B69 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 681 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...


Prinsip ke-7:

Iman adalah Nur Rabbaniyyah (Cahaya Ketuhanan) dalam hati


Menurut keyakinan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah,  Haqiqat Iman adalah "Cahaya Ketuhanan di dalam hati".  Iman —Tauhid — Ma'rifat  bukan sekadar lafaz kata-kata atau ungkapan lisan yang sedap didengar.  Bukan juga sekadar teori-teori aqal.  Bukan sekadar ceramah, seminar, kursus berhubung dengannya, bukan juga sekadar perbahasan dalil-dalil, tetapi sebenar-benar Iman atau disebut Tauhid atau disebut Ma'rifat adalah Cahaya Ketuhanan yang bersinar di dalam hati yang menjadi penghayatan Hati dan Ruh.


Menurut Ahli Ma'rifat apabila "Cahaya Ketuhanan" memenuhi hati seseorang lalu memancar bercahaya-cahaya, maka hamba Allah ini dikatakan beriman kepada Allah dengan sebenar-benar Keimanan. Dalilnya Firman Allah:


Firman Allah:


سُوۡرَةُ النُّور

۞ ٱللَّهُ نُورُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشۡكَوٰةٍ۬ فِيہَا مِصۡبَاحٌ‌ ٱلۡمِصۡبَاحُ فِى زُجَاجَةٍ‌ ٱلزُّجَاجَةُ كَأَنَّہَا كَوۡكَبٌ۬ دُرِّىٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ۬ مُّبَـٰرَڪَةٍ۬ زَيۡتُونَةٍ۬ لَّا شَرۡقِيَّةٍ۬ وَلَا غَرۡبِيَّةٍ۬ يَكَادُ زَيۡتُہَا يُضِىٓءُ وَلَوۡ لَمۡ تَمۡسَسۡهُ نَارٌ۬‌ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ۬‌ يَہۡدِى ٱللَّهُ لِنُورِهِۦ مَن يَشَآءُ‌ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَـٰلَ لِلنَّاسِ‌ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمٌ۬ 


"Allah (memberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti lubang yang tak tembus yang di dalamnya ada pelita besar.  Pelita itu di dalam kaca dan kaca itu seakan-akan (bintang yang bercahaya) seperti mutiara yang menyalakan minyak dari pohon yang banyak berkahnya, iaitu pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah baratnya yang minyaknya sahaja menerangi walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis) Allah membimbing kepada cahaya-Nya, siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."

[An-Nuur (24) : Ayat 35]


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

"Kalam Allah (   مَثَلُ نُورِهِ ) adalah Cahaya Allah di dalam hati orang beriman."

[Tafsir Ibn Abbas}


Berkata Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhialllahu anhu:

"Maksud Misykat adalah hati seorang Mu'min.  Maksud Al-Misbahu adalah bermaksud Rahsia tinggi yang terbit dari hati yang amat suci iaitu Ruh Sultoni.  Maksud Az-zujajatu  adalah mata-hati yang bersifat dengan gemerlapan kerana kekuatan cahaya yang luar biasa."

[Sirrul Asrar]


Sebagaimana telah dijelaskan sebelum ini Iman adalah berbeza dari Islam.  Ini kerana seseorang yang mengaku Islam boleh jadi pura-pura Islam, munafiq atau mengikuti ajaran sesat.  Sebab itu seorang Islam belum dikatakan beriman sebelum dia menepati syarat-syarat orang beriman.


Bagaimana orang Islam mencapai Keimanan sejati (haqiqat Iman)?

Haqiqat Iman iaitu Iman yang sebenar dalam bentuk Penghayatan Hati dan Ruh hanya diperoleh oleh seseorang setelah dia berusaha sungguh-sungguh menyucikan batinnya daripada sekalian kekotoran ma'nawiyyah iaitu kekotoran di dalam jiwa seseorang yang menyebabkan dia terhalang dari memperoleh  Iman — Tauhid — Ma'rifat yang hakiki.


Kekotoran ma'nawiyyah  ini adalah :  Syirik khafi, Mazmumah, Ghaflah yang menguasai pada hati kebanyakan manusia.  Semua kekotoran ini mestilah dibersihkan dengan mujahadah pada Jalan Ma'rifat dengan pimpinan Mursyid yang Siddiq  (Pewaris Nabi yang muhaqqiq), untuk memperoleh Keimanan yang sejati.


SIRI 682 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...



Dalil-Dalil lain berkenaan Cahaya Ketuhanan yang menerbitkan Tauhid dan menjadi bukti kebenaran Iman


Firman Allah:


أَوَمَن كَانَ مَيۡتً۬ا فَأَحۡيَيۡنَـٰهُ وَجَعَلۡنَا لَهُ ۥ نُورً۬ا يَمۡشِى بِهِۦ فِى ٱلنَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُ ۥ فِى ٱلظُّلُمَـٰتِ لَيۡسَ بِخَارِجٍ۬ مِّنۡہَا‌ۚ َ


“Dan apakah orang yang sudah mati (hatinya) kemudian Kami hidupkan dia dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya.”

[Al-An’am (6) : Ayat 122]


Firman Allah:


وَمَن لَّمۡ يَجۡعَلِ ٱللَّهُ لَهُ ۥ نُورً۬ا فَمَا لَهُ ۥ مِن نُّورٍ


“Barang siapa yang tiada diberi cahaya oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun”

[An Nuur (24) : Ayat 40]


Firman Allah:


أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدۡرَهُ ۥ لِلۡإِسۡلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ۬ مِّن رَّبِّهِۦ‌ۚ


“Apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya (untuk) berserah diri lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang tertutup mata hatinya?)”

[Az Zumar (39) : Ayat 22]


Firman Allah:


 ۞ قَالَتِ الْأَعْرَابُ آمَنَّا  قُلْ لَمْ تُؤْمِنُوا وَلَٰكِنْ قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الْإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ  


Orang-orang "A’raab"  (yang dimaksud adalah orang Badwi ) berkata: Kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi berkatalah sahaja: kami telah Islam,  kerana Iman belum masuk ke hati kamu."

[Al-Hujurat (49) : Ayat 14]



Rasulullah ﷺ bersabda:

“Takutlah akan firasat mukmin, sesungguhnya dia melihat dengan Cahaya Allah.“

[Imam Tirmizi]


Rasulullah ﷺ  bersabda:

"Hati itu ada empat macam: Pertama, qalbun ajrad (hati yang murni tak bernoda) di dalamnya seperti ada pelita yang bersinar.  Kedua, qalbun aghlaf (hati yang tertutup) yang terikat tutupnya.  Ketiga, qalbun mankuus (hati yang terbalik).  Keempat, qalbun musfah (hati yang terlapis). Adapun qalbun ajrad adalah hati seorang Mukmin, pelita dalam hatinya adalah cahaya, qalbun aghlaf adalah hati orang kafir, qalbun mankuus adalah hati orang munafik, yang mengetahui kemudian mengingkari.  Qalbun musfah adalah hati yang di dalamnya bercampur iman dan nifaq, iman yang ada di dalamnya seperti tanaman yang disirami air yang segar dan nifaq yang ada di dalamnya seperti bisul yang disirami darah dan nanah, mana dari dua unsur di atas yang lebih kuat, maka itulah yang akan menguasai hatinya.”

[Imam Ahmad]


Orang Islam yang tidak memperoleh "Cahaya Ketuhanan" ini akan kekal sebagai orang awam, iaitu orang yang hatinya diliputi syirik khafi, mazmumah, ghaflah, aghyar.  Orang ini sentiasa bergelumang dengan sifat-sifat kekejian tersebut sehingga Imannya rosak.  Wal Iyazubillah


SIRI 683 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...



Prinsip ke-8:

Allah Wujud dan wujudnya  لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ


Menurut I'tiqad Ahlus Sunnah,

Allah wujud dan wujudnya  (   "لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ  ) Laisa Kamithlihi Syai'un  

tiada umpama sesuatu seperti-Nya."


Ini bermakna Dia (Tuhan Rabbul Jalil)  tidak dapat dimisalkan dengan sekalian makhluq, tidak wujud "mithal"  atau "bandingan" bagi menunjukkan rupa Zat-Nya, Sifat-Nya, Asma'-Nya atau Af'al-Nya.   


(1) Nafikan " bentuk " bagi Zat Allah Ta'ala.

Zat Allah Ta'ala berlawanan dengan sekalian makhluq, maka tiada bentuk yang dapat menggambarkan Zat Allah.  Apa sahaja yang terlintas, terupa, terbentuk di dalam pemikiran atau aqal seseorang, maka itu BUKAN Zat Allah.  Apa saja khayalan yang diusahakan sehingga terasa seperti suatu Zat, maka itu  BUKAN Zat Allah.


(2) Nafikan "Tempat" bagi Allah Ta'ala.

Sekalian Sifat Allah berlainan dari makhluq.

Dengan demikian tidak wujud ungkapan bagi menunjukkan kepada "tempat" bagi Allah.  Ini kerana setiap yang menduduki "tempat" adalah makhluq.   Hanya makhluq menempati makhluq. 


■ Sesiapa i'tiqad Allah duduk, menetap di langit, atau istirehat  di langit,  atau tinggal di langit,  maka ini i'tiqad BATIL dan SESAT.


■ Sesiapa i'tiqad Allah duduk menetap, istirehat, tinggal  di Arasy, maka ini adalah i'tiqad BATIL dan SESAT.


■ Sesiapa i'tiqad Allah tinggal di bumi, maka ini  i'tiqad BATIL dan SESAT.

Jika seseorang i'tiqad Allah tinggal bersama makhluq, maka ini i'tiqad BATIL dan SESAT.


■ Sesiapa i'tiqad Allah turun naik di langit sama seperti  manusia yang turun naik tangga, maka ini i'tiqad BATIL dan SESAT.


(3) Nafikan " arah " bagi Allah Ta'ala.

Demikian juga tidak wujud ungkapan  "arah" bagi menunjukkan keberadaan Allah Ta'ala:  Jika seseorang  i'tiqad keberadaan Allah pada arah utara, selatan, timur,  barat, atas dan bawah, kiri dan kanan, depan belakang, maka ini pegangan BATIL dan SESAT.


(4) Nafikan "jarak" antara Allah Ta'ala dan makhluq.

Tidak wujud sebarang jarak antara Allah Ta'ala dengan makhluq.

Ini kerana yang mempunyai "jarak" adalah makhluq.   Setiap makhluq dengan makhluq lain wujud "jarak"  antara keduanya.   


Adapun ungkapan "manusia jauh dari Allah" adalah jauh dalam pengertian hijab, iaitu manusia terdinding dari Allah disebabkan dosa-dosanya. Perbincangan lanjut hal ini wajib merujuk kepada Ahli Ma'rifat yang benar.


(5) Nafikan Allah Ta'ala terkandung di dalam "masa". 

Sesungguhnya "masa" itu adalah ciptaan Allah.  Maka Dia (Allah Ta'ala) tidak terkandung di dalam "masa" dan tidak tertakluq kepada "masa".  Istilah "lambat"  atau "cepat"  atau "menepati masa" adalah nisbah kepada makhluq, BUKAN kepada Allah Ta'ala.



Kesimpulan dari keterangan  ini:

Allah Ta'ala adalah Laisa Kamithlihi syai'un   "Tiada sesuatu seumpama seperti-Nya".  Pegangan ini saja cukup utk menyatakan Allah Ta'ala tidak sama dengan sekalian yang  baharu.  Tidak wujud sebarang _kaifiyyat_ bagi menunjukkan "rupa" bagi Zat-Nya,  atau "arah" bagi Zat-Nya,    atau  "tempat "  bagi Zat-Nya,    atau "Masa" bagi kewujudan-Nya atau lain-lain sepertinya kerana semua ini adalah makhluq yang dicipta oleh Allah Ta'ala.


Berkata Imam Ibn Hajar Al-Haythami Radhiallahu anhu:

 “Ketahuilah bahawa al-Qarafi dan lainnya telah meriwayatkan dari al-Imam Asy-Syafi’i, Imam Malik, Imâm Ahmad dan al-Imam Abu Hanifah bahawa mereka semua sepakat mengatakan bahawa orang yang menetapkan arah bagi Allah dan mengatakan bahawa Allah adalah benda maka orang tersebut telah menjadi kafir."

[Minhaj al-Qawim]


SIRI 684 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...



Prinsip ke-9:

Bertanya bagaimana Allah di Arasy adalah bid'ah kesesatan


Persoalan "keberadaan Allah" atau di dalam kata lain "di mana Allah" seringkali menjadi pertanyaan manusia:


Adakah Allah di Langit?

Adakah Allah di bumi?

Adakah Allah di mana-mana? 


Kemudian bangkit pula Golongan sesat Wahhabiyyah (khawarij) menambah kebingungan manusia dengan dakyah batil dan sesat, di antara propaganda mereka:


Allah menetap di Arasy. 

Allah duduk bersela atas Arasy.

Allah bertapa di atas Arasy. 

Allah menetap di Langit. 

Allah menetap nun jauh dari makhluk-Nya. 


Semua ini adalah i'tiqad yang sesat yang berlawanan dengan Al Qur'an dan Hadith serta Fatwa Ulama Mu'tabar Ahlus Sunnah.  Ulama Ahlus Sunnah telah lama berikan panduan berkenaan hal ini tetapi malangnya ummat ini telah jauh dan makin jauh dari pengajaran mereka. 


I'tiqad yang benar menurut Ahlus Sunnah adalah:

Allah Ta'ala istiwa di atas Arasy dan al kaif (caranya) istiwa TIDAK diketahui.  Dilarang keras bertanya atau membincangkan kaifiyyat (cara) Allah istiwa di Arasy. 


Berkata Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani  رضي الله عه:

"Menurut pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, apabila ditanya di mana Allah, maka jawablah sebagaimana Allah Ta'ala menyebutkan diri-Nya di atas Arasy-Nya .... 


Firman Allah:

 

ٱلرَّحْمَـٰنُ عَلَى ٱلْعَرْشِ ٱسْتَوَىٰ 


“Bermula (Allah), Tuhan bernama Ar-Rahman istiwa di atas Arasy.  

[Surah Toha (20) : Ayat 5]


Adapun Al-kaif  (caranya) Tuhan  istiwa di atas 'Arasy tidak diketahui.  Maka dilarang bertanya bagaimana Tuhan di Arasy.  Bertanya atau membincangkan atau membahaskan cara atau bagaimana Tuhan  istiwa di atas Arasy adalah bid'ah kesesatan."

[Tamat petikan Kitab Al Ghunyah Imam Jilani]


Inilah pegangan yang benar.  Iaitu apabila ditanya di mana Allah, jawablah:

 “Allah sebagaimana Dia Firman di dalam Al-Qur’an:    

"Allah   istiwa  di atas Arasy”    sesuai dengan Kemuliaan dan Keagungan-Nya.  Dan caranya  istiwa_ TIDAK diketahui.  Bertanya atau membincangkan tentang cara Tuhan istiwa di atas Arasy adalah bid’ah kesesatan.  Itu sahaja cukup sebagai pegangan dan jawapan kepada mana-mana  Muslim yang bertanya tentang "keberadaan Allah".


Kita cuma disuruh meyakini bahawa Allah Ta'ala  istiwa_ di atas Arasy tanpa membincangkan bagaimana caranya Dia  istiwa di atas Arasy.  Jawapan ini adalah yang lebih baik dari jawapan-jawapan lain berkenaan "keberadaan Allah" kerana ianya lambang Ketinggian, Keagungan serta Kebesaran Allah Ta'ala di atas makhluk- Nya.  


Peringatan dan Amaran:

Allah istiwa atas Arasy bukan bermakna Allah memerlukan Arasy sebagai tempat menetap-Nya...!   Bukan juga bermakna Allah bertahta seperti Raja-Raja di Arasy.  Maha Suci Allah dari memerlukan makhluq-Nya untuk Dia menetap... !  Semua i'tiqad  itu adalah i'tiqad batil, sesat dan kufur kerana menetapkan Arasy sebagai tempat duduk Allah atau istirehat-Nya atau tempat menetap-Nya merupakan Syirik Akbar. 


SIRI 685 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...




Prinsip ke-10:

Al-Qur'an adalah Kalam Allah yang Qadim, bukan makhluq


Menurut I'tiqad Ahlus Sunnah,

Al-Qur'an adalah Firman Allah yang Qadim dan BUKAN makhluq. 


Golongan Mu'tazilah mengatakan Al-Qur'an itu makhluq, maka mereka sesat jauh dari Petunjuk Allah!


Apakah maksud Qadim?

Secara ringkas, Qadim adalah bermaksud sediakala atau tiada permulaan bagi-Nya.  Berbeza dengan makhluq, ada permulaan baginya.  


Makhluq tidak wujud pada asalnya,  kemudian Allah menciptakannya — ini yang dimaksudkan dengan adanya permulaan.  Sedangkan bagi Allah Ta'ala tiada permulaan bagi-Nya.   Demikian lagi sekalian sesuatu yang dinisbahkan kepada Allah Ta'ala yang berupa Af'al  (perbuatan), Asma'-Nya (Nama-Nama-Nya yang Agung) atau Sifat-Nya adalah disebut Qadim — tiada permulaan bagi-Nya. 

  

Af'al Allah — Perbuatan Allah

Asma' Allah — Nama-Nama Allah yang Indah-Indah.

Sifat Allah — sekalian Sifat Keagungan, Ketinggian, Kemuliaan dan Kebesaran Allah.


Wajib dii'tiqadkan sekalian yang dinisbahkan kepada Allah itu adalah Qadim dan BUKAN makhluq.  Fahaman terhadap perkara ini paling mustahak untuk memahami "Al-Qur'an Kalamullah"  kerana Kalamullah adalah Kata-Kata Allah yang merupakan Sifat Allah Yang Maha Agung.


Ulama Ahlus Sunnah yang Mu'tabar, Ulama bertaraf Auliya Allah telah sepakat, bahawa sesiapa mengatakan Al-Qur'an Kalam Allah itu makhluq, maka dia telah kafir.  Na'uzbillah.   Maka sesiapa pernah melafazkan atau meyakini Al-Qur'an Kalamullah atau Firman Allah itu makhluq, maka wajib mengucap Kalimah Syahadah dan Taubat Nasuha.


Berkata Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Barang siapa menganggap Al-Qur'an itu makhluq, maka dia telah kafir kepada Allah.  Dan kerananya dia tidak boleh digauli, tidak boleh diajak makan bersama, tidak boleh dinikahi, tidak boleh dijadikan tetangga, dia wajib dijauhi, tidak boleh dijadikan Imam solat, tidak sah dijadikan saksi, tidak sah menjadi wali, bahkan dia tidak boleh disolatkan jika mati.  Mintalah agar dia taubat sampai tiga kali, seperti taubat orang Murtad (dan mengucap Kalimah kembali) dan kembali sebagai Muslim.  Jika tidak (dia enggan taubat),  maka dia mesti dibunuh (oleh pemerintah)."

[Al-Ghunyah Li-Tolibi Toriqil-Haqq]


SIRI 686 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...



Sebahagian Dalil-Dalil Penting berkenaan Al-Qur'an Kalamullah:


Firman Allah:


وَإِنَّهُ لَتَنْزِيلُ رَبِّ الْعَالَمِينَ ؛ نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الْأَمِينُ ؛ عَلَى قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنْذِرِينَ ؛ بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُبِينٍ


“Dan sesungguhnya Al-Qur’an ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta Alam,  dibawa turun oleh Ar-Ruh Al-Amin (Jibril), ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan, dengan bahasa Arab yang jelas.” 

[ Asy-Syu’ara’ (26) : Ayat 192-195]



Firman Allah:


إِنَّ عَلَيۡنَا جَمۡعَهُ ۥ وَقُرۡءَانَهُ ۥ     فَإِذَا قَرَأۡنَـٰهُ فَٱتَّبِعۡ قُرۡءَانَهُ 


"Sesungguhnya menjadi tanggungan Kami menghimpunnya (Al Qur'an — Kalamullah) di dalam dadamu dan (membuatmu pandai) membacanya.  Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka ikutilah bacaannya.”

[Al-Qiyamah (74) : Ayat 17-18]



Firman Allah:


إِنَّهُ لَقَوْلُ رَسُولٍ كَرِيمٍ ؛ ذِي قُوَّةٍ عِنْدَ ذِي الْعَرْشِ مَكِينٍ


“Sesungguhnya Al-Qur’an itu (benar-benar Firman Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibril), yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan tinggi di Sisi Allah yang mempunyai ‘Arsy.” 

[At-Takwiir (66) : Ayat 19-20]



Firman Allah:



يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ قَدۡ جَآءَكُم بُرۡهَـٰنٌ۬ مِّن رَّبِّكُمۡ وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكُمۡ نُورً۬ا مُّبِينً۬ا (١٧٤)


"Wahai sekalian ummat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi "

[An Nisa (4) : Ayat 174]



Firman Allah:


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

الٓمٓ (١) ذَٲلِكَ ٱلۡڪِتَـٰبُ لَا رَيۡبَ‌ۛ فِيهِ‌ۛ هُدً۬ى لِّلۡمُتَّقِينَ (٢)


"Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

"Alif-Lam-Mim.  Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa."

[Al-Baqarah (2) : Ayat 1-2]


SIRI 687 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...



Penjelasan ringkas:

Cara Sebenar Memahami dan I'tiqad Al-Qur'an Kalamullah yang Qadim:


PERTAMA:

Ahlus Sunnah yang benar meyakini Al Qur'an adalah Kalamullah, kata-kata Allah yang mengandungi perintah Allah, Hukum-Nya, pengajaran, kisah-kisah Nabi dahulu.


KEDUA:

Al Qur'an adalah Mukjizat terbesar, petunjuk, penawar dan cahaya bagi orang beriman.


KETIGA:

Ayat-Ayat suci Al-Qur'an yang asalnya tertulis pada pelepah tamar,  kulit haiwan dan batu pada zaman Rasulullah ﷺ     kemudiannya dikumpulkan dan dibukukan menurut Juzuk,  Surah dan ayat-ayat-Nya. Pada zaman kemudiannya naskhah kitab Al-Qur'an dicetak dengan menggunakan kertas bagi kemudahan Ummat Islam membaca dan mengambil manfaat dari Mu'jizatnya.  


Kesemua himpunan ini  — sama ada dalam bentuk asalnya pada pelepah tamar, kulit haiwan, kayu dan batuan atau berbentuk lembaran kertas yang dibukukan  —  kesemua ini wajib dimuliakan dan dijunjung tinggi kerana kitab ini mengandungi Kalam Allah —  Perintah Allah, suruhan, larangan,  hukum, kisah dan lain-lain. 


KEEMPAT:

Yang dimaksudkan dengan "Al- Qur'an Kalam Allah yang Qadim" adalah:


"Haqiqat Kalam Allah" yang tersimpan di dalam Ilmu Allah.


"Haqiqat" ini kemudiannya tersimpan di  "Luh Mahfuz "  pada waktu yang tidak diketahui,  Kemudiannya diturunkan beransur-ansur kepada Nabi Muhammad ﷺ melalui perantaraan Jibril.


Ketika wahyu diturunkan pada Nabi  ﷺ, Baginda membacanya di dalam bahasa Arab, ertinya "Hakikat Al Qur'an" yang tersimpan di dalam Ilmu Allah (kemudian Luh Mahfuz)  diturunkan kepada Nabi di dalam bahasa Arab, maka demikian Nabi membacanya di dalam bahasa Arab.


KELIMA:

Manusia TIDAK akan mampu memahami Kalam Allah Yang Maha Tinggi, maka diciptakan-Nya huruf, tulisan dan bahasa yang dapat difahami oleh manusia dan dapat komunikasi sesama mereka.  Firman Allah tercurah ke dalam dada Rasulullah ﷺ dan Baginda dapat memahaminya dan seterusnya membacakannya kepada manusia di dalam bahasa Arab.


KEENAM:

Menjawab Fahaman sesat yang meyakini Al-Qur'an makhluq.


Apabila merujuk kepada naskhah kitab Al-Qur'an yang terdiri dari lembaran kertas,  tertulis di dalamnya Ayat-Ayat Allah menggunakan dakwat dan ditulis di dalam bahasa Arab....


Lembaran kertas itu makhluq.

Dakwat yang digunakan itu makhluq.

Bahasa Arab itu makhluq.

Tukang menulisnya juga makhluq.


Tetapi haqiqat yang terkandung di sebalik tulisan tersebut adalah  Kalam Allah yang Qadim.


Ahlus Sunnah TIDAK mengi'tiqadkan kertas, dakwat, tulisan arab itu Qadim, tetapi yang dipegangi sebagai Kalam Allah yang Qadim adalah haqiqat di sebalik setiap huruf Kalimat Allah.   


KETUJUH:

Apabila merujuk kepada orang yang membaca Al-Qur'an,  lontaran suaranya adalah makhluq, tetapi haqiqat yang terkandung di sebalik suara bacaan Al-Qur'an itu adalah Kalam Allah yang Qadim.


KELAPAN:

Menurut Ijma' Ulama Ahlus Sunnah, sesiapa mengatakan Al-Qur'an itu makhluq, maka dia telah kafir, WAJIB disuruh taubat dan mengucap Kalimah Syahadah semula.


KESEMBILAN:

Orang awam dinasihatkan JANGAN melibatkan diri di dalam perbahasan panjang berkenaan Af'al Allah, Asma' Allah dan Sifat Allah yang semua ini merupakan Qadim.   Fahamilah secara ringkas dan diamkan diri.

Ini kerana perdebatan hal Ketuhanan menggunakan aqal tidak sunyi dari syubhat dan kesamaran yang boleh merosakkan Aqidah.  Sebahagiannya membawa kepada sifat sombong takabbur dengan ilmu perdebatan ini, bahkan tidak kurang akan jatuh kepada kesesatan dan kekafiran.  Wal Iyazubilah.  


SIRI 688 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...




Prinsip ke-11:

Wajib yakin kewujudan Auliya Allah


Berdasarkan keterangan Al-Qur'an, Hadith dan Ijma' Ulama, insan-insan Pilihan Allah yang khusus dipanggil 

"Auliya Allah " benar-benar wujud atas muka bumi.  Meyakini kewujudan mereka serta kemuliaan yang Allah Ta'ala Kurniakan kepada mereka berserta darjat-darjat kebesaran, adalah setengah dari cabang-cabang Keimanan. Ertinya wajib beriman akan keberadaan mereka, darjat-darjat mereka dan kemuliaan mereka dan ingkarinya membawa kepada kekafiran.  

Wal Iyazubillah. 


Firman Allah Ta'ala:


أَأَلاۤ إِنَّ أَوْلِيَآءَ ٱللَّهِ لاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ.  ٱلَّذِينَ آمَنُواْ وَكَانُواْ يَتَّقُونَ.  لَهُمُ ٱلْبُشْرَىٰ فِي ٱلْحَياةِ ٱلدُّنْيَا وَفِي ٱلآخِرَةِ لاَ تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ ٱللَّهِ ذٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ


Ketahuilah! Sesungguhnya para Auliya Allah itu, tidak ada ketakutan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.  Mereka (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman (Mu'min sejati) serta mereka pula sentiasa bertaqwa (sebenar-benar Taqwa).  Bagi mereka diberi berita gembira di dalam kehidupan dunia dan di Akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.”

[Yunus (10) : Ayat 62-64]


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

“Sesungguhnya mereka yang benar-benar beriman (Mencapai Keimanan sejati) adalah Auliya Allah (Kekasih Allah) yang tiada takut apa pun terhadap sesuatu yang mendatang, dan tiada dukacita terhadap suatu yang mereka tinggalkan di belakang.  Kemudian Allah tegaskan lagi bahawa mereka yang dimaksudkan adalah orang-orang yang beriman (benar-benar beriman) dan bertaqwa (sebenar Taqwa) kepada Allah.  Kalimah " ٱلْبُشْرَىٰ " (Al-Busyra), khabar gembira bermaksud dua macam kebahagiaan:  Pertama: Kebahagiaan di dunia dengan mendapat mimpi-mimpi benar.  Kedua: Jaminan masuk Syurga (tanpa hisab).  Yang demikian itu adalah jaminan Allah kepada mereka. Dan itulah sebesar-besar kemenangan.”

[Tafsir Ibn Abbas]


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Ketahuilah Wali Allah itu terlepas dari berbagai keperluan kemanusiaan secara keseluruhan dan terhindar dari berbagai tuntutan hawa nafsu mereka, sungguh mereka tiada rasa takut pada diri mereka sendiri dan tidak bersedih hati kerana takut dan sedih terbit dari berbagai keperluan tabi'at dan tuntutannya.  Mereka fana di dalam Hawiyah Al-Haqq (Lingkungan Keagungan Ketuhanan) dan jadilah mereka bebas dari sebarang ketakutan atau kesedihan, sebaliknya mereka hidup aman gembira, kerana seseorang yang telah fana tidak bersifat dengan hal bertentangan seperti demikian. Dan mereka adalah orang-orang beriman kepada Allah pada permulaan Suluk mereka, iaitu mencapai maqam Ilmul-Yaqeen dan setelah kukuh di maqam tersebut, mereka selalu bertaqwa dan berhati-hati terhadap Kekuasaan Sifat-sifat Keagungan-Nya yang terhasil dari karamnya mereka huwiyyah dan keasyikan mereka dengan berbagai ta'ayyunat.  Kemudian setelah mereka terbebas dari hal demikian dengan keikhlasan dan kerendahan diri yang tulus bagi mereka berita gembira di Sisi Allah berupa kemenangan yang besar di dalam kehidupan dunia (Ma'rifat) dan kehidupan Akhirat (masuk syurga tanpa hisab)

[Tafsir Jailani]


SIRI 689 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...



Rasulullah   ﷺ  bersabda:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ اللهَ تَعَالَى قَالَ : مَنْ عَادَى لِيْ وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ، وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِيْ بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عَلَيْهِ، وَلاَ يَزَالُ عَبْدِيْ يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِيْ يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِيْ يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِيْ يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِيْ يَمْشِيْ بِهَا، وَلَئِنْ سَأَلَنِيْ لأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِيْ لأُعِيْذَنَّهُ


Dari Abu Hurairah ra., beliau berkata, bahawa Rasulullah ﷺ  bersabda:“Sesungguhya Allah Ta’ala berfirman:

"‘Barang siapa yang memusuhi Wali-Ku maka Aku telah mengisytihar perang dengannya.  Tidak ada taqarrubnya seorang hamba kepada-Ku yang lebih aku cintai kecuali dengan  beribadah dengan apa yang telah Aku fardhukan kepadanya.  Dan hamba-Ku yang selalu mendekatkan diri kepada-Ku dengan nawafil (perkara-perkara sunnat) maka Aku akan mencintainya dan apabila Aku telah mencintainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakan untuk berjalan.  Jika dia meminta kepada-Ku niscaya akan Aku berikan dan jika dia minta perlindungan dari-Ku niscaya akan Aku lindungi.’ ” 

[Imam Bukhari]



Rasulullah   ﷺ  bersabda:


أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ عِبَادِ اللهِ لَأُنَاسًا مَا هُمْ بِأَنْبِيَاءَ وَلَا شُهَدَاءَ يَغْبِطُهُمُ الْأَنْبِيَاءُ وَالشُّهَدَاءُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِمَكَانِهِمْ مِنَ اللهِ تَعَالَى قَالُوْا يَا رَسُوْلَ اللهِ تُخْبِرُنَا مَنْ هُمْ قَالَ هُمْ قَوْمٌ تَحَابُّوْا بِرُوْحِ اللهِ عَلَى غَيْرِ أَرْحَامٍ بَيْنَهُمْ وَلَا أَمْوَالٍ يَتَعَاطَوْنَهَا فَوَاللهِ إِنَّ وُجُوْهَهُمْ لَنُوْرٌ وَإِنَّهُمْ عَلَى نُوْرٍ لَا يَخَافُوْنَ إِذَا خَافَ النَّاسُ وَلَا يَحْزَنُوْنَ إِذَا حَزِنَ النَّاسُ وَقَرَأَ هٰذِهِ الْآيَةَ ( أَلَآ إِنَّ أَوْلِيَآءَ اللهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُوْنَ )


"Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah terdapat beberapa manusia yang bukan para Nabi dan bukan orang-orang yang mati syahid.  Para Nabi dan orang-orang yang mati syahid merasa iri hati kepada mereka pada hari Qiamat kerana kedudukan mereka di sisi Allah Ta'ala." Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah engkau akan menceritakan kepada kami siapakah mereka?” Baginda bersabda: "Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai dengan ruh dari Allah tanpa ada hubungan kekerabatan di antara mereka, dan tanpa adanya harta yang saling mereka berikan.  Demi Allah, sesungguhnya wajah mereka adalah cahaya, dan sesungguhnya mereka berada di atas cahaya, tidak merasa takut ketika orang-orang merasa takut, dan tidak bersedih ketika orang-orang merasa bersedih." Dan Baginda  membaca ayat ini:   أَلَآ إِنَّ أَوۡلِيَآءَ ٱللَّهِ لَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ 

("Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.) 

[Yunus  (10) : Ayat 62]." 

[Imam Abu Dawud]


SIRI 690 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...


Penjelasan:

Menurut pendirian Ahlus Sunnah, Firman Allah di atas menjelaskan beberapa keistimewaan yang Allah Ta'ala Kurniakan kepada hamba-hamba Allah yang mencapai Keimanan sejati, Maqam Tauhid tertinggi, Maqam Taqwa yang sebenar-benarnya, Maqam Ma'rifat dan Ubudiyyah yang sempurna. 


(1) Auliya Allah adalah Kekasih Allah, Wakil Allah atas muka bumi bagi mentadbir Dunia menurut Kehendak dan Perintah Allah. 


(2) Umumnya semua Rasul, Nabi, Warisatul Anbiya yang muhaqqiq adalah Auliya Allah iaitu Kekasih Allah.  Mereka dihantar ke bumi bagi memakmurkannya dengan Kalimah Allah, menyebarkan cahaya Tauhid.

Walau bagaimanapun istilah "Auliya Allah" lebih sinonim dengan Pewaris-Pewaris Rasulullah ﷺ, kerana Rasul dan Nabi sudah mempunyai istilah mereka tersendiri.  Dengan demikian apabila disebut Auliya Allah, maka ianya merujuk kepada sekalian Pewaris Rasulullah ﷺ secara khusus dan orang Mukmin sejati secara umum. 


(3) Penzahiran Auliya Allah (Kekasih Allah) di atas muka bumi adalah haq mutlaq Allah Ta'ala.  Ini bermakna TIDAK berlaku campur tangan dari mana-mana manusia atau kumpulan politik atau penguasa mana pun di dalam perlantikan seseorang Auliya Allah.


(4) Apabila seseorang hamba Pilihan Allah diangkat ke Maqam Auliya Allah, Guru Mursyid yang memimpinnya akan mendapat Petunjuk ke dalam batinnya.  Namun beliau tidak akan menzahirkan istilah Auliya Allah sebaliknya perlantikan itu disebut dengan istilah  "Khalifah Rasulullah" untuk elakkan sebarang fitnah.


(5) Maqam Auliya Allah bertingkat-tingkat.  Menurut keterangan Al Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al Kholidi Radiallau anhu:


Tingkatan Satu : Wali Ghauth.

Tingkatan tertinggi kewalian adalah Wali Gauth ( Penolong besar ) hanya satu orang satu zaman.  Iman beliau mengatasi Iman sekalian orang beriman seluruh dunia ketika itu. 

Tingkatan ke-2:  Wali  Qutb - dua orang pada satu zaman. 

Tingkatan ke-3:  Wali Autad - empat orang satu zaman. 

Tingkatan ke-4 : Wali Abdal

Tingkatan ke-5: Wali Nujba'

Tingkatan ke-6: Wali Nuqaba'

Tingkatan ke-7: Wali Atqiya'


(6) Kesemua Tingkatan Maqam Kewalian ini adalah tetap maqam mereka.  Mereka semua adalah di dalam Pemeliharaan Allah Ta'ala (Mahfuz).  Ertinya sekalian Auliya Allah ini sudah tamkin dan tahqiq...  sudah tetap hatinya atas Syari'at Nabi ﷺ.  Mereka TIDAK akan melakukan dosa besar atau dosa kecil sekalipun.  Jika terjadi pada satu zaman, mereka terbuat dosa kecil mereka akan taubat segera pada ketika itu juga kerana mereka akan mendapat isyarat dari Petunjuk Allah seketika itu juga.   Jauh sekali mereka melakukan keingkaran kepada Allah pada mana-mana hukum Syara'.  Inilah Maqam Auliya Allah yang sebenar.  Dan ini yang dikatakan semua Auliya Allah tertakluk kepada Qanun Majlis Wali-Wali.


(7)  Selain dari Maqam Auliya Allah yang sudah tamkin...  ada lagi Wali Am, iaitu Wali Allah yang BELUM tetap maqamnya. Ertinya Wali Am ini boleh jadi dia akan naik kepada maqam tetap masuk kepada Wilayah tetap, atau boleh jadi juga dia jatuh dari maqam kewalian bergantung kepada kesungguhan dia mempertahankan Syari'at Nabi ﷺ dan sejauh mana dia tetap mematuhi adab-adab Ma'rifat. Semua ketentuan ini haq Allah Ta'ala semata-mata.


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Para Nabi dan Wali Allah tidak luput dari kegelinciran.  Hanya para Nabi adalah Ma'sum terpelihara dari dosa besar setelah diangkat menjadi Nabi dan Rasul.  Sedangkan para Wali Allah tidaklah ma'sum tetapi mereka adalah disebut Mahfuz, dipelihara oleh Allah daripada dosa-dosa besar setelah darjat kewaliannya sempurna."

[Sirrul-Asrar]


Bersambung siri 691 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

_____________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 707) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...