بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
FASAL 3:
DALIL MURSYID DI DALAM AL-QURAN, HADITH DAN FATWA ULAMA'
sambungan.....
Dalil 10 : Firman Allah:
وَٱصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ
يَدْعُونَ رَبَّهُم بِٱلْغَدَوٰةِ وَٱلْعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُۥ ۖ وَلَا تَعْدُ
عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا
قَلْبَهُۥ عَن ذِكْرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًۭا
"Dan bersabarlah
kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan petang
hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari
mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti
orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti
hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.”
[Al-Kahfi (18 ) :
Ayat 28]
Berkata
Ibn Abbas Radhiallahu anhu:
“Allah Ta’ala
Memerintahkan Rasulullah ﷺ
sentiasa berserta orang-orang yang menyeru kepada Allah (Zikir kepada Allah),
pagi dan petang, yang dimaksud di sini adalah Sayyidina Salman Al-Farisi
berserta Sahabat lain (ahlus Suffah yang miskin dan dhaif) yang mengharap
Keredhaan Allah dan jangan berpaling dari mereka kerana mengharap perhiasan
dunia yang ditawarkan oleh kaum kafir Quraisy, maksud
di sini Uyaynah
Ibn Hisn al-Fazari,”
[Tafsir Ibn Abbas]
Berkata
Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu:
“Ayat ini
memerintahkan agar orang beriman berserta dengan Mursyid, Pewaris Nabi yang
Siddiq, yang mereka itu sentiasa berzikir kepada Allah pagi dan petang (iaitu
setiap masa berzikir dan ubudiyyah kepada Allah semata-mata kerana mencari
Keredhaan-Nya).”
[Risalah Ma’rifat]
Berkata
Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:
“Firman Allah ini
sama dengan Firman Allah di dalam Surah Al-An’am ayat 52:
وَلَا تَطْرُدِ الَّذِيْنَ يَدْعُوْنَ رَبَّهُمْ بِالْغَدٰوةِ
وَالْعَشِيِّ يُرِيْدُوْنَ وَجْهَهٗ ۗ
Dan janganlah engkau mengusir orang-orang yang
menyeru kepada Tuhan-nya (berzikir dan
beribadah) pagi dan petang (terus-menerus), sedang mereka menghendaki Keredhaan
Allah semata-mata.”
Salman Al Farisi
Radhiallahu anhu berkata, "Datang seorang mu'allaf kepada Rasulullah ﷺ iaitu: Uyainah bin Hasn dan Al-Aqra' bin
Habis, lalu berkata,'Wahai Rasulullah, sungguh jika Engkau duduk di
tengah-tengah ini dan Engkau sandarkan kami kepada mereka para roh
sengsara. (Yang mereka maksud adalah
Sayyidina Salman Al-Farisi, Abu Zar dan orang-orang miskin dari kalangan kaum
Muslimin), kerana pada mereka jubah dari bulu dan tidak ada yang lain (hal
keadaan mereka yang sangat dhaif dan miskin).
Maka kami duduk dekat denganmu, kami berbincang dengan Engkau dan kami
mengambil apa-apa daripada Engkau. Maka turun Firman Allah ini : [Al-Kahfi :
Ayat 27,28,29]
Maka bangunlah Nabi ﷺ untuk mencari mereka (iaitu mereka yang
Allah Ta’ala Perintah supaya berserta dengan orang-orang menyeru kepada Allah
pagi-pagi dan petang-petang), hingga mendapati mereka di bahagian hujung Masjid
hal keadaan mereka sedang berzikir kepada Allah, lalu Baginda bersabda, “Segala Puji bagi Allah yang belum mematikanku hingga
Memerintahkan kepadaku agar bersabar dengan orang-orang dari Ummatku,
bersama-Mu di dalam kehidupan dan Bersama-Mu di dalam kematian.”
