B18 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 171 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.21  Dosa Besar ke-20:   Tamak (  طَمَع  )

sambungan....


Kelima : Amalkan sifat Qana'ah

Memaksa diri amalkan Sifat yang berlawanan dengan Tamak, iaitu Qana'ah,  berpada dengan yang ada. Berpada dengan yang ada bukan bermaksud berdiam diri tanpa usaha ikhtiar mencari rezeki. Pengertian yang sebenar adalah redha dengan ketentuan Allah Ta'ala pada rezekinya dan tidak berlebih-lebihan menghabiskan masa mencari harta sehingga lupa kepada Allah dan abaikan segala kewajipannya sebagai orang beriman. 


Keenam : Orang tua yang berharta sedekah sebanyak2nya.

Sebahagian manusia dipanjangkan usianya sampai tua dan diKurniakan oleh Allah memiliki harta yang banyak — hartanah, sawah ladang, gedung2 perniagaan, Wang Pelaburan sana sini dan wang simpanan yang banyak di Bank. Ke mana nak dibawa semua harta itu?  Apakah perlu dilakukan dengan harta yang banyak itu? 


Langkah selamat adalah sedekahkan segera kebanyakan harta dan tinggalkan sedikit untuk anak2. Itu memadai. Ini kerana anak2 sudah ada rezeki masing2 yang Allah tentukan. Berdasarkan pengalaman kita melihat orang2 kaya yang mati meninggalkan harta yang banyak menjadi punca pergaduhan warisnya sehingga cerai berai dan putus silatur-rahim.


Semasa nyawa masih ada, buatlah sedekah sebanyak2nya.  Sedekah Fi Sabilillah, waqafkan harta bagi Ummat Islam dan banyak2 buat amal Jariah .... yang mengalir ganjarannya terus sampai dibangkitkan kembali pada Hari Akhirat. 


Ketujuh : Muhasabah diri, bukan menilai orang lain

Hampir semua penjelasan di sini adalah bermaksud muhasabah diri dan bukan menilai atau menghukum orang lain.  Masing2 merenung diri sendiri :


1. Apakah harta yang aku usahakan ini di dalam Keredhaan Allah? 

2. Adakah pebelanjaan yang aku lakukan ini menepati Kehendak Allah?

3. Sudahkah aku terkeluar dari sifat Tamak atau terperangkap di dalamnya tanpa disedari?   

4. Apakah lagi yang perlu aku lakukan supaya aku selamat dari hisab yang berat berhubung dengan harta pada Hari Perhitungan? 


Inilah yang perlu dilakukan oleh setiap orang Islam awam dan salikin berpandukan petunjuk Allah, Rasul dan fatwa Ulama Mu'tabar.  Bagi salikin (yang sedang mujahadah menuju Allah) mempunyai beberapa kelebihan kerana mereka sentiasa mendapat bimbingan, teguran dan amaran dari Gurunya yang Arif. 


SIRI 172 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


l7.22  Dosa Besar ke-21:  Khianat ( ِخِياَنَة )


Definisi :


Dari segi bahasa : 

Khianat ( ِخِياَنَة ) berasal dari kata dasar ( خان، يُخَوِّنُ، خَوْنً )  bermaksud :  menyimpang, keluar dari jalan, pergi jauh, tidak setia, menipu daya, tiada kejujuran, putuskan diri 


Dari segi istilah :

Khianat ( ِخِياَنَة ) adalah menyimpang dari kebenaran, keluar dari ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, putuskan Bai'at, engkar perjanjian, berlawanan dengan persetujuan asal, atau putuskan kesepakatan sesama manusia,


Penjelasan:


(1) Tajuk perbahasan "Khianat"  adalah terkait kepada "Amanah",  iaitu  kepercayaan yang diberikan kepada seseorang.  Seseorang dikatakan "Khianat" apabila dia abaikan "Amanah"  yang telah dipikulkan atasnya, atau menyeleweng kepada kebatilan atau dia mensia-siakannya, atau dia tidak menunaikannya dengan sungguh2 menurut syarat2nya ;  sama ada Amanah tersebut berhubung dengan Haq Allah Ta'ala atau haq kemanusiaan yang wajib ditunaikan. 


(2) Perbuatan Khianat  juga terkait dengan "Aqad" atau "perjanjian."  Orang yang engkar kepada suatu "aqad" atau "Perjanjian"  yang wajib dia tunaikan disebut sebagai orang yang mungkir janji, yang juga termasuk suatu bentuk pengkhianatan.


(3) Khianat secara umum terbahagi kepada dua bahagian :

Pertama : Khianat kepada Allah. 

Kedua   : Khianat sesama manusia.


(4) Khianat boleh terjadi di dalam apa jua bidang kehidupan kerana "Amanah" meliputi seluruh kehidupan manusia. 


(5) Khianat dan Mungkir janji terangkum sebagai Dosa Besar yang terbit dari hati yang berpenyakit dan termasuk Sifat munafiq. Maka mempelajari sebab2 yang menjatuhkan seseorang kepada "Khianat" dan mengetahui cara2 bebaskan diri daripada sifat Munafiq merupakan kewajipan. 


(6) Bentuk Pengkhianatan yang lazim terjadi:

Khianat kepada Amanah kepimpinan. 

Khianat kepada Amanah penjagaan harta benda.

Khianat kepada Amanah Penjagaan maruah manusia.


(7) Setiap Muslim wajib memahami maksud Amanah dan perkara2 yang menjadi tanggungjawab yang dipikulkan keatasnya supaya selamat dari sifat Khianat yang menjerumuskan kepada kemunafikan.


Kata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu :

"Khianat adalah mengurangi amanah atau kewajipan-kewajipan yang dipertanggungjawabkan oleh Allah kepadanya"

[Tafsir Ibn Abbas]


Kata Imam At-Tabari Radhiallahu anhu :

"Khianat adalah mengurangi haq Allah terhadapmu dalam melaksanakan kewajiban kepada-Nya serta kepada Rasul-Nya"

[Tafsir At-Tabari]


Kata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu :

“Khianat adalah tidak setia dan menyembunyikan sesuatu.”

[Tafsir Qurtubi]


Al-Munawi rahimahullah berkata :

“Khianat adalah mensia-siakan amanah atau menyelisihi kebenaran dengan membatalkan perjanjian secara rahsia (secara senyap2 dengan tujuan jahat).”

 [At-Tauqif]


Himpunan kata2 Ulama lain berkenaan khianat:

■ Mengurangi amal2 yang telah diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya. 

■ Tidak sempurnakan kewajipan menurut Kehendak Allah dan Rasul-Nya.

■ Menyeleweng dari Jalan Lurus, Jalan Kebenaran, Jalan Ahlus Sunnah.

■ Mencipta jalan2 kesesatan (bid'ah kesesatan) — 72 golongan sesat yang menyimpang dari Jalan Ahlus Sunnah.

■ Mengambil hak milik orang lain yang diamanahkan kepadanya, berupa harta benda, kehormatan dan maruahnya.

■ Menipu daya untuk merampas haq orang lain seperti jabatan, pangkat atau kedudukan.

■ Sembunyikan perkara haq (kebenaran) — Tidak menyampaikan kebenaran (Ahlus Sunnah yang benar) 

■ Sekutu dengan musuh Islam untuk memerangi orang beriman. 

■ Sebarkan kebatilan sehingga Ummat Islam awam keliru dengan Agama mereka sendiri. 


SIRI 173 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.22  Dosa Besar ke-21:  Khianat ( ِخِياَنَة )


Dalil Qur'an dan Hadith


✨🕌✨Firman Allah Ta'ala :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ

 وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ 

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul-Nya dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.

[Al Anfal (8) : ayat 27]


✨🕌✨Firman Allah Ta'ala :

 وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمۡ وَعَهۡدِهِمۡ رَٲعُونَ  َٱلَّذِينَ هُمۡ عَلَىٰ صَلَوَٲتِہِمۡ يُحَافِظُونَ  أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡوَٲرِثُونَ  ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلۡفِرۡدَوۡسَ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ 

Dan orang-orang yang memelihara Amanat-Amanat (yang dipikulnya) dan janjinya. Dan orang-orang yang memelihara solatnya. Mereka Itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. mereka kekal di dalamnya."

[Al Mu'minoon (23) : ayat 8-11]


✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :

“Tanda orang munafiq itu ada tiga; jika berkata, dia berdusta; jika berjanji, dia ingkar; jika diberi amanah, dia berkhianat” 

[Imam Bukhari, Imam Muslim]


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

 “Tidak ada seorang hamba diberikan kepimpinan oleh Allah, mati pada hari matinya dalam keadaan khianat kepada rakyatnya kecuali Allah haramkan ke atasnya Syurga.” 

[Imam Muslim] 


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

  “Sesungguhnya kamu nanti akan sangat bercita-cita terhadap kepemimpinan, padahal kelak di Hari Qiamat ia menjadi penyesalan.” 

[Imam Bukhari]


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

“Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah saat-saat kehancurannya’. Salah seorang bertanya, ‘Bagaimana bentuk sia-siakan amanah itu wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab, ‘Apabila urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat-saat kehancurannya”

[Imam  Bukhari].


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

"Di Hari Qiamat kelak setiap pengkhianat akan membawa bendera yang dikibarkannya tinggi-tinggi sesuai dengan pengkhianatannya. Ketahuilah, tidak ada pengkhianatan yang lebih besar daripada pengkhianatan seorang penguasa terhadap rakyatnya."

[Imam Muslim]


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

“Ya Allah sesiapa yang menguasai sesuatu dari urusan umatku, lalu (mereka) mempersukarkan terhadap mereka (umatku), maka persukarkanlah baginya. Dan sesiapa yang menguruskan umatku lalu berlemah- lembut kepada mereka, maka permudahkanlah baginya”. 

[Imam Muslim]


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

“Apa yang dibicarakan dan terjadi dalam Majlis-Majlis (mesyuarat atau pertemuan) hendaklah dijaga dan dipelihara sebagai amanah”. 

[Imam Abu Daud]


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

"Pedagang yang jujur amanah bersama-sama para Nabi , Siddiqin dan para Syuhada kelak di Hari Qiamat”.

[Imam At-Tirmizi]


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

"Tidak sempurna Iman bagi orang yang tidak Amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak berpegang dengan janji”.

[Imam Ahmad]


SIRI 174 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.22  Dosa Besar ke-21:  Khianat ( ِخِياَنَة )

sambungan....


Contoh2 pengkhianatan


Berikut adalah beberapa contoh "Khianat" yang lazim terjadi di kalangan orang Islam, yang menjadi dosa besar dan kadangkala menjadi tanda2 wujudnya sifat kemunafikan di dalam dirinya, sebahagiannya berlaku tanpa disedarinya. 


Contoh 1 : Bapa / suami gagal tunaikan Amanah mendidik anak dan isterinya


Amanah paling awal, paling utama dan paling besar yang tertanggung atas bahu seseorang Lelaki beriman yang bergelar "Bapa" dan sekaligus sebagai "suami kepada isterinya" adalah mendidik mereka kepada Keimanan dan memimpin mereka kepada jalan yang benar (Ahlus Sunnah) dan selamatkan mereka dari api Neraka, iaitu jauhkan mereka dari Kemurkaan Allah. Hal ini terkandung di dalam Firman-Nya Yang Agung:


✨🕌✨Firman Allah :

يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ قُوۤاْ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَاراً وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ 

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu." 

[At-Tahrim (66) ; Ayat 6]


Kata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu :

"Pelihara diri kamu dan isteri dan anak2 kamu dari api Neraka dengan mendidik mereka adab2 dan kebaikan2 (Agama yang lurus)"

[Tafsir Ibn Abbas]


Rumusan ringkas dari keterangan Ulama Mu'tabar lainnya:

Kewajipan utama yang tertanggung atas bahu seorang Bapa (dan suami) adalah :  


(1) Mendidik anak isteri memahami keseluruhan Agama, iaitu : Rukun Islam (fiqh), Rukun Iman (Tauhid) dan Rukun Ihsan (Tasawwuf / Toriqat) sedikit demi sedikit, sesuai dengan peningkatan umur dan kematangan fikiran mereka, sehingga akhirnya mereka memahami dan menghayati maksud Agama yang benar apabila mereka mencapai usia baligh. 


(2) Didik anak isteri untuk tetap mengerjakan Solat, puasa dan kewajipan lain menepati rukun dan syarat2nya secara sempurna. 


(3) Didik anak isteri menutup aurat sesuai dengan tuntutan Agama (bukan menurut kehendak sendiri).


(4) Didik anak isteri jauhi pergaulan yang dilarang. Pastikan anak isteri tidak sewenang2 bergaul bebas dan tidak terjebak kepada budaya jahiliah. 


(5) Didik anak isteri dengan adab2 Islam — Adab kepada Allah dan Rasul-Nya, Adab kepada Ulama Pewaris Nabi yang siddiq, Adab kepada ibu bapa, Adab kepada orang2 tua, Adab sesama manusia lain. 


Inilah di antara kewajipan utama bagi seorang lelaki beriman.


Persoalannya :  

Sejauh manakah Amanah ini ditunaikan? Sejauh manakah seorang " Bapa "  dan "Suami" menunaikan kewajipan ini dengan sungguh2 menurut Perintah Allah, Rasul-Nya dan fatwa Ulama Mu'tabar?


Berdasarkan pengalaman kami mendidik orang Islam melalui beberapa siri Kursus seperti : Memurnikan Aqidah yang benar menurut Ahlus Sunnah dan Kursus Memurnikan Cara Mengerjakan Solat,  kami dapati kebanyakan peserta gagal di dalam memahami Dasar2 Ahlus Sunnah yang benar, ertinya gagal memahami Aqidah yang benar menurut Ahlus Sunnah. Demikian lagi mereka gagal di dalam memahami cara2 mengerjakan Solat menurut Rukun dan Syarat2nya. Ertinya Solat mereka tidak sah kerana tidak menepati syarat dan Rukunnya. 


Selain dari itu berlaku penyelewengan yang amat besar di kalangan anak2 muda dan wanita (isteri dan wanita lain secara umumnya), di antaranya ; Pergaulan bebas, tidak menutup aurat, meniru2 budaya jahiliah,  mengikut fahaman2 sesat (72 golongan yang menentang Ahlus Sunnah) dan menghina Ulama Mu'tabar.  Beginilah beratnya keadaan Ummat akhir zaman terutama anak2 muda dan wanita. 


Apabila diusul, Punca utama terjadi kepincangan serius ini adalah kerana mereka tidak mendapat pendidikan yang secukupnya dari seorang "Bapa" dan "Suami".


SIRI 175 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.22  Dosa Besar ke-21:  Khianat ( ِخِياَنَة )

Contoh2 pengkhianatan

sambungan....


Contoh 2: Khianat sesama ahli keluarga

Pada akhir zaman ini bukanlah suatu yang asing berlakunya pengkhianatan sesama ahli adik-beradik kerana merebut harta pusaka.  Hartanah, rumah, gedung perniagaan, emas berlian dan wang simpanan yang banyak yang ditinggalkan oleh si mati sering menjadi bahan rebutan. Ada saja di kalangan adik- beradik sendiri berpakat dengan pegawai2 tertentu untuk mengkhianati adik-beradik lain.


Contoh 3 : Pengkhianatan Rakan kongsi Perniagaan

Di antara bentuk2 pengkhianatan yang lazim terjadi di dalam Perkongsian Perniagaan adalah :

1. Mengeluarkan atau membelanjakan wang syarikat tanpa pengetahuan rakan kongsi.

2. Mengeluarkan wang Syarikat untuk perbelanjaan sendiri tetapi merekodkan sebagai perbelanjaan syarikat.

3. Gunakan modal niaga untuk membuat perniagaan lain tanpa izin rakan kongsi. 


Contoh 4 : Pengkhianatan Pegawai bank, atau institusi kewangan lainnya

Pegawai bank pecah amanah dengan manipulasi sistem pemindahan elektronik untuk memindahkan wang milik bank ke akaun peribadinya. Atau dia pecah masuk ke akaun pelanggan bank untuk mencuri sebahagian wangnya. Orang yang mahir di dalam IT mampu memecahkan kod keselamatan digital dengan berbagai program yang direka khas sekira2 tidak disedari oleh pihak bank. 


Contoh 5 :  Pengkhianatan Sistem Pendidikan Sekolah, Kolej, Universiti

Seseorang yang dilantik menjadi Pengetua, Guru Besar Sekolah,  Pemimpin Univerisiti atau institusi pendidikan lain mempunyai beberapa Amanah yang wajib ditunaikan.  Amanah paling besar adalah memastikan keutamaan diberikan kepada melahirkan anak2 yang beriman (bagi murid2 Islam) dengan beberapa pendekatan sesuai dengan jiwa Islam :


1. Wujudkan suasana Islam 

2. Pastikan anak2 Islam menutup aurat dengan sempurna mengikut hukum

3. Pastikan tiada bergaulan bebas

4. Pastikan silibus pembelajaran mematuhi hukum dan adab2 Islam


Setiap orang yang menerima Amanah sebagai Pengetua sekolah atau Pemimpin universiti perlu muhasabah diri sejauh mana mereka telah menunaikan Amanah ini sesuai dengan tuntutan Agama. Jika mereka hanya mengutamakan "kecemerlangan akademik" atau "mencipta nama" sebagai institusi terbaik sedangkan urusan Agama diabaikan maka mereka termasuk Pemimpin sekolah / Kolej / Unversiti yang khianat kepada Allah. 


Sebahagian orang yang mempunyai fahaman sekular beranggapan bahawa sekolah atau Universiti tiada kaitan dengan Agama, maka mereka abaikan Agama dan hanya menumpukan kepada kecemerlangan akademik keduniaan. Mereka ini adalah orang jahil dan tertipu kerana Agama itu meliputi seluruh kehidupan, bukan hanya ibadah khusus. Hidupkan Masjid dengan Zikrullah, Solat dan ibadah lain adalah asas Agama yang tidak terhenti di Masjid2 tetapi wajib dihayati cahayanya di dalam seluruh kehidupan.  Pengetua, Guru sekolah atau pemimpin Universiti yang gagal memahami hakikat ini takkan mampu menunaikan Amanahnya sebagai orang beriman.  Mereka akan menjadi orang yang khianat kepada Amanah Allah. 


✨🕌✨ Firman Allah تَعَالَى :

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ

"Sesungguhnya Allah Memerintahkan kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil."

[An-Nisaa' (4) : ayat 58]


SIRI 176 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.22  Dosa Besar ke-21:  Khianat ( ِخِياَنَة )

Contoh2 pengkhianatan

sambungan....


Contoh 6:  Khianat kepada yang beri hutang

Pada hari ini banyak sekali urusan dunia melibatkan hutang atau pinjaman2. 

Seseorang yang berhutang wajib bayar segera hutangnya sebagaimana dijanjikan ; sama ada hutang kepada individu berupa wang tunai atau barang lain, atau dengan syarikat2 tertentu, berupa pinjaman rumah atau kenderaan. Semuanya wajib dibayar.


Jika dia belum mempunyai kewangan yang cukup, dia perlu meminta tangguh kepada si pemiutang (orang yang memberi hutang atau beri pinjaman). Jika dia mempunyai keluasan rezeki tetapi enggan membayar hutangnya atau sengaja2 "lari2" dengan berbagai alasan, maka dia termasuk orang yang khianat.  Orang melanggar perjanjian ini diancam dengan hukuman berat. 


✨🕌✨ Firman Allah تَعَالَى :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ 

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).

[Al-Baqarah (2) : ayat 282]


✨🕌✨ Firman Allah تَعَالَى :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ ۚ

"Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

[Al-Maaidah (5) ; ayat 1]


✨🕌✨ Sabda Rasulullah ﷺ :

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَ مَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ

"Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah Ta'ala akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah Ta'ala akan membinasakannya." 

[Imam Bukhari] 


✨🕌✨ Sabda Rasulullah ﷺ :

"Ruh seorang mukmin itu tergantung kepada hutang sampai hutangnya dibayarkan." 

[Imam At-Tirmizi] 


SIRI 177 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.22  Dosa Besar ke-21:  Khianat ( ِخِياَنَة )

Contoh2 pengkhianatan

sambungan....


Contoh 7:  Khianat kepada kafir Zimmi

Khianat dan mungkir janji kepada orang kafir (bukan Islam) yang mempunyai status sebagai kafir Zimmi adalah haram. Semua bentuk  perjanjian wajib ditunaikan dan dilarang khianat kepada apa jua kesepakatan yang telah dipersetujui seperti kerjasama di dalam perniagaan atau pakatan di dalam urusan kemasyarakatan atau lain2 urusan muamalah dunia. Demikian lagi dilarang merampas sebarang harta mereka atau merosak kehormatan mereka atau cederakan mereka tanpa haq. 


✨🕌✨ Sabda Rasulullah ﷺ :

مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا لَمْ يَرِحْ رَائِحَةَ الجَنَّةِ، وَإِنَّ رِيحَهَا تُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا

“Sesiapa yang membunuh kafir mu‘ahad, dia tidak akan mencium bau Syurga, sedangkan bau Syurga itu dapat dikesan baunya dari sejauh perjalanan empat puluh tahun”. 

[Imam Bukhari]


✨🕌✨ Sabda Rasulullah ﷺ :

مَنْ قَتَلَ قَتِيْلاً مِنْ أَهْلِ الذِّمَةِ لَمْ يَجِدْ رِيْحَ الجَنَّةِ وَإِنَّ رِيْحَهَا لَيُوْجَدُ مِنْ مَسِيْرَةِ أَرْبَعِيْنَ عَامًا (رواه النسائي)

"Barang siapa membunuh ahluz-Zimmah, maka dia tidak akan mencium bau Syurga, dan sesungguhnya bau Syurga itu boleh dicium dari jarak tempoh perjalanan empat puluh tahun. 

[Imam An-Nasa'i]


Siapakah yang dkatakan Kafir Zimmi?

Mengapakah dilarang khianat kepada golongan kafir Zimmi?


Dilarang khianat dan mungkir perjanjian2 dengan Kafir Zimmi kerana golongan2 ini meskipun kafir, mereka terikat dengan perjanjian2 dan bernaung serta tunduk kepada Pemerintahan Islam.  Mereka dikenakan jizyah (sejenis cukai perlindungan)  dan hak2 mereka dilindungi, iaitu nyawa, harta, agama (bebas amalkan agamanya tanpa gangguan) dan kehormatan mereka dilindungi oleh Kerajaan Islam yang memerintah. 


Jika seseorang berhutang dengan Kafir Zimmi, maka hutangnya wajib dijelaskan sama seperti perjanjian dengan orang Islam.  Jika seorang Muslim diamanahkan suatu kerja atau jawatan oleh orang kafir Zimmi, maka haram khianatinya. Misalnya mencuri hartanya atau menggelapkan wang syarikatnya atau lain2 sepertinya adalah haram. 


Hal ini jauh berbeza dengan orang kafir harbi, iaitu kafir yang memerangi orang Islam dan Kerajaan Islam. Mereka tiada perjanjian perlindungan dan halal merampas harta mereka dan membunuh mereka yang memerangi Islam mengikut syarat2nya. 


Penjagaan penting:

Maksud perjanjian2 atau kesepakatan dengan _kafir Zimmi_ seperti yang dibincangkan di atas hanya terbatas kepada urusan2 duniawi atau muamalah duniawi dan bukan sekutu di dalam hal ehwal sembahan2 mereka atau kepercayaan2 mereka atau perayaan2 Keagamaan yang mereka anuti. Tidak! Subahat kepada urusan2 kepercayaan mereka adalah jelas haram. 


Maksud perjanjian2 atau kesepakatan dengan kafir Zimmi juga bukan bermaksud meredhai Agama mereka. 


Ertinya dibenarkan berbuat baik dan saling membantu di dalam perkara2 duniawi, tetapi  dilarang keras bersekutu kepada segala hal ehwal berkaitan Agama mereka, sembahan2 mereka atau perayaan mereka atau adat tradisi berkaitan dengan kepercayaan kepada Tuhan2 mereka. 


Misalnya sekutu dengan mereka bagi melaksanakan perayaan2 Keagamaan mereka atau hadir di dalam upacara2 Keagamaan mereka, bahkan ucapan2 "Selamat" kepada perayaan2 Keagamaan sahaja pun haram.  


SIRI 178 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.22  Dosa Besar ke-21:  Khianat ( ِخِياَنَة )

Contoh2 pengkhianatan

sambungan....


Contoh 8:  Pegawai, Ketua Jabatan khianat Amanah

Setiap pegawai Muslim yang diberikan kepercayaan untuk mengurus, mentadbir dan memimpin suatu Kementerian, Jabatan atau unit pengurusan yang lebih kecil... wajib sempurnakan Amanah tersebut menurut tuntutan Allah dan Rasul-Nya.  Mereka wajib tunaikan hak2 mereka yang layak menerimanya. Dan mereka wajib melaksanakannya penuh keadilan.  


Jika mereka hanya mementingkan keuntungan dunia semata2 dan abaikan tuntutan Islam,  maka mereka telah khianat kepada Amanah Allah.  Semua ini merupakan amanah yang akan ditanya di Hari Pengadilan..!


Beberapa contoh penyelewengan yang merupakan pengkhianatan kepada Amanah sebagai ketua yang mengurus Kementerian atau Jabatan atau Unit2 kecil Pengurusan kemanusiaan :


1. Gagal mewujudkan suasana ruh Agama 

2. Biarkan Pergaulan bebas pekerja2 lelaki-wanita.

3. Membuat Program2 campur lelaki-wanita.

4. Rasuah

5. Perkhidmatan kaunter pelanggan yang buruk

6. Tidak membayar gaji kepada pekerja seperti yang dijanjikan

7. Penipuan bayaran kerja lebih masa (OT) kepada pekerja

8. Penyelewengan kewangan dan harta 

9. Ugut dan pecat pekerja yang menyatakan kebenaran Agama. 

10. Engkar hak2 mereka yang layak menerimanya. 


Contoh 9: Pengkhianatan Pegawai Polis / Keselamatan

Di antara pecah Amanah Pegawai Keselamatan (tambahan kepada yang tersebut di atas) adalah :


1. Menangkap dan penjarakan orang yang tidak bersalah atau menghukum semata2 atas sangkaan atau kerana kepentingan politik kotor duniawi atau kerana arahan ahli politik yang korup. 

2. Subahat kepada Pemimpin korup dan zalim. 

3. Subahat kepada musuh2 Islam. 

Semua jenis kezaliman ini bukan suatu yang baru, tetapi sudah berlaku sejak pemerintahan  khalifah2 zalim dan kufur. 


Contoh 10:  Pengkhianatan Pegawai2 Agama

Di antara Amanah terpenting Pegawai2 Agama adalah :

1. Menguatkuatkuasakan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

2. Berikan sokongan kepada jemaah2 kecil yang menyumbang kepada Pembangunan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

3. Membenteras fahaman2 sesat (72 golongan sesat menurut Fatwa Ulama Mu'tabar) dan golongan2 keruhanian yang menyimpang dari Jalan Ma'rifat yang benar.

4. Membantu Mengimarahkan Masjid2, 

5. Mendirikan kebenaran terhadap semua pihak termasuk Pemerintah yang menyeleweng dari peraturan dan adab2 Agama.  


Persoalannya, sejauh manakah amanah2 ini telah disempurnakan menurut Kehendak Allah?  Misalnya di dalam soal Da'wah dan menyampaikan kebenaran, sejauh manakah mereka melaksanakan dengan adil dan saksama?  Mereka segera bertindak terhadap orang2 lemah dan rakyat awam sedangkan mereka berdiam diri terhadap kemungkaran2 Pemimpin?


✨🕌✨ Sabda Rasulullah ﷺ :

“إنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحَدَّ، وَأيْمُ اللهِ، لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا”. أخرجه مسلم والنسائي

“Sesungguhnya telah dibinasakan umat terdahulu daripada kamu, berlakunya apabila seorang bangsawan (orang besar, orang kenamaan, pemimpin berkuasa) dari kalangan mereka melakukan kesalahan mencuri mereka bebaskan tanpa hukuman. Dan apabila seorang yang lemah dari kalangan mereka mencuri, lalu mereka jatuhkan hukuman Hudud terhadapnya. Demi Allah, kalaulah Fatimah binti Muhammad (puteri kesayangan Rasulullah) mencuri, nescaya aku hukumnya dengan dipotong tangan”. 

[Imam Muslim]


SIRI 179 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.22  Dosa Besar ke-21:  Khianat ( ِخِياَنَة )

Contoh2 pengkhianatan

sambungan....


Contoh 11:  Bocorkan Rahsia sesama manusia

Apabila dua orang (atau lebih) berbicara secara rahsia dan berjanji untuk menjaganya, maka ia merupakan Amanah yang wajib dipelihara,  ertinya haram membocorkannya. Barangsiapa membocorkan rahsia tersebut, maka dia telah khianat kepada rakannya.


✨🕌✨ Firman Allah تَعَالَى :

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولا

"Dan sempurnakan perjanjian. Sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya"

[Al-Isra (17) : ayat 34]


 ✨🕌✨ Sabda Rasulullah ﷺ :

إِذَا حَدَّثَ الرَّجُلُ الحَدِيثَ ثُمَّ التَفَتَ فَهِيَ أَمَانَةٌ

"Apabila seseorang berbicara suatu pembicaraan, kemudian dia pergi, maka itu adalah Amanah"

[Imam Abu Dawud, Imam At-Tirmizi]


Berkata Imam Hasan Al-Basri Radhialahu anhu :

"Sesungguhnya termasuk pengkhianatan bahawa engkau bicarakan rahsia saudara engkau"

[Nukilan : Ihya Ulumuddin]


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu :

"Maka membuka rahsia itu suatu pengkhianatan. Dan itu haram, apabila ada padanya kemelaratan. Dan tercela, jika tidak ada padanya melarat".

[Ihya Ulumuddin]


Di dalam kehidupan bermasyarakat,  wujud beberapa kesepakatan (persetujuan bersama) yang merupakan rahsia yang perlu dipertahankan demi menjaga maslahat dan kebaikan ahli2nya:


Rahsia Keluarga / rumahtangga

Rahsia Majlis Musyawarah (mesyuarat) 

Rahsia Organisasi — Jama'ah,  persatuan, 

Rahsia Perdagangan

Rahsia Pentadbiran dan Keselamatan Negara

atau kelompok2 lain yang melakukan kegiatan halal menurut Syara', tiada bertentangan dengan keselamatan Negara dan tidak terlibat di dalam penyelewengan atau kezaliman. 


Semua pihak yang telibat hal2  rahsia ini wajib menyimpan rahsia tersebut dengan baik dan dilarang membocorkannya kepada orang lain. Yang dimaksudkan dengan "rahsia2 yang wajib disimpan" sudah tentu yang ditujukan adalah perkara2  yang ma'ruf, yang baik, tidak melanggar hukum Agama dan tidak menganiaya orang lain.  


Sekiranya berlaku kesepakatan untuk melanggar hukum-hakam Agama atau menzalimi orang lain, atau merencanakan kesesatan, maka awal2 tindakan ini sudah pun jatuh kepada kebatilan dan kekufuran, maka tidak berlaku istilah "rahsia itu amanah" di dalam hal ini.  


Misalnya sekelompok manusia berbincang secara rahsia untuk musnahkan Aqidah Ahlus Sunnah, ertinya merencanakan kejahatan, kezaliman dan kekufuran. Maka tak layak dikatakan "rahsia itu sebagai amanah" di dalam kelompok ini.  Bahkan sesiapa pun mengetahui pakatan2 untuk merosakkan Islam sama ada terang2an atau sembunyi2, maka wajib membongkarnya atau laporkan kepada pihak Jabatan Agama dan Pihak keselamatan Negara.  


SIRI 180 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.22  Dosa Besar ke-21:  Khianat ( ِخِياَنَة )

Contoh2 pengkhianatan

sambungan....


Contoh 12:  Buka Rahsia Ketuhanan

Membuka rahsia2 Ketuhanan yang diberikan oleh Allah kepada orang beriman (khususnya Salikin, iaitu mereka yang sedang mujahadah menuju Allah dengan mengikut Jalan Ma'rifat dengan bimbingan Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq) adalah suatu Pengkhianatan Amanah, dan pengkhianatan ini di antara yang amat berat hukumannya. 


Apakah yang dimaksudkan dengan "Rahsia Ketuhanan" ?

Dikehendaki dengan "Rahsia Ketuhanan" adalah rahsia tertentu yang Allah Ta'ala masukkan ke dalam hati hamba2 Allah yang sedang mujahadah pada jalan-Nya, iaitu meliputi :


(1) Rahsia Rabbaniyyah (Ketuhanan) 

(2) Rahsia Nubuwwah (Kenabian)

(3) Rahsia Ubudiyyah (kehambaan yang terkait kepada Ketuhanan)

(4) Rahsia Insan (kemanusiaan)

(5) Rahsia makhluq dan sekalian alam ghaib


Rahsia2 ini akan terbuka beransur2 dan berperingkat2 kepada Salikin, menurut peningkatan keruhaniannya dan menurut Kehendak Allah (bukan kemahuan salik).  Sekalian rahsia ini merupakan "Amanah Allah" kepada Salikin yang WAJIB disimpan baik2 dan dipelihara lebih dari emas perak dan intan.  Mana2 Salikin membuka Rahsia2 ini kepada umum atau menjadikannya "bahan bualan kedai kopi", maka dia telah khianat kepada Allah. 


Berdasarkan adab dan peraturan Jalan Ma'rifat semua macam rahsia ini hanya boleh dilaporkan kepada Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq yang memimpinnya.  Setelah ditafsirkan oleh Gurunya (atau tidak tafsirkan),  hendaklah diam dan simpan semua rahsia tersebut. Dilarang keras sebarkannya. Ini kerana membuka rahsia Ketuhanan adalah pengkhianatan dan kekufuran . 


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu :

"Meskipun (para Kekasih Allah), diberi Ilham akan Rahsia2 Allah, namun rahsia2 tersebut tidak dibuka atau diceritakan kepada orang lain, kerana membuka rahsia Ketuhanan itu adalah kekufuran"

[Sirrul Asrar]


Di samping itu, ada lagi orang awam yang tak tahu apa-apa berkenaan Ma'rifat, tiba2 mereka-reka cerita (mengadakan2 pembohongan) berkenaan Ketuhanan dan alam Ghaib. Misalnya mereka sebarkan cerita di dalam internet bahawa mereka mimpi Allah, jumpa Nabi Khidir, jumpa Imam Mahdi, jumpa Wali Songo dll sepertinya. Bahkan ada juga mengaku sudah dilantik menjadi Wali besar dunia atau dilantik menjadi Imam Mahdi. 


Semua ini hanyalah pembohongan dan tipu daya Syaitan. Bukti bahawa mereka tertipu adalah : 

Pertama :  Mereka tidak mempunyai Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq sebagai Pemimpin kepada Ketuhanan, dengan demikian mereka tak dapat bezakan seruan haq dari Allah dengan seruan batil dari Syaitan atau nafsu. 

Kedua : Jika memang benar pun mereka mendapatnya, mereka tidak sewenang2 sebarkannya pada umum. 


Golongan orang awam yang ghairah ini jatuh kepada pembohongan / dusta atas nama Allah. 


✨🕌✨ Firman Allah Ta'ala :

قُلۡ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَفۡتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ لَا يُفۡلِحُونَ  مَتَـٰعٌ۬ فِى ٱلدُّنۡيَا ثُمَّ إِلَيۡنَا مَرۡجِعُهُمۡ ثُمَّ نُذِيقُهُمُ ٱلۡعَذَابَ ٱلشَّدِيدَ بِمَا ڪَانُواْ يَكۡفُرُونَ 

"Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya. (Apa yang mereka beroleh hanya) kesenangan di dunia, kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya mereka. Kemudian Kami akan rasakan mereka azab yang berat disebabkan perbuatan kufur yang mereka lakukan."

[Yunus (10) : ayat 69,70]


Bersambung siri  181  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

       🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳 

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...