Friday, June 19, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 3

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


FASAL 3:

DALIL MURSYID DI DALAM AL-QURAN, HADITH DAN FATWA ULAMA'


sambungan.....


Dalil 7 :  Firman Allah:


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱبْتَغُوٓا۟ إِلَيْهِ ٱلْوَسِيلَةَ وَجَـٰهِدُوا۟ فِى سَبِيلِهِۦ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

 

“Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, supaya kamu mendapat keberuntungan.”

[Al-Maaidah (5) : Ayat 35]

Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

“Bertaqwalah kepada Allah dengan mengerjakan apa yang di-Perintahkan oleh Allah kepada-Mu.  Dan carilah jalan untuk mencapai Darjat yang tinggi di Sisi-Nya.  Takwil yang lain adalah :  Carilah tingkatan-tingkatan Ibadah yang menjadikan kamu Qurbah, mendekatkan diri kepada Allah melalui amal soleh. Dan berjihadlah (bersungguh-sungguh) untuk mewujudkan ketaatan kepada-Nya supaya kamu selamat dari Kemurkaan dan Azab-Nya dan supaya kamu mencapai keyakinan (keimanan yang tinggi).”

[Tafsir Ibn Abbas]

Menurut Ahli Ma’rifat, yang dikehendaki dengan Wasilah pada ayat ini adalah Pemimpin yang membimbing manusia kepada Allah Ta’ala.  Rasulullah , adalah Pemimpin Agung yang menunjukki Jalan kepada Allah Ta’ala.  Maka dikatakan Baginda adalah Wasilah untuk sampai kepada Allah Ta’ala.  Setelah kewafatan Rasulullah , Amanah memimpin manusia dan menunjukki Jalan kepada Allah ditanggung oleh sekalian Pewaris Baginda yang Siddiq.  Maka dikatakan Pewaris Nabi yang Siddiq adalah Wasilah kepada Allah Ta’ala.

 

Berkata Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu:

“Ya anakku, wajiblah kamu bertaqwa kepada Allah dan wajib pula kamu mempunyai Wasilah, ya’ni pemimpin pada Jalan Ma’rifat (Jalan menuju Allah yang sebenar) dan wajib pula bersungguh-sungguh pada Jalan Ma’rifat itu kerana banyak pekerjaannya (amal soleh yang wajib ditunaikan) dan banyak pula rintangannya dan kepayahannya (banyak halangan untuk mengerjakan ibadah dan keta’atan serta mencapai Ketaqwaan yang diperintahkan).”

[Risalah Ma’rifat – Jilid 1]


 

 Penjelasan Tambahan :  Pengertian Wasilah atau Rabitah


Berikut adalah penjelasan ringkas berkenaan Wasilah (dikenali juga sebagai Rabitah), sekira-kira memadai bagi mereka yang masih keliru atau dikelirukan oleh orang-orang jahil.  Moga memperoleh faham.

 

Dari segi Bahasa:

Wasilah ( الْوَسِيلَةَ ) berasal dari kata : وَصَلَ، يَصِلُ، واصِلَةً   yang bererti : 

Menghubungkan, menyambungkan, menggabungkan, menyertakan, membawa, mengangkut, menarik suatu kepada suatu yang lain sarana sampai kepada suatu matlamat. 

 

Dari segi Istilah:

Perkataan Wasilah ( الْوَسِيلَةَ ) (dan juga istilah Rabitah) adalah ditujukan kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang memimpin manusia kepada Allah Ta’ala, iaitu mencapai Tauhid yang hakiki, Iman yang sejati, Ma’rifat yang suci murni. 

 

Sesungguhnya Rasulullah adalah Wasilah Agung bagi sekalian manusia, khususnya Ummat Islam yang berimanPada hayat Rasulullah , Bagindalah yang menjadi Wasilah bagi para Sahabat Baginda, iaitu Pemimpin yang membimbing, mengasuh dan mendidik para Sahabat sehingga mencapai Tauhid yang hakiki, menjadi hamba-hamba yang di-Redhai Allah. Tanpa Pimpinan Rasulullah , para Sahabat tak mungkin Kenal Allah dan tak mungkin mereka melakukan Ubudiyyah kepada Allah Ta’ala dengan tulus hati. Maka dikatakan Rasulullah adalah Wasilah bagi Sahabat mencapai Matlamat Tauhid dan Ubudiyyah kepada Allah Ta’ala.

 

Setelah kewafatan Rasulullah , para Sahabat Baginda khususnya Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman, Sayyidina Ali Ridhwanullah alaihi ajma’in menjadi Wasilah bagi Ummat (di dalam erti kata memimpin mereka kepada Allah).  Kemudian setelah kewafatan Khulafa Ar-Rasyidin, para Imam-Imam Tabi’in menjadi Wasilah bagi Ummat.  Setelah kewafatan Tabiin, para Imam Tabiit-Tabiin pula menjadi Wasilah bagi Ummat.  Demikian seterusnya bersambung-sambung Wasilah (pimpinan Pewaris Nabi)  ini dari satu generasi Ummat kepada Generasi Ummat berikutnya, tiada putus sampai Qiamat.  Dan mereka inilah yang dikatakan sebagai Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, pengganti Rasulullah bagi mendidik Ummat manusia kepada Allah Ta’ala.

 

Dengan perkataan lain, Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah sebaik-baik Wasilah kepada Allah Ta’ala kerana hanya mereka (Pewaris Nabi yang Siddiq) yang memiliki kelayakan memimpin manusia dengan selamat kepada Allah Ta’ala.  Tiada manusia mampu berserta Allah dan tiada manusia mampu memimpin manusia kepada Allah melainkan mereka telah terdidik menurut Jalan Ma’rifat oleh Gurunya yang benar-benar Arif, yang beliau sendiri telah menerima didikan dari Guru beliau yang mempunyai Silsilah sampai kepada Junjungan Rasulullah

 

Dalil 8 :  Firman Allah:


وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ مَعَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمَ ٱللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ وَٱلصِّدِّيقِينَ وَٱلشُّهَدَآءِ وَٱلصَّـٰلِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُو۟لَـٰٓئِكَ رَفِيقًۭا

 

Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang di-Anugerahi Nikmat oleh Allah, yaitu; Nabi-Nabi, para Siddiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh.  Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.

[An-Nisaa’ (4) : Ayat 69]

 

Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

“Barangsiapa mentaati Allah di dalam Kefardhuan-Nya dan menta’ati Rasul di dalam Sunnahnya, mereka itu di dalam Syurga nanti akan bersama dengan Nabi Muhammad dan Nabi-Nabi yang lain dan Siddiqin, iaitu para Sahabat utama Rasulullah dan mereka yang mati Syahid dan mereka yang Solihin dari kalangan Ummat Rasulullah .

[Tafsir Ibn Abbas]

 

Berkata Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu:

“Orang-orang Solihin adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, yang (kekal) beramal Zikrullah dan Muraqabah, iaitu orang yang benar-benar taat akan Allah dan Rasul-Nya.”

[Risalah Ma’rifat siri 1]

Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

“Lafaznya mencakup setiap orang Soleh dan mereka yang Syahid.”

[Tafsir Qurtubi]

 

Dalil 9 :  Firman Allah:

 

يَوْمَ نَدْعُوا۟ كُلَّ أُنَاسٍۭ بِإِمَـٰمِهِمْ ۖ فَمَنْ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ يَقْرَءُونَ كِتَـٰبَهُمْ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًۭا وَمَن كَانَ فِى هَـٰذِهِۦٓ أَعْمَىٰ فَهُوَ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ أَعْمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلًۭا

 

“(Ingatlah) suatu hari (yang pada hari itu) Kami panggil tiap umat dengan pemimpinnya; dan barang siapa yang diberikan kitab amalannya di tangan kanannya, maka mereka ini akan membaca kitabnya itu dan mereka tidak dianiaya sedikit pun.  Dan barang siapa yang buta (hatinya) di dunia ini, niscaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar).”

[Al-Isra (17) : Ayat 71-72]

 

Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

“Pada Hari Qiamat, setiap ummat akan dibangkitkan bersama dengan Pemimpin mereka, iaitu Nabi mereka.  Riwayat lain takwilkan :  Dengan buku catatan masing-masing.  Riwayat lain mengatakan :  Bersama dengan Penyeru mereka yang selalu mengajak mereka kepada Jalan Petunjuk dan Penyeru kepada jalan Kesesatan.

[Tafsir Ibnu Abbas]

 

Dari perkataan Ibn Abbas Radhiallahu anhu, kita dapat memahami bahawa setiap manusia dibangkitkan di Mahsyar bersama-sama dengan Pemimpin mereka masing-masing.  Jika Pemimpin mereka adalah Siddiqin dan Solihin, maka mereka dibangkitkan bersama pemimpin tersebut.  Jika Pemimpin mereka adalah orang fasiq atau zalim atau kafir, maka mereka akan dibangkitkan bersama dengan Pemimpin-pemimpin mereka masing-masing dari kalangan fasiq atau zalim atau kafir.  Hal ini tiada perselisihan.

 

Maka demikianlah orang-orang beriman yang menjadikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq sebagai Pemimpin mereka, mereka akan dibangkitkan bersama Guru mereka masing-masing.  Sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, yang mempunyai silsilah Rasulullah   akan  berhimpun di bawah panji-panji besar Rasulullah bersama-sama murid mereka masing-masing.     Sekalian Mursyid akan menjadi saksi atas murid mereka dan Gurunya pula jadi saksi atas Beliau ...  demikian sambung-menyambung sampai akhirnya saksi dari Rasulullah sendiri.  Dan sejurus kemudian mereka dipimpin masuk syurga oleh Rasulullah bertali-tali atau berantai-rantai, sebagaimana Isyarat Hadith:

 

Rasululllah bersabda:

 

عَجِبَ اللَّهُ مِنْ قَوْمٍ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ فِى السَّلاَسِلِ.

 

“Ajib (Hairan) oleh Allah dengan orang-orang yang masuk syurga  berantai-rantai             ( bertali-tali).”

[Imam Bukhari]

 

Berkata Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu:

“Yang dimaksudkan dengan  السَّلاَسِلِ  (berantai-rantai) adalah :  Ahli Silsilah Rasulullah yang bersambung dari seorang Ahli Silsilah kepada Ahli Silsilah di atasnya sampai Rasulullah .”

[Risalah Ma’rifat]

 


......bersambung ke Dalil 10....... اِ نْ شَآ ءَ اللّه


No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 3

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 3: DALIL MURSYID DI DALAM AL-QURAN...