■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
SIRI 151 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.20 Dosa Besar ke -19: Bakhil ( بَخِيْل )
sambungan ...
Batas / ukuran bakhil
Sifat2 yang wujud pada diri sendiri yang boleh dijadikan panduan menentukan batasan bakhil. Pada dasarnya seseorang akan dikira sebagai bakhil apabila memiliki sifat2 berikut berhubung dengan hartanya:
Pertama: Tidak menunaikan kewajipan atas hartanya
Memberi belanja yang mencukupi kepada anak isteri, faqir miskin, orang terlantar dan fi sabilillah merupakan kewajipan atas setiap orang Islam. Keengganan seseorang belanjakan hartanya untuk menunaikan kewajipan ini menunjukkan tanda kerasnya kebakhilan pada diri seseorang.
Kedua : Mengeluarkan belanja tetapi tidak mencukupi
Orang yang mempunyai keluasan harta tetapi tidak mencukupkan perbelanjaan untuk tanggungannya.
Ketiga : Kaya-raya tetapi sangat berkira2 ketika sedekah
Orang yang sangat berkira2 ketika belanjakan harta kepada Fi Sabililah sedangkan dia hartawan.
Keempat : Hatinya sangat berat
Orang yang keluarkan belanja yang cukup menurut Syara' dan bersesuaian pada 'urf (adat) tetapi dengan hati yang sangat berat. Ini belum keluar dari kebakhilan.
Kelima : Sentiasa memikirkan cara memenuhkan tabungnya
Setelah keluarkan belanja, dia segera memikirkan bagaimana cara memenuhkan semula tabungan / simpanannya. Ini selain dari bakhil boleh menjurus kepada kurangnya keyakinan kepada janji Allah dan Taqdir Ketentuan-Nya atas setiap makhluq.
Keenam : Sentiasa bimbang dengan simpanan harta/wangnya
Orang kaya-raya yang sentiasa curiga dengan orang2 di sekelilingnya, seolah2 semua manusia ingin merampas harta kekayaannya.
Ketujuh : Menuntut balasan atas sedekahnya
Setiap kali bersedekah, dia mengharapkan balasan atas sedekahnya. Atau membuat berbagai perkiraan bagaimana dia boleh mendapat berbagai habuan duniawi atas sumbangan sedekahnya.
Demikian beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan bagi mengukur diri sendiri dan menjadi hamba2 Allah yang pemurah menurut Kehendak Allah dan Rasul-Nya.
Walau bagaimanapun "kadarnya" yang khusus bagi setiap hal amat susah ditentukan kerana wujud berbagai lapisan di dalam memahami erti "kekayaan", "kaya-raya " dan "hartawan". Dan wujud lagi beberapa hal berhubung dengan penyempitan (menahan harta) yang berbeza2 menurut penerima perbelanjaan.
SIRI 152 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.20 Dosa Besar ke -19: Bakhil ( بَخِيْل )
sambungan ...
Berkata Imam Ghazali :
Maka sifat kemurahan hati itu di tengah2 antara berlebihan (Al-israf) dan tidak mencukupkan perbelanjaan (Al-iqtaar). Dan di antara membuka tangan seluasnya dan menggenggam tangan iaitu bahawa dia menentukan kadar pemberiannya dan penahanannya sekadar yang wajib. Dan tidak memadai berbuat demikian dengan anggota badan saja selama hatinya tidak baik yang demikian. Dan tidak menentang pada yang demikian. Maka jikalau, diberinya pada tempat yang harus diberi dan jiwanya menentang yang demikian dan ia sabar, maka yang itu dia berbuat2 pemurah. Dan ia bukanlah orang pemurah.
Akan tetapi, sayugia hatinya tiada mempunyai hubungan bersama harta selain di mana harta itu di- maksudkan untuknya iaitu mengeluarkan pada apa yang wajib dikeluarkan kepadanya. Kalau kamu mengatakan bahawa ini menjadi terletak atas mengetahuinya yang wajib, maka apakah yang wajib diberikan?
Maka aku jawab, bahawa yang wajib itu 2 macam : yang wajib pada agama dan muruah (maruah) dan adat kebiasaan;
dan orang pemurah itu iaitu yang tiada melarang yang wajib pada agama dan yang wajib pada muru'ah. Kalau dicegahnya salah satu dari dua itu, maka dia bakhil. Akan tetapi orang yang mencegah yang wajib pada agama adalah lebih kikir. Seperti orang yang mencegah pembayaran zakat dan tidak memberi nafkah pada orang yang menjadi tanggungannya dan keluarganya.
Atau dilaksanakannya tetapi sangat sulit baginya. Maka orang tersebut itu bakhil yang sebenar. Hanya dia berbuat2 menjadi pemurah dengan memaksa diri. Atau dia maksudkan yang keji dari hartanya. Dan hatinya tidak baik untuk memberikan dari hartanya yang terbaik atau dari yang pertengahan. Maka semua ini bakhil.
Adapun wajib pada muruah meninggalkan penyempitan dan penyelidikan pada barang yang tidak berharga. Maka demikian itu sifat yang terpandang keji. Dan kekejian yang demikian itu berlainan menurut keadaan dan orang. Maka orang yang banyak hartanya nescaya terpandang keji padanya apa yang tidak terpandang keji pada orang miskin dari hal penyempitan. Dan terpandang keji dari seseorang penyempitan pada keluarganya, kerabatnya dan hamba2nya apa yang tidak terpandang keji terhadap orang lain. Dan terpandang keji dari tetangga akan apa yang tidak terpandang keji bersama orang yang berjauhan. Dan terpandang keji mengenai tetamu dari hal penyempitan akan apa yang tidak terpandang keji mengenai muamalah.
Maka yang demikian itu berbeza dengan penyempitan pada tamu atau muamalah dan dengan penyempitan yang dari makanan atau pakaian. Kerana terpandang keji pada makanan apa yang tidak terpandang keji pada lainnya.
Maka orang bakhil ialah mencegah (tidak mahu) memberikan di mana dia sayugia tidak mencegahnya. Ada kalanya dengan hukum Agama dan ada kalanya dengan hukum muru'ah. Dan yang demikian itu tidak mungkin di naskan (dipastikan dengan dalil) kadarnya. Semoga batas bakhil ialah : Menahan harta dari suatu maksud. Dan maksud yang demikian itu lebih dari menjaga harta. Dan memelihara Agama itu lebih penting dari memelihara harta.
[Ihya Ulumuddin]
SIRI 153 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.20 Dosa Besar ke -19: Bakhil ( بَخِيْل )
sambungan ...
Punca bakhil
Berikut adalah perkara2 yang mendorong seseorang kepada bersifat dengan sifat bakhil.
(1) Takabbur dengan harta kekayaannya
Lazimnya orang yang memiliki harta kekayaan yang banyak menjadi sombong dengan kekayaannya. Orang ini menghimpun kekayaan demi kekayaan bagi menunjukkan lagi kemegahannya kepada manusia bahawa dia sememangnya kaya-raya dan memiliki kekuasaan.
(2) Merasakan harta kekayaannya dari usaha sendiri
Mengaku dia mendapat segala kekayaan dengan usaha sendiri yang keras. Dia lupa bahawa semua kekayaan miliknya adalah Pemberian Allah Ta'ala dan bukan kerana usahanya. Sifat keakuan ini menimbulkan kecenderungan hati bagi menahan hartanya untuk diri sendiri. Pegangan ini bukan saja menjadikan dia bakhil bahkan lebih berat lagi menjerumuskan dia kepada syirik khafi (syirik tersembunyi) tanpa disedarinya.
(3) Panjang angan2
Sifat bakhil timbul dari panjang angan2 untuk mencapai suatu "impian keduniaan" yang besar. Setiap hari dia menghitung hartanya dan menunggu2 saatnya mencapai impian tersebut. Dia enggan bersedekah kerana takut impian keduniaannya tidak tercapai. Baginya mencapai "impian keduniaan" itu menjadi matlamat hidup. Agama menjadi perkara sampingan. Wal Iyazubillah.
(4) Cinta dunia
Orang yang meletakkan kecintaan kepada dunia, harta kekayaan dan wang ringgit, amat susah bersedekah. Apabila kecintaan kepada dunia menguasai hatinya, dia sentiasa inginkan lebih lagi dan lebih lagi dari harta keduniaan, dan tidak bersedia kehilangannya walaupun sedikit.
(5) Lupa mati
Orang2 yang menghimpun2 kekayaan dan enggan bersedekah (dengan kadar selayaknya dia bersedekah) lupa bahawa dia akan mati meninggalkan segala kekayaannya. Dia tidak sedar bahawa dia tidak akan bawa satu sen pun daripada kekayaan yang telah dihimpun selama puluhan tahun. Dia juga lupa bahawa segala harta kekayaan yang banyak akan menjadi bahan rebutan dan pergaduhan di kalangan anak2nya setelah kematiannya, sebagaimana kita saksikan di hadapan kita pada zaman ini.
(6) Lupa harta kekayaan menjadi bebanan berat
Orang yang cuma tahu menghimpunkan kekayaan dan enggan bersedekah, lupa bahawa makin banyak hartanya yang disimpan untuk dirinya (tanpa keperluan yang diizinkan oleh Syara'), maka makin beratlah hisab di Padang Mahsyar. Setiap harta akan dihisab satu persatu, bagaimana dia mencarinya, bagaimana disimpannya dan ke mana dia belanjakan harta tersebut. Berbanding dengan seseorang hartawan yang banyak bersedekah Fi sabilillah, atau membantu faqir miskin, maka kurang hisabnya kerana kebanyakan harta telah dibelanjakan pada Jalan Allah.
(7) Lupa ingat Allah / Lupa pertemuan dengan Allah
Punca utama seseorang menjadi bakhil adalah kerana hatinya kosong dari Zikrullah. Dia lupa kepada Allah. Dia lupa akan segala Nikmat Kurnia Allah. Dia lupa bahawa dia akan menghadap Allah Ta'ala Yang Maha Pemurah yang telah Mengurniakannya berbagai Ni'mat ketika hayatnya di dunia.
Sebagaimana kami jelaskan sebelum ini, di dalam berbagai risalah, berdasarkan Al-Qur'an, Hadith dan Fatwa Ulama Mu'tabar.... kelalaian hati daripada Zikrullah adalah punca utama kerosakan manusia Muslim, punca musnahnya Iman dan amal ibadah. Wal Iyazubillah. Yang kami maksudkan dengan Zikrullah adalah : ingat Allah, Allah, Allah terus-menerus di dalam hati tanpa putus, sebagaimana diamalkan oleh sekalian Imam2 besar Ahlus Sunnah — sekalian Auiya Allah, yang mereka mewarisi turun-temurun daripada Junjungan Besar Rasulullah ﷺ.
SIRI 154 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.20 Dosa Besar ke -19: Bakhil ( بَخِيْل )
sambungan ...
Akibat Bakhil
(1) Harta yang dibakhilkan menjadi kalung Neraka
✨🕌✨Firman Allah :
وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ هُوَ خَيْرًا لَهُمْ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَهُمْ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلِلَّهِ مِيرَاثُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
"Dan sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari Kurnia-Nya menyangka, bahwa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya (siksaan neraka) di hari Qiamat. Dan kepunyaaan Allah lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.
[Aali Imran (3) : ayat 180]
(2) Bakhil dan rakus menyebabkan Pertumpahan darah
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
“Jagalah diri kalian dari berbuat zalim, kerana perbuatan zalim itu (menyebabkan) kegelapan pada hari Qiamat, dan jagalah diri kalian dari berlaku bakhil dan rakus, kerana bakhil dan rakus itu membinasakan orang-orang sebelum kalian, mendorong mereka menumpahkan darah dan menghalalkan yang haram”.
[Imam Muslim]
(3) Hilang keberkatan hidup
Orang yang bakhil hilang keberkatan rezekinya, bahkan hilang keberkatan seluruh hidupnya. Ertinya harta bertimbun2 yang dimiliknya tak pernah cukup. Sebaliknya orang yang pemurah akan bertambah2 rezekinya kerana keberkatan sedekahnya yang ikhlas.
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
“Sedekahkan hartamu. Janganlah engkau menghitung-hitungnya (menahan harta untuk diri sendiri). Jika tidak, maka Allah akan menghilangkan keberkatan rezeki tersebut. Janganlah menghalangi Anugerah Allah untukmu. Jika tidak, maka Allah akan menahan Anugerah dan kemurahan untukmu.”
[Imam Bukhari, Imam Muslim]
(4) Hilang ketenangan jiwa
Orang yang bakhil sentiasa di dalam kebimbangan, sentiasa memiikirkan cara2 menahan hartanya dan menambah2nya apabila sedikit berkurangan. Jiwanya sentiasa gelisah meskipun hartanya bertimbun2.
(5) Rosak Iman / Tauhid
Orang yang bakhil bergantung harap kepada hartanya dan lupa kepada Allah Ta'ala. Orang ini menyangka dia akan selamat dengan hartanya yang banyak, atau dia beri'tiqad masa depannya terjamin dengan banyaknya harta yang dihimpunkannya. Dia tidak lagi tawakkal kepada Allah Ta'ala tetapi bergantung harap kepada makhluq, maka rosak binasa Imannya. Ini kerana meletakkan pergantungan hati kepada selain Allah, adalah termasuk _Syirik khafi_ (syirik tersembunyi), yang membawa kerosakan Iman dan kemusnahan amal ibadah. Wal Iyazubillah.
Demikian sebahagian dari akibat buruk yang menimpa orang yang bakhil. Moga menjadi peringatan dan panduan di dalam hidup sebagai orang beriman.
Sebagaimana ditegaskan sebelum ini, sifat bakhil tidak hanya meliputi orang yang kaya-raya atau jutawan tetapi juga kepada orang yang kurang hartanya berbanding dengan orang yang kaya-raya (kekayaan sedehana). Ini kerana Allah Ta'ala memerintahkan agar orang beriman sedekahkan harta sesuai dengan kemampuannya.
✨🕌✨Firman Allah Ta'ala :
لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِۦ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُۥ فَلْيُنفِقْ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَآ ءَاتَىٰهَا ۚ سَيَجْعَلُ ٱللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ
Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekedar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.
[At-Talaaq (65) : Ayat 7]
SIRI 155 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.20 Dosa Besar ke -19: Bakhil ( بَخِيْل )
sambungan ...
Pengecualian — Tidak termasuk Bakhil
Perintah Allah, Rasul serta Fatwa Ulama Mu'tabar jelas menunjukkan mengumpul-ngumpul kekayaan dan menahannya daripada membelanjakannya pada Jalan Allah merupakan sifat bakhil yang membinasakan seseorang yang beriman. Hujjah2 yang cukup telah pun dikemukakan.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan di mana harus menahan sebahagian harta untuk kesinambungan kehidupan atas muka bumi atau bertujuan menunaikan hak2 Agama. Berikut beberapa contoh penting yang memerlukan simpanan di dalam kehidupan manusia zaman ini.
Pertama : Menunaikan Ibadah Haji
Kedua : Pendidikan anak2
Ketiga : Membeli rumah
Keempat : Membeli kenderaan
Catitan Penting:
Menyimpan sebahagian wang untuk perkara2 tersebut di atas merupakan keperluan pokok di dalam kehidupan manusia zaman kini dan ianya tidak berlawanan dengan Syara'. Cuma ketika membuat simpanan, perlu hati2 agar tak jatuh kepada kebakhilan tanpa disedari.
1. Pastikan wang simpanan tersebut benar2 diperlukan bagi kesinambungan kehidupan. Dan bukan bertujuan kemegahan atau lainnya.
2. Ketika membuat simpanan, janganlah sampai menyempitkan rezeki kepada anak isteri atau tanggungannya atau Fi Sabilillah.
3. Pekerjaan Haji ke Baitullah hanya diwajibkan sekali sahaja. Maka tidak harus menyimpan untuk pergi Haji bagi kali kedua, ketiga dan seterusnya. Selayaknya wang yang berlebihan itu disedekah kepada sanak saudara atau faqir miskin atau Fi Sabilillah bangunkan tempat2 untuk Musafir atau sediakan sumber2 minuman bagi manusia umumnya atau membantu orang2 Islam di merata dunia yang hidup di dalam kesengsaraan.
4. Orang yang sengaja menyimpan harta (wang) tanpa sebab yang diharuskan, atau menyimpan untuk menambah2 benda duniawi, atau menyimpan untuk mengulang2 Ibadat Haji, sedangkan ada saudara2nya yang sangat miskin atau kelaparan.... maka dia tertipu dan belum keluar dari lingkungan bakhil.
SIRI 156 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.20 Dosa Besar ke -19: Bakhil ( بَخِيْل )
sambungan ...
Rawatan dan Penjagaan
Pertama : Memaksa diri bersedekah
Melatih diri / memaksa diri berbelanja kepada manusia lain atau fi sabilillah, walaupun pada permulaannya terpaksa buat2 pemurah. Bermula dari "berbuat2 pemurah"... mudah2an hati akan berubah menjadi lunak dan mahu bersedekah tanpa dipaksa2.
Kedua : Luruskan Tauhid pada usaha mencari rezeki
Sesungguhnya rezeki setiap manusia adalah ketentuan Allah Ta'ala. Meskipun zahirnya manusia yang berusaha sungguh2, namun hakikatnya semua itu Pemberian Allah. Dengan tetapkan hati pada keyakinan ini, keakuan yang menguasainya akan hilang sehingga seseorang mudah mengeluarkan sedekah.
Ketiga: Insaf — Setiap Kurnia Allah itu Amanah
Sesungguhnya setiap Ni'mat Allah datang dengan amanah. Jika dia sedar bahawa setiap Kurniaan-Nya adalah amanah, maka dia tak akan menjadi bakhil.
Keempat : Lama hisabnya
Sentiasa mengingatkan diri bahawa harta Kekayaan yang Allah Kurniakan akan dihisab satu persatu pada Hari Perhitungan. Untuk mengurangkan hisab, dia perlu bersedakah sebanyak mungkin.
Kelima : Harta kekayaan menjadi asbab permusuhan
Berapa banyak telah terjadi harta kekayaan yang ditinggalkan si mati menjadi rebutan anak2 dan sanak saudaranya. Terkadang ia menjadi asbab permusuhan dan putus silatur-rahim di kalangan ahli keluarga si mati. Maka dosanya turut tertimpa atas si mati. Jika dia beringat-ingat akan hal ini, sudah pasti dia akan lebih banyak bersedekah daripada menghimpun2 kekayaan.
Keenam : Letak dunia pada tangan, Akhirat di dalam hati
Sebagaimana bicara terdahulu, kebanyakan manusia yang diKurniakan oleh Allah harta kekayaan, pangkat dan kedudukan... menjadi zalim. Maka amat wajar setiap manusia yang kaya-raya, mengambil i'tibar
Ketujuh : Ingat Mati
Jika seseorang selalu ingat mati, dan matinya amat dekat, maka dia tidak akan mengumpul-ngumpul kekayaan, sebaliknya dia akan lepaskan tanggungan melainkan sekadar simpanan menampung keperluan hidupnya.
SIRI 157 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.21 Dosa Besar ke -20: Tamak ( طَمَع )
Definisi :
Dari segi bahasa :
Tamak ( طَمَع ) berasal dari kata dasar ( طَمِعَ، يَطْمِعُ، طَمَع ) bermaksud kerakusan, haloba, mendambakan, keinginan yang kuat memiliki tanpa batasan,
Dari segi istilah :
Tamak ( طَمَع ) : Keinginan yang kuat untuk menambah2 harta dunia tanpa batasan, tidak pernah puas, tak pernah rasa mencukupi.
Penjelasan:
(1) Tamak merupakan satu lagi penyakit hati yang menjurus kepada dosa besar dan kerosakan Iman.
(2) Orang yang tamak sentiasa memikirkan bagaimana cara untuk menambah2 harta kekayaannya tanpa batas, iaitu dia tak pernah puas dengan apa yang diperolehnya. Jiwanya sentiasa rakus dan ingin lagi dan ingin lagi...!
(3) Orang yang tamak lazimnya bersifat bakhil. Ingin menambah2 kekayaan tetapi tidak ingin membelanjakannya.
(4) Sifat Tamak terkait kepada dosa2 besar yang lain — cinta dunia, dusta, fitnah, dengki, khianat, kufur Ni'mat.
(5) "Tamak harta benda" mempunyai perbezaan dengan "Cinta dunia", meskipun keduanya mempunyai kaitan.
Cinta dunia adalah umum meliputi semua jenis kegemaran kepada dunia (yang tiada memberi manfaat kepada Akhirat), iaitu cinta harta, pangkat, kedudukan, kekayaan, ketinggian, kemegahan, cinta hal2 berkaitan nafsu syahwat dan nafsu makan minum yang tiada batas... semua ini termasuk Cinta dunia. Dan lagi tak semestinya berlaku ketamakan di dalamnya secara khusus. Asalkan seseorang itu tersangat cenderung kepada dunia ( suatu selain Allah ) sehingga menjadikannya lalai dari Zikrullah dan lalai dari Perintah Allah, maka hal demikian adalah "Cinta Dunia" yang membinasakan.
Hal tersebut berbeza dengan "Tamak harta benda" kerana unsur yang terlibat secara khusus adalah "harta benda dan kekayaan dunia" dan berlaku unsur kecederungan kuat "mengumpul2 kekayaan, harta benda atau wang ringgit tanpa batasan"
(6) Ketamakan paling besar dan kebinasaan paling besar akibat ketamakan ini adalah ketamakan yang wujud di kalangan pemimpin2 politik. Diikuti oleh pedagang2. Mereka tak pernah puas dengan dunia, kekayaan dan pangkat yang mereka miliki. Mereka tak peduli halal atau haram. Mereka sentiasa " berperang " sama sendiri untuk mengumpulkan kekayaan sebanyak mana yang boleh, dengan beribu pembohongan, berbuat fitnah, khianat dan zalim.
(7) Punca utama sifat tamak adalah jiwa yang kosong dari Zikrullah, lupa kepada Allah, lupa kepada segala Ni'mat2 Allah, lupa hari Perhitungan. Maka tiadalah mereka ingat akan mati, hari Akhirat dan Yaumul Hisab. Jika mereka ingat sekali pun.... ingatan itu cuma sebentar, kemudian mereka terus berpaling kepada dunia ketamakan.
(8) Orang yang kekal dengan sifat ketamakan, akan terhijab dari melihat kebenaran, hatinya makin gelap makin gelap sehingga musnah di dalam ketamakannya. Wal Iyazubillah.
SIRI 158 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.21 Dosa Besar ke -20: Tamak ( طَمَع )
Dalil-Dalil
✨🕌✨Firman Allah :
وَلَتَجِدَنَّهُمْ أَحْرَصَ النَّاسِ عَلَىٰ حَيَاةٍ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ وَمَا هُوَ بِمُزَحْزِحِهِ مِنَ الْعَذَابِ أَنْ يُعَمَّرَ ۗ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُون
"Dan sungguh kamu akan mendapati mereka, manusia yang paling tamak kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih tamak lagi) dari orang-orang musyrik. Masing-masing mereka ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada siksa. Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.
[Al-Baqarah (2) : ayat 96]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
لَوْ كَانَ لاِبْنِ اَدَمَ وَادٍ مِنْ مَالٍ لاَبْتَغَى اِلَيْهِ ثَانِيًا وَلَوْ كَانَ وَادِيَانِ لاَبْتَغَى لَهُمَاثَالِثًا وَلاَيَمْلَأُ جَوْفَ ابْنِ اَدَمَ اِلاَّالتُّرَابُ وَيَتُوْبُ اللهُ عَلَى مَنْ تَابَ. رواه الشيخان واحمد والترمذى عن انس
“Andaikata seorang anak Adam telah memiliki harta benda sebanyak satu lembah, pasti dia akan berusaha lagi untuk memiliki dua lembah. Dan andaikata dia memiliki dua lembah, pasti dia akan berusaha lagi untuk memiliki tiga lembah. Memang tidak ada sesuatu yang dapat memenuhi keinginan anak Adam melainkan tanah (mati), dan Allah akan menerima taubat bagi mereka yang bertaubat.”
[Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad dan Imam Tirmizi]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا ذِئْبَانِ جَائِعَانِ أُرْسِلاَ فِي غَنَمٍ بِأَفْسَدَ لَهَا مِنْ حِرْصِ الْمَرْءِ عَلَى الْمَالِ وَالشَّرَفِ لِدِينِهِ
“Tidaklah dua ekor serigala yang lapar dikirimkan pada seekor kambing itu lebih berbahaya daripada tamaknya seseorang pada harta dan kedudukan dalam membahayakan agamanya.”
[Imam Tirmizi]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
لَوْ أَنَّ لاِبْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ ، وَلَنْ يَمْلأَ فَاهُ إِلاَّ التُّرَابُ ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ
“Seandainya seorang anak Adam memiliki satu lembah emas, tentu ia menginginkan dua lembah lainnya, dan sama sekali tidak akan memenuhi mulutnya (merasa puas) selain tanah dan Allah menerima taubat orang-orang yang bertaubat.”
[Imam Bukhari, Imam Muslim]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
عَنْ عَبَّاسِ بْنِ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ قَالَ سَمِعْتُ ابْنَ الزُّبَيْرِ عَلَى الْمِنْبَرِ بِمَكَّةَ فِى خُطْبَتِهِ يَقُولُ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ النَّبِىَّ – صلى الله عليه وسلم – كَانَ يَقُولُ « لَوْ أَنَّ ابْنَ آدَمَ أُعْطِىَ وَادِيًا مَلأً مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ إِلَيْهِ ثَانِيًا ، وَلَوْ أُعْطِىَ ثَانِيًا أَحَبَّ إِلَيْهِ ثَالِثًا ، وَلاَ يَسُدُّ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلاَّ التُّرَابُ ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ
"Seandainya manusia diberi satu lembah penuh dengan emas, dia tentu ingin lagi yang kedua. Jika dia diberi yang kedua, dia ingin lagi yang ketiga. Tidak ada yang bisa menghalangi isi perutnya selain tanah. Dan Allah Maha Menerima taubat siapa saja yang mahu bertaubat.”
[Imam Bukhari]
SIRI 159 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.21 Dosa Besar ke -20: Tamak ( طَمَع )
Contoh2 Tamak
Contoh 1 : Menyimpan makanan melebihi keperluan sehingga rosak
Membeli makanan yang banyak (melebihi keperluan) dan menyimpannya sehingga akhirnya rosak dan dibuang. Ini adalah contoh ketamakan yang sangat lazim berlaku di dalam kehidupan harian, tetapi kebanyakan kita tidak menyedarinya. Selayaknya makanan berlebihan (yang disimpan dan tidak digunakan sehingga rosak) adalah hak faqir miskin dan orang2 yang kelaparan.
Contoh 2: Juadah berbuka puasa melebihi keperluan
Menjelang Ramadhan, ketika membeli kuih-muih di Bazaar Ramadhan, nafsu membuak2 ingin membeli berbagai juadah, tetapi tidak dimakan, sehingga akhirnya banyak yang terbuang begitu sahaja. Bukanlah menjadi larangan membeli berbagai juadah untuk berbuka puasa, sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, namun apabila berlebihan sehingga terjadi pembaziran, maka ini membawa maksud kepada sifat tamak yang sangat tercela.
Catitan penting :
Jika seseorang telah membeli dengan cara berhemah dan munasabah tetapi tidak habis juga, maka ini adalah persoalan lain dan tidaklah dikatakan tamak.
Contoh 3 : Pembelian panik (Panic buying)
Ketika tersebar khabar angin berkenaan kekurangan makanan, orang2 berada (orang kaya) membeli barangan makanan dengan amat banyak untuk dijadikan stok, sehingga orang2 lain tak dapat membelinya. Contoh terbaru yang dapat disaksikan adalah ketika berlaku PKP, orang2 kaya membeli barang makanan yang tersangat banyak sehingga orang lain berputih mata. Selang beberapa hari, berlakulah lambakan makanan yang terbuang begitu saja kerana telah luput tarikh / rosak / busuk. Ini jelas menunjukkan ketamakan, pentingkan diri sendiri dan juga pembaziran.
Contoh 4: Menambah2 pakaian dan aksesori
Barangkali inilah contoh paling umum di kalangan selebriti, orang kenamaan dan termasuk penda'wah2 dan mereka yang memiliki harta kekayaan. Mereka sentiasa menambah2 pakaian, sehingga ada di antara mereka memiliki lebih 100 pasang pakaian dari berbagai jenama. Bagi setiap upacara, mereka mempunyai pakaian yang tersendiri. Bukankah ini jelas menunjukkan ketamakan yang akan menerima hisab yang berat?
Contoh 5: Koleksi kenderaan
Pemimpin2, Sultan2, Raja2 habiskan wang yang banyak untuk membeli kereta2 mewah. Masing2 berbangga dengan koleksi kenderaan mewah mereka. Mereka tak pernah merasa puas dengan beberapa buah kereta mewah, sebaliknya mereka akan terus beli dan beli sehingga masuk kubur, sedang tidak ada sebuah pun kereta mewah kamu mengiringi kamu masuk kubur. Hanya tanah yang mampu menutup mulut ketamakan.
Contoh 6 : Memiliki tanah yang banyak tetapi tidak dimanfaatkan
Orang2 yang kaya membeli beratus2 ekar tanah dan dijadikan simpanan. Mereka tak pernah puas dengan beberapa ratus ekar tanah.... tetapi mereka terus beli dan beli lagi semata2 dijadikan simpanan — tidak dimanfaatkan untuk masyarakat awam sebaliknya semata2 dijadikan simpanan untuk dibawa mati.
Contoh 7: Ahli Politik Tamak Kuasa
Orang2 yang berkecimpung di dalam politik pemerintahan negara sentiasa tamakkan kuasa yang lebih. Mereka sentiasa kelaparan "kuasa" kerana "kuasa" bagi orang politik adalah lubuk mencari kekayaan, kesenangan dunia dan kemegahan. Mereka mengadu domba, menaburkan fitnah dan seribu pendustaan demi mencapai kuasa dan kedudukan yang lebih. Yang paling buruk di antara mereka adalah mereka yang menggunakan istilah2 menarik seperti "Daulah Islamiyyah", "Negara Islam", dll demi ketamakan kepada kuasa.
Inilah ketamakan paling keji kerana sebaik sahaja mereka mendapat kuasa, hilanglah segala laungan Agama, hilanglah pegangan. Mereka terus dihanyut oleh kerusi kayangan...!
SIRI 160 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.21 Dosa Besar ke -20: Tamak ( طَمَع )
sambungan....
Jenis-jenis Tamak
Dua jenis Tamak:
Pada suatu sudut pandang, Tamak terbahagi dua:
1. Tamak dunia / harta benda secara umum
2. Tamak dunia / harta benda yang ada pada tangan orang lain (milik orang lain)
Kedua2nya terlarang dan membawa kepada dosa besar.
✨🕌✨Sabda Rasulullah ﷺ:
“Hendaklah kamu berputus asa dari segala apa yang ada pada tangan orang lain, dan jauhilah tamak karena sesungguhnya tamak adalah suatu kefakiran yang nyata. ”
[Imam Bukhari]
Tamak meliputi seluruh kehidupan:
Ketamakan manusia tidak tertumpu kepada suatu bidang tertentu, melainkan meliputi seluruh kehidupan. Ketamakan yang tercela boleh terjadi ke atas setiap benda bersifat keduniaan.
1. Tamak wang ringgit
2. Tamak makan minum
3. Tamak pakaian hebat2
4. Tamak kenderaan yang hebat2
5. Tamak hartanah
6. Tamak perhiasan emas dan perak
7. Tamak pangkat dan kedudukan.
8. Tamak kuasa politik
9. Tamak kuasa ekonomi
10. Tamak umur panjang
Tamak harta dan Umur
Kedua2 hal ini "harta" dan "Umur" disebut secara khusus di dalam beberapa Firman Allah dan Hadith Baginda Nabi ﷺ.
✨🕌✨Firman Allah :
وَلَتَجِدَنَّهُمْ أَحْرَصَ النَّاسِ عَلَىٰ حَيَاةٍ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ وَمَا هُوَ بِمُزَحْزِحِهِ مِنَ الْعَذَابِ أَنْ يُعَمَّرَ ۗ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُون
"Dan sungguh kamu akan mendapati mereka, manusia yang paling tamak kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih tamak lagi) dari orang-orang musyrik. Masing-masing mereka ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada siksa. Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.
[Al-Baqarah (2) : ayat 96]
✨🕌✨Sabda Rasulullah ﷺ:
"Sungguh orang-orang yang banyak harta (tamak — mengumpulkan2 harta) akan menjadi sedikit pada hari Qiamat, kecuali yang diberikan kebaikan oleh Allah padanya dengan harta tersebut lalu dia memberikannya serta membuat kebajikan dengan harta tersebut ke kirinya, kanannya, hadapannya serta belakangnya dengan baik.
[Imam Bukhari]
✨🕌✨Sabda Rasulullah ﷺ:
ﻳَﻘُﻮﻝُ ﺍﻟْﻌَﺒْﺪُ ﻣَﺎﻟِﻰ ﻣَﺎﻟِﻰ ﺇِﻧَّﻤَﺎ ﻟَﻪُ ﻣِﻦْ ﻣَﺎﻟِﻪِ ﺛَﻼَﺙٌ ﻣَﺎ ﺃَﻛَﻞَ ﻓَﺄَﻓْﻨَﻰ ﺃَﻭْ ﻟَﺒِﺲَ ﻓَﺄَﺑْﻠَﻰ ﺃَﻭْ ﺃَﻋْﻄَﻰ ﻓَﺎﻗْﺘَﻨَﻰ ﻭَﻣَﺎ ﺳِﻮَﻯ ﺫَﻟِﻚَ ﻓَﻬُﻮَ ﺫَﺍﻫِﺐٌ ﻭَﺗَﺎﺭِﻛُﻪُ ﻟِﻠﻨَّﺎﺱِ
“Hamba berkata, “Harta-hartaku.” Sesungguhnya hartanya itu hanyalah tiga: yang dia makan sampai habis, yang dia pakai hingga usang, dan yang dia berikan (berbuat kebajikan) yang ini sebenarnya harta yang dia kumpulkan (harta Akhirat). Harta selain itu akan hilang dan diberi pada orang-orang yang dia tinggalkan. ”
[Imam Muslim]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
لَوْ كَانَ لاِبْنِ اَدَمَ وَادٍ مِنْ مَالٍ لاَبْتَغَى اِلَيْهِ ثَانِيًا وَلَوْ كَانَ وَادِيَانِ لاَبْتَغَى لَهُمَاثَالِثًا وَلاَيَمْلَأُ جَوْفَ ابْنِ اَدَمَ اِلاَّالتُّرَابُ وَيَتُوْبُ اللهُ عَلَى مَنْ تَابَ. رواه الشيخان واحمد والترمذى عن انس
“Andaikata seorang anak Adam telah memiliki harta benda sebanyak satu lembah, pasti dia akan berusaha lagi untuk memiliki dua lembah. Dan andaikata dia memiliki dua lembah, pasti dia akan berusaha lagi untuk memiliki tiga lembah. Memang tidak ada sesuatu yang dapat memenuhi keinginan anak Adam melainkan tanah (mati), dan Allah akan menerima taubat bagi mereka yang bertaubat.”
[Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad dan Imam Tirmizi]
✨🕌✨Sabda Rasulullah ﷺ :
"Hati orang yang tua sentiasa muda dalam mencintai dua perkara: hidup yang panjang dan cinta terhadap harta."
[Imam Bukhari, Imam Muslim]
Bersambung siri 161 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment