KHILWAH / SULUK MENURUT AHLUS SUNNAH

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

KHILWAH / SULUK MENURUT AHLUS SUNNAH

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 51 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



12.6 Keterangan Al-Qur'an, Hadith dan Ulama berhubung Maqam Tauhid Zat / Keimanan tertinggi / Ahli Ma'rifat yang tahqiq

sambungan....


Dalil 2 : ✨🕌✨Firman Allah :


وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ


“Dan wajah-wajah (orang-orang Mukmin) pada hari itu berseri-seri.”  Kepada Rabb (Tuhan)  mereka melihat.” 

[Al Qiyamah (75) : ayat 22, 23]


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

Keadaan kehampiran sedemikian itulah yang dikatakan umpama satu syurga padanya tidak ada taman dan kebun, tidak ada sungai madu dan susu.  Itulah syurga memandang hanya Wajah Allah. 

[ Sirrul Asrar Fi Ma Yahtaju Ilaihil Abrar]


Penjelasan:

Memandang Wajah Allah dengan pandangan Sirriyah (rahsia Ketuhanan yang sangat dalam) itulah dikatakan Syurga yang disegerakan bagi hamba2 Allah yang mencapai Maqam Tauhid yang sempurna dan inilah haqiqat Syurga.


Apakah Ni'mat terbesar bagi Ahli Syurga?

Tidak ada Ni'mat yang lebih besar di dalam Syurga melainkan memandang Wajah Allah. 


Dengan demikian,  Hamba2 Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat, Maqam Tauhid yang sempurna, dibukakan mata Sirriyah melihat kepada Zat Yang Laisa Kamithlihi Syai'un (ketika hayat mereka di dunia), maka dikatakan : mereka telah memperoleh Syurga (Syurga yang disegerakan) ketika hayat mereka di dunia lagi.  Bagi mereka tiada keinginan lain lagi kerana mereka sudah mencapai kemuncak Ni'mat memandang Wajah Allah.


Dalil  3 : ✨🕌✨  Hadith Qudsi :


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ اللهَ تَعَالَى قَالَ : مَنْ عَادَى لِيْ وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ، وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِيْ بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عَلَيْهِ، وَلاَ يَزَالُ عَبْدِيْ يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِيْ يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِيْ يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِيْ يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِيْ يَمْشِيْ بِهَا، وَلَئِنْ سَأَلَنِيْ لأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِيْ لأُعِيْذَنَّهُ


Dari Abu Hurairah Radhiallhu anhu beliau berkata, bahawa Rasulullah ﷺ  bersabda : “Sesungguhya Allah Ta’ala berfirman :

"‘Barangsiapa yang memusuhi Wali-Ku maka Aku telah mengisytihar perang dengannya. Tidak ada taqarrubnya seorang hamba kepada-Ku yang lebih aku cintai kecuali dengan  beribadah dengan apa yang telah Aku fardhukan kepadanya. Dan hamba-Ku yang selalu mendekatkan diri kepada-Ku dengan nawafil (perkara-perkara sunnat) maka Aku akan mencintainya dan apabila  Aku telah mencintainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakan untuk berjalan.  Jika dia meminta kepada-Ku niscaya akan Aku berikan dan jika dia minta perlindungan dari-Ku niscaya akan Aku lindungi.’ ” 

[Imam Bukhari]


Dalil 4: ✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :


أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ


"Ihsan ialah engkau beribadah kepada Allah seolah2 engkau melihat-Nya.  Jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia (Allah) melihat engkau"

[Imam Muslim, Imam Abu Dawud, Imam Tirmizi, Imam Ahmad]


Penjelasan :

Dalil ke-3 dan ke-4 di atas adalah di antara bukti2 terkuat Maqam Tauhid Zat, Keimanan tertinggi,  Maqam Ihsan, iaitu sempurna Ma'rifat dan ubudiyyah kepada Allah Ta'ala.

Tiada yang mampu melakukannya melainkan mereka yang telah diangkat oleh Allah kepada Maqam Tauhid Zat yang sempurna.


SIRI 52 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


12.7 Peringatan, Penegasan dan Amaran Berhubung dengan Pencapaian Maqam Tauhid Zat


Berikut kami jelaskan peringatan dan amaran berhubung dengan perjalanan salikin serta pencapaian mereka ke Maqam2 Tauhid khususnya "Maqam Tauhid Zat".  


Peringatan dan amaran ini telah berulangkali disebut oleh sekalian Ulama Arif Billah terdahulu di dalam kitab2 mereka, agar sekalian hamba2 Allah sentiasa waspada dan tidak terpedaya dengan penyelewengan halus yang berlaku tanpa disedari. 


Barangkali ada yang musykil :

"Mengapa perlu waspada sedangkan pencapaian Maqam Tauhid hakiki itu semuanya dituntut dan hamba2 Allah yang sampai ke Maqam2 tersebut mendapat pujian dan Keredhaan Allah?" 


Jawapannya:

Memang benar setiap Muslim wajib berusaha menyucikan batinnya daripada sekalian kesyirikan (Syirik khafi) dan mazmumah (kekejian) dan dosa2 hati yang lain,  sehingga akhirnya mencapai Maqam2 Tauhid yang hakiki / Keimanan sejati. Walau bagaimanapun, setiap Salikin perlu sedar bahawa di sana terdapat Syubhat tersembunyi  serta  tipu daya Syaitan yang tidak diketahui dan disedari oleh Salikin. 


Maksud "penyelewengan halus tanpa disedari" adalah penyelewengan dari jalan kebenaran akibat bisikan nafsu atau Syaitan atau kedua2nya yang datang dalam berbagai bentuk yang pada zahirnya kelihatan seperti kebaikan sedangkan pada hakikatnya kebinasaan. Iblis mahir di dalam penyelewengan halus ini.


✨🕌✨ Firman Allah :


قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِين


Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan buruk, perkara mungkar, kesesatan) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas". 

[Al-'Hijr (15) : ayat 39-40]


✨🕌✨ Firman Allah :


الَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٲطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (١٦) ثُمَّ لَأَتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَـٰنِہِمۡ وَعَن شَمَآٮِٕلِهِمۡ‌ۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِينَ (١٧)


"Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur. "

[Al-A'raf (7) : ayat 16-17]


Saksikanlah bahayanya...!!!

Akibat penyamaran dan tipu daya halus Iblis ini, ramai Ulama fiqh dan Ulama Ilmu Kalam pun tertipu dan masuk perangkap halusnya. Berdasarkan sejarah Ummat, Iblis telah memperdaya dan menyesatkan sejumlah orang2 bergelar "Ulama",  di antaranya : Ulama politik, Ulama dunia, Ulama Syi'ah (rafidhi), Ulama Khawarij (wahhabiyyah sekarang), Ulama Mu'tazilah, Ulama jabariyyah dll. Wal Iyazubillah.


Demikian lagi sebahagian Salikin yang menempuh Suluk pun boleh terpedaya dengan muslihat dan tipu daya halus Iblis ini, jika mereka tidak berhati2 dan waspada selalu.  Inilah sebabnya Masyaikh Ahlus Sunnah terdahulu telah meletakkan Peraturan, syarat2 dan adab2  tertentu bagi Salikin. Dan akhir sekali mereka kemaskan dengan berbagai Peringatan dan Amaran, moga mereka selamat sampai kepada Allah dan tetap Istiqamah sesudahnya. 


SIRI 53 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


12.7 Peringatan, Penegasan dan Amaran  Maqam Tauhid Zat

sambungan....


Peringatan 1: Maqam Tauhid Zat adalah Anugerah Allah

Ketahuilah, Maqam Tauhid Zat ini adalah Maqam tertinggi Keimanan yang merupakan  Anugerah Allah dan Rahmat-Nya.   


Maksud ungkapan "Anugerah Allah dan Rahmat-Nya adalah"  :  

Seseorang hamba sampai ke Maqam ini atas Pilihan Allah dan Kurniaan-Nya semata2 dan BUKAN kerana banyaknya mujahadah seseorang, BUKAN juga banyaknya zikir dan wiridnya, BUKAN juga kerana banyaknya pengorbanan dan khidmatnya pada Jalan ini. 


Salikin sememangnya wajib bersungguh2 mujahadah menyucikan batinnya, bersungguh2 sempurnakan Zikir, Muraqabah dan Musyahadahnya, sungguh2 mematuhi sekalian adab2 kepada Allah, Rasul dan Gurunya yang memimpin kepada Allah, namun semua itu BUKAN penentu kepada sampainya seseorang kepada Maqam2 Tauhid Zat (dan juga sekalian maqam2 Tauhid sebelumnya), sebaliknya ia semata2 Rahmat Allah dan Kasih-Nya. 


Peringatan 2: Mujahadah Lama

Maksud "Mujahadah lama", ertinya mereka telah menempuh perjalanan keruhanian yang jauh, menempuh berbagai rintangan, halangan, cubaan, penderitaan pada jangka waktu yang sangat lama — sehingga puluhan tahun, dengan penuh kesabaran, kesungguhan dan keikhlasan semata2 mencari Wajah-Nya Yang Maha Mulia. 


Ertinya Anugerah Allah ini bukan datang bergolek bagi mereka yang baru mujahadah beberapa tahun, melainkan ia hadir dengan Pilihan Allah semata2 setelah Allah Ta'ala melihat kesungguhan, adab dan keikhlasan seseorang, pada masa yang panjang. 


✨🕌✨ Firman Allah :


وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَا‌ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ


“Dan orang2 yang bersungguh-sungguh pada jalan Kami nescaya Kami tunjukkan mereka jalannya. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat ihsan”

[Al-Ankaboot (29) : ayat 69]


Jika seseorang mengaku telah sampai kemuncak Tauhid Zat, Maqam Keimanan tertinggi dengan hanya satu dua tahun mujahadah, maka ini pengakuan dusta.  


Memang benar, tidaklah suatu hal yang mustahil bagi Allah Kurniakan seseorang Maqam Tauhid Zat  dalam waktu yang singkat, namun hal ini bertentangan dengan ketetapan Allah ke atas makhluq-Nya.  


Apakah maksud ketetapan tersebut?


Ketetapan tersebut adalah : 

Allah Ta'ala menyempurnakan kejadian mahluq-Nya menurut  kadar, ukuran, susunan dan nisbah tertentu serta merapikan segala sesuatu menurut ketetapan-Nya yang Azali. Allah Ta'ala tidak mengikut Kehendak manusia tetapi Dia sempurnakan menurut Kehendak-Nya.


✨🕌✨ Firman Allah:


وَتَرَى ٱلْجِبَالَ تَحْسَبُهَا جَامِدَةً وَهِيَ تَمُرُّ مَرَّ ٱلسَّحَابِ صُنْعَ ٱللَّهِ ٱلَّذِيۤ أَتْقَنَ كُلَّ شَيْءٍ إِنَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَفْعَلُونَ 


"Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap-tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; sesungguhnya Dia Amat Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan"

[An-Naml (27) ; ayat 88]


Hal tersebut (mujahadah lama untuk mencapai Keimanan Sejati) benar2 terbukti ke atas Para Sahabat Ridhwanullah yang berjuang selama 13 tahun di Makkah sebelum mencapai Maqam2 Keimanan Sejati.  Demikian juga sekalian Auliya Allah berjuang selama puluhan tahun sebelum diangkat oleh Allah kepada kesucian hati yang mutlaq. 


SIRI 54 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


12.7 Peringatan, Penegasan dan Amaran       Maqam Tauhid Zat

sambungan....


Peringatan 3: Dipimpin oleh Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq


Guru yang memimpinnya kepada Allah adalah Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq. Iaitu Gurunya yang membawanya mengenal Allah dengan sebenarnya sampai kepada Maqam Tauhid Zat (dan juga maqam2 Tauhid sebelumnya) adalah :  Pewaris Nabi yang mempunyai Silsilah keruhanian sampai kepada Junjungan Besar Rasulullah ﷺ serta menepati Syarat2 lain sebagai seorang Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq. (10 syarat semuanya).


Jika seseorang mengaku telah sampai Maqam Tauhid Zat (atau Maqam2 Tauhid sebelumnya), sedangkan Gurunya bukan Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq, maka pengakuannya adalah dusta.  Syarat pertama dan utama yang wajib ada pada Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq adalah " Silsilahnya yang sahih sampai kepada Rasulullah  ﷺ " . 


Jika seseorang Guru yang memimpin manusia pada Jalan Ma'rifat tak dapat buktikan Silsilah keruhaniannya sampai kepada Rasulullah  ﷺ, maka dia adalah pembohong yang memimpin kepada kebodohan dan kesesatan. Wal Iyazubillah.


Berkata Al Imam Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu 'Anhu:

 "Seseorang yang menjadi Shaikh kerohanian mesti memiliki lima syarat, jika tidak dia adalah penipu yang hanya memimpin kepada kebodohan. Dia mesti sangat mahir di dalam Syari'at, sementara sangat dalam pengetahuannya di dalam haqiqat. Dia mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu2 yang datang kepadanya dengan penuh kasih sayang. Dia juga mestilah sangat 'alim dalam halal dan haram. Dia memimpin si salik pada jalan ma'rifat, sebagaimana dia sendiri telah dipimpin oleh Shaikhnya (Silsilah keruhanian Nabi), sempurna di dalam kemurahan hatinya."

[Qala'id Al-Jawahir]


Berkata Shaikh Muhammad An-Nazili Radhiallahu Anh :

"Orang yang silsilahnya tidak bersambung ke Hadrat Nabi ﷺ, itu terputus dari pancaran ruhaniah dan bukanlah ia Pewaris Rasulullah ﷺ, serta tidak boleh membai'at dan tidak boleh memberi ijazah." 

 [Khazinah Al-Asrar]


Berkata Shaikh  Ahmad al-Kamashkhanawi Radhiallahu Anh :

"Semua Ulama salaf sepakat bahawa orang yang Silsilahnya tidak bersambung kepada Guru2 Toriqah sehingga Rasulullah ﷺ  dan tidak mendapat izin untuk memimpin Ummat di majlis Toriqah, tidak boleh menjadi Mursyid (dia bukan Pewaris Nabi yang siddiq), tidak boleh membai'at dan tidak boleh mengajarkan zikir dan amalan2 lain di dalam Toriqah." 

[Jami' Usul Fil Aulia]


Pada zaman ini wujud beberapa orang mengaku Mursyid, Pewaris Nabi, tetapi tak dapat buktikan Silsilahnya sampai kepada Nabi ﷺ. Mereka membuat dakwaan2 begini :


(1) Guru itu bertapa di Gunung Ledang dan berjumpa dengan Wali Songo yang melantiknya menjadi Mursyid.


(2) Guru itu enggan tunjuk Silsilah Nabi ﷺ dengan alasan ianya rahsia. 


(3) Guru itu mimpi Nabi Khidir yang melantiknya menjadi Mursyid Pewaris Nabi. 


(4) Guru itu mimpi Tuhan yang melantiknya menjadi Mursyid.


Semua dakwaan ini adalah pendustaan yang jelas berlawanan dengan Fatwa Sekalian Ulama Mu'tabar.  Guru begini takkan mampu memimpin kepada Allah, kerana dia tak kenal Allah dan tidak memiliki keruhanian yang menyambung kepada ruhaniyah Rasulullah ﷺ, maka apa yang akan berlaku adalah penyelewengan dan kesesatan.  Wal Iyazubillah


SIRI 55 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


12.7 Peringatan, Penegasan dan Amaran —  Maqam Tauhid Zat

sambungan....


Peringatan 4: Tauhid Zat, Haqiqat, Ma'rifat bukan teori aqal


Perlu diulangi ....

Sesungguhnya Maqam Tauhid Zat yang juga disebut sebagai kemuncak Maqam Taqwa, kemuncak Tasawwuf, Maqam Ihsan, Maqam Ma'rifat dan Haqiqat adalah hasil Mujahadah, hasil penyucian jiwa, yang membawa kepada penghayatan hati, ruh, sirriyah (rahsia Ketuhanan yang sangat dalam).... ia BUKAN teori2 aqal, BUKAN hasil kajian buku2, BUKAN hasil diskusi, BUKAN hasil seminar, forum dsb. 


Bahkan ditegaskan,,,, sekalian Maqam2 Tauhid murni peringkat awal yang dibicarakan sebelum ini (Maqam Tauhid Af'al, Asma', Sifat) juga merupakan hasil mujahadah dan penyucian jiwa dengan kaedah2 Manhaj Ahli Ma'rifat / Ahli Sufi sebagaimana kami bentangkan sebelum ini. Ia BUKAN teori2 aqal atau hujjah2 ilmiah berdasarkan kajian2. 


Dengan demikian betapa hebat pun seseorang menguasai teori2 berkenaan Ilmu Tasawwuf, dan membaca 1,000 kitab sekalipun tidak akan mencapai Maqam2 Tauhid hakiki / Keimanan Sejati (walaupun yang paling rendah sekalipun) sehingga dia sendiri terjun ke Lautan Mujahadah, menempuh sendiri perjuangan sengit memerangi nafsu2 kejahatan dan bisikan2 Iblis, dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq.... sehingga Allah Ta'ala berkenan membuka Maqam2 Tauhid murni.  


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodur Jilani Radhiallahu anhu :

"Sesiapa tidak memperoleh Ilmu ini (Ilmu Ketuhanan yang terpancar dari hati yang telah disucikan), tidak akan menjadi Arif (Maqam Tauhid hakiki), walaupun dia membaca seribu kitab. Walau bagaimana tinggi pun ilmu zahir seseorang, ia tidak akan membantunya memasuki  Hadratul Quddus (mencapai Tauhid hakiki / Keimanan sejati)

[Sirrul Asrar]


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodur Jilani Radhiallahu anhu :

Hal ini (Rahsia Ketuhanan Mu'min sejati) hanya difahami dan mampu dihayati oleh mereka yang diKurniakan "faham" oleh Allah disebabkan kesucian ruhaniyah yang terlengkap di dalam batinnya. Orang yang terhijab batinnya daripada rahsia Ketuhanan ini akan tinggal "jahil" selama tidak terarah kepada tugas menyucikan batinnya".

[Sirrul Asrar]


Ini hakikat penting yang wajib difahami oleh semua orang Islam, termasuk mereka yang cenderung kepada Tasawwuf / Haqiqat / Ma'rifat. Tidak memadai dengan hanya mentelaah kitab2 atau sekadar berseminar, diskusi, forum atau lainnya. Atau sekadar hafal sifat 20 dan bijak berdebat sifat2 Ketuhanan. Tidak memadai...! Semua bentuk teori2 yang dipelajari ini hanyalah langkah permulaan mengenal Allah, bukan kesudahannya. Mereka perlu melanjutkan perjalanan mereka dengan menempuh sendiri perjalanan ini sehingga Allah Ta'ala berkenan membuka pintu2 Tauhid yang murni kepadanya. 


KIta tegaskan hal ini berulangkali kerana dua sebab utama :


Pertama : 

Orang2 Islam yang cenderung kepada Ilmu Tasawwuf / Ma'rifat / Haqiqat, hanya sibuk mengkaji sana sini berhubung Ma'rifat tanpa sebarang usaha menyucikan hatinya. Atau mereka membaca sendiri kitab2 tasawwuf yang tinggi, lalu mengaku sudah sampai kepada Allah. Sesungguhnya ini adalah tipu daya nafsu dan bisikan Iblis. 


Kedua : 

Cerdik pandai Agama (gelaran Mufti, Dr. Drs, Profesor, master dll) yang tak pernah menuntut Ilmu Tasawwuf dari Guru yang Arif, Pewaris Nabi yang siddiq dan tak pernah menempuh sendiri perjalanan kepada Allah menurut Disiplinnya tetapi sangat berani menuduhnya sebagai sesat. Mereka ini hanya orang2 jahil yang membawa kesesatan. Mereka tersesat jauh dan terputus dari Rahmat Allah kerana menentang Wahyu dan Sunnah Rasul yang agung. Wal Iyazubillah.


SIRI 56 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


12.7 Peringatan, Penegasan dan Amaran —  Maqam Tauhid Zat

sambungan....


Peringatan 5: Cemerlang Syari'atnya


Hamba2 Allah yang sampai kepada Maqam Tauhid Zat yang sempurna adalah hamba2 Allah sejati yang berpegang teguh dengan Syari'at Nabi ﷺ, iaitu sangat halus Fiqhnya, sangat cemerlang ibadahnya dan sangat indah akhlaqnya. 


Maksud "sangat halus fiqhnya" adalah :  

Mereka menunaikan sekalian perkara fardhu dan ditambah dengan semua perkara yang sunnat2. Mereka meninggalkan segala hal yang makruh, bahkan yang harus sekalipun kecuali yang benar2 bermanfaat pada Akhirat, demi mencapai Keredhaan Allah. 


Maksud "sangat cemerlang ibadahnya" adalah :

Setiap ibadah mereka adalah ikhlas murni yang tidak terselit apa pun di antara mereka dengan Allah Ta'ala. Tiada niat sedikitpun di dalam hati mereka mencari keuntungan duniawi atau keuntungan ukhrawi sekalipun (iaitu keuntungan berupa kesukaan nafsu di dalam Syurga seperti istana, makan minum yang lazat2 dsb). Mereka hanya harapkan Wajah Allah, Keredhaan-Nya yang abadi.  


Maksud "sangat indah akhlaqnya" adalah :

Maqam Ihsan, Sempurna penyaksian terhadap Zat-Nya Yang Maha Suci. Tiada terpaling walau sesaat daripada memandang Zat-Nya Yang Maha Agung.  Mereka beribadah di dalam keadaan mereka melihat-Nya dari Sirriyyah (rahsia Ketuhanan yang sangat dalam) sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini. 


Dan di dalam pergaulan dengan manusia mereka mencontohi akhlaq al-karimah (akhlaq mulia) Junjungan Rasulullah ﷺ. Inilah adalah Akhlaq Nubuwwah (Kenabian) yang terkait langsung kepada "Maqam Ihsan" kerana mereka melihat sekalian kewujudan dengan pandangan kasih. 


Sebahagian dari Akhlaq Nabi ﷺ adalah lemah lembut sesama orang beriman dan keras terhadap orang kafir (kafir Harbi).  Maka demikianlah mereka juga mencontohinya dengan muliakan tetamu dan faqir miskin. Mereka sentiasa muliakan hamba2 Allah yang ( dianggap oleh masyarakat sebagai ) hina dina, faqir miskin, wanita, kanak2 dan orang2 tua yang lemah tiada upaya. Dan sebaliknya mereka keras terhadap orang2 kafir harbi dan golongan sesat dan menyesatkan Ummat. 


Kesimpulannya, di sini ditegaskan beberapa hal:


(1) Hamba2 Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat / Maqam Ma'rifat yang tahqiq, paling teguh Syari'atnya, paling cemerlang ibadahnya dan paling indah akhlaqnya.  Mereka TIDAK akan sesekali abaikan Syari'at apa lagi engkarinya. Mana mungkin mereka engkari Syari'at (zahir) sedangkan ianya perintah Allah dan Sunnah Rasul ﷺ?  Mana mungkin mereka abaikan sekalian perintah Allah sedangkan mereka adalah Pemegang Amanah Allah dan Rasul-Nya atas muka bumi?

(2) Mereka yang mengaku sudah mencapai Ma'rifat tetapi abaikan Syari'at Nabi ﷺ apa lagi engkarinya, maka pengakuannya batil. Dia bukanlah ahli Ma'rifat sebaliknya pendusta yang membawa kesesatan. 


(3) Akhlaq Nubuwwah bukan bermaksud sentiasa lemah lembut terhadap semua manusia tanpa mengira keadaan dan sikap mereka terhadap Allah dan Rasul-Nya. Pada suatu keadaan  tertentu, perlu lemah lembut dan penuh kasih ; misalnya terhadap orang beriman, anak2 kecil, orang tua yang lemah, faqir miskin.  Pada keadaan lain wajib tegas dan keras; misalnya golongan kafir harbi. Atau orang2 Islam yang menyebarkan kesesatan / fahaman2 sesat seperti Syi'ah (rafidhi), Wahhabiyyah, sekular atau fahaman2  sesat yang lain, menurut fatwa Ulama Mu'tabar. Golongan ini perlu diluruskan dengan ketegasan dan kekerasan.


✨🕌✨ Firman Allah Ta'ala :


مُّحَمَّدٌ۬ رَّسُولُ ٱللَّهِ‌ۚ وَٱلَّذِينَ مَعَهُ ۥۤ أَشِدَّآءُ عَلَى ٱلۡكُفَّارِ رُحَمَآءُ بَيۡنَہُمۡ‌ۖ

"Nabi Muhammad adalah Utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir (yang memusuhi Islam) dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (orang beriman)"

[Al-Fath (48) : Ayat 29]


SIRI 57 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


12.7 Peringatan, Penegasan dan Amaran —  Maqam Tauhid Zat

sambungan....


Peringatan 6:  Larangan keras buka Rahsia Ketuhanan


Hal ini telah pun disentuh ketika bicara maqam2 Tauhid sebelumnya. Di sini kita ulangi kerana mengingatkan betapa berat dan bahayanya menyebarkan rahsia Ketuhanan sewenang2nya kepada umum.


Apakah yang dimaksudkan dengan "Rahsia Ketuhanan" ?

Apakah akibat buka "Rahsia Ketuhanan"?

Dikehendaki dengan "Rahsia Ketuhanan" adalah rahsia tertentu yang Allah Ta'ala masukkan ke dalam hati hamba2 Allah yang sedang mujahadah pada jalan-Nya, iaitu meliputi :


(1) Rahsia Ketuhanan dan kehambaan 

(2) Rahsia Kenabian

(3) Rahsia alam ghaib


Rahsia2 ini akan terbuka beransur2 dan berperingkat2 kepada Salikin, menurut peningkatan keruhaniannya dan menurut Kehendak Allah (bukan kemahuan salik).  Sekalian rahsia ini merupakan "Amanah Allah" kepada Salikin yang WAJIB disimpan baik2 dan dipelihara lebih dari emas dan perak. 


Mana2 Salikin membuka Rahsia2 ini kepada umum atau menjadikannya "bahan bualan kedai kopi", maka dia telah khianat kepada Allah. Pengkhianatan ini amat besar sehingga dia boleh jatuh kepada dua macam bahaya :


Pertama      Allah Ta'ala menahannya daripada peningkatan maqam lebih tinggi.  

Kedua     :      Allah Ta'ala lucutkan maqamnya dan terkena istidraj 

(Allah Ta'ala Murka dan biarkan dia di dalam kesesatan sedangkan dia menyangka dia di dalam kebaikan)

Wal Iyazubillah.


Inilah sebabnya sekalian Masyaikh telah berikan amaran berulangkali akan bahaya membuka rahsia Ketuhanan (yang Allah Ta'ala Kurniakan kepada mereka) kepada orang lain. Apa jua rahsia yang mereka peroleh sama ada ketika Zikir sendirian atau tawajjuh (zikir berjemaah) atau Suluk... semuanya WAJIB disimpan baik2 dan hanya boleh dilapurkan kepada Guru (Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq) yang memimpinnya.  Setelah ditafsirkan oleh Gurunya (atau tidak tafsirkan),  hendaklah diam dan simpan semua rahsia tersebut. Dilarang keras sebarkannya. 


Pada hari ini (dan juga zaman2 sebelum ini), didapati ada orang2 yang sewenang2 sebarkan berbagai Rahsia Ketuhanan kepada umum... sama ada di dalam perbualan harian maupun melalui aplikasi internet — laman web, blog, youtube, fb, ig  dll.  


Misalnya mereka sebarkan bahawa mereka mimpi Allah, jumpa Nabi Khidir, jumpa Imam Mahdi, jumpa Wali Songo dll sepertinya. Orang2 Islam awam yang bodoh terikut2 dengan pengakuan mereka ini, bahkan setengahnya menjadi "penyokong buta" yang tegar.


Jika benarlah mereka telah diperlihatkan oleh Allah akan segala rahsia2 Ketuhanan tersebut dan mereka sebarkannya kepada umum, maka ini adalah pengkhianatan dan kekufuran. Wal Iyazubillah.


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu:

"Meskipun (para Kekasih Allah), diberi Ilham akan Rahsia2 Allah, namun rahsia2 tersebut tidak dibuka atau diceritakan kepada orang lain, kerana membuka rahsia Ketuhanan itu adalah kekufuran"

[Sirrul Asrar]


Jika mereka (yang buat dakwaan dan hebahan tersebut), mengada-adakan cerita dusta berhubung dengan Rahsia Ketuhanan, maka mereka adalah pendusta yang layak menerima La'nat Allah, Wal Iyazubillah:


✨🕌✨ Firman Allah Ta'ala :


قُلۡ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَفۡتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ لَا يُفۡلِحُونَ  مَتَـٰعٌ۬ فِى ٱلدُّنۡيَا ثُمَّ إِلَيۡنَا مَرۡجِعُهُمۡ ثُمَّ نُذِيقُهُمُ ٱلۡعَذَابَ ٱلشَّدِيدَ بِمَا ڪَانُواْ يَكۡفُرُونَ 


"Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya. (Apa yang mereka beroleh hanya) kesenangan di dunia, kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya mereka. Kemudian Kami akan rasakan mereka azab yang berat disebabkan perbuatan kufur yang mereka lakukan."

[Yunus (10) : ayat 69,70]


SIRI 58 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


12.7 Peringatan, Penegasan dan Amaran —  Maqam Tauhid Zat

sambungan....


Peringatan 7:  Karomah Hissiyah bukan kemegahan


Ketahuilah.... Setengah daripada dugaan berat ke atas hamba2 Allah yang sedang mujahadah pada Jalan Allah adalah terjadinya berbagai Karomah Hissiyyah ke atasnya. Mereka tersangat bimbang terkena  Istidraj akibat memandang berbagai  Karomah hissiyyah. Hal ini termasuklah mereka yang baru sampai ke Maqam Tauhid Zat kerana perdirian mereka belum kukuh dan belum benar2 tahqiq. 


Huraian kepada hal ini amat panjang. Berikut disampaikan penjelasan secara ringkas sahaja:


Poin 1 :

Rasul dan Nabi diteguhkan perdirian mereka oleh Allah dengan Mu'jizat sementara  Auliya Allah dan Mu'min sejati  diteguhkan perdirian mereka oleh Allah dengan Karomah dan Ma'unah.  


Sekalian Mu'jizat, Karomah, Ma'unah adalah perkara2 luar biasa yang Allah Ta'ala jadikan kepada kekasih2-Nya, yang mencengangkan aqal manusia dan melemahkan orang yang cuba memperbuat sepertinya. 


Poin 2 :

Karomah terbahagi dua:

(1) Karomah Haq — dari Allah.

(2) Karomah Batil  — dari Iblis, jinn, ahli sihir. 


Poin 3 :

Karomah dari Allah terbahagi dua:

(1) Karomah Ma'nawiyyah

(2) Karomah Hissiyah


Poin 4 :

Karomah Ma'nawiyyah

Yang dikehendaki dengan Karomah Ma'nawiyyah adalah sekalian Kurnia Allah berupa Cahaya Iman, Tauhid, Taqwa, Ihsan, Ma'rifat serta Istiqamah atasnya sampai mati. Dan inilah sebenar2 Karomah (kemuliaan) di Sisi Allah yang dituntut atas setiap orang beriman mencarinya.


✨🕌✨ Firman Allah :

إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬


“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling tinggi taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

[Al-Hujurat (49) : ayat 13]


Poin 5:

Karomah Hissiyyah

Yang dikehendaki dengan  Karomah Hissiyyah adalah sekalian Kurnia Allah berupa hal2 ajaib yang "merobohkan adat kebiasaan manusia" atau  "menembusi hukum Alam" yang terjadi ke atas Salikin.  Misalnya : Menukar kertas biasa menjadi wang, atau terbang di udara tanpa alat penerbangan, atau bergerak pantas dari satu tempat ke tempat lain sekelip mata, atau lain2 seumpamanya. 


Semua ini, apabila terjadi kepada Salikin ketika mujahadahnya pada Jalan Allah, maka ini yang dipanggil Karomah Hissiyyah.  Ini bermakna Allah Ta'ala sedang mengujinya sama ada dia benar2 ingin mencari-Nya ataupun dia mempunyai niat2 lain selain Allah.


Hamba2 Allah yang benar2 ikhlas mujahadah sehingga mencapai berbagai Maqam Tauhid / Maqam Keimanan yang tinggi, tidak akan terpengaruh dengan segala kejadian2 istimewa ke atasnya, apa lagi bermegah2 dengannya. Tidak!    Salikin yang ikhlas dan beradab akan sentiasa waspada dan amat takut ketika terjadi berbagai  Karomah hissiyyah  ke atasnya kerana dia tahu Allah Ta'ala sedang mengujinya dan amat takut terkena  istidraj, sehingga hilang musnah Tauhidnya. 


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu:

"Semua perkara yang dikatakan "keramat" yang mencarik adat atau luar biasa itu adalah hijab  (tabir penghalang) yang melalaikan seseorang dari jalan yang benar dan dari matlamatnya yang sebenar. Bagi mereka, apabila berlaku perkara luar biasa itu terjadi, mereka menganggap seperti perempuan yang didatangi haid, sibuk berusaha mengatur diri disebabkan kekurangan yang menimpa dirinya"

[Sirrul Asrar]


Dengan demikian sedarilah hakikat ini. Andainya seseorang mengaku sudah sampai kepada Maqam2 Tauhid lalu bermegah2 dengan berbagai Karomah Hissiyyah, maka dia tertipu — dia bukanlah Salikin yang benar. Atau kemungkinan lain adalah  karomah hissiyyah  yang dimegahkan itu juga bukan dari Allah tetapi dari tipu daya Syaitan. Wal Iyazubillah.


SIRI 59 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


12.7 Peringatan, Penegasan dan Amaran —  Maqam Tauhid Zat

sambungan....


Peringatan 8:  Kasyaf Hakiki — Terbuka kepada Pintu2 Tauhid


Kasyaf adalah sebahagian daripada Karomah, iaitu Kemuliaan yang Allah Ta'ala Kurniakan kepada hamba2 Pilihan-Nya.  Maka penjelasan bab ini lebih kurang sama saja dengan penjelasan bab Karomah.  Walau bagaimanapun kami bangkitkan tajuk Kasyaf ini secara khusus disebabkan banyaknya terjadi kekeliruan, kepincangan dan penyelewengan di kalangan orang yang gemar kepada ilmu keruhanian. 


Setengah mereka yang tak tahu apa2 berkenaan dunia Ma'rifat dan tidak pernah menempuh perjalanannya secara benar dengan pimpinan Pewaris Nabi yang siddiq, tiba2 mengaku sudah kasyaf.  Mereka mengaku kasyaf kerana kemampuan melihat berbagai cahaya hijau kuning ungu ketika berzikir. Atau mereka dapat melihat gambaran dan pemandangan2 hebat ketika berzikir. Atau mereka melihat manusia berpakaian putih dan berjanggut lalu mereka menyangka mereka sudah kasyaf.  Setengah lagi mengaku sudah kasyaf semata2 kerana boleh melihat jinn syaitan. Sesungguhnya semua ini adalah tipu daya nafsu dan syaitan sedang mereka tidak menyedarinya.

 

Berikut kami sampaikan secara ringkas sahaja berkenaan pengertian dan haqiqat Kasyaf, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah.


Poin 1:

Kasyaf  ( اَلْكَشْفُ  )  dari sudut bahasa adalah :  Menyingkap, Terbuka, membongkar, buka tutupan, selak tabir.

Kasyaf  ( اَلْكَشْفُ  ) pada sisi Ilmu Tasawwuf / Ma'rifat adalah : Terbuka mata hati  kepada menyaksikan Af'al, Asma', Sifat dan Zat Allah serta perkara2 ghaib menurut Kehendak Allah Ta'ala. (Perhatikan kunci di sini : Kasyaf yang haq berlaku menurut Kehendak Allah Ta'ala, bukan kehendak manusia, bukan dibuat2 oleh manusia atau jinn syaitan) 


Poin 2:

Kasyaf  ( اَلْكَشْفُ  ) secara umum terbahagi dua :

(1) Kasyaf Haqq — Ini Kurnia Allah kepada hamba2 Pilihan-Nya yang benar2 ikhlas mujahadah pada jalan-Nya. 

(2) Kasyaf Batil — Ini adalah ilusi dan mainan Iblis yang dipamirkan oleh Iblis kepada manusia bagi memperdayakan mereka dengan khayalan dan kepalsuan.


Poin 3:

Kasyaf Kurnia Allah terbahagi dua :

(1) Kasyaf Hakiki / Kasyaf Ma'nawiyyah

(2) Kasyaf Suri / Kasyaf Hissiyyah


Kedua-dua bentuk Kasyaf ini adalah daripada Allah Ta'ala, diKurniakan kepada Salikin yang telah mujahadah sungguh2 pada jalan-Nya dengan penuh keikhlasan. 


Poin 4

Kasyaf Hakiki / Ma'nawiyyah adalah terbuka hati menyaksikan Af'al Allah, Asma', Sifat dan Zat-Nya yang Maha Agung sebagaimana yang telah dijelaskan pada bicara Tingkatan Maqam2 Tauhid sebelum ini. Inilah sebenar kasyaf yang dikehendaki pada Sisi Agama iaitu terbuka hati Salikin kepada pintu2 Tauhid / Iman / Ma'rifat.


Poin 5:

Kasyaf Suri / Hissiyah adalah terbuka mata hati Ahli Ma'rifat yang sudah tetap, kepada melihat segala dunia Ghaib dan dunia keruhanian keseluruhannya menurut Kehendak Allah.   Kurnia Allah ini adalah semata2 kepada hamba2-Nya yang telah tetap Maqam Tauhidnya dan telah istiqamah pada Syari'at dan adab2 Ma'rifat. Mereka adalah Kekasih2 Allah yang tidak terpegun dengan segala Kasyaf Hissiyah ini, jauh sekali bermegah2 dengannya.  Mereka serah diri kepada Allah dan tetap menjaga Amanah Allah dan takut dengan Kemurkaan-Nya.


SIRI 60 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


12.7 Peringatan, Penegasan dan Amaran —  Maqam Tauhid Zat

sambungan....


Poin 6:

Salikin (yang masih di dalam perjalanan) yang memperoleh Kasyaf Suri / Hissiyyah bukanlah suatu kemuliaan atau Anugerah Allah kepadanya, melainkan ia adalah sebagai dugaan kepada mereka. Allah Ta'ala menguji mereka dengan berbagai Pembukaan, untuk mengetahui Salikin yang benar2 mencari Allah. Jika mereka sentiasa waspada dan serahkan semuanya kepada Allah dan menafikan kelebihan apa pun pada dirinya, maka dia akan selamat. Sebaliknya jika dia asyik dengan pandangan2 ghaib tersebut lalu bermegah2 dengannya (walaupun sekadar di dalam hatinya), maka yang demikian itu adalah istidraj dan kebinasaan.  Wal Iyazubillah


Poin 7:

Kasyaf yang Ma'nawi maupun Kasyaf Hissi (yang kedua2nya dari Allah Ta'ala)  tidak sama sekali dijadikan oleh Allah ke atas orang awam, sekalipun orang itu cerdik pandai Agama bergelar prosesor sekali pun. Ini kerana mereka belum masuk ke Hadrat Ketuhanan yang melayakkan mereka mencapai kemuliaan tersebut.  Hati mereka terhijab dengan berbagai kesyirikan, penyakit hati dan kekejian  (takabbur, riya', ujub, sum'ah dan lainnya), Maka tak mungkin mereka memperoleh pembukaan daripada Allah Ta'ala. Jika terdapat orang awam mendakwa bahawa dia sudah kasyaf, maka ini adalah dakwaan dusta. Dia menipu diri sendiri dan menipu orang lain.


Poin 8:

Orang awam yang dapat melihat jinn syaitan BUKAN suatu keistimewaan, BUKAN kemuliaan dan BUKAN kasyaf seperti sangkaan kebanyakan orang.  Sebaliknya yang demikian itu hanyalah dampingan Jinn syaitan kepada orang2 tertentu yang terpedaya. Sekurang2 tiga golongan yang terpedaya dengan dampingan jinn syaitan ini. 


Pertama :

Orang yang sering khayal berkenaan dunia keruhanian,  lalu terkena ilusi syaitan, jinn atau Iblis akibat khayalan yang melampau.


Kedua :

Orang yang mewarisi jinn keturunan yang dipanggil saka dan bersungguh2 menyambung tradisi tersebut.


Ketiga:

Tukang Sihir, ahli nujum, bomoh, dukun, pawang, ahli silat dll. sepertinya yang sekutu dengan jinn syaitan untuk mendapat berbagai pertolongan dan kelebihan dunia yang hina. 


Poin 9:

Kasyaf batil adalah "Ilusi atau gambaran palsu" yang diterbitkan oleh Iblis, syaitan dan jinn ke dalam minda manusia. Misalnya Iblis boleh masukkan ilusi cahaya2 atau ilusi alam ghaib yang hebat2 lalu memperdayakan mereka kepada kesesatan tanpa disedarinya. Atau Iblis sendiri menyamar menjadi "Tuhan" atau menjadi "Wali Allah" lalu pamirkan diri di hadapannya.


Khulasahnya:

Kasyaf yang sebenar yang diKehendaki pada Agama adalah "terbuka mata hati" menyaksikan Af'al, Asma', Sifat dan Zat Allah Yang Maha Agung, iaitu Tauhid yang hakiki, Tauhid yang sebenar yang terpancar dari hati yang telah disucikan.   Hal ini hanya terjadi kepada Salikin yang yang mujahadah pada Jalan Allah dengan pimpinan Guru Pewaris Nabi yang benar2 Arif. Peringkat Kasyaf tertinggi adalah ketika seseorang salikin sampai ke Maqam Tauhid Zat yang tahqiq.  Dan inilah setinggi2 Ilmu, iaitu Ilmu Mukasyafah.


Kasyaf berupa pandangan kepada dunia Ghaib, alam Barzakh dan sekalian alam yang tersembunyi hanya terjadi kepada hamba2 Allah yang telah sampai kepada Maqam Tauhid Zat yang sudah teguh pendiriannya. Hal ini merupakan kemuliaan Allah Ta'ala kepada mereka.  Ia dikatakan Kemuliaan Kurnia Allah kepada mereka kerana mereka tidak terpesona dengannya sebaliknya tetap Agungkan Allah Ta'ala. Mereka tetap tunaikan Amanah Allah dan tidak akan sewenang2 membuka rahsia Ketuhanan kepada orang awam.


Bersambung siri 61 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ 

______________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

        🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳


No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...