■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
SIRI 691 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-12:
Taqdir makhluq telah tertulis di Luh Mahfuz
Menurut pendirian Ahlus Sunnah, Allah Ta'ala telah menetapkan Taqdir bagi setiap makhluq di Luh Mahfuz (papan suratan Taqdir) sebelum penciptaannya. Ringkasnya segala sesuatu yang terjadi pada alam ini, mulai Penciptaan Nur Muhammad sebagai Penciptaan pertama sehingga seluruh alam menerima kebinasaan pada Hari Qiamat dan seterusnya sambungan kehidupan di Syurga dan Neraka, semuanya sudah tertulis satu persatu berdasarkan tarikh, waktu dan tempatnya di Luh Mahfuz, tiada terkemudian sesaat dan tiada terdahulu sesaat.
Mulai dari penciptaan manusia, tempat kelahirannya, waktu kelahirannya — jam dan saatnya dan segala sesuatu yang akan terjadi padanya berupa kesakitan, kesengsaraan, kebahagiaan, atau kecelakaan... sehingga ia mati semuanya sudah tertulis sebelum kejadian tersebut menjadi nyata.
Demikian pula tanam-tanaman, tempat tumbuhnya, mekarnya atau binasanya. Dan lagi kejadian tanah — tandus atau subur, penciptaan bukit, gunung-ganang dan sungai semuanya tertulis di Luh Mahfuz sebelum ia tercipta dan menjadi kenyataan di dunia.
Demkian pula sekalian cakerawala — planet, matahari, bulan, bintang masing-masing sudah ditetapkan waktunya menurut Ilmu, Iradat (Kehendak) dan Qudrat (Kekuasaan) Allah Yang Maha Perkasa, sebelum semua diciptakan.
Firman Allah:
مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي ٱلأَرْضِ وَلاَ فِيۤ أَنفُسِكُمْ إِلاَّ فِي كِتَٰبٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَآ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌ
"Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah.”
[Al-Hadid (57) : Ayat 22]
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Tiada suatu kejadian apa pun yang menyenangkan maupun yang menyedihkan menimpa di bumi sehingga ke penjuru-penjurunya, mulai dari suburnya tanah dan kemakmuran, gempa bumi dan wabah penyakit serta berbagai hal lainnya yang menyenangkan dan menyedihkan yang terjadi di arah dan penjuru mana pun ... mulai dari hal yang membuatmu senang berikut kenikmatan dan kesukaan atau penyakit yang menimpa dan kesengsaraan yang memilukan, melainkan ketetapannya secara detail pada jam sekian, saat sekian dan dengan cara demikian, telah tertulis dalam kitab (Lauhil Mahfuz), maksudnya berada di dalam Ilmu-Nya dan tercantum pada lembaran Qadha-Nya dengan istilah yang berbeza-beza sebelum Kami (Allah) menciptakannya dan menampakkan (musibah itu). Dengan kata lain kejadian itu telah Kami tetapkan sebelum kejadiannya berlangsung, yakni jauh pada zaman yang tiada seorang pun mengetahui kadarnya kecuali Kami (Allah). Maka janganlah kamu ingkari Kekuasaan Kami untuk melakukan hal seperti itu. Ketentuan yang telah digariskan di dalam Taqdir terdahulu (Qadha) meskipun sangat sulit bagi kalian, bagi Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Unggul terhadap semua makhluq yang telah ditetapkan Taqdirnya, adalah mudah."
[Tafsir Jilani]
SIRI 692 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Firman Allah Ta'ala:
وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ
“Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam Kitab (Ibu Suratan) yang jelas nyata”. [Yasin: 12]
Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:
"Dan semua pekerjaan mereka (manusia), Kami (Allah) telah menulis di dalam Kitab yang Terpelihara (Luh Mahfuz)”
[Tafsir Ibnu Abbas]
Berkata Imam Ibnu Jarir At-Tabari Radhiallahu anhu:
Ta'wil bagi Firman ini adalah : Segala sesuatu yang telah terjadi dan yang akan terjadi, Kami (Allah) Meliputinya (di dalam Pengetahuan Allah) dan Kami tetapkan di dalam Kitab Induk, iaitu Lauhul- Mahfuzh. Dikatakan bahawa ia disifati dengan mubin ( مُبِينٍ = yang menjelaskan) kerana ia menjelaskan Haqiqat semua hal yang telah ditetapkan (Taqdir) di dalamnya.
[Tafsir Tabari]
Berkata Ibnu Kathir Radhiallahu anhu:
(Kami catitkan satu persatu di dalam kitab yang jelas nyata) bermaksud segala sesuatu tentang makhluk-Nya sudah pun tercatit di Luh Mahfuz. (Al-Imam Al-Mubin) bermaksud sumber segala catitan. Inilah pendapat Mujahid, Qatadah dan Abdur-Rahman bin Zayd bin Aslam.
[Tafsir Ibn Kathir]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“كتب الله مقادير الخلائق قبل أن يخلق السموات والأرض بخمسين ألف سنة وعرشه على الماء”
“Allah Ta'ala telah menulis taqdir makhluq sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan Arasy-Nya berada di atas air”.
[Imam Muslim]
Penjelasan tambahan:
Kita dapat memahami dari penjelasan Ibnu Abbas, Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu dan Imam-Imam lain:
(1) Allah Ta'ala sudah pun menetapkan pada Azali (zaman sebelum penciptaan makhluq) apa jua kejadian yang berlaku di alam ini, dari sebesar-besarnya penciptaan sampai kepada yang paling kecil dan halus-halus sekali pun, telah tertulis pada suratan Taqdir.
(2) Setiap suatu yang terjadi di alam ini berlaku menurut Ilmu, Iradat dan Qudrat Allah — bukanlah suatu hal yang baru di-Rancang oleh Allah.
(3) Tiada siapa pun mampu mengubah Taqdir Ketentuan Allah Ta'ala.
SIRI 693 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Doa dan usaha ikhtiar (perbuatan manusia) tidak berkuasa mengubah Taqdir
Sebahagian daripada kekeliruan besar berhubung dengan doa, usaha ikhtiar dan Taqdir adalah: Mereka I'tiqad mereka mampu mengubah Taqdir dengan doa dan usaha ikhtiar.
Ini keyakinan yang sangat bahaya kepada Tauhid seseorang. Bukanlah sebuah doa atau usaha ikhtiar manusia mengubah Taqdir yang Allah tetapkan tetapi yang benar adalah:
Doa dan usaha ikhtiar manusia itu pun merupakan Taqdir dari Allah Ta'ala. Dia yang Kurniakan doa dan menggerakkan usaha ikhtiar seseorang sehingga keadaan asalnya berubah. Bukanlah doa dan usaha ikhtiar seseorang berkuasa mengubah Taqdir.
Jika seseorang i'tiqad bahawa doa dan usaha dia berjaya mengubah Taqdir, ini membawa maksud orang itu beri'tiqad Allah Ta'ala lemah kerana terpaksa mengikut kemahuannya. Maka jadilah Allah itu bersifat lemah kerana Dia boleh digagahi.... Wal Iyazubillah. Maha Suci Allah daripada digagahi oleh sesuatu. Sebaliknya Dia (Allah) Yang Maha Gagah dan Berkuasa di atas segala sesuatu.
Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu Anhu berkata:
"Apabila Allah Ta'ala Mengkabulkan apa yang diminta hamba-Nya, dan Mengkabulkan permintaannya, maka Iradah-Nya tidak akan terkoyak, tidak pula akan membuat kering catatan, akan tetapi permohonan itu sesuai dengan kehendak Tuhan pada waktunya. Sehingga sesuai itu menghasilkan pengkabulan dan memenuhi kemahuannya pada waktu yang ditentukan-Nya, untuk menyampaikan Taqdir itu pada waktunya. Seperti yang dikatakan Alim Billah (Ahli Ma'rifat) mengenai Firman Allah: كُلَّ يَوۡمٍ هُوَ فِى شَأۡنٍ۬ — Setiap waktu Dia di dalam kesibukan" [Ar-Rahman (55) : Ayat 29] iaitu mengiring Taqdir sampai waktunya.
Allah Ta'ala tidak memberi sesuatu kepada siapa pun di dunia ini kerana doanya. Begitu juga Allah tidak memalingkan kejelekan dari sesiapa pun semata-mata kerana doanya.
Adapun apa yang diriwayatkan di dalam Hadith Nabi, "Tidak ada yang dapat menolak qadha kecuali doa." [Imam Tirmizi] adalah dikatakan yang dimaksud dengan Hadith ini : "Tidak ada yang dapat menolak qadha kecuali doa yang telah ditetapkan (pada Taqdir Azali) dapat menolak qadha." [Ertinya doa yang menolak qadha tersebut telah pun ditetapkan oleh Allah di dalam Taqdir Azali, bukanlah sebab doa seseorang itu - pent]
[Tamat Nukilan kitab Futuhul-Ghaib]
SIRI 694 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-13:
Af'al Allah (Perbuatan Allah) dan af'al makhluq (perbuatan makhluq)
Af'al Allah (Perbuatan Allah) dan af'al manusia (perbuatan manusia) adalah dua unsur terpenting di dalam memahami Taqdir (Qadha Qadar) Allah Ta'ala. Kegagalan memahami serta i'tiqad menurut pendirian Ahlus Sunnah Wal Jama'ah akan menyebabkan seseorang tergelincir kepada Golongan sesat — Mu'tazilah atau Jabariyyah.
I'tiqad batil Mu'tazilah
Golongan Mu'tazilah mengatakan manusia mencipta taqdirnya sendiri. Menurut pendirian mereka, sekalian perbuatan baik dan buruk adalah daripada manusia, tiada kaitan apa pun dengan Taqdir Allah, Kuasa Allah, Ketentuan Allah. Menurut pegangan Mu'tazilah, jika manusia berbuat baik maka itu adalah daripada usaha ikhtiar sendiri, tiada apa-apa hubungan dengan Allah Ta'ala. Sebaliknya jika manusia melakukan kejahatan, maka ia adalah kehendaknya sendiri tiada apa-apa kaitan dengan Taqdir. Dengan pegangan ini, Mu'tazlilah melakukan dua kesalahan besar:
1. Ingkari Taqdir ketentuan Allah.
2. Melakukan syirik - mengaku berkuasa melakukan sesuatu sedangkan manusia tiada kuasa apa pun, tiada upaya hanya Allah.
I'tiqad batil Jabariyyah
Golongan Jabariyyah mengatakan sekalian perbuatan baik dan buruk daripada Allah dan manusia tiada kaitan dengan apa-apa yang terjadi. Menurut pegangan Jabariyyah, manusia hanyalah bagaikan bulu yang berterbangan di udara. Kata golongan Jabariyyah, jika manusia berbuat baik, maka ianya dari Allah. Jika dia berbuat jahat, juga dari Allah. Dengan pegangan ini Jabariyyah melakukan dua dosa besar:
1. Menentang (menafikan) usaha ikhtiar manusia yang Allah ciptakan.
2. Thabitkan dosa manusia kepada Allah.
I'tiqad benar Ahlus Sunnah
Menurut I'tiqad Ahlus Sunnah, yang benar adalah: Setiap perbuatan berlaku menurut ketentuan Allah pada Taqdir-Nya yang Azali. Manusia di-Kurniakan usaha ikhtiar melakukan sesuatu tetapi tidak berkuasa menentukan keberhasilannya. Kesan atau hasil sesuatu perbuatan manusia adalah milik mutlaq Allah Ta'ala.
Catitan Penting:
Menurut ahli Ma'rifat, dua hal penting wajib dipegang, untuk jauhkan syirik ( syirik khafi ) dan selamat daripada jatuh kepada zindiq:
(1) Sekalian perbuatan manusia pada zahirnya adalah af'al makhluq (perbuatan makhluq) sedangkan hakikatnya adalah Af'al Allah (Perbuatan Allah).
(2) Zahir perbuatan berdiri pada hukum syari'at sedangkan hal hati berdiri pada haqiqat.
Kedua-dua hal ini hanya akan dapat dihayati setelah seseorang itu mujahadah menurut Jalan Ma'rifat (amalkan Syari'at dan Toriqat) dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.
SIRI 695 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Penjelasan Ringkas: Af'al Allah dan af'al makhluq
Beberapa hal penting yang wajib difahami berhubung dengan Af'al Allah dan Af'al makhluq.
(1) Allah Ta'ala Ciptakan makhluq dan sekalian Perbuatan makhluq
Menurut Ahlus Sunnah, Allah Ta'ala menciptakan sekalian makhluq berserta perbuatannya. Sekalian Taqdir makhluk sudah tersurat di dalam Luh Mahfuz — sama ada manusia atau makhluq selainnya yang mengisi sekalian alam semesta. Setiap kejadian berlaku menurut apa yang tertulis pada Luh Mahfuz. Qalam (pena) sentiasa menulis Taqdir makhluq tanpa henti. Setiap kejadian yang berlaku pada setiap saat ditulis oleh Qalam tanpa terlewat sesaat maupun terawal sesaat. Semuanya berlaku menurut ketentuan Allah pada Azali. Tiada yang terkeluar darinya.
(2) Af'al (Perbuatan) Allah adalah hakiki (yang sebenar) sedang af'al (perbuatan) makhluq adalah majazi (bayangan)
Menghalusi pegangan Ahlus Sunnah, Af'al Allah (Perbuatan Allah) adalah Perbuatan Allah yang hakiki, ertinya Perbuatan Allah itulah yang sebenar di sebalik perbuatan makhluq. Sedangkan af'al makhluq (perbuatan makhluq) adalah di katakan majazi (bayangan) — hakikatnya tidak wujud. Zahirnya dikatakan makhluq itu memperbuat sesuatu, tetapi haqiqatnya disebalik setiap kejadian itu adalah Af'al Allah (Perbuatan Allah). Zahirnya kelihatan makhluq yang memperbuat, tetapi hakikatnya semua itu adalah Perbuatan Allah. Semua itu adalah takluk (terkait dan terjadi) dari Ilmu, Qudrat dan Iradah Allah Ta'ala yang dikenali sebagai Taqdir Ilahi. Tiada suatu pun terjadi atas muka bumi termasuk edaran matahari, planet-planet, bintang-bintang, cakrawala sekaliannya melainkan ianya di dalam Taqdir Ilahi dan Perbuatan-Nya.
(3) Hati pegang kepada Haqiqat, sementara Perkataan dan Perbuatan berdiri pada hukum syari'at
Maksud ungkapan ini...
Setiap perkataan dan perbuatan kamu wajib menghukum menurut ketentuan Allah dan Rasul dan Fatwa Ulama Ahlus Sunnah Mu'tabar. Manakala mana-mana yang menyalahi syari'at, maka wajib dihukumi sebagai haram dan berdosa. Pada masa yang sama hal hati wajib berdiri pada haqiqat, iaitu berpegang bahawa semua yang terjadi adalah di dalam Genggaman Allah serta di dalam Qadha dan Qadar-Nya yang azali. Tiada suatu pun terkeluar dari Taqdir Allah Yang Azali. Makhluq tiada kuasa apa-apa pada hakikatnya.... termasuk iblis dan syaitan juga tiada kuasa apa-apa melainkan yang di-Taqdirkan oleh Allah.
(4) Syukur kepada Allah atas semua kebaikan. Mengutuk diri sendiri atas setiap kesalahan dan dosa.
Apabila kamu di dalam kebaikan dan keselamatan syukurlah banyak-banyak kepada Allah atas Anugerah-Nya. Demikian lagi apabila kamu mendapat kejayaan di dalam pelajaran, pekerjaan, kerjaya, kehidupan dunia, menjadi orang kaya, mendapat pangkat, menjadi Pegawai, menjadi Menteri atau lain-lain kejayaan dunia maupun akhirat semua itu adalah dari Anugerah Allah semata-mata — bukan sebab usaha ikhtiar kamu, maka wajib syukur atas setiap Kurnia Allah itu. Jangan sesekali thabitkan kebaikan pada diri sendiri.
Sebaliknya apabila kamu gagal dalam kehidupan, kamu gagal di dalam peperiksaan, kamu gagal di dalam kerjaya... atau lain-lain urusan dunia atau akhirat .. semua ini wajib dikembalikan kepada diri kamu, salahkan diri sendiri. Mengakui kekurangan diri. Walaupun boleh jadi kamu sudah berusaha sungguh-sungguh, namun apabila terjadi kegagalan dalam apa jua hal, maka salahkanlah diri sendiri dan cari jalan lain serta usaha sungguh-sungguh lagi dengan mohon pertolongan Allah. Walaupun pada hakikatnya yang menahan kamu dari berjaya hakikatnya Allah Ta'ala jua. Namun inilah adab di hadapan Allah bagi Ahlus Sunnah wal Jamaah yang benar (tulen).
SIRI 696 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-14:
Syirik khafi merosak Iman dan batalkan amal ibadah
Menurut pendirian Ahlus Sunnah, Syirik khafi adalah syirik tersembunyi. Ianya dikatakan syirik yang tersembunyi kerana syirik ini terpendam di dalam hati. Tidak diketahui oleh manusia lain kecuali dirinya dengan Allah Ta'ala. Namun ada kalanya syirik tersembunyi ini akan terzahir dari perkataan dan perbuatan seseorang yang memiliki sifat-sifat ini.
Adakalanya syirik terpendam ini terzahir di dalam keadaan kehidupan biasa atau mungkin juga ketika terjadi suatu peristiwa yang menggugah perasaannya. Atau suatu cabaran yang menggugat kedudukannya pada pandangan manusia. Contoh yang paling besar di dalam kejadian manusia adalah kisah Iblis dengan Nabi Adam. (sebagaiman telah dijelaskan sebelum ini).
Menurut Ulama Ahlus Sunnah, Syirik khafi tidak menggugurkan Iman seseorang, tetapi jika dia mengekali Syirik Khafi ini tanpa taubat SEGERA dan tidak berusaha bersungguh-sungguh menjauhkannya, maka ia boleh membawa kepada kerosakan Iman dan boleh hapuskan amal ibadah seseorang bagaikan api memakan sekam (terhapus secara senyap tanpa disedari).
Dari suatu sudut pandang, Syirik khafi ini tidak kurang bahayanya dengan Syirik Jali (Syirik besar) kerana lazimnya syirik ini tidak kelihatan lantaran terpendam di dalam hati. Bahkan dari suatu sudut, Syirik khafi lebih merbahaya bagi orang beriman kerana Ummat ini tidak akan sembah berhala berupa patung, kayu atau benda-benda lain. Tetapi mereka menyembah "berhala hati" yang bermaksud "menyembah" diri sendiri atau "menyembah" makhluq lain berupa nafsu, Iblis, kekayaan dunia, pangkat, kekayaan dan lain-lain. Oleh kerana ini Nabi ﷺ bersabda:
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Aku sangat takut syirik pada Ummatku. Walaupun mereka tidak menyembah berhala, matahari, bulan dan batu. Akan tetapi memperlihatkan kepada orang dengan amal mereka”
[Imam Ibnu Majah, Al-Hakim]
Keterangan darihal Syirik khafi, sebab-sebabnya, jenis-jenisnya, jalan-jalan penyakit ini terbentuk dalam hati dan cara-cara merawatnya sehingga hati kembali kepada kesucian diri yang asal dijelaskan di dalam kitab-kitab Tasawwuf dan Ma'rifat.
Inilah sebabnya mempelajari hal ehwal penyakit hati yang paling berat ini daripada ahlinya, iaitu Mursyid yang Siddiq dan seterusnya mujahadah melawan nafsu kejahatan, melawan bisikan-bisikan Syaitan, berzikir sungguh-sungguh membersihkan hati dengan Pimpinan beliau menjadi Fardhu Ain (wajib atas setiap diri yang mukallaf).
Tiga Golongan menghadapi Syirik khafi:
Pertama: Orang Awam:
Kebanyakan orang awam tidak mengenali Syirik khafi, tidak mengetahui wujudnya Syirik khafi, tidak mengetahui betapa besarnya bahaya Syirik khafi, dengan demikian mereka tidak peduli mengenainya. Akibatnya terumbang-ambinglah mereka antara Keimanan dan kesyirikan (tanpa disedari).
Kedua: Alim fiqh dan Usuluddin:
Sebahagian besar orang alim fiqh atau Usuluddin mengetahui akan wujudnya Syirik khafi, mereka tahu bahaya dan kebinasaannya. Namun mereka tidak dapat membuangnya kerana mereka tidak mengetahui jalan-jalan untuk hapuskan Syirik khafi ini dari hati mereka.
Ketiga : Golongan Sesat: Golongan ini menafikan terus wujudnyaSyirik khafi. Pada pendapat mereka segala gerak dan lintasan hati dimaafkan, maka menurut pendapat mereka, persoalan bab keruhanian dan Ilmu Toriqat dan Tasawwuf semua tak wujud. Akibatnya tinggallah mereka di dalam kesesatan dan kebinasaan.
SIRI 697 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Hujjah-Hujjah penting berhubung Syirik Khafi (ringkasan):
Berikut adalah sebahagian Dalil dari Kitabullah dan Hadith Rasulullah ﷺ berserta Ijma' Qias Ulama Mu'tabar berhubung dengan bahaya Syirik Khafi kepada Iman dan Ibadah.
Hujjah 1:
Syirik Khafi adalah suatu bentuk "penyembahan" kepada makhluq.
Firman Allah:
اتَّخَذُواْ أَحْبَـرَهُمْ وَرُهْبَـنَهُمْ أَرْبَاباً مِّن دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَآ أُمِرُواْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ إِلَـهاً وَحِداً لاَّ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ سُبْحَـنَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
“Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.”
[At-Taubah(9) : Ayat 31]
Tafsiran:
Rasulullah ﷺ memberikan tafsiran berkenaan perbuatan "menyembah":
Adi bin Hatim (ketika itu belum Islam) menghadap Rasulullah ﷺ dengan salib dilehernya, dia berkata: ”Mereka tidak pernah menyembah (para pendeta)” Rasulullah bersabda: “Ya (mereka menyembah para pendeta). Jika (para pendeta) mengharamkan kepada mereka sesuatu yang halal dan menghalalkan sesuatu yang haram, mereka mengikuti (para pendeta itu) maka itulah cara mereka menyembah pendeta mereka”
[Imam Ahmad dan At-Tirmidzi]
Hujjah ke 2:
Syirik Khafi sangat susah dikenali kerana terpendam di dalam hati:
Firman Allah:
فَلَا تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادً۬ا وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ…….
“Maka janganlah kamu membuat sekutu untuk Allah padahal kamu mengetahui (bahawa Allah adalah Maha Esa)”
[Al-Baqarah (2) : Ayat 22]
Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:
“Membuat sekutu untuk Allah adalah perbuatan syirik, suatu perbuatan dosa yang lebih sulit untuk dikenali daripada semut kecil yang merayap di atas batu hitam, pada malam hari yang gelap gulita.”
[Tafsir Ibnu Abbas]
SIRI 698 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Hujjah ke 3: Syirik Khafi hapuskan segala amal.
Firman Allah:
وَلَقَدۡ أُوحِىَ إِلَيۡكَ وَإِلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكَ لَٮِٕنۡ أَشۡرَكۡتَ لَيَحۡبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِينَ
“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi-nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi.”
[Surah az-Zumar (39) : Ayat 65]
Hujjah ke 4: Syirik Khafi — penyembahan kepada Nafsu.
Firman Allah:
أَرَءَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلاً
“Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?”
[Al-Furqan (25) : Ayat 43]
Hujjah ke 5: Rasulullah ﷺ terlebih bimbang pada Ummat akan Syirik Khafi.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Aku sangat takut syirik pada Ummatku. Walaupun mereka tidak menyembah berhala, matahari, bulan dan batu. Akan tetapi memperlihatkan kepada orang dengan amal mereka”
[Imam Ibnu Majah, Al-Hakim]
Hujjah ke 6:
Syirik khafi lebih bahaya dari Fitnah Dajjal.
Rasulullah ﷺ bersabda:
فَقَالَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِمَا هُوَ أَخْوَفُ عَلَيْكُمْ عِنْدِي مِنْ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ قَالَ قُلْنَا بَلَى فَقَالَ الشِّرْكُ الْخَفِيُّ أَنْ يَقُومَ الرَّجُلُ يُصَلِّي فَيُزَيِّنُ صَلَاتَهُ لِمَا يَرَى مِنْ نَظَرِ رَجُلٍ
(Ketika para sahabat saling mengingatkan berkenaan Fitnah Dajjal), Rasulullah ﷺ bersabda, "Mahukah aku khabarkan kepada kalian mengenai sesuatu yang lebih aku khuwatirkan terhadap diri kalian daripada Al Masih Ad-Dajjal?"
(berkata Abu Sa'id — perawi),
Kami menjawab, "bahkan kami mahu."
Baginda bersabda: "Syirik yang tersembunyi, iaitu seseorang mengerjakan Solat dan membaguskan Solatnya itu kerana ada seseorang memperhatikannya."
[Ibnu Majah]
SIRI 699 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Hujjah 7:
Syirik khafi menghalang Tauhid.
Firman Allah:
فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَآءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلاً صَـلِحاً وَلاَ يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدَا “
"Barang siapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.”
[Al-Kahf (18) : Ayat 110]
Apakah maksud Kalam Allah ini... " وَلاَ يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدَا " (jangan mempersekutukan apa pun di dalam Ibadat kepada Tuhannya)?
Apakah maksud "mempersekutukan Allah di dalam ibadat"?
Adakah maksudnya di sini "sembah berhala"?
atau "sembah Tokong"?
atau "sembah Matahari"?
atau "sembahan-sembahan lain seperti yang dilakukan oleh orang kafir"?
Sudah tentu jawapannya BUKAN...!
Tak mungkin bagi seseorang yang beriman mengerjakan Solat sambil sembah berhala.. TAK MUNGKIN!
Tak mungkin bagi seseorang yang beriman berpuasa sambil sembah berhala... TAK MUNGKIN!
Tak mungkin seseorang yang beriman mengerjakan Ibadah Haji sambil sembah berhala... TAK MUNGKIN!
Jadi apakah maksud sebenar yang dikehendaki dengan Ayat ini?
Al-Imam Kabir Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu berikan jawapannnya.
Berkata Al-Imam Jilani Radhiallahu anhu:
Untuk mencapai tujuan ini (mencapai Tauhid yang suci bersih), manusia wajib meninggalkan sesuatu yang menyalahi Syari'at dan Toriqat. Hal ini akan dapat diperoleh dengan melatih diri meninggalkan keinginan nafsu walaupun pahit dan melakukan riadhah ruhaniyyah dengan tujuan mencapai Redha Allah serta bersih dari Riya' dan Sum'ah sebagaimana Firman Allah di dalam Surah Al-Kahfi ayat 10 : (" فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَآءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلاً صَـلِحاً وَلاَ يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدَا ")
[Tamat petikan dari kitab Sirrul Asrar]
Dengan Tafsiran A-Imam, dapat difahami maksud " وَلاَ يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدَا " itu sebenarnya adalah ditujukan kepada semua orang Islam yang ingin mencapai Tauhid yang hakiki atau Keimanan sejati, maka wajib bagi mereka jauhkan sekalian Syirik khafi (syirik tersembunyi) di dalam hati. Hanya dengan cara ini seseorang akan sampai kepada Allah, iaitu mencapai Tauhid yang hakiki.
SIRI 700 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-15:
Iman bertambah atau berkurangan
Ahlus-Sunnah Wal Jamaah berpegang bahawa Iman boleh bertambah atau berkurangan, iaitu meningkat menjadi teguh atau menurun menjadi lemah.
Iman bertambah apabila seseorang beriman melakukan keta'atan dan kerja-kerja yang di-Redhai Allah sementara Iman boleh menurun dengan sebab kekufuran, kemungkaran, ma'siat, keingkaran dan apa saja yang di-Murkai Allah.
Firman Allah:
سُوۡرَةُ الاٴنفَال
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُہُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتُهُ ۥ زَادَتۡہُمۡ إِيمَـٰنً۬ا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
[Al-Anfal (8) : Ayat 2]
Firman Allah:
فَأَمَّا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ فَزَادَتْهُمْ إِيمَاناً وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ
"Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira."
[At-Taubath (9) : Ayat 124]
Rasulullah ﷺ bersabda:
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ بَابًا فَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ وَأَرْفَعُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ »
“Iman itu ada tujuh puluh pintu. Yang paling rendah dari iman adalah menyingkirkan gangguan dari jalanan. Yang paling tinggi adalah kalimat Laa- ilaha-Illallah.”
[Imam Muslim]
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Iman seseorang akan bertambah kerana keta'atan dan akan berkurang kerana kema'siatan. Iman dapat diperkuat dengan ilmu dan menjadi lemah dengan sebab kebodohan. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas, Abu Hurairah dan Abu Darda' mereka berkata : "Iman dapat bertambah dan berkurang". Dan masih banyak lagi dalil yang tidak perlu dikemukakan di sini."
[Al-Ghunyah Li Thalibi Toriqil Haqq]
Bersambung siri 701 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
______________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment