B15: PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 141 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.19  Dosa Besar ke-18:   Marah (  غَضَب )

sambungan...


Akibat marah (marah yang dikeji)

Sifat gemar "marah" dan "kemarahan" mempunyai implikasi yang amat buruk kepada diri dan masyarakat, bahkan yang lebih bahaya adalah kepada Iman dan amal ibadahnya.


(1) Sifat suka marah dan kemarahan yang tidak terkawal adalah daripada hembusan api syaitan dan nafsu ammarah yang menyala2.  Orang ini telah menjadi tawanan Syaitan. 


(2) Orang yang pemarah akan bertindak mengikut perasaan dan bisikan jahat, hilang kewarasan berfikir, hilang pertimbangan syara', melemparkan kata2 cacian dan makian, merosakkan harta benda, memukul orang, bahkan sampai membunuh. 


(3) Hilang keamanan dan ketenteraman hidup.


(4) Kemarahan melampau menimbulkan permusuhan pergaduhan dan putus silatur-rahim.


(5) Kemarahan melampau menimbulkan rasa tak puas hati, adu domba, pendustaan, tajassus (mengintai aib orang), dan fitnah dan keinginan untuk balas dendam.


(6) Pemimpin2 yang pemarah akan membawa kesengsaraan kepada rakyat. Maka tanggunglah dia dosa yang tidak terkira banyaknya. Inilah sebabnya Pemimpin2 yang zalim akan berada bersama2 dengan Fir'aun dan pemimpin kafir lain di dalam Neraka. Wal 'Iyazubillah


(7) Orang yang pemarah akan hilang cahaya Keimanannya sedikit demi sedikit kerana hatinya sentiasa dikuasai oleh Syaitan. Wal 'Iyazubillah.  


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu :

"Di antara bekas kemarahan pada anggota zahir ; berubah warna mukanya, bersangatan gementar, keluar perbuatannya tanpa tertib, merah matanya.  Adapun bekasnya pada lidah, iaitu lancarnya maki hamun dan berkata yang keji2.  Adapun bekasnya pada hati serta orang dimarahi, maka iaitu : dendam, dengki, sembunyikan yang buruk, ingin membuka rahsia, ingin membuka 'aib, mengejek dan kejian lain dari yang demikian."

[Ihya Ulumuddin]


SIRI 142 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.19  Dosa Besar ke-18:   Marah (  غَضَب )

sambungan...


Rawatan / Penjagaan :


Seperti mana penyakit2 hati yang lain, rawatan terbaik sudah pastilah dengan cara hapuskan sumber kajahatan serta cabut segala anasir perosak dari akar umbinya.  


Ikhtiar yang digagahi yang perlu dilakukan oleh sekalian orang awam dan salikin yang baru berjalan pada jalan Allah untuk mengatasi kemarahan yang tercela :


Pertama:

Lazimkan berwudhu. Wudhu dapat meringankan "kemarahan" atau meredakannya terus jika dilakukan sungguh2 harap Rahmat Allah. Kekal di dalam wudhu dapat menjadi benteng dari "marah" dan "kemarahan".  Inilah satu daripada ribuan faedah kekal di dalam wudhu.


Kedua:

Ketika datang kemarahan, dan kamu sedang berdiri, maka hendaklah kamu duduk tenangkan diri.  Jika kamu duduk hendaklah kamu melutut. Jika melutut juga tak mampu redakan kemarahan, maka hendaklah kamu baring.   


Ketiga:

Pejam mata dan tarik nafas dan lepaskan nafas perlahan2 sambil zikir La-Ilaha-Illallah dalam hati.


Keempat:

Jika terdengar suatu berita yang menjadikan hati menjadi panas, kembalikan urusan tersebut kepada Allah serta sungguh2 mengharap Rahmat Allah.


Kelima:

Lihatlah bahawa diri kamu tidak mempunyai apa2 melainkan Kurnia Allah semata2.  Lazimkan melihat diri serba kekurangan — lemah, hina, faqir dan dhaif dan berkata di dalam hati : " orang lain lebih baik dariku". 


Keenam:

Lihatlah sekalian makhluq Allah dengan pandangan belas ihsan.


Ketujuh:

Ketika datang perasaan marah yang memuncak pada seseorang, katakan di dalam hati bahawa diriku sendiri banyak dosa dan 'aib. 


Kelapan:

Jauhi dari tamak dunia, rakus, cinta dunia, cinta pangkat, cinta kedudukan dsb kerana sebahagian dari kerasnya kehendak untuk marah terbit dari cinta dunia dan cinta pangkat kedudukan.  Ertinya apabila kecintaan kepada dunianya terhalang, maka akan bangkit kemarahan yang keras demi mempertahankannya. 


Kesembilan:

Melawan ego dalam hati.  Sesungguhnya kesombongan, takabbur, merasa diri bagus dan memandang orang lain dengan pandangan hina adalah punca terbesar seseorang menjadi pemarah. Dan ego ini tersangat susah ditundukkan kecuali orang yang benar2 mujahadah pada jalan Allah dengan pimpinan Guru yang Arif.


SIRI 143 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.19  Dosa Besar ke-18:   Marah (  غَضَب )

sambungan..


Marah yang terpuji / dituntut


Pada beberapa siri sebelum ini kita telah melihat sifat marah dan kemarahan yang dicela dan diMurkai oleh Allah Ta'ala iaitu kemarahan yang bangkit dari bisikan nafsu ammarah dan Syaitan. 


Di sisi lain terdapat marah dan kemarahan yang terpuji, iaitu kemarahan yang bangkit dari Tauhid, cetusan Iman, tuntutan keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya.


Marah kerana Allah adalah bermaksud :


(1) Mempertahankan Keagungan dan Kemuliaan Allah Ta'ala.

Marah kepada manusia yang mengejek2 Allah Ta'ala atau mempermainkan nama2 Allah atau menggunakan nama2 Allah Yang Maha Agung secara batil.


(2) Mempertahankan Kemuliaan Rasul, Nabi dan sekalian Auliya Allah secara am.

Marah kepada manusia yang mempersendakan Nabi ; samada keperibadian Baginda (sifat tubuh Baginda) atau pakaian Baginda (jubah, serban, janggut dll) atau apa saja berkaitan dengan Baginda.  Demikian lagi marah kepada manusia yang mempersendakan sekalian Auliya Allah yang ternama adalah termasuk tuntutan Keimanan. 


(3) Mempertahan Kesucian Agama Islam

Marah kepada musuh2 Islam (sama ada orang kafir atau orang fasiq) yang mempermainkan Agama Islam atau menghina hukum-hakam yang Allah Ta'ala turunkan. Maka di dalam hal ini adalah wajib marah dan menentang golongan ini menurut kemampuan masing2.


(4) Mendirikan Amru bil Ma'ruf Nahyi Anil Mungkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran)

Marah kepada perbuatan mungkar, ma'siat , zalim dan yang keji2, maka wajib atas setiap orang beriman marah kepada sekalian ini dan wajib mencegahnya menurut kemampuan masing2. Sekurang2 mencegah kemungkaran adalah benci di dalam hati bagi orang yang tiada "kuasa" dan tiada "ilmu yang mencukupi".   Orang tiada langsung perasaan marah dan benci kepada perbuatan mungkar, ma'siat dan keji2, maka dia bukan orang beriman.


(5) Mendirikan hukum Allah di dalam keluarga dan masyarakat.

Marah kepada anak isteri yang melanggar ketentuan Allah Ta'ala. Marah kepada sebarang kezaliman yang berlaku / dilakukan oleh pemimpin2 masyarakat.


SIRI 144 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.19  Dosa Besar ke-18:   Marah (  غَضَب )

sambungan...


Dalil dan contoh2 Marah yang terpuji / dituntut


Berikut adalah beberapa dalil penting berserta contoh2 berkenaan "marah" dan "kemarahan" yang terpuji, yang wajib ada pada setiap orang beriman. Ia merupakan syarat dan tanda2 wujudnya Iman / Tauhid di dalam hatinya secara hakiki. 


(1) Keras terhadap orang kafir dan kasih sayang kepada orang beriman:


✨🕌✨Firman Allah Ta'ala :


مُّحَمَّدٌ۬ رَّسُولُ ٱللَّهِ‌ۚ وَٱلَّذِينَ مَعَهُ ۥۤ أَشِدَّآءُ عَلَى ٱلۡكُفَّارِ رُحَمَآءُ بَيۡنَہُمۡ‌ۖ 

"Nabi Muhammad adalah Utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir (yang memusuhi Islam) dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (orang beriman)."

[Al-Fath (48) : Ayat 29]


✨🕌✨Firman Allah Ta'ala :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّبِىُّ جَـٰهِدِ ٱلۡڪُفَّارَ وَٱلۡمُنَـٰفِقِينَ وَٱغۡلُظۡ عَلَيۡہِمۡ‌ۚ وَمَأۡوَٮٰهُمۡ جَهَنَّمُ‌ۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمَصِيرُ

"Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafiq, serta bertindak keras terhadap mereka dan (sebenarnya) tempat mereka ialah Neraka Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali."

[At-Tahrim (66) : Ayat 9]


Berkata Imam Ghazali :

Bertindak dan bersikap keras itu, termasuk di antara bekas2 kekuatan kepanasan hati, iaitu marah. (marah kerana Allah)

[Ihya Ulumuddin]


(2)  Marah dan benci kerana Allah adalah tanda Iman:


✨🕌✨Rasulullah ﷺ  bersabda :

“Tali iman yang paling kuat adalah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah.” 

[Imam at-Tirmidzi]


✨🕌✨Rasulullah ﷺ  bersabda :

“Barangsiapa yang mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan tidak memberi kerana Allah, maka sesungguhnya telah sempurna Imannya.” 

[Imam Abu Dawud]


(3) Tegas ketika menjalankan hukuman terhadap pelaku zina:


✨🕌✨Firman Allah Ta'ala :

وَلَا تَأۡخُذۡكُم بِہِمَا رَأۡفَةٌ۬ فِى دِينِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۖ

"dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya (lelaki dan wanita yang berzina) dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat."

[An-Noor (24) : Ayat 2]


(4) Marah dan Memukul anak yang tidak mahu solat (pukulan ringan dengan tujuan mendidik)


✨🕌✨Rasulullah ﷺ  bersabda :

"Perintahkanlah anak-anak kamu untuk melaksanakan solat apabila sudah mencapai umur tujuh tahun. Apabila sudah mencapai umur sepuluh tahun maka pukullah apabila tidak melaksanakannya serta pisahkanlah tempat tidur mereka." 

[Imam Abu Dawud]


SIRI 145:


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.19  Dosa Besar ke-18:   Marah (  غَضَب )

sambungan...


(5) Marah ketika hukum Allah diringankan


Rasulullah ﷺ marah ketika hukum hudud cuba diringankan kerana pesalah dari golongan kaya dan ternama:


✨🕌✨Hadith Rasulullah ﷺ :

(Usamah bin Zaid Radhiallahu anhu mewakili Bani Makhzum untuk memohon agar Fatimah binti Al-aswad Al-Makhzumiyah (suku Makhzum) dilepaskan daripada hukuman potong tangan kerana mencuri), maka Rasulullah ﷺ menunjukkan kemarahan kepada Usamah lalu bersabda: : 

“Adakah kamu meminta syafaat dalam perkara hukum Hudud yang telah ditetapkan oleh Allah?”.  Kemudian Rasulullah ﷺ terus ke masjid, bangkit berdiri dan bersabda:

“إنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحَدَّ، وَأيْمُ اللهِ، لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا”. أخرجه مسلم والنسائي

“Sesungguhnya telah dibinasakan umat terdahulu daripada kamu, berlakunya apabila seorang bangsawan dari kalangan mereka melakukan kesalahan mencuri mereka bebaskan tanpa hukuman. Dan apabila seorang yang lemah dari kalangan mereka mencuri, lalu mereka jatuhkan hukuman Hudud terhadapnya. Demi Allah, kalaulah Fatimah binti Muhammad (puteri kesayangan Rasulullah) mencuri, nescaya aku hukumnya dengan dipotong tangan”. 

[Imam Muslim]


(6) Marah ketika orang2 beriman dizalimi, dihina atau dibunuh.


Rasulullah ﷺ tersangat marah dan doakan kehancuran kaum kuffar yang membunuh 70 orang sahabat Baginda*


✨🕌✨Hadith Rasulullah ﷺ :

“Rasulullah ﷺ berdoa untuk kehancuran orang-orang yang telah membunuh para sahabat di Bi’r Ma'unah sebanyak tiga puluh kali setiap Subuh. Baginda juga mendoakan untuk kehancuran Bani Ri‘l, Bani Dzakwan, Bani Lihyan, dan Bani Usayyah, serta orang yang mendustai Allah dan Rasul-Nya." 

[Imam Muslim]


Demikian beberapa contoh serta keterangan berkenaan kewajipan "marah" dan "kemarahan" yang terpuji, bahkan semua jenis "marah" ini merupakan tuntutan keimanan yang menjadi pembeda antara Keimanan sejati dengan pendusta yang berpura2. 


Tidak mungkin seseorang yang benar2 beriman berdiam diri (tidak marah) ketika hak2 Allah dipermainkan atau Rasulullah  ﷺ dan Sunnah Baginda dipersendakan atau hukum Agama yang suci dijadikan bahan gurauan atau orang2 Islam dizalimi, dihina dan dibunuh.  


Di dalam semua keadaan tersebut, orang Islam yang benar2 memiliki cahaya Iman di dalam dadanya pasti marah dan menentang segala kedurjanaan tersebut mengikut kemampuan yang ada padanya, sekurang2 benci dan marah di dalam hatinya. Inilah tanda orang beriman. Dan inilah perbezaan antara orang yang benar2 beriman dengan orang munafiq.  


Sebagai penjagaan:

Ketika dihadapkan dengan kedurjanaan, kefasikan dan kezaliman golongan munafiq dan kafir, maka setiap orang beriman perlu pastikan mematuhi segala adab2nya dan niatnya agar tetap ikhlas kerana Allah dan jauhkan daripada tipu daya syaitan. 


SIRI 146 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.20  Dosa Besar ke -19:   Bakhil ( بَخِيْل  )


Definisi :


Dari segi bahasa : 

Bakhil ( بَخِيْل  ) berasal dari kata dasar ( بَخُلَ، يَبْخَلُ، بَخِيْلٌ ), bermaksud menahan sesuatu.


Dari segi istilah :

Bakhil ( بَخِيْل  ),  bermaksud menahan harta daripada belanjakannya pada jalan Allah atau membantu orang lain. Istilah bakhil lazim disebut kedekut, kikir, lokek, pelit, tangkai jering


Penjelasan:


(1) Bakhil atau kedekut merupakan sifat yang amat tercela yang diMurkai Allah.


(2) Bakhil bermaksud mengumpul-ngumpul kekayaan untuk dirinya, menyimpan2 wang yang banyak mengikut hawa nafsunya, sangat mencintai harta dunia,  dan enggan belanjakan hartanya pada Jalan Allah, enggan membantu orang lain yang kesempitan. Atau berkira2 untuk keluarkan belanja meskipun dirinya memilik harta yang banyak. 


(3) Sifat bakhil muncul dari hati yang berpenyakit serta terkait kepada beberapa penyakit hati yang lain, iaitu cinta dunia, panjang angan2, tamak haloba, lupa mati, lupa Akhirat bahkan lupa kepada Allah Ta'ala Yang Maha Permurah yang Mengurniakan harta yang banyak kepadanya. 


(4) Kesan paling buruk yang bakal menimpa seseorang yang bakhil adalah dia termasuk orang kufur Ni'mat, tidak tahu mensyukuri Ni'mat Allah.


(5) Istilah Bakhil bukan sahaja tertuju kepada orang yang enggan sedekah Fi Sabilillah atau membantu orang lain tetapi juga kepada orang yang mengeluarkan sedekah yang tidak sesuai dengan kemampuannya. (memiliki wang banyak tetapi sedekah sama seperti orang miskin bersedekah)


(6) Istilah "bakhil" sentiasa berlawanan dengan istilah "pemurah". 


(7) Istilah "bakhil" juga sering dibincangkan bersama "sifat boros".  Bakhil itu menahan harta yang patut dikeluarkan, sedangkan "boros" adalah berlebihan mengeluarkannya sehingga diri sendiri menjadi papa kedana dan meminta2.  Kedua2nya tercela.


(8) Lazimnya istilah bakhil tertuju kepada orang yang kaya-raya, yang memiliki harta yang banyak melebihi keperluannya. Meskipun demikian, orang yang memiliki kurang harta juga tidak terlepas daripada sifat bakhil. 


(9) Sebahagian Ulama kita berfatwa  : Ahli agama yang mempunyai pengetahuan tentang kebenaran tetapi mereka menyembunyikannya adalah termasuk bakhil dan akan menerima siksa yang amat berat. Walau bagaimanapun istilah yang lebih tepat bagi orang seperti ini adalah "pengkhianat". Maka tidaklah dibincangkan di sini melainkan dibincangkan berasingan di bawah tajuk tersendiri. 


(10) Ukuran seseorang itu masuk kategori bakhil atau tidak bergantung kepada kelayakannya (harta yang dimiliki), keadaan taraf hidupnya, tanggungannya, tuntutan yang dihadapinya dan beberapa faktor lain. Maka tidaklah mudah menuduh seseorang itu sebagai "bakhil" semata2 kerana dia "menahan" hartanya atas sebab2 yang munasabah pada hukum Syara' dan tidaklah mudah memastikan seseorang itu pemurah semata2 kerana pada zahirnya dia belanjakan harta dengan banyak kepada orang lain. 


(11) Pada dasarnya seseorang akan dikira sebagai bakhil apabila memiliki sifat2 berikut berhubung dengan hartanya:

Pertama :     Tidak menunaikan kewajipan atas hartanya

Kedua :        Kaya-raya tetapi sangat berkira2 ketika sedekah.  

Ketiga :        Sentiasa bimbang dengan simpanan harta/wangnya. 

Keempat :    Sentiasa memikirkan cara memenuhkan tabungnya.

Kelima     :   Menuntut balasan atas sedekahnya.


(12) Tujuan penjelasan di sini adalah lebih kepada menilai / ukur diri sendiri dan bukan menilai orang lain meskipun ada kalanya perlu menilai hal seseorang bertujuan memberikan nasihat, tunjuk ajar, bimbingan agar dia terlepas dari sifat bakhil yang amat buruk ini.  Namun, orang yang benar2 layak dan berhak atas urusan ini adalah Mursyid (pewaris Nabi yang siddiq) yang membimbing manusia kepada Allah Ta'ala.


SIRI 147 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.20  Dosa Besar ke -19:   Bakhil ( بَخِيْل  )

sambungan ...


Dalil2 larangan bakhil:


✨🕌✨Dalil 1: Firman Allah :

وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ هُوَ خَيْرًا لَهُمْ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَهُمْ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلِلَّهِ مِيرَاثُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

"Dan sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari Kurnia-Nya menyangka, bahwa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya (siksaan neraka) di hari Qiamat. Dan kepunyaaan Allah lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

[Aali Imran (3) : ayat 180]


✨🕌✨Dalil 2 : Firman Allah :

هَـٰٓأَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنڪُم مَّن يَبۡخَلُ‌ۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦ‌ۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِىُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُ‌ۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَـٰلَكُم 

"(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya dia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatu pun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepada-Nya dalam segala hal) dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan belanjakan harta pada jalan Allah) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu. "

[Muhammad ( 47) : Ayat 38]


✨🕌✨Dalil 3 : Firman Allah :

فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُمۡ وَٱسۡمَعُواْ وَأَطِيعُواْ وَأَنفِقُواْ خَيۡرً۬ا لِّأَنفُسِڪُمۡ‌ۗ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

"Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaran-Nya) serta taatlah (akan perintah-perintah-Nya) dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya."

[At-Taghabun (64) : Ayat 16]


✨🕌✨Dalil 4: Firman Allah :

يَوْمَ يُحْمَىٰ عَلَيْهَا فِى نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ ۖ هَٰذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنفُسِكُمْ فَذُوقُوا۟ مَا كُنتُمْ تَكْنِزُونَ 

"pada hari dipanaskan emas perak itu dalam neraka jahannam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, lambung dan belakang mereka (lalu dikatakan) kepada mereka: “Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu”.

[At-Taubah (9) ; Ayat 35]


✨🕌✨Dalil 5: Firman Allah :

وَيۡلٌ۬ لِّڪُلِّ هُمَزَةٍ۬ لُّمَزَةٍ (١) ٱلَّذِى جَمَعَ مَالاً۬ وَعَدَّدَهُ ۥ (٢) يَحۡسَبُ أَنَّ مَالَهُ ۥۤ أَخۡلَدَهُ ۥ (٣) كَلَّا‌ۖ لَيُنۢبَذَنَّ فِى ٱلۡحُطَمَةِ

"Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pengumpat lagi pencaci, (1) Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; (2) Dia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)! (3) Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam "Al-Hutamah".

[Al-Humazah (104) : Ayat 1-3]


SIRI 148 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.20  Dosa Besar ke -19:   Bakhil ( بَخِيْل  )

sambungan ...


Dalil 6 : ✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

“Jagalah dirimu dari api neraka walau dengan sedeqah separuh biji kurma”. 

[Imam Bukhari]


Dalil 7 : ✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

 “Tidak ada suatu hari yang mana seorang hamba memasuki waktu pagi kecuali ada dua malaikat yang turun”. Salah satu dari dua malaikat itu berdoa, “Ya Allah, berilah ganti orang yang suka memberi”. Dan malaikat yang lain berdoa, “Ya Allah, berilah kehancuran kepada orang yang bakhil”.

[Imam Muslim] 


Dalil 8 : ✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

Adalah Nabi ﷺ berdoa, “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari sifat bakhil, malas, pikun, siksa qubur dan dari fitnah hidup dan mati”. 

[Imam Muslim]


Dalil 9 : ✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

“Jagalah diri kalian dari berbuat zalim, kerana perbuatan zalim itu (menyebabkan) kegelapan pada hari Qiamat, dan jagalah diri kalian dari berlaku bakhil dan rakus, karena bakhil dan rakus itu membinasakan orang-orang sebelum kalian, mendorong mereka menumpahkan darah dan menghalalkan yang haram”. 

[Imam Muslim] 


Dalil 10 : ✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda:

“Tidak akan masuk Syurga orang yang suka menipu, orang yang bakhil dan pengungkit-ungkit pemberian”. 

[Imam Tirmizi]


Dalil 11: ✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

“Orang yang dermawan itu dekat kepada Allah, dekat kepada Syurga, dekat kepada manusia dan jauh dari Neraka. Sedangkan orang yang bakhil itu jauh dari Allah, jauh dari Syurga, jauh dari manusia dan dekat pada Neraka. Orang yang bodoh tetapi dermawan lebih dicintai Allah daripada orang yang suka beribadah tetapi bakhil”.

[Imam Tirmizi]


Dalil 12: Rasulullah   ﷺ  bersabda :

“Apabila pemimpin-pemimpin kalian adalah orang-orang yang baik, orang-orang kaya kalian adalah orang-orang yang dermawan  dan urusan-urusan kalian dimesyuaratkan di antara kalian, maka belakang (atas) bumi lebih baik bagi kalian daripada perutnya. Tetapi apabila pemimpin-pemimpin kalian orang-orang jahat, orang-orang kaya kalian adalah orang-orang bakhil, dan urusan-urusan kalian diserahkan kepada wanita-wanita, maka perut bumi lebih baik bagi kalian daripada belakangnya (mati lebih baik daripada hidup)”. 

[Imam Tirmizi]


SIRI 149 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.20  Dosa Besar ke -19:   Bakhil ( بَخِيْل  )

sambungan ...


Contoh-contoh Bakhil


Contoh 1:

Seseorang yang enggan mengeluarkan belanja yang secukupnya kepada tanggungannya (anak isteri, ibu bapa dll yang menjadi tanggungannya menurut Syara')  meskipun dia memiliki wang / harta yang banyak.  Atau dia terlalu berkira2 untuk menunaikan kebajikan orang2 yang di bawah tanggungannya. Ini adalah bakhil. 


Contoh 2:

Enggan hulurkan sedekah kepada Masjid, Surau atau Fisabilillah yang lain untuk tujuan pembaikkan atau lainnya yang perlu,  meskipun dia memiliki  wang / harta lebih dari keperluannya, maka dia adalah bakhil. Di dalam hal ini tidaklah disyaratkan seseorang itu mesti kaya-raya, kerana mendirikan Masjid / surau dll adalah termasuk kewajipan setiap Muslim.  Setiap Muslim wajib mengeluarkan sedekah menurut kemampuannya. 


Contoh 3:

Enggan membantu faqir miskin atau orang terlantar yang memerlukan pertolongan. Membantu saudara Muslim yang lain yang miskin atau yang terlantar adalah wajib. Bahkan membantu orang kafir ( bukan kafir harbi — kafir yang memusuhi Islam) yang kelaparan juga wajib.  Maka keengganan membantu mereka yang di dalam kesusahan (sedangkan dia orang yang mempunyai kelebihan harta) adalah perbuatan orang bakhil. 


Contoh 4:

Setiap kali dia bersedekah, langsung dia memikirkan bagaimana cara memenuhkan kembali tabung simpanan yang sudah berkurangan. Ini jelas bakhil, lemah keimanan, tidak percaya kepada Taqdir Ilahi serta tidak tahu bersyukur. 


Contoh 5:

Seseorang yang sentiasa mengepung hartanya dengan penuh kebimbangan. Sentiasa bimbang  dengan harta / wang simpanannya takut diambil orang. Kebimbangan ini akan berubah menjadi jahat sangka terhadap orang2 di kelilingnya, sentiasa melihat mereka dengan penuh rasa curiga sehingga hati menjadi gelisah dan ibadah terganggu.  


Contoh 6:

Orang kaya-raya sedekah bagaikan orang miskin.   Sebagai contoh : orang miskin sedekah  10 ringgit, orang kaya raya pun sedekah 10 ringgit.  Sudah tentu ini bakhil. Selayaknya orang yang kaya-raya sedekah lebih 100 atau 1000 ringgit sesuai dengan kemampuannya.


Contoh 7:

Seseorang yang mengeluarkan sedekah kerana tujuan tertentu, umpamanya harapkan balasan dari pihak yang menerimanya atau mengharapkan pujian dan sanjungan, atau mengharapkan habuan politik, pangkat, kedudukan dsb.  Semua ini tanda sifat bakhil. 


Contoh 8:

Seseorang yang bergaduh dengan penjual barang runcit kerana berlaku sedikit kekurangan. Misalnya kurang sepotong roti. Atau kurang sedikit timbangan beras dari yang sepatutnya. (misalnya kekurangan beras sebanyak satu tapak tangan),  atau kurang sedikit buah kurma yang telah dibelinya (misalnya kekurangan satu atau dua biji)... maka dalam hal ini pembeli yang bertengkar itu bakhil.


Kata Imam Ghazali :

"Sesungguhnya orang yang mengembalikan daging kepada penjual daging dan orang yang mengembalikan roti kepada tukang jual roti disebabkan kekurangan sebiji roti atau setengah keping roti, maka sudah sepakat bahawa orang itu bakhil"

[Ihya Ulumuddin]


SIRI 150 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.20  Dosa Besar ke -19:   Bakhil ( بَخِيْل  )

sambungan ...


Hakikat Bakhil, Pemurah dan Pembazir


■ Apakah maksud sebenar bakhil?

■ Adakah semua orang yang menahan harta itu dihukumkan bakhil?

■ Bolehkah menetapkan bahawa seseorang itu bakhil  semata2 kerana dia menyimpan wang yang banyak?

■ Adakah menyimpan wang itu dilarang secara mutlaq? 

■ Apakah had yang dijadikan ukuran bagi mengatakan seseorang yang menyimpan itu "bakhil"?

■ Wang simpanan yang bagaimanakah dilarang dan manakah yang diharuskan?

■ Siapakah yang dikatakan pemurah / dermawan?

■ Adakah semua orang yang belanja banyak itu boleh dikatakan dermawan?

■ Apakah syaratnya dan ciri2nya?

■ Apakah garis pemisah antara "bakhil" dan "pemurah"?

■ Siapakah yang dikatakan boros?

■ Bagaimanakah menentukan seseorang itu bakhil atau boros?

■ Apakah kadar, ukuran dan had antaranya?


Sesungguhnya persoalan2 yang disenaraikan  ini rumit.  Ia perlu dihalusi agar tidaklah seseorang yang menahan harta itu dituduh sebagai bakhil sewenangnya dan tidak pula seseorang belanjakan harta secara terang2an itu disanjung sebagai pemurah. Belum tentu. Ini kerana terdapat beberapa hal berhubung dengan hati dan beberapa jalan memperoleh harta dan cara2 menyampaikan maksud sedekah (belanjakan harta) yang sangat sulit memahaminya secara pasti berdasarkan pandangan zahir semata2.


Ada kalanya seseorang "menahan" hartanya (enggan berbelanja) kerana sebab2 tertentu yang menepati Syara' tetapi orang lain tidak mengetahuinya. Oleh kerana tu seseorang yang "menahan" harta belum boleh dikatakan bakhil secara mutlaq, melainkan perlu kepada penelitian sebab2 dia menahan hartanya.


Ada kalanya seseorang "berbelanja besar", misalnya seorang pembesar (ahli politik, dato', tan sri, tun) mengeluarkan sedekah untuk pembangunan Masjid lalu disiarkannya di dalam media, TV, internet dll untuk menunjukkan yang dia telah berikan sumbangan tersebut  maka ini belum tentu menunjukkan dia pemurah. Barangkali niatnya telah menyimpang dari ikhlas, barangkali harta yang disumbangkan itu bukan hartanya tetapi harta rakyat yang diselewengkan sebagaimana telah banyak terjadi pada zaman ini.


Sebahagian orang berlumba2 mengeluarkan belanja yang banyak kepada hal2 yang tidak perlu dengan sangkaan bahawa dia sedang melakukan kebajikan, sedangkan "berlebih2an belanja" pada suatu hal yang tidak perlu adalah termasuk pembaziran yang dilarang. 


Berkata Imam Ghazali :

"Kesimpulan dari kata2 tersebut, tidaklah meliputi dengan hakikatnya sifat pemurah dan sifat kedekut. Akan tetapi kami mengatakan : Harta itu dijadikan untuk suatu hikmat dan maksud, iaitu :  Harta adalah keperluan makhluq. Dan mungkin menahannya dari pengeluaran, daripada apa yang dijadikan harta itu untuk dikeluarkan. Dan mungkin diberi kepada apa yang tidak baik untuk dikeluarkan.  Dan mungkin pengeluaran itu dengan adil, iaitu : Harta itu dijaga di mana patut ia dijaga dan dibelanjakan kepada yang harus dikeluarkan.  Maka menahannya ketika mana ia harus dikeluarkan (dibelanjakan) itu bakhil. Dan memberikannya di mana seharusnya ditahan itu pemborosan (membazir). Di antara kedua ini terdapat "pertengahan". Dan itu yang terpuji"

[Ihya Ulumuddin]



Bersambung siri  151  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

      🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳 

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 390) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...