■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
SIRI 671 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan....
Cabang Penting:
Betulkan pegangan batil dan sesat berhubung dengan Tasawwuf Toriqat Rasul ﷺ:
Wujud di kalangan mereka yang mengaku Ahlus Sunnah sendiri, mempunyai pegangan yang salah dan batil berhubung dengan Toriqat dan Tasawwuf. Ini termasuklah sesetengah Ulama, Ustaz, Pegawai Agama, ahli fatwa yang memberikan gambaran yang salah dan menyeleweng.
(1) Mereka mengakui Tasawwuf tetapi ingkar akan Toriqat yang warid dari Rasulullah ﷺ.
(2) Mereka memahami Tasawwuf itu hanyalah teori-teori yang dihafal.
(3) Mereka mengatakan mendalami Tasawwuf membawa kesesatan.
Hakikatnya mereka adalah ulama jahil yang tidak mempelajari Ilmu Ahlus Sunnah daripada Mursyid yang Siddiq. Mereka tidak mengalami perjalanan Toriqat dan tak pernah dapat menghayatinya. Mereka sekadar membaca teori-teori berkenaan Tasawwuf lalu mengaku sudah memahami Tasawwuf.
Untuk membicarakan hal ini secara ilmiah yang mendalam, sudah tentu makan masa yang sangat panjang. Sebagai permulaan memadailah disebut secara ringkas sahaja...hubungan Tasawwuf dan Toriqat Rasulullah ﷺ.
(1) Tasawwuf menyatakan Matlamat hati yang suci murni. Toriqat menunjukkan jalan untuk mencapai Matlamat tersebut. (Ertinya Tasawwuf itu buahnya (matlamat kesucian hati), sedang Toriqat itu menunjukkan jalan untuk mencapai buah (matlamat kesucian hati) tersebut.
(2) Tasawwuf itu menggambarkan sifat-sifat keindahan hati orang beriman, Toriqat adalah jalan untuk mencapai sifat-sifat tersebut.
(3) Tasawwuf menyebut kejahatan hati yang wajib dijauhi, Toriqat menunjukkan jalan untuk menjauhinya.
(4) Tasawwuf menghuraikan Syirik dalam hati yang wajib dihapuskan, Toriqat menunjukkan jalan untuk hapuskannya.
(5) Tasawwuf menyebut kewajipan khusyu' dalam Solat, Toriqat menunjukkan jalan untuk Khusyu’.
(6) Tasawwuf menyebut hakikat Ikhlas dalam beribadah, Toriqat menunjukkan jalan mencapai Ikhlas yang sebenar.
(7) Tasawwuf mengatakan Zikir terus-menerus mengingat Allah sebagai kewajipan, Toriqat menunjukkan jalan untuk menjadikan hati sentiasa ingat Allah.
(8) Tasawwuf menuntut Tauhid yang hakiki, Toriqat menunjukkan jalan mencapai Tauhid yang hakiki ini.
(9) Tasawwuf menyebut kewajipan mencapai "Ihsan", Toriqat menunjukkan jalan mencapai "Ihsan".
(10) Keseluruhannya Tasawwuf menggambarkan akhlaq Nabi ﷺ, Toriqat menunjukkan cara-cara mencapai akhlaq Kenabian.
Ertinya dari satu sudut pandang, Tasawwuf menceritakan buah, kebaikan dan keindahan hati yang wajib dicapai oleh orang beriman sedangkan Toriqat menunjukkan jalan-jalan praktikal bagi mencapai keindahan tersebut. Iaitu dengan mengikuti Disiplin Toriqat Rasul ﷺ, seorang Muslim akan mencapai Akhlaq Kerasulan yang indah, Keimanan yang teguh, Tauhid yang suci murni serta Ubudiyyah yang tulus Ikhlas.
Ertinya semua kebaikan hati ini dicapai dalam bentuk penghayatan — benar-benar merasai dan menghayati di dalam hati dan ruh seseorang, BUKAN sekadar teori yang diulang-ulang, BUKAN sekadar perbahasan di bilik kuliah, BUKAN sekadar seminar, kursus, diskusi dan sebagainya, BUKAN sekadar bacaan kitab-kitab.
Bacaan kitab dan teori-teori berkenaan kebaikan hati dan keindahan akhlaq hanyalah permulaan mengenal Tasawwuf, belum mencapainya secara hakiki. Seseorang yang benar-benar ingin menghayatinya secara hakiki perlu menempuh sendiri perjalanan ini kepada Allah melalui Disiplin Toriqat Rasul ﷺ di samping tetap berpegang teguh kepada Syari'at Rasul ﷺ.
Barang siapa tidak memahami haqiqat ini, akan tinggal di dalam kejahilan dan kesesatan. Walaupun mereka mengaku Ahlus Sunnah tetapi mereka menyeleweng kepada kebatilan dan kesesatan.
SIRI 672 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-3:
Dasar pengambilan hukum adalah tiga sumber utama:
Seluruh Ulama Ahlus Sunnah sepakat sumber pengambilan hukum Agama adalah 3:
1. Al-Qur'an
2. As-Sunnah
3. Al-Ulama Ahlus Sunnah
(Ijma dan Qias Ulama Ahlus Sunnah yang Mu'tabar)
Penjelasan ringkas:
==============
Definisi Al-Qur'an:
Al-Qur’an adalah Kalamullah (Wahyu) yang merupakan Mukjizat Agung, yang diturunkan kepada Nabi terakhir, Rasulullah ﷺ dengan perantaraan Malaikat Jibril yang tertulis dalam mushaf, yang disampaikan secara mutawatir, membacanya adalah bernilai ibadah.
Definisi Sunnah:
Definisi Sunnah dari segi Bahasa:
Dari segi bahasa:
Sunnah adalah jalan, kebiasaan, tradisi, ketetapan, peraturan ; sama ada yang bersifat baik atau buruk.
Definisi Sunnah dari segi Istilah:
Terdapat beberapa pandangan berdasarkan Disiplin Ilmu.
1. Menurut Disiplin Ilmu Hadith:
Sunnah segala sesuatu yang datang dari Junjungan Rasulullah ﷺ berupa Qawliyyah (perkataan Baginda), Fi'liyyah (perbuatan Baginda), dan Taqririyyah (ketetapan atau persetujuan atau suatu yang Baginda diamkan), atau kejadian tubuh fizikal Baginda atau kehidupan Baginda atau segala perlakuan Baginda sama ada sebelum Kenabian (sebelum diutus menjadi Nabi) atau sesudah Kenabian Baginda.
2. Menurut Disiplin Ilmu Fiqh:
Sunnah adalah setiap sesuatu yang datang daripada Rasulullah ﷺ yang dibahagikan kepada berbagai hukum yang diperlukan oleh Mukallaf untuk amalkan Agama : Wajib, Sunnat, Haram, Makruh, Harus, Halal, Sah, Batal dan lain-lain.
3. Menurut Disiplin Ilmu Usul:
Sunnah adalah segala sesuatu yang ditetapkan oleh Rasulullah ﷺ yang lain serta tiada mempunyai sebarang ketentuan dalam al-Quran, daripadanya terbit berbagai kaedah Fiqh yang digunakan oleh Mujtahid bagi menetapkan suatu hukum Agama.
Definisi Ulama Mujtahid:
Ulama Mujtahid adalah Mursyid Pewaris Nabi yang telah sampai keilmuan beliau kepada tingkatan tinggi yang melayakkan beliau melakukan ijtihad (menerbitkan hukum) daripada Kitabullah dan Sunnah Nabi ﷺ. Ertinya Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar) nisbah ilmu syari'at mempunyai beberapa bahagian, tidak semuanya sama dan tidaklah semua layak menjadi Mujtahid.
Ringkasan tingkatan Mursyid nisbah kemampuan melakukan ijtihad adalah dua tingkatan:
Tingkatan 1: Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq bertaraf muttabi'
Mereka adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (iaitu mereka menanggung Cahaya Nubuwwah, memiliki Silsilah Kenabian yang benar, iaitu sampai keilmuannya kepada Rasulullah ﷺ, bersifat Taqwa serta sentiasa dalam Pimpinan Allah dan Rasul-Nya) tetapi belum sampai ke tahap mujtahid yang berikan fatwa kepada Ummat.
Tingkatan 2: Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq bertaraf mujtahid.
Mereka adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (iaitu menanggung Cahaya Nubuwwah, memiliki Silsilah Kenabian yang benar, iaitu sampai keilmuannya kepada Rasulullah ﷺ, bersifat Taqwa serta sentiasa dalam Pimpinan Allah dan Rasul-Nya) yang sudah sampai ke tahap mujtahid yang layak melakukan ijtihad hukum dan memberikan fatwa-fatwa bagi Ummat.
SIRI 673 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Syarat-syarat Mujtahid
Mujtahid adalah Ulama Mu'tabar Ahlus Sunnah yang mempunyai kelayakan untuk mentafsir Al-Qur'an dan Hadith serta istimbat hukum daripada kedua-dua sumber tersebut.
Syarat Mujtahid adalah:
1. Syarat Zahir : Memiliki 15 Ilmu alat yang diperlukan untuk memahami kandungan Al-Qur'an dan Hadith. Di antaranya Hafal Qur'an, Hafal 500 ribu Hadith, mampu bezakan berbagai macam hadith benar dengan hadith palsu, menguasai ilmu nahwu, saraf, mantiq, bayan, badi', sirah Rasulullah ﷺ, sirah Nabi-Nabi terdahulu.
2. Syarat batin : Beliau memiliki Ilmu Ma'rifat yang tinggi iaitu Musyahadah (menyaksikan) wajah Allah dari hati dan ruhnya. Dan berhubungan dengan Ruhaniyyah Rasulullah ﷺ.
Dalam perkataan lain beliau adalah ahli kasyaf, Ahlut-Taqwa dan Maqam Ihsan. Mereka mentafsirkan ayat Allah dan Hadith Rasul dengan Allah dan Rasul, BUKAN dengan fikiran aqal atau pendapat sendiri. Dengan adanya ilmu suci ini, barulah seseorang Mujtahid tidak tergelincir dari landasan Kehendak wahyu yang sebenar. Setiap tafsirannya, ijtihadnya dan fatwanya benar menurut KEHENDAK ALLAH, dan BUKAN kehendak nafsu, BUKAN dari bisikan Iblis, BUKAN mengikut kemahuan pemerintah, bukan sebab politik atau kehendak manusia lain..!
Semua _Mujtahid_ Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah Ahli Ma'rifat yang tinggi, ahli Kasyaf, Maqam Taqwa, Maqam Ihsan. Inilah sebabnya Ahlus Sunnah Wal Jamaah tetap terpelihara sejak dari zaman Sahabah sehingga kini dan tetap utuh sehingga akhir zaman....!.
Sementara semua golongan sesat (72 golongan sesat Aqidah) dan 11 golongan sesat keruhanian) BUKAN ahli Ma'rifat. Mereka tergelincir mentafsir Al Qur'an dan Hadith menurut nafsu dan Iblis... yang akhirnya bawa kepada kesesatan mereka dan pengikut-pengikut mereka.
Contoh golongan sesat pada zaman ini adalah Golongan Wahabiyyah (khawarij), Syiah (rafidhi) dan sekular. Masing-masing mempunyai orang yang bergelar "Ulama" tetapi "Ulama" mereka BUKAN orang Arif Billah, BUKAN ahli kasyaf, BUKAN ahli Taqwa, TIDAK mencapai Maqam Ihsan...! Akibatnya, mereka mentafsir dan berfatwa mengikut aqal sempit, hawa nafsu dan bisikan Iblis. Mereka tidak mempunyai hubungan dengan Allah dan tidak ada pimpinan Rasulullah ﷺ.
Di antara kesesatan ini termasuk beberapa orang yang bergelar "maulana" dan "Ahli Hadith" pada zaman ini. Orang-orang ini sewenang-wenang mempertikaikan fatwa Ulama Mu'tabar terdahulu semata-mata berdasarkan Hadith tertentu.. dengan mudahnya orang-orang jahil ini mengatakan "ini bid'ah sesat, itu bid'ah sesat, ini ajaran majusi " dan sebagainya semata-mata berpandukan satu atau dua hadith yang mereka tafsirkan menurut aqal sempit dan bisikan Iblis.
Allah Ta’ala berfirman:
وَلاَ تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلاَلٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوا عَلَى اللهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللهِ الْكَذِبَ لاَ يُفْلِحُونَ
Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta “ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung.
[An-Nahl (16 : Ayat 116]
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Barang siapa berkata-kata tentang al-Qur'an (tafsir dan ta'wilkan Al-Qur'an) tanpa ilmu, maka hendaklah ia menempati tempat duduknya dari Neraka."
[Imam Tirmidzi]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Barang siapa menghuraikan Al Qur’an dengan akal fikirannya sendiri dan merasa benar, maka sesungguhnya dia telah berbuat kesalahan."
[Imam Ahmad]
SIRI 674 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Contoh-contoh Ulama Mujtahid
Sebagaimana kami sebut berulangkali, ketika bicarakan Prinsip ke-3 ini, hal paling pokok diberi perhatian ialah darihal Ulama yang mentafsir dan ijtihad mengeluarkan hukum. Setiap Muslim wajib secara pasti mengetahui Ulama Ahlus Sunnah yang benar-benar Pewaris Nabi dan jauhi sama sekali Ulama palsu, Ulama dunia, Ulama sesat, Ulama politik dan Ulama penguasa fasiq.
Ketahuilah setiap Ulama Ahlus Sunnah yang mujtahid adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar). Mereka mendapat pancaran Cahaya Ketuhanan dan Cahaya Muhammad di dalam batin mereka yang membolehkan mereka memimpin Ummat menurut Kehendak Allah. Setiap fatwa mereka menjunjung tinggi Amanah Allah. Mereka tidak sama sekali membuat fatwa menurut nafsu atau aqal sempit. Mereka bukan Ulama as-su, mereka bukan Ulama palsu, bukan Ulama politik yang menipu daya Ummat, bukan Ulama sesat wahhabi (khawarij), bukan Ulama Syi'ah (rafidhi), bukan ulama sekular, bukan Ulama Pemerintah fasiq.
Berikut adalah senarai contoh-contoh Ulama Ahlus Sunnah Mu'tabar yang bertaraf Mursyid yang mencapai tingkatan mujtahid.
1. Amirul-Mu'minin Sayyidina Abu Bakr As-Siddiq Radhiallahu anhu
2. Amirul-Mu'minin Sayyidina Umar al-Faruq Radhiallahu anhu
3. Amirul-Mu'minin Sayyidina Uthman Zun-Nurayn Radhiallahu anhu
4. Amirul-Mu'minin Sayyidina Ali Asadullah Radhiallahu anhu
5. Sayyidina Ibnu Abbas Radhiallahu anhu
6. Imam Ja'afar Siddiq Radhiallahu anhu
(Imam Ja'afar Siddiq adalah Guru kepada Imam Abu Hanifah dan Imam Malik Ridhwanullah)
7. Imam Hasan Al-Basri Radhiallahu anhu
8. Imam Sufyan Ath-Thawri Radhiallahu anhu
9. Imam Abu Hanifah Radhiallahu anhu (pendiri mazhab Hanafi)
10. Imam Malik Radhiallahu anhu (pendiri mazhab Maliki)
11. Imam Muhammad Idris Asy-Syafi'e Radhiallahu anhu (pendiri mazhab Syafi'e)
12. Imam Ahmad Ibn Hambal (pendiri mazhab Hambali)
13. Imam Ghazali Radhiallahu anhu
14. Imam Sulton Awliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu
15. Imam Fakhruddin Ar-Razi Radhiallahu anhu
16. Imam Ibn Arabiy Radhiallahu anhu
17. Imam Mu'inuddin Jisti Radhiallahu anhu
18. Imam Rofie Radhiallahu anhu
19. Imam Nawawi Radhiallahu anhu
20. Imam Ibn Hajar Asqolani Radhiallahu anhu
21. Imam Jalaludin Al-Suyuti Radhiallahu anhu
22. Imam Ibn Hajar Al Haithami Radhiallahu anhu
23. Imam Ahmad Sirhindi Radhiallahu anhu
24. Imam Abdullah al-Haddad Radhiallahu anhu
25. Imam Shah Waliullah Dehlawi Radhiallahu anhu
26. Imam Murtadha Zabidi Radhiallahu anhu
27. Imam Shah Abdul Aziz Dehlewi Radhiallahu anhu
Kesemua mereka adalah Mursyid Ulama Pewaris Nabi yang taqwa. Mereka adalah hamba-hamba Pilihan Allah yang takut kepada Allah.
Firman Allah:
سُوۡرَةُ فَاطِر
ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ
“Kemudian Kami jadikan Al-Kitab (Al-Quran) itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).”
[Faathir (35) : Ayat 32]
SIRI 675 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-4:
Berpegang kepada satu mazhab fiqh:
Menurut Ahlus Sunnah setiap Muslim wajib berpegang kepada satu dari empat mazhab fiqh yang masyhur:
1. Mazhab Hanafi
2. Mazhab Maliki
3. Mazhab Syafi'e
4. Mazhab Hambali
Terdapat perbincangan yang luas berkenaan hal ini, kita cuma sebut ringkas dalam bentuk poin-poin penting untuk pengetahuan orang awam.
Poin 1:
Ulama Ahlus Sunnah sepakat bahawa orang awam (peringkat keilmuan yang rendah yang tidak sampai _mujtahid_ ) wajib mengikuti satu mazhab sahaja pada satu masa, bagi melaksanakan suatu ibadah khusus (solat, puasa, zakat dan haji) dan dilarang mencampurkan berbagai mazhab dalam satu ibadah khusus.
Sebagai contoh ketika mereka menunaikan solat mengikut mazhab Syafi'e maka wajib tunaikan keseluruhan hal ehwal berkaitan dengan solat ; mulai dari bersuci, memelihara najis, rukun solat, perkara batalkan solat semuanya wajib mematuhi syarat dan rukun mazhab Syafi'e. Dilarang mengikuti syarat atau rukun mazhab lain pada menyempurnakannya. Ini bermakna, jika seseorang ambil wudhu menurut mazhab Syafi'e tetapi dia memakai Mazhab Hanafi pada perkara batalkan wudhu menurut Mazhab Hanafi, maka batal solatnya.
Poin 2:
Seseorang boleh berpindah mazhab lain dengan SYARAT dia sudah mahir mempelajari dan mengetahui hukum-hakam menurut mazhab tersebut.
Poin 3:
Terdapat tiga pembahagian tingkatan keilmuan:
Pertama: Mujtahid — paling tinggi keilmuan, layak mentafsirkan Al-Qur'an dan Hadith, layak mengeluarkan fatwa.
Kedua:
Muttabi' — Orang yang mahir mengetahui dalil dan hujjah-hujjah Ulama dalam mengeluarkan hukum-hakam, tetapi tidak sampai keilmuan ke peringkat mujtahid.
Ketiga:
Muqallid — Pengikut sesuatu mazhab yang hanya meyakini Ulama mazhab tetapi tidak mahir mengetahui dalil dan hujjah Ulama di dalam persolan hukum fiqh.
Poin 4:
Sah ibadah orang awam yang taqlid di dalam hal ehwal fiqh kepada sesuatu mazhab. Kebanyakan orang awam tidak mendalami Ilmu Islam dan tidak mampu keluarkan hukum Agama, maka memadai bagi mereka mengikuti (taqlid) pada satu mazhab. Dilarang keras mengambil hukum terus dari Al-Qur'an dan Hadith kerana mereka jahil berkenaan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.
Poin 5:
Tidak sah melakukan Talfiq di dalam ibadah iaitu mencampur adukkan berbagai pendapat mazhab di dalam sesuatu ibadah khusus.
SIRI 676 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-5:
Wajib Mengenal Allah
Setiap Muslim wajib berusaha mengenal Allah sebagaimana Kalam Allah Yang Maha Agung:
Firman Allah:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan tidaklah Aku ciptakan Jin dan Manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku”
[Adz-Dzaariyaat (51) : Ayat 56]
Ibnu Abbas Radhiallahu Anhu:
Menurut Ibnu Abbas, yang dikehendaki dengan Kalam Allah " يَعْبُدُونِ" (Ya'budun) pada ayat di atas adalah sebenarnya " يعرفون " (ya'rifun) iaitu Mengenal Allah (di dalam Pengertian mendalam disebut Ma'rifat). Sekalian Ulama Arif Billah sepakat dengan pengertian ini.
Maka maksud Perintah Allah di atas adalah:
"Tidaklah Allah Ta'ala ciptakan jinn dan manusia melainkan untuk Mengenal Allah dengan sebenar kenal dan kemudian melakukan Ubudiyyah — ketaatan kepada Allah dan beribadah kepada-Nya dengan tulus ikhlas.
Ungkapan Ubudiyyah itu pada hakikatnya adalah "Perhambaan" dan bukan semata-mata ibadah. Pengertian "ibadah" membawa maksud umum kerana pekerjaan "ibadah" dikerjakan juga oleh manusia-manusia lain yang menganut agama lain, atau tegasnya orang kafir dan Musyrik. Berbeza dengan Ubudiyyah, ia membawa pengertian yang amat suci dan mulia — penyerahan diri sebagai hamba yang faqir di hadapan Allah.
Oleh yang demikian pengertian "Ma'rifat" (Mengenal Allah dengan sebenar kenal) dan "Ubudiyyah" (Perhambaan sempurna) itulah sebenarnya yang dikehendaki oleh Allah Ta'ala ke atas manusia, (tujuan penciptaan manusia), BUKAN pengertian sempit "ibadah".
Bagaimanakah cara untuk Mengenal Allah .... " يعرفون " ?
Bagaimanakah cara sebenar Ubudiyyah?
Bagaimanakah cara menyempurnakan tuntutan Allah di dalam ayat tersebut?
Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu menjelaskan darihal ayat ini:
"Ada dua macam ilmu yang diturunkan kepada kita.
Pertama ilmu Zahir, disebut Syari'at.
Kedua Ilmu batin, disebut Ma'rifat atau Toriqat.
Syari'at untuk jasad kita dan Ma'rifat (yang terbit dari Toriqat) adalah untuk batin. Kedua-duanya WAJIB dipadu dan dari perpaduannya membuahkan haqiqat. Seperti halnya pohon dan daunnya yang menghasilkan buah. Sebagaimana Firman-Nya di dalam Surah Ar Rahman : Ayat 19 dan 29."
Dengan ilmu zahir sahaja, manusia tidak akan mencapai Haqiqat dan tidak akan sampai kepada Matlamat Ubudiyyah. Ubudiyyah yang benar dan sempurna hanya akan wujud oleh perpaduan antara ilmu zahir (Syari'at Rasulullah) dan ilmu batin (Toriqat Rasulullah). Dengan ini dapat menyempurnakan tuntutan Ma'rifat dan Ubudiyyah sebagaimana Firman Allah "وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ".
[Tamat Nukilan dari Kitab Sirrul Asrar]
Di dalam bahasa yang mudah difahami:
Tujuan Penciptaan manusia adalah untuk Mengenal Allah dengan sebenarnya, yakni Ma'rifat. Untuk memperoleh "Ma'rifat " dan seterusnya "Ubudiyyah" yang hakiki. Setiap orang beriman wajib mempelajari dan amalkan kedua-dua Ilmu yang diterima dari Junjungan Besar Rasulullah ﷺ, iaitu Ilmu Zahir (Syari'at) dan Ilmu Batin (Toriqat) dengan pimpinan Mursyid yang Siddiq.
Jika seseorang hanya amalkan ilmu zahir (Syari'at) sahaja dan tinggalkan ilmu batin (Toriqat) atau dia hanya amalkan ilmu batin (Toriqat ) sahaja dan abaikan Ilmu Zahir (Syari'at), maka dia sama sekali tidak akan dapat mengenal Allah dengan sebenar dan tidak mungkin dapat Ubudiyyah (perhambakan diri) di dalam erti kata yang sebenar sebagaimana yang dituntut oleh Allah. Bahkan orang-orang seperti ini di dalam bahaya kebinasaan Iman.
SIRI 677 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat_
sambungan...
Tingkatan Mengenal Allah
Maksud tingkatan Mengenal Allah adalah tingkatan Iman, Tauhid dan Ma'rifat.
Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu membahagikan orang beriman kepada dua tingkatan besar:
Pertama : Iman orang awam
Kedua : Iman Arifin @ Ahli Ma'rifat
Imam Ghazali Radhiallahu anhu membahagikan orang beriman kepada tiga tingkatan:
Pertama:
Iman orang awam
Kedua:
Iman Mutakallimin (Ilmu Kalam)
Ketiga:
Iman Arifin @ Ahli Ma'rifat
Ulama Ma'rifat kemudian memperincikan lagi pembahagian tersebut kepada lima Tingkatan:
Pertama:
Iman Awam yang bertaqlid
Kedua:
Iman orang Awam yang muttabi'
Ketiga:
Iman Mutakallimin (Ilmu Kalam)
Keempat:
Iman Salikin yang berma'rifat.
Kelima:
Iman Arifin @ Ahli Ma'rifat
Kesemua pembahagian di atas ; bermula dari pembahagian yang dibuat oleh Imam Jilani sampailah ke zaman kemudiannya diberi perincian yang lebih mendalam adalah sama sahaja.
Ulama Ahlus Sunnah yang datang kemudian dari itu melihat perlunya perincian yang lebih detail tentang pembahagian TAUHID ini kerana Ummat ini makin dangkal pemikirannya, sangat cetek ilmunya, makin sedikit sangat kefahamannya. Dengan perincian yang lebih diharapkan kefahaman yang lebih mudah kepada murid dan orang awam Islam seluruhnya.
SIRI 678 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-6:
Nur Muhammad Ciptaan Pertama
Sekalian Ulama Mujadid, Ulama Mujtahid, sekalian Arif Billah, Mufassirin (ulama Tafsir), Muhaddithin (Ulama Hadith) sejak dari dahulu lagi berpegang bahawa Nur Muhammad itu ciptaan Allah yang pertama berdasarkan keterangan Al Qur'an dan Hadith. Tidak pernah wujud Ulama Ahlus Sunnah mempertikaikan kenyataan ini...!
Adapun Golongan terkemudian yang mula mempertikaikan haqiqat Nur Muhammad sebagai ciptaan Allah yang pertama hanyalah ustaz-ustaz Wahhabiyyah (khawarij), ustaz sekular, kiyai pondok yang jahil, Profesor, Drs., yang terpengaruh dengan doktrin Wahhabiyyah (khawarij).
Adapun Kalimat Allah yang pertama yang menjadi sandaran bahawa Nur Muhammad adalah ciptaan Allah yang pertama adalah:
Firman Allah:
قَدْ جَآءَكُمْ مِّنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَـبٌ مُّبِينٌ
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu dari Allah, cahaya dan kitab yang menerangkan”.
[Al-Maaidah (5) : Ayat 15]
Berkata Sulton Auliya, Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani رضي الله عه:
"Semoga Allah Ta'ala memberikan kamu kejayaan di dalam amalan-amalan kamu yang disukai-Nya dan Semoga kamu memperoleh ke-Redaan-Nya. Fikirkan, tekankan kepada pemikiran kamu dan fahamkan apa yang aku katakan. Allah Yang Maha Tinggi pada permulaannya menciptakan Cahaya Muhammad daripada cahaya suci Keindahan-Nya. Dalam hadis Qudsi Dia berfirman:
“Aku ciptakan ruh Muhammad daripada cahaya Wajah-Ku”. Ini dinyatakan juga oleh Nabi Muhammad ﷺ dengan Sabda Baginda:
“Mula-mula Allah ciptakan ruhku. Pada permulaannya diciptakan-Nya sebagai Ruh suci”.
“Mula-mula Allah ciptakan qalam”.
“Mula-mula Allah ciptakan aqal”.
Apa yang dimaksudkan sebagai ciptaan permulaan itu ialah ciptaan hakikat kepada Nabi Muhammad ﷺ iaitu Kebenaran tentang Muhammad yang tersembunyi. Dia juga diberi nama yang indah-indah.
[Sirrul Asrar Fi Ma Yahtaju Ilayhil Abrar]
SIRI 679 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Penjelasan:
Nur Muhammad disebut dengan panggilan berbeza-beza
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Imam Jilani Radhiallahu anhu:
Terdapat sebutan yang berbeza-beza merujuk kepada Nur Muhammad di dalam beberapa Hadith, iaitu:
●Nur Muhammad disebut "Cahaya"
●Nur Muhammad disebut "Aqal"
●Nur Muhammad disebut "Qalam"
Pertama:
Nur Muhammad dinamakan Nur, iaitu cahaya suci, kerana dia dipersucikan dari kegelapan yang tersembunyi di bawah sifat Jalal Allah. Allah Yang Maha Tinggi berfirman:
قَدْ جَآءَكُمْ مِّنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَـبٌ مُّبِينٌ
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu dari Allah, cahaya dan kitab yang menerangkan”.
[Al-Maaidah, ayat 15]
Kedua:
Nur Muhmmad dinamakan Aqal yang meliputi (akal universal) kerana dia telah melihat dan mengenali segala-galanya.
Ketiga:
Nur Muhammad dinamakan Qalam kerana dia menyebarkan hikmah dan ilmu dan dia mencurahkan ilmu ke dalam huruf-huruf.
Roh Muhammad adalah zat atau hakikat kepada segala kejadian, permulaan dan kenyataan alam maya. Baginda ﷺ menyatakan hal ini dengan sabda Baginda;
“Aku daripada Allah dan sekalian yang lain daripadaku”.
Allah Yang Maha Tinggi menciptakan sekalian roh-roh daripada roh Baginda ﷺ di alam kejadian yang pertama, dalam bentuk yang paling baik.
"Muhammad" adalah nama kepada sekalian kemanusiaan di dalam alam arwah. Dia adalah sumber, asal usul dan kediaman bagi sesuatu dan segala-galanya.
Penjelasan
Penciptaan Insan (manusia) berupa jasad dan ruh.
Berkata Al-Imam Jilani Radhiallahu anhu:
Empat ribu tahun selepas diciptakan Cahaya Muhammad, Allah ciptakan Arasy daripada cahaya mata Muhammad. Dia ciptakan makhluk yang lain daripada Arasy. Kemudian Dia hantarkan roh-roh turun kepada peringkat penciptaan yang paling rendah, kepada alam kebendaan, alam jirim dan badan.
ثُمَّ رَدَدْنَـهُ أَسْفَلَ سَـفِلِين
“Kemudian Kami turunkan ia kepada peringkat yang paling rendah”.
[Surah Tin, ayat 5]
Dia hantarkan cahaya itu daripada tempat ia diciptakan, dari alam Lahut, iaitu alam kenyataan bagi Zat Allah, bagi keesaan, bagi wujud mutlak, kepada alam nama-nama Ilahi, kenyataan sifat-sifat Ilahi, alam bagi akal asbab kepunyaan roh yang meliputi (roh universal). Di sana Dia pakaikan roh-roh itu dengan pakaian cahaya. Roh-roh ini dinamakan ‘Roh Sultani (ruh pemerintah)’.
Dengan berpakaian cahaya mereka turun kepada alam malaikat. Di sana mereka dinamakan ‘roh rohani’. Kemudian Dia arahkan mereka turun kepada alam kebendaan, alam jirim, air dan api, tanah dan angin dan mereka menjadi ‘roh manusia’.
Kemudian daripada dunia ini Dia ciptakan tubuh yang berdaging, berdarah.
مِنْهَا خَلَقْنَـكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَى
“Kemudian Kami jadikan kamu dan kepadanya kamu akan dikembalikan dan daripadanya kamu akan dibangkitkan sekali lagi”.
[Surah Ta Ha, ayat 55]
Selepas peringkat-peringkat ini Allah memerintahkan roh-roh supaya memasuki badan-badan dan dengan kehendak-Nya mereka pun masuk.
فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِى “
Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiup padanya roh-Ku…”.
[Surah Shad, ayat 72]
~ tamat petikan kitab ~
[Sirrul Asrar Fi Ma Yahtaju Ilayhil Abrar]
SIRI 680 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Sepakat Fatwa Ulama Ahlus Sunnah
Semua Ulama Ahlus Sunnah bertaraf Auliya Allah yang termasyhur berfatwa bahawa Nur Muhammad kejadian pertama , di antaranya yang menyebutnya adalah:
Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani,
Imam Abu Hasan Asy Syazili,
Imam Abu Hamid Al Ghazali,
Imam Jalaluddin Sayuthi,
Imam Ibn Abideen,
Imam Ibn Hajar Al Haythami,
Imam Ahmad Rifaie,
Imam Abdullah Al Haddad,
Imam Qastolani,
Imam Ibn Araby,
Imam Qadhi Iyadh,
Imam Romli,
Imam Al Haythami,
Ridhwanullahi Alayhi Ajmain.
Antara Kitab Tafsir Ahlus Sunnah serta Mufassirin yang menyebut Nur Muhammad kejadian pertama:
(1) Tanwir al-Miqbas Ibn ‘Abbas : Sayyidina Ibnu Abbas, Pentafsir Ulung kalangan Ahlus Sunnah
(2) Tafsir Tabari : Imam Ibn Jarir At Tabari
(3) Tafsir Qurtubi : Imam Abu Abdullah Al Qurtubi
(4) Tafsir Al-Kabir : Imam Fahruddin Ar-Razi, Mujaddid kurun ke-6
(5) Tafsir Jalalyn : Imam Sayuthi, Mujaddid kurun ke-9
(6) Tafsir As-Syifa : Imam Abu al-Fadl `Iyad (Qadhi 'Iyad)
(7) Tafsir Ruhul Ma'ani : Imam Al Alusi
(8) Tafsir Ibnu Kathir : Imam Ibnu Kathir
Demikian ramainya Masyaikh Ahlus Sunnah bertaraf Auliya Allah, Mursyid Pewaris Nabi yang _Muhaqqiq_ telah memberikan fatwa serta penjelasan yang panjang lebar berkenaan Nur Muhammad sebagai ciptaan pertama sehingga tidak ada ruang sedikit pun bagi mengingkarinya. Ada pun mereka yang mengingkarinya hanyalah pendokong-pendokong fahaman sekular, doktrin Wahhabiyyah (kahwarij) serta sekutu-sekutunya.
Sebahagian mereka yang telah buta hatinya menuduh bahawa keyakinan kepada Nur Muhammad itu syirik, hindu, majusi dan lain-lain ucapan celaka. Ini adalah perbuatan menghina Allah dan Rasul-Nya, maka thabit bagi mereka Kemurkaan Allah dan Laknat-Nya. Wal Iyazubillah
Bersambung siri 681 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
______________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment