■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
SIRI 451 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-56:
Tidak berpegang kepada
Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
....... sambungan.....
Ciri-ciri Mursyid PALSU
(Sufi PALSU, Ahli Ma'rifat PALSU)
===========================
Sesungguhnya para Masyaikh (Ulama bertaraf Auliya Allah) seperti Imam Besar Ahlus Sunnah Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu, Imam Asy-Syazili, Imam Ghazali dan lainnya telah memberikan amaran keras supaya berhati-hati terhadap golongan Sufi PALSU. Tanda-tanda Sufi PALSU atau Mursyid PALSU amat banyak. Namun sebahagian besar daripadanya adalah berkaitan dengan perkara-perkara berikut:
Tanda 1 : Tidak pernah berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Mursyid palsu tidak pernah berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, yang mempunyai Silsilah sampai Rasulullah ﷺ. Orang ini lazimnya akan mengaku belajar secara ghaib dengan Shaikh tertentu atau mengaku berguru kepada Wali Songo secara batin atau mengaku belajar dari Wali di gunung-gunung.
Pengakuan ini batil dan tertolak...!
Sekalian Masyaikh telah menetapkan bahawa wajib mempelajari Agama sama ada yang bersifat Zahir (Syari’at – fiqh) maupun Toriqat (Toriqat - tasawwuf) dengan menghadap Guru (yang hidup) Pewaris Nabi yang Siddiq yang mempunyai Silsilah perguruan yang sahih, yang sampai kepada Rasulullah ﷺ.
Semua Ulama Pewaris Nabi termasuk mereka yang Mujaddid dan Mujtahid berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang hidup yang mempunyai Silsilah Pengambilan Ilmu Warisan Nabi dengan kaedah khusus yang terpelihara kesuciannya iaitu melalui Bai’at (janji setia) dan Talaqqi Musyafahah (menghadap Guru dan menerima ilmu terus dari lisan Guru).
Adapun pengakuan seseorang yang mempelajari Ilmu daripada Auliya yang telah wafat adalah suatu peringkat yang tinggi setelah dia mencapai Ma’rifat yang tahqiq, Lazimnya sudah melepasi maqam Mukasyafah dan Gurunya sendiri mengesahkan hal tersebut.
Tanda 2 : Tidak mempunyai silsilah pengambilan ilmu
Perkara kedua ini mempunyai hubung kait dengan perkara pertama. Orang ini tidak mempunyai Mursyid yang Siddiq sebagai Pemimpinnya kepada Ketuhanan. Jika ada pun dia mempunyai seorang Guru, namun Gurunya tidak ada Silsilah pengambilan Ilmu sampai Rasulullah ﷺ. Ilmu yang dimilikinya rekaan sendiri dengan mencampur adukkan berbagai ajaran falsafah batil atau ilmu batiniah. Atau campur adukkan ajaran-ajaran asing yang jelas bertentangan dengan Ahlus Sunnah seperti reiki, kundalini, ilmu cakra dan lain-lain yang nyata tersesat.
Tanda 3 : Tidak ada Manhaj (sistem) Tarbiyyah yang lengkap
Guru PALSU tidak mempunyai Sistem lengkap Tarbiyyah keruhanian yang meliputi, Zikrullah, Tawajjuh dan Suluk. Mereka hanya meniru sana sini menggunakan amalan biasa orang awam.
Tanda 4 : Ilmu Ma’rifat dicanangkan bukan dari pengalaman keruhanian sendiri
Orang ini sering bercakap soal Haqiqat dan Ma'rifat yang tinggi-tinggi sedangkan semua itu bukan dari pengalaman keruhanian sebaliknya mereka kutip dari kitab-kitab Tasawwuf yang tinggi-tinggi lalu mengaku sudah miliki ilmu Ma'rifat. Atau ungkapan berbelit-belit keluar dari hembusan atau bisikan iblis.
Tanda 5 : Terang-terangan Menyalahi Syari’at
Mursyid PALSU seringkali melanggar Syari'at atau menyalahi hukum yang jelas haram seperti meninggalkan solat, puasa dan lain-lain dengan alasan sudah sampai kepada Tuhan atau mengaku sudah menjadi Tuhan. Atau mendakwa boleh melakukan zina atau minum arak dengan dakwaan telah bebas dari syari'at. Ini adalah pegangan orang Zindiq. Wal Iyazubillah
SIRI 452 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-56:
Tidak berpegang kepada_Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
....... sambungan.....
Tanda 6 : Menunjuk-nunjuk keajaiban
Hal ini suatu yang sangat digemari oleh Mursyid PALSU kerana ianya merupakan suatu cara licik mempengaruhi dan menundukkan pemikiran orang yang minat kepada jalan keruhanian. Mereka mengaku sudah mendapat karomah dan sangat gemar menunjuk-nunjuknya kepada umum, pada hal yang sebenarnya semua macam “keajaiban-keajaiban” yang dipamerkan adalah sihir mainan iblis, jinn syaitan.
Sesungguhnya menunjuk-nunjuk kehebatan dan perkara-perkara keajaiban yang mencengangkan aqal bukan cara Mursyid yang Benar, sebaliknya ia perbuatan ahli sihir, bomoh, dukun, pawang atau lain-lain sebangsanya.
Tanda 7 : Menarik Tenaga Alam
Sebahagian dari tanda Sufi Palsu atau Mursyid Palsu adalah pengakuan bahawa dia mampu menarik Tenaga Alam untuk menjadi kuat dan sihat. Mereka cuba buktikan pengakuan mereka dengan menunjuk-nunjuk berbagai kehebatan menggerakkan benda-benda dengan kekuatan minda atau batin. Semua ini termasuk sihir bantuan jinn syaitan. Tetapi mereka tidak mengetahuinya kerana tak kenal bagaimana tipu daya halus jinn syaitan masuk menyesatkan manusia.
Tanda 8 : Abaikan Syari’at atau Toriqat Rasul ﷺ
Setengah-setengah dari tanda Mursyid PALSU adalah mengabaikan Syari’at dan Toriqat. Sesungguhnya kedua-duanya (Syari’at dan Toriqat) datang dari Rasulullah ﷺ, yang pada hakikat Wahyu Ilahi. Maka barangsiapa meninggalkan salah satu daripadanya atau menafikannya atau ingkarinya, maka dia bukan dari kalangan orang beriman. Apa lagi mengakuinya sebagai Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, tak mungkin!
Tanda 9 : Campur aduk lelaki wanita ketika berzikir
Masyaikh kita telah menetapkan, ketika diadakan Majlis Zikrullah, maka WAJIB dipisahkan lelaki dan wanita dengan dinding (tidak memadai dengan tirai biasa). Ini bertujuan elakkan berbagai kemungkinan fitnah kerosakan hati disamping bahaya terjadi kemungkaran. Maka orang yang membawa pengikutnya berzikir campur aduk antara lelaki dan perempuan tak mungkin menjadi Mursyid.
Tanda 10 : Mengaku dirinya sebahagian dari Tuhan atau menjadi Tuhan
Lazimnya orang yang mengeluarkan ucapan-ucapan ini adalah dari Golongan Hakikat PALSU atau Golongan Batiniah atau Zindiq. Wal Iyazubillah.
Demikianlah sebahagian dari tanda-tanda Mursyid PALSU atau Sufi PALSU. Walau bagaimanapun tidak semestinya semua sifat tersebut terkumpul pada seseorang. Mungkin sebahagian sifat-sifatnya wujud pada satu golongan dan sebahagian lagi pada golongan lain.
Sebagaimana juga pemimpin bagi golongan Wahhabiyyah (khawarij), Syi'ah (rafidhi), golongan Sekular dan lain-lainnya berjumlah 72 golongan sesat juga dipimpin oleh iblis, golongan Ilmu keruhanian PALSU atau Sufi PALSU juga dipimpin oleh iblis sedang mereka tidak menyedarinya.
Inilah sebabnya sekalian Ulama Mu'tabar telah memberi peringatan dan AMARAN .... jangan kamu berjalan sendirian kerana iblis, jinn syaitan akan pimpin kamu kepada gerbang iblis — kepada kesesatan. Sebaliknya kamu WAJIB berguru kepada Guru Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. Jangan sesekali terpesona dengan “wayang” dan “keajaiban-keajaiban yang membuat manusia tercengang” atau “menembusi hukum alam” yang mana semua ini BUKAN matlamat Mursyid Pewaris Nabi dan BUKAN Matlamat Toriqat Nabi ﷺ.
SIRI 453 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-56:
Tidak berpegang kepada
Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
...... sambungan.....
Mursyid Palsu atau Sufi Palsu
Pada Zaman Terdahulu
=======================
Berikut adalah nukilan mutiara hikmah dari Al-Imam Sulton Auliya Qutb-ar-Rabbaniy, Muhyiddin Shaikh Abdul Qodir Jilani رضي الله عه berhubung dengan Mursyid Palsu atau Sufi Palsu yang wujud pada zaman beliau.
Berkata Imam Jilani رضي الله عه :
Orang-orang yang mengikuti Jalan kerohanian menuju Allah (Jalan Ma’rifat, Jalan Allah, Jalan Rasulullah ﷺ yang sebenar) terbahagi kepada dua golongan atau kaum.
Golongan pertama adalah yang termasuk ke dalam kumpulan Ahlus Sunnah; iaitu mereka yang mengikuti sepenuhnya Syari’at dan Toriqat. Mereka mematuhi peraturan Quran dan amalan serta peraturan yang berasal daripada kelakuan dan perbuatan Rasulullah ﷺ. Mereka ikuti peraturan ini dalam perkataan, perbuatan, pemikiran dan perasaan, dan mereka mengikuti maksud batin Agama – iaitu mereka mengerti bukan ikut secara taqlid buta. Mereka beramal dan hidup menurut peraturan Agama, merasainya dan menikmatinya, bukan semata-mata menanggung sesuatu yang dipaksakan ke atas mereka. Inilah jalan keruhanian yang mereka ikut. Inilah persaudaraan hamba-hamba Allah yang berkasih sayang. Mereka adalah kaum pencinta Allah yang sebenar!
Sebahagian daripada mereka dijanjikan Syurga tanpa hisab, yang lain akan menderita sedikit azab hari Qiamat dan kemudian masuk Syurga. Namun ada juga sebahagian yang memasuki Neraka beberapa ketika yang singkat untuk menyucikannya daripada dosa sebelum masuk Syurga. Tiada yang akan kekal di dalam Neraka. Yang akan kekal di dalam Neraka ialah orang kafir dan munafiq.
Golongan kedua adalah terdiri daripada kumpulan-kumpulan yang bida’ah sesat. Golongan bida’ah sesat ini banyak. Di bawah ini dinyatakan sebahagian daripada jalan bida’ah sesat yang dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengakui diri mereka orang kerohanian (mengaku mengikut Ahli Sufi atau Mursyid tetapi mengikuti jalan kesesatan) :
1. Hululiyyah – Mereka percaya mendakwa halal melihat tubuh dan wajah yang cantik yang menggiurkan nafsu dan mendorong kepada perzinaan sama ada perempuan atau lelaki, siapa sahaja sama ada isteri-isteri atau suami-suami, anak-anak perempuan atau saudara-saudara perempuan orang lain. Mereka juga bercampur dan menari bersama-sama. Ini jelas bertentangan dengan peraturan Islam dan menjaga kesucian dan kehormatan di dalam peraturan tersebut.
2. Haliyyah – Mencari kerasukan dengan cara menari, menyanyi, menjerit dan bertepuk tangan. Mereka mendakwa Syaikh mereka berada dalam suasana yang mengatasi batasan Syari’at. Jelas sekali mereka terpesong jauh daripada perjalanan Nabi ﷺ yang dalam tindak tanduk Baginda sentiasa mematuhi hukum Agama.
Penjelasan :
Imam Jilani bermaksud dengan Haliyyah ini adalah mereka yang tidak bertujuan zikir kepada Allah. Tetapi sebaliknya sengaja bertujuan mencari kerasukan sedangkan ini dilarang di dalam perjalanan Ma’rifat. Zauk atau pemerasaan mendadak yang mendatang pada hati dan tubuh bagi ahli zikir yang menurut jalan yang benar adalah yang di luar kawalannya (idhtirari). Oleh kerana asyik dengan Allah atau ketika kerinduan yang di luar kawalannya maka terjadi zauk yang tidak dapat dikawal, BUKAN suatu yang diusahakan dengan niat mencari kerasukan zauk. Inilah yang menyebabkan mereka terpesong kerana apabila niat amal berubah kepada lain, maka iblis lah yang menjadi pemimpinnya. Wal Iyazubillah.
SIRI 454 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-56:
Tidak berpegang kepada
Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
....... sambungan.....
3. Awliya’iyyah – Mendakwa mereka berada dalam kehampiran dengan Allah. Dengan kata lain mereka telah mencapai peringkat Auliya Allah. Menurut mereka, apabila telah menjadi Auliya Allah maka tak perlu solat, puasa, haji dan lain-lain Ibadah (kononnya semua kewajipan Agama terangkat daripada mereka). Seterusnya mereka mendakwa seorang wali, orang yang hampir dengan Allah, menjadi sahabat akrab-Nya, mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Nabi. Mereka mengatakan ilmu sampai kepada Rasulullah ﷺ melalui Jibrail sementara wali menerima ilmu secara langsung dari Tuhan. Pandangan salah tentang suasana mereka dan apa yang mereka sifatkan kepada diri mereka adalah dosa mereka yang paling besar yang membawa mereka kepada bida’ah dan kekufuran.
Penjelasan :
Golongan ini meniru kata-kata Auliya Allah yang masyhur lalu menjadikan perkataan mereka yang direka-reka sedangkan orang-orang ini BUKAN Ahlillah. Mereka sengaja mereka-reka cerita kononnya sudah sampai kepada Allah dan menerima ilmu terus dari Allah sedangkan ianya pembohongan. Auliya Allah yang sebenar bukan makin meninggalkan Syari’at tetapi sebaliknya lebih teguh syari’atnya daripada sekalian manusia lain. Maka nyatalah golongan ini tersesat dengan bisikan iblis La’natullah.
4. Syamuraniyyah – Mereka percaya Kalam (Perkataan) Allah adalah kekal dan barangsiapa menyebut Kalam ini (Kalam Allah) tidak terikat dengan hukum atau Syari’at Agama. Mereka tidak peduli halal atau haram. Dalam ibadat mereka menggunakan muzik (yang diharamkan – pent.). Perempuan dan lelaki bercampur gaul. Tiada beza lelaki dan perempuan. Ini sudah menyimpang jauh dari ajaran Al-Qur’an.
5. Hubbiyyah – Golongan ini mengatakan bila manusia sampai ke peringkat cinta mereka bebas daripada semua kewajipan Agama. Mereka tidak memperdulikan tentang pakaian, kadang-kadang mereka bertelanjang bogel. Tiada lagi perasaan malu. Inilah ajaran sesat dan menyesatkan.
6. Huriyyah – Gemar berteriak , memekik, menyanyi, menari dan bertepuk tangan, mereka menjadi kerasukan dan di dalam suasana kerasukan itu mereka mendakwa mengadakan hubungan jenis dengan bidadari, bila keluar dari kerasukan mereka mandi junub. Mereka dimusnahkan oleh pembohongan mereka sendiri.
7. Ibahiyyah – Enggan mengajak kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Mereka menghalalkan yang haram. Mereka mendakwa semua perempuan halal bagi semua lelaki. Ini ternyata golongan sesat yang akan menerima siksaan pedih!
SIRI 455 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-56:
Tidak berpegang kepada
Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
....... sambungan.....
8. Mutakasiliyyah – Mengamalkan prinsip bermalas-malas dan mencari nafkah dengan meminta sedekah dari rumah ke rumah. Mereka beranggapan mereka telah meninggalkan segala hal ehwal dunia. Maka musnahlah mereka di dalam perbuatan mereka.
9. Mutajahiliyyah – Berpura-pura jahil dan dengan sengaja berpakaian tidak sopan, cuba menunjukkan dan berkelakuan seperti orang kafir, sedangkan Allah berfirman,
وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَڪُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan”
[Hud (11) : Ayat 113]
Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda :
“Barangsiapa menyerupai suatu kaum, maka mereka dikira sebagai ahli kaum itu”.
10. Wafiqiyyah – Mendakwa hanya Allah yang boleh kenal Allah. Jadi, mereka membuang jalan kebenaran. Dengan ini mereka enggan berusaha mencari hakikat kebenaran. Kerana kebodohan mereka membawa menuju kerosakan dan kesesatan.
Penjelasan :
Imam Jilani bermaksud, golongan Wafiqiyyah beri’tiqad bahawa segala peraturan dan adab-adab yang diijtihadkan oleh Ulama sebagai panduan pada Jalan menuju Allah adalah sia-sia kerana mereka berpegang bahawa itu semua urusan makhluk. Mereka menafikan terus usaha ikhtiar yang Allah Ta’ala Kurniakan kepada manusia mencari kebenaran dan berusaha sungguh-sungguh atasnya.
Sebahagian dari mereka menggelarkan diri mereka sebagai “majzub” dan mengaku sudah mencapai maqam yang tinggi tanpa menuntut Ilmu dan tidak mahu berusaha ikhtiar melakukan ibadah dengan bimbingan Mursyid. Menurut I’tiqad mereka, Allah yang kenalkan diri-Nya tanpa asbab apa pun dari hamba. Maka mereka membuang usaha ikhtiar mencari Jalan menuju Allah. Inilah pegangan batil yang sesat dan menyesatkan.
11. Ilhamiyyah – Golongan yang mementingkan ilham (semata-mata) tidak mahu menuntut ilmu. Mereka melarang belajar, dan berkata Quran adalah hijab bagi mereka. Mereka gunakan puisi karangan mereka sebagai ganti kepada Qur’an. Mereka meninggalkan Quran dan sembahyang, sebaliknya mengajarkan anak-anak mereka puisi. Maka jadilah mereka sesat! Demikian banyak ajaran-ajaran sesat dari Guru Sufi Palsu (Guru menyamar sebagai Mursyid atau Ahli Sufi).
Penjelasan :
Golongan Ilhamiyyah ini gemar berangan-angan mereka sudah mendapat Ilham-ilham dari Allah Ta’ala. Kadangkala mereka mengaku mendapat ilmu Ladunni, mengaku belajar terus dari Allah Ta’ala. Sedangkan pada hakikatnya ia cuma khayalan dan angan-angan yang datang dari bisikan iblis. Iblis menipu daya mereka dengan kepalsuan dan kebatilan.
[Tamat nukilan Kitab Sirrul Asrar Fi Ma Yahtahju Ilayhil Abrar]
SIRI 456 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-56:
Tidak berpegang kepada
Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
....... sambungan.....
Mursyid Palsu atau Sufi Palsu
Pada Zaman Ini
======================
Golongan-golongan tersesat dari Jalan Keruhanian yang disebutkan oleh Imam Jilani رضي الله عه , seperti di atas adalah golongan yang wujud pada zaman beliau. Kelompok-kelompok ini terus wujud sehingga sekarang dan akan terus wujud sehingga akhir zaman kerana pada hakikatnya mereka adalah kelompok-kelompok yang mengikuti bisikan iblis La’natullah yang sedaya upaya menyesatkan menusia!
Pada zaman ini, sekurang-kurangnya 11 (sebelas) golongan yang telah menyelewengkan maksud Ilmu Ma’rifat, Toriqat, Tasawwuf... dan menyamar seperti Ahli Ma’rifat dan Sufi sedangkan mereka ini sama seperti di atas, termasuk golongan tertipu dan menipu daya.
(1) Golongan Silat Ma’rifat (Ma’rifat PALSU)
Golongan ini campur adukkan ilmu Silat dengan sebahagian amalan Toriqat lalu mendakwanya sebagai Ma’rifat. Tujuan mereka adalah memperoleh kekuatan fizikal melalui keruhanian. Mereka melakukan meditasi atau ritual tertentu bagi memperoleh ilmu kebal. Mereka gemar menunjuk-nunjuk berbagai kehebatan ilmu kebal seperti tetak tak lut, bengkokkan besi keras dengan jari dan seumpamanya untuk memperlihatkan seolah-olah mereka benar. Sedangkan perbuatan ini jelas kebatilannya. Ini BUKAN Ma’rifat sebaliknya pertunjukan ilmu sihir. Yang dikatakan Ma’rifat adalah Tauhid yang hakiki di dalam hati serta Ubudiyyah setulus hati sebagaimana kami huraikan sebelum ini.
(2) Golongan Perawat Ma’rifat (Ma’rifat PALSU)
Kelompok ini lebih kurang serupa dengan Golongan no. (1) di atas iaitu mereka salah guna Ilmu Toriqat untuk kepentingan duniawi atau kerana memenuhi keseronokan nafsu. Tujuan mereka bukan Mengenal Allah dan Ubudiyyah tetapi mempunyai niat- niat yang menyimpang dan tujuan-tujuan lain selain Allah.
Perbezaannya dengan yang pertama tadi adalah bidang yang mereka ceburi. Bidang kelompok ini adalah bidang perubatan dan rawatan. Mereka menamakan diri mereka sebagai Perawat Ma’rifat tetapi cara mereka adalah sama seperti cara-cara bomoh atau dukun atau pawang.
(3) Golongan Ilmu Kebatinan Sesat
Ini adalah golongan yang berangan-angan mencapai maqam tinggi dan menganggap setiap suatu memadai dengan niat. Tidak perlu susah payah melakukan ibadat. Mereka mendakwa ibadat itu untuk orang maqam rendah. Mereka sudah mencapai maqam tinggi, maka tak perlu melakukan ibadat. Menurut dakwaan mereka yang batil lagi, orang yang sampai Maqam Tuhan tak perlu solat dan ibadah lain. Wal Iyazubillah.
(4) Golongan Ilmu Haqiqat Palsu
Golongan ini sentiasa memandang haqiqat semata-mata. Walaupun mereka minum arak, berjudi, tenung nasib atau lain-lain, bagi mereka semua itu tidak salah kerana semua di-Taqdirkan. Pegangan ini serupa dengan pegangan Golongan Jabariyyah atau Zindiq. Wal Iyazubillah.
(5) Golongan Asmaul Husna Tarik Rezeki
Mereka melakukan meditasi seperti yoga dengan tangan terbuka, lalu membaca Asmaul Husna tertentu untuk menarik rezeki dari Langit. Mereka mendakwa Rezeki Allah itu luas dan boleh diperolehi dengan cara meditasi.
(6) Reiki, Kundalini, Cakra
Golongan ini melakukan meditasi (cara orang kafir tetapi mengubah nama sehingga kelihatan seperti ilmu Tasawwuf) mengaktifkan Lataif-lataif sehingga mengaku boleh menerbitkan cahaya Lataif dan terus Mengenal Allah. Tidak syak lagi semua ini hanya mainan iblis kerana tak mungkin seseorang Kenal Allah dengan jalan “meditasi” ajaran kafir. Yang datang hanyalah jelmaan iblis dalam rupa Ulama atau Wali.
SIRI 457 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-56:
Tidak berpegang kepada
Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
....... sambungan.....
(7) Golongan Menyedut Tenaga dan Ruh Alam
Golongan ini mengambil konsep Reiki, Cakra, Kundalini dan lain-lain sebangsa dengannya melakukan meditasi menyatukan tenaga dalam badan dengan tenaga alam, lalu mendakwa boleh membawa kepada Tuhan. Mereka mengambil konsep tersebut ubah suai dengan ayat Qur’an. Kemudian mendakwa boleh mencapai Ma’rifat. Sangat besar penipuan mereka.
(8) Golongan Ilmu Tapak Tangan Ajaib
Ini adalah golongan yang amalkan wirid tertentu untuk mengeluarkan tenaga dari tapak tangan untuk penyembuhan penyakit. Kata mereka tapak tangan mempunyai kuasa Kalimah Sakti yang berupaya sembuhkan berbagai penyakit.
(9) Pengkaji Toriqat dan Ma’rifat
Golongan ini hanya sibuk mengkaji tanpa sebarang amal ibadah yang disyari’atkan. Mereka mengkaji sendiri kitab-kitab sufi yang tinggi lalu berbahas menurut aqal dan nafsu mereka.
Mereka mendakwa maklumat berkenaan Toriqat yang ada padanya sahaja yang benar dan selain mereka sebagai sesat. Mereka menuduh kaifyyat zikir pada Toriqat yang Mu’tabar sebagai sesat sedangkan mereka hanyalah professor-profesor bodoh yang berbahas menurut pemikiran aqal yang sempit dan bisikan nafsu dan iblis. Mereka tak pernah berguru dengan Pewaris Nabi yang Siddiq dan tak pernah menempuh sendiri perjalanan kepada Allah menurut Disiplin Ahli Ma’rifat, tetapi sangat berani mendakwa diri sebagai pemegang kebenaran. Tiada syak lagi mereka adalah pasukan iblis yang membawa kekacauan kepada orang awam atau masyarakat Islam yang masih di dalam kebingungan memahami Hakikat Agama.
(10) Ilmu Martabat Tujuh sesat
Golongan ini meniru Tujuh Tingkatan Ma’rifat menurut Ahlus Sunnah dan menyelewengkannya kepada kebatilan. Mereka melukis rajah-rajah anggota kemaluan lelaki dan wanita lalu kaitkan-nya dengan Ma’rifat. Menurut mereka sesiapa yang sudah menghafal dan memahami lukisan-lukisan tersebut, maka itulah haqiqat dan Ma’rifat. Jelas sekali pembohongan dan kesesatan mereka.
(11)Golongan Mahdi palsu
Menuju Akhir Zaman, bangkit kelompok-kelompok di berbagai sudut dunia mengaku pemimpin mereka sebagai Imam Mahdi. Kesemuanya sudah mati. Kesemua manusia yang mengaku Imam Mahdi semuanya sudah mati dan kumpulannya binasa, kecuali satu atau dua kelompok masih percaya pemimpin mereka yang sudah mati akan bangkit menjadi Imam Mahdi. Pegangan mereka telah menyalahi Ijma’ Ulama, maka masuklah mereka ke dalam kelompok sesat.
Demikianlah sebahagian daripada kelompok-kelompok tersesat di dalam ilmu keruhanian yang wujud pada zaman ini. Mereka mendakwa sebagai kelompok Tasawwuf bahkan setengah murid-muridnya mencanangkan gurunya sebagai Mursyid agung tetapi ternyata mereka hanya pencari publisiti murahan dan dunia yang hina. Mereka tersangat berani mempermainkan Jalan Ma'rifat yang suci.
Jika diteliti, kebanyakan kelompok ini mempunyai sifat-sifat kelompok sesat yang disebutkan oleh Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu. Wal Iyazubillah.
Orang awam yang mencari-cari kebenaran dan Mursyid dan Toriqat Ahlus Sunnah tersalah masuk ke dalam kelompok-kelompok sesat ini kerana wujud “penyamaran” iaitu wujud golongan-golongan yang menyamar sebagai Ahli Sufi dengan menggunakan istilah-istilah Ahli Sufi.
Anehnya, sebahagian daripada kelompok-kelompok sesat ini turut didokong oleh golongan terpelajar seperti Profesor dan cerdik pandai Agama.
Jika kamu bertanya apa cara untuk selamat dari tipu daya Golongan Sufi PALSU, berikut kami nukilkan panduan yang jelas dari Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu.
SIRI 458 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-56:
Tidak berpegang kepada
Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
....... sambungan.....
Panduan Mencari Mursyid yang Siddiq
============================
Berikut adalah cara-cara untuk mengetahui dan bezakan Mursyid yang benar dan yang palsu. Ada kalanya seseorang Mursyid yang benar dikatakan palsu oleh musuh-musuh Agama. Dan ada juga terjadi Guru-guru Palsu mendakwa diri sebagai Mursyid sedangkan dia tiada kelayakan. Maka di sini kami sebutkan secara ringkas.
Langkah Pertama :
Syarat Mursyid 10 perkara :
Rujuk kepada Syarat dan kelayakan yang wajib ada pada Mursyid — Pewaris Nabi yang Siddiq. Semua syarat ini ditentukan oleh Ulama Mu'tabar terdahulu seperti Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani, Imam Syazili, Imam Rifa'ie, Imam Ghazali, Imam Junaid Al Baghdadi, Imam Asy-Sya'rani, Imam Qusyairi dan lain- lain.
Langkah Kedua :
Melihat dan merasai tanda-tandanya
Merasai tanda-tanda benarnya seorang Mursyid — Pewaris Nabi yang Siddiq, dengan cara duduk berserta di dalam Majlis-Majlis beliau. Atau boleh juga diketahui dengan cara mendengar ucapan dan tingkah laku beliau.
Langkah Ketiga:
Solat Istikharah
Jika masih mempunyai keraguan atau masih belum yakin atau tidak pasti, maka langkah ke-3 adalah dengan cara Solat istikharah selama tiga hari turut-turut mohon petunjuk Allah.
Dengan mengikuti panduan di atas seseorang yang mencari Mursyid — Pewaris Nabi yang sebenar, maka seorang Muslim tidak akan tertipu dengan Guru-guru Palsu yang cuma menipu daya. Wallahu A'lam.
Semua keterangan yang kami kemukakan adalah berdasarkan Al-Qur'an, Hadith dan Fatwa Ulama Mu'tabar Ahlus Sunnah — Ulama bertaraf Auliya Allah.
SIRI 459 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-56:
Tidak berpegang kepada
Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
....... sambungan.....
Syarat-syarat Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
(Ulangan secara Ringkas)
1. Beliau termasuk di dalam 'rantaian' pewaris Nabi iaitu yang dipanggil Silsilah Keruhanian Nabi ﷺ
(2) Alim di dalam Syari'at - Ilmu Fiqh, Tauhid dan Tasawwuf serta mahir memahami Ilmu Al-Qur'an dan Hadis Nabiﷺ
(3) Mahir di dalam Ilmu Ma'rifat Ketuhanan serta mampu mendidik jiwa manusia kepada Ketuhanan, iaitu sudah sampai Maqam Mukasyafah, terbuka kepada Ketuhanan dan di dalam pimpinan Rasulullah ﷺ. Beliau mencapai semua ini setelah mujahadah lama di dalam pimpinan Gurunya yang juga Pewaris Nabi yang Siddiq.
(4) Sentiasa berpegang teguh dengan Syari'at Nabi ﷺ
(5) Da'wah (menyampaikan) seruan Islam kepada manusia serta Menjalankan Amr Ma'ruf nahyi Anil Mungkar
(6) Bersifat Siddiq (benar) dalam perkataan dan perbuatannya. Beliau bukan pendusta. Sama sekali tidak berdusta. Beliau pemegang Amanah Nubuwwah.
(7) Tidak mencintai dunia atau mengejar dunia. Kecintaan pada dunia dan akhirat telah binasa. Dalam hati, ruh dan sirr (rahsia yang sangat dalam) hanya tinggal cintanya kepada Allah semata-mata.
(8) Memiliki sifat kasih sayang dan lemah lembut kepada manusia terutama orang beriman, wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua. Tetapi sangat keras terhadap manusia-manusia sombong dan manusia yang menyeru kepada kesombongan, kefasikan, kekafiran dan kesesatan.
(9) Wajahnya, perkataannya, gerak gerinya memberi kesan yang mendalam ke dalam hati orang yang melihatnya. Hanya dengan melihat wajahnya akan membawa Ingat kepada Allah.
(10) Terkenal di tempat jauh
SIRI 460 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-56:
Tidak berpegang kepada
Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
....... sambungan.....
Tanda-tanda Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)
(Ulangan secara ringkas)
Selain dari memeriksa Syarat-syarat Mursyid yang telah disebutkan, kamu boleh pastikan kebenaran seorang Shaikh dengan menghadiri Majlis-majlisnya. Dalam majlis itu bukakan hati, buangkan semua ego takabbur dan mohon Allah Taala tunjukkan kebenarannya.
Jika kamu mempunyai ego takabbur atau niat tidak ikhlas, kamu takkan dapat melihat kebenaran. Abu Jahal ingkar kepada Rasulullah kerana hati dia dipenuhi sifat kebencian dan takabbur. Walaupun Abu Jahal melihat Wajah Nabi yang agung, dia TIDAK terbuka kepada melihat Cahaya Nubuwah pada diri Nabi, sebaliknya apa yang dia lihat adalah "Wajah dirinya yang buruk, jahat, keji, sombong" maka TIDAKLAH dia memperoleh petunjuk.
Sebaliknya Abu Bakr dan Sahabat lain melihat Cahaya Nubuwwah pada diri Rasulullah lalu beriman penuh kepada Baginda.
Sesungguhnya Mursyid yang benar membawa Nur Muhammad dan melimpahkannya kepada ummat. Sesiapa yang ikhlas akan dapat melihatnya atau dapat merasainya dalam hatinya.
Berikut adalah di antara tanda-tanda tersebut :
Tanda 1 : Melihat wajahnya akan Ingat terus kepada Allah
Apabila bersama Guru tersebut, hati Ingat Allah. Hati lunak berzikir Ingat Allah. Bahkan hanya dengan melihat wajahnya terus Ingat Allah. Ini bukti paling kuat benarnya dia Mursyid yang Siddiq (benar) kerana seorang Mursyid yang benar membawa Cahaya Muhammad dan menyinarinya kepada murid-muridnya, orang-orang sekelilingnya bahkan seluruh alam.
Tanda 2 : Manis ibadah
Apabila bersama Guru itu, seseorang akan bertambah ibadahnya dan gemar melakukan kebaikan.
Tanda 3 : Jauhi kemungkaran
Apabila bersamanya seseorang akan menjauhi (tiada gemar) melakukan kemungkaran.
Tanda 4 : Bertambah Ilmu
Apabila bersamanya bertambah ilmu agama menurut Ahlus Sunnah yang benar.
Tanda 5 : Kecintaan kepada Allah
Apabila bersamanya seseorang akan lebih Mencintai Allah.
Bersambung siri 461 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment