B59 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 581 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 68

Menyumpah Musibah

….sambungan….


Penjelasan ringkas :

Musibah ke atas Rasul, Nabi dan Auliya Allah.


Musibah bagi Rasul, Nabi dan Auliya Allah adalah suatu bentuk Kasih Sayang Allah Ta'ala kepada mereka bagi meningkatkan Darjat mereka di Sisi-Nya.


Daripada sekian banyak manusia, hamba-hamba Allah yang paling berat menerima musibah adalah sekalian Utusan Allah.  Mereka dimusuhi, dituduh sebagai ahli sihir, dituduh pemecah belah masyarakat, dituduh pelampau yang cuba merosak masyarakat, dituduh sebagai gila dan macam-macam lagi penghinaan dilemparkan kepada mereka.  


Mengapakah mereka dimusuhi dan diperangi?


Cuba lihat Nabi kita yang mulia Sayyidina Muhammad ﷺ.   Sebelum Junjungan Rasulullah ﷺ mendapat wahyu menjadi Nabi, Baginda terkenal sebagai Al-Amin, orang yang amanah, orang yang sangat mulia.    Namun sebaik sahaja Baginda menjadi Nabi dan menyeru kaum Quraisy supaya beriman kepada Allah Yang Maha Esa, dan tinggalkan sembahan kepada berhala, maka seluruh angkatan Quraisy bangkit memerangi Baginda.  Mereka mencaci, menghina dan menuduh Baginda dengan berbagai panggilan buruk. 


Mengapakah kaum Quraisy tiba-tiba menjadi ganas?

Apakah kesalahan Baginda?

Kaum Quraisy memusuhi Baginda kerana Baginda menyeru kepada "Tauhid".  Baginda menyeru kepada hakikat _Ubudiyyah_ yang mutlaq.  Golongan Quraisy memahami maksud Da'wah Rasulullah ﷺ.  


Jika Baginda menyeru kaum Quraisy supaya masing-masing melakukan ritual peribadatan, sudah tentu masyarakat Quraisy akan menerima dengan lapang dada kerana mereka juga beribadat kepada patung-patung dewa Tuhan-tuhan mereka.  Tetapi "Cahaya Tauhid" yang Baginda bawa bukan demikian, bukan ritual peribadatan yang telah menjadi amalan mereka.  Tetapi ia adalah Kalimat Agung yang menggoncang kegelapan hati manusia jahil dan takabbur. 


Meskipun para Rasul, Nabi dan Warisatul Anbiya menghadapi berbagai tentangan, halangan, cacian, fitnah dan ugutan, namun mereka tetap menyempurnakan Amanah Allah dan tidak berganjak sedikit pun daripada kebenaran. 


Allah Ta'ala meningkatkan Darjat Kemuliaan mereka di Sisi-Nya atas kesabaran mereka menghadapi segala dugaan mendirikan Kalimah Allah atas muka bumi.    Sesungguhnya mereka adalah Kekasih Allah yang tiada khuatir dan tiada ketakutan apa pun menghadapi makhluq.


 Firman Allah :


أَلَآ إِنَّ أَوۡلِيَآءَ ٱللَّهِ لَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ


“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

[Yunus (10) : Ayat 62]


SIRI 582 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 68:

Menyumpah Musibah

….sambungan….



Contoh-contoh

=============


Contoh 1:

Seorang pejalan kaki tersepak batu sehingga kakinya berdarah.  Lalu dia menyumpah musibah yang menimpanya dengan kata-kata "sial", "celaka", "batu tak guna" dan sebagainya.  


Contoh 2:

Seorang isteri yang kematian suami atau kematian anaknya menyumpah musibah yang menimpanya dengan kata-kata buruk. 


Contoh 3:

Seseorang yang hilang harta benda di dalam kebakaran menyumpah-nyumpah musibah yang menimpanya.



Punca manusia menyumpah

=====================


(1) Penyakit hati yang berat

(2) Jahil berkenaan Taqdir Ketentuan Allah

(3) Kemarahan meluap-luap



Akibat menyumpah musibah

=====================


(1) Rosak Imannya, Tauhidnya 

(2) Hilang Rahmat Allah

(3) Termasuk orang yang kufur Ni'mat

(4) Masuk Kemurkaan Allah


SIRI 583 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 68:

Menyumpah Musibah

....sambungan....


Rawatan dan Penjagaan

=================


(1) Fardhu 'ain pelajari Bab Qodha dan Qadar

Setiap orang Islam wajib mempelajari hukum-hakam berkenaan Taqdir, Ketentuan Allah yang 'Azali,  Af'al Allah (Perbuatan Allah) dan af'al makhluq (perbuatan makhluq) kerana tajuk "Dosa besar menyumpah musibah" merupakan persoalan yang terkait kepada Iman kepada Qadha dan Qadar. 


(2) Pelajari Tauhid daripada Mursyid yang Siddiq (benar)

 Setiap Muslim wajib menuntut ilmu berkenaan Tauhid (Tauhid Haqiqi) dari  Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Ini kerana hanya Mursyid yang Siddiq benar-benar 'arif Mengenal Allah Zahir dan Batin. 


(3) Allah Ta'ala Ciptakan makhluq menurut Ketentuan-Nya yang 'Azali

Menyakini tanpa keraguan bahawa Allah Ta'ala Menciptakan setiap makhluq menurut Taqdir ketentuan yang Azali.


Firman Allah:


إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ


"Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut Taqdir (yang telah ditentukan)”

[Al-Qamar  (54) : Ayat 49]


(4) Allah Ta'ala ciptakan makhluq berserta perbuatannya

Tetapkan keyakinan yang tiada belah bahagi bahawa Allah Ta'ala Maha Menciptakan sekalian makhluq berserta perbuatannya (sekalian hal ehwal yang terjadi padanya).


Firman Allah:


وَٱللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ 


"Allah yang mencipta kamu dan perbuatan kamu."

[As-Saffat (37) : Ayat 96]


(5) Tiada suatu diam atau bergerak melainkan dengan Allah

Meyakini bahawa tidak ada suatu zarrah pun diam atau bergerak (pada haqiqatnya) melainkan ianya ketentuan Allah. 


Firman Allah Ta'ala:


وَمَا رَمَيْتَ إِذْ رَمَيْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ رَمَىٰ


"dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allah-lah yang melempar."

[Al Anfal (8) : Ayat 17]


(6) Tiada suatu musibah menimpa melainkan dengan ketentuan Allah

Yakin dengan keyakinan teguh bahawa tiada yang memberi manfaat dan tiada yang mampu menolak mudharat, musibah, kecelakaan melainkan dengan Allah. 


(7) Orang yang selamat

Orang yang selamat dunia Akhirat adalah orang yang benar-benar Taqwa kepada Allah, sabar dengan kesabaran yang tinggi menghadapi sekalian musibah yang menimpa dengan penuh keimanan serta jauhkan sama sekali dari menyumpah musibah yang menimpanya.


 Firman Allah Ta'ala:


إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ


Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira”. 

[Az-Zumar (39) : Ayat 10]


SIRI 584 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

======================



Definisi-Definisi:

==============


Definisi Tafsir

__________________


Dari segi bahasa: 

Tafsir (تَفْسِير ) berasal dari kata dasar (فسر ,يفسر, تفسيرا) bererti : 

penjelasan, penerangan, penyuluhan, penyingkapan, menjelaskan kesamaran, terang nyata, membuka tutupan, menyingkap suatu yang tersembunyi. 


Dari segi istilah:

Tafsir (تَفْسِير )

Tafsir adalah penyingkapan, penyuluhan, huraian, kupasan, penjelasan, penerangan yang mendalam terhadap ayat-ayat suci Al-Qur'an oleh Ulama yang benar-benar mahir dan menepati syarat sebagai Mufassir (Pakar Tafsir) dan Mujtahid (pakar menerbitkan hukum), bertujuan memahami Perintah Allah yang bersifat zahir (syari'at) dan yang bersifat batin (rahsia-rahsia Ma'rifat) serta melaksanakannya di dalam seluruh kehidupan bagi mencapai Keredhaan Allah.


Berkata sebahagian Ulama:

Tafsir (تَفْسِير ) ialah menjelaskan makna ayat: dari segi segala persoalannya, kisahnya, asbabun nuzulnya, dengan menggunakan lafaz yang menunjukkan kepadanya secara terang.


Pengertian lain:

Tafsir (تَفْسِير ) ialah ilmu yang mengkaji tentang pemahaman terhadap Kitabullah yang diturunkan kepada Junjungan Nabi Muhammad ﷺ, menerangkan makna-maknanya, mengeluarkan hukum-hukum serta hikmah yang terkandung di dalamnya.  



Definisi Ta'wil

_________________


Dari segi bahasa:

Ta'wil (تأْوِيل ) berasal dari kata awwala , yu'awwilu, ta'wilan ( اَوَّلَ ، يُأَوِّلُ ، تأْوِيلاً ) yang bermaksud :  akibat, memalingkan, kembali bersandar padanya,


Dari segi istilah:

Pengertian Umum Ta'wil (تأْوِيل ) adalah hampir serupa dengan pengertian Tafsir, iaitu penyingkapan, penyuluhan, huraian, kupasan, penjelasan, penerangan yang mendalam terhadap ayat-ayat suci Al-Qur'an oleh Ulama Allah yang benar-benar mahir dan layak. 


Pengertian khusus Ta'wil (تأْوِيل ) adalah:  

Memalingkan makna zahir suatu ayat Qur'an kepada makna batin yang menepati ruh Agama, iaitu menepati Al-Qur'an dan Sunnah Rasul ﷺ atau dikatakan:

Ta'wil (تأْوِيل ) adalah mengembalikan sesuatu ayat atau keterangan Al-Qur'an kepada maksud yang sebenarnya atau tujuan sebenar ia diturunkan. 


Catitan: Persamaan dan

Perbezaan Tafsir dan Ta'wil:

___________________________


(1) Pada dasarnya Tafsir (تَفْسِير ) dan Ta'wil (تأْوِيل ) mendokong matlamat yang sama, iaitu: Menjelaskan kandungan Al-Qur'an sehingga diketahui Perintah Allah, cara-cara mengenal Allah dan cara-cara ubudiyyah kepada Allah dengan tulus ikhlas bagi mencapai Keredhaan Allah. 


(2) Tafsir lebih umum daripada Ta’wil.  Ta'wil menjelaskan pengertian yang mendalam dari Tafsir.


(3) Tafsir menerangkan lafaz-lafaz dan hukum yang pasti sedangkan Ta’wil lebih banyak menjelaskan haqiqat dan rahsia-rahsia disebalik ungkapan.


(4) Pada hakikatnya sumber bagi Tafsir dan Ta'wil adalah daripada Allah Ta'ala sendiri.   Ini kerana Al-Qur'an adalah Kalam Allah, maka Dia yang Maha Mengetahui tafsir dan ta'wil bagi setiap Kalimat-Nya. Ini bermakna Ulama yang benar mengambil tafsir dan ta'wil dari Petunjuk Allah (iaitu kasyaf, ladunni, Ilham Rabbaniyyah ).  Mereka tidak melakukan Tafsir dan Ta'wil terhadap Al-Qur'an menurut pendapat sendiri. 


SIRI 585 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



Penjelasan

==========


Penjelasan 1:

Al-Qur'an adalah Kalam Allah yang Maha Suci, Maha Agung, Maha Sempurna.  Setiap kalimatnya, bahkan setiap hurufnya mengandungi ribuan rahsia, hikmah, petunjuk, pelajaran, pengajaran dan panduan hidup zahir batin bagi sekalian manusia.


Al-Qur'an Kalamullah merupakan Cahaya Ketuhanan yang menerangi seluruh alam, menjadi Petunjuk kepada manusia yang ingin bertaqwa dan kembali kepada Allah di dalam keadaan selamat sejahtera.


Al-Qur'an Kalamullah merupakan Cahaya Ketuhanan yang menjadi penawar dan penyembuh sekalian penyakit zahir dan penyakit batin manusia.


Al-Qur'an Kalam Allah Yang Maha Agung terdiri dari kalimat-kalimat tinggi, rahsia-rahsia Ketuhanan dan kehambaan yang amat halus, rahsia alam yang tersembunyi, yang amat sukar difahami oleh kebanyakan manusia, kecuali sebahagian daripadanya yang  berbentuk peringatan, amaran, hukuman, balasan di dunia mahu pun di Akhirat.


Penjelasan 2:

Oleh kerana Al-Qur'an merupakan Kalam Allah Yang Maha Tinggi, Maha Seni dan Maha Halus sehingga tidak dapat difahami oleh kebanyakan manusia, maka manusia memerlukan mufassir (ahli Tafsir) dan mujtahid (ahli ijtihad yang menerbitkan hukum - hakam) bagi menjelaskan kandungan Al-Qur'an.


Penjelasan 3:

Setiap mufassir (ahli Tafsir) dan mujtahid (ahli ijtihad yang menerbitkan hukum - hakam) wajib menepati syarat-syarat yang benar-benar melayakkan mereka menjadi mufassir dan mujtahid. Mereka adalah "Ulama Pilihan Allah" yang mewarisi Ilmu Nabi ﷺ, zahir dan batin bagi menjelaskan kandungan Al-Qur'an. 


Penjelasan 4:

Pada hakikatnya, tidak ada yang mengetahui Tafsir dan Ta'wil bagi Al-Qur'an melainkan Allah Ta'ala sendiri.  Kemudian Allah Ta'ala Limpahkan beberapa rahsia yang tersimpan di dalam "Diri-Nya" kepada hamba-hamba Pilihan-Nya, iaitu Rasul, Nabi dan Auliya Allah yang mewarisi Cahaya Risalah dan Nubuwwah.  Melalui rahsia-rahsia Ketuhanan dan kehambaan yang Allah Ta'ala curahkan ke dalam diri mereka inilah mereka mampu mengenal haq dan batil. Mereka mampu membezakan Petunjuk Allah dengan bisikan syaitan.  Maka tafsir dan ta'wil mereka benar-benar menurut Petunjuk Allah dan bebas dari pengaruh hawa nafsu atau bisikan syaitan dan jauh dari pengaruh manusia sesat atau pengaruh pemerintah zalim.


Penjelasan 5:

Orang yang belum sampai ke peringkat Ma'rifat, mengenal Allah dengan tahqiq takkan mampu bezakan Petunjuk Allah dengan bisikan syaitan dan bisikan halus nafsu yang seringkali terlihat seperti kebenaran sedangkan ianya batil dan sesat.  Mereka seringkali terbabas kepada menuruti bisikan nafsu atau syaitan atau menurut tuntutan Pemerintah fasiq. 


Penjelasan 6:

Setiap mufassir dan mujtahid  wajib menepati kedua-dua syarat zahir dan syarat batin.  

Syarat zahir 15 syarat. 

Sebahagian daripada syarat tersebut adalah :   Hafal Qur'an dan mahir di dalam ulumul Qur'an, Hafal 500,000 Hadith dan mampu bezakan darjat-darjat Hadith, mahir di dalam 15 lughat Bahasa Arab, mahir dalam ilmu nahwu, saraf, balaghah, mantiq, bayan, badi' dan lain-lain, mahir memahami  Sirah Nabawiyyah — Sirah Rasulullah ﷺ dan  sirah Nabi-Nabi terdahulu. 


Syarat batin adalah : 

Beliau mesti merupakan ahli Ma'rifat yang sudah mengenal Allah dengan Ma'rifat yang tahqiq sehingga setiap "Kalimat Allah" yang ditafsirnya menurut Petunjuk Allah yang tahqiq,  tidak sesekali terbit dari nafsu kehendaknya atau kerana bisikan syaitan atau kehendak manusia. 


Penjelasan 7:

Setiap mufassir dan mujtahid yang benar hanya wujud di dalam Ahlus Sunnah Wal Jamaah,  sedangkan selain Ahlus-Sunnah (72 golongan yang terkeluar dari Ahlus Sunnah)  mentafsirkan Al-Qur'an secara batil kerana mereka menuruti hawa nafsu dan bisikan syaitan. 


SIRI 586 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....




Penjelasan 8:

Pada hayat Rasulullah ﷺ, hanya Baginda yang berikan penjelasan terhadap Al-Qur'an.   Ketika para Sahabat musykil berkenaan sesuatu ayat Al-Qur'an, mereka segera rujuk kepada Rasulullah ﷺ. 


Selepas kewafatan Baginda,  khususnya Khulafa' Ar-Rasyidin dan Sayyidina Ibnu Abbas Ridhwanullah sahaja yang mentafsir dan menta'wil ayat Qur'an. 


Selepas kawafatan para Sahabat, hamba-hamba Allah yang benar-benar layak mentafsir dan menta'wil Al-Qur'an adalah para Imam yang mengambil bai'at dan mempelajari Agama daripada para Sahabat dengan kaedah Talaqqi Musyafahah (menghadap dan menerima ilmu dari lisan Guru).  Merekalah Ulama Taqwa dari kalangan Ahlus Sunnah wal jamaah. 


Melalui tradisi Keilmuan Ahlus Sunnah ini, iaitu Bai'at dan Talaqqi Musyafahah,  Cahaya Islam tetap terpelihara di tangan para Ulama Pewaris Nabi yang muhaqqiq yang benar-benar mewarisi Keilmuan Rasulullah ﷺ sampai Qiamat.  Ulama Tafsir dan Ta'wil yang benar-benar menepati  syarat sebagai Ulama Pewaris Nabi akan tetap wujud di kalangan Ahlus Sunnah.


Penjelasan 9:

Sejarah permulaan penyelewengan di dalam Tafsir dan Ta'wil Al-Qur'an terjadi selepas kewafatan Rasulullah ﷺ.  Berbagai golongan orang Islam yang masih jahil berkenaan Agama mula mentafsir Al-Qur'an menurut pendapat aqal dan nafsu mereka.  Mereka campur adukkan Islam dengan fahaman-fahaman batil dari falsafah, ideologi, doktrin sesat yang mereka kutip daripada ahli pemikir dan ahli Falsafah kafir.  Mereka bukan Ulama mufassir yang layak.  Mereka tidak menepati syarat-syarat sebagai Ulama Tafsir dan Ta'wil.  Tetapi mereka cukup berani mempermainkan Ayat-Ayat Allah. 


Akibat dari pentafsiran batil ini, maka lahirlah berbagai aliran pemikiran dengan tafsiran masing-masing menurut pemikiran aqal, nafsu serta kepentingan puak mereka.  Merekalah kelompok-kelompok batil dan sesat  berjumlah 72 golongan sesat.


Penjelasan 10:

Sekalian Ulama Tafsir dan Ta'wil Al-Qur'an yang benar hanya wujud di dalam Ahlus Sunnah wal Jamaah.  Setiap Mufassir (Ulama Tafsir) dan Mujtahid (Ulama yang ijtihad hukum-hakam Agama) adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang menunjukki jalan lurus kepada manusia. 

Merekalah Ulama Pewaris Nabi yang mendapat Petunjuk Allah dan sentiasa di dalam Pimpinan tangan Ruhaniyyah Rasulullah ﷺ.  


Berkata Al-Imam Sulton Awliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:

“Orang-orang yang berilmu dan hikmah  (Mursyid, Ahli Sufi, Ahli ma'rifat) adalah hamba Allah yang sejati yang di-Pilih-Nya untuk menerima “Risalah-Risalah dari pengajaran-Nya”.   Allah melimpahkan mereka ilmu dan hikmah dan dengan ilmu hikmah itulah mereka menjadi manusia yang lebih tinggi darjatnya dari manusia lain.  Mereka berhubung dengan Nabi melalui perasaan yang halus dan dengan aqal yang bijaksana.  (Kehalusan Ma’rifat Ilahiyyah atau disebut juga  kasyaf  Ilahiyyah)


Allah memuji mereka yang memiliki ilmu Hikmah dengan Firman-Nya:


ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ


 [Tamat nukilan kitab Sirrul-Asrar Fi-ma-Yahtaju Iyahil-Abrar]


Adapun selain Ahlus Sunnah wal Jam'aah, iaitu Ulama dari 72 golongan sesat [khawarij (puak wahhabiyyah), syi'ah (rafidhi), muktazilah, mujassimah, jabariyyah dan lain-lain] adalah pentafsir-pentafsir batil dan sesat.  Mereka mentafsir dan menta'wil ayat Allah menurut  pendapat aqal dan nafsu, maka jadilah mereka sesat dan menyesatkan.  Wal Iyazubillah.


SIRI 587 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....




Dalil-Dalil

=========


Dalil 1: Firman Allah:


هُوَ ٱلَّذِيۤ أَنزَلَ عَلَيْكَ ٱلْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُّحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِينَ في قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ٱبْتِغَاءَ ٱلْفِتْنَةِ وَٱبْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلاَّ ٱللَّهُ وَٱلرَّاسِخُونَ فِي ٱلْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّنْ عِندِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ ٱلأَلْبَابِ 


"Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran.  Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "muhkamat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat muhkamaat itu ialah ibu(atau pokok) isi Al-Quran dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya).  Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukai nafsu atau pendapat aqalnya).  Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (maksudnya yang sebenar) melainkan Allah dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: ‘Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami’ Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang mempunyai kefahaman."   

[Aali-Imran (3) : Ayat 7]


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

"Dia (Allah) yang menurunkan Al-Qur'an kepada kamu melalui perantaraan Jibril.  Di antara isi kandungan Al-Qur'an ada ayat bersifat muhkamat, iaitu ayat-ayat yang menjelaskan hukum halal dan haram, yang tidak pernah mengalami nasakh (penghapusan hukum).  Inilah dasar bagi Al-Qur'an dan semua Kitab Suci yang hukumnya diamalkan oleh manusia.  Selain itu adalah ayat mutasyaabihaat (ayat kesamaran yang memerlukan Ta'wil), iaitu ayat Qur'an yang difahami secara keliru (dan batil) oleh golongan Yahudi, Riwayat lain mengertikan ayat mutasyaabihaat sebagai ayat yang hukumnya dihapus dan tidak diamalkan lagi.  Orang yang condong kepada kesesatan adalah orang yang ragu-ragu, menentang dan meninggalkan Petunjuk Ilahi, mereka adalah Yahudi seperti Ka'ab bin Asyraf, Huyay bin Akhtab, Jaddi bin Akhtab dan pengikut-pengikut mereka.  Mereka mengikuti sebahagian ayat mutasyaabihaat untuk mencari kekufuran dan kemusyrikan                            (Musyrik, Syirik) dan setia dengan kesesatan mereka.  Mereka sengaja mencari-cari takwil bagi ayat mutasyaabihaat, iaitu mencari kelemahan Ummat supaya kekuasaan dan kerajaan kembali kepada mereka.  Padahal tidak ada mengetahui takwil melainkan Allah.  Firman Allah berhenti sampai sini.  Kemudian Dia menyambung; "dan orang-orang yang mendalam ilmu Taurat, iaitu Abdullah Ibn Salam dan pengikutnya berkata: “Kami beriman ayat-ayat mutasyaabihaat.  Semuanya itu dari Tuhan kami.  Tidak ada yang mengambil pelajaran darinya melainkan orang yang beraqal bersih seperti Abdullah bin Salam."

[Tafsir Ibnu Abbas]


SIRI 588 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Dialah yang telah memilihmu, wahai Rasul yang paling sempurna untuk mendukung Risalah-Nya dan untuk menjadi wakil dan Khalifah-Nya.  Dia Menurunkannya sebagai Anugerah dan Nikmat kepadamu dari Hadrat-Nya untuk membenarkan dan menguatkan dirimu berupa Al-Kitab yang mengandungi Mukjizat bagi semua yang menentang dan melawanmu. Sebagai penghormatan bagimu, dan Dia membahagi isinya ke dalam beberapa surah dan ayat-ayat menjadi dalil atas berbagai hal berkait keadaan para hamba di kehidupan dunia dan kehidupan Akhirat.  Demikianlah pokok-pokok isi Al-Qur'an yang wajib diikuti dan dilaksanakan oleh sekalian manusia.  Dan yang lain (ayat-ayat) mutasyaabihaat terkait dengan Ma'rifat dan Haqiqat yang terdiri dari hikmah dan maslahat dalam kewajipan taklif, ketaatan dan ibadah yang dapat menghantarkan manusia kepada Haqiqat dan Ma'rifat, khususnya bagi Ahlul- Azaim as-sahhah yang sentiasa menuju samudera Tauhid. 


Ada pun orang yang di dalam hatinya condong kepada kesesatan, cenderung untuk menyimpang dari jalan kebenaran yang menghimpun zahir dan batin, maka mereka mengikuti sebahagian ayat mutasyabihat dan meninggalkan perlaksanaan ayat muhkamat, sebagai suatu bentuk kebodohan dan pembangkangan.  Mereka jahil dari mengetahui bahawa pencapaian Ma'rifat dan Haqiqat hanya dapat terwujud dengan membaiki aspek zahir melalui perlaksanaan ayat -ayat muhkamat.  Tindakan mereka mengikuti ayat-ayat mutasyaabihaat seperti itu tidak dimaksudkan melainkan untuk menimbulkan fitnah  di antara manusia dan merosak aqidah mereka dari Tauhid yang benar. 


Mereka mencari-cari ta'wil agar sesuai dengan apa yang diinginkan oleh 'aqal mereka dan nafsu mereka.  Seperti yang dilakukan oleh pembuat bid'ah (72 golongan pembuat bid'ah sesat).  Padahal tidak ada yang mengetahui ta'wilnya dengan benar melainkan Allah Ta'ala yang menurunkan kitab itu. Sebab ta'wil bagi Firman-Nya tidak dapat diketahui oleh siapa pun selain Dia, kecuali dengan Taufiq dan Pertolongan-Nya.  Dan orang yang mendalam ilmunya — iaitu Ilmu Ladunni yang di-Perkuat oleh Allah dengan Ilmu dan Wahyu-Nya.  Dan Ma'rifat dan Haqiqat tidak dapat diraih hanya dengan kekuatan zahir, kecuali dengan dokongan dan Jazbah, mereka berkata: "kami beriman kepada-Nya dan meyakini ayat muhkamat dan mutasyaabihaat kerana semua itu turun dari Tuhan kami." 


Dan tidak ada yang mampu mengambil pelajaran darinya melainkan orang yang beraqal, yang diri mereka telah terbentuk dengan inti tauhid dan menolak kulit luar yang menjadi kosekuensi dari kekuatan nafsu yang merupakan bala tentera syaitan dan hawa nafsu yang batil dan pendapat hawa  nafsu yang batil."

[Tafsir Al-Jailani]


Beberapa penegasan penting di dalam Tafsiran Al-Imam Jilani radhiallahu anhu:


(1) Orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya berpegang teguh dengan kesemua Perintah Allah ; sama ada yang berupa ayat muhkamat (perintah berkenaan hukum-hakam Syari'at dan mutasyaabihaat (ayat-ayat kesamaran yang lazimnya berkait dengan rahsia-rahsia Haqiqat dan Ma'rifat)


(2) Golongan munafiq dan fasiq hanya berpegang kepada sebahagian ayat Allah sedangkan mereka menolak sebahagian lain.


(3) Golongan yang hanya mengikuti ayat mutasyaabihaat sedangkan mereka menolak untuk amalkan ayat muhkamat golongan pembuat fitnah yang bawa kepada kesesatan.


(4) Golongan yang selamat adalah golongan yang bersih jiwanya, beriman kepada kedua-dua ayat muhkamat dan mutasyaabihaat serta berpegang teguh kepada kesemuanya.


SIRI 589 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

"Imam Muslim meriwayatkan Hadith dari Aisyah Radhiallahu anha, bahawa Rasulullah ﷺ pernah membaca ayat :

هُوَ ٱلَّذِيۤ أَنزَلَ عَلَيْكَ ٱلْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُّحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِينَ في قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ٱبْتِغَاءَ ٱلْفِتْنَةِ وَٱبْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلاَّ ٱللَّهُ وَٱلرَّاسِخُونَ فِي ٱلْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّنْ عِندِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ ٱلأَلْبَابِ 


kemudian Baginda bersabda,

"Apabila kamu melihat orang-orang yang mengikuti ayat-ayat mutasyaabihaat, maka mereka itulah yang dimaksud oleh Allah dengan orang-orang sesat, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka."


Abu Ghalib bercerita : Aku pernah melakukan perjalanan dengan berjalan kaki, bersama  Abu Umamah yang mengenderai seekor keledai miliknya.  Lalu sampailah kami di Masjid Damaskus untuk berehat, namum ketika kami sedang duduk-duduk di tangga Masjid, kami melihat beberapa kepala terpenggal yang terpancang di sisi Masjid.  Kemudian Abu Umamah bertanya kepada orang-orang di sana: "Kepala-kepala siapakah ini?"  Ini adalah kepala-kepala kaum Khawarij yang didatangkan dari Iraq".   Lalu berkata Abu Umamah: "Merekalah yang akan menyerupai anjing-anjing di Neraka (beliau mengucapnya sebanyak tiga kali). Kesejahteraan moga terlimpah kepada orang-orang yang membunuh mereka. (beliau ulang sampai tiga kali).


Kemudian tiba-tiba Abu Umamah menangis.  Aku pun bertanya kepadanya: "wahai Abu Umamah, apa yang menyebabkan engkau menangis?  Beliau menjawab, "Aku sangat menyayangkan kejadian ini.  Mereka (khawarij) dahulu adalah orang Islam dan mengikuti ajaran Islam, namun mereka keluar dari Agama dan Ajaran Islam.  Lalu beliau membaca ayat ini:

هُوَ ٱلَّذِيۤ أَنزَلَ عَلَيْكَ ٱلْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُّحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِينَ في قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ٱبْتِغَاءَ ٱلْفِتْنَةِ وَٱبْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلاَّ ٱللَّهُ وَٱلرَّاسِخُونَ فِي ٱلْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّنْ عِندِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ ٱلأَلْبَابِ 


kemudian beliau juga membaca ayat: 

 وَلاَ تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَٱخْتَلَفُواْ مِن بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْبَيِّنَاتُ وَأُوْلَـٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

[Aali Imran (3) : Ayat 105]


Kemudian aku bertanya, "Apakah mereka yang dimaksudkan di dalam ayat ini? Beliau menjawab "Ye benar".  Lalu aku bertanya lagi, "Apakah engkau katakan ini pendapat engkau sendiri atau engkau mendengarnya dari Rasulullah ﷺ sendiri?  Maka beliau menjawab, "Jika ini pendapatku sendiri, maka aku sudah terlalu berani, sedang aku tidak seberani itu.  Aku mendengar dari Rasulullah ﷺ bukan hanya sekali, atau dua kali atau tiga kali atau empat kali atau lima kali atau enam kali atau tujuh kali..."  Lalu Abu Umamah menutup telinganya dengan jari-jarinya dan ia menegaskan, "Apabila ini hanya pendapatku maka lebih baik aku diam saja. (beliau ulangi tiga kali). Kemudian beliau meriwayatkan, 

"Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, "Bani Israil terpecah kepada tujuh puluh satu kelompok, satu saja masuk Syurga sedang yang lain masuk neraka.  Adapun ummat ini bertambah satu lagi dibandingkan mereka.  Satu kelompok darinya masuk Syurga sedangkan yang lain masuk Neraka."

[Tafsir Qurtubi]


Catitan:

Dari Penjelasan Imam Qurtubi :

Golongan yang menta'wil ayat mutasyaabihaat menurut nafsu mereka dan bisikan syaitan adalah golongan Khawarij, iaitu pada zaman ini bergelar Golongan Wahhabiyyah, Najdiyyah, kaum muda dan beberapa nama lain. 


SIRI 590 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



Berkata Imam Ibnu Kathir Radhiallahu anhu:

"Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ismail, telah menceritakan kepada kami Ya'qub, dari Abdullah Ibnu Abu Mulaikah, dari Siti Aisyah Radhiallahu anha yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ  membacakan firman Allah:


هُوَ ٱلَّذِيۤ أَنزَلَ عَلَيْكَ ٱلْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُّحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِينَ في قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ٱبْتِغَاءَ ٱلْفِتْنَةِ وَٱبْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلاَّ ٱللَّهُ وَٱلرَّاسِخُونَ فِي ٱلْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّنْ عِندِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ ٱلأَلْبَابِ 

[Aali-Imran (3) : Ayat 7]


Sampai dengan firman-Nya: "Orang-orang yang beraqal"

lalu Baginda bersabda:

"Apabila kamu melihat orang-orang yang berbantah-bantahan mengenainya (ayat mutasyabihat bertujuan menyesatkan manusia), maka merekalah orang-orang yang dimaksudkan oleh Allah (jadi sesat).  Maka hati-hatilah kamu terhadap mereka (jangan sampai terjatuh ke dalam golongan tersebut)."


Hal yang sama diriwayatkan oleh Ibnu Majah melalui jalur Ismail ibnu Ulayyah dan Abdul Wahhab As-Saqafi, keduanya dari Ayyub dengan lafaz yang sama. 


Muhammad ibnu Yahya Al-Abdi meriwayatkan pula di dalam kitab musnadnya melalui Abdul Wahhab As-Saqafi dengan lafaz yang sama. 


Hal yang sama diriwayatkan pula oleh Abdur Razzaq, dari Ma'mar, dari Ayyub.  Hal yang sama diriwayatkan pula oleh bukan hanya seorang, dari Ayyub.  Ibnu Hibban meriwayatkan pula di dalam kitab sahihnya melalui hadis Ayyub dengan lafaz yang sama.


Abu Bakar ibnul Munzir meriwayatkannya di dalam kitab tafsirnya melalui dua jalur, iaitu dari Abu Nu'man, Muhammad ibnul Fadl As-Sudusi yang laqab-nya (julukannya) adalah Arim, telah menceritakan kepada kami Hammad ibnu Zaid, telah menceritakan kepada kami Ayyub, dari Ibnu Abu Mulaikah, dari Siti Aisyah dengan lafaz yang sama.  Ayyub (iaitu Abu Amir Al-Kharraz) dan lain-lainnya mengikutinya, dari Ibnu Abu Mulaikah; lalu Imam Turmuzi meriwayatkannya dari Bandar, dari Abu Daud At-Tayalisi, dari Abu Amir Al-Kharraz, kemudian ia menuturkan hadith ini.


Sa'id ibnu Mansur meriwayatkannya pula di dalam kitab sunnahnya, dari Hammad ibnu Yahya, dari Abdullah ibnu Abu Mulaikah, dari Aisyah. 


Ibnu Jarir meriwayatkannya pula melalui hadith Rauh ibnul Qasim dan Nafi' ibnu Umar Al-Jumahi; keduanya dari Ibnu Abu Mulaikah, dari Aisyah.  Nafi' mengatakan dalam riwayatnya dari Ibnu Abu Mulaikah, bahwa Siti Aisyah pernah menceritakan kepadaku, lalu ia (Ibnu Abu Mulaikah) menuturkan hadith ini.


Imam Bukhari meriwayatkan pula hadith ini dalam tafsir ayat ini, sedangkan Imam Muslim meriwayatkannya di dalam Kitabul Qadar dari kitab sahihnya, dan Abu Daud di dalam kitab sunnahnya; ketiganya meriwayatkan hadith ini dari Al-Aqnabi, dari Yazid ibnu Ibrahim At-Tusturi dari Ibnu Abu Mulaikah dari Al-Qasim ibnu Muhammad dari Siti Aisyah Radhiallahu anha  yang menceritakan bahawa Rasulullah  ﷺ  membaca ayat berikut, iaitu firman-Nya: "Dialah yang menurunkan Al-Kitab (Al-Qur'an) kepada kamu.  Di antara (isi)nya ada ayat-ayat yang muhkamat [Aali Imran (3) : Ayat 7] sampai dengan firman-Nya:  "Dan tidak dapat mengambil pelajaran (darinya) melainkan orang-orang yang beraqal". 


Siti Aisyah Radhiallahu anha melanjutkan kisahnya, bahawa setelah itu Rasulullah  ﷺ bersabda:

«فَإِذَا رَأَيْتَ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ فَأُولَئِكَ الَّذِينَ سَمَّى اللَّهُ فَاحْذَرُوهُمْ»

Apabila kamu melihat orang-orang yang mengikuti hal-hal yang mutasyabih darinya, maka mereka itulah orang-orang yang disebutkan oleh Allah; maka hati-hatilah kalian terhadap mereka.  Demikianlah menurut lafaz Imam Bukhari.


Bersambung siri 591  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=======================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳


No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 602) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...