Tuesday, November 12, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 564)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 66:

Putus silatur-rahim

I  قَاطِعَ رَحِمٍ   I

...sambungan....



Kemusykilan 2:

Ada ustaz kata, dosa-dosa sebelum ada kesedaran beragama (jahil kerana tak tahu hukum) dimaafkan.  Ikut kata ustaz itu taubat saja macam biasa dan buat amal banyak-banyak dan tak perlu ganti apa-apa.  Benarkah demikian?


JAWAPAN:

Itu pendapat batil dan berlawanan dengan pegangan Ahlus Sunnah yang benar.  Pendapat yang benar adalah setiap kesalahan dan dosa sesama makhluq akan dihitung dan menerima balasan sesuai dengan kezaliman yang dia telah lakukan. 


Oleh kerana itu setiap orang beriman diingatkan segera Taubat dengan memenuhi syarat-syarat Taubat Nasuha. Hal ini sudah dihuraikan sebelum ini pada Tajuk “Taubat Nasuha”.  Ringkasnya Syarat-syarat Taubat Nasuha :


Syarat 1:

Segera berhenti dari melakukannya.


Syarat 2:

Menyesal sungguh-sungguh di atas perbuatannya.


Syarat 3:

Berjanji tidak mengulangi dosa-dosa tersebut.


Syarat 4:

Gantikan dan sempurnakan sekalian Haq Allah yang telah luput.


Syarat 5:

Gantikan sekalian haq insan yang terzalim oleh perbuatannya.


Syarat 6:

Taubat dilakukan di dalam tempoh yang diwajibkan:

  (i)  Sebelum nyawa sampai halqum.

  (ii) Sebelum matahari terbit dari Barat.


Syarat 7:

Taubat Ikhlas kerana Allah, bukan kerana suatu sebab lain.


Perhatikan semua syarat-syarat tersebut.  Syarat no. 5 menegaskan dosa sesama manusia wajib diselesaikan sebelum mati, dengan cara memohon ampun pada yang berkenaan dan segera gantikan hak-haknya.  Jika orang yang dizalimi telah meninggal dunia. maka hendaklah berusaha gantikan dengan cara-cara yang telah ditunjukki oleh Masyaikh kita.  Moga menjadi penebus dosa-dosanya di Hari Perhitungan!


Dengan penjelasan ini, maka fahamilah orang yang berpegang bahawa orang yang berdosa sesama manusia tidak perlu gantikan hak-hak manusia berkenaan, atas alasan dia jahil dan tidak tahu perbuatan dia adalah dosa besar, maka orang seperti ini bakal menjadi "muflis" berdasarkan Hadith Baginda.


Rasulullah   ﷺ  bersabda:

 “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham dan juga tidak memiliki harta.”  Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ”Sebenarnya orang yang muflis dari kalangan Ummatku ialah seseorang yang datang pada hari Qiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) dia pernah mencaci maki si fulan, menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan, dan pernah memukul si fulan.  Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya , dia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.”

[Imam Muslim]


Bersambung siri 565 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...