B39 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 381 : 


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-50 : Banyak Bertanya (tanpa keperluan)

..... sambungan.....


Dalil 2: Firman Allah


َاِذْ قَالَ مُوْسٰى لِقَوْمِهٖٓ اِنَّ اللّٰهَ يَأْمُرُكُمْ اَنْ تَذْبَحُوْا بَقَرَةً  قَالُوْٓا اَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا  قَالَ اَعُوْذُ بِاللّٰهِ اَنْ اَكُوْنَ مِنَ الْجٰهِلِيْنَ

"Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya, “Allah memerintahkan kamu agar menyembelih seekor sapi betina.” Mereka bertanya, “Apakah engkau akan menjadikan kami sebagai ejekan?” Dia (Musa) menjawab, “Aku berlindung kepada Allah agar tidak termasuk orang-orang yang bodoh.”

[Al-Baqarah (2) : Ayat 67]


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

Perintah Allah ini adalah berkenaan "sapi" (yang Allah Perintahkan supaya disembelih ketika kaum Nabi Musa datang menghadap Baginda untuk menyelesaikan suatu persengketaan di kalangan mereka).  Iaitu mana-mana sapi (tanpa menentukan sifat-sifat tertentu).  Tetapi mereka persendakan jawapan Nabi Musa. Lalu Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada termasuk orang jahil, iaitu Allah melarangku dari mengejek orang beriman".

 (Kaum Nabi Musa ingkar untuk mematuhi Perintah Allah segera dan meneruskan pertanyaan demi pertanyaan)

[Tafsir Ibn Abbas]


Asbab-an-Nuzul (sebab turun ayat)

Peristiwa yang disebut pada ayat ini dan ayat-ayat berikutnya (Surah Al-Baqarah ; ayat 67-74) adalah berkenaan kedegilan kaum Yahudi untuk mematuhi segera Perintah Allah dan banyak pertanyaan mereka ketika suatu Perintah Allah diturunkan.  Ketika Allah Ta'ala Memerintahkan supaya mereka menyembelih seekor sapi (mana-mana sapi), mereka enggan, sebaliknya mereka minta Nabi Musa supaya berdoa kepada Allah untuk menunjukkan sifat-sifat sapi tersebut. 


Mereka bertanya soalan demi soalan berkenaan sifat-sifat sapi yang dimaksudkan; keadaannya, warnanya, tua atau muda dan apa hakikat sapi yang dimaksudkan.... sehingga menyusahkan diri mereka untuk mencari sapi yang dimaksudkan dan hampir-hampir gagal menyempurnakan Perintah Allah berkenaan.  Sedangkan jika mereka menunaikan segera Perintah Allah supaya sembelih mana-mana Sapi (tanpa banyak bertanya sifat-sifat khusus) maka memadai bagi mereka sebagai hamba Allah yang taat.  Tetapi sebagaimana perangai mereka degil, keras kepala dan banyak bertanya akhirnya mereka menyusahkan diri mereka untuk menyempurnakan Perintah Allah.


Awal kisah adalah ketika seorang kaya di kalangan Bani Israel terbunuh, mereka bersengketa sesama mereka untuk mengetahui pembunuh sebenar.  Oleh kerana berlaku tuduh-menuduh, maka mereka memutuskan untuk bertemu Nabi Musa Alayhis-Salaam untuk mendapat jawapan.  Nabi Musa memohon kepada Allah Ta'ala dan mendapat Perintah supaya mereka menyembelih seekor sapi (mana-mana sapi), tetapi mereka enggan menerima segera Perintah Allah sebaliknya mereka bertanya dan bertanya lagi berterusan — menunjukkan keingkaran dan kekufuran mereka.

[Rumusan ringkas dari beberapa tafsir terkemuka]



SIRI 382 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-50 : Banyak Bertanya (tanpa keperluan)

..... sambungan.....


Berkata Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu 'anhu:

"Dan ingatlah wahai Rasul yang paling sempurna dan orang-orang Mukmin menjadi pengikutmu, mengenai buruknya perlakuan dan kejinya perbuatan Bani Israel terhadap Nabi Musa Alayhis-Salaam.  Mereka membantah secara bodoh dan keras kepala apa yang dibawa Musa dari Sisi Allah Ta'ala.  Padahal peringatan ini disampaikan agar mereka ingat dan faham bahawa Iman kepada seorang Nabi mewajibkan untuk tunduk dan taat kepada-Nya, tidak membantah dan mendebat dengan Nabi, sebaliknya mencintai dan menyerahkan segala persoalan kepada Allah melalui dirinya (Nabi yang diutus).  Ini wajib dipatuhi dengan sempurna agar rahsia Rububiyyah (Ketuhanan), Ubudiyyah (kehambaan, pengabdian diri), Nubuwaah (Kenabian), Risalah (Kerasulan), Tasyri' (hukum-hakam Syara' ), Taklif (beban hukum Syara'), Tawassul (permohonan pertolongan Allah melalui kekasih Allah), taqarrub (penghampiran kepada Allah) dan wusul (sampai kepada Allah, sampai kepada maqam-maqam Tauhid hakiki) menjadi sempurna.

[Tafsir Jilani]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu 'anhu:

"Kata-kata kaum Bani Israel ketika Nabi Musa Alayhis-Salaam menyuruh mereka sembelih seekor sapi (iaitu perintah Allah yang Baginda terima dari Allah), mereka berkata: ( تَتَّخِذُنَا هُزُوًا ) "adakah engkau hendak menjadikan kami sebuah ejekan?".  Jelas sekali ucapan mereka menunjukkan betapa buruknya keyakinan mereka terhadap Nabi Musa Alayhis-Salaam (dan betapa keji dan jahat terhadap wahyu yang Allah turunkan).  Tidak benar keimananan seseorang yang telah melihat sendiri Mukjizat yang terjadi di hadapan mereka secara nyata, lalu Nabi mereka berkata : "Sesungguhnya Allah Ta'ala telah Memerintahkan kamu berbuat hal ini".  lalu mereka menjawab dengan kata-kata, "apakah engkau ingin mengejek kami?".  Jika ucapan seperti ini diungkapkan oleh seseorang dari Ummat Nabi Muhammad ﷺ, maka dia sudah dianggap kafir. (kerana menentang Perintah Allah dan tidak percaya kepada Nabi yang diutus). 

[Tafsir Qurtubi]



SIRI 383 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-50 : Banyak Bertanya (tanpa keperluan)

..... sambungan.....



Penjelasan Tambahan:

Kisah Bani Israel yang Allah Ta'ala Sampaikan kepada Rasulullah ﷺ dan orang-orang beriman seluruhnya mempunyai pengajaran yang amat banyak, di antaranya:


(1) Dialog yang terjadi antara Nabi Musa Alayhis-Salaam dengan Allah Ta'ala ketika Bani Israel datang menghadap Baginda untuk mendapat jawapan kepada persengketaan di kalangan mereka dan untuk mengetahui pembunuh sebenar yang membunuh orang kaya di kalangan mereka... adalah sebesar-besar bukti nyata kepada manusia akan Kewujudan Allah Yang Maha Kuasa, yang secara langsung menjawab pertanyaan-pertanyaan manusia pada saat itu. Ertinya Wujud suatu Kuasa Luar Biasa yang Menciptakan manusia dan dunia seisinya, Yang Maha Mentadbir segala makhluq-Nya, Yang Maha Mengetahui sekalian yang nyata dan yang tersembunyi sehingga tiada suatu keraguan pun akan Kewujudan-Nya dan Keperkasaan-Nya.  Manusia yang paling jahil pun akan mampu memahami sekalian keterangan ini. 


(2) Seluruh peristiwa ini, mulai dari permohonan Nabi Musa Alyhis-Salaam kepada Allah Ta'ala sehingga orang kaya dari Bani Israel yang mati lalu hidup kembali setelah dipukul dengan tulang sapi yang telah disembelih dan dia menceritakan siapa nama orang yang membunuhnya lalu mati kembali... semua ini menunjukkan Ke-Agungan Mukjizat yang Allah Ta'ala Kurniakan kepada seseorang Rasul dan sekaligus membuktikan kebenaran Utusan Allah yang Allah Ta'ala Zahirkan kepada manusia untuk membawa berita gembira dan menakutkan kepada manusia.  Tiada alasan apa pun kepada manusia untuk ingkarinya.  Hanya manusia yang lebih kafir dari Iblis enggan mempercayainya.


(3) Sulton Auliya Imam Jilani Radhiallahu anhu menambah dalam Tafsir beliau : Bahwa untuk sampai kepada Allah, ertinya mencapai Keimanan sejati dan menjadi Mukmin yang di-Redhai Allah, wajib atas setiap Muslim mendengar dan patuh segala Perintah Allah dan Rasul-Nya serta jauhi sama sekali bantahan-bantahan dan pertanyaan-pertanyaan yang banyak sehingga akhirnya binasakan diri.


Apa yang beliau maksudkan, kisah ini bukan hanya terhad pengajarannya kepada orang beriman yang hidup bersama Rasulullah ﷺ tetapi melangkaui zaman Baginda kepada zaman-zaman berikutnya sampai Qiamat.  Ertinya setelah kewafatan Rasulullah ﷺ, wajib atas Ummat Islam mematuhi dan mengikuti Pewaris-pewaris Rasulullah ﷺ yang membawa Perintah Allah dan Rasul-Nya.  Merekalah Imam, Shaikh, Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.


Ummat Islam seluruhnya adalah jahil pada permulaannya.  Mereka tak kenal Allah.  Mereka jahil berkenaan Ketuhanan dan kehambaan.  Mereka tidak mengetahui penyakit-penyakit hati yang merosak keimanan dan ibadah mereka.  Oleh kerana itu mereka wajib mencari Mursyid Pewaris Nabi Sebenar yang mewarisi Ilmu dan amal Nabi zahir dan batin.  Mereka wajib berpegang teguh kepada mereka dan mengikuti nasihat dan arahan mereka untuk mencapai keimanan sejati. 


Barangsiapa telah di-Kurniakan oleh Allah Petunjuk ke dalam hatinya kepada seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dengan keyakinan yang penuh di dalam hatinya, maka wajib baginya mematuhi segala arahan dan pimpinannya bagi mencapai Keimanan dan Ketaqwaan yang hakiki.  Barangsiapa berlengah dari yang demikian, ertinya mereka sering membantah-bantah (sepertimana yang dilakukan oleh golongan Bani Israel) mereka akan terkandas di dalam perjalanan menuju Allah dan yang lebih bahaya lagi terkena istidraj.  Wal Iyazubillah.



SIRI 384 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-50 : Banyak Bertanya (tanpa keperluan)

..... sambungan.....



Dalil 3 : Rasulullah bersabdaﷺ:


   فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِيْنَ مَنْ قَبْلَكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلاَفُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ  


“Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu binasa kerana banyak bertanya dan berselisih dengan para Nabi” 

[Imam Bukhari dan Imam Muslim]


Dalil 4 : Rasulullah bersabdaﷺ:


إِنَّ أَعْظَمَ الـمُسْلِمِينَ جُرْمًا، مَنْ سَأَلَ عَنْ شَيْءٍ لَمْ يُحَرَّمْ، فَحُرِّمَ مِنْ أَجْلِ مَسْأَلَتِهِ.


“Sesungguhnya sebesar-besar kejahatan bagi orang-orang Islam adalah yang bertanya tentang sesuatu yang belum diharamkan, lalu diharamkan disebabkan oleh pertanyaannya.”

[Imam Bukhari, Imam Muslim]


Dalil 5 : Rasulullah bersabdaﷺ:


 وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ -رَحْمَةً بِكُمْ غَيْرَ نِسْيَانٍ- فَلَا تَسْأَلُوا عَنْهَا


“Dan (apabila Allah dan Rasul-Nya) mendiamkan sesuatu (dengan tidak menjelaskan hukumnya) adalah Rahmat bagi kamu semua, dan bukan kerana lupa.  Maka janganlah kamu semua bertanyakan tentangnya.”

[Imam Baihaqi, Imam Haakim, Imam Daruquthni]


Penegasan Hadith pertama dan mafhum daripada Hadith-hadith berikutnya, menunjukkan dahsyatnya akibat banyak bertanya, iaitu: Kebinasaan...! 


Banyakkan pertanyaan berkenaan suatu ibadah atau suatu perintah bermaksud keingkaran menunaikan suatu Perintah Allah yang mengheret kepada dosa-dosa besar tanpa disedari.  Inilah yang terjadi kepada kaum Bani Israel ketika mereka didatangkan suatu perintah, mereka akan mendebat Nabi-Nabi mereka, menimbulkan provokasi dan bantahan-bantahan yang akhirnya membawa kebinasaan mereka.



Sebab-sebab manusia suka banyak bertanya (yang tak perlu)

===========================================

Punca seseorang gemar bertanya hal-hal yang tak perlu pada Agama dan tak perlu untuk melakukan ketaatan:


(1) Orang ini mempunyai penyakit hati yang serius, iaitu gemar berbantah-bantah dan suka bergaduh.


(2) Sememangnya dia ingkar kepada suatu perintah, maka dia sengaja berpusing-pusing supaya dia terlepas dari kewajipan.


(3) Merasakan dirinya hebat apabila kemukakan berbagai pertanyaan.



SIRI 385 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-50 : Banyak Bertanya (tanpa keperluan)

..... sambungan.....



Akibat banyak bertanya (yang tak perlu)

=============================


(1) Menyusahkan diri untuk menunaikan suatu kewajipan.


(2) Membawa kepada dosa besar kerana salah adab dengan Allah, Rasul dan Pewaris Rasul yang memimpin manusia kepada Allah. 


(3) Mengheret kepada kesesatan dan kekafiran.  Wal Iyazubillah


Ertinya mereka yang enggan menunaikan perintah Allah dengan segera sebaliknya mereka berpusing-pusing dengan pertanyaan demi pertanyaan akhirnya akan jatuh kepada kesesatan dan kekafiran.  Setengah mereka yang ingkar ini tidak menunjukkan keingkaran secara terang-terangan tetapi mereka melakukan helah (menipu daya) agar mereka terlepas dari suatu kewajipan dan terlepas dari suatu hukuman akibat melanggar Perintah Allah.  Namun perbuatan mereka makan diri.  Mereka cuba menipu Allah, sedangkan hakikatnya mereka menipu diri sendiri dan binasa!  Wal Iyazubillah. 


Satu contoh yang sangat menggerunkan jiwa adalah kisah kaum Bani Israel yang di-Laknat oleh Allah menjadi "kera".  Dan mereka yang melanggar Perintah Allah tadi benar-benar menjadi kera (bukan bayangan) tetapi benar-benar berubah rupa dan sifat mereka menjadi kera.  Wal Iyazubilah.


Kisah bermula ketika Allah Ta'ala melarang Bani Israel menangkap ikan pada hari sabtu.  Sebahagian dari mereka patuh dan sebahagian lain berbuat helah, iaitu mereka memasang jaring pada hari Sabtu dan mengutip ikan-ikan yang terperangkap pada hari berikutnya.   


Ada kelompok lain membuat helah cara lain, iaitu membuat parit yang menyambung ke laut, Pada hari Sabtu mereka buka pintu laluan sehingga ikan yang banyak pada hari Sabtu melimpah masuk ke dalam parit dan seterusnya masuk ke dalam perangkap.  Keesokan harinya mereka mengutip ikan-ikan tersebut.  Maksudnya mereka berbuat helah supaya tak kena hukuman akibat menangkap ikan pada hari Sabtu. 


Walau bagaimanapun tak mungkin kamu menipu Allah Yang Maha Mengetahui Zahir dan Batin, yang nyata dan yang tersembunyi. Diringkaskan kisah:  Allah Ta'ala melaknat mereka berubah menjadi "kera yang hina".  Wal Iyazubillah. Amat dahsyat Perintah ini... bukan saja disumpah jadi "kera" tetapi "kera yang hina"...!!!


Firman Allah:


وَلَقَدۡ عَلِمۡتُمُ ٱلَّذِينَ ٱعۡتَدَوۡاْ مِنكُمۡ فِى ٱلسَّبۡتِ فَقُلۡنَا لَهُمۡ كُونُواْ قِرَدَةً خَـٰسِـِٔينَ 


"Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan menangkap ikan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina"

[Al-Baqarah (2) : Ayat 65]


Menurut Mufassirin terkemuka,

Mereka (kaum Yahudi yang melanggar perintah Allah) dilaknat menjadi kera, maka jadilah mereka kera, ertinya benar-benar secara fizikal berubah rupa mereka  menjadi kera.  Mereka tak mampu bercakap, makan atau minum. Mereka semua mati setelah 3 hari, ertinya keturunan mereka terhapus setelah 3 hari.  Wal Iyazubillah. Moga Amaran Allah ini menjadi pengajaran berguna untuk sekalian Ummat.


SIRI 386 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-51

Bocorkan Rahsia

=============


Definisi Rahsia (سِرِّيّ)

=================


Dari segi bahasa: 

sulit, tersembunyi, tersorok, diam-diam, samar


Dari segi istilah: 

Tidak memperlihatkan, sorokkan, sembunyikan, menghindarkan, menjauhkan sesuatu hal daripada pengetahuan orang yang bukan ahlinya, agar perkara yang disembunyikan itu terpelihara daripada anasir-anasir perosak dan orang-orang yang terlibat terpelihara daripada fitnah dan kebinasaan. 



Penjelasan:

==========


(1) Memelihara rahsia adalah wajib dan bocorkannya adalah pengkhianatan yang merupakan dosa besar.


(2) Perbuatan bocorkan rahsia adalah suatu bentuk pengkhianatan (khianati amanah) kerana telah berlaku suatu bentuk _aqad_ (penjanjian) antara dua pihak untuk memelihara amanah bersama; sama ada ianya berbentuk bertulis atau secara lisan sahaja, kedua-keduanya adalah amanah yang wajib dipelihara.  Maka ketika seseorang bocorkan rahsia yang termeterai, maka dia telah melakukan pengkhianatan. 


(3) Tajuk "Dosa Besar Khianati Amanah" secara umum dan meluas sudah pun dibincangkan sebelum ini.  Di sini kita cuma akan sebut secara ringkas berkenaan dosa bocorkan rahsia yang merupakan sebahagian dari makna khianat.


(4) Bocorkan rahsia terbahagi dua:

Pertama : Bocorkan rahsia sesama manusia

Kedua : Bocorkan rahsia Ketuhanan


(5) Bocorkan rahsia atau dedahkan rahsia sesama manusia adalah bermaksud : Musnahkan perjanjian yang termeterai antara dua individu atau dua kelompok manusia yang pada asalnya saling mempercayai satu sama lain untuk mempertahankan rahsia tersebut.  Dan ini adalah dosa besar.


(6) Bocorkan rahsia Ketuhanan adalah bermaksud:

Mendedahkan rahsia tertentu yang Allah Ta'ala masukkan ke dalam hati hamba Allah yang sedang mujahadah pada jalan-Nya, dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq,  meliputi beberapa rahsia Ilahiyyah, rahsia Nubuwwah, rahsia Insan, rahsia alam nyata dan tersembunyi.


(7) Bocorkan rahsia sesama manusia atau Rahsia Ketuhanan adalah dosa besar.  Di antara keduanya, dosa mendedahkan Rahsia Ketuhanan adalah dosa besar yang lebih besar kerana ia membawa kepada kekufuran — binasa Iman.


Berkata Imam Hasan Al-Basri Radhiallahu anhu:

"Sesungguhnya termasuk pengkhianatan bahawa engkau bicarakan rahsia saudara engkau"

[Nukilan : Ihya Ulumuddin]


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:

"Maka membuka rahsia itu suatu pengkhianatan.  Dan itu haram, apabila ada padanya kemelaratan. Dan tercela, jika tidak ada padanya melarat".

[Ihya Ulumuddin]


SIRI 387 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-51 : Bocorkan Rahsia

...... sambungan....



Firman Allah:


وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولا


"Dan sempurnakan perjanjian. Sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya"

[Al-Isra (17) : Ayat 34]


Firman Allah:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ


Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul-Nya dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.

[Al Anfal (8) : Ayat 27]


Firman Allah:


وَٱلَّذِينَ هُمْ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَٰعُونَ وَٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَٰتِهِمْ يُحَافِظُونَ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْوَٰرِثُونَ ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ


Dan orang-orang yang memelihara Amanat-Amanat (yang dipikulnya) dan janjinya.  Dan orang-orang yang memelihara solatnya.  Mereka Itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya."

[Al Mu'minoon (23) : Ayat 8-11]



Rasulullah ﷺ bersabda:

“Tanda orang munafiq itu ada tiga; jika berkata, dia berdusta; jika berjanji, dia ingkar; jika diberi amanah, dia berkhianat” 

[Imam Bukhari, Imam Muslim]


Rasulullah   ﷺ  bersabda:

“Apa yang dibicarakan dan terjadi dalam Majlis-Majlis (mesyuarat atau pertemuan) hendaklah dijaga dan dipelihara sebagai amanah”. 

[Imam Abu Daud]


Rasulullah   ﷺ  bersabda:

"Tidak sempurna Iman bagi orang yang tidak Amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak berpegang dengan janji”.

[Imam Ahmad]


Rasulullah   ﷺ  bersabda:


إِذَا حَدَّثَ الرَّجُلُ الحَدِيثَ ثُمَّ التَفَتَ فَهِيَ أَمَانَةٌ

"Apabila seseorang berbicara suatu pembicaraan, kemudian dia pergi, maka itu adalah Amanah"

[Imam Abu Dawud, Imam At-Tirmizi]


SIRI 388 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-51 : Bocorkan Rahsia

...... sambungan....



Contoh-contoh:

============


Contoh 1 : Dedah rahsia peribadi, 'aib seseorang

Barangkali inilah contoh yang paling umum dan paling banyak terjadi di kalangan manusia, terutama mereka yang terlibat di dalam parti-parti politik. 


Sudah dimaklumi, menutupi 'aib (kekejian atau kecelaan) seseorang adalah wajib dan dedahkannya adalah haram dan dosa besar. Jika kamu mengetahui 'aib seseorang, maka wajib atas kamu  menutupinya dan dilarang keras mendedahkannya kepada pihak lain. 


Walau bagaimanapun, pada zaman ini, mendedahkan rahsia dan membuka 'aib orang lain menjadi suatu kegemaran masyarakat. Mereka sengaja mencari-cari dan menyelidiki rahsia peribadi seseorang lalu mendedahkannya kepada umum melalui berbagai media. Kadangkala ditokok tambah dengan berbagai cerita dusta. 


Mereka yang melakukannya terlibat ke dalam 4 macam dosa besar:

1. Bocorkan rahsia, membuka 'aib orang

2. Mengintai-intai kesalahan orang 

3. Berdusta

4. Menganiaya orang 


Contoh 2 : Dedahkan rahsia kesepakatan antara dua orang

Dua orang yang berpakat untuk menyimpan suatu rahsia, sama ada ianya berkenaan rahsia peribadi atau rahsia perniagaan, rahsia jamaah atau lainnya, maka wajib ke atas kedua-dua mereka menyimpan rahsia tersebut, dilarang mendedahkannya.


Contoh 3 : Dedahkan rahsia jamaah

Setiap Jamaah mempunyai rahsia tersendiri. Lazimnya rahsia khusus sesebuah jemaah disimpan oleh AJK yang dilantik. Maka wajib setiap AJK menyimpannya dan dilarang mendedahkannya.


Contoh 4 : Dedahkan rahsia perniagaan

Apabila beberapa orang berhimpun dan berpakat untuk menjalankan suatu perniagaan, akan terjadi di sana beberapa bentuk perjanjian dan rahsia yang wajib dipelihara. Di dalam urusan ini, adalah wajib memelihara rahsia perniagaan dan dilarang pecahkannya kepada pihak lain.


Contoh 5 : Dedah rahsia peperangan (jihad fi sabilillah)

Ketika terjadi peperangan, setiap pergerakan dan strategi peperangan adalah rahsia. Dedahkan strategi perang boleh melumpuhkan seluruh angkatan perang. Barangsiapa bocorkan rahsia peperangan kepada musuh (kafir harbi), maka tidak syak lagi dia adalah munafiq. Wal Iyazubillah


SIRI 389 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-51 : Bocorkan Rahsia

...... sambungan....


Kemusykilan : Hukum bocorkan rahsia kafir Zimmi

Kebanyakan kita sudah maklum bahawa menyimpan rahsia sesama Islam adalah wajib dan bocorkannya merupakan pengkhianatan yang membawa dosa besar. Persoalannya bagaimanakah pula halnya apabila orang yang terlibat di dalam perjanjian tersebut adalah orang kafir zimmi?


Jawapannya...

Bocorkan rahsia yang termeterai antara orang Islam dengan orang kafir (bukan Islam) yang mempunyai status sebagai kafir Zimmi adalah haram. Ini kerana kafir zimmi adalah orang kafir yang bernaung di bawah Pemerintahan Islam, membayar jizyah (sejenis cukai perlindungan) dan menyerahkan diri untuk mematuhi sekalian undang-undang Pemerintahan Islam. Haknya sebagai rakyat dilindungi oleh Pemerintah Islam. 


Dengan demikian, semua bentuk perjanjian wajib ditunaikan dan dilarang khianat kepada apa jua kesepakatan yang telah dipersetujui seperti kerjasama di dalam perniagaan atau pakatan di dalam urusan kemasyarakatan atau lain-lain urusan muamalah dunia. Demikian lagi dilarang merampas sebarang harta mereka atau merosak kehormatan mereka atau cederakan mereka tanpa haq. 


Rasulullah ﷺ  bersabda:


مَنْ قَتَلَ قَتِيْلاً مِنْ أَهْلِ الذِّمَةِ لَمْ يَجِدْ رِيْحَ الجَنَّةِ وَإِنَّ رِيْحَهَا لَيُوْجَدُ مِنْ مَسِيْرَةِ أَرْبَعِيْنَ عَامًا (رواه النسائي)


"Barang siapa membunuh ahluz-Zimmah, maka dia tidak akan mencium bau Syurga, dan sesungguhnya bau Syurga itu boleh dicium dari jarak tempoh perjalanan empat puluh tahun. 

[Imam An-Nasa'i]


Rasulullah ﷺ  bersabda:


مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا، أَوِ انْتَقَصَهُ، أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ، أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ، فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ


“Sesiapa yang menzalimi seorang kafir mu‘ahad, atau mengurangi haknya, atau membebaninya sesuatu yang tidak tertanggung olehnya, ataupun mengambil daripadanya sesuatu tanpa senang hati, maka aku akan menjadi pembelanya kelak pada hari Qiamat”

[Imam Abu Dawud]


Persoalan lain yang bangkit berkait masalah ini adalah status orang kafir yang ada pada zaman ini, bagaimanakah cara kategorikan mereka? Bagaimanakah cara kita berinteraksi dengan mereka? Adakah wajib memenuhi janji-janji dengan mereka dan dilarang bocorkan rahsia-rahsia yang termeterai dengan mereka?


Jawapan:

Hal ini memerlukan huraian dan penjelasan yang panjang. Rumusan ringkas adalah : 

Selama mereka hidup aman bersama orang-orang Islam dan mematuhi undang-undang, maka segala bentuk perjanjian wajib ditunaikan dan dilarang khianati mereka.  Lain halnya dengan _kafir harbi_ yang memerangi Ummat seperti Yahudi pada zaman ini. Ini mempunyai huraian lain.


SIRI 390 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-51 : Bocorkan Rahsia

...... sambungan....



Cabang Penting:

Hukum Buka Rahsia Ketuhanan


Membuka rahsia Ketuhanan yang diberikan oleh Allah kepada orang beriman (khususnya Salikin, iaitu mereka yang sedang mujahadah menuju Allah dengan mengikut Jalan Ma'rifat dengan bimbingan Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq) adalah suatu Pengkhianatan Amanah, dan pengkhianatan ini di antara yang amat berat hukumannya. 


Apakah yang dimaksudkan dengan "Rahsia Ketuhanan" ?

Dikehendaki dengan "Rahsia Ketuhanan" adalah rahsia tertentu yang Allah Ta'ala masukkan ke dalam hati hamba-hamba Allah yang sedang mujahadah pada jalan-Nya, iaitu meliputi:


(1) Rahsia Rabbaniyyah (Ketuhanan) 

(2) Rahsia Nubuwwah (Kenabian)

(3) Rahsia Ubudiyyah (kehambaan yang terkait kepada Ketuhanan)

(4) Rahsia Insan (kamanusiaan)

(5) Rahsia makhluq dan sekalian alam ghaib


Rahsia-rahsia ini akan terbuka beransur-ansur dan berperingkat-peringkat kepada Salikin, menurut peningkatan keruhaniannya dan menurut Kehendak Allah (bukan kemahuan salik).  Sekalian rahsia ini merupakan "Amanah Allah" kepada Salikin yang WAJIB disimpan baik-baik dan dipelihara lebih dari emas perak dan intan.  Mana-mana Salikin membuka Rahsia-rahsia ini kepada umum atau menjadikannya "bahan bualan kedai kopi", maka dia telah khianat kepada Allah.


Berdasarkan adab dan peraturan Jalan Ma'rifat semua macam rahsia ini hanya boleh dilaporkan kepada Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq yang memimpinnya.  Setelah ditafsirkan oleh Gurunya (atau tidak tafsirkan),  hendaklah diam dan simpan semua rahsia tersebut. Dilarang keras sebarkannya. Ini kerana membuka rahsia Ketuhanan adalah pengkhianatan dan kekufuran . 


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu:

"Meskipun (para Kekasih Allah), diberi Ilham akan Rahsia-rahsia Allah, namun rahsia-rahsia tersebut tidak dibuka atau diceritakan kepada orang lain, kerana membuka rahsia Ketuhanan itu adalah kekufuran"

[Sirrul Asrar]


Bersambung siri 391 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 390) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...