B37 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 361 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Dosa Besar 48:

Meremehkan, menghina Ulama

...... sambungan......



Contoh 4: Ustaz Politik mempersedakan Ulama yang berzikir siang dan malam


Sekelompok Ustaz-ustazah yang berkecimpung di medan politik mengejek-ejek dan mempersendakan Ulama (Ulama Billah Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat, Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq) yang membawa pengikut mereka berzikir siang dan malam dengan berbagai sindiran keji sehingga ada di antara mereka yang menghina mereka sebagai sesat.  Alasan mereka mudah: Ulama (Ulama Billah Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat, Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq) tidak berjuang seperti mereka (masuk politik demokrasi).  


Berikut jawapan dan penjelasan kepada ahli politik yang mendakwa diri mereka pejuang Islam dan sangat berani menghina Ulama Billah.


(1) Ulama Billah (Ulama Pewaris Nabi yang benar-benar) lebih memahami kebenaran dan kebatilan.  Mereka lebih Arif berkenaan dunia politik, ekonomi yang benar-benar mengikut Al-Qur'an, Sunnah dan Ijma Ulama Ahlus Sunnah dengan dunia politik demokrasi kufur, fasiq, sesat yang menipu daya. 


(2) Mereka yang gelarkan diri mereka "pejuang Islam" dengan slogan-slogan indah di medan politik hanya menipu daya Ummat.


(3) Kamu mengaku pejuang Islam tetapi pada masa yang sama kamu sebarkan fitnah, pembohongan, caci maki.  


(4) Kamu memutarbelitkan ayat Qur'an dan menjual Ayat-ayat Allah dengan harga yang murah demi mencapai matlamat politik kamu. 


(5) Kamu berlumba-lumba menjadi pemimpin sedangkan Rasulullah ﷺ melarang demikian. 


(6) Berdasarkan Sejarah Ummat Islam, sekalian Ulama Billah, Ulama Ahlus Sunnah yang terpercaya telah menjauhkan diri daripada dunia politik kotor, keji dan fasiq yang dilakukan oleh manusia tamak dunia.  Hal ini berlaku sebaik sahaja wafat Sayyidina Ali Radhiallahu anhu:


Sebaik sahaja tamat Pemerintahan Sayyidina Ali Radhiallahu anhu, pemerintahan Islam bertukar tangan kepada pemerintah-pemerintah yang fasiq dan zalim, dinamakan Mulkan Addhan ( مُلْكًا عَاضًا ) iaitu Period Pemerintahan Kerajaan amir, sultan dan raja-raja ZALIM.  Kemudian Mulkan Jabriyyan (مُلْكًا جَبَّرِيًّا), Pemerintahan kuku besi - diktator, pembesar-pembesar yang takabbur (zaman pemerintahan sekarang).  Rasullullah ﷺ telah berikan amaran akan datangnya Zaman-zaman tersebut. 


Tidak ada seorang pun Ulama Ahlus Sunnah melibatkan diri di dalam politik kotor, jahat, keji dan zalim yang dilakukan oleh pemerintah-pemerintah bernama Islam.  Bahkan ketika dipanggil oleh Khalifah untuk menjadi Hakim, kesemua mereka menolak.  Ini termasuk Imam-Imam mazhab fiqh Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi'e dan Imam Hambali.


(7) Kamu menuduh Ulama Billah yang membawa manusia berzikir siang dan malam tetapi Allah Ta'ala Perintahkan Rasulullah ﷺ agar berserta dengan orang yang berzikir siang dan malam.


Berikut kami bawakan Perintah Allah dan keterangan Ulama Ahlus Sunnah berkenaan hal tersebut. 


Firman Allah:


وَٱصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِٱلْغَدَوٰةِ وَٱلْعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُۥ  وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا  وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُۥ عَن ذِكْرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًۭا 


"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan petang hari dengan mengharap ke Redhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.”

[Al-Kahfi (18 ) : Ayat 28]


SIRI 362 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 48:

Meremehkan, menghina Ulama

...... sambungan......



Firman Allah:


وَٱصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِٱلْغَدَوٰةِ وَٱلْعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُۥ  وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا  وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُۥ عَن ذِكْرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًۭا 


"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan petang hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.”

[Al-Kahfi (18 ) : Ayat 28]


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

“Allah Ta’ala Memerintahkan Rasulullah ﷺ sentiasa berserta orang-orang yang menyeru kepada Allah (Zikir kepada Allah), pagi dan petang, yang dimaksud di sini adalah Sayyidina Salman Al-Farisi berserta Sahabat lain (ahlus Suffah yang miskin dan dhaif) yang mengharap Keredhaan Allah dan jangan berpaling dari mereka kerana mengharap perhiasan dunia yang ditawarkan oleh kaum kafir Quraisy, maksud di sini Uyaynah Ibn Hisn al-Fazari,”

[Tafsir Ibn Abbas]


Berkata Sulton Auliya Al-Imam Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Pada saat orang-orang Quraisy yang garang meminta Rasulullah ﷺ untuk menjauhi orang-orang mukmin yang papa dan mengusir  mereka dari Majlisnya—seperti Ummi Maktum, Abu Zar Al-Ghifari, dan para sahabat yang miskin, kerana kumal keadaan mereka dan begitu melaratnya mereka, sampai duduk bersama Rasulullah ﷺ dan Rasulullah pun hampir ingin mengabulkan keinginan dan saranan mereka (kafir Quraisy) dan menyuruh sahabat-sahabat miskin itu tidak datang bersama mereka ke Majlisnya, maka Allah Ta'ala menyangkal Rasul-Nya dengan Penyangkalan yang Tegas dan Melarang Baginda dengan Larangan Yang Keras. 

Maka Allah pun Berfirman  bertujuan mendidik dan mengingatkannya (Dan Sabarlah engkau), yakni jika ada orang Quraisy menggodamu untuk menjauhkan Sahabat-Sahabat yang faqir itu, dan berlebihan di dalam mengusir dan singkirkan mereka menjauh darimu, maka janganlah engkau menuruti mereka dan jangan kabulkan keinginan mereka.  Sebaliknya engkau bersabarlah dan kekanglah nafsumu yang cenderung kepada kekayaan dan kemewahan baju-baju mereka, bersama sahabat-sahabat faqir itu yang berzikir dan menyembah Allah pada setiap dua hujung siang hari dan waktu-waktu antara keduanya, mereka tumpukan diri kepada-Nya secara suka rela, tanpa keinginan menurut hawa nafsu dan kegemerlapan dunia meskipun sangat faqir dan papa.  Janganlah kamu mengalihkan perhatian kamu, disebabkan kumalnya keadaan mereka dan lusuhnya pakaian mereka—kepada orang-orang kaya dan baju mereka yang bagus kerana harapkan perhiasan dunia dengan beralih kepada mereka.  Dan cenderung untuk bersama-sama mereka dan duduk berserta mereka.  Dan tenteram dengan pangkat dan kekayaan mereka. 

[Tafsir Jilani]


SIRI 363 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 48:

Meremehkan, menghina Ulama

...... sambungan......



Berkata Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu:

“Ayat ini memerintahkan agar orang beriman berserta dengan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, yang mereka itu sentiasa berzikir kepada Allah pagi dan petang (iaitu setiap masa berzikir dan ubudiyyah kepada Allah semata-mata kerana mencari Keredhaan-Nya).”

[Risalah Ma’rifat]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

“Firman Allah ini sama dengan Firman Allah di dalam Surah Al-An’am ayat 52:   

  وَلَا تَطْرُدِ الَّذِيْنَ يَدْعُوْنَ رَبَّهُمْ بِالْغَدٰوةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيْدُوْنَ وَجْهَهٗ 

Dan janganlah engkau mengusir orang-orang yang menyeru kepada  Tuhan-nya (berzikir dan beribadah) pagi dan petang (terus-menerus), sedang mereka menghendaki Keredhaan Allah semata-mata.” 


Salman Al Farisi Radhiallahu anhu berkata, "Datang seorang mu'allaf kepada Rasulullah ﷺ iaitu: Uyainah bin Hasn dan Al-Aqra' bin Habis, lalu berkata,'Wahai Rasulullah, sungguh jika Engkau duduk di tengah-tengah ini dan Engkau sandarkan kami kepada mereka para roh sengsara.  (Yang mereka maksud adalah Sayyidina Salman Al-Farisi, Abu Zar dan orang-orang miskin dari kalangan kaum Muslimin), kerana pada mereka jubah dari bulu dan tidak ada yang lain (hal keadaan mereka yang sangat dhaif dan miskin).  Maka kami duduk dekat denganmu, kami berbincang dengan Engkau dan kami mengambil apa-apa daripada Engkau.  Maka turun Firman Allah ini : [Al-Kahfi : Ayat 27,28,29] 


Maka bangunlah Nabi ﷺ untuk mencari mereka (iaitu mereka yang Allah Ta’ala Perintah supaya berserta dengan orang-orang menyeru kepada Allah pagi-pagi dan petang-petang), hingga mendapati mereka di bahagian hujung Masjid hal keadaan mereka sedang berzikir kepada Allah, lalu Baginda bersabda, “Segala Puji bagi Allah yang belum mematikanku hingga Memerintahkan kepadaku agar bersabar dengan orang-orang dari Ummatku, bersama-Mu di dalam kehidupan dan Bersama-Mu di dalam kematian.”


Menurut Imam Al-Hasan :  وَلَا تَعْدُ عَيْنٰكَ عَنْهُمْۚ  Jangan kedua matamu melampaui mereka (jangan abaikan mereka dan jangan meremehkan mereka) semata-mata kerana mencari keindahan dunia.  


Pendapat lain mengatakan :  Jangan mencela mereka (jangan menghina mereka disebabkan kemiskinan mereka atau kerana mereka hanya memakai pakaian lusuh).


Dari Adh-Dhahhaq, dari lbnu Abbas, Perintah Allah  “ وَلَا تُطِعْ مَنْ اَغْفَلْنَا قَلْبَهٗ عَنْ ذِكْرِنَا “ adalah larangan mengikuti permintaan Umayyah bin Khalaf Al-Jumahi.  Orang ini meminta kepada Nabi ﷺ agar Baginda jauhkan Sahabat Baginda yang miskin (ahlus-suffah) yang sentiasa bersama Baginda agar tokoh-tokoh Quraisy dapat mendekat kepada Baginda.   Golongan kafir Quraisy ini adalah فُرُطًا , iaitu melampau batas, lalai, fasiq dan zalim. 

[Tamat Nukilan Tafsir Qurtubi]


SIRI 364 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 48:

Meremehkan, menghina Ulama

...... sambungan......



Penjelasan Tambahan:


Pertama : Perintah Allah supaya berserta dengan Ahli Zikir

Allah Ta’ala Memerintahkan agar Rasulullah  ﷺ (dan Ummat Baginda) berserta dengan “Ahli Zikir” (iaitu mereka yang sentiasa berzikir mengingat Allah dan ubudiyyah dengan hati yang suci bersih).  Tiada harapan mereka selain dari Wajah Allah semata-mata (Keredhaan Allah semata-mata).  Ahli Zikir adalah Ulama Billah (Ulama Pewaris Nabi yang Benar yang kemudiannya dimasyhurkan dengan nama Mursyid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat). 


Ke-2 : Allah Melarang Rasulullah ﷺ berpaling dari mereka (Ahli Zikir)

Meskipun ia merupakan teguran kepada Rasulullah ﷺ namun ianya merupakan peringatan dan amaran kepada Ummat Islam seluruhnya.   Iaitu i’tibar kepada Ummat Islam agar jangan sekali-kali memandang rendah atau menghina “Ahli Zikir”.   Dan jangan berpaling dari mereka semata-mata kerana mengharap perhiasan dunia. 


Maksud “Ahli Zikir” pada zaman kemudian daripada kewafatan Rasulullah ﷺ, sebagaimana kami jelaskan sebelum ini adalah sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, yang sentiasa menyeru kepada Allah pagi-pagi dan petang-petang dan sentiasa di dalam keadaan ubudiyyah zahir batin.  Tiada yang mampu melakukan semua ini melainkan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang di-Kurniakan oleh Allah keistimewaan di Sisi-Nya. 


Ke-3 : Jangan muliakan seseorang kerana kekayaan, pangkat atau kedudukannya.

Perintah Allah ini juga dengan jelas melarang keras orang beriman memuliakan seseorang kerana kekayaannya atau pangkatnya atau kedudukannya di dalam masyarakat.  Apa lagi mereka yang jelas kekafirannya menentang Allah dan Rasul-Nya.


Ke-4 : Allah Ta’ala Melarang duduk berserta orang yang lalai dari Zikrullah

Sekali lagi peringatan ini adalah kepada Ummat Islam.  Mereka dilarang duduk berserta dengan manusia yang lalai hatinya dari Zikrullah dan mereka yang disibukkan dengan mengejar pangkat, kedudukan dan dunia yang hina kerana mereka akan menarik kamu kepada kefasikan, kezaliman dan kesesatan. 


Ke-5 : Keunggulan, Kemenangan Ummat Islam adalah Iman – Tauhid – Ma’rifat

Keunggulan dan Keagungan Islam BUKAN datang dari harta kekayaan, ekonomi, politik dan kebendaan dunia yang hina, tetapi sebaliknya ia datang dari Keimanan dan Ketaqwaan.  Hanya mereka yang benar-benar bertaqwa akan mencapai kemenangan dunia akhirat.  Adapun mereka yang hanya memakai “label Islam” sedangkan jiwa mereka dipenuhi dengan kecintaan kepada dunia, pangkat, kedudukan tidak sesekali mencapai kemenangan.   Sebaliknya mereka akan menemui kehinaan.  Wal Iyazubillah.


