B35 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 341 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar 47

Merencanakan Kejahatan

...... sambungan.....



Dalil 3: Firman Allah:


أَفَأَمِنُواْ مَكْرَ اللّهِ فَلاَ يَأْمَنُ مَكْرَ اللّهِ إِلاَّ الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ


“Maka apakah mereka merasa aman dari 'Azab Allah (yang tidak terduga-duga)? Tiada yang merasa aman dari 'Azab Allah (Makar Allah) kecuali orang-orang yang merugi.” 

[Al-A'raf (7) : ayat 99]


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

"Maksud  " مَكْرَ "  (Makar — tipu daya) adalah bermaksud Azab, iaitu Azab Allah,  yang datangnya  tanpa di- sangka-sangka. Perkataan " خَاسِرُونَ " (Khasirun - rugi) adalah bermaksud kafir kepada Allah."

[Tafsir Ibn Abbas]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

"Ungkapan  " مَكْرَ "  (Makar) adalah tipu daya, namun pada ayat ini bermakna Azab dari Allah.  Atau boleh juga bermaksud "balasan dari tipu daya mereka".  Ada yang lain berpendapat makna dari kata  " مَكْرَ "  di sini bermaksud memberi ni'mat dan kesihatan agar mereka terlena (di dalam kekufuran)."

[Tafsir Al-Qurtubi]


Penjelasan Tambahan:

1. Firman Allah di atas menggunakan istilah "makar" iaitu tipu daya.  Maksud Allah Ta'ala membalas tipu daya mereka dengan tipu daya-Nya, adalah :  Allah Ta'ala membiarkan mereka di dalam kefasikan dan kekufuran dengan memberikan mereka ni'mat harta kekayaan yang bertambah-tambah.  Mereka menyangka diri mereka orang yang dikasihi Allah disebabkan limpahan harta atau kesihatan yang baik atau pangkat duniawi atau kesenangan duniawi yang lain, sedangkan semua kesenangan itu merupakan istidraj  (Allah Ta'ala membiarkan mereka di dalam sangkaan mereka sehingga mendatangkan azab dengan mengejut). 


2. Ibn Abbas mentafsirkan "khosirun" dengan makna kafir. Ertinya orang yang memusuhi Agama Allah, menaburkan fitnah dan merancang untuk membinasakan Agama Allah adalah sifat orang kafir dan munafiq.  Ertinya tak mungkin mereka itu orang beriman sehingga hal ini menjadi tanda-tanda kemunafikan di dalam diri seseorang yang mengaku Islam.  


SIRI 342 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 47

Merencanakan Kejahatan

...... sambungan.....



Dalil 4 : Rasulullah ﷺ  bersabda:

"Dari Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu anhu berkata, bahawa Nabi ﷺ  bersabda : “Sesungguhnya seorang Mu'min (ketika) ia melihat dosa-dosanya, adalah seperti dia duduk di lereng sebuah gunung, dan dia sangat khuatir gunung itu akan menimpanya.  Sedangkan seorang fajir (gemar buat ma'siat dan kekejian), ketika dia melihat dosa-dosanya adalah seperti dia melihat seekor lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian dia mengusirnya seperti ini lalu terbang (memandang remeh akan dosa).” 

Abu Syihab (salah seorang perawi Hadith) mengisyaratkan dengan tangannya di atas hidungnya.

[Imam Bukhari]


Ibnu Abi Jamrah Radhiallahu anhu:

“Sebabnya adalah, kerana hati seorang Mu'min itu diberi cahaya. Apabila dia melihat pada dirinya ada sesuatu yang menyelisihi hatinya yang diberi cahaya, maka hal itu menjadi berat baginya. Hikmah perumpamaan dengan gunung iaitu apabila musibah yang menimpa manusia itu selain runtuhnya gunung, maka masih ada kemungkinan mereka selamat dari musibah-musibah itu.  Lain halnya dengan gunung, jika gunung runtuh dan menimpa seseorang, umumnya dia tidak akan selamat.  Kesimpulannya bahawa rasa takut seorang Mu'min (dosa dan Kemurkaan Allah) itu mendominasinya, kerana kekuatan Imannya menyebabkan dia tidak merasa aman dari hukuman itu. Inilah keadaan seorang Mu'min, dia selalu takut (Kemurkaan dan Siksaan Allah) dan melakukan muraqabah kepada Allah.  Dia menganggap kecil amal solehnya dan khuatir terhadap amal buruknya yang kecil”.

[Tuhfatul Ahwazi]



Dalil 5: Rasulullah ﷺ  bersabda:

“Ya Allah, Anugerahkan kepada kami rasa takut kepada-Mu yang membatasi antara kami dengan perbuatan ma'siat kepada-Mu dan berikanlah (taufiq kepada kami, agar dapat melaksanakan) ketaatan kepada-Mu, yang dapat menghantarkan kami ke Syurga-Mu dan Anugerahkanlah keyakinan (akan balasan-Mu) sehingga akan menyebabkan ringan bagi kami segala musibah di dunia ini.”

[Imam Tirmizi]


Berkata Ibnu Mas'ud Radhiallahu anhu:

“Dosa besar yang paling besar adalah menyekutukan Allah, merasa aman dari makar (muslihat dan Kemurkaan) Allah, putus asa terhadap Rahmat Allah, dan putus harapan terhadap kelapangan dari Allah.”

[Imam Ath-Thabrani]


SIRI 343 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 47

Merencanakan Kejahatan

...... sambungan.....



Contoh-Contoh:

============


Contoh 1: Makar (propaganda jahat) kafir Harbi melabelkan Islam sebagai Agama pengganas.


Di antara makar (propaganda jahat) Kafir Harbi Yahudi, kristian dan sekutu-sekutu mereka hapuskan Islam adalah dengan cara propaganda melabelkan Islam sebagai ajaran melampau dan pengikut-pengikutnya sebagai pengganas supaya manusia tidak memeluk Islam.  Sedangkan hakikatnya puak-puak yahudi, kristian dan sekutu-sekutu merekalah yang sebenar-benar pengganas dan pengikut Iblis La'natullah.  Sejarah menulis dengan darah Nabi dan syuhada akan kejahatan kaum yahudi yang memusuhi sekalian Nabi-Nabi yang Allah Utuskan kepada manusia. 


Contoh 2: Makar (propaganda jahat) kafir harbi menggantikan Undang-Undang Allah dengan undang-undang Kafir


Asalnya ini adalah propaganda Yahudi, kristian dan kafir Harbi yang lain.  Kemudiannya disokong oleh orang-orang "bernama Islam" dari kalangan pemerintah, ahli politik, golongan terpelajar dan orang awam jahil sehingga akhirnya demokrasi, kapitalisma, socialisma diterima sebagai cara hidup mereka menggantikan Syari'at Allah. 


Contoh 3: Makar (propaganda jahat) hapuskan Toriqat


Sebahagian dari makar (rancangan jahat, propaganda jahat) Yahudi, Nasrani dan kafir Harbi adalah hapuskan Toriqat (Tasawwuf).  Mereka menggunakan orang-orang Islam sendiri dari kalangan ahli politik, alim fekah, kiyai, muallim, hafiz Qur'an, PhD, Drs, Profesor untuk sebarkan dakyah jahat bahawa Toriqat tu sesat.  Maka berlumba-lumbalah ustaz-ustazah moden, profesor jahil, mufti jahil,  mengeluarkan "fatwa" menurut nafsu dan Iblis bahawa Toriqat itu sesat, tahyul, khurafat dan sebagainya.  Wal Iyazubillah.  


Sebagaimana kami jelaskan berulang-ulang di dalam risalah-risalah kami, menurut I'tiqad dan pegangan Ahlus Sunnah wal Jamaah, Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ adalah dua macam Ilmu yang bersumber dari Wahyu Ilahi yang WAJIB dipelajari dan diamalkan oleh setiap orang yang mengaku beriman.


Syari'at menjelaskan kepada kamu ilmu dan amal yang berkaitan dengan zahir perbuatan dan perkataan manusia.  Sedang Toriqat menjelaskan tentang ilmu dan amal berkaitan dengan hati, penyakit-penyakit hati, nafsu-nafsu jahat, kesyirikan dalam hati dan cara-cara hapuskan kejahatan hati sehingga seseorang menjadi hamba Allah yang sejati. 


Akibat dari makar propaganda jahat ini nama Toriqat menjadi buruk pada pandangan kebanyakan orang Islam.  Akibatnya kebanyakan orang Islam awam hanya amalkan Syari'at (fiqh) semata-mata sedangkan Toriqat (Tasawwuf) diabaikan. Bahkan lebih buruk lagi,  ramai ingkar akan wujudnya Toriqat yang diwarisi daripada Rasulullah ﷺ oleh Sahabat dan Ulama Ahlus Sunnah yang terpercaya. Sebahagian lagi yang buta menentangnya atau mencercanya atau menghinanya.  Betapa bodohnya golongan ini.  Mereka "menggali kubur" sendiri tetapi mereka tidak menyedarinya.  Wal Iyazubillah.


SIRI 344 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar 47

Merencanakan Kejahatan

...... sambungan.....



Contoh 4: Makar (propaganda jahat) wujudkan Ahlus Sunnah Palsu


Di antara makar (propaganda jahat) kafir harbi lagi adalah melakukan Propaganda mewujudkan "Ahlus Sunnah Palsu". Sekurang-kurangnya tiga Golongan yang mengaku Ahlus Sunnah padahal mereka adalah Golongan ghuluww yang memusuhi Ahlus Sunnah:


(1) Syi'ah (rafidhi)

(2) Wahhabiyyah (khawarij zaman moden)

(3) Sekular (liberal)


Contoh 5: Makar (propaganda jahat) mengubah kandungan kitab Imam-Imam Ahlus Sunnah


Wahhabiyyah atau namanya Najdiyyah atau namanya ISIS atau namanya Salafi atau nama-nama lain yang bersekutu dengan doktrin Wahhabiyyah yang berpusat di Arab Saudi telah melakukan pemalsuan Kitab Ahlus Sunnah.


Mereka tidak sedikit pun takut mengubah, menambah atau hapuskan terus kandungan Kitab Ahlus Sunnah demi mempertahankan doktrin BATIL Wahhabiyyah.  Golongan bid'ah sesat ini mengambil langkah terbaru ini setelah gagal meyakinkan Ummat Islam akan ajaran mereka.


Jangan lupa :  Golongan Wahhabiyyah adalah jelmaan daripada fahaman sesat Khawarij dan campur aduk dengan fahaman Mujassimah.  Golongan ini telah difatwakan sesat oleh kesemua Imam Ahlus Sunnah pada zaman kebangkitannya di Arab Saudi pada kurun ke -12 Hijriyyah.  Demkian pendirian Ulama Ahlus Sunnah Mu'tabar sepanjang zaman telah memfatwa sesat pada golongan ini.


Menurut kajian Ahlus Sunnah lebih 300 judul kitab Ahlus Sunnah telah dipalsukan.  Di antara kitab- kitab penting Ahlus Sunnah yang dipalsukan oleh Wahhabiyyah...


  1.  KItab Hadith Bukhari

  2.  KItab Hadith Muslim

  3.  Kitab Hadith Tirmizi

  4.  Kitab Hadith Imam Abu Dawud

  5.  Kitab Hadith Imam Ahmad

  6. Kitab Hadith Ibn Majah

  7. Kitab Hadith An-Nasai

  8. Kitab Muwatta Imam Malik

 9. Kitab Ibanah 

10. Fathu Bari — Syarah Sahih Bukhari

11. Syarah Sahih Muslim

12. Tafsir Ruhul Ma'ani

13. Tafsir Tabari

14. Tafsir Qurtubi

15. Hasyiah Asy-Syawi

16. Hasyiah Ibn Abidin

17. Majmoo Fataawa

18. Diwaan Imam Shafie

19. An Nassehah Imam Hanafi

20. Tabaqat Ibn Saad


Golongan Wahhabiyyah tidak sedikit pun takut melakukan propaganda jahat ini kerana hati mereka sudah dikuasai Iblis.  Wal Iyazubillah. 


SIRI 345 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 47

Merencanakan Kejahatan

...... sambungan.....



Akibat Berbuat makar

(merencanakan kejahatan)

===================


Manusia yang berbuat makar — merencanakan kejahatan, tipu daya, konspirasi terhadap Agama Allah dan orang-orang beriman, pasti menerima balasannya, di dunia dan Akhirat, sama ada mereka itu orang-orang kafir atau munafiq, fasiq, sesat. 

 

Namun fokus utama kita di sini adalah akibat yang akan menimpa orang-orang Islam yang mengaku Islam, bernama Islam, berpakaian seperti Islam, namun mereka menjadi musuh orang beriman dan musuh Agama Allah.


Akibat 1: Allah pasti membalas tipu daya musuh-musuh Allah


Sekalian tipu daya, kejahatan yang dirancang oleh orang kafir, munafiq, fasiq akan menerima balasan segera dari Allah.  Dia Perancang Maha Agung Dia sendiri kirimkan bala tenteranya untuk Membalas segala tipu daya manusia jahat. 


Firman Allah تَعَالَى


وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ


"Dan mereka (orang kafir) berbuat makar (merancang kejahatan, tipu daya, agenda jahat)  dan Allah juga berbuat Makar-Nya (Balasan terhadap tipu daya kafir)  Sesungguhnya Dialah sebaik-baik pembalas segala jenis tipu daya.”

[Aali Imran (3) : ayat 54]


 Jika engkau bertanya mengapa golongan yang merancang berbagai kejahatan dan tipu daya terhadap orang beriman dan Ajaran Islam, tidak terkena apa-apa balasan, sebaliknya mereka hidup senang, mewah, tertawa gembira?  


Maka jawapannya adalah : 

Allah Ta'ala biarkan mereka beberapa ketika dengan kehidupan mewah dan kegembiraan mereka sehingga tiba-tiba menimpakan mereka bala yang tidak terperi sakitnya.  Inilah _istidraj_ sekira-kira mereka tidak menyangka kedatangan balasan Allah.  Wal Iyazubillah. 


Firman Allah تَعَالَى :


فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ


"Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)."

[Al-An'am (6) : ayat 44]


Firman Allah تَعَالَى :

  

وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ  وَأُمْلِي لَهُمْ إِنَّ كَيْدِي مَتِينٌ


"Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.  Dan Aku memberi tempoh kepada mereka; sesungguhnya Rancangan Balasan-Ku amatlah teguh."

[Al-A'raf (7) : ayat 182,183]


Ringkasnya...

Kamu melihat golongan yang memusuhi Agama Allah hidup di dalam kemewahan, kaya raya dan suka ria.  Golongan kafir, fasiq dan munafiq ini menyangka diri mereka di pihak benar dan menyangka Allah kasih kepada mereka sedangkan ianya merupakan tipu daya Allah terhadap mereka (وَمَكَرَ اللَّهُ = Makar Allah).  Mereka terlena di dalam angan-angan mereka. 


SIRI 346 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 47

Merencanakan Kejahatan

...... sambungan.....



Akibat 2: Menjadi muflis — Menanggung dosa besar,berat dan amat banyak

Sesungguhnya orang Islam (yang munafiq, fasiq dan sesat) yang merencanakan tipu daya, propaganda jahat, agenda jahat dan bermacam-macam konspirasi jahat terhadap orang beriman dan ajaran Islam seluruhnya menanggung dosa besar yang amat berat akibat daripada meluasnya dosa-dosa kejahatan mereka dan beratnya dosa mereka akibat penentangan kepada Allah, Rasul dan Ulama (Ahlus Sunnah). 


Rasulullah   ﷺ  bersabda:

 “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham dan juga tidak memiliki harta.”  Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ”Sebenarnya orang yang muflis dari kalangan ummatku ialah seseorang yang datang pada hari Qiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) dia pernah mencaci maki si fulan, menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan, dan pernah memukul si fulan.  Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya , dia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.”

[Imam Muslim]


Perhatikan sungguh-sungguh amaran Rasul ini:  

Baginda tidak maksudkan "muflis" ini kepada Golongan yang kafir, tetapi kepada orang-orang Islam yang mengaku Islam, nama Islam, berpakaian seperti Islam... namun perangai mereka, sifat mereka, perbuatan mereka, perkataan mereka seperti orang kafir.  Mereka adalah orang-orang yang mengaku Islam tetapi melakukan berbagai kezaliman terhadap orang beriman. 


Sekarang cuba bayangkan berapa besar dan banyaknya dosa yang dilakukan oleh perancang-perancang kejahatan yang akibatnya meliputi banyak sekali orang beriman. 


Sebagai contoh : Perancangan jahat yang dilakukan oleh Golongan Wahhabiyyah (khawarij) mengubah kandungan kitab-kitab Ulama Ahlus Sunnah kepada versi fahaman sesat Wahhabiyyah (khawarij).  Bayangkan berapa ramai orang Islam tertipu dengan dakyah mereka.  Berapa banyak orang Islam menjadi sesat, termasuk penuntut-penuntut pondok kerana menyangka ianya hasil karya Ulama Ahlus Sunnah dan fatwa-fatwa mereka sedangkan ianya BUKAN hasil karya Ulama Ahlus Sunnah dan BUKAN fatwa mereka, tetapi sebaliknya hasil tipu daya golongan Wahhabiyyah (khawarij).  Perancang-perancang kejahatan ini,  Wahhabiyyah (khawarij) dan kuncu-kuncunya akan menanggung sekalian dosa orang Islam menjadi sesat.  Orang alim fiqh, ustad ustazah, kiyai, hafiz Qur'an, profesor yang menjadi pendokong agenda jahat Wahhabiyyah (khawarij) akan menanggung dosa besar yang amat berat.  Wal Iyazubillah.


SIRI 347 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 47

Merencanakan Kejahatan

...... sambungan.....



Akibat 3: Hati menjadi keras, gelap dan mati

Seseorang yang melakukan dosa kemudian bertaubat dengan Taubat Nasuha akan menerima Keampunan Allah.  Hatinya akan menjadi bersih setelah Taubat kembali sungguh-sungguh kepada keimanan.


Sebaliknya orang yang terus meneruskan melakukan kejahatan dan dosa tanpa sedikit pun penyesalan dan Taubat, maka hatinya akan berubah menjadi gelap sedikit demi sedikit menurut kadar dosanya, akhirnya gelap, keras dan mati terus.  Jika dia melakukan dosa terhadap banyak manusia, maka hatinya lebih cepat keras dan mati akibat dosa besar yang amat banyak.  


Inilah yang berlaku terhadap orang yang melakukan makar (Agenda jahat, tipu daya, konspirasi).  Ramai manusia menjadi mangsa kejahatan mereka.  Kejahatan mereka juga berterusan.  Dengan demikian banyaklah dosa besar yang tertimpa ke atas mereka, menyebabkan hati mereka menjadi hitam, gelap, keras dan mati. 


Firman Allah: 


خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ وَعَلَى أَبْصَـرِهِمْ غِشَـوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عظِيمٌ 


"(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka dan pada penglihatan mereka ada penutupnya dan bagi mereka pula disediakan azab siksa yang amat besar.”

[Al-Baqarah(2): ayat 7]  


Rasulullah ﷺ bersabda:

 “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya.  Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.”

[Imam Ibn Majah]


Akibat ini amat menggerunkan:

Orang Islam yang terus menerus melakukan makar, merancang tipu daya dan kejahatan terhadap Ummat, akan gelap dan mati hatinya akibat dari dosa kezaliman yang menimpa hatinya.  Apakah maksudnya?  Mereka tidak akan melihat cahaya lagi.  Jalan tertutup dari menerima hidayah.  Wal Iyazubillah


SIRI 348 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 47

Merencanakan Kejahatan

...... sambungan.....



Rawatan dan Penjagaan

=================


Pertama: Ingat mati

Sudah tentu "ingat mati" adalah kunci utama bagi menyedarkan pemimpin-pemimpin, pegawai-pegawai berkuasa dan pendokong-pendokong mereka yang berbuat "makar" (kejahatan, tipu daya, propaganda) kepada ummat Islam. 


Persoalannya....

Siapakah yang beri mereka kesedaran? 

Adakah mereka sedia mendengar nasihat Ulama Billah?

Adakah mereka sedia bertaubat? 


Ketika kemuncak kekuasaan, mereka sombong takabbur. Ketika kemuncak kekuasaan, mereka lupa bahawa mereka akan mati. Ketika tenaga dan nafsu masih besar, mereka lupa soal mungkar nakir di dalam kubur. Mereka lupa bahawa mereka akan dibangkitkan semula untuk menerima balasan.  Wal Iyazubillah.


Kedua: Taubat Nasuha

Raja, Sultan, Pemimpin-pemimpin negara, pegawai-pegawai, pendokong-pendokong yang telah subahat ke dalam perbuatan "makar" (merancang kejahatan, agenda jahat, propaganda jahat untuk melakukan berbagai kezaliman) wajib taubat segera dengan TAUBAT NASUHA. 


Syarat Taubat Nasuha 7 perkara :

(1) Berhenti dari melakukan dosa

(2) Menyesal sungguh-sungguh atas segala perbuatannya

(3) Berjanji tidak akan ulangi lagi

(4) Gantikan segala haq Allah yang luput

(5) Gantikan sekalian hak insan yang teraniaya

(6) Taubat di dalam tempoh yang di haruskan 

(sebelum nyawa sampai halqum dan sebelum matahari terbit dari Barat)

(7) Ikhlas bertaubat


Ketiga: Insaf setelah tua?

Ini beberapa panduan untuk menebus diri;  khusus kepada pewagai-pegawai, menteri-menteri, ketua jabatan, penyokong dan pendokong kepada perbuatan "makar" (tipu daya kejahatan, agenda jahat, konspirasi) terhadap Ummat Islam. Mereka bukan perancang utama sebaliknya mereka subahat kepada kezaliman pemerintah, penguasa, Raja, Sultan, Perdana Menteri, Presiden dsb yang telah melakukan berbagai perbuatan "makar" kepada Ummat Islam.


Sebagaimana telah dijelaskan, orang yang menjadi penyokong dan pendokong akan mendapat habuan dosa yang sama dengan perancang utamanya.


Persoalannya...

Bagaimanakah cara kamu selesaikan "hutang-hutang" dengan orang-orang yang kamu zalimi sedangkan mereka sudah mati? Jika mereka (yang terzalim) masih hidup sekalipun, apakah cara kamu menebusnya sebelum kamu mati kerana jumlah manusia yang terzalim akibat "makar" kamu bukan sedikit. Boleh jadi ratusan ribu atau berjuta? 


Ahli Ma'rifat menjelaskan beberapa panduan untuk "kurangkan" dosa kezaliman yang kamu telah lakukan:


(1) Jika mereka (orang-orang yang terzalim) masih hidup, maka wajib kamu bertemu mohon maaf dan gantikan semua hak mereka.


(2) Jika mereka telah mati, maka wajib kamu bertemu saudara-mara yang terdekat untuk mereka menuntut balas. 


(3) Jika sekalian saudara-maranya juga sudah mati atau tak dijumpai, maka wajib atas kamu sedekah sebanyak-banyaknya harta kamu lalu diniatkan pahalanya kepada kesemua mereka yang kamu zalimi.


(4) Jika kamu sudah jatuh miskin dan tiada lagi harta apa pun untuk di sedekahkan, maka buatlah amal ibadah sebanyak-banyaknya dan sedekahkan pahalanya kepada sekalian mereka yang terzalim pada tangan kamu :

    (i) Zikir La-Iaha Illallah sebanyak mungkin dan sedekahkan pahalanya 

    (ii) Baca Yasin setiap hari dan sedekahkan pahalanya 

    (iii) Baca Qul Huwallah sebanyak2nya setiap hari dan sedekahkan pahalanya


Mudah-mudahan semua amal ibadah kamu dan sedekah kamu yang kamu niatkan kepada si mati yang kamu zalimi, akan menjadi "penebus" sebahagian dosa-dosa besar kamu menzalimi manusia. 


Walau bagaimanapun ini bukan lesen kamu untuk selamat dan bebas. Ini hanyalah panduan untuk kurangkan "beban dosa kezaliman"  yang kamu telah perbuat. Keputusan muktamad ada di Sisi Allah yang Maha mengetahui sekalian dosa kamu. 


SIRI 349 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 48: 

Meremehkan, Menghina Ulama

=======================


Definisi

======

Definisi "Ulama" yang sebenar menurut pendirian Ahlus Sunnah Wal Jama'ah.  Dan istilah-istilah lain yang turut digunakan untuk merujuk kepada pengertian "Ulama" yang sebenar yang di Kehendaki Allah dan Rasul-Nya.  Selain itu kami kemukakan beberapa istilah lain yang saling berkait dengan perbincangan ini sebelum masuk kepada bahaya meremehkan Ulama, merendahkan mereka, mengejek dan mengolok-olok mereka.


Definisi Ulama


Dari segi bahasa:

Ulama (عُلَمَاء‎) merupakan Jamak (plural) bagi perkataan alim (عَالِمٌ), yang berasal dari kata ( عَلَمَ، يَعْلَمُ، عِلْمً ) ertinya mengetahui, kenal, menemukan, terjaga, sedar.


Dari segi istilah:

Ulama adalah hamba-hamba istimewa yang Allah Ta'ala pilih khusus, Melebihkan mereka dari manusia lain, Mengangkat Darjat mereka,  Memuliakan mereka, Menyucikan batin mereka, Melimpahkan mereka Ilmu dan Hikmah sehingga mereka mencapai Ma'rifat yang tinggi, Meneguhkan kedudukan mereka dengan berbagai kelengkapan ketaqwaan sehingga benar-benar layak menjadi Pewaris Rasulullah ﷺ menyebarkan Cahaya Ilahiyyah ke seluruh muka bumi dengan pimpinan Allah dan Rasul-Nya.


Definisi-definisi lain yang merujuk kepada Ulama


Selain dari istilah "Ulama",  para Masyaikh Ahlus Sunnah turut menyebut beberapa istilah lain yang merujuk kepada istilah "Ulama".... kesemuanya bersumber dari Kitabullah dan Hadith Rasulullah ﷺ, di antaranya:


Warisatul-Anbiya

Mursyid  

Ahli Sufi 

Ahli Ma'rifat 

Ulama Billah

Rijalullah 

Ulama Mu'tabar 

Murobbi 

Khalifah Allah 

Khalifah Rasulullah 

Sahabat Rasulullah 

Auliya Allah 


Yang disebutkan inilah sebenar Ulama yang disebut oleh Allah dan Rasul-Nya iaitu Pewaris Nabi yang sebenar yang hidup silih berganti setiap zaman sampai Qiamat.


Definisi Alim kitab atau Alim Fiqh

Alim fiqh adalah orang yang diberi gelaran "Ulama" (oleh manusia) yang hanya menuntut dan amalkan syari'at (fiqh) sahaja, tidak amalkan Toriqat (Tasawwuf),  tidak pernah berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq.  Mereka bukan Ulama Pewaris Nabi yang sebenar sebagaimana di Kehendaki Allah dan Rasul-Nya. 


Definisi Ulama Sesat

"Ulama" sesat adalah orang alim kitab yang hanya menuntut dan amalkan ilmu fiqh semata-mata, ingkar kepada Toriqat (Tasawwuf), tidak pernah berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, sebaliknya berpegang kepada doktrin-doktrin batil dan sesat (72 golongan sesat). 


Definisi Ulama As-Su' (السوء)

Ulama As-su' ( علماء السوء) adalah "Ulama jahat", "Ulama keji", "Ulama kufur" yang mempunyai pengetahuan (zahir Syari'at), mengetahui halal dan haram serta selok-belok hukum Syara'  tetapi mereka menggunakan ilmu mereka untuk kepentingan dunia, memutarbelitkan ayat Qur'an,   mendustakan ayat-ayat Allah dan Hadith Rasulullah ﷺ dan  mengeluarkan fatwa menurut nafsu, iblis dan kehendak penguasa-penguasa fasiq.


Definisi Istihza (اِسْتَهْزَأَ)

Dari segi bahasa:

Istihza (اِسْتَهْزَأَ) berasal dari kata ( هُزُؤ ) yang membawa makna mengejek, olok-olok, merendahkan, menghina


Dari segi istilah:

Istihza (اِسْتَهْزَأَ) adalah merendahkan, memandang remeh, mengolok-olok, mengejek, menghina ; sama ada ianya terhadap Allah, Rasul-Nya, Ulama Allah, Auliya Allah, Mursyid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat, orang mukmin atau apa sahaja yang Allah Ta'ala muliakan dan sama ada ianya terang-terangan atau sembunyi-sembunyi, sama ada dengan lisan, perbuatan, isyarat atau di dalam hati.. semua ini merupakan dosa besar yang boleh batalkan syahadah, musnah Iman seseorang. 


Berkata Imam Al-Haythami Radhiallahu anhu:

"Di dalam perbahasan ini (Ihtihza = meremehkan Ulama) termasuk dosa besar.  Petunjuk yang disampaikan Hadith bahagian pertama menyebutkan hal ini. Demikian juga beberapa riwayat sesudahnya."

[Az-Zawwajir]


SIRI 350 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 48:

Meremehkan, menghina Ulama

...... sambungan......



Penjelasan

========


(1) Perbahasan tajuk ini kami telah bentangkan di dalam Kitab kami bertajuk "Mencari Pewaris Nabi Yang Sebenar".  Kandungan, konsep perbahasan dan matlamatnya hampir sama, hanya perbezaannya pada teknik dan sudut perbincangan.


(2) Istilah Ulama' (kemudiannya dikenali juga sebagai Mursyid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat, Auliya Allah) adalah suatu istilah Agung yang bersumber dari Al-Qur'an dan Hadith Rasulullah ﷺ sehingga barangsiapa menafikannya, mengingkarinya, menentangnya, mencacinya, mengejek-ejeknya, mengolok-oloknya, meremehkannya, merendah-rendahkannya atau barang sebagainya, maka adalah dia menentang Allah dan Rasul-Nya tanpa khilaf lagi meskipun orang itu mempunyai kedudukan di dunia sebagai Raja, Sultan, Perdana Menteri, Presiden, mufti atau qadhi atau profesor atau pangkat-pangkat lainnya.


(2) Setiap Ulama (kemudiannya dikenali juga sebagai Mursyid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat, Auliya Allah) adalah pilihan Allah yang Dia (Allah) menzahirkan mereka sebagai Pewaris Nabi, menduduki maqam Nubuwwah, menanggung Amanah besar sebagai khalifah Allah dan wakil Rasulullah ﷺ, bagi memakmurkan bumi dengan Cahaya Ilahiyyah. 


(3) Ulama (kemudiannya dikenali juga sebagai Mursyid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat, Auliya Allah) menduduki posisi Agung di Sisi Allah disebabkan oleh rahsia Ilahiyyah di dalam batin mereka. Mereka bukan manusia biasa tetapi insan-insan luar biasa yang menjadi Rijalullah (lelaki Allah, Pahlawan Allah). 


(4) Istilah-istilah "Mursyid", "Ahli Sufi", "Ahli Ma'rifat" merupakan ijtihad Masyaikh Ahlus Sunnah yang semuanya bersumber dari Al-Qur'an dan Sunnah.  Tujuan para masyaikh kita menjelaskan istilah-istilah tersebut adalah: Yang pertama kerana ianya dijelaskan sesuai dengan kedudukan "Ulama" yang istimewa di Sisi Allah.  Yang kedua bertujuan memuliakan mereka sebagaimana dituntut oleh Allah dan Rasul-Nya. Yang ketiga guna membezakan Ulama yang benar dengan Ulama palsu, Ulama as-su', Ulama politik, Ulama sesat. 


(5) Ketika nama "Ulama" dicemari oleh "Ulama-Ulama as-su' (ulama jahat, fasiq, kufur)", "Ulama Sesat" — khawarij (wahhabiyyah), syi'ah (rafidhi), mu'tazilah, jabariyyah, mujassimah, musyabbihah dan lain-lain berjumlah 72 golongan sesat, maka pada saat itu sekalian Ulama Ahlus Sunnah yang benar tetap berpegang teguh dengan warisan suci Rasulullah ﷺ,  menolak sistem jahiliah yang dihidupkan semula oleh ahli politik korup dan "Ulama-ulama jahat, fasiq dan keji".  Hal ini berlaku setelah kewafatan Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah.  Orang-orang jahil memakai pakaian "Ulama" dan menduduki kerusi ahli fatwa.  Mereka tunduk kepada penguasa-penguasa fasiq mengeluarkan fatwa sesuai dengan selera nafsu mereka.  Mereka inilah "Ulama as-su', Ulama Syaitan, Ulama nafsu."


 (6) Istilah-istilah lain yang diterbitkan oleh Ulama Ahlus Sunnah berkenaan istilah "Ulama" bagi membezakan Ulama yang benar dengan Ulama palsu, Ulama jahat, Ulama dunia adalah Rahmat Allah yang besar bagi ummat.  Dengan wujudnya istilah Mursyid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat dan lain-lain Ummat Islam akan waspada agar tidak tertipu kepada dakyah Ulama-Ulama fasiq, kufur dan sesat. 


Bersambung siri 351 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...