B1: PENYAKIT HATI MANUSIA BAHAYA YANG TAK DISEDARI

 

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI MANUSIA BAHAYA YANG TAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


Susunan

Shaikh Sayyid Abu Tohir

Mursyid Silsilah Naqsyabandiah

Al-Kholidiyah


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


اَلْحَمْدُلِلّهِ الَّذِيْ أَنْعَمَنَا بِنِعْمَةِ اْلإِيْمَانِ وَالْمَعْرِفَة

وَالْاِسْتِقاَمَةَ عَلَى الشَّرِيْعَةِ وَالطَّرِيْقَةِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اَللّه عَلَيهِ وَسَلَّم


اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الْفَاتِحِ لِمَا أَغْلَقَ الْخَاتِمِ   لِمَا سَبَقَ  اَلنَّاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ الْهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ الْمَسْتَقِيْمِ وَعَلىَ آلِهِ وَصَحْبِهِ  حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ الْعَظِيْمٌَ


SIRI 1 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


□□□□□□□□□□□□□□

1.0 MUQADDIMAH

□□□□□□□□□□□□□□


Allah Azza Wa Jalla Yang Maha Perkasa turunkan peringatan sejagat kepada sekalian manusia, khususnya orang2 beriman....


✨🕌✨ Firman Allah :

قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا   وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا

“Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan merugilah orang yang mengotorinya”

[Asy-Syams (91) : ayat 9-10]


Ayat yang cukup pendek, tetapi membawa makna yang sangat mendalam.    Bahkan boleh dikatakan inilah intisari Agama, intisari TAUHID, intisari IBADAH,  intisari kehidupan dan kesudahan INSAN.  


Isyarat Pertama adalah UNTUNG atau RUGI:

Apakah yang dimaksudkan dengan "beruntung" dan apakah maksud "merugi"?

Apakah hakikat UNTUNG dan apakah hakikat "RUGI"?

Siapakah yang untung dan siapakah yang rugi?

Bagaimanakah cara mencapai keberuntungan?

Bagaimanakah pula seseorang itu merugi?


Isyarat kedua adalah HATI menjadi  kotor:

Apakah makna HATI kotor,?

Bagaimanakah HATI  menjadi kotor?

Apakah anasir2 yang menjadikan HATI itu kotor?

Apakah akibat HATI yang kotor?


Isyarat Ketiga adalah Perintah Sucikan HATI:

Apakah makna sucikan HATI?

Bagaimanakah sucikan HATI ?

Apakah alat sucikan HATI?

Apakah tanda2 HATI telah suci?


Analogi Penyakit Jasmani dan Penyakit Ruhani:

Menggulung sekalian persoalan AGUNG ini, mari kita perhatikan suatu analogi yang berhubung dengan kehidupan di dunia bagi mendekatkan faham.

Apabila seseorang dihidapi penyakit jasmani ( tubuh badannya) yang berat, maka dia akan dibawa segera ke hospital untuk dirawat. Penyakitnya perlu dirawat segera kerana kelambatan akan membawa "maut" atau cederanya akan lebih parah.  Doktor yang merawatnya mestilah orang yang pakar di dalam rawatan disebabkan seriusnya penyakit yang menimpa pesakit. Ubat-Ubatannya perlu yang  terbaik.  Pesakit itu diberi rawatan dan penjagaan rapi sehingga dia benar2 sembuh.

Cuba perhatikan beberapa kunci di dalam analogi ini:

1.  Penyakit yang serius

2. Rawatan segera kerana penyakitnya  mengancam nyawa

3. Ubat dan penawar yang terbaik

4. Penjagaan yang rapi dan terkawal

5. Doktor pakar

Demikanlah keadaan cemas dan bergegasnya seseorang atau satu keluarga, bahkan satu masyarakat  apabila ditimpa penyakit jasmani yang mengancam nyawanya.   Begitu banyak usaha dan pengorbanan perlu dilakukan untuk menyelamatkan satu jiwa.  Begitu banyak belanja dikeluarkan.  


Bagaimanakah pula dengan "Penyakit Hati"  yang menimpa manusia?    Setiap manusia tidak terlepas dari penyakit HATI.  Akibat dari penyakit HATI manusia, terjadi berbagai kerosakan kepada dirinya dan atas muka bumi.  Penyakit HATI ini menyebabkan seseorang itu menjadi zalim dan rakus akan dunia.  Penyakit HATI membawa kepada berbagai kerosakan pada IMAN dan kemusnahan  Ibadah.    Penyakit HATI mebawa kepada kefasikan, kemunafikan atau kekafiran.


Penyakit jasad akan membawa "maut" dengan terpisahnya nyawa, tetapi "penyakit HATI"  akan membawa "MAUT" kepada IMAN (TAUHID).  Namun kebanyakan manusia TIDAK menyedarinya.  Sebahagian orang menyedarinya tetapi TIDAK peduli kerana bukan jasadnya yang sakit.   Sebahagian orang lain menyedarinya dan ingin merawat HATINYA yang sakit, namun tak berjumpa "doktor pakar" yang mampu merawatnya.


SIRI 2 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□

2.0 FAKTA PENYAKIT HATI DAN BAHAYANYA

□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□


✨🕌✨ Firman Allah :

يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ۬ وَلَا بَنُونَ (٨٨) إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٍ۬ سَلِيمٍ۬ (٨٩)

"Pada hari itu tiada berguna harta benda dan anak-pinak,    kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari berbagai penyakit hati berupa syirik khafi, mazmumah  dan penyakit munafiq).

[Asy-Syu'ara (26) : ayat 88-89]


Fakta 1:  Setiap manusia tidak terlepas dari penyakit HATI.


Fakta 2:  Penyakit HATI manusia lebih merbahaya dari penyakit TUBUH Jasmani, tetapi kebanyakan manusia TIDAK menyedarinya.     


Fakta 3:   Penyakit pada  tubuh hanya membawa  "MAUT"   dengan bercerai nyawa.  Tetapi penyakit HATI boleh membawa "MAUT"   kepada "IMAN" (TAUHID),  kebinasaan selama2nya, rugi dunia akhirat.     Wal Iyazubillah.


Fakta 4:  Terdapat sekurang2nya  Lima  macam penyakit HATI yang paling bahaya kepada Keimanan /  Tauhid iaitu:  

        1. Syirik khafi (syirik tersembunyi)

        2. Mazmumah (sifat2 keji)

        3. Ma'siat (dosa2 umum)

        4. Ghaflah (kelalaian)   

        5. Aghyar (sekalian suatu selain Allah)   


Fakta 5:  Semua dosa HATI tersebut di atas adalah DOSA BESAR,   tetapi sebahagian besar Ummat tidak menyedarinya. 


Fakta 6:  Dosa2 HATI boleh membawa kepada BATAL IMAN dan hangus segala amal kebaikannya.    Wal Iyazubillah.  


Fakta 7:  Orang yang beruntung dan selamat dunia akhirat adalah orang yang  berusaha sungguh2 menyucikan HATINYA. 


Fakta 8:  Jalan untuk menyucikan HATI  telah ditunjukkan  oleh Junjungan Besar Rasulullah ﷺ.  Baginda adalah doktor keruhanian dan  pakar hal ehwal hati manusia,     Obat dan Penawar mujarab bagi mengubati sekalian penyakit HATI manusia tersimpan di dalam dada Rasulullah ﷺ.    Kepakaran Rasulullah ﷺ ini kemudian diwairisi oleh Khulafa Ar-Rasyidin dengan cara yang amat seni, rahsia dan terpelihara keasliannya.  Setelah kewafatan para Sahabat Khulafa Ar-Rasyidin,  kepakaran Rasulullah ﷺ diwarisi oleh Tabiin, Tabiit-Tabiin, Imam dan Shaikh yang  kemudiannya di- kenali sebagai Mursyid yang siddiq (Pewaris Nabi yang Muhaqqiq).


Fakta 9:  Semua orang Islam perlu mencari  Mursyid yang siddiq (Pewaris Nabi yang muhaqqiq) dan berusaha sungguh2 menyucikan HATI mereka.    Allah Ta'ala Kurniakan Mursyid yang siddiq  kelengkapan yang memadai bagi memproses HATI manusia menjadi suci dan  bercahaya sebagaimana tuntutan Allah Ta'ala.


Fakta 10:   Himpunan  Sistem penyucian HATI inilah  dinamakan Toriqat Rasulullah ﷺ.  Toriqat Rasulullah ﷺ adalah SISTEM Tarbiyyah terunggul untuk mendidik, mengasuh dan menyucikan HATI manusia,  sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Ta'ala kepada Baginda melalui Wahyu pertama Kalimat Iqra'.  (akan datang penjelasan)


Toriqat Rasulullah  ﷺ yang sahih Mu'tabar adalah jalan  sebenar  bagi  ummat ini, namun kebanyakan  TIDAK memahaminya, ada pula yang lain mengejek dan engkarinya.   Bahkan tidak kurang menjadi penentangnya,   Wal Iyazubillah.


Jika ini pertama kalian mendengar penjelasan seperti ini,  sabarlah membaca dan cuba memahaminya perlahan-lahan. Segala penjelasan di sokong dengan Fatwa Ulama Mu'tabar Ahlus Sunnah yang telah masyhur nama mereka sepanjang zaman — antaranya:

Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani,

Al-Imam Al-Qutb Abu Hasan Asy-Syazili,

Al-Imam Al-Qutb Alwi Al-Haddad  

Al-Imam Junaid Al-Baghdadi,

Al-Imam Al Ghazali,

Al Imam Fakhruddin Ar-Razi, 

Al-Imam Sayuthi,

Al-Imam Nawawi,

Al-Imam Ibn Abideen,

Al-Imam Al-Alusi,

Al-Imam Qastolani,

Al-Imam Asy-Sya'rani,

Al-Imam Qusyairi,

Al-Imam Ibn Atho illah, 

Al-Imam Ibn Hajar Al-Haythami,

Al-Imam Romli.

moga Allah Ta'ala Redhai kesemua mereka.   


Mohon petunjuk Allah agar Dia Kurniakan faham akan Agama Suci ini.  


SIRI 3 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


□□□□□□□□□□□□□□□□□

3.0 ISTILAH PENTING

□□□□□□□□□□□□□□□□□


Sebelum meneruskan perbincangan berkenaan "Penyakit hati, dosa hati dan bahaya kepada Iman dan amal ibadah",  di sini kami kemukakan beberapa istilah yang mungkin akan berulang2.   Maka fahami- lah dahulu istilah2 ini supaya tidak menjadi pentanyaan berulang2 akan hal yang sama.


1. Syirik khafi

Syirik khafi adalah bermaksud "Syirik yang tersembunyi di dalam hati".    Kadangkala disebut "Syirik halus",  " Syirik kecil ".

Di sebut  "Syirik khafi" kerana syirik ini bangsa Hati dan tersembunyi di dalam hati.  Di dalam kebanyakan hal, syirik ini tidak kelihatan pada mata kasar disebabkan sifatnya yang tersembunyi,  kecuali sebahagian dari Syirik Khafi  itu dapat dikesan kewujudannya berdasarkan kesan2 dari perkataan,  perbuatan dan tingkah laku seseorang.

Disebut  "Syirik halus"    kerana sifatnya yang wujud secara "maknawi"  di dalam hati.  Berbeza dengan Syirik Jali atau dikenali juga sebagai Syirik Akbar, ini adalah Syirik yang terang2an terlihat pada perbuatan atau tingkah laku seseorang seperti " menyembah patung, menyembah matahari, atau lain2nya.

Disebut  "Syirik kecil"  kerana Syirik ini hanya batalkan amal ibadah  serta merosakkan Imannya,  tetapi TIDAK batalkan IMAN / TAUHID.  Orang yang melakukan syirik ini tetap beriman tetapi amal sekaliannya hangus bagaikan Api membakar kayu.


2. Mazmumah

Mazmumah adalah sifat2 keji di dalam HATI.

Sifat2 keji ini amat banyak, di antaranya tamak, bakhil,  hasad, khianat, adu domba,  mengumpat, cinta dunia, cinta pangkat dan banyak lagi.  Sifat2 keji merosak amal dan menjadi dosa besar.


3. Ma'siat batin

Ma'siat batin adalah dosa umum  lain yang terbit dari hati akibat keengkaran atau kekufuran kepada Allah.  Contoh ma'siat yang timbul dari hati kemudian terlihat di dalam perbuatan dan tingkah laku adalah :

Melakukan fitnah, Zalim, Mencaci maki, Menipu daya orang lain, dsb.  Semua ini tumbuh dari dalam hati yang kemudian mengerasi pada tingkah laku, sikap dan perbuatan.


4. Ghaflah

Ghaflah bermaksud kelalaian, iaitu lalainya hati dari ingat Allah Ta'ala.  Lalai terus dari mengingat Allah adalah setengah dari dosa besar.


5. Aghyar

Aghyar adalah sekalian suatu selain Allah.  Ertinya makhluq sekaliannya adalah disebut "aghyar"


SIRI 4 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


6. Iman / Tauhid / Ma'rifat

Ketiga2 istilah ini mendokong hakikat yang sama, tetapi lazimnya dibincangkan secara berasingan, menurut Disiplin  Ilmu Ahlus Sunnah Wal Jamaah.  


Iman adalah keyakinan yang mencengkam kuat di dalam hati akan kewujudan Allah dan sekalian yang ghaib.  

Iman juga dita'rifkan dengan  :

At-Tasdiq minal qalb  ( yaqin di dalam hati akan Kalimah لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ,)  At-Taqrir bil-lisan (Pengakuan dengan lisan akan  Kalimah لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ) dan Al- Amalu-bil-arkan (buktikan Pengakuan tersebut dengan amalkan tuntutan Kalimah  لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ). 


Tauhid adalah penghayatan kepada Keesaan Allah di dalam hati dan ruh dan Sirr (rahsia yang sangat dalam), BUKAN semata2 dalil aqal berkenaan Ketuhanan, atau semata2 pengakuan lisan atau semata2 teori berkenaan Tauhid.   Semua yang kemudian ini adalah Tauhid aqli, Tauhid semata2 pada aqal, BUKAN Tauhid sebenar. 

Tauhid yang sebenar menyatakan Keesaan Allah di dalam hati tanpa sedikit pun keraguan di dalam- nya.  

Tauhid yang hakiki / Tauhid yang sebenar hanya diperoleh oleh seseorang yang telah menyucikan hati- nya serta mujahadah sungguh2 melawan nafsu2 rendah pada waktu yang lama dengan bimbingan Mursyid yang Siddiq. (Pewaris Nabi yang Muhaqqiq).

Adapun Tauhid yang diperoleh dengan dalil hanya permulaan mengenal dan Tauhid kepada Allah, belum mencapai Tauhid yang hakiki. 


Ma'rifat adalah pencapaian Iman / Tauhid peringkat tinggi.  (akan datang penjelasan lanjut).    

Ma'rifat adalah Anugerah Allah kepada seseorang hamba Allah yang telah mujahadah lama pada Jalan Allah dengan pimpinan Pewaris Nabi yang Muhaqqiq yang dikenali sebagai Mursyid.  


Iman / Tauhid / Ma'rifat adalah pada hakikatnya Nur Rabbaniyyah iaitu cahaya Ketuhanan di dalam hati seseorang. Ukuran ketinggian Keimanan / Tauhid nya seseorang adalah mengikut besar kecilnya Cahaya ini di dalam hati  seseorang.  


7. Jalan Ma'rifat

Jalan  Ma'rifat atau dikenali juga sebagai Madrasah Ahli Sufi adalah sebenar2 Sistem Pendidikan Rasulullah ﷺ  mendidik para Sahabat Ridhwanullah.   Inilah Sistem Pendidikan keruhanian sebenar bersumber dari Wahyu dan Sunnah Rasulullah ﷺ.       Sistem Tarbiyyah ini kemudian diwarisi oleh para Sahabat, kemudian Tabiin, kemudian Tabiit Tabiin, kemudian Imam2 dan  Masyaikh yang di- panggil Mursyid yang Siddiq.     Pada setiap zaman di serata dunia pasti ada Pewaris Nabi yang di- panggil Mursyid menyambung tradisi suci ini sampai Qiamat.  Namun bilangan mereka sangat sedikit.


8. Orang Awam

Orang Islam yang hanya amalkan sebahagian Islam, iaitu bahagian Agama yang bersifat Syari'at zahir sahaja, sedangkan hal berkaitan batin hati mereka abaikan.  


9. Salikin

Orang Islam yang menempuh Jalan Ma'rifat dengan Pimpinan Mursyid yang Siddiq. Iman mereka lebih tinggi dari Iman orang Awam


10.  Ahli Ma'rifat

Adalah Hamba² Allah yang telah mencapai Maqam Mukasyafah Zat, iaitu MaqamTauhid tingkatan tertinggi.  Semua Rasul, Nabi dan Warisatul Anbiya (Mursyid yang siddiq) adalah Ahli Ma'rifat


11. Istidraj

Istidraj adalah kelangsungan Allah kepada seseorang atau dalam maksud lain Allah Ta'ala biarkan seseorang di dalam kesesatan akibat dari kufur Ni'mat.   Orang itu menyangka dia mendapat Ni'mat Allah yang banyak disebabkan Kasih Allah sedangkan dia tertipu dengan angan2 dia.   Pemberian Allah itu pada hakikatnya istidraj iaitu  Kemurkaan Allah, BUKAN kerana kasih-Nya.


SIRI 5 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


12. Syari'at Rasulullah ﷺ

Syari'at Rasulullah ﷺ adalah sekalian  ilmu  dan amal yang ta'luk  (berkait dan berhubung  dengan) anggota zahir seperti solat, puasa, zakat, Haji, da'wah, jihad dll.


13. Toriqat Rasulullah ﷺ

Toriqat Rasulullah  ﷺ  adalah  ilmu dan amal yang ta'luk (berkait dan berhubung  dengan) kepada anggota batin —  hati dan ruh,    iaitu Sistem Pendidikan Menyucikan hati dan ruh dengan zikrullah dan amal soleh lain,  serta  mujahadah melawan nafsu dan syaitan sehingga hati menjadi benar2 bersih dan mencapai Tauhid hakiki.


14. Tasawwuf:

Apabila disebut "Ilmu Tasawwuf", maka ia adalah ilmu yang menyatakan (teori) kesucian hati, kebaikan hati, kerosakan hati,  kejahatan nafsu, kejahatan bisikan Syaitan dan sekalian berkaitan dengan hati


Apabila disebut "Tasawwuf", maka ini adalah "hasil" yang tercapai setelah seseorang mujahdah sungguh2 dengan amalkan kedua2 Syari'at dan Toriqat Rasulullah  ﷺ

Apabila seseorang mencapai Tasawwuf di dalam dirinya, ini bermakna dia telah mencapai Kesucian hati dan Tauhid yang suci murni.  Kemuncak Tasawwuf adalah disebut Ihsan, Maqam Taqwa yang sempurna, Akhlaq Naubuwwah.   


15.  Zikir Hasanat

Zikir yang dilakukan tanpa sebarang cara tertentu, hanya lafaz / ucapan lisan dengan ingatan di dalam hati atau semata2  ingatan dalam hati akan Allah Ta'ala.    Zikir ini hanya mendatangkan pahala bagi orang yang amalkannya. Tetapi tidak mampu hancurkan nafsu2 kejahatan, tidak mampu singkirkan syirik khafi, mazmumah, ghaflah  dari HATI.   Ia juga TIDAK meningkatkan IMAN / TAUHID seseorang.


16. Zikir Darjat

Zikir yang dilakukan dengan _kaifiyyat_ (cara2), peraturan,  adab dan syarat2nya yang khusus yang di- pelajari dari Warisatul Anbiya  yang siddiq, iaitu Mursyid yang mewarisi Ilmu Rasulullah ﷺ  zahir dan batin.     Zikir seperti ini yang menyucikan HATI dari kekotoran dosa, menyucikan kekotoran mazmumah (sifat keji) dan hapuskan syirik khafi.   Kemudian membuahkan IMAN / TAUHID yang murni.


17.  Zauq

Perasaan kelazatan dan asyik akan Allah yang dirasakan oleh Salikin didalam HATINYA.


18. Wijdan

Perasaan kelazatan dan asyik akan Allah yang dirasakan oleh  Salikin pada sekalian JASADNYA.


19.  Fana' dan Baqa

Fana' adalah hal keadaan seorang Salikin yang memperoleh Limpahan Nur Allah Ta'ala sehingga dirinya "karam"  di dalamnya dan "binasa" dirinya nisbah wujud Allah Ta'ala. 

Baqa' adalah hal keadaan seseorang Salikin yang memperoleh Limpahan Nur Allah Ta'ala sehingga "berkekalan" menghadap Allah.    (Lihat penjelasan lanjut akan datang)


20. Mursyid yang Siddiq

Mursyid yang siddiq adalah Pewaris Nabi yang sebenar yang mewarisi Risalah dan Nubuwwah. Mursyid yang Siddiq mewarisi keseluruhan Agama — Syari'at dan Toriqat Rasulullah  ﷺ.   Mereka mahir dengan Ilmu Syari'at sekaligus dalam ilmu mereka  di dalam Ilmu Ma'rifat.  Mereka diKurniakan oleh Allah  berbagai ramuan. ubat, penawar bagi mendidik dan menyucikan batin manusia.     Dengan mengikuti pimpinan Mursyid yang siddiq, seseorang hamba Allah  akan selamat sampai kepada Allah.  (mencapai Tauhid yang hakiki) 


SIRI 6 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□

4.0 Hubungan Hati Dengan Ruh

     Ringkasan Penerangan Ruh, Hati, Nafas, Nafsu

□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□


■ Apakah yang dimaksudkan dengan "Hati"?

■ Apakah hakikat "Hati"?

■ Apakah kaitan Hati dengan Ruh?

■ Bagaimanakah menjelaskan hubungan antara Aqal, Nafas dan Nafsu dengan Ruh?


Sesungguhnya perbincangan berkenaan Ruh dan kaitannya dengan Hati, Aqal, Nafas dan Nafsu2 adalah suatu perbincangan yang amat luas sekali, maka tak mungkin dijelaskan di dalam ruangan yang terbatas ini.  Lebih2 lagi bicara yang mendalam akan hal ini tidak mampu difahami oleh kebanyakan orang.  Maka di sini kita hanya mengemukakan secara ringkas hubungan Hati dan Ruh.


Berikut adalah Ringkasan dari keterangan Al Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al Kholidi Radhiallahu Anhu berserta penjelasannya. 


Ruh (roh)

Ruh adalah jisim halus di dalam jantung sanubari (setiap manusia) yang bersifat Rabbaniyah (bersifat Ketuhanan).  Maksud "bersifat Ketuhanan" adalah :  Ruh setiap manusia menyimpan Rahsia Ketuhanan dan benih2 Tauhid.  Melalui benih2 Tauhid ini, manusia mampu mengenal Allah Ta'ala, Penciptanya dan Pencipta Sekalian Alam.


Kedudukan "Ruh" di dalam tubuh manusia adalah di dalam "darah hitam" yang terletak di bilik Jantung Sanubari.   Ruh ini yang menggerakkan jantung sanubari untuk mengepam darah merah dan darah putih ke seluruh tubuh manusia. 


Allah Ta'ala menciptakan Ruh (roh) sekalian manusia di Alam Suci yang Tinggi dipanggil Alam Lahut,  Sekalian Ruh manusia mulai dari Nabi Adam sehingga manusia terakhir yang akan dizahirkan di muka bumi dihimpunkan di Alam Lahut.    Apabila tiba waktunya,  Allah Ta'ala memerintahkan Malaikat JIbril meniupkan Ruh insan ke dalam janinnya di dalam rahim ibunya. 


Apabila manusia "bercita" untuk mencari Allah, mengenal-Nya dengan Ainul Yaqin (keyakinan mata hati) serta kembali kepada Allah, maka ketika itu "benih2 Tauhid" ini akan memancar Cahaya Ketuhanan sehingga manusia itu menjadi orang yang benar2 beriman.  Bagi orang awam hal ini adalah dikatakan dia "Mendapat Hidayah untuk beriman".


Wujudnya Ruh di dalam diri manusia membezakan manusia yang hidup dengan yang sudah mati.  Apabila Ruh terpisah dari jasad, maka dikatakan manusia itu "mayyit" dan dikembalikan ke tanah dengan dikuburkan menurut hukum. 


Qalb (Hati)

Dari segi bahasa : Qalb adalah jantung sanubari.

Dari segi bicara Ilmu Ma'rifat :  Hakikat Qalb (Hati) adalah jisim halus yang terhubung kepada RuhQalb (Hati) memiliki "cita" untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu.  Manusia dihukum menurut apa yang dia "cita" dalam hati dan melaksanakannya dengan anggota tubuhnya.


Istilah "Hati" yang lazimnya dikaitkan dengan "perasaan", "kemahuan", "keinginan",   "cita"  ...  yang sebenarnya di dalam bahasa Arab di sebut qalb  atau qalbun   yang membawa makna "jantung sanubari".    Namun di dalam percakapan harian lazimnya kita menggunakan ungkapan "Hati".   Maka apabila disebut "Hati",  ia merujuk kepada "qalb"  iaitu  "jantung sanubari"(bukan liver).  


Menurut Ahli Ma'rifat Qalb (hati) adalah ibarat Raja,  Aqal adalah Menterinya dan sekalian anggota tubuh yang lain seperti kaki, tangan, mata, telinda dll adalah anggota tenteranya yang melaksanakan perintah Raja.


Aqal

Dari segi bahasa :   Aqal adalah jisim putih di dalam tempurung kepala. 

Dari segi Ma'rifat :  Aqal adalah jisim halus di batin otak yang menerima  pancaran dari hati. Inilah hakikat Aqal yang mempunyai daya fikir.   Sifatnya tertakluk kepada hati.  Ertinya, apabila hati memancarkan Cahaya Keimanan, maka terbit Aqal yang suci  yang memikirkan ketaatan. Sebaliknya apabila pancaran dari hati itu pancaran kegelapan (akibat penguasaan nafsu dan syaitan), maka aqal itu akan memikirkan kejahatan dan mencari jalan untuk melaksanakan kefasikan dan penderhakaan.


Nafas

Nafas adalah keluar masuknya angin/udara ke dalam tubuh (darah) yang terhasil dari gerakan Ruh  yang mengepam darah putih dan darah merah ke seluruh tubuh.


Nafsu

Nasfu adalah jisim  halus yang bergerak2 yang terhasil dari hembusan nafas,  menimbulkan keinginan @ syahwat.  Menurut Ahli Ma'rifat terdapat 7 macam Nafsu.  Nafsu2 terletak pada 7  tempat di dalam dada manusia di sebut Lataif.    Sekalian nafsu ini menerima pancaran dari hati.   Nafsu akan bertindak menjadi baik apabila pancaran dari hati berupa cahaya Keimanan.  Sebaliknya nafsu akan menjadi jahat dan menyeru kepada kejahatan apabila pancaran dari hati itu berupa kegelapan.

[Nukilan dari Risalah Ma'rifat serta Penjelasan ringkas]


Hal terpenting yang menjadi fokus di dalam perbincangan ini adalah :

Qalb (hati) adalah jisim halus di dalam jantung sanubari yang terhubung kepada Ruh.


Qalb (hati) mempunyai "cita" melakukan atau meninggalkan sesuatu.

Qalb (hati) menjadi Suci apabila "unsur Ketuhanan" menguasainya dan menjadi kotor apabila "Unsur kesyaitanan" yang menguasainya.


SIRI 7 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□

5.0 Mengapa " Hati " Menjadi Sandaran Untung  atau Rugi

□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□


■ Apakah Hikmahnya Allah Ta'ala mengisyaratkan "Hati" manusia kepada "kebaikan atau Kejahatan?


■ Apakah Rahsia  Allah Ta'ala mengisyaratkan  "keberuntungan"  kepada "Hati insan yang suci"   sementara "kerugian"  kepada "Hatinya yang kotor"?   


■ Mengapakah diunggulkan "Hati" dan bukan anggota lain seperti "Aqal"?


Hubungan Qalb (Hati) dan Ruh (roh) telah pun disentuh  sepintas lalu pada Siri 6.  Sebagai mengingat semula, Qalb (hati) adalah jisim halus yang terhubung kepada Ruh.  Qalb (Hati) boleh jadi Suci dan boleh menjadi kotor berdasarkan unsur yang menguasainya.


Qalb (Hati)  adalah tempat tersimpannya Rahsia Insan dan Rahsia Ketuhanan.

Qalb (Hati) adalah tempat terbitnya cahaya TAUHID atau kegelapan SYIRIK.

Qalb (Hati) adalah tempat pertarungan IMAN (yang dibantu oleh Malaikat) dengan nafsu kejahatan (yang disokong oleh Iblis.)

Qalb (Hati) adalah tempat terbitnya segala cita,  gerak, keinginan, kemahuan manusia. 

Qalb (Hati) adalah tempat perhitungan kebahagiaan atau kecelakaan.  


✨🕌✨ Rasulullah   ﷺ  bersabda:

"Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging apabila baik ia, nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan apabila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalb. (hati)

[Imam Bukhari]


Dari sudut kajian Sains, apabila Qalb (jantung fizikal) berfungsi dengan baik, bersih dari pencemaran, maka sekalian anggota tubuh termasuk Aqal, paru2, buah pinggang, darah daging semuanya berfungsi dengan baik.  Apabila terjadi suatu kerosakan pada jantung, seperti tersumbat dengan kolestrol atau proses mengepamnya tidak normal atau lainnya, maka akan terjadi berbagai komplikasi terjadi kepada tubuh yang akhirnya mengakibatkan berbagai penyakit kronik.  Ini suatu ibarat yang dapat difahami.  


Ada pun Qalb (Hati) yang dimaksudkan oleh Rasulullah  ﷺ adalah hakikat Qalb (Hati) yang bersifat ruhaniyyah iaitu Jisim halus yang menguasai insan.   Apabila Qalb (Hati) itu baik di dalam ertikata suci bersih, maka sekalian anggota tubuh lain akan menjadi baik, beriman dan melakukan keta'tan.  Sebalik nya apabila Qalb (Hati) itu jahat dalam ertikata kotor, maka sekalian anggota tubuhnya akan menjadi jahat, melakukan kefasikan dan kekufuran. 


Oleh kerana Hati menjadi sumber segala kebaikan atau kecelakaan, maka sumber ini perlu disucikan dahulu.   Medan ini perlu ditawan dahulu. Sekalian sifat nifaq (kemunafikan), mazmumah (kekejian) dan syirik khafi  (syirik tersembunyi) mesti dicabut dari akar umbinya.  


Bagaikan sebuah ladang yang dipenuhi oleh lalang dan anasir2 perosak, maka pertama sekali yang perlu dilakukan oleh seseorang peladang adalah mencabut lalang dan anasir perosak dari akar umbinya.  Setelah ladangnya telah bersih dari kesemua perosak barulah peladang dapat membajak dan menanam benih yang terpilih untuk bercucuk tanam dan meraih hasilnya yang lumayan.


Demikianlah ibaratnya hati insan yang telah bersih dari kesemua kekotoran, kekejian, dan kesyirikan, kemudian bercahaya hati itu dengan cahaya Ketuhanan,  barulah “benih TAUHID yang suci”  terpancar dari HATInya.  Kemudian  terbit lagi ibadah dan amal2 kebaikan yang benar-benar ikhlas.


Oleh kerana inilah Rasulullah ﷺ di utus oleh Allah Ta'ala untuk menyucikan batin manusia.


✨🕌✨ Firman Allah:

هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬

“Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Ilmu rahsia dan pengetahuan mendalam). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”

[Al-Jumu’ah (62) :  ayat 2]


Baginda BUKAN sekadar da'wah kepada manusia, bahkan lebih dari itu, Baginda diperintah mendidik, mengasuh dan menyucikan batin (hati) mereka sehingga benar² suci bersih. 


Iaitu perkara pertama yang Baginda lakukan sebaik sahaja para Sahabat masuk Islam adalah mendidik dan mengasuh jiwa mereka dengan kaedah tertentu yang sangat khusus. 


Hati mereka dirawat dengan berbagai ramuan, ubat dan penawar  sehingga akhirnya menjadi benar² suci bersih dari semua macam kesyirikan, kemunafikan dan kekejian. 


Manhaj dan kaedah penyucian jiwa inilah yang kemudian dinamakan Toriqat Rasulullah ﷺ atau Jalan Ma'rifat (akan datang penjelasan lanjut. In shaa Allah).  


Namun pada akhir zaman ini, kebanyakan orang Islam termasuk sebahagian  yang begelar Ulama, Ustaz, Muallim, Kiyai juga TIDAK memahami dan TIDAK lagi amalkan Jalan Suci Rasulullah ﷺ ini.   Akibatnya tinggallah mereka di dalam kekotoran jiwa yang membawa kepada  kesyirikan — syirik khafi, mazmumah dan ghaflah dan ma'siat batin yang berpanjangan.  Wal Iyazubillah. 


SIRI 8 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□

6.0 Asal Insan Suci Kemudian Dikotori

□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□

Asal Penciptaan Ruh Insan dalam keadaan Suci:


Ketahuilah, 

Asal insan adalah suci bersih.  

Ketika Allah Ta'ala menjadikan Ruh Insan di Alam Nur,  suatu Alam yang sanat tinggi dan suci .... sekalian Ruh manusia itu di dalam keadaan suci bersih.  


Ruh-Ruh yang suci bersih ini menghadap Allah serta menyaksikan Wajah-Nya.   Ertinya di alam Penciptaan awal, sekalian Ruh manusia sudah kenal Allah tanpa sebarang Hijab (dinding / halangan) ketika mereka dihimpunkan oleh Allah di Alam yang Tinggi.  


Ketika Allah Ta'ala menghimpunkan sekalian Ruh Manusia di alam kesucian, lalu bertanya, 

"Bukankah Aku Tuhan kamu?", 


Maka ketika itu sekalian Ruh menjawab,  

"Bahkan, kami menjadi saksi bahawa Engkaulah Tuhan kami".     


Sekalian Ruh insan menjadi saksi bahawa Allah adalah Rabb (Tuhan) mereka.  


✨🕌✨ Firman Allah :

وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡ‌ۖ قَالُواْ بَلَىٰ‌ۛ شَهِدۡنَآ‌ۛ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Bahkan (Benarlah Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Qiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.

[Al-A'raf (7) : ayat 172]


Menurut Ahli Ma'rifat, Alam Nur dan Alam kesucian yang dimaksudkan adalah Alam Lahut, Negeri asal bagi sekalian manusia.


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu :


"Dan dari Ruh Muhammad itulah, Allah Ta'ala ciptakan semua Ruh di Alam Lahut di dalam bentuk terbaik yang hakiki.   Itulah nama seluruh manusia di Alam Lahut.    Alam Lahut adalah Negeri asal bagi seluruh manusia."

[Sirrul Asrar Fi Ma Yahtaju Ilahil Abrar]


Ruh Insan diturunkan ke Alam Paling rendah (bumi):


Kemudian ketika sampai masanya seseorang manusia dijadikan, maka Ruhnya (di Alam Lahut)  di- tiupkan ke dalam janin dan keluarlah dia sebagai manusia yang memiliki jasad ke muka bumi.


✨🕌✨ Firman Allah Ta'ala :

قَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٍ۬,  ثُمَّ رَدَدۡنَـٰهُ أَسۡفَلَ سَـٰفِلِينَ 

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia kepada peringkat serendah2nya,"

[At-Tiin (95) : Ayat 4]


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu :

Selanjutnya Ruh-Ruh diturunkan ke Alam yang terendah  (Alam Mulki / Alam Ajsam / Alam Dunia), dan dimasukkan ke dalam makhluq terendah, iaitu jasad,  sebagaimana Firman Allah :  ثُمَّ رَدَدۡنَـٰهُ أَسۡفَلَ سَـٰفِلِينَ

[Sirrul Asrar Fi Ma Yahtaju Ilahil Abrar]


Penjelasan :

Maksud Imam Jilani Radhiallahu Anhu adalah :

Allah Ta'ala turunkan "Ruh manusia"   yang tadinya dia di  Alam Lahut, ke Alam Ajsam iaitu Alam Dunia — muka bumi.      


Maksud  "  أَسۡفَلَ سَـٰفِلِينَ "  (serendah2nya) ditafsirkan oleh Imam Jilani sebagai "serendah2 alam" iaitu Alam Dunia yang juga dikenali sebagai Alam Ajsam / Alam Malak / Alam Mulki / Alam Syahadah.


Menurut Ahli Ma'rifat terdapat 7 jenis Alam :

1. Alam Hahut  (atau di kenali juga sebagai Hawiyah Zat)

2. Alam Lahut

3. Alam Jabarut

4. Alam Malakut

5. Alam Mithal

6. Alam Arwah

7. Alam Ajsam


Maka "Ruh" sekalian manusia yang berhimpun di Alam Lahut diturunkan ke bumi (Alam Ajsam) apabila tiba waktu yang ditentukan oleh Allah Ta'ala, menurut Taqdir-Nya yang Azali.


Insan menjadi kotor dan Terhijab:

Sebaik sahaja Ruh memasuki jasad, maka  terhijablah (terdinding) dia dari Allah Ta'ala disebabkan darah daging yang membalutinya.

Ini Hijab pertama  (dinding pertama ) yang menghalang manusia dari menyaksikan Wajah Allah.   

Lapisan Hijab (dinding)  terus menebal ketika umurnya meningkat dari bayi ke peringkat kanak2,  kemudian remaja dan dewasa.  Sepanjang perjalanan ini dia telah dihijabkan oleh berbagai zulmat (kegelapan), akibat dari pergaulan, pemakanan serta dosa2 yang disengajakan atau berlaku tanpa di sedari.  Semua ini  menyebabkan  Hatinya menjadi kotor dan diselaputi berbagai2 penyakit nifaq, syirik dan keji.

Kekotoran hati ini membawa seseorang menjadi Fasiq, Sesat, Munafiq atau Kafir.  Wal Iyazubillah.

Empat Anasir yang sentiasa berperang di dalam hati manusia untuk mengotorinya lalu menariknya  kepada kefasikan, kesesatan dan kekafiran :


(1) Nafsu

(2) Syaitan

(3) Dunia

(4) Makhluq

(akan datang penjelasan lanjut akan hal ini, In shaa Allah)


Dengan penjelasan ringkas ini, mudah-mudahan Ummat Islam telah mendapat gambaran awal bagaimana Ruh manusia yang asalnya suci bersih di kotori, kemudian dikotori lagi sehingga terjerumus kepada kesesatan dan kekafiran.


Maka beruntunglah mereka yang menyucikan hatinya dan merugilah mereka yang mengotorinya.


SIRI 9 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□

7.0 Dosa-Dosa Besar Hati (Batin)

□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□

Berikut adalah sejumlah DOSA BESAR BATIN (HATI)  yang tumbuh subur di dalam HATI akibat dari berbagai penyakit HATI. Renungilah baik2, hampir semua manusia TIDAK terlepas dari penyakit2 HATI yang membawa kepada DOSA BESAR yang menjerumuskan dia kepada kefasikan, kesesatan atau kekafiran.  Wal Iyazubillah. 


7.1 Pertama : Takabbur


✨🕌✨ Firman Allah :

وَإِذَا قِيلَ لَهُ ٱتَّقِ ٱللَّهَ أَخَذَتۡهُ ٱلۡعِزَّةُ بِٱلۡإِثۡمِ‌ۚ فَحَسۡبُهُ ۥ جَهَنَّمُ‌ۚ وَلَبِئۡسَ ٱلۡمِهَادُ 

"Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertaqwalah engkau kepada Allah", timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah dia (menerima balasan azab) Neraka Jahanam dan demi sesungguhnya, (Neraka Jahanam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal"

[Al-Baqarah (2) : ayat 206]


✨🕌✨ Rasulullah   ﷺ  bersabda :

“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat  takabbur sebesar biji sawi.” 

[Imam Muslim]


Definisi:

Imam Ghazali Radhiallahu anhu :

“Maka pokoknya takabbur atau sombong ialah : Tingkah laku yang ada pada jiwa, iaitu merasa senang dan cenderung pada dilihat dirinya diatas orang yang disombonginya”


Rasulullah ﷺ telah memberikan asas kepada Pengertian Takabbur, iaitu :  Memandang orang lain dengan pandangan hina dan Menolak Kebenaran.  Daripada dua asas ini, Ulama Ahlus Sunnah telah huraikan sekalian hal ehwal yang berkaitan dengan Takabbur.


Takabbur (sombong, ego, megah) adalah membesarkan diri, merasai diri lebih hebat, lebih mulia, lebih tinggi dari orang lain serta memandang orang lain dengan pandangan hina.    Ia merupakan dosa batin, maka ia terpendam di dalam hati, namun adakalanya Sifat terpendam ini terkeluar lalu terlihat di dalam tutur kata, perbuatan dan tingkah laku.  


Manusia yang mempunyai sifat Takabbur adalah sehina2 manusia pada pandangan Allah Ta'ala sedangan orang itu berfikir diri dia mulia, maka binasa lah dia dengan angan2 dia.  Wal Iyazubillah


Fakta2 Penting berhubung dengan Takabbur:

■  Takabbur adalah sebesar2 dosa batin dan sebesar2 Syirik Khafi.  

■ Sebagaimana Syirik Khafi yang lain, Takabbur hapuskan amal kebaikan dan rosakkan iman.

■  Takabbur adalah "selendang Allah", maksudnya hanya milik Allah Ta'ala Yang Maha Agung, dengan itu makhluk mana pun TIDAK layak bersifat dengan sifat Takabbbur.  (Sifat makhluq adalah sebaliknya, iaitu berisifat dengan faqir, dhaif, tawadhu')

■ Allah Ta'ala melaknat orang yang Takabbur, sombong, megah, membesarkan diri.

■ Iblis menerima La'nat Allah sehingga Qiamat akibat keengkaran kepada Allah Ta'ala dan Takabbburnya terhadap Nabi Adam Alayhis-Salam.

■ Orang yang Takabbur, Menyombong diri, Menunjuk Kemegahan diri diancam dengan Neraka Jahannam.  Wal Iyazubillah.

■ Takabbur menyebabkan hati menjadi keras membatu, gelap, mati  dan tertutup.  Wal Iyazubillah

■ Takabbur itu boleh berlaku kepada siapa sahaja, namun ia berlaku terutama mereka yang mempunyai kelebihan2 tertentu. (seperti kelebihan ilmu, kuasa, kekayaan, kedudukan, pangkat, nama, gelaran, sijil, harta kekayaan — lihat huraian akan datang)

■ Setiap manusia yang melakukan Takabbur, WAJIB Taubat segera dengan Taubat Nasuha, kembali kepada Allah dengan merendahkan dirinya.

■ Orang yang terus-menerus Takabbur, Membesarkan diri,  Bermegah diri dan tidak bertaubat adalah termasuk orang yang terkena_istidraj_, sedang dia leka dan megah dengan sangkaan dia dalam kemuliaan. Wal Iyazubillah


SIRI 10 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.1 Pertama : Takabbur

sambungan....


Ancaman Keras Allah Ta'ala kepada Orang Takabbbur / Sombong / Megah


Berikut adalah keterangan Al-Qur'an dan Hadith2 berkenaan ancaman keras terhadap orang2 di dalam hatinya ada sifat Takabbur. Dan lebih bahaya lagi apabila sifat terpendam itu terzahir di dalam tutur kata dan tingkah laku.


(1) Makhluq yang awal2 diLaknat Allah kerana sifat Takabbur:


✨🕌✨ Firman Allah :

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَـئِكَةِ اسْجُدُواْ لاًّدَمَ فَسَجَدُواْ إِلاَّ إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَـفِرِينَ

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takabbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir.  

[Al-Baqarah (2) : 34] 


(2) Takabbur adalah sifat Fir’aun,Namrud  serta penguasa2 yang menyombongkan diri:


✨🕌✨ Firman Allah :

إِلَى فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِ فَاسْتَكْبَرُواْ وَكَانُواْ قَوْماً عَـلِينَ

"Kepada Firaun dan kaumnya; lalu mereka menentang (seruan Nabi-nabi Allah itu) dengan sombong takabbur, serta menjadi kaum yang membesarkan diri.  

[Al-Mu’minoon, (23) : 46]


 (3) Takabbur menyebabkan pintu hati tertutup :

✨🕌✨ Firman Allah :

 كَذَلِكَ يَطْبَعُ اللَّهُ عَلَى كُـلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍ جَبَّارٍ

“Begitulah Allah memeterai (menutup) setiap hati orang yang sombong dan sewenang2.

[Al-Mu’min (40) : 35]


(4) Takabbur Sifat Kebesaran Allah, hanya Allah Ta'ala layak Takabbur:

✨🕌✨ Firman Allah di dalam Hadis Qudsi:    

“Takabbur itu selendangku dan kebesaran itu kain sarung-Ku. Maka barangsiapa bertengkar dengan Aku pada salah satu dari yang dua itu, nescaya Aku campakkan dia dalam Neraka jahannam. Dan Aku tidak pedulikan.” 

[Imam Muslim]


(5) Takabbur binasakan pahala amal ibadah


✨🕌✨ Firman Allah :

  يأَيُّهَا الَّذِينَ ءامَنُواْ لاَ تُبْطِلُواْ صَدَقَـتِكُم بِالْمَنّ” وَالاْذَى……”

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan kebanggaan dan cercaan..”

[Al-Baqarah (2) : Ayat 264]


(6) Takabbur yang berterusan boleh menjerumuskan seseorang kepada kekafiran:

✨🕌✨ Firman Allah :

بَلَىٰ قَدْ جَاءَتْكَ آيَاتِي فَكَذَّبْتَ بِهَا وَاسْتَكْبَرْتَ وَكُنْتَ مِنَ الْكَافِرِينَ

” (Bukan demikian) sebenarnya telah datang keterangan-keterangan-Ku kepadamu lalu kamu mendustakannya dan kamu menyombongkan diri dan adalah kamu termasuk orang-orang yang kafir”. 

[Az-Zumar (39): ayat 59]


(7) Takabbur mengheret ke Neraka, jauh dari Syurga:

✨🕌✨ Rasulullah   ﷺ  bersabda :

“Tidak akan masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya, seberat biji sawi dari takabbur. 

[Imam Muslim]

Perhatikanlah sungguh2 segala ancaman adalah  ditujukan kepada orang Islam beramal yang mempunyai Sifat Takabbur, membesarkan diri, menunjuk Kemegahan.  Sesungguhnya kesombongan dan bermegah2 diri menghilangkan pahala kebajikan sekalian amal ibadah, mencerai-beraikan Imannya dan menjadi sebab dicampak ke Neraka Jahannam.  Wal Iyazubillah


Akan datang penjelasan :

■ Jenis² Takabbur.

■ Takabbur batin yang terzahir dalam perbuatan, perkataan

■ Punca Mendorong kepada Takabbur

■  Tanda2 terlihat sifat Takabbur pada seseorang

■ Taubat Nasuha dari sifat Takabbur

■ Cara orang awam melawan sifat Takabbur 

■ Larangan menuduh orang lain Takabbur tanpa hak

■ Takabbur yang dibenarkan



Bersambung siri  11  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

       🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳  


        

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 390) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...