■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 511)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-61:
Penjilat - mudahanah (المداهنة)
....sambungan.....
Dalil 3: Firman Allah:
وَٱصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِٱلْغَدَوٰةِ وَٱلْعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُۥ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُۥ عَن ذِكْرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًۭا
"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan petang hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.”
[Al-Kahfi (18 ) : Ayat 28]
Dalil 4: Firman Allah:
وَلَا تَطْرُدِ الَّذِيْنَ يَدْعُوْنَ رَبَّهُمْ بِالْغَدٰوةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيْدُوْنَ وَجْهَهٗ
Dan janganlah engkau mengusir orang-orang yang menyeru kepada Tuhannya (berzikir dan beribadah) pagi dan petang (terus-menerus), sedang mereka menghendaki Keredhaan Allah semata-mata.”
[Al-An'am (6) : Ayat 52]
Catitan Penting:
Kedua-dua Perintah Allah ini telah dihuraikan pada Bab Dosa Besar ke 58: "_Dosa Besar menghina Ahli Zikir_". Di sini kita ketengahkan sekali lagi ayat Qur'an ini kerana mempunyai hubungan penting dengan bab yang sedang dibicarakan di sini. Iaitu berkenaan "larangan menjilat", "larangan mengampu" dan "larangan bersekutu dengan orang kafir demi harapkan dunia yang hina."
Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:
“Allah Ta’ala Memerintahkan Rasulullah ﷺ sentiasa berserta orang-orang yang menyeru kepada Allah (Zikir kepada Allah), pagi dan petang, yang dimaksud di sini adalah Sayyidina Salman Al-Farisi berserta Sahabat lain (Ahlus Suffah yang miskin dan dhaif) yang mengharap Keredhaan Allah dan jangan berpaling dari mereka kerana mengharap perhiasan dunia yang ditawarkan oleh kaum kafir Quraisy, maksud di sini Uyaynah Ibn Hisn al-Fazari.”
[Tafsir Ibn Abbas]
Berkata Sulton Auliya Al-Imam Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Pada saat orang-orang Quraisy yang garang meminta Rasulullah ﷺ untuk menjauhi orang-orang mukmin yang papa dan mengusir mereka dari Majlisnya—seperti Ummi Maktum, Abu Zar Al-Ghifari, dan para sahabat yang miskin, kerana lusuh pakaian mereka dan begitu melaratnya mereka, sampai duduk bersama Rasulullah ﷺ dan Rasulullah ﷺ pun hampir ingin mengabulkan keinginan dan saranan mereka (kafir Quraisy) dan menyuruh sahabat-sahabat miskin itu tidak datang bersama mereka ke Majlisnya, maka Allah Ta'ala menyangkal Rasul-Nya dengan Penyangkalan yang Tegas dan Melarang Baginda ﷺ dengan Larangan Yang Keras.
Maka Allah pun Berfirman bertujuan mendidik dan mengingatkannya (Dan sabarlah engkau), yakni jika ada orang Quraisy menggodamu untuk menjauhkan Sahabat-Sahabat yang faqir itu, dan berlebihan di dalam mengusir dan singkirkan mereka menjauh darimu, maka janganlah engkau menuruti mereka dan jangan kabulkan keinginan mereka. Sebaliknya engkau bersabarlah dan kekanglah nafsumu yang cenderung kepada kekayaan dan kemewahan baju-baju mereka, bersama sahabat-sahabat faqir itu yang berzikir dan menyembah Allah pada setiap dua hujung siang hari dan waktu-waktu antara keduanya, mereka tumpukan diri kepada-Nya secara suka rela, tanpa keinginan menurut hawa nafsu dan kegemerlapan dunia meskipun sangat faqir dan papa. Janganlah kamu mengalihkan perhatian kamu, disebabkan kumalnya keadaan mereka dan lusuhnya pakaian mereka—kepada orang-orang kaya dan baju mereka yang bagus kerana harapkan perhiasan dunia dengan beralih kepada mereka. Dan cerderung untuk bersama-sama mereka dan duduk berserta mereka. Dan tenteram dengan pangkat dan kekayaan mereka.
[Tafsir Jilani]
Bersambung siri 512 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment