■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
■■■■■■■■■■■■■■■■■
SIRI 291 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 38:
Meremehkan Dosa
.....sambungan....
Dalil 4 : Rasulullah ﷺ bersabda:
“Berhati-hatilah kalian terhadap dosa kecil, sebab jika ia berkumpul dalam diri seseorang, ia akan membinasakannya.”
[Imam Ahmad]
Dalil 5 : Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam”
[Imam Ibn Majah]
Dalil 6 : Hadith Rasulullah ﷺ:
“Dari Ibnu ‘Abbas Radhillahu anhuma bahawa Rasulullah ﷺ ditanya tentang dosa besar. Lalu Baginda bersabda : “Menyekutukan Allah, putus asa dari Rahmat Allah, dan merasa aman dari Makar (muslihat dan hukuman) Allah.”
[Imam Ath-Thabrani]
Dalil 7 : Rasulullah ﷺ bersabda:
“Wahai Aisyah, takutlah engkau terhadap dosa-dosa kecil, kerana ia akan dimintai pertanggungjawaban di hadapan Allah.”
[Imam Ad-Darimi]
Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:
Enam sebab dosa kecil boleh berubah menjadi dosa besar:
(1) Seseorang melakukan dosa kecil terus-menerus (tanpa taubat)
(2) Meremehkan dosa yang dilakukannya.
(3) Merasa gembira dan bangga melakukan dosa.
(4) Tidak menghargai dosanya yang ditutup oleh Allah
(5) Berbuat dosa terang-terangan di hadapan orang lain
(6) Dosa diperbuat oleh Ulama atau pemimpin yang dijadikan tauladan
[Ihya Ulumuddin]
Penjelasan tambahan:
(1) Seseorang yang telah melakukan dosa kecil lalu menganggapnya sebagai perkara biasa, maka sesungguhnya dia telah berbuat dosa besar. Bahkan dia boleh jatuh kepada kekufuran kerana menganggap Larangan Allah sebagai perkara main-main.
(2) Jika seseorang telah melakukan suatu dosa (sama ada dosa besar atau dosa kecil) dan tidak sedikit pun rasa bersalah dan tidak tergerak hatinya untuk memohon ampun kepada Allah, maka dia berbuat dosa besar. Perlakuan ini bererti hatinya mula keras kibat berbagai penyakit hati yang serius.
(3) Seseorang yang melakukan maksiat dan bergembira dengannya, maka dia telah melakukan dosa besar. Bahkan perlakuan ini membawa kepada kekufuran.
(4) Seseorang yang tahu perkara yang menjadi kewajipan atasnya, (misalnya menuntut ilmu yang fardhu ain, memelihara aurat, menjaga pergaulan dan lain-lain) namun dia sengaja abaikannya atau memandangnya sebagai perkara remeh, maka dia telah melakukan dosa besar.
(5) Seseorang yang mendedahkan kepada umum akan segala maksiat yang pernah dilakukannya pada masa lampau, maka ini dosa besar yang sangat besar. Ini juga tanda bahawa dia belum taubat atau belum diterima taubatnya.
(6) Seseorang yang melakukan suatu maksiat lalu berbangga-bangga dengan nya, maka dia telah melakukan dosa besar. Bahkan perbuatan ini adalah kekufuran dan penentangan yang nyata terhadap Allah.
(7) Pemimpin atau ketua yang menganjurkan perhimpunan maksiat jatuh kepada dosa besar. Semua dosa pengikutnya akan terpalit kepadanya.
SIRI 292 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 38:
Meremehkan Dosa
.....sambungan....
Contoh-Contoh
===========
Contoh 1: Meremehkan dosa abaikan Toriqat - Tasawwuf
Di antara penyakit besar Ummat Islam pada zaman ini adalah memandang remeh Toriqat dan Tasawwuf, bahkan ada yang sampai mencemuh, menghina, mengejek dan melemparkan berbagai tuduhan keji dan fasiq. Semua ini kecelakaan. Wal Iyazubillah.
Bacalah dan dengarlah baik-baik, moga Allah Ta'ala masukkan Cahaya-Nya ke dalam hati kamu....!
Toriqat - Tasawwuf adalah Cabang Ilmu yang menjelaskan hal ehwal hati manusia, berkenaan penyakit-penyakit hati manusia, berkenaan dosa-dosa hati manusia yang menjerumuskannya kepada dosa-dosa besar, kefasikan dan kekafiran.
Toriqat dan Tasawwuf menjelaskan cara-cara kamu memerangi nafsu jahat, bisikan Iblis, dunia dan makhluq yang sentiasa berusaha menyesatkan kamu.
Toriqat dan Tasawwuf menjelaskan cara-cara menyucikan hati kamu daripada syirik tersembunyi yang membinasakan sekalian amal ibadah dan melumpuhkan IMAN kamu.
Tanpa mempelajari Ilmu Tasawwuf dan amalkannya menurut disiplin Toriqat dengan bimbingan Mursyid Pewaris Nabi yang benar-benar Arif, kamu akan sentiasa bergelumang di dalam kesyirikan (syirik khafi) — Takabbur, 'Ujub, Riya'dan Sum'ah. Hati kamu sentiasa akan terumbang-ambing di antara keimanan dan kesyirikan. Kamu akan terjerumus ke dalam dosa-dosa besar yang kamu tak sedari. Nafsu dan Syaitan sentiasa menarik kamu kepada kesesatan. Solat kamu dan ibadat kamu penuh dengan riya' dan kelalaian. Bahkan Iman kamu di ambang kehancuran akibat terus-menerus melakukan kesyirikan (syirik hati)
Apabila akibatnya sedemikian rupa, maka mana mungkin kamu memandang remeh Toriqat dan Tasawwuf? Dan mana mungkin kamu memandang remeh dosa abaikan Toriqat dan Tasawwuf?
Barangsiapa memandang remeh hal ehwal hati, penyakit hati, syirik khafi dan sekalian perkara yang membinasakan Ibadah serta melumpuhkan Tauhid ini, maka sesungguhnya dia telah terpedaya dengan bisikan Iblis yang menarik dia kepada kesesatan. Wal Iyazubillah.
Imam Ghazali Radhiallahu anhu (Mujaddid Kurun ke-5 Hijriyyah) berkata :
"Sesiapa yang tidak mendapat bahagian di dalam Ilmu kaum Sufi (Tasawwuf dan Toriqat), maka ditakuti mati terkekang lidah (tiada dapat mengucap Kalimah)."
[Ihya Ulumuddin]
Berkata Imam Fakhruddin Ar-Razi Radhiallahu anhu (Mujaddid Kurun ke-6 Hijriyyah) :
“Seorang murid tidak memiliki jalan untuk sampai ke maqam-maqam hidayah dan Mukasyafah, kecuali dia mengikuti Mursyidnya (Pewaris Nabi yang Siddiq) yang menunjukkannya ke jalan yang lurus serta menghindarkannya dari titik-titik kesalahan dan jalan yang sesat.”
[Tafsir Mafatih Al-Ghaib]
Imam Abu Hassan Asy-Syazili Radhiallahu anhu berkata :
"Barangsiapa yang tiada masuk dan mengetahui akan ilmu ini ya'ni Ilmu Tasawwuf (melalui seorang Mursyid), nescaya dia mati di dalam keadaan mengekalkan dosa-dosa besar tanpa diketahuinya.”
[Nukilan Imam Ghazali didalam Ihya Ulumuddin]
Imam Malik Radhiallahu Anhu berkata :
“Sesiapa yang mempelajari ilmu fiqh tanpa mengamalkan Tasawwuf, maka dia telah menjadi fasiq. Dan sesiapa yang mengamalkan Tasawwuf tanpa mempelajari ilmu fiqh, maka dia telah menjadi zindiq. Dan sesiapa yang menggabungkan antara kedua-duanya, maka itulah kebenaran."
[Nukilan Imam Ghazali didalam Ihya, Imam Zarruq di dalam Qawaid Tasawwuf, Imam Qusyairi di dalam Risalah Qusyairiyah, Imam Asy-Sya'rani]
Amaran sekalian Imam-Imam Ahlus Sunnah bertaraf MUJADDID dan MUJTAHID ini cukup untuk menggambarkan beratnya dosa abaikan Tasawwuf dan Toriqat serta pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. Maka memandang remeh dosa meninggalkannya adalah dosa besar yang terlebih besar dan berganda-ganda besarnya. Wal Iyazubillah.
SIRI 293 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 38:
Meremehkan Dosa
.....sambungan....
Contoh 2: Menceritakan ma'siat waktu muda
Di antara maksud meremehkan dosa adalah seorang yang sudah lanjut usia menceritakan kembali ma'siat-ma'siat yang pernah dilakukan waktu mudanya. Atau seseorang yang melakukan ma'siat secara senyap lalu menceritakannya kepada orang lain. Ini dosa besar kerana membuka aib atau suatu dosa yang telah ditutupi oleh Allah adalah dosa besar.
Rasulullahﷺ bersabda:
"Setiap Ummatku di Kurniakan Keampunan melainkan golongan " الْمُجَاهِرِينَ " al-mujahirin (zahirkan dosa yang tertutup). Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.
[Imam Bukhari]
Contoh 3: Seorang bapa membiarkan anak-anak melakukan ma'siat kerana dia juga pernah melakukan ma'siat yang sama
Seorang bapa yang mendapat tahu bahawa anaknya terlibat di dalam berbagai maksiat berkata : "Tak apa dia muda lagi. Saya dulu pun buat maksiat macam tu."
Ini dosa besar. Bahkan orang yang berkata demikian belum bertaubat lagi daripada dosa-dosanya yang lalu. Ini kerana syarat sah Taubat Nasuha adalah 7 perkara :
1) Berhenti dari melakukan ma'siat
(2) Menyesal sungguh-sungguh
(3) Berjanji tidak akan ulangi lagi
(4) Gantikan segala haq Allah yang luput
(5) Gantikan sekalian hak insan yang teraniaya
(6) Taubat di dalam tempoh yang diharuskan
(sebelum nyawa sampai halqum dan sebelum matahari terbit dari Barat)
(7) Ikhlas bertaubat
Contoh 4 : Wanita mendedahkan 'aurat terus-menerus
Wanita-wanita yang dedahkan 'aurat melakukan dosa besar bahkan dosanya berpanjangan kerana terus-menerus melakukan dosa tersebut. Termasuk di dalam maksud mendedahkan 'aurat adalah wanita-wanita yang berpakaian tetapi masih terdedah 'auratnya seperti berpakaian ketat, menampakkan warna kulit, menampakkan bentuk dada dan punggung, menampakkan betis dan sebagainya.
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Dua golongan dari ahli neraka, yang belum pernah aku lihat mereka, (iaitu) satu kaum yang memiliki pemukul, seperti ekor lembu, yang mereka gunakan untuk memukul orang dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, wanita yang mudah dirayu atau suka merayu, rambut mereka bagaikan pundak unta, mereka tidak akan memasuki syurga, bahkan tidak akan dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga dapat dicium dari jarak yang jauh.”
[Imam Muslim]
SIRI 294 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 38:
Meremehkan Dosa
.....sambungan....
Contoh 5: Membanding-bandingkan beberapa dosa
Orang yang berkata : "Saya buat dosa ini bukan besar mana pun. Tidaklah sampai membunuh atau berzina." Orang yang mempunyai anggapan demikian melakukan dosa besar. Ini kerana setiap dosa sama ada besar atau kecil adalah penderhakaan kepada Allah. Jangan sesekali berani berbuat dosa kerana membanding-bandingkannya dengan dosa besar yang lain. Apabila seseorang memandang kecil suatu dosa kerana membandingkannya dengan dosa lebih besar, maka dia telah melakukan dosa besar.
Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:
"Dosa besar itu tujuh sampai sekitar tujuh ratus, Hanya tidak ada dosa besar disertai dengan istighfar (Taubat Nasuha) dan tidak ada dosa kecil bila dikerjakan dengan terus-menerus."
[Imam At-Thabrani — nukilan Imam Haythami didalam Al-Zawaajir]
Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:
"Di antara sebab-sebab sesebuah dosa kecil menjadi dosa besar adalah memandang enteng sesebuah dosa (meremehkan dosa).
[Ihya Ulumuddin]
Contoh 6: Meremehkan Ilmu Fardhu 'Ain
Menurut pendirian Ahlus Sunnah, menuntut ilmu fardhu 'Ain adalah wajib.
Pada zaman ini, ramai orang Islam mengamalkan Islam secara ikut-ikutan, bukan memahaminya dengan cara talaqqi menghadap Guru.
Misalnya mereka mengerjakan solat berpandukan "cara solat kanak-kanak" yang mereka pelajari ketika di sekolah rendah atau menengah. Sedangkan cara ini tidak menepati syarat dan rukun solat, ertinya tidak sah solat.
Menurut pengalaman kami membimbing orang-orang Islam di dalam "Kursus Murnikan Cara Solat", kami dapati hampir semua peserta tidak mengetahui dan memahami syarat-syarat dan rukun Solat dengan betul. Bahkan Rukun pertama solat pun sudah tunggang langgang. Inilah buktinya ramai sekali orang Islam mengerjakan solat dengan "cara solat kanak-kanak" yang mereka pelajari dahulu. Mereka tak pernah mentelaah cara solat yang sempurna menurut syarat dan rukun solat dengan jalan menghadap Guru.
Demikian lagi mereka tidak mengetahui rukun Iman dengan tepat menurut Ahlus Sunnah, khususnya bab Taqdir Qadha dan Qadar, sedangkan kenyataannya ramai sekali orang alim pun jatuh kepada Golongan sesat — Syi'ah (rafidhi), Khawarij (wahhabiyyah), Mu'tazilah, Jabariyyah, Mujassimah dan lain-lain berjumlah 72 Golongan akibat dari tidak memahami Bab Taqdir — Qadha dan Qadar.
Semua ini berpunca dari tidak menuntut Ilmu fardhu 'Ain dan tidak mengambilnya dari Guru yang benar-benar Arif, Guru Pewaris Nabi yang siddiq, yang benar-benar menepati Syaratnya.
Orang yang meremehkan Ilmu Fardhu Ain jatuh kepada beberapa bahaya dosa besar :
Bahaya pertama: Ibadahnya tidak sah
Bahaya kedua: Jatuh kepada kelompok sesat tanpa disedarinya.
Bahaya ketiga: Meremehkan ilmu fardhu Ain itu sendiri merupakan dosa besar.
Semua ini bermaksud orang yang meremehkan ilmu Fardhu Ain melakukan dosa besar berterusan sepanjang hidupnya.
SIRI 295 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 38:
Meremehkan Dosa
.....sambungan....
Contoh 7: Wanita Pamerkan diri di internet
Ramai sekali wanita Muslimah berlumba-lumba mempamerkan wajah dan kecantikan mereka di berbagai media internet — Facebook, Whats up, Tele, Tweet dan lain-lain. Sebahagian mereka mempamerkan diri dengan berbagai gaya yang menggiurkan nafsu lelaki. Mereka memandang remeh dosa mempamerkan tubuh mereka di internet.
Contoh 8 : Pemimpin anjurkan pesta tari - menari
Pemimpin Negara atau pemimpin masyarakat atau Guru Besar sekolah atau ketua-ketua Jabatan mengadakan pesta tari menari campur lelaki dan wanita dianggap sebagai perkara biasa sedangkan ia merupakan dosa besar. Sebagaimana kami nukilkan fatwa Ulama Ahlus Sunnah, sesebuah kemungkaran yang kecil akan menjadi dosa besar apabila ianya dianjurkan oleh Ulama atau Pemimpin yang dijadikan contoh tauladan dan ikutan.
Contoh 9: Orang kaya atau orang berpangkat terus-menerus berbuat kemungkaran dan kezaliman dengan sangkaan dia di Kasihi Allah
Hal ini benar-benar terjadi di kalangan orang Islam sejak dahulu sehingga ke zaman ini. Mereka bergelumang di dalam berbagai kerja kefasikan, kemungkaran dan kezaliman tetapi Allah tetap berikan mereka kekayaan sehingga mereka menjadi sombong.
Mereka menyangka mereka di Kasihi Allah kerana terus-menerus menerima limpahan kekayaan, sehingga sering berkata begini : "Tuhan bagi aku menjadi kaya-raya dan mewah sebab dia Kasih padaku. Sedangkan kamu semua miskin papa kedana kerana Tuhan Murka dengan kamu."
Itu sangkaan mereka, sedangkan hakikatnya mereka telah terkena _istidraj_. Allah Ta'ala membiarkan mereka bermain-main di dalam kekufuran dan kezaliman sehingga nyawa mereka disentap dengan sekali sentap. Wal Iyazubillah.
Firman Allah تَعَالَى :
فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ
"Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)."
[Al-An'am (6) : Ayat 44]
Rasulullah ﷺ bersabda:
Dari ‘Uqbah bin ‘Amir Radhiallahu anhu, Rasulullah ﷺ bersabda: “Bila kamu melihat Allah Ta'ala Mengurniakan pada hamba (kemewahan, kekayaan, kenikmatan) dunia yang diinginkannya, padahal dia terus melakukan ma'siat (kekufuran, kefasikan, kezaliman) kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahwa yang demikian itu adalah _istidraj_ dari Allah (kelangsungan atau Kurnia Allah di dalam Kemurkaan-Nya).” Kemudian Rasulullah ﷺ membaca Firman Allah : , فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ
[Al-An'am (6) : Ayat 44] “Maka tatakala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)."
[Imam Ahmad, Imam At-Thabarani, Imam Baihaqi]
SIRI 296 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 38:
Meremehkan Dosa
.....sambungan....
