B17 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 161 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.21  Dosa Besar ke -20:   Tamak (  طَمَع  )

sambungan....


Penentuan Batas / Ukuran Tamak

 

Persoalan :  

Siapakah yang dikatakan Tamak? 

Apakah ciri2nya / sifat2nya?

Apakah batasnya?

Bilakah seseorang dikatakan Tamak?


Adakah setiap orang yang mengumpulkan harta itu dikatakan Tamak?  Jika tidak demikian, apakah ukuran lain yang masuk kepada sifat Tamak? 


Sesungguhnya semua hal yang tersebut di atas sangatlah rumit. Kebanyakan orang Islam awam kepayahan di dalam menentukan batas, kadar atau ukurannya.  Timbulnya kepayahan untuk menentukannya secara pasti adalah kerana beberapa sebab :


1.  Harta benda dan kekayaan dunia bukanlah mutlaq haram, dan pemilik harta kekayaan tidaklah mutlaq menunjukkan sifat tamak. Ini kerana ada kalanya Allah Ta'ala memuji pemilik harta dan ada kalanya Allah mengutuk. Ertinya wujud pertimbangan lain yang memerlukan penelitian terhadap pemilikan harta kekayaan.


2. Harta benda adalah keperluan duniawi bagi kesinambungan kehidupan atas muka bumi. Ertinya setiap manusia memerlukannya. Berapa banyak harta yang dikatakan memadai bagi seseorang? Berapa banyak harta dikatakan melebihi keperluan sehingga masuk kategori "tamak"?   Ini yang menjadi persoalan dan kerumitan bagi kebanyakan orang Islam awam memahaminya. 


3. Banyaknya harta mengandungi dugaan berat. Sedikitnya harta (kekurangan harta) pula menjadikan seseorang sentiasa di dalam keadaan tertekan jiwanya. Ketiadaan harta langsung (faqir atau tersangat miskin) boleh menjurus kepada kekufuran.


4. Harta yang banyak besar faedahnya bagi Akhirat, iaitu dengan melakukan kebajikan, amal jariah dan pertolongan kepada orang yang memerlukan.  Pada sudut lain harta yang banyak juga membawa manusia jauh dari Allah, kufur Ni'mat bahkan menjadi Kafir yang di La'nat. Wal Iyazubillah. 


5. Ada manusia mencari harta yang banyak bagi menyara hidup keluarganya yang besar. Atau dia membiayai badan kebajikan. Atau dia membantu faqir miskin secara senyap2 sekira2 tidak diketahui oleh mana2 manusia lain. 


7. Sifat tamak boleh terjadi kepada orang kaya dan juga orang miskin. 


Kesimpulannya : Harta benda dunia mengandungi dugaan yang berat dan tidak sunyi dari beberapa faedah untuk Akhirat dan pada sudut lain tidak sunyi daripada kecelakaan dan kebinasaannya. Ketiadaan harta langsung (terlalu miskin sehingga seseorang meminta2)  juga tidak terlepas dari dugaan pada sisi lain kerana menjurus kepada kekafiran, jahat sangka dan putus asa dari  Rahmat Allah. 


Dengan demikian, batas atau ukuran untuk menentukan secara pasti seseorang itu termasuk orang yang Tamak adalah suatu yang sangat rumit. Tiada yang mampu membezakannya  kecuali Ahli Ma'rifat dan mereka yang memperoleh cahaya daripada Allah Ta'ala, iaitu Salikin yang memperoleh Cahaya Rabbaniyyah.


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:

"Fitnah dunia itu banyak cabang dan seginya, luas sudut dan dan sampingnya. Akan tetapi  yang terbesar fitnahnya dan lebih lengkap ujiannya adalah "harta".   Lebih besar fitnah pada harta itu ialah kerana : bahawa tiada seorang pun yang tiada memerlukan kepada harta. Kemudian apabila harta itu diperoleh, maka tiada selamat (dari kejahatan yang ditimbulkan oleh harta). Jika tidak memiliki harta, terjadi kemiskinan yang mendekat kepada kekafiran. Kesimpulannya harta itu tiada terlepas dari faedah dan bahaya. Membezakan antara kebajikan dan kejahatannya termasuk hal yang amat sulit, yang tidak mampu membezakannya, selain dari orang yang mempunyai basirah (mata hati), dari kalangan Ulama Arif yang mendalam ilmunya."

[Ihya Ulumuddin : Bab Tercelanya Harta]


SIRI 162 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.21  Dosa Besar ke -20:   Tamak (  طَمَع  )

sambungan....


Tanda wujud Sifat Tamak


Sebagaimana telah disebut sebelum ini, bahawa kewujudan Sifat Tamak amat sukar dikesan dan mengenalinya secara pasti menjadi kebingungan bagi orang Islam awam disebabkan beberapa faktor berhubung dengan harta dan usaha mencari rezeki.  


Harta merupakan keperluan setiap manusia bagi kesinambungan hidupnya atas muka bumi. Harta dunia juga menjadi asbab seseorang beriman memperoleh Keredhaan Allah apabila dia belanjakannya pada Jalan Allah, mendirikan Masjid, membantu faqir miskin, membangunkan rumah tumpangan untuk musafir dan menyedikan bekalan air percuma kepada manusia dan berbagai kebajikan yang diRedhai Allah.  Di suatu sudut lain "harta" dicela apabila manusia menggunakan sewenang2 nya demi kepentingan nafsunya, menghimpun2nya untuk kesenangannya, enggan bersedekah, enggan membantu Fi Sabillillah, lupa kepada Allah dan menjadi derhaka dan sombong. 


Inilah kerumitan yang sangat sukar membezakannya dan meletakkan "harta" menepati Kehendak Allah menjadi kebingungan bagi kebanyakan manusia. Walau bagaimanapun, orang2 awam dan Salikin yang baru mengenal Jalan Ma'rifat, boleh jadikan tanda2 berikut sebagai panduan.  


Sebagai peringatan semula: Sifat tamak tidak berdiri sendiri, tetapi sangat berkait rapat dengan Keimanan, keyakinan kepada Qadha Qadar, cinta dunia, bakhil, hasad dengki, memfitnah, adu domba, kezaliman dan kufur Ni'mat.  Dengan demikian perhatikanlah sungguh2 moga terhindar dari sifat yang amat buruk ini.


Tanda pertama : Tak pernah puas dengan Nikmat Allah

Barangkali inilah tanda paling umum menunjukkan wujudnya sifat Tamak di dalam diri seseorang.  Walau banyak mana pun dia mendapat kekayaan, dia tak pernah puas dan tak pernah merasa cukup, bahkan masih kekurangan dan ingin menambah lagi dan menambah lagi tanpa had.  Meskipun dia diberikan kekayaan satu lembah dipenuhi dengan emas permata, dia tetap mahukan satu lagi lembah emas seperti itu. Dan meskipun ditambah lagi kekayaan yang sama seperti itu berkali2 ganda dia tetap tak pernah puas, dan mahukan lagi lebih banyak. 


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :


لَوْ كَانَ لاِبْنِ اَدَمَ وَادٍ مِنْ مَالٍ لاَبْتَغَى اِلَيْهِ ثَانِيًا وَلَوْ كَانَ وَادِيَانِ لاَبْتَغَى لَهُمَاثَالِثًا وَلاَيَمْلَأُ جَوْفَ ابْنِ اَدَمَ اِلاَّالتُّرَابُ وَيَتُوْبُ اللهُ عَلَى مَنْ تَابَ. رواه الشيخان واحمد والترمذى عن انس

“Andaikata seorang anak Adam telah memiliki harta benda sebanyak satu lembah, pasti ia akan berusaha lagi untuk memiliki dua lembah. Dan andaikata ia memiliki dua lembah, pasti ia akan berusaha lagi untuk memiliki tiga lembah. Memang tidak ada sesuatu yang dapat memenuhi keinginan anak Adam melainkan tanah (maksudnya mati - masuk kubur), dan Allah akan menerima taubat bagi mereka yang bertaubat.” 

[Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad dan Imam Tirmizi]


SIRI 163 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.21  Dosa Besar ke -20:   Tamak (  طَمَع  )

sambungan....


Tanda ke -2 : Mengumpul2 harta tanpa tujuan murni kerana Allah

Mengumpul2 kekayaan tanpa tujuan tertentu yang diharuskan oleh Syara' (ertinya bukan untuk membeli rumah tempat berteduh, atau membeli kenderaan yang perlu untuk kehidupan, atau kerana pebelajaran anak2 atau apa2 keperluan hidup lain yang diharuskan oleh Syara'), maka mengumpul2 kekayaan tanpa tujuan yang diharuskan oleh Agama, atau hanya menjadikannya harta simpanan untuk keseronokan hidupnya,  adalah menunjukkan sifat Tamak. 


✨🕌✨Firman Allah :

وَٱلَّذِينَ يَكۡنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلۡفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٖ ٣٤ يَوۡمَ يُحۡمَىٰ عَلَيۡهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكۡوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمۡ وَجُنُوبُهُمۡ وَظُهُورُهُمۡۖ هَٰذَا مَا كَنَزۡتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡ فَذُوقُواْ مَا كُنتُمۡ تَكۡنِزُونَ 

Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam Neraka Jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. 

[At-Taubah (9) : ayat 34-35]


Tanda ke-3 : Menimbunkan kekayaan demi kemegahan

Hal ini amat jelas di kalangan orang2 kaya / jutawan / hartawan yang mengumpul2 kekayaan semata2 kerana kemegahan, menunjuk2 kekayaan dan bermegah2 dengannya. Hal ini, selain dari tanda wujud ketamakan, juga menjadi dosa besar yang amat berat disebabkan sifat kemegahannya, sedangkan kemegahan, kesombongan, takabbur amat dibenci oleh Allah. 


✨🕌✨Sabda Rasulullah ﷺ :

أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَهْلِ النَّارِ , كُلُّ عُتُلٍّ جَوَّاظٍ مُسْتَكْبِرٍ

“Mahukah kamu aku beritahu tentang penduduk Neraka? Mereka adalah setiap orang yang keras kepala (degil, enggan menerima nasihat) lagi kasar, tamak lagi rakus, dan takabbur (megah sombong, besarkan diri).“ 

[Imam Bukhari, Imam Muslim]


Tanda ke-4 :  Ingin panjang Umur

Amat mencintai dunia dan keinginan yang kuat untuk hidup lama atas muka bumi adalah setengah dari tanda wujud sifat Tamak.


✨🕌✨Firman Allah :

وَلَتَجِدَنَّهُمْ أَحْرَصَ النَّاسِ عَلَىٰ حَيَاةٍ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ وَمَا هُوَ بِمُزَحْزِحِهِ مِنَ الْعَذَابِ أَنْ يُعَمَّرَ ۗ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُون

"Dan sungguh kamu akan mendapati mereka, manusia yang paling tamak kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih tamak lagi) dari orang-orang musyrik. Masing-masing mereka ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada siksa. Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.

[Al-Baqarah (2) : ayat 96]


Umur yang panjang hanya bermanfaat apabila seluruh umurnya dihabiskan untuk berzikir, berjihad dan beribadah kepada Allah (Ibadah yang khusus dan yang umum).  Umur yang panjang begini amat sukar diperoleh kerana kebanyakan manusia yang ingin panjang umur hanya ingin menyambung kelazatan dunia yang mereka telah kecapi dengan harta kekayaan mereka sehingga mereka berkata : hartaku, hartaku — mereka tak ingin berpisah dengan hartanya yang menimbun....sampai Malaikat maut mencabut nyawanya.  Inilah umur yang kerugian. Wal Iyazubillah. 


SIRI 164 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.21  Dosa Besar ke -20:   Tamak (  طَمَع  )

sambungan....


Tanda ke-5:  Tersangat mencintai dunia

Tersangat mencintai dunia dan kelazatannya mengatasi cinta mereka kepada Allah dan Rasul-Nya, melebihi cinta kepada membelanjakan harta pada Jalan Allah. Mereka lebih memilih keseronokan dunia.


✨🕌✨Sabda Rasulullah ﷺ :

اِقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَلَا يَزْدَادُ النَّاسُ عَلَى الدُّنْيَا إِلَّا حِرْصًا، وَلَا يَزْدَادُوْنَ مِنَ اللهِ إِلَّا بُعْدًا

Hari Qiamat semakin dekat, dan tidak bertambah (kemahuan) manusia kepada dunia melainkan semakin tamak rakus, dan tidak bertambah (kedekatan) mereka kepada Allâh melainkan semakin jauh.

[Imam Al-Haakim]


(6) Keinginan merampas hak orang lain

Sebahagian daripada tanda2 tamak yang amat berat adalah keinginan untuk merampas apa yang ada pada tangan orang lain. Perbuatan ini selain daripada menunjukkan sifat Tamak, juga merupakan kezaliman yang sangat besar.  Dan di Hari Pengadilan, mereka adalah manusia yang muflis (bankrap) meskipun dia ahli ibadah yang berdiri tahajjud berpuasa sunnat yang banyak dan mengerjakan Haji berulang kali. 


✨🕌✨Sabda Rasulullah ﷺ :

 “Hendaklah kamu berputus asa dari segala apa yang ada pada tangan orang lain, dan jauhilah tamak karena sesungguhnya tamak adalah suatu kefakiran yang nyata. ” 

[Imam Bukhari]


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

 “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham dan juga tidak memiliki harta.” Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ”Sebenarnya orang yang muflis dari kalangan ummatku ialah seseorang yang datang pada hari Qiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) dia pernah mencaci maki si fulan, menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan, dan pernah memukul si fulan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya , dia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.”

[Imam Muslim]


Keinginan untuk mengambil apa yang ada pada tangan orang lain atau merampas hak orang lain bukanlah suatu yang baru tetapi sudah berlaku sejak zaman dahulu lagi. Pada hari ini kita saksikan berbagai cara dan helah digunakan oleh manusia yang busuk hati untuk merampas harta dan hak orang lain — sama ada berupa kebendaan, kekayaan atau pangkat kedudukan. 

Ada di antara adik beradik yang kematian orang tuanya, berbuat helah untuk merampas harta pusaka untuk dirinya sendiri.  Peniaga2 bersaing untuk merampas perniagaan orang lain. Pegawai2, ahli politik berusaha merampas  jawatan dan pangkat orang lain.  Mereka lupa bahwa semua perbuatan mereka akan menjadikan mereka muflis di Akhirat.  Wal Iyazubillah. 


SIRI 165 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.21  Dosa Besar ke -20:   Tamak (  طَمَع  )

sambungan....


Punca / sebab2 mendorong kepada Ketamakan

 

Punca Pertama : Tak ingat Allah / Hati tak berzikir

Inilah punca paling utama penyakit hati dan dosa yang terhasil dari kerosakan hati, sebagaimana telah disebut  berulangkali. Apabila seseorang Islam tidak melazimkan Zikrullah, ertinya hati kosong dari Zikrullah, maka ketika itu terjadilah berbagai penyakit hati yang berat2. Dan ketamakan pada harta benda, pangkat, kedudukan, kekayaan dll  adalah satu daripadanya yang membawa kebinasaan orang beriman. Dalil2 nya telah kami bentangkan di dalam tajuk2 berikut :


1. Keagungan Zikrullah

2. Tingkatan Iman / Tauhid / Ma'rifat

3. Zikir Jihar (kuat suara)

4. Zikir Allah Allah 

5. Suluk / Khilwah menurut Ahlus Sunnah


Punca ke -2 : Dorongan nafsu kejahatan dan bisikan Syaitan

Nafsu jahat di dalam diri manusia sentiasa menyeru kepada cinta dunia dan Tamak kepada harta benda. Nafsu jahat terkait kepada kelemahan Iman dan ketiadaan Zikrullah. Nafsu kejahatan inilah tak puas2 dengan apa jua rezeki yang Allah Kurniakan. Kadangkala seseorang cuba melawan dorongan nafsu2 ini, namun seringkali tewas. Dalil2 darihal "nafsu2 jahat"  dan bisikan Iblis kepada manusia telah kami huraikan di dalam Tajuk berikut :


1. Syari'at dan Toriqat Menurut Ahlus Sunnah

2. Suluk / Khilwah Menurut Ahlus Sunnah

3. Mengapa orang Alim pun terkena gangguan Jinn Syaitan


Punca ke-3 : Tak percaya Qadha Qadar

Lemahnya kepercayaan kepada Qadha dan Qadar Allah, membawa kepada ketamakan.  Sedangkan Allah Ta'ala sudah menetapkan rezeki bagi setiap manusia di dalam kandungan ibunya lagi. Bahkan setiap makhluk yang melata atas muka bumi sudah pun ditetapkan rezekinya masing2.


✨🕌✨Firman Allah تَعَالَى :

 وَمَا مِن دَآبَّةٍ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ رِزۡقُهَا وَيَعۡلَمُ مُسۡتَقَرَّهَا وَمُسۡتَوۡدَعَهَا‌ۚ كُلٌّ فِى ڪِتَـٰبٍ۬ مُّبِينٍ۬

"Dan tiadalah sesuatupun yang melata atas muka bumi (sekalian makhluq yang bergerak di bumi) melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab  yang nyata (Luh Mahfuz).

[Al-Hud (11) : ayat 6]


Punca ke-4 : Cinta dunia

Kecintaan manusia yang amat kuat kepada harta benda, kekayaan, kemegahan, kedudukan dan segala macam kenikmatan dunia membawa kepada berbagai akibat buruk (dusta, fitnah, adu domba, zalim dan pembunuhan) sebagaimana telah berlalu penjelasannya. Maksudnya Cinta kepada harta lazimnya tidak berdiri sendiri melainkan ia membawa kepada sifat2 buruk yang lebih besar. Tamak adalah sebahagian daripada sifat buruk tersebut. 


SIRI 166 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.21  Dosa Besar ke -20:   Tamak (  طَمَع  )

sambungan....


Punca ke-5 : Lupa kematian itu bila2 masa

Hal ini juga merupakan punca yang sangat lazim bagi kebanyakan manusia. Mereka lupa bahawa mereka akan mati bila2 masa. Mereka lupa bahawa ketika mati mereka tidak akan membawa sebarang harta kekayaan bertimbun yang mereka telah himpunkan melainkan harta paling murah — beberapa helai kain putih yang membalut tubuhnya. 


Punca ke-6: Ingin hidup selama2nya

Keinginan untuk hidup lama menjadikan seseorang menjadi tamak. 


✨🕌✨Firman Allah :

وَلَتَجِدَنَّهُمْ أَحْرَصَ النَّاسِ عَلَىٰ حَيَاةٍ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ وَمَا هُوَ بِمُزَحْزِحِهِ مِنَ الْعَذَابِ أَنْ يُعَمَّرَ ۗ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُون

"Dan sungguh kamu akan mendapati mereka, manusia yang paling tamak kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih tamak lagi) dari orang-orang musyrik. Masing-masing mereka ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada siksa. Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.

[Al-Baqarah (2) : ayat 96]


Punca ke-7 : Lupa bahwa Harta yang banyak jadi bebanan di Akhirat

Orang yang tamak lupa bahawa harta yang banyak menjadi bebanan pada Hari Perhitungan, ketika setiap hartanya dihitung satu persatu.  Makin banyak hartanya, makin lama masa hitungannya. Ertinya orang ini  lupa bahwa harta yang banyak akan menjadi bebanan berat. 


✨🕌✨Firman Allah تَعَالَى :

أَلۡهَٮٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ  حَتَّىٰ زُرۡتُمُ ٱلۡمَقَابِرَ  كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ  ثُمَّ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ

"Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal ibadah dan kebajikan) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan kedudukan), sehingga kamu masuk kubur.  Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibat buruk yang akan menimpamu sewaktu kematian kamu).   Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari Qiamat)!"

[At-Takathur (102) : ayat 1,2,3,4]


✨🕌✨Sabda Rasulullah ﷺ :

لَا تَزُوْلُ قَدَمَا ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمْرِهِ فِيْمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيْمَا أَبْلَاهُ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيْمَا أَنْفَقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيْمَا عَلِمَ.

“Tidak akan bergeser kedua kaki anak Adam di hari Qiamat dari sisi Tuhan-Nya, hingga dia ditanya tentang lima perkara, iaitu,  tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia gunakan, tentang hartanya dari mana dia dapatkan, dan ke mana dia belanjakannya dan tentang Ilmunya, bagaimana dia amalkan.” 

[Imam At-Tirmizi, Imam Ath-Thabrani]


✨🕌✨Sabda Rasulullah ﷺ :

 لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاه

ُ"Dua kaki seorang hamba tidak akan beranjak pada hari Qiamat sehingga dia ditanya tentang umurnya, ke mana dihabiskan, tentang ilmunya apakah yang dia telah dilakukan,  tentang hartanya dari mana diperoleh dan kemana dibelanjakan dan tentang tubuh badannya untuk apa digunakannya” 

[Imam At-Tirmizi]


SIRI 167 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.21  Dosa Besar ke-20:   Tamak (  طَمَع  )

sambungan....


Akibat Tamak


Akibat Pertama : Hilang keberkatan Hidup

Kebanyakan kita akan berfikir dan berkata : Untungnya orang yang kaya-raya, mewah hidupnya dan tidak perlu susah2 macam kita yang miskin.  Yang benar adalah : Orang yang tamak adalah orang sebenar2 miskin dan faqir kerana tak pernah merasa cukup. Orang yang tak merasa cukup itulah sebenar2 miskin. Pengertian lain membawa maksud : Telah hilang keberkatan hidupnya.   


✨🕌✨Sabda Rasulullah ﷺ :

 “Jauhilah sifat tamak karena sesungguhnya tamak adalah suatu kefakiran (tersangat miskin)                      yang nyata.” 

[Imam Bukhari]


Akibat Tamak ke-2: Tak mampu Tunaikan kewajipan

Orang yang tersangat sibuk menghimpun2 harta takkan mampu menunaikan segala kewajipan Agama.  Dia takkan mampu berzikir, mendirikan Solat dan kewajipan lain kerana terlalu sibuk mengurus hartanya yang bertimbun.   Sebahagian yang  berani mendakwa begini :  " Umur masih muda, bila dah tua aku carilah Masjid untuk ibadat banyak2".  Namun maut menyapanya dahulu sebelum mencapai "hari tua".


Akibat Tamak ke-3: Kufur Ni'mat Allah

Orang yang Tamak akan sentiasa hidup dalam keadaan kufur Ni'mat, kerana tidak berpada dengan Kurniaan Allah. Dia takkan mampu bersyukur kepada Ni'mat Allah. 


Akibat Tamak ke-4 : Tiada Ketenangan Hidup

Orang yang Tamak tak pernah tenteram hidupnya kerana sentiasa memikirkan bagaimana menambah2 kekayaannya dan bagaimana cara mengurus kekayaannya. 


Akibat Tamak ke-5 : Penyakit berpanjangan

Sebahagian daripada mereka mengalami kesakitan yang berpanjangan. Lazimnya mengalami penyakit2 misteri yang tiada rawatan (Doktor hospital tak mampu merawatnya). Mereka habiskan wang puluhan ribu atau ratusan ribu mencari rawatan di Pusat2 Pakar Kesihatan, namun kesakitannya tetap sama. 


Akibat Tamak ke-6 : Pergaduhan Kerana Merebut Harta Pusaka

Harta kekayaan menimbun yang ditinggalkan oleh mereka akan menjadi perebutan waris2nya terutama anak2nya sendiri sehingga sampai ke tahap pergaduhan besar. Dosa2 yang timbulkan oleh perebutan ini akan kembali kepada si mati. 


Akibat Tamak ke-7 : Bebanan berat di Akhirat

Setengah daripada asbab seseorang tertahan lama di Mahsyar adalah kerana hartanya yang banyak ketika hayatnya. Setiap inci harta yang dihimpunkan dan dibelanjakan akan dihitung satu persatu.  Orang yang melakukan kebaikan pun akan dihitung dan tertahan lama. Apa lagi orang yang menahan hartanya kerana Tamak.   Alangkah baiknya mereka sedekahkan kebanyakan harta tersebut dan tinggalkan sebahagian yang memadai bagi anak2nya.  Namun mereka "gelap mata" semasa hayat mereka di dunia. 


Akibat Tamak ke-8 : Istidraj

Kebanyakan orang yang menghimpun2 kekayaan untuk dirinya dan abaikan Haq Allah dan haq makhluq,  menyangka mereka orang kesayangan Allah. Sedangkan hakikatnya segala nikmat yang mereka kecapi menjadi istidraj, iaitu Pemberian Allah di dalam Kemurkaan-Nya.  Wal Iyazubillah. Moga Allah Ta'ala selamatkan kita semua dari tipu daya nafsu, syaitan, dunia dan makhluk yang memperdaya. 


SIRI 168 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.21  Dosa Besar ke-20:   Tamak (  طَمَع  )

sambungan....


Pengecualian — Bukan Tamak


Menghimpun2 harta kekayaan untuk kepentingan dan keseronokan diri atau tanpa suatu keperluan yang diharuskan oleh Syara' telah dimaklumi akan bahaya kepada Keimanan dan kesudahannya di Akhirat. 


Walau bagaimanapun terdapat pengecualian di dalam beberapa hal melibatkan kesinambungan hidup atas muka bumi dan lebih utama bagi menyempurnakan Haq2 Allah Ta'ala dan haq makhluq (ahli keluarga dan tanggungannya yang lain).


Contoh2 berikut boleh jadikan panduan:


Pertama: Simpanan untuk membeli rumah dan kenderaan

Dua perkara ini adalah termasuk keperluan mendesak bagi setiap manusia, khususnya orang beriman.  Rumah yang selesa dan luas serta kenderaan yang kuat adalah di antara kebaikan dunia yang membawa kepada kemenangan Akhirat.


✨🕌✨Sabda Rasulullah ﷺ :

عَنْ إِسْمَاعِيلَ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ وَالْجَارُ الصَّالِحُ وَالْمَرْكَب الْهَنِيءُ وَأَرْبَعٌ مِنَ الشَّقَاوَةِ : الْجَارُ السُّوءُ وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ وَالْمَسْكَنُ الضِّيقُ وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ

“Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah wanita yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang jahat (perangainya), serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .

[Imam Ibnu Hibban, Imam Ahmad, Imam Ath-Tabrani, Imam Al-Haakim, Imam Abu Nuaim]


Ringkasan pengajaran Hadith ini:

(1) Rasulullah ﷺ menyebut beberapa perkara yang menjadikan seseorang beriman memperoleh kebahagiaan dunia Akhirat.  Di antaranya Baginda menyebut : Tempat tinggal atau Rumah kediaman yang lapang / luas.  


(2) Maksud "Rumah yang lapang" di sini tidak semestinya rumah mewah. Tetapi memadai rumah yang tidak sempit sekira2 mampu memberikan ketenangan kepada penghuninya. 


(3) Tempat tinggal yang lapang memberikan keluasan kepada ahli keluarga mendirikan solat, zikir dan ibadah lain dengan selesa. 


(4) Tempat tinggal yang lapang  dapat dimanfaatkan untuk perjumpaan ahli keluarga atau jiran2 atau sahabat handai bagi jalinan silatur-rahim.


(5) Tempat tinggal yang lapang banyak berfaedah bagi menyebarkan Da'wah dan Jihad (hati), antaranya mengadakan Majlis Zikrullah dan Majlis Ilmu.  Ramai sekali Ulama Soleh terdahulu menggunakan rumah kediaman mereka untuk sebarkan Ilmu Agama. Di antara mereka yang sangat masyhur adalah Al-Imam Sulton Auliya Allah Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu yang mulakan Da'wah dan Tarbiyyah beliau di rumah beliau sendiri. Apabila pengikut beliau bertambah ramai, beliau besarkan lagi rumah beliau sehingga menjadi sebuah Madrasah bersambung dengan rumah beliau. 


(6) Kenderaan yang selesa, iaitu kenderaan yang teguh dan kuat amat bermanfaat untuk Da'wah, Jihad dan Silatur-rahim.  


(7) Rasulullah ﷺ dan para Sahabat  Baginda memiliki kuda yang sangat kuat dan pantas yang Baginda dan sahabat menggunakannya untuk Jihad Fi Sabilillah.  Dengan demikian memiliki kenderaan yang kuat dan pantas bukan suatu kemewahan sebaliknya merupakan keperluan bagi orang2 beriman menunaikan Haq2 Allah Ta'ala. 


Dengan penjelasan ringkas ini, kita dapat memahami... menyimpan sedikit kewangan dengan tujuan membeli  tempat tinggal yang luas dan kenderaan yang baik dan teguh bukan ketamakan, sebaliknya ia adalah keutamaan bagi orang beriman. Mereka menyimpannya bukan untuk mencari keseronokan nafsu dunia, sebaliknya berusaha sekuat mungkin menunaikan Haq Allah demi mencari Keredhaan Allah. 


SIRI 169 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.21  Dosa Besar ke-20:   Tamak (  طَمَع  )

sambungan....


Kedua : Simpanan untuk pelajaran anak2

Pada hari ini, pendidikan anak2  memerlukan kewangan yang banyak, mulai dari tadika sehingga ke Universiti semuanya memerlukan wang. Dengan demikian menyimpan sebahagian wang untuk pendidikan anak2 tak boleh dikatakan tamak.


Ketiga : Simpanan untuk tujuan perubatan

Menyimpan sebahagian wang untuk tujuan perubatan tidaklah termasuk larangan.


Keempat : Simpanan untuk sesuatu kecemasan

Sebahagian Ulama mengharuskan menyimpan sedikit wang untuk tujuan kecemasan. Maksud "kecemasan" di sini adalah suatu bencana yang sudah diketahui berlaku di tempat itu. Misalnya Majlis Ulama di India dan Pakistan mengharuskan menyimpan wang di negeri yang sudah diketahui bencana seperti tanah runtuh atau kebakaran. Ini memerlukan perincian oleh Ulama di negeri masing2.  Wallahu A'lam


PERINGATAN PENTING:

1. Pastikan wang yang dikumpulkan itu benar2 diperlukan bagi kesinambungan kehidupan sebagaimana dijelaskan dan bukan bertujuan kemegahan atau lainnya. 


2. Ketika membuat simpanan, jangan berlebih-lebihan, jangan utamakan simpanan sebaliknya utamakan keperluan dan tanggungjawab semasa. 


3. Ketika membuat simpanan, janganlah sampai menyempitkan rezeki kepada anak isteri atau tanggungannya atau Fi Sabilillah. Sentiasa utamakan haq Allah dan hak anak isteri. 


4. Hukum menyimpan bagi tujuan menunaikan haji adalah harus bagi yang berkemampuan, iaitu mereka yang benar2 mempunyai kelebihan wang setelah selesai tunaikan haq2 anak isteri dan tanggungan yang lain. Jika dia sendiri mempunyai banyak hutang dan berbagai perbelanjaan yang wajib dia tunaikan, maka tidak diharuskan menyimpan, sebaliknya wajib segera tunaikan segala hutang dan kewajipannya terlebih dahulu.  


5. Orang yang sengaja menyimpan harta (wang) tanpa sebab yang diharuskan, atau menyimpan untuk menambah2 benda duniawi, atau menyimpan untuk mengulang2 Ibadat Haji, sedangkan ada saudara2nya yang sangat miskin atau kelaparan, maka dia termasuk orang yang Tamak, pentingkan diri dan zalim. 


7. Tidak ada istilah simpanan "hari tua" seperti yang diamalkan oleh sebahagian orang zaman ini kerana "hari tua" belum tentu datang. Kamu akan mati bila2 masa. Selain dari hilangnya Tawakkal kepada Allah, perbuatan ini merosak Aqidah keyakinan kepada Qadha dan Qadar Allah Ta'ala. 


6. Jangan sesekali bergantung harap kepada simpanan, sebaliknya wajib bergantung hati penuh kepada Allah Ta'ala. Barangsiapa menganggap dengan simpanannya akan terjamin kehidupannya, maka dia melakukan kesyirikan (syirik khafi — syrik tersembunyi)


SIRI 170 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.21  Dosa Besar ke-20:   Tamak (  طَمَع  )

sambungan....


Penjagaan dan Rawatan:


Berikut adalah beberapa langkah penjagaan yang perlu dilakukan oleh orang2 beriman (orang Islam awam atau salikin) agar mereka selamat daripada Sifat tamak yang ditiup oleh nafsu jahat dan tipu daya Syaitan. 


Pertama : Pelajari cara Mengurus Harta daripada ahlinya

Harta benda dunia dan kekayaan mengandungi kebaikan dan keburukan. Ertinya tidak mutlaq haram dan tidak pula semuanya halal. Penentuan baik atau buruk, halal atau haram, tamak haloba atau qanaah adalah sangat rumit difahami oleh kebanyakan manusia. Mereka memerlukan hamba Allah yang benar2 memahami segala rahsia dan perkara2 halus berhubung dengan harta agar mereka terselamat dari tipu daya dunia, harta dan kekayaan. Dan selamat dari tergolong kepada mereka yang dikutuk oleh Allah sebagai orang yang tamak.

 

Hamba Allah yang benar2 Arif mengenali kebaikan atau keburukan harta benda dunia dan tipu daya yang tersembunyi di dalamnya adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. Mereka yang paling Arif kerana mereka sudah mengenal Allah dan mengetahui segala rahsia perintah dan tuntutan Allah ke atas hamba2-Nya berhubung dengan harta dan kekayaan dunia. Orang awam yang belum mempunyai Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq sebagai pemimpinnya, ikutilah panduan2 yang telah disebutkan oleh Masyaikh Ahlus Sunnah terdahulu di dalam kitab2 mereka.  


Kedua : Fikirkan cara belanjakan harta menurut Kehendak dan Keredhaan Allah

Sentiasa fikirkan cara belanjakan harta agar menepati Kehendak Allah dan Keredhaan-Nya. Jangan sibuk memikirkan dahulu simpanan atau kumpul2 harta.  Harta yang dibelanjakan menurut Kehendak Allah dan Keredhaan-Nya menjadi Ibadah dan kebajikan, dan keluarlah dia dari sifat Tamak. Sedangkan harta yang disimpan tanpa tujuan akan menjadi hitungan yang berat di Akhirat. 


Ketiga : Sedekahkan Harta yang tidak digunakan

Seseorang yang mempunyai banyak harta, hendaklah sedekahkan kepada saudara2 lain yang memerlukan. Atau dia memiliki harta yang tidak digunakan pada jangka waktu yang lama, maka hendaklah disedekahkan.  Misalnya mereka yang mempunyai pakaian melebihi keperluan, maka hendaklah disedekahkan. Harta yang banyak yang disimpan tanpa keperluan akan dihisab dengan hisab yang berat. Inilah sebabnya Ulama soleh terdahulu hanya menyimpan harta yang perlu sahaja.  Misalnya, apabila ada orang sedekahkan mereka pakaian, mereka akan segera sedekahkan pakaian yang sedia ada  (yang masih elok) kepada orang lain agar tidak menjadi bebanan pada hari Perhitungan. 


Keempat : Jangan menambah2 harta tanpa keperluan

Orang2 kaya, jutawan, Raja2, Sultan2, Pengusaha2 yang kaya-raya yang sering habiskan wang bermewah2 dengan koleksi2 kenderaan mewah, pakaian mewah2, perlu beringat2 Hari Kemudian di mana sekalian harta dihitung satu persatu.  Selayaknya harta kekayaan yang berlebihan yang Allah Kurniakan dibelanjakan pada Fisabilillah dan membantu faqir miskin atau membuat rumah2 tumpangan Musafir atau membuat kebajikan lain dan amal jariah lain agar pahalanya mengalir terus-menerus selepas kematian. 


Bersambung siri  171 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

      🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳 

         

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 390) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...