B38 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 371 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-49:

Menghina orang miskin kerana kemiskinannya

... Sambungan.....



Dalil 3: Firman Allah:


وَإِذَا قِيلَ لَهُ ٱتَّقِ ٱللَّهَ أَخَذَتْهُ ٱلْعِزَّةُ بِٱلإِثْمِ فَحَسْبُهُ جَهَنَّمُ وَلَبِئْسَ ٱلْمِهَادُ 


"Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertaqwalah engkau kepada Allah", timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu).  Oleh itu padanlah dia (menerima balasan azab) Neraka Jahanam dan demi sesungguhnya, (Neraka Jahanam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal"

[Al-Baqarah (2) : Ayat 206]


Dalil 4 : Firman Allah:


وَلاَ تَمْشِ فِي ٱلأَرْضِ مَرَحاً إِنَّكَ لَن تَخْرِقَ ٱلأَرْضَ وَلَن تَبْلُغَ ٱلْجِبَالَ طُولاً.   كُلُّ ذٰلِكَ كَانَ سَيِّئُهُ عِنْدَ رَبِّكَ مَكْرُوهاً


"Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.  Semua itu kejahatannya sangat dibenci di Sisi Tuhanmu."

[Al-Israa' (17) : Ayat 37]


Dalil 5 : Firman Allah:


 كَذَلِكَ يَطْبَعُ اللَّهُ عَلَى كُـلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍ جَبَّارٍ


“Begitulah Allah memeterai (menutup) setiap hati orang yang sombong dan sewenang-wenang.”

[Al-Mu’min (40) : Ayat 35]


Dalil 6 : Firman Allah:


  يأَيُّهَا الَّذِينَ ءامَنُواْ لاَ تُبْطِلُواْ صَدَقَـتِكُم بِالْمَنّ” وَالاْذَى……”


Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan kebanggaan dan cercaan..”

[Al-Baqarah (2) : Ayat 264]


Dalil 7 : Firman Allah di dalam Hadis Qudsi:    

“Takabbur itu selendang-Ku dan kebesaran itu kain sarung-Ku. Maka barangsiapa bertengkar dengan Aku pada salah satu dari yang dua itu, nescaya Aku campakkan dia dalam Neraka jahannam.  Dan Aku tidak pedulikan.” 

[Imam Muslim]


Dalil 8 : Rasulullah  ﷺ  bersabda:

“Barangsiapa merasa besar pada dirinya atau sombong dalam berjalannya, pasti akan bertemu Allah tabaaroka wa ta’aalaa murka kepadanya.”

[Imam Ath-Thabarani]


Dalil 9 : Rasulullah  ﷺ  bersabda:


 لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ


“Tidak akan masuk surga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.”  Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal bagus ?” Kata Baginda:  “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan.  Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.”

[Imam Muslim]


Dalil 3-9 di atas menunjukkan bahaya Takabbur.  Sesungguhnya  "menghina orang miskin kerana kemiskinannya" adalah Takabbur, iaitu dosa besar dan syirik - syirik khafi (syirik tersembunyi di dalam hati). 


Barangkali ramai yang tertanya-tanya bagaimana "menghina orang miskin" boleh termasuk Takabbur yang merupakan dosa besar dan syirik tersembunyi?


Menurut penelitian kami ramai orang Islam tidak memahami pengertian Takabbur sehingga mereka sering terjatuh ke dalamnya.  Cerdik pandai lulusan Universiti (Profesor, Drs, Masters, ustaz ustazah) pula menafikannya atau mengganggapnya perkara remeh.  Sebahagian lagi mengingkari wujud syirik khafi.   Semua ini kebodohan yang membawa kepada kebinasaan Iman dan Islam.  Wal Iyazubillah. 


Berkenaan dengan dosa besar Takabbur dan syirik khafi (syirik dalam hati) —  pengertiannya, fakta-fakta penting, dalil-dalil,  tanda-tanda wujud Takabbur di dalam diri seseorang, bahaya takabbur kepada Iman dan amal seseorang dan cara-cara merawatnya dengan berkesan, telah pun dijelaskan pada awal-awal Risalah ini.  Di sini kita akan ulang sebut secara ringkas sahaja. Moga bermanfaat.


