■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
SIRI 271 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar 34 :
Berkata-kata yang batil
sambungan.....
Batas ucapan batil
=============
Batas menentukan suatu ucapan (atau perbuatan atau i'tiqad) itu batil adalah setiap perkataan yang bertentangan dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, maka ia batil. Ini kerana satu-satunya "Jalan Lurus", "Jalan kebenaran" dan "Jalan yang di Redhai Allah hanyalah "Ahlus Sunnah Wal Jama'ah" sedangkan selain Ahlus Sunnah adalah firqah-firqah yang sesat dan menyesatkan.
Cara-cara mengenali Ahlus Sunnah wal Jamaah dan membezakannya dengan fahaman-fahaman yang menyimpang telah dihuraikan sebelum ini.
Punca jatuh kepada kebatilan
=====================
(1) Kejahilan
Mereka tidak menuntut Ilmu Agama atau mereka mungkin menuntut Ilmu Agama tetapi bukan daripada Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq, iaitu Guru yang mewarisi Nabi zahir dan batin, yang benar2 berpegang kepada Ahlus Sunnah, sebaliknya Guru mereka adalah Ulama as-su' (ulama jahat), Ustad2 Wahhabiyyah (khawarij) atau Syi'ah (rafdhi) atau Sekular (liberal) atau lain2 yang telah difatwakan sesat.
(2) Gemar bergaul dengan pendokong kebatilan
Apabila seseorang selalu bergaul dengan pendokong-pendokong kebatilan dan kefasikan, maka sedikit sebanyak dia akan terkena penyakit mereka.
(3) Ingin habuan dunia
Mereka yang diberi amanah sebagai Ketua, Pemimpin, Raja, Sultan, Amir condong kepada dunia dan perhiasannya Mereka sibuk mencari dan mengaut keuntungan duniawi sehingga lupakan Jalan Allah, Jalan Rasulullah yang sebenar.
(4) Mencipta Jalan sendiri
Sebahagian cerdik pandai Agama (Prof, PhD, Drs dan lainnya) memperkenalkan berbagai sistem pendidikan ciptaan mereka berdasarkan pemikiran aqal mereka yang sempit. Setengahnya memperkenalkan berbagai kaedah falsafah jelas bertentangan dengan Tauhid.
Rawatan dan Penjagaan:
=======================
Rawatan dan penjagaan bagi hal yang telah disebutkan di sini sama sahaja dengan penjelasan berkenaan ucapan dan kata-kata yang membawa kerosakan kepada diri dan keluarga sesebuah masyarakat. Sila rujuk.
SIRI 272 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar 35 :
Muzik, Nyanyian, yang melalaikan
□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□
Definisi
======
Muzik ( مِعْزَفَةُ ) — Bunyi-bunyian berirama yang keluar dari alat muzik seperti gitar, biola, piano, gendang dll yang dibuat oleh manusia.
Nyanyian ( غِنَاء ) — Mengeluarkan suara yang mempunyai susunan kata dan alunan tertentu yang boleh menyentuh hati dan menggerakkan perasaan.
Sya'ir, Gurindam, Sajak atau lain-lain yang mempunyai melodi dan irama tertentu termasuk di dalam kategori nyanyian dan lagu.
Muzik dan Nyanyian yang dilarang serta mengakibatkan berbagai penyakit hati adalah Muzik dan Nyanyian yang melalaikan, leka, asyik dengan muzik dan yang akhirnya menimbulkan sifat nifaq (sifat munafiq).
Penjelasan
========
Pertama : Muzik dan Nyanyian berkait rapat dengan hati.
Muzik dan nyanyian dimasukkan di dalam bicara "Penyakit Hati", meskipun ianya berbentuk perbuatan fizikal, kerana kedua-duanya mempunyai hubungan erat dengan "hati" dan boleh membawa kepada "penyakit hati yang amat serius", iaitu menumbuhkan sifat Nifaq (sifat-sifat munafiq).
Ke-2 : Ulama berbeza pendapat
Ulama Ahlus Sunnah berbeza pendapat berhubung dengan hukum muzik, lagu dan nyanyian. Sebahagian mengharamkan dan sebahagian lagi menghukumnya halal tetapi dengan syarat-syarat tegas yang tertentu.
Ke-3 : Jumhur Ulama haramkan muzik dan nyanyian.
Jumhur Ulama mengharamkan muzik dan nyanyian kerana tiga sebab utama:
1. Menurut tradisi manusia, Ia merupakan perlakuan golongan fasiq yang gemar berhimpun dan berhibur dengan nyanyian berserta alat muzik, arak dan wanita.
2. Muzik dan nyanyian yang berpanjangan membawa kepada kelalaian dari mengingat Allah serta mendorong nafsu kepada perbuatan mungkar dan keji.
3. Muzik dan nyanyian menumbuhkan sifat nifaq dalam hati.
Ke-4 : Keharusan Muzik dan Nyanyian
Ulama Ahlus Sunah yang mengharuskan Muzik dan nyanyian menyebut syarat-syarat tegas yang wajib ditepati:
1. Mengandungi ungkapan memuji Allah dan Mengagungkan-Nya.
2. Mengandungi ungkapan Solawat atau memuji Rasulullah ﷺ
3. Menyeru kepada persaudaraan sesama Muslim dan berbuat baik kepada sekalian makhluq.
4. Semarakkan semangat untuk jihad fi sabilillah di medan perang
5. Di dalam perhimpunan Nasyid atau Solawat, lelaki dan wanita wajib dipisahkan. Dilarang wanita membuat persembahan di hadapan lelaki ajnabi, meskipun berunsur Nasyid kerana suara wanita yang lemah gemalai adalah haram diperdengarkan kepada lelaki ajnabi.
6. Alat muzik yang diharuskan adalah gendang, rebana, Tabla dsb. Alat muzik yang dilarang adalah: Alat muzik bertali seperti gitar, biola dsb d larang.
Ke-5 : Muzik dan nyanyian DIHARAMKAN apabila mengandungi unsur-unsur berikut:
1. Ungkapan memuja makhluk - manusia, jinn atau memuja syaitan.
2. Ungkapan memuji-muji kecantikan wanita yang mendorong kekejian atau kemungkaran.
3. Ungkapan menyebut hubungan laki-wanita yang menarik kepada zina atau kekejian lain.
4. Ungkapan menyeru kepada ma'siat khususnya arak, judi, zina dll.
5. Ungkapan yang membawa makna kufur / syirik.
6. Ungkapan meremehkan Al Qur'an, Sunnah dan hukum-hakam Agama.
7. Ungkapan menentang Allah dan Rasul-Nya atau Ulama Pewaris Nabi yang siddiq.
Ke-6 : Hukum Muzik dan Menyanyi seorang diri.
Menyanyi sendirian di rumah (lelaki atau wanita) harus selama TIDAK mengandungi unsur-unsur ma'siat atau kekufuran seperti tersebut di atas.
SIRI 273 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar 35 :
Muzik, Nyanyian, yang melalaikan
....sambungan....
Ke 7 : Wanita menyanyi depan ajnabi
Wanita menyanyi di khalayak ramai (di hadapan lelaki ajnabi) adalah haram. Walaupun nyanyian itu berupa Nasyid, sama saja hukumnya. Ini kerana suara wanita berirama, lemah gemalai adalah haram diperdengarkan kepada lelaki bukan mahram.
Ibn Jarir At Tabari:
Suara wanita yang dilembutkan dengan sengaja, dimanjakan dan dimerdukan. Ianya adalah diharamkan untuk diperdengarkan kepada khalayak lelaki secara Ijma’ selama-lamanya.
[Tafsir At-Tabari ]
Ke-8 : Berhimpun untuk Majlis Bacaan Solawat, Qosidah, Barzanji dsb
Majlis-majlis seperti ini adalah Perhimpunan terpuji selama mematuhi syarat-syarat seperti yang telah disebutkan pada awalnya. Jika terjadi pelanggaran terhadap syarat-syarat tersebut seperti : campur lelaki wanita, pandangan memandang antara jantina berlainan, wanita menjadi penyanyi Nasyid, dsb. maka hilanglah keberkatan Majlis tersebut sebaliknya bertukar menjadi perjumpaan ma'siat.
Ke-9 : Berhimpun untuk muzik dan nyanyian selainnya.
Berhimpun ramai-ramai untuk tujuan mengadakan muzik dan nyanyian (selain dari tujuan berzikir atau bersolawat atau lain-lain sepertinya) adalah jelas dilarang kerana menyerupai golongan fasiq yang sering berkumpul untuk mengadakan nyanyian dan bermuzik.
Menurut hukum syara', laki2 dan wanita berhimpuan di suatu tempat mesti ada sebab-sebab yang diharuskan pada syara' seperti menuntut Ilmu, untuk rawatan, untuk urusan kehidupan yang lain yang harus.
Sedangkan berhimpun antara lelaki dan wanita untuk mendengar nyanyian dan muzik BUKAN suatu yang di haruskan. Bahkan yang jelas adalah : Banyak hal-hal buruk dan keji terjadi di tempat-tempat perhimpunan lelaki-wanita seperti yang disaksikan pada zaman ini.
Ke-10 : Mendengar muzik dan nyanyian di media elektronik.
Mendengar lagu, nyanyian, muzik di dalam TV, internet, radio dll adalah harus selama TIDAK wujud unsur-unsur kelalaian, ma'siat atau syirik / kufur seperti yang disebut sebelum ini.
Imam Ghazali mempunyai hujjah yang bagus dalam hal ini. Mendengar irama muzik atau nyanyian seseorang adalah sama seperti mendengar siulan burung atau suara desiran ombak.
Walau bagaimanapun, perkataan Imam Ghazali perlu kepada penjelasan tambahan:
1. Maksud diharuskan mendengar nyanyian orang lain adalah nyanyian menerusi media2 letronik seperti TV, radio dll dan BUKAN hadir di dalam perhimpunan manusia yang dendangkan lagu2 serta muzik.
2. Tidak bawa kepada lalai dari zikrullah.
3. Tidak abaikan atau lewatkan kewajipan / ibadah fardhu.
4. Tidak berpanjangan mendengar lagu sehingga masuk kepada batas dilarang kerana mensia-siakan waktu.
5. Niat dan tujuan sebagai menghibur hati dan minda yang kepenatan.
■ Sekiranya seseorang yang mendengar muzik atau lagu, TIDAK mematuhi syarat2 tersebut, maka dikhuatiri masuk kepada yang diharamkan dan menumbuhkan sifat nifaq (munafiq). Wal Iyazubillah.
SIRI 274 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar 35 : Muzik, Nyanyian, yang melalaikan
....sambungan....
Dalil diharamkan Muzik dan Nyanyian
============================
Dalil 1 : Firman Allah:
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَشۡتَرِى لَهۡوَ ٱلۡحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ بِغَيۡرِ عِلۡمٍ۬ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًاۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ لَهُمۡ عَذَابٌ۬ مُّهِينٌ۬
“Dan di antara manusia ada orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu ejekan. Mereka itu akan memperoleh adzab yang menghinakan.”
[Luqman (31) : Ayat 6]
Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu :
"Ungkapan " لَهۡوَ ٱلۡحَدِيثِ (lahwal hadith) " adalah bermaksud : cerita dongeng, pembohongan dan nyanyian"
[Tafsir Ibn Abbas]
Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu :
"Bahkan lbnu Mas'ud bersumpah dengan nama Allah Yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, sebanyak tiga kali bahwa maksud Firman Allah " لَهۡوَ ٱلۡحَدِيثِ " adalah nyanyian. Imam Hasan berkata maksudnya adalah muzik dan nyanyian"
[Tafsir Qurthubi]
Dalil 2 : Rasulullah ﷺ bersabda :
“Sesungguhnya akan ada di kalangan ummatku golongan yang menghalalkan zina, sutera, arak, dan alat-alat muzik.”
[Imam Bukhari]
Dalil 3 : Rasulullah ﷺ bersabda :
“Sesungguhnya Allah mengharamkan nyanyian-nyanyian dan menjual belikannya, mempelajarinya atau mendengarkannya.” Kemudian Baginda membacakan ayat di atas."
[Imam Ibnu Abi Dunya].
Dalil 4 : Rasulullah ﷺ bersabda :
"Akan datang masanya di mana beberapa golongan orang-orang dari ummat-ku akan meminum khamar yang mereka menamakannya dengan selain namanya, di atas kepala mereka rentak-rentak muzik dan nyanyian-nyanyian para wanita, nanti Allah akan tengelamkan mereka ke dalam bumi, dan akan menjadikan mereka itu monyet dan babi.”
[Imam Ibn Majah]
Dalil 5 : Rasulullah ﷺ bersabda :
"Janganlah kalian menjual penyanyi-penyanyi wanita, atau membeli mereka, atau mengajar mereka menyanyi. Tidak ada kebaikan pada urus niaga melibatkan mereka, dan nilaian harga mereka adalah haram. Dan kerana hal seumpama inilah diturunkan ayat [Luqman (31) ; ayat 6]
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَشۡتَرِى لَهۡوَ ٱلۡحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ بِغَيۡرِ عِلۡمٍ۬ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًاۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ لَهُمۡ عَذَابٌ۬ مُّهِينٌ
[Imam At-Tirmizi]
Berkata Imam Nawawi Radhiallahu anhu:
"Para ulama bersepakat atas haramnya upah yang diperoleh oleh penyanyi dalam aktiviti nyanyian."
[Syarah Muslim]
Dalil dihalalkan Muzik dan Nyanyian:
===========================
Hadith Rasulullah ﷺ
daripada Aisyah Radhiallahu anha :
"Suatu hari Abu Bakar Radhiallahu datang melawatnya pada hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, dan Nabi Muhammad ﷺ ada bersamanya pada hari itu. Bersama Aisyah juga ada dua orang penyanyi wanita yang sedang menyanyikan lagu kaum Ansar tentang hari Bu’ath. Maka Abu Bakar pun berkata “seruling syaitan” sebanyak dua kali. Maka Nabi ﷺ pun berkata “biarkan mereka berdua wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum ada hari perayaan, dan hari ini merupakan hari raya bagi kita.”
[Imam Bukhari, Imam Muslim]
SIRI 275 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar 35 : Muzik, Nyanyian, yang melalaikan
....sambungan....
Rawatan dan Penjagaan:
==================
(1) Ibu bapa mempunyai peranan asas yang paling besar di dalam hal ini. Mereka wajib mendidik anak-anak dengan Agama dan jauhkan segala macam cita-cita anak mereka menjadikan muzik dan nyanyian sebagai mata pencarian.
(2) Jauhkan diri daripada bertolong-tolongan kepada mendirikan bangunan atau tempat-tempat dipersaksikan muzik dan nyanyian yang dilarang iaitu muzik dan nyanyian yang menjerumuskan kepada kemungkaran. Orang yang bertolong-tolongan untuk mendirikan kemungkaran mendapat dosa sama seperti orang yang memperbuatnya.
(3) Setiap orang Islam wajib mencegah apa sahaja perhimpunan mungkar mengikut kemampuan masing-masing. Di dalam hal ini amanah paling besar terletak atas bahu Pemimpin — sama ada dia pemimpin masyarakat, menteri-menteri, pegawai-pegawai Agama, Perdana Menteri dan Raja-raja. Jika "kepala-kepala" ini mendiamkan diri tak berusaha untuk mencegahnya, maka bala Allah akan turun meratai seluruh penduduk negeri tersebut.
Firman Allah تَعَالَى
وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَڪُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ
"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan."
[Hud (11) ; ayat 113]
Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu :
"Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, iaitu janganlah kalian minta pertolongan kepada orang-orang yang zalim, kerana seakan-akan kamu rela kepada amal perbuatan mereka".
[Tafsir Ibn Abbas]
Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu :
"Ertinya Jangan condong kepada orang berbuat zalim dan kekufuran. Semua makna ini berdekatan. Ibnu Zaid berkata : Firman Allah "الرُّكُونُ " bermaksud menjadi penjilat. "
[Tafsir Jaami' Li-Ahkam]
Rasulullah ﷺ bersabda :
“Sesungguhnya jika manusia melihat seseorang melakukan kezaliman, kemudian mereka tidak mencegah orang itu, maka Allah akan meratakan adzab kepada mereka semua.
[Imam Dawud, Imam At-Tirmizi]
Rasulullah ﷺ bersabda :
“Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lisannya, dan sekiranya dia tidak mampu (juga), maka dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah keimanan.”
[ Imam Muslim]
Sabda Rasulullah ﷺ:
“Tiada sayugia bagi manusia yang menyaksikan suatu tempat, yang padanya ada kebenaran, melainkan mengatakan kebenaran itu. Kerana sesungguhnya yang demikian tiada akan mendahulukan ajalnya dan tidak akan menghalangi rezeki yang teruntuk baginya.
[Imam Al-Baihaqi, Imam At-Tirmizi]
Berkata Kata Imam Ghazali :
Hadith ini menunjukkan bahawa tidak boleh masuk ke rumah orang zalim, orang fasiq, dan tidak boleh menghadiri tempat-tempat yang dipersaksikan perbuatan mungkar padanya. Dan dia tidak sanggup merobahnya. Kerana Nabi ﷺ bersabda : “La’nat (azab) akan turun kepada orang yang menghadirinya.” Dan tidak boleh menyaksikan perbuatan mungkar, tanpa ada keperluan, dengan alasan lemah dari mencegahnya.”
[Ihya Ulumuddin , Kitab Amr Ma’ruf Nahyi Anil Mungkar]
SIRI 276 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar 36 :
Tidak Redha dengan Taqdir
□□□□□□□□□□□□□□□□□□□
Definisi
======
Definisi Taqdir:
Definisi Taqdir sudah diperincikan pada Bab Dosa Besar ke-32. Sila rujuk di sana.
Definisi Tidak redha dengan Taqdir :
Tidak redha dengan Taqdir adalah bermaksud "menyalahkan suatu ketentuan Allah ke atas dirinya" atau "menyumpah-nyumpah suatu nasib yang tidak disenanginya" atau "keinginan yang kuat memiliki Taqdir orang lain" atau menganggap "Taqdir Allah yang terkena pada dirinya sebagai tidak adil".
Penjelasan
========
Pertama :
Perbincangan di sini berkenaan "Dosa besar akibat tidak redha dengan Taqdir Allah" adalah berbeza dengan perbincangan berkenaan "Dosa Dustakan Taqdir" pada no. 32.
Tajamkan pandangan : Kedua-dua perbincangan ini jauh beza kerana Perbincangan pada Dosa Besar no. 32 adalah berkenaan berbagai kelompok yang sesat akibat "Mendustakan terus Qadha dan Qadar" iaitu enggan percaya kepada Taqdir Allah atau memahami Taqdir dengan cara yang batil.
Sedangkan perbincangan di sini adalah di dalam kelompok Ahlus Sunnah sendiri. Akibat daripada kejahilan, sebahagian pendokong Ahlus Sunnah sendiri terjatuh kepada Dosa Besar tanpa mereka sedari.
Kedua :
Sebagaimana sudah disebutkan terdahulu, setengah daripada tanda orang beriman adalah meyakini sungguh-sungguh akan Taqdir / Qadha Qadar / ketentuan Allah ke atas dirinya dan sekalian makhluq Allah atas muka bumi sejak Azali. Iaitu memandang bahawa setiap peristiwa yang terjadi adalah pada haqiqatnya Af'al Allah (Perbuatan Allah) yang takluk (terhubung) kepada Ilmu, Iradat dan Qudrat Allah.
Ketiga :
Setiap orang beriman WAJIB redha dengan sekalian ketentuan Allah ke atasnya ; sama ada yang di senanginya atau tidak disenanginya, sama ada Taqdir berupa kejayaan dan kemenangan atau Taqdir berupa kegagalan dan kerugian.
SIRI 277 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar 36 :
Tidak Redha dengan Taqdir
.....Sambungan.....
Keempat:
Perbincangan berkenaan "Dosa Besar akibat Tidak redha dengan Taqdir" ini mempunyai hubungan erat dengan beberapa hal berkaitan dengan Penciptaan dan Kebijaksanaan Allah, di antaranya:
(1) Allah Ta'ala menciptakan sekalian makhluq dan mencukupkan segala keperluan hidupnya.
(2) Allah Ta'ala Maha Mentadbir sekalian alam tanpa sebarang kecacatan dengan penuh kebijaksanaan.
(3) Allah Ta'ala Mentadbir sekalian makhluq menurut Kehendak-Nya dan BUKAN menurut kehendak makhluq.
(4) Jika kamu menghitung Ni'mat Allah, nescaya kamu takkan mampu menghitungnya.
(5) Jangan melirik pandangan kepada rezeki yang Allah Kurniakan kepada manusia lain.
(6) Jangan menilai Taqdir Allah berdasarkan sangkaan kamu.
Kamu menyangka suatu hal itu baik sedangkan boleh jadi sebaliknya.
(7) Jangan harap dan menuntut-nuntut apa yang ada di tangan manusia lain.
(8) Allah tidak ditanya tentang apa yang Dia Perbuat, tetapi kamu akan ditanya tentang apa yang kamu perbuat.
(9) Sentiasa Syukur atas Nikmat Kurniaan Allah. Jangan sesekali Kufur Ni'matnya.
(10) Apa sahaja kesusahan hidup, kecelakaan, kekurangan harta, kematian seseorang yang kamu kasihi dan lainnya adalah mengandungi hikmah yang besar yang hanya Allah Ta'ala Maha Mengetahui Rahsianya.
Kelima:
Barangsiapa serah diri kepada Allah dan sentiasa waspada dengan sekalian Taqdir yang terjadi ke atasnya, maka dia akan memperoleh Keredhaan Allah. Sedangkan orang yang sering mempertikaikan Taqdir Allah, atau menyalahkan Taqdir, atau menganggap Taqdir yang menimpanya sebagai tidak adil, atau lain-lain yang sama maksud dengannya. maka dia akan menanggung dosa yang amat besar, bahkan akan rosak Imannya. Wal Iyazubillah.
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Jangan kamu salahkan Tuhan atas apa sahaja Taqdir-Nya bagimu dan atas ujian yang ditimpakan-Nya kepadamu. Sebutlah semua kebaikan yang Dia Limpahkan kepadamu. dan segala puji syukurmu atas semua itu. Adakah ciptaan yang sunyi dari Rahmat Allah? Allah Berfirman :
وَإِن تَعُدُّواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ لَا تُحۡصُوهَآۗ
"Dan jika kamu menghitung-hitung Nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menghitungnya."
[Ibrahim (14) : ayat 34]
Apabila kamu mengeluh kepada Allah (akan Taqdir-Nya yang kamu tidak senangi), sedangkan kamu menikmati Rahmat-Nya, kamu menutup mata atas segala Kurnia-Nya, nescaya Allah Ta'ala Murka kepadamu dan mencabut kembali Nikmat-Nya dari kamu, melipatgandakan kesusahan, hukuman dan Kebencian-Nya kepadamu. Akibatnya kamu menjadi hina pada Pandangan-Nya."
[Futuhul-Ghaib]
SIRI 278 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar 36 :
Tidak Redha dengan Taqdir
.....Sambungan.....
Contoh-contoh tidak redha dengan Taqdir
==============================
Berikut adalah beberapa contoh yang lazim terjadi di kalangan manusia berhubung dengan ketentuan Allah yang berlawanan dengan kehendak, cita-cita dan harapan mereka. Manusia menyangka mereka mesti memperoleh sesuatu yang mereka inginkan. Apabila gagal mencapainya, mereka terus menyalahkan Taqdir. Mereka mempersoalkan keadilan Allah. Mereka mempertikaikan suatu nasib buruk yang menimpa mereka.
Contoh 1
Dua orang pelajar sekolah atau Universiti sama-sama belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan. Seorang mendapat kejayaan cemerlang sedangkan seorang lagi gagal atau tidak berjaya mencapai keputusan cemerlang seperti kawannya. Orang yang gagal ini tak boleh menerima kenyataan, lalu dia mempertikaikan Taqdir dan menyangka Allah tidak adil. Ini kekufuran yang membawa kebinasaan.
Contoh 2
Seorang peniaga yang bekerja sungguh-sungguh mencari rezeki, tetapi tetap miskin. Hidupnya sangat susah dan dhaif. Walaupun dia cuba macam-macam cara untuk memajukan pernigaannya dan mengecapi kekayaan seperti orang lain, namun keadaannya tetap sama. Lalu dia berkata di dalam hati Allah tidak adil. Ini kata-kata kufur yang menunjukkan tidak redha dengan ketentuan Allah ke atasnya.
Contoh 3
Menjadi suatu kelaziman, sebahagian Salikin (murid pada jalan Ma'rifat) yang sudah lama mujahadah pada Jalan Ma'rifat merasa hairan dengan ketentuan Allah. Salikin yang datang kemudian semuanya mencapai kejayaan yang baik. Sedangkan dirinya yang sudah lama mujahadah masih di peringkat yang lama. Maka datang sangkaan buruk di dalam hatinya terhadap ketentuan Allah. Ini menunjukkan dia tidak redha dengan Taqdir,
Contoh 1-3 di atas menunjukkan keimanan yang rapuh, Tauhid yang sangat lemah. Inilah keimanan orang awam yang sentiasa terumbang-ambing di antara "Tauhid dan syirik (syirik khafi) atau di antara "Iman dan nifaq (munafiq kecil). Mereka gagal melihat bahawa Allah Yang Maha Perkasa Ciptakan sekalian makhluq dan menentukan kedudukan dan kadarnya. Dia (Allah) Mengurniakan Rezeki kepada sesiapa yang di Kehendaki-Nya dan menarik Rezeki daripada sesiapa yang di Kehendaki-Nya. Dia (Allah) Meninggikan kedudukan seseorang dan Dia (Allah) juga Maha Berkuasa Menjatuhkannya. Tiada siapa pun berhak campur tangan di dalam Urusan Qadha dan Qadar yang Allah tetapkan.
Firman Allah Ta’ala :
إِنَّ اللَّهَ بَـلِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍ قَدْراً
Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
[At-Talaq (65) : Ayat 3]
Firman Allah Ta’ala :
قُلِ ٱللَّهُمَّ مَـٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِى ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬
"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
[Aali- Imran (3) ; Ayat 26]
Sabda Rasulullah ﷺ
“Allah Ta'ala telah menulis Taqdir makhluq sebelum Dia (Allah) mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan Arasy-Nya berada di atas air”.
[Imam Muslim].
SIRI 279 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar 36 :
Tidak Redha dengan Taqdir
.....Sambungan.....
Contoh 4
Seorang abid (taat beribadah), sentiasa puasa sunnat dan hidupkan solat malam, dan jauhi sekalian ma'siat, merasa hairan melihat jirannya yang tak kuat ibadah tetapi sangat kaya-raya dan hidup mewah. Mereka sering melancong ke sana sini dengan penuh keriangan. Maka timbul sangkaan di dalam hatinya bahwa Allah tidak adil. Dia menyangka dirinya yang selalu ta'at dan sungguh-sungguh beribadah sepatutnya mengecapi kebahagiaan tersebut.
Sesungguhnya si abid ini tertipu. Allah Ta'ala Kurniakan berbagai Nikmat kepada manusia bukan kerana amal ibadahnya, bukan kerana kebaikan yang diperbuatnya dan bukan kerana ketinggian kedudukannya pada pandangan mata manusia. Tetapi ianya adalah semata-mata kerana Rahmat-Nya yang Maha Luas. Keadaan kamu yang miskin dan dhaif, meskipun kamu melakukan ketaatan merupakan dugaan Allah ke atas kamu. Jika kamu bersabar dan terus cekal hati di dalam ubudiyyah kepada Allah Ta'ala, maka kamu akan mencapai kejayaan. Sebaliknya jika kamu merungut dan menyalahkan Taqdir, maka pintu kebinasaan terbuka luas untuk kamu. Wal Iyazubillah.
Firman Allah :
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ
“Sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan khabar gembira bagi orang-orang yang bersabar”.
[Al Baqarah (2) : Ayat 155]
Contoh 5
Terkait dengan contoh 4 di atas, orang Islam secara umumnya hidup di dalam kepayahan, kemiskinan atau serba kekurangan. Sedangkan orang-orang fasiq, zalim dan kafir hidup di dalam kesenangan, kemewahan dan kaya-raya. Sehingga timbul rasa tak puas hati dikalangan orang-orang Islam. Mereka tidak redha dengan Ketentuan Allah. Mereka sering mempersoalkan di dalam hati mengapa Allah Ta'ala Memberikan kekayaan kepada orang-orang kafir sedangkan mereka terang-terangan menentang Allah dan Rasul-Nya. Bagi orang-orang Islam awam ini, memadai peringatan Allah ini...!
Firman Allah :
وَلَا تَمُدَّنَّ عَيۡنَيۡكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعۡنَا بِهِۦۤ أَزۡوَٲجً۬ا مِّنۡہُمۡ زَهۡرَةَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا لِنَفۡتِنَہُمۡ فِيهِۚ وَرِزۡقُ رَبِّكَ خَيۡرٌ۬ وَأَبۡقَىٰ
"Dan janganlah engkau melirik (menujukan) pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di Akhirat lebih baik dan lebih kekal."
[Ta-ha (20) : Ayat 131]
Rasulullah ﷺ bersabda:
Dari ‘Uqbah bin ‘Amir Radhiallahu anhu, Rasulullah ﷺ bersabda: “Bila kamu melihat Allah Ta'ala Mengurniakan pada hamba (kemewahan, kelazatan, kenikmatan) dunia yang diinginkannya, padahal dia terus melakukan ma'siat (kekufuran, kefasikan, kezaliman) kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahwa yang demikian itu adalah istidraj dari Allah (kelangsungan atau Kurnia Allah di dalam Kemurkaan-Nya).” Kemudian Rasulullah ﷺ membaca Firman Allah : , فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ
[Al-An'am (6) : Ayat 44] “Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)."
[Imam Ahmad, Imam At-Thabarani, Imam Baihaqi]
SIRI 280 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar 36 :
Tidak Redha dengan Taqdir
.....Sambungan.....
Contoh 6
Allah Ta'ala menguji orang-orang beriman dengan berbagai musibah — kesakitan, kemalangan, kematian ibu bapa, suami, isteri, anak-anak dll. Oleh kerana tak tahan dengan penderitaan yang dialami mereka sering mengeluarkan kata-kata menyalahkan Taqdir dan tidak meredhai ketentuan-Nya. Misalnya seseorang berkata :
"Apalah nasibku. Lepas ini siapa yang akan jaga aku dan bagi aku makan."
atau dia berkata : "Tuhan tak adil, mengapa dia mengambil orang yang aku sayang."
atau dia berkata : "Aku sudah tunaikan semua kewajipan, kenapa Tuhan tak kabulkan doaku."
Sesungguhnya semua ucapan tersebut atau ucapan-ucapan lain sepertinya adalah ucapan-ucapan kufur yang boleh membinasakan Iman seseorang.
Sebagaimana kami huraikan di dalam Bab Taqdir — ketentuan Allah ke atas makhluq, Allah Ta'ala memperbuat sesuatu menurut Kehendak-Nya, bukan menurut kemahuan makhluq. Semua Ketentuan Allah mengandungi hikmah dan rahsia-rahsia yang sangat tersembunyi yang tidak diketahui oleh manusia. Ketika ditimpa suatu musibah, jika mereka bersabar dan tawakkal penuh kepada Allah sambil berusaha menurut Perintah-Nya, maka mereka dijanjikan dengan tiga macam kebaikan :
Pertama : Dihapuskan dosa (dosa kecil)
Kedua : Diberikan ganjaran pahala.
Ketiga : Diberikan kebaikan Darjat keimanan.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan, Allah akan memberinya musibah.”
[Imam Bukhari]
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Tidaklah seorang mukmin itu ditimpa kepenatan, kesakitan, perkara yang tidak disukainya, kesedihan, bahaya (yang disebabkan oleh orang lain) dan kerisauan, hatta duri yang mencucuknya kecuali Allah akan mengampunkan dosa-dosanya.”
[Imam Bukhari, Imam Muslim]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Senantiasa ujian itu menerpa mukmin atau mukminah pada jasadnya, harta dan anaknya sampai ia bertemu dengan Allah dalam keadaan tidak mempunyai dosa.”
[Imam Ahmad dan Imam Tirmidzi]
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya, melainkan dihapuskan oleh Allah Ta'ala dosa-dosanya, seperti sebatang pohon yang menggugurkan daunnya."
[Imam Muslim]
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Tidaklah seorang muslim tertusuk duri atau yang Iebih kecil dari itu, melainkan akan ditulis baginya satu derajat dan akan dihapus satu kesalahannya."
[Imam Muslim]
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Tidak ada satupun musibah (cobaan) yang menimpa seorang muslim berupa duri atau yang semisalnya, melainkan dengannya Allah akan mengangkat derajatnya atau menghapus kesalahannya."
[Imam Muslim]
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Tidak ada penderitaan, kesengsaraan, sakit, kesedihan dan bahkan juga kekalutan yang menimpa seorang mukmin, melainkan dengan semua itu dihapuskan sebahagian dosanya."
[Imam Muslim].
Bersambung siri 281 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment