MAJZUB / JAZBAH

Susunan

Shaikh Sayyid Abu Tohir

Mursyid Silsilah Naqsyabandiah Al-Kholidiyah:


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


MAJZUB / JAZBAH : PENJELASAN RINGKAS

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Tajuk ini, "Majzub" dan " Jazbah" sebaiknya tidak dibincangkan secara umum kerana beberapa sebab :

1)  Istilah  "Jazbah"  adalah suatu "hal" atau "keadaan " seseorang hamba Allah berhubung dengan Ma'rifat Ilahiyyah yang susah difahami oleh mereka yang belum mempunyai asas2 pengetahuan  Tasawwuf dan Ma'rifat.   Bahkan salikin (murid yang mengikuti jalan Ma'rifat)  peringkat mubtadi (permulaan) juga sangat susah memahaminya.

2) Orang yang mengalami 'jazbah' dipanggil "majzub" adalah jarang2 terjadi kerana sifatnya yang khusus, maka ianya tidak masuk ke dalam perbincangan mengenai Tingkatan pencapaian Ma'rifat sebagaimana yang disusun di dalam Sistem Tarbiyyah Keruhanian Toriqat dan Ma'rifat.

3) "Majzub"  dan "jazbah"  adalah semata2 anugerah khusus Allah Ta'ala yang melangkaui segala peraturan dan hukum aqal, maka tidak boleh dijadikan contoh dan ikutan bagi orang lain.

Mungkin ada yang bertanya, Jika demikian apakah tujuan pendedahan ini? 

Jawapannya : 

Sebahagian orang mula keliru dengan dakwaan beberapa hamba Allah, bahawa "Majzub"  dan "Jazbah"   perlu dicari dan diusahakan.   Mereka juga mendakwa berguru dengan Shaikh Mursyid itu bukan syarat dalam perjalanan keruhanian kepada Allah.  Pada pegangan mereka, cara2 mereka mencapai "majzub" adalah lebih tinggi dan lebih baik dari Pendidikan Ahli Sufi @ Ahli Ma'rifat...!  

Pegangan2 begini sudah tentu berlawanan sama sekali dengan pendirian  Ahlus Sunnah Wal Jamaah. 

Maka di sini, adalah difikirkan sangat perlu kita berikan sedikit penjelasan asas, sekira2  orang awam atau murid yang baru mengenal jalan Ma'rifat  tak mudah tertipu dengan dakwaan2 yang yang keliru dan menyalahi pegangan Ahlus Sunnah , apalagi dakwaan2 tersebut terang2an menyalahi "syari'at" dan adab2 Toriqat /Ma'rifat.


Cara mudah memahami Jazbah dan Majzub
□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□

Sebelum menjelaskan makna2 "Majzub" dan "Jazbah" serta perkara2 ajaib yang terjadi kepada seseorang yang dikatakan "majzub sejati" , mari kita perhatikan perkara2 "lazim di dalam kehidupan" kita sebagai orang beriman, bagi mendekatkan kepada kefahaman kepada perkara ini.

Cuba fikir dan renungi keadaan2 ini....

Contoh 1:
~~~~~~~
Ketika terdengar bacaan Al-Qur'an yang merdu dari suara hati seseorang yang ikhlas membaca Qur'an, secara tiba2 dalam beberapa ketika hati tersentuh dan gementar merasai keagungan Tuhan.

Contoh 2 :
~~~~~~~
Ketika mendengar alunan suara Solawat memuji Rasulullah, tiba2 terasa kasih kepada Rasulullah menguasai jiwa kita, terasa rindu yang melimpah2 sehingga tak tertahan sebak di dada.

Contoh 3 :
~~~~~~~
Ketika kita bersunyian di suatu tempat, kita bertaubat dengan taubat yang sungguh2 memohon keampunan Allah dengan penuh penyesalan mengenang dosa2 yang lalu, maka di sana  terjadi suatu "hal" atau "keadaan"   pilu, sedih, takut, gementar menguasai hati, sehingga  tanpa disedari air mata  mencurah2. 

Ini sebahagian contoh yang terjadi pada kebanyakan orang beriman ketika dia beramal ibadah atau ketika menghayati sesuatu hal bersangkutan dengan Ketuhanan seperti bacaan Qur'an, solawat, nasyid taubat dan lainnya.

Mari kita perhalusi apa yang berlaku dan bagaimana ianya berlaku.  Antara perkara2 utama berkaitan kejadian ini adalah :

Pertama :
……….

Orang yang beramal ibadah ini tidak pernah memikirkan  bahawa dia akan menangis, gementar, takut, terasa pilu dan sayu.   Tetapi ia terjadi secara semula jadi.  Dalam kata2 lain dia tak pernah merancang akan melakukan hal2 demikian.  Kunci kata : Tidak merancang.

Kedua :
………

Ketika terjadi hal2 seperti di atas dia tidak dapat menahan dirinya dari diselubungi perkara2 tersebut.  Ertinya semua itu di luar kawalannya.  Kunci kata : berlaku di luar kawalannya.

Ketiga:
………

Berlaku kejadian pilu, sayu, gementar, takut, bahagia, curahan air mata, terasa hampir dengan Tuhan, terasa seolah2 menghadap Rasulullah secara tiba2 tanpa diusahakan dan tanpa difikirkan terlebih dahulu.   Kunci kata2 :  tiba2 terjadi.

Keempat :
…………

Ketika berlaku keadaan demikian, orang yang mengalaminya,  dalam beberapa saat dia tidak sedar keadaan dirinya sendiri atau sesiapa di sekelilingnya.  Buat beberapa ketika aqalnya tidak berfungsi lagi.  Jiwanya dicengkam perasaan gementar, takut, sedih, sayu, rindu,  gembira, bahagia.  Pada saat itu orang ini  cuma tahu dia sedang menghadap Tuhan Rabbul Jalil dan dia tersungkur di hadapan bagaikan pengemis mengharap belas ihsan-Nya.   Kunci kata :  Aqal tidak berfungsi, jiwa diselubungi pengaruh Ketuhanan

Cuba renungi penjelasan2 di atas, semua ini pernah berlaku pada kebanyakan kita ketika sedang menghayati suatu ibadah atau irama berkaitan dengan Ketuhanan.  Tetapi kita tidak sedar "wujud suasana" tersebut.  Dan tiada siapa pernah menjelaskan hal demikian kepada kita.  

Semua "hal"  atau "keadaan"  yang disebutkan di atas adalah "percikan" dari pengertian  "dzauq"   (pemerasaan hati)   dan "wijdan"  (pemerasaan darah daging)  pada istilah Ilmu Ma'rifat.                    

Ertinya hal tersebut terjadi disebabkan suatu unsur Ketuhanan yang menguasai  hati serta meresap ke dalam darah daging seseorang sehingga pada beberapa saat dia lupa akan dirinya dan hanya mengingat akan Tuhan Rabbul Jalil.                                            

Ini juga merupakan "bayangan"  kepada pengertian  "jazbah"  dan "fana"  yang akan dijelaskan nanti Insya Allah.   

Ertinya seseorang beriman (yang beramal dengan ikhlas ) yang mengalami hal2 tersebut sebenarnya menerima Kurnia Allah merasai percikan "kelazatan"  Iman dan Tauhid.  Ini sebahgian isyarat di dalam Firman Allah :


إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُہُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتُهُ ۥ زَادَتۡہُمۡ إِيمَـٰنً۬ا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ

“Sesungguhnya, (tanda) Orang-orang yang beriman (iaitu sebenar2 Iman) itu adalah orang-orang yang apabila disebutkan nama Allah maka gementarlah hati mereka. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya maka bertambahlah keimanan mereka. Dan hanya kepada Allah mereka berserah diri.”

[Al-Anfal : Ayat 2]

Dari satu sudut tafsiran, Ulama Ahlus Sunnah menjelaskan bahawa ayat ini mengandungi isyarat kepada tanda2 Iman dan keadaan seseorang yang beriman pada saat2 tertentu sepertimana penjelasan awal.

Pada sisi Ahli Ma'rifat, pengertian pada ayat ini adalah lebih halus dan jauh lebih mendalam pada Tauhid.


PENJAGAAN
□□□□□□□□□□

Ini suatu penegasan dan penjagaan penting.  

Suasana perasaan hati dan tubuh  yang terjadi itu, yang telah dijelaskan mungkin juga terjadi akibat dari sebab2 yang lain yang tiada kena mengena dengan Ketuhanan, seperti hal ehwal dunia dan makhluk.  Atau mungkin juga ada kaitan dengan ibadah dan Ketuhanan tetapi telah dicampuri unsur2 nafsu dan syirik.

Sebagai penjagaan dan pengecualian kita tegaskan perkara2 berikut :

1) Suasana sedih, pilu dsb yang berkaitan dengan urusan2 dunia atau urusan2 kemanusiaan seperti kecelakaan, kematian yang membawa kesedihan dsb TIDAK termasuk di dalam perbincangan ini.

2) Keadaan tidak terkawal seperti sedih, sayu, gementar dsb yang timbul ketika melihat kesedihan atau tangisan orang lain juga TIDAK termasuk di dalam perbincangan ini.

3) Orang yang memaksa2 diri untuk sedih, menangis ketika beramal ibadah juga TIDAK termasuk di dalam bahagian ini.

4) Orang yang mempunyai niat pada awal melakukan ibadah untuk bersedih dan menangis juga TIDAK termasuk di dalam bahagian suci ini.

Semua perkara di atas memerlukan penjelasan lain. Sebahagiannya bersangkut paut dengan emosi aqal dan sebahagian lagi bersangkut paut dengan nafsu dan rasukan Iblis.

Wallahu A'lam

_________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...