SIRI 372 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-49:

Menghina orang miskin kerana kemiskinannya

... Sambungan.....



Ringkasan: 

Penjelasan Takabbur

==================


Di sini kami akan ulangi secara ringkas pengertian Takabbur (dan hal ehwal yang berkait dengannya) yang ramai tidak memahaminya dengan tepat, keliru dan seringkali terbabas (jatuh kepada Takabbur) sedang mereka tidak menyedarinya.


Asas kepada Pengertian Takabbur:


Rasulullah ﷺ telah meletakkan asas kepada Pengertian Takabbur, iaitu :  

Pertama : Menolak kebenaran

Kedua     : Memandang orang lain dengan pandangan hina.


Rasulullah ﷺ bersabda:

"Sombong adalah menolak kebenaran dan menghina orang lain.”

[Imam Muslim]


Daripada dua asas ini, Ulama kita telah huraikan sekalian hal ehwal yang berkaitan dengan Takabbur. Untuk memahaminya kita perlu teliti dahulu pengertian "kebenaran" dan "menghina" menurut tafsiran Ulama.


Pengertian Kebenaran

===================


Pengertian "kebenaran" menjadi perdebatan di kalangan orang Islam setelah kewafatan Rasulullah ﷺ.  Setiap kelompok mengaku mereka yang benar dan selain mereka sebagai sesat atau batil. 


Di dalam keributan pendapat-pendapat manusia itu, ternyata satu-satunya jalan kebenaran yang diwarisi turun-temurun tanpa putus dari Junjungan Rasulullah    ﷺ adalah Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang dipimpin Masyaikh Ahlus Sunnah yang dikenali sebagai Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq — Jalan yang menggabungkan Syari'at (fiqh) dan Toriqat (tasawwuf) Rasulullah ﷺ, tanpa abaikan mana-mana bahagian zahir mahu pun batin.  Sekalian Ulama Ahlus Sunnah yang ternama lahir dari jalan ini.


Berkata Imam Ghazali:

"Selama waktu khilwah  (uzlah) itu terbukalah bagiku rahsia yang tak terhitung jumlahnya, tak mungkin di  istiqsa (membahas sesuatu sejauh-jauhnya dan sedalam-dalamnya ) Yang ku katakan untuk mengambil manfaatnya – ialah aku benar-benar yaqin, Ahli  Sufi  (Mursyid, Ahli Ma'rifat, Warisatul Anbiya yang benar)  itulah yang benar-benar telah menempuh jalan yang di-Kehendaki Allah Ta’ala.  Merekalah  golongan yang paling utama cara- cara hidupnya, paling tepat tindak lakunya dan paling tinggi budi pekertinya.  

Bahkan andaikata aqal para  uqala,  hikmah para  hukama, dan ilmu para ulama yang tahu rahsia syara’,  semua itu dihimpun untuk menciptakan suatu cara yang lebih utama dari cara  Ahli Sufi  itu, tiada akan memberi hasil;  sebab segala gerak geri mereka (Ahli Sufi) baik zahir maupun batin, diterangi  Nur Nubuwwah (Cahaya Kenabian) sebagaimana Firman Allah :


يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتٍ۬‌


"....supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat ...."

[Al Mujadalah (58) : Ayat 11]

[Tamat nukilan kata-kata Imam Ghazali dari kitab Munqiz Min-Adh-Dholal] 


Pengertian menghina:

===================

Berkata Imam Ghazali :

Takabbur adalah tingkah laku yang ada pada jiwa, yang merasa senang dan cenderung pada dilihat dirinya di atas orang yang disombonginya. 


Asalnya perlakuan "menghina orang" timbul di dalam hati. Namun di dalam kebanyakan keadaan, "rasa" di dalam hatinya terzahir pada perkataan dan sikap dan perbuatannya.   


SIRI 373 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-49:

Menghina orang miskin kerana kemiskinannya

... Sambungan.....



Fakta-fakta Penting berhubung dengan Takabbur:


■ Takabbur (sombong, ego, megah) adalah membesarkan diri, merasai diri lebih hebat, lebih mulia, lebih tinggi dari orang lain serta memandang orang lain dengan pandangan hina.  Ia merupakan dosa batin, maka ia terpendam di dalam hati, namun seringkali Sifat terpendam ini terkeluar lalu terlihat di dalam tutur kata, perbuatan dan tingkah laku.  


■  Takabbur adalah sebesar-besar dosa batin dan sebesar-besar Syirik Khafi (syirik tersembunyi di dalam hati). 


■ Manusia yang mempunyai sifat Takabbur adalah sehina-hina manusia pada pandangan Allah Ta'ala sedangan orang itu berfikir diri dia mulia, maka binasalah dia dengan angan-angan dia.  Wal Iyazubillah


■ Sebagaimana Syirik Khafi yang lain, Takabbur hapuskan amal kebaikan dan rosakkan iman.


■  Takabbur adalah "selendang Allah", maksudnya hanya Milik Allah Ta'ala Yang Maha Agung, dengan itu makhluk mana pun TIDAK layak bersifat dengan sifat Takabbur.  (Sifat makhluq adalah sebaliknya, iaitu bersifat dengan faqir, dhaif, tawadhu')


■ Allah Ta'ala melaknat orang yang Takabbur, sombong, megah, membesarkan diri.


■ Iblis menerima La'nat Allah sehingga Qiamat akibat keingkaran kepada Allah Ta'ala dan Takabburnya terhadap Nabi Adam Alayhis-Salam.


■ Orang yang Takabbur, Menyombong diri, Menunjuk Kemegahan diri diancam dengan Neraka Jahannam.  Wal Iyazubillah.


■ Takabbur menyebabkan hati menjadi keras membatu, gelap, mati  dan tertutup.  Wal Iyazubillah


■ Takabbur itu boleh berlaku kepada siapa sahaja, namun ia berlaku terutama mereka yang mempunyai kelebihan tertentu (seperti kelebihan ilmu, kuasa, kekayaan, kedudukan, pangkat, nama, gelaran, sijil, harta kekayaan — lihat huraian akan datang)


■ Setiap manusia yang melakukan Takabbur, WAJIB Taubat segera dengan Taubat Nasuha, kembali kepada Allah dengan merendahkan dirinya.


■ Orang yang terus-menerus Takabbur, Membesarkan diri,  Bermegah diri dan tidak bertaubat adalah termasuk orang yang terkena istidraj, sedang dia leka dan megah dengan sangkaan dia dalam kemuliaan.  Wal Iyazubillah


SIRI 374 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-49:

Menghina orang miskin kerana kemiskinannya

... Sambungan.....



Tanda-Tanda Takabbur

=================


Sebagaimana telah dibicarakan sebelum ini, Takabbur itu timbul di dalam hati serta menetap di dalam hati.  Walau bagaimanapun kebanyakan manusia yang memiliki sifat Takabbur tidak dapat menahan diri dari menzahirkan sifat Takabbur itu di dalam perkataan dan tingkah laku.  Maka tanda-tanda Takabbur itu terlihat di dalam ucapannya atau tingkah lakunya.


Berikut adalah sebahagian besar dari tanda-tanda yang terlihat pada orang yang Takabbur. Bacalah dengan teliti dan dengan hati yang terbuka luas untuk menerima kebenaran. 



Tanda Pertama: Cakap besar dan bangga-bangga diri


Ini tanda Takabbur paling umum dan penyakit paling besar bagi orang Islam yang suka Takabbur. Mereka gemar bercakap besar, membangga-bangga diri dengan kebolehannya, serta memandang remeh kemampuan orang lain.


Mereka akan cuba meyakinkan orang awam bahawa diri mereka yang terbaik, diri mereka paling hebat, diri mereka yang unggul sempurna sedangkan lawannya atau orang lain tak dapat menandingi kehebatannya.  Mereka akan cuba menonjolkan diri mereka sebagai yang terbaik sementara orang lain akan dikata sebagai "buruk", "tidak cekap",  "lemah", "pemalas"  dan sebagainya agar orang lain kelihatan hina pada pandangan orang awam.


Tanda ke-2: Tidak mahu tunduk kepada kebenaran


Sebagaimana disebut oleh sekalian Ulama Ahlus Sunnah, kebenaran itu hanya wujud di dalam Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang benar (tulen).   Dasar Pegangan Ahlus Sunnah yang benar adalah berpegang teguh dengan Al-Qur'an, Hadith serta Fatwa Ulama Mu'tabar.  


Ulama Mu'tabar adalah Ulama bertaraf Auliya Allah yang mempunyai susur galur pengambilan Ilmu amal turun-temurun dari Junjungan Besar Rasulullah ﷺ.  Merekalah Mursyid (Penunjuk Jalan benar) kepada Ummat ini sepanjang zaman.  Merekalah Khalifah Rasulullah ﷺ yang bermula dari Khulafa' Ar-Rasyidin, sambung- menyambung tiada putus sampai Qiamat.  Merekalah Ahli Ma'rifat yang mewarisi Nubuwwah dan _Risalah_ Baginda ﷺ.  Mereka sentiasa Musyahadah (menyaksikan wajah Allah) serta di dalam Pimpinan Ruhaniyah Rasulullah  ﷺ.  Mereka tidak akan sama sekali berdusta dan tidak sesekali menyeleweng kepada kesesatan.   


Dengan demikian, selain dari Ahlus Sunnah yang benar (tulen), hanyalah kebatilan dan kesesatan. Tidak wujud kebenaran selain dari yang telah dinyatakan oleh sekalian Ulama Mu'tabar yang telah memperoleh Rahmat Allah.


Jika wujud satu golongan mengaku mereka Ahlus Sunnah, sedangkan pegangan mereka adalah mengikut Syi'ah (rafidhi) atau mengikut fahaman Wahhabiyyah (Khawarij) atau mengikut fahaman Sekular (Liberal) atau fahaman sesat yang lain, maka tidak syak lagi mereka adalah golongan sesat yang pura-pura mengaku Ahlus Sunnah.  Mereka adalah Ahlus Sunnah PALSU.  TIDAK wujud "kebenaran" pada Ahlus Sunnah PALSU...!


Neraca sebenar penentuan kebenaran atau kebatilan adalah dengan memerhatikan siapa Pemimpin mereka _ adakah Pemimpin mereka Ulama Warisatul Anbiya yang sebenar atau Pemimpin mereka adalah dari golongan Syi'ah (rafidhi) atau Wahhabiyyah (khawarij) atau lain-lainnya.


Dengan demikian yang dimaksudkan dengan "menolak kebenaran" adalah menolak Ahlus Sunnah yang benar (tulen) yang dipimpin oleh Ulama Mu'tabar / Ulama Warisatul Anbiya yang sebenar.   Siapa saja menolak "kebenaran" Ahlus Sunnah yang benar (tulen), maka mereka itulah golongan Takabbur dan tersesat jauh dari petunjuk Allah,  Wal Iyazubillah. 


SIRI 375 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-49:

Menghina orang miskin kerana kemiskinannya

... Sambungan.....


Tanda ke-3: Enggan menerima nasihat

Tidak suka (atau enggan) menerima nasihat atau teguran daripada orang lain.  Ini kerana dia merasa diri lebih bijak dan lebih banyak ilmu dari orang lain. 


Tanda ke-4: Enggan mengaku salah

Tidak mengakui kesalahan walaupun ternyata dia salah. (menurut penilaian dan i'tiqad Ahlus Sunnah). 


Tanda ke-5: Salahkan juru nasihat

Menyalahkan orang yang menegur kesalahannya sebagai orang yang tidak pandai berda'wah, tidak berhemah, tidak cekap dan lain-lain untuk melepaskan diri dari kesalahannya.


Tanda ke-6: Keras hati enggan mohon maaf

Susah minta maaf atau enggan meminta maaf walaupun dia tahu dia buat kesalahan yang nyata.  


Tanda ke-6: Rasakan diri mulia

Dia merasakan dirinya keturunan mulia atau golongan bangsawan, golongan kelas atasan, golongan istana, maka tak layak ditegur atau dinasihati oleh sesiapa pun. 


Tanda ke-7: Bangga dengan ibadah banyak

Selalu menyebut-nyebut serta bermegah-megah dengan suatu perkara dunia atau  kelebihan ibadahnya.  


Tanda ke-8: Marah apabila pendapatnya ditolak

 Segera bangkit amarah(naik kemarahannya) jika pendapat (aqalnya) dia ditolak.  


Tanda ke-9: Memaksa orang menerima pendapatnya

Gemar  memaksakan kehendak dan pendapat sendiri.  Jika tak diterima pendapatnya, dia terus merajuk atau bermusuh.   


Tanda ke-10: Hanya bergaul dengan teman setaraf

Hanya  bergaul dan berteman dengan orang-orang setarafnya.  Jika dia dari keturunan mulia, dia hanya bergaul dengan teman-teman keturunannya.  Jika orang berpangkat, dia  hanya bergaul dengan teman-teman sama pangkatnya kerana mereka menganggap selain mereka sebagai tak sama taraf.


SIRI 376 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-49:

Menghina orang miskin kerana kemiskinannya

... Sambungan.....



Tanda ke-11: Suka doakan kejahatan

 Gemar mendoakan kejahatan atau keburukan pada orang Mukmin lain.  


Tanda ke-12: Gembira dengan pujian dan sanjungan

Gemar kepada pujian dan sanjungan manusia (merasakan diri mulia) dan marah jika tidak menerima pujian. 


Tanda ke-13: Ingin orang lain mengucap salam padanya

Sangat sukacita orang lain memulai ucapan salam kepada dia, kerana merasakan dirinya lebih berilmu dan lebih mulia.


Tanda ke-14: Ingin orang lain berdiri hormat

Sangat suka orang lain bangun berdiri memuliakannya dan marah  bila orang tak berbuat demikian.


Tanda ke-15: Amat gemar orang melayaninya sebagai orang mulia

Sukacita orang lain menjadi khadim, berkhidmat kepadanya seperti menyediakan tempat duduk istimewa, sediakan makan minum dan marah jika tidak dibuat demikian,  kerana mengganggap dirinya sangat mulia dan lebih dari orang lain.

(Adapun murid berkhidmat kepada Mursyidnya adalah suatu hal berlainan kerana murid dituntut khidmat kepada Gurunya sebagai suatu adab terpenting bagi memperoleh kejayaan pada Jalan Ma'rifat). 


Tanda ke-16: Ingin orang ziarah kepadanya

Sukacita dan megah orang ziarah kepada dia dan tidak suka ziarah kepada orang demi menjaga status kemuliaannya.


Tanda ke-17: Gembira orang memujinya sebagai ahli ibadah

Gembira mendengar orang lain memujinya sebagai Ahli Ibadah, wara' dan zuhud.


Tanda ke-18: Marah berlebihan ketika mengajar

Suka marah-marah serta  membentak-bentak berlebihan apabila mengajar atau sampaikan suatu pada orang  yang tidak tahu.


Demikianlah tanda-tanda wujudnya Takabbur di dalam diri seseorang sebagaimana penjelasan daripada tokoh-tokoh Agung Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani dan Imam Ghazali, Imam Nawawi dan lainnya, Ridhwanullah Alaihi Ajma'in. 


Penjagaan Penting:


(1) Tujuan kami huraikan hal sifat-sifat Takabbur ini adalah agar setiap orang yang membacanya, memahami maksudnya, muhasabah diri dan membuang sejauh-jauhnya sifat tersebut disebabkan akibatnya yang amat buruk dan amat dahsyat.  Ia bukan bertujuan menilai orang lain apa lagi menuduhnya. 


(2) Jangan sesekali menilai atau menuduh seseorang sebagai sombong, takabbur, ego dan sebagainya semata-mata atas pandangan peribadi atau atas sangkaan-sangkaan.  Sekiranya tuduhan tersebut tidak berasas dan ternyata tidak benar, maka tuduhan Takabbur tersebut akan kembali kepada diri orang yang menuduh.


(3) Kewajipan orang awam hanyalah menjelaskan secara umum kepada orang Islam akan bahaya dosa Takabbur dan tanda-tandanya sahaja. 


SIRI 377 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-49:

Menghina orang miskin kerana kemiskinannya

... Sambungan.....




Rawatan dan Penjagaan

=================


(1) Benar-benar insaf bahawa Allah Ta'ala ciptakan manusia bertingkat-tingkat dari sudut keluasan rezeki, pangkat dan kedudukan.  Ada yang menjadi kaya-raya, bekedudukan, berpangkat dan ada yang menjadi miskin, tiada harta, tiada pangkat, hidup melarat.  Pada setiap penciptaan ini terdapat beberapa rahsia kehidupan bagi keseimbangan dunia dan beberapa rahsia meliputi dugaan Allah Ta'ala ke atas manusia.


(2) Apa saja kelebihan berupa harta kekayaan, wang ringgit, pangkat, kedudukan dan lain-lain adalah pada haqiqatnya Milik Allah.  Maka tidak layak bagi sesiapa pun takabbur, menyombong diri, besarkan diri, menunjuk hebat di hadapan manusia. 


(3) Sentiasa insaf bahawa Allah Ta'ala Maha Berkuasa meninggikan dan menjatuhkan seseorang.  Dia Yang Maha Kuasa Mengurniakan kekayaan, kedudukan, pangkat kepada seseorang dan Dia juga Maha Berkuasa menjatuhkannya menjadi papa kedana dan hina-dina.  


Jika hari ini kamu kaya, mempunyai harta melimpah, hidup mewah, mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi, hanya dalam sekelip mata Allah Maha Berkuasa menjadikan kamu manusia miskin dan hilang segala kekuasaan dan kebanggaan kamu.


Jika hari ini kamu berpangkat menjadi menteri, pegawai tinggi, hulubalang, Sultan, Raja... hanya dalam sekelip mata Allah Ta'ala Maha Berkuasa jatuhkan kamu menjadi orang biasa yang hina. 


Dengan demikian jangan kamu sombong dengan segala harta benda, kekayaan, kedudukan dan pangkat yang kamu miliki.  Semua kelebihan tersebut hanyalah dugaan dan cubaan ke atas kamu.  Jangan sesekali menunjukkan kesombongan kepada orang miskin, tiada harta dan hidup melarat.  Jangan sesekali hina mereka sebaliknya pandang mereka dengan pandangan belas ihsan, rendahkan diri dan insaf apa saja yang ada di tangan kamu tidak lain melainkan sebuah "Amanah".


SIRI 378 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-49:

Menghina orang miskin kerana kemiskinannya

... Sambungan.....



(4) Jika ada orang faqir miskin meminta-minta, hulurkan sedekah menurut kemampuan.  Jika kamu tidak mempunyai sesuatu untuk disedekahkan, jawab dengan sopan dan hormat supaya hati si miskin menjadi aman. 


(5) Jangan sesekali herdik faqir miskin dengan kata-kata hinaan dan cercaan.  Yang demikian itu benar-benar memperlihatkan kesombongan dan sifat takabbur kamu.


(6) Jika kamu melihat tukang sapu sampah di jalanan atau tukang mengangkut sampah atau tukang cuci lantai bangunan... hormati mereka.  Sesungguhnya mereka lebih mulia dan pekerjaan mereka lebih mulia. 


(7) Jika kamu mempunyai orang gaji, layan mereka dengan belas kasihan.  Bagi mereka makan sama seperti kamu makan.  Letakkan kedudukan kamu pada tempat mereka dan lihat dari pandangan mereka. 


(8) Jika kamu seorang Hartawan yang memiliki syarikat besar, hormati pekerja-pekerja kamu terutama yang miskin-miskin dan yang dipandang hina. 


(9) Jika kamu bangsawan, jutawan, hartawan, menteri, pemimpin... sesekali turunkan pangkat kamu dan jadilah kamu tukang sapu sampah dan tukang cuci tandas.  Sebagai contoh turun ke masjid, surau, musolla untuk bersihkan tandas dan tempat-tempat kotor.  Ini satu cara membuang ego takabbur kamu secara berkesan.  


(10) Lazimkan duduk bersama-sama orang miskin dan orang-orang yang dipandang hina dan makan bersama mereka.  Cara ini satu lagi jalan menundukkan ego yang menggunung tinggi di dalam hati kamu. 


Contoh teladan:

Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu benar-benar mencontohi keperibadian Rasulullah  ﷺ.

Adalah dikisahkan bahawa beliau sentiasa makan bersama faqir miskin.  Setiap kali beliau hendak makan, pembantu-pembantu beliau berdiri di pintu Madrasah beliau dan menyeru "Sesiapa yang ingin makan bersama Shaikh, sila datang, sila datang.”


Meskipun Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani adalah Ulama dan Auliya ternama, memiliki kedudukan yang amat tinggi di Sisi Allah, beliau tak pernah sisihkan faqir miskin, sebaliknya beliau sentiasa melayani mereka, makan bersama mereka dan mengasihi mereka.


SIRI 379 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-50

Banyak Bertanya

(tanpa keperluan)

==============


Definisi

=======

Maksud larangan "banyak bertanya" adalah : Bertanya sesuatu hal yang tak perlu pada Agama, atau bertanya sesuatu sia-sia, atau pertanyaan-pertanyaan yang akhirnya menyusahkan diri sehingga tak mampu melaksanakan suatu perintah.



Penjelasan:

==========


(1) Asal hukum menyatakan :

Harus bertanya untuk mengetahui hukum hakam (halal, haram, wajib, sunnat, makruh, harus, sah, batal dan lain-lain yang berkaitan) atau mengetahui cara-cara mengerjakan suatu ibadat atau bertanya suatu kemusykilan berkenaan Ketuhanan. 


Walau bagaimanapun "bertanya pada hal Agama" wajib dihadkan, sekira-kira memadai bagi seseorang amalkan ibadah-ibadahnya dan kewajipan-kewajipannya.


Membanyakkan pertanyaan tentang suatu hal yang tak perlu adalah dilarang.  Demikian lagi dilarang membanyakkan pertanyaan berkenaan suatu hal yang tiada kaitan dengannya, atau membanyakkan pertanyaan yang rumit-rumit yang lebih tinggi yang kemudiannya membawa kesusahan kepada dia untuk mengamalkannya dengan aman.


(2) Allah dan Rasul mendiamkan setengah perkara agar tidak menjadi kepayahan kepada Ummat.  Maka jangan bertanya hal yang didiamkan. 


(3) Banyak ummat terdahulu menjadi binasa kerana banyak pertanyaan dan kekufuran mereka kepada Nab-Nabi mereka. 


(4) Apabila seseorang mampu memahami suatu hukum dengan baik dan sudah mengetahui cara-cara mengamalkannya, maka sudah memadai baginya untuk taat.  Jangan lagi bertanya hal yang sama berulang-ulang yang sudah diketahui secara jelas dan jangan bertanya hal-hal yang rumit berkenaan suatu hukum sehingga akhirnya menjadi kesusahan amalkannya. 


(5) Dilarang juga bertanya hal yang tiada faedah, misalnya bertanya "mengapa solat Maghrib 3 rakaat" atau bertanya, "mengapa bayar zakat 2,5%?"  Pertanyaan seperti ini termasuk hal sia-sia dan pertanyaan bodoh yang mengheret  kepada perbahasan sia-sia dan dosa besar. 


(6) Orang yang  mempelajari usuludddin, ketika sudah memahami pelajarannya pada aqal menurut kemampuan aqal, maka memadai.  Bertanya berlebihan atau bertanya banyak berkenaan sifat-sifat Ketuhanan adalah dilarang.  Ini kerana banyakkan pertanyaan akan mengheret kepada perbahasan yang membinasakan.  Misalnya pertanyaan berkenaan "bagaimana Allah Istiwa di Arasy" atau pertanyaan "Siapa yang menjadikan Allah" yang menjadikan hati menjadi rosak binasa dan mengeheret kepada kesesatan.  Wal Iyazubillah.


(7) Salikin (orang yang menempuh jalan Ma'rifat dengan bimbingan Mursyid yang benar-benar 'arif) dilatih supaya "dengar dan taat" kerana ini  perintah Allah kepada semua orang beriman.  Dilarang banyak bertanya dan amalkan sahaja apa-apa yang disuruh kerana sememangnya semua orang awam dan salikin adalah jahil pada permulaannya.  Salikin yang banyak bertanya tanpa keperluan akan melambatkan perjalanannya atau lebih bahaya lagi membinasakan dirinya. 


Setengah mereka menyangka mereka sudah bijak dan mampu berbahas hukum-hakam Agama kerana mereka sudah lama menuntut Ilmu Syari'at (fiqh) dan memiliki Ijazah, Drs, Profesor dan sebagainya tetapi mereka tak sedar segala ilmu yang mereka pelajari pada peringkat awam hanya permulaan Mengenal Allah. Dan ibadah mereka dipenuhi dengan berbagai penyakit — syirik khafi dan mazmumah yang membinasakan sekalian ibadah.  Menyedari hal ini adalah keutamaan yang membawa keselamatan.  Sebaliknya terus-menerus di dalam sangkaan diri sudah banyak ilmu adalah tipu daya Iblis yang membawa kepada kesesatan.  Wal Iyazubillah.


SIRI 380 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dalil-Dalil

========


Dalil 1: Firman Allah:


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَسْـَٔلُوا۟ عَنْ أَشْيَآءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ وَإِن تَسْـَٔلُوا۟ عَنْهَا حِينَ يُنَزَّلُ ٱلْقُرْءَانُ تُبْدَ لَكُمْ عَفَا ٱللَّهُ عَنْهَا ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌۭ ١٠١ قَدْ سَأَلَهَا قَوْمٌۭ مِّن قَبْلِكُمْ ثُمَّ أَصْبَحُوا۟ بِهَا كَـٰفِرِينَ


“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu.  Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar. Sesungguhnya perkara-perkara yang serupa itu pernah ditanyakan (kepada Nabi mereka) oleh suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka menjadi kafir dengan sebab pertanyaan itu (kerana setelah diterangkan, mereka tidak menerimanya).”

[Al-Ma’idah (5): Ayat 101-102]


Asbab-an-Nuzul (sebab turun ayat)

Menurut Ibnu Abbas, ayat ini turun berkenaan Harith Ibn Yazid yang menanyakan Nabi berkenaan perintah mengerjakan Haji, dia bertanya :  "Ya Rasulullah, adakah wajib mengerjakan Haji setahun sekali?"  Maka Allah melarang pertanyaan demikian."

[Tafsir Ibn Abbas]


Sebahagian Ulama menjelaskan sebab turun perintah ini adalah berikutan pertanyaan-pertanyaan yang banyak yang tak perlu. Misalnya ada yang bertanya "Siapakah ayahku?” Seseorang lain bertanya, “Di manakah untaku?” atau bertanya, "Adakah aku dalam Syurga atau Neraka". 


Pertanyaan-pertanyaan seperti ini adalah pertanyaan yang tak perlu pada Agama, pertanyaan sia-sia dan sebahagiannya binasakan diri dengan pertanyaan tersebut.  Maka janganlah kamu bertanya hal-hal seperti itu. 



Berkata Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Di antara konsekuensi keimanan adalah jangan bertanya dan jangan mencari tahu dari Nabimu hal-hal sebelum turun wahyu yang jika diterangkan kepadamu akan menyusahkan kamu, membuat kamu gundah dan menimbulkan kesedihan dalam diri kamu.  Allah telah memaafkan semua yang lalu, tentang hal itu, maka wajib kamu hentikannya setelah datang larangan.  Ketahuilah bahawa sesungguhnya telah menanyakan hal yang serupa itu segolongan manusia sepertimu sebelum kamu kepada Nabi-Nabi mereka, kemudian setelah dijelaskan apa yang mereka tanyakan, mereka menjadi kafir kerana penjelasan tersebut."

[Tafsir Jilani]



Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

"Al-Bukhari, Muslim dan lainnya meriwayatkan - ada pun redaksi hadith berikut adalah milik Al-Bukhari — dari Anas Radhiallahu anhu, beliau berkata : "Seorang lelaki bertanya, "Wahai Nabi Allah, siapa ayahku?" Baginda menjawab: "Ayahmu adalah fulan." Maka turun ayat ini.  Imam Qurtubi turut membawakan Hadith lain riwayat Imam Tirmizi dan Daruqutni meriwayatkan dari Sayyidina Ali Radhiallahu anhu: "Ketika turun ayat ini :

 وَللَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلْبَيْتِ مَنِ ٱسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً 

"dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya" [Aali Imran (3) ; Ayat 97], para sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, apakah itu setiap tahun?" Baginda diam.  Mereka bertanya lagi, "apakah setiap tahun?" Baginda menjawab : "Tidak.  Seandainya aku jawab "ya", nescaya hal-hal itu menjadi wajib".  Allah Ta'ala kemudian turunkan ayat : يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَسْـَٔلُوا۟ عَنْ أَشْيَآءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ 

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu."

[Tafsir Qurtubi]


Bersambung siri 381 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

  🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...