B50 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 491 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 59:

Tidak menjawab Solawat Nabi ﷺ

.... Sambungan.......



Penjelasan 4:

Menurut Ahli Ma'rifat, setiap salikin (murid yang mujahadah pada Jalan Ma'rifat), dilatih membanyakkan Solawat atas Nabi ﷺ di samping Zikrullah bagi penyucian hati yang lebih cepat dan lebih berkesan.  Salikin dilatih membaca solawat mulai dari sedikit, misalnya mulai Solawat sebanyak 100 kali sehari dan kemudian meningkat dari sehari ke sehari sehingga mencapai ribuan Solawat sehari semalam, kemudian meningkat lagi sehingga mencapai ratusan ribu solawat pada setiap hari, mengikut maqam masing-masing dengan Rahmat Allah.  Pada peringkat _Musyahadah_, iaitu ketika seseorang yang telah mencapai maqam Tauhid Zat, memperoleh kemampuan untuk membaca Solawat yang tiada terhitung.  Pada peringkat ini, lidah dan hati ahli _Musyahadah_ menjadi lembut lunak diliputi Cahaya Rabbaniyyah.


Penjelasan 5:

Menurut Ahli Ma'rifat, membanyakkan Solawat atas Nabi ﷺ adalah latihan yang khusus kedua penting selepas Zikrullah bagi mencapai Keimanan Sejati, Tahid yang hakiki, Ma'rifat suci murni.  Seseorang hamba Allah tidak mungkin mencapai Tauhid hakiki sebelum hatinya karam di dalam Nur Muhammad. 


Penjelasan 6:

Menurut pendirian Ahlus Sunnah yang benar (tulen), sekalian bentuk solawat yang _warid_ dari Rasulullah ﷺ (datang dari Rasulullah ﷺ) atau datang dari sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah yang terpercaya seperti Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu, Imam Al-Haddad Radhiallahu anhu, Imam Ja'afar Al-Barzanji atau Imam-Imam Ahlus Sunnah lainnya adalah sunnat diamalkan kerana mereka menulis bentuk Solawat berdasarkan Petunjuk Allah ke dalam hati mereka.  Adapun yang menuduhnya sebagai bi'dah sesat seperti puak-puak wahhabiyyah (Khawarij, kaum muda, salafi palsu) adalah mereka itu golongan sesat kerana tidak mengenali Auliya Allah yang di-Kurniakan Kemuliaan oleh Allah.  Mereka binasa dengan penentangan mereka.


Penjelasan 7:

Ulama sepakat bahawa "menjawab solawat adalah wajib" dan abaikannya adalah dosa besar. Ertinya seseorang yang mendengar nama Rasulullah ﷺ tetapi tidak menjawabnya dengan ucapan solawat, maka dia berdosa besar.


Berkata Imam Haythami Radhiallahu anhu:

"Ada beberapa Hadith yang diriwayatkan oleh para perawi Hadith seperti Imam Muslim, Imam Ibn Majah, Imam At-Tirmizi, Imam Al-Haakim, Imam Ath-Thabrani, Imam Ibn Hibban, Imam An-Nasa'i di dalam redaksi yang berlainan, menyatakan bahawa orang-orang yang tidak mahu menjawab Solawat sewaktu mereka mendengar nama Rasulullah ﷺ disebut, adalah mereka  sebagai orang yang hina, tersesat, tidak masuk syurga dan lain-lain sepertinya (yang mengisyaratkan dosa besar).

[Az-Zawaajir]


SIRI 492 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 59:

Tidak menjawab Solawat Nabi ﷺ

.... Sambungan.......



Dalil-Dalil Penting

===============


Dalil 1: Firman Allah:


إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلاَئِكَـتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّ يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ صَلُّواْ عَلَيْهِ وَسَلِّمُواْ تَسْلِيماً


"Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya bersolawat kepada Nabi (Muhammad ﷺ); wahai orang-orang yang beriman bersolawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."

[Al-Ahzab (33) : Ayat 56]


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Kemudian Allah mengisyaratkan betapa Dia mengagungkan dan menghargai kedudukan Rasulullah  ﷺ, Sesungguhnya Allah Yang Memiliki segala Keagungan dan malaikat-malaikat-Nya yang sentiasa berada di Sisi-Nya, yang selalu menyaksikan Keindahan-Nya, dan selalu tenggelam di dalam pertemuan-pertemuan dengan-Nya bersolawat mengagungkan dan memuliakan atas Nabiﷺ yang berhak memperoleh berbagai penghargaan dan penghormatan yang memiliki berbagai kemuliaan dan pujian, Wahai orang-orang beriman kepada Allah dengan lantaran Rasulullah ﷺ, yang membuktikan bertauhid kepada Allah dengan petunjuk Baginda, kamu lebih berhak dan lebih utama untuk mengagungkan dan bersolawat salam kepada Rasulullah ﷺ, bersolawatlah kamu kepadanya setiap kali namanya disebut dan setiap kali kamu menyebutnya dalam hati kamu dan katakanlah, Ya Allah Rahmatilah Sayyidina Muhammad Rasulullah ﷺ, dan sampaikanlah salam kepada Baginda dengan salam yang sungguh-sungguh seraya berkata, "Kedamaian, rahmat dan keberkatan tetap atasmu, Wahai Nabi."

[Tafsir Al-Jailani]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

"Para Ulama sepakat bahawa bersolawat kepada Rasulullah ﷺ adalah fardhu satu kali seumur hidup sedangkan lebih daripada itu adalah sunnat mu'akkad (sangat dituntut) yang menghampiri wajib.  Bagi seorang Muslim, bersolawat kepada Nabi ﷺ tidak mungkin ditinggalkan atau dilupakan."

[Tafsir Qurtubi]


Berkata Imam Ibn Kathir Radhiallahu anhu:

"Menurut Imam Bukhari, Abul Aliyah telah mengatakan bahawa yang dimaksud dengan Solawat dari Allah ialah pujian-Nya kepada Nabi ﷺ di kalangan para Malaikat, dan Solawat dari para Malaikat ialah doa mereka untuk Baginda ﷺ.  Ibnu Abbas mengatakan bahawa makna _yusalluna_ ialah memberikan keberkatan. Demikianlah menurut apa yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari secara  _ta'liq_ (  تَعْلِيْق ) — (dengan ulasan atau komentar) yang bersumber dari keduanya (Abul Aliyah dan Ibnu Abbas).

[Tafsir Ibn Kathir]


Menurut mazhab Syafi'e, 

Seseorang Muslim tidak mungkin meninggalkan Solawat kerana bacaan Solawat atas Nabi ﷺ adalah wajib ketika membaca Tahiyyat.


Menurut Ahli Ma'rifat,

Setiap salikin (murid pada Sistem Pendidikan Jalan Ma'rifat), dilatih membanyakkan Solawat atas Nabi ﷺ di samping Zikrullah bagi penyucian hati yang lebih cepat dan lebih berkesan.  Salikin dilatih membaca Solawat mulai dari sedikit, misalnya mulai Solawat sebanyak 100 kali sehari dan kemudian meningkat dari sehari ke sehari sehingga mencapai ribuan Solawat sehari semalam, kemudian meningkat lagi sehingga mencecah ratusan ribu solawat pada setiap hari, mengikut maqam masing-masing.  Pada peringkat _Musyahadah_, iaitu ketika seseorang yang telah mencapai maqam Tauhid Zat, memperoleh kemampuan untuk membaca solawat yang tiada terhitung.  Pada peringkat ini, lidah dan hati ahli _Musyahadah_ menjadi lembut lunak di liputi Cahaya Rabbaniyyah.


SIRI 493 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar 59:

Tidak menjawab Solawat Nabi ﷺ

.... Sambungan.......



Dalil 2:  Hadith Rasulullah ﷺ:


Dari Abu Hurairah Radhiallahu anhu, Sesungguhnya Rasulullah  ﷺ telah naik ke mimbar dan berkata:

"Aameen, aameen, aameen."  

Seseorang bertanya: "Ya Rasulullah, Apa yang engkau lakukan ini?"  

Baginda menjawab: 

" Telah berkata Jibril kepadaku : "Hamba yang sombong, sempat bersama ibu-bapanya atau salah seorang darinya, tidak akan masuk syurga (kerana kesombongan terhadap mereka), Aku berkata: aameen, kemudian berkata malaikat:  Hambanya yang sombong apabila masuk Ramadhan tidak akan diampun dosanya oleh Allah, Maka Aku berkata : aameen.  Kemudian malaikat berkata:  Seseorang yang sombong di mana nama engkau (Rasulullah ﷺ ) disebut kepadanya akan tetapi dia tidak berselawat kepada engkau, maka aku berkata: aameen."

[Imam Bukhari ~  Adabul Mufrad].


Perawi lain:


Dari Abu Hurairah Radhiallahu anhu, Rasulullah ﷺ  naik ke atas mimbar, kemudian Baginda bersabda:

“Aameen… aameen… aameen…”

Kemudian ditanyakan kepada Baginda:

“Wahai Rasulullah, sewaktu engkau naik ke atas mimbar, engkau mengatakan aameen tiga kali (mengapa demikian?)”

Maka Rasulullah  ﷺ menjelaskan:

“Jibril telah datang kepadaku dengan mengatakan : “Barang siapa yang telah datang kepadanya bulan Ramadhan, kemudian dia tidak mendapatkan pengampunan (pada bulan Ramadhan tersebut), maka dia dimasukkan ke dalam api neraka dan Allah jauh dari dirinya, maka katakanlah: Aameen”.  Kemudian aku mengaminkannya.

“Dan barang siapa yang mendapatkan orang tuanya (ketika keduanya masih hidup), atau salah satu di antara kedua orang tuanya masih hidup, sementara (dia mampu berbuat baik untuk keduanya atau salah satu di antara keduanya), kemudian dia tidak berbuat baik kepada keduanya, atau salah satu di antara keduanya, kemudian mati, maka Allah akan memasukkannya ke dalam api Neraka, dan Allah jauh dari dirinya, maka aku katakan :Aameen”

“Dan barang siapa yang mana namaku disebutkan (di hadapannya) , kemudian dia tak memberi solawat kepadaku, maka Allah akan memasukkannya ke dalam api Neraka dan Allah sangat jauh dari dirinya, maka katakanlah  (aameen), maka aku katakan “Aameen”

[Imam Ibnu Hibban]



Perawi lain


Rasulullah ﷺ bersabda: 

"Berhimpunlah kalian dekat dengan mimbar.  Maka kami pun berhimpun.  Lalu Baginda menaiki anak tangga mimbar, Baginda berkata: Aameen. 

Ketika naik ke anak tangga kedua, Baginda berkata lagi: Aameen.

Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, Baginda berkata lagi: Aameen. 

Dan ketika Baginda Nabi turun (dari mimbar) kami pun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.

Lalu baginda menjawab:

Sesungguhnya Jibril  telah membisikkan kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak diampuni.  Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut.  Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan solawat ke atasmu.  Lalu aku pun mengaminkannya.  Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi:   Celakalah orang yang mendapati ibu bapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam Syurga. Lalu aku mengaminkannya.

[Imam Haakim]


Dalil 3: Hadith Rasulullah ﷺ:


Rasulullah ﷺ bersabda:

"Orang yang sangat bakhil adalah orang yang ketika namaku disebut di sampingnya, ia tidak membaca solawat kepadaku." 

[Imam At-Tirmizi]


SIRI 494 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 59:

Tidak menjawab Solawat Nabi ﷺ

.... Sambungan.......



Punca Enggan jawab Solawat atas Rasulullah ﷺ

==================================


Punca 1: Jahil akan kewajipan jawab Solawat atas Bagindaﷺ

Mereka tidak tahu bahawa menjawab Solawat atas Rasulullah ﷺ itu wajib.  Mereka juga jahil dari mengetahui bahawa Allah Perintahkan kepada sekalian orang Islam supaya solawat atas Baginda sebagai suatu _Ubudiyyah_ yang tinggi. 


Punca 2: Tidak menyedari bahawa Baginda ﷺ lebih tinggi dan lebih mulia dari Raja-raja, Sultan-sultan, atau mana-mana pemerintah dunia 

Mereka jahil dari mengetahui akan ketinggian, kemuliaan dan keagungan Rasulullah  ﷺ.  Mereka juga tidak menyedari bahawa Baginda ﷺ jauh lagi mulia, lebih tinggi dari sekalian Raja-raja atau Sultan-sultan di dunia.

Buktinya : Mereka sanggup membesarkan dan mendewa-dewakan Raja, Sultan, Perdana Menteri dan lain-lain, di dalam perjumpaan-perjumpaan mereka sedangkan  untuk menjawab Solawat sahaja pun, mereka enggan.


Punca 3:  Memandang remeh amalan solawat

Setengah mereka menyedari akan kewajipan menjawab Solawat, tetapi mereka memandang remeh kewajipan tersebut.


Punca 4: Tidak Kasih kepada Bagindaﷺ

Orang Islam yang tidak menjawab Solawat atas Baginda ﷺ menunjukkan mereka tiada kasih kepada Bagindaﷺ.


Punca 5: Mulut dan hati terkunci

Dosa-dosa berat dalam hati — syirik khafi, menyebabkan lisan terkunci dari menjawab Solawat atas Baginda ﷺ.


Punca 6: Tiada Zikrullah dalam hati 

Sebahagian dari sebab-sebab lidah terasa berat untuk mengucap Solawat atau menjawab Solawat adalah kerana hatinya keras dari Zikrullah.  Berbeza dengan orang yang hatinya hidup dengan Zikrullah, lidah dan hatinya menjadi lunak dan lisannya di Rahmati Allah.  Inilah sebabnya murid pada jalan Ma'rifat dilatih dengan membanyakkan Zikrullah sehingga lisan dan hatinya lunak dan lembut untuk menyebut dan menjawab Solawat.


SIRI 495 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar 59:

Tidak menjawab Solawat Nabi ﷺ

.... Sambungan.......



Akibat enggan jawab Solawat atas Rasulullah ﷺ

===================================


Akibat 1: Ingkar Perintah Allah — Berdosa besar

Orang yang enggan menjawab Solawat atas Nabi ﷺ melakukan keingkaran kepada Allah berdasarkan Firman Allah.

 

Firman Allah:


إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلاَئِكَـتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّ يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ صَلُّواْ عَلَيْهِ وَسَلِّمُواْ تَسْلِيماً


"Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya bersolawat kepada Nabi (Muhammad ﷺ); wahai orang-orang yang beriman bersolawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."

[Al-Ahzab (33) : Ayat 56]


Sebagaimana telah dihuraikan terdahulu, berdasarkan Firman Allah ini, Ulama Ahlus Sunnah sepakat bahawa "menjawab Solawat atas Rasulullah ﷺ" adalah wajib sementara "membaca Solawat kepada Baginda ﷺ "  secara umum adalah wajib sekurang-kurang sekali seumur hidup.  Dengan demikian orang yang enggan menjawab Solawat atas nama Baginda ﷺ ketika nama Rasulullah ﷺ disebut adalah terang-terang ingkar kepada Perintah Allah.



Akibat 2: Dicatit sebagai orang takabbur

Orang yang tidak menjawab Solawat atas Nabi ﷺ ketika nama Baginda ﷺ disebut dihadapannya, disebut sebagai orang yang takabbur.


Hadith Rasulullah ﷺ:

Dari Abu Hurairah Radhiallahu anhu, Sesungguhnya Rasulullah  ﷺ telah naik ke mimbar dan berkata :

"Aameen, aameen, aameen."  

Seseorang bertanya : "Ya Rasulullah, Apa yang engkau lakukan ini?"  

Baginda ﷺ menjawab: 

" Telah berkata Jibril kepadaku : "Hamba yang sombong, sempat bersama ibu-bapanya atau salah seorang darinya, tidak akan masuk syurga (kerana kesombongan terhadap mereka), Aku berkata : aameen, kemudian berkata malaikat: Hambanya yang sombong apabila masuk Ramadhan tidak akan diampun dosanya oleh Allah, Maka Aku berkata : aameen.  Kemudian malaikat berkata: Seseorang yang sombong di mana nama engkau (Rasulullah ﷺ ) disebut kepadanya akan tetapi dia tidak berselawat kepada engkau, maka aku berkata : aameen."

[Imam Bukhari]



Akibat 3: Disebut sebagai orang yang bakhil


الْبَخِيلُ الَّذِي مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ 


Rasulullah  ﷺ bersabda:

"Orang yang sangat bakhil adalah orang yang ketika namaku disebut disampingnya, ia tidak membaca Solawat kepadaku." 

[Imam At-Tirmizi]



Akibat 4: Disebut sebagai orang yang rugi


Rasulullah  ﷺ bersabda:


رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ



"Amat rugilah seseorang itu apabila disebutkan namaku tetapi dia tidak bersolawat ke atasku.”

[Imam Ahmad]    



Akibat 5: Tidak terbuka pintu-pintu Tauhid hakiki

Menurut Ahli Ma'rifat, tonggak kedua (selepas Zikrullah) amal solih yang membuka hati seseorang kepada pintu-pintu Tauhid yang hakiki adalah dengan membanyakkan Solawat atas Baginda ﷺ. 


Jika seseorang menjawab Solawat Nabi ﷺ sahaja pun malas, enggan, ingkar, maka mana mungkin dia banyakkan Solawat atas Baginda ﷺ.  Ertinya orang ini akan kekal sebagai "orang Islam awam" sahaja yang hatinya dipenuhi dengan berbagai Syirik Khafi yang merosakkan Iman dan batalkan amal kebaikannya.  Wal Iyazubillah.


SIRI 496 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar 59:

Tidak menjawab Solawat Nabi ﷺ

.... Sambungan.......



Rawatan dan Penjagaan

==================


(1) Perkara pertama yang wajib disedari oleh sekalian manusia adalah: Insan bernama "Muhammad" adalah Insan teristimewa, insan teragung, insan termulia yang Allah Ta'ala Ciptakan mengatasi seluruh Ciptaan-Nya di alam Semesta. 


Satu daripada bukti keagungan ini terlihat di dalam Firman Allah yang sedang dibincangkan     

[Al-Ahzab (33); ayat 56]    ini... إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلاَئِكَـتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّ

"Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya bersolawat kepada Nabi (Muhammad ﷺ)"


Tuhan Yang Maha Pencipta, Yang Menciptakan langit dan bumi daripada "tiada" kepada "ada" Memerintah kepada orang Mu'min yang benar-benar beriman, supaya Mengagungkan Kekasih-Nya "Muhammad" kerana Dia (Allah) sendiri memuliakan dan meninggikan darjatnya mengatasi sekalian manusia.  Ini suatu kemuliaan khusus kepada Bagindaﷺ .

Dengan demikian orang beriman yang melazimkan Solawat atas Baginda ﷺ dan menjawab setiap Solawat adalah orang yang benar-benar beriman.


(2) Sepertimana kami ulangi berkali-kali sebelum ini bahawa jalan yang terbaik, benar dan selamat untuk kembali kepada Allah, mencapai Tauhid hakiki, Iman Sejati .... adalah melalui Jalan Ma'rifat yang dipimpin oleh Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar).  Dengan menyertai Jalan Ma'rifat dan berpegang teguh kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, seseorang mampu sempurnakan kewajipan Solawat kepada Baginda ﷺ dengan berkesan menepati Kehendak Allah. 


(3) Mereka yang belum bertemu dengan seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar), perlu berusaha keras melatih diri dengan membanyakkan Zikrullah dan Solawat, mudah-mudahan hati mereka menjadi lembut dan mudah menjawab Solawat atas Baginda ﷺ tanpa halangan dan tanpa gangguan Syaitan yang sentiasa menghalang daripada ibadah, Keimanan dan Ketaqwaan.


(4) Turut serta di dalam Majlis-majlis solawat umum dan majlis-majlis lain yang memuliakan Rasulullah ﷺ juga akan mempermudahkan menyebut Solawat atas Baginda ﷺ.


SIRI 497 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 60:

Caci maki Masa ( سُبُّوا الدَّهْرَ )

=====================



Definisi-definisi penting

==================


Definisi Ad-dahr ( الدَّهْرَ ), masa:


Dari segi bahasa:

Terdapat berbagai pendapat pakar bahasa, matematik dan sains.


Pakar bahasa:

Masa adalah waktu, zaman, 


Pakar matematik:

Masa adalah apa yang ditunjukkan oleh jarum jam, minit dan saat  (jam convensional) atau angka digital menunjukkan jam, minit, saat (pada jam digital moden)


Pakar fizik:

Masa merupakan suatu entiti fizikal nyata yang wujud akibat perubahan dinamik sistem kuantum.


Pendapat-pendapat yang lain:

■ Masa, Ad-dahr ( الدَّهْرَ ) adalah tempoh pergerakan sesuatu.


■ Masa, Ad-dahr ( الدَّهْرَ ) adalah kejadian yang telah lalu, sedang berlaku dan kejadian akan datang.


■ Masa, Ad-dahr ( الدَّهْرَ ) adalah suatu kejadian, suatu proses, suatu tindakan, perbuatan, keadaan, hal ehwal alam.


■ Masa, Ad-dahr ( الدَّهْرَ ) adalah entiti (kejadian) yang diukur dengan "saat", "minit", "jam", "hari", "tahun", "dekad", "abad" "alaf"



Dari segi istilah:


Di sini juga terdapat beberapa pendapat:


(1)  Masa, Ad-dahr ( الدَّهْرَ ) adalah peredaran cakerawala — planet, matahari, bulan, bintang di alam semesta.


(2)  Masa, Ad-dahr ( الدَّهْرَ ) diam atau bergeraknya sesuatu.


(3) Masa, Ad-dahr ( الدَّهْرَ ) adalah makhluq Allah yang ajaib, rahsia yang sentiasa baharu, tidak kembali lagi selama-lamanya, setelah ia berlalu.



Definisi Subbud-dahr ( سُبُّوا الدَّهْرَ ):


Adalah perbuatan mencela, caci maki, menghina, mengutuk "masa".


SIRI 498 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar 60:

Mencela, Mencaci Masa  ( سُبُّوا الدَّهْرَ )

.....sambungan......


Penjelasan

========


(1) "Masa" adalah Ciptaan Allah yang sangat unik, ajaib dan membingungkan kebanyakan manusia.  Ahli Sains sejak dahulu sampai sekarang cuba mencipta berbagai teori, teorem, hipotisis...namun tiada jawapan kepada persoalan-persoalan mereka. 


(2) Orang awam tidak mengetahui hakikat "masa" dan "Rahsia kewujudan "masa".  Hanya hamba-hamba Pilihan Allah dari kalangan Ahli Ma'rifat mengetahuinya.


(3) Orang-orang jahiliyah mempercayai "masa" berkuasa menentukan sesuatu.  Ketika ditimpa suatu musibah, mereka menyumpah-nyumpah dan caci maki kepada "masa".  Mereka itu tersangat bodoh kerana "masa" hanyalah makhluk Allah yang tiada kuasa apa-apa dan hanya menurut Ketentuan Allah Ta'ala Yang Maha Mentadbir dan Mengatur segala sesuatu.


(4) Barangsiapa mencerca, mencela, caci maki, menghina atau mengutuk "masa", maka dia telah menjatuhkan diri ke dalam kebinasaan, berdosa besar, bahkan kufur kerana "mencaci  maki masa" adalah pada hakikatnya mencaci maki Allah yang Menciptakannya. 


(5) Tiga golongan menghadapi persoalan "masa":


Pertama:  

Mengakui dan meyakini "masa" itu adalah makhluq Ciptaan Allah yang sentiasa menurut Perintah-Nya.  Mereka menyempurnakan haq-haq waktu menurut Perintah Allah dan Rasul-Nya serta sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah yang mewarisi Nabi zahir dan batin. Inilah orang yang beriman dan mereka termasuk Ahlus Sunnah yang benar.


Kedua:

Mengakui "masa" itu Ciptaan Allah tetapi tidak menunaikan haq-haq waktu yang diwajibkan oleh Allah Ta'ala.  Apabila mereka gagal mencapai sesuatu atau apa yang terjadi berlainan dari cita-cita mereka, mereka salahkan "masa" dengan ungkapan buruk, caci maki, menghina "masa".  Mereka ini golongan fasiq.


Ketiga:

Mereka menganggap "masa" itu makhluq jahat yang membawa keburukan, kesialan dan kesusahan hidup.  Apabila tertimpa suatu musibah, mereka segera salahkan masa kerana pada sangkaan mereka, "masa" yang menentukan sekalian yang terjadi di dunia.  

Golongan ini tidak percaya wujudnya hari Qiamat  dan Hari Kebangkitan, kata mereka :

"Yang wujud hanyalah "masa" yang menghidupkan dan mematikan." Mereka inilah golongan kafir. 


(6) Orang Islam yang mempercayai "masa" mempunyai kuasa menghidupkan dan mematikan atau meyakini "masa" mempunyai kuasa menimpakan mudarat kepada manusia atau kepada dunia, telah melakukan dosa Syirik hati yang amat besar.


(7) Orang yang percaya "masa" mampu berikan manfaat dan menolak mudharat, maka orang ini telah melakukan Syirik.


Berkata Imam Al-Haythami Radhiallahu anhu:

"Percelaan atau kutukan terhadap masa meliputi siang dan malam, boleh menyebabkan kufur. Sesuatu yang membawa kepada kekufuran, hukum paling ringan adalah dosa besar.  Orang Arab (jahiliyyah) apabila ditimpa sesuatu bencana atau dia tidak mencapai sesuatu yang dia harapkan, dia mencaci masa, dengan keyakinan bahawa "masa" itulah yang menyebabkan kecelakaan."

[Az-Zawajir]


SIRI 499 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 60:

Mencela, Mencaci Masa  ( سُبُّوا الدَّهْرَ )

.....sambungan......



Dalil-Dalil

=========


Dalil 1: Firman Allah


وَقَالُواْ مَا هِىَ إِلَّا حَيَاتُنَا ٱلدُّنۡيَا نَمُوتُ وَنَحۡيَا وَمَا يُہۡلِكُنَآ إِلَّا ٱلدَّهۡرُ‌ وَمَا لَهُم بِذَٲلِكَ مِنۡ عِلۡمٍ‌ إِنۡ هُمۡ إِلَّا يَظُنُّونَ


"Dan mereka berkata: Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini.  Kita mati dan kita hidup (silih berganti) dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman (masa). Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata ."

[Al-Jathiah (45) : Ayat 24]


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Dan mereka, (orang-orang yang mengingkari kehidupan setelah mati, di alam kubur dan ingkari kehidupan di Akhirat) berkata : "Kehidupan ini tidak lain, melainkan kehidupan di dunia saja di mana kita mati dan kita hidup di dalamnya, tidak ada tempat bagi kita melainkan dunia.  Dan singkatnya tidak ada yang membinasakan kita dan tidak ada yang mematikan kita selain masa (orang-orang kafir ini mempercayai masa itulah yang mematikan dan mendatangkan bencana)."

[Al-Jathiah (45) : Ayat 24]


Berkata Imam Qurtubi Rahiallahu anhu:

"Orang jahiliah Arab berkata: "Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia, kita hidup dan kita mati."  Mereka ingkar terhadap hari kebangkitan dan ingkar terhadap hari pembalasan di Akhirat.  (Menurut anggapan kafir jahiliah, hidup dan mati hanyalah suatu proses perubahan yang silih berganti ruh berganti jasad, dari satu jasad kepada jasad lain. Fahaman ini dianuti oleh Buddha, Hindu dan setengah puak Kristian - pent.)


Ibnu Uyainah berkata,"Orang-orang jahiliyah dulu berkata,"Masa adalah sesuatu yang binasakan kita dan dia pula yang menghidupkan kita dan matikan kita, maka turun ayat ini."


Abu Hurairah meriwayatkan dari Nabi ﷺ, Baginda bersabda;

"Orang-orang jahiliyah dulu  berkata, "Tidak ada yang akan membinasakan kita selain malam  dan siang.  Itulah yang akan membinasakan kita, mematikan kita, dan menghidupkan kita."  Oleh sebab itulah mereka memaki masa.  Allah Ta'ala berfirman; "Akan menyakiti-Ku manusia yang memaki masa, dan Aku-lah masa. Di dalam kekuasaan-Ku lah semua urusan.  Aku-lah yang menggantikan siang dan malam."


Menurut saya (AI-Qurtubi), Sabda Rasulullah ﷺ, "Allah berfiman...,"  merupakan redaksi dan lafaz Bukhari. 


Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Dawud. Sementara di dalam Muwatta, diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: 

" Janganlah sesekali salah seorang dari kamu berkata, "Wahai masa yang membinasakan" kerana sesungguhnya Allah adalah (Yang Menguasai dan Mengatur) masa."

[Tafsir Qurtubi]



Poin-poin penting dari tafsiran Ulama:



1. Orang-orang jahiliyyah tidak percaya wujud Hari Qiamat, hisab dan pembalasan.


2. Orang jahiliyyah meyakini "masa" yang menentukan kebahagiaan dan kecelakaan, hidup dan mati.


3. Ketika terjadi suatu musibah, orang jailiyyah segera menyumpah dan caci maki "masa" kerana mereka anggap "masa" itu menyebabkan kecelakaan.


4. Setengah orang Islam anggap Ad-dahr (masa) itu Sifat Allah. Pendapat ini tidak benar dan keliru kerana "masa" adalah Ciptaan Allah iaitu makhluq.  Sedangkan Sifat Allah adalah Qadim, iaitu setiap suatu yang dinisbahkan kepada Allah yang tiada permulaan baginya.  


5.  Ada pun Hadith Qudsi yang menyebut : "Allah adalah masa" adalah bermaksud : "Allah Menguasai Masa"


SIRI 500 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 60:

Mencela, Mencaci Masa  ( سُبُّوا الدَّهْرَ )

.....sambungan......



Dalil 2: Hadith Qudsi:

Rasulullah ﷺ bersabda, Allah Berfirman:


قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: يُؤْذِينِي ابْنُ آدَمَ يَسُبُّ الدَّهْرَ وَأَنَا الدَّهْرُ، بِيَدِي الأَمْرُ أُقَلِّبُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ


“Allah ‘Azza wa Jalla berfirman, “Anak Adam telah menyakiti-Ku (kerana) dia suka mencela waktu (masa).  Padahal Aku-lah Maha Pencipta masa.  Aku-lah yang menggilir antara siang dan malam”.

[Imam Bukhari, Imam Muslim]


Dalil 3: Hadith Qudsi:

Rasulullah ﷺ bersabda, Allah Berfirman:


لَا تَسُبُّوا الدَّهْرَ، فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ: أَنَا الدَّهْرُ، الْأَيَّامُ وَاللَّيَالِي لِي، أُجَدِّدُهَا وَأُبْلِيهَا، وَآتِي بِمُلُوكٍ بَعْدَ مُلُوكٍ


“Janganlah kamu mencela masa kerana Allah berfirman, “Aku adalah masa, malam dan siang adalah milik-Ku, Aku menjadikannya baru dan berlalu, dan Aku mengganti para raja dengan para raja yang baru”. “

[Imam Ahmad]


Dalil 4: Rasulullah ﷺ bersabda:


لاَ تَسُبُّوا الدَّهْرَ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ الدَّهْرُ


"Janganlah kamu mencela masa kerana sesungguhnya Allah adalah (Menguasai, Mentadbir, Mengurus) masa.”

[Imam Muslim]


Dalil 5: Rasulullah ﷺ bersabda:


لا يَقُولَنَّ أحَدُكُمْ يا خَيْبَةَ الدَّهْرِ، فإنَّ اللَّهَ هو الدَّهْرُ


“Janganlah seseorang dari kamu berkata: "ini waktu yang sial", kerana Allah adalah masa.”

[Imam Muslim]



Imam An Nawawi Radhiallahu anhu berkata:

“Pengertian kalimat "Allah adalah masa" adalah:  Allah yang Mentaqdirkan sekalian peristiwa yang terjadi dan Allah adalah Pencipta sekalian kewujudan” 

[Syarah Shahih Muslim]


Sebagaimana kami jelaskan terdahulu, _Asbab al-wurud_  (Sebab-sebab terbit hadith dari Rasulullah ﷺ,)   ini adalah, orang-orang Arab jahiliyyah ketika itu mencaci maki "masa" ketika ditimpa bencana atau suatu musibah, seperti kematian, kemusnahan harta benda, bencana alam dan sebagainya dengan ungkapan ... "celakanya waktu ini", "sial sungguh masa" atau "buruknya masa" dan lain-lain sepertinya berupa cacian dan makian kerana pada anggapan mereka semua kejadian buruk yang menimpa datang dari "masa" atau semua kecelakaan dibuat oleh "masa".  Maka Rasulullah ﷺ menempelak perbuatan dan perkataan mereka dengan Sabda Baginda : "janganlah sekali-kali kamu mencaci-maki masa, kerana cacian itu akan tertuju kepada Allah Ta'ala  yang Maha Pencipta dan Pengatur masa tersebut.  Pada hakikatnya "masa" hanyalah makhluq Allah yang tiada memiliki sebarang kuasa. "Masa" akan menurut Perintah Allah Ta'ala Yang Maha Bijaksana, Yang Maha Mengatur setiap sesuatu di Alam Semesta Menurut Kehendak-Nya.


Bersambung siri 501 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...