■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
SIRI 571 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 67:
Enggan beri makan kepada faqir miskin
.....Sambungan....
Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:
"Firman Allah Ta'ala " كَلاَّ " (sekali-kali tidak demikian)." Ini adalah bantahan. Sebenarnya tidak seperti sangkaan mereka. Kekayaan bukan menunjukkan kemuliaan seseorang dan kefakiran bukan menunjukkan kehinaan. Kefakiran dan kehinaan itu adalah Ketetapan dan Keputusan-Ku (Milik Allah).
Al-Farra' berkata " كَلاَّ " di tempat ini bermakna tidak layak seseorang bersikap seperti itu. Sebaliknya dia wajib memuji Allah atas kekayaan dan kefakiran.
Di dalam sebuah hadith : Allah 'Azza- wa Jalla berfirman: "Sekali-kali tidak. Aku tidak Memuliakan orang yang Aku Muliakan dengan banyaknya dunia dan tidak Menghinakan orang yang Aku Hinakan dengan sedikitnya dunia. Sesungguhnya Aku Memuliakan orang yang Aku Muliakan dengan ta'at kepada-Ku dan Aku Menghinakan orang yang Aku Hinakan dengan maksiat kepada-Ku" (Riwayat Imam Malik di dalam perbahasan berkenaan sedekah).
Sebenarnya (kehinaan kamu, wahai orang kaya yang kufur adalah kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim dan kamu saling tidak mengajak memberi makan orang miskin dan tidak menyuruh keluarga kamu memberi makan kepada orang miskin yang datang kepada kamu."
[Tafsir Al-Qurtubi]
Tambahan: Pengajaran Pokok dari tafsiran Ulama
Pokok pengajaran dari Kalam Allah ini adalah : Kalam Allah ini menjunam ke dalam hati, menghancurkan sangkaan kebanyakan manusia bahawa kemuliaan dan kehinaan seseorang di Sisi Allah diukur dengan pandangan dan pemilikan yang bersifat duniawi.
Maksudnya kebanyakan manusia menyangka seseorang yang kaya- raya dengan harta benda duniawi — wang ringgit, dinar dan dirham, intan dan berlian, gedung-gedung perniagaan, sebagai orang yang telah mendapat kemuliaan di Sisi Allah, sementara orang yang miskin, faqir, tiada harta, dianggap sebagai orang yang hina di Sisi Allah. Sedangkan pendirian demikian adalah batil, yang jelas bertentangan dengan Ketetapan Allah.
Kebenarannya adalah:
Ukuran kemuliaan atau kehinaan di Sisi Allah adalah Iman, Tauhid, Taqwa, Ma'rifat kepada Allah. Mereka yang lebih tinggi Iman dan Taqwanya, maka dialah yang lebih utama dan memperoleh Kasih dan Keredhaan Allah, mencapai kemenangan dunia Akhirat. Sedangkan orang yang kaya-raya, hartawan dan jutawan, namun dia kufur kepada Nikmat Allah, maka dialah manusia hina yang menerima Laknat dan Kemurkaan Allah Ta'ala.
Di dalam Kalam Allah ini, Allah Ta'ala menegaskan sebahagian dari asbab seseorang yang kaya-raya menerima Kehinaan dan Kemurkaan Allah adalah kerana enggan memberi makan kepada faqir miskin dan tidak pula menganjurkan orang lain memberi makan kepada hamba-hamba Allah yang kelaparan.
Dalil 3: Rasulullah ﷺ bersabda:
لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ.
"Tidak termasuk orang yang beriman, orang yang kenyang sementara jiran tetangganya kelaparan."
[Imam Ath-Thabarani]
SIRI 572 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 67:
Enggan beri makan kepada faqir miskin
.....Sambungan....
Contoh-contoh:
===========
Contoh 1:
Seseorang mengherdik orang yang datang meminta makanan kerana kelaparan dengan kata-kata kehinaan seperti "kamu pemalas, pergilah cari kerja" atau dia berkata: "kamu pura-pura miskin" atau kata-kata kehinaan yang lain. Orang ini bukan sahaja enggan memberi makan orang yang kelaparan, tambah lagi dia menghina orang miskin.
Contoh 2:
Enggan hulurkan bantuan makanan atau lain-lain kepada jiran yang diketahuinya miskin dan kelaparan sedangkan dirinya hidup mewah.
Contoh 3:
Tidak pedulikan nasib mereka yang terkena suatu musibah seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran atau lainnya.
Contoh 4:
Ketika penyakit "covid 19" melanda dunia pada tahun 2019, 2020, 2021, ramai hilang pekerjaan dan sumber pendapatan. Alhamdulillah ramai yang tampil hulurkan bantuan kepada mereka yang putus rezeki akibat dihentikan kerja atau perniagaan bankrap atau lain-lain. Malangnya tidak semua orang yang berharta sedia hulurkan bantuan. Ahli politik pula mempunyai agenda tersendiri menaikkan nama masing-masing sehingga bantuan tak sampai kepada mangsa. Mereka ini bukan sahaja enggan "memberi makan kepada yang memerlukan", bahkan mereka adalah "penghalang" kepada kebajikan.
Contoh 5:
Setiap hari kita mendengar saudara kita di Syria, Yemen, Palestine menderita kelaparan, kesakitan dan rumah kediaman musnah. Ummat Islam seluruh dunia kirimkan bantuan kepada mereka.
Malangnya tidak semua petugas yang diamanahkan benar-benar jujur. Sebahagian mereka telah makan secara batil sedekah Ummat kepada mangsa. Ertinya mereka bukan sahaja tidak memberi makan dan tidak menganjurkan memberi makan kepada mangsa yang kelaparan, sebaliknya mereka "merampas" hak mereka yang kelaparan...!
SIRI 573 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 67:
Enggan beri makan kepada faqir miskin
.....Sambungan....
Punca
=====
(1) Penyakit hati — cinta dunia dan bakhil
(2) Tiada kasih sayang sesama orang beriman
(3) Tiada belas ihsan kepada manusia
(4) Mementingkan diri
Akibat
======
(1) Tidak mendirikan solat dan enggan beri makan kepada faqir miskin menjadi asbab Kemurkaan Allah
Orang-orang yang enggan memberi makan kepada faqir miskin dan yang yang kelaparan, orang yang tidak mahu menganjurkan beri makan dan mereka yang menghalang orang lain memberi makan kepada manusia yang kelaparan adalah termasuk manusia yang menerima Kemurkaan Allah.
Firman Allah
مَا سَلَكَكُمْ فِى سَقَرَ. قَالُوا۟ لَمْ نَكُ مِنَ ٱلْمُصَلِّينَ . وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ ٱلْمِسْكِينَ
"(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (Neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;"
[Al-Muddathhir (74) : Ayat 42 - 44]
(2) Kebakhilan jadi kalung Neraka
Firman Allah :
وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ هُوَ خَيْرًا لَهُمْ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَهُمْ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلِلَّهِ مِيرَاثُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
"Dan sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari Kurnia-Nya menyangka, bahwa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya (siksaan neraka) di hari Qiamat. Dan kepunyaaan Allah lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.
[Aali Imran (3) : Ayat 180]
(3) Jauh dari Rahmat Allah, hilang keberkatan rezeki
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sedekahkan hartamu. Janganlah engkau menghitung-hitungnya (menahan harta untuk diri sendiri). Jika tidak, maka Allah akan menghilangkan keberkatan rezeki tersebut. Janganlah menghalangi Anugerah Allah untukmu. Jika tidak, maka Allah akan menahan Anugerah dan kemurahan untukmu.”
[Imam Bukhari, Imam Muslim]
SIRI 574 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 67:
Enggan beri makan kepada faqir miskin
.....Sambungan....
Rawatan dan Penjagaan
==================
(1) Menetapkan Tauhid berhubung dengan rezeki
Kunci memahami tajuk ini dan kunci menepati Kehendak Allah adalah dengan cara menetapkan Tauhid di dalam hati bahawa sesungguhnya Allah Ta'ala Maha Menguasai dan Maha Pemberi Rezeki kepada setiap manusia bahkan setiap makhluq yang melata di bumi dan langit dan lautan.
Dia Maha Mengurniakan rezeki kepada setiap manusia menurut Kehendak-Nya dan Ketetapan-Nya yang Azali. Meskipun zahirnya manusia yang berusaha sungguh-sungguh mencari rezeki sehingga dia memperoleh harta kekayaan, namun hakikatnya semua itu Pemberian Allah.
Apabila seseorang yang beriman menetapkan keyakinan ini, maka dia akan mudah menunaikan tuntutan Allah pada urusan rezekinya. Namun menetapkan Tauhid ini amat sukar bagi kebanyakan orang di sebabkan wujudnya "keakuan diri", bisikan nafsu kejahatan dan hasutan Iblis yang sentiasa berusaha siang malam untuk menyesatkan manusia.
Contoh bisikan nafsu dan Iblis:
Ketika seseorang ingin bersedekah membantu faqir miskin Iblis bisikkan "jangan sedekah, nanti kamu hidup kamu susah", atau dia bisikkan, "anak kamu ramai sekolah, anak kamu perlukan belanja".
Jika dia berjaya atasi bisikan tersebut dan berjaya sedekah membantu faqir miskin dan keluarkan belanja untuk keperluan orang lain, Iblis akan datang dengan bisikan lain — bisikkan ujub, riya dan takabbbur... kata Iblis :
"kamu hebat sebab mampu sedekah kepada orang yang kesusahan. Tak ada orang lain sehebat kamu."
Ertinya dari arah mana pun, Iblis akan datang dengan berbagai bisikan sama ada menghalang terus seseorang dari menunaikan kewajipan ini atau menimbulkan kebanggaan di dalam diri sehingga rosak Tauhid.
(2) Memaksa diri
Jika seseorang mendapati dirinya sukar menetapkan Tauhid ini dan terasa sangat susah memberi makan kepada orang lain, susah membantu orang lain, kadangkala bercampur riya, bangga, megah diri dsb, maka dia perlu memaksa diri bersedekah, membantu orang lain walaupun dalam keadaan kurang ikhlas pada permulaannya. In shaa Allah lama kelamaan hatinya akan menjadi lembut untuk bersedekah, memberi makan dan hulurkan bantuan kepada yang memerlukan tanpa berkira-kira.
(3) Lazimkan membaca Peringatan Allah dan Rasul-Nya
Cara lain adalah sentiasa mengulang peringatan dan amaran Allah dan Rasul-Nya berhubung dengan kewajipan membantu faqir miskin dan orang yang terlantar. Mudah-mudahan hati menjadi lembut dengan mengulang-ulang ayat-ayat Allah dan Hadith Baginda Rasul ﷺ.
SIRI 575 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 68:
Menyumpah Musibah (مُصِيْبَة)
=======================
Definisi:
=======
Dari segi bahasa:
.................................
Dari segi bahasa, musibah ( مُصِيْبَة ) berasal dari kata ( أصَابَ - يُصِيْبُ ) — asoba, yusibu, yang bererti tertimpa, terkena, menimpa, terlimpah, limpahan, menepati sasaran.
Dari segi istilah:
..............................
Pada sisi Syara', musibah ( مُصِيْبَة ) boleh membawa kedua-dua maksud tertimpa keburukan (kecelakaan) atau boleh juga bermaksud memperoleh limpahan kebaikan. Al-Qur'an menggunakan perkataan "musibah" bagi menunjukkan kedua-dua keadaan ini. Namun lazimnya istilah "musibah" digunakan secara meluas untuk menunjukkan suatu keadaan kepedihan, kesakitan, kecelakaan, kesusahan hidup yang tidak menyenangkan.
Penjelasan
=========
Penjelasan 1:
Daripada ta'rif musibah, kita memahami ungkapan "musibah" lazimnya digunakan untuk menunjukkan "suatu keadaan yang tidak disenangi" yang menimpa seseorang atau keluarga, masyarakat atau sesebuah negara seluruhnya. Musibah mengakibatkan berbagai kesakitan, kesukaran hidup, penderitaan hidup.
Penjelasan 2:
Sebahagian orang menganggap "musibah" yang menimpa mereka dan dunia seluruhnya sebagai fenomena alam dan tiada kaitan dengan perbuatan manusia. Sebahagian lagi menganggap "musibah" sebagai sumpahan-sumpahan jinn, bunian, dewa-dewa dan sebagainya. Sebahagian lagi menganggap semua macam "musibah" sebagai suatu yang malang dan tiada apa-apa kebaikan padanya. Pendapat-pendapat seperti ini bertentangan dengan pendirian dan pegangan Ahlus Sunnah.
Penjelasan 3:
Menurut pendirian Ahlus Sunnah wal Jama'ah, setiap musibah yang menimpa manusia atau alam ini seluruhnya adalah dari Allah Ta'ala pada haqiqatnya, bukan terjadi sendiri.
Zahirnya kamu melihat gempa bumi, Tsunami, gunung berapi, banjir besar dan lain-lain melanda dunia sehingga terjadi berbagai kerosakan dan kemusnahan. Zahirnya kuman, bakteria, virus berbahaya menimpa manusia sehingga sebahagiannya mati. Haqiqatnya semua kejadian tersebut berlaku menurut ketetapan Yang Maha Kuasa.
Penjelasan 4:
Setiap musibah berlaku mempunyai maksud dan hikmah tersendiri yang tidak dapat diselami oleh kebanyakan manusia. Sebahagian lagi darinya adalah bala Kemurkaan Allah. Sebahagian lagi adalah peringatan dari Allah Ta'ala, sebahagian lagi mengandungi dugaan dan cubaan ke atas Keimanan seseorang, sebahagian lagi sebagai jalan mencapai pahala, dihapuskan dosa dan dinaikkan darjatnya.
Penjelasan 5:
Menyumpah suatu musibah adalah dosa besar kerana ketika seseorang menyumpah suatu musibah, maka dia sedang menyumpah-nyumpah Allah Ta'ala.
Berkata Imam Al-Haytami Radiallahu anhu:
"Hadith-hadith yang banyak menunjukkan bahawa meratapi jenazah, dan perbuatan lain seperti mencabut rambut, mencakar wajah, merobek baju dan menyumpah serapah adalah perbuatan terlaknat. Semua itu boleh bawa kepada kekafiran. Banyak pendapat (fatwa Ulama) mengatakan ianya dosa besar.
[Az-Zawaajir]
SIRI 576 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 68:
Menyumpah Musibah
Dalil-dalil
=========
Berikut adalah ringkasan pegangan Ahlus Sunnah wal Jamaah berhubung dengan musibah berserta dalil-dalilnya.
Pegangan 1:
Setiap Musibah pada haqiqatnya dari Allah Ta'ala.
Firman Allah:
مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فِىٓ أَنفُسِكُمۡ إِلَّا فِى ڪِتَـٰبٍ۬ مِّن قَبۡلِ أَن نَّبۡرَأَهَآ إِنَّ ذَٲلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌ۬
“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”.
[Al-Hadid (57) : Ayat 22]
Pegangan 2:
Tidak akan berlaku Musibah melainkan dengan izin Allah.
Firman Allah:
مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِ وَمَن يُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ يَہۡدِ قَلۡبَهُ ۥ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمٌ۬
Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
[At-Taghabun (64) : Ayat 11]
Pegangan 3:
Tawakkal kepada Allah ketika ditimpa Musibah.
Firman Allah:
قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلاَّ مَا كَتَبَ اللّهُ لَنَا هُوَ مَوْلاَنَا وَعَلَى اللّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
Katakanlah: "Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakkal."
[At-Taubah (9) : Ayat 51]
Pegangan 4:
Ganjaran besar bagi orang beriman yang sabar dan tawakkal kepada Allah di atas Musibah kezaliman manusia ke atasnya.
Firman Allah:
وَالَّذِينَ هَاجَرُواْ فِي اللّهِ مِن بَعْدِ مَا ظُلِمُواْ لَنُبَوِّئَنَّهُمْ فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَلَأَجْرُ الآخِرَةِ أَكْبَرُ لَوْ كَانُواْ يَعْلَمُونَ. الَّذِينَ صَبَرُواْ وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُون
“Dan orang-orang yang berhijrah karena Allah sesudah mereka dianiaya, pasti Kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. Dan Sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui (yaitu) orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal.”
[An-Nahl (16) : Ayat 41, 42]
Pegangan 5:
Musibah sebagai dugaan Keimanan.
Firman Allah:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوْعِ وَنَقْصٍ مِنَ اْلأَمْوَالِ وَاْلأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِيْنَ
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”
[Al-Baqarah (2) : Ayat 155]
Pegangan 6:
Musibah dan azab berat terjadi akibat Ma'siat.
Firman Allah:
وَإِذَآ أَرَدۡنَآ أَن نُّہۡلِكَ قَرۡيَةً أَمَرۡنَا مُتۡرَفِيہَا فَفَسَقُواْ فِيہَا فَحَقَّ عَلَيۡہَا ٱلۡقَوۡلُ فَدَمَّرۡنَـٰهَا تَدۡمِيرً۬ا
Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan ma’siat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.
[Al-Isra (17) : Ayat 16]
Pegangan 7:
Musibah sebagai kifarat dosa-dosa
Rasulullah ﷺ bersabda:
Tidaklah seorang mukmin itu ditimpa kepenatan, kesakitan, perkara yang tidak disukainya, kesedihan, bahaya (yang disebabkan oleh orang lain) dan kerisauan, hatta duri yang mencucuknya kecuali Allah akan mengampunkan dosa-dosanya.”
[Imam Bukhari, Imam Muslim]
SIRI 577 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 68:
Menyumpah Musibah
Pegangan 8:
Kemungkaran, kezaliman, ma’siat terang-terangan mengundang wabak penyakit berat.
Rasulullah ﷺ bersabda:
لَمْ تَظْهَرِ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا إِلاَّ فَشَا فِيهِمُ الطَّاعُونُ وَالأَوْجَاعُ الَّتِي لَمْ تَكُنْ مَضَتْ فِي أَسْلاَفِهِمُ الَّذِينَ مَضَوْا
"Tidaklah muncul kejahatan pada sesebuah kaum sehinggalah mereka melakukannya secara terang-terangan melainkan akan merebak dalam kalangan mereka wabak taun serta penyakit-penyakit yang tidak pernah muncul dalam kalangan generasi sebelum mereka.
[Imam Ibn Majah]
Pegangan 9:
Musibah kerana tiada yang cegah kemungkaran.
Musibah turun apabila ma'siat berleluasa dan tidak ada yang mencegah kemungkaran tersebut.
Firman Allah:
وَٱتَّقُواْ فِتۡنَةً۬ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمۡ خَآصَّةً۬ۖ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
“Dan peliharalah diri kamu dari fitnah yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu secara khusus, (akan tetapi menimpa secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Amat Keras siksaan-Nya.”
[ Al-Anfaal (8) : Ayat 25]
Firman Allah:
فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُڪِّرُواْ بِهِۦۤ أَنجَيۡنَا ٱلَّذِينَ يَنۡہَوۡنَ عَنِ ٱلسُّوٓءِ وَأَخَذۡنَا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ بِعَذَابِۭ بَـِٔيسِۭ بِمَا كَانُواْ يَفۡسُقُونَ
"Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasiq (derhaka)"
[Al-A'raf (7) : Ayat 165]
Pegangan 10:
Bala ma'nawiyyah — Musibah kepada hati (Hati dikunci mati akibat kekufuran).
Firman Allah:
فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ۬ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضً۬اۖ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمُۢ بِمَا كَانُواْ يَكۡذِبُونَ
Dalam hati mereka (golongan yang munafiq itu) terdapat penyakit, maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).
[Al-Baqarah (2) : Ayat 10]
SIRI 578 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 68:
Menyumpah Musibah
….. sambungan…..
Bentuk-Bentuk Musibah
==================
Sebagaimana kami katakan: Berdasarkan penegasan Al-Qur'an, Hadith dan Ijma Qias Ulama kita (Ahlus Sunnah), Musibah yang menimpa seseorang atau sesebuah kumpulan manusia atau sesebuah negara atau dunia seluruhnya adalah di dalam Kekuasaan Allah Ta'ala Yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana. Setiap musibah yang terjadi adalah menurut ketentuan Allah pada Azali.
Allah Ta'ala menimpakan Musibah kepada manusia berdasarkan keadaan diri seseorang — hal hati seseorang berserta perkataan dan perbuatannya. Tujuan musibah yang menimpa seseorang dan akibat daripada musibah tersebut jauh beza dengan musibah yang menimpa orang beriman. Demikian lagi musibah yang menimpa Rasul, Nabi dan Auliya Allah mempunyai maksud-maksud tertentu yang berbeza dengan musibah yang menimpa orang beriman tingkatan rendah.
Pertama : Musibah ke atas orang kafir, munafiq dan fasiq.
Sesungguhnya musibah yang terkena kepada orang Kafir, Munafiq dan fasiq ; sama ada yang terkena secara khusus kepada diri mereka sendiri seperti penyakit misteri atau musibah secara umum yang menimpa dunia seperti gempa bumi, taufan, kebakaran dan sebagainya ... maka semua macam musibah ini merupakan bala Kemurkaan Allah dan Penghinaan Allah ke atas kekufuran mereka.
Kedua : Musibah ke atas orang beriman.
Musibah yang menimpa orang beriman adalah suatu bentuk Rahmat dan Belas Ihsan Ilahi kepada mereka, bukan bala Kemurkaan-Nya.
Semua jenis musibah yang menimpa orang beriman sama ada berbentuk bencana ke atas dirinya seperti kesakitan tubuh badan, kesedihan, kehilangan harta benda dan kezaliman manusia ke atasnya atau musibah berupa bencana alam meliputi dunia seperti taufan, banjir besar, gempa bumi dan lain-lain sepertinya... dalam semua keadaan ini musibah yang menimpanya mengandungi hikmah kebaikan dan keberuntungan baginya dunia Akhirat.
Ketiga : Musibah ke atas Rasul, Nabi dan Auliya Allah
Musibah bagi Rasul, Nabi dan Auliya Allah adalah suatu bentuk Kasih Sayang Allah Ta'ala kepada mereka bagi meningkatkan Darjat mereka di Sisi-Nya. Daripada sekian banyak manusia, hamba Allah yang paling berat menerima musibah adalah sekalian utusan Allah. Mereka dimusuhi, dituduh sebagai Ahli sihir, dituduh pemecah belah masyarakat, dituduh pelampau yang cuba merosak masyarakat, dituduh sebagai gila, ahli sihir dan macam-macam lagi penghinaan dilemparkan kepada mereka.
SIRI 579 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 68:
Menyumpah Musibah
….sambungan…..
Penjelasan ringkas:
Musibah ke atas orang Kafir, Munafiq dan Fasiq.
Sesungguhnya musibah yang terkena kepada orang kafir, munafiq dan fasiq, sama ada yang terkena secara khusus kepada diri mereka sendiri seperti penyakit misteri atau musibah secara umum yang menimpa dunia seperti gempa bumi, taufan, kebakaran dan sebagainya ... maka semua macam Musibah ini merupakan bala Kemurkaan Allah dan Penghinaan Allah ke atas kekufuran mereka.
Siapakah yang dimaksudkan dengan orang kafir, munafiq dan fasiq dan apakah perbezaannya? Kita menyebut secara ringkas :
Kafir — orang yang terang-terang mengingkari Allah dan Rasul, enggan beriman kepada Allah dan Rasul dan melakukan penentangan terhadap Agama Islam yang suci.
Munafiq — Orang yang menzahirkan keislamannya dan menyembunyikan kekafirannya. Ertinya dia menamakan dirinya Islam, berpakaian Islam dan mengikut adat kebiasaan orang Islam namun hatinya kafir. Orang ini hanya pura-pura Islam dengan niat-niat yang menyimpang — boleh jadi dia ingin mendapat habuan duniawi atau mengambil kesempatan atas kelemahan orang Islam atau dia benar-benar bertujuan memusnahkan orang Islam dari dalam (gunting di dalam lipatan atau api di dalam sekam).
Fasiq — Orang Islam yang melakukan dosa besar (minum arak, judi, tenung nasib, melakukan kezaliman ke atas manusia, khianati amanah Allah dan lain-lain) atau dia kekalkan dosa kecil tanpa Taubat. Orang fasiq tidak kafir, tetapi masih Islam namun keislamannya di tebing bahaya, boleh jatuh kekafiran jika tidak berhati-hati dan terus- menerus di dalam kefasikan.
Bagi ketiga-tiga golongan ingkar ini, musibah merupakan bala Kemurkaan Allah, BUKAN Rahmat Allah. Meskipun mereka hidup mewah, memiliki kekayaan melimpah-ruah, berpangkat tinggi serta mempunyai kedudukan yang istimewa pada pandangan dunia... namun sia-sialah sekalian perbuatan mereka dan mereka adalah manusia yang merugi dunia Akhirat. Mereka akan bergembira sementara waktu kemudian akan ditimpakan azab di dunia lagi, kemudian Azab lebih besar di Akhirat. Wal Iyazubillah
Firman Allah:
وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِنَ الْعَذَابِ الْأَدْنَى دُونَ الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ
“Dan Sesungguhnya Kami (Allah) akan merasakan kepada mereka sebahagian Azab yang dekat (di dunia) sebelum Azab yang lebih besar (di Akhirat)."
[As-Sajadah (32) : Ayat 21]
Firman Allah:
أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ لَيۡسَ لَهُمۡ فِى ٱلۡأَخِرَةِ إِلَّا ٱلنَّارُۖ وَحَبِطَ مَا صَنَعُواْ فِيہَا وَبَـٰطِلٌ۬ مَّا ڪَانُواْ يَعۡمَلُونَ
“Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di Akhirat, kecuali 'Azab Neraka dan lenyaplah di Akhirat itu apa yang telah mereka usahakan (di dunia) dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.”
[Huud (11) : Ayat 16]
Firman Allah:
وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لا يَعْلَمُونَ
“Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, nanti Kami akan _Istidraj_ mereka (menarik mereka dengan beransur-ansur ke arah kebinasaan), dengan cara yang tidak mereka ketahui.”
[Al A'raf (7) : Ayat 182]
Rasulullah ﷺ bersabda:
”Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan Nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah di istidraj oleh Allah Ta’ala.”
[Imam At-Thabrani, Imam Ahmad, Imam Al-Baihaqi)
Adakah kamu kagum dengan orang kafir, munafiq dan fasiq hidup mewah, hidup di dalam keriangan, sedangkan mereka terus-menerus memusuhi Agama dan melakukan berbagai kerosakan dan kezaliman di atas muka bumi?
Sesungguhnya yang demikian ... Kekayaan, kemewahan, pangkat dan kedudukan yang mereka menikmati BUKAN dari Kemurahan Allah Ta'ala sebaliknya ia merupakan Istidraj, iaitu Allah Ta'ala biarkan mereka di dalam kekufuran mereka sehingga sampai suatu masa Allah Ta'ala menyentap ruh mereka dengan rentapan yang keras.
SIRI 580 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 68:
Menyumpah Musibah
….sambungan…..
Penjelasan ringkas:
Musibah ke atas orang beriman.
Musibah yang menimpa orang beriman adalah suatu bentuk Rahmat dan Belas Ihsan Ilahi kepada mereka, bukan bala Kemurkaan-Nya. Semua jenis musibah yang menimpa orang beriman sama ada berbentuk bencana ke atas dirinya seperti kesakitan tubuh badan, kesedihan, kehilangan harta benda dan kezaliman manusia ke atasnya atau musibah berupa bencana alam meliputi dunia seperti taufan, banjir besar, gempa bumi dan lain-lain sepertinya... dalam semua keadaan ini musibah yang menimpanya mengandungi hikmah kebaikan dan keberuntungan baginya dunia Akhirat.
(1) Ujian Keimanan —Siapa yang sebenarnya beriman.
Firman Allah :
الم (١)أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ (٢)وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ (٣)
Alif laam miim.
Apakah manusia mengira bahwa mereka dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.
[Al-Ankabut (29) : Ayat 1,2,3]
(2) Ujian Tawakkal dan kesabaran.
Firman Allah :
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ
“Sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan khabar gembira bagi orang-orang yang bersabar”
[Al Baqarah (2) : Ayat 155]
(3) Supaya manusia sentiasa tetap bergantung hati kepada-Nya.
Firman Allah :
أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ ۖ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”
[Al-Baqarah (2) : Ayat 214]
(4) Allah Ta'ala hapuskan dosanya, di-Kurniakannya pahala, dinaikkan darjatnya.
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Tidak ada penderitaan, kesengsaraan, sakit, kesedihan dan bahkan juga kekalutan yang menimpa seorang mukmin, melainkan dengan semua itu dihapuskan sebahagian dosanya. “
[Imam Muslim]
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Tidaklah seorang muslim tertusuk duri atau yang Iebih kecil dari itu, melainkan akan ditulis baginya satu derajat dan akan dihapus satu kesalahannya.”
[Imam Muslim]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Tidak ada satu pun musibah (cubaan) yang menimpa seorang muslim berupa duri atau yang semisalnya, melainkan dengannya Allah akan mengangkat derajatnya atau menghapus kesalahannya.”
[Imam Muslim]
(5) Bertemu Allah di dalam keadaan bersih.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sentiasalah ujian itu menerpa mukmin atau mukminah pada jasadnya, harta dan anaknya sampai ia bertemu dengan Allah dalam keadaan tidak mempunyai dosa.”
[Imam Ahmad dan Imam Tirmidzi]
Perhatikan:
Keseluruhan keterangan di atas membawa maksud yang sama ; iaitu memberikan isyarat khabar gembira kepada orang beriman bahawa setiap musibah yang terkena kepada mereka akan diberikan ganjaran terbaik dari Sisi-Nya. Sesekali ketika mereka terjatuh kepada kelalaian dan dosa, maka Allah Ta'ala menyediakan Jalan Taubat dan kifaratkan dosa-dosa mereka dengan menimpakan berbagai musibah.”
Bersambung siri 581 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=======================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
No comments:
Post a Comment