Menurut Imam Al-Hasan
: وَلَا
تَعْدُ عَيْنٰكَ عَنْهُمْۚ Jangan kedua matamu
melampaui mereka (jangan abaikan mereka dan jangan meremehkan mereka)
semata-mata kerana mencari keindahan dunia.
Pendapat lain
mengatakan : Jangan mencela mereka
(jangan menghina mereka disebabkan kemiskinan mereka atau kerana mereka hanya
memakai pakaian lusuh).
Dari Adh-Dhahhaq,
dari lbnu Abbas, Perintah Allah “ وَلَا تُطِعْ مَنْ اَغْفَلْنَا قَلْبَهٗ عَنْ ذِكْرِنَا “ adalah larangan mengikuti
permintaan Umayyah bin Khalaf Al-Jumahi. Orang ini meminta kepada Nabi ﷺ agar Baginda jauhkan Sahabat Baginda yang
miskin (ahlus-suffah) yang sentiasa Bersama Baginda agar tokoh-tokoh Quraisy
dapat mendekat kepada Baginda. Golongan
kafir Quraisy ini adalah فُرُطًا , iaitu melampau batas, lalai,
fasiq dan zalim.
[Tamat Nukilan Tafsir
Qurtubi]
Asbabun-Nuzul:
Sebab turun Firman
Allah ini disebutkan oleh Imam Qurtubi di bahagian lain Tafsirnya iaitu Surah
Al-An’am ayat 52. Berkata Imam Qurtubi
Radhiallahu anhu. (Beliau mengutip kata-kata Ibn Abbas dan lainnya):
Orang-orang musyrik
berkata kepada Nabi ﷺ, "Kami tidak sudi duduk dengan orang orang seperti
mereka, iaitu Sayyidina Salman Al-Farisi, Shuhaib, Bilal
dan Khabab Ridhwanullah Alaihi Ajmain duduk berserta dengan Baginda,
maka mereka berkata : “Usirlah mereka
dari sisimu.”
Orang-orang musyrik
itu menuntut Rasulullah ﷺ agar mencatat hal itu
untuk mereka, sehingga Baginda pun berniat untuk melakukan hal itu. Baginda kemudian memanggil Ali untuk
mencatit. Lalu orang-orang miskin tadi
(sahabat ahlus suffah) berdiri dan duduk di suatu sudut. Allah kemudian menurunkan ayat ini. Oleh kerana itu Sa’d memberi isyarat dengan
perkataannya : "Maka muncullah di hati Rasulullah ﷺ apa yang Allah Kehendaki untuk muncul."
Pada waktu itu, Nabi ﷺ condong untuk melakukan hal itu karena
mengharapkan keislaman orang-orang musyrik itu, juga keislaman kaum
mereka. Baginda berpendapat bahawa
tindakan tersebut tidak sedikit pun akan menyisihkan para sahabat Baginda, dan
juga tidak akan merendahkan darjat mereka, sehingga Baginda pun condong kepada
hal itu. Allah kemudian menurunkan ayat
ini. Dalam ayat ini, Allah melarang
Baginda melakukan apa yang menjadi niat Baginda, iaitu hendak menyisihkan
mereka, bukan mengusir mereka.
Muslim meriwayatkan
dari Sa'd bin Abi Waqas dia berkata, "Kami ber-enam pernah bersama
Rasulullah ﷺ, maka datang orang-orang musyrik kemudian
berkata kepada Baginda : “Usirlah mereka dari sisimu, agar mereka tidak berani
terhadap kami." Sa'd bin Abi Waqas
berkata: "Saat itu aku bersama
dengan Ibnu Mas'ud, seorang lelaki Hudzail, Bilal, dan dua orang (lainnya) yang aku tidak dapat menyebutkan nama
mereka. Maka muncullah di dalam hati
Baginda apa yang Allah Kehendaki untuk muncul, sehingga Baginda berbicara
kepada jiwa Baginda. Allah Azza Wa Jalla
kemudian menurunkan ayat ini.”
[Tamat Nukilan Tafsir
Qurtubi]
Penjelasan
Tambahan:
Perintah ini sangat
unik kerana Allah Ta’ala menurunkan Perintah kepada Rasulullah ﷺ berupa Peringatan dan Amaran keras kepada
Baginda sedangkan hakikatnya Perintah dan Amaran Allah ini tertuju kepada
seluruh Ummat sampai Qiamat. Beberapa
pengajaran penting yang perlu diperhatikan dengan serius oleh sekalian Ummat Islam
adalah berhubung dengan Peringatan dan Amaran Allah melalui ayat ini adalah:
Pertama
: Perintah Allah supaya berserta dengan
Ahli Zikir.
Allah Ta’ala
Memerintahkan agar Rasulullah ﷺ (dan Ummat Baginda) berserta dengan
“Ahli Zikir” (iaitu mereka yang sentiasa berzikir mengingat Allah dan ubudiyyah
dengan hati yang suci bersih). Tiada harapan
mereka selain dari Wajah Allah semata-mata (Keredhaan Allah semata-mata).
Uniknya Perintah
Allah ini kerana Rasulullah ﷺ di-Perintah duduk
berserta dengan Ahli Zikir dan sabar bersama dengan mereka sedangkan Rasulullah
ﷺ sendiri adalah Sahibuz-Zikr
(Pemilik sekalian Zikir), Sahibul-Asrar (pemilik sekalian rahsia
Ketuhanan dan kehambaan), Sahibul-Ma’rifah (pemegang kunci Tauhid). Bagindalah yang mengajar, mendidik dan
memimbing para Sahabat sehingga mereka menjadi Ahli Tauhid dan Ahli Ma’rifat
yang unggul.
Maka tak mungkin
Baginda menghina para Sahabat Baginda yang telah mendapat Kemuliaan di Sisi
Allah. Jika demikian apa rahsianya Allah
Memerintahkan agar Baginda duduk berserta dengan “Ahli Zikir” dan jangan
abaikan mereka, jangan usir mereka dan jangan hina mereka?
Rahsia sebenar Perintah Allah ini
adalah : Ayat ini, meskipun zahirnya
ditujukan kepada Rasulullah ﷺ sehingga Baginda
segera menyempurnakan Perintah tersebut, namun secara umum ianya merupakan peringatan kepada seluruh Ummat,
agar mereka sentiasa berserta dengan “Ahli zikir”, dan jangan sesekali abaikan
mereka apa lagi menghina mereka.
Persoalan penting di sini:
Siapakah yang dimaksudkan oleh Allah Ta’ala dengan “orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi-pagi dan petang hari dengan mengharap keredhaan-Nya”?
Iaitu mereka adalah “Ahli Zikir”.
Siapakah yang dimaksudkan dengan “Ahli Zikir” ini?
Adakah
yang dimaksudkan dengan “Ahli Zikir” ini orang awam?
Adakah
kerana dia seorang pendeta Agama?
Atau (pada zaman ini)
kerana dia yang mempunyai gelaran “Ulama, Kiyai, PhD, Profesor dan sebagainya?”
Jawabnya:
Mereka yang
dimaksudkan sudah tentu Rasulullah ﷺ
sendiri dan para Sahabat yang Baginda didik sehingga menjadi Ahli Ma’rifat,
Ahli Taqwa, Ahli Mukasyafah yang bertauhid kepada Allah Ta’ala tanpa syirik apa
pun dalam hati mereka. Dan kemudian
diikuti oleh Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, yang benar-benar mengikuti jejak
Langkah Rasulullah ﷺ dan Sahabat Ridhwanullah
Alayhi Ajma’in. Inilah “Ahli Zikir”
yang dimaksudkan di dalam Perintah Allah ini, yang mereka itu memperoleh Pujian
dan Kemuliaan di Sisi Allah.
Menurut Asbabun-Nuzul
(sebab turunnya Perintah Allah ini), “Ahli Zikir” yang dimaksudkan adalah :
Sayyidina Salman Al-Farisi dan Sahabat lain dari kalangan Ahlus-Suffah. Mereka habiskan masa mereka dengan Zikrullah
dan Ubudiyyah kepada Allah Ta’ala pagi dan petang (sepanjang masa atau
sentiasa). Walau bagaimanapun maksud
umumnya adalah sekalian Sahabat Baginda yang mulia dan Pewaris Rasulullah ﷺ yang mengikut jejak langkah mereka di
dalam Keimanan dan Ketaqwaan. Merekalah
“Ahli Zikir” dan “Ahli Ubudiyyah”.
Ummat Islam
diperintah duduk berserta “Ahli Zikir”, iaitu sekalian Mursyid Pewaris Nabi
yang Siddiq serta Majlis-majlis mereka.
Dan jangan sesekali hina mereka kerana mereka adalah hamba-hamba Pilihan
Allah yang sentiasa berzikir kepada Allah dengan penuh ikhlas semata-mata
mengharap Wajah Allah.
Ke-2 : Allah Melarang Rasulullah ﷺ berpaling dari mereka (Ahli
Zikir).
Meskipun ia merupakan
teguran kepada Rasulullah ﷺ namun ianya merupakan
peringatan dan amaran kepada Ummat Islam seluruhnya. Iaitu I’tibar kepada Ummat Islam agar jangan
sekali-kali memandang rendah atau menghina “Ahli Zikir”. Dan jangan berpaling dari mereka semata-mata
kerana mengharap perhiasan dunia.
Maksud “Ahli Zikir”
pada zaman kemudian daripada kewafatan Rasulullah ﷺ,
sebagaimana kami jelaskan sebelum ini adalah sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang
Siddiq, yang sentiasa menyeru kepada Allah pagi-pagi dan petang-petang dan
sentiasa di dalam keadaan ubudiyyah zahir batin. Tiada yang mampu melakukan semua ini
melainkan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang di-Kurniakan oleh Allah
keistimewaan di Sisi-Nya.
Ke-3 : Jangan muliakan seseorang
kerana kekayaan, pangkat atau kedudukannya.
Perintah Allah ini
juga dengan jelas melarang keras orang beriman memuliakan seseorang kerana
kekayaannya atau pangkatnya atau kedudukannya di dalam masyarakat. Apa lagi mereka yang jelas kekafirannya
menentang Allah dan Rasul-Nya.
Pemimpin-pemimpin
Quraisy yang kaya-raya dan mempunyai kedudukan menemui Nabi
ﷺ dan
minta Baginda mengusir Ahlus Suffah, supaya mereka (kafir Quraisy) dapat
mendekat kepada Nabi ﷺ dan dengan itu boleh
menarik lebih ramai orang Quraisy masuk Islam.
Tawaran yang kelihatan menarik. Logik aqal mengatakan memang patut
menerima tawaran orang kafir itu kerana boleh membawa kemajuan kepada Ummat. Tetapi Allah Ta’ala melarang keras mengikuti
permintaan orang kafir Quraisy demikian.
Sebaliknya Allah
Ta’ala Memuliakan “Ahli Zikir”, iaitu di dalam ayat ini yang dimaksudkan
adalah para Sahabat Baginda yang dhaif dan miskin yang tinggal di suatu sudut
Masjid Nabi untuk berzikir dan ubudiyyah terus-menerus kepada Allah
Ta’ala. Meskipun mereka hanya
orang-orang yang miskin, dhaif dan tidak terkenal di dunia, namun Allah Ta’ala
Muliakan mereka. Mereka adalah
hamba-hamba Allah yang sangat tinggi dan istimewa di Sisi Allah.
Ke-4 : Allah Ta’ala Melarang duduk berserta orang yang lalai dari Zikrullah.
Sekali lagi
peringatan ini adalah kepada Ummat Islam.
Mereka dilarang duduk berserta dengan manusia yang lalai hatinya dari
Zikrullah dan mereka yang disibukkan dengan mengejar pangkat, kedudukan dan
dunia yang hina kerana mereka akan menarik kamu kepada kefasikan, kezaliman dan
kesesatan.
Ke-5
: Keunggulan, Kemenangan Ummat Islam adalah Iman – Tauhid – Ma’rifat
Keunggulan dan
Keagungan Islam BUKAN datang dari harta kekayaan, ekonomi, politik dan
kebendaan dunia yang hina, tetapi sebaliknya ia datang dari Keimanan dan
Ketaqwaan. Hanya mereka yang benar-benar
bertaqwa akan mencapai kemenangan dunia Akhirat. Adapun mereka yang hanya memakai “label
Islam” sedangkan jiwa mereka dipenuhi dengan kecintaan kepada dunia, pangkat,
kedudukan tidak sesekali mencapai kemenangan.
Sebaliknya mereka akan menemui kehinaan.
Wal Iyazubillah.
Buktinya jelas
menerusi ayat ini:
Ketika orang kafir
Quraisy yang kaya-raya dan berpangkat menawarkan diri untuk membangunkan Islam
dengan cara mendampingi Rasulullah ﷺ
dan singkirkan Sahabat-sahabat Baginda yang miskin dan sangat dhaif dari sudut
kebendaan…. Ketika itu juga Allah Ta’ala menurunkan Perintah-Nya supaya tetap
Bersama “Ahli Zikir” iaitu para Sahabat Baginda – menunjukkan keunggulan dan
kejayaan yang hakiki adalah Keimanan dan Ketaqwaan dan BUKAN harta, pangkat dan
kedudukan.
Ke-6 : Majlis Mursyid Pewaris
Nabi yang Siddiq adalah Majlis yang di-Redhai Allah.
Setiap Majlis Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah Majlis yang di-Redhai Allah. Setiap Majlis mereka diliputi Rahmat Allah kerana mereka mengikuti jejak Langkah Rasulullah ﷺ dan para Sahabat Baginda yang terpilih.
Dalilnya di dalam ayat ini:
Allah Ta’ala
Memuliakan para Sahabat yang berhimpun untuk berzikir kepada Allah, sehingga
Baginda di-Perintah duduk dan sabar berserta mereka. Maka bersabda Baginda : “Segala Puji bagi Allah yang belum
mematikanku hingga Memerintahkan kepadaku agar bersabar dengan orang-orang dari
Ummatku, bersama-Mu di dalam kehidupan dan Bersama-Mu di dalam kematian.”
Ke-7 : Setiap Muslim wajib
berpegang kepada Mursyid yang Siddiq
Sekali lagi kami
tegaskan, Perintah Allah ini menjadi bukti kewajipan setiap Muslim berpegang
kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, berserta dengan mereka dan sabar agar
mereka mencapai kejayaan.
Semasa hayat
Rasulullah ﷺ, Baginda adalah Pemimpin kepada Ummat
Islam. Setelah kewafatan Rasulullah ﷺ, para Sahabat menggantikan Baginda di
dalam urusan mendidik dan memimpin Ummat kepada Allah dengan selamat. Setelah kewafatan
Sahabat, Amanah ini berpindah kepada sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.
Pengajaran terpenting
di sini adalah : Setiap orang Islam
wajib berserta dengan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, demi keselamatan Agama
mereka. Ini kerana hanya Mursyid yang Siddiq mengenal Allah dengan sebenarnya
dan di dalam Pimpinan Allah dan Rasul-Nya.
Hanya mereka diberi kemampuan untuk kekal berzikir ingat Allah dan
mendirikan ubudiyyah sepanjang masa.
......bersambung ke Dalil 11....... اِ نْ شَآ ءَ اللّه
No comments:
Post a Comment