Buktinya jelas menerusi ayat ini:

Ketika orang kafir Quraisy yang kaya-raya dan berpangkat menawarkan diri untuk membangunkan Islam dengan cara mendampingi Rasulullah ﷺ dan singkirkan Sahabat-sahabat Baginda yang miskin dan sangat dhaif dari sudut kebendaan…. Ketika itu juga Allah Ta’ala menurunkan Perintah-Nya supaya tetap Bersama “Ahli Zikir” iaitu para Sahabat Baginda – menunjukkan keunggulan dan kejayaan yang hakiki adalah Keimanan dan Ketaqwaan dan BUKAN harta, pangkat dan kedudukan.


Dengan keterangan di atas, moga mereka yang selama ini duduk di dalam kegelapan,  mengolok-olok, mempersenda dan menghina Ulama Billah (Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat) SEGERA TAUBAT NASUHA di atas keceluparan mulut-mulut mereka.



SIRI 365 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 48:

Meremehkan, menghina Ulama

...... sambungan......



Punca orang Islam meremehkan

menghina Ulama

========================


Sebelum masuk tajuk ini, sayugia diingatkan semula bahawa hamba-hamba Allah yang dikenali sebagai Ulama adalah thabit dengan Al-Qur'an, Hadith dan Ijma' Ulama.  Allah Ta'ala Memilih mereka sebagai Wakil-Nya atas muka bumi.  Dia Meninggikan Darjat mereka dan Kurniakan mereka Ilmu Ladunni yang dengannya mereka memimpin manusia kepada Allah dengan selamat. 


Dia Menjadikan mereka Kekasih-Nya dan kekasih Rasulullah ﷺ yang memenuhi bumi dengan Cahaya Ketuhanan sehingga ikan di lautan, burung di angkasa raya dan semut di dalam sarangnya mengenali mereka dan mendoakan mereka. 


Mereka sentiasa di dalam Pimpinan Allah dan Rasul-Nya. Setiap detik dan saat mereka musyahadahkan Wajah Allah dan tidak sesekali berpaling dari-Nya.  Dengan demikian mereka di dalam Pemeliharaan Allah Ta'ala dan tidak sesekali masuk kepada golongan sesat.  Merekalah Ulama Billah, Ahlillah, Auliya Allah, Rijalullah, Mursyid, Ahli Ma'rifat, Ahli Sufi yang berjasa sepanjang zaman sampai Qiamat.


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Qutb-Ar-Rabbani Shaikh Muhyiddin Abdul Qodir Jilani  رضي الله عنه:

"Seseorang tidak dapat dikatakan Sufi (Ulama Billah, Mursyid Pewaris Nabi yang Sebenar) sehingga dia sampai ke maqam di mana dia di Anugerahi pandangan kepada Rasulullah ﷺ di dalam mimpinya dan diberi arahan dan tegahan.  Jika keadaan ini terjadi maka hatinya akan dinaikkan ke maqam lebih tinggi serta disucikan batinnya.  Beliau seterusnya akan memperoleh kehampiran dengan Allah Ta'ala sementara tangannya di dalam pimpinan tangan Rasulullah ﷺ

[Fath-Ar-Rabbaniy Wa Faidh Ar-Rahmaniy]


Sekarang mari perhatikan punca sebenar orang Islam meremehkan, mengejek, mempersenda, menghina Ulama Billah.


(1) Kejahilan diri — Tidak mengenal Ulama Billah

Ini boleh dikatakan sebagai punca utama.  Kebanyakan orang Islam tidak mengenali Ulama mereka sendiri.  Mereka jahil berkenaan Ulama Billah yang Allah Ta'ala Pilih sebagai pengganti Rasulullah ﷺ. 


Kebanyakan orang Islam tidak mengetahui tokoh-tokoh Mujaddid dan Mujtahid Ahlus Sunnah yang telah mencurah bakti menerbitkan Ilmu yang diperlukan oleh Ummat Islam untuk Mengenal Allah dan beramal Ibadah menurut Perintah-Nya (Ilmu Fiqh, Usuluddin, Tasawwuf, Tafsir, Ulumul Hadith, Nahwu, Sarf, Sirah, mantiq, bayan, badi' dan lain-lain berjumlah lebih 30 macam ilmu Ahlus Sunnah).   


Mereka tidak mengenali sekalian Ulama Ahlus Sunnah yang telah berjasa memimpin Ummat mengamalkan Syari'at dan Toriqat Rasul ﷺ sepanjang zaman sejak kewafatan Rasulullah ﷺ turun-temurun sampai ke zaman ini dan bersambung sampai Qiamat.


(2) Kejahilan Ibu bapa, Pemimpin masyarakat, Pemimpin Negara

Kebanyakan ibu bapa pemimpin masyarakat dan negara tidak mengenali Jalan Lurus, Jalan Ahlus Sunnah yang benar yang diwarisi daripada Junjungan Besar Rasulullah ﷺ.  Mereka juga tidak mengenal Ulama Pewaris Nabi yang benar-benar mewarisi Nabi yang WAJIB dijadikan pedoman dan ikutan.  Akibatnya anak-anak TIDAK dididik menurut acuan Ahlus Sunnah yang benar. 


(3) Propaganda Yahudi dan Kristian

Di antara propaganda Yahudi dan Nasara yang paling utama untuk melemahkan Ummat adalah dengan cara menjauhkan Ulama Billah daripada Ummat dan menonjolkan "Ulama as-su', Ulama politik dunia" sebagai jaguh Agama. 


(4) Propaganda Golongan Bid'ah sesat Wahhabiyyah (khawarij), Syi'ah (rafdhi) dan sekular.

Mereka adalah penentang Ahlus Sunnah dari dalam.  Orang awam Islam menyangka mereka ini sebagai Ahlus Sunnah dan terpengaruh dengan dakyah mereka.  


(5) Tipu daya Ulama as-su', Ulama nafsu, Ulama dunia

Mereka menduduki jabatan-jabatan penting di dalam pentadbiran negara dan menyelewengkan Ummat dengan fatwa-fatwa batil dan sesat.


SIRI 366 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 48:

Meremehkan, menghina Ulama

...... sambungan......



Rawatan dan Penjagaan

=================


(1) Luruskan kefahaman bahawa Ummat Islam telah berpecah belah kepada berbagai golongan setelah kewafatan Rasulullah ﷺ.  Satu-satunya Jama'ah yang selamat adalah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah yang dipimpin oleh Ulama Billah (Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat, Mursyid pewaris Nabi yang Siddiq). 


(2) Yakin bahawa Allah Ta'ala tetap akan Zahirkan Ulama Billah yang akan memimpin Ummat Ahlus Sunnah sampai Qiamat.


(3) Mohon Pertolongan Allah dengan bersungguh-sungguh melakukan solat hajat pada malam Tahajjud agar Dia (Allah) menunjukkan jalan yang benar dan menunjukki Ulama Billah (Ulama pilihan Allah, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat, Mursyid pewaris Nabi yang Siddiq) yang akan memimpin kamu kepada Allah.  Ikuti  panduan yang diberikan oleh Sulton Auliya Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani رضي الله عه seperti di bawah:


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qoadir Jilani Radhiallahu anhu:

"Jika seseorang tidak dapat membezakan di antara Guru Kerohanian (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq)  yang sebenar dan yang palsu, dia perlu mengerjakan solat nafil dua rakaat di waktu malam tahajjud, untuk memohon petunjuk Allah Ta'ala.  Dia kemudiannya memohon kepada Allah menunjukki manusia- manusia suci ini yang akan memimpinnya kepada jalan kebenaran.  Dia mesti sungguh- sungguh merayu kepada Allah agar Dia memperlihatkan kepadanya orang yang akan membawa kepada Kasih akan Allah Ta'ala dan yang akan menyinari mata hatinya dengan cahaya Ketuhanan.  Dan yang akan membuka kepada kejadian- kejadian ghaib yang beliau sendiri telah menyaksikannya.  Dengan berbuat demikian, Insya Allah seseorang akan mendapat jawapannya dari Allah Ta'ala. 

[Fathur-Rabbaniy Wa Faidhur-Rahmani]


Nota Penting:

Golongan Wahhabiyyah (Najdiyyah, kaum muda, ISIS dan seangkatan mereka) yang seringkali mendakwa diri mereka sebagai pengikut Al-Qur'an dan Sunnah, sepatutnya tanggalkan pakaian kesombongan mereka dan ikuti nasihat dan panduan Al-Imam Al-Jilani di atas.  Jika mereka benar-benar ikhlas, Allah Ta'ala pasti menunjukki mereka bahawa jalan yang benar adalah Jalan yang telah dipimpin oleh sekalian Ulama Billah (Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat, Mursyid yang Siddiq) dan bahawa jalan yang mereka sedang lalui adalah jalan kebatilan dan kesesatan.


SIRI 367 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-49:

Menghina orang miskin kerana kemiskinannya

==================================


Definisi-Definisi:

=============


1. Definisi miskin

===============


Dari segi bahasa:

Miskin (مسكين) berasal dari perkataan (سَكَنَ - يَسْكُنُ ) bermaksud : diam, tenang, tetap, tidak bergerak, bertahan, tempat kediaman


Dari segi istilah:

Miskin (مسكين) adalah orang yang kekurangan harta dan sedikit pendapatannya dari sudut ekonomi, tak cukup perbelanjaan untuk meneruskan hidup


2. Definisi Faqir:

==============


Dari segi bahasa:

Perkataan faqir berasal dari kata ( فَقَّرَ - يُفَقِّرُ ) bermaksud : menembusi, melubangi, menggali


Dari segi istilah:

Faqir adalah orang yang tersangat miskin dari sudut ekonomi, tiada harta dan wang ringgit, tiada perbelanjaan, tersangat melarat, memerlukan bantuan untuk kesinambungan hidup. 



3. Definisi memperolok (يَسْخَر )

=========================


Dari segi bahasa:

Kata (يَسْخَر)  berasal dari kata (سَخِرَ - يَسْخرُ ) bermaksud menghina, mengejek, mencemuh, memperolok, mentertawakan, memandang rendah. 


kata-kata lain yang turut membawa makna menghina, mengejek, mentertawakan, mengolok-olok dan memandang rendah :


haqqara, yuhaqqiru  (حَقَّرَ - يُحَقِّرُ ), 

ahana, yuhinu (أهَانَ - يُهِيْنُ), 

sabba, yasubbu ( سَبَّ - يَسُبُّ)

adzalla, yudzillu ( أذَلَّ - يُذِلُّ) 

shatama, yashtamu (شَتَمَ - يَشْتمُ)



Penjelasan:

==========


(1) Tajuk "menghina manusia" secara umum telah menyentuh secara umum pada membicarakan dua topik penting sebelum ini, iaitu ; Dosa Takabbur dan Dosa Mengejek.  Kedua-dua tajuk tersebut adalah umum meliputi penghinaan terhadap semua macam kekurangan, sama ada kekurangan harta, wang ringgit, kepandaian, kecantikan, kekuatan tubuh, pangkat, kedudukan dan lain-lain.  Di sini kita akan fokus khusus kepada Tajuk :  "Menghina orang miskin kerana kemiskinannya" 


(2) Dilihat pada sudut haqiqat dan Taqdir Azali, Allah Ta'ala menciptakan manusia di dalam berbagai keadaan : kaya miskin, paras rupa cantik atau kurang cantik, berharta dan tiada harta, berpangkat tinggi atau tiada pangkat, berilmu atau jahil. Dengan pandangan ini, tiada sebab bagi sesiapa memandang hina kepada orang miskin kerana pada haqiqatnya semua kejadian kembali kepada Allah.  Maka apabila kamu menghina orang miskin kerana kemiskinannya, maka tanpa disedari kamu telah menghina Allah Ta'ala yang menjadikannya.


(3) Sebahagian orang kaya-raya menuduh secara umum kepada orang miskin sebagai "pemalas", "bodoh", "pengotor" dan sebagainya untuk menghinakan mereka.  Sedangkan tidaklah semua orang miskin itu malas, bodoh.  Mereka tetap berusaha memperbaiki keadaan hidup mereka dengan berbagai cara, namun mereka seringkali menemui kegagalan. 


(4) Semua bentuk kelebihan, keistimewaan, ketinggian yang Allah Ta'ala Kurniakan kepada manusia berupa kebendaan, harta duniawi, kekayaan melimpah,  kecantikan paras rupa, kedudukan, kekuasaan dan kepandaian merupakan dugaan atas setiap diri yang menerima Kurnia tersebut ; sama ada dia bersyukur dan meninggikan Kalimah Allah atau kufur derhaka kepada Allah.  Setiap Kurnia Allah adalah "amanah" dan BUKAN "hadiah" sepertimana yang difahami oleh kebanyakan orang awam.


(5) Semua macam kelebihan berupa duniawi tiada mempunyai apa-apa makna di Sisi Allah melainkan kamu gunakannya untuk jalan Allah, memakmurkan bumi Allah dengan Kalimah-Nya yang Maha Agung, sedekah untuk Masjid, Zawiyah, Madrasah Suluk dan tempat-tempat lain yang digunakan untuk Zikir dan Agungkan Allah. 


(6) Fahamilah "Harta paling Agung" yang mempunyai nilai pada Hari Perhitungan adalah Iman dan Taqwa yang bersemi di dalam jiwa seseorang.  Maka berbangga-bangga dengan harta kekayaan yang banyak dan menghina orang miskin adalah kebodohan yang akan berakhir dengan kecelakaan. 


SIRI 368 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-49:

Menghina orang miskin kerana kemiskinannya

... Sambungan.....




(7)  Para Ulama membincangkan tajuk ini secara khusus kerana beberapa sebab:


       (i) Sudah menjadi tabi'at manusia menghina orang lain kerana kemiskinannya.  Sedangkan menghina manusia lain (kerana kekurangan yang wujud pada dirinya termasuk kemiskinan) adalah berdosa besar dan termasuk perbuatan orang fasiq. 


      (ii) Taraf "miskin dan kaya" seringkali menjadi penilaian manusia terhadap kemuliaan seseorang atau sesebuah masyarakat. 


       (iii) Ahli perniagaan dan ahli politik memandang bahawa "kekayaan" itu diukur dengan "kekayaan harta benda dunia", sedangkan pegangan demikian adalah tipu daya nafsu dan syaitan. 


Al-Qur'an, Hadith, Ijma Ulama menyebut kejayaan hakiki BUKAN kerana "kekayaan harta benda dunia" tetapi kejayaan yang hakiki adalah kamu mati di dalam keadaan kamu memperoleh Keredhaan Allah. 


        (iv) Orang kaya sentiasa memandang orang miskin sebagai orang yang hina, pemalas, pengotor dan ungkapan-ungkapan lain yang menyakitkan hati.   Mereka tak menyedari perbuatan mereka adalah perbuatan orang fasiq.


         (v) Orang kaya merasakan diri mereka adalah orang terpilih yang mendapat kemuliaan Allah.  Golongan ini adalah golongan terpedaya dengan bisikan nafsu dan iblis sedangkan mereka tidak menyedarinya.  Mereka terkena Istidraj.


         (vi) Orang kaya sentiasa mendabik dada mengatakan mereka menjadi kaya raya kerana usaha keras dan penat lelah mereka.  Mereka lupa kepada Allah Ta'ala yang Mengurniakan segala sesuatu termasuk kepandaian dan kebijaksanaan, maka jadilah mereka orang yang Syirik dan kufur kepada Allah, iaitu syirik khafi (syirik tersembunyi di dalam hati, yang merosakkan Iman dan membinasakan segala amal ibadah) dan kufur Ni'mat.


Berkata Imam Al-Haythami:

"Menghina orang miskin kerana kemiskinannya adalah dosa besar dan kefasikan."

[Al-Zawaajir]


Berkata Imam Al-Haddad Radhiallahu anhu:

"Di antara perkara yang dicela dan dilarang ialah merendahkan taraf orang miskin kerana kemiskinannya, atau menghinanya sedang kemiskinan itu adalah Syi'ar para Nabi dan sifat para hamba Allah yang terpilih."

[Nasihat dan Wasiat Iman]


SIRI 369 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-49:

Menghina orang miskin

kerana kemiskinannya

... Sambungan.....



Dalil-Dalil Penting:

===============


Dalil 1: Firman Allah


{ يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ لاَ يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُواْ خَيْراً مِّنْهُمْ وَلاَ نِسَآءٌ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْراً مِّنْهُنَّ وَلاَ تَلْمِزُوۤاْ أَنفُسَكُمْ وَلاَ تَنَابَزُواْ بِٱلأَلْقَابِ بِئْسَ ٱلاسْمُ ٱلْفُسُوقُ بَعْدَ ٱلإَيمَانِ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُوْلَـٰئِكَ هُمُ ٱلظَّالِمُونَ }


"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasiq, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasiq (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiqnya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

[Al-Hujurat (49) : Ayat 11]


Berkata Sulton Auliya Al-Imam Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Keimanan seseorang menuntut agar dia meninggalkan ucapan buruk dan merendah-rendahkan manusia, sekumpulan lelaki yang mendirikan hukum Allah merendahkan (memandang rendah, memperolok, menghinakan) kumpulan lain seperti kamu di dalam kekuatan dan kelemahannya, yakni jangan merendahkan yang lemah.  Boleh jadi mereka yang dicela dan direndahkan itu lebih baik dari mereka yang merendahkan di Sisi Allah.  Dan perempuan terhormat dan dipandang luhur jangan merendahkan kumpulan (wanita)  lainnya yang rendah dan lemah, boleh jadi mereka yang direndahkan itu lebih baik dari wanita yang merendahkan dan merasa luhur di Sisi Allah.  Dan orang Mukmin dilarang mencela diri sendiri dan sesama kamu, kerana orang Mukmin seperti satu jasad, hak kamu dan kewajipan kamu sama.  Dan dilarang memanggil orang dengan panggilan yang mengandungi ejekan yang jelek dan mengarah kepada celaan dan penyesalan. Sebab ia mengandungi tuduhan. Sekalian ini termasuk kefasikan (dosa besar) dan kedurhakaan yang membawa kerugian dan kemiskinan.  Seburuk-buruk panggilan adalah panggilan buruk yang muncul sesudah beriman. Barangsiapa tidak bertaubat dan kembali kepada Allah setelah dosa-dosa tersebut (tergelincir lidah), maka mereka itulah orang-orang yang jauh dan tenggelam ke dalam kesesatan dan kezaliman.

[Tafsir Jilani]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

"Adh-Dhahhaq berkata : Ayat ini di turunkan berkenaan Bani Tamim yang mengejek para Sahabat yang miskin seperti Salman Al-Farisi, Ammar, Khabab, Ibnu Fahirah, BIlal, Shuhaib, dan lainnya.  


Mujahid berkata:  Olok-olok tersebut adalah olok-olok orang kaya terhadap orang miskin. 


Ibnu Zaid berkata : Janganlah orang yang ditutupi dosa-dosanya oleh Allah mengolok-olok orang yang dosanya dinampakkan oleh Allah kerana boleh jadi penampakkan dosa-dosanya di dunia hal yang lebih baik baginya di Akhirat.  


Secara umum, janganlah seseorang berani mengolok-olok seorang lain yang keadaannya yang dhaif (miskin) atau terdapat suatu kecacatan (kekurangan) pada dirinya.  Sebab boleh jadi orang yang dihina itu lebih suci hatinya daripada orang yang menghinanya.  Apabila hal demikian maka dia telah zalimi diri sendiri, kerana dia telah menghina orang yang di-Muliakan oleh Allah dan merendahkan orang yang di-Agungkan oleh Allah."

[Tafsir Qurtubi]


SIRI 370 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-49:

Menghina orang miskin

kerana kemiskinannya

... Sambungan.....



Dalil 2: Firman Allah:


وَٱصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِٱلْغَدَوٰةِ وَٱلْعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُۥ  وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا  وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُۥ عَن ذِكْرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًۭا 


"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan petang hari dengan mengharap ke-Redhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.”

[Al-Kahfi (18 ) : Ayat 28]


Tafsir ayat ini telah lalu penjelasannya. (Sila rujuk Dosa Besar ke-48)

Ayat ini secara keras menempelak orang kafir Quraisy (atau muallaf yang baru masuk Islam) yang menghina para Sahabat Ahlus-Suffah disebabkan kemiskinan mereka.  Mereka (kafir Quraisy atau muallaf yang baru masuk Islam) merasa jijik dengan para Sahabat miskin tadi yang sentiasa berada bersama Nabi ﷺ sehingga mereka meminta Baginda menghalau mereka dan mereka dapat duduk bersama Baginda.


Ternyata Allah Ta'ala memuliakan para Sahabat miskin dan dhaif. Melalui ayat ini Allah Ta'ala melarang Nabi ﷺ mengikuti permintaan orang kafir yang meminta Baginda supaya menjauhkan para Sahabat miskin seperti Sayyidina Salman Al-Farisi, Abu Zar dan orang-orang miskin dari kalangan Sahabat supaya mereka (orang kafir yang kaya) dapat dekat dengan Nabi ﷺ untuk tujuan Da'wah.  Sebaliknya Allah Ta'ala Perintahkan supaya Baginda tetap bersama para Sahabat Baginda.  Meskipun mereka adalah orang-orang miskin, tiada harta, sentiasa memakai pakaian lusuh, namun hati mereka suci bersih.  Mereka adalah hamba-hamba Allah yang sentiasa berzikir dan beribadah, mengharap Keredhaan Allah. 


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu.

"Dari Adh-Dhahhaq, dari lbnu Abbas, Perintah Allah  “ وَلَا تُطِعْ مَنْ اَغْفَلْنَا قَلْبَهٗ عَنْ ذِكْرِنَا “ adalah larangan mengikuti permintaan Umayyah bin Khalaf Al-Jumahi.  Orang ini meminta kepada Nabi ﷺ agar Baginda jauhkan Sahabat Baginda yang miskin (Ahlus-Suffah) yang sentiasa bersama Baginda agar tokoh-tokoh Quraisy dapat mendekat kepada Baginda.   Golongan kafir Quraisy ini adalah فُرُطًا , iaitu melampaui batas, lalai, fasiq dan zalim. 

[Tamat Nukilan Tafsir Qurtubi]


Tegasnya orang-orang yang menghina para Sahabat dan merasa jijik dengan mereka disebabkan kemiskinan mereka dan pakaian mereka yang lusuh, adalah mereka itu orang-orang yang melampau, zalim dan fasiq.


Maka demikianlah hal keadaannya orang-orang yang menghina orang-orang beriman disebabkan kemiskinan mereka, adalah mereka itu فُرُطًا , zalim dan fasiq.


Bersambung siri 371 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...