Contoh 10 : Murid engkar kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Sebahagian murid (pada Jalan Ma'rifat) engkar kepada Gurunya kerana menganggap dirinya yang benar dan Gurunya salah. Murid ini tidak langsung berasa bersalah sebaliknya megah dengan perbuatannya. Perbuatan murid ini menghantarkan dia kepada dosa besar yang amat berat dan terkena istidraj. Wal Iyazubillah.
Terdapat kisah yang terjadi kepada Rasulullah ﷺ sendiri untuk dijadikan i'tibar. Seorang Islam yang bernama Zul Khuwaishirah menentang Nabi dengan kata-kata yang amat biadab.
Hadith Rasulullah ﷺ :
“Dari Abu Sa'id Al Khudriy Radliallahu anhu, beliau berkata; "Ketika kami sedang bersama Rasulullah ﷺ yang sedang membahagi-bahagikan (harta rampasan perang Hunain), datanglah Zul Khuwaishirah, seorang laki-laki dari Bani Tamim, lalu berkata; "Wahai Rasulullah, berlaku adillah.” Maka Baginda ﷺ berkata: "Celaka kamu!. Siapa yang mampu berbuat adil kalau bukan aku yang berbuat adil. Sungguh kamu telah mengalami keburukan dan kerugian jika aku tidak berbuat adil". Kemudian 'Umar berkata; "Wahai Rasulullah, izinkan aku untuk penggal batang lehernya!. Sabda Baginda ﷺ : "Biarkanlah dia, kerana dia memiliki teman-teman yang salah seorang dari kalian dipandang remeh solatnya dibanding solat mereka, puasanya dibanding puasa mereka. Mereka membaca Al Qur'an namun tidak sampai ke tenggorokan mereka. Mereka keluar dari agama seperti keluar anak panah dari sasarannya (haiwan buruan).”
[Imam Bukhari]
Zul Khuwaishirah adalah pelopor kaum Khawarij (wahhabiyyah, Najdiyyah, kaum muda pada zaman ini). Daripada dia lahir golongan Khawarij yang memerangi Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah.
Golongan Khawarij sentiasa menganggap diri mereka benar dan orang lain semuanya salah. Mereka halalkan darah kaum Muslimin dan memerangi sekalian Ulama Ahlus Sunnah.
Inilah kebodohan kaum Khawarij yang menghantarkan mereka kepada kesesatan. Mereka tertipu dengan ibadah mereka yang banyak. Mereka sombong dengan ilmu dan ibadah mereka yang sedikit sehingga berani melawan Rasulullah ﷺ sendiri. Sesungguhnya kaum Khawarij adalah golongan yang tertawan oleh Iblis La'natullah.
Demikian juga sebagai i'tibar.... murid yang menentang Pewaris Nabi yang Siddiq adalah tertipu masuk ke dalam perangkap Iblis La'natullah. Bahkan mereka terkena istidraj, dan hati akan menjadi gelap. Hati mereka tertutup dari Cahaya Ilahi, maka tidaklah mereka memperoleh Tauhid yang hakiki.... kecuali mereka Taubat segera dan kembali kepada kesucian hati.
Imam Al-Haythami Radhiallahu anhu berkata:
"Barangsiapa membuka pintu-pintu mengkritik (engkar) akan Shaikh Mursyidnya dan perlakuan Gurunya itu, maka murid itu akan menerima hukuman dan terhijab dari mendapat limpahan keruhanian dan ilmu Ketuhanan. Barangsiapa berkata kepada Mursyidnya "kenapa" tidak akan berjaya selama-lamanya."
[Fataawa Al-Hadithiyyah]
Maksud fatwa Imam Haythami adalah :
Murid yang bertanya "kenapa" kepada Mursyidnya dengan maksud "bantahan" atau "penentangan".
SIRI 297 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 38:
Meremehkan Dosa
.....sambungan....
Penjagaan dan Rawatan
=================
(1) Sesungguhnya di dalam diri setiap manusia wujud dua macam kuasa yang mempengaruhi arah perjalanannya. Pertama Kuasa Kebaikan yang datang dari "hakikat insan" yang jauh di dalam hati yang suci bersih. Kedua Kuasa Kejahatan yang datang dari tiupan nafsu-nafsu jahat, syaitan, dunia dan makhluq. Maka beruntunglah siapa yang sucikan hatinya dan mengikut seruan suci dari hati yang suci. Dan merugilah siapa-siapa yang mengotori hati dengan mematuhi seruan syaitan dan nafsu-nafsu kejahatan.
(2) Cara-cara sucikan hati diterangkan oleh sekalian Masyaikh melalui kitab mereka dan waris mereka yang hidup, iaitu Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, yang Allah Ta'ala Zahirkan pada setiap zaman — sepanjang zaman sampai Qiamat. Setiap Muslim wajib mengambil ilmu dari mereka dan menyucikan batin mereka sehingga menjadi hamba-hamba yang di Redhai Allah.
Orang yang tidak menemui Pewaris Nabi yang Siddiq untuk mengambil rawatan dan penawar bagi segala penyakit zahir dan batin, akan tinggal di dalam hati yang kotor, keji dan syirik. Sejarah kemanusiaan membuktikan hal ini. Wal Iyazubillah.
(3) Manusia yang berdosa yang paling baik adalah mereka yang segera bertaubat dan sentiasa bertaubat mohon keampunan Allah. Sebaliknya mereka yang sewenang-wenang melakukan dosa dan keras hati untuk bertaubat adalah manusia yang tertipu dengan angan-angan.
(4) Jangan sesekali pandang remeh mana-mana dosa sekalipun, meski pun dosa paling kecil, kerana setiap dosa adalah penentangan kepada Allah. Sebaliknya anggaplah setiap dosa sebagai sebuah gunung yang besar dan sedia menimpa kamu.
(5) Orang kaya, hartawan, jutawan, berpangkat, Raja, Sultan, Perdana Menteri, Pegawai-pegawai yang hidup mewah serta melakukan berbagai kefasikan dan kezaliman, jangan sesekali merasa aman dari Azab Allah. Jangan kamu menyangka kamu memperoleh kesenangan duniawi kerana Allah Kasih kepada kamu sedangkan ia adalah Istidraj. Yang benar adalah : Allah Ta'ala biarkan kamu didalam kemungkaran dan dosa-dosa kamu sehingga sampai masanya Allah Ta'ala menyentap nyawa kamu dengan sekali sentap sedang kamu mati di dalam kezaliman. Wal Iyazubillah.
(6) Dosa berkaitan dengan HATI terlebih banyak dan terlebih besar berbanding dosa zahir, tetapi kebanyakan orang Islam tidak menyedarinya. Mereka yang menyedari bahaya DOSA HATI tidak mempedulikannya.
(7) Orang Islam yang abaikan Toriqat-Tasawwuf sentiasa menanggung dosa besar ; Dosa syirik di dalam hati, Dosa mazmumah (kekejian hati) dan ghaflah (kelalaian). Maka ditakuti mati di dalam keadaan menanggung dosa besar yang banyak sedang dia tidak menyedarinya. Wal Iyazubillah.
SIRI 298 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 39:
Puji Makhluq Tanpa Haq
======================
Definisi
=======
Menurut bahasa:
Puji ( مَدْحاً) berasal dari kata ( مَدَحَ - يَمْدَحُ - مَدْحاً ) adalah : pernyataan penghargaan, menghargai, pandang mulia, menyanjung, mengagungkan
Menurut istilah :
Pernyataan kesyukuran (terima kasih) atau ucapan penghargaan oleh seseorang kepada orang lain yang menjadi asbab dirinya memperoleh kebaikan atau kepada seseorang yang mempunyai kelebihan, dipandang mulia. Ada kalanya ucapan tersebut dengan ikhlas, jujur, tawadhu dan penuh Tauhid (keimanan) dan ada kalanya disertai pembohongan, tidak jujur, riya', syirik atau kufur.
Memuji makhluq tanpa haq:
Memuji makhluq tanpa haq adalah pujian seseorang kepada seseorang yang lain tanpa Tauhid (tanpa sandarkan pujian tersebut kepada Allah), atau pura-pura memuji dengan niat mencapai suatu kebendaan duniawi, atau memuji dengan kesombongan atau riya atau dengan niat jahat.
Penjelasan:
==========
(1) Menurut Ahlus Sunnah terdapat 4 macam pujian:
■ Puji Qadim bagi Qadim — Pujian Allah kepada Diri-Nya sendiri
■ Puji Qadim bagi hadith — Pujian Allah kepada hamba Pilihan-Nya — Rasul, Nabi dan Auliya Allah
■ Puji Hadith bagi Qadim — Pujian makhluq kepada Allah
■ Puji Hadith bagi Hadith — Pujian sekalian makhluq sesama mereka.
(2) Semua macam pujian pada hakikatnya kembali kepada Allah dan Milik Allah semata-mata kerana pada hakikatnya makhluq tiada memiliki apa-apa.
(3) Pujian yang dibicarakan di sini adalah Puji yang keempat, iaitu Puji makhluq bagi makhluq. Dengan demikian kita cuma akan fokus pada pujian makhluq kepada makhluq di dalam perbincangan ini.
(4) Puji makhluq bagi makhluq tidak mutlaq haram. Sebahagiannya harus bahkan disunnatkan apabila menepati syarat-syaratnya.
(5) Memuji Nabi kita Sayyidina Muhammad Rasulullah ﷺ , dan sekalian Nabi yang lain dan sekalian Auliya Allah yang masyhur nama mereka sebagai Kekasih Allah adalah termasuk pujian yang disunnatkan kerana memuliakan orang yang di Muliakan oleh Allah adalah Ibadah.
(6) Puji makhluq bagi makhluq boleh jadi haram, bahkan boleh jatuh syirik apabila melampaui ketentuan hukum yang ditetapkan oleh Ulama Ahlus Sunnah.
(7) Pujian tanpa Tauhid, iaitu pujian seorang kepada makhluq Allah yang lain tanpa menghubungkannya kepada Allah, jatuh kepada Syirik khafi. Misalnya seorang memuji bayi yang baru lahir kerana kecantikannya, tanpa menyandarkannya kepada Allah Yang Menciptakannya, maka ini Syirik khafi.
(8) Pujian seseorang kepada makhluq sehingga menyamakannya dengan Allah, maka jatuh murtad tanpa khilaf. Ini seperti yang dilakukan oleh sebahagian golongan Syi'ah terkeluar dari Agama.
(9) Orang yang mengharamkan terus pujian makhluq kepada makhluq lain adalah dia penentang Al-Qur'an Hadith dan Ijma' Ulama.
(10) Orang yang menuduh sesat kepada amalan memuji-muji Rasulullah ﷺ ketika bacaan Maulid atau Barzanji atau bacaan-bacaan Solawat lainnya, maka orang menuduh demikian itulah sebenarnya sesat dan di La'nat Allah kerana dia telah menentang Perintah Allah yang menyuruh Ummat Islam banyakkan pujian kepada Baginda.
Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu :
Pujian itu dilarang pada sebahagian tempat. Sekiranya seseorang itu berasa aman daripada beberapa keburukan di atas ini, sama ada pada yang memuji atau dipuji, maka tidak ada masalah pada pujian bahkan boleh jadi ia dituntut untuk melakukannya.
[Ihya Ulumuddin]
SIRI 299 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 39:
Puji makhluq Tanpa Haq
sambungan.......
Dalil-Dalil
========
Dalil Larangan memuji seseorang atau makhluq lain tanpa Tauhid menyertainya atau memuji berlebihan yang tidak layak bagi yang dipuji atau memuji dengan tujuan-tujuan menuntut habuan dunia, atau kerana riya', takabbur dan lainnya yang merosakkan hati.
Dalil 1 : Hadith Rasulullah ﷺ:
“Ada seseorang yang memuji orang lain di sisi Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Lalu Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Celaka kamu, kamu telah memenggal leher sahabatmu, kamu telah memenggal leher sahabatmu.” Kalimat ini diucapkan oleh Baginda berulang kali, kemudian Baginda bersabda,
“Siapa saja di antara kamu yang tidak boleh tidak harus memuji saudaranya, hendaklah dia mengucapkan, “Aku mengira si fulan (itu demikian), dan Allah-lah yang lebih tahu secara pasti kenyataan sesungguhnya, dan aku tidak memberikan pujian ini secara pasti, aku mengira dia begini dan begitu keadaannya”, jika dia mengetahui dengan yakin tentang diri saudara yang dipujinya”
[Imam Bukhari, Imam Muslim]
Syarah Imam Ghazali Radhiallahu anhu:
Bahaya (pujian) tersebut berjalan kepada pujian dengan sifat-sifat mutlaq, yang dikenal dengan dalil-dalill. Seperti katanya: "dia itu orang taqwa, wara', zuhud dsb". Ada pun apabila dia mengatakan: "aku melihatnya mengerjakan solat di malam hari, bersedekah dan mengerjakan haji, maka ini adalah hal-hal yang diyakini. Di antara yang demikian katanya: "Orang itu adil dan menyenangkan", maka hal ini tersembunyi, maka tidak sayugia menetapkan perkara itu padanya, kecuali percubaan yang mendalam."
[Ihya Ulumuddin]
Penjelasan tambahan:
(1) Maksud Imam Ghazali adalah : "Larangan pujian kepada seseorang adalah ketika dia tidak pasti sama ada orang itu benar-benar layak dipuji, maka pada saat itu diam adalah lebih utama dan lebih selamat. Jika dia (orang yang memuji itu ) pasti, berdasarkan pengalamannya bersama dengan orang yang dipuji itu, maka haruslah dipuji orang yang berkenaan sekira-kira sesuai dengan kelayakannya."
(2) Maksud kata-kata Baginda : "kamu telah memenggal leher sahabatmu" adalah :
Apabila kamu puji seseorang yang tidak layak dipuji, atau kamu terlebih memujinya sedangkan kelayakannya tidak sesuai, maka kamu akan menyebabkan orang itu menjadi riya', takabbur, besarkan diri. Dan lagi orang yang dipuji itu mungkin menyangka dirinya bagus dan tinggalkan amal ibadah. Apabila terjadi keadaan ini, maka kamu telah menyebabkan orang kamu puji itu jatuh kepada kebinasaan Tauhid dan amal ibadahnya, disebut sebagai kinayah "kamu telah memenggal lehernya."
(3) Hadith ini tidak mutlaq mengharamkan pujian kepada hamba Allah yang lain, melainkan membataskan pujian tersebut dengan syarat-syarat tertentu sehingga orang yang dipuji dan orang yang memuji sama-sama selamat daripada fitnah hati, dan selamat Tauhid mereka.
SIRI 300 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 39:
Puji Makhluq Tanpa Haq
sambungan.......
Dalil 2: Hadith Rasulullah ﷺ
Rasulullah ﷺ bersabda,
“Jika kamu melihat seseorang yang terlalu suka memuji maka lemparkanlah pasir di hadapan muka mereka”,
[Imam Muslim]
Dalil 3: Hadith Rasulullah ﷺ
"Seorang lelaki berdiri memuji salah seorang Gabenor, lalu Miqdad ibnu Aswad melemparkan pasir ke wajahnya dan berkata: “Kami diperintahkan oleh Rasulullah ﷺ untuk melemparkan pasir ke wajah orang-orang yang memuji.”
[Imam Muslim]
Berkata Imam Nawawi Radhiallahu anhu :
"Sebahagan Ulama mengamalkan Hadith tersebut menurut teksnya, iaitu jika ada yang memuji depan wajahnya, maka mereka melemparkan debu (pasir) ke mukanya sesuai dengan hakikat Hadith tersebut. Sedangkan Ulama lain memberi makna Hadith "melemparkan pasir" bahawa pujian tersebut di tolak. Pendapat lain mengatakan : Jika kamu dipuji, maka ingatlah kamu berasal dari tanah maka bersifatlah dengan tawadhu’ dan jangan merasa 'ujub. Namun tafsiran terakhir itu lemah.
[Syarah Sahih Muslim]
Dalil 4 : Rasulullah ﷺ. bersabda:
Sesungguhnya penyakit ‘ain itu benar adanya, maka berwudhu' lah untuknya!”. ‘Amir bin Rabi’ah (yang menjadi asbab terkena penyakit Al-'Ain kepada Sahl bin Hunaif) lalu berwudhu' untuk disiramkan bekas wudhu'nya kepada Sahl. Maka Sahl pun sembuh (dari penyakit 'Ain) lalu berjalan bersama Rasulullah ﷺ.”
[Imam Malik]
Dalil 5 : Hadith Rasulullah ﷺ:
“ Rasulullah ﷺ memerintahkan Amir untuk berwudhu. Lalu Amir membasuh wajah dan kedua tangannya hingga sikunya, dan membasuh kedua lututnya dan bagian dalam sarungnya. Lalu Nabi memerintahkannya untuk menyiramkannya kepada Sahl”
[Imam Ibn Majah]
Kisah ringkasnya:
Amir bin Rabi’ah memuji tubuh Sahl bin Hunaif yang sedang mandi dengan kata-kata memuji tubuh Sahl:
"Aku tidak melihat seperti hari ini, kulit yang lebih mirip (keindahannya) dengan kulit wanita pingitan.”
Kemudian Sahl terus jatuh terbaring dan sakit.
Apabila sampai berita ini kepada Rasulullah ﷺ, maka Baginda perintahkan Amir untuk berwudhu, mencuci wajahnya, kedua tangannya sampai ke siku, dua lututnya dan bahagian dalam kainnya, lalu disiramkan kepada Sahl,
Maksud di sini:
Memuji seseorang tanpa Tauhid berserta pujian tersebut (tidak menyandarkan Pujian tersebut kepada Allah), maka adalah perbuatan ini adalah Syirik halus (Syirik tersembunyi), yang boleh menjadi asbab terkena penyakit Al-Ain kepada orang yang dipuji.
Bersambung siri 301 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
Bersambung siri 300 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment