■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
SIRI 121 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.17 Dosa Besar ke-16: Hubbud-dunya ( حُبُّ الدُّنْيَا ) — cinta dunia:
sambungan....
Tanda2 cinta dunia
Setiap orang yang "cinta dunia" akan memperlihatkan sifat tersebut di dalam perkataan dan perbuatannya. Berikut adalah sebahagian dari tanda2 wujudnya sifat "cinta dunia " di dalam hati seseorang yang membawa kepada kebinasaan. Moga ambil i'tibar :
(1) Asyik dengan dunia dan lupakan Allah Ta'ala
Inilah permulaan kepada kebinasaan seseorang Muslim akibat "cinta dunia". Apabila cinta kepada dunia menguasai hati seseorang, maka dia akan lupakan Allah Ta'ala, lupa untuk berzikir kepada Allah, lupa kepada ibadah2 dan tidak mensyukuri Ni'mat2 Kurniaan-Nya. Penumpuan yang berterusan kepada dunia akan menyebabkan hati terhijab dari Allah Ta'ala. Jika dia tidak segera bertaubat, maka hijab hati akan makin tebal sehingga akhirnya menjadi keras dan mati. Tiadalah manusia yang lebih rugi daripada manusia seperti ini. Wal Iyazubillah.
✨🕌✨Firman Allah :
فَوَيۡلٌ۬ لِّلۡقَـٰسِيَةِ قُلُوبُہُم مِّن ذِكۡرِ ٱللَّهِۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ فِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ
"Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada Zikrullah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata."
[Az-Zumar (39) : ayat 22]
(2) Utamakan tuntutan dunia
Kecintaan kepada dunia menyebabkan seseorang sentiasa mendahulukan tuntutan dunia. Urusan agama dipandang sebagai sampingan sahaja atau sekadar memenuhi kebiasaan adat.
(3) Tidak mempedulikan Agama
Pencinta dunia tidak memikirkan halal haram dan lebih gemar mengikut adat resam jahiliyah. Bahkan dia memandang Agama itu menyusahkan hidupnya. Wal 'Iyazubillah
(4) Terikut-ikut fahaman sesat
Pencinta2 dunia mudah terjatuh kepada fahaman2 sesat dan musyrik.
(5) Tamak harta dunia
Di antara tanda2 cinta dunia adalah bangkitnya sifat tamak kepada dunia. Meskipun harta kekayaan sudah melimpah2 namun dia tak pernah puas. Jika memperoleh emas segunung, dia ingin lagi beberapa gunung emas lagi. Demikian dia akan terus menagih kekayaan yang lebih banyak dan lebih banyak sampailah masuk kubur. Wal Iyazubillah
(6) Tamak kuasa
Ahli politik dan orang2 berkecimpung di dalam pemerintahan negara menjadi "gila kuasa". Jika mereka belum berkuasa, mereka akan menagih kuasa. Jika sudah ada kuasa, mereka ingin menambah kuasa lagi, kemudian bermati2an untuk menambah lagi dan menambah lagi sampailah saling berbunuhan untuk memperolehinya.
(7) Jual Agama kerana dunia
Orang alim, cerdik pandai Agama yang mempunyai kedudukan di dalam masyarakat sedia "menjual Agama" demi mencapai pangkat kedudukan di dunia. Mereka sanggup berbohong, memutarbelitkan ayat Qur'an dan Hadith Rasulullah ﷺ dan mengeluarkan fatwa sesat menurut selera penguasa. Ini yang berlaku pada Ummat terdahulu. Pendeta Bani Israel menyelewengkan ayat2 Allah demi dunia yang hina. Demikian lagi "ulama dunia" pada zaman Pemerintahan setelah tamatnya pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin. Kini, pada zakhir zaman.... tradisi "ulama2 dunia" yang menjual Agama bersambung lagi di dalam wajah yang berbeza.
(8) Sangat Bakhil
Cinta dunia akan menyebabkan seseorang itu menjadi bakhil, sangat berat untuk menghulurkan bantuan kepada faqir miskin atau orang yang memerlukan.
(9) Khianat
Khianati kawan, rakan sekerja, rakan kongsi dsb adalah asam garam pencinta dunia. Jika pencinta dunia ini diberi kuasa memerintah, mereka khianati Amanah Allah.
(10) Mungkir janji
Mereka menaburkan janji2 manis kemudian engkarinya.
(11) Sombong / bermegah2 dengan dunia
Di antara tanda2 "cinta dunia" adalah bermegah2 dengan kekayaannya serta meremehkan orang miskin atau kurang berada. Memandang orang miskin dengan pandangan sinis.
SIRI 122 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.17 Dosa Besar ke-16: Hubbud-dunya ( حُبُّ الدُّنْيَا ) — cinta dunia:
sambungan....
(12) Habiskan masa dengan berpoya2
Orang yang cintakan dunia tenggelam di dalam kenikmatannya dan lupa kepada Akhirat. Mereka habiskan wang dan harta semata2 untuk berpoya2, setengahnya dengan minuman keras dan makanan2 haram. Wal Iyazubillah.
(13) Menilai untung rugi berdasarkan penilaian dunia
Orang yang cinta dunia menilai setiap suatu hal dengan pandangan dunia. Jika pada pandangan dunia ianya baik maka disanjung dan dipuja. Jika sesuatu perkara tidak membawa keuntungan dunia, maka dia menilainya buruk.
(14) Benci kepada nasihat Agama / benci kebenaran
Pencinta dunia tidak senang dengan nasihat2 Agama. Mereka benci dengan kebenaran kerana diri mereka bergelumang di dalam kegelapan. Jika dia orang yang berkuasa, maka dia akan gunakan segala kuasa untuk menghalang kebenaran Agama. Penyampai kebenaran akan dituduh dan diugut dengan berbagai akta dan undang2 jahiliyah.
(15) Engkar jihad fi sabilillah
Orang yang cinta dunia enggan berjihad fi sabilillah ; sama ada jihad di medan perang atau jihad harta benda kerana tersangat cintakan dunia dan takut mati.
✨🕌✨Firman Allah :
قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُڪُمۡ وَإِخۡوَٲنُكُمۡ وَأَزۡوَٲجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٲلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَـٰرَةٌ۬ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَـٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡڪُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٍ۬ فِى سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِىَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَہۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَـٰسِقِينَ
'Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab siksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka)"
[At-Taubah (9) : ayat 24]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
“Hampir2 saja bangsa2 (kaum kafir dan sesat) mengerumuni kamu (orang beriman) seperti halnya orang-orang yang mengerumuni hidangan. Seseorang berkata; Apakah kerana sedikitnya kami waktu itu? Baginda bersabda; Bahkan kamu pada waktu itu ramai sekali, tetapi kamu seperti buih di atas lautan. Dan Allah mencabut rasa takut musuh-musuhmu terhadap kamu serta menjangkitkan di dalam hatimu penyakit al-wahn. Seseorang bertanya; Apakah wahn itu? Baginda menjawab; Cinta dunia dan takut mati.”
[Imam Abi Dawud]
Demikianlah sebahagian daripada tanda2 yang wujud pada orang2 yang cinta dunia. Perhatikan baik2 : Kehidupan orang2 yang cinta dunia tidak berubah daripada kehidupan orang fasiq dan munafiq. Wal Iyazubillah. Itulah sebabnya Allah dan Rasul-Nya berikan amaran berulangkali kepada orang Islam agar mereka tidak tewas kepada segala perhiasan dunia yang membawa kebinasaan....!
Jika ada yang bertanya adakah menjadi kesalahan mutlaq jika menikmati keindahan dunia dan adakah menjadi kesalahan mutlaq menjadi kaya-raya? Jawapannya : Tidak. Agama tidak melarang secara mutlaq seseorang menjadi kaya atau memiliki gedung2 perniagaan yang besar atau menikmati sebahagian dari keindahan2 dunia. Tetapi maksud "cinta dunia" adalah terlalu kasih kepada dunia sehingga lupakan Allah, engkari Ni'mat2 Allah, tenggelam di dalam kemewahan dunia dan engkari hukum-hakam Agama di dalam kehidupan sebagaimana telah dihuraikan sebelum ini.
Ikuti penjelasan lanjut.
SIRI 123 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.17 Dosa Besar ke-16: Hubbud-dunya ( حُبُّ الدُّنْيَا ) — cinta dunia:
sambungan....
Pengecualian — Dunia yang membawa manfaat / Dunia yang terpuji
Meskipun hampir keseluruhan "Dunia" itu dicela kerana membawa kepada kebinasaan, namun tidak semuanya tercela, sebahagian daripadanya tidak tercela atau dilaknat, sebaliknya terpuji.
Berdasarkan pendirian Ahlus Sunnah, sebahagian "dunia" adalah harus diambil atau dimanfaatkan untuk kehidupan di dunia. Bahkan sebahagian daripadanya menjadi ibadah dan kebajikan apabila menepati syarat2nya.
Persoalannya?
Bagaimanakah cara membezakan antara "dunia yang dicela atau dilaknat" dengan "dunia yang terpuji"?
Apakah garis ukuran dan batasannya?
Apakah penentuannya?
Apakah tanda2nya?
Sesungguhnya hal ini amat rumit.
Kebanyakan orang awam tidak dapat memahaminya dengan benar. Ada kalanya seseorang menyangka sesuatu hal dunia yang diperbuatnya itu benar dan terpuji, sedangkan ianya bertentangan dengan Kehendak Allah. Pada ketika yang lain dia menyangka sesuatu hal itu sebagai dunia yang dicela sedangkan ianya terpuji. Mari kita melihat sebahagian dari keterangan berkenaan dengan hal ini.
Keterangan Pertama : Syarat bagi sesuatu perkara "dunia" menjadi ibadah atau perkara terpuji yang Di Redhai Allah:
Ketahuilah : Setiap perkara yang asalnya berupa "keduniaan" boleh menjadi Ibadah dan kebajikan yang diRedhai Allah apabila menepati syarat2nya:
(1) Niat ikhlas kerana Allah, mencari Keredhaan-Nya.
Ini syarat utama dan pertama. Setiap perkara berupa "dunia" atau "keduniaan" akan menjadi ibadah dan kebajikan apabila dilakukan semata2 ikhlas mencari Keredhaan-Nya. Walau bagaimanapun waspada! Tidaklah memadai niat yang baik ini terhenti di dalam hati semata2, melainkan perlakuan dan tindakannya juga wajib menepati Kehendak dan Ketentuan Allah Ta'ala. (lihat syarat no.2 ).
Ertinya jika seseorang ikhlas melakukan sesuatu kerana Allah tetapi pada masa yang sama perlakuannya bertentangan dengan Kehendak Allah, maka ini batil. Tindakan seperti ini BUKAN Ibadah sebaliknya kembali kepada "dunia yang tercela". (lihat beberapa contoh akan datang In-Shaa Allah)
(2) Digunakan / dilaksanakan sesuai dengan hukum Syara' / tuntutan Syari'at. Ini bermaksud "setiap niat yang baik / ikhlas" WAJIB disertai dengan "cara" atau "kaedah" yang menepati hukum Syari'at.
(3) Syukur kepada Allah yang Mengurniakan berbagai Ni'mat dan Rahmat dari Sisi-Nya. Ertinya setiap hamba Allah hendaklah melihat dari dalam hati bahawa semua kebaikan yang diperbuatnya itu adalah Kurnia dan Rahmat Ilahi kepadanya.... BUKAN kerana kebaikan dirinya atau kerana kebijaksanaannya atau kerana kehebatannya.
(4) Hasil daripada apa yang diperbuatnya itu dapat dimanfaatkan untuk kebaikan kehidupan di dunia yang membawa kepada Akhirat.
(5) Tidak abaikan kewajipan2 fardhu ketika perlaksanaan sepanjang urusannya.
Jika seseorang menepati syarat2 tersebut di atas ketika membangun, mengolah, memakai perkara2 yang bersifat duniawi, maka ia tidaklah dikatakan "dunia" tetapi tergolong perkara "Akhirat" yang terpuji yang membawa kepada Keredhaan Ilahi.
Berkata Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu :
"Jika engkau melihat dunia (perhiasannya), palingkanlah pandanganmu dari keindahannya. Tutuplah hidungmu dari semerbak syahwat dan kelazatannya, agar engkau selamat dari malapetaka yang akan ditimpakannya. Dengan demikian engkau akan dapat bahagian duniamu tanpa membuatmu terpedaya"
[Adab As-Suluuk]
SIRI 124 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.17 Dosa Besar ke -16: Hubbud-dunya ( حُبُّ الدُّنْيَا ) — cinta dunia:
sambungan....
Keterangan Kedua : Harus menjadi kaya, berserta beberapa syarat dan penjagaan:
Agama tidak melarang secara mutlaq seseorang menjadi kaya, memiliki gedung2 perniagaan yang besar atau harta yang banyak. Mereka boleh menjadi billionaire atau trillionaire. Walau bagaimanapun di sana terdapat syarat2 yang ketat bagi kebenaran ini. Ini kerana berdasarkan sejarah hidup kemanusiaan, kebanyakan manusia tewas apabila kekayaan datang melimpah2. Mereka lupa diri. Mereka menjadi sombong, angkuh dan zalim. Mereka menghina orang lemah dan faqir miskin. Mereka mendabik dada mengatakan segala kekayaan tersebut adalah milik mereka, maka mereka berbuat sesuka nafsu mereka. Mereka kufur kepada segala Ni'mat Kurniaan Allah. Mereka lupa kepada Allah dan perintah2nya lalu menjadi fasiq dan kafir. Wal Iyazubillah. Moga Allah Ta'ala melindungi kita dan ahli keluarga kita menjadi manusia2 lupa diri.
(1) Setiap orang islam yang berusaha mencari kekayaan dunia — wang ringgit, harta, gedung2 dan lainnya hendaklah niat di dalam hati semua usahanya itu adalah kerana Allah, untuk Agamanya, untuk Akhirat.
(2) Berusaha sekadarnya, tanpa terlalu banyak masa dihabiskan untuk mencari harta.
(3) Mematuhi sekalian hukum-hakam Syari'at
(4) Tidaklah dia asyik dengan dunia sehingga lupa Zikrullah.
(5) Jauhkan sama sekali sifat tamak — sifat ingin cepat kaya. Redha sekadar yang Allah Ta'ala Kurniakan. Jika Allah Ta'ala telah Mengurniakan kamu "satu gunung emas", maka berpadalah dan bersyukurlah, JANGAN sesekali bertungkus lumus untuk menambah "satu gunung emas" lagi.... walaupun atas nama kebajikan (konon kamu ingin buat kebajikan). Ini kerana cita2 demikian mengandungi tipu daya halus yang akan binasakan kamu.
(6) Jauhkan sama sekali sifat bakhil. Orang yang bakhil bukan sahaja orang enggan hulurkan sedekah tetapi juga orang kaya yang hulurkan sedekah sekadar memenuhi syarat agar orang ramai tidak memandang dia bakhil. Jika orang biasa mampu keluarkan sedekah 10 ringgit, orang yang kaya-raya sudah semestinya keluarkan 100 ringgit atau 1,000 ringgit sebagai sedekah.... maka sesuailah dengan banyaknya ni'mat harta yang ada padanya.
(7) Jika Allah Ta'ala Mengurniakan kekayaan yang banyak, jangan sesekali menjadi boros atau membazir. Jangan habiskan wang ringgit untuk berlebih2an dengan perhiasaan2. Ini kerana perbuatan membazir adalah kesukaan syaitan.
(8) Jangan sesekali menjadi sombong, angkuh, megah dengan kekayaan kamu. Jangan cakap besar dan jangan menghina orang miskin atau orang2 terlantar. Perbuatan sombong, cakap besar dan angkuh adalah perbuatan Iblis La'natullah.
(9) Sentiasa tetapkan di dalam ingatan bahawa setiap wang ringgit, harta kekayaan, gedung2 perniagaan, rumah kediaman hebat yang kamu miliki akan menjadi hitungan yang keras di Mahkamah Agung Ilahi. Setiap sen yang kamu peroleh dan kamu belanjakan akan diaudit tanpa sedikit pun kesilapan oleh Rabbul Jalil, Raja Segala Raja Yang Maha Berkuasa.
(10) Syarat terakhir ini yang paling menyakitkan hati orang kaya, iaitu : Wajib belanjakan sebahagian daripada kekayaan yang kamu miliki untuk jihad Fi Sabilillah — belanjakan pada jalan Allah. Pengertian "Jihad pada Jalan Allah" amat luas — bermula daripada berbuat baik kepada ibu bapa, adik beradik, ahli keluarga terdekat, jiran tetangga hinggalah kepada memakmurkan Masjid2, membela faqir miskin, membina penempatan untuk musafir, membina perigi dan tali air, memberikan perbelajaan untuk Da'wah, Tarbiyyah Ummat dan Jihad di medan Perang... semua ini adalah Fi Sabilillah yang di- Redhai Allah.
Jika seseorang yang kaya-raya mampu menyempurnakan kewajipan2 ini sebagaimana Tuntutan Allah dan Rasul-Nya, maka inilah "dunia yang terpuji". Masuklah mereka kedalam golongan "rijal" yang dipuji oleh Allah.....
✨🕌✨Firman Allah :
رِجَالٌ۬ لَّا تُلۡهِيہِمۡ تِجَـٰرَةٌ۬ وَلَا بَيۡعٌ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَإِقَامِ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِيتَآءِ ٱلزَّكَوٰةِۙ يَخَافُونَ يَوۡمً۬ا تَتَقَلَّبُ فِيهِ ٱلۡقُلُوبُ وَٱلۡأَبۡصَـٰرُ
“Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual-beli dari Zikrullah (mengingati Allah), dan (dari) mendirikan solat, dan (dari) menunaikan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang (Qiamat dan Hari Pengadilan).”
[Surah An-Nuur (24) : 37]
SIRI 125 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.17 Dosa Besar ke-16: Hubbud-dunya ( حُبُّ الدُّنْيَا ) — cinta dunia:
sambungan....
Keterangan ketiga : Rumah kediaman yang lapang dan kenderaan yang kuat TIDAK tercela:
Rumah kediaman yang luas dan kenderaan yang kuat adalah di antara perkara "dunia" yang sangat manfaat untuk Akhirat apabila memenuhi syarat2nya.
Di antara kelebihan rumah yang luas (bukan sempit) adalah :
(1) Memudahkan melakukan solat berjemaah dengan anak isteri
(2) Kelapangan melakukan ibadah Zikrullah secara berjemaah
(3) Keluasan melakukan 'uzlah sendirian di rumah
(4) Kemudahan untuk menjamu makan orang2 Islam / jiran2 / faqir miskin
(5) Kemudahan untuk berkumpul sanak saudara bersilatur-rahim
Di antara kelebihan kenderaan yang baik dan kuat adalah :
(1) Kenderaan yang baik dan kuat akan mempermudahkan urusan da'wah dan jihad menyampaikan Agama ke tempat2 jauh.
(2) Rasulullah ﷺ sendiri mempunyai kuda tunggangan yang sangat kuat dan pantas yang Baginda gunakan untuk da'wah dan Jihad Fi Sabilillah. Demikian juga para Sahabat Baginda masing2 mempunyai kuda yang sangat pantas dan kuat.
(3) Kenderaan yang elok mendatangkan keamanan kepada pengguna jalan raya yang lain. Jika kenderaan tersebut bermasalah, banyak kemungkinan terjadi kerosakan yang akhirnya mengganggu pengguna2 lain.
(4) Kenderaan yang elok dan kuat akan mempermudahkan dan mempercepatkan urusan berbanding dengan kenderaan yang bermasalah.
(5) Kelapangan hati ketika menaiki kenderaan. Dapat menumpukan kepada Zikrullah sepanjang perjalanan. Jika kenderaan tersebut selalu rosak tentu datang berbagai kebimbangan hati yang akan terganggu Zikrullah.
Dalil bagi keterangan diatas adalah Sabda Junjungan:
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ
” Antara (tanda) kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang elok (kuat, teguh, selamat).”
[Imam Bukhari]
Dengan demikian memiliki rumah yang luas dan lapang serta kenderaan yang hebat BUKANLAH dunia yang dicela sebaliknya "dunia yang terpuji". Manfaatnya sangat besar untuk Akhirat — jalan mencapai Keredhaan Ilahi apabila digunakan untuk fisabilillah dan termasuklah di dalamnya untuk tujuan mencari rezeki, berniaga, berulang alik ke tempat kerja, bersilatur-rahim sanak saudara, menziarahi orang tua dsb.
Sebahagian anak2 yang baru mengenal Ilmu Tasawwuf, cuba mempertikaikan para Masyaikh Ahlus Sunnah menggunakan kenderaan2 yang hebat sewaktu mereka pergi berda'wah. Menurut mereka, para Masyaikh ini tidak zuhud dan tidak ikut Sunnah. Golongan muda ini sebenarnya tidak faham apa pun berkenaan zuhud , hakikat zuhud, pengertian dunia dan bahagian2nya. Mereka perlu berguru lagi dan menempuh sendiri jalan kepada-Nya dengan penuh kesungguhan.
Lain halnya jika seseorang menyalahgunakan rumah kediaman besar untuk berpoya2 dengan dunia, habiskan masa dengan permainan2 yang sia2, apa lagi untuk perhimpunan2 yang diharamkan oleh Syara', maka semua ini termasuk dunia yang tercela, BUKAN terpuji. Demikian juga jika dia gunakan kenderaan yang hebat untuk menunjuk2, bermegah, atau ke tempat2 haram, maka semua ini TIDAK termasuk di dalam kategori dunia terpuji, bahkan perbuatan2 seperti ini termasuk kufur Ni'mat. Wal Iyazubillah
SIRI 126 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.17 Dosa Besar ke -16: Hubbud-dunya ( حُبُّ الدُّنْيَا ) — cinta dunia:
sambungan....
Keterangan keempat: Perhiasan yang sederhana adalah harus:
Allah Ta'ala itu Maha Indah (sifat Jamal Allah). Allah Ta'ala menciptakan perhiasan dan hal yang indah2 agar manusia menjadi senang dan tenteram dengannya. Insan yang terbuka mata hatinya mampu menembusi jendela Keindahan Ilahi, menyaksikan keluasan Keindahan-Nya.
✨🕌✨Firman Allah :
قُلۡ مَنۡ حَرَّمَ زِينَةَ ٱللَّهِ ٱلَّتِىٓ أَخۡرَجَ لِعِبَادِهِۦ وَٱلطَّيِّبَـٰتِ مِنَ ٱلرِّزۡقِۚ قُلۡ هِىَ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ فِى ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا خَالِصَةً۬ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِۗ كَذَٲلِكَ نُفَصِّلُ ٱلۡأَيَـٰتِ لِقَوۡمٍ۬ يَعۡلَمُونَ
"Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan-Nya? Katakanlah: Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari Qiamat. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui."
[Al-A'raf (7) : ayat 32]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ
"Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan menyukai keindahan"
[Imam Muslim]
Dengan demikian secara umumnya, perhiasan adalah diharuskan sama ada untuk diri sendiri atau rumah kediaman dll dengan syarat mematuhi hukum Syara' dan tidak melampau batas dan tidak berlebih2an sehingga masuk kepada pembaziran. Di antara perhiasan yang diharuskan:
Rumah Kediaman:
=============
Menghias rumah secara sederhana dengan lampu2 yang menyenangkan hati atau dengan hiasan bunga2 atau sebagainya tidak dilarang.
Pakaian:
======
Di dalam hal berpakaian terdapat perbezaan ketara antara lelaki dan wanita.
Bagi lelaki — Memakai pakaian2 yang kemas, bagus, berkualiti dan kelihatan indah — misalnya memakai jubah, gamis, kot, blazer yang bagus tidak dilarang. Bahkan memakai pakaian yang sangat bagus ketika menunaikan solat atau ibadah2 lain adalah sunnat. Rasulullah ﷺ sendiri memakai jubah dan serban yang kemas ketika menunaikan Solat kerana Solat itu adalah upacara Agung menghadap Tuhan Rabbul Jalil, Tuhan Alam Semesta Yang Maha Agung.
Bagi wanita — Memakai pakaian yang indah2 dan menarik hanya layak di hadapan suaminya atau mahramnya (yang haram dikahwininya) atau ketika menunaikan solat sendirian. Diharamkan memakai pakaian indah dan menarik hati ketika berhadapan dengan lelaki ajnabi. Demikian lagi dilarang memperlihatkan perhiasan berupa rantai, gelang, subang dll kepada lelaki ajnabi.
Kenderaan:
========
Menghiasi kenderaan dengan sederhana tanpa berlebihan adalah harus. Mengeluarkan belanja yang banyak semata2 untuk kelihatan hebat (bukan untuk kekuatan kenderaan), atau penambahan aksesori yang banyak adalah termasuk hiasan yang dilarang. Misalnya seseorang menghiasi kenderaannya dengan berbagai aksesori bernilai puluhan ribu ringgit sekadar untuk bermegah2, maka ini termasuk pembaziran dan kufur Ni'mat.
Mereka2 yang memiliki harta dan wang ringgit yang banyak perlu melihat sekeliling — lihatlah adik beradik atau sanak saudara atau jiran2 yang kesusahan.... bantulah mereka. Ini terlebih baik daripada menghabiskan wang yang banyak untuk perhiasan2 yang tidak perlu, apa lagi membazir.
SIRI 127 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.17 Dosa Besar ke-16: Hubbud-dunya ( حُبُّ الدُّنْيَا ) — cinta dunia:
sambungan....
Keterangan kelima: Kekayaan, Kekuasaan, Pangkat BUKAN tanda Allah telah Redha dengannya:
Seringkali manusia menyangka orang2 yang diberi Ni'mat kekayaan, pangkat dan kedudukan DUNIA sebagai tanda Allah Ta'ala telah redha kepada mereka! Mereka berpendapat orang kaya lebih baik dari orang miskin dan orang berkuasa lebih baik dari orang yang tiada kuasa. Dengan pandangan ini mereka berusaha sungguh2 memiliki harta yang banyak, merebut2 kuasa, kedudukan dan pangkat. Bagi mereka inilah kemuliaan.!
Apakah benar demikian?
Seringkali juga manusia rasa rendah diri di hadapan orang2 yang kaya-raya, orang politik yang berkuasa, orang yang memiliki berbagai pangkat dan pingat2. Mereka menyangka orang2 ini sebagai manusia pilihan Allah.
Sejauh manakah kebenaran pegangan seperti ini?
Kebenarannya yang mutlaq adalah :
Allah Ta'ala TIDAK memandang mulia kepada manusia kerana harta yang dimilikinya atau pangkatnya atau kedudukannya di mata dunia atau lain2nya daripada benda duniawi yang hina. Manusia TIDAK menjadi mulia di Sisi Allah semata2 kerana dia Raja atau Sultan, Perdana Menteri atau apakah dia memiliki seluruh dunia sekalipun. Bahkan kenyataannya, banyak sekali orang2 yang berkuasa dan kaya-raya mati di dalam keadaan kafir yang sangat hina. Wal Iyazubillah.
Perhatikan sungguh2 keterangan berikut :
Pertama :
Kemuliaan manusia di Sisi Allah adalah kerana Taqwanya, BUKAN kerana harta, kuasa, pangkat, kedudukan atau lain2nya. Manusia paling mulia di Sisi Allah adalah manusia yang paling tinggi Taqwanya. Siapakah manusia2 yang mencapai Taqwa Paling tinggi ini? Merekalah Rasul, Nabi, Auliya Allah dan Mu'min sejati. Taqwa TIDAK akan dapat dicapai melainkan seseorang mujahadah sungguh2 di bawah pimpinan Guru yang Arif — Pewaris Nabi yang Muhaqqiq.
✨🕌✨Firman Allah :
إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ
"..Sesungguhnya semulia-mulia (di antara) kamu semua disisi Allah ialah yang paling bertaqwa.."
[Al Hujurat (49) : ayat 13]
Kedua :
Dunia ini tiada nilai apa pun di Sisi Allah.
Oleh kerana dunia ini tiada nilai apa pun di Sisi Allah, maka sebab itu orang kafir suka ria dengan berbagai kenikmatan dunia.
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
لَوْ كَانَت الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ الله جَنَاحَ بَعُوضَةٍ ، مَا سَقَى كَافِراً مِنْهَا شَرْبَةَ مَاءٍ
“Seandainya dunia ini mempunyai nilai di sisi Allah walau sebesar sebelah sayap nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi minum kepada orang kafir seteguk airpun.”
[Imam At-Tirmizi]
Ketiga :
Orang yang hidup di dalam kekufuran dan kefasikan tetapi kaya-raya, berkuasa, berpangkat, mempunyai kedudukan tinggi pada mata masyarakat adalah istidraj — iaitu orang yang dibiarkan oleh Allah di dalam sangkaan bahwa dirinya baik kerana kemewahan dan kesenangan yang dimilikinya sedang yang sebenarnya dia di dalam Kemurkaan Allah.
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
”Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah di istidraj oleh Allah Ta’ala.”
[Imam At-Thabrani, Imam Ahmad, Imam Al-Baihaqi)
Ringkasnya orang yang berkuasa... Raja, Presiden, Perdana Menteri, Menteri2 yang merasa diri mereka dikasihi Allah kerana kekuasaan yang mereka miliki, atau orang kaya-raya yang merasa aman dengan kekayaan yang mereka miliki dan menyangka mereka diRedhai Allah... atau ahli politik pada zaman ini yang berebut2 kuasa kerana menyangka dengan "kuasa politik" mereka mulia... maka semua lapisan golongan ini adalah manusia bodoh yang tertipu dengan angan2 dan tipu daya syaitan. Wal Iyazubillah... !
SIRI 128 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.17 Dosa Besar ke-16: Hubbud-dunya ( حُبُّ الدُّنْيَا ) — cinta dunia:
sambungan....
Rawatan dan Penjagaan:
Sesungguhnya penyakit "cinta dunia" merupakan sebahagian dari penyakit hati yang amat sukar dihilangkan disebabkan penyatuannya bersama kehidupan. Ia hanya dapat dihilangkan sebersih-bersihnya dengan menyucikan hati melalui didikan dan asuhan Guru yang Arif. (Pewaris Nabi yang siddiq)
Cara2 berikut boleh dijadikan panduan bagi mengurangkan penyakit ini ke tahap minima.
Pertama:
Tanamkan di dalam hati sungguh2 bahwa dunia hanya tempat singgahan sementara. Matlamat akhir adalah kembali ke kampung halaman yang Abadi di Sisi Allah.
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
عَنْ ابْنِ عُمَرْ رضي الله عَنْهُمَا قَالَ : أَخَذَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِمَنْكِبَيَّ فَقَالَ : كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيْلٍ. وَكاَنَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَقُوْلُ : إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ. [رواه البخاري]
Dari Ibnu Umar Radhiallahu 'anhuma berkata: "Rasulullah ﷺ memegang bahuku lalu bersabda: "Hiduplah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara", Ibnu Umar berkata: "Jika engkau berada di waktu petang jangan tunggu waktu pagi, dan jika engkau berada di waktu pagi, jangan tunggu waktu petang, gunakanlah kesihatanmu untuk (sebagai persiapan) masa sakit engkau dan kehidupan engkau (sebagai persiapan) untuk kematian engkau."
[Imam Bukhari]
Kedua :
Sentiasa Syukur dengan segala Kurniaan Allah sama ada sedikit atau banyak. Cara Syukur segala Nimat Allah :
1. Memuji Allah dengan pujian yang banyak
2. Tunaikan sekalian perintah Allah yang wajib dan ditambah yang sunnat2
3. Gunakan sekalian Ni'mat pada Jalan Allah — sedekah fi sabilillah, bantu faqir miskin, masjid dll.
✨🕌✨Firman Allah :
وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu Berfirman: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur engkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras."
[Ibrahim (14) : ayat 7]
Ketiga :
Bagi menjauhkan sifat tamak, lazimkan memandang orang yang di bawahnya, iaitu orang yang kurang berada, faqir miskin, orang terlantar dsb. Ketika itu dia akan sedar Ni'mat yang Allah Kurniakan kepadanya jauh lebih banyak dari orang lain.
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
"Dua perkara apabila dimiliki oleh seseorang, dia dicatat oleh Allah sebagai orang yang bersyukur dan sabar. Dalam urusan agama (ilmu dan ibadah) dia melihat kepada yang lebih tinggi lalu meniru dan mencontohnya. Dalam urusan dunia dia melihat kepada yang lebih bawah, lalu bersyukur kepada Allah bahwa dia masih diberi kelebihan."
[Imam At-Tirmidzi].
Keempat:
Jika Allah Ta'ala Kurniakan kamu rezeki (dunia) yang banyak, jangan "kenyang" sendiri, sebaliknya bahagi-bahagikanlah sebahagian rezeki tersebut kepada hamba2 Allah yang lain — mulai dengan ibu bapa sendiri, kemudian adik beradik sendiri yang susah2, kemudian diikuti sanak saudara engkau yang terdekat, kemudian jiran2 yang kesempitan, kemudian diikuti faqir miskin yang hidup melarat serta umum kerja2 fi Sabilillah yang lain. Semua sedekah inilah yang menjadi pembela dan penebus di Yaumul Mahsyar.
Kelima:
Simpan pakaian dan keperluan harian lain secukupnya yang lazim dipakai / digunakan. Selebihnya sedekahlah kepada orang lain. Jangan simpan pakaian atau barang lain secara berlebihan kerana setiap yang berlebihan akan dihisab dengan hisab yang berat.
Keenam:
Jangan sesekali terpesona atau tertawan dengan Ni'mat yang Allah berikan kepada golongan kafir, fasiq dan zalim kerana pemberian tersebut adalah Istidraj. Wal 'Iyazubillah
Ketujuh :
Sentiasa ingat bahawa bekal dibawa mati adalah "Agama", "Iman" dan "Taqwa"..... dan BUKAN harta benda, pangkat, darjat dunia. Oleh yang demikian sentiasa utamakan Akhirat di dalam seluruh kehidupan.
SIRI 129 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.17 Dosa Besar ke -17: Hasad ( حَسَد )
Definisi :
Dari segi bahasa :
Hasad ( حَسَد ) berasal dari kata ( حَسَدَ) , ( يَحْسُدُ ) ,( حَسَدً ) bermaksud : dengki, iri hati, kebencian orang lain mendapat nikmat, kebencian terhadap kebahagiaan orang lain.
Dari segi istilah :
Hasad adalah membenci suatu Ni'mat Kurnia Ilahi yang ada pada orang lain serta mengharap Ni'mat tersebut lenyap atau dia inginkan Ni'mat tersebut berpindah kepada dirinya (diri orang yang berhasad).
Penjelasan:
(1) Hasad atau dengki bermaksud engkau tidak senang dengan suatu nikmat duniawi yang dimiliki orang Muslim lain seperti kenderaan atau rumah kediaman yang cantik atau gedung perniagaan yang besar, barang kemas atau kedengkian terhadap kelebihan2 pada paras rupa, kemasyhuran dan lain2 sepertinya...dan engkau berharap nikmat tersebut hilang lenyap daripadanya, Atau engkau harap Ni'mat tersebut berpindah kepada engkau.
(2) Ulama memberikan berbagai bentuk definisi berkenaan perkataan "Hasad", namun kesemuanya menggambarkan tiga keadaan berikut :
Pertama : Benci kewujudan suatu ni'mat pada orang lain dan ingin agar ni'mat tersebut hilang lenyap daripada orang itu.
Kedua : Benci kewujudan suatu ni'mat pada orang lain dan ingin agar ni'mat tersebut berpindah kepada dirinya (diri orang yang berhasad).
Ketiga : Sangat gembira orang yang didengkinya itu mendapat musibah / kecelakaan.
Keempat : Kebencian mendorong orang yang berhasad itu melakukan serangan terhadap orang yang didengkinya dengan berbagai cara kasar (fizikal) atau halus. (sihir)
(3) Hasad berpunca dari cinta dunia, tamak haloba dan kemarahan meluap2 terhadap orang didengkinya. Seterusnya ini mencetuskan berbagai penyakit hati yang lain seperti dendam kesumat, pendustaan dan menabur fitnah... bahkan orang ini sanggup membunuh demi mencapai apa yang didengkinya.
(4) Hasad sering menjadi asbab manusia enggan tunduk kepada peraturan dan undang2 Allah Ta'ala, bahkan menjadi asbab yang membawa kepada kefasikan, kezaliman dan kekafiran. Wal Iyazubillah.
■ Iblis La'natullah (bangsa jinn) hasad / dengki kepada Nabi Adam Alaihis Salam sehingga sanggup derhaka kepada Allah Ta'ala.
■ Qabil hasad / dengki kepada saudaranya Habil sehingga sanggup membunuhnya.
■ Kaum bangsawan dan pembesar Quraisy enggan menerima Rasulullah ﷺ sebagai Utusan Allah kerana hasad / dengki kepada Baginda.
■ Pendeta Yahudi dan Nasrani juga enggan menerima Rasulullah ﷺ kerana hasad kepada Baginda. Mereka menganggap diri mereka lebih layak menjadi Nabi kerana mereka memiliki pangkat dan kedudukan yang tinggi di mata manusia.
(5) Orang yang hasad melakukan sekurang2nya tiga dosa besar sekaligus :
■ Pertama : Menentang Taqdir Ilahi
■ Kedua : Memusuhi Muslim lain semata2 kerana dunia
■ Ketiga : Kufur Ni'mat
(6) Kedengkian berlaku di semua peringkat masyarakat — bermula dari kedengkian sesama adik beradik, ahli keluarga, di kalangan pelajar2, di kalangan peniaga sehingga kepada pentadbiran negara dan politik dunia.
(7) Sesungguhnya kebanyakan hasad / dengki / iri hati adalah dilarang keras kerana ia penentangan kepada Taqdir Ilahi, Kufur Ni'mat serta menjurus kepada permusuhan, perpecahan, kefasikan, kezaliman dan kekafiran. Namun terdapat satu bahagian kecil yang diharuskan "hasad" padanya. Walau bagaimanapun "hasad" ini BUKAN "hasad" hakiki tetapi disebut "hasad majazi" yang mana BUKANLAH hasad pada hakikatnya tetapi lebih tepat katakan sebagai "perlumbaan di dalam melakukan kebajikan". (akan datang penjelasan lanjut)
SIRI 130 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.17 Dosa Besar ke-17: Hasad ( حَسَد )
sambungan...
Dalil-dalil:
✨🕌✨Firman Allah Ta'ala :
وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبُوا وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبْنَ وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا
“Dan janganlah kamu dengki terhadap apa yang diKurniakan oleh Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang laki-laki ada bahagian dari pada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari karunia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”
[An-Nisaa (4) : Ayat 32]
✨🕌✨Firman Allah Ta'ala :
وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ
"Serta (berlindung dengan Allah) dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan kedengkiannya."
[Al-Falaq (113) : ayat 5]
✨🕌✨Firman Allah Ta'ala :
وَدَّ ڪَثِيرٌ۬ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَـٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَـٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدً۬ا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم
"Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ingin kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana kedengkian di dalam jiwa mereka."
[Al-Baqarah (2) : Ayat 109]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
“Janganlah kamu dengki-mendengki, janganlah kamu putus-memutus silaturrahim, janganlah kamu marah-memarahi, janganlah kamu belakang-membelakangi, sebaliknya jadilah kamu hamba2 Allah yang bersaudara.”
[Imam Bukhari, Imam Muslim]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
“Takutlah kamu pada sifat hasad ( dengki, iri hati), sesungguhnya hasad itu memakan kebaikan-kebaikanmu sebagaimana api memakan kayu bakar.”
[Imam Abu Daud]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
·"Tidak berkumpul di dalam hati seorang manusia antara Iman dan hasad dengki."
(Imam Baihaqi]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
"Sesungguhnya akan menimpa Ummatku, penyakit ummat-ummat lain." Lalu para sahabat bertanya: " "Apakah penyakit ummat-ummat lain itu." Rasulullah ﷺ bersabda : "Lupa nikmat, zalim ketika memperoleh nikmat, banyakkan harta, berlomba2 capai keduniaan, jauh menjauhkan dan dengki- mendengki sehingga melampaui batas. Kemudian terjadilah pembunuhan."
[Imam At-Thabrani]
Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu :
"Dengki itu batasnya : Engkau benci kepada nikmat dan menyukai hilangnya nikmat pada orang yang menikmatinya"
[Ihya Ulumuddin]
Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:
"Al-Athar antara lain, kata sebahagian Ulama terdahulu" Awal kesalahan (kesalahan pertama ) adalah kedengkian Iblis (berserta Takabbur) kepada Nabi Adam Alaihis-Salam atas kedudukan beliau. Sehingga Iblis engkar kepada Perintah Allah agar dia sujud (tunduk penghormatan) kepada Nabi Adam. Maka Iblis dibawa oleh kedengkian (dan berserta sifat Takabbur) kepada ma'siat."
[Ihya Ulumuddin]
Bersambung siri 131 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment