B21 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 201 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.26 Dosa Besar ke-25:  Rela Dengan kemungkaran

sambungan....


Penjelasan : Pengertian "Mungkar"

(ringkasan)


Sebelum seseorang melakukan hisbah (usaha menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) tiga persoalan yang perlu ditegaskan di sini adalah :


1. Perkara2 yang digolongkan sebagai mungkar, maksiat, bid'ah sesat, dosa.

2. Siapa yang layak menentukan sesuatu hal sebagai mungkar, maksiat, bid'ah sesat, dosa.

3. Kesepakatan Ulama Mujtahid di dalam menetapkan hal2 yang termasuk mungkar, ma'siat, dosa2. 


Setiap Muslim wajib mempelajari perkara2 yang tergolong ke dalam pengertian "Mungkar", iaitu wajib bezakan manakah perkara yang benar2 tergolong ke dalam perbuatan mungkar dan manakah yang tidak termasuk ke dalam pengertian mungkar supaya dia tidak salah menuduh (atau menyangka) seorang Muslim lain yang soleh sebagai ahli Maksiat atau menuduhnya sebagai orang fasiq atau menuduhnya sebagai pembuat bid'ah sesat. (jika salah tuduh, maka tuduhan tu akan kembali kepada si penuduh seperti yang sudah dijelaskan  di dalam siri2 yang telah lalu) 


Perkara2 yang termasuk pengertian "Mungkar" atau "Maksiat",  adalah perkara2 yang jelas  "mungkar" menurut hukum.... ertinya telah sepakat Ulama Ahlus Sunnah sebagai "Mungkar" atau "Maksiat" atau Dosa. Sebaliknya jika suatu hal tidak sepakat Ulama akan keharamannya, maka tidak boleh dihukumkan sebagai maksiat atau kemungkaran. Fahami baik2 apa yang kami katakan ini.  


Beberapa contoh kemungkaran yang sudah diketahui umum adalah :  

Syirik Akbar (syirik zahir yang kelihatan seperti sembahan kepada patung, matahari, bulan, bintang, busut dll sepertinya).  Syirik khafi (syirik di dalam hati seperti takabbur, riya', "ujub, sum'ah, ananiyyah, tawakkal bi ghairillah), minum arak, judi, riba', zina, tenung nasib, ringan2kan rukun Islam (solat, puasa, zakat, haji),  membunuh manusia tanpa haq, menipu daya, mengumpat, jahat sangka kepada Allah, jahat sangka kepada manusia,  derhaka kepada ibu bapa, derhaka kepada Ulama Pewaris Nabi, mendustakan Al-Qur'an, mendustakan Sunnah Rasul, menjual ayat Qur'an dengan harga yang murah, khianat amanah, menghukum dengan hukum kafir, redha dengan kemungkaran dll.   


Inilah perkara2 yang dikatakan "Mungkar" yang telah diketahui umum, yang wajib dicegah menurut kemampuan setiap orang Islam. Sekurang2 mencegahnya adalah "membencinya di dalam hati". Maka berdiam diri tanpa berbuat apa2 atau rela dengannya  merupakan kekufuran.  


Adapun perkara2 yang menjadi perselisihan Ulama akan keharamannya, maka tidak dihukumkan sebagai mungkar. Dengan demikian tidak berlaku hisbah (usaha menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) ke atas hal-hal demikian. Contoh2 perselisihan Ulama adalah seperti :


(1) Wanita menutup seluruh tubuhnya kecuali muka.

(2) Makan dhob (biawak padang pasir).

(3) Minum Nabiz (air buah anggur kering).


Oleh kerana terdapat perbezaan pendapat Ulama Ahlus Sunnah di dalam hal2 tersebut, maka pengikut satu mazhab tak boleh menentang pengikut mazhab lain yang berbeza pendapat di dalam hal tersebut kerana wujud perbezaan pendapat Imam2. 


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu :

"Syarat keempat : Bahwa perkara mungkar itu diketahui tanpa Ijtihad (tiada perselisihan pendapat Ulama Mujtahid). maka tiap2 yang berada pada tempat Ijtihad (wujud perselisihan pendapat Ulama Mujtahid), nescaya tiada hisbah padanya. Maka tiada boleh bagi orang bermazhab Hanafi memandang mungkar terhadap orang yang bermazhab Syafie yang memakan dhob.  Dan tidak boleh bagi orang yang bermazhab Syafie memandang mungkar terhadap orang bermazhab Hanafi meminum air naabiz (sejenis minuman air buah anggur kering) yang tidak memabukkan."

[Ihya Ulumuddin — Bab Amr bil Ma'ruf Nahyi Anil Mungkar]


SIRI 202 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.26 Dosa Besar ke-25:  Rela Dengan kemungkaran

sambungan....


Beberapa contoh Kemungkaran


Contoh 1 : Kemungkaran di dalam keluarga.

■ Tidak menutup aurat menurut hukum ketika keluar rumah.

■ Bergaul bebas saudara mara lelaki perempuan ajnabi. 

■ Memakai bejana emas atau perak untuk makan minum atau lainnya

■ Mengambil harta saudaranya secara zalim.


Contoh 2 : Kemungkaran di Masjid2

■ Imam atau makmum tidak menepati syarat sah solat.

■ Mengganggu orang yang sedang solat

■ Melarang solat di Masjid kerana berlainan parti politik.

■ Bergaduh dan bertengkar di dalam Masjid

■ Jual beli di dalam Masjid 

(kecuali jual beli di luar Masjid yang tidak termasuk di dalam pengertian Masjid)

■ Cerita hal dunia yang tiada hubungan dengan Agama. 

■ Tukang ceramah berfahaman sesat seperti Syi'ah (rafidhi), Wahhabiyyah (khawarij), Sekular (liberal) 

■ Lelaki perempuan bergaul bebas di dalam Majlis2 

■ Wanita bersolek berwangi2an di dalam Masjid

■ Mengotori Masjid dengan makan minum atau lainnya. 


Contoh 3 : Kemungkaran di pasar

■ Penjual menipu daya dengan berbagai helah — menipu harga, timbangan, sukatan, jenis barang

■ Penjual menyorok barang keperluan asasi seperti beras, gandum, gula, garam

■ Lelaki perempuan ajnabi bergaul bebas

■ Permainan dan muzik yang melalaikan dan yang membawa kepada perkara haram

■ Wanita dijadikan model mempertontonkan kecantikannya

■ Penyanyi2 wanita menyanyi di hadapan lelaki 

■ Wanita bersolek dan memakai wangi2an


Contoh 4: Kemungkaran di Majlis Perkahwinan dan Majlis perhimpunan lain

■ Pengantin lelaki atau wanita dedahkan aurat

■ Pengantin lelaki memakai sutera

■ Pengunjung dedahkan aurat

■ Lelaki perempuan ajnabi bergaul bebas

■ Tari menari campur lelaki perempuan 

■ Muzik yang melalaikan

■ Wanita menyanyi di hadapan lelaki

■ Wanita memakai wangi2an

■ Menyajikan makanan di dalam bejana perak atau emas

■ Membentangkan tikar emas atau perak


Contoh 5: Kemungkaran Ulama jahat

■ Membawa fahaman yang bertentangan dengan Ahlus Sunnah yang benar.

■ Mengeluarkan fatwa2 sesat

■ Bersubahat dengan Pemerintah untuk menindas rakyat


Contoh 6: Kemungkaran Pemimpin2 Negara

■ Menipu daya rakyat dengan berbagai agenda jahat

■ Memakan harta rakyat secara haram

■ Menyusahkan kehidupan rakyat dengan berbagai cukai yang membebankan

■ Hidup mewah dan berpoya2 dengan hiburan

■ Menghimpun harta untuk diri sendiri sedangkan rakyat hidup di dalam kemiskinan

■ Menghalang kebenaran  

■ Menghalang solat di Masjid2 tanpa sebab yang diharuskan oleh Syara'

■ Menakut-nakutkan penda'wah dengan berbagai ugutan, tangkapan

■ Menggunakan orang alim dan cerdik pandai Agama untuk kepentingan politik

■ Mempertahankan undang2 kafir,  politik jahat dan keji .


Demikianlah kemungkaran2 lain di tempat2 lain. Kemungkaran berlaku di mana2 saja — di dalam rumah sendiri, di jalanan, di dalam perjumpaan2, perhimpunan2, Masjid2, di jabatan2, di dalam wilayah, negeri dan pentadbiran negara seluruhnya. 


Setiap Muslim wajib mencegahnya menurut kemampuan, sekurang2 dengan hati, iaitu membenci kemungkaran tersebut dan tidak rela Agama Allah dipermainkan. Ini selemah2 Iman dan tiada lagi Iman selepas itu. 


✨🕌✨ Rasulullah  ﷺ bersabda :

“Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lisannya, dan sekiranya dia tidak mampu (juga), maka dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah keimanan.” 

[ Imam Muslim]


SIRI 203 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.26 Dosa Besar ke-25:  Rela Dengan kemungkaran

sambungan....


Cabang : Adab Terpenting ketika benci kemungkaran


Ini suatu cabang yang amat penting berkenaan dengan adab2 mencegah kemungkaran secara umum, dan khususnya di sini adab ketika membenci kemungkaran di dalam hati bagi mereka tiada kemampuan mencegah kemungkaran dengan "tangan"  (kuasa) atau dengan "lisan"  (kata2 nasihat dan amaran2).


Sebagaimana telah dijelaskan di dalam Risalah Induk Amr Bil Ma'ruf Nahyi Anil Mungkar, bahawa menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah sebahagian dari cabang2 keimanan yang UTAMA, dan menjadi Ibadah. Dengan demikian sudah pasti ia mempunyai beberapa peraturan, syarat dan adab2 tertentu, ertinya tidak dilakukan sewenang2 mengikut aqal, nafsu atau pendapat sendiri.  Kita jelaskan beberapa adab hati yang sangat penting ketika "mencegah kemungkaran dengan hati" atau "membenci kemungkaran". 


Pertama : Melihat Taqdir Allah

Ketika seseorang membenci kemungkaran yang dilakukan oleh manusia, sebagaimana tuntutan Agama, hendaklah dia melihat dari dalam hati akan segala Taqdir Allah.   


Menurut Ahlus Sunnah, hal ini disebut "Melihat Af'al Allah" (Perbuatan Allah) ke atas setiap peristiwa yang terjadi atas muka bumi. Tiada suatu zarrah pun diam atau bergerak melainkan pada hakikatnya ianya perbuatan Allah. Zahirnya makhluq memperbuat sesuatu sedangkan pada hakikatnya semua itu terhubung kepada Af'al Allah (Perbuatan Allah). Inilah Tauhid yang hakiki (tingkat pertama Tauhid Hakiki) sebagaimana telah dijelaskan pada Tajuk Risalah "Tingkatan Iman" dan Risalah "Suluk / Kahilwah Menurut Ahlus Sunnah).


Ringkasnya :

I'tiqad Ahlus Sunnah berhubung dengan Af'al Allah (Perbuatan Allah) dan af'al makhluq (perbuatan makhluq), adalah:  Zahir perkataan dan perbuatan berdiri atas Syari'at (menghukum segala sesuatu dengan hukum-hakam Syari'at sebagaimana fatwa Ulama Mujtahid) sedangkan hati berdiri pada Haqiqat (melihat Af'al Allah dan Taqdir-Nya ke atas makhluq). Maka ketika dia membenci kemungkaran wajib melihat bahawa ianya merupakan Taqdir Allah ke atas orang itu. (Hal ini amat susah difahami dan dihayati oleh mereka yang belum mencapai Tauhid Hakiki).


Kedua: Membenci sifat pelaku maksiat dan bukan dirinya

Maksud "membenci kemungkaran" adalah membenci perbuatannya dan sifat orang yang melakukan kemungkaran dan BUKAN memusuhi diri pelaku maksiat. 


Ketiga : Belas ihsan kepada pembuat kemungkaran

Ketika membenci kemungkaran, hendaklah kasihan kepada pelakunya kerana pelanggarannya terhadap Allah dan Rasul-Nya akan membawa akibat yang sangat dahsyat.


Keempat :  Marah dan benci kerana Allah

Hendaklah membenci kemungkaran itu kerana Allah dan BUKAN kerana cetusan nafsu ammarah di dalam diri atau kerana dendam atau lain2nya.  


Kelima : Insaf dan akui diri sendiri banyak dosa

Ketika membenci kemungkaran, hendaklah mengakui diri sendiri pun banyak dosa. Hanya saja kemungkaran terzahir pada manusia lain,  sedangkan kesalahan diri sendiri ditutup oleh Allah Ta'ala.


✨🕌✨ Sabda Rasulullah ﷺ :

"Ya Allah,  janganlah menyiksaku dengan apa yang mereka katakan (memuji diriku) dan ampunilah aku terhadap apa yang mereka tidak ketahui tentang diriku"

[Imam Bukhari — Adabul Mufrad]


✨🕌✨ Sabda Rasulullah ﷺ :

“Ya Allah, Engkau lebih mengetahui keadaan diriku daripada diriku sendiri dan aku lebih mengetahui keadaan diriku daripada mereka yang memujiku. Ya Allah, jadikanlah diriku lebih baik dari yang mereka sangkakan, ampunilah aku terhadap apa yang mereka tidak ketahui dariku, dan janganlah menyiksaku dengan perkataan mereka. 

[Imam Bayhaqi]


Tujuan daripada adab2 ini adalah bagi memelihara diri daripada jatuh kepada takabbur, dan IMAN tetap terpelihara dari kebinasaan. 


SIRI 204 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.26 Dosa Besar ke-25:  Rela Dengan kemungkaran

sambungan....


Pengecualian?


Jika ada yang bertanya, adakah wujud pengecualian di dalam menghadapi usaha mencegah kemungkaran? Maksudnya adakah wujud suatu keadaan di mana seseorang beriman dibenarkan meredhai kemungkaran atau subahat dengannya?


Jawapannya : TIDAK!  

Tiada ruang bagi siapa pun "rela dengan perbuatan mungkar atau maksiat."   Tiada seorang pun dikecualikan daripada "mencegah kemungkaran" kerana  setiap orang Islam diberi keluasan menyempurnakannya menurut  kemampuan masing2 sehingga sekurang2 mencegahnya adalah  di dalam hati, dan ini di dalam kemampuan setiap mukallaf. Dengan demikian tiada alasan apa pun meninggalkannya. 


■  Rela dengan kemungkaran bererti penentangan terang2an kepada Allah dan Rasul-Nya.


■ Rela dengan suatu kemungkaran  sama seperti orang yang berbuat kemungkaran tersebut walaupun dia sendiri tidak terlibat dengan kemungkaran tersebut. 


■ Bersubahat dan bertolongan2 untuk melaksanakan apa jua kemungkaran (misalnya menjadi tukang angkat, tukang hebah, tukang pasang, tukang menyeru, tukang tulis dsb) adalah sama seperti membuat kemungkaran. 


■ Berdiam diri terhadap kemungkaran dan tiada langsung wujud kebencian di dalam hati terhadap kemungkaran tersebut, maka yang demikian adalah tanda2 tiada lagi cahaya Iman di dalam hati. 


Hal ini yang ditegaskan oleh Rasulullah  ﷺ :

    "  وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الْإِيْمَـانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ  " 

"Dan di belakang itu, tidak ada iman sebesar biji sawi pun."

[Imam Muslim]


✨🕌✨ Firman Allah :

وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَڪُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, maka (jika kamu berbuat demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan

[Hud (11) ; ayat 113]


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu :

Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, iaitu janganlah kalian minta pertolongan kepada orang-orang yang zalim, kerana seakan-akan kamu rela kepada amal perbuatan mereka".

[Tafsir Ibn Abbas]


Berkata Imam Abu Ja'afar Ath-Thabari Radhiallahu anhu :

"Janganlah kamu cenderung pada perkataan orang-orang yang kufur kepada Allah, sehingga kamu menerima mereka dan senang (hati) kepada perbuatan mereka, yang mana akibat perbuatanmu itu menyebabkan kamu tidak dapat mengelak dari jilatan api neraka."  

[Tafsir Tabari]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu :

"Ertinya Jangan condong kepada orang berbuat zalim dan kekufuran.  Semua makna ini berdekatan.  Ibnu Zaid berkata :  Firman Allah  "الرُّكُونُ " bermaksud menjadi penjilat. "

[Tafsir Jaami' Li-Ahkam]


SIRI 205 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-26: Berbantah2, Bertengkar, Bertikam Lidah


Definisi


Dari segi bahasa :

Mujadalah ( مُجاَدَلَةُ ) berasal dari kata  " جَادَلَ - يُجَادِلُ " bermaksud :  Bantah2, Membelit kata2, berbalas2 perkataan, bertikam lidah.


Dari segi istilah :

Yang dikehendaki dengan Mujadalah adalah berbantah2 dengan tujuan menonjolkan kelebihan, kepandaian dan kepetahannya berhujjah dan matikan hujjah lawan sehingga terlihat kelemahan dan kekurangan lawannya. 


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu :

"Dan batas berbantah2 (yang dilarang) adalah tiap2 penentangan terhadap perkataan orang lain, dengan melahirkan kekurangan padanya. Hal seperti ini jika terjadi di dalam masalah Ilmiah (hukum-hakam Agama), terkadang dikhususkan dengan nama "perdebatan".  Ini juga tercela. Bahkan harus diam atau bertanya, bertujuan memperoleh manfaat pada Akhirat.

[Ihya Ulumuddin — Bab kebinasaan lidah]


Penjelasan:


(1) Berbantah2 dan Bertengkar adalah ungkapan yang menunjuk kepada kelakuan seseorang yang gemar menyalahkan perkataan atau perbuatan orang lain tanpa keperluan dan tiada maksud berbuat kebajikan, dan bukan kerana mencegah kemungkaran, bahkan tiada maksud apa pun perbaikan pada Akhirat. Sebaliknya ia adalah semata2 sebuah tabi'at buruk yang ingin membesar2kan dirinya atau mempamirkan kepandaiannya berhujjah dan pada masa yang sama merendah2kan lawannya. 


(2) Orang yang gemar berbantahan dan berdebat tanpa tujuan murni pada sisi Agama, mempunyai tiga penyakit hati yang membinasakan :

■ Pertama   : Takabbur — Membesarkan diri serta pandang orang lain dengan kehinaan. 

■ Kedua     : 'Ujub — merasa diri sudah baik dan hebat.

■ Ketiga     : Nafsu ammarah — Mencari kemenangan dan bukan mencari kebenaran.


(3) Berdasarkan amaran Rasulullah ﷺ, kesan dan akibat buruk menimpa orang seperti ini:

■ Pertama    :  Rosak Iman dan amal.  

■ Kedua      :  Hati menjadi keras dan gelap

■ Ketiga     :  Menjadi sesat  


(4) Dua macam manusia yang gemar berdebat / berbantah2 : 

■ Pertama  : Orang awam yang jahil murakkab — jahil yang tak sedar jahil.

■ Kedua    : Cerdik pandai Agama yang gemar membesar2kan diri.


(5) Dari suatu sudut pandangan, kelakuan ini adalah suatu pintu daripada pintu2 Takabbur.  Namun Ulama kita membincangkannya secara khusus, kerana ia sering dipandang ringan dan dianggap tiada apa2 sedangkan ianya termasuk dosa2 besar yang bersifat batin yang membawa kepada kesesatan. Wal Iyazubillah


(6) Secara umum "berbantah2" atau "berdebat" yang dilarang adalah "berbantah2" yang bertujuan membesarkan diri dan merendah2kan orang, berbantah2 secara jahil, bantah2 ingin mencari kemenangan dan bukan mencari kebenaran, BUKAN bertujuan mencegah kemungkaran, BUKAN mempertahankan Agama, dan TIADA bermanfaat kepada Akhirat. Kelakuan ini yang tercela yang membawa kebinasaan. 


Adapun "membantah" dan "meluruskan" golongan sesat dan fasiq yang melampaui batas2 Agama adalah wajib.


Misalnya orang menghina Allah dan Rasul-Nya atau menghina Ulama Mu'tabar, atau mempermainkan Hukum-Hakam Agama atau mengancam pegangan Ahlus Sunnah, membawa kepada fahaman2 sesat seperti Syi'ah (rafidhi), Khawarij (wahhabiyyah), sekular (liberal) dll sepertinya mesti diluruskan dengan hujjah dan keterangan yang kukuh.


Pada saat itu orang2 yang mempunyai kelayakan (yang berkuasa dan mempunyai Ilmu), wajib keluar dan menjelaskan kebenaran dan mematahkan kebatilan, dengan hujjah2 yang sesuai menurut Syara'. (Hal ini terangkum di dalam pengertian  Amr bil Ma'ruf wan Nahyu anil mungkar sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini)


SIRI 206 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-26: Berbantah2, Bertengkar

sambungan....


Dalil2 :

✨🕌✨ Firman Allah تَعَالَى :

وَقَالُوۤاْ ءَأَ ٰلِهَتُنَا خَيْرٌ أَمْ هُوَ مَا ضَرَبُوهُ لَكَ إِلاَّ جَدَلاً بَلْ هُمْ قَوْمٌ خَصِمُونَ

"Dan mereka berkata lagi: Manakah yang lebih baik, benda-benda yang kami sembah atau Isa? Dan (sebenarnya) mereka tidak mengemukakan perbandingan itu kepadamu (wahai Muhammad) melainkan kerana membantah semata-mata (bukan kerana mencari kebenaran); bahkan mereka itu adalah kaum yang suka sekali bertengkar"

[Az-Zukhruf (43) ; ayat 58]


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu :

"Tidaklah mereka mencari kebenaran, tetapi mereka berbantah2 dengan kamu semata2 kerana mempertahankan kebatilan mereka."

[Tafsir Ibnu Abbas] 


Berkata Imam Abu Jaafar Ath-Tabari Radhiallahu anhu :

"Maksudnya adalah ;  mereka tidak membuat perumpamaan ini kepadamu hai Muhammad dan tidak pula melontar perkataan ini kecuali untuk membantah dan berdebat. Mereka tidak mencari kebenaran, sebaliknya mereka hanya berbantah2 untuk mempertahankan kebatilan mereka."


✨🕌✨ Sabda Rasulullah ﷺ :

"Sesungguhnya orang yang paling dimurkai Allah adalah orang yang paling keras permusuhannya dan yang menentang jika diterangkan hujah kepadanya". 

[Imam Al-Bukhari, Imam Muslim]  


✨🕌✨ Sabda Rasulullah ﷺ :

"Sesungguhnya, perkara yang membinasakan ummat sebelum kamu adalah perselisihan mereka berkenaan al-Kitab’.” 

[Imam Muslim]


✨🕌✨ Sabda Rasulullah ﷺ :

"Tidaklah suatu kaum tersesat setelah tadinya mereka berada di atas petunjuk kecuali kerana mereka adalah kaum yang gemar melakukan perdebatan. Kemudian Baginda membaca Firman Allah ayat 58, Surah Az-Zukhruf,

"Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan dengan maksud berdebat sahaja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar ( berbantah2 mengikut nafsu dan bisikan Syaitan)." 

[Imam Tirmizi]


✨🕌✨ Sabda Rasulullah ﷺ :

“Perdebatan (bertengkar mengikut nafsu dan pendapat sendiri) tentang Al-Qur’an mengheret kepada kekufuran.” 

[Imam Abu Dawud]


SIRI 207 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-26: Berbantah2, Bertengkar

sambungan....


Contoh-contoh


Contoh 1 : Membantah2 pada penulisan :

Melahirkan kecacatan pada ucapan atau tulisan seseorang dan berbantah2an dengannya sedangkan tulisan tersebut tiada kaitan dengan Agama. Ini kekejian yang membawa kebinasaan. Orang itu sengaja membangkitkan hal demikian untuk berbantah2 dan menunjuk2 kepandaiannya, serta merendahkan orang yang dia bantah.


Contoh 2 : Berbantah2 didalam mesyuarat2

Misalnya seorang ahli mesyuarat berbantah2 dengan suatu "pembentangan" kerja semata2 kerana menunjuk2 kehebatan dirinya serta menunjukkan kelemahan pihak yang membentang. 


Contoh 3 : Pertengkaran ahli politik.

Pertengkaran di kalangan ahli politik sudah menjadi "makanan harian" kerana Sistem Demokrasi menghalalkan demikian.  Falsafah ahli politik di dalam sistem demokrasi adalah :  "Aku mesti menang walau apa cara sekalipun walaupun terpaksa menipu daya, memfitnah dan memijak kepala orang lain.  Masing2 menyerang pihak lain dan menonjolkan kepandaian dirinya serta kelemahan dan kekurangan pihak lain. Masing2 cuba menonjolkan diri bahawa mereka yang lebih layak menjadi Pemimpin atau mereka yang lebih layak memerintah. 


Misalnya, apabila ada pihak menjadi PM atau menjadi pemimpin, masing2 tak puas hati dan bertegang leher dan melemparkan ucapan2 buruk kepada pihak lawan. Masing2 berperang untuk merebut jawatan2.  Masya Allah. Adakah suatu kebodohan yang lebih berat dan kecelakaan yang lebih besar daripada perbuatan ahli politik ini? Sedangkan Allah dan Rasul-Nya telah berikan AMARAN keras...!


✨🕌✨ Rasulullah   ﷺ  bersabda :

“Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita terhadap kepemimpinan, padahal kelak di Hari Qiamat ia menjadi penyesalan.” 

[Imam Bukhari]


Adakah AMARAN ini tak cukup?  

Adakah AMARAN Rasulullah itu tak masuk ke dalam hati? 


Sepatutnya pihak yang kalah bersyukur kerana mereka tak perlu membawa beban berat di Akhirat. Pihak yang menang pula perlu takut kerana mereka akan dihisab dengan hisab yang berat kerana Rasulullah telah berikan AMARAN akan pengkhianatan Pemimpin kepada rakyatnya ....!  Sepatutnya masing2 serahkan kepada Allah apa saja yang telah terjadi dan menumpukan kepada Keselamatan Agama dan Pembangunan Ummat.  Namun hal ini tak berlaku kerana hati telah dipenuhi dengan ketamakan dan cinta dunia.  Wal Iyazubillah.


SIRI 208 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-26: Berbantah2, Bertengkar

sambungan....


Contoh 5 :  72 Golongan yang keluar dari Saf Ummat Islam / Jamaah Muslimin


Contoh ini merupakan perbuatan Berbantah2 dan Pertengkaran paling dahsyat di kalangan Ummat, yang mengakibatkan sebahagian orang Islam keluar dari Landasan Islam yang sebenar, lalu memerangi Ummat Islam sendiri.


Asalnya Ummat ini adalah Ummat yang satu.  Namun setelah kewafatan Junjungan Besar Rasulullah ﷺ, berbagai kelompok bangkit2 membantah2 para Sahabat Ridhwanullah ﷺ, dan memisahkan diri dari Saf Ummat Islam. 


Golongan pertama yang memisahkan dari Jamaah Ummat Islam / Saf Ummat Islam (Ahlus Sunnah wal Jamaah) adalah kelompok Khawarij.  Mereka adalah orang2 muda yang jahil yang baru kenal Islam tetapi dengan beraninya mentafsir Al-Qur'an mengikut nafsu dan menentang Sayyidina Ali Radhiallahu anhu.  Mereka menghukum selain dari golongan mereka sebagai golongan bid'ah sesat dan kafir. Mereka menyerang dan membunuh Ummat Islam, termasuk wanita dan kanak2 dengan cara yang amat kejam. Kezaliman mereka tak ubah seperti haiwan buas yang tak beraqal. 


Pada hari ini, kaum yang mewarisi sikap, perangai dan keganasan Khawarij adalah Golongan Wahhabiyyah. Mereka menghina Ulama Ahlus Sunnah , melemparkan kata2 bid'ah sesat, kafir, syirik dll terhadap Ummat Islam.  ISIS yang mengganas dan membunuh Ummat Islam di Timur Tengah adalah satu contoh Wahhabiyyah yang sangat melampau sama seperti Khawarij. 


Golongan kedua yang keluar dari Saf Ummat (Ahlus Sunnah) adalah kaum Syi'ah (rafdhi) yang mengaku menjadi pendokong Sayyidina Ali Radhiallahu anhu. Tetapi yang benar adalah mereka tak pernah diakui oleh Sayyidina Ali dan sekalian Ahlul-Bayyit Rasulullah ﷺ sebagai pengikut Sayydina Ali Radhiallahu anhu. Mereka hanyalah Golongan pemberontak yang memusuhi Ummat Islam yang di- pimpin oleh Khalifah Rasulullah ﷺ.  Perangai mereka ini hampir sama seperti kaum Khawarij (wahhabiyyah) iaitu mengkafirkan Sahabat dan Ulama Ahlus Sunnah dan memerangi Ummat Islam (selain mereka).  


Pada zaman kemudian bangkitlah berbagai kelompok lagi seperti Mu'tazilah, Jabariyyah, Mujassimah, Musyabbihah yang semuanya berjumlah 72 golongan yang memusuhi Ummat Islam / Kaum Muslimin yang tetap berpegang teguh dengan Panji2 Rasulullah ﷺ di bawah Pimpinan Pewaris Nabi yang siddiq. 


Menurut Fatwa Imam Besar Ahlus Sunnah, Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu, 72 Golongan yang terkeluar dari Jamaah Muslimin (sebagaimana Hadith Nabi) adalah :


Khawarij - 15 kelompok,    

Mu'tazilah - 6 kelompok,  

Murji'ah - 12 kelompok,   

Syiah - 32 kelompok,  

Jahmiyyah - 1 kelompok,   

Najjariyyah- 1 kelompok,    

Dharariyyah - 1 kelompok,    

Kilabiyyah - 1 kelompok,   

Musyabbihah - 3 kelompok. 

Jumlah semua 72 golongan.

[Sirrul Asrar]


Apakah punca semua penyimpangan ini?

Mengapakah mereka keluar dari Saf Ummat Islam / Jamaah Muslimin?

Mengapakah mereka berpecah2 dan menjadi sesat sedangkan awalnya mereka Islam?

Salah satu daripada punca utama adalah mereka suka memperdebatkan Agama dengan cara jahil. Mereka tak sedar diri mereka itu sebenarnya jahil dan belum cukup ilmu untuk membahaskan Bab hukum-hakam Agama, tetapi mereka dengan penuh berani mentafsirkan sendiri Ayat Qur'an dan menentang Sahabat Nabi dan sekalian Pewaris Nabi yang siddiq.  Maka jadilah mereka sesat dan menyesatkan. 


✨🕌✨ Sabda Rasulullah ﷺ :

"Tidaklah suatu kaum tersesat setelah tadinya mereka berada di atas petunjuk kecuali kerana mereka adalah kaum yang gemar melakukan perdebatan."

[Imam Tirmizi]


✨🕌✨ Hadith Rasulullah ﷺ :

"Sesungguhnya, perkara yang membinasakan ummat sebelum kamu adalah perselisihan mereka pada Al-Kitab (berbantah dan bertengkar tanpa ilmu dan tanpa keperluan pada syara')’.” 

[Imam Muslim] 


SIRI 209 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-26: Berbantah2, Bertengkar

sambungan....


Punca Membantah2 dan Bertengkar


Mengapakah manusia suka berbantah2 dan bertengkar? 

Apakah unsur2 di dalam diri atau faktor2 luaran yang mendorongnya kepada pertengkaran?  

Apakah hubungan semua ini dengan hati?


Sesungguhnya punca kepada perkara ini tidak seragam. Ianya berlainan dari satu orang kepada orang lain, berbeza2 daripada satu kelompok kepada kelompok lain, berbeza2 juga tujuan yang ingin dicapai oleh seseorang atau suatu kelompok manusia.  Walau bagaimanapun punca sebenar kepada semua berbalahan dan pertengkaran ini kembali persoalan yang sama, iaitu Penyakit Hati, terutama hasad (dengki), tamak, khianat, ananiyyah (keakuan diri),  riya' dan takabbur — Ingin menunjuk2 kepandaian diri dan kekurangan orang lain,


Sebagaimana kami huraikan di dalam Risalah ini berulang2, semua penyakit hati ini yang membawa kebinasaan orang beriman, namun kebanyakan orang tidak menyedarinya. 


Akibat Membantah2 dan Bertengkar


■ Pertama     : Rosak Iman dan binasa amal.  

■ Kedua       : Hati menjadi gelap, keras dan mati.

■ Ketiga       : Berpecah belah dan permusuhan yang tiada kesudahan

■ Keempat   : Berbunuh-bunuhan

■ Keempat   : Keluar dari Jamaah


Sesungguhnya "keluar dari Jamaah" inilah akibat paling bahaya. Ini kerana "keluar dari Al-Jamaah" bermaksud : jatuh ke dalam kelompok2 bid'ah sesat — Khawarij, Syi'ah (rafidhi), Mu'tazilah, Jabariyyah, Mujassimah dll yang berjumlah 72 golongan sebagaimana telah dijelaskan sebelum ini. 


Berkata Imam Haythami Radhiallahu anhu :

"Sedangkan meninggalkan Sunnah ditafsirkan sebagai keluar dari Al-Jamaah (keluar dari Saf Ummat Islam, keluar dari Ahlus Sunnah wal Jama'ah). Ini dikuatkan oleh Imam Abu Dawud yang bermaksud : Sesiapa menyelisihi jamaah walau sedikitpun, bermakna dia menanggalkan tali Islam dari lehernya."  Jadi maksud menyelisihi Jamaah adalah Bid'ah sesat. Semoga Allah Ta'ala melindungi kami."

[Al-Zawaajir]


SIRI 210 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-26: Berbantah2, Bertengkar

sambungan....


Pengecualian — Dibenarkan bantah


Secara umum Berbantahan dan Pertengkaran dilarang keras sebagaimana penjelasan terdahulu. Namun terdapat perkara2 yang dikecualikan, ertinya dibenarkan membantah. Bahkan di sana wujud hal tertentu di mana membantah seseorang atau satu kelompok itu menjadi wajib, terutama ketika terjadi ancaman kepada Aqidah atau ancaman kepada Nyawa, harta benda dan kehormatan seseorang. Di dalam perkataan lain, kebenaran membantah adalah bertujuan mempertahankan kebenaran Ahlus Sunnah dan meninggikan Syiar Agama. Jika diperhalusi maksudnya, ini termasuk kewajipan Amr Bil Ma'ruf Wan-Nahyu Anil Mungkar.


(1) Membantah orang yang mempertikaikan Agama Islam; sama ada Bab Ketuhanan atau Bab Nubuwwah atau bab hukum-hakam Islam yang terkandung di dalam Kitabullah, Sunnah Rasul dan Ijma Qias Ulama Mu'tabar. 


(2) Membantah Golongan keruhanian yang pura2 mengikut Jalan Ma'rifat sedangkan mereka adalah Golongan yang membawa kepada kesesatan.  ( menurut Fatwa Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Radhiallahu anhu, semuanya 11 kelompok sufi PALSU)


(3) Membantah golongan bid'ah sesat seperti Wahhabiyyah (khawarij), Syi'ah (rafidhi), Mu'tazilah, Jabariyyah, Mujassimah atau kelompok lain yang menyimpang dari Ahlus Sunnah dan menyebarkan kesesatan kepada Ummat Islam.  


(4) Membantah orang yang menghina Allah, Rasul-Nya dan Auliya Allah. 


(5) Membantah dan melarang pembuat ma'siat dan kemungkaran terang-terangan.


(6) Membantah dan menahan orang2 yang melakukan kezaliman atau kerosakan atas muka bumi. 


(7) Membantah dan menahan orang yang mengancam nyawa, harta atau kehormatan seseorang. 


Ini beberapa perkara penting yang diharuskan membantah, melarang dan menahannya menurut kemampuan masing2 beserta syarat2nya. Dalil bagi keharusan ini adalah Firman Allah :


✨🕌✨ Firman Allah تَعَالَى :

 ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ وَجَٰدِلْهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbantahlah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk."

[An-Nahl (16) : ayat 125]


Walau bagaimanapun setiap perkara ini dilakukan dengan tertib, syarat2 dan cara2 sebagaimana dihuraikan di dalam Risalah Amr Bil Ma'ruf Wan-Nahyu Anil Mungkar. Ertinya pendekatan da'wah adalah berbeza2 mengikut orang yang dida'wahkan. Bertindak mengikut keutamaan dan mengikut kesesuaian — berperingkat2 mulai dengan nasihat dan kata2 lembut, kemudian diikuti nasihat tegas, kemudian diikuti amaran2 dan ancaman keras, kemudian tindakan2 keras sesuai dengan keadaan dan peruntukan undang2. Ertinya langkah2 pencegahan tidak sama antara satu orang kepada seorang yang lain. Tidak lembut sepanjang masa dan tidak keras mendadak. 


Perkara pertama yang paling penting di dalam hal ini adalah :  Ilmu pengetahuan yang cukup darihal halal haram dan mampu bezakan antara bid'ah sesat dengan bid'ah hasanah sebagaimana Fatwa dan pegangan Ahlus Sunnah.  Tanpa Ilmu yang cukup, akan terjadi pula kepincangan lain.   Tingkat2, peringkat2, marhalah dan wasail da'wah dan cegah kemungkaran telah pun dijelaskan di dalam Risalah Amr Bil Ma'ruf Wan-Nahyu Anil Mungkar, dengan demikian tidak diulangi lagi di sini. 


Bersambung siri  211   اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

      🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳    

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...