B41 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 401 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-54: Memusuhi Auliya Allah

==============================


Definisi-Definisi

=============


Definisi Auliya Allah


Dari segi bahasa:  

Auliya (أَوْلِيَاءَ) adalah dekat, wakil, penolong, pemimpin yang menolong mengurus suatu bagi pihak lain.


Dari sudut Istilah:  

 Auliya Allah ( أَوْلِيَاءَ الله ) adalah Kekasih Allah dan Wakil-Nya atas  muka bumi yang Allah Ta'ala Pilih Khusus bagi mentadbir dunia menurut Kehendak dan Perintah-Nya.  Mereka adalah Mu'min sejati, benar-benar Taqwa kepada Allah, Arif Billah, istiqamah Ubudiyyah kepada Allah zahir dan batin, istiqamah melaksanakan Perintah Allah tanpa ketakutan pada siapa pun dari kalangan makhluq.  Mereka hanya takut kepada Allah semata-mata.


Definisi memusuhi Auliya Allah

Memusuhi Auliya Allah adalah ingkar, menentang, melecehkan, meremehkan, menyakiti, melakukan propaganda jahat, memfitnah, menghina, mengolok-olok, dan berbagai perkara yang mencemarkan nama baik seseorang Auliya Allah. 



Penjelasan:

=========


(1) Auliya Allah — hamba Pilihan Allah.

Ketahuilah, hamba-hamba Pilihan Allah yang di-Kasihi-Nya yang dikenali sebagai Auliya Allah, benar-benar wujud di atas muka bumi.  Mereka bukan bayangan atau dongeng seperti sangkaan setengah kelompok Wahhabiyyah (Khawarij). 


(2) Rasul dan Nabi adalah Auliya Allah yang khusus.

Rasul dan Nabi adalah termasuk ke dalam pengertian Auliya Allah.  Walau bagaimanapun apabila disebut "Auliya' Allah" secara khusus, maka ianya merujuk kepada Mu'min yang benar-benar bertaqwa kerana kedua-dua insan Pilihan Allah ini (Rasul dan Nabi) sudah pun mempunyai panggilan khusus masing-masing.

 

(3) Setiap Mursyid yang siddiq adalah Auliya Allah.

Sekalian hamba Allah yang di-Pilih oleh Allah menjadi Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq, adalah Auliya Allah.  Namun mereka tidak dimasyhurkan sebagai Auliya Allah ketika mereka masih hidup. Gelaran Auliya Allah hanya dimasyhurkan ke atas mereka setelah kewafatan mereka.  Ini adalah penjagaan agar gelaran "Mursyid" tidak disalah gunakan oleh Guru-guru palsu. 


(4) Maqam Marifat yang tinggi.

Auliya Allah adalah mereka yang telah mencapai Maqam Tauhid, Ma'rifat yang tinggi — iaitu mereka yang suci bersih hatinya daripada Syirik khafi (syirik di dalam hati), mazmumah (kekejian hati), ghaflah (kelalaian) atau aghyar (segala suatu selain Allah).  Mereka sentiasa berzikir dan abdikan diri kepada Allah Ta'ala zahir dan batin.  


(5) Pegang teguh pada Syari'at dan Toriqat.

Mereka berpegang  teguh pada Allah dan Rasul-Nya dan menjunjung tinggi Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ sebagaimana yang kami telah bentangkan di dalam Risalah ini dan beberapa Risalah lain. 


(6)  Berada di dalam Qubah Allah.

Sekalian Auliya Allah berada di dalam "Qubah Allah", iaitu di dalam perlindungan dan pemeliharaan Allah Ta'ala.  Mereka sentiasa berserta  Allah dan tiada dukacita apa pun hal keduniaaan. 


SIRI 402 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-54 : Memusuhi Auliya Allah

....sambungan....


(7) Hanya Wali Allah peringkat tinggi tahu beliau Wali Allah. 

Kebanyakan Auliya Allah tidak mengetahui bahawa diri mereka Auliya Allah.  Hanya Auliya Allah yang berada pada tingkat-tingkat yang sangat tinggi mengetahuinya.  Mereka juga mengetahui dan mengenali setiap Auliya Allah pada zaman beliau.  Walau bagaimanapun mereka tidak sesekali mendedahkan kewalian mereka kepada umum kerana ia merupakan hal Rahsia Ketuhanan. 


(8) Darjat dan tingkatan berbeza-beza.

Auliya Allah mempunyai Darjat-darjat tertentu sesuai dengan Darjat Keimanan atau Tauhid yang mereka capai di dalam perjalanan mereka pada Jalan Ma'rifat.  Mereka menanggung Amanah Kerasulan dan Kenabian atas muka bumi sesuai dengan Tingkatan masing-masing.


(9) Amanah berbeza-beza.

Sebahagian Auliya Allah diberi Kuasa mentadbir Dunia Ma'rifat, merekalah Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq.  Sebahagian yang lain hanya melakukan Zikrullah dan Ubudiyyah terus-menerus tanpa henti.  Mereka memenuhi  bumi dengan Kalimah Allah dan Cahaya Tauhid.


(10) Karomah Hissiyyah.

Sebahagian daripada Auliya Allah yang sudah tetap maqam mereka di Kurniakan oleh Allah Karomah Hissiyyah, iaitu kelebihan-kelebihan mencarikkan adat atau menembusi hukum alam.  Semua ini daripada Anugerah Allah, bukan sihir dan bukan hasil daripada bantuan jinn syaitan seperti yang dilakukan oleh ahli sihir, bomoh, ahli silat dan sebagainya.  


(11) Karomah Hissiyyah BUKAN syarat kewalian.

Karomah Hissiyyah BUKAN syarat menunjukkan seseorang itu sudah mencapai maqam kewalian.  Syarat sebenar kewalian dan Pewaris Nabi adalah tetap istiqamah pada Jalan Ma'rifat, berpegang teguh pada Syari'at (zahir) dan Toriqat (batin) dan sentiasa di dalam Ubudiyyah dan ketaqwaan.


(12) Tipu daya Syaitan. 

Setengah orang yang minat kepada bidang keruhanian tertipu dengan ahli sihir, bomoh, dukun, ilmu batiniah yang menunjuk-nunjuk berbagai kehebatan zahir dan menganggapnya karomah Wali sedangkan ianya tipu daya syaitan dan ahli sihir. 


(13) Pengertian sebenar memusuhi Auliya Allah. 

Tajuk "Dosa besar memusuhi Auliya Allah" adalah bermaksud memusuhi Auliya Allah yang sudah dikenali sebagai Auliya Allah.  Hal ini tidak termasuk "Wali Palsu" dan "Wali Syaitan".


SIRI 403 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-54 : Memusuhi Auliya Allah

....sambungan....


Dalil-Dalil Penting

==============


Dalil 1 :  Firman Allah Ta'ala:


أَلاۤ إِنَّ أَوْلِيَآءَ ٱللَّهِ لاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ.  ٱلَّذِينَ آمَنُواْ وَكَانُواْ يَتَّقُونَ.  لَهُمُ ٱلْبُشْرَىٰ فِي ٱلْحَياةِ ٱلدُّنْيَا وَفِي ٱلآخِرَةِ لاَ تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ ٱللَّهِ ذٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ


"Ketahuilah! Sesungguhnya para Auliya Allah itu, tidak ada ketakutan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.  Mereka (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman (Mu'min sejati) serta mereka pula sentiasa bertaqwa (sebenar-benar Taqwa).  Bagi mereka diberi berita gembira di dalam kehidupan dunia dan di Akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.”

[Yunus (10) : Ayat 62-64]


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

“Sesungguhnya mereka yang benar-benar beriman (Mencapai Keimanan sejati) adalah Auliya Allah (Kekasih Allah) yang tiada takut apa pun terhadap sesuatu yang mendatang, dan tiada dukacita terhadap suatu yang mereka tinggalkan di belakang.  Kemudian Allah tegaskan lagi bahawa mereka yang dimaksudkan adalah orang-orang yang beriman (benar-benar beriman) dan bertaqwa (sebenar Taqwa) kepada Allah.  Kalimah " ٱلْبُشْرَىٰ " (Al-Busyra), khabar gembira bermaksud dua macam kebahagiaan:  Pertama: Kebahagiaan di dunia dengan mendapat mimpi-mimpi benar. Kedua: Jaminan masuk Syurga (tanpa hisab).  Yang demikian itu adalah jaminan Allah kepada mereka.  Dan itulah sebesar-besar kemenangan.”

[Tafsir Ibn Abbas]


Penjelasan:

Firman Allah di atas menjelaskan beberapa keistimewaan yang Allah Ta'ala Kurniakan kepada hamba-hamba Allah yang mencapai Keimanan sejati, Maqam Tauhid tertinggi, Maqam Taqwa yang sebenar-benarnya, Maqam  Ma'rifat dan Ubudiyyah yang sempurna. 

(1) Mereka disebut oleh Allah sebagai Auliya, iaitu Wakil-Nya dan Kekasih-Nya.

(2) Allah Ta'ala hilangkan ketakutan atau kebimbangan dari hati mereka. 

(3) Allah Ta'ala berikan jaminan kepada mereka bahawa mereka akan masuk Syurga tanpa hisab. 

(4) Allah berikan khabar gembira bahawa mereka di dalam Pemeliharaan Allah Ta'ala. 

(5) Mereka sentiasa di Hadratul Quddus menyaksikan Wajah Allah pada setiap ketika dan ruang waktu.  Tiada terpaling walau sesaat.  Dengan demikian, mereka di-Pelihara oleh Allah daripada terjerumus kepada dosa-dosa besar atau kefasikan.  Jika pada suatu ketika mereka terbuat dosa kecil, maka mereka akan bertaubat pada seketika itu juga.  Bagi Rasul dan Nabi, hal ini dinamakan Ma'sum.  Bagi Auliya Allah yang lain, ia dinamakan Mahfuz.  


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Para Nabi dan Wali Allah tidak luput dari kegelinciran.  Hanya para Nabi adalah Ma'sum terpelihara dari dosa besar setelah diangkat menjadi Nabi dan Rasul.  Sedangkan para Wali Allah tidaklah ma'sum tetapi mereka adalah disebut Mahfuz, di-Pelihara oleh Allah daripada dosa-dosa besar setelah darjat kewaliannya sempurna."

[Sirrul-Asrar]


SIRI 404 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-54 : Memusuhi Auliya Allah

....sambungan....


Dalil 2 : Hadith Qudsi:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ اللهَ تَعَالَى قَالَ : مَنْ عَادَى لِيْ وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ، وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِيْ بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عَلَيْهِ، وَلاَ يَزَالُ عَبْدِيْ يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِيْ يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِيْ يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِيْ يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِيْ يَمْشِيْ بِهَا، وَلَئِنْ سَأَلَنِيْ لأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِيْ لأُعِيْذَنَّهُ


Dari Abu Hurairah ra., beliau berkata, bahawa Rasulullah ﷺ  bersabda : “Sesungguhya Allah Ta’ala berfirman:

"‘Barangsiapa yang memusuhi Wali-Ku maka Aku telah mengisytihar perang dengannya. Tidak ada taqarrubnya seorang hamba kepada-Ku yang lebih Aku cintai kecuali dengan  beribadah dengan apa yang telah Aku fardhukan kepadanya.  Dan hamba-Ku yang selalu mendekatkan diri kepada-Ku dengan nawafil (perkara-perkara sunnat) maka Aku akan mencintainya dan apabila  Aku telah mencintainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakan untuk berjalan.  Jika dia meminta kepada-Ku niscaya akan Aku berikan dan jika dia minta perlindungan dari-Ku niscaya akan Aku lindungi.’ ” 

[Imam Bukhari]


Hadith Qudsi dari Imam Bukhari ini adalah Hadith Agung yang menjelaskan beberapa khabar istimewa berkenaan wujudnya Hamba-hamba Allah yang dicintai-Nya. 


Pertama : Auliya Allah benar-benar wujud di atas muka bumi

Menurut pendirian Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, Hadith Qudsi ini memberikan khabar bahawa di sana benar-benar wujud hamba-hamba Allah di atas muka bumi yang bergelar Auliya Allah, iaitu mereka yang benar-benar beriman, benar-benar bertaqwa, yang sangat khusus (Khususiyyah), yang tinggi Ma'rifatnya (Maqam Tauhid Zat — Maqam Mukasyafah Zat, Maqam Tajalli), yang tulus ikhlas ubudiyyahnya (Maqam Mukhlisin).


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

“Sesungguhnya mereka yang benar-benar beriman (Mencapai Keimanan sejati) adalah Auliya Allah (Kekasih Allah) yang tiada takut apa pun terhadap sesuatu yang mendatang dan tiada dukacita terhadap suatu yang mereka tinggalkan di belakang.


Ke-2 : Dalil Jalan Ma'rifat dan Suluk.

Menurut Masyaikh Ahlus Sunnah Hadith Qudsi ini adalah dalil penting "Jalan Ma'rifat dan Suluk.  Ia menggambarkan proses perjalanan hamba-hamba Pilihan Allah yang di-Angkat oleh Allah ke Maqam Auliya Allah.  Mereka menempuh Jalan Ma'rifat dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq sehingga di-Angkat oleh Allah menjadi Kekasih-Nya. Ertinya seseorang yang mencapai maqam Auliya Allah, bukan main-main melainkan dia terlebih dahulu mujahadah sungguh-sungguh, melawan nafsu-nafsu jahat dan menempuh perjalanan yang jauh dengan penuh ikhlas, sebelum Allah Ta'ala berkenan Mengangkat-Nya menjadi hamba Pilihan Yang di-Kasihi-Nya.


Imam Ibnu Hajar Al Asqolani  berkata:

"Hadith ini adalah dalil dasar dalam melakukan suluk (khilwah) menuju Allah  dan sampai pada Ma'rifat  (mengenal Allah dan mencintainya). 

[Fathul Bari]


SIRI 405 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-54 : Memusuhi Auliya Allah

.....sambungan....


Ke-3 : Tidak mencapai Maqam Auliya Allah tanpa mengikut Jalan Ma'rifat

Menurut pegangan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, seseorang hamba Allah tidak akan mencapai maqam Qurbah (kehampiran dengan Allah), dan tidak akan mencapai Mukasyafah mengenal Allah dari dalam hati dan ruh dan sirriyyah (rahsia yang sangat mendalam) dan tidak akan menjadi orang yang di-Kasihi Allah sehingga dia mujahadah sungguh-sungguh pada Jalan Allah — Jalan Ma'rifat dengan berpegang teguh kepada Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ tanpa memisah-misahkannya, sebagaimana yang diwarisi oleh Sahabat Baginda, kemudian Tabiin, kemudian Tabiit-Tabiin, kemudian sekalian Masyaikh turun-temurun sampai ke zaman ini, tiada putus dan tiada tercemar oleh tangan-tangan kotor nafsu manusia atau syaitan.


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Sesiapa tidak memperoleh Ilmu ini (Ilmu Ketuhanan yang terpancar dari hati yang telah disucikan), tidak akan menjadi Arif (Maqam Tauhid hakiki), walaupun dia membaca seribu kitab.  Walau bagaimana tinggi pun ilmu zahir seseorang, ia tidak akan membantunya memasuki  Hadratul Quddus (mencapai Tauhid hakiki / Keimanan sejati). 

[Sirrul Asrar]


Berkata lagi Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

Hal ini (Rahsia Ketuhanan Mu'min sejati) hanya difahami dan mampu dihayati oleh mereka yang di-Kurniakan "faham" oleh Allah disebabkan kesucian ruhaniyah yang terlengkap di dalam batinnya. Orang yang terhijab batinnya daripada rahsia Ketuhanan ini akan tinggal "jahil" selama tidak terarah kepada tugas menyucikan batinnya."

[Sirrul Asrar]


Ke-4 :  Suluk-khilwah — jalan kembali kepada Allah 

Hadith Qudsi ini menegaskan Jalan sebenar menyucikan hati sehingga benar-benar bercahaya dan kembali kepada fitrah (kesucian asal) adalah Jalan Ma'rifat, iaitu amalkan Syari'at dan Toriqat Rasulullah dengan pimpinan Guru yang arif.


Ke-5 : Wali Allah melihat dengan Nur Allah (Cahaya Ketuhanan) 

Di antara kemuliaan agung yang Allah Kurniakan kepada Auliya Allah adalah melihat segala sesuatu dengan Nur Allah.  Allah Ta'ala memasukkan Cahaya Ketuhanan ke dalam hatinya setelah suci hatinya daripada Syirik (yang tersembunyi di dalam hati), Mazmumah (kekejian), ghaflah (lalai) dan aghyar (segala sesuatu selain Allah). 


Ke-6 : Memusuhi Auliya adalah dosa besar

Hadith Qudsi ini mengisytiharkan bahawa orang-orang yang memusuhi Wali-Nya (Kekasih-Nya) itu adalah dia Musuh Allah, orang di-Murkai Allah, menerima azab yang berat.  Wal Iyazubillah.


SIRI 406 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-54 : Memusuhi Auliya Allah

.....sambungan....


Tanda-tanda Auliya Allah

===================


Sampai ke perhentian ini, kamu sepatutnya sudah menyedari bahawa hamba-hamba Allah yang dikenali sebagai "Auliya Allah" benar-benar wujud di atas muka bumi dengan bukti-bukti nyata dari Al-Qur'an, Sunnah dan Ijma' Qias Ulama Ahlus Sunnah. 


Sebahagian dari mereka (Auliya Allah) di-Kurniakan Amanah Mentadbir Kerajaan Ma'rifat dan Kerajaan Dunia sekaligus (Ini zaman Pemerintahan Sahabat Khulafa' Ar-Rasyidin).  Sebahagian lagi di-Kurniakan Amanah mentadbir Dunia Ma'rifat sahaja (Ini kemudian dari zaman Pemerintahan Sahabat Khulafa' Ar-Rasyidin dan akan berlangsung sehingga kedatangan Imam Mahdi Alayhis-Salam).  Mereka ini yang dikenali sebagai Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.


Sebahagian lagi dari kalangan Auliya Allah ini tidak diberikan apa-apa amanah mentadbir tetapi hanya amanah ubudiyyah - zikrullah dan kewajipan yang lain sampai akhir hayat mereka. 


Kesemua mereka (Auliya yang diberi amanah mentadbir Kerajaan dunia dan Kerajaan Ma'rifat, atau Kerajaan Ma'rifat sahaja, atau semata-mata amanah Ubudiyyah sahaja... semua ini adalah di dalam Tadbir Allah Ta'ala). 


Berikut kami sebutkan sebahagian daripada tanda-tanda menunjukkan kewalian seseorang sebagaimana disebut di dalam Al-Qur'an, Hadith dan Ijma' Qias Ulama Mu'tabar.


Tanda Pertama: Benar-benar beriman dan bertaqwa

Ini tanda paling awal yang wajib wujud pada seseorang Auliya Allah.  Mereka adalah hamba-hamba Allah yang benar-benar bertaqwa.  Ertinya tak mungkin mereka itu dari kalangan orang fasiq, keji atau kufur. 


Firman Allah Ta'ala:


ٱلَّذِينَ آمَنُواْ وَكَانُواْ يَتَّقُونَ.  


 Mereka (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman (Mu'min sejati) serta mereka pula sentiasa bertaqwa (sebenar-benar Taqwa).  

[Yunus (10) : Ayat 62]


Tanda ke-2: Berpegang kepada Ahlus Sunnah Wal Jamaah

Setiap hamba Allah yang diangkat oleh Allah kepada Maqam Auliya Allah adalah dari kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah dan TIDAK sesekali dari kalangan firqah sesat — 72 golongan sesat ( Khawarij (wahhabiyyah), Syi'ah (rafdhi), mujassimah, mu'tazilah, jabariyyah dan lain-lain ). 


Berkata Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

Ketika ditanya "Pernahkah wujud Wali Allah selain dari Ahlus Sunnah, beliau menjawab: "Tidak wujud, dan tidak akan wujud selama-lamanya,"

[Qalai'd Al-Jawahir]


Tanda ke-3: Pegang teguh kepada Syari'at dan Toriqat Rasulullahﷺ

Setiap Auliya Allah lahir dari Jalan Ma'rifat, iaitu Jalan Agama yang lurus, jalan yang benar yang telah ditempuh oleh Rasulullah ﷺ dan Sahabat dan diwarisi turun-temurun oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah.  Jalan Ma'rifat itulah jalan sebenar Ahlus Sunnah, berpegang teguh dengan Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ. Barangsiapa abaikan salah satu daripadanya maka dia jatuh kepada fasiq atau zindiq.  Maka tak mungkin seseorang Auliya Allah bersifat demkian.


Imam Malik Radhiallahu Anhu berkata: 


مَنْ تفقَّهَ ولم يتصوف فقد تفسق، ومَنْ تصوَّف ولم يتفقه فقد تزندق، ومن جمعَ بينهما فقد تحقَّق


“Sesiapa yang mempelajari ilmu fiqh tanpa mengamalkan Tasawwuf, maka dia telah menjadi fasiq.  Dan sesiapa yang mengamalkan Tasawwuf tanpa mempelajari ilmu fiqh, maka dia telah menjadi zindiq.  Dan sesiapa yang menggabungkan antara kedua-duanya, maka dia telah mencapai kebenaran. ”


[Nukilan di dalam kitab :

Ihya Ulumuddin - Imam Ghazali

Qawaid Tasawwuf - Imam Zarruq

Risalah Ma'rifat - Tajul Arifin Shaikh Yahya Al Kholidi

Tanwirul Qulub - Imam Amin Kurdi

Sirus Salikin - Shaikh Abdus Somad Al Falimbani]


SIRI 407 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-54 : Memusuhi Auliya Allah

.....sambungan....


Tanda ke-4: Bila memandangnya terus bawa kepada mengingat Allah


Setengah dari bukti dan tanda-tanda seseorang itu Auliya Allah adalah:  Ketika kamu melihat mereka, seketika itu juga kamu akan ingat kepada Allah.


Rasulullah ﷺ bersabda:

“Wali-wali Allah adalah orang-orang yang jika dilihat dapat mengingatkan kita kepada Allah.”

[Imam Abu Nu'aim] 


Rasulullah ﷺ bersabda:

“Sebaik-baik kamu adalah apabila dia dilihat, membawa mengingat Allah.

[Imam Ibnu Majah]


Rasulullah ﷺ bersabda :

"Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang apabila dilihatnya, dapat mengingatkan kamu kepada Allah, percakapannya menambahkan ilmu kamu, perbuatannya (amalannya) mendekatkan kamu kepada akhirat” 

[Imam Al-Haakim]



Tanda ke-5: Allah Kurnikan kebaikan dunia Akhirat kepada orang yang berserta dengan mereka


Rasulullah ﷺ bersabda:


مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ ، فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً ، وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَة


“Perbandingan teman duduk yang soleh dan buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang  besi.  Ada pun penjual minyak wangi, boleh jadi ia akan memberikan kamu minyak wangi, atau kamu akan membeli darinya atau kamu akan mendapat bau harum darinya.  Adapun tukang pandai besi, boleh jadi ia akan membuat pakaianmu terbakar, atau kamu akan mendapat bau yang tidak sedap darinya.” 

[Imam Bukhari dan Imam  Muslim ]


Rasulullah ﷺ bersabda:


إِنَّ مِنْ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلْخَيْرِ مَغَالِيقَ لِلشَّرِّ وَإِنَّ مِنْ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلشَّرِّ مَغَالِيقَ لِلْخَيْرِ فَطُوبَى لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الْخَيْرِ عَلَى يَدَيْهِ وَوَيْلٌ لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الشَّرِّ عَلَى يَدَيْهِ


“Sesungguhnya ada sebahagian manusia  menjadi kunci kebaikan dan penutup kejelekan, dan ada pula sebahagian manusia yang menjadi kunci kejelekan dan penutup kebaikan.  Maka beruntunglah bagi siapa saja yang Allah jadikan kunci-kunci kebaikan berada di tangannya, dan celakalah bagi siapa saja yang Allah jadikan kunci-kunci kejelekan berada di tangannya.” 

[Imam Ibnu Majah]


Melalui hadith ringkas ini, Rasulullah ﷺ perintahkan kepada Ummat Baginda agar mencari "tukang jual minyak wangi yang sebarkan wangian dan keindahan"  dan jauhi "tukang penyebar kekotoran dan kebusukan".


Minyak wangi adalah isyarat kepada kebaikan, keindahan, kesucian dalam Agama.  Kebaikan PALING UTAMA dalam Agama adalah kebaikan pada mengenal Allah, keindahan Tauhid yang suci murni dan perlindungan dari gangguan bisikan, was-was syaitan,  nafsu rendah, makhluq dan dunia.   


SIRI 408 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-54 : Memusuhi Auliya Allah

.....sambungan....


Tanda ke-6 : Tiada takut dan tiada bersedih hati ketika manusia lain di dalam ketakutan dan kesedihan.


Auliya Allah yang sebenarnya tiada kekhuwatiran apa pun di dunia ini bahkan ketika Allah Ta'ala menghimpun sekalian manusia di Padang Mahsyar dan masing-masing di dalam keadaan ketakutan dan huru-hara, mereka di dalam kedamaian ketenangan kelembutan Allah Ta'ala Yang Maha Penyayang.


Sabda Rasulullah ﷺ

"Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah terdapat beberapa manusia yang bukan para Nabi dan bukan Syuhada, tetapi Para Nabi dan orang-orang yang mati syahid merasa iri hati kepada mereka pada hari Qiamat karena kedudukan mereka di sisi Allah Ta'ala." Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah engkau akan menceritakan kepada kami siapakah mereka?” Baginda bersabda: "Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai dengan ruh dari Allah tanpa ada hubungan kekerabatan di antara mereka, dan tanpa adanya harta yang saling mereka berikan.  Demi Allah, sesungguhnya wajah mereka adalah bercahaya, dan sesungguhnya mereka berada di atas cahaya, tidak merasa takut ketika orang-orang merasa takut, dan tidak bersedih ketika orang-orang merasa bersedih." Dan Baginda  membaca ayat ini:   أَلَآ إِنَّ أَوۡلِيَآءَ ٱللَّهِ لَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ 

("Ingatlah, sesungguhnya Wali-Wali Allah itu, tidak ada kekhuwatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.) 

[Yunus  (10)  : Ayat 62].

[Imam Abu Dawud]


Tanda ke-7: Tersembunyi dari pandangan kebanyakan manusia


Di antara tanda-tanda Auliya Allah yang benar adalah "Kewalian" mereka tersembunyi sehingga kebanyakan orang Islam (awam) tidak mengenal mereka lantaran kehidupan mereka biasa sahaja. Mereka bukan raja atau sultan, bukan perdana menteri, bukan tokoh politik, bukan orang kenamaan yang dipuja-puja. Pakaian dan penampilan zahir mereka menutupi "maqam kewalian" mereka.  


Rasulullah ﷺ bersabda: 

“Orang-orang yang paling dicintai Allah adalah mereka yang bertaqwa yang suka menyembunyikan diri, jika mereka tidak ada, maka tidak ada yang mencarinya, dan jika mereka hadir, maka mereka tidak dikenal. Mereka adalah para imam petunjuk dan para pelita ilmu.”

[Imam An-Nasa’i]


Walau bagaimanapun "kewalian Auliya Allah yang sangat tinggi maqam mereka" mungkin terzahir ketika hayat mereka di dunia ini.  Di dalam sejarah Ummat Islam, di antara Kekasih Allah yang sudah harum nama mereka ketika hayat mereka di dunia:


1. Khulafa Ar-Rasyidin — Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman,Sayyidina Ali

2. Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husain, cucunda kesayangan Rasulullah ﷺ, 

3. Imam Jaafar Siddiq, 

4. Al-Imam sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani, 

5. Imam Hasan Al-Basri,  Imam Sufyan Ath-Thawri,

6. Imam-Imam Mujaddid yang hidupkan kembali Agama setelah mengalami kemerosotan — Imam Ghazali, Imam Fakhruddin Ar-Razi, Imam Sayuthi, Imam Haythami, Imam Haddad, 

7. Imam-Imam Mujtahid Mazhab Fiqh — Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Muhammad Idris Asy-Syafi'e, Imam Ahmad Ibnu Hanbal dan lain-lain..

Ridhwanullahi Alaihi Ajma'in, Moga Allah Meredhai kesemua mereka yang suci dan mulia.


SIRI 409 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-54 : Memusuhi Auliya Allah

.....sambungan....



Wali Palsu dan Tanda-tandanya

=======================


Kepalsuan, kebatilan dan kesesatan akan sentiasa bertarung dengan kebenaran.  Iblis dan nafsu-nafsu jahat di dalam hati manusia akan sentiasa menentang kebenaran.  Kebenaran yang dibawa oleh Ahlus Sunnah yang benar akan sentiasa berhadapan dengan kepalsuan dan kebatilan 72 golongan batil dan sesat.


Sejak dahulu nama "Auliya Allah" sudah masyhur di kalangan Ummat Islam sebagai orang yang dimuliakan, disanjung tinggi dan diambil barakah daripada kelebihan-kelebihan yang Allah Ta'ala Kurniakan kepada mereka. Dicelah-celah kebenaran dan kemuliaan hamba-hamba Allah ini, bangkit orang-orang tertentu yang salah gunakan "kemuliaan dan kemasyhuran Auliya Allah" untuk mencari kemasyhuran atau mengaut keuntungan duniawi untuk diri sendiri.  Mereka adalah wali palsu atau wali syaitan yang membawa kesesatan.  Wal Iyazubillah.


Tanda wali palsu Pertama: Menyalahi Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Ini adalah tanda paling umum.  Kita sudah bicarakan bahawa Auliya Allah adalah  Kekasih Allah yang beriman dan benar-benar bertaqwa.  Mereka adalah Pilihan Allah yang tetap berpegang teguh dengan Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ, zahir dan batin.  Dengan demikian setiap orang yang mengaku Wali Allah atau dimasyhurkan oleh pengikut-pengikutnya sebagai Wali Allah sedangkan mereka terang-terang menyalahi Syari'at dan peraturan serta adab-adab Toriqat Nabi ﷺ, maka dia bukanlah Auliya Allah sebaliknya dia wali Palsu atau wali Syaitan.


Tanda wali palsu ke-2: Melakukan pertapaan (Bertapa)

Setengah orang jahil yang ghairah menjadi Wali Allah dan mencapai karomah, melakukan amalan "bertapa" di bawah pokok-pokok atau tepi sungai atau lurah atau gunung yang dianggap mempunyai "keramat" (menurut pendapat mereka sendiri).  Amalan bertapa adalah tradisi sami-sami budha, hindu, kristian dan lain- lain, BUKAN amalan Islam. Menurut Ahlus Sunnah yang benar, mengasingkan diri dari urusan dunia dan pergaulan manusia beberapa waktu adalah dikatakan khilwah atau Suluk,  mencontohi Rasulullah ﷺ yang beribadah di Gua Hira sebelum Baginda di-Angkat oleh Allah menjadi Rasul.  


Tanda wali Palsu ke-3:  Tiada Mursyid memimpinnya

Sekalian masyaikh Ahlus Sunnah telah sepakat bahawa barangsiapa tidak ada Mursyid sebagai pemimpinnya, maka Iblis yang menjadi pemimpinnya. 


Tanda wali palsu ke-4: Mengaku dipimpin oleh Wali Songo atau Wali-wali lain

Dunia keruhanian adalah dunia yang sangat luas tak bertepi yang penuh misteri, berbagai makhluq halus, ruh jahat, jinn dan syaitan sentiasa menunggu untuk menarik manusia kepada kesesatan. Berdasarkan sejarah, ramai "alim, ahli ibadah, hafiz Qur'an dan lain- lain" menjadi korban Iblis — disesatkan oleh Iblis melalui penyamaran ini.


Berkata Imam Ghazali:

“Murid memerlukan seorang Mursyid atau guru keruhanian yang dapat diikutinya, agar dia menunjukkannya ke jalan yang lurus. (jalan benar yang di-Redhai Allah).  Jalan agama sangatlah samar, (tak dapat bezakan haq dan batil, benar atau salah) dan jalan-jalan syaitan sangat banyak dan jelas (terbuka luas untuk dimasuki oleh siapa sahaja).  Oleh kerana itu, jika seseorang yang tidak mempunyai Shaikh ( Mursyid )yang membimbingnya, maka pasti syaitan akan menggiringnya (memimpin dan memujuknya) menuju jalannya. 

[Ihya Ulumuddin Bab Ilmu]


Rumusan Penting:

Tujuan kami bentangkan hal ehwal Auliya Allah ini adalah supaya setiap Muslim sedar dan kenal Auliya Allah yang benar dan jangan sesekali memusuhi mereka.  Di samping itu hati-hati supaya tidak terjatuh ke dalam perangkap wali palsu dan batil.


SIRI 410 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-55 : Abaikan Toriqat (Tasawwuf)

==================================


Definisi-Definisi Penting

==================


Definisi Syari'at (fiqh)


Dari segi bahasa:

Syariat  ( شَريِعَة)    berasal dari kata dasar  (شَرَعَ – يَشْرعُ) membawa maksud peraturan, undang-undang, mazhab, jalan, methode,  memulai sesuatu.


Dari segi istilah :

Secara umum Syari’at bermaksud : Sekalian undang-undang, peraturan, hukum-hakam Agama yang terkandung di dalam Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah ﷺ. 

Secara khusus bertujuan Pendidikan : Syari’at adalah sekalian ilmu dan amal yang takluk kepada anggota Zahir seperti solat, puasa, zakat, haji, da’wah, jihad, jual beli, nikah kahwin dan lainnya. 


Definisi Toriqat (Tasawwuf)


Dari segi Bahasa:

Toriqat  ( طريقة )  berasal dari kata ( يَطْرقُ - طَرَقَ ) bermaksud  Jalan,  kaedah, manhaj,  methode, mazhab, sistem


Dari segi istilah:

Toriqat adalah himpunan sekalian ilmu dan amal soleh yang berkait dengan kebaikan hati dan ruh, diambil dari Kitabullah dan Sunnah Rasulullah ﷺ,  serta dihimpunkan oleh Ulama Ahlus Sunnah yang arif,  menjadi  suatu Sistem Tarbiyyah (Pendidikan) yang tersusun lengkap, bertujuan mendidik  seseorang Muslim menjadi hamba Allah yang sejati, mencapai Tauhid yang hakiki dan Ubudiyyah yang suci murni  dengan pimpinan Gurunya yang Arif (Mursyid Pewaris Nabi yang Benar). 

 

Penjelasan:

=========


(1) Menurut pendirian Ahlus Sunnah Wal Jamaah, wahyu yang turun kepada Rasulullah ﷺ terdiri dari dua bahagian : 

Pertama:  Wahyu berkenaan ilmu dan amal ibadah yang bersifat zahir — disebut Syari'at Rasulullah ﷺ (fiqh).

Kedua: Wahyu berkenaan Ilmu dan amal ibadah yang bersifat batin — disebut Toriqat Rasulullah ﷺ  (Tasawwuf).


(2) Keseluruhan kandungan Al-Qur'an dan Hadith membicarakan kedua-dua ilmu ini.

Pertama : Ilmu dan amal yang takluk (berkait dan terhubung) kepada anggota zahir manusia disebut Syari'at, iaitu Solat, puasa, zakat, haji, nikah kahwin, jual beli, pemerintahan dan lainnya.  

Kedua:  Ilmu dan amal yang takluk (berkait dan terhubung) kepada batin (hati, jiwa, ruh) manusia disebut Toriqat, iaitu hal-hal yang mengotori hati dan cara-cara menyucikannya dengan zikrullah dan mujahadah melawan nafsu-nafsu jahat sehingga hatinya bersinar kembali dengan Cahaya Ketuhanan. 


(3) Sekalian Ulama Pewaris Nabi yang Siddiq (yang benar) yang terpercaya sepanjang zaman (mulai para Sahabat Ridhwanullah) amalkan kedua-kedua ilmu ini (Syari'at dan Toriqat Rasul ﷺ dan mewariskannya kepada Generasi berikutnya dan berikutnya sampai ke zaman ini dan akan berterusan sampai Qiamat.  


(4) Menurut pendirian Ulama Mu'tabar yang terpercaya sepanjang zaman, kedua-dua bahagian Agama ; Syari'at (fiqh) dan Toriqat (Tasawwuf) wajib dipelajari dan wajib diamalkan.  Barangsiapa amalkan Syari'at (fiqh) sahaja dan abaikan Toriqat (Tasawwuf), maka dia menjadi fasiq. Dan barangsiapa amalkan Toriqat (tasawwuf) sahaja dan abaikan Syari'at (fiqh), maka dia menjadi zindiq. 

(Fasiq adalah ungkapan yang ditujukan kepada orang yang melakukan dosa besar atau kekal melakukan dosa kecil tanpa taubat.  Zindiq adalah golongan yang tidak menyedari mereka telah terkeluar dari Agama/batal Iman.  Mereka menyangka mereka beriman tetapi tak sedar Iman mereka telah BATAL.  Wal Iyazubillah.)


(5) Sebagai pengetahuan awal, fahamilah: Setiap Toriqat yang mu'tabarah dipimpin oleh seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dan mempunyai disiplin, peraturan, syarat dan adab-adab tertentu yang sangat tegas dan teguh. 


(6) Setiap Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang terpilih (Pilihan Allah) yang mempunyai silsilah pengambilan ilmu daripada Gurunya kepada Gurunya dan kepada Gurunya bersambung-sambung sampai kepada Sahabat Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman dan Sayyidina Ali Ridhwanullahi alayhi ajma'in, kemudian kepada Junjungan Besar Rasulullah ﷺ.


(7) Ahlus Sunnah dan Toriqat yang benar yang _warid_ dari Rasulullah ﷺ akan tetap terpelihara sampai Qiamat.  Allah Ta'ala Memelihara kesucian dan kebenaran Ahlus Sunnah dan Toriqat di tangan sekalian Pewaris Nabi yang Siddiq.


Bersambung siri 411 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...