■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
SIRI 721 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Ahlus Sunnah berkeyakinan bahawa orang Mukmin yang dimasukkan ke Neraka kerana perbuatan dosa besar, dia tidak akan tinggal di Neraka untuk selamanya. Dia akan dikeluarkan pada suatu saat kerana pada dasarnya Neraka adalah seperti penjara dunia, di mana manusia diberikan balasan sesuai dengan dosa dan kejahatan yang dilakukan. Dan setelah beberapa lama , dia akan dikeluarkan juga dari Neraka. Wajah mereka terhindar dari api. Anggota tubuh yang digunakan untuk sujud kepada Allah juga tidak terbakar, kerana Neraka diharamkan untuk membakarnya. Dia akan terus merasakan pedihnya azab Allah selama dia di Neraka. Hal ini berbeza dengan pendapat fahaman sesat Qadariah (faham sesat Qadar) yang menyatakan bahawa dosa besar hapuskan ketaatan sehingga ketaatan tidak akan mendapat balasan. Pendapat ini sama seperti pendapat Khawarij."
[Al-Ghunyah]
Peringatan Penting:
(1) Penjelasan di sini tidak sesekali bermaksud meremehkan dosa atau memandang ringan akan dosa. Kita cuma menyebut penentuan hukum. Sepatutnya setiap orang beriman sangat hati-hati apabila berhadapan dengan dosa.
(2) Sebahagian Ulama mengatakan setiap keingkaran dan pelanggaran Perintah Allah adalah semuanya dosa besar. Sebahagian Ulama lain menghalusi pengertian dosa kepada dua bahagian, iaitu:
Dosa Besar dan Dosa kecil.
(3) Menurut Ibn Abbas Radhiallahu anhu, Dosa besar adalah setiap dosa yang diancam oleh Allah dengan Ancaman Neraka, atau Kemurkaan, atau La'nat atau Azab siksa.
(4) Dosa-dosa besar ada yang bersifat zahir (anggota tubuh) dan ada yang bersifat batin (hati). Kedua-duanya bahaya kepada orang beriman.
(5) Jangan sesekali meremehkan apa saja dosa sama ada yang besar atau kecil, sama ada yang zahir atau batin (hati). Hendaklah sentiasa waspada terhadap apa jua dosa dan segera Taubat kembali kepada Allah. Meremehkan apa jua dosa adalah dosa besar.
Rasulullah ﷺ bersabda:
Dari Abdullah bin Mas’ud _Radhiallahu anhu_ berkata, bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Sesungguhnya seorang Mu'min (ketika) ia melihat dosa-dosanya, adalah seperti dia duduk di lereng sebuah gunung, dan dia sangat khuatir gunung itu akan menimpanya. Sedangkan seorang fajir (gemar buat ma'siat dan kekejian), ketika dia melihat dosa-dosanya adalah seperti dia melihat seekor lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian dia mengusirnya seperti ini lalu terbang (memandang remeh akan dosa).”
Abu Syihab (salah seorang perawi Hadith) mengisyaratkan dengan tangannya di atas hidungnya.
[Imam Bukhari]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Wahai Aisyah, takutlah engkau terhadap dosa-dosa kecil, kerana ia akan diminta pertanggungjawaban di hadapan Allah.”
[Imam Ad-Darimi]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Berhati-hatilah kalian terhadap dosa kecil, sebab jika ia berkumpul dalam diri seseorang, ia akan membinasakannya.”
[Imam Ahmad]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Aku sangat takut syirik pada Ummaku. Walaupun mereka tidak menyembah berhala, matahari, bulan dan batu. Akan tetapi memperlihatkan kepada orang dengan amal mereka.”
[Imam Ibnu Majah, Al-Hakim]
Berkata Imam Al-Haythami Radhiallahu anhu:
"Dosa besar yang bersifat batin (hati) lebih berbahaya dan dosa kemaksiatannya lebih hina dan sangat rendah. Juga kerana sebahagian besar dosa itu mudah terjadi dan cepat merebak. Terutama apabila seseorang berasa bebas dari sebahagian dosa-dosa tersebut kerana meremehkan kehadirannya."
[Al-Zawaajir]
SIRI 722 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-25:
Dilarang berkata: "Aku pasti Mu'min"
Menurut pegangan Ahlus Sunnah, seseorang dilarang berkata: "Aku pasti Mu'min". Tetapi gunakanlah perkataan "In shaa Allah".
Misalnya katakanlah:
"Aku ini orang Mu'min In shaa Allah."
"In shaa Allah aku termasuk orang beriman"
Seseorang dilarang berkata: "Aku pasti Mu'min." kerana dia telah menentukan secara pasti akan Keimanannya, seolah-olah dia berkuasa menentukan nasib dia sendiri, sedangkan tidak ada siapa pun tahu akan nasibnya.
Sebagaimana bicara telah lalu, Allah Ta'ala Maha Penentu Taqdir makhluq. Dia Kurniakan Iman kepada sesiapa Dia Kehendaki dan menahannya daripada sesiapa Dia Kehendaki. Apa yang patut dilakukan adalah hidup antara _khauf_ (takut) dan _roja_ (harap). Sentiasa takut kepada Allah dan pada masa yang sama harap Keampunan dan Rahmat Allah. Inilah keselamatan bagi orang beriman. Maka disebabkan inilah dilarang berkata : "Aku pasti Mukmin."
Firman Allah:
إِنَّ ٱللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْراً
"Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."
[At-Talaq (65) : Ayat 3]
Hadith Rasulullah ﷺ:
Sayyidina Umar Radhiallahu anhu bertanya Nabi ﷺ:
"Apakah pandanganmu tentang amalan (manusia) yang dilakukan adakah ia sudah ditetapkan sebelumnya atau baru berlaku? Maka dijawab oleh Baginda: "Sesungguhnya segala sesuatu telah pun ditetapkan pada setiap perkara. Lalu dibalas oleh Umar: "Jika demikian, adakah kita harus menyerah sahaja?" Baginda Bersabda: "Beramallah wahai Ibnu al-Khattab. Segala sesuatu itu sudah dipermudahkan. Sesiapa yang tergolong di kalangan ahli kebaikan (Syurga), maka dia dijadikan beramal dengan amalan ahli Syurga dan sesiapa yang tergolong dalam ahli Siksa, maka dia dijadikan beramal jahat untuk ke Neraka."
[Imam Ahmad]
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Seorang beriman tidak boleh mengatakan, "Aku pasti mukmin." Sepatutnya dia berkata, "Aku ini orang Mu'min In Shaa Allah." Golongan Mu'tazilah berlawanan dengan pendirian ini. Mereka membolehkan berkata "Aku pasti Mu'min." Pendapat kami berdasarkan kata Sayyidina Umar Radhiallahu anhu: "Barangsiapa mengaku dia pasti mukmin, bererti dia kafir." Seseorang tidak akan mencapai posisi Keimanan kecuali dia telah memenuhi semua ketentuan Iman dan mati di dalam keadaan _husnul khatimah_ (mati di dalam kesudahan baik) sedangkan tiada siapa pun tahu bagaimana kehidupannya berakhir. Oleh kerana itu dia mesti sentiasa takut, harap dan berusaha keras membaiki diri, serta hati-hati dan tidak mati kecuali di dalam berbuat kebaikan (amal soleh yang di-Redhai Allah). Sesungguhnya manusia mati sebagaimana keadaan dia hidup dan akan dikumpulkan dengan keadaan pada saat dia meninggal. Sebagaimana Sabda Rasulullah ﷺ:
“Setiap hamba akan dibangkitkan sesuai dengan keadaannya ketika meninggal.” [Imam Muslim]
SIRI 723 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-26:
Dilarang keras mengutuk Ahlul Bayyit Rasulullah ﷺ dan Sahabat
Ahlus Sunnah sepakat melarang keras mencela, mengutuk, menghina Ahlul Bayyit dan Sahabat Rasulullah ﷺ sebaliknya wajib muliakan mereka kerana mereka adalah insan-insan Pilihan Allah yang amat istimewa mengatasi manusia lain.
Ahlul Bayyit Nabi
Ahlul Bayyit adalah ahli keluarga Rasulullah ﷺ
Termasuk di dalam istilah Ahlul Bayyit Rasulullah ﷺ menurut Ahli Sunnah wal Jamaah adalah:
1. Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah, Fatimah Az-Zahra, Sayyidina Hasan, Sayyidina Husain Ridhwanullahi alaihi ajmain.
2. Isteri-isteri Rasulullah
3. Bani Hashim dan Bani Muttalib serta kaum kerabat mereka.
Sahabat Rasulullah ﷺ
Sahabat Rasulullah ﷺ, secara khusus adalah mereka yang mempunyai sifat-sifat berikut:
1. Bertemu Rasulullah ﷺ.
2. Bai'at dengan Baginda.
3. Berjuang bersama Baginda.
4. Wafat di dalam keadaan Mukmin.
Sahabat Rasulullah ﷺ secara umum adalah semua Ahli Silsilah Rasulullah ﷺ, iaitu hamba-hamba Allah yang Mukmin yang bersambung silsilah keruhanian mereka kepada Rasulullah ﷺ, mendapat Limpahan Nur Rabbaniyyah serta Nur Muhammad di dalam dada mereka dan mereka wafat di dalam keadaan Mukmin.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya Allah melarang masuk syurga terhadap orang yang menganiaya ahlul Bayyit-ku, atau orang yang memerangi mereka, atau orang yang membantu orang yang memerangi mereka, atau orang yang memaki-maki mereka.”
[Imam Ahmad]
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Kita wajib bersangka baik dengan isteri-isteri Rasulullah ﷺ yang merupakan ibu seluruh kaum muslimin. Aisyah adalah wanita terbaik di antara semua wanita di dunia. Demikian juga Fatimah binti Muhammad ﷺ, dia adalah wanita tauladan bagi seluruh Muslimah. Kita wajib mencintainya sebagaimana mencintai ayahnya, Nabi Muhammad ﷺ.
[Al-Ghunyah]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Barang siapa mencela Sahabat-sahabatku nescaya akan mendapat laknat dari Allah , malaikat dan manusia seluruhnya”.
[Imam Ibn Adi. Imam Al-Khatib]
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Ahlus Sunnah sepakat mewajibkan kaum muslimin untuk tidak terjebak di dalam perselisihan yang terjadi di antara mereka. Juga wajib menahan diri dari mencela mereka, tetapi justru wajib memperlihatkan keutamaan dan kebaikan mereka. Setelah serahkan semua permasalahan kepada Allah, khususnya pertentangan antara 'Ali bin Abi Talib, Thalhah, Zubair, Aisyah dan Muawiyyah. Firman Allah:
وَٱلَّذِينَ جَآءُو مِنۢ بَعۡدِهِمۡ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا وَلِإِخۡوَٲنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلۡإِيمَـٰنِ وَلَا تَجۡعَلۡ فِى قُلُوبِنَا غِلاًّ۬ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٌ۬ رَّحِيمٌ
Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan Rahmat-Mu.
[Al-Hasyr (59) : Ayat 10]
SIRI 724 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-27:
Nikmat atau Siksa kubur dan Malaikat Munkar Nakir
Ahlus Sunnah meyakini adanya siksa kubur bagi orang kafir, fasiq, Munafiq dan Ni'mat kubur bagi orang yang Mukmin. Orang Mukmin akan merasai hawa Syurga sedangkan orang kafir, fasiq, munafiq akan merasai hawa Neraka. Hal demikian adalah sebelum hari Kebangkitan dan Hari Pengadilan di hadapan Raja Maha Adil. Ertinya ruh orang mati akan dikembalikan kepada jasadnya dan dia akan merasakan Nikmat kubur atau siksaan selama berada di dalam kuburnya.
Lain halnya kepercayaan golongan sesat yang tidak percaya wujud siksa kubur sebaliknya menurut kepercayaan mereka manusia berubah bentuk. Mereka benar-benar kufur kepada Firman Allah, Hadith Rasulullah ﷺ serta keterangan jelas para Ulama Mu'tabar.
Rasulullah ﷺ bersabda:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسلم قَالَ: «إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا مَاتَ عُرِضَ عَلَيْهِ مَقْعَدُهُ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ إِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَمِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَإِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ فَمِنْ أَهْلِ النَّارِ فَيُقَالُ هَذَا مَقْعَدُكَ حَتَّى يَبْعَثك الله يَوْم الْقِيَامَة»
"Setiap seorang daripada kamu, apabila telah mati akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya setiap pagi dan petang. Jika dia daripada ahli Syurga maka akan diperlihatkan seperti ahli Syurga dan jika dia ahli Neraka maka diperlihatkan seperti ahli Neraka. Dikatakan kepadanya, “Inilah tempatmu sehingga dibangkitkan semula pada hari Qiamat.”
[Imam Bukhari, Imam Muslim]
SIRI 725 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Kita wajib percaya wujud Siksa Kubur bagi setiap orang yang berbuat maksiat dan kafir. Juga ada kenikmatan bagi orang-orang yang taat dan beriman. Dalil atas semua hal itu adalah Firman Allah:
يُثَبِّتُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱلۡقَوۡلِ ٱلثَّابِتِ فِى ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَفِى ٱلۡأَخِرَةِۖ وَيُضِلُّ ٱللَّهُ ٱلظَّـٰلِمِينَۚ وَيَفۡعَلُ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ
"Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri) dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya.”
[Ibrahim (14) : Ayat 27]
Di dalam kitab Tafsir disebutkan yang dimaksud dengan kalimat "dalam kehidupan di dunia" adalah pada saat keluarnya ruh. Dan Kalimat "di Akhirat" adalah pada saat ditanya oleh Munkar dan Nakir.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
"Jika seorang di antara kalian dikuburkan, maka dia akan didatangi oleh dua Malaikat yang berkulit hitam kebiru-biruan, salah satunya bernama Nakir dan yang lain bernama Munkar. Kedua malaikat berkata kepada ahli kubur: "Bagaimanakah pendapatmu mengenai Muhammad ﷺ?"
Jika dia seorang yang beriman, maka dia akan menjawab:
"Baginda adalah hamba sekaligus Rasul Allah. Aku naik saksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad ﷺ adalah Rasul-Nya."
Lalu kedua malaikat itu berkata: “Sungguh kami sudah tahu engkau akan berkata demikian." Kemudian kuburnya diluaskan sepanjang 70 hasta dan lebarnya 70 hasta, dan diterangi cahaya. Lalu dikatakan kepadanya: "Tidurlah". Maka dia pun berkata: "Biarkan aku kembali kepada keluargaku sehingga aku khabarkan kepada mereka.” Lebih lanjut dikatakan kepadanya: "Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangunkan melainkan sangat dicintai keluarganya sehingga Allah membangkitkannya dari tidurnya."
Jika yang ditanya itu seorang munafiq, maka dia akan mengatakan, "Aku tidak tahu. Dahulu aku pernah dengar orang mengatakannya sesuatu dan aku pun ikut mengucapnya."
Maka kedua Malaikat itu berkata: "Kami sudah tahu kamu pasti akan menjawab demikian." Kemudian dikatakan kepada bumi: “Himpitlah dia sehingga tulangnya hancur berantakan." Dia akan disiksa sehingga Allah membangkitkannya dari kuburnya.
Pendapat ini berdasarkan Hadith yang diriwayatkan oleh Atha' bin Yasar, dia menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda kepada Umar Al-Khatab Radhiallahu anhu: "Hai Umar, bagaimana pendapatmu jika digali liang lahad untukmu dengan panjang tiga hasta satu jengkal dan luas satu hasta satu jengkal. Kemudian keluargamu datang untuk melihatmu, lalu memandikan, mengkafani, dan meyapu minyak wangi pada tubuhmu, kemudian membawa dan kuburkanmu, lalu menaburkan tanah ke kuburmu, selanjutnya meninggalkanmu. Setelah itu akan datang dua penanya malaikat penjaga kubur, Munkar dan Nakir. Suaranya seperti halilintar bergemuruh. Pandangan mereka seperti kilat menyambar, kedua membiarkan rambut mereka terurai seraya berkata: "Siapa Tuhanmu dan apa Agamamu."
Mendengar itu Umar Al-Khatab berkata: "Wahai Rasul Allah, adakah hati yang bersamaku pada saat itu sama dengan hati yang sama denganku hari ini?"
Jawab Baginda: "Ya"
Kemudian Umar menjawab:
"Kalau begitu, aku boleh menghadapi keduanya."
Hadith di atas menunjukkan bahawa peristiwa tersebut berlangsung setelah ruh dikembalikan ke dalam jasad, kerana dalam Hadith tersebut Sayyidina Umar berkata: " Apakah hati yang bersamaku", Lalu Rasulullah ﷺ menjawab: "Ya"
[Tamat nukilan kitab Al-Ghunyah]
SIRI 726 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-28:
Syafa'at Rasulullah ﷺ, Nabi-Nabi, Auliya Allah dan Mukmin
Ahlus Sunnah beriman kepada wujudnya Syafa'at Rasulullah ﷺ, Syafa'at Nabi-Nabi, Syafaat Auliya Allah dan Syfa'at orang Mukmin sejati. Iaitu pertolongan para Rasul, Nabi, Auliya Allah serta orang yang benar-benar Mu'min kepada orang-orang Islam yang berdosa besar dan akan masuk Neraka. Dengan Izin Allah dan Rahmat-Nya, mereka dapat selamat daripada Neraka.
Definisi Syafa'at (شَفاَعَةٌ )
Dari segi bahasa:
Syafa'at (شَفاَعَةٌ ) adalah: Pertolongan, perantara, penengah, media
Dari segi Istilah : Syafa'at (شَفاَعَةٌ ) adalah: Pertolongan orang Mukmin kepada orang Islam lain ketika dia menghadapi Titian Sirat (jambatan), ketika Mizan (timbangan amal) dan ketika dimasukkan ke dalam Neraka, sehingga dia dapat masuk ke Syurga dengan Izin Allah serta Rahmat Kemurahan-Nya.
Firman Allah:
هَلۡ يَنظُرُونَ إِلَّا تَأۡوِيلَهُ ۥۚ يَوۡمَ يَأۡتِى تَأۡوِيلُهُ ۥ يَقُولُ ٱلَّذِينَ نَسُوهُ مِن قَبۡلُ قَدۡ جَآءَتۡ رُسُلُ رَبِّنَا بِٱلۡحَقِّ فَهَل لَّنَا مِن شُفَعَآءَ فَيَشۡفَعُواْ لَنَآ أَوۡ نُرَدُّ فَنَعۡمَلَ غَيۡرَ ٱلَّذِى كُنَّا نَعۡمَلُۚ قَدۡ خَسِرُوٓاْ أَنفُسَہُمۡ وَضَلَّ عَنۡہُم مَّا ڪَانُواْ يَفۡتَرُونَ
Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibat atau kesudahan (apa yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam Al-Quran), pada hari datangnya apa yang telah dijanjikan dalam Al-Quran itu (pada hari kiamat kelak), berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang tidak menghiraukannya dalam dunia) dahulu: Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran, maka adakah untuk kami pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi kami atau (bolehkah) kami dikembalikan (ke dunia) supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami telah kerjakan? Sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri dan telah lenyaplah dari mereka perkara-perkara yang mereka ada-adakan dahulu.
[Al-A'raf (7) : Ayat 53]
Rasulullah ﷺ bersabda:
لِكُلِّ نَبِىٍّ دَعْـوَةٌ مُسْـتَجَابَةٌ فَتَعَجَّـلَ كُلُّ نَبِىٍّ دَعْوَتَـهُ وَإِنِّى اخْتَبَأْتُ دَعْـوَتِى شَــفَاعَةً لأُمَّـتِى يَوْمَ الْقِيَـامَـةِ فَهِىَ نَائـِلَةٌ إِنْ شَـاءَ اللَّهُ مَنْ مَـاتَ مِنْ أُمَّـتِى لاَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا
"Setiap Nabi mempunyai doa yang mustajab maka setiap Nabi doanya dikabulkan segera sedangkan aku menyimpan doaku untuk memberikan syafaat kepada umatku di hari kiamat. Syafaat itu insha Allah diperoleh umatku yang meninggal tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun”.
[Imam Muslim]
SIRI 727 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Bentuk Syafaat:
1. Syafaat Khassah (khusus) - Syafaat Al-Uzma
Syafaat ini terkhusus milik Rasulullah ﷺ semata-mata. Syafaat khusus ini adalah Permohonan-Pertolongan Allah agar mempercepatkan hisab kerana sekalian manusia tidak tahan dengan penderitaan Mahsyar.
2. Syafaat Am (umum)
Syafaat umum adalah Syafaat yang Allah Ta'ala Kurniakan Keizinan kepada sekalian Rasul, Auliya, Mukmin untuk memberikan Syafaat kepada Ibu bapanya, Ahli keluarganya, saudaranya, dan sekalian orang beriman.
Golongan yang Allah Kurniakan kelayakan untuk berikan syafaat:
1. Rasul-Rasul
2. Nabi-Nabi
3. Auliya Allah
(Ahlul Bayyit Nabi, Sahabat Nabi, Mursyid Pewaris Nabi, Syuhada adalah dihitung Auliya Allah)
4. Mukmin sejati
5. Kanak-kanak yang meninggal kecil (sebelum baligh)
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
Kita wajib beriman bahawa Allah menerima Syafa'at Nabi Muhammad ﷺ untuk orang yang berbuat dosa besar. Pemberian Syafa'at Nabi ﷺ berlalu umum bagi ummat manusia yang beriman. Dan bagi mereka yang memasuki Neraka, Syafaat Baginda khusus untuk Ummat Baginda saja. Maka mereka boleh keluar dari Neraka dengan Syafaat Baginda, dan juga dengan Syafa'at Mukmin lain sehingga tidak tersisa orang yang mengucapkan Kalimat "Tiada Tuhan melainkan Allah" walaupun sekali sepanjang hidupnya dengan penuh keikhlasan kerana Allah semata-mata. (Ucap Kalimat Syahadah dengan kebenaran, bukan pura-pura). Orang yang jujur dan orang soleh juga mempunyai Syafaat. Di dalam Hadith yang diriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri, Rasulullah ﷺ bersabda: Setiap Nabi mempunyai pemberian dan aku menyimpan pemberianku sebagai Syafaat untuk Ummatku. Dan sesungguhnya seseorang dari Ummatku dapat memberi Syafaat bagi satu kabilah sehingga Allah berkenan masukkan mereka ke dalam Syurga dengan Rahmat-Nya berkat syafaatnya. Dan seseorang dapat juga berikan Syafaat kepada sekelompok orang sehingga Allah memasukkan mereka ke dalam Syurga dengan Syafaat tersebut. Dan seorang dapat beri Syafaat kepada tiga orang, kepada dua orang, dan juga kepada sorang."
[Al-Ghunyah]
SIRI 728 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
_Mufaraqah dari Saf Ummat
_sambungan...
Prinsip ke-29:
Setiap manusia akan melintasi Titian Sirat
Ahlus Sunnah meyakini wujudnya "Titian Sirat", iaitu jambatan melintasi Neraka ke Syurga. Semua manusia akan melaluinya. Manusia beriman akan selamat menyeberangi Titian Sirat sedangkan orang kafir dan munafiq tak dapat menyeberanginya. Kaki mereka tergelincir lalu jatuh ke dalam Jurang Neraka. Wal Iyazubillah. Cepat atau lambat perjalanan di atas titian bergantung kepada kekuatan Keimanan - dengan istilah tepat adalah Cahaya Iman di dalam hatinya.
Firman Allah:
يَوْمَ تَرَى ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَاتِ يَسْعَىٰ نُورُهُم بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِم بُشْرَاكُمُ ٱلْيَوْمَ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا ٱلأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ذَلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
(Ingatlah) ketika engkau melihat (pada hari Qiamat): Orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, cahaya (Iman dan amal soleh) mereka bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan, serta dikatakan kepada mereka): Berita yang menggembirakan kamu pada hari ini, (kamu akan beroleh) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekal kamu di dalamnya; yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.
[Al-Hadiid (57) : Ayat 12]
Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:
Pada Hari Pengadilan, cahaya orang beriman bersinar di hadapan mereka dan di kanan mereka ketika di titian Sirat. Malaikat yang berdiri di Sirat itu akan berkata: Berita yang menggembirakan kamu pada hari ini, kamu beroleh Syurga, di bawah pepohonan dan tempat kediamannya mengalir sungai-sungai di bawahnya, sungai arak, air madu dan air susu, mereka kekal di dalam Syurga, tidak akan mati. (Itulah Kemenangan yang Agung) mereka memperoleh Syurga dan apa yang ada di dalamnya dan diselamatkan dari Neraka dan apa yang ada di dalamnya.
[Tafsir Ibn Abbas]
Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:
"Kalimat ( يَسعىٰ نورُهُم ), menurut Imam Hasan Radhiallahu anhu adalah Cahaya yang terlihat pada saat mereka berjalan melalui Siratal-Mustaqim. Menurut suatu riwayat, Ibn Mas'ud Radhiallahu anh berkata: "Difahami kalimat Nur tersebut sesuai dengan makna sebenarnya, iaitu Cahaya. Cahaya mereka akan bersinar sesuai dengan amal perbuatan mereka, sebahagian dari mereka ada yang diberikan Cahaya seperti sebutir kurma sahaja. Sebahagian lagi diberikan cahaya seperti seorang yang berdiri tegak, dan cahaya paling rendah adalah cahaya diletakkan dibawah kaki di mana cahaya itu terkadang menyala, terkadang malap."
[Tafsir Qurtubi]
Hadith Rasulullah ﷺ:
An-Nadr bin Anas bin Malik meriwayatkan dari ayahnya yang berkata:
"Aku meminta Nabi ﷺ untuk memberi syafaat untukku pada hari Qiamat. Baginda bersabda: "Akulah yang berbuat demikian." Aku berkata: "Wahai Rasulullah! Lalu di manakah aku akan mencari engkau?" Baginda berkata: "Carilah aku, kali pertama kamu mencariku adalah di Sirat". Aku berkata: "Jika aku tidak menemui engkau di Sirat?" Baginda berkata: "Jika tidak, carilah aku di Mizan." Aku berkata: "Dan jika aku tidak menemui engkau di Mizan?" Baginda berkata: "Maka carilah aku di Hawdh, kerana sesungguhnya aku tidak akan ketinggalan ditemui pada tiga tempat ini.'"
[Imam At-Tirmizi]
SIRI 729 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Ringkasan penjelasan Titian Sirat
(1) Definisi
Dari segi bahasa:
Perkataan Sirat (الصّراَطْ) bermaksud jalan, lorong, alur, laluan.
Dari segi istilah:
Perkataan Sirat (الصّراَطْ) adalah jambatan yang dibentang merentasi Neraka menuju Syurga.
Berkata Imam Nawawi Radhiallahu anhu:
"Ulama besar menetapkan bahawa Sirat itu ialah satu titian di atas permukaan api Neraka Jahanam di mana semua manusia akan melaluinya.”
[Syarah Muslim]
(2) Titian Sirat terbentang di atas Neraka, maka keadaannya amat gelap.
(3) Setiap manusia akan menyeberanginya menuju Syurga. Orang Mukmin akan dipermudahkan oleh Allah menyeberanginya sehingga mereka selamat sampai ke seberang, sementara orang kafir, fasiq dan munafiq akan sangkut di dalam perjalanannya kerana kaki mereka akan tergelincir dan jatuh ke dalam gaung Neraka di bawahnya.
(4) Junjungan Besar ﷺ adalah Rasul pertama yang menyeberangi titian Sirat bersama Ummat Baginda yang lulus.
(5) Kelajuan seseorang menyeberangi Titian Sirat adalah bergantung kepada ketinggian Imannya.
Sekalian Rasul, Nabi dan Auliya Allah melintasi titian sepantas kilat.
Ada Mukmin yang bergerak melintasi laju bagai angin kencang.
Ada Mukmin yang bergerak melintasi laju seperti kuda yang pantas.
Ada orang melintasi berlari.
Ada orang melintasi sambil berjalan.
Ada orang melintasi dengan mengesot.
Ada orang melintasi dengan muka mereka.
Ada orang tak dapat bergerak langsung.
(6) Keadaan titian Sirat adalah gelap sehingga orang kafir dan munafiq teraba-raba di dalam perjalanannya. Sebaliknya orang beriman akan dapat melaluinya dengan mudah kerana cahaya yang menyinari jalannya. Kadar cahaya yang bersinar sepanjang jalan bergantung kepada Imannya. Orang yang Imannya tinggi akan memperoleh Cahaya Luas dan Terang benderang sepanjang jalannya. Mereka yang kurang Iman akan mendapati cahayanya kurang sedikit berbanding dengan kelompok Iman yang tinggi. Mereka yang lemah Imannya akan memperoleh cahaya sebesar ibu jari atau sebesar buah kurma. Orang tiada Iman tiada cahaya baginya. Golongan kafir, munafiq dan sesat akan teraba-raba sepanjang jalan di dalam kegelapan. Wal Iyazubillah
(7) Menurut Ahli Ma'rifat, Cahaya Keimanan yang dikatakan menyinari jalan Mukmin sepanjang Titian adalah datang dari Cahaya Keimanannya sendiri yang sudah diperolehnya ketika di dunia. Inilah Cahaya Tauhid, Cahaya Ma'rifat yang mereka peroleh hasil mujahadah pada Jalan Ma'rifat yang di-Redhai Allah. Adapun orang awam yang bergelumang di dalam kesyirikan (syirik khafi), mazmumah (sifat keji) tidak akan mendapat cahaya atau hanya sedikit cahayanya.
Firman Allah:
وَمَن لَّمۡ يَجۡعَلِ ٱللَّهُ لَهُ ۥ نُورً۬ا فَمَا لَهُ ۥ مِن نُّورٍ
“Barang siapa yang tiada diberi cahaya oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun”
[An Nuur (24) : Ayat 40]
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu
"Kita juga wajib beriman adanya Sirat, iaitu jambatan yang menghubungkan dua tepi Jahannam. Ketika melewati Sirat itu Allah akan menggelincirkan siapa yang Dia Kehendaki. Pada saat itu manusia hanya bergantung kepada Iman dan amal perbuatan mereka. Ada yang menyeberangi Sirat dengan berjalan kaki, berlari kecil, menaiki kenderaan, merangkak dan ada juga merayap. Rasulullah ﷺ pernah menyebut bahawa bentuk Sirat itu lebih halus dari rambut, lebih panas dari api, lebih tajam dari mata pedang. Panjangnya 300 tahun dalam hitungan Akhirat. Sirat itu hanya berjaya dilalui oleh orang yang berbuat baik. Sedangkan orang yang berbuat jahat akan tergelincir kakinya."
[Al-Ghunyah]
SIRI 730 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-30:
Orang beriman minum air di telaga Haudh Rasulullahﷺ
Ahlus Sunnah berkeyakinan mereka akan diberi minum oleh Rasulullah ﷺ dari Telaga Rasulullah ﷺ, iaitu Telaga Haudh. Semua pendokong Ahlus Sunnah yang benar akan dapat minum dari Telaga Rasulullah ﷺ kerana merekalah pencinta Rasulullah ﷺ yang sebenar. Adapun golongan sesat Khawarij, Syi'ah (rafidhi), sekular dan lain-lain yang mempermainkan Agama, mengolok-olok Masyaikh Ahlus Sunnah, mereka mengolok-olok Mursyid Pewaris Nabi, mereka yang keluar dari Saf Ahlus Sunnah akan dihalau daripada Haudh.
Rasulullah ﷺ bersabda:
حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ أَبِي مَرْيَمَ، حَدَّثَنَا نَافِعُ بْنُ عُمَرَ، عَنِ ابْنِ أَبِي مُلَيْكَةَ، قَالَ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَمْرٍو قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم " حَوْضِي مَسِيرَةُ شَهْرٍ، مَاؤُهُ أَبْيَضُ مِنَ اللَّبَنِ، وَرِيحُهُ أَطْيَبُ مِنَ الْمِسْكِ، وَكِيزَانُهُ كَنُجُومِ السَّمَاءِ، مَنْ شَرِبَ مِنْهَا فَلاَ يَظْمَأُ أَبَدًا ".
"Telagaku adalah (sangat besar sehingga memerlukan) perjalanan sebulan untuk menyeberanginya. Airnya lebih putih daripada susu, dan baunya lebih harum daripada minyak kasturi (sejenis Minyak Wangi), dan cawan-cawan minumannya (sebanyak bilangan) bintang di langit; dan sesiapa yang minum daripadanya, tidak akan dahaga selama-lamanya."
[Imam Bukhari]
Rasulullah ﷺ bersabda:
تُرَى فِيهِ أَبَارِيقُ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ كَعَدَدِ نُجُومِ السماء
"Di dalamnya terdapat gayung-gayung emas dan perak sebanyak bintang di langit.”
[Imam Muslim]
Rasulullah ﷺ bersabda:
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، حَدَّثَنَا غُنْدَرٌ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ زِيَادٍ، سَمِعْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ " وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لأَذُودَنَّ رِجَالاً عَنْ حَوْضِي كَمَا تُذَادُ الْغَرِيبَةُ مِنَ الإِبِلِ عَنِ الْحَوْضِ ".
"Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku akan mengusir sebahagian manusia dari telagaku pada hari Qiamat sebagaimana unta-unta asing diusir dari palung peribadi."
[Imam Bukhari]
Rasulullah ﷺ bersabda:
وَحَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ مُسْهِرٍ، عَنْ سَعْدِ بْنِ طَارِقٍ، عَنْ رِبْعِيِّ بْنِ حِرَاشٍ، عَنْ حُذَيْفَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " إِنَّ حَوْضِي لأَبْعَدُ مِنْ أَيْلَةَ مِنْ عَدَنٍ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنِّي لأَذُودُ عَنْهُ الرِّجَالَ كَمَا يَذُودُ الرَّجُلُ الإِبِلَ الْغَرِيبَةَ عَنْ حَوْضِهِ " . قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَتَعْرِفُنَا قَالَ " نَعَمْ تَرِدُونَ عَلَىَّ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ آثَارِ الْوُضُوءِ لَيْسَتْ لأَحَدٍ غَيْرِكُمْ " .
"Telagaku lebih besar daripada jarak antara Aila dan Aden. Demi Zat yang nyawaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku akan menghalau manusia (daripadanya) sebagaimana seseorang menghalau unta yang tidak dikenali. Mereka (para sahabat) berkata: Wahai Rasulullah, adakah kamu mengenali kami? Dia berkata: Ya, kamu datang kepadaku dengan muka yang putih, dan tangan dan kaki yang putih kerana bekas wudhu. Tiada yang mempunyai tanda ini melainkan cuma kalian.
[Imam Muslim]
Pandangan Ahli Ma'rifat darihal perkara ini amat jelas. Allah Ta'ala bukakan rahsia-rahsia ini sehingga mereka dapat melihat Golongan yang benar dan Golongan yang batil dan sesat. Golongan sesat Khawarij (wahhabiyyah zaman sekarang), Golongan Syi'ah (rafidhi) dan lain-lain yang menyelewengkan Agama, membuat doktrin-doktrin palsu, menyelewengkan Sunnah Baginda menurut bisikan nafsu dan Syaitan akan dihalau daripada Haudh.
Bersambung siri 731 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
______________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment