B10: PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 91 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.14  Dosa Besar ke -13:   Kazib — dusta, bohong, menipu

sambungan....


Contoh2 dusta / bohong yang dibenarkan berserta penjagaan:


Contoh 1 :  Mendamaikan Muslim yang bergaduh.

Zaid dan Fikri bergaduh dan bermasam muka.  Kamu bertemu Zaid dan berkata pada dia :  "Sesungguhnya Fikri memuji kamu sebagai orang yang sangat baik."  Kemudian kamu jumpa pula Fikri dan berkata : "Aku dengar Zaid memuji kamu sebagai orang yang bijak."   Meskipun kata2 tersebut itu hanya rekaan dan bukan ucapan yang benar, tetapi kata2 tersebut dapat meleraikan permusuhan,  maka sudah tentu ianya amalan terpuji.  Dengan demikian perlakuan dusta di sini adalah perbuatan terpuji.


Contoh 2 : Mententeramkan isteri.

Suami berkata kepada isterinya : "Sedap betul lauk ni.  Sayang ni macam chef yang pakarlah"  (sedangkan masakannya biasa saja)  dengan tujuan menjinakkan hatinya atau kerana memujuknya.  


Contoh 3 : Menyelamatkan maruah wanita.

Jika seorang wanita mohon perlindungan di dalam rumah kamu kerana dikejar oleh orang jahat yang ingin menodainya, maka harus sembunyikan wanita tersebut di dalam rumahnya dan berdusta kepada penjahat yang datang mencarinya.  Kamu pura2 berkata  "aku nampak wanita itu pergi ke sana" sedangkan wanita tersebut bersembunyi di dalam rumah kamu.  Berdusta kepada penjahat tersebut adalah wajib kerana memelihara kehormatan wanita adalah wajib.


Contoh 4 :  Menyelamatkan nyawa manusia.

Lebih kurang sama seperti contoh 3 :  Jika seseorang hamba Allah mohon perlindungan daripada kejahatan Pemerintah zalim yang ingin menangkap dan membunuhnya, maka ketika itu harus memberikan perlindungan padanya dan wajib berdusta kepada Pegawai Pemerintah zalim yang datang mencarinya. Ini kerana memelihara nyawa manusia adalah wajib.


Contoh 5 :  Menyelamatkan harta manusia

Jika kamu mengetahui seorang anak yatim mempunyai harta kekayaan dan saudara2nya yang jahat ingin merampasnya, maka ketika itu kamu harus sorokkan harta tersebut dan berdusta kepada orang2 yang ingin merampasnya.  Jika anak yatim itu mempunyai dokumen2 harta, kamu harus sorokkannya dan berkata kepada orang2 yang ingin merampasnya dengan berkata, "aku mengira dokumen2 tersebut sudah terbakar." 


Contoh 6 : Menutupi dosa yang Allah sudah menutupinya.

Seseorang berbuat pekerjaan keji, misalnya zina dan Allah Ta'ala tutupi dosanya (ertinya tiada siapa pun tahu melainkan Allah Ta'ala), kemudian ditanya orang : "adakah kamu melakukan pekerjaan keji?", maka wajib menafikan dengan berkata :  "Tidak. aku tidak berbuat pekerjaan keji itu."   Berdusta untuk menyembunyikan suatu perbuatan kejinya yang telah ditutupi oleh Allah adalah wajib.


✨🕌✨ Rasulullah ﷺ bersabda :

"Barangsiapa berbuat sesuatu dari kekotoran ini (berbuat dosa secara tersembunyi / tidak diketahui sesiapa pun), maka hendaklah ditutup dengan tutupan Allah."

[Imam Al-Haakim]


Berkata Imam Ghazali :

"Jika penguasa menanyakan tentang perbuatan keji yang dikerjakannya, di antara dia dengan Allah, maka boleh dia membantahnya yang demikian seraya mengatakan : "Aku tidak berzina dan aku tidak mencuri."

[Ihya Ulumuddin — Bab Keharusan Berdusta]


PERINGATAN DAN AMARAN:

Meskipun diberi keringanan untuk berdusta pada tempat² tertentu seperti yang disebutkan, namun setiap Muslim wajib waspada selalu agar TIDAK menjadikan " berdusta / bohong " sebagai kebiasaan, melainkan hanya ketika darurat atau benar² perlu sahaja, dan benar² bertujuan keselamatan Agama, nyawa, harta kehormatan dan perkara2 lain sepertinya sebagaimana yang telah dijelaskan.


SIRI 92 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.14  Dosa Besar ke-13:   Kazib — dusta, bohong, menipu

sambungan....


Batas keharusan dusta / bohong:


Persoalan:

Sejauh manakah keharusan berdusta? 

Apakah batas2nya?

Bagaimanakah seseorang dapat mengetahui mana yang dilarang atau diharuskan?


Jawapan :

Untuk mengetahui batas2 yang diperbolehkan "berdusta / berbohong", kita perlu melihat sebab2 Allah dan Rasul-Nya melarangnya. Kemudian perlu dilihat adakah perbuatan dusta / bohong itu benar2 diperlukan menurut pertimbangan Syara'. Yang ketiga perlu dilihat adakah sesuatu manfaat kepada kehidupan manusia dan menolak mudarat daripadanya. 


Meneliti Sebab2 diharamkan berdusta:

Secara umum, pendustaan  / pembohongan diharamkan kerana ia membawa kemudaratan kepada manusia yang ditujukan kedustaan tersebut atau terkena kepada manusia lain yang mempunyai hubungan dengannya.  Dengan demikian apabila perkataan dan perbuatan "dusta / bohong " ditujukan kepada perkara2 yang terhubung kepada "keselamatan Agama" atau "memelihara nyawa" atau "memelihara kehormatan seseorang" misalnya, maka tidaklah terkena dosa kerananya.


Kata Imam Ghazali :

"Ketahuilah bahawa dusta itu tidaklah haram kerana dusta itu sendiri. Tetapi kerana ada padanya melarat kepada orang ditujukan (pendustaan tersebut) atau kepada lainnya".

"Maka kami terangkan bahawa perkataan itu jalan kepada maksud. Tiap2 maksud yang terpuji yang mungkin sampai kepadanya dengan benar dan dusta, maka kedustaan padanya haram. Dan jikalau mungkin sampai kepadanya dengan kedustaan, tidak dengan kebenaran, maka kedustaan padanya diperbolehkan (harus), jika maksudnya adalah harus.  Dan wajib dusta jika maksudnya itu wajib."

[Ihya Ulumuddin : Bab hal yang dibolehkan berdusta]


Penjelasan:

Maksud Imam Ghazali adalah : Perkataan atau perbuatan dusta / bohong yang dibenarkan bergantung kepada tujuan ianya dilakukan.


■ Jika tujuannya mencapai kebaikan / perkara terpuji, dan tidak dapat mencapai kebaikan tersebut tanpa pendustaan, maka berdusta saat itu adalah sunnat.


■ Jika mungkin mencapai kebaikan pada Agama atau perkara terpuji dengan berdusta (dan tak dapat mencapainya jika berkata benar), maka ketika itu harus dusta.


■ Jika tujuannya menunaikan kewajipan pada Agama atau kerana menyelamatkan nyawa, harta dan maruah manusia, dan tidak mungkin mampu menunaikan kewajipan tersebut melainkan dengan berkata dusta, maka berdusta ketika itu menjadi wajib.


■ Jika sesebuah matlamat yang baik dan murni dapat dicapai tanpa pendustaan, maka ketika itu pendustaan adalah haram.


SIRI 93 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.14  Dosa Besar ke-13:   Kazib — dusta, bohong, menipu

sambungan....


Contoh2 dusta yang haram tetapi disangka harus:


Kita telah bicarakan hal2 yang haramkan berdusta dan yang diharuskan berdusta , serta syarat2 dan batas2nya dan contoh2nya bagi berbagai keadaan.  Namun terdapat ramai orang Islam melakukan berbagai pendustaan dengan sangkaan ianya diperbolehkan sedangkan pada hakikatnya diharamkan.  Mari lihat beberapa contoh lazim daripadanya.


(1) Berdusta kepada isteri untuk menafikan hak2nya. 

Misalnya seorang isteri meminta wang perbelanjaan yang menjadi haknya sebagai isteri, maka berkata suaminya : " Saya tak ada duit, sedangkan dia ada duit" maka ini dusta yang diharamkan.  


Berkata Imam Nawawi :

"Adapun berbohong dengan tujuan menahan (meninggalkan) apa yang menjadi kewajipan suami atau isteri, atau mengambil sesuatu yang bukan menjadi hak suami atau isteri, maka ini haram berdasarkan kesepakatan kaum Muslimin.” 

[Syarah Sahih Muslim]  


(2)  Berpura² atau berolok² memiliki suatu benda sedangkan dia tidak memiiknya. Misalnya : Seseorang berpura2 makan makanan2 yang lazat sedangkan tidak demikian. Misal yang lain : Seseorang berpura² mempunyai kenderaan hebat, sedangkan ianya milik orang lain. Misal yang lain : Seseorang mengaku mempunyai rumah yang besar dan mewah sedangkan dia sekadar berbangga di hadapan orang lain. 


Contoh² seperti ini dan lain² sepertinya adalah tergolong ke dalam dusta / pembohongan yang diharamkan.  Sekali pandang kelihatan remeh, tetapi yang sebenarnya perbuatan dan perkataan olok2 seperti itu adalah dusta / bohong yang diharamkan.


✨🕌✨ Rasulullah ﷺ bersabda :

"Orang yang berbangga dengan sesuatu yang tidak pernah dia dapatkan, bagaikan orang yang memakai dua pakaian kedustaan".

[Imam Bukhari, Imam Muslim]

 

(3) Berdusta dengan tujuan bergurau adalah haram. Ini kerana perbuatan ini tiada maksud perbaikan pada Agama dan tiada bermanfaat kepada manusia, bahkan sebaliknya menimbulkan kekeliruan dan bencana. Pada pandangan orang berkenaan dia sekadar bergurau tetapi dia tidak menyedari "pembohongan" dia boleh mengakibatkan berbagai sangkaan yang jahat atau merosak hati manusia.


Perbuatan2 seperti ini sangat banyak dilakukan oleh manusia pada zaman ini melalui internet.  Misalnya mereka mengirimkan sesebuah gambar pergaduhan atau sesebuah kemalangan yang sebenarnya tidak berlaku.  Atau mereka mengirimkan berita2 berkaitan politik yang sebenarnya tidak berlaku.  Atau hal berkaitan dengan covid -19 yang banyak tersebar pada zaman ini. Mereka membuat berbagai video atau gambar atau data berlainan dari fakta sebenar dan menganggapnya sebagai gurauan.  Pada sangkaan mereka perbuatan tersebut harus sedangkan ia termasuk dusta yang diharamkan.


✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda:

"Celakalah orang yang berbicara kemudian berdusta agar orang lain tertawa celakalah dia, celakalah dia."

[Imam Ahmad]


SIRI 94 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.14  Dosa Besar ke -13:   Kazib — dusta, bohong, menipu

sambungan....


Penjagaan / Rawatan:


Bagaimanakah cara jauhkan diri dari terjatuh kepada penyakit suka berdusta ini?  


Apakah rawatan paling berkesan untuk bersihkan hati daripada terdorong untuk melakukan pendustaan? 


Bagaimanakah pula cara merawat diri setelah lama terlibat dengan dosa² pendustaan, pembohongan dan tipu daya?


Ketika Risalah ini ditulis ( 21 Dhulhijjah 1442 H /  31 Julai 2021 M), Ummat Islam dikelilingi berbagai bentuk pendustaan yang tiada terhitung.


Demikian banyaknya "pendustaan" mengelilingi Ummat sehingga orang ramai menjadi keliru, terpedaya dan jatuh kepada kesesatan tanpa disedari. Wal Iyazubillah. 


Sesungguhnya keadaan ini hampir serupa dengan zaman munculnya Dajjal yang membawa kepalsuan dan tipu daya.  Ketika Dajjal menawarkan keamanan, harta kekayaan dan kemewahan... manusia berduyun² datang padanya. Mereka mengakui Dajjal sebagai pemimpin Agung mereka. Bahkan tidak kurang memujanya sebagai Tuhan.  Wal Iyazubillah.   


Hanya pada Allah kita mohon Pertolongan.


(1) Langkah pertama : Wajib Taubat sungguh2 dengan Taubat Nasuha menurut syarat2nya. 


(2) Pulangkan sekalian harta manusia yang diperoleh dengan tipu daya.


(3)Sentiasa insaf bahawa satu ketika sekalian manusia akan dihadapkan kepada Allah dan setiap pendusta akan membawa beban berat yang tak dapat ditanggung.  


(4) Banyakkan Istighfar, Solawat dan Zikrullah menggantikan ucapan yang tak perlu.  Kata² atau ucapan yang harus sekalipun perlu dielakkan kerana pada ucapan yang "harus" terdapat banyak sekali syubhat yang menjurus kepada perkara haram.  Ertinya banyakkan diam dan berkata2 apabila hanya benar² perlu sesuai dengan Kehendak Allah dan Rasul-Nya.


(5) Jika kamu seorang peniaga, juallah barang yang benar2 baik dan bersih.  Hasil jual beli yang halal membawa keberkatan, meskipun sedikit. Sementara hasil yang diperoleh dari tipu daya, hilang segala keberkatannya, meskipun banyak keuntungannya. 


(6) Dosa penipuan yang dilakukan oleh Pemimpin dan penolong² mereka amatlah berat. Namun masih belum terlambat jika mereka insaf dan bertaubat sungguh². Moga Allah Ta'ala Menerima taubat mereka. Tetapi mereka belum selamat  selagi mereka belum pulangkan hak rakyat. Bagaimanakah mereka mampu pulangkan hak rakyat yang mereka tipu? Wallahu A'lam.  


(7) Mereka yang gemar menulis atau cnp di dalam kumpulan2 WS, Tele, Fb dll .... hati2 dengan berbagai berita yang diterima. Sebelum kirimkan kepada orang lain atau kumpulan lain,  pastikan kandungannya benar2 menepati Pendirian Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan BUKAN daripada fahaman Syi'ah (rafidhi), Wahhabiyyah (Khawarij), Sekular (liberal) atau lain2nya yang menentang Ahlus Sunnah.  Jika tak pasti JANGAN sebarkan. Diamkan diri dulu.


Setiap berita palsu yang kalian kongsi akan menerima habuan dosa yang sama banyak dengan penulis asalnya tanpa mengurangi dosa orang yang mulakannya.  Dan dosa tersebut berganda2 mengikut banyak mana orang kemudian yang kongsi pula berita palsu kepada pihak lain. 


Pada hari ini setiap hari ribuan berita palsu dan ilmu yang bertentangan dengan pegangan Ahlus Sunnah dikirimkan melalui internet oleh mereka² yang ingin merosak Aqidah Ummat. 


Moga mereka yang membaca peringatan ini memperoleh Hidayah bagi kekalkan diri di dalam kebenaran dan jauhi sama sekali daripada semua jenis pendustaan. 


SIRI 95 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.15  Dosa Besar ke-14:   Ghibah ( غيبة ) — mengumpat


Definisi Ghibah :


Dari segi bahasa:   

Ghibah ( غيبة ) — mengumpat  berasal dari kata  ( غَابَ - يَغِيْب )  bermaksud :  tidak hadir, tidak muncul, menghilang, lenyap, menutup diri, tersembunyi, tenggelam, terbenam.


Dari segi istilah :

Ghibah ( غيبة ) — mengumpat adalah : Menyebut berkenaan seseorang, di belakangnya (ketika ketiadaannya), suatu pekara yang tidak disukainya, tidak disenanginya, atau akan menjadi marah apabila dia mendengarnya, meskipun perkara tersebut memang benar wujud pada orang itu.


Penjelasan:


(1) Kebanyakan orang salah faham berkenaan dengan Ghibah — Mengumpat.   Mereka menyangka, tidak mengapa menyebut kekurangan seseorang di belakangnya asalkan ia benar wujud pada orang tersebut.   Ini fahaman yang salah.  Yang benar adalah : Meskipun apa yang kamu katakan itu benar sekalipun, seandainya orang yang kamu umpat itu marah ketika mendengarnya, maka itu adalah termasuk "mengumpat".


 (2) Dosa mengumpat amatlah besar sehingga Allah Ta'ala menyamakan "mengumpat" dengan perbuatan "memakan daging saudaranya"


(3) Pada zaman Rasulullah  ﷺ, jika seseorang yang mengumpat bertemu Baginda, maka Baginda akan menyuruhnya muntahkan , maka dia akan benar2 muntahkan ketulan daging.  (iaitu isyarat kepada keadaan dia seolah2 telah memakan daging orang yang dia telah umpat).


(4) Dosa ini hampir2 tidak dapat dielakkan disebabkan manusia lazimnya bercampur baur, muamalah, melakukan aktiviti harian....melainkan orang yang benar2 memelihara perkataan dan banyakkan diam ketika tidak perlu.


(5) Dosa mengumpat lebih mudah terkena kepada golongan2 ini:

i)  Orang yang memang tabi'atnya memerhatikan kekurangan manusia. 

ii) Dosa ini juga lebih sinonim dengan wanita disebabkan mereka lebih mudah terdorong kepada nafsu kejahatan dan bisikan Syaitan.

iii) Orang2 yang bersaing di dalam perniagaan

iv) Orang2 yang bersaing di dunia politik

v) Orang2 yang berlumba di dalam urusan dunia yang lain.


(6) Ramai orang yang beramal soleh gagal memerhatikan perkara ini kerana menganggap perkara kecil.  Mereka tidak sedar perbuatan ini memakan amalnya dan salah satu sebab yang menjadikannya "muflis" di Akhirat.  


(7) Menurut hukum, meskipun mengumpat pada umumnya terlarang dan dosa besar, wujud beberapa tempat diharuskan mengumpat. Akan datang penjelasannya pada penghujung bab.


Berkata Imam Ghazali :

"Ketahuilah bahawa mengumpat adalah bahawa engkau menyebut saudara engkau dengan yang tidak disenanginya, jika sampai kepadanya perkataan engkau itu"

[Ihya Ulumuddin]


Berkata Imam Nawawi Radhiallahu anhu:

Ghibah adalah menyebutkan kejelekan orang lain ketika dia tidak ada pada saat perbicaraan (mengenai orang itu)."

[Syarh Shahih Muslim]


SIRI 96 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.15  Dosa Besar ke-14:   Ghibah ( غيبة ) — mengumpat

sambungan .....


Dalil Al-Qur'an dan Hadith :


✨🕌✨ Firman Allah :

وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

"dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

[Al-Hujurat (49)  : Ayat 12]


✨🕌✨ Rasulullah   ﷺ  bersabda :

"Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya,dan Dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" 

[Imam Abu Dawud]


✨🕌✨ Rasulullah   ﷺ  bersabda :

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ ». قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ « ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ ». قِيلَ أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِى أَخِى مَا أَقُولُ قَالَ « إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدِ اغْتَبْتَهُ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ »

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah ﷺ  bersabda, “Tahukah engkau apa itu ghibah?” Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.” Baginda berkata, “Engkau menyebutkan kejelekan saudaramu yang ia tidak suka untuk didengarkan orang lain.” Beliau ditanya, “Bagaimana jika yang disebutkan sesuai kenyataan?” Jawab Nabi ﷺ  “Jika sesuai kenyataan bererti engkau telah ghibah atasnya. Jika tidak sesuai, bererti engkau telah memfitnahnya.” 

[Imam Muslim]


✨🕌✨ Hadith Rasulullah ﷺ :

"Seorang wanita yang menemui ‘Aisyah Radhiallahu anha. Ketika wanita itu hendak keluar, ‘Aisyah berisyarat pada Rasulullah ﷺ dengan tangannya untuk menunjukkan wanita tersebut pendek. Rasulullah ﷺ lantas bersabda, “Engkau telah mengumpatnya.”

[HR. Ahmad]


✨🕌✨ Rasulullah   ﷺ  bersabda :

“Pada malam aku diIsra’kan aku telah melalui suatu kaum yg mencakar-cakar muka mereka dengan kuku-kukunya sendiri, maka aku berkata: “Hai Jibril siapa mereka ini? jawab Jibril: Mereka ini adalah orang2 yang suka mengumpat dan mereka juga suka menjaga tepi kain org”.

[Imam Abu Dawud]


✨🕌✨ Rasulullah   ﷺ  bersabda :

" Awaslah dari mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras dari zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina dan bertaubat, maka Allah Ta'ala menerima taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpat.

[Imam Ibnu Hibban]


SIRI 97 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.15  Dosa Besar ke -14:   Ghibah ( غيبة ) — mengumpat

sambungan .....


Contoh2 Mengumpat:

Pekerjaan mengumpat seseorang meliputi seluruh hal ehwal diri seseorang yang diumpat, lazimnya menyentuh hal2 berikut:


Kekurangan pada tubuhnya.

Keadaan Keturunannya yang kurang baik.

Kelakuan dan sifat2nya.

Cara ucapannya.

Cara berpakaiannya.

Kenderaan yang dimilikinya.

Tempat tinggalnya.

Perbuatan berkait dengan Agama.

Perbuatan berkait dengan duniawi


Contoh 1 :

Berkenaan dengan tubuh badan.

Kamu katakan si fulan itu gemuk macam gajah atau kamu katakan dia kurus macam lidi, muka cengkung, muka hitam legam, mulut cacat, telinga pekak, kaki bangku dsb.  Semua ini adalah terhitung mengumpat meskipun memang benar wujud tubuhnya demikian. Ini kerana apabila si fulan yang kamu umpat itu mendengarnya, pasti dia akan marah atau sakit hati, rasa hina diri dsb.


Contoh 2 :

Berkenaan dengan keturunan.

Kamu katakan dia keturunan tak baik atau kamu katakan dia keturunan lanun, atau kamu katakan keturunannya semua pengotor atau kamu katakan keturunannya malas, miskin, papa kedana.  Atau kamu katakan ayahnya seorang tukang sapu sampah, tukang kutip sampah, tukang cuci jamban dsb yang mana semua ini sudah pasti mengguriskan hatinya.


Catitan:

Kata Guru2 kami yang mulia :   Kecuali jika ada orang bertanya kepada kamu apa pekerjaan bapa si fulan, maka kamu harus beritahu pekerjaan bapanya dengan syarat :  kamu menyebut dengan penuh hormat dan rendah diri, tanpa sedikit pun kesombongan, kerana tukang sapu dan tukang cuci tandas adalah pekerjaan mulia, bukan perkerjaan hina seperti sangkaan ramai orang.  Sesungguhnya siapa yang memandang hina kepada tukang cuci atau tukang kutip sampah, maka mereka itulah sebenarnya hina di sisi Allah. 


Contoh 3:

Berkenaan dengan sikap umum.

Engkau mengatakan si fulan itu buruk perangainya, atau kamu berkata dia orang sombong, suka ria, sangat bakhil, orang yang pengotor, pemalas, pemarah dsb.  Semua ini tidak layak disebutkan meskipun mungkin wujud pada si fulan itu.


Catitan:

Jika seseorang terkenal dengan kefasikan dan suka menipu manusia atau suka peras ugut dsb . Maka di dalam hal ini ada perbahasan lain pada tajuk kecil " hal2 yang diharuskan mengumpat " pada penghujung bab.


Contoh 4:

Berkenaan dengan cara bercakap.

Kamu katakan si fulan tak pandai bercakap, gagap, lembab, suka cakap merapu dsb.


Contoh 5:

Berkenaan dengan pakaiannya.

Kamu katakan si fulan comot pakaiannya atau busuk atau kotor, tampal2, lekeh, baju terjuntai, pakaian macam perompak, pakaian macam orang gila dsb.  Semua ini menyakitkan hati dan membuat manusia menjadi marah. 


SIRI 98 : 


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.15  Dosa Besar ke-14:   Ghibah ( غيبة ) — mengumpat

sambungan .....


Contoh 6:

Berkenaan dengan kenderaannya.

Kamu katakan kereta si fulan seperti tin buruk, keretanya tak pernah dicuci, keretanya ketinggalan zaman dsb.


Contoh 7:

Berkenaan tempat tinggalnya.

Kamu katakan rumah si fulan buruk, kotor, busuk dsb. Atau kamu katakan rumahnya seperti tong sampah dsb.


Contoh 8:

Berkenaan perbuatan di dalam urusan dunia.

Kamu katakan si fulan itu suka makan banyak, suka tidur banyak, suka cakap banyak, suka melepak sana sini dsb.


Contoh 9:

Berkenaan perbuatan di dalam urusan Agama.

Kamu katakan si fulan malas solat, suka lambat2kan solat, solatnya tak betul, puasanya tak betul, semua ibadahnya cacat dsb.


Catitan:

Bagaimana halnya seseorang menyebut kejahatan atau keburukan agama seseorang dengan tujuan mendapat fatwa atau jawapan daripada seseorang Ulama?  Adakah ini termasuk mengumpat ? Untuk melihat Jawapannya, ikuti tajuk kecil: "Bab Keharusan Mengumpat"


Semua perkara yang telah disebutkan sangat lazim berlaku di kalangan masyarakat Muslim tetapi tak ramai menyedarinya sebagai dosa besar.  Apabila ditanya "kamu tak tahu semua itu mengumpat", mereka segera menjawab :  "Tapi semua itu betul. Memang kelakuannya macam itu. Takkanlah mengumpat kot"  Demikian jawapan mereka. 


Mengapakah kebanyakannya tidak tahu akan hal serius ini?

Jawapannya : Semua ini  terjadi kerana tidak menuntut ilmu menurut Pegangan Ahlus Sunnah daripada Mursyid yang siddiq (benar)  iaitu Pewaris Nabi yang benar.   


Sebagaimana kami telah nyatakan berulangkali hal ehwal berkenaan hati, kebaikan hati, kerosakan hati, penyakit2 hati, nafsu jahat yang mendominasi hati, syaitan dan iblis yang sentiasa menunggang hati serta jalan2 membaikinya dan membersihkannya dari akar umbinya hanya dipelajari di dalam Ilmu Tasawwuf dan praktik (amalinya)  di dalam Ilmu Toriqat warisan Rasulullah ﷺ.  Pelajaran ini TIDAK ada di dalam Ilmu fiqh atau Ilmu Usuluddin atau lainnya. 


Barangsiapa tidak mempelajari Ilmu Tasawwuf dan tidak melatih diri menurut Disiplin Toriqat Rasulullah ﷺ maka senantiasalah mereka di dalam keadaan menanggung dosa besar tanpa disedari.


SIRI 99 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.15  Dosa Besar ke -14:   Ghibah ( غيبة ) — mengumpat

sambungan .....


Mengumpat melalui cara2 lain selain lidah:


Ulama kita telah menjelaskan akan wujudnya bentuk2 umpatan selain dengan lidah / lisan. Ertinya dosa mengumpat tidak terhenti pada Umpatan dengan lidah semata2,  tetapi juga boleh terjadi dalam bentuk2 lain, setengahnya tidak disangka2.


Bentuk2 lain adalah :


(1) Umpatan dengan cara meniru2 perbuatan orang itu

(2) Umpatan melalui isyarat tangan, mata, memek mulut

(3) Umpatan melalui tulisan

(4) Umpatan dengan hati

(5) Umpatan dalam bentuk kata2 yang zahirnya baik tetapi hakikatnya tersimpul dosa


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:

"Ketahuilah bahawa menyebut (mengumpat) dengan lisan itu diharamkan kerana padanya memberi pengertian akan kekurangan pada saudaramu dan mendedahkannya kepada umum dengan apa yang tidak disukainya. Maka menyindir dengan yang demikian itu sama seperti menegaskannya. Dan perbuatan padanya itu seperti perkataan, isyarat, penunjukkan dengan tangan, isyarat dengan mata, tulisan, dengan pergerakan dan setiap yang memberi pengertian akan yang dimaksud. Maka ianya masuk umpatan. Dan demikian itu haram."

"Dan termasuk di dalam pengertian tersebut "peniruan", misalnya adalah   "berjalan dengan pincang"  atau meniru gaya orang itu berjalan, maka itu umpatan. Bahkan lebih berat. Ini kerana ia lebih besar kesannya pada menggambarkan dan memberi pengertian."

"Dan demikian lagi umpatan dengan tulisan. Sesungguhnya pena itu salah satu dari dua lisan."

[Ihya Ulumuddin : Bab Umpatan selain dari lisan]


Dalil Sandaran Hadith:


✨🕌✨ Hadith Rasulullah ﷺ :


"Seorang wanita yang menemui Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu anha. Ketika wanita itu hendak keluar, Sayyidatina ‘Aisyah berisyarat pada Rasulullah ﷺ dengan tangannya untuk menunjukkan wanita tersebut pendek. Rasulullah ﷺ lantas bersabda, “Engkau telah mengumpatnya.”

[Imam Ahmad]


✨🕌✨ Rasulullah ﷺ  bersabda :


"Sayyidatina Aisya Radhiallahu anha berkata : "aku menceritakan tentang seseorang, lalu Baginda bersabda : "Demi Allah aku tidak suka menceritakan tentang seseorang (meniru2 perbuantannya) sedang aku mempunyai keadaan  demikian dan yang demikian. "

[Imam Abu Dawud]


SIRI 100 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.15  Dosa Besar ke -14:   Ghibah ( غيبة ) — mengumpat

sambungan .....


Contoh umpatan dengan perbuatan:

Kamu meniru2 gaya seorang yang tempang (cacat) berjalan. Ini adalah suatu bentuk umpatan kepada orang lain, iaitu  di dalam bentuk perbuatan.


Contoh mengumpat dengan isyarat / sindiran:

Kamu menunjukkan isyarat tangan kamu, yang kamu tujukan kepada si fulan bahawa dia gemuk atau comot atau lainnya.


Contoh mengumpat dengan tulisan:

Kamu menulis berkenaan kekurangan si fulan di dalam surat khabar atau media elektronik sehingga orang yang membacanya dapat memahami bahawa tulisan kamu ditujukan kepada orang berkenaan.  Jika tulisan tersebut menyebut secara umum tanpa menujukan kepada seseorang secara khusus dan tujuannya untuk perbaikan akhlaq manusia, maka itu adalah harus kerana termasuk da'wah.


Kemusykilan:

Bagaimanakah hukum menyatakan (dengan cara menulis) kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh seseorang dengan terang-terangan?

Bagaimanakah pula hukum menulis kejahatan / kekufuran seorang pemimpin zalim ?

Bagaimanakah pula hukum menulis penyelewengan Ulama jahat?

Jawapannya pada bahagian tajuk : Keharusan Mengumpat.

 

Contoh mengumpat dengan hati:

Kamu berkata2 di dalam hati bahwa si fulan itu gemuk atau pengotor, comot, pemalas, sombong, riya', orang tak guna dsb.   Kata2 ini apabila dizahirkan dengan lidah, maka jadi mengumpat. Maka demikian juga umpatan yang terhenti pada hati (tidak terzahir pada mana2 anggota tubuh), adalah terhitung ke dalam makna mengumpat.


Kemusykilan :

Bagaimanakah hukum membenci kemungkaran yang dilakukan oleh seseorang di dalam hati?  Jawapan:  Benci kemungkaran yang dilakukan oleh seseorang adalah wajib. Yang dilarang adalah : Menyindir atau memandang rendah pada peribadi seseorang yang tiada kaitan dengan Agama.


Contoh umpatan bentuk lain yang zahirnya kelihatan baik:


Misalnya seseorang berkata : 

"Alangkah baiknya jika mereka beramal ibadah seperti kita".  

Ucapan seperti ini zahirnya kelihatan seperti baik dan seolah2 berdoa kebaikan untuk orang lain tetapi hakikatnya ni termasuk umpatan. Bahkan di dalamnya terkandung dua dosa :  

Pertama mengumpat. 

Kedua mengandungi unsur takabbur — mengangkat diri sendiri dan memandang rendah kepada orang lain. 


Misal yang lain, seseorang berkata:

"Dahulu si fulan rajin solat berjemaah, sekarang dia jarang datang kerana  terkena bisikan syaitan."  

Di dalam kata2 ini terdapat tiga dosa : 

Dosa umpatan

Dosa jahat sangka

Dosa takabbur


Hal seperti ini sering terkena kepada ahli2 Masjid yang rajin ke Masjid, lalu mereka perhatikan seseorang yang awalnya kelihatan rajin berjemaah di Masjid tiba2 hilang atau jarang ke Masjid tersebut. Maka timbul berbagai sangkaan dan kata2 yang kelihatannya baik tetapi hakikatnya mengandungi ungkapan "mengumpat" dan berserta dosa2 besar lain.  Wal Iyazubillah.   



Bersambung siri  101    اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

       🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

        

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...