosa2 besar yang lain — kemarahan melampau, dendam, mengumpat, jahat sangka, caci maki, fitnah dan pembunuhan.


(6) Amal ibadah musnah bagaikan api memakan kayu.


(7) Orang yang gemar hasad atas Ni'mat Allah yang wujud pada manusia lain pada hakikatnya dia telah menentang Taqdir, Ketentuan Allah.


(8) Orang yang terus-menerus di dalam melakukan perbuatan hasad adalah orang yang kufur Ni'mat Allah.


(9) Orang yang gemar melakukan hasad menjadi teman syaitan.


(10) Kehilangan Rahmat Allah dan Keampunan-Nya melainkan dia bertaubat dengan Taubat Nasuha.


(11) Kedengkian di kalangan elite, golongan berada,  pemimpin2 politik, penda'wah2, orang alim yang mengajar, cerdik pandai Agama yang berbahas2 dan lain2 seperti mereka adalah lebih besar akibatnya kepada masyarakat dan negara.  


SIRI 135 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.18  Dosa Besar ke -17:   Hasad ( حَسَد )

sambungan...


Pengecualian — Hasad yang diharuskan:


Kita telah paparkan dengan jelas :  Hasad pada umumnya haram dan membawa dosa besar serta kebinasaan amal ibadah dan menjerumuskan seseorang kepada kekufuran.  Kecuali.. ada satu bahagian kecil "hasad" yang diharuskan.  Hasad yang diharuskan ini bukan hasad pada hakikatnya tetapi disebut "hasad"  sebagai majaz (bayangan) sahaja atau disebut ghibtoh    ( الغبطة) — hasad yang terpuji.  Atau sama saja disebut  (   فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٲتِ‌ ) — berlumba2 melakukan kebajikan.


Pertama:

Orang yang diKurniakan oleh Allah harta, lalu dia melakukan kerja2 kebajikan / infakkan hartanya pada jalan Allah. 


Kedua :

Orang yang diKurniakan oleh Allah ilmu Agama / Ilmu Hikmah / Ilmu Al-Qur'an lalu dia manfaatkan ilmunya dengan sungguh2 mengamalkannya dan mengajarkan pula Ilmu Agama kepada orang lain.


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :


لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِى اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِى الْحَقِّ ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ ، فَهْوَ يَقْضِى بِهَا وَيُعَلِّمُهَا

“Tidak boleh hasad kecuali pada dua perkara (dua macam orang) :  orang yang Allah Anugerahkan padanya harta lalu dia belanjakannya pada jalan kebenaran. Dan orang yang Allah Anugerahkan kepadanya Hikmah lalu dia menunaikan berhukum dengannya dan mengajarkannya.”

[Imam Bukhari, Imam Muslim]


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :


لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يَقُومُ بِهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَهُوَ يُنْفِقُهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ

"Dilarang hasad kecuali pada dua perkara (dua macam manusia):   hasad  terhadap seseorang yang Allah Kurniakan ilmu al-Qur’an dan dia membacanya sepanjang malam dan siang, dan hasad terhadap seseorang yang Allah Kurniakan harta dan dia infakkannya sepanjang malam dan siang."

[Imam Bukhari, Imam Muslim]


✨🕌✨Firman Allah :

فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٲتِ‌ۚ أَيۡنَ مَا تَكُونُواْ يَأۡتِ بِكُمُ ٱللَّهُ جَمِيعًا‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬

"Maka berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari Qiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

[Al-Baqarah (2): Ayat 148]


Kata Imam Nawawi :

“Para ulama membahagi hasad menjadi dua macam, yaitu hasad hakiki dan hasad majazi.  Hasad hakiki adalah seseorang berharap nikmat orang lain hilang. Hasad seperti ini diharamkan berdasarkan ijma' Ulama kerana dan adanya dalil tegas yang menjelaskan hal ini. Adapun hasad majazi, yang dimaksudkan adalah ghibthoh.  Ghibthoh adalah berangan-angan agar mendapatkan nikmat seperti yang ada pada orang lain tanpa mengharapkan nikmat tersebut hilang. Jika ghibthoh ini dalam hal dunia itu dibolehkan, maka  ghibthoh ini dalam hal ketaatan, maka itu dianjurkan. Sedangkan maksud dari hadith di atas adalah tidak ada ghibtoh (hasad yang disukai) kecuali pada dua hal atau yang semakna dengan itu.

[Syarah Sahih Muslim]


Perhatian: 

Waspada! 

Di dalam hal perlumbaan mencari harta. Meskipun terlepas dari hasad, mungkin terjadi  penyelewengan hati yang lain pula, seperti : Ingin menunjuk2, ingin mendapat pujian lebih dari manusia, inginkan kemasyhuran dsb. Wallahu A'lam


SIRI 136 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.18  Dosa Besar ke -17:   Hasad ( حَسَد )

sambungan...


Rawatan dan Penjagaan:


(1) Menyedari dengan penuh keyakinan bahawa perbuatan hasad merugikan diri sendiri, dunia Akhirat. Di dunia kamu akan sengsara dan di Akhirat kamu termasuk manusia yang tidak mendapat Ihsan Allah Ta'ala.


(2) Menyedari bahawa hasad (sebagaimana juga penyakit hati yang lain) memakan segala amal kebaikan sehingga kamu akan menjadi manusia muflis, yang tiada apa2 bekal bawa pulang.


(3) Menyedari bahawa sesungguhnya syaitan telah menipu daya kamu dan menimbulkan permusuhan dengan saudara Muslim yang lain.


(4) Mengisafi bahawa hasad kamu terhadap orang diKurniakan oleh Allah rezeki tidak akan menarik rezeki yang sememangnya telah ditetapkan oleh Allah kepada orang itu. Ertinya kamu melakukan perbuatan sia-sia yang amat disukai Syaitan.


(5) Menginsafi bahawa perlakuan hasad adalah menentang Taqdir dan tidak redha dengan Kehendak Allah Ta'ala yang memberi Ni'mat tertentu kepada hamba2-Nya. Dan ini perlakukan orang kafir, bukan orang beriman.


(6) Menginsafi besarnya bahaya hasad yang boleh mendorong kamu kepada menyerang dan melakukan pembunuhan, dan ini kebdohan yang amat terang. Hanya manusia dungu yang tidak beraqal akan melakukannya.


(7) Insaflah bahawa di dalam sejarah kehidupan manusia, tiada seorang pun yang berhasad terhadap manusia lain, melainkan mereka mati di dalam kesengsaraan.  Ini kerana bermula dari hasad, akan timbul penyakit2 lain — kemarahan, kebencian, dusta, fitnah, adu domba, permusuhan, kezaliman sehinggalah kepada pembunuhan.


(8) Melatih diri luaskan pandangan dan lunakkan hati melihat suatu rezeki yang ada pada seseorang itu sebenarnya adalah Kurniaan Allah kepadanya. Maka pada ketika itu kamu tidak melihat makhluq tetapi melihat Khaliq Yang Maha Memberi Rezeki, maka tenanglah hati kamu. 


(9) Melatih diri mengubah perasaan hasad kepada perasaan syukur melihat ni'mat yang ada pada orang lain. Walaupun pada permulaannya ia agak sukar, namun lama kelamaan akan menjadi kebiasaan yang kemudiannya akan berubah menjadi tabi'at yang mulia.


(10) Melatih melihat aib diri. Lihat  betapa banyaknya dosa2 kamu dan berkata di dalam hati bahawa orang lain lebih baik dari kamu,  sebab itu Allah Ta'ala Kurniakan rezeki yang lebih kepada mereka.


(11) Lazimkan insafi diri bahawa kurangnya Ni'mat yang Allah Kurniakan kepada kamu berbanding dengan manusia adalah demi kebaikan diri kamu sendiri. Barangkali kamu menjadi sombong dan zalim sekiranya Allah Kurnikan kepada kamu kelebihan2 duniawi sebagaimana binasanya kebanyakan manusia yang kaya-raya, hartawan dan Raja2.  Mereka lupa diri, sombong, tamak, rakus, zalim dan kafir apabila Allah Ta'ala Kurniakan kepada mereka kuasa dan harta yang banyak.


(12) Latih diri syukur dan redha dengan segala Kurniaan Allah kepada kamu. Katakan : "Ini yang terbaik bagiku yang Allah Ta'ala tentukan",  maka ketika itu kamu akan melihat dunia yang sempit menjadi luas seluas2nya.


SIRI 137 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.19  Dosa Besar ke -18: Marah (  غَضَب )


Definisi :


Dari segi bahasa : 

( Ghadhab ) berasal dari perkataan    (  غَضَب ),  (يَغْضبُ ),  ( غَضَبٌ ) bererti panas hati, amuk, berang, naik pitam, ammarah


Dari segi istilah :

( Ghadhab ) adalah  menggelegak dan berontaknya hati ketika dihadapkan dengan suatu hal yang berlawanan dengan kehendaknya atau berlawanan dengan pegangannya atau sesuatu yang tidak disenangi. 


Penjelasan


(1) Marah adalah luapan perasaan yang terbit dari hati yang mendidih pada saat seseorang menghadapi suatu hal yang tidak disukainya atau ketika hal tersebut mencabar keyakinannya atau mencabar maruahnya. 


(2) Sifat marah wujud pada kebanyakan manusia termasuk anak kecil yang belum mengerti apa2 tentang kehidupan. Anak kecil akan marah ketika dia dihadapkan dengan suatu yang dia tidak suka.


(3) "Sifat marah secara umum" yang wujud pada kebanyakan manusia adalah bersifat subjektif, iaitu keadaan kemarahan ini boleh jadi terkawal dan reda menjadi tenang. Atau boleh juga menjadi  "kemarahan yang tidak terkawal" yang mengakibatkan keburukan pada dirinya atau orang lain.  Jenis kesan ini bergantung kepada diri orang yang marah dan suasana keliling yang mempengaruhinya. 


(4) Apabila disebut  "Orang yang Pemarah", maka pengertian ini adalah spesifik, yang tertuju khas kepada orang tertentu yang sememangnya terkenal dengan sifat "panas barannya". 


(5) Menurut pertimbangan Agama terdapat dua macam "marah" dan "kemarahan".  

Pertama : Marah yang terpuji / marah kerana Allah. Ini adalah marah yang terkawal yang bertujuan mendirikan hak2 Allah atas muka bumi. (mendirikan hukum-hakam Syari'at).   

Kedua : Marah yang dikeji. Kemarahan ini terhasil dari nafsu ammarah atau bisikan Syaitan.


(6) Marah dan kemarahan yang bahaya kepada Iman dan amal serta membawa kepada dosa besar adalah kemarahan meluap2 yang bangkit dari nafsu ammarah atau bisikan syaitan.


SIRI 138 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.19  Dosa Besar ke -18:   Marah (  غَضَب )

sambungan...


Dalil-Dalil larangan marah


✨🕌✨Firman Allah Ta'ala :

 ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلۡڪَـٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ‌ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ 

"Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik."

[Aali Imran (3) : Ayat 134] 


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

"(Berkata seseorang) : " Wahai Rasulullah, ajarkan aku dengan amal kebaikan dan sedikitkanlah. Maka Baginda menjawab : "Jangan engkau marah".

[Imam Bukhari]


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

“(seseorang berkata) : Ya Rasulullah berilah aku wasiat”. Baginda menjawab, “Janganlah engkau marah".  Orang itu mengulangi permintaannya berulang-ulang, kemudian Nabi  bersabda: "Janganlah engkau marah" 

[Imam Bukhari]


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

"Sesungguhnya marah (yang bangkit dari nafsu ammarah) itu daripada syaitan."

[Imam Abu Dawud]


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

"Marah itu merosak Iman, seperti buah pahit merosakkan madu."

[Imam Ath-Thabrani]


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

"(Sayyidina Abu Darda bertanya) : "Wahai Rasulullah, tunjukkan aku kepada amal yang memasukkan aku ke dalam Syurga ". Rasulullah menjawab : "Jangan engkau marah."

[Imam Ath-Thabrani]


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

"(Seseorang bertanya) : "Apakah yang dapat menjauhkan aku dari Kemurkaan Allah?", Baginda menjawab : "Jangan engkau marah."

[Imam Ahmad]


Larangan "marah" di dalam Ayat Al-Quran dan Hadith Nabi di atas adalah berkenaan "marah yang dicela", kemarahan yang bangkit dari nafsu ammarah, api kepanasan naik ke otak dan hilangkan kewarasan aqal.  Marah dan kemarahan jenis ini yang membawa akibat buruk kepada diri, keluarga dan masyarakat manusia sekaliannya.


SIRI 139 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.19  Dosa Besar ke -18:   Marah (  غَضَب )

sambungan...


Contoh2 kemarahan tercela:


Contoh 1:

Seorang bapa memukul anaknya sehingga badan anaknya berbekas dengan pukulan.


Contoh 2:

Seorang ibu tersangat marah kepada anaknya sehingga mendoakan agar anaknya ditimpa kecelakaan.


Contoh 3:

Seorang Majikan marah kepada pekerjanya lalu memecatnya semata2 kerana kesalahan kecil.


Contoh 4:

Adik beradik marah dan bergaduh kerana merebutkan harta.


Contoh 5 :

Jiran tetangga bermasam muka kerana perselisihan kecil.


Contoh 6:

Penda'wah marah dan bergaduh dengan penda'wah lain kerana cemburu melihatnya lebih ramai pengikutnya dan lebih terkenal.


Contoh 7:

Parti politik bergaduh dan masing2 melemparkan tuduhan buruk, fitnah, adu domba.


Contoh 8:

Pegawai polis melepaskan kemarahan kepada orang awam dengan memukul mereka sesuka nafsu.


Contoh 9:

Penguatkuasa menzalimi dan menindas orang awam.


Contoh 10:

Raja / Sultan / Perdana Menteri / Presiden marah kepada penda'wah yang sampaikan kebenaran, seringkali berakhir dengan penangkapan dan penyiksaan di Penjara. 


Demikian sebahagian contoh2 yang benar2 berlaku di dalam kehidupan manusia. Selagi manusia mempunyai naluri dan nafsu keinginan, maka selagi itulah akan berlaku berbagai keburukan kesan dari "marah" dan "kemarahan" yang tercela.   Di dalam semua kejadian di atas ada beberapa kunci penting untuk diperhatikan


1. Kemarahan tersebut timbul dari desakan nafsu ammarah (nafsu jahat) dan bukan pertimbangan aqal yang waras. Jauh sekali untuk dikatakan datang dari cahaya Keimanan.


2. Lazimnya seseorang berani memarahi orang lain apabila dia mempunyai kedudukan dan kuasa yang lebih daripada orang yang dimarahinya.


3. Lazimnya kemarahan jenis ini datang dari sifat2 buruk di dalam hati —  takabbur, menyombong diri, ingin menunjuk2 kuasanya.


4. Terjadi unsur2 menzalimi orang lain.


5. Menimbulkan berbagai sifat keji yang lain — pendustaan, adu domba dan fitnah.


6. Kemarahan melampau akan mengheret kepada pergaduhan mulut, kemudian pergaduhan dengan kekuatan dan tidak kurang berakhir dengan pembunuhan. 


7. Orang yang lemah yang menjadi mangsa kemarahan dan kezaliman seringkali menyimpan dendam dan akan membalasnya dengan cara2 lain secara kolektif. Misalnya rakyat yang marah dengan penindasan dan kezaliman,  tak mampu melepaskan kemarahan. Tetapi sampai masanya mereka akan bangkit secara kolektif untuk menghukum pemimpin2 yang telah menzalimi mereka. Apabila ini terjadi negara menjadi huru-hara, kehidupan porak-poranda, ekonomi berantakan.


SIRI 140 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.19  Dosa Besar ke -18:   Marah (  غَضَب )

sambungan...


Punca marah / kemarahan:


Mengapakah manusia suka marah (kemarahan yang dicela)?

Apakah yang menggerakkan seseorang kepada kemarahan ini?

Apakah punca sebenar seseorang menjadi pemarah, panas baran dan mengamuk tanpa kawalan?


Punca utama sudah tentu dari hatinya yang berpenyakit. 

Nafsu Ammarah dan syaitan meniupkan api kemarahan ke dalam hati yang berpenyakit. Angin dan api kepanasan naik ke otak dan menguasainya sehingga hilang kewarasan berfikir.  Jika tiupan angin dan api kepanasan sangat kuat, maka penguasaan pada aqal juga semakin kuat cengkamannya. Kemuncak tiupan api kepanasan... seseorang akan "hilang kawalan diri", "panas baran", dan "mengamuk" tidak menentu.  


Perincian kepada perkara2 yang mendorong kepada tiupan api kemarahan :


(1) Sifat Takabbur.

Orang2 yang mempunyai sifat Takabbur sangat cepat marah kerana merasa diri lebih baik dan lebih mulia sedangkan orang lain dipandang hina dan layak dimarahi.


(2) Kemegahan keluarga bangsawan, kaya-raya, 

Orang2 yang berasal dari keluarga ternama, kaya-raya dan mempunyai kedudukan merasakan diri mereka hebat dan layak memarahi orang miskin dan lemah.


(3) Kemegahan kerana keturunan 

Orang bermegah dengan keturunannya memandang rendah pada orang lain dan mudah menunjukkan kemarahan.


(4) Pemerintah / orang memegang kuasa.

Pemimpin2 negara yang hatinya kotor dan berpenyakit bermegah dengan kuasa mereka dan seringkali melemparkan kemarahan serta kezaliman terhadap rakyat.  


(5) Tabi'at suka berkelahi dan bermusuhan

Setengah manusia memang tabi'atnya suka mencari permusuhan dan berkelahi. 


(6) Ingin menunjuk2 dirinya kuat 

Orang yang mempunyai "kekuatan" fizikal rasa dirinya hebat dan gemar memarahi orang yang lemah.


(7) Anggap bahawa marah itu keberanian.

 Sesetengah menganggap "marah" itu bagus untuk menunjukkan bahawa dirinya berani. Ini adalah kebodohan dari tipu daya Syaitan.


Kata Imam Ghazali :

"Di antara penggerak yang sangat keras kepada "kemarahan" pada kebanyakan orang bodoh ialah : panggilan mereka kemarahan itu dengan keberanian, kemuliaan diri dan cita2 tinggi. Dan terkadang dikuatkan demikian dengan kisah2 kemarahan orang besar2. Penamaan diri mereka dengan kemuliaan dan keberanian itu penyakit hati yang berat dan kekurangan aqal.

[Ihya Ulumuddin]


Bersambung siri  141  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

       🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳 

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...